“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Ahad, Ogos 21, 2011

Tajdid Iman: Membina keharmonian perbezaan agama melalui dakwah, diplomasi


KEHARMONIAN sesama masyarakat tanpa mengira pegangan agama perlu dipupuk sejak kecil lagi supaya sifat itu dapat dikekalkan sehingga mereka dewasa seterusnya menjamin perpaduan antara kaum di Malaysia. - Gambar hiasan

Wajib bagi umat Islam memberi keadilan kepada manusia tanpa mengira fahaman

ISU serangan ke atas gereja baru-baru ini amat dikesalkan kerana ia mencalar imej Islam yang damai dan membawa rahmat. Walaupun belum ada jalan terang mengenai pihak yang bertanggungjawab, suara-suara kutukan turut digemakan daripada pihak umat Islam sendiri yang menolak tindakan anarkis sebegini.

Pelbagai khabar angin kedengaran kononnya ada pihak berusaha menangguk di air keruh mempergunakan isu Islam untuk tujuan peribadi, fahaman politik dan jawatan masing-masing. Bahkan ada yang menyuarakan mungkin saja keganasan itu didalangi musuh Islam yang mahu memburukkan lagi wajah agama kita.

Terlepas daripada segala khabar angin yang berdengung di telinga kita, eloklah jika kita mengkaji dan bertanya khabar maksum daripada Rasulullah SAW melalui wahyu yang diturunkan kepadanya dan sunnah baginda SAW di atas segala kerumitan yang membelenggu keharmonian umat beragama ini. Bukankah dulu Rasulullah SAW pernah melakukan diplomasi terhadap puak kafir musyrikin, sama ada yang memerangi Islam atau yang tidak memerangi. Bagaimanakah hubungan di antara umat ketika itu?

Al-Quran menjelaskan haramnya berdiplomasi dalam hal-hal akidah seperti dicatat dalam surah al-Kafirun. Sejarah mencatatkan terjadi perjumpaan di antara pembesar Quraisy melalui perantaraan bapa saudara Rasulullah SAW untuk memujuk baginda supaya mahu menyembah berhala mereka dan sebagai balasannya mereka pun akan menyembah Allah secara berganti-gantian.

Diplomasi sebegini diharamkan secara qatie tanpa melihat apa maslahat sekalipun kerana ia berkaitan dengan isu penyembahan selain Allah yang membatalkan akidah kerana ia adalah perlakuan syirik yang diharamkan.

Akan tetapi Rasulullah SAW tidak menutup jalan perbincangan untuk tujuan damai demi kemaslahatan bersama seperti ketika baginda SAW berada di Madinah dan meletakkan asas negara Islam yang dikongsi bersama dengan orang Yahudi dan Nasrani. Bahkan baginda meletakkan asas dan hak sama rata bagi mereka. Baginda turut memberi komitmen akan memerangi orang yang memerangi kafir zimmi (yang tunduk kepada negara Islam).

Yang menjadi perselisihan di antara umat Islam dalam isu menggunakan nama Allah ini ialah adakah ia secara langsung membabitkan akidah? Apakah akidah umat Islam akan terancam jika orang kafir menggunakan nama Allah dalam ibadat dan terbitan mereka? Atau ia hanya membabitkan ketakutan bayangan akan strategi dakyah orang kafir di tengah umat Islam?

Belum lagi tuntas perbincangan ini di kalangan ulama, majlis fatwa dan sarjana Islam yang bertauliah, tiba-tiba suara daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin seakan tidak sabar mencari jawapan atas permasalahan berkenaan. Beberapa demonstrasi diadakan di jalanan dan tanpa diduga berlaku kebakaran beberapa gereja tanpa diketahui puncanya.

Setiap permasalahan yang menimpa umat, sudah pasti ada cara pandangan yang berbeza dilontarkan oleh ulama. Hal ini adalah perkara biasa dalam medan ilmu dan kajian. Jangan disebabkan ulama berbeza pendapat dalam isu ini, orang awam bahkan yang jahil pun berani mengkritik kredibiliti ilmu golongan ulama dan berani membuat hukum sendiri menurut emosi dan akal yang pendek.

Bahkan muncul suara yang mengancam sesiapa membenarkan keputusan mahkamah mengenai isu nama Allah ini diancam dengan hukuman kafir. Padahal dia tidak menyembah salib dan tidak mengakui Allah itu tiga dalam satu, dia hanya menghormati sikap orang bukan Islam untuk menggunakan nama Allah yang diambil dari bahasa al-Quran juga.

Perbincangan mengenai perkara ini janganlah terlalu gopoh untuk diputuskan tanpa mengambil pandangan ulama akidah. Jangan pula sarjana Islam yang bukan bidangnya bercakap mengenai akidah sambil cuba mempolitikkan masalah ini sehingga menambah kusut lagi benang yang sudah pun serabut, akibat tindakan sebahagian manusia yang jahil mengenai sejarah dan punca masalah ini di Malaysia.

Mengimbas pandangan al-Quran mengenai hubungan antara Islam dan kafir jelas dinyatakan bahawa wajib bagi umat Islam memberi keadilan kepada semua umat manusia tidak kira agama mereka sekalipun. Al-Quran menyatakan yang bermaksud: "Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berlaku adil." (Surah Al-Mumtahanah ayat: 8)

Jika kita mengkaji diplomasi yang pernah dilakukan baginda SAW dengan pemimpin kuffar musyrikin Makkah dalam Perjanjian Hudaibiyah, terlalu jelas sikap toleransi Rasulullah SAW untuk dijadikan sempadan.

Daripada Anas RA katanya: Orang Quraisy membuat perjanjian damai dengan Nabi SAW. Wakil mereka ialah Suhail bin Amru. Rasulullah mengarahkan Ali menulis: Tulislah Bismillahirrahmanirrahim. Lalu Suhail membantah: Kami tidak mengerti apakah itu Bismillahirrahmanirrahim. Tuliskanlah apa yang kami tahu iaitu BismikALLAHumma (Dengan namamu ya Allah)." (Hadis daripada sahih Muslim)

Hadis sahih ini menunjukkan sikap diplomasi Rasulullah SAW demi kemaslahatan dakwah Islam. Walaupun nama Allah dan nama Rasulullah SAW begitu tinggi di jiwa umat Islam dan membabitkan akidah yang suci, tidaklah ia akan membuat kufur sesiapa yang menyokong perjanjian ini. Bahkan Rasulullah SAW sendiri yang membenarkan tulisan ALLAHumma dikongsi bersama.

Kecantikan gaya diplomasi Nabi SAW adalah tuntutan daripada cara dakwah baginda. Kelembutan dan kasih sayang adalah semangat dakwah Nabi SAW sehingga akhirnya Suhail sendiri memeluk Islam. Alangkah malangnya jika umat Islam menunjukkan kekerasan dan permusuhan, kononnya mahu membela Islam padahal Rasulullah SAW menyuruh kita menjadi rahmatan lilalamin (rahmat untuk semua makhluk).

Jika umat Nasrani bangga mengakui Jesus penyelamat dunia dan dakyah mereka banyak menyentuh mengenai kasih Jesus, pengampunan dosa umat nasrani dengan darah Jesus, maka bagaimanakah cara dakwah kita sebagai umat Muhammad SAW? Adakah boleh kasih sayang kita menandingi mereka? Jika kita sayang kepada Islam, tariklah sebanyak mungkin minat orang kafir mengenai Islam, jangan menebar kebencian dan ketakutan di hati mereka. Inilah dakwah Islam, dakwah dengan semangat kasih sayang.


Sumber : Dr Juanda Jaya di BHarian 2010/01/12.

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails