
MELAKA 4 Mei - Kurang 24 jam kejadian seorang suami membunuh isterinya di Kuala Lipis, Pahang, kelmarin kerana cemburu, seorang lagi wanita menjadi mangsa kekejaman suaminya di Taman Bertam Perdana di sini.
Namun kali ini, suspek berusia 40-an yang juga seorang anggota tentera cuba bertindak menoreh kemaluan isterinya dengan sebilah pisau. Semuanya gara-gara suspek mendengar 'bisikan suara halus' di dalam rumahnya yang mengatakan isterinya itu mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10 pagi semalam, ketika mangsa berusia 30-an berada di dapur rumahnya. Menurut beliau, ketika kejadian, anak bongsu pasangan itu yang berusia empat tahun berada di ruang tamu manakala tiga lagi anak mereka ke sekolah.
"Suspek tiba-tiba menerpa isterinya yang bekerja sebagai jururawat dari belakang lalu menoreh kemaluan mangsa. Mangsa yang rebah di lantai dan berlumuran darah, mujurlah sempat menghubungi ambulans," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini. Tambahnya, semasa ambulans dan polis tiba, suspek yang dalam keadaan tenang menunjukkan tempat dia mencampakkan pisau digunakan untuk menyerang isterinya.
Mohd. Adnan berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Melaka dan keadaannya dilaporkan stabil. Suami mangsa katanya, kini di tahan di Wad Psikiatri hospital sama untuk mendapatkan rawatan. Siasatan awal mendapati suspek bertindak demikian kerana kononnya terdengar suara halus mengatakan isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.
"Suspek mendakwa sebelum kejadian, dia terlihat jin-jin berterbangan dalam rumah sambil berbisik tentang perbuatan terkutuk isterinya," katanya. Beliau berkata, hasil maklumat awal, mangsa memberitahu suaminya menunjukkan perubahan sikap dengan suka berdiam diri sejak seminggu lalu.
Tambahnya, mangsa turut mendakwa suaminya pernah mencekik wanita itu di dalam bilik sambil menyoal sama ada dia mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain, pada 27 April lalu.
"Mangsa yang tidak mengaku kemudian dilepaskan tanpa dicederakan. Kes itu disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan," katanya.
Kelmarin, seorang isteri, Rosmawati Abdul Rahman, 39, menemui ajal akibat kepalanya dihentak, selain perut, dada dan paha dipijak oleh suaminya yang tiba-tiba naik angin. Rujuk Bunuh isteri: Lelaki serah diri kepada polis.
Kejadian kira-kira pukul 5 petang itu berlaku selepas anak pasangan terbabit mengadu kepada suspek yang berusia 46 tahun bahawa ibunya bercakap dengan seorang lelaki menerusi telefon di rumah mereka di Ladang Selborne, Kampung Padang Tengku, Kuala Lipis, Pahang.
Sumber : Utusan 05/05/2010
“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”
“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”
Rabu, Mei 05, 2010
Suami cuba toreh kemaluan isteri
Bunuh isteri: Lelaki serah diri kepada polis

Isteri dibunuh depan anak
KUANTAN 3 Mei - Berang apabila diberitahu isterinya bercakap dengan seorang lelaki menerusi telefon, seorang pekerja ladang bertindak kejam sehingga sanggup membunuh isterinya itu di hadapan anak mereka di sebuah ladang di Kampung Padang Tengku, Kuala Lipis semalam.
Wanita malang itu, Rosmawati Abdul Rahman, 39, menemui ajal akibat kepalanya dihentak, selain perut, dada dan paha dipijak oleh suaminya yang tiba-tiba naik angin. Kejadian menyayat hati itu berlaku kira-kira pukul 5 petang selepas anak pasangan itu mengadu kepada suspek yang berusia 46 tahun bahawa ibunya bercakap dengan seorang lelaki menerusi telefon di rumah mereka di Ladang Selborne.
Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Supritendan Abdul Razak Hassan berkata, kejadian berpunca apabila anak mereka yang berusia 12 tahun mengadu kepada suspek, mangsa berbual dengan lelaki lain di telefon.
"Suspek yang juga berada di dalam rumah ketika itu tiba-tiba naik angin lalu bertengkar mulut sebelum bertindak agresif menolak mangsa. Tidak cukup dengan itu, suspek dipercayai memijak perut, dada dan paha isterinya seterusnya mencekik dan menghentak kepala mangsa ke lantai," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.
Abdul Razak memberitahu, suspek yang bekerja di ladang itu terus memukul isterinya sebelum berhenti selepas mendapati mangsa tidak sedarkan diri. Berikutan itu, katanya, anak mangsa memaklumkan kejadian tersebut kepada kakaknya yang sedang bekerja berdekatan dengan rumah mereka.
"Suspek yang menyedari kehadiran seorang lagi anaknya ke rumah itu kemudian melarikan diri. Anak mangsa meminta bantuan jiran sebelum membuat laporan polis," katanya.
Beliau menambah, mangsa disahkan meninggal dunia tetapi punca kematian masih belum diketahui. Katanya, hasil bedah siasat oleh pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang mendapati, mangsa mengalami kecederaan teruk pada keseluruhan badan.
"Susulan kejadian itu, polis sedang memburu suspek yang kini dipercayai masih bersembunyi di sekitar Lipis dan Bentong. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kami memohon kerjasama suspek supaya menyerah diri kepada polis," katanya.
Menurut Abdul Razak, pasangan terbabit yang bekerja di ladang berkenaan mempunyai enam anak berusia antara 2 hingga 19 tahun. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi talian hotline IPK Pahang di 09-3121999.
Sumber : Utusan 04/05/2010
Bunuh isteri: Lelaki serah diri kepada polis
KUALA LIPIS 4 Mei - Suspek yang disyaki memukul isterinya sehingga mati hanya kerana cemburu apabila wanita itu bercakap dengan lelaki lain menerusi telefon kelmarin, menyerah diri di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Lipis, di sini malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Ibrahim Sharif berkata, suspek yang berusia 46 tahun itu berbuat demikian pada pukul 10.30 malam dengan ditemani oleh ahli keluarganya.
"Berikutan itu, suspek telah ditahan reman selama seminggu sehingga Isnin ini bagi siasatan lanjut," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, mangsa dibunuh kejam oleh suaminya di depan anak-anak mereka di sebuah ladang di Kampung Padang Tengku, Kuala Lipis. Kejadian berlaku kira-kira pukul 5 petang apabila anak pasangan itu mengadu kepada bapanya yang mangsa, Rosmawati Abdul Rahman, 39, bercakap dengan seorang lelaki menerusi telefon di rumah mereka di Ladang Selborne.
Suami mangsa yang tiba-tiba naik angin, dipercayai menghentak kepala mangsa selain perut, dada dan pahanya dipijak-pijak. Hasil bedah siasat mendapati, mangsa mengalami kecederaan teruk di keseluruhan badan. Ibrahim berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sumber : Utusan 05/05/2010
Anugerah itu amanah dan tanggungjawab
Begitu banyak keinginan manusia
harta, tahta, kata dan cinta
sebagai penghias kehidupan fana
di atas pentas kehidupan bernama dunia
Namun mereka terkadang lupa
bahawa di sebalik segala yang indah
selalu ada tanggungjawabnya
yang berat tiada terkira
Apalagi saat hawa nafsu membabi buta
menginginkan anugerah dunia
yang semakin banyak setiap harinya
tanpa peduli bagaimana caranya
Sesungguhnya semua anugerah akan ditanya
bagaimana dipergunakan selama di dunia
khusus harta dua pertanyaannya
dari mana dan untuk apa
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat-amanah yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.” (QS 8:27)
Amanah di sebalik setiap anugerah
akan berubah jadi musibah
bila tidak dikelola dengan saksama
dengan nurani yang bening terjaga
Semoga anugerah ini menjadi berkah
dan kita sebagai penerima
mampu menjaga amanah
agar selamat dunia akhirat…
Katakanlah: “Inginkah aku khabarkan kepadamu apa yang lebih baik dari yang demikian itu?” Untuk orang-orang yang bertakwa (kepada Allah), pada sisi Tuhan mereka ada surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya. Dan (mereka dikurniai) isteri-isteri yang disucikan serta keredhaan Allah. Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya. (Iaitu) orang-orang yang berdoa: “Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah beriman, maka ampunilah segala dosa kami dan peliharalah kami dari seksa neraka. (Iaitu) orang-orang yang sabar, yang benar, yang tetap taat, yang menafkahkan hartanya (di jalan Allah) dan yang memohon ampun pada waktu sahur.” (QS 3:15~17)
Renung-renungkan…
NB: Penulis puisi boleh dihubungi di kopiradix.multiply.com.
Capaian entry berkaitan :
- Bukan hak milik, tetapi anugerah....
- Jadikan anak sebagai amanah
- Harta dunia hanyalah ujian dan amanah Allah
- Kelahiran anak ujian dunia buat ibu bapa
- Akauntabiliti seorang pemimpin
- Perihal Amanah
- Ibu bapa alpa laksana amanah antara punca anak derhaka
- Q&A : Wajib bergaul baik dengan isteri
- Tajdid Iman: Harta, pangkat penguji tahap keimanan
- Amanah perisai hindari amalan rasuah
- Q&A : Melaksanakan amanah pahala besar dilaksana
Isnin, Mei 03, 2010
Bila cinta tidak direstui

Assalamualaikum warahmatullah,
Saban hari ada sahaja cerita cinta disajikan di kaca TV. Tak mustahil juga, saban hari ada saja pasangan yang terjatuh cinta atau diulit bunga-bunga bahagia sedang bercinta... Bahagianya hidup ini bila ada insan mencintai diri sepenuh hati. Segala kasih sayang ditumpahkan buat diri anda dan berjanji setia untuk bersama selama-lamanya. Pasti bersemangat untuk menjalani hari mendatang bersama si dia.
Tapi tidak semua cerita cinta berjalan mulus, pasti ada halangan yang harus dilalui, malah mungkin terasa begitu sukar untuk diatasi, terutama sekali bila cinta tidak mendapat restu daripada orang tua atau lebih tepat lagi ibu bapa sendiri. Mereka tidak dapat menerima pilihan hati anda sedangkan anda dan si dia sudah berhasrat untuk melangkah jauh ke alam perkahwinan.
Pernahkah anda mengalami situasi ini atau sedang menghadapinya ketika ini? Pasti ia menjadi satu masalah yang cukup membebani diri memikirkan impian untuk hidup bersama insan yang tersayang mungkin tidak kesampaian. Mengapa cinta anda ditentang, mengapa si dia sukar diterima, haruskah melepaskan cinta ini sedangkan anda terlalu mencintai dirinya? Inilah persoalan yang akan berlegar-legar dalam fikiran tatkala terperangkap dalam situasi ini.
Namun biar seberat mana pun tekanan yang anda rasai akibat permasalahan ini, jangan biarkan emosi mendahului, ikut hati mati, ikut rasa binasa. Jangan membuat tindakan membelakangkan orang tua kerana PERCAYALAH, kelak anda juga yang akan kecewa. Sebab telah ramai pasangan mengambil keputusan bernikah tanpa restu ibu bapa akhirnya menyesal dengan tindakan mereka.
Dapatkah anda merasai kebahagiaan sedangkan ibu bapa menangis kerana tindakan anda? Cuba anda letakkan diri anda di dalam situasi ibu bapa anda. Bahagiakah hidup anda jika bersama si dia yang disayangi sedangkan anda kehilangan keluarga kerana mereka berjauh hati dengan keputusan anda memilih cinta dari mereka?
Elakkan mengambil langkah yang boleh merugikan kehidupan anda sendiri. Bila orang tua tidak merestui hubungan anda berdua, cubalah duduk dengan tenang dan berfikir secara mendalam serta menilai masalah yang sedang anda hadapi.
Mengapa anda memilihnya?
Perkara pertama yang harus anda lakukan adalah mengetahui apa yang menyebabkan anda memilih dia sebagai pasangan anda? Apa tujuan hubungan yang anda jalinkan ini? Adakah tujuan anda memilih si dia itu hanya sekadar ‘tangkap muat’ kerana usia anda yang sudah meningkat, kerana wang yang dimilikinya atau kerana rupa parasnya? Atau mungkin ada motivasi lain yang membuatkan anda menginginkan dia menjadi isteri atau suami anda?
Dengan mengetahui matlamat sebenar dari sebuah hubungan, anda akan lebih mengetahui sama ada anda memang benar-benar cinta pada dirinya atau cinta yang anda rasakan ini hanya sekadar perasaan kagum yang hadir seketika saja.
Atau lebih parah lagi, anda sebenarnya memilih dia hanya kerana inginkan teman-teman memandang anda hebat kerana mampu memiliki dia yang menjadi idaman ramai. Jika anda sudah mengetahui apa matlamat daripada hubungan cinta yang anda jalinkan itu, maka anda akan lebih mudah memahami mengapa orang tua anda tidak bersetuju dengan hubungan cinta anda.
Perhatikan latar belakang
Fikirkan juga apa yang menyebabkan orang tua tidak bersetuju dengan hubungan cinta anda. Perhatikan latar belakang dari kehidupan orang tua anda dan bandingkan pula latar belakang si dia yang anda cintai itu. Kebiasaannya perbezaan latar belakang sering kali menjadi penyebab utama orang tua tidak bersetuju dengan pilihan anak mereka. Di samping itu ada banyak lagi alasan yang boleh menyebabkan orang tua tidak merestui hubungan anda dan itu semua harus anda cari puncanya.
Namun ibu bapa anda juga manusia biasa dan tidak semua yang mereka lakukan benar dan betul. Sekiranya orang tua menolak pilihan anda kerana masalah perbezaan kaum, warna kulit, kelas sosial atau merana pekerjaannya yang tidak setanding dengan anda, maka anda berhak untuk mempertahankan hubungan cinta anda.
Yakinkan keduanya bahawa keputusan anda adalah yang terbaik untuk anda. Jangan terus menyerah kalah kerana anda harus tahu untuk memperoleh keyakinan orang tua pasti akan mengambil masa. Namun percayalah, kebahagiaan itu takkan datang begitu saja, tanpa usaha dan pengorbanan daripada anda.
Bimbang anda dibutakan oleh cinta
Satu aspek lain yang harus anda terima adalah, tidak ada yang lebih mengenali diri anda, selain orang tua anda sendiri. Bahkan mereka lebih tahu dan memahami diri anda, daripada anda sendiri. Mungkin juga kerana anda sedang dibutakan oleh cinta, hingga tidak menyedari aspek negatif yang dilihat oleh ibu bapa anda. Apa yang anda tahu bahawa hubungan yang anda jalinkan itu indah dan baik semuanya.
Ingatlah, ibu bapa anda sangat menyayangi anda sebagai anak mereka dan mereka ingin anda bahagia dalam hidup ini. Jadi apabila melihat ada sesuatu yang tidak elok dan merugikan dalam hubungan cinta anda itu sudah pasti mereka tidak setuju mahupun merestuinya.
Apatah lagi bila mendapati pilihan anda membawa kesan buruk pada diri anda tanpa anda sedari. Oleh itu ada baiknya anda cuba mendengar pandangan kerana kata-kata orang tua anda mungkin ada kebenarannya.
Masa untuk menilai
Hubungan cinta yang terlalu banyak mengorbankan dan merugikan kehidupan peribadi anda sebenarnya adalah sesuatu yang tidak sihat untuk hidup anda. Jika ia berlaku dalam perhubungan anda sekarang, maka sudah sampai masanya anda menilai semula pilihan hati anda itu. Membina sebuah hubungan cinta, tidak bererti bahawa anda kehilangan kebahagiaan bersama keluarga dan teman-teman.
Utamakan ibu bapa
Ingatlah firman Allah yang maksudnya, "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)." (Surah Lukman, ayat 14)
Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, "Dua kejahatan yang disegerakan balasannya di dunia ialah zina dan menderhaka kepada kedua ibu bapa." (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Melakukan perkara yang tidak disukai ibu bapa bermakna melakukan perbuatan derhaka. Anak derhaka tidak mendapat keberkatan dalam kehidupannya. Barangkali inilah kenapa kehidupan tidak tenteram. Bukan itu sahaja, balasan akhirat bakal menanti.
Semua dosa akan ditangguhkan-Nya, yakni balasan menurut kehendak-Nya hingga ke hari kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati. (Hadis riwayat al-Hakam)
Redha Allah SWT bergantung kepada redha kedua ibu bapa dan murka Allah SWT bergantung kepada murka kedua-dua ibu bapa. (Hadis riwayat al-Hakim)
Oleh itu jangan sekali-kali anda bertindak membelakangkan orang tua yang sudahpun bersusah payah mengandungkan, menjaga, mendidik anda sejak dalam kandungan hingga dilahirkan ke dunia tanpa apa-apa pengetahuan dan sehinggalah anda dewasa dan mampu berdikari hingga ke hari ini. Setiap anak yang derhaka akan dilaknat oleh Allah SWT, amalan dan ibadah mereka tidak diterima dan tidak akan mendapat ganjaran yang memungkinkan perbuatan baik yang dilakukan sepanjang hayatnya akan sia-sia. Oleh itu Islam menitikberatkan keredaan kedua-dua ibu bapa agar hidup sentiasa diberkati Allah.
Hadapi ketidaksetujuan dengan tenang
Ibu bapa sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Jadi, hadapilah ketidak setujuan orang tua terhadap hubungan cinta anda dengan tenang dan tidak mengikut emosi. Boleh jadi mereka tidak suka dengan pilihan hati anda ketika ini, tapi mana tahu satu hari nanti mereka akan menerimanya bila anda mampu membuktikan bahawa si dia berupaya menjadikan hidup anda lebih baik dan indah untuk dijalani.
Jangan sesekali terfikir untuk kahwin lari ke sempadan Siam akibat tidak mampu menahan kehendak nafsu.
INGAT, anda tinggal di Malaysia, warganegara Malaysia. Sudah tentu anda tertakluk kepada undang-undang Malaysia. Jika tidak mahu terikat dengan undang-undang Malaysia dan memilih untuk mengikut undang-undang Siam, lebih baik anda pindah saja Siam! Sekiranya anda nekad juga untuk bernikah ke sempadan, nasihat saya TOLONG PASTIKAN anda dan pasangan register, naik turun mahkamah dan bayarlah denda. Dapatkan pengesahan nikah anda. Anda mungkin tidak tahu apa impaknya pada masa sekarang, tetapi anda akan nampak impak yang buruk kepada bakal zuriat anda. Sekiranya anda tidak berapa kisah sangat tentang masa depan zuriat anda, maka bolehlah diabaikan mesej ini.
Renung-renungkan!
Capaian entri berkaitan :
- Q&A : Buka ruang berbincang sebelum izin nikah
- Jalan pintas bernikah undang risiko
- Kahwin lari guna sindiket tanpa daftar semula menyusahkan waris
- Nikah sindiket rosakkan nasab
- Kahwin lari boleh jejas institusi kekeluargaan Islam
- Mentaati Kedua Ibu Bapa
- Terjebak dengan cinta suami orang…
Tangisan tiang mimbar
Firman Allah SWT yang bermaksud : Dan tidak ada yang menghalangi kami akan mengutuskan dengan tanda-tanda (mukjizat) melainkan telah didustakan oleh orang-orang terdahulu... (Surah al-Israk ayat 59)
Masjid Nabawi adalah masjid yang dibina hasil gotong-royong orang Ansar dan Muhajirin sejurus sahaja Rasulullah SAW berhijrah daripada Mekah ke Madinah. Tapak masjid tersebut adalah tempat perhentian pertama unta putih Rasulullah. Ketika orang Muhajirin sampai ke Madinah, mereka disambut dengan meriah oleh orang Ansar.
Semua penduduk Madinah berebut-rebut mendapatkan Rasulullah supaya baginda berhenti dan singgah di rumah mereka. Lalu baginda menyerahkan kepada unta putih baginda untuk membuat keputusan. Kemudian unta putih itu berjalan lalu berhenti di satu kawasan lapang berdekatan dengan tanah perkuburan. Maka baginda telah mencadangkan untuk membina sebuah masjid di situ yang dikenali sebagai Masjid Nabawi.
Dalam masjid itu, baginda telah membina mimbar yang diperbuat daripada batang tamar. Di mimbar itulah Rasulullah menyampaikan khutbah kepada kaum baginda.
Tidak kira pada waktu sembahyang ataupun pada waktu-waktu yang lain. Masjid itu juga sentiasa menjadi tumpuan orang. Sekiranya ada perbincangan atau majlis ilmu, Masjid Nabawi menjadi pusat perjumpaannya.
Setelah beberapa lama masjid itu dibina dan digunakan, mimbarnya mula menjadi reput. Rasulullah dan para sahabat memutuskan untuk membuat mimbar baru. Lalu Rasulullah dan orang-orang Islam bertungkus-lumus mengumpulkan batang tamar. Tiang mimbar yang lama telah diruntuhkan dan disimpan di tempat lain untuk digantikan dengan yang baru.
Pada suatu hari, sedang Rasulullah berkhutbah, baginda dan para sahabat terdengar satu suara tangisan. Mereka tercari-cari suara tersebut. Setelah diteliti, rupa-rupanya suara itu datang daripada batang tamar yang dijadikan mimbar yang lama. Rasulullah pergi mendapatkannya. Dengan penuh kasih-sayang baginda menepuk-nepuk batang tamar tersebut kemudian bertanya kenapa ia menangis.
Batang tamar itu menjawab : "Aku sungguh sedih mengenangkan nasibku kerana khidmatku tidak diperlukan lagi olehmu ya Rasulullah. Sedangkan aku ingin bersama denganmu sehingga akhir hayatmu."
Rasulullah tersenyum lalu berkata : "Sabarlah wahai batang tamar, walaupun khidmatmu tidak diperlukan lagi kerana keuzuranmu, namun engkau tetap akan bersamaku di syurga kelak."
Selepas mendengar kata-kata Rasulullah itu, batang tamar tersebut berhenti daripada menangis.
Sumber : Utusan
Ahad, Mei 02, 2010
Kaunselor Anda : Suami selera songsang
Wanita risau pasangan ada kekasih sama jantina, tak minat bersama
SOALAN :
Saya seorang isteri dalam lingkungan 30-an dan mempunyai seorang cahaya mata. Usia perkahwinan saya baru menjangkau lebih dua tahun.
Suami saya seorang yang sangat baik bukan saja kepada saya dan anak tetapi juga orang lain. Semakin lama saya rasakan kian kurang mengenali dirinya. Suami pernah bertugas di luar negara dan ada ramai kenalan. Biarpun sebumbung, dia jarang ‘bersama’ saya iaitu sekali dalam masa dua bulan. Alasannya, dia menuduh saya letih. Telefon seakan sudah tidak dapat dipisahkan daripada hidupnya. Setiap masa ada saja bunyi yang menandakan khidmat pesanan ringkas (SMS) baru masuk. Saya ada memeriksa telefon bimbit itu dan terkejut mendapati SMS berbau lucah selain kata-kata sayang dan rindu. Bukannya daripada wanita tetapi lelaki! Saya takut untuk bertanyakan kepadanya dan kian lama menjadi buntu.
Isteri Buntu
JAWAPAN :
Salam rahmat buat Isteri Buntu, semoga Allah SWT menemukan jalan untuk memecahkan kebuntuan yang membelenggu dirimu. Kita sebagai manusia sememangnya terdedah kepada setiap ujian Allah SWT selaku hamba-Nya. Maka mari kita berkongsi ikhtiar dan bermunajat dengan Allah SWT agar perkongsian kita ini dapat meringankan kebuntuan yang anda hadapi.
Berpandukan senario yang puan paparkan jelas menunjukkan ada beberapa hal yang boleh dikaitkan dengan kecelaruan emosi yang dialami dan mungkin juga kecelaruan seksual hinggakan dia terlalu rendah minat dan dorongan seksual untuk bersama anda dari segi seksual, sedangkan secara normalnya lelaki biasa yang sehat selera seksualnya paling minimum sekali seminggu.
Antara penyebabnya mungkin kerana dia terlalu sibuk membina hubungan dengan orang lain, termasuk melayan menerusi telefon atau SMS sehingga kesibukan itu menutup pemikirannya dan tanggungjawab sebenarnya sebagai suami. Ada juga kemungkinan pengalaman bertugas di luar negara memberinya pengalaman bersama dengan rakan lelaki sehinggakan terjebak dengan gejala cinta sejenis dan pelbagai jenis.
Buktinya, dia mampu bernikah dengan anda dan mendapat anak, di samping menyambung kebiasaannya dengan aktiviti cinta sejenis, yang dibuktikan melalui panggilan telefon dan SMS cinta dan lucah dikirim oleh lelaki. Jika dia masih sibuk dengan emosi kepada rakan sejenis maka kemungkinan besar minat seksual terhadap wanita semakin kurang dan akhirnya hilang jika minat seksualnya pada lelaki dipenuhi.
Berdasarkan pengalaman Umi mengendalikan kes lelaki yang memiliki cinta sebegini, mereka menggunakan perkahwinan dengan wanita sebagai perisai untuk mereka tidak disyaki oleh keluarga dan rakan mereka yang mereka sebenarnya ada rahsia iaitu mengamalkan sikap hidup berminat dan bernafsu kepada kaum sejenis.
Anda bernasib baik kerana mempunyai anak. Ada pasangan sebegini yang tidak memiliki anak dan suami memberi kebebasan kepada isteri untuk balik ke kampung sekerap mungkin supaya mereka ada kesempatan untuk bersama kekasih lelaki mereka. Umi tidak tahu sama ada suami anda termasuk sepenuhnya sebagai lelaki yang sedemikian atau separa. Maka nasihat Umi, anda perlu menjadi lebih terbuka dengan sikap suami dari segi hubungan dengan lelaki yang berbau seksual dan kekasih sebagai mana yang anda lihat menerusi SMS. Mereka memang baik melayan isteri dan semua orang yang bersama mereka kerana mereka sangat ceria dan peramah.
Malah ada yang pandai memasak dan menghias rumah dan sangat suka menjemput rakan-rakan makan di rumah sebab mereka sangat suka dengan perhatian orang lain tidak termasuk keluarga rapat seperti isteri dan ibu bapa. Sikap mereka ini tidak menunjukkan sebarang keganjilan kepada diri dan perlakuan harian di tempat kerja atau dengan keluarga, malah mereka menunjukkan kemanjaan berlebihan kepada ahli keluarga terdekat sehingga mereka jadi sebutan. Mereka pandai melayan dan ringan tulang, sangat pemurah, ambil berat dan bertimbang rasa, malah sanggup berkorban masa dan wang ringgit untuk menyenangkan hati ahli keluarga di sekitarnya.
Mereka ini tidak cacat dari mata kasar, sehingga kita tidak tergamak untuk menerima hakikat bahawa mereka sebenarnya bermasalah kecelaruan emosi dari segi seksual. Oleh itu selain berdoa kepada Pencipta kerana Dia yang Maha Tahu dan Maha Berkuasa, belajarlah jadi sahabat setia pada suami, anda juga harus selami dan belajarlah berkongsi perasaan secara jujur, telus dan tulus.
Luahkan semua perasaan anda secara santun, jujur dan rendah hati kepadanya dengan tujuan mendapat hak anda sebagai isteri sejati, terutama dari segi layanan seksual dan lihatlah apa reaksi dirinya.
Terima dan layanlah pandangannya secara objektif, tanpa prasangka, tanpa membuat andaian awal sebelum mendapat bukti yang jelas dan benar daripadanya. Berbual dengan penuh sungguh-sungguh, dengan rasa simpati tetapi tujuan yang jelas sehinggakan dia berasa anda tidak marah padanya malah mahu mengetahui dan membantunya.
Nyatakan juga anda sedia menerima apa saja keadaannya dan mahu bersama-samanya sepanjang hayat. Jangan ada perasaan takut dia marah, takut dia tersinggung dan sebagainya. Nyatakan secara tulus anda hanya ingin mengetahui sebab kenapa selera seksual dia menurun sangat sehingga anda berasa terbiar dan tersisih sebagai isteri. Dengan cara begini mungkin dia akan lebih mudah menjelaskan masalah yang dihadapinya dan anda nyatakan anda sedia untuk membantu merawatnya jika masalah itu benar-benar dihadapinya. Selamat mencari punca dan berkongsi rasa dengan penuh rasa dengannya.
Bagi pembaca yang ingin berkongsi masalah dan pendapat dengan Dr Rubiah K Hamzah, anda boleh menghantar soalan anda ke alamat Ruangan Kaunselor Anda, Berita Minggu, 31, Balai Berita, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau e-mel bminggu@bharian.com.my
Sumber : Dr Rubiah K Hamzah (Pakar Motivasi) di BHarian 02/05/2010
Q&A : Kerja sendiri mencari rezeki halal lebih berkat
SOALAN :
ISLAM menggalakkan umatnya makan gaji atau membayar gaji (usahawan). Tetapi yang mana satukah lebih mulia di sisi Allah SWT? Apakah pandangan Rasulullah SAW mengenai perniagaan?
AMIR, Borneo.
JAWAPAN Persoalan Agama: Bersama Ustaz Zahazan Mohamed
Dalam hadis diriwayatkan Al-Bukhari daripada Miqdam r.a., Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada makanan yang dimakan seseorang sama sekali tidak yang lebih baik daripada memakan makanan hasil usaha tangannya sendiri. Sesungguhnya Nabi Allah Daud memakan hasil usaha tangannya sendiri.”
Begitulah pujian dan keutamaan bagi yang bekerja sendiri sama ada berniaga atau bercucuk tanam dan seumpamanya. Pekerjaan yang dibuat itu mesti halal dan tidak melanggar hukum syarak.
Hadis daripada Aisyah, kata beliau yang bermaksud: “Ketika akhir surah al-Baqarah diturunkan, Nabi SAW membacakannya kepada orang ramai di dalam masjid. Kemudian Baginda mengharamkan arak (minuman keras atau memabukkan). Pekerjaan usaha tangannya yang halal itu membawa kepada hasil yang berkat.”
Sebuah hadis daripada Hakim Hizam, katanya: “Aku meminta (sedekah) kepada Nabi SAW, lalu Baginda memberi kepadaku. Kemudian, aku meminta lagi kepada Baginda, lalu diberinya lagi. Kemudian Baginda SAW bersabda bermaksud: “Harta itu lazat dan manis. Maka siapa yang menerimanya dengan hati yang bersih (tidak rakus), dia akan mendapat berkat dengan harta berkenaan. Tetapi siapa menerimanya dengan harta yang nafsu serakah, dia tidak mendapat berkat dengan harta itu dan seperti orang yang makan dan tidak pernah kenyang.” (Hadis riwayat al-Bukhari).
Begitu juga hadis daripada Abu Sa’id al-Khudri yang katanya, Rasulullah bersabda bermaksud: “Siapa yang beroleh harta dengan jalan halal, dia akan mendapat berkat. Siapa yang memperoleh dengan jalan tidak halal, maka contohnya seperti orang makan yang tidak pernah kenyang.”
Untuk memperoleh keberkatan harta kita perlu memperbanyakkan bersedekah seperti hadis daripada Abu Hurairah: “Seorang lelaki mendatangi Rasulullah SAW, lalu bertanya: “Ya Rasulullah! Sedekah bagaimanakah yang besar pahalanya?” Rasulullah SAW menjawab: Sedekah ketika anda sedang sihat, ketika anda kikir, takut miskin, ketika anda mengharapkan akan menjadi hartawan yang kaya-raya. Maka pada ketika itu janganlah lalai, bersedekahlah. “Jangan ditangguh sehingga nyawa sampai di halkum, baru membahagikan sedekah. Ingatlah, sesungguhnya harta itu memang untuk mereka.”
Untuk dimudahkan rezeki, hendaklah menjalinkan hubungan silaturahim seperti dinyatakan hadis daripada Anas Mal: “Dia mendengar Rasulullah SAW bersabda, siapa ingin dimudahkan (Allah SWT) akan rezekinya atau dipanjangkan (Allah SWT) umurnya, maka hendaklah dia menghubungkan silaturahim (hubungan kasih sayang).”
Wallahualam.
Sumber : BHarian 02/05/2010
Q&A : Sapu muka selepas solat bukan sunnah Rasulullah
SOALAN :
SAYA pernah mendengar pelbagai pandangan mengenai menyapu muka sesudah memberi salam. Adakah ia diperintah atau sebaliknya? Boleh ustaz jelaskan dan berikan sumber hadis atau Quran.
ROHANA, Ampang, Selangor.
JAWAPAN Persoalan Agama: Bersama Ustaz Zahazan Mohamed
Saya suka memetik buku yang dikarang dan disusun Zaharuddin Abdul Ramhan iaitu Formula Solat Sempurna.
Imam al-Bukhari meletakkan tajuk yang memuatkan sebuah hadis berkaitan menyapu dahi dan hidung dalam ‘Bab sesiapa tidak menyapu dahinya dan hidungnya sehingga tamat sembahyang.’
Hadisnya iaitu daripada Abu Said al-Khudri berkata: “Aku melihat Rasulullah SAW sujud di atas air dan tanah sehingga dapat dilihat debu dan kesan tanah di dahinya.” Riwayat al-Bukhari (dengan Syarah Fath al-Bari)
Beberapa kefahaman yang dapat diambil daripada hadis itu ialah:
- Nabi Muhammad SAW tidak menyapu dahi ketika solat walaupun dahi Baginda terdapat kesan tanah dan air.
- Nabi Muhammad SAW juga tidak menyapu dahi Baginda selepas solat dan kalaulah ada ihtimal selepas solat, maka ia kerana membuang kesan tanah dan air dan seumpamanya yang ada di dahi.
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Syafi’I pula mengatakan, jika Nabi SAW melakukannya pun, maka ia bertindak menyapu habuk, debu dan kesan tanah di dahi Baginda yang termasuk dalam Bab Jibilliyah (perkara semula jadi kemanusiaan) dan bukan amalan untuk merapatkan diri kepada Allah SWT. (Fath al-Bari)
Namun, menurut ulama dalam mazhab Shafie, perbuatan menyapu dahi selepas solat digalakkan berdasarkan hadis:
“Rasulullah SAW apabila selesai daripada solatnya, maka Nabi menyapu dahinya dengan tangan kanannya sambil berdoa, ‘Ashadua an la ilaha illallah ar Rahmanar Rahiim. Allahumma azhib ‘annil hammi wal aza’ (Aku naik saksi tiada Tuhan selain Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih, Ya Allah jauhkan daripadaku kesakitan dan kedukacitaan).” (Riwayat al-Tabarani).
Al-Haitami memberikan ulasannya mengenai hadis pertama dengan katanya: “Ia diriwayatkan al-Tabarani dalam al-Awsat dan al-Bazzar dengan sanad yang ada Zaid al-‘Ama, beberapa ulama men’thiqah’inya (dipercayai) dan dianggap daif (lemah) oleh majoriti atau ramai orang.”
Baki perawi al-Tabarani pula dipercayai dan sebahagian yang lain diperdebatkan (Majma al-Zawaid).
Satu lagi hujah yang digunakan ialah (daripada Qatadah): “Sesungguhnya Baginda sudah menyapu dahinya apabila tamat daripada solat sebelum memberi salam.” (Musannaf Abd Razzaq).
Menurut ulama Syafie seperti dinyatakan dalam kitab I’anah al-Talibin walaupun hadis ini daif (lemah), ia masih digalakkan kerana termasuk dalam kategori fadhail al-‘amal iaitu kelebihan amalan.
Namun, amalan ini tidak ditemui dalam kitab muktamad Mazhab Shafie seperti al-Umm, Rawdah al-Talibin, Tuhfatul Muhtaj, Nihayatul Muhtaj dan Mughni Muhtaj.
Justeru, menisbahkan pendapat untuk menyapu muka selepas sembahyang kepada mazhab Shafie masih boleh dipertikaikan kerana ia mungkin pendapat peribadi beberapa ulama bermazhab Shafie dan bukan pendapat mazhab.
Wallahua’lam.
Sumber : BHarian 02/05/2010
Etika mengguna kad kredit
Pengguna harus bijak menggunakan kad kredit agar tidak 'terperangkap' dengan beban hutan. - gambar hiasanKAD kredit adalah antara produk institusi kewangan yang paling laris di pasaran. Kad kredit merujuk kepada sejenis kad yang ditawarkan oleh institusi kewangan seperti bank yang digunakan untuk mengganti penggunaan wang tunai.
Penggunaannya makin popular dan boleh dikatakan hampir setiap individu memiliki kad kredit. Sebabnya, ia memberikan kemudahan berbelanja tanpa perlu membawa wang tunai.
Secara mudahnya, kad kredit adalah satu kaedah pembayaran yang membolehkan pemegang kad membeli barangan atau mendapatkan perkhidmatan tanpa menggunakan wang tunai.
Namun, pernahkah kita bertanya bagaimana kad ini berfungsi atau kita hanya tahu gunakannya sahaja! Pihak pengeluar kad kredit apabila menawarkan kad kredit kepada pelanggannya, menerusi kad tersebut seseorang pelanggan itu diberi talian kredit, dengan had maksimum yang boleh dicaj kepada kad tersebut yang disebut sebagai 'had kredit'.
Apabila kad berkenaan digunakan untuk sebarang perbelanjaan maka had kredit yang diberikan akan berkurangan. Apabila bayaran dibuat maka had tersebut akan kembali bertambah dan ini jika pemegang kad kredit membuat bayaran balik baki sepenuhnya.
Namun, pemegang kad kredit biasanya tidak berbuat demikian, mereka sebaliknya hanya membayar jumlah faedah dan bayaran minimum baki pokok yang terhutang, dan tidak akan bayar balik baki yang sepenuhnya. Daripada sudut etika penggunaan kad kredit, kaedah pembayaran ini tidak digalakkan.
Kad kredit jika digunakan mengikut kaedah yang betul memang satu kemudahan yang sangat memberi manfaat kepada masyarakat. Namun, jika sebaliknya ia mengundang padah seperti yang dilaporkan dalam kosmo!, di mana Bank Negara menjelaskan, jumlah hutang kredit tidak berbayar sehingga Mac tahun 2000 adalah RM5.7 bilion berbanding Mac 1998, sebanyak RM4.4 bilion.
Angka terkini mendedahkan sehingga April 2009, rakyat Malaysia mempunyai tunggakan hutang kad kredit berjumlah RM22.4 bilion. Ia satu peningkatan lebih 400 peratus dalam tempoh satu dekad, dengan jumlah kad kredit yang beredar di pasaran hari ini berjumlah 11 juta.
Fenomena ini sungguh membimbangkan di mana purata setiap pemilik mempunyai 3.17 kad kredit. Namun, hanya kira-kira 60 peratus daripada pemilik kad kredit di negara ini menjelaskan pinjaman mereka mengikut masa ditetapkan. Selebihnya, gagal menjelaskan tunggakan pinjaman yang mencecah RM18.6 bilion berdasarkan statistik Oktober 2006.
Hutang tertunggak
Pemilik kad kredit yang gagal melunaskan hutang dalam tempoh ditetapkan berdepan dengan tindakan mahkamah dan kemungkinan diistihyarkan muflis. Kira-kira 30% kes muflis membabitkan pemegang kad kredit. Kebanyakan pemilik kad kredit yang muflis adalah eksekutif muda berusia bawah 30 tahun.
Walaubagaimanapun, penggunaan kad kredit bukan sahaja meningkatkan pertumbuhan sektor kredit yang sebelum ini terjejas teruk akibat dari kemurungan ekonomi dekad yang lalu, tetapi merancakkan aktiviti perniagaan dan aktiviti ekonomi masyarakat.
Namun, seperti yang dinyatakan di atas, sedar ataupun tidak, gejala penggunaan kad kredit secara berleluasa tanpa pengawasan menyebabkan berlakunya suasana yang tidak sihat kepada ekonomi dan moral individu serta masyarakat.
Kes-kes muflis yang berlaku, sebahagiannya berpunca daripada penggunaan kad kredit tanpa batasan sehingga menghasilkan hutang tertunggak yang tidak mampu dibayar.
Langkah bijak yang perlu dilakukan oleh masyarakat dalam memilih untuk menggunakan kad kredit ialah dengan memilih kad-kad kredit secara Islam yang ditawarkan oleh perbankan Islam.
Ini kerana ia bukan sahaja menepati syariah malah tiada unsur-unsur menindas dan menganiaya.
Penggunaan kad kredit perlu berteraskan etika dan tatacara tertentu agar ia membawa kebaikan dan tidak membuka ruang kemudaratan kepada para pengguna kad kredit dan harta mereka.
Pertama, masyarakat perlu memahami bahawa penggunaan kad kredit hanyalah untuk memberikan kemudahan kepada mereka ketika berurusniaga tanpa perlu membawa wang tunai kerana ia membahayakan keselamatan pemiliknya di samping menyusahkan.
Dengan adanya kad kredit, mereka tidak perlu mengambil risiko mengeluarkan wang tunai dari bank dan pengguna tidak terbeban membawa wang tunai untuk membuat pembelian atau pembayaran.
Sayangnya, ada di kalangan masyarakat hari ini memiliki kad kredit bukan untuk kemudahan tetapi lebih kepada bermegah-megah. Bagi mereka, kad kredit melambangkan status sosial yang tinggi di mata masyarakat.
Keadaan ini tidak pelik kerana terdapat beberapa lokasi perniagaan seperti restoran dan hotel yang memberikan layanan istimewa kepada pemegang kad kredit kerana ia menonjolkan imej kemewahan.
Hasilnya, terbitlah sifat- sifat negatif yang lain seperti riak, sombong, angkuh, tamak dan iri hati.
Sifat berbangga-bangga sehingga menyebabkan angkuh dan sombong ini jelas bercanggah dengan ajaran Islam. Dalam hal ini, Allah SWT merakamkan pesanan Luqman kepada anaknya dalam al-Quran yang bermaksud: Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. (Surah Luqman: 18)
Pendek kata, penggunaan kad kredit untuk dibangga-banggakan adalah jelas terpesong daripada tujuan asalnya. Sekiranya niat asal sudah tergelincir, maka tentunya penggunaannya pasti melanggar batasan yang sepatutnya.
Jika motif memiliki kad kredit adalah untuk berbangga-bangga, sudah pasti pengguna akan cenderung kepada membuat pembelian bukan disebabkan keperluan, tetapi untuk kepuasan dan menunjuk-nunjuk. Sehingga ada individu yang memiliki empat hingga lima kad kredit semata-mata bagi menggambarkan bahawa mereka adalah golongan elit dan berstatus tinggi.
Perlu diberi perhatian juga, penggunaan kad kredit hendaklah ketika keperluan yang amat sangat. Masyarakat boleh memiliki kad kredit untuk kemudahan terutamanya ketika berlaku kecemasan. Elak menggunakannya secara melampau dan melebihi had yang tidak sepatutnya.
Ini kerana, ia akan mewujudkan budaya suka berhutang yang amat tidak digalakkan oleh Islam kecuali bagi mereka yang benar-benar berhajat kepadanya.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia). (Hadis riwayat Muslim, 6/38)
Menggunakan kad kredit bermakna kita berhutang dengan pihak bank. Maka setiap kali kita menggunakannya, ia bererti kita menambah satu lagi liabiliti yang perlu dilunaskan. Semuanya akan dipertanggungjawabkan sehingga kita dipersoal oleh Allah SWT di akhirat kelak sekiranya gagal menunaikannya. Justeru, masyarakat perlu berfikir terlebih dahulu sebelum membuat pembelian melalui kad kredit. Gunakanlah sekadar keperluan sahaja dan jangan melampaui batasan yang sepatutnya.
Di samping itu, di antara perkara yang perlu dititikberatkan oleh pengguna kad kredit adalah perbelanjaan tersebut tidak boleh melebihi kadar yang munasabah bagi kapasitinya untuk membayar semula. Ini bermakna, perbelanjaan melalui kad kredit perlu berlandaskan kemampuan pemiliknya, bukan secara sesuka hati. Buat perancangan sebelum membuat pembelian.
Jangan berbelanja mengikut hawa nafsu. Sebaliknya, pengguna kad kredit perlu bijak dalam mengimbangi di antara perbelanjaan dan pendapatannya.
Jika kefahaman dan kesedaran ini gagal dihayati, maka ia akan menyebabkan pengguna kad kredit berhadapan dengan hutang tertunggak akibat perbelanjaan secara berlebihan. Situasi ini tentunya akan menyusahkan dirinya dan keluarga pada masa hadapan.
Jika wang sudah mencukupi, pengguna perlu terus membuat pembayaran. Ingat, setiap hutang wajib dibayar balik.
Sabda Rasulullah SAW: Barang siapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barang siapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya. (Hadis riwayat Al-Bukhari, 2/83 )
Sumber : Wan Jemizan Wan Deraman di Utusan
Garam berlebihan bawa penyakit
APA yang anda makan hari ini? Kalau di rumah, anda mungkin dapat mengawal makanan sekeluarga. Di luar sama ada anak anda di sekolah atau pasangan anda di pejabat, mereka mungkin makan makanan yang anda bekalkan atau membeli makanan yang dijual di kafe, restoran atau kantin.
Misalnya, apabila loceng berbunyi di akhir sesi sekolah, lain pula ceritanya. Anak-anak mungkin mengisi perut dengan snek atau makanan ringan apalagi jika masih ada banyak duit belanja di saku. Ada yang memberli gula-gula. Ada juga snek yang disertakan dengan barang permainan yang dijadikan sebagai umpan pembelian. Snek semakin menjadi isu besar khususnya dalam kalangan generasi muda yang juga boleh menjurus kepada pelbagai isu kesihatan jika dibiarkan berleluasa.
Si ibu yang mengandung pula tidak boleh berpisah dengan jeruk. Kata mereka, ia menjadi kegemaran untuk menghilangkan rasa loya. Benar atau tidak, orang ramai juga perlu mengkaji kandungan garam pada jeruk. Ia mungkin memberi kesan pada ibu dan bayi yang dilahirkan.
Lain pula ceritanya warga kota yang gemarkan makanan yang diproses dalam tin seperti sardin dan sebagainya. Kesibukan berkerja atau tempat membeli makanan segar yang terhad menggalakkan senario ini. Mungkin tidak salah tetapi cuba baca label makanan tersebut kerana ia mungkin mengandungi garam yang berlebihan.
Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan menyuarakan kebimbangan masyarakat dalam pengambilan garam. Ramai tidak menyedari garam juga memberi kesan terhadap kesihatan. Jika gula popular dengan kencing manis, garam pula sering dikaitkan dengan darah tinggi. Malah, garam juga menjadi ibu segala penyakit kerana masalah darah tinggi boleh memberi kesan kepada jantung, buah pinggang, masalah obesiti dan sebagainya.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, selain daripada mengurangkan pengambilan gula, orang ramai disarankan supaya mengurangkan pengambilan garam ataupun natrium dan sodium dalam makanan. Saranan pengurangan garam tidak melebihi satu sudu atau 5gm dibuat berikutan hasil kajian di Hong Kong yang mendapati beberapa produk makanan dalam tin seperti daging lunceon dan sardin mempunyai kandungan natrium atau sodium yang tinggi. Kajian tersebut yang dilaporkan agensi berita antarabangsa pada 15 April lalu, mendapati kandungan natrium dalam makanan melebihi saranan pengambilan harian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Seperti yang ditegaskan Tiong Lai, daging lunceon dan sardin dalam tin merupakan makanan yang terproses dan mengandungi garam, air dan bahan pengawet seperti natrium nitrat, kalium nitrat, natrium nitrit atau kalium nitrit.
Natrium boleh digunakan sebagai ramuan makanan atau bahan pengawet.
Di Malaysia, pelabelan bagi nitrat tidak diwajibkan memandangkan fokus pelabelan pemakanan hanya bagi empat nutrien utama - tenaga, protein, karbohidrat dan lemak, dengan pemantauan ke atas kandungan natrium hanya dibuat bagi makanan terproses.
Di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, standard bagi garam (natrium klorida) ditetapkan di bawah peraturan 283, di mana garam perlu mengandungi tidak kurang daripada 95 peratusan natrium klorida.
Bagaimanapun, beberapa standard makanan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 mempunyai peruntukan membenarkan penambahan garam, dengan peruntukan khusus bagi paras garam atau natrium yang perlu tambah seperti untuk belacan, cincalok, sos ikan, ikan kering dan pekasam (jeruk).
Liow berkata, peraturan Diet Makanan 2010 menyarankan pengambilan garam tidak melebihi satu sudu atau 5 gram garam, bersamaan 2000 miligram natrium sehari, dan ini selaras dengan saranan WHO (2007).
"Berdasarkan kajian pengambilan makanan di kalangan Orang Dewasa Malaysia 2002/2003, pengambilan natrium di kalangan rakyat Malaysia adalah sebanyak 2,575 miligram sehari. Ini menunjukkan rakyat Malaysia mengambil natrium melebihi jumlah yang disarankan. Kajian yang sama juga mendapati pengambilan garam yang tinggi dikaitkan dengan peningkatan tekanan darah," katanya.
Berdasarkan Panduan Diet Malaysia 2010 yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, terdapat beberapa contoh makanan yang tinggi kandungan natrium melebihi paras 480 mg natrium seperti :
- kacang panggang (tin),
- ayur/sayur jeruk (tin),
- sup tomato (tin),
- ayam goreng (makanan segera),
- kari ayam (tin),
- kiub ayam,
- rendang daging (tin),
- kari daging (tin) dan
- sardin (tin).
Selain itu kicap pekat dan kicap cair, kondimen seperti sos tomato/cili/tiram, cincalok dan belacan juga melebihi paras 480 mg natrium.
Sehubungan itu, Liow menyeru orang ramai mengurangkan penggunaan garam dan sos dalam makanan selain kurangkan pengambilan makanan dalam tin, dijeruk atau makanan digaramkan seperti telur masin.
"Utamakan makanan segar seperti daging segar berbanding daging ditinkan. Rendam dahulu makanan yang bergaram (seperti ikan masin/ikan bilis) sebelum dimasak untuk membuang garamnya. Sekiranya membeli makanan terproses, baca panel maklumat pemakanan pada label makanan untuk mengetahui kandungan garam dan pilihlah produk yang mengandungi kurang kandungan natrium," katanya.
Kesedaran
Sementara itu, menurut Pakar Pemakanan Hospital Pantai Ampang, Nor Lizawati Che' Lah, natrium sebenarnya perlu untuk melancarkan proses bendalir dalam badan. Namun kandungan natrium perlu ada hadnya kerana jika berlebihan, ada yang tidak boleh dibuang. Ia sekali gus memberi kesan kepada kesihatan.
"Pengambilan garam yang normal adalah 2400 miligram sodium atau satu sudu teh garam. Menurut kajian di Amerika, pengambilan garam melebihi 3,000 miligram akan meningkat cara pengambilan makanan segera. Sebaliknya, dalam makanan yang diproses terdapat 75% garam yang tersembunyi," katanya.
Tambah Nor Lizawati, jika pengambilan garam diambil secara berlebihan, ia akan menyebabkan penyakit darah tinggi, jantung, osteoporosis, kanser perut, gastrik dan buah pinggang. Mengakui hakikat kewujudan pelbagai jenis garam, Nor Lizawati berpendapat, kandungan atau kesannya tidak jauh berbeza. Misalnya, ada kajian yang dilakukan ke atas garam laut, kandungan mineral lebih baik daripada biasa dan ia lebih masin. Namun, terdapat garam tiruan seperti pan salt. Ia mungkin lebih masin dan lama-kelamaan lebih pahit daripada garam biasa.
Mengulas kesedaran masyarakat tentang isu ini, ia masih ditahap yang rendah. Nor Lizawati memberitahu, walaupun ada kempen mengurangkan garam dan menggantikannya dengan rempah atau perahan limau, garam masih menjadi perisa utama. Antara langkah pencegahan yang boleh dilakukan adalah memesan makanan kurang garam dan MSG ketika makan di restoran.
Berdasarkan pengalaman Nor Lizawati, beliau pernah berdepan dengan pesakit darah tinggi yang baru berusia 12 tahun. Hakikatnya, garam bukan sahaja menyebabkan penyakit tersebut, ia juga menjadi punca utama obesiti.
Apabila kita makan makanan yang mengandungi lebih garam, kita akan berasa cepat haus. Justeru itu, seseorang itu tidak akan berasa puas minum air kosong dan dia lebih gemarkan minum air jus atau manis. Kemudian, dia akan berasa nak makan lebih. Akhirnya, dia tidak dapat mengawal pemakanan dan berat badannya mencapai paras obesiti.
Bagi ibu mengandung, pada trimester kedua dan ketiga, mereka tidak digalakkan mengambil garam berlebihan seperti jeruk buah kerana ia akan menyebabkan kaki bengkak.
Penyelesaian kepada masalah ini, orang ramai digalakkan makan lebih buah-buahan dan sayur-sayuran.
Sumber : adawiyah.koh@utusan.com.my di Utusan 02/05/2010
Sabtu, Mei 01, 2010
Larangan membunuh diri
Assalamualaikum warahmatullah,
Akhir-akhir ini, banyak kejadian bunuh diri atau cubaan bunuh diri dilaporkan menerusi berita di kaca tv dan suratkhabar. Bunuh diri adalah perbuatan dengan niat untuk menamatkan riwayat. Apabila perbuatan itu gagal, ianya dipanggil cubaan membunuh diri. Kadar membunuh diri berbeza mengikut negara bangsa dan budaya. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menganggarkan lebih kurang satu juta manusia mati akibat membunuh diri dalam setahun.
Kebiasaannya kematian akibat membunuh diri di kalangan lelaki adalah tiga hingga empat kali berbanding dengan perempuan, walaupun cubaan membunuh diri lebih tinggi di kalangan perempuan. Penyakit mental yang serius seperti kemurungan, skizofrenia, bipolar juga menyumbang kepada berlakunya bunuh diri.
Di dalam Islam perbuatan membunuh diri adalah termasuk dalam dosa besar dan dilarang keras. Hal ini kerana manusia adalah makhluk yang dimuliakan oleh Allah dan diutamakan melebihi makhluk-makhluk ciptaan-Nya yang lain.
Orang yang membunuh diri adalah orang yang lari dari tanggungjawab kemanusiaannya. Lebih parah daripada itu perbuatan tersebut menunjukkan kurangnya kepercayaan seseorang itu terhadap takdir Allah SWT, sedangkan Islam mengajarkan umatnya tentang kepentingan sabar dan tawakkal serta melarang daripada sifat berputus asa dan sebagainya.
Orang yang beriman tidak boleh membunuh dirinya sendiri dengan sebarang alasan kerana Allah SWT pernah berfirman yang maksudnya, “Dan janganlah kamu membunuh dirimu; sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu.” (Surah an-Nisaa’ ayat 29)
Sebab musabab
Mengapa orang membunuh diri? Terdapat banyak faktor yang mendorong perbuatan membunuh diri, antaranya : putus cinta, kecewa dengan diri sendiri, kematian orang yang disayang, penceraian ibu bapa, pengangguran, masalah kewangan (hutang, dikejar AhLong), mempunyai penyakit fizikal (barah, umpamanya), tiada sokongan keluarga, kemurungan, kesepian dan lain-lain lagi. Kerap kali, apabila dilanda masalah, manusia mudah hilang pertimbangan, dan cara terbaik bagi mereka adalah dengan membunuh diri untuk lari dari masalah.
Dalam kebanyakan kes cubaan membunuh diri, mereka yang nekad melakukan perbuatan
Tanda Allah mencintai seseorang ialah apabila maksiat membuat dia bangkit mendekati Allah dan bukannya dengan menamatkan riwayat. Adakalanya ujian atau dugaan yang dihadapi boleh mendatangkan manfaat iaitu apabila ujian atau dugaan itu akhirnya membawa kepada keinsafan, taubat dan istighfar. Kemudian seseorang bangkit mengejar Allah, berusaha mendapatkan hatinya yang hilang di belantara maksiat. Ia sama sekali tidak berputus asa daripada rahmat Allah. Ia sentiasa mengingati janji Allah Yang Maha Pengampun.
Firman Allah bermaksud: “Katakanlah: Wahai hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, jangan kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa semuanya. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan berserah dirilah kepada-Nya sebelum datang azab kepadamu Kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi).” (Surah al-Zumar, ayat 53-54)
Janganlah kerana dosa semalam seseorang menyangka Allah tidak sudi mendengar rintihannya, terputus tali langit di hatinya, tertolak segala doanya dan terusir dia daripada pandangan Allah.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Demi Tuhan yang diriku berada dalam genggaman-Nya. Seandainya kamu tidak berdosa nescaya Allah akan mematikan kamu. Kemudian Allah akan mendatangkan satu kaum yang melakukan dosa dan mereka memohon keampunan kepada Allah lantas Allah mengampuni mereka.” (Hadis riwayat Imam Muslim)
Tips mudah mengatasi tekanan dengan bijak
Mereka yang membuat cubaan membunuh diri akan meninggalkan kesan kepada keluarga
dan rakan-rakan. Ia mungkin menimbulkan perasaan bersalah dan marah. Ia boleh
mengakibatkan kesedihan yang berpanjangan, penyakit mental yang teruk seperti
kemurungan dan penyalahgunaan dadah dan sebagainya.
Bagaimanakah anda dapat membantu diri sekiranya anda mengalami perasaan ingin membunuh diri? Saya kongsikan tips-tips mudah untuk mengatasi tekanan dengan bijak, mudah-mudahan tips-tips yang disertakan ini dapat membantu mereka yang mengalami kemurungan dan tekanan.
Erk… disebabkan banyak sangat point-point yang dimasukkan, terpaksalah saya keluarkan ia dan dimasukkan ke entry selanjutnya. Sila semak entry Tips bagi mengatasi tekanan perasaan.
Status orang mati bunuh diri
Kesalahan membunuh diri merupakah satu kesalahan yang terlalu besar, namun perbuatan ini TIDAK termasuk di dalam perkara yang menyebabkan seseorang terkeluar daripada Islam (murtad), melainkan bagi orang yang menghalalkan perbuatan tersebut, jika dia menghalalkannya maka ketika itu dia dihukumkan sebagai kafir/murtad.
Ini kerana SAW tidak melarang para sahabat dari menyembahyangkan jenazah orang yang membunuh diri. Namun Baginda sendiri tidak menyembahyangkan jenazah orang tersebut sebagai pengajaran bagi orang lain. Maka menjadi sunnah kepada para ulama dan orang yang dipandang mulia tidak menyembahyangkan jenazah orang yang mati membunuh diri sebagai mengikut perbuatan SAW dan sebagai pengajaran kepada orang lain.
Daripada Jabir bin Samurah r.a. katanya yang bermaksud : “Didatangkan kepada Rasulullah SAW, jenazah seorang lelaki yang membunuh diri dengan anak panah, lalu Baginda tidak menyambahkan untuknya.” (Hadis riwayat Muslim)
Al-Imam al-Nawawi di dalam Syarah Sahih Muslim ketika mensyarahkan hadis ini menyebut, “Hadis ini menjadi dalil bagi ulama yang berpendapat tidak disembahyangkan jenazah orang yang membunuh diri disebabkan maksiat yang dia lakukan, inilah mazhab ‘Umar ibn ‘Abdul ‘Aziz dan al-Auza’ie. Manakal al-Hasan, al-Nakha’ie, Qatadah, Malik, Abu Hanifah, al-Syafi’ie dan kebanyakan ulama berpendapat: Disembahyangkan ke atas jenazah orang yang membunuh diri. (Jumhur) kebanyakan ulama ini menjawab tentang hadis ini yang baginda tidak menyembahyangkannya sebagai melarang manusia dari melakukan perbuatan yang sama (membunuh diri), namun jenazah itu disembahyangkan oleh para sahabat…”
Orang yang membunuh dirinya akan diazab di akhirat kelak sebagaimana dia membunuh dirinya di dunia sepertimana yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadis-hadis di bawah.
Daripada Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud, “Sesiapa yang membunuh dirinya dengan benda tajam, maka benda tajam itu akan dipegangnya untuk menikam perutnya di neraka jahanam. Hal itu akan berlangsung selama-lamanya. Sesiapa yang meminum racun sehingga mati, maka ia akan meminumnya di dalam neraka jahanam selama-lamanya. Sesiapa yang menjatuhkan diri dari gunung semata-mata untuk membunuh diri, maka ia akan menjatuhkan dirinya ke dalam neraka jahanam selama-lamanya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Diriwayatkan dari Tsabit bin Al Dhahhak r.a., Rasulullah SAW pernah bersabda, “Siapa pun yang secara sengaja bersumpah palsu bahawa agamanya bukanlah Islam, maka ia adalah sebagaimana yang ia katakan. Dan siapapun yang membunuh dirinya sendiri dengan sepotong besi, di neraka ia akan diazab dengan benda yang sama.” (Sahih Bukhari)
Diriwayatkan dari Jundub bin Abdillah r.a., Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, “Dahulu kalangan umat sebelum kamu ada seorang lelaki yang ada kecederaan (kemudian menjadi ulser), lalu dia tidak bersabar menanggung kesakitannya, lalu dia mengambil pisau dan memotong tangannya sehingga darah tidak berhenti sehinggalah dia mati. Firman Allah SWT : “Hamba-Ku mendahului-Ku (tergesa-gesa) dengan membunuh dirinya sendiri maka Aku haramkan untuknya syurga.” (Sahih Bukhari dan Muslim)
Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a., Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, “Ia yang bunuh diri dengan mencekik dirinya sendiri, di neraka ia akan terus menerus mencekik dirinya sendiri dan ia yang bunuh diri dengan menikam dirinya sendiri, di neraka ia akan terus menerus menikam dirinya sendiri.” (Sahih Bukhari)
Mengenai teks hadis yang menyatakan orang yang membunuh diri itu kekal selama-lamanya di dalam neraka, para ulama menyatakan, maksudnya ialah bagi orang yang menghalalkan perbuatan tersebut dan maksudnya juga boleh difahami dengan memanjangkan tempoh azabnya di dalam neraka.
Wallahu a’lam.
Renung-renungkan!
Capaian entry berkaitan :
- Kukuh institusi keluarga
- 30:100,000 rakyat bunuh diri setiap tahun
- Masalah sosial: 14 rakyat India bunuh diri setiap jam
- Lelaki cuba bunuh diri berjaya diselamatkan
- Bomba selamatkan cubaan pelajar bunuh diri
- Cuba bunuh diri selepas berpisah dengan kekasih
Pemberi rasuah harus diperangi

Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Begitulah ungkapan manis peribahasa yang sering kita bualkan dalam erti hidup bermasyarakat di negara ini. Ada kala peribahasa yang manis ini jua sering disalah guna dan disalah tafsir hingga membawa kepada perbuatan yang menyalahi undang-undang.
''Apa salahnya saya taja pegawai dan keluarganya melancong ke luar negara kerana beliau telah banyak membantu saya mendapatkan projek di jabatannya? Dia tidak pernah meminta dan saya ikhlas memberi, niat saya cuma bersedekah."
''Saya tidak pernah meminta, dia yang nak beri. Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa."
Itulah antara ungkapan yang sering kita dengar bagi menghalalkan suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang iaitu perbuatan menerima dan memberi rasuah. [NB : Matlamat tidak sesekali menghalalkan cara.]
Sebelum kita menerima sesuatu tawaran atau pemberian sama ada berbentuk hadiah, wang tunai, pakej pelancongan ataupun sebagainya, maka :
- wajarlah kita menilai apakah punca atau faktor sebenar sesuatu pemberian itu ditujukan kepada diri kita?
- Sekiranya kita tidak berada di kedudukan sekarang atau memegang sesuatu jawatan, adakah si pemberi akan menawarkan pemberian tersebut kepada kita?
- Siapakah si pemberi tersebut? Adakah beliau mempunyai kaitan dengan tugas rasmi kita?
- Kenapakah kita yang dipilih untuk diberikan hadiah tersebut?
- Apakah hasrat atau muslihat di sebalik pemberian itu?
- Adakah pemberian tersebut berkaitan dengan tugas dan tanggungjawab kita di pejabat?
- Apakah kesan seterusnya jika kita menerima hadiah tersebut?
Persoalan-persoalan ini harus sentiasa bermain di fikiran kita sekiranya ditawarkan apa-apa hadiah atau benda berharga. Tidak salah sekiranya si pemberi merupakan isteri atau ahli keluarga terdekat, niat memberi atas sambutan perayaan atau hari jadi misalnya dan si pemberi langsung tiada kaitan dengan urusan rasmi.
Pemberian hadiah dalam kehidupan masyarakat adalah suatu tuntutan bagi mengeratkan kasih sayang dan perpaduan. Namun begitu, janganlah ia disalah tafsir sehingga menjadikannya budaya yang mencemar undang-undang negara sehingga mewujudkan amalan rasuah, salah guna kuasa, penindasan, penyelewengan, penipuan dan ketidakadilan.
Pemberian hadiah kepada seseorang atas dasar perkaitan tugas dan kuasa yang dipegangnya merupakan suatu perbuatan yang dilarang oleh agama. Ini dijelaskan menerusi sabda Rasulullah SAW menerusi dua hadis berikut, "Barang siapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji dan upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah ghulul (pengkianatan)." (Hadis riwayat Abu Daud.
Nabi Muhammad SAW bersabda kepada seorang gabenornya yang telah ditugaskan mengutip zakat Kabilah Azad, maka apabila ia selesai kerjanya dan kembali berjumpa Nabi, lalu ia menyimpan sebahagian daripada wang yang dikutip sambil berkata: "Ini untukmu (bahagian untuk Islam) dan ini untukku yang diberikan sebagai hadiah (oleh orang ramai)." Maka jatuh murka Baginda sambil bersabda: "Ketahuilah, pergilah kamu duduk di rumah bapamu atau ibumu, sehingga datang kepadamu hadiahmu, jika kamu benar-benar betul (layak mendapat hadiah." (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Siapakah dia pemberi rasuah? Kenapa si pemberi rasuah sanggup membelanjakan ratusan atau ribuan ringgit bagi meraikan anda? Apakah muslihat di sebalik pemberian tersebut? Apakah kesan sekiranya anda termakan umpan si pemberi rasuah?
Berasaskan analisis yang dibuat ke atas profil pemberi rasuah sepanjang 10 tahun lalu, hampir 90% pemberi rasuah terdiri daripada individu-individu yang telah melakukan kesalahan jenayah dan berhadapan dengan tindakan pihak penguatkuasaan.
Antara kesalahan jenayah yang dilakukan termasuk :
- penyeludupan barang-barang terlarang (termasuk dadah, rokok, arak, diesel, barangan kawalan),
- melindungi dan menggaji pendatang tanpa izin,
- pembalakan haram,
- perlombongan haram,
- pengedaran dan penyalahgunaan dadah,
- aktiviti perjudian,
- pelacuran,
- memperdagangkan manusia
- dan kesalahan-kesalahan lain yang lebih ringan termasuk kesalahan trafik dan berniaga tanpa lesen.
Suapan rasuah ditawarkan atau diberi kepada pegawai-pegawai penguat kuasa bagi mengelakkan sebarang tindakan dikenakan ke atas mereka. Suapan yang ditawarkan datang dalam pelbagai bentuk termasuk wang tunai, barangan berharga, keraian, perkhidmatan dan pelbagai lagi. Lagi besar kesalahan yang dibuat maka lebih besar imbuhan yang ditawarkan kepada pihak berkuasa. Secara rumusannya, si pemberi rasuah terdiri daripada mereka yang menjalankan kegiatan haram dan hasil kegiatan haramnya sering mendatangkan kesan yang amat bahaya kepada masyarakat.
Si pemberi rasuah amat licik. Setiap latar belakang dan profil pegawai-pegawai penguat kuasa dan pihak yang memegang kuasa akan diselidiki. Minat, kecenderungan dan kelemahan pegawai akan digunakan sebagai strategi penting untuk mendekati serta menguasai mangsa. Sekiranya mangsa berminat dengan golf, maka golf akan digunakan sebagai saluran untuk mendekatinya. Sekiranya, pegawai berminat dengan kereta, maka keretalah akan digunakan sebagai umpan untuk memenangi hatinya.
Si pemberi rasuah diibaratkan sebagai seorang jejaka yang berusaha memenangi hati seorang gadis dengan menaburkan segala janji dan kemewahan. Kesemuanya dilakukan dengan teliti dan rapi sehinggalah si mangsa (pegawai) akan menganggap pemberi rasuah sebagai rakan atau sahabat karib. Maka bermulalah proses selanjutnya iaitu untuk menabur budi dengan pemberian hadiah atau benda-benda berharga tanpa sebarang permintaan atau balasan khusus.
Pegawai akan terasa terhutang budi dan akhirnya terjebak dengan pengaruh si pemberi rasuah dengan secara tidak langsung menggunakan pengaruhnya secara langsung atau tidak langsung untuk melindungi perbuatan jenayah yang dilakukan oleh pemberi rasuah.
Di kala ini, pegawai diibarat lembu yang dicucuk hidung dengan hanya mengikut telunjuk dan arahan pemberi rasuah. Akhirnya harga dan maruah diri tergadai dek pujukan si pemberi rasuah.
Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 menetapkan bahawa perbuatan memberi atau menawarkan rasuah merupakan suatu kesalahan yang sama beratnya dengan kesalahan menerima rasuah: "Seseorang melakukan kesalahan jika dia memberikan atau bersetuju untuk memberikan atau menawarkan apa-apa suapan kepada mana-mana ejen sebagai dorongan atau upah untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan hal ehwal prinsipalnya." Jika disabitkan dengan kesalahan ini, seseorang itu akan berhadapan dengan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau sepuluh ribu ringgit, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Perbuatan memberikan rasuah ini juga merupakan kesalahan yang dipandang serius oleh agama. Ini dapat dijelaskan menerusi hadis Rasulullah SAW: "Allah melaknat orang yang memberi rasuah dan penerima rasuah."
Rasuah tidak akan berlaku seandainya salah satu pihak sama ada pemberi atau penerima tidak merestuinya. Rasuah tidak akan berlaku jika tiada pemberi. Rasuah tidak akan berlaku jika tiada penerima. Rasuah akan berjaya dibanteras jika kedua-dua pihak pemberi atau penerima enggan melakukannya dan melaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan.
Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah Tun Abdul Hamid Mohamad dalam ucapannya pada majlis pelancaran Aspirasi SPRM menjelaskan bahawa, "jika kita betul-betul hendak memerangi rasuah, perkara pertama sekali yang masing-masing mesti lakukan ialah menghindar diri daripada perbuatan rasuah. Caranya mudah dan semua orang tahu: Jangan beri dan jangan terima rasuah!"
Bersempena dengan sambutan Hari Pekerja pada tahun 2010 ini, SPRM akan melancarkan kempen kesedaran secara besar-besaran kepada semua penjawat awam khasnya dan anggota masyarakat untuk menghentikan perbuatan menyogok penjawat awam.
Di pihak penjawat awam, kempen kesedaran berhubung kewajipan melaporkan apa jua sogokan di bawah seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 akan ditekankan dalam kempen-kempen yang telah dirancangkan menerusi media massa.
Datuk Ahmad Khusairi Yahaya ialah Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Sumber : Ahmad Khusairi Yahaya di Utusan
Amanah asas dalam diri pekerja
'Selamat hari pekerja' kepada setiap pekerja yang menunjungi Laman-Seri. Hari ini kita ingin berbicara tentang sikap yang perlu ada pada setiap pekerja di dunia ini.
SETIAP pekerja mempunyai amanah terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara. Bagi pekerja Muslim, memelihara amanah yang diberikan adalah satu tanggungjawab maka hendaklah ditunaikan dengan sebaik-baik mungkin dan tidak menyalahgunakannya sama sekali.
Jika kita seorang majikan sesebuah organisasi, maka kita perlu memiliki amanah untuk memelihara kebajikan pekerja termasuk membayar gaji atau upah bersesuaian dengan kebolehan serta kecekapan mereka, menghormati pandangan mereka, tidak sama sekali menindas serta memerah keringat mereka secara tidak adil dan sentiasa memberikan dorongan supaya mereka mencintai pekerjaan, memotivasi dan memberi semangat dalam melaksanakan tugas.
Sebagai seorang pekerja maka di bahu kita menggalas amanah untuk melaksanakan tugas dengan penuh minat, ketekunan, kegigihan dan kesungguhan yang tinggi. Kita diseru agar mengutamakan kepentingan majikan serta organisasi berbanding kepentingan diri, sentiasa berusaha memastikan majikan dan organisasi tempat kita bekerja, mencapai matlamat yang disasarkan dengan jayanya.
Amalan melaksanakan tugas dengan penuh ketekunan, kegigihan dan kesungguhan sememangnya tidak asing bagi seorang pekerja Muslim. Ini kerana ia telah dilatih dalam kehidupan seharian, khususnya melalui ibadah yang dilaksanakan, seperti solat. Al-Quran menjelaskan bahawa solat berperanan mencegah orang yang melaksanakannya daripada melakukan dosa dan kemungkaran.
Apatah lagi, isyarat tentang ketekunan, kegigihan dan kesungguhan yang menjadi penanda aras bagi pelaksanaan sesuatu tugas oleh seseorang Muslim begitu jelas dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud; "Sesungguhnya Allah menyukai apabila salah seorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan, ia melakukannya dengan baik, sempurna lagi teliti." (Riwayat al-Baihaqi daripada 'Aisyah r.a.)
Begitu juga setiap pekerja atau warga sesebuah organisasi mesti sedar akan amanah yang ada pada diri mereka untuk menjalin hubungan yang baik dan penuh kasih sayang antara pekerja. Mereka perlu sentiasa berusaha mewujudkan nilai-nilai mulia dalam hubungan antara sesama mereka seperti bekerjasama, bantu-membantu, bersangka baik, nasihat-menasihati dan sebagainya. Sebaliknya, sikap dan nilai buruk seperti iri hati, saling memudaratkan, hasut-menghasut, berprasangka buruk dan lain-lain perlu dijauhi serta dihapuskan.
Di samping itu, amanah diri pekerja turut dikaitkan dengan sejauh mana mereka dapat melindungi kepentingan serta rahsia dalam mempertahankan nama baik atau imej organisasi. Kita ibaratkan sahaja organisasi atau syarikat tempat kita bertugas sebagai sebuah keluarga, masyarakat atau sebuah negara. Maka dari situ kita perlu menjaga organisasi agar tidak terpalit dengan unsur-unsur negatif yang boleh menjatuhkan organisasi berkenaan.
Selain itu, sebagai pekerja kita turut diamanahkan untuk menjaga peralatan serta kemudahan yang disediakan oleh majikan untuk kegunaan kakitangannya. Ini bertujuan memastikan kelancaran tugas yang diamanahkan. Segala peralatan dan kemudahan milik pejabat atau organisasi tempat kita bekerja seperti telefon, mesin fotokopi, kereta pejabat, pencetak dan lain-lain untuk keperluan pejabat perlu dimanfaatkan hanya untuk tujuan penyempurnaan tugas semata-mata; bukan sebaliknya.
Asas kepada nilai amanah seseorang pekerja juga hendaklah sentiasa berusaha memanfaatkan masa bekerja untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan. Ia perlu mengatur perancangan dengan baik agar tiada waktu yang berlalu dengan sia-sia atau sering menunda-nunda kerjanya. Keadaan ini penting untuk mengelakkan tugasan yang diamanahkan tidak dapat diselesaikan dengan baik menurut tempoh yang telah ditentukan.
Menyentuh tentang sikap gemar menunda-nunda kerja, ia sebenarnya merupakan amalan yang akan mendorong kegagalan seseorang pekerja, sama ada dari sudut matlamat pekerjaan mahupun juga pencapaian organisasi.
Oleh yang demikian, perancangan tugasan yang baik akan dapat membantu pekerja untuk menentukan keutamaan dalam pelaksanaan tugas. Tugas yang lebih penting, didahulukan dan yang kurang mendesak, dilakukan kemudian.
Fikirkan pula jika nilai amanah ini terhakis daripada diri kita. Apakah yang akan berlaku jika masyarakat kita telah mula menerima budaya khianat-mengkhianati, menyalahgunakan kuasa, tidak bertanggungjawab, rasuah dan sebagainya?
Justeru, cara terbaik untuk memupuk nilai amanah dalam diri pekerja ialah dengan memanfaatkan semua bentuk ibadah yang difardukan ke atas kita. Bahkan seseorang pekerja Muslim sebenarnya amat beruntung kerana memiliki peluang yang amat banyak untuk memupuk nilai amanah. Ini kerana sejak kecil lagi, kita telah diberikan pendidikan keimanan (Rukun Iman) dan bimbingan untuk beribadah (Rukun Islam).
Sebagai contoh, dengan mengerjakan solat pasti dapat menghalang seseorang yang melaksanakan tugas dengan penuh ketulusan dan keimanan untuk tidak terbabit dengan perbuatan melanggar amanah seperti penyalahgunaan kuasa, salah laku di tempat kerja, ponteng dan sebagainya.
Selain itu, hayatilah nilai amanah Rasulullah SAW yang boleh menjadi teladan terbaik dalam kehidupan kita. Nabi SAW yang memulakan perniagaan bersama-sama dengan bapa saudaranya tetapi dalam tempoh masa yang singkat, disebabkan kejujuran dan keadilannya, baginda terkenal di kalangan penduduk Quraisy Mekah sebagai seorang yang sangat jujur lagi amanah sehingga digelar al-Amin (orang yang jujur) dan al-Siddiq (orang yang benar).
Oleh itu, pemupukan nilai amanah dalam diri pekerja seharusnya bermula dengan diri sendiri. Jika ini berlaku barulah amanah terhadap orang lain terutama dalam organisasi akan dapat dilaksanakan dengan sempurna. Ini bertepatan dengan apa yang diungkap oleh cendekiawan, "Seseorang yang tidak memiliki sesuatu (amanah), tidak akan dapat memberikan apa pun (amanah)."
Penulis ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Sumber : Nor Hartini Saari di utusan
Capaian entry berkaitan :
- Jadikan anak sebagai amanah
- Harta dunia hanyalah ujian dan amanah Allah
- Kelahiran anak ujian dunia buat ibu bapa
- Akauntabiliti seorang pemimpin
- Perihal Amanah
- Ibu bapa alpa laksana amanah antara punca anak derhaka
- Q&A : Wajib bergaul baik dengan isteri
- Tajdid Iman: Harta, pangkat penguji tahap keimanan
- Amanah perisai hindari amalan rasuah
- Q&A : Melaksanakan amanah pahala besar dilaksana
- Bukan hak milik, tetapi anugerah....






