Assalamualaikum warahmatullah,
Banyak hadis Rasulullah SAW yang memberi penilaian bahawa kemiskinan adalah satu penyakit berbahaya yang dikhuatiri meninggalkan kesan buruk ke atas akidah, akhlak dan pemikiran seseorang, malah kepada kaum itu sendiri.
Penyakit ini mudah menonjol terutamanya di kalangan orang yang menghadapi kemiskinan yang teruk dan tinggal berhampiran dengan orang kaya yang buruk budi pekertinya serta kedekut yang amat sangat. Kemiskinan adalah satu bala yang sama dengan penyakit berjangkit, justeru ia boleh membawa seseorang itu menjadi kufur.
Hadis Rasulullah dari hadis Hajjaj bin Farafisah dari Yazid al-Ruqashy dari Anas bin Malik r.a. yang bermaksud: “Maka sesungguhnya kefakiran itu hampir-hampir mengundang kekufuran.” (Hadis di atas ada disebut di dalam kitab-kitab berikut: Hilyah al-Awliya’ oleh Abu Nu’aim - Jil:3, m/s: 53, Shu’ab al-Iman, hadis nombor: 6612 oleh al-Bayhaqy, Al-‘Ilal al-Mutanahiyah, hadis nombor: 1346 oleh Ibnu al-Jawzy, Faydh al-Qadir, hadis nombor: 9233 oleh al-Manawy, Tuhfat al-Ahwazy: Jil:7, m/s: 17 oleh al-Mubarakfury (India), hai’f al-Jami’, hadis nombor 4148 oleh al-Albany, Al-‘Ilal al-Mutanahiyah, hadis nombor: 1346 oleh Ibnu al-Jawzy, Faydh al-Qadir, hadis nombor:9233 oleh al-Manawy).
Menurut Ali al-Qary dalam al-Mirqaat: “Hadis itu adalah hadis yang sangat lemah. Bagaimanapun kesahihannya bolehlah dikaitkan dengan sifat hati yang miskin yang membawa kepada kebimbangan dan kerisauan (anxiety) yang mana ia seterusnya boleh membawa kepada sifat tidak reda pada takdir Allah dan protes atas (cara) pembahagian rezeki.”
Dalam masa yang sama jika kita teliti kepada hadis lain selain hadis di atas, banyak lagi hadis yang membawa makna atau maksud yang hampir sama.
Contohnya hadis yang menyebut bagaimana Rasulullah mengajar seorang sahabat yang bernama Abu Umamah. Riwayatnya di dalam sunan Abu Daud Dari Abu Sai’d al-Khudry: Pada suatu hari, Rasulullah telah memasuki masjid (baginda) dan mendapati seorang lelaki Ansar yang dipanggil Abu Umamah. Rasulullah bertanya: “Wahai Abu Umamah, kenapa aku tak ada nampak pun engkau duduk-duduk di masjid semasa waktu solat?” Abu Umamah menjawab: “Kerisauan dan hutang-hutang memaksaku demikian, Ya Rasulullah.” Rasulullah: “Adakah engkau mahu jika aku ingin mengajarmu kata-kata yang apabila engkau menyebutnya Allah akan membawa pergi kerisauanmu dan melunaskan hutangmu?” Abu Umamah: “Sudah tentu, Ya Rasulullah!” Rasulullah: “Ucapkanlah ketika pagi dan petang: Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dari-Mu daripada kerisauan, kesedihan, rasa lemah-lemah (badan) dan sifat malas, juga daripada sifat penakut dan kedekut, serta dari belenggu hutang dan penganiayaan (perlakuan keras/kasar) manusia terhadapku.” Abu Umamah: Justeru aku telah mengamalkannya, maka Allah telah menghilangkan kerisauanku dan terlunas semua hutang-hutangku.
Merosakkan keyakinan
Dalam riwayat yang lain yang menyebut al-faqr (kefakiran) dengan status yang lebih sahih dan sanad yang kuat ialah hadis doa Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Ya Allah sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu dari kefakiran, kekurangan, kehinaan dan dari menzalimi orang lain atau dizalimi oleh orang lain”. (Musnad Ahmad, hadis nombor: 8053; Adab al-Mufrad, al-Bukhary, hadis nombor: 678; Sunan Abu Daud, hadis nombor: 1539, Sunan al-Nasa’iy, hadis nombor: 5460; Sunan Ibnu Majah, hadis nombor: 3842; Ibnu Hibban, hadis nombor 1030; Mustadrak, al-Hakim, hadis nombor: 1983; al-Sunan al-Kubra, al-Baihaqy, hadis nombor: 12929 - isnadnya sahih dan Al-Albany juga mengkategorikannya sebagai hadis sahih dalam Sahih al-Jami’, hadis nombor: 1287).
Hadis ini menjelaskan bahawa sering kali orang menjadi kufur kerana tekanan-tekanan ekonomi dan kesulitan untuk memperoleh rezeki. Orang yang asalnya baik akan berubah menjadi tidak amanah. Perempuan yang memelihara kehormatan diri menjadi tidak sanggup lagi memeliharanya kerana tekanan ekonomi.
Oleh itu Islam mewajibkan setiap umatnya agar bekerja keras dan berusaha mencari rezeki demi membela diri mereka daripada kemiskinan dan kekufuran. Islam menilai orang yang bekerja dan berusaha itu sebagai jihad.
Segala khazanah dan kekayaan alam Allah SWT jadikan untuk orang Islam, supaya menjadikan kehidupan lebih bermakna di samping mensyukuri nikmat yang tidak terhingga. Malangnya khazanah bumi sudah telah dan sedang menjadi milik orang yang tidak beriman.
Puncanya, umat Islam lebih menumpukan perhatian kepada persoalan fardu ain dan kurang berminat dan persoalan fardu kifayah. Bila dibandingkan antara fardu kifayah dengan fardu ain, mana yang banyak, jawapan fardu kifayah. Ini kerana fardu ain biasanya lebih kepada hubungan hamba kepada Allah, manakala fardu kifayah lebih lebih kepada keperluan masyarakat, agama dan negara.
Persoalannya di sini, adakah benar kefakiran boleh menghumban atau membawa seseorang kepada kefakiran?
Ya, memang ada benarnya kerana maksud kekufuran dalam hadis ini ialah akan berlakunya pertikaian di kalangan manusia yang akan merasakan tidak berpuas hati apabila ada di kalangan mereka yang senang dan ada pula yang susah. Pertikaian ini boleh merosakkan keyakinan terhadap Allah yang menentu dan menyukat setiap pemberiannya kepada manusia.
Perlu diingat bahawa wujudnya pelbagai peringkat manusia adalah bukti bahawa manusia ini ditadbir dan diatur. Apa yang pasti ialah mereka yang senang perlu menjawab kepada Allah dari mana dia peroleh wang ringgit dan segala kekayaan, ke mana pula dibelanjakan.
Mereka yang miskin juga pasti akan dihitung, kenapa tidak berusaha dengan lebih gigih untuk membaiki kualiti hidup, sedang rezeki Allah sentiasa terbentang luas, sedang usaha yang gigih dapat mengubah masa depan dengan Islam tidak meredai penganutnya terus kekal di dalam kemiskinan kefakiran. Ini kerana lama kelamaan ia akan membawa imej yang kurang mengenai Islam dan umatnya.
Sebenarnya kita mampu keluar dari kepapaan dan kefakiran dengan syarat usaha gigih yang berterusan serta tawakal yang berpanjangan kepada Allah SWT.
Allah menjadikan bumi dan isi kandungannya semata-mata untuk manusia, tetapi manusia tidak akan dapat menikmati sepenuhnya melainkan dengan titik peluh usaha mereka sendiri. Meninggalkan pekerjaan dan usaha mencari rezeki atas alasan untuk beribadah kepada Allah sahaja adalah bertentangan dengan konsep Islam yang sebenar. Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah al-Ra'd ayat 11).
Umat Islam harus cemerlang dalam hal duniawi tanpa mengabaikan akhirat. Kualiti hidup di dunia inilah yang membawa kepada kejayaan manusia merubah daripada kemungkaran kepada yang makruf.
Manusia diperintah oleh Allah untuk mencari rezeki bagi keperluan hidupnya dan juga diperintah untuk mencari rezeki yang lebih di muka bumi ini bagi tujuan membantu orang lain yang tidak berkecukupan.
Allah berfirman dalam Surah al-Jumu'ah ayat 10 yang bermaksud: “Kemudian setelah selesai sembahyang maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah apa yang kamu hajati dan limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak supaya kamu berjaya.”
Di sisi lain pula al-Quran mengecam mereka yang mengharamkan hiasan duniawi yang diciptakan Allah bagi umat manusia menerusi firman-Nya, “Katakanlah (Wahai Muhammad) siapakah yang berani mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan untuk hamba-hamba-Nya dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal daripada rezeki yang dikurniakannya.” (Surah al-Baqarah ayat 32).
Al-Quran kemudian menyebut bahawa Allah menjanjikan pengampunan dan anugerah yang berlebihan, sedangkan syaitan pula menjanjikan kefakiran.
Sesungguhnya Islam tidak pernah menganggap mulia atau mentakdirkan kemiskinan sebagai satu cara untuk mencapai ketinggian rohani. Hadis-hadis yang memuji kehidupan zuhud di dunia bukanlah bererti memuji kemiskinan. Adalah satu kesilapan yang besar bagi setengah orang yang menganggap bahawa kemiskinan bukanlah satu keburukan yang perlu diatasi dan juga bukan penyakit yang perlu diubati, ia adalah satu nikmat Allah yang dikurniakan kepada sesiapa di antara hambanya agar hatinya sentiasa berhubung dengan akhirat dan benci pada dunia.
Islam tidak datang hanya untuk mengajarkan zikir dan doa tetapi untuk membebaskan manusia daripada beban penderitaan kepada hidup yang bahagia. Hidup tidak mahu berusaha dan hanya meminta belas kasihan orang lain tidak dipersetujui oleh Islam.
“Tangan yang di atas (yang memberi) lebih mulia daripada tangan yang di bawah (yang meminta-minta).” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Islam jelas menolak sesetengah golongan yang menyanjung kemiskinan dan menganggap kekayaan sebagai dosa. Demikian juga yang menganggap kemiskinan sebagai qadar yang tiada jalan untuk mengelaknya. Ini semua pandangan ekstrem yang terpesong daripada jalan yang lurus sepertimana yang dituntut oleh ajaran Islam yang sebenar.
Renung-renungkan...
Petikan : BicaraMuslim dan Mesra.Net
Capaian entry berkaitan :
* Ahli politik perlu hormat tugas penguat kuasa
* Implikasi buruk cabar ketetapan Islam agama bagi Persekutuan
* Gerakan berani Kristian, salah siapa?
* Rumah perlindungan pesong akidah
* Perbaiki cara dakwah elak umat dipedaya
* 12 soalan kuiz antara bukti diperoleh JAIS
* ‘Banyak usaha pujuk umat Islam murtad’
* Awas dengan pertubuhan yang memurtadkan umat Islam
* Kisah seorang lelaki soleh dan gangguan syaitan
* Kemiskinan membawa kekufuran
“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”
“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”
Sabtu, Ogos 06, 2011
Kemiskinan membawa kekufuran
Susunan :
Bawang Goreng
pada
8/06/2011 08:00:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...