KESEDARAN masyarakat dunia yang tinggi tentang isu halal terutama melibatkan makanan telah menyebabkan industri halal dunia semakin melonjak naik secara mendadak. Bukan sahaja kepada masyarakat Islam, tetapi penganut agama lain juga sudah mula sedar bahawa makanan yang dilabelkan sebagai halal di sisi Islam sudah semestinya terjamin terutamanya dari segi kebersihan.
Di negara ini, isu halal sudah lama menjadi perdebatan, malah sentiasa dibincangkan dari semasa ke semasa. Ia bagi memastikan masyarakat Islam di Malaysia mendapat sumber makanan seperti yang disyariatkan Islam. Tidak hairanlah pada November 2009 lalu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan agar mewujudkan Akta Halal bagi melindungi umat Islam di negara ini daripada tertipu dengan barangan kesihatan tidak halal.
Setiausaha Agung PPIM, Datuk Dr. Maamor Osman ketika itu menyatakan akta tersebut secara tidak langsung akan dapat melindungi pengguna daripada pengeluar produk barangan kesihatan yang memalsukan penggunaan status halal.
Katanya, akta tersebut dapat memperluaskan skop kuasa pihak berkuasa agama untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengeluar yang didapati melanggar peraturan.
Permintaan tinggi
Menyedari hakikat bahawa tahap kesedaran dan permintaan terhadap bahan makanan halal yang semakin meningkat, Nasmir Holdings menerusi anak syarikatnya, Nasmir Hard Gelatin Capsules Sdn. Bhd. (NHGC) telah memulakan langkah dengan mengeluarkan kapsul halal untuk pasaran di negara ini.
Menurut Pengerusi Nasmir Holdings, Kadhar Shah Abdul Razak, kapsul yang dihasilkan daripada gelatin halal yang dikeluarkan syarikatnya mendapat permintaan tinggi di dalam negara dengan 70% daripada jumlah keluarannya dipasarkan di Malaysia. Jelasnya, kebimbangan masyarakat Islam berhubung status halal pada kapsul yang dipasarkan di dalam negara ini ada asasnya. Selama ini, gelatin yang digunakan untuk menghasilkan kapsul sebenarnya berasal dari tulang binatang.
“Gelatin pada asasnya dihasilkan dari tulang binatang dan kebiasaannya menggunakan tulang lembu yang sudah diproses. Tapi, bagaimanakah kita boleh pastikan gelatin yang dihasilkan itu benar-benar menggunakan tulang lembu dan satu persoalan lagi, adakah tulang lembu yang digunakan itu pula benar-benar halal kerana gelatin ini dihasilkan di luar negara.
“Sebab itulah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah melakukan pemantauan dan mengiktiraf hanya dua syarikat di dunia iaitu sebuah syarikat dari China dan Pakistan. Dua syarikat itu sahaja dibenarkan membawa masuk gelatin keluaran mereka ke negara ini,” jelasnya.
Menyorot kembali sejarah penglibatan Nasmir Holdings dalam penghasilan kapsul halal, Kadhar Shah memberitahu, semuanya bermula dengan langkah berani syarikatnya untuk berjinak-jinak dengan pemasaran kapsul halal bagi kegunaan industri farmaseutikal di negara ini pada tahun 2005.
“Pada tahun itu, Nasmir Holdings telah menubuhkan syarikat Nasmir Hard Gelatin Capsules tetapi ketika itu, kami hanya berperanan sebagai pengedar kapsul halal yang dikeluarkan di India dan Pakistan untuk memenuhi 60% kegunaan industri farmaseutikal di negara ini. Kebetulan pula ketika itu, JAKIM telah mengeluarkan larangan penggunaan kapsul tidak halal bagi ubat-ubatan di Malaysia selain keluaran dua syarikat pengeluar itu untuk pasaran tempatan. Disebabkan permintaan terhadap kapsul halal yang dipasarkan oleh syarikat kami amat menggalakkan, maka tercetuslah idea untuk mempunyai kilang sendiri bagi mengeluarkan kapsul halal untuk pasaran negara ini,” terangnya.
Kesungguhan
Jelas Kadhar Shah, kesungguhan untuk memiliki kilang menghasilkan kapsul halal sendiri didorong oleh kejayaannya dalam perniagaan restoran nasi kandar menerusi rangkaian Restoran Nasi Kandar Nasmir Sdn. Bhd. yang cukup terkenal di Pulau Pinang dan beberapa negeri di utara Semenanjung.
Tambahnya, sebelum membeli sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Ringan Seberang Jaya, Pulau Pinang untuk dijadikan tapak, dia terlebih dahulu melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama tiga tahun dengan perbelanjaan awal sekitar RM2 juta.
“Sepanjang tiga tahun perancangan itu, kami telah menghantar lapan orang kakitangan untuk mempelajari teknologi pembuatan kapsul di sebuah kilang di India. Kemudian pada tahun 2009, kami mula membina kilang di Seberang Jaya dengan membeli dua mesin pembuatan terpakai dari India dan Pakistan,” katanya dengan memberitahu pengeluaran pertama kapsul halal oleh kilang itu bermula pada Februari 2009.
Bermula Mei 2009 katanya, NHGC mula menghentikan pengimportan kapsul halal dari India dan Pakistan dan mula memasarkan kapsul keluarannya sendiri yang kini sudahpun menembusi pasaran Indonesia, Bangladesh, Jordan dan Afrika.
Sehingga kini menurut Kadhar Shah, kilang milik syarikatnya itu sudah mempunyai tiga mesin pembuatan kapsul yang mampu menghasilkan 10 juta kapsul sehari merangkumi enam saiz iaitu 00, 0, 1, 2, 3 dan 4 serta 5,400 jenis pilihan warna. Pengeluaran itu ditawarkan kepada 325 pelanggan syarikatnya.
Dengan teknologi dari India itu, kilang miliknya juga mampu mencetak logo atau perkataan pada setiap kapsul yang dihasilkan mengikut permintaan pelanggan. Walaupun begitu, kapsul yang dihasilkan oleh NHGC masih boleh dijual pada harga yang rendah iaitu sekitar RM8 hingga RM15 bagi setiap 1,000 kapsul.
Selain harga yang agak murah, kapsul halal keluaran NHGC juga mampu larut dalam badan dalam tempoh kurang dari 10 minit iaitu lebih cepat berbanding tempoh larut 15 minit yang ditetapkan bagi pembuatan kapsul.
Pelaburan besar
Bercakap mengenai perancangan masa depan, Kadhar Shah memberitahu pihaknya akan membuat pelaburan yang besar bagi tempoh dua tahun akan datang dan sehingga 2013 nanti, kilang miliknya akan mempunyai 12 mesin yang mampu mengeluarkan sebanyak 40 juta kapsul setiap hari. Tambahnya, seramai 350 orang pekerja akan diperlukan untuk tujuan itu dan pihaknya memberi jaminan bahawa kesemua pekerja di kilangnya akan terdiri daripada warga tempatan.
Berdasarkan permintaan yang memberangsangkan di Indonesia, Nasmir Holdings telah membuat keputusan untuk menubuhkan syarikat PT Nasmir Capsules Indonesia yang bertindak sebagai syarikat pengedar bahan berkenaan di negara jiran itu. Malah katanya, sekiranya pasaran di negara itu kukuh, pihaknya juga merancang untuk membina sebuah lagi kilang pengeluaran bagi menampung permintaan di negara itu selain meneroka pasaran baru.
Sumber : Kosmo!
“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”
“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”
Ahad, Mac 06, 2011
Jamin status kelongsong ubat
Susunan :
Bawang Goreng
pada
3/06/2011 06:36:00 PTG
KADHAR SHAH (dua dari kanan) memastikan setiap kapsul yang dihasilkan benar-benar berkualiti sebelum dihantar kepada pelanggan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...