HALIMAH Jongang, Fatimah Juling, dua gadis yang amat dikenali dan diminati walaupun kedua-dua tidak secantik wanita lain. Halimah, jongang manakala Fatimah pula, juling tetapi kedua-duanya menjadi kegilaan lelaki kerana mempunyai personaliti menarik.
Begitulah gambaran dipaparkan menerusi dua wanita ini dalam drama Melayu, biar jongang, mahu pun juling, mereka yang dilahirkan unik ini sebenarnya juga mempunyai daya tarikan.
Cuma sedikit kesal, mungkin sudah menjadi kebiasaan masyarakat gemar mempersendakan keadaan fizikal mereka yang berbeza daripada kebanyakan yang lain. Gurauan atau panggilan dipetik buat insan istimewa itu kadang kala keterlaluan dan melampaui batas hingga merobek hati empunya diri menjadikan mereka rasa terasing.
Kini, dengan adanya rawatan dan teknologi yang semakin berkembang, masalah jongang bukan lagi satu perkara merumitkan. Jongang boleh diperbaiki struktur mulutnya menggunakan kaedah pemasangan pendakap gigi dan tidak kurangnya untuk individu yang mengalami masalah penglihatan seperti juling.
Mengikut Islam, pembedahan boleh dilakukan terhadap masalah itu kerana kejulingan adalah penyakit, Oleh itu, ia harus dirawat. Dalam hal ini, jika kecacatan (juling) seseorang menimbulkan rasa rendah diri, ada keharusan untuk melakukan pembedahan mata.
Mungkin ramai tertanya-tanya, bagaimana perkara ini berlaku dan paling yang ingin diketahui, bagaimana visual mereka?
Pakar Perunding, University Malaya Specialist Centre (UMSC) Sdn Bhd, Profesor Madya Dr Choo May May menjelaskan mata juling terjadi apabila kedua belah mata tidak selari atau sejajar dan melihat ke arah yang berlainan. Satu mata bergerak dengan normal tetapi mata satu lagi bergerak sama ada ke dalam, ke luar, ke atas atau ke bawah. Mata juling boleh juga dikaitkan dengan keturunan.
Juling terbahagi kepada beberapa jenis. Secara saintifiknya ia dibahagikan kepada esotropia (mata ke dalam), exotropia (mata terkeluar) dan hypertropia (mata ke atas). Masalah ini boleh terjadi berdasarkan beberapa punca, termasuk sejak kelahiran dan penyakit kronik.
“Keadaan juling yang dialami mudah terlihat dan ia sebenarnya dapat dikesan sejak awal kelahiran lagi jika ibu bapa mengamati keadaan mata anak mereka. Sebelum mendapatkan rawatan selanjutnya, mereka perlu memahami jenis juling yang dialami dan melalui beberapa proses sebelum keputusan menjalani pembedahan diambil oleh pakar.
“Juling juga boleh berlaku akibat daripada trauma, keturunan, masalah kawalan otot, penglihatan kurang baik dan masalah penyakit kronik di kalangan kanak-kanak, termasuk kanser otak dan mata. Untuk masalah ini, rawatan tidak seratus peratus dapat mengembalikan kedudukan asal mata terutama apabila individu itu berusia 10 tahun ke atas,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Menjelas lanjut, Dr May May berkata, kira-kira dua peratus kanak-kanak mengalami masalah juling. Selain berlaku ketika kecil, kejulingan boleh terjadi akibat kerosakan pada saraf atau trauma dan menghidapi penyakit kronik, termasuk kanser otak.
Katanya, mata yang juling boleh menyebabkan kanak-kanak tidak dapat melihat dengan sempurna. Jika tidak dirawat dengan segera ia boleh membawa kepada masalah mata malas (lazy eye) yang lazim berlaku pada kanak-kanak dalam usia pertumbuhan mereka kerana satu matanya yang gagal bekerjasama membentuk imej.
Beliau yang juga pensyarah perubatan Jabatan Oftalmologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya memberitahu, untuk penglihatan yang normal, kedua-dua mata perlu selari. Dengan mata juling, setiap mata akan melihat imej yang berlainan. Kerana itu, otak kanak-kanak akan tidak menghiraukan imej dari mata yang lebih lemah untuk mengelakkan kekeliruan. Kaedah ini akan menyebabkan mata malas.
Jadi adalah penting untuk mengesan masalah mata juling pada usia yang muda kerana rawatan adalah lebih berkesan untuk kanak-kanak yang lebih muda.
“Jika kanak-kanak mengalami masalah lazy eyes, ini akan memudaratkan penglihatan mereka. Ia mengakibatkan penglihatan teropong (binocular) atau penglihatan tiga dimensi terganggu kerana sebelah mata tidak digunakan.
“Perkara ini amat membimbangkan kerana kedua-dua mata bertindak sebagai pasangan untuk membentuk visual apatah lagi diperlukan untuk menganggar kedalaman sesuatu objek.
“Bagaimanapun, masalah ini boleh dirawat dengan cara menggunakan kaca mata sehingga tempoh bersesuaian. Jika masalah itu berlanjutan, kaedah merawat menggunakan penutupan sebelah mata yang sihat bagi membolehkan mata yang malas untuk berkerja dan memberi fokus sehingga ia pulih,” jelasnya.
Dr May May memberitahu masalah juling juga boleh diperbaiki menerus pembedahan yang dicadangkan pakar, namun keputusan itu akan diambil selepas pesakit menjalani proses pemeriksaan teliti dan bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan berikutan mata adalah bahagian paling sensitif walaupun kebarangkalian kegagalan adalah sangat rendah.
“Pembedahan juling akan dilakukan selepas proses pembetulan kedudukan mata secara biasa tidak dapat membantu masalah itu. Bagaimanapun, pembedahan adalah sangat rumit dan berperingkat.
“Secara ringkas, pembedahan juling bertindak untuk memotong, mengalih atau menarik enam otot mata yang terbahagi kepada atas, bawah, tengah dan dalam bergantung kepada keadaan juling. Otot itu akan diikat dengan kuat untuk mengekalkan kedudukan yang seimbang dan mengembalikan visual normal,” katanya.
Bagaimanapun tegasnya, tidak semua masalah juling perlu dirawat secara pembedahan. Masalah itu dapat diatasi dengan penggunaan kaca mata, senaman atau taksiran, jika ia dikesan awal dan mengenal pasti puncanya.
Namun, apa yang paling penting, kata Dr May May, pesakit yang berhadapan dengan masalah juling tidak seharusnya berasa rendah diri dengan keadaan diri mereka kerana ia adalah kejadian yang tidak dapat dielakkan dan berlaku tanpa kesedaran.
Jika pesakit terasa segan untuk bertentangan mata dengan individu lain, cuba elak melakukannya atau guna kaca mata gelap untuk berselindung. Bagaimanapun, mereka tidak harus rasa malu dengan keadaan fizikal itu, kata Dr May May.
Sumber :
Capaian entry berkaitan :
* Juling boleh dibetulkan
* Dilema apabila rabun warna
“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”
“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”
Ahad, Ogos 14, 2011
Juling jejas tumbesaran
Susunan :
Bawang Goreng
pada
8/14/2011 08:34:00 PG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...