“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Jumaat, Ogos 26, 2011

Hukuman berat belum tentu buat pengedar mercun serik




MUSIBAH mercun berlaku setiap tahun, malah ia akan terus berlaku dan yang sering menjadi mangsa ialah kanak-kanak dan remaja yang cedera teruk seperti buta, kehilangan jari, kebakaran pada tubuh malah maut boleh mengundang bila-bila masa.

Walaupun risiko kecederaan tinggi, ia tetap tidak dihiraukan, malah ada ibu bapa yang membenarkan anak bermain mercun bagi menambahkan keriangan untuk menyambut Aidilfitri. Natijahnya, kini di Kelantan sudah tujuh kanak-kanak dan remaja cedera kerana mercun, termasuk yang berusia dua dan tiga tahun. Sebahagian besar daripada mereka menjadi mangsa kepada mercun bola yang cukup popular.

mercun bola

Mercun bola ini amat menarik kerana berwarna-warni dan diperbuat daripada plastik dan berbentuk bulat serta mempunyai sumbu sepanjang seinci.

Wajahnya comel yang menarik perhatian itulah sebenarnya amat bahaya kerana ia dibalut plastik berbanding mercun biasa yang dibalut kertas. Plastik itulah yang bertindak sebagai peluru hidup atau menjadi serpihan ketika meletup yang boleh menembus mata, kulit dan daging. Ada juga mercun buatan sendiri seperti mercun paip, mercun palam pencucuh dan mercun bom yang semuanya amat berbahaya pada nyawa orang ramai.

Kita berharap pihak berkuasa seperti polis, Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) dan Kastam Diraja Malaysia terus meningkatkan rondaan serta pemeriksaan bagi membendung kegiatan menyeludup mercun dan bunga api yang dijangka meningkat menjelang Aidilfitri.

Penjualan dan permainan mercun menjadi kesalahan mengikut Akta Kastam 1967 dan sesiapa didapati melindungi, menyimpan, menyembunyi atau memiliki mercun melakukan kesalahan mengikut Seksyen (1)(d) akta itu, yang boleh dikenakan hukuman didenda tidak kurang daripada 10 kali nilai mercun dan tidak lebih 20 kali ganda nilai bahan letupan berkenaan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Mercun diharamkan di negara ini pada 1991 selepas tragedi kebakaran kilang mercun Bright Sparklers di Sungai Buloh yang mengorbankan 22 nyawa dan mencederakan 103 yang lain. Mengikut Seksyen 42 Akta Bahan Letupan 1957 dan jika disabitkan kesalahan kerana mengilang, memiliki atau mengimport kedua-dua bahan itu boleh dihukum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Walaupun hukuman itu berat dan dianggap setimpal, pembakaran mercun dan bunga api masih terus berlaku, malah makin berleluasa sama ada ketika sambutan Tahun Baru Cina, Chap Goh Meh, Aidilfitri, Deepavali, Krismas mahupun sambutan tahun baru.

Selain risiko kecederaan, ramai tidak memahami cara pembuatan mercun serta bahan kimia di dalamnya. Membuat mercun sendiri pastinya lebih berbahaya kerana percampuran bahan kimia dengan alat yang direka sendiri (seperti batang paip) boleh menyebabkan letupan.

Kalium nitrat, strontium nitrat, kuprum oksida, karbon perklorat, barium klorat, potasium perklorat, sulfur, serbuk aluminium dan arsenik adalah antara bahan kimia dalam mercun yang boleh menjejaskan kesihatan.

Tujuan penggunaan pelbagai bahan ini adalah untuk memberi fungsi berlainan seperti membekalkan oksigen dan karbon, kesan bunyi dan warna. Tindakan kimia dalam mercun akan menghasilkan banyak asap hasil daripada bahan kimia beracun dan boleh membahayakan kesihatan.

Sebatian barium menyebabkan keracunan dengan menunjukkan tanda seperti muntah, sakit pada bahagian perut, cirit-birit berdarah, sesak nafas, sawan, koma atau mati akibat kegagalan jantung atau pernafasan. Jika tersedut, ia menyebabkan penyakit paru-paru, lumpuh otot, darah tinggi dan kekurangan zat kalium dalam tubuh.

Sebatian nitrat pula menyebabkan hakisan pada tisu kulit serta pelbagai penyakit paru-paru. Bahan nitrat mudah memasuki tubuh melalui kulit, terutama jika kulit cedera akibat terbakar.

Membakar mercun bukanlah budaya Melayu, malah Islam turut melarang umatnya melakukan perbuatan sia-sia, membazir, membahayakan diri serta harta benda. Wajarkah kita hanya menuding jari menyalahkan pihak lain, jika kita sebagai ibu bapa masih membenarkan anak membeli barang terlarang itu, walaupun mengetahui ia adalah satu kesalahan.

Justeru, sudah sampai masa pihak berkuasa bertindak tegas menguatkuasakan undang-undang dan meningkatkan kempen kesedaran agar orang ramai tidak terus menjual atau membeli bunga api dan mercun. Orang ramai perlu bekerjasama dengan tidak membeli bunga api dan mercun serta tidak menyalahkan mana-mana pihak jika berlaku tragedi terhadap keluarga.

Penulis, Anwar Hussin [anwarhussin@bharian.com.my] ialah Ketua Biro, Berita Harian Kelantan.




Sumber : BHarian 26/08/2011

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails