PAGE

Rabu, November 30, 2011

Maraton lelaki 100 tahun

FAUJA SINGH menamatkan larian Toronto Waterfront di Kanada sejauh 41.9 kilometer dalam masa lapan jam, 25 minit dan 16 saat.


FAUJA SINGH mengejutkan dunia dengan menyertai larian maraton ketika usianya mencecah 100 tahun. Pelari Britain itu menamatkan maraton Toronto Waterfront di Kanada sejauh 41.9 kilometer dalam masa lapan jam, 25 minit dan 16 saat.

Bagaimanakah pencapaian melangkaui usia itu dapat dilakukan? Padahal kebanyakan daripada kita akan bersyukur sekali gus terkejut kerana masih terus bernafas pada usia satu abad. Menyertai larian maraton pada usia sebegini ibarat nukilan novel sains fiksyen.

Namun, realitinya, Singh masih dapat mengatasi lima peserta lain yang lebih muda untuk menamatkan larian di tempat ke-3,850. Dia meletakkan kejayaannya kepada amalan tidak merokok atau minum arak, berfikiran positif dan makan kari halia. Namun, jika hanya semua itu yang diperlukan, jalan-jalan raya akan dipenuhi pelari berusia seabad manakala setiap rumah orang tua memiliki pasukan atletnya sendiri.

Pakar perubatan geriatrik menyatakan, rekod yang dicatatkan oleh Singh akan bertahan lama dan sukar untuk diatasi. Larian jarak jauh membebankan tubuh manusia dengan semakin tua seseorang, semakin sukar baginya melakukan aktiviti lasak. Jantung warga tua kurang efisien dalam menyalurkan kitaran oksigen ke seluruh badan. Darah beroksigen yang dipam oleh jantung individu berusia 60 tahun kurang 20% kandungan oksigen berbanding darah pemuda berusia 20 tahun.

Selain itu, kekuatan otot merosot dengan ketara apabila seseorang melepasi had usia 70 tahun pada kadar 30% untuk setiap satu dekad. Ligamen dan tendon pula semakin rapuh, menyebabkan warga emas lebih cenderung ditimpa kecederaan manakala paru-parunya menjadi keras dan kurang efisien.

Namun, jika keadaan kesihatan warga emas berkenaan baik dan dia kerap melakukan latihan fizikal, kesan penuaan ini dapat diperlahankan. Penjagaan kesihatan yang baik juga membolehkan semakin ramai warga emas terus berlari walaupun usia mereka memasuki lingkungan 80 atau 90 tahun. Bagi golongan ini, Singh ialah seorang wira.

"Apa yang cuba disampaikan oleh Singh ialah saya tidak akan membiarkan diri saya dikongkong oleh norma-norma kehidupan," kata pengarah program kebangsaan Pusat Latihan Galloway di Atlanta, Chris Twigg.

MELAKUKAN regangan penting sebelum memulakan larian.

Luar biasa

Tambah Twigg: "Masa memberikan kesan buat kita semua. Tetapi selagi kita berwaspada dengan cara latihan, kita sebenarnya boleh mencapai apa yang orang lain fikirkan mustahil. Jika mempunyai kesihatan yang baik, kita mampu menghabiskan larian selagi kita bergerak secara perlahan-lahan. Kuncinya adalah dengan mengurangkan tekanan ketika berjalan untuk mengelakkan keletihan kaki."

Twigg turut menasihatkan pelari agar mengurangkan hari latihan dalam seminggu untuk memberi ruang kepada badan berehat.

Majikan Twigg, bekas atlet sukan Olimpik, Jeff Galloway yang merupakan penulis buku Running Until You're 100 menjelaskan bahawa impiannya adalah untuk berlari sehingga dia mencapai usia 100 tahun dan boleh terus menulis sambungan buku itu.

Lelaki yang berusia 67 tahun itu telah melatih mereka yang berusia 70-an dan ramai yang berjaya menghabiskan larian maraton.

Namun, dia mengakui bahawa peluang untuk mencapai angka 100 tahun tanpa sebarang penyakit dan kekal sihat untuk menamatkan larian jauh adalah sesuatu yang sukar.

"Mesej yang disampaikan melalui kajian kami adalah 'gunakannya atau biarkan ia hilang'," kata Galloway.

Dr. Sharon Brangman yang merupakan Pengerusi Persatuan Geriatrik Amerika percaya bahawa Singh adalah antara warga emas luar biasa yang muncul pada ketika ini.

"Dia benar-benar seorang yang luar biasa. Maraton adalah antara punca utama yang memberikan tekanan kepada tubuh. Ketika usia 100 tahun kebanyakan manusia boleh mencapai jarak 10 meter sahaja. Mustahil untuk menamatkan maraton."

Tambah Brangman, maraton sebenarnya memberikan banyak tekanan kepada jantung walaupun kepada orang muda. Pelari muda juga boleh terlibat dengan kecederaan fizikal yang lain sebelum sistem endorfin mereka mula bekerja untuk larian.


Khasiat ubi kayu

ubi kayu


Ubi kayu mampu mengubati pendarahan

Ubi kayu atau nama botaninya manihot ezculenta crantz merupakan tumbuhan tropika dan subtropika yang memang banyak terdapat di hampir semua kawasan tropika serata dunia kerana ia merupakan karbohidrat yang berkos rendah dan paling mudah untuk diperolehi. Ðaunnya yang muda (pucuk) amat popular sebagai sayuran.

ubi kayu (manihot ezculenta crantz)

Pokok ubi kayu berasal dari Brazil, Amerika Selatan. Tumbuhan ini seterusnya tersebar ke Asia pada awal abad ke 17 dibawa oleh pedagang Sepanyol dari Mexico ke Filipina. Ubi kayu termasuk dalam keluarga euphorbiaceae. Ðikenali juga sebagai ubi benggala, ubi belanda, cassava (Inggeris), kappa (India), maniok (Sri Lanka), singkong (Indonesia), kamoteng kahoy atau balanghoy (Filipina), mushu (China) dan củ sắn atau khoai mì (Vietnam) merupakan tumbuhan dari jenis pokok renek.

Penanaman

Ubi kayu biasanya ditanam dengan keratan batang yang dicucuk ke dalam tanah. Ubi kayu senang ditanam dan akan menghasilkan akar pada bahagian batang yang dikambus dalam masa beberapa hari sahaja selepas ditanam. Hujung keratan yang terbenam dalam tanah akan mula menghasilkan banyak akar antara dua hingga empat bulan selepas ditanam dan akar ini pula akan menghasilkan ubi. Ubi kayu biasanya dituai antara 9 hingga 12 bulan.

pokok ubi kayu

Batangnya pula berkayu sama ada bercabang atau tidak, kulit batang berwarna coklat atau kelabu serta kasar kerana banyak parut tangkai daun. Kulit batang ubi kayu mengandungi tanin, enzim, peroksidae, glikosida dan kalsium oksalat.

Akar pokok ubi kayu mengembung kerana menyimpan makanan. Ubinya pula berbentuk tirus, silinder, bulat, kecil, sederhana atau sangat besar. Isinya pula berwarna putih. Kuning atau sedikit merah dan menjadi keras apabila tua. Ubi ini terjadi dari bekas pangkal tangkai daun. Ubi kayu mempunyai kandungan kalori, serat diet, manganese, potassium, vitamin B6, vitamin C, protein, lemak, kalsium, fosforus dan zat besi. Memetik mengenai serat diet, ianya berfungsi untuk megurangkan risiko penyakit kardiovaskular, kanser usus dan juga membantu mengawal diabetis. Patutlah ubi kayu satu masa dahulu menjadi pengganti nasi kerana ianya penuh dengan serat yang memberi rasa kenyang pada tubuh. Teringat juga masa zaman sekolah rendah dulu, buat gam dari tepung ubi kerana ia mempunyai kandungan kanji. Walau bagaimanapun, akar dan ubinya mengandungi banyak glukosid sianogenik sehingga tahap berbahaya dan di dalam ubi sahaja bervariasi antara sepuluh hingga 490 mg/kg.

Ðaun ubi daripada jenis ringkas dan susunannya berpilin. Tangkai daun panjang, manakala lai daun jenis tidak terbahagi dan banyak jejari yang hampir sehingga ke tengah daun. Tangkai daun berwarna kuning, hijau atau merah. Ðaunnya pula banyak mengandungi protein, banyak karotena dan vitamin C.

Kegunaan sebagai makanan

Ubi kayu sering menjadi makanan pilihan apabila berlaku masalah mendapatkan sumber makanan biasa, seperti ketika musim tengkujuh atau malapetaka awam, atau semasa peperangan seperti semasa Perang Dunia Kedua.

ubi kayu yang dibakar


ubi kayu rebus sedap dimakan bersama kelapa parut

Pada masa biasa, ubi kayu hanya dimakan sekali-sekala atau dijadikan sebagai kuih. Kulit ubi kayu mempunyai asid hydrocyanic (asid hidroklorik dan potasium sianida atau sodium sianida (hydrocyanic). Oleh itu ubi kayu tidak boleh dimakan mentah, tetapi perlu dibuang kulit dan dimasak terlebih dahulu.

bingka ubi / bengkang


tapai ubi

Terdapat pelbagai kegunaan pokok ubi kayu. Ubinya boleh dipanggang, digoreng, dibakar, direbus, diparut sebelum dimasak untuk dijadikan kuih atau dimakan bersama kelapa parut muda, ikan masin atau ikan bakar dan sebagainya. Selain daripada itu, juga boleh dibuat kuih, antaranya kuih puli ubi kayu, kuih ubi kayu, tapai ubi, kerepek ubi dan yang seumpama dengannya. Pucuk ubi dan daun muda boleh dimakan sebagai sayur, dicelur buat ulam dan sebagainya.

Ubi kayu ditanam secara komersial untuk menghasilkan tepung ubi. Tepung ubi kayu juga digunakan dalam industri makanan setelah ia diproses menjadi monosodium glutamat (MSG) terutama di negara Timur Jauh dan Amerika Latin. Untuk menghasilkan satu tan MSG, ia memerlukan lebih kurang 2.4 tan tepung ubi kayu atau tepung kanji.

Khasiat perubatan

Selain dijadikan makanan, pokok ubi kayu juga dikatakan berkhasiat digunakan sebagai ubat. Antara penyakit yang dikatakan mampu diubati dengan pokok ubi kayu adalah reumatik, demam, sakit kepala, diarrea, kecacingan, kabur mata, nafsu makan, luka bernanah dan luka akibat kena panas.

Mengubati reumatik

Untuk mengubati reumatik, ambil lima lembar daun ubi kayu dan kemudian campur dengan satu sudu kapur. Tumbuk halus dan kemudian dijadikan sebagai bedak pada bahagian yang sakit. Selain itu, boleh juga menggunakan sepotong batang ubi kayu dan kemudiannya rebus dengan lima gelas air sehingga mendidih sehingga tinggal empat gelas. Saring air dan kemudian minum sebanyak dua kali sehari pada waktu pagi dan malam.

Mengubati demam

Untuk mengubati demam pula, caranya adalah dengan sepotong batang ubi kayu dan kemudiannya direbus bersama tiga gelas air hingga mendidih. Saring airnya dan minum sebanyak dua kali sehari pada waktu pagi dan malam. Air rebusan daun segar pula dikatakan boleh digunakan sebagai air mandian untuk merawat demam influenza.

Bagi mereka yang mengalami sakit kepala pula, mereka boleh menggunakan daun ubi kayu untuk mengurangkan sakit. Caranya adalah dengan menumbuk halus daun tersebut dan kemudiannya dijadikan sebagai penampal di kepala.

Hilangkan kecacingan dan cirit birit

Untuk mengubati cirit birit pula, daun ubi kayu juga dikatakan berguna. Caranya adalah dengan merebus tujuh lembar daun ubi kayu bersama dengan empat gelas air sehingga mendidih dan tinggal dua gelas. Saring air ini dan minum dua kali sehari pada waktu pagi dan malam.

Kecacingan juga dikatakan boleh diubati dengan menggunakan kulit batang ubi kayu. Caranya adalah dengan merebus kulit batang ubi kayu tersebut dengan 3 gelas air sehingga mendidih dan tinggal segelas. Saring air ini dan minum sebelum tidur pada waktu malam.

Luka yang bernanah boleh diubati dengan menggunakan batang daun ubi kayu yang masih muda. Tumbuk halus dan tampalkan pada luka tersebut. Walaupun ubi kayu dikatakan banyak kegunaannya, disebabkan bahagian ubinya mengandungi bahan beracun (glukosid sianogenik – bahan yang membebaskan sianid) yang perlu dibuang, maka berhati-hatilah memakan atau menggunakannya. Toksin dalam pucuk dan ubi dapat dibuang dengan cara memarut atau memotong ubi kecil-kecil atau meramas daun ubi hingga hancur.

Kegunaan lain

Pokok ubi kayu juga boleh digunakan bagi mengatasi masalah lalang, di mana kawasan yang ditanam ubi kayu akan menutup permukaan tanah dari cahaya matahari, dengan itu menghalang lalang daripada tumbuh kembali.

Walaupun terdapat pelbagai kegunaan pokok ubi kayu, namun perlulah mendapatkan nasihat pengamal perubatan terlebih dahulu sebelum menggunakannya, bagi mengelakkan kemudaratan di kemudian hari kelak.




Sumber : Misteri alam, Anneahira, Ms.Wiki ~ Ubi kayu dan En.Wiki ~ Cassava.

Capaian entry berkaitan :
Khasiat kunyit
Pucuk betik masak lemak tauchu
Ubi bit aktifkan sel darah merah
Khasiat betik
Beri Acai (Acai Berry)
Buah-buahan dan khasiatnya
Khasiat mustard
Bunga Kantan
Edamame - kacang soya hijau baik untuk jantung

Isnin, November 28, 2011

Gurauan Rasulullah SAW


Assalamualaikum warahmatullah,

Laman-Seri masih dalam mood Awal Muharam dan kali ini dikongsikan gurauan cara Rasulullah SAW. Rasulullah merupakan contoh teladan terbaik untuk dicontohi, bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud, “Ðan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.” (Surah al-Qalam 68:4)

Penggunaan partikel ‘ala dalam ayat tersebut merujuk kepada kesempurnaan, yakni perkataan itu merujuk kepada sesuatu yang terletak di atas kemuncaknya. Ðemikian menurut kesimpulan pentafsir terkemuka Mesir, Syeikh Muhammad Mutawalliy al-Sya’rawiy.

Satu aspek yang amat jarang dibincangkan berhubung dengan akhlak Rasulullah ialah, adakah Nabi SAW juga pernah bergurau? Jika ya, bagaimanakah gaya gurauan Baginda? Adakah membawa ke peringkat para sahabat ketawa?

Ðewasa ini kita banyak melihat lawak jenaka di kaca televisyen yang banyak mempersendakan, memperolok-olok, memperbodoh-bodohkan orang lain dan tidak kurang juga lawak jenaka yang memperlihatkan kejelekan diri pelawak itu sendiri dengan meniru gaya orang lain mahupun ‘menjadikan’ diri jantina yang berlawanan.

Ini jelas berlawanan dengan gurauan yang pernah dilakukan Rasulullah SAW tidak ada dusta, tipu muslihat dan cercaan kepada orang lain. Banyak gurau dan berlebih-lebihan terhadapnya, itu boleh mengundang banyak tertawa, yang akhirnya berakibat kepada matinya hati, sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis, “Janganlah kamu memperbanyak tertawa, kerana banyak tertawa boleh mematikan hati.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Menerusi kajian terhadap hadis dan sirah, kita pasti bahawa sebagai manusia biasa, Nabi SAW memang seorang yang suka bergurau senda, sama ada dengan para isteri dan sahabat, bagi menarik perhatian mereka selain berasa senang hati untuk mendengar nasihat. Namun gurauan Baginda tidak pernah terkeluar daripada rangka kebenaran.

Berikut merupakan sebahagian bukti yang menunjukkan gurauan Nabi SAW tidak menjatuhkan Baginda dari daerah kemuliaan.

❀ Menaiki anak unta

Anas bin Malik r.a. menukil, seorang telah datang kepada Nabi SAW meminta Baginda SAW untuk membantunya menaiki atas seekor unta. Rasulullah lantas berkata kepadanya, “Baiklah, aku akan membantumu menaiki anak unta ini!” Beliau berasa hairan lantas bertanya, “Ya Rasulullah! Mana mungkin untukku menaiki anak unta?” Baginda SAW bersabda kepada Anas yang terpinga-pinga itu, “Apakah mungkin bagi unta ini dilahirkan dalam keadaan ia sudah pun dewasa?” (Hadis riwayat at-Tirmidzi, Abu Ðaud dan yang lainnya)

Peristiwa ini sekaligus menjadi teka-teki agar sahabat ini berfikir bahawa setiap makhluk merupakan ‘anak’ kepada ibu yang melahirkannya. Namun maksud sebenarnya ialah Baginda tidak mampu menunaikan permintaan itu.

❀ Anak burung pipit

Ðari Anas r.a., yang lainnya, dia berkata, “Tidaklah Rasulullah SAW membaur kepada kami hingga baginda berkata kepada adikku, “Wahai Abu Umair! Apa yang telah dilakukan Nughair (burung pipit)?”” (Hadis riwayat Muslim)

Abu Yahya berkata, “Pemahaman hadis ini adalah bahwasanya Nabi SAW pernah bergurau. Ðalam hadis ini, baginda SAW memberi julukan (kuniyah) kepada anak kecil, dan berkata kepadanya, “Wahai Abu Umair.” Di dalamnya Baginda juga tidak mempersoalkan untuk memberi anak kecil burung agar dia bermain dengannya. Sesungguhnya Nabi SAW berkata kepadanya, “Wahai Abu Umair! Apa yang telah dilakukan burung pipit?” Kerana anak itu punya burung pipit yang diajaknya bermain, lalu ternyata burung itu mati, sehingga dia pun bersedih. Lalu Nabi bergurau dengannya dan berkata, “Wahai Abu Umair, apa yang telah dilakukan burung pipit?””

❀ Siapa lebih kuat makan?

Satu ketika, Rasulullah SAW dan para sahabat sedang makan buah kurma, biji-bijinya mereka sisihkan di tempatnya masing-masing. Beberapa saat kemudian, Ali menyedari bahawa dia memakan terlalu banyak kurma.

Biji-biji kurma sisa mereka berkumpul lebih banyak di sisi Ali dibandingkan di sisi Rasulullah SAW. Maka Ali pun secara diam-diam memindahkan biji-biji kurma tersebut ke sisi Rasulullah.

Kemudian Ali r.a. dengan tersipu-sipu mengatakan, “Wahai Nabi, engkau memakan kurma lebih banyak daripada aku. Lihatlah biji-biji kurma yang berkumpul di tempatmu.”

Nabi pun tersenyum dan menjawab, “Ali, kamulah yang memakan lebih banyak kurma. Aku memakan kurma dan masih menyisakan biji-bijinya. Sedangkan engkau, memakan kurma berikut biji-bijinya.” (Hadis riwayat Bukhari)

❀ “Wahai yang memiliki dua telinga”

Anas r.a. yang pernah berkhidmat dengan Nabi SAW selama lebih 10 tahun, meriwayatkan bahawa Nabi sesekali memanggilnya dengan gelaran “Wahai yang memiliki dua telinga”. Panggilan yang berupa gurauan ini nyata merupakan satu fakta yang benar. Jelas, gelaran itu adalah satu panggilan yang disenangi oleh Anas kerana memang setiap manusia memiliki sepasang cuping telinga. Tetapi kenyataan itu sebenarnya untuk menunjukkan bahawa Anas amat peka dengan apa yang disabdakan Nabi.

❀ Si Penyelamat

Suatu hari Abu Bakar al-Siddiq r.a. berasa marah kepada puterinya Aisyah r.ha. dan peristiwa itu menyebabkan beliau hampir menamparnya.

Namun Rasulullah telah menjadi penyelamat, dengan memasukkan Aisyah r.ha. ke dalam kamarnya. Setelah Abu Bakar pergi, Nabi SAW lantas berkata kepada isterinya, Aisyah r.ha. dengan nada bisikan : “Bagaimana? Hebat bukan caraku menyelamatkanmu daripada orang itu (Abu Bakar)?”

❀ Lelaki Badwi bernama Zahir

Ðalam sebuah riwayat yang lain, seorang lelaki Badwi bernama Zahir r.a. sering memberikan Nabi SAW hadiah dari kampungnya. Akhlaknya yang istiqamah dalam memberikan hadiah ini menyebabkan Nabi SAW amat menyayanginya.

Suatu hari ketika berada di pasar Madinah, Rasulullah SAW memeluk Zahir r.a. dari arah belakang menyebabkannya terkejut lantas menjerit, “Lepaskan saya, lepaskan saya!”

Lalu Rasulullah SAW bergurau dengan para sahabat yang berada di pasar ketika itu dengan sabdanya yang bermaksud, “Siapa yang ingin membeli hamba?”

Apabila menyedari bahawa Nabi SAW yang memeluknya, dia lantas bertanya, “Wahai Nabi, adakah engkau ingin menjualku? Saya bukanlah seorang yang kacak juga bukanlah seorang yang kaya.”

Mendengar jawapan yang amat merendah diri ini, Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Tetapi engkau di sisi Allah SWT bukanlah suatu yang tidak laku! Ði sisi-Nya, engkau teramat mahal!” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

❀ Khurafat

Suatu malam Rasulullah SAW berbual dengan para isterinya. Mereka asyik berbincang hingga salah seorang daripada mereka berkata, “Itu adalah cerita khurafat.”

Rasulullah SAW memotong dengan bertanya, “Tahukah kamu apakah itu khurafat? Khurafat adalah seorang lelaki yang berasal dari Bani ‘Uzrah yang pernah ditawan oleh segolongan jin pada zaman jahiliah. Setelah sekian lama menjadi tawanan, dia akhirnya dibebaskan. Lelaki yang bernama Khurafat ini telah menceritakan pengalaman anehnya sepanjang kehidupannya di alam jin. Walhasil, orang yang sukar mempercayai ceritanya itu menggelar sebarang maklumat yang pelik dengan nama cerita atau khabar yang khurafat.”

Ðemikianlah seperti yang dijelaskan oleh Imam at-Tirmidzi dalam kitabnya al-Syamail al-Muhammadiyyah.

❀ Ði matanya terdapat warna putih...?

Ðalam sebuah hadis yang dikemukakan oleh al-Nawawi dalam al-Azkar, seorang wanita sedang mencari suaminya. Nabi yang melihatnya lantas bertanya, “Apakah kamu sedang mencari lelaki yang di matanya terdapat warna putih?”

Wanita itu terkejut lantas menangis dengan sangkaan suaminya sudah menjadi buta.

Rasulullah SAW akhirnya menjelaskan bahawa setiap mata pasti mempunyai bahagian yang berwarna putih. Gurauan Baginda itu adalah menunjukkan suaminya itu masih hidup.

❀ Orang tua tidak masuk syurga

Turut tersenarai dalam anekdot gurau tawa Nabi SAW dengan para sahabat adalah kisah wanita tua yang datang menemui Nabi SAW untuk memohon doa Baginda supaya boleh memasuki syurga. Jawapan Baginda SAW, “Wahai nenek! Syurga tidak akan dimasuki wanita sepertimu!”

Jawapan Nabi itu telah mengakibatkan wanita lanjut usia menangis tersedu-sedu. Setelah itu barulah Nabi SAW menjelaskan kepada para sahabatnya, bahawa dia tidak akan memasuki syurga dalam keadaan tua seperti itu. Kemudian Nabi SAW bersabda, "Khabarkan kepadanya bahwasanya dia takkan masuk surga, dalam keadaan lanjut usia. Sesungguhnya Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya Kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari) dengan langsung, dan Kami jadikan mereka gadis-gadis perawan, penuh cinta lagi sebaya umurnya.” (Al-Waqi'ah: 35-37).

Ucapan Nabi SAW itu memberi maksud bahawa setiap manusia yang memasuki syurga berada pada peringkat usia mudanya sebaya, dalam keadaan kemuncak kesihatan dan keupayaan diri.

❀ Ðilarang gurauan yang menzalimi

Berlainan daripada teladan gurau senda Nabi SAW, seperti yang diriwayatkan dalam kitab Majma’ al-Zawa’id daripada ‘Amir bin Rabi’ah bahawa pernah terjadi seorang sahabat mengambil kasut milik seseorang lalu menyembunyikannya. Apabila perkara itu dikhabarkan kepada Nabi SAW, Baginda telah bersabda yang bermaksud, “Janganlah menakut-nakutkan seseorang Muslim, kerana perbuatan itu adalah satu kezaliman.”

Apabila dibandingkan antara teknik gurauan Nabi dengan kisah yang terakhir ini, jelaslah pendekatan baginda dalam senda gurau sentiasa berpaksikan kepada kebenaran serta jauh daripada pembohongan. Tindakan sahabat yang menyembunyikan kasut temannya dengan niat untuk bergurau itu boleh mengkibatkan rasa panik dan cemas dalam diri ‘si mangsa’. Inilah yang dilarang.

Yang lebih mengaibkan, sebahagian daripada kita suka membawa cerita lucah atau separuh lucah dalam perkataan semata-mata untuk menimbulkan gelak ketawa orang lain. Rasulullah SAW bersabda bermaksud; “Malu adalah cabang daripada iman.”

Ðalam sabda lain, Rasulullah SAW menyatakan; “Malu dan iman seganding. Apabila terangkat salah satu daripadanya maka terangkatlah kedua-duanya.” Ðapat difahami daripada hadis ini, jika seseorang itu hilang perasaan malu daripada dirinya maka hilang jugalah imannya.

Memperbanyak dan menyibukkan diri dengan gurauan boleh membuatkan diri menjadi lalai dari ketaatan dan memikirkan keadaan umat serta kesusahan-kesusahan yang menimpanya. Ketahuilah, bahwasanya Rasulullah sebagaimana disebutkan Jabir r.a., adalah “figura yang banyak diam dan sedikit tertawa.”

Renung-renungkanlah....




Sumber : Ustaz Zahazan Mohamed di Solusi Isu # 19 dengan sedikit tambahan

Ahad, November 27, 2011

Horas Mandailing!



Assalamualaikum warahmatullah,

Bagi yang pernah membaca entry Mandaling dan Horas mandailing! Saya marga (clan) Nasution! dan jika anda juga berketurunan Mandailing, bolehlah menyertai Persatuan Halak Mandailing Malaysia (Mandailing Malaysia). Sebenarnya saya baru saja bertemu dengan persatuan ini di laman sesawang rasminya di sini ⇨ MandailingMalaysia. Juga ada di Facebook ⇨ fB MandailingMalaysia ...

Saya pernah menghubungi Wartawan BH meminta beliau ketengahkan etnik Mandailing namun difahamkan, beliau pernah menghubungi Persatuan Mandaling Malaysia atas tujuan untuk membuat liputan bagi kolum Misteri Etnik. Walau bagaimanapun, saya diberitahu Pengerusi persatuan tersebut tidak berminat untuk bekerjasama kerana padanya tiada apa-apa yang menarik untuk diketengahkan. Saya sudahpun meminta agar wartawan tersebut menghubungi Persatuan Halak Mandaling Malaysia, kerana mungkin etnik Mandailing berpeluang diketengahkan, namun dimaklumkan “Sebenarnya selepas usaha tidak disokong, kami dah buat keputusan untuk tidak lagi cari etnik ini...”

Sedihnya, saya rasa begitu sedih sekali. Hanya kerana seorang Mandailing tidak mahu memberi kerjasama, etnik ini telah ‘diboikot’ dan berkemungkinan besar tidak akan disenaraikan dalam buku Misteri Etnik yang akan dilancarkan tahun depan.

Banyak yang boleh diketengahkan untuk etnik Mandailing ini, antaranya seperti dalam entry Semangat Mandailing Sekental Gordang Sembilan. Juga, Mandaling di Malaysia mempunyai budaya dan adat yang hampir sama dengan etnik Rawa (Rao). Tentu banyak lagi yang dapat diketengahkan, dan saya sangat-sangat berharap agar wartawan tersebut bertukar fikiran.

Dalam entry kali ini, saya sertakan berita yang dipetik dari UM untuk dikongsikan bersama rakan-rakan Mandailing yang pernah menjenguk belog ini. Jika ada kesempatan, luangkanlah masa anda dan sertailah Persatuan Halak Mandailing Malaysia.

Anak-anak Mandailing diseru sertai persatuan ~ UM 22/08/2011

Ramli Abdul Karim Hasibuan (duduk dua dari kiri) dan Ahmad Tamimi Siregar (duduk tengah) bersama sebahagian Ahli Majlis Pimpinan Mandailing Malaysia di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Persatuan Halak Mandailing Malaysia (Mandailing Malaysia) mempelawa rakyat berketurunan suku kaum Mandailing di seluruh negara agar menjadi ahli persatuan tersebut yang ditubuhkan baru-baru ini.

Setiausahanya, Abu Bakar Abdul Fatah Harahap memberitahu, persatuan itu diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 10 Ogos lalu dan keanggotaannya terbuka kepada anak-anak Mandailing berusia 18 tahun ke atas serta beragama Islam.

Menurutnya, persatuan itu ditubuhkan bertujuan mengumpulkan seramai mungkin anak-anak Mandailing yang kini majoritinya terdapat di Negeri Sembilan, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur selain sebahagian lagi di Kedah, Pahang, Johor dan Kelantan.

“Mandailing Malaysia bermatlamat mengeratkan hubungan silaturahim sesama ahli di samping melaksanakan program-program berbentuk keagamaan, pendidikan, kesenian, kebudayaan dan sosial di kalangan anak-anak Mandailing di negara ini,” katanya.

Abu Bakar memberitahu, Mandailing Malaysia kini diterajui Presiden, Ramli Abdul Karim Hasibuan yang juga Pengarang Berita Khas Utusan Malaysia manakala seorang ahli perniagaan, Rosli Adnan Nasution sebagai timbalannya. Menurut beliau, Pengerusi Persatuan Saroha Mandailing Ayer Tawar, Perak, Suhainul Balqiah Sohimi Nasution dan Ketua Kampung Kerangai, Jelebu, Negeri Sembilan, Mahalil Abas Nasution masing-masing sebagai Naib Presiden 1 dan 2, manakala seorang guru besar, Abdul Barri Razak Nasution sebagai Bendahari.

“Selain 24 ahli jawatankuasa lain mewakili hampir semua perkampungan Mandailing di negara ini, Majlis Pimpinan Mandailing Malaysia melantik pelakon terkenal, Datuk Ahmad Tamimi Siregar dan ahli perniagaan, Datuk Baharom Nunjadah Nasution sebagai penasihat,” katanya.

Abu Bakar memberitahu, Perhimpunan Anak-Anak Mandailing Se-Malaysia akan diadakan serentak dengan Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1432H Mandailing Malaysia di Kampung Kerangai, Jelebu bagi zon selatan pada 17 September ini manakala bagi zon utara di Ayer Tawar, Perak pada 24 September ini.

“Anak-anak Mandailing di Malaysia sama ada yang sudah menjadi ahli persatuan atau belum dijemput hadir ke kedua-dua program tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, menurut Abu Bakar, baru-baru ini persatuan telah meraikan dan menyampaikan saguhati Aidilfitri kepada anak-anak yatim dalam program sulungnya iaitu Majlis Berbuka Puasa Ramadan 1432H Mandailing Malaysia di Kelab Golf Negara Subang, Kelana Jaya dekat Petaling Jaya.

Pada majlis itu, Ramli disarungkan ‘ulos’ (selimut Mandailing) oleh Ahmad Tamimi dalam upacara menaikkan ‘tondi’ (semangat) dan juga simbolik rasminya penubuhan Mandailing Malaysia.

Sesiapa yang ingin menjadi ahli Mandailing Malaysia boleh menghubungi Abu Bakar 019-6684505 atau Ramli (019-6752206), Rosli (012-2325103), Suhainul Balqiah (012-5132169) dan Mahalil (019-6011884).

Semoga kita mendapat manfaat daripada persatuan ini ~ “Padomu Na Marotak, Palagut Na Marserak” (Mempertemukan Yang Berpecah dan Menghimpunkan Yang Terpisah)!




Capaian entry berkaitan :

Mandaling
Horas mandailing! Saya marga (clan) Nasution!
Semangat Mandailing Sekental Gordang Sembilan
Gordang Sambilan
Hargai hari penubuhan Malaysia

Semangat Mandailing Sekental Gordang Sembilan

Gordang Sambilan diperdengarkan pada sambutan perayaan Merdeka 2005

SEMANGAT MANDAILING SEKENTAL GORDANG SEMBILAN

IRAMA (Gordang Sembilan, salah sau kesenian masyarakat Mandailing dari Tapanuli Selatan, Sumatera, yang memenuhi setiap ruang auditorium Memorial Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, menyimpan pelbagai rahsia tersirat suku kaum ini.

Paluan sembilan gendang panjang, sebuah sesayak, gong (dua), canang (1) dan cak lempong (3) oleh guru pelatih Institut Bahasa Melayu Malaysia (IBMM) perempuan dan lelaki di bawah pemimpinan Mohd. Sharifudin Yusof, yang begitu bersemangat, seolah-olah mewakili kekentalan hubungan sesama orang Mandailing.

Tidak sia-sia, IBMM, menjadikan Gordang Sembilan sebagai salah satu program angkatnya kerana nyata persembahan guru pelatih IBMM itu memikat tetamu.

Daya tarikan tersendiri, Godang Sembilan ini sehingga berjaya memikat seorang kanak-kanak berusia sekitar dua tahun untuk sama tenggelam dalam irama yang penuh bertenaga manakala khalayak dewasa pula tidak kedekut dengan tepukan.

Persembahan pembuka majlis Pengkisahan Sejarah Masyarakat Mandailing di Malaysia, Sabtu lalu, membuka peluang kepada kalangan generasi muda suku kaum berkenaan untuk mengenali khazanah warisan budaya mereka.

Lalu tidak pelik apabila Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan memilih Gordang Sembilan sebagai sebahagian daripada kesenian rasminya kerana ia turut membawa lambang perpaduan yang menjadi salah satu ciri khas masyarakat Mandailing. Salah seorang ahli panel majlis Pengkisahan sejarah Masyarakat Mandailing di Malaysia, Ashari Mohd Yakub, berkata hubungan sesama orang Mandailing begitu rapat biar di mana mereka berada.

"Orang Mandailing amat mementingkan hubungan sesama mereka dan tidak seperti orang Melayu yang akan bersifat seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing," katanya.

Masyarakat Mandailing dikatakan bertumpu ke Tanah Melayu kerana mereka adalah suku kaum yang suka merantau sama ada untuk mencari ilmu atau rezeki dan lazimnya mereka berpindah secara berkelompok berserta dengan pemimpinnya sekali.

Ramai juga orang Mandailing yang berpindah ke Tanah Melayu selepas tamat Perang Paderi (1816-1833M) kerana enggan berada di bawah telunjuk Belanda yang mahukan mereka mengusahakan ladang kopi.

"Mereka enggan menjual hasil tuaian kopi pada harga yang ditetapkan Belanda kerana dianggap merugikan dan kemelut itu memaksa sebahagian daripada masyarakat mandailing berpindah ke Klang," katanya.

Masyarakat Mandailing meskipun berasal daripada keluarga tani tetapi apabila berpindah ke Tanah Melayu turut muncul sebagai peniaga berjaya selain meneroka perlombongan bijih dan emas.

Ashari berkata, maklumat lisan yang beliau perolehi turut menunjukkan bahawa orang mandailing lebih dahulu menguasai bidang perlombongan bijih dan emas dan bukannya Yap Ah Loy.

"Yap Ah Loy dikatakan merompak bijih milik orang Mandailing yang menjalankan kegiatan perlombongan di Perak ketika mereka membawa turun hasil dagangan ke Kuala Lumpur untuk dijual," katanya.

Seorang lagi ahli panel, Ahmad Mahidin Ulong Shaban, berkata Raja Alang dan Raja Asal adalah di antara pemimpin masyarakat Mandailing yang menguasai perlombongan bijih dan emas. Taukeh bijih dan emas itu dikatakan mengambil Yap Ah Loy bekerja dengan mereka bai memudahkan bekalan buruh pada harga yang murah diperolehi dari Tiongkok. Ahmad Mahidin juga mendakwa masyarakat Mandailing di awal perpindahan mereka di Tanah Melayu, tidak berani mendedahkan jati diri suku kaumnya bagi menjamin peluang pendidikan di sekolah yang sama rata kepada anak masing-masing.

"Jika kami mengaku sebagai marga Mandailing, kami akan dilayan sebagai warga kelas kedua oleh penduduk tempatan dan tidak berpeluang untuk menghantar anak ke sekolah," ujarnya.

Seorang lagi ahli panel, Tengku Salaturrahim Tengku Alias dari Kampung Kerangai, Negeri Sembilan, pula berkata hubungan suku kaum Mandailing yang begitu erat menyebabkan 'orang luar' tidak berani meminang anak-anak mereka.

Keadaan itu dikatakan berlaku diperingkat awal masyarakat Mandailing bermukim di kampung terbabit dan mereka sendiri pula tidak akan meminang orang luar untuk diterima sebagai ahli keluarga mereka.

"Bagaimanapun fenomena itu sudah berubah sekaran dan penduduk Mandailing di Kampung Kerangai lebih kerap menerima menantu dari kalangan orang luar dan juga sebaliknya," ujarnya.

Sungguhpun demikian, masyarakat Mandailing di kampung Kerangai sehingga hari ini masih mempertahan bahawa suku-kaum mereka dan menerima pendedahan bahasanya sejak dari tangisan pertama lagi.

Kanak-kanak Mandailing di kampung terbabit hanya mula berkomunikasi secara meluas dalam bahasa Melayu baku apabila mereka memulakan alam persekolahan dan peringkat awal akan dibantu oleh adik-beradik yang lebih dewasa.

Sementara itu, Ketua Pengarah Arkib negara, Datuk Habibah Zon, yang juba berasal dari marga Mandailing berkata sejarah suku kaum penting sebagai sumber pengetahuan, kefahaman dan mengingatkan asal usul sesuatu marga itu.

"Arkib Negara bersedia menerima mana-mana persatuan yang mahu menyumbang rekod mempunyai nilai sejarah tanpa mengira mereka dari suku kaum mana sekalipun," katanya ketika merasmikan pengkisahan berkenaan.

Majlis Pengkisahan Sejarah Masyarakat Mandailing di Malaysia anjuran arkib Negara dengan kerjasama Ikatan kebajikan Mandailing Malaysia (Iman Malaysia) itu bertujuan merekodkan maklumat tidak bertulis mengenai marga berkenaan.

Habibah yakin bahawa sejarah suku kaum boleh membantu sesuatu marga itu untuk membina kekuatan diri dan rasa bangga kepada apa yang mereka warisi sekalipun ketika berada dalam era siber.

"Rekod ini membolehkan berlangsungnya kesinambungan budaya dan bersifat kekal selain dapat membantu orang Melayu membina kekuatan jati diri sebagaimana yang dimanfaatkan bangsa lain.

Usaha memelihara warisan budaya bangsa perlu diperhebat memandangkan semakin ramai generasi muda yang tidak lagi mengenalinya, apalagi ketika budaya dari Barat begitu hebat melanda.

"Arkib negara kini sudah mempunyak koleksi Raja Bilah, salah seorang pemimpin masyarakat Mandailing yang berhijrah ke Tanah Melayu dan ia dipamerkan di pejabat kami, cawangan Papan," katanya.

Sumber : HorasMadina

Awas, perangkap syaitan!



Assalamualaikum warahmatullah,

Entry kali ini ada kaitannya dengan entry Tiga sikap buat wanita tampak hodoh yang telah diposkan ke beberapa egroup yang saya sertai. Jika ada yang menyertai egrup yang sama, tentu anda maklum akan apa yang telah berlaku beberapa minggu yang lepas selepas entry itu diposkan.

Bohonglah jika saya tidak berasa sedih hati atau menafikan yang saya berasa agak terkilan dengan apa yang telah dilemparkan oleh beberapa sahabat grup. Niat untuk berkongsi ilmu telah ‘dilacurkan’ dengan kata-kata nista “dia sorang aje macam bagus, meluat sangat.” Menurut sahabat ini, dia memang telah lama memboikot posting yang dihantar, atas alasannya tersendiri. Tidak mengapalah jika mahu memboikot posting saya, jika itulah yang dapat memuaskan hati dan memberikan rasa ‘kemenangan’ kepadanya. Itu hak masing-masing. Namun amat malanglah jika sahabat berkenaan memboikot nasihat-nasihat yang ditulis berdasarkan al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang sepatutnya dijadikan panduan hidup di dunia.

Seorang sahabat (ylang69ylang) pula sudi kongsikan nasihat, katanya, “Sesungguhnya apabila aku menasihati kamu, bukanlah bererti akulah yang terbaik dalam kalangan kamu, bukan juga yang paling soleh dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna nescaya tidak ada pendakwah, maka akan sedikitlah orang yang memberi peringatan,” petikan kata-kata Hassan Al-Basri.

Alhamdulillah, syukran. Saya pernah mendengar nama Hasan Al-Basri, tetapi tidak banyak yang saya ketahui tentang beliau kerana kurang membaca berkenaannya. Mujurlah sahabat ini menyebut namanya dan Alhamdulillah, dalam majalah kesayangan saya, Solusi Isu # 38 ada menceritakan sedikit kisahnya.

Saya kongsikan nukilan Umar Muhammad Noor, Imam Assyafaah Ðarul Hadith, yang kebetulan pula ada sedikit kaitan dengan apa yang telah berlaku pada posting entry Tiga sikap buat wanita tampak hodoh di egrup SIM tempohari.

Semoga perkongsian kali ini dapat memangkinkan lagi kita berhijrah kepada individu yang lebih baik untuk tahun 1433H. Amiin.



Kita semua pasti pernah mendengar nama al-Hasan bin Abi al-Hasan al-Basri. Beliau seorang ulama tabiin yang terkenal sangat soleh, alim, juga tampan. Iamam besar ini lahir di Basrah dan wafat di kota yang sama pada tahun 110H.

Yunus bin Ubaid berkata, “Setiap orang yang melihat wajah al-Hasan al-Basri akan beroleh manfaat meskipun ia tidak mendengar kata-katanya.”

Kisah hidup al-Hasan al-Basri memang banyak ditulis. Banyak buku yang menceritakan kedalaman ilmu dan kesolehannya. Ðalam entry kali ini, saya tertarik untuk menceritakan suatu kejadian yang mengandungi pengajaran berharga bagi kita semua.

Suatu hari, al-Hasan al-Basri berjumpa dengan seorang pemuda daripada Bani al-Shikhir. Al-Hasan berkata kepadanya, “Nasihatilah kami, wahai pemuda.”

Pemuda itu menjawab, “Aku belum layak untuk memberi nasihat, wahai Abu Sa‘id.”

Al-Hasan berkata, “Siapakah yang benar-benar layak memberi nasihat? Syaitan sangat suka dengan kata-kata ini. Ðan ia berharap agar manusia mengambilnya sehingga tidak ada lagi yang mengajak kepada kebaikan dan melarang keburukan.”

Kisah ini diceritakan oleh Imam Ahmad bin Hanbal dalam kitab al-Zuhd dan juga Abu Muhammad al-Ramahurmuzi dalam al-Muhaddith al-Fasil.

Nilai dakwah

Setelah aqidah dan tauhid, tidak ada aktiviti manusia yang paling dibenci oleh syaitan melainkan ajakan untuk kembali kepada Allah dan agama-Nya, amar makruf nahi mungkar dan anjuran untuk mengamalkan adab mulia. Semua ini terangkum dalam kalimat ‘dakwah’.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal soleh dan berkata, ‘Sesungguhnya aku termasuk orang yang menyerah diri.’” (Surah Fussilat 41:33)

Ðakwah bukan hanya sekadar berceramah di masjid. Ia meliputi pelbagai perbualan dan kata-kata nasihat. Perbualan akrab antara dua sahabat di kedai kopi tentang Allah dan hari akhirat kadang-kadang lebih berkesan daripada ceramah seorang ustaz dalam sebuah majlis ilmu.

Apabila seungkap kata-kata berjaya membawa perubahan pada diri seseorang, maka ganjaran besar tersedia untuknya daripada Allah SWT. Rasulullah SAW pernah bersabda kepada Ali bin Abi Talib, mafhumnya, “Apabila Allah memberi hidayah kepada seorang manusia keranamu, maka (ganjarannya) lebih baik bagimu daripada (memiliki) unta merah.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Nilai dakwah begitu besar di sisi Allah SWT. Mungkinkah syaitan akan berdiam diri menyaksikan manusia melakukannya? Tidak! Malah ia akan berusaha seboleh mungkin untuk menghentikan aktiviti ini. Jika jalan kekerasan tidak berjaya, ia akan mengambil jalan yang lebih halus.

Bisikan syaitan

Salah satu jalan halus yang ditempuh syaitan adalah dengan membisikkan perasaan ‘tidak layak’ dalam hati orang yang hendak berdakwah. Syaitan memperlihatkan pelbagai kekurangan yang terdapat dalam dirinya atau ahli keluarganya. Lalu syaitan berkata, “Lihatlah dirimu. Engkau tidak layak berdakwah dan memberi nasihat.” Tujuannya hanya untuk membuatkan hamba Allah ini malu dan merendah diri sehingga enggan menyampaikan nasihat atau menegur kesilapan.

Setiap pendakwah pasti pernah mengalami perasaan ini. Al-Hasan al-Basri mengingatkan bahawa itu adalah tipu daya syaitan dan kita tidak boleh tertipu dengannya. Jangan biarkan bisikan ini menghalang kita daripada memberi nasihat atau menyampaikan kata-kata hikmah kepada orang lain.

Ðakwah tidak semestinya dilakukan oleh orang yang sempurna. Jika begitu, tidak ada yang layak berdakwah di dunia ini, kerana siapakah orang yang bersih daripada dosa dan terpelihara daripada kekurangan?

Tiada yang sempurna

Memang, selayaknya pendakwah memiliki sifat-sifat kesempurnaan. Penampilannya sempurna, begitu juga akhlak dan ilmunya. Semua ini semakin indah jika ahli keluarganya, termasuk isteri dan anak-anaknya, juga memiliki sifat-sifat sedemikian. Namun, tidak semua orang memiliki ke semua ini. Bahkan, tidak semua ulama dianugerahi ahli keluarga yang sempurna, kerana hidayah adalah milik mutlak Allah SWT. Ia diberikan hanya kepada orang yang dikehendaki-Nya.

Imam Malik bin Anas seorang ulama yang sempurna dengan ilmu dan keperibadiannya. Namun begitu, anaknya yang bernama Yahya berbeza sama sekali dengan beliau. Yahya tidak suka duduk dalam majlis ilmu ayahnya, tetapi lebih suka bermain dengan burung peliharaannya.

Perkara ini tentu sahaja menyebabkan Imam Malik bersedih, namun itu tidak menghalangi beliau untuk terus menyebarkan ilmunya. Beliau hanya berkata, “Adab ini adab Allah, bukan adab ayah dan ibu. Ilmu ini ilmu Allah, bukan ilmu ayah dan ibu.” (Al-Muhaddith al-Fasil)

Jangan tertipu

Selain kepada diri pendakwah, bisikan syaitan ini juga ditujukan kepada orang ramai. Tujuannya tetap sama, iaitu menghentikan aktiviti dakwah agar tidak tersebar ke seluruh umat.

Akibatnya, kita mendengar ucapan-ucapan buruk yang mencela pendakwah, “Ustaz itu pandai memberi nasihat kepada orang lain, namun keluarganya sendiri dilupakan.” Ataupun, “Ustaz polan, isterinya sendiri tidak berhijab.” Ðan ucapan-ucapan lain yang sering kita dengar sehari-hari.

Bagi saya, sikap seperti ini tidak sepatutnya ada. Walaupun niatnya mungkin baik, namun kesannya sangat buruk. Ðengan ucapan ini, kita seolah-olah ikut bersama-sama syaitan untuk menghentikan dakwah islamiah.

Sikap kita seharusnya tidak seperti itu. Seharusnya kita tetap mengalu-alukan dakwah yang dilakukan. Pada saat yang sama, kita mendoakan semoga Allah SWT memperbaiki diri orang tersebut dan ahli keluarganya agar dakwahnya lebih berkesan.

Penghormatan untuk semua

Ðakwah merupakan penghormatan yang terbuka untuk semua individu. Sesiapa sahaja boleh mengambil bahagian dalam ‘projek’ ini sesuai dengan kadar ilmu yang dimilikinya. Bagi yang memiliki banyak ilmu, ia boleh menyampaikan lebih banyak peringatan. Walaupun bagi yang hanya memiliki sedikit ilmu, ia tetap dialu-alukan untuk menyampaikan yang sedikit itu kepada orang lain.

Ðaripada Abdullah bim Amr, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Kekurangan diri memang harus diperbaiki. Namun kekurangan itu seharusnya tidak menyekat langkah kita untuk menyebarkan kebaikan. Jika itu yang terjadi, itu petanda kita telah jatuh ke dalam perangkap syaitan.

Wallahu a’lam.




Rujukan : Umar Muhammad Noor, Imam Assyafaah Ðarul Hadith, Singapura dalam di Solusi Isu # 38.

Muhasabah diri capai kehidupan lebih cemerlang


1 Muharam detik untuk umat Islam tingkat pencapaian, mampu perbetul kesilapan

Assalamualaikum warahmatullah,

JIKA sambutan tahun baru masihi sering dikaitkan dengan azam atau perancangan ingin dilakukan sepanjang tahun mendatang, kedatangan 1 Muharam sebagai permulaan tahun baru hijrah pula ialah menilai pencapaian tahun sebelumnya untuk tindakan penambahbaikan pada masa depan. Proses dinamakan muhasabah itu menjadi titik memulakan langkah meningkatkan pencapaian diraih tahun sebelumnya dan bagaimana untuk berdepan tahun selepas ini ke arah membina kehidupan lebih baik.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj berkata, muhasabah memerlukan umat Islam merenung, berfikir, seterusnya melakukan perubahan yang memberi kebaikan bukan saja pada diri sendiri tetapi juga pihak lain. Apabila melihat keperluan diri, manusia selalu bersikap meminta-minta dan bertanyakan apa orang lain perlu lakukan untuk mereka bukan menyoal diri apakah yang boleh dilakukan dalam bidang kuasa kita.

“Selalunya apabila kita menilai, kita selalu melihat apa orang lain perlu buat untuk kita tetapi muhasabah ialah menilai apa yang boleh kita lakukan demi kebaikan semua. Ini semangat hijrah atau perpindahan yang sepatutnya ada pada umat Islam. Kita sepatutnya melihat sama ada kita sudah memainkan peranan sebaiknya. Jika sudah lakukan dengan baik, maknanya tahun depan kena tambah supaya jadi lebih baik lagi. Jika tahun ini kurang melakukan perkara baik, maka tahun depan kena banyakkan perkara kebaikan,” katanya.

Justeru, muhasabah bukan melihat kepada aspek spiritual saja sebaliknya ia menjadikan umat Islam tergolong dalam kumpulan profesional yang mampu melakukan peranan serta fungsi dengan sendirinya. Sifat profesionalisme akan melahirkan insan berdikari, tidak memerlukan pihak lain mengawasi atau memantau untuk memastikan mereka boleh melakukan sesuatu dengan baik seperti berlaku sekarang ini. Umat Islam yang dikategorikan profesional ialah mereka yang melakukan muhasabah, membuat pengawalan diri dan apabila menyedari kesilapan, mampu pula membuat pembetulan sendiri.

“Profesional bukan bermakna dia bekerja dalam bidang dikategorikan sebagai profesional. Dia mungkin kerja sebagai tukang cuci saja tetapi masih boleh memiliki profesionalisme kerana mampu melakukan tugas dengan baik. Walaupun tiada ketua atau penyelia, dia masih tetap melakukan kerja penuh tanggungjawab. Bukan apabila ada bos baru buat kerja. Apabila bos tidak ada, dia bedal semua. Profesional ialah yang boleh lakukan kerja tanpa perlu dipantau dan jika ada kesilapan, boleh betulkan sendiri,” katanya.

Menurut beliau, dunia akan menjadi lebih baik jika semua orang mengamalkan sifat profesionalisme dalam hidup dan itu sepatutnya menjadi agenda umat Islam sempena kedatangan 1 Muharam 1433 Hijrah yang diraikan hari ini.

Mengambil contoh amalan rasuah, beliau tidak bersetuju dengan tanggapan jika tiada pemberi rasuah maka tidak berlaku jenayah rasuah kerana soalnya ialah sama ada seseorang itu hendak menerima atau tidak rasuah kerana ada yang tidak diberi tetapi dia meminta rasuah.

Bagi suami pula katanya, hidup berkeluarga tidak sama seperti hidup orang bujang dan jika masih hendak mengekalkan gaya hidup seperti orang bujang, maka mereka akan gagal mencapai profesionalisme diharapkan daripada seorang suami atau bapa.

Oleh itu, tidak kira apa peranan atau fungsi seseorang itu, hendaklah mencapai harapan diharapkan daripada mereka, baru hijrah memberi makna sebenar iaitu berpindah daripada tahap sekarang yang baik kepada lebih baik.

Bagi umat Islam, kayu pengukur untuk menentukan apakah azam ditanam bagi menghadapi tahun baru itu lebih baik ialah adanya makruf dan mungkar ditetapkan Allah berpandukan kepada al-Quran serta sunnah Rasulullah SAW. Makruf amalan sesuai dengan fitrah manusia yang diciptakan Allah dan sesiapa melakukan makruf diberi ganjaran pahala. Manakala mungkar tidak selari fitrah manusia dan mereka yang melakukan perbuatan mungkar akan menerima balasannya.

“Allah yang menciptakan kita dan Allah tahu apa yang selari dengan fitrah manusia. Makruf akan jadikan manusia baik dan sebab itu mereka yang melakukan makruf mendapat pahala. Bagi yang melakukan mungkar, mereka merosakkan diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata, umat Islam perlu ada kemampuan melakukan muhasabah diri dan meningkatkan amalan makruf kerana jika semua manusia mengambil sikap seperti itu, dunia akan menjadi lebih baik. Bagaimanapun, tidak dinafikan untuk mencapai kehidupan masa depan yang lebih baik, manusia sentiasa berdepan cabaran besar iaitu bagaimana hendak menundukkan nafsu yang mendorong melakukan perkara mungkar.

Cara terbaik kembali kepada apa diperintahkan Allah kerana manusia mempunyai kuasa memilih sama ada melakukan perkara makruf demi kebaikan diri sendiri atau mengikut telunjuk nafsu yang akan menjadikan kita sebahagian daripada bahan bakar api neraka.




Petikan : BHarian 26/1/2011

Sabtu, November 26, 2011

Hikmah di sebalik perbezaan kalendar Hijrah, Masihi



DARIPADA Aisyah, katanya: “Sungguh sedikit waktu (kesuntukan waktu) bagi Nabi SAW pada hari itu, namun amat perlu sekali bagi Baginda datang juga ke rumah Abu Bakar pagi atau petang. Maka ketika telah diizinkan bagi Baginda untuk pergi (hijrah) ke Madinah, kami tidak pernah terkejut melainkan ketika Baginda datang ke rumah kami waktu Zuhur, lalu kedatangan Baginda itu dimaklumkan kepada Abu Bakar.

Berkata Abu Bakar: Nabi SAW tidak akan datang pada waktu ini melainkan kerana ada urusan yang sangat penting. Ketika Nabi SAW masuk ke tempat Abu Bakar, Baginda bersabda kepadanya: Suruhlah orang yang ada di sekelilingmu keluar. Berkata Abu Bakar: Ya Rasulullah! Hanya ada dua orang anakku, Aisyah dan Asma’.

Sabda Nabi SAW: Tahukah engkau bahawa sesungguhnya aku telah diberi izin untuk keluar (hijrah)? Berkata Abu Bakar: Anda perlu teman, ya Rasulullah! Sabda Baginda: Ya, kawan. Berkata Abu Bakar: Ya Rasulullah! Aku mempunyai dua ekor unta yang sengaja ku sediakan untuk keluar (hijrah), ambillah seekor untuk anda. Sabda Nabi: Ku ambil seekor dengan harganya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Orang yang mula-mula menetapkan hijrah sebagai permulaan tarikh dalam Islam ialah Saidina Umar al-Khattab ketika beliau memegang jawatan khalifah iaitu pada tahun 17 hijrah.

Beberapa cadangan telah dikemukakan kepada beliau, ada mencadangkan tarikh kelahiran Rasulullah SAW, ada pula mencadangkan kebangkitannya menjadi Rasul dan ada mencadangkan tahun kewafatan Baginda.

Tetapi semua cadangan itu tidak dipersetujui Saidina Umar memandangkan hijrah adalah peristiwa terpenting antara peristiwa lain, seperti mana katanya: “Kita membuat tarikh dengan hijrah Rasulullah SAW kerana hijrahnya itu adalah perbezaan antara yang benar dengan yang batal.”

Pendapat itu disokong oleh Saidina Ali. Sebenarnya, wujud jalinan antara perkiraan tahun masihi dan hijri (Hijrah) kepada umat Islam. Tahun Masihi dikira menurut peredaran matahari (tarikh as-Syamsi) sementara perkiraan tahun hijri pula berdasarkan peredaran bulan (tarikh al-Qamari).

Islam tidak menolak salah satu perkiraan tarikh berkenaan dalam kehidupan manusia. Perkiraan tarikh as-Syamsi adalah untuk menentukan musim atau aktiviti manusia. Daripada tarikh inilah manusia mengenal peredaran musim panas, sejuk, menyemai atau menuai.

Sementara tarikh al-Qamari pula menentukan masa ibadat. Peredaran yang tidak sama antara tarikh as-Syamsi dan al-Qamari menyebabkan umat Islam dapat merasai musim berbeza setiap kali menunaikan ibadat tertentu.

Contohnya musim haji dan puasa. Mungkin pada tahun ini, umat Islam berpuasa atau menunaikan haji dalam musim sejuk, tetapi beberapa tahun kemudian pula dalam musim panas.



Sumber : JAKiM di BHarian 25/11/2011

Capaian entry berkaitan :
Salam Maal Hijrah 1432H
SELAMAT MAAL HiJRAH 1430

Jumaat, November 25, 2011

Penebang pokok dan kapak tumpul

imej dari sumber WoodTrekker


AL-KISAH pada masa zaman dulu ada seorang penebang kayu menerima pelawaan daripada seorang majikan untuk memotong pokok di hutannya. Kerana gaji dan kerja yang dijanjikan sangat lumayan, penebang pokok itu bertekad untuk bekerja sebaik mungkin demi membalas budi dan kepercayaan yang diberikan kepadanya.

Ketika mula bekerja, majikannya memberikan sebilah kapak dan menunjukkan kawasan kerja yang perlu dilakukan dalam masa yang ditentukan.

Hari pertama bekerja, dia berjaya menumbangkan lapan batang pokok. Pada petangnya, selepas mendengar hasil kerjanya sangat baik, majikan itu memberikan pujian kepadanya.

“Hasil kerjamu sungguh luar biasa! Saya sangat kagum dengan kemampuan kamu menebang pokok itu. Belum pernah ada sesiapa sepertimu sebelum ini. Teruskan bekerja seperti itu,” kata majikan itu.

Pujian daripada majikannya itu memberikannya motivasi untuk terus melaksanakan kerjanya. Pada keesokan harinya, penebang itu bekerja lebih keras lagi, tetapi kali ini dia hanya berjaya menumbangkan tujuh batang pokok.

Hari ketiga pula, dia bekerja lebih keras lagi namun hasilnya tetap tidak memuaskan bahkan mengecewakan. Semakin hari semakin sedikit pokok yang ditebangnya.

“Sepertinya aku kehilangan kemampuan dan kekuatanku, bagaimana aku dapat terus bertanggungjawab hasil kerjaku kepada majikan?,” fikir penebang pokok itu kerana dia merasa malu dan putus asa.

Dia menghadap majikannya sambil kepalanya tertunduk lalu meminta maaf atas hasil kerja yang kurang memberangsangkan itu. Dia mengeluh kerana tidak mengetahui apa yang terjadi.

Majikan itu bertanya kepadanya: “Bila masanya kamu mengasah kapak kamu?”

“Mengasah kapak? Saya tidak mempunyai masa untuk itu, saya sangat sibuk setiap hari menebang pokok dari pagi hingga petang dengan sekuat tenaga,” kata penebang itu.

“Nah, di sinilah masalahnya. Ingat, hari pertama kamu kerja? Dengan kapak baru yang terasah tajam, maka kamu mampu menebang pokok dengan hasil luar biasa.

“Hari-hari berikutnya, dengan tenaga yang sama, menggunakan kapak yang sama tetapi tidak diasah, kamu tahu sendiri, hasilnya semakin menurun. Maka, sesibuk mana pun kamu perlu meluangkan masa untuk mengasah kapakmu, supaya setiap hari kamu bekerja dengan tenaga yang sama dan hasil yang maksimum. Sekarang pergilah asah kapakmu dan segera kembali bekerja!” perintah majikan.

Sambil mengangguk-anggukkan kepala dan mengucap terima kasih, penebang itu berlalu di hadapan majikannya untuk mengasah kapaknya.

Sebenarnya betullah kata bijak pandai. Istirahat bukan bererti berhenti, tetapi untuk menempuh perjalanan yang lebih jauh lagi dan mencabar. Sama seperti penebang pokok itu, kita pun setiap hari dari pagi hingga malam hari, seolah-olah terjebak dalam kesibukan.

Sibuk, sibuk dan sibuk, sehingga sering kali kita lupa untuk berehat iaitu istirahat seketika mengasah serta mengisi hal-hal baru untuk menambah pengetahuan, wawasan apa lagi soal spiritual, ibadah, soal matlamat supaya kita lebih bermotivasi. Jangan sibuk mencari kelemahan dan kesilapan orang lain, tetapi sibuklah mencari kesilapan sendiri, dengan bermuhasabah, bermujahadah dengan memperbanyakkan membaca.

Dengan ilmu sahajalah kita boleh berada di mana sahaja sebab ilmu yang kita galas tidak pernah membebankan kita. Ilmu bagaimana mengenal Allah mesti diperbaharui, ilmu mengenai kenabian, malah ilmu diri kita sendiri.

Dari mana kita datang, di mana kita sekarang, apa yang patut kita lakukan sekarang di dunia dan selepas ini ke mana kita akan pergi. Semoga tazkirah kali ini kita sentiasa tajam dengan ilmu dan keprihatinan terhadap tanggungjawab seharian barulah hari mendatang menjadi lebih baik dari semalam, dan hari esok lebih baik dari sebelumnya.

Renung-renungkan...




Sumber : HMetro

Khamis, November 24, 2011

Tanah orang Melayu RM2b kini milik ceti



Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Apabila Laman-Seri ketengahkan ISU : Melayu Pulau Pinang bakal hidup melarat, ada jari-jari tidak senang hati dengan isu yang dibawa. Pernah juga kami rakan sesama sekerja berbual akan isu yang sama, dan terdengarlah kisah yang Kapitan Kxxxxg sedang dalam usaha menuntut tanah mereka di Pulau Pinang yang sebenarnya telah digadaikan kepada nenek moyang mereka. BG ingatkan rakan sekerja itu cuma bergurau, namun beliau bertegas, tunggulah setahun dua nanti... Itu kisah setahun yang lepas. Entry yang disebutkan di atas juga dipos setahun yang lepas.

Hari ini BG berkesempatan membaca kisah yang mengejutkan yang sebenarnya tidak patut rasa terkejut, kerana kisah ini telah dimaklumkan secara tidak rasmi di persidangan meja empat segi kira-kira setahun yang lalu.



Tanah orang Melayu RM2b kini milik ceti ~ BHarian 24/11/2011

Waris Pulau Pinang tumpang tanah sendiri

GEORGETOWN: Sebanyak 252 lot tanah dianggarkan bernilai RM2 bilion membabitkan kediaman dan dusun, yang kebanyakan milik orang Melayu Pulau Pinang dirampas oleh Chettiar atau ceti sebagai gantian cagaran pinjaman nenek moyang mereka beberapa dekad lalu tanpa disedari waris sekarang.

Tanah yang terletak di 13 mukim dalam daerah Barat Daya sudah bertukar hak milik kepada 543 individu daripada golongan berkenaan yang kini dipercayai menetap di India. Difahamkan, antara lot tanah itu terletak di kawasan perkampungan Melayu di Bayan Lepas, Permatang Damar Laut, Teluk Kumbar, Balik Pulau, Teluk Bahang, Gertak Sanggul, Kampung Seronok dan Kampung Binjai.

Masalah sama juga dikatakan berlaku di daerah lain di negeri ini yang menyebabkan kedudukan orang Melayu semakin terhimpit apabila tanah berkenaan mahu dimajukan atau bertukar tangan kepada pihak ketiga. Ini menyebabkan ramai orang Melayu menjadi penumpang di tanah diduduki sekarang, walaupun pada asalnya milik nenek moyang mereka. Difahamkan, 1,000 orang Melayu sudah diusir pemilik tanah sebenar dan hidup merempat di sekitar negeri ini.

Keadaan itu menyebabkan pemilikan ekuiti orang Melayu di Pulau Pinang semakin terhakis dan terancam termasuk keupayaan memegang hak milik hartanah sendiri, selain menggugat kuasa pengundi Melayu negeri itu.

Seorang peguam yang arif dengan pentadbiran tanah di Pulau Pinang memberitahu BHarian, kebanyakan orang Melayu yang mewarisi lot itu langsung tidak menyedari tanahnya sudah digadai nenek moyang mereka kepada golongan ceti sebelum Perang Dunia Kedua kerana ingin mendapatkan pinjaman wang tunai.

“Berikutan kegagalan melunaskan pinjaman, ceti mengambil alih tanah itu tanpa disedari, orang Melayu menumpang di tanah mereka sendiri dan ia diteruskan oleh waris mereka sehingga ke hari ini,” kata peguam berkenaan.

Beliau juga mendedahkan, ada antara tanah berkenaan berkeluasan 72.8 hektar dengan nilai mencecah hingga RM350 juta berpindah milik kepada ceti kerana pemilik asalnya gagal melunaskan hutang yang hanya RM350 sejak tujuh dekad lalu.

Keadaan itu berlaku kerana pada zaman sebelum merdeka, banyak pemilik asal lot tanah berkenaan menggadaikan tanah kepada ceti bagi mendapatkan wang untuk perbelanjaan majlis perkahwinan anak mereka.



Laman-Seri : Jika setahun yang lepas dilaporkan pemilikan tanah Melayu hanya tinggal 20.41%, maka selepas ditolak tanah yang tergadai, tinggal berapa peratuskah agaknya pemilikan tanah Melayu?

Makanya, memang benarlah tanahair kita telah tergadai lagi dan lagi...

Rabu, November 23, 2011

Ubi bit aktifkan sel darah merah


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Ubi bit atau dalam bahasa Inggeris, beetroot (Beta vulgaris subsp. vulgaris var. vulgaris), juga dikenali sebagai bit meja (table beet), bit taman (garden beet), bit merah (red beet) atau secara tidak formal hanya disebut sebagai bit sahaja, adalah salah satu dari kepelbagaian jenis tumbuhan bit yang kebanyakannya hidup meliar dan tumbuh subur di Amerika Utara dan Britain.



Beta vulgaris subsp. vulgaris

Bit mungkin agak jarang digunakan dalam masakan tempatan, namun begitu, tanaman yang turut dikenali dengan nama beta vulgaris ini dikatakan berasal dari Mediterranean dan banyak digunakan oleh masyarakat Eropah, Afrika Utara dan juga Asia dalam masakan mereka. Walaupun daun pokok bit telah dijadikan sebagai sayuran semenjak dahulu lagi, tetapi ubinya hanya digunakan untuk tujuan perubatan. Ubi bit bukanlah makanan popular sehinggalah chef-chef dari Perancis mengetahui potensi ubi ini pada tahun 1800.

Ubi bit memang banyak kegunaannya. Ini termasuklah sebagai pewarna, tidak kiralah makanan mahupun benda. Apa yang paling penting adalah nilai khasiat yang terdapat pada ubi bit. Dikatakan ubi bit mempunyai kalori rendah dan mempunyai pelbagai jenis vitamin dan mineral termasuklah folat. Berikutan dengan kandungan nitrat yang terdapat dalam ubi bit, maka ubi ini tidak sesuai dimakan oleh kanak-kanak di bawah usia enam bulan.

Khasiat tumbuhan ini bermula dari zaman dahulu lagi. Malah semenjak orang Roman mula meminum jus ubi bit, boleh dikatakan ia telah digunakan di dalam kebanyakan masalah kesihatan yang dialami manusia. Paling terkini, ubi bit dikatakan mempunyai kebaikan sebagai antikarsinogen dan antimutagenik yang dikatakan mampu membantu dalam pencegahan dan rawatan kanser.

Ubi bit merah dengan batang merah


ubi bit kuning dengan batang berwarna kuning


Ubi bit yang berlainan warna

Ubi bit yang biasa dimakan adalah dari jenis berwarna merah. Namun begitu, terdapat juga jenis ubi bit berwarna kuning, putih serta jenis warna berbelang merah dan putih. Walaupun ubi bit banyak dimakan tetapi sebenarnya daunnya juga amat berkhasiat dan boleh dijadikan sebagai jus atau dijadikan sayur.

Hakikatnya, bahagian atas pokok bit adalah lebih berkhasiat daripada bahagian ubinya. Daun pokok bit mengandungi lebih zat besi, vitamin A, kalium dan kandungan kalsium lebih daripada ubinya. Manakala ubi bit pula kaya dengan kandungan gula semulajadi, sodium, sulphur, klorin, iodin, mangan dan vitamin B1, B12 dan bioflavonoid. Ubi bit juga mengandungi antioksidan iaitu betacyanin yang dikatakan memberikan warna merah pada ubinya.

Seikat sayuran ubi bit

Disebabkan khasiat ini jugalah, pengamal perubatan holistic mempercayai jika seseorang itu meminum jus ubi bit yang telah dicampurkan dengan jus lain seperti lobak dan timun, ramuan ini dikatakan amat baik untuk tujuan membersihkan buah pinggang dan pundi hempedu dan mengembalikan semula kesihatan organ-organ ini. Bukan itu sahaja, ubi bit juga amat baik bagi membantu mengurangkan sembelit. Ini kerana kandungan serat dalam ubi dikatakan mampu memperbaiki aktiviti peristalsis dalam usus besar.

Sebagai akar ubi sayur

Pada kebiasaannya, akar ubi merah yang paling dalam akan dijadikan resipi santapan setelah ia dituai, dibersihkan dan dipotong segar serta direbus sehingga lembut terlebih dahulu. Ia juga turut digunakan sebagai sayuran dalam masakan sayur campur, atau dalam keadaan sejuk ia juga digunakan sebagai hidangan salad yang enak. Hidangan salad ubi bit merah lebih sedap jika dimasak atau digaulkan bersama minyak bijan atau minyak bunga matahari atau minyak zaitun serta ditambah sedikit dengan campuran cuka.

Jika tidak suka dengan campuran pelbagai jenis minyak dan cuka, cukuplah hanya sekadar dimakan mentah atau campuran daun saderi, tomato, kentang dan lain-lain jenis sayuran. Sedap dihidangkan dengan campuran mayonis yang sejuk dan segar. Ubi bit kuning pula pada kebiasaannya ditanam ke halaman rumah pada skala penanaman yang amat kecil cukup untuk penggunaan sesuatu isi rumah sahaja.

Daun juga sebagai makanan

Daun pokok ubi bit merah juga boleh dibuat makan, dijadikan sebagai ulam-ulaman, ia lebih sesuai direbus kerana rasa dan teksturnya apabila dimakan lebih seakan-akan seperti memakan sayur bayam.

Ubi bit, dimasak
Nilai khasiat per 100 g (3.5 oz)

Tenaga 40 kcal 180 kJ

Karbohidrat

9.96 g

Gula

7.96 g

Dietary fiber

2.0 g

Lemak

0.18 g

Protein

1.68 g

Vitamin A

lebih kurang 2 μg (0%)

Thiamine (Vit. B1)

0 .031 mg (2%)

Riboflavin (Vit. B2)

0.027 mg (2%)

Niasin (Vit. B3)

0.331 mg (2%)

Pantothenic acid (B5)

0.145 mg (3%)

Vitamin B6

0.067 mg (5%)

Folate (Vit. B9)

80 μg (20%)

Vitamin C

3.6 mg (6%)

Kalsium

16 mg (2%)

Zat besi

0.79 mg (6%)

Magnesium

23 mg (6%)

Phosphorus

38 mg (5%)

Kalium

305 mg (6%)

Natrium

77 mg (33%)

Zink

0.35 mg (3%)

Peratusan adalah relative cadangan AS untuk orang dewasa.

http://laman-seri.blogspot.com


Kurangkan masalah gastrik

Jus ubi bit merah dipercayai mempunyai kaitan dengan pembentukan darah manusia. Berikutan dengan kandungan zat besi yang tinggi dalam ubi bit, dikatakan dengan meminum jusnya mampu menjana semula dan mengaktifkan sel-sel darah merah, membekalkan oksigen segar ke seluruh tubuh dan membantu fungsi pernafasan supaya kembali normal. Kandungan zat besi ini juga amat berguna bagi mereka yang mengalami anemia.

Khasiat ubi bit juga amat berguna untuk merawat masalah jaundis, hepatitis, loya, muntah-muntah akibat masalah pada hempedu, cirit-birit dan disenteri. Dikatakan dengan menambahkan satu sudu jus limau nipis pada jus ubi bit mampu meningkatkan nilai perubatannya bagi mengatasi masalah tersebut.

Bukan itu sahaja, ubi bit yang telah dicampurkan dengan madu boleh diambil sebelum sarapan kerana cara ini dikatakan mampu mengurangkan masalah ulser gastrik. Jus ubi bit juga adalah pelarut terbaik bagi mendapan kalsium tidak organik. Ini sekaligus membuatkan ubi bit amat bernilai dalam rawatan hipertensi, arteriosclerosis, masalah jantung dan vena varikos.

Bagi mereka yang mengalami masalah kulit, dikatakan pokok ubi bit boleh dijadikan sebagai ramuan ubatan dalam merawat masalah tersebut. Air rebusan ubi dan daun bit dikatakan boleh dijadikan sebagai pencuci pada masalah bisul, radang pada kulit dan pemecah jerawat dan pustule atau lecur kecil yang mengandungi nanah pada kulit. Jenis bit yang boleh digunakan adalah bit putih. Bagi masalah radang kulit, ramuan campuran tiga bahagian air bit dan satu bahagian cuka boleh digunakan sebagai air pencuci bagi mengurangkan masalah ini. Ramuan ini juga dikatakan berguna sebagai pencuci kulit bagi kes demam campak. Selain itu, ramuan ini juga dikatakan boleh digunakan bagi membersihkan kelemumur daripada kepala.

Walaupun terdapat pelbagai khasiat dan kegunaan bit, namun begitu sebelum menggunakannya, anda perlulah mendapatkan nasihat pengamal perubatan terlebih dahulu bagi mengelakkan kemudaratan di kemudian hari kelak.




Rujukan : MisteriAlam #1369, Ms.Wikipedia dan En.Wikipedia.

Capaian entry berkaitan :
* Menyingkirkan panas
* Khasiat kunyit