Assalamualaikum warahmatullah,
Dilaporkan, seorang warga UAE kesal bertan-tan makanan dibuang setiap hari pada Ramadan. Seorang wanita Belgium yang menetap di Dubai melancarkan satu kempen bertujuan menghapuskan masalah pembaziran makanan sepanjang Ramadan tahun ini.
Els Huybrechts berkata, bertan-tan makanan dibuang setiap hari selepas berbuka puasa, sesuatu yang bercanggah dengan matlamat bulan suci itu. Sehubungan itu, beliau memulakan sebuah kumpulan digelar ‘Make Iftar Modest’ (Bersederhana ketika Berbuka) bertujuan menggesa penduduk dan pengusaha restoran menghentikan pembaziran makanan.
Orang ramai, firma dan pertubuhan akan dapat menyertai kumpulan itu dalam Facebook yang akan diwujudkan selepas ini, katanya. Huybrecths, 36, juga bercadang untuk meyakinkan pengusaha hotel dan restoran supaya mengurangkan saiz majlis berbuka puasa.
“Selepas berbuka puasa, majlis iftar itu meninggalkan banyak lebihan makanan dan semua itu terpaksa dibuang. Perkara ini memalukan sedangkan Ramadan sebenarnya adalah supaya kita mengamalkan kesederhanaan dan menambah kebajikan. Selain itu, wujud sikap untuk menunjuk-nunjuk di kalangan pengendali hotel empat atau lima bintang apabila mereka bersaing untuk menarik pelanggan.”
“Tetapi, semua orang tahu anda tidak boleh makan dengan begitu banyak dan anda akan rasa kenyang dengan cepat. Kita semua bersetuju bahawa ini (pembaziran) berlaku, tetapi tiada sesiapa melakukan apa-apa mengenainya. Saya benar-benar sedih mengenai perkara ini.”
Huybrechts bukan Muslim tetapi beliau tetap mengikuti amalan penduduk Islam untuk berpuasa pada Ramadan. Beliau menjadi seorang penduduk Emiriah Arab Bersatu sejak tiga tahun lalu dan mempunyai latar belakang pemasaran.
“Saya ingin pergi jauh dengan kempen ‘Bersederhana ketika Berbuka tetapi tidak mempunyai bajet untuk melaksanakannya. Saya perlu cari penaja,” katanya lagi. – Agensi
Tepuk dada jangan tanya selera
Itu kisah non-Muslim yang mengikut amalan penduduk islam. Kita di sini sepatutnya ambil pengajaran daripada kesedaran Huybrechts. Beberapa hari yang lepas, saya dan rakan sejawatan disoal-selidik oleh HRMgr untuk menghadiri majlis berbuka puasa. Saban tahun, majlis dibuat di ‘The Tower’, Sunway Pyramid, tetapi setelah beberapa kali ditunda, akhirnya tempat berbuka diputuskan ke Shogun Restorant pula. Apa sudah jadi dengan tempat yang mula-mula disarankan? Alasan mudah, harga sekepala terlalu mahal. Ehtah berapa, saya pun kurang pasti.
Sebenarnya, memang banyak tempat-tempat berbuka puasa yang menawarkan harga yang memang tidak munasabah. Ada sesetengah restoran dan hotel, harga bufet berbuka mencecah ratusan ringgit sekepala. Haaa... jangan tak percaya, makan apa sehingga RM150 sekepala? Congak dan darab, kalau dalam lima, enam orang, tak mustahil boleh cecah RM1,000, hanya utntuk sekali makan. Orang berduit barangkali tak menjadi hal tetapi kalau orang macam kebanyakan kita, yang gaji bulanan pun ibarat tarik kain ke atasnampak pusat, tarik kain ke bawah, nampak dada, mahu tak terbeliak biji mata.
Agak-agaklah kalau ya pun, berapa banyak yang boleh kita pulun? Paling banyak pun sepinggan nasi, kuih satu dua dan segelas dua air. Lepas tu, perut dah rasa boyak dan kenyang semacam saja. Barangkali memikirkan poket dah koyak, kita pun terpaksa makan, makan dan makan lagi, memberi justifikasi harga yang dibayar tadi. Apabila perut dah buntat, nak solat pun rasa berat dan itulah yang mudarat kerana makan punya hal, solat tertinggal.
Saban tahun begitulah selalunya, ‘perang makan’ sempena Ramadan sudah menjadi satu kemestian. Malah sebulan sebelum terbit fajar bulan penuh mulia dan barakah ini, promosi Ramadan memang rancak semacam. Tak salah pun sebab ini semua soal bismes. Tentunya pihak hotel dan restoran memikirkan ini masa paling sesuai untuk mengajak orang ramai merasai betapa istimewa dan eksklusifnya tempat mereka. Ada yang menyajikan 100 menu berbuka, ada yang menjaja chef ternama. Tidak kurang juga menjadikan artis atau selebriti sebagai tarikan. Tidak mahu sesi berbuka jadi macam pesta hiburan, siapa selebriti itu juga perlu melalui tapisan. Selalunya rezeki berpihak kepada kalangan yang menyanyikan lagu ketuhanan dan kerohanian. Siapa kata pihak hotel tak sensitif kehendak pelanggan Islam?
Malah kalau dulu, orang merungut kerana sukar berbuka di luar kerana tidak ada tempat untuk menunaikan solat tetapi sekarang sudah tak jadi masalah. Pergilah hotel mana pun, tempat solat memang buka satu isu kecuali kalangan yang tak habis-habis cari alasan. Cuma barangkali kalau boleh diperbaiki agar tempat solat itu bukanlah di tingkat bawah tanah berdekatan tempat buang sampah.
Selaras dengan promsi itu pula, jemputan untuk menghadiri majlis berbuka datang mencurah-curah. Lazimnya ketika ini jugalah pelbagai aktiviti CSR dijalankan syarikat korporat, begitu juga stesen televisyen yang menggunakan platform berbuka puasa untuk rakaman program raya. Kalau hendak berjimat cermat, memang boleh sangat kerana setiap hari pasti ada saja organisasi yang samggup mengeluarkan belanja. Iyalah bulan Ramadan bukan sekadar untuk mengekang nafsu serakah dan masa untuk menjalinkan silaturrahim tetapi ia juga bulan untuk bersedekah. Yang untung orang bujang kerana pergi mana tak ada siapa yang larang. Kalangan berkeluarga lain sikit kerana kebajikan anak-anak di rumah perlu diambil kisah. Siapa pula mahu pastikan makan minum anak-anak?
Namun dengan pelbagai khidmat yang ditawarkan, ia juga bukan alasan untuk mereka mengenakan caj yang mahal. Pengguna macam kita sebenarnya ada pilihan. Tepuk dada, jangan tanya selera, tapi rabalah kocek masing-masing. Kalau rasa-rasanya terlalu mahal buat apa cari pasal? Tetapi hendak car harga makan yang berpatutan pun satu hal. Harga makanan di bazar Ramadan juga bukan murah. ramai yang merungut, harga ayam percik pun RM8 seketul dan ada juga kuih yang seringgit satu. Kuih jenis apa tu? kalau sedap satu hal kerana ada juga merungut rasa macam naik mual. Pengguna tidak berapa hendak marah jika sajian itu memang sedap dan berkualiti. Siapa tak sakit hati, jika kuih muih dan lauk pauk yang belum masuk waktu berbuka lagi sudah basi?
Makanan basi atau tidak mementingkan kebersihan boleh memudaratkan kesihatan dan ada ketika meragut nyawa. Macam baru-baru ini, malang menimpa sebuah keluarga di Meru, Klang. Konon ceritanya mereka sekeluarga barangkali mengalami keracunan makanan selepas makan juadah yang dibeli di bazar Ramadan. Tak sangka, otak-otak dan air batu campur (ABC) meragut nyawa Nurdini Mohamad Ali, 11 tahun. Tak dapat bayangkan perasaan ibu, bapa dan keluarganya kerana saat umat Islam membuat persiapan menjelang Aidilfitri, Nurdini sudah pergi menghadap Ilahi. Salam takziah untuk keluarganya dan al-fatihah untuk Allahyarhamha.
Pelanggan setia bazar Ramadan sepatutnya dibalut kebimbangan dan perlulah berwaspada. Maklumlah, mana lagi hendak ‘tapau’ makana sebagai hidangan berbuka sekeluarga jika tidak di bazar Ramadan. Ibu-ibu yang bekerja, ke dapur hanya apabila cuti atau sebagai persediaan untuk bersahur. Sekali lagi, orang yang banyak duit memang tak ada hal. Pilih saja hotel atau restoran mewah, habis cerita. Selesai makan, ‘sign cheque’ saja. Tetapi bagi kebanyakan kita terutama kalangan yang sibuk bekerja, bazar ramadan adalah tempatnya. Tetapi kalau kaualiti tidak diawasi, tak mustahil kisah seperti adik Dini berulang lagi.
Tak perlulah membazirkan wang untuk menjamu selera ke restoran dan hotel yang mahal-mahal. Lebih baik wang yang berlebihan itu dikongsikan dengan mereka yang lebih memerlukan. Bagi saya pula, sepanjang bulan ramadan ini, hanya sekali saya ke bazar Ramadan. Selalunya saya masak sendiri, tentulah yang simple-simple saja. Menu wajib tiap-tiap kali berbuka ialah bihun goreng, mee goreng atau koayteow goreng.
Memanglah seronok berbuka di restoran atau hotel mewah. Seronok juga berkunjung ke bazar Ramadan untuk menikmati pelbagai juadah, yang kebanyakannya hanya boleh didapati pada musim ini. Bagaimanapun, kita harus membuat pilihan bijak apabila berkunjung ke bazar ini. Jika mengikut nafsu, memang semua juadah yang dijual itu mahu dibeli, tetapi cara ini pasti akan meningkatkan pengambilan kalori kita, jauh berlebihan daripada keperluan harian kita. Sebelum berkunjung ke bazar Ramadan, fikir dulu mengenai apa yang dibeli. Pastikan pilihan dibuat berpandukan prinsip amalan pemakanan sihat. Kurangkan jenis makanan bergoreng, berminyak dan manis.
Pastikan juga kita mempunyai pilihan pelbagai jenis makanan daripada semua kumpulan untuk berbuka puasa dan bersahur. Perbanyakkan sayur-sayuran, buah-buahan, legum, kekacang dan bijirin penuh untuk hidangan berbuka puasa dan bersahur.
Apabila berbuka puasa, makan perlahan-lahan bagi meredakan kelaparan dan kehausan. Mulakan dengan makan kurma atau buah-buahan dan segelas air, biarkan ia hadam dan seelok-eloknya tunaikan sembahyang Maghrib sebelum menikmati hidangan utama. Pastikan juga minum banyak air bagi mengelakkan kekurangan air.
Sebenarnya, perut kita semasa bulan puasa ini bukanlah boleh
Tidak dinafikan, ada yang mengatakan berat badan mereka bertambah pada bulan puasa. Perkara ini mungkin berlaku sekiranya jumlah makanan yang dimakan ketika berbuka dan bersahur jauh melebihi daripada apa yang biasa dimakan ketika bukan bulan puasa.
Sebenarnya, berpuasa boleh menjadikan seseorang itu lebih peka. Selepas beberapa hari berpuasa, paras endorphin (bahan kimia pada otak yang membuatkan seseorang ceria) muncul dalam darah, lantas memperbaiki kesejahteraan mental kita secara keseluruhannya.
Ramadan juga masa untuk merenung mengenai kesengsaraan yang dialami oleh golongan kurang bernasib baik. Sesungguhnya, jika kita semua, sama ada umat Islam dan bukan Islam, sama-sama mengamal dan mematuhi prinsip ini, kita semua akan muncul sebagai masyarakat yang lebih sihat dan lebih bahagia.
Selamat meneruskan ibadah puasa...
Petikan : BHarian 12/08/2011
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...