Kedegilan kumpulan, pertubuhan agama lain dianggap cabar peruntukan Perlembangaan
ISU serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas gereja Methodist Damansara Utama, Petaling Jaya 3 Ogos lalu menimbulkan kembali perbincangan tentang adanya pihak tertentu untuk menyebarkan agama Kristian di kalangan umat Islam. Ia sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.
Kontroversi terbaru ini juga boleh menjejaskan keharmonian masyarakat kerana ia termasuk perkara sensitif yang boleh menjejaskan hubungan kaum di negara ini.
Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Islam adalah “agama bagi Persekutuan”. Mentakrifkan Islam sebagai “agama rasmi” negara adalah tidak tepat kerana perkataan “rasmi” itu sendiri tidak disebut di dalam Perkara 3. Lagi pun frasa “agama rasmi” akan menyempitkan skop pemakaian peruntukan tersebut dan menjadikan agama Islam terhad kepada amalan ritual serta upacara rasmi dan keagamaan semata-mata.
Kedudukan Perkara 3 ini sudah pun diperjelaskan melalui penghakiman-penghakiman yang diputuskan oleh mahkamah. Contoh, di dalam kes Lina Joy mlwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (di Mahkamah Persekutuan), Ketua Hakim Ahmad Fairuz memberi makna Islam sebagai “bukan sahaja suatu himpunan dogma-dogma dan ritual-ritual tetapi ianya juga suatu cara hidup yang lengkap merangkumi semua bidang aktiviti manusia, persendirian dan awam, perundangan, politik, ekonomi, sosial, budaya, moral atau kehakiman”.
Perkara 3 harus dipertahankan kerana peruntukkan inilah yang meletakkan Islam berdaulat di negara ini. Ini adalah kerana peruntukan tersebut menyentuh kuasa Raja-raja Melayu sebagai ketua agama Islam. Sebelum ini ada kedengaran suara yang mahu peruntukan tersebut dipinda.
Justeru, dalam soal meminda peruntukan Perkara 3 ini, ia perlu mendapat pekenan daripada Raja-raja Melayu walaupun telah mendapat sokongan dua pertiga ahli parlimen. Saya yakin, untuk mendapat dua pertiga ahli Parlimen bukannya mudah kerana majoriti ahli parlimen Melayu-Islam tidak tergamak untuk menyokongnya kerana implikasinya sangat buruk terhadap kedudukan agama Islam di negara ini.
Walaupun Islam diberikan kedudukan sebagai agama Persekutuan tetapi peruntukan itu urut mengiktiraf hak kebebasan penganut-penganut agama lain mengamalkan agama mereka secara bebas. Sungguhpun begitu, dalam konteks penyebaran agama terdapat sekatan yang melarang agama lain disebarkan kepada penganut Islam seperti yang diperuntukkan di dalam Perkara 11(4).
Semua peruntukkan-peruntukkan tersebut sudah jelas dan sejak awal Perlembagaan Persekutuan dirangka semua kaum telah sepakat menerima peruntukan itu. Malangnya ada kumpulan atau pertubuhan-pertubuhan agama yang menunjukkan kedegilan mereka yang seolah-olah mahu mencabar Perkara 11(4). Mereka menggunakan beberapa cara untuk menyebarkan ajaran mereka di kalangan umat Islam. Ini termasuklah melalui kerja-kerja kebajikan yang dilakukan mereka.
Pada hemat saya perkara 11 (4) diadakan bagi memberi tanggungjawab pemerintah atau kerajaan untuk memastikan orang Islam tidak menjadi murtad setelah berada di dalam agama Islam. Murtad atau keluar dari agama Islam adalah dilarang di dalam ajaran Islam yang boleh dikenakan hukum berat ke atasnya.
Justeru, peruntukan terbabit tidak harus dilihat sebagai larangan kepada penganut agama lain menyebarkan ajaran mereka kepada umat Islam tetapi ia juga mesti dilihat sebagai peruntukan yang bertujuan untuk membendung gejala murtad di kalangan umat Islam di negara ini.
Oleh itu, sekiranya terdapat apa-apa maklumat yang menunjukkan adanya pihak tertentu yang berusaha atau menjalankan apa-apa aktiviti untuk menyebarkan agama lain kepada umat Islam maka menjadi tanggungjawab agensi atau jabatan agama untuk menyiasat dan bertindak ke atas maklumat tersebut seperti mana yang dilakukan oleh JAIS itu.
Ada dua tindakan yang boleh diambil sekira benar perkara itu berlaku. Pertama, sekiranya ada asas kukuh bahawa pihak terbabit menjalankan aktiviti yang menyalahi enakmen syariah negeri, sekali gus Perkara 11(4) maka tindakan undang-undang boleh diambil ke atasnya. Bagi umat Islam yang disyaki telah terpengaruh atau mengikut ajaran agama lain maka pihak berkuasa agama boleh mengambil tindakan ke atasnya mengikut peruntukkan yang ada di dalam enakmen undang-undang syariah.
Dalam konteks ini tidak ada siapa yang boleh mempertikai atau menghalang tindakan mahkamah di ambil ke atas orang Islam yang telah melanggar undang-undang syariah. Perkara 121 (A) adalah peruntukan yang memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk mendengar kes dan persoalan mengenai agama Islam dan Mahkamah Sivil tidak boleh campur tangan, membatalkan atau tidak menghiraukan keputusan Mahkamah Syariah.
Jika orang bukan Islam mahu umat Islam menghormati amalan agama mereka maka mereka juga harus menghormati dan mematuhi agama Islam, khusus Perkara 3 dan Perkara 11 (4) yang terkandung di dalam perlembagaan negara itu. Mereka seharusnya berasa bersyukur kerana Malaysia adalah di antara negara yang memberikan kebebasan agama kepada orang bukan Islam.
Penulis, Mohd Ayop Abd Razid adalah Ketua Unit Penerbitan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.
Petikan : BHarian 09/08/2011
Capaian entry berkaitan :
* Ahli politik perlu hormat tugas penguat kuasa
* Implikasi buruk cabar ketetapan Islam agama bagi Persekutuan
* Gerakan berani Kristian, salah siapa?
* Rumah perlindungan pesong akidah
* Perbaiki cara dakwah elak umat dipedaya
* 12 soalan kuiz antara bukti diperoleh JAIS
* ‘Banyak usaha pujuk umat Islam murtad’
* Awas dengan pertubuhan yang memurtadkan umat Islam
* Kisah seorang lelaki soleh dan gangguan syaitan
* Kemiskinan membawa kekufuran
“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”
“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”
Khamis, Ogos 11, 2011
Implikasi buruk cabar ketetapan Islam agama bagi Persekutuan
Susunan :
Bawang Goreng
pada
8/11/2011 12:30:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...