Salam,
Rasa-rasanya masih belum terlambat untuk saya ucapkan Selamat Tahun Baru Maal Hijrah 1430. Semoga tahun ini kita semua diberi kerahmatan kesihatan, keberkahan rezeki dan dipanjangkan usia untuk terus beramal kepada Allah SWT.
Awal Muharam sesuai bermuhasabah
Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
Perancangan teliti mampu tingkat amalan, hadapi cabaran hidup
KETIBAAN Awal Muharam mengingatkan kepada peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah yang berlaku 14 abad lalu. Peristiwa hijrah itu menjadi titik tolak permulaan yang mengangkat Islam sebagai agama diredai Allah.
Sementara kita mengakhiri tahun 1429 hijrah ini dan menghadapi kedatangan tahun 1430 hijrah, sudah tentu wajar bagi setiap Muslim mengimbas kembali masa setahun yang sudah berlalu itu untuk menilai bagaimana ia dihabiskan. Ia tentu banyak meninggalkan seribu satu kenangan, sama ada yang manis atau pahit. Mungkin dalam setahun itu, kita banyak memperoleh kebaikan dan keuntungan, mungkin juga pada masa sama kita juga melakukan keburukan serta mengalami kerugian, dari segi keduniaan mahupun akhirat.
Saidina Umar al-Khattab pernah berkata, "Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab oleh Allah di akhirat kelak." Ungkapan itu memberi peringatan betapa perlunya muhasabah diri dan bagaimana ia berupaya bertindak sebagai persiapan yang akan menentukan kejayaan di samping mengelakkan daripada penyesalan yang tiada penghujungnya. Muhasabah diri bukan saja boleh membantu merancang masa depan lebih baik, malah ia akan menginsafkan kita betapa pentingnya perancangan rapi.
Firman Allah bermaksud: "Wahai orang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya) dan hendaklah setiap diri melihat dan memerhatikan apa yang dia sudah sediakan (dari amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan); bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuannya akan segala yang kamu kerjakan." (Surah al-Hasyr, ayat 18)
Perlu diinsafi bahawa setiap Muslim tidak dapat mengetahui dengan pasti apakah corak masa depan bakal dilaluinya, apakah ia suatu detik gemilang dan kejayaan ataupun hanya satu detik pahit penuh kegagalan serta kedukaan.
Apakah setiap Muslim akan terus beristiqamah dengan sinaran hidayah Allah atau tersungkur jatuh dalam kancah maksiat serta permainan tipu helah syaitan yang menyesatkan? Dalam hal ini, apa pasti setiap Muslim hanya boleh merancang dan berusaha pelbagai persiapan teliti demi memastikan dia mampu terus bersedia menghadapi masa depan dengan pelbagai cabaran. Hasilnya, dunia kini seolah-olah menjadi medan pertarungan sengit bagi menentukan seseorang atau umat itu berjaya atau kecundang. Ada umat yang muncul dan berjaya dan ada pula tenggelam serta hancur. Ada manusia berjaya menjadi pemimpin dan apa yang sanggup menjadi pak turut.
Walau apa pun natijah yang bakal diraih, masa depan itu tetap juga akan dihadapi. Oleh demikian, setiap Muslim seharusnya berbekalkan semangat juang tanpa mengenal penat lelah atau erti mengalah ketika menyelusuri titian hidup ini.
Inilah lumrah kehidupan ditentukan Allah sebagai medan perjuangan antara yang hak dengan batil, benar dengan palsu. Ada kalanya pihak yang benar dapat mengatasi yang salah, ada kalanya yang salah mengalahkan yang benar. Perlu ditegaskan jika pihak yang kalah itu menang, ia sama sekali tidak bererti kejahatan itu berada di pihak benar, tetapi dalam banyak keadaan ia adalah kerana pihak jahat itu mempunyai kepemimpinan dan sistem teratur yang membolehkannya meraih kemenangan.
Ada ketikanya pihak baik akan kecundang dalam perjuangannya kerana dalam banyak keadaan ia tidak diatur dan dirancang dengan baik serta tidak mendapat kepemimpinan baik ketika menjayakan misi itu.
Allah berfirman bermaksud: "Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa kemenangan atau kekalahan), Kami gilirkan ia antara sesama manusia (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah mengenai orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian antara kamu orang yang mati syahid. Dan (ingatlah) Allah tidak suka kepada orang yang zalim." (Surah ali-Imran, ayat 140)
Satu perkara perlu disedari setiap Muslim ialah setahun yang berlalu bererti setahun pula umurnya bertambah. Semakin bertambah bilangan tahun berlalu, semakin sedikit pula sisa-sisa hidupnya yang masih tertinggal. Apabila umur seseorang Muslim tamat, maka ajal maut pun akan menjemputnya. Pada ketika itu, tidak ada lagi peluang ke sekian kalinya untuk Muslim mengumpul bekalan akan dibawa menghadap Allah kelak.
Oleh itu, setiap Muslim wajib menginsafi diri ketika menjalani kehidupan dunia yang sementara ini dan janganlah membazirkan waktu berharga dengan sia-sia. Ingatlah, sehari yang terbuang bermakna kita membuang masa, umur serta peluang berharga. Sikap membuang masa seharian dengan berfoya, melepak dan berseronok tanpa mendatangkan hasil yang bermanfaat bererti suatu penderhakaan terhadap nikmat masa yang dikurniakan Allah. Malah, masa sahajalah aset sangat bernilai yang tersedia pada setiap manusia dalam hidup ini.
Saidina Ali Abi Talib pernah berkata: "Sesiapa yang menghabiskan masa hariannya tanpa ada hak yang dilaksanakannya, tanpa ada kewajipan ditunaikan, tanpa ada kemuliaan dibinanya, tanpa kepujian yang diperoleh, tanpa ada kebajikan dilakukannya, tanpa ada ilmu dipetiknya, maka sesungguhnya dia sudah menderhakai masa hariannya itu." Wajarlah setiap Muslim merenung dan bermuhasabah secara mendalam. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Maka sediakanlah bekal di dunia sebelum belayar ke alam akhirat yang abadi supaya setiap daripada kita tidak menyesal pada kemudian hari nanti.
Sumber: BHarianOnLine 20081226
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...