“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Rabu, Ogos 10, 2011

KDN disyor kaji kitab Injil dalam bahasa Melayu




Petaling Jaya : Kementerian Dalam Negeri (KDN) diminta mengkaji semula kebenaran mencetak dan mengedar Kitab Injil dalam bahasa Melayu kerana kemudahan itu dikhuatiri dieksploitasikan pihak tertentu dalam cubaan mereka memesongkan akidah umat Islam yang didakwa berleluasa sejak kebelakangan ini.

Setiausaha Agung Persatuan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hassan Syed Ali berkata, mengikut perancangan asal, pengedaran kitab itu yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran sepatutnya hanya untuk kegunaan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak, namun ia kini boleh ditemui di Semenanjung.

“Difahamkan kebenaran ini pada awalnya hanya untuk pengedaran kitab itu di Sabah dan Sarawak atas alasan segelintir penganut Kristian di sana tidak memahami bahasa Inggeris. Bagaimanapun, kami dimaklumkan kebenaran untuk mencetaknya juga menimbulkan kebimbangan.”

“Kita khuatir jika ada pihak yang cuba mengambil kesempatan ini untuk memesongkan akidah umat Islam kita melalui pelbagai cara, malah banyak kekeliruan juga sudah timbul. Justeru, kita minta kementerian berkaitan bertindak segera, termasuk menarik balik kebenaran itu jika perlu sebelum keadaan menjadi lebih teruk,” katanya lagi.

Beliau sebelum itu bersama Yang di-Pertua PERKASA Selangor, Abdullah Mansor membuat laporan polis meminta siasatan terperinci dilakukan terhadap sebuah komuniti gereja di sini yang didakwa cuba memesongkan akidah umat Islam melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan anjuran mereka.

Sementara itu, 100 penyokong PERKASA berhimpun secara aman di depan IPD Petaling jaya bagi mempertahankan tindakan JAIS dan Exco Hal Ehwal Agama, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali berhubung kontroversi serbuan gereja berkenaan.

Malah, kumpulan terbabit yang membawa sepanduk “Hanya Islam Agama Persekutuan” dan “JAIS Jangan Gentar Pertahan Kesucian Islam” turut meminta siasatan terperinci bagi mengekang sebarang cubaan pihak tertentu memurtadkan umat Islam secara rahsia yang dikhutiri boleh menjejaskan keharmonian kaum dan sensitiviti agama di negara ini.

JAIS mohon waran tangkap 12 ~ BHarian 2011/08/10

Gagal hadir bantu siasatan dakwaan gereja sebar agama terhadap orang Islam

SHAH ALAM: Seramai 12 individu beragama Islam yang hadir pada satu majlis di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Petaling Jaya, yang sepatutnya memberi keterangan di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sini, semalam gagal berbuat demikian walaupun pihak berkuasa agama itu sudah menyerahkan surat dan menelefon mereka untuk memberi kerjasama.

Sehubungan itu, Penolong Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JAIS, Sharom Maarof, berkata pihaknya akan mengeluarkan waran tangkap terhadap mereka dalam tempoh terdekat ini. Beliau berkata, tindakan itu diambil selepas mereka enggan memberikan kerjasama walaupun pihaknya sudah menyerahkan surat termasuk menelefon untuk hadir.

“JAIS akan memohon waran tangkap dalam tempoh 24 jam daripada Mahkamah Syariah selepas surat dikeluarkan hari ini (semalam). Sepatutnya mereka hadir membantu siasatan, tetapi seorang pun tiada. Kita tetap beri masa kepada mereka dan mereka boleh hubungi JAIS pada bila-bila masa untuk hadir, tetapi tidak berbuat demikian,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Baru-baru ini, JAIS menyerbu DUMC di Petaling Jaya selepas mendapat maklumat orang Islam menghadiri majlis di gereja berkenaan.

Ketika serbuan dilakukan kira-kira jam 9 malam, seseorang sedang mengadakan pengucapan awam yang diselitkan perkataan al-Quran dan terdapat bukti kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal-Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, berkata anggota penguat kuasa JAIS bersama polis menjalankan pemeriksaan di premis itu dihalang penganjur. Mengulas lanjut, Sharom berkata, pihaknya difahamkan semua mereka dinasihatkan oleh peguam masing-masing untuk tidak hadir membantu siasatan JAIS berhubung perkara terbabit.

Sementara itu, Pengarah JAIS, Marzuki Hussin melalui satu SMS yang dihantar kepada pemberita meminta semua pihak bertenang mengenai isu terbabit.

“JAIS meminta semua pihak bertenang berhubung dengan pemeriksaan ke atas DUMC sehingga kertas siasatan selesai. Buat masa ini pihak JAIS masih dalam siasatan berhubung kes itu,” katanya.

Di KOTA BHARU, Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar, berkata parti itu tidak harus dikaitkan dengan tindakan JAIS memeriksa DUMC, kerana tindakan itu mengikut peruntukan undang-undang. Katanya, sekiranya JAIS tidak mengikut undang-undang, pihak gereja terbabit sudah tentu boleh mengambil tindakan dengan menyaman agensi berkenaan.

“Bagi pandangan saya, JAIS sudah tentu bertindak mengikut undang-undang, kalau tidak sudah tentu boleh disaman kerana menceroboh dan semua pihak perlu faham agensi terbabit cuba menyelesaikan masalah,” katanya selepas menyampaikan Bantuan Wang Ihsan Banjir 2010 kepada Petani Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu, di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan mengingatkan semua pihak supaya menghormati Islam sebagai agama rasmi dan tidak menjalankan aktiviti yang boleh menggugat akidah umat Islam. Beliau berkata, pihaknya juga berpuas hati dengan penjelasan diberikan oleh Hasan berhubung tindakan JAIS.

“Beliau (Hasan) cakap ada bukti kukuh tapi saya tidak tengok bukti itu sebab ia masih dalam siasatan,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Hasan berhubung serbuan gereja itu, di sini.




Sumber : BHarian 10/08/2011

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails