“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Isnin, April 26, 2010

Kukuh institusi keluarga


Assalamualaikum warahmatullah,

Salah satu topik yang sedang hangat terjadi dalam masyarakat hari ini ialah kejadian bunuh diri. Rata-rata, kita akan mendengar feedback, bahawa puncanya adalah disebabkan kurangnya tahap didikan, lebih-lebih lagi pendidikan moral atau agama dan beratnya beban yang ditanggung oleh si pelaku. Senarai yang sempat saya kumpulkan, kejadian pelik tetapi benar yang berlaku :


Saya biasa mendengar budaya bunuh diri di kalangan masyarakat Jepun. Seawal usia di sekolah rendah, ada yang nekad membunuh diri, tidak tahan akibat diejek-ejek, dipulau rakan sebaya, malah ada yang kecewa akibat tertekan dengan jadual harian yang ketat mahupun disebabkan kegagalan dalam mencapai keputusan yang diharapkan dalam peperiksaaan. Baru-baru ini, gejala bunuh diri sudah mula menular di kalangan pelajar yang masih kanak-kanak dari kalangan orang Melayu Islam amat mengganggu kita kebelakangan ini.

Senario 1 – Rujuk Bomba selamatkan cubaan pelajar bunuh diri

Jumaat 23/04/2010 lepas, dilaporkan seorang pelajar lelaki berusia 14 sanggup bertindak di luar batasan agama apabila cuba membunuh diri dengan terjun dari tingkat empat bangunan sekolahnya di Kangar, Perlis. Dia dipercayai mengalami tekanan perasaan akibat kematian bapanya. Namun, dalam berita yang berasingan, dia dilaporkan bertindak demikian kerana tidak tahan diejek rakan-rakan selepas dua pelajar perempuan dikatakan telah menolak cintanya.

Senario 2 – Rujuk Murid cuba terjun dari bangunan sekolah

Hari ini, Isnin 26/04/2010 pula, pelajar lelaki berusia 11 tahun cuba terjun dari bangunan sekolah dilaporkan berlaku, kali ini di Bachok, Kelantan. Puncanya juga sama seperti yang berlaku di Perlis dua hari lalu, disebabkan pelajar tidak tahan diejek oleh rakan-rakan.

Senario 3 – Rujuk Remaja mangsa rogol derita, pensil di dalam kemaluan

Rabu 21/04/2010, berita seorang pelajar sekolah dirogol di dalam bilik darjah oleh rakan sekolahnya, pelajar remaja dirogol sekumpulan lapan orang.


Melihat senario di atas, nampaknya bilik darjah kini tidak lagi selamat. Rakan-rakan sekolah tidak lagi boleh dipercayai. Agama tidak lagi menjadi pendinding dalam tindakan. Tekanan perasaan dan perasaan keterasingan membawa padah apabila nyawa sendiri menjadi taruhan.
Tidak perlu menuding jari. Yang terjadi telah terjadi. Tidak mustahil esok, ahli keluarga terdekat kita yang menjadi mangsa. Tatkala itu, kita akan tahu betapa sakit, pedih dan sedihnya berhadapan dengan situasi itu.

Oleh kerana itu, semua pihak harus prihatin terhadap apa yang terjadi. Ini adalah antara isu-isu yang mungkin tidak terfikir dek akal kita selama ini. Kita hanya membaca dan menggeleng kepala terhadap apa yang terjadi kepada orang lain tanpa kita duga yang ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

Apakah tindakan yang wajar kita sama-sama lakukan selepas ini? Pertama, ia harus bermula dari dalam rumah. Kukuhkan institusi keluarga, tanamkan perasaan kasih sayang, sikap prihatin dan melihatnya sebagai amanah Tuhan yang tidak harus diabaikan. Kesibukan bagaimana sekali pun dalam mencari rezeki bukan alasan untuk abaikan keluarga.

Anak-anak lahir dari kasih sayang sepasang suami isteri, walaupun terdapat juga yang lahir secara terpaksa atau tidak diminta. Dalam sebuah unit keluarga, biasanya anak lahir daripada hasrat bersama. Seperti mana kita menghargai kasih sayang ibu bapa dan keluarga, maka kita juga bertanggungjawab dan memegang amanah besar dalam memberikan dan berkongsi kasih sayang dan amanah terhadap anak-anak kita.

Menyayangi anak-anak dan keluarga bukan sahaja bermakna memenuhi keperluannya, tetapi juga mengawasi, mengambil berat, mengambil tahu dan sentiasa tahu perkembangan anak-anak dan ahli keluarga. Ini bermakna, ibu bapa berperanan untuk memastikan anak-anak dan anggota keluarganya sentiasa dalam sejahtera, malah juga mensejahterakan anggota masyarakat seluruhnya.

Selain itu, para pemimpin institusi yang ada harus memainkan peranan yang sewajarnya. Bukan sahaja institusi sekolah, malah juga institusi agama dan institusi-institusi lainnya. Institusi sekolah dan warganya harus tidak sentiasa bersikap menghukum, tetapi mendidik. Guru-guru harus menjadi role model kepada anak-anak. Agak malang apabila sesekali terdengar berlaku pergaduhan guru-guru yang disaksikan murid dan pelajar, sikap guru yang tidak sesuai dengan institusi sekolah dan pendidikan dan pelbagai isu lain. Kita faham tekanan yang dihadapi oleh para pendidik kita. Malah kita juga melihat pelbagai ganjaran yang diberikan untuk membantu para pendidik kita. Namun yang paling penting adalah profesionalisme guru dan roh 'pendidik' dan 'guru' harus diberikan keutamaan. Guru dan pendidik bukan lagi seperti mana zaman tahun 60-an yang berkhidmat secara sukarela dan mempunyai minta mendalam terhadap pembangunan ilmu anak bangsanya.

Justeru, institusi sekolah dan pendidikan harus membangunkan sistem yang berupaya mendidik anak-anak kita, sehinggalah ke institusi pengajian tinggi untuk memahami dan menghayati kepentingan terhadap isu-isu yang berkaitan sama ada secara formal atau pun di luar bilik darjah
.

Malah di institusi pengajian tinggi kita, aktiviti-aktiviti pelajar harus menumpukan kepada usaha ini melalui begitu pertubuhan dan persatuan yang ada. Anak-anak muda kita harus diberikan kefahaman mendalam tentang kesan dan natijah yang berlaku dalam setiap tindakan yang dilakukan secara jangka panjang.

Begitu juga dengan institusi agama termasuk institusi masjid yang ada hampir di setiap mukim dan kampung di negara kita. Institusi agama harus berupaya untuk berjalan seiring dengan anak-anak kita tanpa sebarang prejudis. Biar bagaimanapun tingkah laku anak-anak kita, tanpa mengira sesiapa, mereka perlu dibuat kawan dan dibimbing. Jiwa anak-anak dan remaja harus dilihat dalam konteks keremajaan dan zaman yang dilalui tanpa perlu membandingkan mereka dengan zaman dan tingkah laku kita pada zaman kita sebagai anak-anak dan remaja. Para imam, ustaz dan cerdik pandai agama kita harus sentiasa mempunyai empati yang tinggi terhadap jiwa anak-anak kita. Menyalahkan mereka, memandang buruk dan melihat mereka dengan pandangan hina dan menghukum, tidak akan menyelesaikan masalah. Lihat bagaimana stigma yang ada dalam masyarakat terhadap para penagih dadah serta mereka yang menghidapi HIV/AIDS yang dipandang hina dan tidak dipedulikan oleh anggota masyarakat dan keluarga sehingga menyebabkan ramai yang terus hidup dalam dunianya sendiri.

Kesilapan yang masyarakat lakukan adalah kita enggan berkawan dan memahami mereka. Dalam banyak keadaan, anak-anak dan remaja, malah juga orang dewasa hilang haluan dan pertimbangan apabila tiada tempat mengadu, tiada teman untuk mendengar dan berkongsi masalah, manakala kemurungan menjadi antara petanda awal yang menjerumuskan mereka dalam membuat keputusan yang mungkin di luar jangkaan kita.

Selain itu, badan-badan sukarela perlu menggerakkan tenaga dan usaha mereka untuk bersama-sama mendekati anak-anak, remaja, malah mereka yang berhadapan dengan masalah.
Di negara ini, kita mempunyai banyak badan sukarela yang berteraskan pelbagai kepentingan dan kumpulan masyarakat. Dalam banyak keadaan, cadangan yang diberikan adalah penguatkuasaan dan pengukuhan pelbagai agensi kerajaan. Namun, keprihatinan dalam mengurangkan masalah yang ada harus digerakkan oleh badan-badan sukarela dan anggota masyarakat seluruhnya. Konsep gotong royong, berderau, khidmat masyarakat dan pelbagai lagi adalah antara aktiviti yang harus digerakkan secara besar-besaran.

Setiap pihak harus melihat isu-isu sosial sebagai masalah bersama yang harus diselesaikan bersama. Ia adalah isu bersama yang patut melibatkan semua pihak, bukan khusus kepada kumpulan tertentu. Pada masa yang sama, agensi-agensi amanah harus terus memberikan sokongan dalam semua usaha yang dilakukan secara berterusan. Mereka yang berada di agensi-agensi amanah perlu menunaikan amanah yang diberi tanpa putus asa demi mewujudkan kesejahteraan masyarakat pada masa depan.

Kes rogol, buang bayi, bunuh diri serta jenayah-jenayah lainnya hanya dapat dikurangkan dengan adanya tindakan holistik yang melibatkan semua pihak. Ia bukan hanya tanggungjawab pihak tertentu, tetapi tanggungjawab kita semua. Dalam perkara ini, ibu bapa dan keluarga adalah unit terpenting dalam memastikan kesejahteraan semua, sebagai pemerhati sekali gus mengambil tindakan awal untuk mengelakkan masalah menjadi lebih runcing. Kasih sayang yang mendalam perlu menjadi alat utama untuk mengikat kita sebagai satu unit sosial yang kukuh dalam menghadapi apa jua keadaan yang berlaku.

Anak-anak malah kita sendiri mungkin melakukan kesilapan, tetapi dengan adanya bimbingan dan kasih sayang yang mendalam, ia boleh diselesaikan supaya anak-anak tidak terus hanyut serta mengambil keputusan yang menimbulkan kesusahan kepada dirinya, mahu pun mereka yang berada di sekelilingnya. Kasih sayang harus dikongsi dan dirasai bersama.

Mari kita sama-sama renungkan!

Sumber : Utusan dan tambahan sendiri




Capaian entry berkaitan :
  1. Stress Management
  2. Masalah sosial: 14 rakyat India bunuh diri setiap jam
  3. 30:100,000 rakyat bunuh diri setiap tahun

Butiran selanjutnya ...

Murid cuba terjun dari bangunan sekolah

BACHOK 25 April - Satu lagi kes pelajar cuba terjun dari bangunan sekolah dilaporkan berlaku, kali ini di Bachok, Kelantan.

Puncanya juga sama seperti yang berlaku di Perlis dua hari lalu, disebabkan pelajar tidak tahan diejek oleh rakan-rakan.

Dalam kejadian di Bachok hari ini, seorang murid Tahun Lima di sebuah Sekolah Rendah dikatakan cuba terjun daripada bangunan sekolahnya. Murid itu memanjat koridor di tingkat empat dan menghayun kakinya ke bawah. Bagaimanapun cubaan kanak-kanak berusia 11 tahun itu gagal apabila dia berjaya diselamatkan oleh salah seorang guru.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Saipu Bhari Mohd. Noor berkata tindakan guru berkenaan yang bertindak pantas menyambar tubuh kanak-kanak itu telah berjaya menyelamatkannya.

"Ketika kami tiba di tempat kejadian kira-kira jam 10.45 pagi selepas mendapat panggilan, kanak-kanak berkenaan sudah berjaya diselamatkan gurunya selepas mengambil masa kira-kira lima minit untuk memujuk mangsa," katanya kepada pemberita.

Saipu Bhari berkata, setelah disoal, murid tersebut dari Kampung Aman Kandis dipercayai tidak tahan diejek oleh rakan-rakannya lalu mengambil keputusan nekad tersebut.

Dalam kejadian di Perlis, seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hassan cuba terjun dari sebuah bangunan tiga tingkat sekolah itu, ekoran tidak tahan diejek oleh rakan-rakannya selepas dua pelajar perempuan dikatakan telah menolak cintanya.

- BERNAMA

Sumber : Utusan 26/04/2010


Butiran selanjutnya ...

Pelajar diugut sehingga trauma

ALOR SETAR 25 April - Hanya kerana terlewat menjalani latihan futsal, seorang pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di sini, diugut hingga mengakibatkan pelajar itu mengalami trauma.

Ugutan diterimanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan pelbagai cercaan lain di dalam laman web sosial Facebook sejak kira-kira dua bulan lalu.

Malah peristiwa itu juga telah menjadikan hidup mangsa, Nur Rabiatul Adawiyah Rashid, 19, yang periang berubah menjadi pendiam dan sering tertekan.

Menurutnya, kejadian bermula pada 24 Februari lalu apabila dia yang merupakan kapten di dalam pasukan futsal kolejnya terlewat menjalani latihan.

"Berikutan itu, saya menerima ugutan melalui SMS pada hari tersebut, Saya bagaimanapun tidak membalas ugutan pelajar perempuan berkenaan. Mungkin marah kerana saya tidak membalas (SMS) dia datang membawa enam rakan lain dan menyerang saya di dalam bilik," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, dalam kejadian itu, dia tidak dicederakan secara fizikal sebaliknya didera mental.

Nor Rabiatul berkata, pelajar itu juga menghasut rakan-rakan di IPT tersebut untuk memulaunya dan ia telah menjadikan hidupnya tertekan.

"Saya tiada teman kerana rakan sebilik saya turut dihasut oleh orang yang mengugut saya. Walaupun telah tamat pengajian pada April lalu, saya masih fobia dan trauma dengan kejadian itu," katanya.

Jelasnya, dia terpaksa berjumpa dengan pakar psikiatri kerana tertekan dan disahkan mengalami tekanan perasaan.

"Saya juga telah membuat laporan polis pada 7 Mac lalu ketika diugut melalui SMS dan pada 28 Mac pula saya membuat laporan kerana diserang di dalam bilik. Saya tidak tahan dihina oleh orang yang mengugut saya," katanya.

Sementara itu, bapa Nor Rabiatul, Rashid Abdullah, 55, ketika dihubungi berkata, dia sedih apabila anaknya yang dahulunya periang kini berubah menjadi pendiam dan kurang bercakap.

"Pada mulanya anak saya tidak menceritakan mengenai masalahnya namun lama-kelamaan dia meluahkan kepada saya apa yang telah menimpanya.

"Saya terkilan kerana apabila masalah ini diajukan kepada pihak pentadbiran IPT tersebut, mereka hanya mendiamkan diri dan tiada tindakan diambil kepada pelajar yang mengugut anak saya," ujarnya.

Tambahnya, dia juga bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pelajar terbabit agar kejadian tersebut tidak berulang.

Sumber : Utusan 26/04/2010


Butiran selanjutnya ...

Lelaki cuba bunuh diri berjaya diselamatkan

KOTA KINABALU 22 Feb. - Akibat tekanan hidup seorang lelaki berusia 50 tahun nekad untuk terjun dari tingkat 11 Menara Jubili di sini hari ini.

Bagaimanapun tindakannya itu gagal selepas berjaya diselamatkan oleh pihak bomba dan seorang pemandu di Lembaga Pelancongan Sabah (STB).

Menceritakan detik cemas itu, pemandu STB tersebut, Yahya Salim, 30, berkata, dia ternampak lelaki berkenaan keluar dari tingkap di tingkat 11 bangunan itu ketika sedang berehat di bawah.

"Saya terus bergegas ke atas dan mendapati dia sudah mengeluarkan seluruh badannya dan bersedia untuk terjun.

''Selain saya, beberapa orang yang datang cuba memujuk termasuk pengurus bangunan yang cuba untuk memberi angpau kepada lelaki berkenaan tetapi tidak diendahkan.

''Setelah hampir sejam memujuknya, salah seorang anggota bomba memecahkan tingkap bersebelahan lelaki tersebut dan dengan pantas menyambar lelaki berkenaan," katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 2, Niam Hing Ming, berkata, sepasukan anggota bersama sebuah jentera dihantar ke bangunan berkenaan selepas menerima laporan kecemasan pukul 4.10 petang.

''Walaupun dipujuk beberapa kali, lelaki tersebut nekad hendak terjun dari bangunan tersebut.

''Bagaimanapun selepas melihat dia sedikit leka, anggota bomba dengan bantuan pemandu STB itu terus menggunakan peluang menangkap dan seterusnya menyelamatkan lelaki berkenaan," katanya.

Sumber : Utusan 23/02/2010


Butiran selanjutnya ...

Syaitan boleh menjelma pelbagai rupa


Assalamualaikum warahmatullah,

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan (ingatlah) ketika Syaitan menjadikan mereka memandang baik pekerjaan mereka (hingga yang salah dan buruk, dipandang elok dan diteruskan) dan seterusnya menghasut dengan mengatakan: “Tidak ada seorang manusia pun yang dapat menang (mengalahkan) terhadap kamu pada hari ini, dan sesungguhnya aku ini adalah penolong dan pelindung kamu.” Maka tatkala kedua-dua puak bersengketa itu telah dapat saling lihat melihat (berhadapan), syaitan itu berundur ke belakang seraya berkata, “Sesungguhnya aku berlepas diri daripada kamu, kerana sesungguhnya aku dapat melihat apa yang kamu sekalian tidak dapat melihatnya; sesungguhnya aku takut kepada Allah, dan Allah sangat berat azab seksa-Nya.” (Surah al-Anfal [8], ayat 48)

Dalam Tafsir al-Qurtubi, terdapat kisah yang antara lain menyebut, syaitan pada hari itu menampakkan diri kepada mereka dalam bentuk Suraqah bin Malik bin Ju’syam. Dia berasal dari Bani Bakr bin Kinanah. Orang-orang Quraisy sangat takut apabila Bani Bakr mengejar mereka, kerana mereka telah membunuh salah seorang daripada Bani Bakr. Ketika dia menjelma kepada mereka, lalu dia berkata bahawa dia berasal daripada Tuhan.

Al-Dahhak berkata, pada perang Badar, Iblis datang beserta pengikut-pengikutnya kepada kaum Musyrikin, lalu membisikkan ke dalam hati mereka bahawa mereka tidak akan dikalahkan, disebabkan mereka berperang membela agama nenek moyang mereka.

Ibn Abbas mengatakan; Allah SWT membantu Nabi-Nya dengan seribu malaikat. Jibril membawa 500 malaikat yang mendampingi pasukan beliau di kiri dan kanan. Disebutkan bahawa Jibril dn pasukan merupakan satu platun ang menghadang di salah satu hujung jalan, manakala Mikail dengan 500 malaikat yang dipimpinya mendampingi pasukan tersebut.

Kemudian muncul Iblis di tengah-tengah pasukan syaitan, dengan membawa bendera. Dia menjelma dalam bentuk seorang lelaki dari Bani Mudlij dan syaitan dalam rupa Suraqah bin Malik bin Ju’syam. Syaitan itu berkata kepada kaum musyrikin : “Hari ini tidak akan ada yang mengalahkan kalian sebab aku akan mendampingi kalian.”

Ketika pasukan itu berbaris, Abu Jahal berkata, “Tuhan, bantulah kami dalam membela kebenaran dan bantulah dia.”

Di pihak lain, Rasulullah SAW mengangkat kedua-dua tangannya dan berdoa, “Tuhanku, sesungguhnya jika Engkau hancurkan pasukan ini, maka Engkau tidak akan lagi disembah di muka bumi ini untuk selama-lamanya.”

Apabila Jibril mendengarnya, beliau berkata, “Ambillah segenggam debu.” Lalu Rasulullah SAW pun meraup segenggam tanah, lalu dituipkannya ke arah kaum musyrikin, sehingga tidak ada seorang pun di antara mereka yang mata, keorngkong dan mulutnya terkena serangan debu. Akibatnya, mereka lari lintang pukang.

Kemudian Jibril a.s. menemui Iblis. Ketika Jibril melihatnya, maka saat itu Iblis sedang menggandingkan dirinya dengan salah seorang di antara kaum Musyrikin. Kemudian dia melepaskan diri dan lari bersama pengikut-pengikutnya. Lelaki yang digandingkan dengan Iblis (yang serupa Suraqah) berteriak kepadanya. “Wahai Suraqah, bukankah engkau telah mengatakan untuk membantu kami?”

Iblis menjawab, “Aku berlepas tangan daripada kalian. Sesungguhnya aku melihat apa yang tidak kamu lihat.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Dalam kes yang lain, iblis pernah menjelma dalam rupa seorang lelaki dari Hajd, pada waktu orang Quraisy berkumpul di Dar-al-Nadwah. Ia berlaku sebelum Hijrah, di mana mereka membincangkan persoalan yang berkaitan dengan Rasulullah SAW dan mengatur strategi menghalang Baginda daripada berhijrah. Iblis yang berupa lelaki dari Najd itulah yang mencadangkan agar mereka mengumpulkan pemuda-pemuda yang gagah brani dari setiap kabilah untuk mengepung Muhammad SAW dan membunuhnya beramai-ramai.

Bagaimanapun ada yang mengatakan bahawa yang menyampaikan saranan itu adalah Abu Jahal, manakala iblis adalah makhluk pertama yang menyokongnya seraya berkata, “Pendapat terbaik adalah apa yang dikatakan orang ini (Abu Jahal).” (rujuk Ibn Hisyam, Sirah al-Nabawiyah, Jld. II)

Sumber : Dato’ Ismail Kamus, Solusi Isu#11




Capaian entry berkaitan :

  1. Renungan di pagi Jumaat
  2. Tazkirah: Strategi syaitan profesional
  3. Kisah si Iblis Menggoda Manusia - Part 1
  4. Kisah si Iblis Menggoda Manusia - Part 2
  5. Kisah si Iblis Menggoda Manusia - Part 3
  6. Iblis Datang Mengganggu Ketika Sakaratul Maut
  7. Iblis Dengan Ahli Neraka
  8. Mata dan Bahaya Pandang Memandang
  9. Syaitan musuh utama umat Islam
  10. Penipuan iblis di syurga
  11. Part 1 - Iblis kunjungi Rasulullah
  12. Part 2 - Iblis gentar
  13. Part 3 - 70,000 anak bantu iblis
  14. Part 4 - Pendusta sahabat iblis
  15. Part 5 - 10 permintaan iblis

Butiran selanjutnya ...

Sabtu, April 24, 2010

Anak berdengkur


Gambar hiasan


Bersama Dr.Syed Nazir Syed Kadir, Perunding Paediatrik Pusat Perubatan Kelana Jaya.

DENGKURAN kanak-kanak mungkin kedengaran ‘comel’ atau lucu tetapi tabiat berdengkur di kalangan kanak-kanak boleh menyumbang kepada pelbagai masalah daripada kencing malam kepada kelembapan belajar di dalam bilik darjah.

Memang ramai kanak-kanak berdengkur yang membabitkan antara 3 hingga 12% kanak-kanak prasekolah. Walaupun berdengkur, tetapi secara umumnya kebanyakan kanak-kanak ini sihat dan tidak mengalami gejala lain.

Kajian menunjukkan masalah berdengkur membabitkan 11 hingga 12% kanak-kanak di seluruh dunia berumur antara satu hingga sembilan tahun. Kanak-kanak berdengkur sekurang-kurangnya tiga hingga empat kali seminggu dan bunyinya cukup kuat untuk disedari ibu bapa.

Namun dianggarkan 2% daripada kanak-kanak yang berdengkur ini mengalami masalah kerap terjaga ketika tidur (apnea tidur); iaitu satu keadaan yang dianggap antara penyumbang penting kepada masalah kelakuan di kalangan kanak-kanak.

Bagaimana untuk mengetahui sama ada dengkuran anak anda adalah dengkuran biasa atau apnea tidur?

Kanak-kanak yang berdengkur dan tidak mengalami apnea tidur sepatutnya sihat, cergas, tidak mengantuk pada siang hari dan mempunyai corak tidur yang normal. Sebaliknya apnea tidur menyebabkan tidur anak anda terganggu — nafasnya terhenti, mendengus atau tercungap ketika tidur.

Kanak-kanak yang ada masalah ini mungkin mengalami masalah tingkah laku, mengantuk pada siang hari dan sukar menumpukan perhatian di dalam bilik darjah.

Punca

Dengkuran pada kanak-kanak boleh disebabkan tiga perkara iaitu:
  • Bentuk anatomi — seperti rahang mulut yang kecil atau kanak-kanak berkenaan dilahirkan dengan saluran pernafasan yang kecil.
  • Otot dan saraf yang mengawal otot pada saluran pernafasan tidak bergerak seiringan ketika tidur dan menyebabkan saluran pernafasan tidak terbuka sepenuhnya.
  • Tonsil dan adenoid bengkak (punca paling lazim)

Mengapa ibu bapa perlu risau jika anak mereka berdengkur?

Dengkuran boleh menjejaskan kualiti tidur anak anda dan lain-lain keadaan yang membabitkan otak dan jantung. Malangnya ada ibu bapa tidak kisah anak mereka berdengkur, malah ‘bangga’ kerana anak mereka ‘seperti orang dewasa kecil yang berdengkur seperti ahli keluarga’.

Dengkuran pada kanak-kanak bukan perkara lucu. Ia menandakan kanak-kanak berkenaan mempunyai masalah dan dengkuran mereka perlu diperiksa.

Bagaimana dengkuran pada kanak-kanak berbeza dengan orang dewasa?

Prinsip dengkur pada kanak-kanak hampir sama dengan orang dewasa. Dengkuran adalah bunyi pernafasan yang kuat disebabkan getaran udara yang memasuki saluran pernafasan atas. Secara umumnya ia hanya bunyi. Namun ia juga menandakan adanya rintangan pada saluran pernafasan atas yang bermakna rintangan udara untuk melalui saluran ini adalah tinggi.

Ketika tidur, otot juga berehat sedikit dan ia menyebabkan saluran udara menjadi kecil dan sempit. Namun jumlah udara yang masuk adalah sama, sama ada ketika tidur atau jaga.

Berdengkur juga boleh menjadi petanda kepada masalah lebih serius seperti apnea tidur atau sindrom rintangan saluran pernafasan atas. Kira-kira tiga peratus kanak-kanak berumur satu hingga sembilan tahun mengalami masalah ini yang boleh menyebabkan pelbagai keadaan lain.

Perbezaan antara apnea tidur dan sindrom rintangan saluran pernafasan atas

Kanak-kanak yang ada masalah sindrom rintangan saluran pernafasan atas kadangkala terjaga kerana dengkuran terlalu kuat atau dengkuran itu menggunakan banyak tenaga mereka. Namun tahap oksigen dan karbon dioksida dalam darah atau tisu kanak-kanak ini tetap sama seperti orang lain.

Bagi apnea tidur, saluran pernafasan ini kadangkala ‘runtuh’ sehingga menutup saluran pernafasan dan tidak terbuka. Kanak-kanak biasanya terpaksa ‘berjuang’ untuk bernafas kerana udara tidak masuk.

Akibatnya paras gas oksigen berkurang dan karbon dioksida meningkat yang menyebabkan kanak-kanak terjaga untuk bernafas. Ada kanak-kanak yang terjaga 500 hingga 600 kali semalam hanya untuk bernafas dan kembali tidur.

Adakah dengkuran yang kronik pada kanak-kanak berbahaya?

Pakar kesihatan tidak pasti mengenai perkara ini. Berdengkur bukan perkara normal tetapi ia tidak semestinya memerlukan rawatan. Yang pasti, jika anak anda kerap terjaga malam kerana berdengkur, ia menunjukkan dia mengalami masalah apnea tidur atau sindrom rintangan saluran pernafasan yang perlu dirawat.

Risiko apnea tidur

Obesiti adalah faktor risiko paling utama. Jika anda baring dan banyak lemak pada leher, ia menambah tekanan pada tisu yang sudah berehat dan membuatkan saluran pernafasan menjadi lebih kecil.

Kanak-kanak dilahirkan dalam keluarga yang mempunyai risiko apnea tidur mempunyai risiko lebih tinggi. Selain itu kanak-kanak Sindrom Down, ada masalah hipotonia (otot lemah) dan mengalami penyakit neuromuskular lebih berisiko tinggi mendapat apnea tidur berbanding kanak-kanak lain.

Pada kanak-kanak alahan, lapisan dalaman hidung akan membengkak menyebabkan adenoid membesar, menyempitkan saluran udara dan menyukarkan mereka bernafas melalui hidung. Sesetengah kanak-kanak asma mengalami masalah ini. Dua masalah boleh berlaku serentak walaupun mempunyai mekanisma berbeza. Bagaimanapun, kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa perokok juga berisiko tinggi untuk berdengkur.

Kesan berdengkur

Dengkur boleh mendatangkan kesan jangka pendek yang menyebabkan anak anda berasa letih selepas bangun tidur. Daya tumpuannya terhad, sukar menumpukan perhatian, berasa resah gelisah pada waktu pagi dan kerap mengantuk.

Mereka juga mungkin kencing di tilam kerana bagi mereka yang lebih penting ialah keinginan untuk tidur. Ada juga kanak-kanak yang bermimpi buruk.

Oleh kerana tidur mereka terganggu, kanak-kanak ini sukar menumpukan perhatian di dalam bilik darjah seolah-olah seperti kanak-kanak yang alami gangguan tumpuan dan hiperaktif. Contohnya kanak-kanak yang melawan rasa mengantuk akan berkelakuan hiperaktif, mula mengacau orang lain dan akhirnya meragam.

Keesokan harinya, kanak-kanak ini sukar menumpukan perhatian dan duduk diam di dalam bilik darjah. Jika diberi rawatan, masalah hiperaktif ini akan hilang.

Apnea tidur juga menjejaskan pelajaran. Jika tidak cukup tidur, otak tidak mendapat cukup oksigen dan anak anda kehilangan sel otaknya. Dalam tempoh pembangunan minda, keupayaan kognitif kanak-kanak ini akan terjejas.

Dalam kajian beberapa tahun lalu mendapati kanak-kanak yang tidak cukup tidur kurang cemerlang di sekolah. Kajian juga mengesahkan kesan kekurangan tidur ini boleh berlarutan sepanjang hayat kerana IQ kanak-kanak menjadi rendah.

Selain itu paras oksigen rendah juga boleh memberi kesan kepada sistem saraf dan menyebabkan tekanan pada jantung. Lama kelamaan ia mengubah tekanan darah sehingga membuatkan kanak-kanak mengalami tekanan darah tinggi. Pada orang dewasa, keadaan biasanya lebih serius.

Kekurangan tidur juga boleh mempengaruhi tabiat makan seseorang. Jika kurang tidur, anda cenderung untuk makan lebih banyak keesokan harinya (terutama makanan mengandungi banyak lemak dan gula).

Jika penat dan tidak bersenam, anda menjadi lebih gemuk dan menyebabkan masalah apnea tidur lebih serius. Ini akhirnya menjadi perangsang kepada masalah kolesterol tinggi, kencing manis dan risiko sakit jantung pada usia yang lebih muda.

Rawatan

Rawatan untuk kanak-kanak berbeza sedikit daripada orang dewasa. Pada orang dewasa, oleh kerana masalah dengkur disebabkan obesiti, rawatan menggunakan mesin CPAP (tekanan saluran udara positif berlarutan) boleh membantu.

Oleh kerana masalah dengkur kanak-kanak berpunca daripada tonsil dan adenoid yang besar, rawatan terbaik ialah menghantar mereka berjumpa pakar bedah telinga, hidung dan tekak. Kira-kira 85 hingga 90% kes berjaya diselesaikan.

Bagaimanapun masalah ini boleh berulang semula apabila mereka dewasa. Kanak-kanak yang jalani pembedahan akan dipantau 24 jam di hospital.

Jika pembedahan tidak berjaya (10% terutama pada kanak-kanak obes), mereka boleh diberi rawatan CPAP atau BIPAP (tekanan positif saluran pernafasan dua paras).

Sumber : HMetro
Rujuk juga : MedicalNewsToday


Butiran selanjutnya ...

Taati Allah ubat gelisah

INGAT ALLAH...amalan membaca al-Quran dapat melahirkan individu yang bersih jiwanya.

KEHIDUPAN pasti ada cabaran, suka dan duka. Tidak bernama kehidupan tanpa cabaran, ia ibarat warna-warni yang menghias diri.

Namun, seberat mana masalah yang menimpa, jangan mudah berputus asa. Rahmat dan nikmat Allah sentiasa meliputi kita. Sebenarnya tujuan Allah menyakitkan adalah bagi menyembuhkan, begitu juga Allah menyempitkan adalah untuk meluaskan. Hebatnya perancangan Allah bagi menguji hamba-Nya.

Ketandusan hati adalah penyakit yang amat ketara dalam masyarakat kita hari ini. Ramai susah hati, gelisah, gundah-gulana walaupun memiliki segala-galanya, harta dan kuasa.

Hakikatnya, kebahagiaan dan ketenangan bukan terletak kepada kemewahan, harta benda atau kuasa kerana manusia yang kaya-raya hidup tidak senang, takut, runsing dan tidak tenteram.

Mengapa?

Apabila hati dikuasai iman dan takwa, akan lahirlah kebaikan. Namun, apabila hati dikuasai nafsu, amal yang muncul adalah keburukan. Tidak hairanlah apabila seseorang itu mengalami kegelisahan akan melakukan apa saja di luar batasan akal manusia. Ia berlaku kerana gagal mengawal perasaan serta tidak melihat Allah sebagai Yang Maha Kuasa dan Maha Esa.

Demikian juga halnya dengan penyakit seperti dengki, dendam dan iri hati yang semuanya berpunca daripada kegelisahan dan tiada ketenangan dalam hati mereka.


TENANG...hati akan tenteram jika setiap masa berzikir memuji nama serta kebesaran Allah.


Pelbagai usaha yang dilakukan dalam mencari ketenangan jiwa. Ada antara mereka yang mencari ketenangan jiwa itu dengan melancong, bersukan, yoga atau melukis. Ada juga memilih jalan 'songsang' seperti berhibur di kelab malam, minum arak atau mengambil dadah.

Apabila manusia berasakan Allah begitu dekat dengannya walaupun dibebani dengan masalah, mereka akan segera mendapatkan ketenangan dengan membaca al-Quran, berzikir, bersolat dan melihat keindahan alam ciptaan Allah. Inilah ubat ketenangan.

Allah berfirman yang bermaksud: "(Iaitu) orang yang beriman dan tenteram hatinya dengan mengingati Allah dengan mengingati Allah. Ingatlah (bahawa) dengan mengingati Allah itu, tenteramlah segala hati." (Surah al-Ra'd ayat 28)

Hati orang yang beriman itu akan sentiasa tenang dan tenteram kerana mereka mengingati Allah. Tidak kira walau mereka ditimpa malapetaka, mereka segera insaf dan melihat kembali kesilapan yang dilakukan agar ia dapat diubah.

Kesenangan hati itu adalah kebahagiaan yang sebenarnya. Dengan itu, Islam amat menitikberatkan tanggungjawab menunaikan solat lima waktu lima kali sehari semalam kerana dengan bersembahyang manusia dapat membersihkan hati dan jiwa.

Nabi Muhammad SAW bersabda, sembahyang itu tempat ketenangan jiwa dan kesenangan hatinya. Jadi, orang yang mengerjakan sembahyang lima kali sehari semalam seolah-olah mereka mengingati Allah siang, malam, pagi dan petang.

Dengan bersembahyang, hati terasa sedang mengadu serta merintih kepada Allah. Hal berkenaan dijelaskan Rasulullah, bahawa dengan sembahyang, hati orang beriman dan bertakwa sudah terhibur.

Baginda bersabda yang maksudnya: "Di antara kesenangan dunia yang aku sukai ialah wanita, wangi-wangian dan penenang hatiku adalah sembahyang." (Hadis riwayat Al-Nasa'ei)

Itulah bezanya orang yang bersembahyang dengan orang yang meninggalkannya. Maka jangan sesekali kita rasa berat mengerjakan solat kerana ia ternyata memberikan banyak manfaat. Dalam mencari ketenangan, seseorang perlu berpandukan syarak supaya ia tidak jauh tersasar. Ketenangan yang dicari dengan berseronok hanyalah bersifat sementara. Orang yang berada dalam keadaan tidak tenang akan sentiasa bersedih, muram serta susah hatinya. Maka, kita perlu mengingati Allah pada setiap masa dan memohon taubat kepadanya.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya, Allah menyukai orang yang bertaubat dan mengasihi orang yang bersuci." (Surah al-Baqarah ayat 222)

Walau bagaimana berat sekalipun ujian, Allah sentiasa membantu. Firman Allah yang bermaksud: "Dia yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman supaya bertambah keimanan mereka bersama keimanannya. Kepunyaan Allah tentera langit dan bumi dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana." (Surah al-Fathu ayat 4)

Jadi, kita tidak boleh merungut, berasa beban atau tertekan dengan ujian hidup. Rasulullah sendiri menempuh pelbagai ujian sehingga Baginda diangkat darjat Ulul Azmi iaitu mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian.

Firman Allah yang bermaksud: "Adakah kamu menyangka, kamu akan masuk syurga sahaja dan tidak akan datang (malapetaka) kepadamu seperti yang telah datang kepada orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa kemiskinan dan kemelaratan yang amat sangat dan mereka gementar (ketakutan) sehingga berkata rasul dan orang yang beriman bersamanya: Bilakah tibanya pertolongan Allah? Ingatlah, bahawasanya pertolongan Allah itu hampir tiba." (Surah al-Baqarah ayat 214)

Bagi orang beriman, ujian bukanlah dianggap sesuatu perkara yang malang kerana Allah mempunyai perancangan di sebaliknya. Dalam keadaan berdosa sekalipun, ujian ditimpa sebagai satu pengampunan. Manakala dalam keadaan taat pula, Allah menurunkan ujian bagi meningkatkan darjat seseorang.

Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Zamihan Mat Zain, berkata tiada cara lain 'mengubati' penyakit gelisah melainkan mentaati segala perintah Allah.

"Walaupun kita diuji dengan penyakit, derita atau miskin kita perlu kembali semula kepada Allah SWT yang pasti mempunyai perancangan buat manusia. Bagaimana boleh dapat merasai ketenangan jika manusia tidak pernah melawan hawa nafsu yang sentiasa menjuruskan mereka ke lembah kehinaan," katanya.

Zamihan berkata, manusia perlu 'sibuk' berurusan dengan Allah kerana Dia memberikan segala-galanya termasuk kesenangan.

"Dengan mengingati nama Allah, hukum serta qada dan qadar mampu menjadikan jiwa manusia lebih kuat dan tenang. Insya-Allah, dengan zikrullah hati akan sentiasa lapang. Jika Allah uji dengan kematian insan tersayang misalnya mereka perlu bersedia dan menerima takdir itu dengan hati terbuka. Daripada situ akan timbul sifat reda menerima ketentuan yang Allah janjikan," katanya.

Beliau berkata, bagi mereka yang berada dalam kekusutan perlu meleraikan dahulu masalah yang dihadapi dan tidak membiarkan kegelisahan itu menguasai fikiran.

"Reda dan pasrah terhadap ketetapan dan ketentuan Allah akan mententeramkan hati manusia daripada segala macam kegelisahan jiwa yang timbul. Benar, kesedihan tidak mungkin dapat ditolak. Mengapakah kita memberi ruang serta membiarkan diri kita tenggelam dalam kesengsaraan?" katanya.

Selain itu, Zamihan berkata orang beriman pasti tenang apabila dapat melihat alam ciptaan Allah SWT dan sebab itu manusia digalakkan berbuat demikian sebagai tanda memuji kebesaran Allah.

"Mereka pasti rasa bahagia apabila dapat melihat ciptaan Allah di muka bumi ini seperti lautan, bukit bukau, haiwan, langit dan gunung ganang yang semuanya mempunyai peranan masing-masing. Muhasabah diri itu penting bagi menilai kesilapan kita. Jika kita berasakan diri ini teruk dilanda masalah, kita perlu fikir masih terdapat individu lain yang lebih hebat diuji Allah," katanya.

Beliau berkata bebanan masalah tidak boleh disimpan dan ia perlu dibawa berbincang dengan mereka yang boleh menyelesaikannya.

"Kadangkala kesusahan hati seseorang tidak digambarkan melalui riak wajahnya kerana mereka dilihat bersahaja. Sebab itu mereka lebih selesa memendam perasaan. Namun, itu bukan cara terbaik bagi menyelesaikan masalah kerana dibimbangi ia akan memudaratkan diri sendiri. Elok rasanya kita meminta pandangan orang yang boleh dipercayai kemudian berbincang bagaimana masalah itu boleh diselesaikan," katanya.

Sumber : Mohd Fadly Samsudin [fadly@hmetro.com.my] di HMetro 23/04/2010


Butiran selanjutnya ...

Cicak berkepala dua ditemui

GAMBAR menunjukkan seekor cicak yang berkepala dua di Henley Brook, Australia.

PERTH - Seekor cicak berkepala dua ditemui di Coogee, New South Wales, Australia oleh beberapa pekerja taman reptilia, lapor sebuah akhbar semalam. Reptilia dari spesies yang dikenali sebagai Shingleback itu kini ditempatkan di sebuah taman reptilia di Henley Brook, di sini.

Cicak itu bukan sahaja mempunyai dua kepala tetapi juga mempunyai dua pasang kaki depan di sisi setiap kepalanya. Pergerakan cicak itu tidak lincah kerana ia mempunyai dua kepala dan kedua-dua mulutnya boleh memakan makanan.

Salah satu kepala itu didapati lebih besar. Keadaan itu menyebabkan cicak yang mempunyai kepala lebih besar suka menyerang kepala 'kembarnya' yang lebih kecil.

Sumber : Kosmo 24/04/2010


Butiran selanjutnya ...

Budak Melayu bermata biru jadi tumpuan


AHMAD Mustafa bersama cucunya, Mohd. Aizat Aiman Mohd. Rizal yang dilahirkan aneh dengan matanya berwarna kebiruan walaupun tiada darah kacukan di Kampung Teluk Amboi, Pulau Sayak, Kota Kuala Muda, Kedah, kelmarin. - utusan/ OPAT RATTANACHOT

SUNGAI PETANI 23 April - Kampung Teluk Amboi, Pulau Sayak, Kota Kuala Muda dekat sini menjadi tumpuan penduduk sejak beberapa hari lalu gara-gara seorang kanak-kanak lelaki Melayu bermata biru.

Kanak-kanak tersebut, Mohd. Aizat Aiman Mohd. Rizal, berusia 1 tahun 4 bulan menjadi tumpuan ramai kerana warna matanya berbeza dengan kebanyakan masyarakat negara ini yang rata-rata hitam atau perang.

Datuk kepada Mohd. Aizat Aiman, Ahmad Mustafa, 62, memberitahu, kejadian pelik itu berlaku selepas beberapa bulan cucunya dilahirkan.

"Semasa dilahirkan, matanya berwarna hitam macam kebanyakan kita. Namun, selepas beberapa bulan ia berubah warna menjadi biru dan berkilauan.

"Kami sekeluarga hairan kerana tidak mempunyai darah kacukan orang barat ataupun Asia Barat," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Ahmad berkata, keluarganya pernah membawa Mohd. Aizat Aiman menjalani pemeriksaan di beberapa hospital di Sungai Petani dan Pulau Pinang.

Namun, katanya, doktor mengesahkan mata Mohd. Aizat Aiman itu tidak mengalami sebarang masalah dan boleh melihat seperti kanak-kanak biasa.

Ditanya tentang kejadian aneh sebelum Mohd. Aizat Aiman dilahirkan, Ahmad berkata, semasa mengandung, ibu kanak-kanak itu, Noraini Ahmad, 31, dikatakan gemar bermain dengan seekor kucing peliharaan mereka yang bermata biru.

"Noraini suka membersihkan mata kucing itu kerana tertarik dengan warnanya yang kebiruan. Orang tua-tua kata, mungkin kejadian mata biru Mohd. Aizat Aiman ada kaitan dengan kenan kucing," ujarnya.

Bekas nelayan itu berkata, Mohd. Aizat Aiman itu juga mungkin mewarisi ciri-ciri bapanya, Mohd. Rizal Mohamad, 34, yang mata kanannya sedikit kebiruan tetapi tidak ketara.

"Noraini dan Mohd. Rizal merupakan insan istimewa kerana mereka berdua bisu dan mempunyai masalah pendengaran. Mereka bekerja sebagai operator kilang di Seberang Perai dan hanya pulang ke kampung dua minggu sekali," katanya.

Tambahnya, dia bagaimanapun berasa bimbang dengan masa depan Mohd. Aizat Aiman yang mungkin mewarisi kecacatan ibu bapanya yang tidak boleh mendengar.

"Doktor memaklumkan bahawa cucu saya ini disyaki mengalami masalah pendengaran dan perlu menjalani pemeriksaan dua bulan sekali di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani," katanya.

Ahmad bagaimanapun berharap, cucunya itu dapat menjalani kehidupan seperti insan normal.

"Dia seorang yang aktif dan sering menarik perhatian ramai kerana ciri anehnya yang bermata biru. Kini, dia juga mula petah bersuara walaupun setakat ini tidak dapat pastikan sama ada dia boleh bercakap atau tidak dalam beberapa tahun lagi. Kami doakan agar dia mempunyai sifat sempurna seperti orang lain," katanya.

Sumber : Utusan 24/04/2010


Butiran selanjutnya ...

Bomba selamatkan cubaan pelajar bunuh diri

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat Kangar memujuk seorang pelajar yang cuba terjun dari tingkat tiga bangunan sebuah sekolah menengah di Kangar, semalam.


KANGAR 23 April - Hanya kerana dipercayai mengalami tekanan perasaan, seorang pelajar lelaki sanggup bertindak di luar batasan agama apabila cuba membunuh diri dengan terjun dari tingkat empat bangunan sekolahnya.

Pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di sini, bertindak demikian setelah dipercayai tertekan akibat kematian bapanya.

Namun kecekapan pasukan bomba dan penyelamat negeri berjaya menyelamatkan mangsa setelah berusaha memujuk dan menasihatkannya.

Ketua Polis daerah, Supritendan Abdul Rahman Mohd. Noordin berkata, pasukan bomba menggunakan kaedah psikologi untuk memujuk mangsa dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari ini.

"Setelah dipujuk dan ditenangkan, kita berjaya menyelamatkan mangsa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah di sini, untuk menjalani rawatan kaunseling bagi memulihkan tekanan perasaannya.

Sumber : Utusan 24/04/2010


Butiran selanjutnya ...

Al-Haitham saintis pertama merungkai rahsia imej penglihatan


SEORANG lagi ilmuwan Islam silam yang mempunyai sumbangan luar biasa dalam kemajuan tamadun manusia pada hari ini ialah Abu Ali, Hassan ibn Hassan Ibn al-Haitham atau di Barat dikenali dengan nama Alhazen, Avennathan, dan Avenetan.

Beliau dilahirkan pada 354 Hijrah (965 Masihi) di Basrah dan meninggal dunia pada 430 Hijrah (1039 Masihi) di Kaherah pada usia 74 tahun. Beliau dikenali sebagai saintis pertama.

Jika satu daripada kajian dan penyelidikannya tidak dibukukan dalam kitabnya al-Manazir (Book of Optics) pada 1021 Masihi, tamadun dunia harus mencari orang lain agar mereka boleh menemukan mikroskop dan teleskop daripada ahli sains Barat termasuk Johannes Kepler (w 1630M) yang datang 600 tahun sesudah Ibn al-Haitham. Dalam kitab Abjad al-Ulum karangan al-Qannuji jilid 2 muka surat 519 ditulis: (Ilm al-Manazir, Ilmu Optik) adalah satu ilmu yang dengannya diketahui sebab terbalik dalam penglihatan mata dengan cara mengetahui kejadiannya yang diasaskan kepada pengetahuan penglihatan menerusi garis sinar bahagian atas yang dilakukan orang yang melihatnya, manakala bahagian bawahnya terlihat kemudian berlaku sesuatu yang terbalik sehingga nampak besar benda yang dekat dan nampak kecil benda yang jauh.

Dalam perkataan lain, dengan menggunakan kaedah matematik dan moden fizik yang baik Ibn al-Haitham dapat membuat eksperimen teliti, beliau meletakkan optik pada batu asas yang kukuh. Beliau menggabungkan teori dan eksperimen dalam penyelidikannya. Dalam penyelidikan, beliau mengkaji gerakan cahaya, ciri bayang dan imej dan banyak lagi fenomena optik yang penting.

Beliau menolak teori Ptolemy dan Euclid yang mengatakan manusia melihat benda melalui pancaran cahaya yang keluar dari matanya. Menurut Ibnu Haitham, bukan mata memberikan cahaya tetapi benda yang dilihat memantulkan cahaya ke mata manusia.

Oleh kerana kehebatan Ibn al-Haitham menghuraikan optik, RL Verma dalam bukunya Al-Hazen: Father of Modern Optics, menjoloki Ibnu al-Haitham sebagai bapa optik moden. Rosanna Gorini dalam tulisannya Al-Haytham the Man of Experience, menyebut beliau pelopor metod ilmiah moden.

Kemudian dijelaskan lagi prinsip ilmu optik ini dan akhirnya al-Qannuji mengatakan: Ramai ilmuwan Greek yang menulis dalam ilmu ini dan ilmuwan Islam yang paling masyhur dalam ilmu ini ialah Ibn al-Haitham dan antara buku ringkas mengenainya ditulis Achedes, sedangkan buku yang sederhana ditulis Ali ibn Isa al-Wazir manakala yang panjang lebar ditulis Ibn al-Haitham. Beliau menulis buku ini selepas melakukan satu lakonan yang hanya beliau sendiri yang tahu sebab musababnya. Dikisahkan beliau dijemput pemerintah Dinasti Fatimiyyah, al-Hakim Amirillah ke Mesir untuk menyelesaikan masalah banjir Sungai Nil. Beliau dijemput kerana kemasyhurannya sebagai saintis ulung pada masa itu di Baghdad. Malangnya, beliau tidak boleh menyelesaikan tugas itu kerana kurang peralatan. Untuk menyelamatkan diri daripada kemurkaan al-Hakim beliau berpura-pura hilang ingatan sampai al-Hakim mangkat pada 1021 Masihi. Pada tahun itu juga buku al-Manazir selesai ditulisnya.

Ibn al-Haitham memiliki banyak karya. Beliau menulis tidak kurang 200 judul buku. Karya itu berhubung dengan ilmu fizik dan matematik, antara ilmu yang sangat dikuasainya dan hampir keseluruhan diterjemahkan ke dalam bahasa Eropah.

Beiau dibesarkan di Basrah dan Baghdad, dua kota yang menjadi pusat ilmu pengetahuan Abbasiyah pada masa itu. Di sinilah beliau memulakan pendidikan awalnya sebelum dilantik menjadi pegawai pemerintah di bandar kelahirannya. Selepas beberapa lama berkhidmat, beliau merantau ke Ahwaz dan Baghdad. Beliau melanjutkan pengajian dan menumpukan perhatian pada penulisan.

Keintelektualan Ibnu Haitham terbukti ketika menjadi pelajar dengan kecenderungan terhadap pelbagai ilmu. Beliau tidak jemu menimba ilmu sama ada agama atau ilmu matematik, fizik, astronomi, perubatan, falsafah dan mantik.

Ibn al-Haitham pernah ke Andalusia (Sepanyol), kiblat ilmu pengetahuan Eropah pada masa itu. Di sana beliau mempelajari bidang optik sehingga terkenal. Selama menetap di Mesir, Ibnu Haitham memperkukuh Universiti al-Azhar dan terus menyambung usaha ilmiahnnya dalam bidang yang cukup saintifik. Beliau turut menterjemahkan buku matematik dan falak ke bahasa Arab terutama daripada bahasa Latin.

Demikianlah Ibn al-Haitham sebagai saintis pertama dan jika Barat bersikap jujur, beliau sudah pasti disenaraikan dalam The Great Scientists.

Sumber : BHarian 04/04/2010



Capaian sumber berkaitan :

  1. Shalahuddin Al-Ayyubi
  2. Ibnu Qayyim al-Jawziyyah
  3. Ibnu Sirin - Muhammad bin Sirin Rahimahullah
  4. Ibnu Sina - Tokoh Perubatan Islam
  5. Iman Bukhari, kekuatan hafalannya amat luar biasa

Butiran selanjutnya ...

Jumaat, April 23, 2010

Senyum itu satu sedekah

Senyuman anak yang manis ~ gambar hiasan

Assalamualaikum warahmatullah,

Hari ini saya kongsikan sesuatu perkara yang amat mudah untuk kita lakukan sehari-hari dan akan beroleh pahala pula jika kita mengerjakannya, insya Allah.

Hadis dari Abu Dzar r.a. bahawa Rasulallah SAW yang bermaksud, “Tidak ada lain dari anak Adam itu sedekah pada tiap-tiap hari yang naik matahari padanya.” Bertanya para sahabat, “Dari mana datangnya harta untuk kami bersedekah wahai Rasulallah?” Sabda Nabi, “Bahawa pintu-pintu kebajikan itu banyak; Tasbih, Takbir, Tahlil, Amar makruf dan nahi (mencegah) mungkar, membuang duri di jalan, mendengar orang pekak, menunjuk jalan kepada orang buta, menunjuk arah perjalanan kepada yang meminta ditunjuk, memberi air minuman kepada yang dahaga, menolong meringankan beban orang yang tidak berdaya. Semua itu sedekah bagi diri kamu.” Malah dalam riwayat yang lain menambah, “Senyum anda terhadap saudara anda adalah sedekah.” (Hadis riwayat Ibn Hiban dan Al Baihaqi)

Ini adalah sebuah hadis yang dikira cukup baik yang memerlukan setiap orang berfikir, dapat mengetuk dan membuka pintu hati dan jiwa manusia ke arah kebajikan dan juga dapat mengikat diri manusia dengan kasih sayang dan cinta yang mendalam.

‘Sedekah’ perkataan yang selalu didengar, biasanya dikaitkan dengan wang ringgit dan harta benda. Ia berlaku apabila si kaya membantu si miskin, atau orang yang kuat memberi pertolongan kepada mereka yang memerlukan. Demikianlah fahaman sempit yang selalu kita dengar dan kesannya pun amat terhad, walhal terdapat lebih banyak lagi cara kita bersedekah, selain daripada pemberian material semata-mata. Tidaklah dinafikan bahawa ianya mampu menjadi satu mekanisma untuk menwujudkan keadilan sosial dalam masyarakat, tetapi hadis ini meluaskan lagi skop sedekah dan pemikiran mengenainya; iaitu dari makna material kepada makna yang bersifat kejiwaan, membuka suatu ruang yang luas tanpa sempadan.

“Setiap yang baik itu sedekah, setiap orang mampu bersedekah.” Benar, sedekah dari skop kebendaan adalah terbit dari hati yang baik, kalau tidak sedekah atau derma itu menjadi riak, bohong, menunjuk-menunjuk kotor dan keluar dari hati yang tidak ikhlas. Maka kalau sedekah yang lahir dari hati yang tulus dan jiwa yang baik, itulah sumber kebaikan yang sebenar kerana setiap yang baik terbit dari jiwa yang baik dan setiap yang kotor keluar dari hati yang kotor. Jesteru itu, sebuah senyuman manis yang ikhlas adalah lahir dari jiwa yang jernih dan tulus ikhlas.

Seseorang yang membantu orang lain dengan wang seringgit atau dua ringgit, membantu orang yang lemah melintas jalan, menolong mengangkat barang yang berat ataupun lain-lain yang seumpama, dan ianya terbit dari hati yang bersih dan ikhlas maka itulah yang dikatakan rasa kemanusiaan yang amat tinggi nilainya, iaitu dengan menolong sesama manusia terasa ada hubungan kemanusiaan antara yang menolong dan yang ditolong. Ini juga salah satu bentuk sedekah, seperti yang disebutkan dalam hadis di atas.

Jika sedekah dihadkan kepada bentuk material, nescaya kebaikan itu juga terhad kepada mereka yang berada sahaja, tetapi Rasullallah SAW mahu kebaikan itu berada di setiap diri individu, yang mana cahayanya akan melimpah ruah yang tidak ada had dan kesudahannya.

Rasullallah SAW bukan sekadar memperkenalkan punca atau asas kebaikan, tetapi lebih lagi dari itu, Baginda mengajar kita supaya membiasakan diri dengan kebaikan adalah jiwa hidup, bergerak dan berkesan. Jiwa yang kaku dan beku adalah jiwa yang mati sebelum ajal yang tidak akan melahirkan apa-apa kebaikan darinya.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Adakah orang yang dilapangkan dadanya oleh Allah untuk menerima Islam, lalu ia tetap berada dalam cahaya (hidayah) dari Tuhannya sama dengan orang yang sesat (keras) hatinya (dengan kedurhakaan). Maka celakalah bagi mereka yang keras hatinya untuk menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka itu adalah dalam kesesatan yang nyata.” (Surah az-Zumar ayat 22)

Senyum itu satu sedekah

Senyum itulah sedekah yang paling murah mudah. Tetapi sesetengah orang amat berat dan payah sekali untuk berbuat demikian. Ada yang sukar memberi senyuman, mungkin jiwanya sakit atau dalam dirinya tertutup pintu kebaikan dan kebajikan. Mukanya masam, muram dan kusam. Menjengkil perasaan benci kepada sesama manusia. Isunya di sini bukanlah seteguk air, sesuap nasi, atau sebuku roti, tetapi ‘pemberian’ yang didalangi oleh gerak dari dalam diri membuka dan mengetuk pintu hati yang tertutup.

Senyuman itu berkait dengan jiwa bagi mereka yang sedang berdepan dengan masalah, dengan tersenyum jiwa mereka akan merasa lega dan tenang. Manakala apabila melihat orang memberi senyuman padanya, jiwa yang lesu akan kembali ceria. Senyuman secara umumnya adalah sedekah.

Mari kita ikuti kisah teladan di bawah :

Pada suatu hari Abu Yazid Al-Busthami, ahli sufi terkenal didatangi seorang lelaki yang tinggal sekampung dengannya. Lelaki itu memang terkenal rajin, ringan tulang dan kuat ibadat. Namun hidupnya sentiasa dilanda kesulitan. Dengan wajah murung lelaki itu mengadu kepada Abu Yazid.

“Sepanjang hidup, saya tak pernah lupa beribadat kepada Allah. Orang lain tidur saya masih bermunajat.” Lelaki itu diam seketika, mukanya kelat tanpa secalit pun senyuman.

Abu Yazid memerhatikan wajah lelaki yang sedang duduk dihadapannya. Raut mukanya itu seperti orang yang menangung masalah yang maha berat.

“Selalunya sebelum isteri saya bangun pagi, saya sudah mengaji. Saya tidak pernah lupa tuhan, tapi.......” lelaki itu tidak dapat meneruskan kata-katanya.

Abu Yazid mengangguk kerana dia memang amat mengenali jirannya itu, rajin dan warak. malah dia tidak pernah melihat orang sebaik dan serajinnya.

Kemudian lelaki itu melepaskan keluhan yang berat, “…entahlah tuan, nasib saya selalu malang dan hidup penuh dengan kesulitan...”

Abu Yazid memegang bahu lelaki tersebut dan berkata, “Sahabatku, senyumlah. Mulai hari ini, ubah penampilan kamu kerana aku lihat kamu tidak pernah senyum dan dahi sentiasa berkerut walaupun ketika bercakap dengan aku. Cubalah senyum, insya Allah nasibmu akan berubah. Rasulullah SAW adalah orang yang paling miskin semasa hidupnya. Namun wajahnya tidak pernah keruh, bermuram dan berkerut dahi, baginda sentiasa senyum, ceria dan wajahnya berseri-seri.”

Abu Yazid menyambung sambil melemparkan senyuman kepada lelaki tersebut. Lelaki itu hanya mengangguk tapi raut wajahnya masih tidak berubah. Dia seperti belum dapat memahami apa yang telah disampaikan oleh Abu Yazid.

“Menurut Rasulullah, salah satu tanda penghuni neraka ialah orang yang bermasam muka dan membuat orang lain curiga padanya,” Abu Yazid menambah.

Setelah mendengar nasihat Abu Yazid, lelaki itu balik, lelaki tersebut telah mengubah penampilannya. Sesiapa sahaja yang ditemui dia akan mendahului dengan salam dan tersenyum walaupun mereka tidah pernah dikenalinya. Lelaki itu berubah menjadi peramah, kerut-kerut di dahinya sudah dibuang jauh dan mukanya sentiasa manis. Dari hari ke hari hidupnya semakin senang dan rezekinya melimpah ruah.

Itulah contoh jelas betapa besarnya hikmah senyuman dalam kehidupan seharian kita sehingga Rasulullah SAW sendiri sebagai sedekah yang paling murah tetapi tinggi pahalanya. Manfaat senyum adalah besar, ia jalan untuk membuka rezeki, pengubat jiwa, memudahkan urusan dan mengeratkan kasih sayang. Paling penting senyuman adalah perhiasan diri yang paling mahal kerana dari sifat itu akan lahir keceriaan, kegembiraan, wujud keyakinan dan tanda kesediaan untuk didekati. Kepada orang menerima senyuman, mereka akan merasa dihargai. Secara tidak langsung, bangkitlah rasa keyakinan dalam diri mereka.

Senyuman itu berkait dengan jiwa bagi mereka yang sedang berdepan dengan masalah, dengan tersenyum jiwa mereka akan merasa lega dan tenang. Manakala apabila melihat orang memberi senyuman padanya, jiwa yang lesu akan kembali ceria. Senyuman secara umumnya adalah sedekah.

Walau bagaimanapun, beringatlah, bukan semua senyuman yang dilemparkan itu sedekah. Senyuman juga ada berbagai-bagai tafsiran. Ada senyuman kambing sinis, senyuman kelat dan senyuman terpaksa. Yang dikatakan senyuman sedekah itu adalah yang ikhlas, secara sukarela dari jiwa yang suci dan spontan.

Tidak kira kepada siapa kita lemparkan senyuman, asalkan dengan ikhlas dan hati yang bersih, ia adalah sedekah. Pahala yang Allah ganjarkan untuk senyuman itu adalah sama dengan pahala kita bersedekah.

Senyumlah hiaskan diri anda dengan senyuman terutama kepada orang yang paling hampir dengan kita seperti ibu bapa, ketua, orang bawahan, jiran dan teman-teman. Senyumlah, kita tidak akan rugi apa-apa...

Renung-renungkan dan mari beramal!




Capaian entry berkaitan :
  1. Hadis: Golongan yang mendapat naungan Allah
  2. Rahsia Di Balik Senyuman

Butiran selanjutnya ...

Cemperai mampu ubati ulser, sakit sendi


Cemperai, nama latinnya champeria griffithii, adalah sejenis pokok renik yang daun mudanya dijadikan bahan sayuran orang Melayu sejak zaman berzaman lagi. Ada juga yang menyebutnya sebagai ciprih atau cimpri. Cemperai merupakan sayuran tradisional yang amat digemari. Pucuk dan daun mudanya boleh dimasak lemak, masak manis atau dimasak mengikut resipi tradisional.

Selain sebagai sayuran, cemperai juga dikatakan baik untuk mengubati ulser dan sakit sendi tulang. Akar dan daunnya ditumbuk serta dibuat poltis untuk mengurangkan ulser. Air rebusan akarnya pula dapat mengubati sakit sendi tulang. Sayuran berkhasiat tinggi ini semakin hari semakin dilupakan. Kebanyakan generasi muda tidak lagi mengenali tanaman ini.

Pokok cemperai adalah jenis pokok renek dan pokok bersaiz kecil setinggi empat meter. Daunnya ovat, bujur atau lanseolat berukuran 4 – 20 sentimeter (sm) panjang dan 2 – 10 sm lebar. Infloresennya panikel dengan bunga yang berwarna kehijauan. Buahnya drup, elipsoid, 1 – 1.5 sm panjang dan 0.5 – 1 sm lebar, berwarna kuning limau dan kemerahan apabila masak.

Menurut pengalaman Tn Idris Ismail Talu dengan pucuk cemperai, ada dua jenis cemperai yang agak ketara, pertama yang daunnya berwarna hijau tua dan agak bulat bentuk daunnya, sementara yang satu jenis lagi agak keperangan warna daunnya dan berbentuk lebih panjang atau lonjong. Di Kuala Lipis dalam tahun 1970-an, ramai penduduk kampong menanam cemperai untuk dijadikan turus pagar. Batang cemperai bertindak sebagai turus pagar dan daunnya dijadikan sayur. Buahnya yang muda, berbentuk bundar itu juga boleh dijadikan sayur.

Pucuk cemperai sesuai dimasak manis bersama ikan bilis dan isi keledek manis seperti sayur bening kegemaran orang Jawa. Cemperai juga boleh dimasak lemak dengan cendawan sisir dan dicampur dengan udang kering. Di sesetengah tempat cemperai dibuat ulam mentah dimakan bersama sambal kelapa. Kononnya, jika dimakan mentah begitu seseorang itu boleh kekal awet muda!

Pokok cemperai jarang ditanam dan kebanyakan tumbuh liar di hutan. Di kampung pokok ini ditanam di sekitar rumah untuk keperluan dapur. Pokok ini mudah dibiakkan dengan menyemai bijinya atau dengan keratan batang. Biji daripada buah yang cukup masak disemai dalam kotak semaian yang diisi dengan pasir yang bersih.

Anak pokok yang baik percambahannya dipindahkan ke dalam karung plastik yang diisi dengan tanah hutan dan kemudian diletakkan di bawah pokok atau di tempat redup. Apabila anak pokok ini mencapai ketinggian satu meter atau lebih, barulah ditanam ke tanah. Pokok ini boleh juga dibiakkan dengan keratan batang. Batang atau ranting berukuran 1 – 1.5 meter di tanam terus ke tanah. Batangnya juga boleh dibuat turus pagar untuk terus hidup.

Pokok ini tidak memerlukan penjagaan yang rapi tetapi memerlukan tanah agak subur dan mendapat sedikit lindungan cahaya matahari.

Nutrisi

Pucuk cemperai mengandungi khasiat makanan yang tinggi. Setiap 100 g pucuk cemperai mengandungi :

  • air 72.0 g,
  • protein 7.0 g,
  • lemak 0.4 g,
  • karbohidrat 14.0 g,
  • serat 4.7 g,
  • kalsium 120 mg,
  • fosforus 72 mg,
  • ferum 1.9 mg,
  • natrium 8 mg,
  • kalium 557 mg,
  • karotena 2260 ug,
  • Vitamin A 377 ug,
  • vitamin B 1 0.1 mg,
  • vitamin B 2 0.42 mg,
  • niasi 0.7 mg,
  • vitamin C 63.8 mg
Sumber : BHarian dan Tn Idris Ismail Talu



Capaian entry berkaitan :

Butiran selanjutnya ...

Mi segera ganti nasi?


KUALA LUMPUR 22 April – Mi segera yang menyaksikan jualannya berjumlah AS$25 bilion tahun lalu, mungkin menggantikan nasi sebagai makanan ruji dunia dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Perubahan kini telah berlaku di Indonesia apabila mi segera sudah menggantikan tradisi pemakanan rakyat berpendapatan rendah di negara tersebut. Keadaan itu digalakkan lagi oleh harga mi segera yang lebih murah berbanding makanan ruji di negara tersebut.

Presiden Persatuan Mi Segera Dunia (WINA), Koki Ando berkata, berikutan aliran peningkatan itu, persatuan berkenaan meletakkan matlamat untuk menjadikan mi segera sebagai makanan global sebagai menggantikan makanan ruji di dunia. Katanya, khasiat mi segera juga telah diperkaya dengan nutrien dan zat makanan yang seimbang seperti protein dan karbohidrat yang membantu diet pemakanan individu.

Selain itu, kata Ando, sebanyak 300 produk baru mi segera dilancarkan sepanjang tahun di dunia yang menunjukkan terdapat permintaan terhadap pasaran produk tersebut.

“Mi segera semakin mendapat permintaan masyarakat dunia berikutan khasiat dan zat makanannya adalah setara dengan makanan ruji. Pada tahun lalu, WINA merekodkan sebanyak 91.5 bilion paket mi segera dijual di seluruh dunia yang menunjukkan peningkatan terhadap permintaannya,’’ katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Gabenor WINA di Malaysia yang juga Pengarah Eksekutif Makanan Nestle Products Sdn. Bhd. (Malaysia dan Singapura), Izham Mohamed berkata, dalam konteks di negara ini, penggunaan mi segera bakal meningkat berbanding dua tahun lalu. Pemulihan ekonomi, kata beliau, memberi peluang kepada rakyat untuk menggunakan mi segera sebagai sumber pemakanan tambahan di negara ini.

Menurut Izham, rakyat Malaysia makan mi segera sebanyak 1.3 juta bungkus sehari, sekali gus menyaksikan 1.2 bilion bungkus dijual tahun lalu.

“Perisa asam laksa dan tom yam mencatatkan jualan tertinggi dan menjadi kegemaran rakyat Malaysia,’’ kata beliau. Mi segera di Malaysia wujud sejak lewat tahun 1960-an.

Sumber : Utusan 23/04/2010


Butiran selanjutnya ...

Q&A : Sebut iblis dalam solat

gambar hiasan

SOALAN:


Dalam satu tazkirah selepas sembahyang maghrib, yang diberi oleh seorang ustaz, seorang makmum menyatakan bahawa sekiranya seseorang itu tidak membaca al-Fatihah dengan betul, sama ada kerana tidak ada sabdu atau kerana tidak sempurna panjang mad yang ada dalam satu-satu kalimah juga kerana sebutannya tidak betul, maka selain sembahyangnya tidak sah, kita juga menyebut nama-nama syaitan ketika sembahyang.

Contohnya kalimah “du li lah,” iaitu membaca “alhamdu li’Llah” tanpa sabdu. Kalimah “hir rab,” iaitu membaca al-hamdu li Llahi rabbi ‘l-alamin,” iaitu membaca kalimah berkenaan dengan sabdu. “kiyaau,” iaitu membaca dengan sabdu, yang sepatutnya dibaca “ki yau,” pada “maliki yaumi ‘d-din.” Begitu juga pada bacaan “iyyaka na’budu wa iyyakana ‘s-tain.”

Apakah benar apa yang dijelaskan itu. Selama ini saya tidak pernah mendapat maklumat dari mana-mana sumber yang sah.

- Sutinah, KK


JAWAPAN:


Persoalan seperti ini pernah saya jelaskan dalam ruangan ini satu ketika dahulu. Walaupun demikian saya rasa ia perlu dijelaskan untuk mengatasi keraguan.

Menyebut tentang syaitan, perlu rasanya dirujuk tulisan Raji al-Asmar dalam bukunya: Asy-Syayatin: Haqiqatuha, yang menyebut bahawa perkataan “iblis” disebut dalam al-Quran sebanyak 11 kali, manakala kalimah ‘syaitan’ itu disebut sebanyak 88 kali. Dalam buku ini diperturunkan ayat-ayat berkaitan yang menyebut nama-nama tersebut.

Keterangan ini membuktikan, mempercayai tentang kewujudan syaitan juga iblis itu adalah suatu yang termaktub dalam kalamullah. Ia bukan dongeng atau rekaan.

Walaupun demikian terlalu banyak telah direka oleh manusia mengenainya, termasuk namanya seperti toyol, hantu raya, langsuir, bajang dan lain-lain yang melahirkan pelbagai amalan bidaah dan khurafat. Dalam keadaan tertentu nama-nama elok disebut, seperti nama-nama wali, syeikh, embah, nenek, panglima hitam dan sebagainya, padahal apa yang disebut itu lebih merujuk kepada jin-jin.

Di dalam hadis-hadis juga tersebut perkataan “syaitan.” Dalam sebuah hadis al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah dijelaskan tentang syaitan yang mengganggu nabi ketika sedang sembahyang.

Dalam hadis lain dijelaskan tentang syaitan yang menyerupai seorang syeikh dari Najd yang masuk bersama himpunan orang-orang Quraisy yang diadakan di Darunnadwah, iaitu satu mesyuarat untuk membunuh nabi. Syaitan telah memberi nasihat bagaimana hendak membunuh baginda. Peristiwa itu berlaku sebelum berlakunya peristiwa Hijrah.

Dalam peperangan Badar pun iblis telah datang mengetuai pasukan yang terdiri daripada syaitan, yang ada bersamanya bendera. Iblis menjelma menyerupai seorang lelaki daripada Bani Mudallij, manakala syaitan menyerupai rupa Suraqah bin Malik bin Ja’syam.

Dalam sebuah hadis yang ditakhrij oleh at-Tirmidzi dan an-Nasaiy daripada Aisyah, beliau berkata telah bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesungguhnya aku melihat syaitan-syaitan daripada golongan jin dan manusia telah lari daripada Omar.

Dalam hadis daripada Hamnah Jahsy, beliau berkata, dia mengalami masalah darah haid yang keluar begitu banyak. Beliau memberitahu hal ini kepada Rasulullah. Baginda bersabda: Sesungguhnya ia adalah satu sepakan daripada sepakan syaitan.

Satu hadis daripada Usamah bin Syuraik pula menyatakan bahawa beliau telah mendengar baginda bersabda yang bermaksud: Tangan Allah berserta jemaah. Maka apabila bersendirian seseorang itu daripada jemaah, syaitan-syaitan akan menyambarnya, seumpama serigala menyambar kambing daripada kumpulannya.

Dalam sebuah hadis daripada Ibn Umar, ia berkata bahawa beliau pada satu ketika duduk di sisi nabi. Tiba-tiba datang seorang lelaki yang paling buruk mukanya, juga pakaiannya, manakala bajunya terlalu busuk. Dia datang melangkahi orang ramai sehingga ia duduk di hadapan Rasulullah. Lelaki itu berkata: Siapa yang menjadikan langit. Baginda menjawab: Allah. Siapa yang menjadi Allah. Tanyanya lagi. Subahanallah, jawab nabi. Lelaki tadi memegang dahinya lalu mengangguk-anggukkan kepalanya. Ia berdiri lalu pergi. Baginda mengangkat kepalanya lalu bersabda: Ini adalah iblis, datang kepada kamu untuk menimbulkan syak terhadap agama kamu.

Hadis-hadis yang tersebut di atas hanya menyebut kalimah “iblis” ataupun “syaitan” tanpa menyebut siapakah nama syaitan ataupun iblis yang terlibat dengan peristiwa-peristiwa tersebut.

Raji al-Asmar dalam bukunya Al-Jinn ada menyebut nama “Marid”, iaitu syaitan daripada golongan jin. Jin apabila ia kufur, zalim dan melampau dan melakukan kejahatan dinamakan “syaitan”.

Apabila makhluk ini berupaya menggangkat sesuatu yang berat dan mencuri pendengaran dinamakan “Marid”. Andainya makhluk ini mempunyai keupayaan lebih daripada itu dinamakan “Ifrit”.

Dalam buku yang sama muka surat 51-53, Raji al-Asmar ada menyebut nama Al-Ghaddar, Al-Khabil dan Al-Hajis, iaitu nama-nama jin jahat yang mengganggu manusia. Al-Khabil misalnya dirujuk sebagai jin yang merasuk manusia yang boleh menyebabkan gila, Al-Hajis ialah jin khas yang boleh menyebabkan manusia berasa was was, juga yang membisikkan telinga menyebabkan timbul was was.

Nama jin lain yang disebut ialah At-Tabi' ataupun QARiN, yang hidup bersama dengan manusia, terdiri daripada lelaki dan perempuan, manakala Al-Hatif ialah jin yang suaranya dapat didengar oleh manusia tetapi tidak dapat dilihat.

Jin yang dinamakan Al-Amir tinggal di tempat tertentu di tempat tinggi seperti di kemuncak gunung, di lembah-lembah, rumah yang ditinggalkan, di kubur atau di bumbung rumah. Nama lain ialah Asy-Syaqq iaitu syaitan yang boleh menjelma separuh bentuk manusia yang kadang-kadang mengganggu manusia ketika musafir keseorangan.

Nama lain yang lebih dikenali ialah al-Wilha, iaitu golongan jin yang mengganggu manusia ketika mengambil air sembahyang, menyebabkan seseorang itu mengambil wuduk berulang kali. Manakala “Khanzab” ialah syaitan yang mengganggu manusia ketika mendirikan sembahyang, menyebabkan seseorang itu berniat berulang kali, memesongkan ingatan manusia kepada peristiwa di luar sembahyang menyebabkan hilang rasa khusyuk.

Abdullah bin Muhammad bin Ubaid meriwayatkan satu hadis, daripada Mujahid, ia berkata: Iblis mempunyai lima anak, masing-masing diberi tugas, iaitu Thabur, A'war, Masuth, Dasim dan Zalambur.
  1. Thabur berurusan menggoda orang yang ditimpa musibah agar meratap, mengoyak-ngoyak pakaian dan meratap ratapan jahiliah,
  2. A'war ditugaskan menggoda manusia melakukan zina,
  3. Masuth ditugaskan menggoda manusia agar mencampur-adukkan berita benar dengan palsu serta menimbulkan fitnah,
  4. Dasim pula menggoda suami agar marah isteri dan
  5. Zalambur menipu menyemarakkan manusia agar menipu ketika di pasar.

Nama-nama iblis dan syaitan yang termaktub dalam al-Quran juga daripada hadis-hadis serta fungsi masing-masing telah dijelaskan.

Banyak lagi nama iblis dan syaitan yang terdiri daripada golongan jin, namun nama-nama seperti tertera dalam e-mel yang saudari terima, iaitu du li lah, hir rob, kiyyau, kannak dan kannas tidak termasuk dalam nama-nama diperturunkan. Biarpun tidak mustahil andainya nama-nama yang terdapat dalam bacaan al-Fatihah yang cacat bacaan seperti tersebut dalam e-mel saudari, namun setelah meneliti nama-nama yang dikatakan wujud dalam al-Fatihah yang salah bacaannya dirasakan hanya rekaan belaka, tanpa sumber yang utuh atau boleh dipertanggungjawabkan.

Hanya satu nama iaitu Kannas atau tersebut dalam al-Munjid, yang bermaksud sesuatu yang disapu oleh penyapu. Walaupun demikian kalau ia dieja sebagai “khannas”, ia adalah merujuk kepada nama syaitan yang menahan dan melambat-lambatkan seseorang untuk zikrullah.

Dalam kitab-kitab fikah, yang membicarakan tentang bacaan al-Fatihah yang merupakan salah satu rukun sembahyang, nama-nama syaitan seperti didakwa saudari langsung tidak disentuh.

Disebut bahawa orang yang bersembahyang mesti memelihara semua huruf al-Fatihah juga segala tasydidnya. Andainya tergugur satu huruf atau satu tasydid atau. ditukar satu huruf al-Fatihah dengan huruf lain, ataupun rosak baris yang mengubahkan maknanya, maka tidak sahlah sembahyang yang dilakukan, andainya ia melakukan dengan sengaja dan ia ketahui mengubah maknanya.

Andainya keadaan ini berlaku dengan tidak sengaja, jahil dan tidak mengubah maknanya, maka tidak batallah sembahyang, tetapi hendaklah membacanya semula.

Implikasi daripada kandungan e-mel yang saudari terima boleh menyebabkan timbulnya kesan buruk. Orang yang tinggi pengaruh gangguan sembahyangnya, yang mengambil wuduk melebihi kebiasaan, berulang kali mengangkat takbir ketika niat, mengulangi huruf-huruf kesamaran ketika membaca al-Fatihah dan sering lupakan rakaat sembahyang akan berasakan sembahyang itu satu penyeksaan.

Lebih teruk ialah orang yang lupakan bacaan sembahyang dan berasa terganggu sebaik masuk waktu sembahyang. Bagi orang seperti ini sembahyang merupakan sesuatu yang meragut kebahagiaan daripada ketenangan hidupnya. Sebaliknya, jika ia tidak sembahyang, keadaan seperti ini tidak timbul. Kerana itu berkemungkinan seseorang itu akan terus meninggalkan sembahyang.

Keadaan akan menjadi lebih parah apabila orang yang terganggu sembahyangnya menyedari adanya sebutan nama-nama iblis atau syaitan dalam bacaan al-Fatihah. Orang yang bermasalah membaca al-Fatihah memang selalu silap ketika membacanya terutama pada huruf kesamaran, pada tasydid dan sebagainya. Kerana itu akal fikirannya akan tertumpu bahawa apa yang disebut dalam al-Fatihah melibatkan sebutan nama-nama iblis dan syaitan. Kerana itu besar kemungkinan bahawa mereka tidak akan sembahyang langsung, kerana ia hanya akan menyebut nama-nama iblis dan syaitan dalam sembahyang yang didirikan.

Nama-nama yang saudari sebutkan di atas tidak ada punca sandarannya. Sebenarnya kalau hendak dikeluarkan nama-nama dalam al-Fatihah, lalu didakwa sebagai nama syaitan, setiap kalimah itu boleh didakwa sebagai nama syaitan, kerana ia tidak ada punca sandarannya.

Persoalan remeh-temeh seperti ini hakikatnya tidak perlu ditonjolkan. Bagi pembaca pula, selain perlu merujuk kepada hukum, akal sendiri boleh memikiri tentang lojiknya. Terlalu banyak masalah di kalangan orang Islam yang masih belum selesai dan perlu diselesaikan. Jangan buang tenaga memikiri sesuatu yang tidak bermanfaat.

Dalam mempelajari ilmu fikah, termasuklah perkara-perkara yang berkaitan dengan fardu ain, kita banyak didedahkan dengan tafsiran yang berlainan daripada pendapat ulama yang muktabar, tentang hukum halal dan haram, najis atau suci.

Sayangnya, dalam keadaan tertentu, pembaca seolah-olah ditinggalkan begitu sahaja tanpa dapat memahami pendapat yang mana sewajarnya diikuti.

Dan apabila timbul persoalan-persoalan yang membicarakan sah atau tidaknya sesuatu sembahyang yang dilakukan, termasuklah sebutan nama-nama jin dan syaitan seperti saudari kemukakan, kecelaruan akan lebih ketara yang ada kalanya seumpama tidak ada jawapan. Sewajarnya persoalan-persoalan seperti ini bukan menjadi persoalan pokok yang perlu dihuraikan.

- PEMBACA yang ada kemusykilan alamatkanlah soalan kepada: Dr. Amran Kasimin
Lot 3673, Jalan Aman, Kg. Sungai Merab Luar, 43000 Kajang, Selangor.




Sumber : Utusan 16/07/2006

Capaian entry berkaitan :

Butiran selanjutnya ...
Related Posts with Thumbnails