SOALAN:
Kami berdua berumur lebih setengah abad. Suami saya boleh dikatakan tidak pernah sembahyang, atau terlalu jarang sembahyang, juga puasa. Jauh sekali untuk menunaikan zakat. Dia selalu balik larut malam, mabuk, mengamuk tidak menentu dan bangun selepas pukul 8 pagi,
Sejak kebelakangan ini, kegemarannya ialah menonton video lucah. Akibatnya dia cuba hendak meliwati saya. Hingga sekarang ini saya tetap membantah dan berupaya mengelakkannya. Adakah benar, suami boleh meliwati isteri terutamanya dalam keadaan darurat?
Isteri Beriman, Grik
Jawapan:
Dalam hidup manusia, semakin banyak tapak kaki dihayun ke hadapan, semakin hampirlah destinasi yang dituju. Begitulah dengan jangkaan hidup. Semakin banyak angka umur, semakin hampirlah seseorang dengan kematian, destinasi yang tidak dapat dielakkan. Mahu atau tidak, rela atau terpaksa, maut tetap meragut diri apabila tiba masanya tanpa terlewat atau awal.
Rasulullah menjelaskan bahawa umur umatnya adalah di antara 60-70 tahun, hanya sedikit daripada kalangan mereka yang hidup melebihi jangkaan umur.
Islam menyuruh umatnya agar menyediakan bekalan akhirat. Sesungguhnya sebaik-baik bekalan akhirat ialah takwa. Melakukan apa yang diperintah oleh syarak, menjauhi larangannya.
Termasuk dalam usaha dan amalan yang wajib dilakukan bagi meraih ketakwaan ialah melakukan rukun-rukun yang ditetapkan iaitu sembahyang lima waktu, puasa, zakat dan menunaikan haji bagi yang berkemampuan.
Saya simpati kepada puan yang berpasangan dengan seorang lelaki selama 20 tahun, jangka masa yang lama, sewajarnya menjadi contoh yang dikagumi isteri dan anak-anak. Namun dia gagal berbuat demikian. Tidak sembahyang, berpuasa dan berzakat. Mereka yang sengaja meninggalkan ibadah ini, padahal ia berupaya berbuat demikian, selain kerana cuai tidak menyedari kepentingan ibadah tersebut termasuk dalam golongan fasik.
Sembahyang adalah tiang agama. Orang yang menunaikannya bererti mendirikan agama. Dan yang meninggalkannya, bererti merobohkan agama. Sembahyang memberi kesan dalam membentuk sahsiah seseorang, mencegah pelakunya daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran.
Manakala puasa melahirkan rasa insaf, memahami penderitaan manusia lain yang akhirnya membentuk sifat takwa dalam diri. Zakat menyucikan diri dan harta. Daripada yang kita miliki, yang kita peroleh daripada usaha yang dilakukan, terdapat sebahagian kecil milik orang tertentu, iaitu fakir miskin, juga mereka yang ditetapkan syariat.
Ibadah-ibadah ini tidak dilakukan oleh suami puan. Maka kesan daripada ibadah-ibadah itu tidak wujud pada diri suami puan kerana dia tidak menunaikan rukun yang ditetapkan ke atas setiap yang mengaku Islam. Kerana itu tidak pelik kalau perilakunya berkecenderungan melakukan kejahatan.
Tidak ada timbang rasa, menyebabkannya bersifat bengis, memarahi isteri yang sepatutnya disayangi dan dilindungi tanpa mengira tempat di hadapan khalayak. Begitu juga dengan sikapnya yang kadang-kadang mabuk, iaitu merosakkan akal yang dimiliki. Satu anugerah Allah yang tidak ada nilainya, yang membezakan manusia dengan binatang juga dengan makhluk-makhluk lain. Sesungguhnya arak itu ibu kejahatan.
Trend hidup kini, sama ada disedari atau tidak seumpama begitu sukar untuk membendung generasi sekarang daripada menonton video lucah. Untuk menjauhkannya ia memerlukan kawalan semua pihak iaitu ibu bapa, teman sekeliling di sekolah atau di sekitar tempat kediaman, pihak berkuasa kerajaan, sekolah dan sebagainya.
Selagi keinginan seseorang itu untuk menonton video lucah wujud, manakala penjual video lucah mahu mengaut wang hasil persundalan niaga, edaran video lucah seumpama itu tidak dapat dibendung. Walaupun demikian, sekiranya usaha-usaha mencegahnya dilakukan dengan bersungguh, kegiatan-kegiatan seumpama dapat dikurangkan.
Maksiat
Menonton video lucah termasuk dalam amalan maksiat yang boleh menghala kepada zina, kerana ia merangsang nafsu, tidak kira lelaki ataupun perempuan, tua atau muda. Ia termasuk dalam faktor-faktor atau perantaraan yang boleh menyebabkan seseorang itu terjebak dengan zina. Kerana itu, kalaulah kegiatan ini dapat dielakkan, secara tidak langsung kegiatan maksiat zina juga dapat dielakkan.
Dengan naiknya nafsu akibat menonton video lucah, seseorang itu berkemungkinan akan melakukan apa yang ditonton. Hal demikian berlaku pada suami puan, biarpun umurnya telah menjangkau penghujung 60-an. Kalau ini boleh berlaku kepada seorang lelaki yang boleh dikatakan lanjut umur, mempunyai isteri, tentunya ini juga akan berlaku kepada golongan muda yang mempunyai nafsu lebih kuat.
Liwat ataupun melakukan hubungan jenis pada dubur adalah sejahat-jahat perlakuan, tidak kira dilakukan ke atas sesama lelaki atau perempuan, sama ada pada dubur isteri atau bukan isteri. Amalan haram dan ditegah syarak.
Telah diriwayatkan daripada seorang sahabat yang masyhur namanya dipanggil dengan Ali bin Talaq r.a ia berkata, seorang Badui.. telah datang menemui Rasulullah dan berkata: “Ya Rasulullah, ada satu kemusykilan mengenai satu hukum, saya ingin tahu. Seorang lelaki daripada golongan kami berada di atas padang tanah lapang. Keluar daripada lelaki itu angin busuk, iaitu kentut. Ia membawa sedikit air. Ia hendak sembahyang dan mengambil wuduk. Kalau air itu diguna untuk wuduk, apa yang boleh diminum apabila dahaga. Berilah kami petua agar dapat saya amalkan.”
Mendengarkan kata-kata lelaki tadi baginda menjawab: “Apabila salah seorang daripada kamu terkentut, ia hendaklah berwuduk dengan air, andainya tidak ada air ia boleh tayamum.”
Kemudian Baginda menyambung katanya: “Dan jangan kamu datangi isteri kamu pada dubur mereka. Maka bahawasanya Allah tidak malu daripada yang hak” (Hadis Hasan).
Larangan ini adalah menyeluruh, termasuk isteri sendiri, biarpun atas alasan si isteri sedang dalam keadaan haid atau sakit farajnya. Dalam keadaan seperti ini, si suami hendaklah sabar menunggu sehingga si isteri telah bersih daripada haid atau telah sembuh farajnya.
Menurut Syafie, wati pada dubur (liwat) sehingga menyerupai orang yang wati pada kabul (bahagian hadapan) berdasarkan dalil daripada al-Quran dan hadis-hadis.
Menurut Imam Syafie lagi, tidak sayugia bagi isteri menurut kemahuan suami untuk melakukan liwat ke atasnya, andainya ia dipaksa atau dikasari, ia boleh membuat aduan kepada kadi. Kadi boleh menegah si suami daripada berbuat demikian. Andainya si suami tetap mengulanginya ia boleh menghukum sebagai pengajaran atau ajaran dengan hukuman yang lebih ringan daripada hukuman zina. Menurut Abu Hanifah dan Abu Yusuf, melakukan liwat adalah haram hukumnya.
Sesungguhnya amalan liwat itu tidak akan dilakukan oleh mereka yang baik fikirannya. Allah tidak memandang mereka yang berbuat demikian dengan pandangan rahmat. Amalan ini dilaknat oleh malaikat, juga sekalian manusia.
Dalam sebuah hadis, daripada Ibn Abbas, ia telah berkata kepada lelaki yang mewati akan seorang lelaki atau perempuan pada duburnya dengan pandangan belas kasihan.
Dalam sebuah hadis riwayat daripada Huzaimah bin Sabit, dinyatakan ada seorang lelaki telah bertanyakan Rasulullah mengenai amalan mendatangi isteri pada bahagian belakangnya. Baginda menjawab menyatakan halal. Apabila lelaki yang bertanya itu beredar pergi, baginda memanggilnya semula dan bertanya, tentang apa yang ditanyanya tadi, wati yang bagaimana yang dimaksudkan, atau pada bahagian mana yang dilakukan. Adakah ia melakukan wati dari bahagian belakang menuju ke lubang faraj atau wati bahagian belakang iaitu dubur? Kalau wati dari bahagian faraj maka tidak mengapa, tetapi wati daripada bahagian belakang menuju ke lubang dubur, tidak harus.
Baginda memberitahu kepada para sahabat, bahawasanya Allah tidak malu untuk memberitahu apa yang hak dan mustahak diberitahu andainya mereka semua malu mahu menyebutnya. Jaga-jaga jangan kamu semua melakukan wati terhadap isteri kamu pada bahagian duburnya. Hadis riwayat oleh an-Nasaiy, Imam Ahmad dan Ibn Habban.
Dalam hadis lain, baginda bersabda yang bermaksud: Barang siapa mendatangi perempuan yang haid ataupun perempuan yang haid pada bahagian duburnya, atau menemui tukang nujum lalu dia membenarkan apa yang dikatakan olehnya, maka sesungguhnya orang berkenaan telah kufur dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah ke atas Nabi Muhammad.’’ Riwayat Ahmad, at-Tarmizi dan an-Nasaiy.
Hubungan jenis
Keterangan di atas menjelaskan bahawa melakukan hubungan jenis melalui dubur adalah terlarang dan terlaknat biarpun terhadap seorang isteri. Orang yang waras tidak berkelakuan demikian, kerana itu, andainya suami bertindak untuk berbuat demikian, isteri tidak sewajarnya menuruti kehendaknya.
Liwat adalah hubungan seks luar tabii, bukan amalan orang yang beriman. Suami puan suka menonton video lucah yang boleh didapati di mana-mana dengan mudah. Sekali dia melakukan liwat terhadap puan berkemungkinan besar ia akan terus mengulanginya. Perbuatannya akan terhenti buat sementara apabila kehendak nafsunya terlaksana. Tiba waktunya apatah lagi dirangsang oleh video lucah yang ada dalam simpanannya ia akan melakukannya lagi.
Suami puan tidak sembahyang, tidak puasa, tidak mengeluarkan zakat kerana tidak diketahui sama ada tidak cukup nisab atau semata-mata keengganannya tidak diperjelaskan.
Biasanya insan seperti ini, juga tidak akan menunaikan haji. Dan seandainya dia meliwat di samping mengabaikan Rukun Islam, maka cukuplah rangkaian dosa besar itu menghuni dalam diri juga iktikad suami puan. Semoga Allah memberi hidayah kepadanya dan puan terselamat daripada diliwat.
Sumber: UtusanOnLine 07/12/2008
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...