“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Sabtu, Januari 22, 2011

Kita sepatutnya kecewa dengan sikap sendiri


Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera,

Tidak dapat kita nafikan, salah satu sifat semulajadi manusia ialah suka menyalahkan orang lain terlebih dahulu, sebelum mencari kesalahan sendiri. Ada sahaja yang tidak kena pada pandangan matanya.

Mungkin kesalahan itu kecil sahaja dan tidak disengajakan, tetapi bagi dirinya, kesalahan tetap kesalahan dan ianya perlu diambil tindakan. Seolah-olah manusia tidak pernah membuat kesalahan, termasuk dirinya sendiri. Ironisnya, bila kesalahan itu terkena pada batang hidungnya sendiri, dia pandai pula mencari alasan. Sekalipun alasan itu tidak kukuh, namun dia tetap berasa bahawa dirinya patut dikecualikan daripada peraturan yang sedia ada. Sebab, dia mempunyai kuasa dan peraturan adalah di bawah penguasaannya.

Inilah yang banyak berlaku dan akhirnya, berlakulah perasaan tidak puas hati di kalangan orang sekeliling atau orang bawahannya. Kebiasaannya, orang seperti inilah yang mempunyai umur yang panjang. Kenapa ya? Adakah umur yang panjang sebegini diberkati-Nya? Fikir-fikirlah sendiri.

Kalau hendakkan sesuatu, dia pasti berusaha sehingga berjaya memperolehinya. Tidak kira sama ada caranya boleh menyusahkan orang lain, asalkan segala cita-citanya tercapai. Puas hatinya. Manusia seperti ini hanya berpaksikan kepada kekuatan dirinya sendiri, bukan bekerja secara berpasukan. Yang mustahak, matlamatnya tercapai. Ðia berasa bangga dan percaya, untuk kekal di tangga yang teratas, dia perlu bersifat keras dan ‘kurang bertimbang rasa’. Jenis manusia seperti ini memang ada di luar sana, mungkin jumlahnya ramai juga, mana tahu tersesat di pejabat kita, mungkin juga saya atau ANÐA sendiri!

Kebiasaannya untuk mengisi keperluan hidup, manusia sering terlupa untuk memikirkan kebajikan orang lain. Ðia hanya memberi fokus kepada dirinya sendiri sahaja. Ini yang banyak berlaku dalam masyarakat kita. Kisah isteri dizalimi atau dianiaya suami, suami di‘queen-control’ oleh isteri, ibu mendera anak, bapa seperti ikan haruan yang memakan anak sendiri, anak derhaka, orang kaya menipu si miskin, orang bawahan ditindas orang atasan, Parti Perut mengutuk Parti Mulut dan 1001 macam lagi perlakuan tidak sihat yang seumpamanya banyak disiarkan dalam drama tempatan yang disiarkan di saluran TV.

Suka saya HiGHLiGHT di sini kisah isteri dizalimi suami diktator yang memang banyak berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Tidak perlulah saya menyebutnya satu persatu. Anda boleh merujuk entry kategori ‘Jenayah’ di Laman-Seri. Anda juga boleh membuka akhbar tempatan yang saban hari menyiarkan kisah yang sama, hampir setiap hari! Mengapa perkara buruk sebegini berlaku? Adakah kerana dia merasakan dirinya berkuasa, maka dia berhak berbuat apa saja yang disukainya?

Saya percaya anda pernah menonton filem Ibu Mertuaku, lakonan Allahyarhamhu Tan Sri P.Ramlee. Lihat bagaimana ibu mertuanya berkata kepada Kassim Selamat, “muka tidak tahu malu, habis harta anakku kau kikis... nyah engkau dari sini!” Sepatutnya sebagai orang tua berusia, budi bahasanya semakin tinggi tetapi nampaknya jauh menyimpang. Beliau ego, sombong dan penipu pula! (kubur orang lain dikhabarkannya sebagai kubur Sabariah demi menutup kesalahannya)

Persoalan di atas sengaja dikemukakan di sini, demi memberi keinsafan terhadap diri kita sendiri. Kita jarang memandang dan menghitung setiap kesalahan serta kelemahan diri kita sendiri. Kita sering berpendapat bahawa kita sahaja yang sentiasa betul, dan orang lain pula sentiasa salah. Ðalam forum atau e-grup pula, kita sering balah-berbalah, kutuk-mengutuk atau cantas-menyantas pendapat dengan orang lain, sehingga ada yang tegar menyerang peribadi lawannya akibat buruk sangka. Acap kali pula, kita sering ‘memaksa’ orang lain juga bersetuju dengan pendapat kita. Kita juga sering berasa selesa di atas sikap dan tindakan kita.

Setelah berlaku sesuatu (peristiwa) yang mampu memberi keinsafan kepada diri kita, barulah kita sedar, akhirnya. Mungkin di kala itu, nasi sudah menjadi bubur. Orang yang selama ini kita aniayai, sudah tiada lagi di dunia ini lagi. Mungkin di kala itu, usia semakin lanjut dan tenaga pula sudah semakin berkurangan. Sekurang-kurangnya, kita insaf di kala masih hidup lagi dan itu lebih baik dari tidak mempunyai keinsafan langsung (sehingga ke akhir hayat, nauzubillah). Sebagai contoh, lihat apa yang telah berlaku kepada adik Syafia Humairah, adik Ain dan adik Nurul Dahyatul Fazlinda, sekadar memetik beberapa kisah. Sungguh menyayat hati sesiapa sahaja yang melihatnya.

Pernahkah anda membaca kisah-kisah keadilan Khalifah Saidina Umar r.a.? Diceritakan, suatu hari, Umar berdiri di atas mimbar Masjid Nabi sambil menyampaikan khutbah melarang (tidak menggalakkan) meninggikan mahar. Ðan datang seorang wanita muslimah berkata, “Adakah setelah Allah memberikan kami mahar, dan kau menghalangnya Umar?” Berkata kembali Umar, “Apakah ia?”….. Kemudian wanita itu membacakan firman Allah dari surah an-Nisaa’ ayat 20 yang bermaksud, “Ðan jika kamu ingin mengganti isterimu dengan isteri yang lain, sedang kamu telah memberikan kepada seorang daripada mereka harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil balik sedikit pun darinya. Apakah kamu akan mengambilnya kembali dengan jalan tuduhan yg dusta dan dengan menanggung dosa yang nyata?” Ðan terdiam Umar seketika, mengamati ayat itu, dan mendapati dia telah silap. Ðan Umar berkata kepada seluruh manusia yang mendengar khutbah itu, “Telah salah Umar, dan benarlah wanita ini.”

Kedudukannya sebagai pemimpin tertinggi pada masa itu tidak membuatkan Umar malu untuk mengakui kesilapannya. Saidina Umar r.a. juga sering menangis di waktu malam, apabila teringat segala kesalahan silamnya. Meskipun beliau adalah di antara 10 orang sahabat yang disebut oleh Rasulullah SAW dengan jaminan syurga, namun di hatinya sentiasa tersirat perasaan takut dan menyesal di atas setiap kesalahannya. Siapalah kita berbanding dengan beliau, jauh kambing panggang dari api!

Oleh itu saya suka menyeru diri saya sendiri dan para pengunjung Laman-Seri yang sempat meluangkan masa membaca entry kali ini, supaya mengambil sikap ‘muhasabah diri’. Mari kita periksa diri kita terlebih dahulu sebelum bertindak menyalahkan orang lain. Mungkin kekecewaan yang selama ini kita deritai adalah berpunca dari sikap kita sendiri.

Tidak semua orang suka dikritik, dan begitu juga tidak semua orang pandai mengkritik. Silap haribulan, yang dikritik menyimpan dendam dan berusaha pula membalas dendamnya. Mengkritik sememangnya mudah, apatah lagi kesalahan orang tersebut berlaku di depan matanya. Cuba kalau dirinya berada di tempat yang sama, sudah tentu dia melompat. Justeru itu, meminta diri untuk dikritik adalah memerlukan kekuatan yang luar biasa dan anda seharusnya bersedia. Yang sebaik-baiknya adalah mengkaji kesilapan sendiri, itupun kalau mampu kita nampak, tetapi kebiasaannya kita jarang menyedari kesilapan sendiri.

Setelah mengenal pasti segala sifat jelek yang terdapat dalam diri kita, maka binalah azam untuk berubah. Sewajarnya kita berasa kecewa, sekiranya sikap kita masih tidak berubah. Bagaimanapun, segala-galanya haruslah dibuat dengan ikhlas dan berterusan. Percayalah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Allah SWT sangat mencintai orang yang sedang berusaha ke arah membaiki dirinya sendiri.

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar dan keras, yang tidak derhaka pada Allah terhadap apa yang Ðia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (QS 66:6)

Renungilah kata-kata ini : “Pastikan bahawa setiap pergerakan kita adalah dibuat kerana Allah dan justeru itu menjadikan setiap saat kita bernafas adalah sentiasa dalam ibadat dan dalam rahmat Allah.” ~ Mohd Huzairi Zainuddin

Semoga kita semua tabah mengharungi ujian hidup dan berbahagia bersama seisi keluarga di bawah keredhaan-Nya. Amiin.




Rujukan asal : Mohd Huzairi bin Zainuddin

Capaian entry berkaitan :

  1. Menjana 7 sifat cemerlang
  2. Sentiasalah menginsafi diri
  3. Sentiasa menjaga iman
  4. Tazkirah: Bersedia Memberi Kemaafan
  5. Tazkirah: Selalu ingat balasan Allah
  6. Jangan pandang remeh persoalan dosa
  7. Tujuh langkah elak salah sangka dalam rumah tangga
  8. 7 Kebahagiaan Dalam Hidup
  9. Bersederhana dalam hidup
  10. Biasakan bersikap positif

Butiran selanjutnya ...

Q&A : Larangan berhias sepanjang edah tanda berkabung


Soalan:

SAYA menziarahi jenazah seorang jiran, baru-baru ini. Ketika bersembang dengan balu si mati yang kesedihan, tiba-tiba ada seorang saudara lelakinya memintas perbualan kami dan menyuruh si balu segera masuk ke dalam bilik, mengaji kerana 'edah' sebagai balu sudah bermula. Bolehkah ustaz jelaskan aspek edah dan berkabung bagi seorang wanita yang kematian suami.

SU, PETALING JAYA.

Jawapan:

Dalam Fikah al-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq menyebut: "Sunat menyediakan makanan bagi keluarga yang meninggal seperti hadis daripada Abdullah Jaafar bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Buatlah makanan buat keluarga Jaafar kerana mereka sedang ditimpa musibah.”

Perbuatan itu disunatkan Allah SWT kerana ia kewajipan dan merapatkan hubungan keluarga si mati dengan jiran tetangga. Imam Syafie berkata: “Sebaiknya dibuat makanan buat keluarga jenazah itu, cukup untuk mengenyangkan mereka selama satu hari dan satu malam, kerana ia adalah sunat dan adalah perbuatan orang berbudi.”

Kalangan imam memandang makruh hukumnya, jika keluarga si mati menyediakan makanan buat orang yang datang berkumpul, kerana menambah malang mereka serta meniru perbuatan orang jahiliah. Hal itu berdasarkan hadis Jarir katanya: “Berkumpul pada keluarga jenazah dan menyediakan makanan selepas dikebumikan, kami anggap sebagai meratapinya.”

Berkenaan edah bagi perempuan yang kematian suami, Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 234: “Dan orang yang meninggal dunia antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri itu, hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (edah) selama empat bulan 10 hari. Kemudian selepas habis masa edahnya itu maka tidak ada salahnya bagi kamu (wali waris perempuan) mengenai apa yang dilakukan mereka pada dirinya menurut cara yang baik (yang diluluskan Syarak). Allah SWT sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa juga yang kamu lakukan.”

Edah bermaksud menahan diri daripada berhias dan menerima lamaran untuk berkahwin. Dalam tafsir Ibn Kathir menyebut: “Ayat ini mengandungi perintah bagi wanita yang ditinggalkan mati oleh suaminya untuk menjalani masa edah empat bulan 10 hari. Dan sudah menjadi ketetapan menurut ijmak bahawa ketentuan itu berlaku bagi isteri yang sudah digauli mahupun yang belum digauli.

Dalam Kitab as-Shahihain diriwayatkan daripada Ummu Salamah, bahawasanya ada seorang wanita yang berkata: “Ya Rasulullah, sesungguhnya anak perempuanku ditinggal mati suaminya, hingga matanya kesakitan, bolehkah kami memakaikan celak pada matanya?” Rasulullah SAW menjawab, “Tidak.” Pada setiap pertanyaan, Baginda menjawab dengan kata, “tidak” sebanyak dua atau tiga kali.

Lalu Baginda bersabda: Sesungguhnya masa berkabungnya adalah empat bulan 10 hari. Dulu, ketika zaman jahiliah, seorang antara kamu kena mengurung diri (menjalani masa edahnya) selama setahun
.
(Hadis Riwayat Muslim).

Zainab Ummu Salamah berkata: “Dulu apabila seorang wanita ditinggal mati oleh suaminya, maka ia masuk ke dalam sebuah rumah yang sangat kecil dan mengenakan pakaian yang buruk. Ia tidak meletakkan sebarang wangian dan apa pun selama setahun. Kemudian ia keluar mengambil najis binatang, lalu dilumur pada tubuhnya. Kemudian dibawakan haiwan ternak, keldai, kambing dan burung dan ia menjadikan haiwan-haiwan itu sebagai tanda berakhirnya masa edah dengan menggosok-gosokkan haiwan itu pada kemaluannya, lalu melemparkannya. Sedikit saja haiwan yang digunakan itu hidup.”

Sebenarnya, maksud berkabung dalam Islam bukan seperti diamalkan masyarakat jahiliah. Berkabung adalah meninggalkan atau tidak berdandan seperti memakai minyak wangi dan mengenakan sesuatu yang boleh menarik perhatian lelaki. Tarikan ini dalam bentuk pakaian, perhiasan dan seumpamanya. Berkabung ini hukumnya wajib atas isteri yang menjalani edah kematian suaminya, tidak ada perselisihan dalam masalah ini. Wajib hukumnya menjalani masa berkabung atas setiap isteri yang ditinggal mati oleh suaminya.

Hukum itu sama saja baik bagi wanita muda atau sudah tidak menarik lagi untuk dinikahi, merdeka ataupun hamba berdasarkan ayat di atas. Hal ini dilakukan demi menunjukkan kesetiaan kepada suami dan menjaga hak suami itu. Demikianlah yang disebut oleh Ibnu Kathir dalam tafsirnya.




Sumber : BHarian 08/08/2010


Butiran selanjutnya ...

Jumaat, Januari 21, 2011

Segera beribadat sebelum datang bala



RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: Bersegeralah kamu semua untuk melakukan amalan yang baik sebelum datang tujuh perkara, adakah kamu semua menunggu sehingga menjadi fakir yang melalaikan diri kamu semua atau pun kekayaan yang menjadikan diri kamu curang atau sakit yang membawa kebinasaan tubuh badan atau tua yang menjadi nyanyuk atau mati dengan tiba-tiba atau pun kedatangan pengaruh dajjal yang ia adalah seburuk-buruk makhluk tidak dapat dilihat yang memang dinanti-nanti kedatangannya, ataupun datangnya hari kiamat pada hal hari kiamat itu adalah hari paling dahsyat bencananya serta pahit pula penderitaannya.”

Umat Islam dilarang menangguhkan dan melambatkan amal ibadat yang diamanahkan kepada mereka.

Kekayaan dan kemiskinan tidak menghalang seseorang itu menambah amalan untuk beribadat kepada Allah kerana kekayaan dan kemiskinan adalah satu daripada ujian kehidupan. Ada setengah golongan yang menjadi sibuk serta leka dengan kekayaan dan ada pula menjadi kufur disebabkan hidup menjadi fakir.

Renung-renungkan!




Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Butiran selanjutnya ...

Khamis, Januari 20, 2011

Poligami tidak mudah



Assalamualaikum warahmatullah,

Tentu ada yang mengingati entry Giliran bermalam antara isteri yang baru saja BG masukkan minggu lepas. Semasa entry ini disediakan, saya membaca kisah Yunus Bapari di egrup yang saya sertai yang berita asalnya dipetik dari Ketika-memiliki-4-istri-dapat-mematikan.

Trajis sungguh berita sebegini. Alangkah eloknya jika Yunus mati akibat serangan jantung dan bukannya dipukul isteri-isterinya sendiri. Inilah padahnya jika suami merahsiakan poligami, sedangkan Rasulullah TIDAK mengajar umatnya merahsiakan perkahwinan, TIDAK KIRA sama ada monogami mahupun poligami agar tidak menimbulkan fitnah dan juga dharar kepada isteri mahupun diri sendiri. Jika suami memilih untuk berpoligami, suami wajar tidak menjadi seekor tikus yang pandai menyorok sana menyorok sini. Semoga kejadian sebegini menjadi iktibar kepada setiap suami dan juga isteri.

Poligami adalah penawar dan ia sepatutnya tidak menimbulkan masalah kerana tujuan pensyariatannya bagi menyelesaikan masalah. Bahkan poligami disyariatkan bagi mengelak masyarakat terbabit dengan pelbagai gejala moral yang boleh meruntuhkan institusi rumahtangga.

Malah, jika diteliti keburukan berpoligami jauh lebih baik bagi masyarakat, keluarga dan individu dibandingkan dengan keburukan membiarkan umat Islam terbabit dengan kancah zina dan persundalan dengan sewenang-wenangnya.

Justeru itu, sesiapa saja yang ingin berpoligami perlu mengikut segala peraturan ditetapkan sama ada berlandaskan hukum syarak yang menetapkan syarat berlaku adil mahupun aspek perundangan syariah negara bagi mengelak suasana haru-biru yang mencemarkan imej institusi kekeluargaan Islam. Malah, lebih memburukkan keadaan apabila ada yang mengambil jalan mudah berpoligami di negara jiran seperti di Selatan Thailand yang boleh dipertikaikan status pernikahannya.

Di Malaysia kebenaran untuk berpoligami tertakluk kepada peruntukan Undang-Undang Keluarga Islam yang dikanunkan di seluruh negeri. Melihat kepada peruntukan undang-undang yang begitu ketat sebenarnya sukar untuk suami berkahwin lagi.

Namun, ini tidak bermakna poligami diharamkan. Penetapan undang-undang yang sebegitu rupa digubal supaya hak dan kepentingan isteri sedia ada terjamin dan tidak dizalimi di samping itu juga bagi memastikan bahawa keadilan dapat diberikan kepada isteri-isterinya. Disamping itu, ia juga bagi memelihara keperluan anak-anak yang kemungkinan terabai akibat perkahwinan yang baru.

Peruntukan sebegini juga perlu supaya keharusan berpoligami tidak disalahgunakan dan imej poligami Islam yang baik dapat dizahirkan.

Perlu juga diingat poligami bukan tiket untuk berseronok dan melampiaskan nafsu semata-mata.

Poligami juga bukan hak eksklusif untuk suami berkahwin lagi. Suami yang ingin berpoligami tertakluk kepada syarat boleh berlaku adil antara semua isteri dan anak-anak yang di bawah tanggungannya.

Perkara ini dinyatakan dengan jelas dalam firman Allah yang bermaksud: “Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil kepada anak-anak yatim, maka kahwinilah wanita-wanita yang kamu senangi, dua, tiga atau empat. Tetapi jika takut tidak dapat berlaku adil (terhadap isteri-isteri) maka kahwinilah seorang saja, atau budak-budak yang kamu miliki. Yang demikian itu itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya.” (Surah al-Nisa’;3)

Baginda Rasulullah turut memberi peringatan dengan sabdanya yang bermaksud: “Barang siapa memiliki dua orang isteri dan dia melebihkan salah seorang daripadanya, maka akan dibangkitkan di hari kiamat kelak dalam keadaan bahunya senget sebelah.” (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Renung-renungkan!




Rujukan : Mohd Ali Muhamad Don, Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Bandaraya Johor Bahru di HMetro.

Capaian entry berkaitan :

Butiran selanjutnya ...

Rabu, Januari 19, 2011

Bilangan pesakit mental meningkat


BILANGAN pesakit mental seperti dua beradik ini, Mohd. Mozamri Dasan (kiri) dan Tarmizi semakin meningkat ekoran tekanan hidup zaman moden.- Gambar hiasan

--------------------------------------------------------------------------------


PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan bimbang tentang peningkatan masalah kesihatan mental di kalangan rakyat negara ini dengan bilangan pesakit yang menerima rawatan di hospital kerajaan sepanjang tahun lalu meningkat 15.6% atau sebanyak 400,227 orang.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, angka itu mencatat peningkatan 15.6% berbanding tahun 2009.

"Menjelang tahun 2020, salah satu daripada gangguan mental iaitu kemurungan dijangka menduduki tempat kedua dari segi beban penyakit selepas penyakit jantung," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental di sini semalam.

Beliau berkata, untuk membendung gejala ini di peringkat usia muda, pihaknya akan memfokuskan kepada aktiviti mempromosi minda sihat dan pencegahan penyakit mental termasuk pelaksanaan Program Menangani Stres di sekolah sepanjang tahun ini.

Capaian entry berkaitan :
  1. Lelaki cenderung mengalami gangguan
  2. tips menangani tekanan (stress)
  3. Kasih sayang pulihkan skizofrenia
  4. Tekanan punca bunuh diri
  5. Psikosis penyakit kronik
  6. Penyakit Gila atau Skizofrenia boleh dirawat
  7. Hargai nyawa dan menangani konflik jiwa
  8. 30:100,000 rakyat bunuh diri setiap tahun




Sumber : Kosmo! 19/01/2011

Butiran selanjutnya ...

Pengajaran sebalik kontroversi azan


Penduduk majmuk perlu hormati hak kebebasan beragama

ISU bantahan peguam yang menghantar memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Lembah Pantai membantah laungan azan di Masjid Al-Ikhlasiah dianggap selesai apabila kelmarin, peguam terbabit membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua umat Islam.

Tindakan peguam berkenaan mendapat bantahan seluruh umat Islam, maka wajarlah permohonan maaf dibuat kepada seluruh umat Islam di negara ini.

Azan, syiar Islam yang bermula di Madinah pada tahun pertama hijrah seperti disebut dalam hadis diriwayatkan Abdullah bin Umar semasa orang Islam mula sampai di Madinah dan berkumpul menunggu menunaikan solat tetapi tiada yang menyeru untuk bersembahyang.

Maka Rasulullah SAW pada satu hari mengumpulkan sahabat untuk membincangkan cara mengingatkan umat Islam mengenai masuk waktu solat dan mengajak mereka ke masjid menunaikan solat berjemaah.

Dalam perbincangan itu, ada mencadangkan supaya dikibarkan bendera, ditiupkan serunai atau terompet, dibunyikan loceng dan dinyalakan api di atas bukit. Namun, semua usul itu ditolak Nabi Muhammad SAW kerana sama dengan amalan agama lain seperti Nasrani (Kristian) dan Yahudi.

Kemudian Saidina Umar mencadangkan supaya dilaungkan ayat ‘telah datang waktu solat’ dan cadangan itu diterima Nabi, tetapi Baginda menukar lafaznya kepada ‘marilah solat berjemaah’.

Sehinggalah pada suatu malam Abdullah bin Zaid dan Umar bin al-Khattab sama-sama bermimpi, mengenai cara lebih baik untuk menghebahkan solat dengan mengumandangkan ‘azan’ seperti yang ada pada hari ini.

Apabila mimpi sahabat disampaikan kepada Rasulullah SAW, Baginda bersabda: “Mimpi itu mimpi yang benar.” Lalu Nabi memerintahkan Bilal bin Rabah melaungkan azan pada setiap kali masuk waktu solat.

Untuk solat Jumaat, dua kali azan iaitu pertama menandakan masuk waktu Zuhur memanggil orang Islam ke masjid dan kali kedua sejurus sebelum imam memulakan khutbah Jumaat.

Manakala azan Subuh semasa zaman Rasulullah SAW dikumandangkan sebanyak dua kali seperti dilakukan di Masjidilharam.

Pertama, selepas berlalunya separuh malam untuk memberitahu umat Islam waktu Subuh sudah hampir dan waktu itulah mereka digalakkan bersembahyang sunat tahajud dan sebagainya atau bersahur untuk berpuasa.

Azan kedua diperdengar ketika masuk waktu Subuh dengan tambahan lafaz ‘solat itu lebih baik daripada tidur’. Azan juga sunat dibisikkan ke telinga bayi lelaki baru lahir.

Dalil mensyariatkan seruan azan ialah firman Allah yang bermaksud: “Jika kamu dipanggil (diseru) untuk sembahyang...” (Surah al-Ma’idah, ayat 58).

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Apabila tiba waktu sembahyang hendaklah salah seorang kamu melakukan azan dan yang lebih tua daripada kamu hendaklah menjadi imam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Keajaiban syiar Islam dalam azan ini terbukti apabila azan akan berkumandang di setiap minit selama 24 jam sehari di seluruh dunia berdasarkan perbezaan waktu dan tempat.

Ribuan bilal akan melaungkan azan Subuh seawal 5.30 pagi, bermula di bahagian timur Indonesia dan bergerak ke barat kepulauan Indonesia.

Belum pun laungan azan itu selesai di seluruh Indonesia, azan akan bergema pula di Malaysia, kemudian disambut di Thailand, Myanmar, China dan seterusnya. Azan akan terus bersahutan di Bangladesh dan bergema pula di India.

Sebelum berakhir di Pakistan, laungan azan Subuh akan dilaungkan di Afghanistan dan Oman, kemudian di Emiriah Arab Bersatu, di tanah suci Makkah, Madinah dan negara lain. Proses ini berterusan setiap detik sehingga ke pantai timur Atlantik dalam jangka masa sembilan jam setengah.

Sebelum azan subuh bergema di situ, azan Zuhur sudah berkumandang di Indonesia semula dan begitulah seterusnya laungan azan akan bersahut-sahutan di serata pelusuk dunia melaungkan keagungan Allah dan Nabi Muhammad SAW setiap detik, sepanjang waktu.

Semoga selepas ini tidak ada lagi pihak mempertikaikan amalan agama masyarakat di negara ini. Janganlah menghuru-harakan keadaan masyarakat yang hidup dalam rukun dan damai. Walaupun permohonan maaf dibuat, namun hakikatnya ada yang tersinggung dengan tindakan itu. Perbuatan menghina amalan agama sesuatu masyarakat tidak sepatutnya berlaku kerana kita hidup dalam masyarakat majmuk, berbilang bangsa, agama dan kepercayaan.

Cuba bayangkan jika umat Islam mempertikai amalan upacara keagamaan lain seperti amalan membunyikan loceng di kuil pada waktu Maghrib atau membakar colok di tokong yang mengeluarkan asap serta bau tidak menyenangkan, sudah tentu penganut agama itu akan marah.

Hakikat agama Islam sebagai agama Persekutuan dan agama lain bebas untuk dianuti seperti termaktub dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan perlu difahami dan dihormati masyarakat bukan Islam.

Agama Islam yang diletakkan di bahagian awal dalam Perlembagaan membawa makna yang besar dari segi peranan, kedudukan dan keutamaannya. Mempersoalkan kesucian Islam ibarat menghina pelindung kepada kesucian agama Islam di negara ini iaitu Yang di Pertuan Agong.




Rujukan : Peguam Syarie Musa Awang di http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PeguamSyarieMenulis_Pengajaransebalikkontroversiazan/Article

Butiran selanjutnya ...

Selasa, Januari 18, 2011

Isu azan, arak merugikan hubungan antara agama


Perkara berkaitan ritual amat sensitif, tidak patut digeger

AZAN dan arak – dua perkara yang sekali lagi mengusik sensitiviti umat Islam negara ini. Walaupun masing-masing berlaku di Kuala Lumpur dan Selangor, ia telah menyinggung perasaan umat Islam seluruh negara.

Kenapa kedua-dua ini digegerkan lagi? Kenapa mengonarkan lagi? Adakah masih ada yang belum mengetahui bahawa laungan azan dan arak adalah antara perkara yang paling sensitif kepada umat Islam di negara ini? Adakah masih ada yang gagal memahami budaya dan syiar Islam di negara ini atau yang membuat onar ini ada muslihat dan tujuan lain?

Sekiranya belum memahami, ini amat tidak patut bagi seorang warga negara. Sekiranya ada muslihat atau tujuan lain, ia amat merugikan hubungan antara pelbagai agama yang diusahakan sekian lama.

Sekiranya kita menjadikan kepelbagaian agama sebagai kelebihan kita di mata dunia, laungan azan tidak patut dipersoalkan dan arak mesti difahami dan diterima sebagai perkara yang diharamkan Islam.

Masyarakat bukan Islam (yang segelintir ini) sepatutnya memahami sensitiviti agama orang Islam. Perkara berkaitan amalan keagamaan tidak patut dijolok. Ia berbahaya.

Dalam aspek perundangan, amalan atau ritual keagamaan sebegini ini tidak boleh dianggap gangguan, terutama dalam negara yang beragama Islam dan mengamalkan kebebasan beragama.

Saya juga berkongsi pendapat dengan ramai lagi masyarakat Islam negara ini bahawa, mempersoalkan laungan azan akan membuka pintu persengketaan masyarakat berbilang agama. Mereka akan mula mempersoalkan ritual atau amalan keagamaan antara satu sama lain. Oleh itu pintu ini mesti ditutup ketat. Semua kita harus sentiasa ingat, jangan kita bermain api, bimbang kalau tidak terkawal nanti, mengundang bahaya kepada diri.

Laungan azan bukan saja identiti agama Islam, ia adalah juga identiti negara. Malaysia menganut agama Islam dan mengisytiharkannya di dalam Perlembagaan. Oleh itu, identiti agama negara perlu dipamerkan dan laungan azan adalah antara yang terpenting.

Sementara itu, arak, seperti semua masyarakat Islam tahu, adalah suatu yang mesti dijauhi. Atas apa alasan Islam mengharamkannya tidak perlu saya hujahkan di sini. Cukuplah sekiranya saya nyatakan bahawa pengharamannya amat jelas di dalam al-Quran (sila rujuk ayat-ayat suci al-Quran di dalam surah al-Baqarah: 219, al-Nisa’: 43 dan al-Maidah: 90-91).

Pengharaman untuk berurusan dengan arak jelas nyata di dalam hadis Rasulullah SAW yang telah diriwayatkan oleh Ibn Majah dan al-Tarmizi dan ia tidak boleh dipersoalkan lagi. Antara yang dikutuk, seperti disebut di dalam hadis itu ialah mereka yang membuat, membekal, meminum, membawa, menuang, menghidang, menjual dan mereka yang mendapat manfaat daripada hasil jualan arak.

Oleh itu, walau berurusan dengan arak, masyarakat Islam mesti tahu dan sentiasa ingat, ia tidak halal, ia tetap haram; bukan saja di sisi undang-undang negeri, tetapi juga undang-undang Allah SWT.

Orang Islam harus sedar, rezeki datang daripada Allah SWT, bukan di kedai atau tempat yang mereka terpaksa berurusan dengan arak. Sekiranya semua orang Islam menjaga diri masing-masing dengan mematuhi ajaran agama Islam, kita tidak memerlukan undang-undang seperti garis panduan yang dikecohkan ini.

‘Simpati’ yang ditunjukkan oleh Ronnie Liu kepada pekerja Islam yang mungkin hilang pekerjaan amat menghina orang Islam. Ronnie Liu sepatutnya diam saja. Itu lebih baik untuk diri dan juga parti politik yang diwakilinya. Ia isu berkaitan penguatkuasaan undang-undang Islam, bukan isu politik.

Bagi orang Islam pula, kita harus sedar kenapa penghinaan sedemikian berlaku. Kita seharusnya malu dengan diri sendiri oleh kerana kelakuan sebahagian kita. Namun, saya tegaskan, ini tidak bermakna orang lain boleh berkata sewenang-wenangnya mengenai hubungan antara Muslim dan agamanya.

Garis panduan yang diperkenalkan oleh PBT adalah antara mekanisme terbaik untuk mengawal selia orang-orang Islam supaya mereka kembali memahami peraturan di dalam agama Islam. Apatah lagi adalah di bawah bidang kuasa PBT.

Saya pernah menyebut di ruangan lain, walaupun tanpa garis panduan undang-undang jenayah Syariah boleh dikuatkuasakan oleh penguat kuasa agama mengikut prosedur jenayah. Tetapi, dengan adanya garis panduan ini, ia juga membolehkan pihak PBT menguatkuasakan undang-undang yang telah sekian lama wujud di dalam enakmen negeri.

Mungkin apa yang berlaku di Selangor ini perlu diambil iktibar oleh negeri lain juga. Undang-undang berkaitan arak adalah sama di seluruh negara. Penguatkuasaan setakat ini hanya tertumpu kepada kesalahan meminum arak di khalayak ramai saja dan bukan kepada mereka yang berurusan dengan arak.

Selain daripada itu, penguatkuasaan peraturan lain berkaitan arak, iaitu Excise (Sale of Intoxicating Liquor) Regulations 1977, yang dibuat di bawah Excise Act 1976 perlulah juga diberi perhatian. Peraturan-peraturan 7A dan 16 yang masing-masing mengharamkan penjualan arak kepada mereka di bawah 18 tahun perlu dikuatkuasakan sebaik mungkin.

Harapan saya, penguatkuasaan undang-undang berkaitan hendaklah sentiasa diteruskan tanpa mengira musim. Undang-undang ada kesannya sepanjang masa, bukan bergantung kepada musim seperti kebanyakan jenis buah-buahan tempatan.

Penulis, Shamrahayu A Aziz ialah Penolong Profesor di Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).




Rujukan : BHarian 18/01/2011

Butiran selanjutnya ...

Isnin, Januari 17, 2011

Larangan Muslim kerja di premis arak wajar



Penguatkuasaan undang-undang syariah perlu diperketat elak campur tangan pengaruh luar

GARIS panduan terbaru Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melarang orang Islam bekerja di tempat menyediakan minuman keras amat dialu-alukan masyarakat Islam arus perdana.

Syarat baru itu disertakan sebelum lesen perniagaan dikeluarkan kerana pengambilan pekerja beragama Islam di premis berkenaan dikatakan melanggar Seksyen 18 (2), Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang hanya terpakai kepada orang Islam saja. Inisiatif MPSJ demi menuju kebaikan adalah sejajar konsep amar maaruf nahi mungkar yang dipelopori dalam kaedah Islam. Mana-mana syarikat yang gagal mematuhi syarat itu akan dikompaun atau menghadapi kemungkinan lesen mereka ditarik balik. Tindakan ini tidak hanya terhad kepada pemilik syarikat Islam saja.

Namun, berita gembira ini begitu cepat dipatahkan apabila Kerajaan Negeri Selangor mengarahkan MPSJ menarik balik garis panduan melarang orang Islam bekerja di tempat menyajikan minuman keras.

Exco perumahan dan kerajaan tempatan, Ronnie Liu mengesahkan arahan sudah dikeluarkan kepada presiden MPSJ, Md Adnan Ikhsan, untuk menarik semula syarat itu kerana kerajaan negeri tidak menyedarinya sambil mendakwa beliau tidak dirujuk.

Dengan sinis beliau menyatakan tindakan MPSJ akan menimbulkan rasa tidak senang kalangan orang ramai, khususnya masyarakat bukan Melayu dan tidak praktikal kerana orang Islam akan kehilangan pekerjaan.

Ronnie langsung tidak mengambil kira sensitiviti umat Islam tetapi mengutamakan kepentingan ahli perniagaan bukan Islam yang menjual minuman keras. Malah undang-undang yang berkuatkuasa seperti termaktub dalam Enakmen Jenayah Syariah langsung tidak dihiraukan.

Seharusnya jika Ronie ingin menentang tindakan MPSJ ini, pihak kerajaan negeri perlu terlebih dulu memansuhkan seksyen 18 Enakmen Jenayah Syariah. Saya yakin Ronnie tidak akan melakukannya kerana khuatir pengundi Islam akan membantah.

Persoalan hilang pekerjaan bukanlah satu tanda aras dalam melaksanakan sesuatu tindakan. Umpamanya, serbuan dan penutupan kelab malam tidak berlesen dan melakukan aktiviti tidak bermoral juga akan menyebabkan pekerja pusat berkenaan hilang pekerjaan mereka.

Adakah kita patut memberhentikan penutupan pusat itu semata-mata kerana ingin menjamin pekerjaan mereka? Begitu juga isu larangan orang Islam menjual minuman keras sudah termaktub sebagai satu kesalahan. MPSJ cuma menguatkuasakan larangan itu mengikut bidang kuasa mereka.

Saya menyeru pihak berkuasa tempatan lain meneladani tindakan MPSJ. Tindakan murni ini sudah pasti akan mendapat ganjaran daripada Allah. Persoalan kilang arak dan krew kabin syarikat penerbangan yang masih menghidangkan minuman keras juga harus ditangani secara tuntas.

Umat Islam mesti diberi hak melaksanakan agama mereka dengan tidak terjebak ke lembah hina sehingga terpaksa menghidang arak kepada orang lain. Kesedaran juga patut disemai dalam kalangan umat Islam mengenai keberkatan rezeki dikurniakan Allah.

Sudah tiba masanya kerajaan mengambil tindakan bagi mengelak umat Islam bekerja di syarikat membuat, membekal dan menjual minuman keras. Bukan saja syarikat berkaitan minuman keras tetapi juga syarikat perjudian yang bercanggah dengan syariat Islam.

Rezeki yang tidak halal hanya memusnahkan keimanan dan ketakwaan orang Islam.
Sepatutnya Ronnie menyokong usaha MPSJ dengan memperbanyakkan lagi peluang pekerjaan di Selangor bagi menampung pekerja yang berhenti dari syarikat menjual minuman keras bukan menentang tindakan itu.

Isu penjualan arak juga heboh diperkatakan kerajaan Selangor melalui Exco Agama, Datuk Dr Hassan Ali, yang membuat garis panduan bagi kawalan sendiri penjualan minuman keras. Awalnya ia mencapai banyak kemajuan tetapi akhirnya kawalan sendiri tinggal menjadi garis panduan saja.

Sebelum ini kerajaan Selangor di bawah pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pernah menolak cadangan Pas Selangor untuk memperkenalkan peraturan membataskan penjualan arak. Alasan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kerana menghormati sensitiviti rakyat berbilang kaum dan agama di negeri itu.

Apa dicadangkan Dr Hassan ketika itu berkaitan penjualan minuman keras yang berleluasa hanya peraturan membabitkan orang Islam. Tidak langsung timbul masalah dengan masyarakat berbilang bangsa atau cubaan melaksanakan undang-undang Islam terhadap bukan Islam.

Apa yang lebih menyedihkan ketika itu ialah DAP menggesa diambil tindakan terhadap Hassan yang mengutarakan cadangan walaupun hakikatnya Hassan memperjuangkan undang-undang syariah yang mendapat perkenan Sultan Selangor.

Peraturan dicadangkan pula hanya kepada orang Islam, jadi tidak timbul soal berbilang kaum dan agama. Sering kita berlindung di bawah sensitiviti bagi mengelak mengamalkan Islam sebagai cara hidup. Sebenarnya kita mengorbankan jati diri umat Islam serta menerjah keluar tatacara kehidupan dianjurkan Rasulullah.

Demi menjaga sensitiviti, kerajaan Selangor sebenarnya mempromosikan kesalahan jenayah kerana bagi umat Islam menjadi kesalahan minum arak di tempat awam atau kedai minuman. Bukan minum saja, membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamer untuk jualan, menyimpan atau membeli minuman memabukkan adalah satu kesalahan.

Perkara ini termaktub dalam seksyen 18 (1) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 menetapkan orang minum minuman keras di kedai atau tempat awam lain adalah melakukan kesalahan dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Seksyen 18 (2) enakmen sama menetapkan orang yang membuat, menjual, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli minuman memabukkan adalah melakukan kesalahan dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Mengikut seksyen itu, pihak berkuasa mesti berhati-hati dalam meluluskan dan memberi lesen penjualan arak selain harus diletakkan syarat penjual arak seharusnya bukan orang Islam.

Kerajaan negeri perlu menghormati Islam sebagai agama Persekutuan kerana kedudukan Islam disebut secara khusus dalam Perlembagaan Negeri dan Persekutuan.

Kerajaan negeri tidak harus menutup sebelah mata terhadap keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan negeri ini. Masyarakat di barat pun sudah mula sedar pentingnya membatasi penjualan arak. Di negara umat Islam adalah minoriti, kawalan dibuat bukan atas dasar Islam tetapi demi menjaga kepentingan awam dan mengelak kebejatan masyarakat.

Hal ini dapat diterima masyarakat umum. Nampaknya seolah-olah orang timur ingin menjadi barat dan orang barat menggayakan pula budaya timur. Pelaksanaan undang-undang mempunyai ciri keislaman memang sentiasa diuji dengan pelbagai dugaan hasil kecetekan ilmu.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan boleh dihubungi di zainul.rijal@abubakar.my





Sumber : Zainul Rijal Abu Bakar [zainul.rijal@abubakar.my] di BHarian 17/01/2011

Butiran selanjutnya ...

Ahad, Januari 16, 2011

Betulkan ucapan meraikan pengantin


Assalamualaikum warahmatullah,

Jika ada kesempatan untuk berkunjung ke kenduri perkahwinan, janganlah kita beri ucapan seperti kaum jahiliah. Kaum jahiliah selalu menggunakan kata-kata "bira' wal banin" yang bermaksud "murah rezeki dan banyak anak" ketika mengucapkan selamat kepada kedua mempelai.

Daripada al-Hasan, bahawa 'Aqil bin Abi Thalib bernikah dengan seorang wanita dari Jasyam. Para tetamu mengucapkan selamat dengan ucapan "bira' wal banin". 'Aqil bin Abi Thalib melarang mereka seraya berkata, Jangan kalian ucapkan demikian!" Kerana Rasulullah SAW melarang ucapan demikian." Para tetamu bertanya, "Lalu apa yang harus kami ucapkan, wahai Abu Zaid?" 'Aqil menjelaskan, "Ucapkanlah: Barakallahu lakum wa baraka 'alaikum (mudah-mudahan Allah memberi kalian keberkahan dan melimpahkan atas kalian keberkahan)." (Hadis riwayat Ibn Abi Syaibah, Darimi, Nasa'i, Ibn Majah, Ahmad dan lain lain)

Hari ini Laman-Seri kongsikan lagu hebat ini untuk semua pengunjung...

Maher Zain - Barakallahu Lakuma



We’re here on this special day
Our hearts are full of pleasure
A day that brings the two of you
Close together

We’re gathered here to celebrate
A moment you’ll always treasure
We ask Allah to make your love
Last forever

Let’s raise our hands and make du’a
Like the Prophet taught us
And with one voice
Let’s all say, say, say

بارك الله لكما وبارك عليكما
وجمع بينكما في خير
بارك الله لكما وبارك عليكما
وجمع بينكما في خير

Baraka Allahu Lakuma wa Baraka alaikuma
Wa jamaah baina kuma fii khair.
Barakallah hu lakuma wa baraka alaikuma
Wa jamaah baina kuma fii khair.

From now you’ll share all your chores
Through heart-ship to support each other
Together worshipping Allah
Seeking His pleasure

We pray that He will fill your life
With happiness and blessings
And grants your kids who make your home
Filled with laughter

Let’s raise our hands and make du’a
Like the Prophet taught us
And with one voice
Let’s all say, say, say

بارك الله لكما وبارك عليكما
وجمع بينكما في خير
بارك الله لكما وبارك عليكما
وجمع بينكما في خير
Baraka Allahu Lakuma wa Baraka alaikuma
Wa jamaah baina kuma fii khair.
Barakallah hu lakuma wa baraka alaikuma
Wa jamaah baina kuma fii khair.

بارك الله
بارك الله لكم ولنا

الله بارك لهما
الله أدم حبهما
الله صلّي وسلّم على رسول الله

الله تب علينا
الله ارض عنا
الله اهد خطانا
على سنة نبينا

Let’s raise our hands and make du’a
Like the Prophet taught us
And with one voice
Let’s all say, say, say

بارك الله لكما وبارك عليكما
وجمع بينكما في خير
بارك الله لكما وبارك عليكما
وجمع بينكما في خير
Baraka Allahu Lakuma wa Baraka alaikuma
Wa jamaah baina kuma fii khair.
Barakallah hu lakuma wa baraka alaikuma
Wa jamaah baina kuma fii khair.

Selamat beramal!


Butiran selanjutnya ...

Sabtu, Januari 15, 2011

Cara tangani selera anak


Jika anak anda enggan menikmati sesuatu hidangan, cuba pelbagaikan hidangan agar ia kelihatan lebih menarik.
--------------------------------------------------------------------------------


MASALAH pemakanan melibatkan anak kecil bukan sesuatu yang baru dihadapi oleh kebanyakan ibu bapa. Banyak cara yang ibu bapa perlu lakukan bagi memastikan si anak menghabiskan makanannya termasuk secara paksaan.

Malah, ada ibu bapa yang terpaksa menghukum dan memukul tetapi tidak kurang bertindak memberikan ganjaran supaya si anak menghabiskan makanan mereka.

Adakah cara berikut merupakan pendekatan terbaik bagi si kecil ?

Ikuti tips pakar kanak-kanak Hospital Pantai Cheras, Dr. Yeoh Seen Hun mengenai bagaimana mengatasi masalah pemakanan yang dihadapi oleh si kecil.

* Jika anak anda mahukan makanan yang sama setiap hari

Biarkan anak anda mengambil makanan kegemarannya selagi ia berkhasiat. Teruskan memberi pilihan makanan yang sihat pada setiap hidangan. Anda juga harus sedar bahawa apabila anak anda makan makanan yang kurang variasinya, pengambilan nutrien adalah terhad.

* Jika anak anda mengambil masa lama untuk makan

Sabar dan berikan anak anda masa untuk mengenali, menyentuh dan merasa makanan mereka. Anak kecil memerlukan masa mengenali makanan, makan dan belajar bagaimana menggunakan sudu dan garpu. Selepas satu tempoh masa (20 hingga 30 minit), alihkan bekas makanan tanpa rungutan.

* Jika anak anda tidak mahu makan

Hormati kesedaran anak anda terhadap tubuhnya sendiri. Selera kanak-kanak berbeza dan berubah-ubah dari sehari ke sehari dan hidangan ke hidangan atau mungkin dia sendiri tidak lapar. Hidangkan makanan dengan kuantiti yang sedikit dan pastikan snek diberikan dua jam sebelum waktu makan.

Tidak mengapa jika si anak tidak mahu mengambil makanan pada waktu sepatutnya, selagi dia membesar dengan normal.

* Jika anak anda enggan mencuba hidangan baru

Teruskan menghidangkan menu baru dan letakkan makanan tersebut dalam kuantiti yang sedikit di pinggannya.

Sesetengah kanak-kanak perlu melihat makanan yang baru dengan kerap sebelum mereka mencuba sekali gus menerimanya.



Elakkan menghidangkan makanan yang sama kepada anak-anak anda bagi memastikan mereka mendapat khasiat makanan lengkap.
-------------------------------------------------------------------------------


Galakkan anak anda mencuba sedikit makanan tersebut. Elakkan memaksa mereka kerana keadaan itu akan mengurangkan penerimaannya. Perkenalkan hidangan baru kepada anak anda ketika kanak-kanak lain seronok menikmati hidangan yang sama. Biarkan anak anda mengenali makanan mereka dan ajak bersama untuk menyediakannya.

* Jika anak anda tidak suka sayur

Hidangkan sayuran pada waktu snek ketika anak anda lapar. Berikan variasi sayuran yang mempunyai warna terang supaya mereka dapat memilih sayur kesukaan.

Hati-hati apabila memberikan sayuran mentah kepada kanak-kanak di bawah tiga tahun kerana mereka berisiko untuk tercekik.

Berikan dalam bentuk puri atau dipotong kecil dan masukkan sayuran ke dalam pasta atau sup. Libatkan mereka memilih sayuran mereka sendiri ketika membeli-belah.

* Jika anak anda minum terlalu banyak susu

Sememangnya susu itu mengenyangkan, namun ia kurang khasiat jika dibandingkan dengan makanan berkhasiat.

Pastikan berapa amaun susu yang diminum dan cuba kurangkan pengambilan susu jika mereka mengambil susu dalam kuantiti yang banyak. Berikan dua cawan susu (500 mililiter) setiap hari.

Jangan beri susu di dalam botol. Susu sepatutnya disediakan di dalam cawan mengikut jadual sama seperti jadual makan.

* Jika anak anda enggan makan daging

Rasa dan kepayahan untuk mengunyah daging membuatkan kebanyakan kanak-kanak mengelak untuk mengambilnya.

Oleh yang demikian, potongkan daging dalam bentuk-bentuk yang kecil dan masukkan daging di dalam sup, stew dan sos tomato.

Berikan makanan protein lain seperti telur, ikan, keju, mentega kacang, soya. Tingkatkan juga makanan yang mengandungi zat besi seperti roti, sayuran berdaun gelap, buahan kering seperti kismis.

Dapatkan nasihat daripada pakar pemakanan jika anak anda tidak mengambil daging dan makanan tenusu. Anak anda mungkin kekurangan vitamin B12.




Sumber : Nurul Izza Rosly [izza.rosly@kosmo.com.my] di Kosmo! 14/01/2011

Butiran selanjutnya ...

Rabu, Januari 12, 2011

Suami tiada hak terhadap harta isteri

~ gambor hiasan ~

Judul: Pengurusan Kewangan dan Pemilikan Harta Dalam Kalangan Wanita Islam: Satu Tinjauan Awal

Penulis: Siti Fatimah Abdul Rahman
Penerbit: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Pengulas: Hasliza Hassan

Duit isteri, duit isteri dan duit suami, duit isteri. Ada melihat hakikat ini sebagai jenaka menyebabkan wanita sering terkeliru mengenai hak mereka terutama apabila suami bijak memanipulasi fakta menyebabkan fakta sebenar akhirnya diubah.

Islam tidak menghalang pemilikan harta oleh lelaki dan perempuan asal niatnya untuk kebajikan di samping memenuhi keperluan hidup. Biar apa juga ketetapan termasuk bahagian dalam hukum faraid, ia tidak mengehadkan pemilikan harta oleh wanita.

Dalam Islam, harta wanita termasuk pendapatan mereka adalah hak mutlak dirinya yang bermaksud mereka boleh melakukan apa saja dengan harta itu tanpa perlu mendapat keizinan sesiapa sama ada bapa atau suaminya.

Kajian mendapati, majoriti faham mengenai perkara itu namun jika diteliti dengan mendalam, keadaan sebenarnya tidak sedemikian kerana kebanyakan keliru konsep ‘hak mutlak’ dan keperluan izin suami terhadap harta mereka.

Buku Pengurusan Kewangan dan Pemilikan Harta Dalam Kalangan Wanita Islam: Satu Tinjauan Awal, ada penjelasan bahawa wanita Islam bebas membuat keputusan sendiri ke atas harta mereka atau dalam bahasa mudah dalam Islam, suami tiada hak terhadap harta isteri.

Suami adalah pemimpin, tanggapan ramai, suami mempunyai kuasa atau hak mengatur harta isterinya. Timbul pendapat isteri memerlukan keizinan suami mengatur hartanya sendiri. Malah, keizinan suami membenarkan isteri bekerja turut menjurus kepada fahaman bahawa pendapatan isteri turut menjadi milik suaminya. Justeru, isteri perlu meminta izin suami untuk membelanjakan pendapatannya.

Dalam kes lebih serius, ada suami tidak memberi nafkah kepada isteri dengan anak kerana beranggapan isteri perlu menggunakan wang sendiri kerana mereka sudah mengizinkan isteri mencari pendapatan sendiri.

Bagi memahami kedudukan sebenar mengenai hukum mengikut Islam dan realiti disebabkan kejahilan wanita, buku Pengurusan Kewangan dan Pemilikan Harta Dalam Kalangan Wanita Islam: Satu Tinjauan Awal, boleh dijadikan rujukan.

Buku hasil penyelidikan dijalankan Siti Fatimah Abdul Rahman bertujuan mencari jawapan kepada persoalan sejauh mana wanita memahami hak mereka terhadap harta, adakah kefahaman diterjemahkan untuk menambah harta dan kemahiran menguruskan kewangan.

Bab dua yang membincangkan tajuk Kefahaman Tentang Hak Wanita Terhadap Harta Dalam Islam mendapati kebanyakan wanita faham mengenai kedudukan mereka dalam hukum pembahagian harta tetapi tidak arif bahagian yang sepatutnya mereka terima.

Pemilikan harta yang dikembangkan dalam bab empat buku ini turut menyelitkan cadangan untuk meningkatkan pemilikan harta dalam kalangan wanita serta cara bagaimana perlu dilakukan supaya mereka mempunyai harta sendiri.

Walaupun penulis mengakui penemuan hasil tinjauan awal dilakukan ini agak terbatas, diharap penjelasan dapat mencetuskan idea baru yang boleh dikaji seterusnya meningkatkan kefahaman serta kemahiran wanita mengenai hak terhadap harta.

Rujukan : BHarian


Butiran selanjutnya ...

Derita Fazlinda terkena asid


'Sayang abah sangat-sangat'- Lin


PADA zaman kecilnya, pipi gebu Nurul Dahyatul Fazlinda, 9, sering menerima ciuman daripada ayahnya, Mat Haizan Mat Yasin, 32. Malah, kanak-kanak comel itu ditatang bagai minyak yang penuh oleh Mat Haizan. Benar, Mat Haizan seorang lelaki yang penyayang dan penuh kasih sayang.

Lelaki itu juga sanggup berjaga malam ketika Nurul Dahyatul Fazlinda jatuh sakit, selain sanggup bangun pada waktu dinihari untuk membancuh susu anaknya itu.

Namun, pada 15 Ogos lalu, keindahan dunia kanak-kanak yang dilalui oleh kanak-kanak itu berubah wajah. Pada hari kejadian, Nurul Dahyatul Fazlinda atau lebih mesra dengan panggilan Lin telah disimbah asid oleh bapanya.

Namun, curahan kasih sayang diterima oleh kanak-kanak itu sepanjang lapan tahun menyebabkan dia sedikit pun tidak menyimpan dendam kepada bapanya. Apatah lagi mahu membenci Mat Haizan.

“Lin tak marah, sebab Lin sayang abah. Sayang abah sangat-sangat.”

Itulah ayat keramat yang terpacul dari mulut kanak-kanak itu terhadap bapanya meskipun kesan simbahan asid itu telah mengubah wajah comel Lin.

Perubahan pada wajahnya yang diibaratkan seperti hantu oleh rakan-rakan Lin di sekolah menyebabkan Lin enggan ke sekolah.

Kisah malang yang menimpa Lin bermula daripada amarah Mat Haizan terhadap isterinya Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28, sekitar pukul 1.45 pagi di kediaman mereka di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu. Asid yang dibawa untuk menakut-nakutkan wanita itu bukan hanya mencederakan Che Ku Zaimah saja, tetapi dua cahaya mata mereka iaitu Lin dan Muhammad Irfan Firdaus, 2, selain ibu mertua, Minah Omar, 56.


NURUL DAHYATUL FAZLINDA menaruh harapan wajahnya akan kembali normal seperti biasa.


Natijahnya, kesemua mangsa lelaki itu kini terpaksa menanggung derita seumur hidup, jauh lebih lama daripada hukuman penjara 10 tahun yang dijalani oleh Mat Haizan akibat perbuatannya itu.

Paling teruk menerima kesan tersebut ialah Lin yang terpaksa dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selama 36 hari. Lebih menyedihkan, Lin terpaksa meneruskan hidup dalam kesengsaraan dan tekanan emosi yang sukar digambarkan. Lin bukan sahaja hilang keyakinan diri ekoran dipanggil ‘hantu’ oleh kanak-kanak nakal, malah dia terpaksa mengasingkan diri.

Penyesalan Mat Haizan

Biarpun luka fizikal dan luka di hatinya belum sembuh, kanak-kanak itu masih tetap mempertahankan lelaki bergelar bapa itu. Paling sayu apabila kanak-kanak itu memanggil abah...abah...berkali-kali dalam keadaan tidak sedar ketika menjalani pembedahan baru-baru ini.

Ketika bisa di seluruh anggota badan belum hilang, kanak-kanak itu juga membuat satu permintaan mahu berjumpa bapanya walaupun sekali untuk melepaskan rindu kepada insan yang paling rapat dengannya itu.

Seminggu selepas sambutan Aidiladha, hajat Lin dimakbulkan. Yang pasti tangisan penyesalan Mat Haizan yang mengiringi pertemuan kira-kira setengah jam di penjara Marang, Terengganu itu ternyata sudah terlewat.

Ini kerana lelaki itu terlalu terkejut selepas mendapati wajah anak kesayangannya menjadi cacat akibat tindakannya yang gagal mengawal emosi pada hari malang empat Ramadan tahun lalu.

Namun penyesalan dan ungkapan maaf berkali-kali lelaki itu tidak mampu untuk mengembalikan wajah anak kesayangannya dalam sekelip mata itu.

Lin juga tidak sesekali memberitahu orang ramai bahawa parut di muka yang sangat jelas kelihatan itu berpunca daripada perbuatan bapanya. Bahkan, kepada yang tahu Lin menyatakan bapanya tidak sengaja melakukan perbuatan itu.

Hari ini, Lin menjadi kanak-kanak lain. Hobi membaca di sebuah Perpustakaan Mini di Kampung Sekayu itu terpaksa dihadkan selepas sebahagian muka dan badannya menggelembung akibat kesan terkena asid.


NURUL DAHYATUL FAZLINDA tidak sesekali memberitahu orang ramai bahawa parut di mukanya berpunca daripada perbuatan bapanya.


Bentuk hidungnya juga menjadi aneh dan rongga pernafasan utama hidungnya semakin mengecil serta menyebabkan suara kanak-kanak periang itu bertukar menjadi sengau.

Mata sebelah kanan Lin juga turut terjejas kerana ia tidak boleh ditutup sepenuhnya selain menyebabkan dia mudah silau dan terjaga daripada tidur apabila terkena cahaya.

Sejak insiden itu, Lin tidak pernah lagi menjejakkan kaki ke Taman Rekreasi Sekayu yang menjadi taman permainannya kerana sering menjadi mangsa ejekan kanak-kanak yang tidak mengerti penderitaannya.

Menurut Lin, berbanding kakak dan dua adiknya, dia yang paling rapat dengan Mat Haizan. Bahkan, bapanya sering membawa Lin bersiar-siar di sekitar kampung.

Ketika menonton televisyen di rumah, Lin lebih selesa duduk di atas riba bapanya itu. Namun kemesraan itu menjadi memori terindah kepada Lin sepanjang bapanya meringkuk di penjara selama 10 tahun.

“Ayah tak sengaja buat (mencurah asid), cuma Lin yang tak bernasib baik sebab Lin ada masa ayah bergaduh dengan ibu,” ceritanya lagi.

Memakai topeng tekanan

Menurut Lin, dia terjaga daripada tidur selepas terdengar bunyi bising pergaduhan antara ayah dan ibunya dan ketika itu dia lihat adik bongsunya Muhammad Irfan Firdaus juga terjaga.

“Lin nak pergi ambil adik Irfan tapi tiba-tiba Lin rasa panas dan pedih yang amat sebab itu Lin terus masuk bilik air dan mandi,” katanya menceritakan semula insiden itu.

Jiran yang juga saudaranya turut menghulur bantuan menghantar mereka ke Hospital Hulu Terengganu sebelum dia dirujuk dan menghuni (HSNZ) selama lebih sebulan.

Empat bulan selepas insiden itu berlalu, Lin mengharapkan keajaiban yang dapat mengembalikan wajah asalnya.

Ahad lalu, Lin menerima rawatan perubatan. Lin selamat menjalani pembedahan pembuangan parut fasa pertama pada wajahnya. Menurut pakar perunding pembedahan plastik, Dr. Najihah Sharida Zakaria, pembedahan yang dilakukan baru-baru ini hanya satu bahagian kecil. Lin akan menjalani beberapa lagi fasa pembedahan dalam tempoh beberapa tahun.

Jelas Dr. Najihah, Lin dijangka boleh memasuki semula sekolah dalam masa dua minggu lagi, bagaimanapun perlu memakai topeng tekanan pada wajahnya untuk satu tempoh yang lama bagi memastikan parut tidak tumbuh semula.


KIRI: Guru kelas, Hidayati Rasid memberi tunjuk ajar kepada Nurul Dahyatul Fazlinda sambil diperhatikan rakan-rakannya ketika sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan Padang Setar, Hulu Terengganu, baru-baru ini.


“Lin boleh kembali ke sekolah tetapi harus dipantau dan jika tiada masalah dia boleh menjalani pembedahan kedua selepas enam bulan. Apa yang penting, dia harus berdisiplin dan sentiasa mengikut arahan doktor bagi memastikan kesan parut dapat diminimumkan,” katanya.

Dalam pembedahan itu pasukan bedah plastik di (HSNZ) telah mengambil kulit paha kanan Lin untuk menampal parut di bahagian kiri mukanya.

Pada pertemuan singkat dengan Lin selepas sehari dibedah, ungkap kanak-kanak comel itu: “Kesan akibat pembedahan pada wajah sudah berkurangan. Tetapi paha yang doktor ambil kulit ada rasa sakit lagi.”

Sumber : Kosmo! 12/01/2011




Capaian entry berkaitan :

Butiran selanjutnya ...

Selasa, Januari 11, 2011

Giliran bermalam antara isteri


Assalamualaikum warahmatullah,

Tentu ramai yang terkejut beruk badak membaca kisah RT yang trajis di dada akhbar Sabtu 08/01/2011 lepas, "Wanita parah ditetak madu". Kisah seorang surirumah cedera parah di bahagian kepala, muka dan tangan akibat ditetak dengan parang oleh madunya di Kampung Baru, Sungai Korok. Kejadian itu dipercayai berpunca dari perasaan cemburu antara kedua-dua wanita tersebut yang tinggal sebumbung sejak dua minggu lalu. Berita penuh di SiNi.

BG tak mahu mengulas panjang tentang hal ini kerana ini bukan kisah biasa. Apa yang hendak ditekankan di sini ialah, apabila seseorang lelaki telah nekad hendak berpoligami, ambillah inisiatif untuk menambahkan pengetahuan supaya perkara buruk sebegini dapat dielakkan. Saya percaya, bukan sedikit suami yang berpoligami gagal melaksanakan keadilan terhadap isteri-isterinya. Sebab itulah ramai yang memandang negatif terhadap keharusan berpoligami dalam Islam.

Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Kerana kerbau seekor membawa lumpur, semua kerbau terpalit dan menjadi kotor. Itulah hakikat yang berlaku dalam masyarakat hari ini, bukan sedikit suami berpoligami merosakkan institusi kekeluargaan dalam Islam, lebih-lebih lagi apabila menilai hikmah dan implikasi poligami. Sebab itulah implikasi yang negatif terus diperbesar-besarkan dan hikmah poligami tidak dipandang lagi. Akibat daripada kegagalan ramai suami menjalankan tanggungjawab dengan baik apabila berpoligami, maka seluruh sistem poligami itu dipertikaikan dan dipandang negatif.

Suka saya memetik kisah yang berlaku di atas yang elok sangat dijadikan iktibar. Tentu ada yang perasan, saya 'bold'kan dan petik kembali di sini : "Suaminya berkahwin dengan wanita itu di Thailand tanpa pengetahuannya kira-kira dua tahun lalu sebelum membawa isteri mudanya tinggal bersama dua minggu lalu kerana mahu mengurangkan beban tanggungan."

Dalam Islam, suami diHARAMkan mengumpul isteri-isterinya dalam sebuah rumah, MELAINKAN dengan kerelaan isteri-isteri itu sendiri. Walau bagaimanapun, adalah tidak digalakkan mengumpulkan isteri-isteri dalam sebuah rumah bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini dan untuk pengetahuan, Rasulullah SAW tidak pernah mengumpulkan isteri-isteri baginda dalam satu rumah. Jika Nabi tidak melakukannya, janganlah ada pula suami yang memandai-mandai melakukannya. Lihatlah apa yang berlaku dalam berita di atas. Lepas ini, harap-harap jangan ada lagi suami yang berangan-angan hendak menghimpunkan isteri-isteri dalam satu rumah, apatah satu bilik atau satu katil!

Sedikit info peraturan beristeri lebih yang sempat dipetik dari artikel Tuan Musa Awang, PGSM dan dari belog favourite saya, Ustaz Ahmad Baei.

Giliran bermalam antara isteri

Asal, hukum bermalam di antara isteri (al-Qasmu) adalah sunat, bukannya wajib. Bagi lelaki yang mempunyai ramai isteri, dia disunatkan membahagi-bahagikan malam serta tidak bersama mereka, dan tidak meninggalkannya (membahagikan malam). Bermalam adalah hak suami, dan dia boleh meninggalkannya (membahagikan malam). Tetapi jika suami bermalam dengan membuat undian, maka ia menjadi wajib untuknya bermalam di rumah isterinya yang lain.

Keadilan antara isteri-isteri ini disebutkan dengan jelas dalam firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa' ayat 3, yang bermaksud, "Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu dalam masalah bermalam dan nafkah), maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki."

Keadilan kepada isteri-isteri adalah tugas BERAT. Baginda Rasulullah SAW telah memberi PERINGATAN kepada suami-suami dalam sabda baginda, "Sesiapa yang mempunyai dua orang isteri dan dia cenderung kepada salah seorang daripadanya, pada hari kiamat dia akan datang dengan sebahagian badannya senget." (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Islam telah menggariskan cara-cara pembahagian dilakukan seperti berikut :

Semua isteri berhak mendapat giliran untuk bermalam, melainkan isteri yang nusyuz atau derhaka.

Suami diharuskan memperuntukkan satu malam dan sehari sebelumnya atau sehari selepasnya bagi setiap isteri. Yang paling afdal ialah suami pergi ke rumah setiap isterinya berdasarkan giliran masing-masing.

Jika suami telah menentukan sehari semalam bersama seorang isteri, suami wajib juga berada bersama isterinya yang lain selama sehari semalam. Suka saya memetik artikel Ustaz Ahmad Baei, menurut kitab jawi yang bernama “Idaman Penuntut, penggal kedua” buku ini terbitan dan cetakan Johor, penulisnya telah memudahkan bahasa yang sebahagian besarnya diambil dari kitab kuning, “Matlaal Badrain” tulisan Syeikh Daud Fatani.

Jika sudah bermalam dengan seorang isteri wajib bermalam pada isteri-isteri lain sama macam itu sekalipun mereka itu ada uzur seperti sakit, haid, kemaluan tersumbat atau dalam ihram. Kerana tujuannya supaya berjinak-jinak bukan kerana hendak bersetubuh sahaja. Wajib menyamakan giliran itu ialah tentang bermalam jua bukan tentang bersetubuh atau sebagainya iaitu sunat sahaja.

Penting difahami di sini, wajib bermalam pada isteri-isteri lain sama seperti yang dilakukan pada seorang isteri yang pertama. Maknanya kalau ada empat isteri, kalau yang pertama satu malam, maka isteri yang kedua juga satu malam dan begitulah seterusnya. Tapi kalau pilih dua malam, sama jugalah seterusnya walaupun isteri kedua dan ketika dalam haid. Setiap kali berlaku giliran tidak semestinya berlaku perhubungan seks. Perkara itu tidak wajib tetapi sunat sahaja kalau mereka berhajatkannya.

Adalah hukum wajib menyamakan giliran itu dikira dari segi tempat kediaman dan dari segi masa. Dari itu wajib disediakan tempat kediaman berasing-asing. Maka haram dikumpulkan dua isteri atau berapa isteri di satu tempat kecuali mereka bersetuju dan izin.

Dalam bab tempat tidak perlu ulasan lanjut kerana tulisannya jelas. Memang Islam tidak galakkan menghimpunkan isteri dalam satu rumah, walau sebaik mana pun isteri-isteri itu mereka mesti diasingkan. Tentu ada hikmahnya, hanya yang sudah alami tahu hikmah yang sebenarnya.

“Dan di segi masa maka orang yang bekerja siang hari hak gilirannya ialah malam dan siang ikut sahaja. Kecuali ada hajat seperti menjengah kesakitan atau menghantar barang, atau menyampaikan duit belanja ataupun tak boleh lama, jika lama kena ganti pada tuan punya giliran, bila sudah masuk diluluskan berseronok yang lain daripada bersetubuh." (halaman 115 : Idaman Penuntut – penggal kedua).

Tetapi di segi masa perlu dijelaskan dengan agak terperinci. Orang yang bekerja pada siang hari maka gilirannya ialah malam dan siangnya. Inilah yang dimaksudkan 24jam. Dalam ayat itu diikuti dengan "kecuali" iaitu memberi maksud bahawa di sebelah siang yang menjadi sambungan bagi giliran malam tadi, walaupun masih milik gilirannya, terdapat sedikit pengecualian. Maksudnya, atas sebab-sebab tertentu pada siang hari itu bolehlah dia pergi ke rumah isteri yang lain. Antara sebab yang dicontohkan dalam ayat di atas ialah untuk melihat isteri keduanya itu dalam keadaan sakit, hantar barang, hantar belanja dapur atau sekadar singgah sebentar hendak bertanya khabar.

Walau bagaimanapun kalau dia dalam keadaan itu singgah terlalu lama, maka itu wajib diganti pada gilirannya nanti, iaitu dikurangkan masanya. Satu lagi fakta yang penting di sini ialah, apa seseorang suami itu singgah di rumah isterinya yang bukan giliran itu, dia boleh bergurau senda, boleh berseronok dan boleh bersembang seperti biasa. Namun begitu dia tetap dilarang bersetubuh. Itulah yang dimaksudkan dengan “bila sudah masuk diluluskan berseronok yang lain daripada bersetubuh,” dalam teks itu.

Apakah yang anda boleh faham dengan maksud kata-kata, kamu boleh buat itu dan ini kecuali yang ini? Kamu boleh lakukan semua yang ada di sini selain daripada yang ada di atas meja saya. Tidakkah kata-kata ini satu larangan. Dan larangan itu sudah tentulah haram, bukan makruh kerana lazimnya kalau maksud disebut oleh ulama secara jelas, makruh. Sila rujuk di artikel penuh di Giliran wajib adil, tidak pada hubungan seks.

Suami apabila tinggal di rumah seorang isteri, diharamkan memanggil isteri yang lain datang ke rumah madunya itu.

Suami diharuskan menetapkan giliran bermalam semaksimum 3 hari untuk isterinya. menetapkan giliran melebihi 3 hari diharamkan kerana masa yang panjang akan membebankan isteri.

Pada siang hari, suami diharuskan ke rumah isteri yang bukan gilirannya, tetapi sepatutnya tidak dalam tempoh yang lama. Aisyah r.a. berkata, "Pada kebanyakan hari, Nabi SAW sentiasa menziarahi kami semua (para isteri baginda). Baginda bertemu dengan semua isterinya tanoa menyentuhnya (menyetubuhinya) sehinggalah tiba giliran masing-masing. Ketika itu barulah baginda bermalam bersamanya." (Hadis riwayat Abu Daud)

Suami tidak diharuskan pergi ke rumah isteri yang bukan gilirannya, melainkan kerana keperluan yang mendesak seperti sakit yang membimbangkan, kebakaran dan sebagainya.

Suami diharuskan mengkhususkan 7 malam berturut-turut kepada anak dara yang baru dikahwininya. Jika janda, wajib dikhususkan 3 malam berturut-turut untuknya. Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda, "Bagi anak dara tujuh malam dan bagi janda tiga malam." (Hadis riwayat Muslim)

Jika salah seorang isteri membenarkan gilirannya kepada madunya, suami boleh mengambil giliran tersebut. Inilah yang dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW ketika isterinya Saudah binti Zam'ah telah tua dan memberikan gilirannya kepada Aisyah r.a.

Jika suami hendak bermusafir (out station) atau bercuti, suami hendaklah membuat undian di antara isteri-isterinya. Aisyah r.a. berkata, "Apabila Rasulullah SAW ingin keluar bermusafir, baginda membuat undian di antara semua isterinya. Baginda akan bermusafir bersama isteri yang mendapat undian tersebut." (Hadis riwayat Bukhari)

Demikianlah beberapa panduan untuk suami yang berpoligami, bagaimana untuk membahagikan giliran bermalam. Selebihnya jika ada yang masih samar-samar, bolehlah merujuk kepada yang pakar atau suami-suami yang pernah berpoligami dan rukun rumahtangga mereka. BG bukan tempat yang sesuai untuk dirujuk tapi boleh rekomen beberapa artikel lain :
  1. Poligami boleh mengundang ke neraka?
  2. Poligami, suami atau isteri siapa dulu tempah ke neraka?
  3. Giliran wajib adil, tidak pada hubungan seks
  4. Harus poligami hanya kepada yang layak
  5. Nasihat buat suami dan isteri poligami

Wallahu'alam.


Butiran selanjutnya ...

Ahad, Januari 09, 2011

Wanita parah ditetak madu


BHarian 07/01/2011 - JITRA: Seorang suri rumah cedera parah di bahagian kepala, muka dan tangan akibat ditetak dengan parang oleh madunya di Kampung Baru, Sungai Korok dekat sini, hari ini.

Kejadian pada kira-kira jam 10 pagi itu dipercayai berpunca dari perasaan cemburu antara kedua-dua wanita tersebut yang tinggal sebumbung sejak dua minggu lalu. Wanita berumur 54 tahun itu kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar dan keadaannya dilaporkan stabil manakala madunya yang berumur 27 tahun dipercayai telah melarikan diri selepas kejadian itu. Anak perempuan mangsa yang berumur 17 tahun turut cedera di kaki akibat terpijak parang yang digunakan dalam serangan itu dan kini dirawat di Hospital Jitra.

Mangsa mempunyai enam orang anak manakala madunya mempunyai seorang anak lelaki berumur lapan bulan. Suami kedua-dua wanita itu yang berumur 54 tahun dan bekerja sebagai buruh di sebuah syarikat swasta di Jitra dan ketika ditemui pemberita di HSB enggan ditemu bual.

Difahamkan, sebelum ini, madu wanita itu tinggal di rumah sewa di Kuala Nerang dan pindah ke rumah mangsa kira-kira dua minggu lalu kerana dikatakan suami mereka tidak mampu membayar sewa.

Sementara itu, seorang daripada jiran mangsa yang dikenali sebagai Nang Yah ketika ditemui pemberita berkata, ketika kejadian dia berada di luar rumah dan tiba-tiba terdengar bunyi bising dan teriakan meminta tolong dari rumah jirannya itu yang terletak kira-kira lima meter dari rumahnya.

"Mak Cik dengar suara orang bising-bising dan minta tolong...Mak Cik jadi takut lalu meminta bantuan jiran lain untuk melihat apa yang berlaku di rumah mangsa. Kemudian mak cik nampak mangsa mengengsot keluar dari rumah sambil merayu minta tolong dalam keadaan lemah dan tidak bermaya. Kepalanya penuh dengan darah," katanya.

Seorang lagi jiran mangsa berkata, beliau dan beberapa jiran lain telah membantu membawa mangsa ke Hospital Jitra.

"Bila sampai di rumah mangsa, mendapati mangsa dalam keadaan tidak bermaya dan lemah...saya dan rakan segera bawa mangsa ke hospital bagi mengelak mangsa kehilangan banyak darah," kata lelaki berumur 32 tahun itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Ibrahim Mohd Yusof ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian ini pada 4.20 petang. Polis sedang menyiasat kejadian itu, katanya. - BERNAMA

‘Madu mahu lihat saya mati’

Isteri pertama kena 42 jahitan dakwa suspek berniat bunuh kerana cemburu

ALOR SETAR: Mangsa tetak yang cedera parah di muka akibat ditetak madunya di Kampung Seri Muda, Sungai Korok di sini kelmarin, mendakwa suspek sememangnya berniat membunuhnya kerana perasaan cemburu selepas dua minggu mereka tinggal bersama di rumah berkenaan.

Siti Aminah Hanapi, 50, mendakwa ketika kejadian itu kelmarin, suspek turut menghamburkan kata-kata kesat dan menyatakan keinginannya untuk melihatnya mati sambil menetak kepala dengan parang beberapa kali. “Selepas menetak kepala saya, dia terus mencekak baju saya dan berkata ‘biaq mampuih hang’ (biar mampus kau). Saya tidak tahu kenapa dia bertindak begitu, tapi saya tahu dia memang cemburu dan berniat membunuh saya,” katanya yang menerima 42 jahitan di dahi dan pipi kirinya selain urat tiga jari kanannya putus akibat tetakan itu. Katanya, dua hari sebelum kejadian, madunya yang berusia lewat 20-an itu banyak menghabiskan masa berkurung dalam bilik bersama bayi lelakinya berusia lapan bulan.

“Namun pada hari kejadian, saya menyuruh anak saya, Nurul Shuhada Saad, 17, memanggil ibu tirinya itu danmembawabayi itu keluar untuk diberi makan. Disebabkan tiada jawapan dari dalam bilik, Nurul Shuhada cuba memanjat dinding untuk melihat ke arah dalam bilik sebelum tiba-tiba wanita itu cuba menetaknya. Selepas itu dia terus meluru ke arah saya dan menetak bahagian dahi dan pipi menggunakan parang sepanjang kira-kira 40 sentimeter itu. Saya tidak tahu di mana dia ambil parang itu, tetapi saya agak ia memang sudah disimpan suspek di dalam bilik itu,” katanya.

Menurutnya, suami, Saad Husin, 45, berkahwin dengan wanita itu di Thailand tanpa pengetahuannya kira-kira dua tahun lalu sebelum membawa isteri mudanya tinggal bersama dua minggu lalu kerana mahu mengurangkan beban tanggungan.

“Sepanjang tinggal bersama, tidak pernah berlaku sebarang pergaduhan. Malah, kami turut makan semeja selain bersembang, cuma madu saya itu kadang-kadang lebih suka berkurung di dalam bilik,” katanya.

Sementara itu, polis menahan seorang isteri muda yang didakwa menetak madunya di rumah abangnya petang semalam dan akan dibawa ke mahkamah hari ini bagi mendapat perintah tahanan reman. Suspek yang dibawa suaminya ke rumah abangnya di Kuala Nerang sejurus kejadian kelmarin, ditahan kira-kira jam 3 petang semalam untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan, Sawaludin Hamenudin, ketika dihubungi semalam, mengesahkan penahanan itu bagi mengambil keterangan suspek mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

“Kita menahan suspek kira-kira jam 3 petang tadi (semalam) dan kita akan bawa dia ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman esok (hari ini),” katanya.

Rujukan :

  1. BHarian 07/01/2011 - Wanita parah ditetak madu
  2. BHarian 09/01/2011 - ‘Madu mahu lihat saya mati’


Butiran selanjutnya ...

Jumaat, Januari 07, 2011

Biasakan bersikap positif



Assalamualaikum warahmatullah,

Kebanyakan dari kita memang gemar bersikap negatif terhadap diri sendiri. Ada kemungkinan, ia disebabkan teguran dan kritikan yang diperolehi semasa kecil. Kalau dahulu ramai yang menganggap, pujian tidak wajar diterima, tetapi kini ahli-ahli psikologi menyedari akan perlunya pujian sebagai penggalak dalam menghasilkan mutu kerja yang lebih baik.

Tanda-tanda kurang keyakinan diri :

  1. Bercakap dalam keadaan berbisik, kalau menjerit pun tidaklah sekuat mana.
  2. Bermain-main dengan hujung rambut atau tangan mengusik-usik barang kemas.
  3. Duduk dalam keadaan lutut dirapatkan dan tangan menutup lutut.
  4. Menaikkan bahu seolah-olah takut.
  5. Bercakap dengan cepat atau terburu-buru sehingga orang lain langsung tidak faham.
  6. Menyorokkan diri di sebalik buku atau surat khabar.
  7. Kelihatan hidup di dunianya sendiri, kerana tidak memperdulikan orang lain.

Keyakinan diri bermula dari dalam diri anda sendiri

Bukan semua orang mempunyai daya keyakinan pada diri sendiri secara sepenuhnya. Jangan mudah berputus asa dengan menganggap anda tidak mungkin memperoleh keyakinan diri. Sebenarnya terdapat beberapa cara untuk membina keyakinan diri dan seterusnya memperoleh kekuatan dalaman yang akhirnya memberi sinar kebahagiaan dalam kehidupan kita. Di antaranya :

1 – Mencapai sesuatu yang boleh meningkatkan diri anda

Pastikan ia sesuatu yang boleh anda peroleh seperti belajar memandu atu mengambil lebih tanggungjawab di tempat kerja. Tapi jangan membebankan diri anda seperti berazam mengurangkan berat dengan banyak sekali ketika cuti kerana ia hanya akan mengecewakan anda sahaja.

2 – Luahkan perasaan takut anda

Menceritakan perasaan takut atau kebimbangan kepada kawan-kawan rapat dapat melegakan fikiran anda dan pasti kawan-kawan anda juga akan berbuat demikian.

3 – Belajar dari pakar

Cuba selidik kalau-kalau tempat belajar anda ada menyediakan kursus-kursus Motivasi. Kursus sebegini akan mengajar anda menerima diri sendiri dan orang lain serta mengajar anda berusaha mencapai matlamat tanpa mengharapkan bantuan orang lain.

4 – Latih depan cermin

Kita semua menggunakan cermin tapi tidak ramai yang benar-benar meneliti diri ketika bercermin. Latihan di depan cermin juga akan membina keyakinan diri. Misalnya, ramai pelakon yang mengaku mereka lebih mudah menghayati wtak jika berlatih di depatn cermin sebelum berada di pentas atau sebelum menghadiri temu duga. Anda juga digalakkan membuat latihan di hadapan cermin agar tidak kekok dan lebih berkeyakinan.

5 – Memerhatikan orang yang berkeyakinan dan berpengaruh

Terdapat segelintir masyarakat yang percaya dengan memerhatikan mereka yang nampak berkenyakinan, berpengaruh dan berjaya dalam hidup. Ke semua mereka ini boleh dijadikan contoh untuk membina daya keyakinan diri kita.

6 – Mendapatkan ‘feedback’ atau tindak balas

Tiada siapa yang tahu pencapaian diri mereka jika tidak diberitahu. Mungkin anda boleh bertanya kepada kawan-kawan atau guru atau majikan bagi mendapatkan ‘feedback’ mengenai perkembangan diri anda.

7 – Berfikiran positif

Anda juga boleh melatih diri anda berfikiran secara positif dengan meyakinkan diri anda bahawa anda sebenarnya seorang yang bersemangat dan positif. Jadi elakkan dari mengatakan ‘tidak’ dan katakan ‘boleh’. Lama-kelamaan anda akan dapat meyakinkan diri anda sendiri.

8 – Menghargai diri sendiri

Jika anda mahu orang lain menghargai anda, anda sendiri perlu menghargai diri anda terlebih dahulu. Walaupun caranya bukan mudah, terutama apabila segala yang anda lakukan boleh menyebabkan orang lain berasa marah terhadap anda. Ingatlah, sebenarnya semua orang cuba bersikap sedemikian. Jangan biarkan perkara yang kecil berlarutan dan menjejaskan diri anda. Jadi, bersikap sederhana dan jangan berasa takut dengan orang lain. Ingatlah, ‘nobody’s perfect’. Terimalah segala dugaan, pencapaian dan pujian dengan sikap terbuka.

Kita perlu kuat dalam hidup ini. Kita perlu hidup demi memberi kehidupan dan sinar kebahagiaan kepada orang-orang yang sangat kita cintai. Malam dan siang adalah permainan hari, sedangkan kebahagiaan dan penderitaan adalah permainan hidup.

Setiap sesuatu kejadian ada hikmahnya.... Renung-renungkan...




Rujukan : Mohd Huzairi Zainuddin [huzairi_z@hotmail.com]

Butiran selanjutnya ...

Rabu, Januari 05, 2011

A bit late though, Happy New Year 2011!



Wishing all of us
sunlight in our heart,
Success in our path
answers to our prayers
happiness in our lives
smiles in our faces

A bit late though, Happy New Year 2011!


Butiran selanjutnya ...
Related Posts with Thumbnails