APABILA berdepan dengan masalah, lazimnya diri di selubungi tekanan, malah fikiran boleh menjadi celaru kerana memikirkan masalah yang tidak berpenghujung. Bagi meringankan tekanan, ada beberapa cara patut diketahui:
1. Bersabar dengan segala yang menimpa. “Wahai anakku, dirikanlah solat, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan mungkar, dan bersabarlah atas segala yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki melakukannya.” (Surah Luqman, ayat 17)
2. Anggap masalah itu sebagai satu ujian, yang akan meningkatkan keimanan dan ketabahan. Ini bersesuaian dengan firman Allah yang bermaksud: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan di biarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” “Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka nyata apa yang diketahui Allah tentang orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang yang berdusta.” (Surah Al-Ankabuut, ayat 2-3)
3. Setiap masalah ada hikmahnya, seperti dapat menggugurkan dosa. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Tidaklah seorang Muslim ditimpa penyakit, melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya, seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
4. Kesulitan, masalah dan kesempitan akan menyedarkan manusia betapa kerdilnya diri sebagai hamba, sekali gus menyedarkan diri akan keagungan dan kekuasaan Allah. “Orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada-Nyalah kami kembali.” (Surah al-Baqarah:156)
5. Adanya masalah, kesakitan dan kesusahan, membolehkan manusia membezakan di antara keselesaan (nikmat) dan kesengsaraan (bala). Justeru, ketika inilah manusia dapat menjiwai erti kesyukuran.
6. Ujian adalah tanda Allah mencintai seseorang itu. Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Sesiapa dikehendaki Allah baginya kebaikan, akan diberikan cubaan kepadanya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
7. Ingatlah masalah dan kesulitan yang kita hadapi lebih ringan dan lebih kecil daripada masalah yang dialami orang lain.
8. Menyedari hakikat, kehidupan tidak lari daripada masalah, cuma bezanya kecil atau besar masalah dihadapi. Jika masalah kecil bolehlah diselesaikan sendiri dan sekiranya besar, cubalah dapatkan mereka yang lebih berpengalaman untuk dikongsi bersama.
BERIKUT antara sembilan petua daripada Rasulullah SAW untuk mencapai doa mustajab.
- Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: "Doa antara azan dan iqamat tidak akan ditolak."
- Sesungguhnya Rasulullah bersabda: "Allah akan turun ke langit dunia setiap malam iaitu sepertiga malam yang terakhir, seraya berfirman: "Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, maka aku akan menerima permintaannya dan sesiapa yang meminta keampunan daripada-Ku maka Aku akan mengampuninya.
- Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: "Tiga orang yang tidak ditolak doanya iaitu pemimpin yang adil, orang berpuasa ketika dia berbuka dan orang yang dianiaya. Allah mengangkat doa-doa itu ke awan dan pintu-pintu langit dibuka."
- Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: "Aku dilarang membaca al-Quran ketika sujud dan rukuk. Waktu yang paling dekat antara hamba dan Tuhan-Nya adalah ketika sujud, maka perbanyakkanlah doa ketika itu."
- Hadis Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: "Jika kamu mendengar ayam jantan berkokok, pohonlah kurnia daripada Allah kerana sesungguhnya binatang itu melihat malaikat. "Jika kamu mendengar keldai memekik, pohonlah perlindungan daripada Allah daripada godaan syaitan kerana binatang tersebut melihat syaitan."
- Ubadah bin As-Shamit berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Sesiapa yang bangun pada malam hari dan mengatakan atau berdoa, doanya akan dimakbulkan. "Apabila beliau berwuduk (dan mengerjakan solat malam), solatnya akan diterima Allah."
- Ata bin Abi Rabah berkata: "Telah sampai padaku bahawa Rasulullah bersabda: "Sesiapa yang membaca surah Yasin pada permulaan hari maka segala hajatnya akan dipenuhkan."
- Hadis daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: "Doa seseorang itu akan dikabulkan selagi dia tidak terburu-buru menyebabkan dia berkata: 'Aku berdoa tetapi tidak dimakbulkan.'
- Hadis daripada Abu Hurairah: Rasulullah memperkatakan mengenai hari Jumaat. Lalu baginda bersabda: "Pada hari Jumaat itu ada suatu saat. Bila mana seorang Muslim dapat menepatinya dalam keadaan sedang berdoa, memohon sesuatu daripada Allah, pasti dia akan dianugerahkan apa yang dipohonnya itu."
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...