“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Isnin, Julai 05, 2010

Prinsip dasar pembangunan insan terkandung dalam al-Quran


Assalamualaikum warahmatullah,

PELBAGAI kajian kontemporari membuktikan membaca dan menghafal al-Quran dapat mengawal seseorang daripada pelbagai penyakit, meningkatkan daya tahan tubuh serta meningkatkan kreativiti dan membentuk jati diri insaniah.

Amalan terbaik yang boleh dilakukan adalah membaca dan menghafal al-Quran, mengamalkan kandungannya, menerapkan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.

Pengalaman berinteraksi dengan al-Quran dalam masa lebih 20 tahun, seseorang akan menemukan suatu kepastian bahawa al-Quran memiliki pengaruh besar terhadap keperibadian manusia.

Ketika kita membaca sebuah buku mengenai Neoro Linguistic Programming atau seni pengurusan waktu atau seni bergaul maka penulisnya mengatakan: Membaca buku ini dapat mengubah hidup anda. Ertinya, kitab apapun yang dibaca seseorang itu akan mempengaruhi perilaku dan keperibadian kerana keperibadian adalah hasil daripada wawasan dan pengalaman, serta apa yang dibaca, dilihat dan didengar.

Sudah pasti buku karangan manusia pengaruhnya terbatas. Tetapi ketika berbicara mengenai Kitabullah (al-Quran) yang menciptakan manusia, di mana Allah lebih mengetahui apa yang ada dalam diri manusia dan apa yang menjadikannya lebih baik. Dengan demikian, kita menemukan dalam al-Quran itu maklumat yang diperlukan manusia dalam kehidupannya di dunia dan akhirat.
Justeru al-Quran adalah cahaya, ubat, petunjuk dan hidayah. Di dalamnya kita menemui masa lalu dan masa mendatang. Allah berfirman bermaksud: Yang tidak datang kepadanya (al-Quran) kebatilan dari depan mahupun dari belakangnya, yang diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana lagi Maha Terpuji. (Surah Fushilat: 42).

Setiap ayat yang kita baca, renungkan dan hafal itu dapat menciptakan perubahan dalam hidup kita. Bagaimana dengan orang yang membaca dan menghafal seluruh ayat al-Quran? Tidak diragukan bacaan al-Quran, renungan, dan penyemakan dengan khusyuk itu dapat membentuk keperibadian seseorang. Ini kerana al-Quran mengandungi pelbagai prinsip dan dasar yang mapan bagi pembangunan insan.

Sejauh manakah pengaruh al-Quran terhadap keperibadian seseorang Firman Allah bermaksud: Diwajibkan atas kamu berperang, pada hal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, pada hal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, pada hal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. (Surah al-Baqarah: 216).

Ayat ini mengandungi hukum yang memberi kebahagiaan bagi orang mengamalkannya dalam hidupnya. Sebelum membaca ayat ini, kita berasa sedih kerana mengalami musibah, atau merasakan ketakutan terhadap masa depan, kerana kita sedang cemas dengan sesuatu hal.

Selepas merenungkan ayat ini, kita menyedari Allah mentakdirkan segala sesuatu, dan Dia tidak akan memilih selain yang terbaik bagi kita, kerana Dia mengetahui masa depan, sedangkan kita tidak mengetahuinya. Oleh itu kita akan memandang sesuatu dengan optimis, meskipun sedih dan takut.




Sumber : Ibrahim Abdullah di BH 05/07/2010

Butiran selanjutnya ...

Ahad, Julai 04, 2010

2 hakim syarie wanita pertama Malaysia

KUANTAN Julai 2010 : Dua hakim syarie wanita pertama negara, Suraya Ramli dan Rafidah Abdul Razak, menyifatkan pelantikan mereka sebagai satu pengiktirafan serta mengangkat martabat wanita dalam kerjaya yang banyak dimonopoli lelaki.

Pengumuman pelantikan mereka dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang berkata buat julung kalinya kerajaan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin melantik mereka Mei lalu, dengan masing-masing ditempatkan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sambil memanjatkan rasa syukur, Suraya dan Rafidah turut menganggap pelantikan itu sebagai satu amanah selain membuktikan peranan dan sumbangan wanita sememangnya dihargai.


Suraya Ramli

“Saya anggap ini tugas besar dan akan menjalankan tugas dengan penuh amanah dan adil. Malah pengiktirafan ini maka lebih ramai lagi wanita akan mampu memegang jawatan yang selalunya dikuasai lelaki,” katanya pada majlis perasmian Persidangan Pegawai Syariah Kebangsaan Ke-12, di Bukit Gambang Resort City, di sini, semalam.

Suraya, 31, anak kelahiran Sabah, bertugas sebagai Pegawai Penyelidik Hakim Rayuan dan Penolong Pengarah Kanan Bahagian Latihan JKSM.


Rafidah Abdul Razak

Sementara itu, Rafidah, 39, yang berasal dari Pulau Pinang, menyuarakan penghargaannya kepada JKSM.

“Saya amat terharu dan berterima kasih kepada JKSM. Pelantikan ini juga bukti untuk mengubah persepsi masyarakat yang menunjukkan wanita juga mampu menggalas tugas dipikul golongan lelaki,” kata Pegawai Penyelidik Ketua Hakim Syarie dan Penolong Pengarah Latihan JKSM itu.

Terdahulu, dalam ucapan yang dibacakan Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zain, Najib berkata, pelantikan dua wanita itu turut menolak persepsi segelintir masyarakat yang sengaja menuduh Mahkamah Syariah mengamalkan diskriminasi gender sehingga menidakkan hak wanita dan kanak-kanak.

“Pada hari ini ramai wanita seolah merasakan diri mereka teraniaya dan tidak mendapat keadilan yang sewajarnya disebabkan kelewatan penyelesaian kes. Justeru, perlantikan dua Hakim Syarie ini pada pertengahan Mei lalu dapat merungkai permasalahan berkenaan,” katanya.

Najib berkata, kerajaan turut meluluskan peruntukan RM15 juta kepada Bahagian Sokongan Keluarga JKSM bagi membantu pihak yang teraniaya akibat kegagalan suami melaksanakan perintah nafkah oleh Mahkamah Syariah yang bertujuan bagi usaha transformasi institusi perundangan syariah di negara ini.

“Saya berharap setiap pegawai syariah sentiasa proaktif berijtihad dalam pentafsiran hukum syariah yang fleksibel dalam mengembalikan keyakinan umum ke atas keunggulan undang-undang Islam tanpa batasan bangsa atau jantina,” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan turut bersetuju melanjutkan had umur Ketua Hakim dari umur 58 tahun kepada 66 tahun sebagai menyempurnakan tuntutan transformasi selain sedia membantu bagi memberi peluang pegawai syariah melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (Phd)..

Sumber : BH 04/07/2010


Butiran selanjutnya ...

Awas daripada muflis di akhirat


Assalamualaikum warahmatullah,

Masih ingat lagi entry Menukar fitnah kepada syurga, saya ada menyelitkan :

Saya berkira-kira untuk tidak memaafkan hamba Allah yang telah memfitnah saya. Mengapa saya mesti memaafkan??? ..... Walaupun memberi maaf itu baik, namun tiada paksaan dalam Islam untuk memberi maaf. Dan percayakah anda jika saya nyatakan ia boleh dijadikan modal untuk dikutip hasilnya di mahkamah akhirat kelak? Ini salah satu cara menukar fitnah kepada syurga!
Saya telah berjanji untuk menghuraikan tentang ini di LamanSeri. Ikuti artikel Ustaz Syed Mohd Norhisyam, insya Allah, sungguh bermanafaat!



Diriwayatkan Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Adakah kamu semua mengetahui siapakah orang yang muflis?” Sebagaimana biasa, salah satu teknik didikan Rasulullah SAW adalah dengan cara kumikasi dua hala, iaitu dengan mengemukakan persoalan, diikuti penjelasan Baginda kepada persoalan tersebut.

Para sahabat menjawab, “Muflis kalangan kami ialah orang yang tiada dirham (tidak berduit) dan tidak memiliki sebarang harta (aset).”

Jawapan tersebut adalah berdasarkan kefahaman umum masyarakat ketika itu dengan kalimah muflis. Bahkan pada zaman sekarang, apabila disebut kalimah muflis, maka yang terlintas di dalam fikiran kita ialah seseorang yang tiada duit dan harta serta memiliki liabiliti (hutang) yang tidak mampu dibayar.

Lantas Rasulullah SAW menerangkan apakah pengertian muflis yang dimaksudkan. Baginda bersabda yang bermaksud, “Orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah seseorang yang dibangkitkan di akhirat kelak bersama-sama dengan pahala solat, puasa dan zakat yang pernah dilakukan semasa di dunia. Namun pada masa yang sama, dia juga membawa dosa memaki hamun orang lain, memfitnah, memakan harta orang, menumpahkan darah dan memukul orang. Waktu perbicaraan, diambil pahalanya (si muflis) dan dibayar kepada mangsa-mangsa tersebut. Dan sekiranya telah habis pahalanya, diambil pula dosa-dosa mangsanya, lalu dibebankan kepada si muflis. Kemudian dia dihumbankan ke neraka!” (Hadis riwayat Muslim dari Abu Hurairah, no 2581)

Hadis ini amat menakutkan. Inilah hakikat muflis atau bankrap yang hakiki. Penjelasan baginda ini cukup menggerunkan hati-hati orang yang tersemai iman di dasarnya, mereka bimbang sekiranya terjerumus ke kancah muflis. Adapun muflis dalam kehidupan dunia mungkin boleh diselesaikan atau berakhir. Namun muflis jenis ini membawa kesan dalam kehidupan ‘alam abadi’. Ya, kita semua jarang yang terlepas dari kesalahan ini. Namun kita wajar selalu berusaha dan ingin mengelaknya.

3 Modal, 5 Liabiliti


Modal yang dibawa ke akhirat kelak tidaklah terhad kepada tiga jenis pahala yang disebut di dalam hadis ini sahaja. Bahkan menurut Ibn ‘Allan al-Syafi’i dalam kitabnya, Dalil al-Falihin, juga termasuk pahala amalan soleh yang lain. Ini bermakna, segala kira bicara di akhirat kelak adalah berdasarkan ‘mata wang dosa pahala’. Ketika itu nilai ringgit sudah tidak laku, begitu juga riyal, dolar dan sebagainya. Manusia yang besar modal pahalanya, dia akan bergembira dan bersenang-lenang. Manakala yang kekurangan modal, pasti tercari-cari tempat bergantung yang sudah pasti tiada lagi. Bertambah malang lagi apabila modal yang sedikit terpaksa dibayar kepada manusia lain yang pernah menjadi mangsanya di dunia dahulu.

Apakah yang terjadi apabila tiba-tiba dia kehabisan modal, sedangkan hutang yang dituntut masih belum selesai? Maka ketika itu dia dipaksa pula oleh malaikat untuk memikul dosa mangsanya. Sahlah, dia telah muflis!

Dosa kepada manusia

Apabila ditilik kembali kelima-lima dosa yang menjadi liabiliti di akhirat kelak, semuanya berkait rapat dengan hubungan sesama manusia.

Memaki hamun orang lain
seperti pekerja, orang miskin, orang yang lemah, apatah lagi isteri atau ibu bapa sendiri, hanya mampu memberikan kepuasan sementara kepada seseorang, tetapi bahananya menanti di akhirat kelak.

Begitu juga pemfitnah, dia begitu seronok melihat mangsa fitnahnya dibenci masyarakat atau dikenakan tindakan tertentu di dunia, tetapi dia pasti menyesal apabila diminta membayar pahalanya kepada mangsa fitnah tersebut. Menyesal ketika itu sudah tiada manafaatnya. Bak kata pepatah Melayu, “menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya.”

Ada juga yang memakan harta orang lain dengan cara yang tidak diredhai agama seperti menipu, pecah amanah, mencuri, merampas dan sebagainya. Mereka begitu licik ketika di dunia ini tetapi ke manakah tempat untuk bersembunyi apabila berhadapan dengan malaikat di akhirat kelak? Ada yang berhutang dengan niat untuk tidak membayarnya, pekerja mencuri harta majikan, majikan yang tidak menyempurnakan gaji pekerja, peniaga yang menipu dalam urus niaga dan sebagainya. Manusia seperti ini adalah calon yang sangat layak mendapat title muflis di akhirat kelak!

Begitu juga para samseng yang memukul dan melukakan orang lain, bersedialah berhadapan dengan mangsa-mangsa anda di mahkamah Allah SWT nanti. Kekuatan dan ruang di dunia ini hanya sementara, tetapi ingatlah bahawa doa manusia yang dizalimi tiada hijab di hadapan Allah. Doa mereka mudah dikabulkan.

Bagaimana mengelak menjadi muflis?


Ada dua pilihan sahaja untuk mengelakkan diri daripada diisytiharkan muflis di akhirat. Sama ada tidak melakukan dosa terhadap manusia lain atau sekiranya telah melakukannya, mestilah memohon maaf dan redha daripada mangsa ketika di dunia lagi. Biarlah bersusah payah dan menahan malu ketika di dunia kerana ini lebih baik daripada diisytiharkan muflis di akhirat. Sedarlah seseorang yang diisytiharkan bankrap di dunia, mereka masih ada kawan-kawan atau sanak saudara yang boleh memberi modal untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan, tetapi apabila Allah yang telah mengisytiharkan muflis di akhirat, ke manakah lagi hala tuju kita, melainkan neraka… sebagaimana yang diungkapkan oleh Rasulullah SAW.

Ingatlah dosa memaki hamun hanya terhapus dengan cara memohon maaf daripada orang yang dimakinya. Begitu juga dengan memukul dan melukakan orang, Islam memberi hak qisas (balas balik) kepada yang menjadi mangsa. Perbuatan fitnah pula disyaratkan memohon maaf dan mengisytiharkan kepalsuan fitnah tersebut. Dan dosa kelima iaitu memakan harta orang, dia mestilah memulangkan balik nilai harta tersebut atau mendapat redha mangsa. Mampukah kita lakukan semua itu? Jika tidak, jangan buat dosa!

Ulama tasawuf yang mengatakan: “Jangan melihat dosa itu kecil atau besar tetapi lihatlah kepada siapa kita melakukan dosa itu.”

Malah balasannya juga boleh dilihat pada peristiwa yang dilihat oleh Rasulullah SAW sepanjang perjalanan Israk dan Mikraj. Ia satu gambaran bagaimana balasan yang akan diterima mereka yang melakukan dosa-dosa besar. Ertinya setiap kejahatan itu akan dibalas-Nya setimpal dengan dosa yang dilakukan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, Segala hak akan dibayar kepada empunya pada Hari Kiamat, sehinggakan akan dibalas untuk biri-biri yang bertanduk atas perbuatannya ke atas biri-biri yang tidak bertanduk.” (Hadis riwayat Muslim)

Satu renungan untuk kita semua...




Dirujuk daripada artikel : Ustaz Syed Mohd Norhisyam dalam Majalah Solusi Isu#20

Capaian entry berkaitan :

Butiran selanjutnya ...

Sabtu, Julai 03, 2010

Isteri berleter 6 hari setahun

~ Suami yang perlu diingatkan berulang-ulang kali ibarat tukul dengan pahat ~

Assalamualaikum warahmatullah dan selamat sejahtera,

TAK buat salah, buat pun salah. Serba tak kena jadinya hingga apa saja yang dibuat semuanya salah di mata isteri. Pakai baju warna terang, salah beli peralatan sistem audio kereta dek kerana minat pun salah.

Itu belum lagi mengambil kira detik suami pulang lewat - habis ditanya itu ini bagai pegawai polis penyiasat kes. Bayangkan, lelaki yang letih bekerja seharian tiba-tiba berdepan dengan situasi isteri membebel minta seribu macam penjelasan. Tentu boleh naik angin satu badan si suami bukan? Andai pada awal perkenalan hingga diijab kabul, ‘sindrom berleter’ si isteri hampir tidak dikesan atau jika adapun sekadar manja-manja, lain pula senarionya apabila rumah tangga makin meningkat.

Tidak hairanlah, kajian yang dikendalikan di London, baru-baru ini merekodkan, secara purata, seorang isteri menghabiskan masa hampir 6 hari dalam tempoh setahun semata-mata untuk berleter kepada suami mengenai pelbagai perkara terutama berkaitan urusan rumahtangga.

Menurut laporan itu yang dibaca di BH20/06/2010, mendapati isteri tidak merasa bersalah berleter terhadap suami mereka manakala si suami secara rahsia merasakan bahawa mereka sentiasa betul. Kajian yang membabitkan lebih 3,000 orang dijalankan oleh kumpulan kempen kesihatan Everyman. Golongan isteri dianggarkan menghabiskan kira-kira 7,920 minit setahun untuk berleter kepada suaminya mengenai rutin rumahtangga, tabiat minum dan kesihatan mereka. Ia bersamaan dengan dua jam setengah setiap minggu atau keseluruhan 11 jam sebulan atau hampir enam hari setahun.... NB : Alaaa... Berleter 6 hari saja... setahun ada 365 hari, jika difikirkan mereka ada 359 hari yang aman tanpa leteran. Bersyukurlah!

Kajian itu merumuskan, perkara biasa yang dileteri wanita mengenai pasangan mereka adalah tidak membantu mengemas rumah. Aduan lain termasuk tidak membantu membersihkan pinggan mangkuk, terlalu banyak minum dan tidak mendapatkan rawatan doktor.

Majoriti wanita tidak berasa malu suka berleter dengan 87% mengakui SUKAR untuk memastikan pasangan melakukan sesuatu. Manakala lelaki berkata, mereka tidak mengakui perkara itu dengan 83% merasakan mereka sentiasa betul. Walaupun berleter adalah satu perkara yang tidak disukai dalam satu perhubungan, strategi berkenaan kadang-kala dilihat lebih efektif, berdasarkan kepada kajian.

Ini adalah keputusan kajian yang dilakukan di luar negara. Saya kurang pasti sama ada, ada atau tidak kajian sebegini di Malaysia. Mungkin ada pihak yang berminat untuk melakukannya, kongsikanlah keputusannya di BH (sebab saya suka baca BHOnLine... hik hik...). Mujur juga saya tidak dibesarkan dengan budaya berleter dan tidak pula membiasakan budaya berleter ini, jika tidak, sudah tentu saya juga suka berleter. Berleter menggunakan mulut adalah lebih berbisa tetapi amat memenatkan, jika dibandingkan dengan berleter di belog... hemmm.... bueno!

Apakah benar memang lumrah wanita sentiasa berleter atau ada sebab mengapa golongan Hawa secara semula jadi suka membebel? Adakah faktor cemburu, cerewet atau memang tidak senang dengan perubahan dan sikap si suami yang dikhuatiri mengancam kebahagiaan rumahtangga? Tidakkah isteri terfikir bagaimana agaknya emosi suami berdepan dengan tekanan setiap hari? Bagaimana pula dengan maruah suami yang menahan bebelan isteri di hadapan anak-anak mahupun orang di sekeliling?

Rasa-rasanya, wanita bergelar isteri TIDAK MUNGKIN berleter tidak tentu fasal atau tanpa sebab yang munasabah. Cuba dengar apa butir ‘peluru’ yang dileterkannya? PERCAYALAH, suami yang tidak peka dan tidak perihatin dengan permasalahan rumahtangga memang mudah dan patut pula dileteri isteri. Setuju?

Saya mengandaikan, leteran mereka yang bergelar isteri, tidak kira di negara mereka berada, sedikit-sebanyak tentu ‘peluru leteran’ mereka bernada yang sama. Mari kita BACA semula alasan wanita berleter dalam kajian Everyman. Antaranya :
  1. tidak membantu mengemas rumah
  2. tidak membantu membersihkan pinggan mangkuk
  3. terlalu banyak minum (saya fikir minuman alkohol, banyak ‘ngeteh’ tarik di mamak pun tak bagus juga, nanti *tut* senang diserang angin!)
  4. tidak mendapatkan rawatan doktor
Adakah leteran mengenai rutin rumahtangga, tabiat minum dan kesihatan mereka dianggap negatif? Mereka yang menganggapnya negatif mungkin saja jenis species yang tidak tahu pandai menghargai diri sendiri dan pasangan masing-masing… Boleh jadi juga mereka ini jenis yang lembab kerana ‘terpaksa disuruh, barulah hendak buat’. Sikap begini tidak berapa moleklah... ya, ibarat pahat yang suka sangat menunggu diketuk dengan tukul baru hendak masuk!

Suami mahu dengar bebelan tiga perkataan saja dan pilih lepak kedai mamak elak telinga bingit

Mengulas mengenai kecenderungan isteri kuat berleter terutama dalam konteks masyarakat tempatan, pakar motivasi dan psikologi terkenal, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, berpendapat memang sudah lumrah semulajadi wanita yang memiliki paras hormon estrogen berlebihan lalu gemar meluahkan pendapat dan pandangan sehingga dilihat seolah-olah berleter. Sedangkan Mohd Fadzilah berkata, tujuan utama wanita terutama isteri berleter ialah untuk membuktikan kasih dan sayang kepada pasangan.

“Malah, sudah dibuktikan dalam kajian di mana kita melihat bagaimana wanita mampu melontarkan sehingga 30,000 kuota simbol dan kata-kata dalam sehari sedangkan lelaki hanya kira-kira 7,000 kuota yang sama. Ini didorong pembentukan otak wanita yang sentiasa aktif melakukan dua perkara serentak membuatkan mereka dilihat suka berkata-kata dan melakukan banyak perkara yang lelaki sendiri tidak lakukan,” katanya.

Ditanya apakah mungkin berlaku kesan psikologi kepada suami jika saban hari dileteri isteri, Mohd Fadzilah berkata, “Memang tidak dinafikan lelaki akan menganggapnya begitu. Apatah lagi memang sifat semula jadi lelaki tidak suka diingatkan berulang-ulang terutama apabila dipesan isteri. Tanyalah mana-mana lelaki dari budak kecil hingga kepada golongan tua. Mana ada yang suka diingatkan berulang-ulang lebih-lebih lagi oleh wanita. Sebab itu, saya cadangkan dimasukkan sekali modul hubungan komunikasi suami isteri kepada bakal pengantin ketika mereka menghadiri kursus pra perkahwinan. Ini dapat membantu meningkatkan kualiti hubungan kekeluargaan,” katanya yang memuji modul pra perkahwinan yang lebih menyeluruh diperkenalkan kepada bakal pengantin muslim di Singapura.

Mohd Fadzilah berkata, modul pra perkahwinan di Singapura meliputi lapan modul antara lain menekankan aspek bimbingan sebelum berkahwin, ketika mendirikan rumahtangga, mendidik anak-anak sehingga hubungan komunikasi suami.

“Saya tidak bermaksud yang kursus pra perkahwinan di Malaysia tidak baik. Namun, adalah lebih baik andai elemen komunikasi ditekankan supaya ikatan perkahwinan menjadi lebih bererti andai pasangan saling memahami. Elemen komunikasi ini bagaimanapun ditekankan dalam program yang dikendalikan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPLKN),” katanya yang sering diundang menyampaikan ceramah motivasi terutama dalam konteks hubungan suami isteri.

Menyentuh hal berkaitan keperibadian lelaki tatkala berdepan wanita yang suka berkata-kata, Mohd Fadzilah berkata, sudah menjadi lumrah lelaki kurang berasa selesa apabila sentiasa diingatkan dalam banyak perkara terutama sesuatu yang difikirkan tidak penting. Sehubungan itu, adalah penting untuk wanita terutama isteri memahami masa yang sesuai untuk menegur atau memberi pandangan kepada pasangan mereka.

“Jangan terkejut jika dikatakan lelaki sebenarnya hanya mahu mendengar tiga patah perkataan saja dan selebihnya dirasakan seolah-olah tidak perlu. Sebab itu, wanita perlu mencari waktu sesuai untuk menyampaikan mesej. Adalah penting bentuk komunikasi dipelajari antara kedua pihak. Ini kerana melalui hubungan komunikasi itulah resipi kejayaan dalam mengeratkan hubungan suami isteri,” katanya sambil menambah isteri boleh menegur suami asalkan kena pada tempat dan situasinya.

Ditanya soal tip suami menegur isteri yang suka membebel, menurut beliau, sebagai ketua keluarga, suami wajar memberi nasihat tetapi biarlah secara rasional dan tidak sehingga mengguris hati pasangan. Beliau menyarankan suami merenung faktor mengapa isteri berkeadaan sedemikian. Mohd Fadzilah berkata, budaya masyarakat yang tidak romantik antara sebab wanita sedikit tertekan. Ini kerana surirumah melakukan banyak benda termasuk memasak, menjaga anak-anak dan menguruskan rumahtangga.

“Saya percaya, jika hubungan komunikasi dan saling bertolak ansur dapat dibentuk, kebahagiaan suami isteri dapat dikecapi... Insya Allah,” katanya sambil berkongsi fakta bahtera perkahwinan yang dilayarinya kini sudah mencecah usia 33 tahun.

9 Tip elak leteran isteri

1. Respon

Cuba dengar apa yang dileterkan oleh isteri anda. Buat sajalah atau respon cepat-cepat kepada perkara yang dileterkan isteri. Jika anda buat, sudah tentu isteri tiada bahan untuk dijadikan leteran.

2. Pendekatan diplomatik


Andai isteri sedang berleter, anda guna pendekatan diplomatik untuk tidak menghangatkan lagi emosi si dia.

3. Beri penjelasan

Berdiam diri bukanlah penyelesaian terbaik bagi mengurangkan leteran isteri. Sebaliknya adalah lebih baik anda berterus terang dan memberikan penjelasan yang boleh menyenangkan hati isteri.

4. Jangan main api

Apabila isteri sudah berleter, anda pula janganlah membakar perasaannya untuk berkeras dan bergaduh. Gunakan pendekatan terbaik memperbaiki komunikasi dan menjaga hatinya.

5. Renung Muhasabah diri

Memang lelaki kuat egonya. Namun, tidak salah mengurangkan rasa ego dengan menilai kembali sikap diri sendiri. Anda mungkin bersikap pemalas dan tidak mengambil berat hingga menjadi punca isteri berleter.

6. Bantu isteri

Tidak jatuh standard dan maruah anda sebagai lelaki jika saling membantu isteri menguruskan rumahtangga. Menguruskan rumahtangga BUKAN tanggungjawab mutlak isteri. Ingat tu! Rujuk :
  1. Q&A : Tanggungjawab suami uruskan rumah,
  2. Benarkah Tugas Istri Itu Mengurus Rumahtangga?
  3. Nafkah isteri - Kewajipan Suami Menyediakan Pembantu
Adalah satu bonus dan besar pahalanya bagi isteri yang relahati melakukan kerja-kerja rumahtangga. Jika Isnin hingga Jumaat isteri yang memasak, apa kata hujung minggu anda pula ke dapur?

7. Duduk berbincang

Kurang komunikasi antara sebab mengapa masalah berleter menjadi semakin genting. Rasanya, mungkin ada baiknya jika suami isteri duduk berbincang antara empat mata bagi menyelidik masalah sebenar yang dihadapi.

8. Hangatkan kembali hubungan

Suami menyedari ‘sindrom’ berleter hampir tidak berlaku ketika awal percintaan, namun tahukah lelaki mengapa wanita membebel? Jawapannya ialah suami sudah kurang memberi perhatian dan terhakis sifat gentlemen.

9. Alat bantuan

Hemm... masih tidak berkesan? Ubat penahan leteran paling mujarab? Atau anda boleh dapatkan ear plug dari farmasi berdekatan dengan rumah anda!

Semoga dijadikan teladan. Renung-renungkan!




Capaian entry berkaitan :

Butiran selanjutnya ...

Pelajar perempuan dominasi kemasukan ke universiti awam

Pelajar perempuan dominasi kemasukan ke universiti awam

KUALA LUMPUR: Pelajar perempuan terus mendominasi kemasukan di universiti awam apabila menguasai 64.8% atau 26,229 daripada 40,506 tempat yang ditawarkan untuk program ijazah pertama bagi sesi akademik 2010/2011 yang akan mendaftar pada Sabtu dan Ahad ini.

Jumlah mereka juga melebihi lelaki bagi program pengajian lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf yang akan mendaftar pada tarikh sama dan 23 Mei lalu dengan 21,567 pelajar perempuan berjaya mendapat tawaran atau 58.45% daripada keseluruhan 36,900 tempat kemasukan.

Hanya 35.2% atau 14,277 pelajar lelaki mendapat tempat dalam program pengajian lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)/Matrikulasi/Asasi/Setaraf (Ijazah Pertama) dan 41.55% atau 15,333 untuk kemasukan program lepasan SPM atau setaraf.

Menurut sumber Kementerian Pengajian Tinggi, jumlah penawaran tempat kepada pelajar perempuan mengatasi pelajar lelaki bagi semua kategori kaum bagi kedua-dua peringkat program pengajian.

Bagi program ijazah pertama, 18,814 atau 65.7% pelajar Bumiputera adalah perempuan berbanding 9,819 atau 34.3% lelaki, Cina (5,909 atau 61.8% perempuan dan 3,660 atau 38.2% lelaki), manakala India dan lain-lain (1,506 atau 65.4% perempuan dan 798 atau 34.6% lelaki).

Sumber itu berkata, bagi program lepasan SPM/setaraf, 21,032 atau 58.50% pelajar Bumiputera adalah perempuan berbanding 14,919 atau 41.50% lelaki, Cina (351 atau 58.50% perempuan dan 249 atau 41.50% lelaki), manakala India dan lain-lain (205 atau 58.74% perempuan dan 144 atau 41.26% lelaki).

Katanya, dominasi kemasukan pelajar perempuan ke IPTA selari jurang gender yang amat ketara antara pelajar perempuan dan lelaki dalam permohonan untuk kemasukan program lepasan STPM/Matrikulasi/Asasi/Setaraf (Ijazah Pertama), tahun ini.

Beliau berkata, sebanyak 67% atau 41,046 daripada keseluruhan 61,228 permohonan diterima adalah daripada pelajar perempuan dengan jumlahnya melebihi sekali ganda berbanding hanya 33% atau 20,182 calon lelaki.

Malah, bilangan pemohon perempuan pada kemasukan tahun ini meningkat berbanding 40,886 tahun lalu, melebihi sekali ganda daripada 20,141 permohonan oleh pelajar lelaki.

Katanya, bilangan pelajar perempuan mengatasi lelaki bagi permohonan dalam semua kategori kaum yang meliputi 44,305 Bumiputera, Cina (12,342) serta India dan lain-lain (4,581).

Bagi kategori Bumiputera, 68.8% atau 30,471 permohonan diterima daripada perempuan berbanding 31.2% atau 13,834 lelaki, Cina (62.4% atau 7,701 perempuan, 37.6% atau 4,641 lelaki), manakala India dan lain-lain (62.7% atau 2,874 perempuan dan 37.3% atau 1,707 lelaki).

Malah, bilangan calon perempuan jauh mengatasi lelaki bagi permohonan program lepasan SPM/setaraf dalam semua kategori kaum dengan Bumiputera 60.25%, Cina atau 62.87% dan India serta lain-lain 61.56%.

Sementara itu daripada jumlah tempat ditawarkan IPTA bagi program ijazah pertama, Universiti Utara Malaysia (UUM) mendahului senarai dengan mengambil seramai 4,392 pelajar baru, diikuti Universiti Malaysia Sabah (UMS) (4,001) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) (3,717).

Universiti Sains Malaysia (USM) (3,694), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (3,436), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) (2,973), Universiti Malaya (UM) (2,819) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) (2,495), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) (2,304), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) (2,218), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) (1,945), Universiti Malaysia Pahang (UMP) (1,674), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) (1,406).

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) (1,168), Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA – sebelum ini dikenali sebagai Universiti Darul Iman Malaysia/UDM) (881), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) (678), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) (445) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) (260).

Sumber : BHarian 01/07/2010



Lebih ramai digalak ikuti Vokasional-Teknikal: TPM

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan meningkatkan penyertaan pelajar mengikuti pendidikan Vokasional-Teknikal atau 'voctech', antara usaha untuk menyalurkan pelajar lelaki yang gagal melanjutkan pengajian di universiti awam ke bidang yang diminati, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sambil menyifatkan dominasi pelajar wanita di institusi pengajian tinggi fenomena global, Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan berusaha untuk meningkatkan prestasi pelajar lelaki yang didapati gagal memberi tumpuan pada pelajaran selain dipengaruhi keadaan persekitaran.

“Kementerian Pelajaran meneliti perkara ini tetapi pada masa sama jika pelajar lelaki tidak berapa berminat dalam soal akademik, maka kita harus salurkan mereka ke bidang yang mereka minati.

“Sebab itu, ini ada kaitan dengan keputusan saya supaya kita tingkatkan pembelajaran dalam bidang vokasional, yang ini berlaku di lain-lain negara di mana kemasukan pelajar ke bidang vokasional sama banyaknya dalam bidang akademik.

“Mungkin di peringkat itu, pelajar lelaki boleh dikatakan lebih sesuai kerana mereka lebih mudah dalam kemahiran, perkara yang berkaitan vokasional, mungkin kita akan lihat ada kemajuan dalam satu saluran bidang lebih diminati pelajar lelaki,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Pendidikan Prasekolah Kebangsaan 2010, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom. Sebanyak 14 kertas kerja dibentangkan selain 12 sesi bengkel pada persidangan yang berlangsung selama empat hari berakhir hari ini.

Berita Harian semalam melaporkan pelajar perempuan terus mendominasi kemasukan di universiti awam apabila menguasai 64.8 peratus atau 26,229 daripada 40,506 tempat yang ditawarkan untuk program ijazah pertama bagi sesi akademik 2010/2011 yang akan mendaftar pada Sabtu dan Ahad ini.

Laporan turut menyebut jumlah mereka juga melebihi lelaki bagi program pengajian lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf yang akan mendaftar pada tarikh sama dan 23 Mei lalu dengan 21,567 pelajar perempuan berjaya mendapat tawaran atau 58.45 peratus daripada keseluruhan 36,900 tempat kemasukan.

Sebelum ini, Kementerian Pelajaran mensasarkan penyertaan pelajar yang mengikuti pendidikan `voctech' meningkat 20 peratus menjelang 2015, berikutan pelbagai usaha terancang dilaksanakan.

Katanya, fenomena dominasi pelajar perempuan bukan saja berlaku di Malaysia tetapi di banyak negara lain yang turut berdepan dengan keadaan hampir sama.

“Sebab musabab itu mungkin boleh dijadikan satu bahan perdebatan, yang pentingnya kita tidak rasa gusar mengenai hal itu kerana saya fikir pejuang gender wanita berbangga dengan pencapaian pelajar perempuan yang cemerlang dalam pendidikan, ” katanya.

Sumber : BH 02/07/2010


Butiran selanjutnya ...

Tanda lelaki tak mahu komitmen


Assalamualaikum warahmatullah dan selamat sejahtera,

Entry ini saya jumpa di Kosmo! OnLine, hasil tulisan SuzanaGhazali. Tips yang berguna untuk dijadikan panduan...

Komitmen merupakan satu perkara penting dalam hubungan; sama ada sebelum perkahwinan apatah lagi semasa dalam tempoh perkahwinan. Malah, ada ketikanya, komitmen masih perlu selepas berlakunya pembubaran perkahwinan terutamanya bagi perkara yang berkaitan dengan kemaslahatan dan kebajikan anak-anak.

Masalah yang berlaku ialah sukarnya bagi seorang gadis (bagi yang belum berkahwin) atau isteri juga bekas isteri menentukan sama ada pasangannya atau bekas pasangannya itu memberikan komitmen yang sewajarnya atau sebaliknya.

Terdapat enam tanda utama seseorang itu enggan memberikan komitmen iaitu:

  1. Suka mengelak
  2. Memberi alasan
  3. Mencari salah pasangan
  4. Tidak berikan kerjasama
  5. Sukar dihubungi
  6. Tiada komunikasi


1. Suka mengelak

Jika pasangan anda suka mengelak; sama ada daripada memperkatakan tentang hubungan anda atau tentang halatuju perkahwinan anda atau tentang apa jua perkara yang berkaitan dengan hubungan kalian, itu tandanya dia tidak berminat lagi untuk meneruskan komitmen terhadap hubungan anda berdua.

Mengelak boleh berlaku dalam banyak keadaan; dia boleh tidak berterus terang; juga mencari jalan agar membincangkan perkara lain yang tidak berkaitan dengan hubungan anda atau menukar tajuk perbincangan tentang hubungan anda yang telah anda mulakan malah dia juga boleh mendiamkan diri.

2. Memberi alasan

Individu yang tidak mahu berikan komitmen juga akan mudah memberi alasan bila diajukan persoalan atau perbincangan mengenai hubungan anda bersamanya. Sebagai contoh; jika anda merancang untuk berkahwin; si dia akan memberi alasan demi alasan untuk tidak mengusahakan rancangan perkahwinan anda itu. Sekiranya anda telah berkahwin pula dan si dia berusaha memberikan pelbagai alasan untuk tidak meluangkan masa bersama anda.

3. Mencari salah pasangan

Ada ketikanya pula; individu yang enggan berikan komitmen akan sengaja mencari malah mereka-reka salah pasangan. Mereka akan bersikap agresif; menyalahkan pasangan walau hanya atas alasan yang remeh dan dalam sesetengah keadaan akan memanipulasi keadaan persekitaran hingga mewujudkan rasa bersalah yang tinggi kepada pasangan dan pengakuan bersalah pasangan menjadi batu loncatan buat mereka bagi menamatkan perhubungan.

4. Tidak berikan kerjasama

Individu yang tidak mahukan komitmen juga akan bersikap tidak bekerjasama. Mereka mungkin mengaku akan lakukan sesuatu yang dihajati oleh pasangan tetapi akhirnya pengakuan hanya tinggal pengakuan dan hajat pasangan akan dibiarkan tanpa sebarang pelaksanaan. Individu ini juga akan bersikap tidak peduli dengan kehendak pasangan; biar dipujuk atau dirayu; mereka akan membatukan diri, bersikap selamba malah bersikap memekakkan telinga.

5. Sukar dihubungi

Individu yang tidak mahukan komitmen juga sukar untuk dihubungi. Malah selalunya mereka akan bersikap mendiamkan diri, tidak akan menghubungi anda kecuali dihubungi dan ada tikanya tidak melayani panggilan anda. Dalam perkahwinan pula, mereka akan bersikap menyendiri dan membiarkan pasangan bercakap sendiri.

6. Tiada komunikasi

Mereka yang tidak mahukan komitmen juga bersikap menafikan sebarang bentuk komunikasi dengan anda. Komunikasi bukan saja wujud dalam perbualan sebaliknya juga melalui bahasa tubuh iaitu sikap, perlakuan malah memek muka. Penampilan wajah yang tidak ceria atau masam tika bersama pasangan, tanpa apa-apa penjelasan atau alasan yang wajar; menjadi tanda dia tidak mahukan komitmen bersama anda.

Sumber : Suzana Ghazali di Kosmo! 21/05/2010


Butiran selanjutnya ...

Jumaat, Julai 02, 2010

Syor moral, agama Islam subjek wajib lulus SPM


Jalan terakhir untuk remaja dapat didikan akhlak: Mufti


KUALA LUMPUR : Kerajaan diminta mewajibkan mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral sebagai syarat lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya ilmu yang dipelajari dapat dipraktik dan diamalkan dalam kehidupan seharian pelajar.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata pihaknya mendapati pembelajaran agama Islam di kalangan pelajar masih belum mencukupi untuk membentuk sahsiah dan moral mereka, selagi mata pelajaran itu tidak dijadikan mata pelajaran wajib.

“Kami melihat usaha mendidik remaja tidak akan berkesan selagi mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral untuk bukan Islam masih dijadikan kurikulum sampingan kerana mereka akan mengambil sikap sambil lewa dan tidak peduli untuk mempelajarinya. Jika ia dijadikan syarat wajib maka saya yakin keadaan sebaliknya akan berlaku. Mahu tidak mahu, suka tidak suka mereka akan mendalami, memahami mengenai ilmu itu dan secara tidak langsung ia akan meresap ke jiwa mereka.”

“Bagi saya kerohanian amat penting sebagai pengisian kehidupan seseorang tetapi kurikulum pendidikan kita banyak menumpukan kepada pembangunan ekonomi dan tidak menekankan isu moral. Apabila tiada kekuatan kerohanian, maka berlaku pelbagai perkara tidak diingini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Semalam, pelbagai pihak menggesa kerajaan memperkenalkan segera pendidikan seks secara formal di sekolah serta memperketatkan dan menguatkuasakan undang-undang bagi membendung capaian remaja terhadap unsur pornografi sebagai langkah membanteras salah laku seks dan pembuangan bayi yang semakin berleluasa.

Pengerusi Kesatuan Guru-Guru Sekolah Tamil Malaysia, P Dharmalingam, berkata subjek Pendidikan Moral perlu dijadikan mata pelajaran wajib dalam peperiksaan awam kerana dilihat mampu meningkatkan kekuatan dalaman seseorang pelajar sekali gus mengelakkan mereka terjebak dalam gejala sosial yang tidak sihat.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengemaskini dan melihat kembali mata pelajaran itu yang diajar di peringkat rendah dan menengah supaya ia lebih bersesuaian dengan kehendak dan suasana semasa.

“Saya tidak kata mata pelajaran itu tidak bagus kerana ia mungkin sesuai dengan suasana dan keadaan masa itu tetapi saya tidak fikir ia sesuai diguna pakai pada masa ini kerana masa itu gejala sosialnya tidak sehebat sekarang. Jadi, saya sarankan kerajaan mengubah isi kandungan subjek berkenaan bagi memasukkan beberapa elemen penting supaya ia lebih mantap dan sesuai untuk diguna pakai,” katanya.

“Kekuatan dalaman, moral amat penting untuk kita membendung gejala tidak sihat. Semua agama tidak kira Islam, Buddha atau Hindu melarang penganutnya melakukan kemungkaran. Justeru penghayatan nilai murni disertai dengan pendidikan moral di peringkat awal adalah perlu,” katanya.

Sumber : BHarian 02/07/2010


Butiran selanjutnya ...

Buang bapa di rumah jagaan bukan Islam

JAAFAR ditinggalkan anak di rumah jagaan orang tua bukan Islam di Mount Erskine, Georgetown sejak setahun lalu.

Warga emas mohon tempat lebih selesa bagi mudah ibadat

GEORGETOWN: Seorang warga emas berusia 85 tahun yang uzur mendakwa ‘dibuang’ ahli keluarganya dengan menempatkannya di sebuah rumah jagaan orang tua swasta yang dikendalikan bukan Islam di Mount Erskine di sini, sejak setahun lalu.

Jaafar Ali, yang terpaksa menggunakan topang untuk bergerak kerana pahanya dimasukkan besi selepas terbabit kemalangan serta menghidap kencing manis, kini tinggal sebumbung dengan bukan Islam yang turut membela anjing.

Dengan usianya yang semakin lanjut, Jaafar amat mengharapkan dapat tinggal di tempat lebih selesa untuk beribadat dengan tenang dan sempurna bersama sebelum ‘menutup mata’ selama-lamanya. Jaafar yang sebak apabila menceritakan nasib malangnya, berkata dia tidak kisah jika anaknya menghantarnya ke rumah orang tua diuruskan orang Islam, bukannya tempat didiami sekarang.

“Selepas meninggalkan saya di sini sejak setahun lalu, anak saya tidak pernah datang menjengok dan bertanya khabar. Saya sangat sedih dan tidak sangka mereka buat saya macam ini. Tergamak mereka buang saya di sini. Saya tidak kisah jika mereka hantar ke rumah orang tua yang diuruskan oleh orang Islam, bukannya tempat macam ini, yang turut membela anjing.”

“Pak cik dah tua, nak beribadat dengan tenang dan sempurna sebelum habiskan sisa-sisa hidup. Tetapi, tempat macam ini tidak sesuai. Mana lagi saya nak pergi,” katanya yang sebak mengenangkan nasibnya dalam pertemuan dengan Berita Harian, semalam.

Bekas pekerja Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) berasal dari Kampung Dodol, Jalan Perak di sini, mempunyai isteri, Rafiah Senapi, 70-an, yang lumpuh dan tinggal bersama anaknya di Penanti, Bukit Mertajam.

Jaafar mendakwa, walaupun anaknya menghantarnya ke pusat jagaan itu, bayaran bulanan sebanyak RM700 kepada pusat itu, menggunakan wang pencennya. Difahamkan, pusat jagaan itu mempunyai kira-kira 10 penghuni bukan Islam, manakala sebahagian besar petugasnya adalah wanita.

Jaafar yang mempunyai empat anak tetapi seorang daripadanya sudah meninggal dunia, mendakwa tiada seorang pun anaknya sanggup membelanya, walaupun mereka bukanlah orang susah.

“Saya begitu sedih kerana tiada siapa yang mahu tolong saya. Adik beradik dan anak semuanya tidak mahu tolong. Anak tidak ingatkan bapa lagi walaupun kita yang bela sejak kecil,” katanya sambil merintih dia tidak ‘tahan’ lagi tinggal di pusat jagaan itu kerana tidak dapat beribadat dengan sempurna. Dia beberapa kali menadah tangan tanda bersyukur apabila melihat wakil Berita Harian mengunjungi rumah jagaan itu.

“Saya mahu keluar dari sini, tak kisah pergi ke mana-manapun,” katanya yang merayu mana-mana pihak untuk membantu menempatkannya di rumah orang tua yang diuruskan orang Islam.

“Saya mahu beribadat kepada Allah untuk menghabiskan sisa-sisa hidup saya. Saya amat berharap untuk sembahyang di Masjid Sungai Nibong,” katanya yang mempunyai rumah di Sungai Nibong di sini.

NB : Kesian pakcik ni... kita baru sahaja menyambut Hari Bapa, sudah dihidang kisah begini...




Sumber : Fazli Abdullah [fazliabdullah@bharian.com.my] di BHarian 02/07/2010

Butiran selanjutnya ...

Pijak, ugut bunuh isteri ditahan

Lelaki panas baran gunting rambut mangsa secara paksa

MUAR: Polis menahan seorang lelaki selepas dia bertindak memotong rambut isterinya secara paksa dan mengugut membunuhnya, dalam kejadian di rumahnya mereka di Jalan Daud, dekat sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, lelaki berusia 33 tahun dan tidak bekerja itu turut memijak badan isterinya selepas mangsa dikatakan membuat laporan polis mengenai tindakan suaminya yang sering memukulnya.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli, berkata sehari sebelum kejadian itu mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar mengenai tindakan suaminya.

Katanya, susulan daripada tindakan isterinya, lelaki itu dikatakan pulang ke rumahnya dan terus mengunci pintu rumah bagi mengelak mangsa melarikan diri sebelum menarik isterinya ke dapur serta memijaknya ke lantai.

“Lelaki itu kemudian mengambil gunting dan menggunting rambut isterinya sehingga pendek dan turut mengugut akan membunuhnya,” katanya pada sidang akhbar di IPD Muar, di sini, semalam.

Katanya, mangsa yang bimbang dengan keselamatannya terus membuat laporan polis mengenai tindakan suami sebelum suspek ditahan beberapa jam kemudian, manakala mangsa kini dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) berikutan kesan kecederaan serta lebam di badannya.
Mohamad Nasir berkata, siasatan awal polis mendapati mangsa sering dipukul suaminya yang panas baran sejak pasangan itu berkahwin beberapa tahun lalu dengan yang terbaru dikatakan disebabkan suami marah dengan tindakan isteri membuat laporan polis mengenai tindakannya.

Katanya, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 323 kanun yang sama kerana kesalahan menyebabkan kecederaan.




Sumber : BHarian 02/07/2010

Butiran selanjutnya ...

Pelajar perempuan dominasi kemasukan ke universiti awam


Bilangan ke IPTA tahun ini masih didominasi pelajar perempuan

Pelajar perempuan terus mendominasi kemasukan di universiti awam apabila menguasai 64.8 peratus atau 26,229 daripada 40,506 tempat yang ditawarkan untuk program ijazah pertama bagi sesi akademik 2010/2011 yang akan mendaftar pada Sabtu dan Ahad ini.

Jumlah mereka juga melebihi lelaki bagi program pengajian lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf yang akan mendaftar pada tarikh sama dan 23 Mei lalu dengan 21,567 pelajar perempuan berjaya mendapat tawaran atau 58.45 peratus daripada keseluruhan 36,900 tempat kemasukan. Hanya 35.2 peratus atau 14,277 pelajar lelaki mendapat tempat dalam program pengajian lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)/Matrikulasi/Asasi/ Setaraf (Ijazah Pertama) dan 41.55 peratus atau 15,333 untuk kemasukan program lepasan SPM atau setaraf. Menurut sumber Kementerian Pengajian Tinggi, jumlah penawaran tempat kepada pelajar perempuan mengatasi pelajar lelaki bagi semua kategori kaum bagi kedua-dua peringkat program pengajian.

Bagi program ijazah pertama, 18,814 atau 65.7 peratus pelajar Bumiputera adalah perempuan berbanding 9,819 atau 34.3 peratus lelaki, Cina (5,909 atau 61.8 peratus perempuan dan 3,660 atau 38.2 peratus lelaki), manakala India dan lain-lain (1,506 atau 65.4 peratus perempuan dan 798 atau 34.6 peratus lelaki).

Sumber itu berkata, bagi program lepasan SPM/setaraf, 21,032 atau 58.50 peratus pelajar Bumiputera adalah perempuan berbanding 14,919 atau 41.50 peratus lelaki, Cina (351 atau 58.50 peratus perempuan dan 249 atau 41.50 peratus lelaki), manakala India dan lain-lain (205 atau 58.74 peratus perempuan dan 144 atau 41.26 peratus lelaki).

Katanya, dominasi kemasukan pelajar perempuan ke IPTA selari jurang gender yang amat ketara antara pelajar perempuan dan lelaki dalam permohonan untuk kemasukan program lepasan STPM/Matrikulasi/Asasi/Setaraf (Ijazah Pertama), tahun ini.
Beliau berkata, sebanyak 67 peratus atau 41,046 daripada keseluruhan 61,228 permohonan diterima adalah daripada pelajar perempuan dengan jumlahnya melebihi sekali ganda berbanding hanya 33 peratus atau 20,182 calon lelaki.

Malah, bilangan pemohon perempuan pada kemasukan tahun ini meningkat berbanding 40,886 tahun lalu, melebihi sekali ganda daripada 20,141 permohonan oleh pelajar lelaki.

Katanya, bilangan pelajar perempuan mengatasi lelaki bagi permohonan dalam semua kategori kaum yang meliputi 44,305 Bumiputera, Cina (12,342) serta India dan lain-lain (4,581).

Bagi kategori Bumiputera, 68.8 peratus atau 30,471 permohonan diterima daripada perempuan berbanding 31.2 peratus atau 13,834 lelaki, Cina (62.4 peratus atau 7,701 perempuan, 37.6 peratus atau 4,641 lelaki), manakala India dan lain-lain (62.7 peratus atau 2,874 perempuan dan 37.3 peratus atau 1,707 lelaki).

Malah, bilangan calon perempuan jauh mengatasi lelaki bagi permohonan program lepasan SPM/setaraf dalam semua kategori kaum dengan Bumiputera 60.25 peratus, Cina atau 62.87 peratus dan India serta lain-lain 61.56 peratus.

Sementara itu daripada jumlah tempat ditawarkan IPTA bagi program ijazah pertama, Universiti Utara Malaysia (UUM) mendahului senarai dengan mengambil seramai 4,392 pelajar baru, diikuti Universiti Malaysia Sabah (UMS) (4,001) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) (3,717).

Universiti Sains Malaysia (USM) (3,694), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (3,436), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) (2,973), Universiti Malaya (UM) (2,819) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) (2,495), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) (2,304), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) (2,218), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) (1,945), Universiti Malaysia Pahang (UMP) (1,674), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) (1,406).

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) (1,168), Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA – sebelum ini dikenali sebagai Universiti Darul Iman Malaysia/UDM) (881), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) (678), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)(445) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) (260).




Sumber : BH 01/07/2010

Butiran selanjutnya ...

Khamis, Julai 01, 2010

Adakah kita masih ‘layu’?


Assalamualaikum warahmatullah,

Alhamdulillah…. Kita sudah menjejak bulan Julai 2010. Sudah setengah tahun kita meninggalkan tahun baru 2010. Pejam-celik-pejam-celik kita akan melangkah ke tahun 2011 pula. Itupun jika ditakdirkan umur kita panjang untuk melangkah ke tahun baru.

Bagaimana dengan pencapaian kita hari ini? Cemerlangkah kita sepanjang tempoh 6 bulan yang lalu? Jika kita rasa-rasa diri kita tidak cemerlang, kita wajar tebus ketidak-cemerlangan kita itu dengan masa yang masih ada. Bagaimanakah dengan azam 2010? Jika azam kita turut berada separuh jalan, syabas dan tahniah!

Menurut belog motivasi yang saya selalu kunjungi, katanya :

“Kita kurang cemerlang sebab kita kurang ransang diri kita dengan ayat-ayat penaik semangat seberapa ransang yang mungkin. Jika rasa malu nak melekat kata-kata semangat di dinding bilik, tuliskan dalam sekeping kad. Bawa kad tu ke mana-mana kemudian baca bila-bila masa, sebanyak mungkin dalam sehari. Setiap kali membacanya, anda akan bersemangat tiba-tiba. Teknik ni sebenarnya simple, tapi dapat menaikkan semangat.”

Beberapa bulan yang lalu, kecoh betul e-grup yang saya sertai dengan entry Benarkah lelaki Melayu ‘layu’?, yang saya kirimkan. Dan saya masih ingat, saya mengajak pembaca entry supaya mengambil inisiatif untuk menjadikan list yang saya sebutkan dalam entry ini dijadikan azam untuk kita meningkatkan diri supaya lebih cemerlang.

Mari kita refresh langkah-langkah yang patut kita ambil serap dan jadikan amalan supaya kita tidak dilabel Melayu yang ‘layu’ :
  1. Patuhi semua hak Allah SWT, berusahalah mentaati segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.
  2. Bersyukur terhadap segala nikmat kurniaan Allah.
  3. Melakukan solat berjemaah di masjid/surau atau bersama keluarga.
  4. Bersedekah kepada fakir miskin, anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan.
  5. Menepati setiap janji yang dibuat.
  6. Berusaha menambah ilmu yang ada dan mewujudkan suasana belajar di dalam rumah.
  7. Sentiasa memainkan peranan sebagai suami – ketua keluarga, sahabat, penasihat, kekasih, pendengar, pendidik.
  8. Memanggil isteri dengan panggilan manja yang disukainya.
  9. Memberi hadiah pada hari-hari istimewa buat isteri.
  10. Memahami karenah isteri dan banyak bersabar.
  11. Memahami kehendak dan pengharapan isteri tanpa perlu disebut-sebut oleh isteri
  12. Bergurau senda dengan isteri.
  13. Sentiasa berhubung dengan isteri tanpa mengira tempat dan masa.
  14. Mendidik isteri secara berhikmah dan penuh kasih sayang.
  15. Memaafkan isteri dan orang lain setiap malam sebelum tidur.
  16. Mendoakan isteri setiap masa.
  17. Melakukan kerja-kerja rumahtangga bagi membantu meringankan beban isteri, tetapi tidak menjadi suami yang di‘queen-controlled’.
  18. Memandang isteri dengan lemah lembut, senyuman dan kata-kata yang manis.
  19. Sentiasa mengamalkan makan bersama isteri apabila ada kesempatan.
  20. Melakukan riadah bersama isteri dan sekali-sekala mandi bersama.
  21. Sentiasa memberi kata-kata positif sebagai perangsang kepada isteri
  22. Menjauhi perbuatan bertegang leher dengan isteri, sebaliknya mengalahlah bagi perkara yang harus.
  23. Menjadikan al-Quran sebagai teman dan mengajak isteri untuk bersama-sama membaca dan menghayati isi kandungan al-Quran
  24. Segala masalah yang brelaku dalam rumahtangga diselesaikan secara bersama.
  25. Mengadu kepada Allah dalam menghadapi masalah, ketakutan dan kesakitan.
  26. Sentiasa mengamalkan solat sunat Dhuha.
  27. Menjauhi perasaan buruk sangka terhadap isteri kerana sangkaan itu satu doa.
  28. Bersangka baik dengan semua ketentuan Tuhan.
  29. Bergaul dengan orang yang baik-baik dan berilmu.
  30. Sentiasa melakukan taubat, istighfar, bersedekah, meminta maaf dan memaafkan orang lain.
  31. Mengawal diri daripada melakukan sebarang dosa. Dosa kecil yang diulang-ulang (berterusan melakukannya) akan manjadi dosa besar. Segera bertaubat apabila melakukan dosa.
  32. Tidak membenarkan kemungkaran berlaku dalam rumahtangga.

Perbaiki peribadi

Saya sedar, cadangan di atas berkisar untuk lelaki. Ya, sebab ia berkaitan dengan entry Benarkah lelaki Melayu ‘layu’?. Mengapa lelaki sahaja?

SEBAB :

  1. QS4:34 Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita. Jika pemimpin tak lurus, bagaimana anda mahu mengharapkan yang fitrahnya bengkok’ akan lurus tanpa didikan dan bimbingan anda sebagai pemimpin?
  2. QS66:6 Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.
  3. Pinjam kata-kata sahabat Manntrexx, katanya, formula kehidupan ini telah ditetapkan Allah. Perempuan baik untuk lelaki baik dan lelaki baik untuk perempuan yang baik. Kalau kita hendak perempuan menjadi baik, lelaki perlu baik terlebih dahulu, kerana baik atau buruk seorang perempuan itu adalah bergantung kepada kaum lelaki sendiri. Bukankah fitrah perempuan mengikut jejak langkah lelaki? Perempuan dipengaruhi keadaan lelaki. Pemikiran, budaya dan tindak-tanduk dipengaruhi lelaki...
  4. Isteri degil tanda suami gagal - Pesanan Rasulullah SAW yang bermaksud, “Wahai manusia! Takutilah Allah SWT di dalam urusan yang berkaitan dengan wanita. Sesungguhnya kamu telah mengambil mereka sebagai amanah daripada Allah SWT dan mereka telah dihalalkan kepada kamu dengan kalimah Allah. Kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu dan mereka pula mempunyai hak ke atas kamu.” (Sebahagian mesej Khutbah terakhir, rujuk : Lapan mesej Haji Wida')
Cukuplah empat sebab yang sempat saya fikirkan. Hemmm… berapa ramai yang mengambil bahagian, dan berapa banyak pula azam yang telah dipenuhi? Jika sekadar sebahagian atau sesuku atau belum menampakkan apa-apa perkembangan ke arah merealisasikan azam tersebut, kita perlu perbaiki diri.

Kenapa azam tersebut gagal berhasil hingga kini? Azam bukan sekadar niat atau tekad tetapi memerlukan usaha dan ikhtiar. Jika telah berusaha tetapi belum berjaya, tiba masanya untuk kita bertindak. Senaraikan setiap perkara yang menjadi punca azam kita masih belum tertunai.

Jangan mudah gembira dan jangan cepat patah semangat


Kepada yang berjaya, bersyukurlah! Jangan mudah gembira atau sombong diri. Kekalahan Brazil ketika kemeriahan Piala Dunia yang sedang berlangsung kini bukan saja kejutan sebaliknya sebagai satu peringatan bahawa kejayaan dan kecemerlangan tidak akan kekal bersama kita.

Usah mendabik dada berbangga diri atau memperlekehkan orang lain kerana hidup kita umpama roda yang berputar. Bersyukur kepada-Nya bila kita di atas dan jangan lupa memandang ke bawah kerana nikmat-Nya hanya sementara dan boleh ditarik pada bila-bila masa.

Kepada yang belum berjaya, jangan mudah mengalah atau melatah. Anda bukan gagal cuma belum berjaya. Teruskan berusaha tanpa kenal erti jemu dan penat. Meminjam kata-kata Napoleon Bonaparte: Kejayaan di hujung seribu kegagalan itu lebih bermakna!

Rahsia tersembunyi


Paling penting, kita perlu percaya segala yang berlaku adalah ketentuan-Nya. Allah SWT lebih tahu yang terbaik untuk anda dan yang terbaik itu hanya akan tiba tepat pada masanya. Seperti kata hikmah: Kita mengharapkan sekuntum bunga yang cantik tetapi yang kita peroleh ialah sepohon kaktus.

Namun, tiba masanya, kaktus tadi akan berbunga cantik sama seperti yang kita harapkan. Ada ketikanya bunga yang cantik itu akan hadir seminggu, sebulan, setahun atau mungkin bertahun-tahun.

Berusahalah sedaya upaya untuk terus mencapai misi dan visi yang ditetapkan kerana janji Allah pasti, tidak ada yang sia-sia dalam segala takdir dan kehendak-Nya.

Jangan lupa solat dan doa


Di samping usaha, sebagai Muslim, perkara paling penting ialah solat dan doa. Ada yang usaha dan berdoa tapi tidak solat. Ada yang berusaha dan solat tapi tidak doa. Ingat, hamba Allah yang tidak berdoa kepada-Nya merupakan hamba yang bodoh sombong. Tidak perlu hafal doa yang panjang dan tidak difahami.

Cukuplah luahkan segala isi hati, hasrat dan kehendak anda kerana Dia Maha Mendengar, Maha Memahami walau menggunakan bahasa ibunda sendiri.

Solatlah dan berdoalah. Kepada kaum wanita yang tidak boleh solat sebab uzur syarie bukan halangan untuk anda berdoa. Berdoalah setiap masa.

Mari kita sama-sama muhasabah diri. Semoga hidup kita diberkati-Nya. Amiiin.





NB : Kompilasi artikel di Kosmo 09/07/2010

Butiran selanjutnya ...

Peguam Syarie Menulis: Hubungan seksual hambar antara punca keretakan rumah tangga


Pasangan suami isteri patut rujuk al-Quran, hadis perbaiki hubungan kelamin


DUA tiga kali saya berfikir untuk menulis isu ini kerana ia sensitif bagi sesetengah orang. Namun, saya percaya semua boleh bersetuju bahawa hubungan intim suami isteri adalah perkara penting dalam hubungan suami isteri.

Antara punca besar keretakan rumah tangga ialah hubungan seksual yang hambar. Kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2004, menunjukkan faktor utama perceraian mendapat peratusan tertinggi ialah tiada persefahaman, curang dan enggan dimadukan (12%). Faktor lain kerana tidak bertanggungjawab (11.5%), campur tangan mentua atau ipar duai (8.8%), disebabkan ketagihan dadah atau alkohol (7.1%), masalah kewangan (1.6%), terbabit jenayah, judi dan masalah kesihatan (1.1%), didera (0.5%) dan selebihnya faktor lain.

Menurut statistik perceraian dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), punca krisis rumahtangga kerana tidak serasi, kecurangan, poligami, campur tangan keluarga, masalah kesihatan pasangan termasuk kesuburan dan suami isteri bermain kayu tiga.

Hubungan hambar disebabkan kurang keinginan seks sama ada daripada pihak suami atau isteri, isteri berasa bosan kerana suami cepat klimaks setiap kali bersama, ketiadaan zuriat, suami mati pucuk, isteri tidak pernah atau jarang mencapai orgasm, juga menjadi masalah besar dalam rumah tangga. Ia menjadi punca berlaku perbalahan kerana ada pihak yang memendam perasaan dan sakit hati akibat perkara yang dianggap kecil oleh sebelah pihak lagi. Lebih parah apabila pasangan terjerumus dalam fenomena mempunyai kekasih gelap.

Kajian dibuat syarikat farmaseutikal Pfizer melalui The Asia Pacific Sexual Health and Overall Wellness atau APSHOW pada 2008, menunjukkan 57% lelaki dan 64% wanita tidak berasa puas dengan kehidupan seksual mereka. Kajian dilakukan di 13 negara dari kawasan Asia Pasifik, termasuk Malaysia dengan taburan responden sebanyak 328 lelaki dan 250 wanita. Di negara ini, kajian mendapati 73% wanita Malaysia tidak puas dalam hubungan seks mereka, 62% lelaki turut dikatakan tidak puas.

Pakar seksologi Pusat Kesihatan Seksual Australia, Dr Rosie King berkata, peratusan itu menunjukkan kadar yang tinggi berbanding purata peratus keseluruhan tahap kepuasan seks diperoleh di Asia Pasifik. Katanya, fenomena itu berlaku berikutan kebanyakan lelaki dan wanita di Malaysia lebih mengutamakan kerjaya dan kehidupan keluarga.

Laporan pada tahun sama memetik Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri Terengganu, Muhammad Ramli Nuh, berkata bau badan, adegan seks dan baju tidur membosankan dikenal pasti sebagai punca kenaikan kadar perceraian di negeri itu.

Kerajaan Negeri Terengganu terpaksa merangka satu cara inovasi untuk memperbaiki hubungan kelamin antara suami isteri khususnya di kalangan mereka yang baru berkahwin, termasuk menjemput syarikat kosmetik memperkenalkan bau-bauan eksotik yang mampu menimbulkan rasa ghairah, mencadangkan suami isteri lebih kerap mandi bersama sebagai salah satu jalan untuk mengukuhkan jalinan mesra.

Dalam Islam isu seks bukan sesuatu yang memalukan untuk diketengahkan. Hubungan seks suami isteri yang halal adalah suatu ibadah dalam rumah tangga seorang muslim. Hari ini, kita tidak didedahkan dengan hadis hubungan seks suami isteri yang lengkap. Sebaliknya, lebih banyak merujuk kepada pakar perubatan atau kaunselor seolah-olah Islam bukan tempat rujukan yang tepat. Walhal, ada banyak nasihat dalam hadis Nabi SAW yang menekankan kepentingan pasangan suami isteri menjaga pengurusan hubungan seks mereka.

Melayani hubungan seks seorang suami adalah bukti ketaatan isteri. Firman Allah yang bermaksud: “Isteri-isteri kamu adalah sawah ladang kamu, maka datangilah sawah ladangmu itu dengan cara yang kamu sukai.” (Surah al-Baqarah, ayat 223)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Bagi kamu melakukan jima’ (hubungan seks) dengan isterimu adalah satu pahala. Lalu sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah seseorang di antara kita menyalurkan syahwatnya akan mendapat pahala? Jawab Baginda: Bagaimana pendapatmu jika dia menyalurkan syahwatnya itu pada yang haram, apakah ia berdosa? Begitulah jika ia meletakkannya pada yang halal, maka ia mendapat pahala.” (Hadis riwayat Muslim)

Diriwayatkan pada suatu malam, Khalifah Umar Al Khattab meronda kota Madinah dan Umar mendengar keluhan dan rintihan seorang wanita: “Malam ini begitu panjang dan tepi langit begitu hitam. Sudah lama aku tiada kawan untuk bersenda gurau. Demi Allah! Jika tidak kerana takut kepada Allah SWT, tentu kaki tempat tidur ini sudah bergoyang. Tetapi, Tuhanku! Rasa malu cukup menahan diriku. Namun, suamiku sungguh lebih mengutamakan mengenderai untanya.”

Selepas disiasat, rupa-rupanya suami wanita ini selalu berjihad fisabilillah. Lantas Saidina Umar menetapkan waktu tugas bagi tenteranya untuk berada di medan tempur hanya selama enam bulan saja.

Kisah itu memperlihatkan keperluan hubungan seks bukan saja keinginan kaum lelaki, tetapi juga keinginan semula jadi wanita.

Rasulullah SAW berpesan kepada kaum lelaki yang bermaksud, “Jika seseorang di antara kamu melakukan hubungan seks dengan isterinya hendaklah bersungguh-sungguh. Bila ia sedang menyelesaikan keperluannya itu padahal isterinya belum sampai kepada klimaksnya, maka janganlah ia tergesa-gesa (untuk mengakhirinya) sebelum keperluan isterinya diselesaikan pula.” (Hadis riwayat al-Suyuthi di dalam Jami’ al-Saghir, hadis no: 549 dan al-Hafiz al-Haithami di dalam Majma’ al-Zawaid, hadis no: 7566) [Huraian hadis sila rujuk : Jimak berapa lama boleh ditinggalkan?]

Penulis, Tuan Musa Awang ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Boleh dihubungi melalui 03-2274 1499 atau e-mail ke sekretariatpgsm@yahoo.com.

Sumber : BHarian 30/06/2010




Capaian entry berkaitan :

Butiran selanjutnya ...

Buli budaya masyarakat tak bertamadun


Syariat menuntut umat saling berkasih sayang antara satu sama lain


SETELAH setengah tahun sesi persekolahan berlalu, masih ada pelajar yang dibuli terutama di asrama. Perbuatan tidak bertamadun itu seakan menjadi satu budaya yang tidak dapat ditinggalkan, malah semakin teguh diwarisi segelintir pelajar yang mengambil peluang menjadi 'orang yang lebih tua' untuk memperlakukan 'budak kecil' sesuka hati.

Perbuatan sama berlaku di sekolah berprestij dan berprestasi tinggi sedikit sebanyak menimbulkan tanda tanya fungsi organisasi pentadbiran asrama, sama ada mereka tidak tahu menahu atau memandang sebelah mata akan amalan itu di asrama.

Mungkin salah laku pelajar ‘senior’ tidak dilaporkan kepada warden asrama disebabkan perasaan takut jika pembuli mengetahui siapa yang membuat laporan, diperlakukan lebih buruk lagi. Apa pun alasan, adalah mustahil jika pihak pengurusan asrama tidak mengetahui langsung kewujudan kes buli yang berleluasa di sekolah atau asrama di bawah pengawasan mereka.

Kes pelajar membuli pelajar ada kalanya bersemarak mengikut musim. Apabila diperkatakan di media, ia sedikit sebanyak meredakan masalah dan akan berlarutan semula setelah kes sebegini mula jarang diperkatakan. Tetapi, mangsa buli akan sentiasa berhadapan perbuatan zalim tanpa mengira waktu. Malangnya, mereka juga harus berdepan tanggungjawab sebagai pelajar yang seharusnya menumpukan sepenuh perhatian terhadap pembelajaran. Mana mungkin mangsa buli yang diperlakukan seperti barang mainan mampu menjadi pelajar cemerlang kerana sentiasa dihantui peristiwa penderaan dilakukan terhadap mereka.

Kebenaran juvana melakukan jenayah kerana berlatarbelakangkan keluarga bermasalah memang ada. Kebanyakan pelajar daripada keluarga harmoni dan mengambil berat pendidikan agama akan mempunyai sahsiah tinggi kerana ibu bapa menjadi contoh terbaik membina keperibadian mereka.

Islam adalah agama yang sejahtera dan menganjurkan kemakmuran sebagai satu cara hidup termasuk ketika berurusan dengan penganut agama lain. Sudah tentulah Islam memerintahkan umatnya saling berkasih sayang bukannya berbunuhan antara satu sama lain. Hatta menyakiti hati dengan lidah pun dilarang sama sekali. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang Islam ialah orang yang saudara seislamnya berasa aman daripada gangguan lidah dan tangannya.”

Tidak dapat dinafikan kes buli yang membawa kepada kematian memberi kesan dan menyebabkan kebimbangan kepada ibu bapa yang menghantar anak ke asrama. Kebanyakan anak yang menjadi mangsa buli tidak memaklumkan kepada ibu bapa kerana menganggap ia amalan biasa.

Sebaliknya buli dan kezaliman adalah perbuatan masyarakat jahiliah yang menindas dan menganiaya sesama manusia hanya kerana keseronokan semata-mata. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Perumpamaan orang mukmin dalam berkasih sayang, berkasih belas dan menaruh simpati adalah seperti satu tubuh. Apabila salah satu anggota sakit, maka seluruh anggota tubuh akan merasainya seperti demam dan tidak dapat tidur malam.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Hari ini perbuatan buli bukan saja berlaku di alam nyata tetapi juga alam maya. Bezanya, buli yang tidak berlaku depan mata tidak memungkinkan kecederaan fizikal dan kematian walaupun deraan mental juga meninggalkan kesan besar kepada mangsa buli. Apatah lagi jika perbuatan buli dilakukan kepada kanak-kanak bawah umur yang diberi sepenuh kebebasan oleh ibu bapa mengendalikan komputer dan bertandang ke dunia tanpa sempadan tanpa pemantauan. Ia boleh berlarutan sehingga ke dunia nyata dan memberi kesan buruk kepada sahsiah golongan muda masa depan. Remaja bukan saja wajib diberi tarbiah agama tetapi juga dipantau sepanjang masa, kerana cabaran hidup mereka sangat luar biasa.
Penulis, Nik Salida Suhaila Nik Saleh [salidasuhaila99@yahoo.com] ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom.




Sumber : BHarian 01/07/2010

Butiran selanjutnya ...

Saya menaip 44 perkataan seminit!


Assalamualaimum warahmatullah,

Inilah orang kata tak ada kerja mencari kerja.... Saya telah mengambil ujian kepantasan menaip yang kedua, jam 1050 (1st test 1015hrs) tadi dan ini hasilnya :

Kamu mencapai 230 markah
Kamu berada di posisi 13 (1st test #28) dari 134 (1st test 98) dalam senarai kedudukan.

Ho ho... not bad at all.... :)

Kamu menaip 284 aksara (1st test 307) seminit
kamu mendapat 44 perkataan betul (1st test 43 BETUL) dan
kamu mendapat 0 perkataan salah (1st test 5 SALAH)


44 perkataan

Siapa nak cuba, klik sini --> Speed test dan kongsikan result dengan saya!


Butiran selanjutnya ...
Related Posts with Thumbnails