PAGE

Khamis, Ogos 11, 2011

Ahli politik perlu hormat tugas penguat kuasa


Sia-sia gubal undang-undang banteras kemungkaran tapi tak dimanfaat

KEGUSARAN masyarakat Islam mengenai pengembangan agama bukan Islam di kalangan orang Islam bukan perkara baru. Ia sudah lama bersarang, bukan saja di Selangor, tetapi juga di seluruh negara. Mungkin ramai pembaca yang sudah sedia maklum mengenai perkara ini.

Kegusaran ini pernah disebut oleh Raja-Raja di dalam proses membentuk Perlembagaan negara. Hasil daripada itu kita mempunyai peruntukan yang begitu jelas dalam Perlembagaan. Menerusi Perkara 11(4) Perlembagaan membolehkan penggubalan undang-undang sekatan terhadap pengembangan agama bukan Islam di kalangan orang Islam.
Oleh itu, pada 1980-an, negeri-negeri menggubal undang-undang berkaitan yang begitu sinonim dengan kedudukan Islam dan kedudukan umatnya di negara ini.

Mungkin ada yang mempersoalkan kenapa kita perlu gusar dengan pengaruh agama lain sekiranya kita percaya umat Islam itu teguh iman dan jati dirinya. Pendapat ini mungkin ada benarnya. Tetapi kegusaran itu juga bertempat; bukan sekadar bimbangkan iman umat Islam semata-mata, tetapi juga kegusaran mengenai pengaruh agama lain yang mengugat, mencabar dan memperlekeh kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan kedudukannya tidak patut ditenggelami oleh syiar agama lain.

Sebelum hebohnya peristiwa di Gereja Methodist Damansara Utama, kita sudah mendengar pelbagai rungutan mengenai kes murtad kesan daripada pengembangan agama lain di kalangan orang Islam. Ramai yang bercakap mengenainya. Ia seolah-olah menjadi rahsia umum walaupun ada segelintir pihak cuba menafikannya dan masih bersangka baik.

Sebagai bukti, pada pertengahan 1980-an, kerajaan pernah menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk membanteras kegiatan mubaligh Kristian di kalangan orang Islam (kes Minister of Home Affairs, Malaysia lwn. Jamaluddin Othman [1989] 1 MLJ 418.

Walaupun cakap-cakap mengenai perkara ini sudah berlarutan, masyarakat Islam masih belum melihat tindakan konkrit pihak berwajib. Apa masalah yang membelenggu penguatkuasaan undang-undang berkaitan juga tidak dapat dipastikan. Keadaan ini sudah tentu mengecewakan umat Islam.

Kekecewaan ini walaupun bermusim, adalah sesuatu yang serius dan tidak dipandang sebelah mata oleh kerajaan atau pihak berwajib. Disebabkan ruang perundangan teramat jelas, ada baiknya kita selesaikan isu Gereja Methodist Damansara Utama atau kes yang serupa menerusi kaedah perundangan.

Seperti yang saya sebut pada permulaan tulisan ini, kita mempunyai undang-undang tertentu untuk menangani isu ini. Negeri Selangor mempunyai Enakmen No. 1 1988, iaitu Non-Islamic Religions (Control of Propagation among Muslims) lebih dua dekad lalu. Begitu juga dengan negeri lain.

Apa gunanya kita meluluskan undang-undang sebegini, tetapi enggan pula menggunakannya apabila perlu. Walaupun mekanisme undang-undang bukanlah satu-satunya cara menangani masalah seperti ini, bukankah satu kerugian sekiranya kita gagal memanfaatkannya?

Saya membaca banyak tulisan di internet yang mempersoalkan penggunaan undang-undang ke atas mereka yang bertanggungjawab mengajak orang Islam kepada agama mereka. Antara hujah yang dibawa ialah, orang Islam tidak patut menyalahkan pihak lain sekiranya orang Islam murtad, ia adalah kesalahan dan kelemahan orang Islam sendiri.

Orang Islam gagal menjaga kebajikan saudara seagama. Tidak kurang juga orang yang mempersoalkan keberkesanan pengagihan pendapatan zakat – urusan birokrasi dan sebagainya.

Mungkin umat Islam ada kelemahan dalam menjalankan urusan Islam, tetapi saya tidak bersetuju dengan pendapat ini. Dalam penguatkuasaan undang-undang, ia bukan bermaksud menyalahkan orang lain kerana kegagalan kita. Kedua-dua itu ada perkara berbeza. Kita mempunyai kewajipan menjaga akidah saudara seagama, tetapi sekiranya kita gagal, orang lain tidak harus mengambil peluang di atas kelemahan atau kegagalan kita untuk menyampaikan dakyah mereka. Kegagalan kita tidak harus dijadikan justifikasi kepada mereka. Perkara ini disebut di dalam Deklarasi Kaherah mengenai Hak Asasi Islam pada 1990.

Perbuatan mengeksploitasi kemiskinan seseorang untuk menukar agama seseorang adalah bertentangan dengan prinsip hak asasi di dalam Islam – “Islam is the religion of unspoiled nature. It is prohibited to exercise any form of compulsion on man or to exploit his poverty or ignorance in order to convert him to another religion or to atheism”.

Walaupun deklarasi ini bukanlah undang-undang kita, semangatnya ada dalam Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang memberi peluang kepada penggubalan undang-undang untuk menyekat pengembangan doktrin yang bertentangan ajaran Islam.

Selain itu, dalam hal agama Islam, ahli politik tidak boleh menjadi apologetik dan mengambil pendekatan menyalahkan pihak penguat kuasa. Ahli politik hendaklah menghormati tugasan pihak penguat kuasa yang dilantik untuk melaksanakan undang-undang.

Secara jujurnya saya amat tidak bersetuju dengan kenyataan ahli politik yang menghentam pihak berkuasa agama dalam penguatkuasaan undang-undang.

Sekiranya benar penguat kuasa berkenaan melanggar prosedur, serahkan mereka kepada undang-undang – bukankah kita memegang prinsip kedaulatan undang-undang?

Penulis, Shamrahayu A Aziz ialah Penolong Profesor Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).




Petikan : BHarian 11/08/2011

Capaian entry berkaitan:
* Usaha terancang cabar Perlembagaan
* Isu murtad bongkar kepincangan agensi kebajikan, Baitulmal
* Konspirasi gereja pesong akidah tak boleh dibiar
* Ahli politik perlu hormat tugas penguat kuasa
* Implikasi buruk cabar ketetapan Islam agama bagi Persekutuan
* Gerakan berani Kristian, salah siapa?
* Rumah perlindungan pesong akidah
* Perbaiki cara dakwah elak umat dipedaya
* 12 soalan kuiz antara bukti diperoleh JAIS
* ‘Banyak usaha pujuk umat Islam murtad’
* Awas dengan pertubuhan yang memurtadkan umat Islam
* Kisah seorang lelaki soleh dan gangguan syaitan
* Kemiskinan membawa kekufuran

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...