“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Rabu, Ogos 24, 2011

EKSKLUSIF: Lambakan kuih raya dari China diragui

~ gambar hiasan ~


Harga jauh lebih murah, timbul persoalan kandungan bahan digunakan sebagai ramuan

KUANTAN: Keghairahan umat Islam membuat persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi, memberi peluang pihak tertentu mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan menjual kuih biskut raya diimport dari beberapa negara bukan Islam dan diragui status halalnya.

Malah, kuih dan biskut raya itu dijual dengan harga lebih rendah dan tidak munasabah, sekaligus turut menjejaskan perniagaan usahawan Bumiputera.

Tinjauan ke beberapa pasar raya utama di sini mendapati kebanyakan premis itu menawarkan biskut raya yang dikatakan diimport dari China dengan harga serendah RM9 hingga RM12 bagi bekas seberat 200 gram hingga 400 gram mengikut jenis biskut.

Antara biskut yang dijual termasuk tart nenas, biskut kekacang, tart gulung, biskut kopi, kuih bangkit dan biskut cip coklat. Berbanding biskut yang dijual usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan, harga ditawarkan itu terlalu rendah sehingga 50% berbanding harga barangan keluaran usahawan Bumiputera, iaitu antara RM20 hingga RM30 untuk kuantiti sama.

Seorang usahawan PKS yang hanya mahu dikenali sebagai Samsiah, 43, berkata beliau terbabit dalam perniagaan membuat kek dan biskut sejak lima tahun lalu dengan memperoleh keuntungan berpatutan.

“Bagaimanapun, dengan keuntungan sekecil itu, kami tidak mampu menawarkan biskut dengan harga terlalu rendah, walaupun terpaksa mengurangkan bahan. Pengedar biskut import yang tidak diketahui pengeluarnya itu mampu menjual dengan harga rendah sehingga boleh menjejaskan perniagaan kami,” katanya.

Selain harga rendah, kualiti dan kandungan biskut terbabit turut diragui kerana difahamkan, sesetengah pengedar cuna mengaut keuntungan dengan mengimportnya dari China. Bahan yang digunakan dalam pembuatan biskut itu juga amat meragukan kerana negara luar tidak tertakluk kepada status halal, sebaliknya mereka bebas mencampurkan apa saja untuk menambah rasa enak kuih.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Makanan Halal, Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Rasmawi harun berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada pengguna berhubung biskut raya yang dijual di pasaran. Mengulas kemungkinan biskut terbabit yang dibawa dari China dan mengandungi bahan tidak halal, Rasmawi berkata, ia tertakluk kepada pemantauan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Jika terbukti pengeluar gagal menyatakan kandungan sebenar dalam makanan yang dikeluarkan, mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan 1975, tetapi ia perlu dibuktikan terlebih dahulu. Bagi isu penggunaan logo halal oleh pengeluar, kita hanya boleh mengambil tindakan jika dapat membuktikan bahan digunakan dalam makanan tidak halal,” katanya.

Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM), Datuk Mohd Firdaus Abdullah pula berkata, kuih dan biskut raya yang diimport itu perlu dipastikan status halal walaupun dijual dengan harga murah.

“Pengguna perlu memastikan bahan digunakan halal kerana pengeluar di negara luar seperti China dan Thailand tidak memberi keutamaan terhadap perkara itu,” katanya.

Beliau turut meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memantau dan mengambil tindakan segera jika ada biskut raya yang dijual tanpa menggunakan logo halal yang sah atau bahan kandungannya boleh diragui.

Bagaimanapun, Firdaus berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada pengguna berhubung perkata itu.

Laman-Seri : Hati-hati dengan apa yang kita makan... dan hati-hati juga dengan apa yang kita hidangkan untuk meraikan tetamu di hari lebaran nanti...



Petikan : BHarian 24/08/2011

Butiran selanjutnya ...

Selasa, Ogos 23, 2011

Manusia perlu bijak hadapi pilihan takdir

Hitam atau putih...?

Assalamualaikum warahmatullah,

Entry ini diusahakan setelah membaca perbincangan tentangnya di egrup yang saya sertai. Ia berkisar tentang penjelasan Surah an-Nuur ayat 26 yang bermaksud, “Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan dan rezeki yang mulia (syurga).”

Persoalan yang dibangkitkan daripada ayat ini ialah, “Bagaimana dengan Isteri Nabi Luth? Dan juga di sekeliling kita kadang ditemui yang isterinya baik, suaminya suka curang?”

Tidak dinafikan, jawapan standard seorang ustaz akan menjelaskan begini : Bunyi ayat tersebut adalah rujukan dasar dan keadaan dasar lelaki baik untuk wanita baik dan sebaliknya. Jika terjadi kisah yang tidak demikian ada beberapa kemungkinan, iaitu, adanya hikmah ilahiyah yang Allah inginkan, misalnya isteri Nabi Lut. Salah satu hikmahnya adalah suami baik tidak ada jaminan menshalihkan isterinya. Semua kehendak Allah. Boleh jadi orang yang kita lihat baik tidak benar-benar soleh (baik). Pada dasarnya dia tidak baik, sehingga mendapat pasangan yang tidak baik. Atau Allah sedang menguji orang baik ini dengan pasangan yang tidak baik.

Jawapan sebegini sebenarnya mampu mengundang rasa tidak puas hati kepada si penanya. Tidak mustahil ada yang menyatakan diri mereka baik, tetapi mengapa mereka mendapat pasangan yang buruk benar akhlaknya. Lantas, ada yang mempersoalkan dimanakah ‘janji’ Allah yang terdapat di dalam ayat al-Quran yang disebutkan di atas?

Memetik kata-kata seorang sahabat Khairani Darus [kbdarus@yahoo.com], jawapan standard sebegini tidak mustahil akan menyebabkan kaum muslimin lemah. Kita telahpun meletakkan mind set, kita perlu berserah kepada takdir, perkara yang tidak jelas (grey spot), sedangkan dalam kehidupan kita, ‘no such thing as a grey spot, either black or white’. Bila kita terlalu berserah kepada takdir, maka kita akan selesa dengan kehidpan ala kadar dan mudah mengalah dengan memberi jawapan seperti ‘sudah setakat itu saja rezeki aku’ atau ‘sudah suratan takdir aku begini’ dan seumpamanya. Kita sendiri yang meletakkan diri dalam ‘comfort’ zone dan tidak mahu berusaha untuk mendapatkan situasi yang lebih selesa.

Sebenarnya, persoalan tentang ayat ini telahpun dikupas dalam entry Lelaki baik cuma untuk perempuan baik saja?. Semoga kita diberi kefahaman yang lebih dalam untuk ayat yang selalu dipersoalkan ini.

Mungkin ada yang tertanya-tanya soalan berkaitan dengan takdir dan usaha manusia. Jika memang benar Allah telah mentakdirkan segala sesuatu terhadap manusia, maka apakah erti penilaian Tuhan terhadap usaha manusia?

Manusia perlu bijak hadapi pilihan takdir

Apakah yang dimaksudkan dengan takdir? Kalimah takdir diambil daripada kata qaddara yang antara lain bererti memberi qadar atau ukuran. Jika kita berkata: “Allah mentakdirkan”, itu bererti “Allah memberikan kadar atau ukuran atau batas tertentu dalam diri, sifat dan kemampuan makhluk-Nya.”

Segala sesuatu sama ada kecil atau besar ditetapkan oleh Allah takdir baginya. Allah SWT berfirman dalam surah al-Furqan ayat 2 yang bermaksud, “(Allah) yang menciptakan segala sesuatu lalu Dia menetapkan atasnya Qadar (ketetapan) dengan sesempurnanya.”

Dalam surah Yasin ayat 38, Allah SWT berfirman: “Matahari beredar di tempat peredarannya. Demikian itulah takdir/ukuran yang ditentukan oleh (Allah) Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.”

Peristiwa-peristiwa yang terjadi di alam semesta ini, sama ada dari sudut kejadiannya, dalam kadar/ukuran tertentu, pada tempat dan waktu tertentu, itulah yang dinamakan takdir termasuk manusia. Peristiwa-peristiwa itu berada dalam pengetahuan dan ketentuan Tuhan.

Manusia mempunyai kemampuan terbatas sesuai dengan ukuran yang diberikan Allah kepadanya. Makhluk manusia sebagai contoh tidak dapat terbang. Ini adalah suatu takdir/ukuran batas kemampuan yang dianugerahkan Allah kepadanya. Manusia tidak mampu melampauinya kecuali jika dia menggunakan akalnya untuk mencipta sesuatu alat. Namun begitu, akalnya juga mempunyai ukuran/batas yang tidak mampu dilampaui. Manusia tetap berada di bawah hukum-hukum Allah sehingga segala yang kita lakukan pun tidak terlepas dari hukum-hukum yang mempunyai kadar dan ukuran tertentu.

Hanya kerana hukum itu cukup banyak dan kita diberi kemampuan memilih, tidak seperti matahari dan bulan sebagai contoh. Maka kita dapat memilih yang mana di antara takdir atau ukuran-ukuran yang ditetapkan oleh Allah itu sesuai dengan kita. Pilihan adalah hak kita. Sebagai contoh ketika di Syam (yang dimaksudkan dengan Syam iaitu Syria, Palestin dan sekitarnya) berlaku wabak. Umar bin al-Khattab yang ketika itu mahu berkunjung ke sana, lalu membatalkan rancangannya. Ketika itu tampil seseorang bertanya: “Apakah kamu lari dari takdir Tuhan? Umar menjawab: “Saya lari dari takdir Tuhan ke takdir-Nya yang lain.”

Berjangkitnya penyakit adalah berdasarkan hukum-hukum yang ditetapkan-Nya. Bila seseorang tidak menghindari daripadanya, dia akan menerima akibatnya. Akibat yang menimpa itu juga dinamakan takdir. Bukankah Tuhan telah menganugerahkan kemampuan untuk memilih?

Syurga dan neraka adalah akibat daripada pilihan manusia masing-masing. Bukankah Allah menegaskan dalam surah al-Balad ayat 10 yang bermaksud: “Kami telah memberikan petunjuk kepadanya (manusia) dua jalan (baik dan buruk).” Begitu juga dalam surah al-Kahfi ayat 29 yang bermaksud: “Katakanlah, kebenaran bersumber dari Tuhanmu, maka siapakah yang ingin (beriman), silakan beriman. Dan siapakah yang ingin (kufur), silakan kufur.”

Pilihan itulah yang dinilai Allah dan atas dasarnya, Allah menetapkan balasan dan ganjaran. Allah mengetahui segala sesuatu berlaku, sama ada sebelum, sedang dan akan berlaku. Tetapi pengetahuan ini tidak ada kaitan dengan pilihan manusia. Jika seorang pelajar yang diketahui malas dan tidak akan lulus ujian, apakah pengetahuan guru itu menyebabkan ia tidak lulus? Tentu saja tidak. Begitulah pengetahuan Allah yang meliputi segala sesuatu.

Takdir bukan alasan

Berbalik kepada persoalan takdir ini, mari kita lihat pula situasi berikut :

Situasi 1 – “Saya berzina bukan kehendak saya tapi kehendak Allah. Allah dah takdirkan saya berzina sebab itu saya berzina. Kalau Allah tak benarkan, takkanlah saya nak berzina.”

Situasi 2 – “Isteri yang mengadu mengenai kesilapan suami sama seperti tidak percayakan qada dan qadar Allah. Allah dah takdirkan mengenai jodoh dan semua yang berkaitan dengannya. Kenalah terima dengan redha dan sabar. Barulah menepati konsep percaya kepada qada dan qadar.”

Situasi 3 – “Saya tak pernah berniat nak bercinta dengan suami puan. Suami puna pun bukanlah termasuk kategori lelaki pilihan saya. Tapi dah takdir tentukan saya bercinta dengan dia, saya tak boleh nak buat apa-apa.”

Meneliti ketiga-tiga penyataan yang dikongsikan di atas, anda tentu faham apa yang hendak diketengahkan di sini. Ya, ketiga-tiga situasi di atas terlalu mudah meletakkan kesillapan yang mereka lakukan kepada takdir Allah. Umum mengetahui, Allah SWT memang berkuasa dan berkehendak atas segalanya. Setiap yang berlaku adalah kehendak-Nya dan ketentuan takdir-Nya, tetapi takdir bukan alasan untuk anda menjadi hamba yang sesenang hati melakukan kesilapan kemudian menjadikan takdir sebagai alasan.

Aniaya diri

Mengapa takdir tidak boleh dijadikan alasan? Allah SWT telah menjelaskan di dalam al-Quran menerusi firman-Nya yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri...” (Surah ar-Ra’d ayat 11).

Ayat ini jelas menjadi bukti, biarpun segalanya adalah ketentuan-Nya dan berlaku dengan kehendak-Nya, setiap perbuatan tersebut mempunyai kaitan dan puncanya adalah diri kita sendiri. Logiknya, jika setiap perbuatan tak elok, buruk, keji dan menyalahi norma-norma kehidupan manusia atau menyalahi syarak boleh dipersalahkan kepada takdir, mengapa perlu diwujudkan hukuman bagi kesalahan tersebut?

Mengapa perlu ada penjara dan ada yang menjadi banduan? Tidak perlulah hukum pencuri atau pembunuh, sebab Allah yang takdirkan mereka mencuri atau membunuh. Begitukah? Mencuri akan menyebabkan kerugian harta orang lain. Membunuh akan menyebabkan penderitaan orang lain. Berbeza dengan kes kecurangan pasangan, pengabaian tanggungjawab dalam perkahwinan dan menjadi orang ketiga dalam hubungan suami isteri. Tidak merugikan sesiapa dan tidak menganiayai sesiapa. Benarkah begitu?

Mari kita lihat satu per satu situasi yang dinyatakan di atas.

Situasi 1 : Kes zina

Suami atau isteri yang berzina telah menghina pasangannya. Kenapa memilih untuk berzina, sedangkan anda mempunyai pasangan yang halal untuk melampiaskan nafsu anda? Penghinaan tersebut amat menyakitkan hati dan mewujudkan kekecewaan yang sukar diubati. Bukan hanya kecewa tetapi penzinaan tersebut membuka ruang kepada penyakit kelamin yang boleh memberikan penganiayaan kepada pasangan anda.

Konsep percayakan qada dan qadar pula bukan menafikan hak anda untuk hidup bahagia di dunia ini. Ingatlah! Hamba yang beruntung ialah mereka yang bahagia hidup di dunia dan mampu mengecap bahagia di akhirat juga. Mereka yang rugi pula ialah mereka yang gagal bahagia di dunia dan sukar pula untuk bahagia di akhirat. Untuk mengecapi bahagia di akhirat bukan bermaksud perlu redha membabi buta tanpa berusaha mempertahankan hak sendiri untuk mengecapi bahagia di dunia.

Islam mengiktiraf lima hak sendiri yang perlu dipertahankan dan diisytiharkan sebagai syahid jika berdepan kematian ketika mempertahankannya iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Situasi 2 : Pasangan tidak bertanggungjawab

Berdepan dengan pasangan yang gagal melaksanakan hak anda bererti hak anda dalam agama, akal, keturunan, harta dan nyawa telah dikhianati. Agama tentukan anda mempunyai hak. Bila hak tersebut gagal dipenuhi, ia boleh memberikan anda tekanan yang boleh mengganggu mental (akal) anda, merosakkan harta anda kerana anda perlu mengorbankannya bukan pada tempat yang sepatutnya, mengancam keturunan anda yang berhadapan dengan tekanan disebabkan kecuaian pasangan dan jika anda hilang pegangan, ia boleh mengganggu keselamatan nyawa anda.

Fahami konsep redha yang syariat tetapkan. Terima takdir-Nya dan berusaha untuk keluar daripada ujian yang diberikan-Nya. Bertahan tanpa berusaha untuk keluar daripada zon yang tidak selesa bukan redha, sebaliknya BODOH dan menganiaya dengan menzalimi diri sendiri.

Situasi 3 : Bercinta dengan suami orang

Anda sebenarnya yang berhak membuat pilihan sama ada mahu bercinta dengan lelaki bujang ataupun lelaki yang telah berkahwin. Sekiranya anda telah terjatuh longkang cinta dengan suami orang, bukankah anda mempunyai pilihan untuk menarik diri? Jika anda memilih untuk mengundur diri, ia juga takdir Allah. Namun anda masih berdegil untuk meneruskan percintaan dengan suami orang. Memanglah ia juga takdir Allah, tetapi ia tidak akan berlaku jika anda tidak meneruskannya. Bermakna, apa yang berlaku adalah disebabkan pilihan yang anda buat, BUKAN paksaan dari Allah Taala! Apa-apapun, menjadi orang ketiga pula tidak salah jika anda masuk dengan cara terhormat, jangan menganiayai hak orang lain dan paling penting, jangan menguasai sebelum memiliki!

Ingatlah! Setiap suruhan malah larangan yang Allah SWT tentukan menerusi ayat-ayat-Nya dan al-Hadis nyata berhikmah dan bermanfaat jika benar-benar dipraktikkan dalam hidup seharian. Hidup kita tak lama, jangan sangka yang muda akan panjang hayatnya. Maut menundang tidak memberi amaran. Kelapa muda pun boleh gugur ke bumi. Jangan bongkak melawan Dia jika secawan air panas menggelegak pun tak mampu anda tangani!

Semoga kita sama-sama berusaha mensucikan hati dan diri ketika Ramadan yang mulia ini masih berbaki!



Kompilasi diubah-suai dari sumber : Ustaz Zahazan di BHarian 26/06/2011, egrup SIM dan Suzana Ghazali MW#1448.

Capaian entry berkaitan :
* Beriman kepada qada' dan qadar Allah SWT
* Lelaki baik cuma untuk perempuan baik saja?

Butiran selanjutnya ...

Isnin, Ogos 22, 2011

Jatuh cinta di bulan Ramadan



Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera,

Selama ini kita sibuk mengamalkan segala petua-petua untuk menghangatkan cinta pada pasangan, namun pernahkah kita bertafakur bagaimana mencintai Allah SWT? Tidakkah Yang Maha Mencinta itu lebih utama untuk didekati? Malangnya, kita hanya fokus mendekati pasangan sahaja. Tidakkah Yang Maha Lembut dan Pemurah itu lebih layak untuk dipersembahkan kesetiaan? Tetapi kita lebih berghairah untuk membuktikan setia kepada si dia. Padahal, tanda orang beriman adalah mereka yang sangat dalam cintanya kepada Tuhannya.

Biasanya kita hanya berasa dekat kepada Allah SWT saat ditimpa musibah dan sungguh hamba yang luar biasa sahaja yang tetap mengingati Allah SWT saat dia bergembira. Ramai yang khusyuk ketika tidak terlalu disibukkan hal dunia, tetapi susah bagi kita tetap menangis kerana Allah pada saat kita sibuk memanjang seharian mengejar dunia. Apabila terjadi konflik dengan pasangan, cuba anda bertanya apakah puncanya kerana anda jauh dari Allah SWT? Jawabnya mesti ya, kerana hati yang jauh dari Tuhan menjadi keras, berpenyakit dan merosakkan diri dan orang lain.

Sekian lama kita menjejaki belantara dunia ini, kita akan keletihan dan tertekan tanpa kekuatan dari Allah SWT. Oleh itu Allah SWT menyediakan bulan Ramadan ini khas bagi mereka yang mahu jatuh cinta lagi. Ramadan menyediakan pakej istimewa bagi orang mukmin yang mahu mendalami makna cintanya kepada Allah SWT.

Apakah persediaan untuk jatuh cinta lagi kepada Yang Maha Mencinta setelah lama kita melupakan-Nya?

1 – Hati yang bersyukur

Kita tidak akan pernah merasa bahagia dengan harta, pangkat, kecantikan, kedudukan, ilmu dan kemasyhuran tetapi yang membuat kita bahagia hanya satu, iaitu rasa syukur dalam setiap keadaan. Bukankah ramai orang yang berduit dan cantik tidak bahagia jika dia tidak bersyukur? Orang yang bersyukur membuat syaitan tidak senang duduk hinggakan dia bersumpah kepada Allah SWT : “Aku akan mendatangi mreka dari muka dan dari belakang, dari kanan dan dari kiri mereka. Ðan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan daripada mereka yang bersyukur.” (Surah al-A’raf ayat 16)

Mengapa syaitan bersumpah hendak menjahanamkan manusia dengan cara melupakan daripada rasa syukur kepada Allah SWT? Kerana rasa syukur itu memancing cinta dari langit. Kalau anda ada seorang anak yang pandai berterima kasih, selalu mengingati jasa ibu bapanya, membalas kebaikan kita dengan kebaikan yang lebih baik, bukankah mustahil anda tidak sayang dan cintainya? Begitu pula halnya hubungan kita dengan Allah, siapa yang paling banyak bersyukur dialah yang layak untuk cinta-Nya.

Saat berpuasa semua orang yang ikhlas akan gembira dengan ibadahnya, bukannya merungut dan mencari alasan tidak produktif kerana puasa. Syukur ketika berpuasa digambarkan dengan rasa seronok melebihkan ibadah dan cepat menangis bila kenangkan kebaikan-kebaikan Tuhan. Badan lebih cergas melawan rayuan syaitan dan nafsu jahat yang menghalang-halangi ke jalan Allah SWT. Sikap kita lebih terkawal, bertenang saat diuji, mengalah ketika diprovokasi dan akal lebih cemerlang dari emosi.

Ketika itu melimpahlah cinta dari langit jatuh ke dasar hati orang mukmin. Tergambar jelas di wajah mereka bekas-bekas syukur yang memancarkan kegembiraan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Ðua kegembiraan bagi orang berpuasa, ketika dia berbuka dan ketika dia bertemu Tuhannya.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

2 – Takut dan harap kepada Allah SWT

Jika seharian kita tidak memiliki rasa takut dan harap kepada Allah SWT, maka hari itu pasti menjadi hari yang bruruk, penuh dosa dan kelalaian. Takut danharap tidak lahir begitu saja tanpa tafakur, berfikirlah tentang Allah supaya kita merasainya. Siapakah yang boleh menjamin hari ini dia akan selamat dari mara bahaya? Anak-anak dan keluarganya terjaga dari musibah, hartanya dilindungi, jiwa dan maruahnya diperlihara dari kejahatan manusia? Hanya pada Allah kita meminta pertolongan dan kepada-Nya kita takut dan berharap.

Rasulullah SAW mengingatkan kita dengan sabdanya yang bermaksud, “Jagalah Allah, nescaya Ðia akan menjagamu. Peliharalah Allah (dengan melakukan suruhan dan meninggalkan larangan-Nya) nescaya kamu akan mendapatkan-Nya di hadapanmu… Ketahuilah sekiranya umat ini berhimpun untuk memberikan kebaikan kepadamu, nescaya mereka tidak boleh memberinya kecuali apa yang telah ditetapkan kepadamu dan apabila mereka berhimpun hendak memberi kemudharatan kepadamu, nescaya tidak boleh mereka melakukannya melainkan apa yang sudah ditetapkan Allah kepadamu.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan Ahmad)

Cukuplah rasa syukur dipadukan dengan takut dan harap kepada Allah membentuk jiwa hamba yang layak menerima cinta Allah dan dicintai manusia lainnya. Mari bersyukur, takut dan harap kepada-Nya setiap hari di bulan suci ini.



Sumber : Ðr Juanda Jaya, MW#1446

Butiran selanjutnya ...

Ahad, Ogos 21, 2011

Pinda akta kes berkaitan asid

suspek terbaru

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Kita dikejutkan lagi dengan jenayah‘simbah’ asid lagi. Belum pun sempat dengar atau baca berita tentang lelaki bermotosikal yang dikatakan menyerang mangsa secara rawak, kali ini ada penyerang asid yang baru pula muncul.

Polis kini memburu beberapa suspek dipercayai terbabit dalam dua kes simbah asid berasingan di ibu negara baru-baru ini, namun menafikan suspek individu yang sama menggemparkan negara dengan beberapa kes simbah asid awal tahun ini. Satu kes berkenaan berlaku pada 26 Julai lalu, menyebabkan seorang lelaki yang bekerja sebagai penghantar surat dirompak RM18,000 milik syarikatnya selepas disimbah cecair selepas keluar tandas di sebuah stesen minyak di Batu 2 1/2, Jalan Sungai Besi.

Pada 8 Ogos lalu, seorang lelaki berusia 27 tahun pula melecur pada muka selepas disimbah asid ketika dihampiri tiga lelaki ketika berjalan berseorangan di Wisma Bumi Raya, Jalan Raja Laut dan sehingga kini mangsa masih dirawat di hospital.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, dalam kenyataannya, berkata berdasarkan siasatan terhadap kedua-dua kejadian berkenaan, polis menafikan sama sekali kes itu kaitan dengan siri kejadian menyimbah cecair sebelum ini.

Jenis cecair digunakan dalam kes ini berbeza dengan cecair kejadian lalu. Siasatan juga mendapati ciri-ciri suspek berbeza dengan gambaran suspek kes simbah asid sebelum ini. Polis berusaha menyelesaikan kes ini secepat mungkin dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, mengesan saksi termasuk menemuduga mangsa bagi tujuan mendapatkan gambaran rupa bentuk fizikal suspek.

Biarlah polis membuat kerja yang diamanahkan kepada mereka. Sekiranya ada yang mahu memberikan maklumat tentang serangan ini, boleh hubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi terus Rakan Cops melalui 03-21159999.

Penguatkuasaan akta dan hukuman dikenakan kepada pesalah simbah asid yang digunapakai pihak berkuasa sudah tidak lagi relevan berikutan kejadian serangan asid terhadap orang awam, khususnya wanita dan kanak-kanak, semakin berleluasa sekarang. Penjara 3 tahun dan denda RM1,000 terlalu ringan berbanding derita mangsa.

Tegas Naib Presiden Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya ke atas pesalah seperti termaktub mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan adalah satu bentuk hukuman yang terlalu ‘ringan’ dan tidak setimpal dengan penderitaan serta kesengsaraan dialami mangsa.

Sewajarnya, hukuman untuk penjenayah asid ini disemak-semula. Tan Sri Lee Lam Thye menggesa akta dan bentuk hukuman itu dikaji dan perlu diperhalusi semula kerana ia membabitkan kesalahan jenayah dan nasib mangsa yang menderita. Akta yang sedia ada sudah ketinggalan dan hukuman lebih berat perlu dikenakan ke atas pesalah demi menegakkan keadilan selain membela individu yang teraniaya.

Dalam kejadian terbaru, Rafi Abdul Latiff, 28, disimbah asid ketika menunggu rakan di dalam kereta di kawasan tandas awam berhampiran Wisma Bumi Raya, Jalan Raya Laut selepas membeli-belah persiapan Aidilfitri di Jalan Tuanku Abdul Rahman jam 1.10 pagi pada 8 Ogos lalu.

Kejadian itu turut membuktikan penyerang simbah asid itu kini semakin agresif dan tidak hanya menjadikan wanita dan kanak-kanak sebagai mangsa. Orang ramai diminta supaya lebih sensitif dan peka kepada persekitaran mereka khususnya di tempat awam.
Selain peka kepada individu yang tidak dikenali dengan gelagat yang mencurigakan, langkah keselamatan seperti memilih untuk berjalan melawan arus di kaki lima jalan raya wajar dipraktikkan orang ramai.

Cermin sisi kenderaan perlu sentiasa dipantau bagi mengenal pasti individu yang berada di sisi kenderaan dan jangan memberikan sebarang respon sekiranya diminta untuk berbuat demikian oleh individu tidak dikenali.

Walau bagaimana pun, di SUBANG JAYA, polis tidak berhasrat mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk mengharam atau mengetatkan penjualan asid kepada orang awam yang dianggap sesetengah pihak mampu menangani kes simbah asid, termasuk bagi tujuan jenayah yang semakin meningkat kebelakangan ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar, berkata mustahil bagi polis mengemukakan cadangan itu kerana asid mempunyai pelbagai kegunaan tertentu secara sah yang mana pengharamannya akan menimbulkan masalah lain pula.

Di KOTA KINABALU, polis menyifatkan kejadian seorang gadis menghadapi risiko buta akibat terkena ‘tembakan’ cecair dipercayai mengandungi asid dari pistol mainan seorang lelaki Rabu (17/08/2011) lalu, sebagai kes terpencil.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria, berkata kejadian di hadapan sebuah pasar raya di Taman Khidmat, Kolombong, dekat sini, itu adalah pertama di Sabah dan bukan bersifat serangan rawak terhadap orang ramai seperti yang berlaku di Semenanjung.

Bagaimanapun, polis masih menyiasat motif kejadian. Kes ini membabitkan seorang gadis saja yang disimbah cecair. Cecair itu sudah dirujuk ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, selain cedera di mata, Ling Siew Teen, 22, turut melecur di pipi, hidung, bibir dan dagu berikutan terkena cecair dipercayai air dicampur asid yang 'ditembak' ke mukanya.

Ahmad Sofi meminta orang ramai tidak membuat andaian kerana siasatan masih dijanlankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan parah kepada mangsa.

Laman-Seri : Dah lama dah jenayah simbah asid ni... pelik benar polis ambil masa yang laaaaaamaaaa untuk menangkap penjenayah... :(



Petikan : BHarian 20/08/2011 dan HMetro

Butiran selanjutnya ...

Eksklusif: Deraan seks, fizikal semakin meningkat

Gambaran isteri jadi mangsa keganasan fizikal suami.

Mangsa jangan sampai cacat baru buat aduan

KUALA LUMPUR: Suami atau isteri memaksa pasangan masing-masing yang sedang bekerja pulang ke rumah semata-mata mahu melampiaskan nafsu seks boleh dianggap melakukan penderaan seksual jika menyebabkan pasangan mengalami tekanan atau trauma selepas melakukan hukuman intim secara paksa.

Masalah itu kerap berlaku bagi suami atau isteri bekerja syif termasuk anggota pasukan keselamatan dan beruniform yang menjadi antara penyumbang tertinggi kepada statistik kes keganasan rumah tangga secara penderaan seksual, namun mangsa yang lazim adalah wanita.

Bagi isteri bekerja syif normal, memenuhi tuntutan suami dalam keadaan tidak selesa, tergesa-gesa kerana mahu kembali bekerja disebabkan takut dipukul suami boleh menyebabkan trauma berterusan kerana ingatan mereka dipenuhi rasa takut, sakit, dendam dan panik sedangkan hubungan intim sepatutnya menyeronokkan kedua-dua pihak.

Lebih teruk, ada isteri yang rosak kemaluan pada tahap kritikal akibat dipaksa melakukan seks termasuk di luar tabii bahkan ada di antara mangsa dijankiti penyakit kelamin seperti siflis dan HIV daripada suami yang turut mengamalkan seks bebas di luar rumah.

Penderaan seksual adalah antara 1,075 kes keganasan rumahtangga dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tahun 2010. Ia meningkat sebanyak 215 kes daripada 860 pada tahun 2009. Secara purata, dianggarkan 90 kes penderaan dilaporkan kepada JKM setiap bulan, tahun 2010 berbanding 71 kes sebulan tahun 2009.

Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Kaunseling dan Psikologi JKM, Norazura Ahmad, berkata secara biologi, lelaki yang aktif biasanya memiliki kehendak seks lebih daripada biasa dan berpotensi memaksa isteri mengikut kehendak mereka tanpa memikirkan keperluan dan perasaan pasangan.

“Hubungan seks secara paksa sama seperti kesakitan dirogol. Memori hitam itu akan kekal dalam ingatan dan bila tiba saat melakukan hubungan seks, mangsa akan trauma sebab teringat kesakitan dan penderitaan yang akan ditanggung. Isteri lebih bersedia melakukan seks pada waktu lebih tenang, misalnya waktu malam selepas semua urusan selesai. Jika hubungan seks dilakukan pada waktu tengah hari ketika rehat bekerja atau awal pagi antara jam 3 hingga 5 pagi, ia tidak normal.”

“Ramai isteri terpaksa melalyan suami secara tidak rela. isteri boleh buat dakwaan kes rogol jika keadaa berterusan hingga menyebabkan mereka trauma teruk,” katanya sambil menambah situasi kali pertama “dirogol” suami akan kekal sepanjang hayat dan fobia misalnya kepada suasana bilik, bunyi muzik, lampu atau waktu kejadian itu.

Berdasarkan pengalaman mengendalikan kes sedemikian, Norazura mengakui kebanyakan hubungan pasangan itu akan berakhir dengan perceraian kerana penderaan seksual dianggap trauma paling cepat memberi kesan berbanding penderaan fizikal.

“Kebanyakan pelanggan yang datang ke sini (JKM) malu menceritakan kisah seks kerana membabitkan maruah diri, tetapi mereka perlu tahu hak seorang isteri. Ramai yang datang bawa laporan perubatan, ada yang terus buka pakaian tunjukkan kesan dera,” katanya.

Bagi mangsa penderaan secara fizikal pula, mereka biasanya mampu bertahan lebih lama sebelum mencapai kemuncak dengan melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa atau berpisah dengan suami. Ada kes wanita menderita 25 tahun didera suami sehingga seluruh kepala botak berikutan kulit kepala dipenuhi kesan luka dan parut.

“Ada juga kes seorang pengadu buta sebelah amta terkena bucu peti ais yang ditolak suami. Sebab itulah kami sering ingatkan mangsa keganasan rumahtangga, sama ada lelaki atau wnita supaya bertindak. JANGAN SAMPAI JADI OKU (orang kelainan upaya), baru hendak buat laporan.”

“Proses untuk pulih amil masa lama. Seorang mangsa yang cukup kuat berjaya pulih selepas beberapa tahun, tetapi kami sentiasa bersedia membantu. Kami percaya ramai yang menjadi mangsa, tetapi takut membuat laporan,” katanya.

Suami turut kena dera isteri

Keganasan rumahtangga biasanya dikaitkan dengan pelbagai punca, terutama masalah kewangan atau kesempitan duit, namun ada juga pasangan kaya terbabit dalam kes ini yang cuma disebabkan sikap kurang hormat terhadap pasangan.

Sikap seperti sering meninggikan suara, menjatuhkan maruah pasangan di depan rakan atau ahli keluarga dan amsalah anak-anak, campur tangan keluarga mertua adalah sebahagian rentetan pelbagai punca kecil yang akan merebak kepada keganasan fizikal.

Apabila masalah tidak mampu ditangani dengan baik, ia akan sampai ke tahap maksimum sebelum meletus kepada perbuatan fizikal melampau hingga mendatangkan kecederaan. Semua perkara itu merebak dan boleh meletus melalui perkata kecil dan remeh, misalnya persoalan siapa yang sepatutnya menguruskan rumah bersepah selepas suami isteri pulang dari kerja, sedangkan ia boleh diselesaikan dengan melalui kerjasama.

Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Hadzir Md Zain mengakui kes keganasan rumahtangga semakin meningkat dan menjadi siu sosial yang boleh membawa kepada keruntuhan masyarakat jika tidak dibendung. Ada kes seoerang suami menguruskan rumahtangga sepenuh masa yang dilaporkan mengalami tekanan emosi serius kerana sering diherdik isteri sepanjang lebih 10 tahun perkahwinan mereka. Isteri memegang jawatan besar dikatakan tidak menghormati suami di depan rakan dan memperlekehkan peranannya menguruskan keluarga dan anak-anak.

“Pasangan memendam perasaan kerana didera secara emosi berpotensi bertindak di luar dugaan,” kata Haidzir sambil menambah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 mampu membantu mangsa, memberi hak kepada pihak berkuasa termasuk JKM bertindak andai menerima maklumat dan bukti walaupun bukan daripada mangsa sendiri.

Beliau yang menasihatkan pasangan yang berdepan dengan tekanan, segera berjumpa kaunselor di JKM untuk khidmat nasihat, berkata pegawai JKM akan membantu mangsa keganasan memfailkan aduan, mengatur pengangkutan mangsa ke kediaman alternatif, tempat selamat atau tempat berlindung sekiranya perlu, ke hospital atau pusat perubatan terdekat.

“Kita juga akan menerangkan hak mangsa mendapatkan perlindungan. Jika perlu, pegawai JKM akan menemankan mangsa ke kediaman mereka untuk mengambil barang-barang kepunyaannya kerana bimbang diserang pasangan atau ahli keluarga lain. Kita juga akan bantu mereka mendapatkan perintah perlindungan sementara (IPO) di mahkamah. Bantuan akan terut diberikan dari segi kaunseling dan tempat perlindunga sementara atau tetap hingga mereka selamat,” tambahnya.

Keganasan rumahtangga bukan hanya termaktub kepada suami dan iseri tetapi turut membabitkan ahli keluarga lain termasuk ibu bapa, anak, bekas suami atau bekas isteri. Bahkan mengabaikan kebajikan anak dan ibu bapa seperti tidak memberi makan, minuman, tempat tinggal sempurna dianggap penderaan yang boleh dikenakan hukuman.

“Suami, isteri dan anak yang selalu dimarah, dileter, dimaki hamun juga alami penderaan mental, emosi kerana semua itu berkait. Mungkin masalah kewangan menjadi punca utama kes, tetapi ada juga pasangan kaya terbabit dalam keganasan rumahtangga. Maknanya ia boleh berlaku disebabkan faktor lain yang gagal deselesaikan dengan baik,” katanya.

Antara kes dera isteri, suami

* 21 Julai 2011

Seorang wanita 28 tahun, ibu dua anak dari Tanah Putih, Kuantan mendakwa diperlakukan seperti anjing apabila dipukul dan disepak hingga jatuh ke dalam longkang oleh suaminya yang juga seorang along sejak lebih setahun selain hampir maut dipukul dengan alat renjatan elektrik kketika hendak ke rumah ibadat.

* 11 Februari 2011

Seorang suri rumah berusia 22 tahun dipercayai keguguran selepas dibelasah beberapa kali di badan dan perut oleh suaminya di rumah mereka di Kampung Padang Luar, Kuala Terengganu. Dalam kejadian itu, mangsa yang mempunyai dua orang anak dan sedang mengandung tiga bulan dikatakan bertengkar dengan suaminya yang berusia 23 tahun, mengenai masalah keluarga.

* 24 November 2010

Seorang wanita mengandung ditemui mati dengan kesan kelar di lehernya dipercayai dilakukan oleh suaminya sendiri di rumahnya di Batu 16, Jalan Kastari, Ulu Tiram. Rohana Hamzah, 26, ditemui pemilik rumah yang disewa mangsa dan suaminya dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah kira-kira jam 1 tengah hari sebelum melaporkannya kepada pihak berkuasa. Bapa mangsa, Hamzah Mohd, 51, mendakwa anaknya mengalami masalah rumah tangga.

* 10 Mei 2010

Suami pukul isteri lambat masak mi. Hanya kerana lewat menyiapkan mi segera apabila diarahkan, seorang wanita telah ditumbuk, ditendang dan dipijak oleh suaminya yang berang di rumah pasangan itu di Kampung Kota Ayangan dekat sini kelmarin. Malah, apa yang lebih menyedihkan, mangsa turut disiram dengan air panas selain pakaiannya dikerat dengan parang oleh suspek sehingga menyebabkan wanita itu berbogel.

* 6 Mei 2010

Seorang isteri cedera parah selepas ditendang dengan kasut but dan dipukul dengan topi keledar oleh suaminya, hanya kerana wanita itu menulis surat untuk meminta diceraikan.

* 5 Mei 2010

Suami berusia 40-an, seorang anggota tentera cuba bertindak menoreh kemaluan isterinya dengan sebilah pisau, gara-gara mendengar 'bisikan suara halus' di dalam rumahnya yang mengatakan isterinya itu mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

* 9 April 2010

Suami simbah asid ke muka dan badan isteri, gara-gara isteri enggan mengadakan hubungan seks. Suami yang dipercayai tahi judi naik berang itu menyebabkan isterinya cedera parah dalam kejadian di rumahnya di Felda Bukit Sagu 2.

Ketika kejadian pada pukul 2 pagi, lelaki berusia 47 tahun itu dikatakan baru sampai ke rumah selepas dipercayai keluar bermain judi. Suspek yang bekerja sebagai peneroka itu pulang dalam keadaan marah-marah. Dia terus masuk bilik tidur sebelum mengejutkan isterinya untuk mengadakan hubungan kelamin. Bagaimanapun, wanita berusia 30-an itu menolak keinginan suaminya kerana dia tidak sihat dan sakit kepala. Tindakan si isteri itu menyebabkan suaminya secara tiba-tiba naik angin lalu mengambil cuka getah yang diletakkan di dalam botol di luar rumah. Suami masuk semula ke dalam rumah lalu menyimbah cuka getah itu ke arah muka dan badan mangsa yang bekerja sebagai pencuci pejabat. Tindakan suami itu menyebabkan isterinya melecur teruk.

* 17 Februari 2010

Suami tikam isteri selepas bertengkar minta cerai. Seorang suami mengejar isterinya yang meluru keluar dari sebuah kereta sebelum menikam wanita itu disaksikan orang ramai selepas mereka bertengkar kerana wanita itu menuntut cerai, dalam kejadian dekat sebuah stesen minyak di Pagoh.

* 6 Februari 2010

Seorang isteri, Shamila yang hamil lima bulan cedera parah di kepala dan hampir putus jari tangan kanannya selepas ditetak suaminya, hanya disebabkan pulang lewat ke rumah.

* 17 Jun 2009

Gara-gara cemburu, seorang lelaki mengikat tangan dan kaki isteri sebelum mengurungnya dengan hanya berpakaian dalam selama tiga hari di sebuah bilik rumah mereka di Bukit Setongkol, di sini.

Mangsa yang turut cedera di seluruh badan akibat diseksa dan dipukul suaminya, diselamatkan polis kira-kira jam 5 pagi kelmarin selepas dia berjaya menghubungi talian kecemasan 999 setengah jam sebelum itu.

* 11 Januari 2008

Seorang wanita dihantuk berulang kali ke dinding rumah oleh suaminya sendiri yang berang kerana gagal mendapat wang untuk membeli pil kuda. Akibatnya, wanita tersebut hampir pengsan manakala dahi kanannya bengkak dan terpaksa dihantar ke Hospital Kemaman.

* 17 Mei 2006

Impian seorang wanita berusia 41 tahun untuk sehidup semati bersama suami tersayang berkecai apabila dia menadi mangsa dera lelaki itu dalam kes dilaporkan di Subang Jaya, Selangor. Bekas peramugari itu yang berkahwin selama 13 tahun, trauma didera suami termasuk dibelasah seperti aksi gusti yang dipaparkan di televisyen, ditampar dan ditumbuk jika gagal mengikut arahan. Kelakuan suaminya berubah selepas lelaki itu berkahwin dengan seorang lagi peramugari.

* 21 Mei 2002

Mangsa dera suami, Hasnah Kiman 38, yang dirawat di Hospital Kajang dipercayai tidak dapat dipulihkan kepada keadaan asal berikutan kecederaan serius pada bahagian otaknya akibat didera lelaki warga New Zealand itu di negara berkenaan dengan cara dipaksa menelan pil tidur sebelum dibiarkan 20 jam tanpa sebarang rawatan.

* 21 Oktober 2002

Seorang lelaki yang didera isteri, dalam ketakutan apabila menerima ugutan daripada wanita itu yang mahu memotong kemaluannya dan menyimbah asid berikutan cemburu buta. Mangsa hanya dikenali sebagai Wong, 56, turut digigit hingga lebam tangan kanan, dipukul dan ditendang isterinya, 39, dalam kejadian di Sri Petaling, Kuala Lumpur.

* 15 April 2002

Seorang bekas pengurs bank berusia 48 tahun memohon bantuan Sekretariat Pengaduan Awam UMNO Perak di Ipoh kerana mendakwa didera isterinya, mengalami penderaan fizikal, emosi akibat perbuatan isteri dan keluarga mertua. Dia mendakwa iserinya ganas, malah beberapa kali mengacu pisau ke arahnya, manakala bapa mertua pula cuba melanggar dan membelasahnya hingga cedera.

* 1 Oktober 1999

Seorang lelaki berusia 31 tahun yang mendakwa dipukul dan didera isteri berusia 32 taqhun, antaranya menggunakan penyangkut baju dan pembersih bulu ayam, dibenarkan bercerai oleh Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya. Pasangan itu bernikah 1992 dan memperoleh dua anak, tetapi tinggal berasingan sejak 13 Julai 1997 selepas isteri melarikan diri.

Antara kes isteri dirogol suami

* 14 Mac 2005

Seorang guru wanita berusia 37 tahun yang dipercayai menjadi mangsa sindiket nikah palsu 'dirogol' suami sendiri berusia 36 tahun di Kuantan, Pahang. Malah, selepas menyedari perkahwinan berusia dua bulan itu tidak sah dan mendapat perintah perlindungan oleh Mahkamah Syariah, dia terus menjadi mangsa kerana 'suami' enggan melepaskannya, sebaliknya terus merogol dan memukulnya.

* 15 Mac 1992

Seorang isteri dari Kuala Lumpur mendakwa selepas berkahwin kira-kira lima tahun, hubungannya dengan suami renggang kerana sikap lelaki itu sering pulang lewat. Dia sering memarahi suami apabila membuka pintu rumah menyebabkan lelaki itu berang dan terus memukulnya, bahkan memaksa mangsa melakukan hubungan seks tanpa kerelaannya.

Antara kes melibatkan ahli keluarga

* 24 April 2009

Remaja berusia 13 tahun menjadi hamba seks bapa dan dua abang kandungnya sejak berusia sembilan tahun. Selain menjadikan rumah mereka di Kubang Semang, Bukit Mertajam tempat melepaskan nafsu, mangsa pernah dirogol dalam hutan. Lebih menyedihkan, dia bukan saja dirogol, malah pernah diliwat bapa dan abang yang sepatutnya melindungi keselamatannya.


INFO

Keganasan rumahtangga yang dilaporkan kepada JKM

(kes suami dan isteri) bagi tahun 2009 dan 2010

Kategori

2009

2010

Intervensi (kecemasan)

77

94

22

77

Kaunseling individu

319

322

86

165

Kaunseling berkelompok

3

7

8

2

Kaunseling keluarga

92

92

69

43

Kaunseling perkahwinan

15

55

10

23

e-kaunseling

121

150

38

38

Jumlah kes keganasan rumahtangga

Wanita

860

1,075

Lelaki

http://laman-seri.blogspot.com


INFO :
Takrifan keganasan rumahtangga
* Apabila seseorang menyebabkan kecederaan fizikal
* Sengaja meletakkan mangsa dalam ketakutan kecederaan fizikal
* Memaksa atau mengancam mangsa melakukan perbuatan seksual
* Mengurung atau menahan mangsa tanpa kerelaannya
* Melakukan khianat atau kemusnahan harta dengan niat menyebabkan kesedihan kepada mangsa

Mereka dilindungi Akta Keganasan Rumah Tangga 1994
* Isteri, suami
* Bekas isteri, bekas suami
* Kanak-kanak bawah 18 tahun tinggal bersama
* Orang dewasa tidak upaya tinggal bersama
* Anak lelaki, perempuan
* Ibu bapa, adik-beradik, saudara-mara mengikut takrifan mahkamah

Dera secara fizikal
* Toreh pisau
* Hantuk kepada pada longkang, dinding
* Pukul guna kerusi, meja, objek keras
* Guna seterika panas
* Tampar, pukul guna tangan, kaki
* Cucuh puntung rokok
* Pijak, sepak




Sumber : BHarian 14/08/2011

Capaian entry berkaitan :
* Dera isteri
* Jenayah seks suami terhadap isteri
* Adakah Islam membenarkan suami memukul isteri?
* Kenali ciri-ciri lelaki pendera
* One Stop Crisis Center - OSCC
* Bila lelaki cemburu buta dan buta hati....

Butiran selanjutnya ...

Tajdid Iman: Membina keharmonian perbezaan agama melalui dakwah, diplomasi


KEHARMONIAN sesama masyarakat tanpa mengira pegangan agama perlu dipupuk sejak kecil lagi supaya sifat itu dapat dikekalkan sehingga mereka dewasa seterusnya menjamin perpaduan antara kaum di Malaysia. - Gambar hiasan

Wajib bagi umat Islam memberi keadilan kepada manusia tanpa mengira fahaman

ISU serangan ke atas gereja baru-baru ini amat dikesalkan kerana ia mencalar imej Islam yang damai dan membawa rahmat. Walaupun belum ada jalan terang mengenai pihak yang bertanggungjawab, suara-suara kutukan turut digemakan daripada pihak umat Islam sendiri yang menolak tindakan anarkis sebegini.

Pelbagai khabar angin kedengaran kononnya ada pihak berusaha menangguk di air keruh mempergunakan isu Islam untuk tujuan peribadi, fahaman politik dan jawatan masing-masing. Bahkan ada yang menyuarakan mungkin saja keganasan itu didalangi musuh Islam yang mahu memburukkan lagi wajah agama kita.

Terlepas daripada segala khabar angin yang berdengung di telinga kita, eloklah jika kita mengkaji dan bertanya khabar maksum daripada Rasulullah SAW melalui wahyu yang diturunkan kepadanya dan sunnah baginda SAW di atas segala kerumitan yang membelenggu keharmonian umat beragama ini. Bukankah dulu Rasulullah SAW pernah melakukan diplomasi terhadap puak kafir musyrikin, sama ada yang memerangi Islam atau yang tidak memerangi. Bagaimanakah hubungan di antara umat ketika itu?

Al-Quran menjelaskan haramnya berdiplomasi dalam hal-hal akidah seperti dicatat dalam surah al-Kafirun. Sejarah mencatatkan terjadi perjumpaan di antara pembesar Quraisy melalui perantaraan bapa saudara Rasulullah SAW untuk memujuk baginda supaya mahu menyembah berhala mereka dan sebagai balasannya mereka pun akan menyembah Allah secara berganti-gantian.

Diplomasi sebegini diharamkan secara qatie tanpa melihat apa maslahat sekalipun kerana ia berkaitan dengan isu penyembahan selain Allah yang membatalkan akidah kerana ia adalah perlakuan syirik yang diharamkan.

Akan tetapi Rasulullah SAW tidak menutup jalan perbincangan untuk tujuan damai demi kemaslahatan bersama seperti ketika baginda SAW berada di Madinah dan meletakkan asas negara Islam yang dikongsi bersama dengan orang Yahudi dan Nasrani. Bahkan baginda meletakkan asas dan hak sama rata bagi mereka. Baginda turut memberi komitmen akan memerangi orang yang memerangi kafir zimmi (yang tunduk kepada negara Islam).

Yang menjadi perselisihan di antara umat Islam dalam isu menggunakan nama Allah ini ialah adakah ia secara langsung membabitkan akidah? Apakah akidah umat Islam akan terancam jika orang kafir menggunakan nama Allah dalam ibadat dan terbitan mereka? Atau ia hanya membabitkan ketakutan bayangan akan strategi dakyah orang kafir di tengah umat Islam?

Belum lagi tuntas perbincangan ini di kalangan ulama, majlis fatwa dan sarjana Islam yang bertauliah, tiba-tiba suara daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin seakan tidak sabar mencari jawapan atas permasalahan berkenaan. Beberapa demonstrasi diadakan di jalanan dan tanpa diduga berlaku kebakaran beberapa gereja tanpa diketahui puncanya.

Setiap permasalahan yang menimpa umat, sudah pasti ada cara pandangan yang berbeza dilontarkan oleh ulama. Hal ini adalah perkara biasa dalam medan ilmu dan kajian. Jangan disebabkan ulama berbeza pendapat dalam isu ini, orang awam bahkan yang jahil pun berani mengkritik kredibiliti ilmu golongan ulama dan berani membuat hukum sendiri menurut emosi dan akal yang pendek.

Bahkan muncul suara yang mengancam sesiapa membenarkan keputusan mahkamah mengenai isu nama Allah ini diancam dengan hukuman kafir. Padahal dia tidak menyembah salib dan tidak mengakui Allah itu tiga dalam satu, dia hanya menghormati sikap orang bukan Islam untuk menggunakan nama Allah yang diambil dari bahasa al-Quran juga.

Perbincangan mengenai perkara ini janganlah terlalu gopoh untuk diputuskan tanpa mengambil pandangan ulama akidah. Jangan pula sarjana Islam yang bukan bidangnya bercakap mengenai akidah sambil cuba mempolitikkan masalah ini sehingga menambah kusut lagi benang yang sudah pun serabut, akibat tindakan sebahagian manusia yang jahil mengenai sejarah dan punca masalah ini di Malaysia.

Mengimbas pandangan al-Quran mengenai hubungan antara Islam dan kafir jelas dinyatakan bahawa wajib bagi umat Islam memberi keadilan kepada semua umat manusia tidak kira agama mereka sekalipun. Al-Quran menyatakan yang bermaksud: "Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berlaku adil." (Surah Al-Mumtahanah ayat: 8)

Jika kita mengkaji diplomasi yang pernah dilakukan baginda SAW dengan pemimpin kuffar musyrikin Makkah dalam Perjanjian Hudaibiyah, terlalu jelas sikap toleransi Rasulullah SAW untuk dijadikan sempadan.

Daripada Anas RA katanya: Orang Quraisy membuat perjanjian damai dengan Nabi SAW. Wakil mereka ialah Suhail bin Amru. Rasulullah mengarahkan Ali menulis: Tulislah Bismillahirrahmanirrahim. Lalu Suhail membantah: Kami tidak mengerti apakah itu Bismillahirrahmanirrahim. Tuliskanlah apa yang kami tahu iaitu BismikALLAHumma (Dengan namamu ya Allah)." (Hadis daripada sahih Muslim)

Hadis sahih ini menunjukkan sikap diplomasi Rasulullah SAW demi kemaslahatan dakwah Islam. Walaupun nama Allah dan nama Rasulullah SAW begitu tinggi di jiwa umat Islam dan membabitkan akidah yang suci, tidaklah ia akan membuat kufur sesiapa yang menyokong perjanjian ini. Bahkan Rasulullah SAW sendiri yang membenarkan tulisan ALLAHumma dikongsi bersama.

Kecantikan gaya diplomasi Nabi SAW adalah tuntutan daripada cara dakwah baginda. Kelembutan dan kasih sayang adalah semangat dakwah Nabi SAW sehingga akhirnya Suhail sendiri memeluk Islam. Alangkah malangnya jika umat Islam menunjukkan kekerasan dan permusuhan, kononnya mahu membela Islam padahal Rasulullah SAW menyuruh kita menjadi rahmatan lilalamin (rahmat untuk semua makhluk).

Jika umat Nasrani bangga mengakui Jesus penyelamat dunia dan dakyah mereka banyak menyentuh mengenai kasih Jesus, pengampunan dosa umat nasrani dengan darah Jesus, maka bagaimanakah cara dakwah kita sebagai umat Muhammad SAW? Adakah boleh kasih sayang kita menandingi mereka? Jika kita sayang kepada Islam, tariklah sebanyak mungkin minat orang kafir mengenai Islam, jangan menebar kebencian dan ketakutan di hati mereka. Inilah dakwah Islam, dakwah dengan semangat kasih sayang.


Sumber : Dr Juanda Jaya di BHarian 2010/01/12.

Butiran selanjutnya ...

Sabtu, Ogos 20, 2011

Golongan beriman tetap berusaha menunggu malam lailatul qadar



MALAM istimewa dalam Islam biasanya menjanjikan keberkatan tersendiri seperti malam kelahiran Baginda SAW, malam Baginda SAW dimikrajkan, malam Arafah, malam Jumaat, malam Nisfu Syaaban dan malam hari raya.

Namun, bagi Ramadan yang penuh keberkatan, pada setiap tahun akan diserikan dengan malam istimewa iaitu malam lailatul qadar. Firman Allah yang bermaksud: “Malam lailatul qadar adalah lebih baik dari seribu bulan.” (Surah Al-Qadar, ayat 3).

Ada dua definisi lailatul qadar iaitu malam yang mulia, tinggi, agung, berkat, selamat dan sejahtera. Ini adalah kerana turunnya al-Quran pada malam itu dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah.

Kedua, malam penentuan dari Allah SWT kerana al-Quran yang diturunkan adalah penentu atau pemisah antara kejahilan dan kebatilan. Ada berpendapat malam itu Allah akan menzahirkan kepada malaikat akan ketentuan rezeki, ajal dan masa depan seseorang hamba.

Mereka yang benar-benar ikhlas dalam ibadat puasa akan dapat menikmati ganjaran yang tidak mungkin dapat dicapai sepanjang umurnya iaitu ibadat selama kira-kira 85 tahun. Bagi mereka yang beriman akan sentiasa mencari dan bersedia menanti dengan penuh harapan.

Pada malam lailatul qadar, penghulu malaikat iaitu Jibril akan turun bersama beribu-ribu malaikat. Jibril tidak pernah turun kecuali pada malam istimewa ini. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Pada malam itu turun malaikat dan Ruh (Jibril) dengan izin Tuhannya.”

Mereka masuk pada setiap rumah orang yang beriman dengan membawa rahmat dan kesejahteraan. Mereka yang derhaka kepada orang tua, memutuskan hubungan silaturahim serta berterusan minum arak akan dijauhi malaikat. Malam istimewa ini sudah diceritakan Baginda SAW dalam hadis diriwayatkan daripada Aishah yang bermaksud: “Tuntutilah malam lailatul qadar pada 10 malam terakhir dari Ramadan.”

Pengarang Kitab Fathul Wahhab menyebut, jika awal puasa jatuh hari Ahad atau Rabu, maka lailatul qadar pada malam 29. Jika puasa bermula hari Isnin, maka lailatul qadar pada malam 27. Jika puasa hari Selasa atau Khamis, maka ia jatuh pada malam 25. Jika puasa Jumaat maka ia jatuh pada malam 21. Jika puasa pada hari Sabtu, maka lailatul qadar adalah pada malam 23.

Ulama bernama Abu Al-Hasan berkata: “Setiap tahun dalam hidupku telah mendapati malam itu dengan menggunakan kaedah ini. Namun, ia tetap menjadi rahsia Allah SWT supaya orang yang beriman akan terus berusaha mendapatkannya.

Apa yang penting bagi umat Islam ialah menghidupkan malam istimewa ini dengan beriktikaf di masjid, berselawat, zikir, istighfar, qiamullail dan berdoa.

Sabda Nabi SAW: “Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh pada malam lailatul qadar, maka sesungguhnya dia sudah mencapai lailatul qadar dengan sempurna.” (Al-Hadis).

Orang Islam hendaklah memastikan rumah mereka dihiasi dengan alunan kitab suci serta melakukan perkara diredai Allah SWT sebagai tanda ucapan selamat datang kepada malam lailatul qadar.

Mereka yang mendapat lailatul qadar adalah mereka yang berpuasa dalam erti kata sebenarnya, memahami puasa bukan hanya menahan diri daripada lapar dan dahaga tetapi menahan diri dari segala perkara yang menodai keimanan serta godaan nafsu keinginan yang tiada sempadan.

Penulis, Ustaz Zamanuddin Jusoh [bhagama@bharian.com.my] ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP).




Petikan : BHarian 20/08/2011

Butiran selanjutnya ...

Jumaat, Ogos 19, 2011

Hartamu jangan dimusnahkan, agamamu jangan dihapuskan




“Beramallah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup kekal abadi dan beramallah untuk akhiratmu seolah-olah kamu akan mati esok hari.”

Kata-kata ini biasa kita ucapkan dan biasa juga didengari. Maksudnya, kita hendaklah berusaha mencari harta di dunia ini sedaya upaya kita di samping kita juga bersungguh-sungguh mencari akhirat seolah-olah kita akan meninggal dunia esok hari.

Jadi, tidak salah untuk kita mencari harta atau ‘gila harta’, bahkan salah kalau kita tidak mencari harta sehingga jatuh miskin dan meminta-minta daripada manusia. Salah satu maqasid atau daruriyyat al-khams yang disepakati para ulama ialah maqasid memelihara harta. Hifz al-mal atau memelihara harta menjadi satu matlamat syariat yang ingin direalisasikan melalui hukum-hukum yang ada dalam Islam.

Kedudukan dan nilai harta dalam Islam

Harta mempunyai kedudukan yang penting dalam kehidupan manusia. Harta menjadi wasilah dalam Islam untuk mencapai matlamat syariat sama ada matlamat di dunia mahupun di akhirat. Seseorang manusia tidak mungkin hidup kecuali dengan harta kerana melalui harta, ia dapat makan dan minum, memakai pakaian, membina rumah dan memenuhi keperluan-keperluan hidup yang lain. (al-Qaradawi, Maqasid al-Shari‘ah al-Muta‘alliqah bi al-Mal, hlm 5)

Tanpa harta, seseorang tidak mampu mengeluarkan zakat, membebaskan hamba dan memberikan sumbangan khairat. Sebab itulah al-Quran menganggap harta sebagai qiyama (asas pembangunan) bagi kehidupan manusia.

Allah berfirman yang bermaksud, “Ðan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang yang belum sempurna akalnya harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu sebagai asas pembangunan kehidupan kamu.” (Surah an-Nisa’ 4:5)

Al-Quran menjelaskan bahawa harta bukan menjadi bala atau bencana kepada manusia, sebaliknya harta disifatkan sebagai satu kebaikan. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Ðan sesungguhnya ia melampau sangat sayang kebaikan (harta sehingga menjadi tamak haloba).” (Surah al-‘Adiyyat 100:8)

Ayat ini menyifatkan harta sebagai khayr yakni kebaikan. Cuma kita dilarang mencintai harta secara melampaui batas sehingga melupakan akhirat. Sama jugalah seperti firman Allah SWT mafhumnya, “Diwajibkan atas kamu, apabila seorang di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, berwasiat untuk ibu-bapa dan karib kerabatnya secara makruf, (ini adalah) kewajiban atas orang-orang yang bertakwa.” (Surah al-Baqarah 2:180)

Jadi, harta adalah satu kebaikan dan kebaikan perlu dijaga serta dipelihara dalam Islam.



Wajib memelihara harta

Oleh kerana harta mempunyai kedudukan dan nilai dalam Islam, maka al-Quran dan sunnah memberi tunjuk ajar ke arah memelihara dan menjaga harta. Malah terdapat larangan supaya tidak mensia-siakan harta atau melakukan pembaziran.

Sebagai contoh, dalam fiqah muamalat, Islam mensyariatkan prinsip al-hajr (tegahan daripada menggunakan harta) sama ada ke atas golongan sufaha’ (orang yang belum sempurna akalnya), kanak-kanak kecil atau orang gila. Tujuannya adalah untuk kebaikan mereka, masyarakat bahkan kebaikan harta itu sendiri agar ia tidak disia-siakan oleh pemiliknya.

Syariat menetapkan bahawa orang yang mempunyai kecacatan pada akalnya, mesti ditegah daripada menguruskan hartanya sendiri sama ada gila atau kurang siuman. Hikmahnya adalah supaya harta-harta mereka selamat dan terpelihara daripada tangan-tangan yang cuba mengambilnya dengan batil, penipuan dan penyelewengan. Ia juga bertujuan memelihara harta tersebut daripada menjadi sia-sia akibat ketidak pandaian pengurusan oleh pemiliknya sendiri. (al-Mawsu‘ah al-Fiqhiyyah, jil 2, hlm 5871)

Jika seseorang itu jelas pembazir, suka berjoli dengan hartanya, berbelanja pada maksiat dan kefasiqan, maka hartanya perlu ditahan (al-hajr) supaya hartanya dapat dipelihara untuk kebaikan anak-anak si pemilik yang membazir tersebut dan semua tanggungan di bawahnya.

Ðalam hadis sahih, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah meredhai kamu dengan tiga perkara dan membenci bagi kamu dengan tiga perkara yang lain. Ðia redha kepada kamu supaya mengabdikan diri kepada-Nya, tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun dan supaya kamu semua berpegang teguh dengan tali Allah, jangan berpecah belah. Ðan Ðia membenci (melarang) kamu daripada banyak (qila wa qala) bercerita mengenai hal-hal yang tidak penting, banyak bertanya benda yang tidak perlu dan mensia-siakan harta.” (Muttafaq‘alaih)

Ini semua menunjukkan bahawa Islam mengambil berat soal penjagaan harta manusia.

Awas daripada fitnah harta

Walaupun Islam memberikan kedudukan yang istimewa kepada harta, namun Islam turut memberi amaran daripada termakan dengan fitnah harta ini. Kita dilarang menjadi taghut dalam mencari dan mengaut harta. Kadangkala, manusia hari ini terleka dengan mengejar harta. Tanpa segan-silu mengaut harta di mana-mana sahaja tidak kita halal atau haram. Ketika itu, harta yang tadi disifatkan baik boleh bertukar menjadi pemusnah kepada agama seseorang.

Sebab inilah Allah Taala berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan di sisi Allah jualah pahala yang besar.” (Surah al-Taghabun 64:15)

Al-Quran menjelaskan bahawa manusia boleh menjadi taghut dengan sebab dia merasakan dirinya menjadi kaya dan cukup sehingga tidak berhajat lagi kepada Tuhannya. Firman Allah SWT, mafhumnya, “Ingatlah, sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya) dengan sebab dia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya.” (Surah al-‘Alaq 96:6-7)

Bahaya yang wujud bukan pada memiliki harta, tetapi bahaya itu wujud apabila harta boleh memesongkan manusia daripada agamanya. Apabila seseorang tidak menjadikan keimanannya kepada Allah sebagai maqasid utama, harta yang dicari boleh membawa keburukan kepadanya.

Oleh sebab itu, harta hendaklah dihubungkan dengan keimanan kepada Allah dan dihubungkan dengan nilai akhlak. Jika ada hubungan iman, maka agama seseorang tidak akan dihapuskan oleh hartanya. Begitu juga, sekiranya ada hubungan akhlak, hartanya tidak akan dimusnahkan.

Wallahu a’lam.




Sumber : Nik Abdul Rahim Nik Abdul Ghani di Solusi Isu#32

Butiran selanjutnya ...

Khamis, Ogos 18, 2011

Berpuasa tanpa solat ibadah sia-sia



Assalamualaikum warahmatullah,

Isi yang ingin diketengahkan di sini mungkin agak basi, kerana ia telah banyak disebarkan dalam egrup dan tentu ramai yang pernah membacanya. Walau bagaimanapun, tak rugi rasanya jika Laman-Seri highlightkan di sini untuk tatapan minda.

Ada sesetengah di kalangan umat Islam yang bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah puasa, tetapi malangnya, mereka tidak menunaikan solat. Mereka sanggup berlapar dahaga tetapi tidak sanggup menunaikan solat. Ada yang berpuasa, tetapi meninggalkan solat atau hanya solat ketika Ramadan.

Kita bimbang nanti puasa dan sedekah tidak bermanfaat kepadanya kerana solat tiang agama. Ada juga kalangan kita menyuruh anak berpuasa tetapi membiarkan mereka tidak solat.

Tidak menjaga batas agama seperti pergaulan lelaki dan wanita serta menutup aurat. Lelaki masih berseluar pendek ketika membeli juadah berbuka puasa dan ada wanitanya pula tidak bertudung malah memakai baju tidur kelawar semasa mencari juadah. Ada juga wanita tidak berpuasa kerana uzur syarie (haid dan nifas) pula tidak menghormati Ramadan kerana berani makan di khalayak tanpa segan silu.

Menghabiskan masa menonton televisyen, video cakera padat (VCD), sedangkan hari dan malam yang datang setahun sekali itu patut digunakan bagi memperbaiki amalan serta mengingati kesalahan lalu.

Sepatutnya pada bulan ini kita gandakan bacaan al-Quran, cuba menghafal beberapa surah pendek dan sentiasa pasangkan niat berkhidmat kepada insan lebih memerlukan.

Membazir ketika berbuka puasa disebabkan nafsu membeli tinggi. Semua hendak dibeli tetapi apabila tiba masa berbuka, makanan yang dibeli tidak dihabiskan. Membiarkan anak bermain mercun sehingga mengganggu jemaah yang menunaikan solat tarawih di masjid atau surau berdekatan. Sebaiknya galakkan anak solat tarawih dan tilawah al-Quran bersama.

Hanya puasa makan dan minum, tetapi tidak menjaga pancaindera seperti mata, lidah dan telinga ketika berpuasa.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Siapa tidak meninggalkan ucapan dan perbuatan dusta, maka Allah tidak mengharapkan puasanya dari makan dan minum.”

Tidak mahu bersahur mengurangkan berkat dan pahala puasa kerana tidak menurut wasiat Rasulullah yang bersabda maksudnya: “Sahurlah kamu kerana dalam sahur itu ada berkat.”

Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik makanan sahur bagi orang mukmin adalah kurma.”

Semoga kita dapat memperbaiki puasa kali ini dan menjadikannya lebih baik dari tahun lalu.




Petikan : BHarian 10/08/2011

Butiran selanjutnya ...
Related Posts with Thumbnails