Gambaran isteri jadi mangsa keganasan fizikal suami.
Mangsa jangan sampai cacat baru buat aduan
KUALA LUMPUR: Suami atau isteri memaksa pasangan masing-masing yang sedang bekerja pulang ke rumah semata-mata mahu melampiaskan nafsu seks boleh dianggap melakukan penderaan seksual jika menyebabkan pasangan mengalami tekanan atau trauma selepas melakukan hukuman intim secara paksa.
Masalah itu kerap berlaku bagi suami atau isteri bekerja syif termasuk anggota pasukan keselamatan dan beruniform yang menjadi antara penyumbang tertinggi kepada statistik kes keganasan rumah tangga secara penderaan seksual, namun mangsa yang lazim adalah wanita.
Bagi isteri bekerja syif normal, memenuhi tuntutan suami dalam keadaan tidak selesa, tergesa-gesa kerana mahu kembali bekerja disebabkan takut dipukul suami boleh menyebabkan trauma berterusan kerana ingatan mereka dipenuhi rasa takut, sakit, dendam dan panik sedangkan hubungan intim sepatutnya menyeronokkan kedua-dua pihak.
Lebih teruk, ada isteri yang rosak kemaluan pada tahap kritikal akibat dipaksa melakukan seks termasuk di luar tabii bahkan ada di antara mangsa dijankiti penyakit kelamin seperti siflis dan HIV daripada suami yang turut mengamalkan seks bebas di luar rumah.
Penderaan seksual adalah antara 1,075 kes keganasan rumahtangga dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tahun 2010. Ia meningkat sebanyak 215 kes daripada 860 pada tahun 2009. Secara purata, dianggarkan 90 kes penderaan dilaporkan kepada JKM setiap bulan, tahun 2010 berbanding 71 kes sebulan tahun 2009.
Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Kaunseling dan Psikologi JKM, Norazura Ahmad, berkata secara biologi, lelaki yang aktif biasanya memiliki kehendak seks lebih daripada biasa dan berpotensi memaksa isteri mengikut kehendak mereka tanpa memikirkan keperluan dan perasaan pasangan.
“Hubungan seks secara paksa sama seperti kesakitan dirogol. Memori hitam itu akan kekal dalam ingatan dan bila tiba saat melakukan hubungan seks, mangsa akan trauma sebab teringat kesakitan dan penderitaan yang akan ditanggung. Isteri lebih bersedia melakukan seks pada waktu lebih tenang, misalnya waktu malam selepas semua urusan selesai. Jika hubungan seks dilakukan pada waktu tengah hari ketika rehat bekerja atau awal pagi antara jam 3 hingga 5 pagi, ia tidak normal.”
“Ramai isteri terpaksa melalyan suami secara tidak rela. isteri boleh buat dakwaan kes rogol jika keadaa berterusan hingga menyebabkan mereka trauma teruk,” katanya sambil menambah situasi kali pertama “dirogol” suami akan kekal sepanjang hayat dan fobia misalnya kepada suasana bilik, bunyi muzik, lampu atau waktu kejadian itu.
Berdasarkan pengalaman mengendalikan kes sedemikian, Norazura mengakui kebanyakan hubungan pasangan itu akan berakhir dengan perceraian kerana penderaan seksual dianggap trauma paling cepat memberi kesan berbanding penderaan fizikal.
“Kebanyakan pelanggan yang datang ke sini (JKM) malu menceritakan kisah seks kerana membabitkan maruah diri, tetapi mereka perlu tahu hak seorang isteri. Ramai yang datang bawa laporan perubatan, ada yang terus buka pakaian tunjukkan kesan dera,” katanya.
Bagi mangsa penderaan secara fizikal pula, mereka biasanya mampu bertahan lebih lama sebelum mencapai kemuncak dengan melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa atau berpisah dengan suami. Ada kes wanita menderita 25 tahun didera suami sehingga seluruh kepala botak berikutan kulit kepala dipenuhi kesan luka dan parut.
“Ada juga kes seorang pengadu buta sebelah amta terkena bucu peti ais yang ditolak suami. Sebab itulah kami sering ingatkan mangsa keganasan rumahtangga, sama ada lelaki atau wnita supaya bertindak. JANGAN SAMPAI JADI OKU (orang kelainan upaya), baru hendak buat laporan.”
“Proses untuk pulih amil masa lama. Seorang mangsa yang cukup kuat berjaya pulih selepas beberapa tahun, tetapi kami sentiasa bersedia membantu. Kami percaya ramai yang menjadi mangsa, tetapi takut membuat laporan,” katanya.
Suami turut kena dera isteri
Keganasan rumahtangga biasanya dikaitkan dengan pelbagai punca, terutama masalah kewangan atau kesempitan duit, namun ada juga pasangan kaya terbabit dalam kes ini yang cuma disebabkan sikap kurang hormat terhadap pasangan.
Sikap seperti sering meninggikan suara, menjatuhkan maruah pasangan di depan rakan atau ahli keluarga dan amsalah anak-anak, campur tangan keluarga mertua adalah sebahagian rentetan pelbagai punca kecil yang akan merebak kepada keganasan fizikal.
Apabila masalah tidak mampu ditangani dengan baik, ia akan sampai ke tahap maksimum sebelum meletus kepada perbuatan fizikal melampau hingga mendatangkan kecederaan. Semua perkara itu merebak dan boleh meletus melalui perkata kecil dan remeh, misalnya persoalan siapa yang sepatutnya menguruskan rumah bersepah selepas suami isteri pulang dari kerja, sedangkan ia boleh diselesaikan dengan melalui kerjasama.
Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Hadzir Md Zain mengakui kes keganasan rumahtangga semakin meningkat dan menjadi siu sosial yang boleh membawa kepada keruntuhan masyarakat jika tidak dibendung. Ada kes seoerang suami menguruskan rumahtangga sepenuh masa yang dilaporkan mengalami tekanan emosi serius kerana sering diherdik isteri sepanjang lebih 10 tahun perkahwinan mereka. Isteri memegang jawatan besar dikatakan tidak menghormati suami di depan rakan dan memperlekehkan peranannya menguruskan keluarga dan anak-anak.
“Pasangan memendam perasaan kerana didera secara emosi berpotensi bertindak di luar dugaan,” kata Haidzir sambil menambah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 mampu membantu mangsa, memberi hak kepada pihak berkuasa termasuk JKM bertindak andai menerima maklumat dan bukti walaupun bukan daripada mangsa sendiri.
Beliau yang menasihatkan pasangan yang berdepan dengan tekanan, segera berjumpa kaunselor di JKM untuk khidmat nasihat, berkata pegawai JKM akan membantu mangsa keganasan memfailkan aduan, mengatur pengangkutan mangsa ke kediaman alternatif, tempat selamat atau tempat berlindung sekiranya perlu, ke hospital atau pusat perubatan terdekat.
“Kita juga akan menerangkan hak mangsa mendapatkan perlindungan. Jika perlu, pegawai JKM akan menemankan mangsa ke kediaman mereka untuk mengambil barang-barang kepunyaannya kerana bimbang diserang pasangan atau ahli keluarga lain. Kita juga akan bantu mereka mendapatkan perintah perlindungan sementara (IPO) di mahkamah. Bantuan akan terut diberikan dari segi kaunseling dan tempat perlindunga sementara atau tetap hingga mereka selamat,” tambahnya.
Keganasan rumahtangga bukan hanya termaktub kepada suami dan iseri tetapi turut membabitkan ahli keluarga lain termasuk ibu bapa, anak, bekas suami atau bekas isteri. Bahkan mengabaikan kebajikan anak dan ibu bapa seperti tidak memberi makan, minuman, tempat tinggal sempurna dianggap penderaan yang boleh dikenakan hukuman.
“Suami, isteri dan anak yang selalu dimarah, dileter, dimaki hamun juga alami penderaan mental, emosi kerana semua itu berkait. Mungkin masalah kewangan menjadi punca utama kes, tetapi ada juga pasangan kaya terbabit dalam keganasan rumahtangga. Maknanya ia boleh berlaku disebabkan faktor lain yang gagal deselesaikan dengan baik,” katanya.
Antara kes dera isteri, suami
* 21 Julai 2011
Seorang wanita 28 tahun, ibu dua anak dari Tanah Putih, Kuantan mendakwa diperlakukan seperti anjing apabila dipukul dan disepak hingga jatuh ke dalam longkang oleh suaminya yang juga seorang along sejak lebih setahun selain hampir maut dipukul dengan alat renjatan elektrik kketika hendak ke rumah ibadat.
* 11 Februari 2011
Seorang suri rumah berusia 22 tahun dipercayai keguguran selepas dibelasah beberapa kali di badan dan perut oleh suaminya di rumah mereka di Kampung Padang Luar, Kuala Terengganu. Dalam kejadian itu, mangsa yang mempunyai dua orang anak dan sedang mengandung tiga bulan dikatakan bertengkar dengan suaminya yang berusia 23 tahun, mengenai masalah keluarga.
* 24 November 2010
Seorang wanita mengandung ditemui mati dengan kesan kelar di lehernya dipercayai dilakukan oleh suaminya sendiri di rumahnya di Batu 16, Jalan Kastari, Ulu Tiram. Rohana Hamzah, 26, ditemui pemilik rumah yang disewa mangsa dan suaminya dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah kira-kira jam 1 tengah hari sebelum melaporkannya kepada pihak berkuasa. Bapa mangsa, Hamzah Mohd, 51, mendakwa anaknya mengalami masalah rumah tangga.
* 10 Mei 2010
Suami pukul isteri lambat masak mi. Hanya kerana lewat menyiapkan mi segera apabila diarahkan, seorang wanita telah ditumbuk, ditendang dan dipijak oleh suaminya yang berang di rumah pasangan itu di Kampung Kota Ayangan dekat sini kelmarin. Malah, apa yang lebih menyedihkan, mangsa turut disiram dengan air panas selain pakaiannya dikerat dengan parang oleh suspek sehingga menyebabkan wanita itu berbogel.
* 6 Mei 2010
Seorang isteri cedera parah selepas ditendang dengan kasut but dan dipukul dengan topi keledar oleh suaminya, hanya kerana wanita itu menulis surat untuk meminta diceraikan.
* 5 Mei 2010
Suami berusia 40-an, seorang anggota tentera cuba bertindak menoreh kemaluan isterinya dengan sebilah pisau, gara-gara mendengar 'bisikan suara halus' di dalam rumahnya yang mengatakan isterinya itu mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.
* 9 April 2010
Suami simbah asid ke muka dan badan isteri, gara-gara isteri enggan mengadakan hubungan seks. Suami yang dipercayai tahi judi naik berang itu menyebabkan isterinya cedera parah dalam kejadian di rumahnya di Felda Bukit Sagu 2.
Ketika kejadian pada pukul 2 pagi, lelaki berusia 47 tahun itu dikatakan baru sampai ke rumah selepas dipercayai keluar bermain judi. Suspek yang bekerja sebagai peneroka itu pulang dalam keadaan marah-marah. Dia terus masuk bilik tidur sebelum mengejutkan isterinya untuk mengadakan hubungan kelamin. Bagaimanapun, wanita berusia 30-an itu menolak keinginan suaminya kerana dia tidak sihat dan sakit kepala. Tindakan si isteri itu menyebabkan suaminya secara tiba-tiba naik angin lalu mengambil cuka getah yang diletakkan di dalam botol di luar rumah. Suami masuk semula ke dalam rumah lalu menyimbah cuka getah itu ke arah muka dan badan mangsa yang bekerja sebagai pencuci pejabat. Tindakan suami itu menyebabkan isterinya melecur teruk.
* 17 Februari 2010
Suami tikam isteri selepas bertengkar minta cerai. Seorang suami mengejar isterinya yang meluru keluar dari sebuah kereta sebelum menikam wanita itu disaksikan orang ramai selepas mereka bertengkar kerana wanita itu menuntut cerai, dalam kejadian dekat sebuah stesen minyak di Pagoh.
* 6 Februari 2010
Seorang isteri, Shamila yang hamil lima bulan cedera parah di kepala dan hampir putus jari tangan kanannya selepas ditetak suaminya, hanya disebabkan pulang lewat ke rumah.
* 17 Jun 2009
Gara-gara cemburu, seorang lelaki mengikat tangan dan kaki isteri sebelum mengurungnya dengan hanya berpakaian dalam selama tiga hari di sebuah bilik rumah mereka di Bukit Setongkol, di sini.
Mangsa yang turut cedera di seluruh badan akibat diseksa dan dipukul suaminya, diselamatkan polis kira-kira jam 5 pagi kelmarin selepas dia berjaya menghubungi talian kecemasan 999 setengah jam sebelum itu.
* 11 Januari 2008
Seorang wanita dihantuk berulang kali ke dinding rumah oleh suaminya sendiri yang berang kerana gagal mendapat wang untuk membeli pil kuda. Akibatnya, wanita tersebut hampir pengsan manakala dahi kanannya bengkak dan terpaksa dihantar ke Hospital Kemaman.
* 17 Mei 2006
Impian seorang wanita berusia 41 tahun untuk sehidup semati bersama suami tersayang berkecai apabila dia menadi mangsa dera lelaki itu dalam kes dilaporkan di Subang Jaya, Selangor. Bekas peramugari itu yang berkahwin selama 13 tahun, trauma didera suami termasuk dibelasah seperti aksi gusti yang dipaparkan di televisyen, ditampar dan ditumbuk jika gagal mengikut arahan. Kelakuan suaminya berubah selepas lelaki itu berkahwin dengan seorang lagi peramugari.
* 21 Mei 2002
Mangsa dera suami, Hasnah Kiman 38, yang dirawat di Hospital Kajang dipercayai tidak dapat dipulihkan kepada keadaan asal berikutan kecederaan serius pada bahagian otaknya akibat didera lelaki warga New Zealand itu di negara berkenaan dengan cara dipaksa menelan pil tidur sebelum dibiarkan 20 jam tanpa sebarang rawatan.
* 21 Oktober 2002
Seorang lelaki yang didera isteri, dalam ketakutan apabila menerima ugutan daripada wanita itu yang mahu memotong kemaluannya dan menyimbah asid berikutan cemburu buta. Mangsa hanya dikenali sebagai Wong, 56, turut digigit hingga lebam tangan kanan, dipukul dan ditendang isterinya, 39, dalam kejadian di Sri Petaling, Kuala Lumpur.
* 15 April 2002
Seorang bekas pengurs bank berusia 48 tahun memohon bantuan Sekretariat Pengaduan Awam UMNO Perak di Ipoh kerana mendakwa didera isterinya, mengalami penderaan fizikal, emosi akibat perbuatan isteri dan keluarga mertua. Dia mendakwa iserinya ganas, malah beberapa kali mengacu pisau ke arahnya, manakala bapa mertua pula cuba melanggar dan membelasahnya hingga cedera.
* 1 Oktober 1999
Seorang lelaki berusia 31 tahun yang mendakwa dipukul dan didera isteri berusia 32 taqhun, antaranya menggunakan penyangkut baju dan pembersih bulu ayam, dibenarkan bercerai oleh Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya. Pasangan itu bernikah 1992 dan memperoleh dua anak, tetapi tinggal berasingan sejak 13 Julai 1997 selepas isteri melarikan diri.
Antara kes isteri dirogol suami
* 14 Mac 2005
Seorang guru wanita berusia 37 tahun yang dipercayai menjadi mangsa sindiket nikah palsu 'dirogol' suami sendiri berusia 36 tahun di Kuantan, Pahang. Malah, selepas menyedari perkahwinan berusia dua bulan itu tidak sah dan mendapat perintah perlindungan oleh Mahkamah Syariah, dia terus menjadi mangsa kerana 'suami' enggan melepaskannya, sebaliknya terus merogol dan memukulnya.
* 15 Mac 1992
Seorang isteri dari Kuala Lumpur mendakwa selepas berkahwin kira-kira lima tahun, hubungannya dengan suami renggang kerana sikap lelaki itu sering pulang lewat. Dia sering memarahi suami apabila membuka pintu rumah menyebabkan lelaki itu berang dan terus memukulnya, bahkan memaksa mangsa melakukan hubungan seks tanpa kerelaannya.
Antara kes melibatkan ahli keluarga
* 24 April 2009
Remaja berusia 13 tahun menjadi hamba seks bapa dan dua abang kandungnya sejak berusia sembilan tahun. Selain menjadikan rumah mereka di Kubang Semang, Bukit Mertajam tempat melepaskan nafsu, mangsa pernah dirogol dalam hutan. Lebih menyedihkan, dia bukan saja dirogol, malah pernah diliwat bapa dan abang yang sepatutnya melindungi keselamatannya.
INFO | ||||
Keganasan rumahtangga yang dilaporkan kepada JKM (kes suami dan isteri) bagi tahun 2009 dan 2010 | ||||
Kategori | 2009 | 2010 | ||
Intervensi (kecemasan) | 77 | 94 | ||
22 | 77 | |||
Kaunseling individu | 319 | 322 | ||
86 | 165 | |||
Kaunseling berkelompok | 3 | 7 | ||
8 | 2 | |||
Kaunseling keluarga | 92 | 92 | ||
69 | 43 | |||
Kaunseling perkahwinan | 15 | 55 | ||
10 | 23 | |||
e-kaunseling | 121 | 150 | ||
38 | 38 | |||
Jumlah kes keganasan rumahtangga | | Wanita | 860 | 1,075 |
| Lelaki | |||
INFO :
Takrifan keganasan rumahtangga
* Apabila seseorang menyebabkan kecederaan fizikal
* Sengaja meletakkan mangsa dalam ketakutan kecederaan fizikal
* Memaksa atau mengancam mangsa melakukan perbuatan seksual
* Mengurung atau menahan mangsa tanpa kerelaannya
* Melakukan khianat atau kemusnahan harta dengan niat menyebabkan kesedihan kepada mangsa
Mereka dilindungi Akta Keganasan Rumah Tangga 1994
* Isteri, suami
* Bekas isteri, bekas suami
* Kanak-kanak bawah 18 tahun tinggal bersama
* Orang dewasa tidak upaya tinggal bersama
* Anak lelaki, perempuan
* Ibu bapa, adik-beradik, saudara-mara mengikut takrifan mahkamah
Dera secara fizikal
* Toreh pisau
* Hantuk kepada pada longkang, dinding
* Pukul guna kerusi, meja, objek keras
* Guna seterika panas
* Tampar, pukul guna tangan, kaki
* Cucuh puntung rokok
* Pijak, sepak
Sumber : BHarian 14/08/2011
Capaian entry berkaitan :
* Dera isteri
* Jenayah seks suami terhadap isteri
* Adakah Islam membenarkan suami memukul isteri?
* Kenali ciri-ciri lelaki pendera
* One Stop Crisis Center - OSCC
* Bila lelaki cemburu buta dan buta hati....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...