PAGE

Rabu, Disember 15, 2010

Lelaki cenderung mengalami gangguan mental


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Tragedi hitam yang melibatkan kehilangan nyawa, amuk dan perbuatan membunuh diri menjadi berita hangat kebelakangan ini. Besar kemungkinan ia akibat daripada gangguan mental yang sering kali dianggap suatu perkara yang remeh. Hakikatnya, kira-kira 450 juta orang di seluruh dunia mengalami penyakit gangguan mental ini.

Contoh-contoh peristiwa yang dipetik dari akhbar tempatan :

  1. Tragedi Gemenceh
  2. Suami cuba toreh kemaluan isteri
  3. Suami pukul isteri lambat masak mi
  4. Bunuh isteri: Lelaki serah diri kepada polis
  5. Suami tikam isteri selepas bertengkar minta cerai
  6. Lagi isteri dicederakan suami akibat minta cerai
  7. Ikat, kurung isteri tiga malam kerana cemburu
  8. Ibu hamil kena tetak mahu lupakan insiden
  9. Tolak seks, isteri melecur kena simbah cuka getah
  10. Apabila lelaki guna 'kuasa'
  11. Suami ugut bunuh isteri tak lamar bakal madu
  12. Penagih dadah hantuk isteri ke dinding
  13. Bunuh isteri, tetak anak
  14. Bapa sembelih anak 3 tahun di Kota Bharu
  15. Anak sembelih ayah
  16. Lelaki kapak ibu di beranda rumah
  17. Lelaki ditetak menantu meninggal
  18. Bapa toreh kemaluan anak
  19. Wanita koma ditikam 19 kali, disimbah asid

Kes-kes yang tersenarai di atas cuma secebis senarai yang pernah saya baca untuk tahun 2009 dan tahun ini sahaja.

WHO menganggarkan bahawa menjelang 2020, penyakit mental tertentu seperti kemurungan, skizofrenia dan gangguan bipolar yang kemungkinan mewakili 15% daripada penyakit global. Walaupun ramai beranggapan gangguan mental sering kali melibatkan kaum wanita yang begitu rapat dengan permainan emosi, namun melalui kajian mendapati golongan lelaki lebih mudah terdedah berhadapan dengan gangguan mental.

Kemurungan adalah sejenis penyakit mental yang banyak berlaku tetapi jarang didiagnosis sehinggalah pesakit menjadi teruk dan memerlukan rawatan rapi. Hampir ke semua pesakit yang murung mengalami episod mood yang rendah dan hilang minat untuk melakukan aktiviti yang digemarinya sebelum ini.

Pesakit yang dilanda kemurungan sering mengalami kesedihan, rasa cemas atau mudah marah, rasa rendah diri yang ketara, rasa bersalah tidak bertempat, rasa tidak berupaya, gelisah serta kesukaran menumpukan perhatian dan mungkin juga menyisihkan diri daripada masyarakat, keluarga dan rakan serta cubaan membunuh diri. Ke semua faktor itu juga boleh menjurus kepada satu perlakuan yang ganas, termasuk membunuh.

Seseorang yang berada dalam keadaan di luar sedar mampu melakukan perbuatan yang pelik, luar biasa, kejam dan tidak berperikemanusiaan. Mereka yang melakukan perbuatan kejam adalah mereka yang telah lama mengalami gangguan jiwa. Biasanya, individu terbabit sudah sampai ke peringkat teruk atau psikotik sehingga kerap mengalami halusinasi.

Apabila seseorang mengalami halusinasi, mereka seolah-olah mendengar suara-suara tertentu yang sebenarnya tidak wujud dan menyuruh mereka melakukan sesuatu yang kadangkala tidak masuk akal. Ini termasuklah suara yang menyuruh individu terbabit membunuh diri atau mencederakan atau membunuh individu tertentu yang dianggap mengancam keselamatan mereka.

Dalam hal ini, individu terdekat seperti ahli keluarga sama ada ibu, bapa, adik-beradik, sepupu, datuk, nenek atau saudara-mara kerap menjadi mangsa. Suara-suara ghaib itu muncul daripada kepercayaan-kepercayaan salah terhadap sesuatu perkara. Misalnya, pelaku mempercayai ada orang mahu membunuhnya dan kepercayaan itu mendorongnya membunuh individu tersebut sebelum dirinya menjadi mangsa.

Selain itu, mereka yang mangalami gangguan mental kerap merawat diri sendiri dengan mengambil dadah-dadah tertentu dan ia menjadikan gangguan yang dialami bertambah teruk. Penggunaan dadah akan menyebabkan mereka kerap membayangkan benda-benda pelik dan keadaan itu lebih mendorong mereka bertindak di luar kebiasaan.

Tekanan menjadi punca

Terdapat dua faktor yang menyebabkan tekanan, iaitu tekanan dalaman dan tekanan luaran. Faktor dalaman menyaksikan emosi seseorang tidak kuat. Lebih memburukkan keadaan jika sejarah kelaurga menunjukkan ada di kalangan mereka pernah mengalami gangguan mental.

Faktor luaran pula melibatkan seseorang kerap memikirkan perkara yang sama, berulang-ulang kali, sehinggakan bangun tidur pada waktu pagipun dia boleh teringatkan perkara itu. Malah, ada yang terbawa-bawa ke dalam mimpi. Keadaan itu jika tidak dirawat boleh membawa kepada kemurungan dan kesan daripada itu, mereka boleh berhalusinasi sehingga bertindak di luar kebiasaan dan batasan normal.

Sebagai langkah untuk merawat penyakit ini, pesakit itu sendiri harus mengambil langkah utama bagi mengelakkan gangguan tersebut berlaku. Bagaimanapun, kurangnya pendidikan mengenai aspek gangguan mental menjadikan mereka ini enggan mengakui. Ini berpunca daripada stigma sosial dalam komuniti terhadap masalah berkenaan. Ramai yang tidak mahu mendapatkan bantuan profesional kerana beranggapan mereka akan dicemuh sebagai ‘gila’ ataupun akan didiskriminasikan atau dipinggirkan, jika didiagnosis dengan gangguan mental.

Faktor persekitaran dan perspektif budaya yang negatif terhadap gangguan mental telah menghalang ramai pesakit mendapatkan bantuan yang sewajarnya. Justeru, stigma dan prejudis masyarakat terhadap penyakit mental perlu dihapuskan bagi menggalakkan lebih ramai pesakit menemui pakar untuk mendapatkan rawatan dan ubat-ubatan yang membolehkan gangguan mental ini dirawat.

Menangani konflik jiwa

Iman dan takwa akan menerbitkan kesabaran yang tinggi terutama dalam menghadapi konflik jiwa dan tahap kesabaran juga secara langsung akan mempengaruhi emosi seseorang dalam membuat sesuatu keputusan pada saat kritikal. Sabar boleh diertikan sebagai tabah menghadapi sesuatu keadaan yang amat tidak disenangi dan penyerahan sepenuhnya kepada Allah serta tidak berputus asa dalam menghadapi ujian kehidupan. Daripada persepsi lain, sabar ialah kesediaan untuk menerima, kemampuan dalam menghadapi masalah dan daya ketahanan diri serta fikiran dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

Asas kepada kesabaran ialah emosi yang tenang dalam menghadapi segala macam konflik dalam diri, biasanya disebabkan hati. Selagi hati dan fikiran bersih, cetusan yang lahir juga menjurus kepada keadaan positif.Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Ketahuilah dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik, baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ketenangan emosi dan diri hanya boleh diperoleh jika mempunyai hubungan yang baik dengan Allah. Caranya ialah melalui amalan ibadat wajib dan sunat, manakala secara khususnya pula melalui zikir serta fikir. Zikir adalah ingat, iaitu melepaskan diri daripada lalai dan lupa dengan cara menghadirkan hati serta ingatan yang berterusan. Ingatan yang terbaik adalah ingatan kepada Allah.

Allah menyeru supaya hamba-Nya selalu mengingatinya seperti dalam firman-Nya yang bermaksud, "Oleh itu ingatlah kamu kepada-Ku, supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmat-Ku)." (Surah al-Baqarah, ayat 152)

Faedah berzikir begitu banyak, antaranya ialah ia akan membuatkan kerisauan hilang dari hati, dapat membersihkan hati yang kotor, malah membuatkan hati bertambah tenang. Dengan cara inilah tercetusnya emosi yang tenang dan dengan emosi yang tenang seseorang itu akan dapat mengawal kemarahannya. Secara tidak langsung, ia juga dapat mengawal emosinya dalam menghadapi konflik jiwa dan pastinya dengan emosi yang stabil akan membuahkan hasil pemikiran yang menguntungkan diri kita sendiri.

Fikir pula adalah tafakur, iaitu antara nilai ibadat paling tinggi. Berfikir bukanlah semata-mata hanya kepada keadaan dilalui setiap hari, malah merangkumi segala perkara, membabitkan urusan dunia dan akhirat. Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Dan pada bumi ada tanda (yang membuktikan keesaan dan kekuasaan Allah) bagi orang yang yakin dan juga kepada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil dan bukti itu)?" (Surah adz-Dzariyaat, ayat 20-21)

Menurut ahli sufi, tafakur adalah pelita hati dan jika tafakur itu hilang, tidak akan ada lagi pancaran dari hatinya. Selalu berfikir membuatkan hati seseorang itu bersih dan hati yang bersih dengan mudah dapat memutuskan sesuatu perkara walaupun berada dalam keadaan yang begitu mendesak.

Justeru, penawar paling mujarab berdepan konflik ini tentunya zikir, fikir dan kesabaran, yang membentuk individu berfikiran matang, bertakwa dan beramal soleh, malah mendorong diri untuk mentauhidkan Allah dalam setiap sudut hidupnya.

Tip capai ketenteraman, elak kejahatan

  1. Rajin mengerjakan solat. Ibadat solat apabila dilakukan secara sedar dan dengan penuh keinsafan akan menjadi sumber yang betul menyembuhkan jiwa. Ia kaedah terbaik melegakan tekanan.
  2. Sebelum tidur setiap hari, seseorang Muslim dianjurkan membaca surah al-Fatihah dan tiga surah terakhir al-Quran, lalu ditiupkan pada tangan dan disapu di seluruh badan, seelok-eloknya tiga kali.
  3. Sewajarnya setiap Muslim membaca sekurang-kurangnya 10 ayat al-Quran setiap hari.
  4. Mendengar al-Quran sekerap yang mungkin dan cuba memainkan rakaman bacaan ayat suci sepanjang masa.
  5. Individu Muslim juga dinasihat memastikan diri sibuk melakukan sesuatu yang berfaedah kerana jika anda tidak menyibukkan diri dengan kerja baik, syaitan akan memastikan anda sibuk dengan kerja negatif.
  6. Berdoa kepada Allah, mohon dijauhkan kejahatan, kedukaan dan kesempitan sebaliknya didekatkan dengan kebaikan, kelapangan serta kebahagiaan.

Semoga kita tetap dalam peliharaan-Nya. Amiin.



Rujukan asal : MW#1384

Capaian entry berkaitan :

  1. Kasih sayang pulihkan skizofrenia
  2. Tekanan punca bunuh diri
  3. Psikosis penyakit kronik
  4. Penyakit Gila atau Skizofrenia boleh dirawat
  5. Hargai nyawa dan menangani konflik jiwa
  6. 30:100,000 rakyat bunuh diri setiap tahun

3 ulasan:

  1. Salam.. Jika tidak keberatan, saya ingin memohon izin untuk kongsi entri dalam blog dan dilinkkan ke blog ini. Terima kasih.

    BalasPadam
  2. Salam nba-Nur,

    Silakan jika bermanafaat.

    BalasPadam
  3. Salam nba-Nur,

    Silakan jika bermanafaat.

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...