“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Rabu, Mei 12, 2010

Syurga di tapak kaki? - Part 2


Assalamualaikum warahmatullah,

Lama saya tak masukkan entry untuk dikongsi di sini... Jangan terpedaya ek! Entry yang hari-hari keluar di sini telah diset (auto publish), jadi jika entry yang tiada komen peribadi daripada saya, ia hanyalah entry untuk tatapan dan simpanan serta rujukan akan datang untuk diri saya sendiri dan untuk anda yang sudi membacanya juga... :)

Beberapa hari dalam minggu lepas, saya sibuk berhujah di al-Falaah egrup, tentang ketaatan isteri kepada suami vs ibubapa. Apa yang dibahaskan itu sudahpun masuk ke mailbox Pejabat Mufti Negeri Selangor dan masih dalam proses menunggu jawapan dari MUIS. Insya Allah, jika jawapan Tuan Mufti Selangor sampai ke mailbox saya, saya akan kongsikan di sini untuk manafaat bersama.

Sebelum ini, dalam Part 1, saya telah memberi hujah tentang 'syurga di tapak kaki suami'... kali ini saya kongsikan pula 'syurga di tapak kaki ibu'. Dalam jalan-jalan mencari bahan, saya bertemu dengan rujukan ini : Media.isnet.org - Silsilah Hadits Dha'if dan Maudhu'Jilid 2. Katanya :



Hadis : Syurga Berada di Bawah Telapak Kaki Ibu
"Syurga berada dibawah telapak kaum ibu. Barangsiapa dikehendakinya maka dimasukkannya, dan barangsiapa dikehendaki maka dikeluarkan darinya."

STATUS : Hadits maudhu' (palsu). Telah diriwayatkan oleh Ibnu Adi (I/325) dan juga oleh al-Uqaili dalam adh-Dhu'afa dengan sanad dari Musa bin Muhammad bin Atha', dari Abul Malih, dari Maimun, dari Abdullah Ibnu Abbas r.a. Kemudian al-Uqaili mengatakan bahwa hadits ini mungkar.

Bahagian pertama dari riwayat tersebut mempunyai sanad lain, namun majoriti rijal sanadnya majhul. Untuk mengetahui makna yang shahih dari kandungan makna hadits tersebut, saya kira cukuplah dengan riwayat shahih yang dikeluarkan oleh Imam Nasa'i dan Thabrani dengan sanad hasan. Yaitu kisah seorang yang datang menghadap Rasulullah SAW seraya minta izin untuk ikut andil berjihad bersama Baginda SAW, maka baginda bertanya, "Adakah engkau masih mempunyai ibu?" Orang itu menjawab, "Ya, masih." Bagindapun kemudian bersabda, "Baik-baiklah dalam bergaul dengannya, karena sesungguhnya surga itu berada di bawah kedua kakinya."


Tentu ada yang tertanya-tanya, mengapa saya masukkan entry yang 'pelik' begini, ya? BUKANLAH hendak menyuruh kita semua tidak hormat atau hentikan berbakti kepada ibu kita, tetapi ia cuma satu makluman terdapat banyaknya hadis-hadis berstatus maudhu' (palsu) yang berlegar dan sebati dengan kita. Saya difahamkan, terdapat kira-kira 14,000 hadis palsu yang sengaja direka, atas tujuan apa, hanya Allah Taala dan yang menciptanya dahaja yang tahu tujuannya.

Kita memang dituntut berbuat baik kepada ibubapa, banyak dalilnya yang dapat kita lihat daripada al-Quran sendiri, tidak hanya yang dipelajari daripada hadis-hadis Nabi. Cuma pada pendapat saya, syurga itu amat amat amat tinggi darjatnya, agak tidak sesuai dikatakan terletak bawah tapak kaki... tidak kiralah kaki ibu apatah lagi kaki suami...

Mungkin orang-orang dahulu (sebelum saya dan anda lahir lagi) menyatakan syurga itu dikatakan terletak di bawah tapak-tapak kaki para ibu ada diterangkan melalui hadis yang diriwayatkan dari Ibn 'Abbas dan Anas r.a. Ada juga yang mengatakan sanad hadis ini dikatakan sebagai dhaif dan hasan. Sebab apa syurga dikatakan terletak di bawah tapak kaki ibu? Mungkin ia adalah perumpamaan yang menunjukkan betapa agung atau tingginya darjat seorang yang bergelar ibu.

Pada zaman Rasulullah SAW, baginda ditanya oleh seorang pemuda, “Siapakah orang yang paling perlu untuk saya berbuat baik?” Rasulullah menjawap, “Ibumu.” Bertanya pemuda itu lagi, “Selepas itu?” Rasulullah menjawap, “Ibumu. Selepas itu, ibumu, selepas itu, bapamu.” Ada juga pendapat mengatakan dua pertiga daripada khidmat bakti anak adalah untuk ibu dan hanya satu pertiga untuk bapa. Terutama apabila ibu sudah lanjut usia. Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya, “Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.” (Hadis riwayat al-Hakim)

Apa-apa pun, cuba-cubalah jika kita dapat elakkan daripada mengungkapkan 'syurga di tapak kaki'... sebab tak berapa sedap benar rasanya telinga kita mendengarnya dan tak berapa sedap juga mata kita membacanya...

Renung-renungkan!




Sumber rujukan : Media.isnet.org - Silsilah Hadits Dha'if dan Maudhu'Jilid 2

Capaian entry berkaitan :

Butiran selanjutnya ...

Hulur tanpa harap ganjaran

BANTU... umat Islam perlu menanamkan semangat dan jiwa untuk membantu golongan kurang bernasib baik.

BENAR, tangan memberi lebih baik daripada tangan yang menerima.

Menderma dan bersedekah pasti akan menambahkan rezeki buat kita. Itu adalah sebahagian cara mendapatkan kemurahan serta keberkatan rezeki. Namun, masih ramai di kalangan umat Islam bimbang dan tidak yakin jika dia mengeluarkan sedikit daripada rezeki yang diterima untuk dimanfaatkan kepada orang lain.

Hakim bin Hizam meriwayatkan, katanya: Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sedekah yang paling utama atau sedekah yang paling baik adalah sedekah daripada orang kaya dan tangan yang berada di atas itu lebih baik daripada tangan yang berada di bawah serta mulakanlah dengan orang yang berada di bawah tanggunganmu (isteri dan anak-anak)." (Hadis riwayat Muslim).

Maka sebagai umat Islam, kita perlu menanamkan semangat dan jiwa untuk membantu kalangan masyarakat yang kurang bernasib baik terutama kaum keluarga terdekat terlebih dahulu. Dalam hal ini, Rasulullah pernah berpesan soal nafkah dan didikan ahli keluarga hendaklah diutamakan.

CARI BERKAT...rezeki boleh diperoleh pada bila-bila masa asalkan ia dari sumber halal.

Daripada Abu Hurairah meriwayatkan: Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Jika salah seorang antara kamu keluar pada waktu pagi untuk mencari kayu, lalu dia memikulnya di atas belakangnya; kemudian dia bersedekah dengannya dan tidak mengharapkan pemberian daripada orang lain, maka itu adalah lebih baik baginya daripada meminta-minta daripada orang lain. Tanpa mengira sama ada orang itu memberi kepadanya atau tidak kerana tangan yang berada di atas itu lebih mulia daripada tangan yang berada di bawah dan mulalah dengan memberi nafkah atau mendidik orang yang berada di bawah tanggunganmu terlebih dulu." (Hadis riwayat al-Bukhari).

Manakala sikap 'berkira' perlu dielakkan kerana ia pasti menyempitkan peluang untuk memperoleh rezeki.

Sebenarnya ramai yang mengibaratkan apabila mereka berbelanja sudah pasti nilai duit atau harta itu semakin berkurangan. Mereka sebenarnya perlu berasa yakin rezeki itu akan bertambah sekiranya ia digunakan untuk tujuan kebaikan terutama membantu golongan memerlukan.

Kita juga biasa mendengar masyarakat kita mengungkapkan perkataan 'murah rezeki'. Ungkapan itu diucapkan sebagai doa atau ucapan terima kasih jika mereka menerima sesuatu. Rezeki yang dijanjikan Allah memang benar dan kadang kala manusia tidak menyedari Allah kurniakan rezeki itu dalam pelbagai cara.

Allah berfirman yang bermaksud: "Barang siapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan ke luar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu." (Surah at-Talaq ayat 2 hingga 3)

Islam tidak suka umatnya berpeluk tubuh. Selagi masih bertenaga dan sihat tubuh badan mereka perlu memberikan komitmen terhadap kerja tanpa mengharap bantuan daripada orang lain.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Cukuplah dosa yang dipikul oleh seseorang itu apabila dia mensia-siakan orang (isteri dan anak-anak) yang dalam tanggungannya." (Hadis riwayat Abu Daud)

Justeru, apa saja bentuk sumbangan dan pengorbanan yang kita lakukan seperti ilmu pengetahuan, tenaga, masa, nasihat perlu dilaksanakan dengan sebaiknya supaya rezeki kita bertambah luas.

Bagaimanapun, tidak ramai manusia mampu mencapai darjat berkenaan, malah ramai yang melakukan kebaikan, tetapi dalam masa sama masih mengharapkan ganjaran.

Kita perlu ketahui bahawa nikmat seperti rumah tangga bahagia, kesihatan baik serta keseronokan bekerja adalah hasil daripada keberkatan rezeki yang diterima.

Nabi bersabda yang bermaksud: "Perlakuan perkara kebaikan mampu menghalang dari terjerumus dalam keburukan, kecacatan dan kebinasaan." (At-Tabrani, Al-Haitahami sanadnya dari Hasan)

Namun Allah tetap akan menduga hamba-Nya bagi melihat sejauh mana keimanan serta kesabaran mereka jika ditimpa pelbagai ujian. Berusaha mencari rezeki halal sememangnya dituntut dalam Islam selain menganjurkan umatnya mencari rezeki pada awal pagi kerana di dalamnya penuh dengan keberkatan.

Al-Bazar, Thabrani fil Ausath meriwayatkan sebuah hadis nabi yang bermaksud: Dari Aisyah r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 'Berpagi-pagilah mencari rezeki, kerana sesungguhnya berpagi-pagi itu membawa berkat dan menghasilkan kemenangan.'

Bagi mereka yang liat bangun pada waktu pagi bermakna mereka menghambat atau menyekat rezekinya sendiri. Rasulullah amat memuji orang yang rajin berusaha sehingga jika dia pulang ke rumah pada waktu petang dengan keadaan letih maka dia beroleh keampunan daripada Allah.

Nabi bersabda yang bermaksud: "Tidak bertambah umur seseorang kecuali jika dia melakukan kebaikan dan tidak akan ditolak qadar Allah (iaitu qadar al-Mu'allaq) kecuali melalui doa dan sesungguhnya seseorang itu ditahan rezekinya disebabkan dosa-dosa yang sentiasa dilakukannya." (Riwayat Ibnu Majah, Ahmad Hadis Hasan)

Islam amat mementingkan kemajuan dunia dan akhirat. Ada juga yang kuat berusaha namun masih belum mencapai hasilnya. Dalam hal itu, seseorang Muslim perlu tahu bahawa tidak semua usaha yang dilakukan akan menampakkan hasil diharapkan. Ada yang cepat dan ada pula lambat. Allah berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu. Jika sesuatu usaha kita berhasil, maka janganlah pula kita berlagak dan sombong.

Pensyarah Jabatan Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Rahimi Md Saad, berkata kemurahan rezeki dapat digambarkan apabila seseorang itu memperoleh sesuatu dengan cara yang mudah.

"Itu yang dikatakan murah rezeki dan kadang kala Allah memberi ganjaran berkenaan walaupun usaha terhadap perkara itu dilakukan pada tahap minimum. Bahkan pada satu ketika, mereka memperoleh sesuatu tanpa sebarang usaha kerana Allah berikan atas keluasan kasih sayang-Nya," katanya.

Rahimi berkata keberkatan rezeki mengikut konsep Raghib al Asfahani adalah apabila merasakan sedikit itu banyak (mencukupi) manakala yang banyak pula akan terus berkekalan.

"Mengikut pandangan syarak, kita akan sentiasa merasa cukup dengan apa yang dimiliki dan memastikan ia digunakan ke arah kebaikan," katanya.

Beliau berkata sikap golongan kufur nikmat Allah adalah apabila merasakan apa yang dimiliki itu hasil usaha mereka sendiri.

"Mereka ingkar tanggungjawab terhadap harta berkenaan yang sepatutnya dikongsi dan diberikan sama kepada orang yang memerlukan. Membantu golongan susah adalah jalan terbaik bagi membuktikan kesyukuran kepada Allah SWT yang diberikan menerusi zakat (secara wajib) atau sedekah (pilihan)," katanya.

Rahimi berkata pagi adalah waktu terbaik keluar mencari rezeki dan ia adalah saranan Rasulullah SAW dalam mencapai keberkatan.


"Namun bagi mencapai keberkatan sebenarnya tidak terhad pada waktu itu saja kerana rezeki boleh diperoleh pada bila-bila masa asalkan dilakukan dengan cara dan sumber halal. Syarat asas memperoleh rezeki halal adalah takwa iaitu sentiasa memastikan kita tidak melanggar larangan Allah ketika berusaha mendapatkannya," katanya.

Sementara itu, Rahimi ketika mengulas penggunaan atau menggantung ayat seribu dinar di premis sebagai pelaris jualan berkata ia tidak salah, tetapi perlu beringat Allah memberi dan membuka hati pelanggan.

"Bukan ayat itu, tetapi Allah. Allah memerintahkan kepada kita jika inginkan rezeki murah bukan sekadar menggantungkan ayat, tetapi perlu mempraktikkan kandungan ayat itu. Antara amalan yang digalakkan adalah berdoa, berzikir dengan menyebut nama Allah yang berkait dengan sifat kemurahan Allah seperti al-Rahman, al-Rahim, al-Razzaq, al-Fattah, al-Syakur dan al-Karim. Jadikan nama ini sebagai zikir dan pembuka kepada doa atau permintaan kita," katanya.

Sumber : Mohd Fadly Samsudin [fadly@hmetro.com.my] di HMetro 02/04/2010


Butiran selanjutnya ...

Isnin, Mei 10, 2010

La Haula Wala Quwwata Illa Billah



Assalamualaikum warahmatullah,

Hari ini saya kongsikan lagi satu doa atau zikir yang elok dijadikan amalan sehari-hari.

Rasulullah SAW bersabda : “Perbanyakkanlah membaca La Haula Wala Quwwata Illa Billah kerana sesungguhnya bacaan ini adalah ubat bagi 99 penyakit, yang mana penyakit paling ringan adalah kebimbangan.” (Riwayat Al-Uqaili melalui Jabir r.a.)

La Haula Wala Quwwata Illa Billah bermaksud tidak ada daya dan kekuatan kecuali kekuatan Allah. La Haula Wala Quwwata Illa Billah juga boleh mengubati penyakit lupa. Syaitan juga memainkan peranan dalam membuatkan manusia lupa. Berzikirlah untuk mengingati Allah, ucaplah kalimah La Haula Wala Quwwata Illa Billah agar Allah melindungi kita daripada gangguan syaitan yang menyebabkan kita lupa.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Syaitan telah menguasai dan mempengaruhi mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa mengingati (ajaran dan amaran) Allah....” (Surah al-Mujaadilah 58:19)

Semasa peristiwa Israk Mikraj, kepada Rasulullah SAW, Nabi Ibrahim a.s. bersabda, “Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha’if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu La Haula Wala Quwwata Illa Billah.

Bahkan Allah jugalah yang memperjalankan Rasulullah SAW pada malam itu. Tidak ada daya dan kekuatan melainkan daripada-Nya.

Firman Allah SWT lagi yang bermaksud, “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Israa' 17:1)

Semasa menjawab azan, pada perkataan “hayya alas-solah” (marilah mengerjakan sembahyang), maka pada kalimah ini, hendaklah kita mengatakan La Haula Wala Quwwata Illa Billah (tiada daya dan upaya melainkan dengan izin Allah). Orang yang mendengar azan pun tidak mampu ke masjid sekiranya tidak ada pertolongan dari Allah.

Oleh itu mintalah pertolongan darinya dengan menyebut La Haula Wala Quwwata Illa Billah....

Selamat beramal...




Capaian entry berkaitan :
  1. Doa menghadapi tekanan
  2. Doa mohon dicukupkan keperluan
  3. Doa pelembut hati
  4. Doa memohon kesabaran dan mati dalam iman
  5. Doa Nabi Nuh mohon ampun
  6. Doa Nabi Yunus
  7. Doa memohon diberi kemudahan dalam segala urusan dan hajat

Butiran selanjutnya ...

Suami pukul isteri lambat masak mi



KENINGAU 9 Mei - Hanya kerana lewat menyiapkan mi segera apabila diarahkan, seorang wanita telah ditumbuk, ditendang dan dipijak oleh suaminya yang berang di rumah pasangan itu di Kampung Kota Ayangan dekat sini kelmarin.

Malah, apa yang lebih menyedihkan, mangsa turut disiram dengan air panas selain pakaiannya dikerat dengan parang oleh suspek sehingga menyebabkan wanita itu berbogel.

Ketua Polis daerah, Deputi Supritendan Zahari Mohamed berkata, suspek yang berusia 38 tahun telah ditahan selepas isterinya membuat laporan polis semalam.

"Dalam laporan yang dibuat mangsa, dia mendakwa suaminya bergegas ke dapur dan menyimbah mi segera yang sedang mendidih ke atas badannya sehingga menyebabkan dadanya melecur. Suspek yang merupakan seorang petani kemudian dikatakan mengejar mangsa yang melarikan diri ke luar rumah dan menarik rambut mangsa selain menumbuk dan memijak mangsa. Tidak cukup dengan itu, mangsa juga mendakwa ditarik naik ke atas rumah sebelum diugut dengan sebilah parang serta pakaian mangsa dikerat sedikit demi sedikit dengan parang," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian dada, paha dan hampir keseluruhan anggota badan akibat dipijak, kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Keningau. Beliau memberitahu, kes ini disiasat di bawah seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Sumber : Utusan 10/05/2010


Butiran selanjutnya ...

Kasih sayang pulihkan skizofrenia


ANTARA ciri-ciri umum skizofrenia ialah pesakit mungkin bertingkah laku yang pelik, luar biasa dan suka menyendiri.

RAI MAN berusia 30 tahun dan masih bujang. Dia menyewa sebuah pangsapuri di sekitar ibu kota. Sebelum memegang jawatan eksekutif di sebuah bank, dia pernah beberapa kali bekerja di tempat lain.

Ibunya seorang janda dan tinggal bersama anak sulungnya yang sudah berkahwin. Bapa Rai Man meninggal dunia sejak dia berumur 18 tahun. Hubungan Rai Man dengan bapanya amat renggang dan mereka jarang berkomunikasi dalam suasana yang mesra.

Mengikut kalendar Cina, Rai Man dilahirkan pada tahun naga - dipercayai membawa sial kepada bapanya. Sejak kelahirannya, bapanya mengidap penyakit paru-paru dan menghadapi kesukaran untuk menyara kehidupan seisi keluarga. Malang tak berbau, si bapa mengalami kemalangan jalan raya yang menyebabkan kakinya patah. Dalam keadaan yang melarat, si ibu terpaksa membantu menjaga anak orang lain untuk menampung rezeki. Sejak kecil, Rai Man tidak pernah menikmati perasaan kasih sayang daripada bapanya. Dia amat mendahagakan belaian dan manja daripada bapanya namun hasrat itu hanya tinggal impian.

Sejak bapanya meninggal dunia, hubungan seisi keluarga menjadi renggang. Rai Man jarang meluahkan perasaan kepada sesiapa. Kebelakangan ini, Rai Man menjadi amat tidak bermaya untuk bekerja. Dia sentiasa memberitahu kawan sekeliling bahawa ada orang ingin meragut nyawanya. Ketika di rumah atau di pejabat, Rai Man suka bersendirian dan bercakap seorang diri. Rakan sejawat serta ahli keluarga mula mengesan perbezaaan yang ketara dalam tingkah lakunya. Mereka berasa hairan mengapa Rai Man berkelakuan aneh dan seolah-olah hidup dalam fantasi.

Rai Man tidak datang ke pejabat selama tujuh hari berturut-turut tanpa memaklumkan majikannya. Ibu dan ahli keluarga yang bimbang dengan perkembangan itu mendampingi Rai Man untuk mengetahui masalah sebenar pemuda itu. Menurut Rai Man, kebelakangan ini dia diekori seseorang dengan tujuan merompak dan membunuhnya. Ketika mencurahkan perasaan hati, air mukanya cemas dan badannya menggeletar. Ibunya turut menangis teresak-esak dan berasa amat khuatir dengan keadaan anak yang tidak stabil. Ahli keluarga berasa hairan setelah melihat Rai Man cuba menyorok diri di belakang tirai kononnya si penjahat yang ingin membunuhnya ada di sebelah rumah.

Halusinasi

Pada tahap tersebut, dia mengalami tanda dramatik seperti melihat dan mendengar sesuatu yang tidak dilihat atau didengar oleh orang lain. Keadaan ini dinamakan sebagai halusinasi atau hallucination. Dia juga mempunyai kepercayaan yang tidak realistik jika dibanding dengan norma masyarakat. Contohnya menurut Rai Man, ketika dikejar oleh kumpulan pengganas, menutup mata dengan tapak tangan dan menyorok di belakang tirai kononnya boleh menyelamatkan nyawa. Keadaan ini digelar delusi atau delusion. Seisi keluarga amat bimbang dengan keadaan Rai Man dan mengajaknya tinggal bersama dengan mereka.

Dia hanya tidur lena selama tiga atau empat jam dan menimbulkan gangguan emosi kepada ahli keluarga yang lain. Pada suatu hari, Rai Man memberitahu ahli keluarga bahawa dia ingin keluar sebentar untuk membeli barangan. Namun, selepas beberapa jam dia masih tidak pulang. Selepas puas mencari, rupa-rupanya dia merayau di sepanjang jalan raya, seolah-olah tidak ada apa yang berlaku.

Kenapa Rai Man berkelakuan sedemikian? Adakah dia terlalu letih dan tertekan dengan kerjayanya sehingga mengalami tekanan emosi yang serius? Mungkinkah peninggalan bapanya sejak remaja meninggalkan kesan negatif yang begitu mendalam? Ataupun hubungan keluarga yang kurang baik melahirkan ketidakstabilan emosi sejak kecil?

Hakikatnya punca sebenar skizofrenia sukar diperolehi. Menerusi kisah benar ini, Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Monash Sunway, Dr. Tam Cai Lian berkongsi maklumat tentang skizofrenia.

Ciri-ciri umum skizofrenia

Melalui gabungan kisah Rai Man dengan tanda-tanda umum, didapati pada keseluruhannya, pengidap penyakit ini menunjukkan ciri-ciri seperti berikut:
  • Menunjukkan tingkah laku yang pelik dan luar biasa.
  • Suka bercakap dan ketawa bersendirian.
  • Tidak mengambil berat tentang rupa paras dan kesihatan diri.
  • Tidak kisah pandangan orang lain terhadap tingkah lakunya.
  • Pertuturannya sukar difahami dan seolah-olah menggunakan bahasa yang hanya difahami dirinya.
  • Sentiasa mempunyai anggapan palsu bahawa wujudnya orang lain yang mengekori, ingin mencedera, mengawal ataupun membunuhnya.
  • Sentiasa melakukan kesalahan, tidak dapat menumpukan perhatian terhadap kerjaya dan hilang keyakinan.
  • Suka berkeliaran dan kadang kala menghilangkan diri tanpa memaklumkan kepada ahli keluarga.
  • Suka bangun dengan kekerapan yang tinggi ketika tidur dan menghadapi masalah untuk tidur lena.

Cadangan rawatan yang berkesan
  • Rawatan berterusan iaitu melalui pengambilan tablet dan suntikan untuk beberapa tahun ataupun seumur hidup bagi kes yang serius.
  • Menjalani rawatan terapi elektrokonkulsif untuk kes yang serius.
  • Mengisikan masa untuk aktiviti seperti kerja dan belajar agar tidak mempunyai banyak masa lapang untuk memikirkan yang bukan-bukan.
  • Harus menerima kasih sayang dan sokongan moral daripada ahli keluarga dan rakan-rakan.
  • Menerima rawatan pakar yang terlatih.
  • Sentiasa meluahkan perasaan hati dengan mereka yang mesra dan sudi mendengar.

Sumber : Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah [adawiyah.koh@utusan.com.my] di Utusan 25/04/2010




Capaian entry berkaitan :
  1. Tekanan punca bunuh diri
  2. Psikosis penyakit kronik
  3. Penyakit Gila atau Skizofrenia boleh dirawat
  4. Hargai nyawa dan menangani konflik jiwa
  5. 30:100,000 rakyat bunuh diri setiap tahun
  6. Apabila lelaki guna 'kuasa'

Butiran selanjutnya ...

Ahad, Mei 09, 2010

Kaunselor Anda : Demi poligami

Demi poligami ~ gambar hiasan

SOALAN :

SAYA berusia 20-an, anak perempuan tunggal harapan ibu bapa, berpendidikan dan berjawatan tinggi serta ada rupa. Saya kini dilema, apakah wajar saya menuruti kehendak hati dan kekasih untuk bernikah di sempadan? Untuk pengetahuan Umi, kekasih saya sudah beristeri dua dan sudah pasti ibu bapa saya tidak mengizinkan kami berkahwin.

Pada masa sama, saya tidak mahu terjebak ke kancah maksiat. Kami bercadang mahu bernikah di sana kerana mahu merahsiakan perkahwinan ini sehinggalah usia saya mencecah 30-an iaitu apabila ibu bapa mengizinkan saya berkahwin. Ketika itu, kami akan berpura-pura nikah semula di Malaysia.

Penanti Jodoh

JAWAPAN :

SALAM kesabaran buat Penanti Jodoh, syukur dipanjatkan kepada Allah SWT kerana anda anak perempuan tunggal. Anak yang sudah dihantar ke dunia untuk menjadi permata hati dan harapan orang tua bergantung kasih di saat mereka tidak berdaya menunggu. Ini terbukti apabila anda dilahirkan sempurna walaupun ibu terpaksa melalui berbagai kesulitan fizikal, pening-pening, muntah-muntah dan berjuang antara hidup dan mati menghadirkan anda ke dunia ini tetap juga di anggap membahagiakan.

Akibat sulitnya tugas mengandung dan melahirkan anak maka dinobatkan ada syurga di kaki ibu. Tidak cium bau syurga jika melukakan hati ibu dan tidak akan dapat ampunan Allah SWT jika belum dapat keampunan ibu, malah reda Allah SWT ada dalam redanya Ibu. Tidakkah anda berasa terhutang budi dan jasa yang tidak akan mampu anda balas dengan apa-apa pun selain kasih sayang dan rasa cinta yang tidak berbelah bagi? Tidakkah anda berasa terhutang budi terhadap pengorbanan insan yang menyayangi dan mendidik anda sehingga berjaya seperti sekarang?

Jika inilah hadiah cinta ibu yang sanggup bergadai nyawa membawa anda ke dunia sehebat ini sekarang, maka sanggupkah anda membalas segala cinta agung itu dengan melawan dan membantah kemahuan serta sanggup merancang membelakangkan keluarga dalam urusan hidup anda dengan orang yang anda temui selepas berusia 20-an ini? Apa yang anda temui selepas memiliki semua hadiah daripada Allah SWT yang namanya kecantikan, kepandaian, kejayaan dan kedewasaan? Orang yang sudah mengheret anda ke neraka dengan cinta nafsu syahwat yang pantang melihat gadis cantik pasti jadi mangsa nafsu serakah yang tidak kenal puas, walaupun sudah ada dua isteri, bermodalkan status kekayaan dan status ahli perniagaannya yang dimilikinya.

Orang sama yang turut mengajar anda melakukan maksiat melawan Allah SWT dan Rasulullah, kini mengajar anda melawan ibu bapa yang selama ini bersusah payah menjadikan anda insan berjaya seperti sekarang. Manusia apa itu? Yang pasti bakal pasangan anda menjual cinta untuk membeli tiket ke neraka di dunia dan mungkin neraka di akhirat. Apa hebatnya cinta berbalut nafsu serakah hinggakan hilang hormat kepada anda sebagai anak yang masih ada keluarga, hilang hormat kepada anda sebagai gadis yang perlu dijaga kehormatan sebelum nikah dan berani menyentuhi anda tanpa rasa bersalah kepada Tuhan dan keluarga.

Lelaki sama yang kini mengajak anda melakukan satu lagi penghinaan kepada diri anda, keluarga dan undang-undang negara ini untuk memuaskan nafsunya dengan anda dengan bertopengkan alasan tidak mahu berada dalam maksiat lagi sedangkan dia sudah menghina anda dan keluarga dengan menarik anda jadi umpan nafsunya terlebih dulu! Dia memperlakukan anda tidak lebih daripada barangan di pasar malam, boleh saja diperlakukan mengikut telunjuknya tanpa segan silu bermodalkan cinta. Jika dia orang baik dia tidak akan berkahwin lebih daripada seorang dengan hanya bermodalkan ‘mampu.’ Sebenarnya orang kahwin ramai pada zaman ini hanya menggambarkan mereka tidak mampu merasa indahnya perkahwinan yang diredai Allah SWT. Mungkin semua perkahwinan kekasih anda itu pun menggunakan cara sedemikian.

Maka nasihat Umi, belajarlah mencintai Allah SWT terlebih dulu, kemudian mencintai diri sendiri dan mencintai keluarga sebelum menghargai cinta orang lain. Mengapa anda sanggup mengenepi malah merancang untuk menipu ibu bapa malah melawan ibu bapa secara senyap dan tersembunyi. Mahukah anda diperlakukan sedemikian oleh anak anda sedemikian rupa, kerana Allah SWT menentukan apa yang anda semai itulah yang anda tuai.

Sebelum menempah perkahwinan yang tidak direstui, belajarlah mendapat restu Allah SWT dan kedua orang tua dulu kerana jika anda hilang hidayah Allah SWT maka pasti anda tidak akan bertemu bahagia yang diimpikan biarpun anda bertilamkan harta benda. Jika bakal suami boleh berkahwin dua, tidak tidak mustahil dia akan berkahwin empat dan anda akan menjadi seperti isteri-isterinya yang lain.

Belajarlah menjadi anak yang tahu mengenang jasa walaupun tidak mampu membalas jasa. Jika selama ini diberi susu janganlah berusaha membalasnya dengan tuba. Renungkanlah selagi ada kesempatan untuk membuat pilihan.

Bagi pembaca yang ingin berkongsi masalah dan pendapat dengan Dr Rubiah K Hamzah, anda boleh menghantar soalan anda ke alamat Ruangan Kaunselor Anda, Berita Minggu, 31, Balai Berita, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau e-mel bminggu@bharian.com.my

Sumber : Dr Rubiah K Hamzah di BHarian 09/05/2010


Butiran selanjutnya ...

Usah biarkan sayang bertukar benci…


Assalamualaikum warahmatullah,

Petikan mesej di bawah ini saya terima daripada SIM egrup, pada pendapat saya, ia pilihan yang agak menarik untuk dikongsikan bersama di Laman-Seri.

MINTA NASIHAT : Nak hilangkan rasa benci pada suami. Saya sudah 1 tahun setengah berkahwin, mempunyai anak berusia 7 bulan. Masalah saya ialah sejak mengandung perasaan benci pada suami meluap-luap. Pada mulanya saya sangka pembawaan budak. Apabila diteliti dari sejak berkahwin lagi saya berperasaan begitu. Perkahwinan kami atas dasar cinta, tak tahulah mana silapnya….

Yang berharap,
as
Tamat Petikan


Macam-macam feedback yang masuk ke mailbox berkaitan posting ini, bila dan terlalu banyak, saya tak baca dan delete sahaja, sebab kebanyakkan isinya lebih kurang sama dan berulang-ulang kerana telah disebut oleh sahabat yang lain. Disebabkan PnSuzanaGhazali pernah menulis tentang ini hal yang sama, ada manafaatnya saya kongsikan di Laman-Seri, insya Allah.

Dalam al-Quran jelas menyebut, firman Allah SWT dalam surah ar-Ruum ayat 21, yang bermaksud, “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya ialah Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu cenderung (bersenang hati) dan merasa tenteram (hidup mesra) dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan rasa kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berpikir.”

Apabila rasa sayang yang sepatutnya wujud dan terus mekar di antara pasangan suami isteri berubah menjadi BENCI, sudah tentulah ia petanda yang tidak baik. Mana mungkin sepasang suami isteri dapat hidup bersama apabila tiada lagi kasih sayang, paling ditakuti rasa kasih dan sayang tersebut bertukar menjadi kebencian dan dendam yang mendalam, nauzubillah!

Saya sering membaca artikel Motivasi dan PnSuzanaGhazali juga acap-kali menegaskan betapa pentingnya setiap individu, suami dan isteri; [NB: BUKAN satu pihak sahaja] kedua-duanya hendaklah terus menerus menyemarakkan hubungan kasih dan sayang. Ini penting kerana kasih dan sayang bermula daripada tiada, maka bila ia telah ada dan tidak ada usaha untuk mengekalkannya, maka ia akan kurang sedikit demi sedikit dan tidak mustahil satu hari nanti akan terus hilang. Logik akalnya, jika kita menanam sebiji benih, tanpa mahu menyiram, membaja, merumput dan sebagainya, agak-agaknya bolehkah biji benih itu tumbuh atau membesar dengan subur dan mengeluarkan hasilnya?

Ikhlas menyayangi

Daripada permasalahan yang dilontarkan dalam email di atas, saya tidak pasti apa punca kebencian yang wujud di hati si isteri. Lazimnya, kebanyakan isteri akan sanggup bertahan, terus menyimpan dan mencurahkan rasa sayang sekiranya yakin si suami masih ikhlas menyayangi mereka.

Apakah tanda ikhlas menyayangi? Memang sukar hendak dibuktikan, namun mengikut telahan hati dan perasaan masing-masing, selagi percaya bahawa suami tidak menipu mereka, si suami tidak mempunyai orang ketiga dan si suami pandai menjaga hati dan perasaan mereka, selagi itulah cinta, kasih dan sayang mereka tetap unggul dan ampuh di tahta teratas, biarpun terpaksa mengambil alih 100% tugas dan tanggungjawab suami menguruskan perbelanjaan rumahtangga. Namun, keBIASAannya bila kesetiaan dan pengorbanan dikhianati, cinta teratas tadi boleh runtuh serta-merta dan bertukar menjadi benci. Isteri yang lemah lembut gemalai tidak mustahil berubah menjadi singa lapar lagaknya.

Kenal pasti punca benci

Sekadar peringatan, jangan izinkan kasih sayang yang ada bertukar menjadi benci. Jika kebencian tetap wujud dan hadir menggantikan kasih sayang tersebut, perlu ada tindakan yang diambil. Paling penting, kenal pasti punca wujudnya kebencian tersebut.

Kemudian, berbincanglah dengan pasangan anda bagi menangani permasalahan yang berlaku agar kebencian boleh hilang dan kasih sayang boleh bertapak dan mekar semula. Ada sesetengah pasangan yang sukar untuk berbincang, dinasihatkan carilah orang yang boleh dipercayai untuk menjadi orang tengah bagi menyelesaikan masalah anda. Apa juga caranya, selesaikan punca permasalahan yang menyebabkan kebencian itu wujud.

Anda tidak boleh membiarkan kebencian tersebut berterusan, tidak baik untuk pasangan anda, tidak baik juga untuk anda, anak-anak anda, rumahtangga anda dan mereka yang lain yang terlibat dengan perkahwinan anda dan pasangan anda.

Asas mudah, perkahwinan adalah untuk pasangan suami isteri saling sayang menyayangi. Bukan itu sahaja, seorang isteri wajib mempunyai rasa hormat terhadap suaminya. Jika hanya ada kebencian, sudah tentulah rasa hormat pun turut hilang. Keadaan ini tidak dibenarkan syarak. Oleh kerana itu jugalah, Islam menghalalkan perceraian walaupun hakikatnya perceraian adalah perkara yang amat dibenci oleh Allah SWT.

Kita sedia maklum, perkahwinan yang dianjurkan oleh syarak mempunyai prinsip dan hikmah yang tersendiri, antaranya untuk saling berkongsi kasih dan sayang di samping memenuhi keperluan hidup masing-masing. Apabila peranan dan tanggungjawab yang digariskan oleh syarak, gagal dipenuhi dan dijalankan sebaiknya oleh masing-masing pihak, maka kasih dan sayang akan bertukar menjadi benci dan dendam. Perasaan benci dan dendam semestinya tidak sepatutnya wajar ada di dalam sebuah perkahwinan dan institusi kekeluargaan, maka jalan terbaik ialah keluar daripada perkahwinan, agar masing-masing pihak tidak berterusan membenci dan melakukan dosa kepada-Nya, lantaran kegagalan memenuhi tanggungjawab yang wajib dipenuhi.

Jangan salahkan kebencian atau kesan kebencian tersebut tetapi koreksilah diri, atasi masalah yang berlaku agar kasih sayang terus bersemarak mekar hingga ajal menggamit. Panjatkan doa kepada-Nya, agar kasih sayang anda dan pasangan anda terus kekal mekar dan bahagia hingga ke syurga…

Be careless in your dress if you will, but keep a tidy soul ~ Mark Twain


Butiran selanjutnya ...

SELAMAT HARi iBU


Assalamualaikum warahmatullah,

Sempena sambutan Hari Ibu Sedunia yang diraikan setiap 10 May, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat hari ibu, kepada semua ibu dan juga bakal ibu yang membaca blog ini.

Semoga gembira selalu, diberkati dan beroleh kebahagiaan di dunia dan akhirat. Sebagai manusia kita dilahirkan melalui perut ibu, ibu jugalah yang menyusukan dan menyuapkan kita dikala kita lapar dan dahaga.



Ibu jugalah yang setia menemani kita dikala kesedihan dan kesepian. Ketika kita gembira juga, ibu insan pertama yang berkongsi kegembiraan bersama kita. Ketika kita sakit, ibu juga yang bersengkang mata untuk kita, malahan banyak lagi perkara lain yang ibu lakukan terhadap kita, yang tidak dapat dibanding dengan orang lain.

Tidak kira tohmahan atau kejian yang diterima oleh ibu, lantaran sikap buruk kita. Cintailah ibu dengan sepenuh cinta. Semoga kita menjadi ibu yg terbaik buat anak-anak kita. Amiin..



Ya Allah, wanita yang membaca mesej ini adalah seorang ibu yang cantik, kuat, sabar dan saya menyayanginya.
Kau tingkatkanlah kehidupannya dengan rezeki yang berkat,
kau rahmatilah setiap langkahnya dalam mencari rezeki keluarganya.
Kau bersihkanlah hatinya...
kau kuatkanlah imannya...
Kau peliharakanlah dirinya daripada fitnah dunia...
Amiin.. Ya rabbal alamiin...


Butiran selanjutnya ...

Sabtu, Mei 08, 2010

Q&A : Larang doakan orang kafir

SOALAN:

SAYA adalah saudara Muslim. Baru-baru ini ibu saya (Kristian) meninggal dunia. Sayangnya saya tidak sempat mengajaknya memeluk Islam. Saya amat sedih.

Adakah saya boleh mendoakan ibu saya sebagai mana anak-anak Muslim boleh mendoakan ibu bapa yang telah meninggal dunia?

JAWAPAN:

Niat anda sangat murni sebagai seorang anak yang secara fitrahnya menyayangi ibu bapa yang telah membawanya ke dunia ini. Malangnya, harapan yang sama juga tidak dapat direalisasikan, hatta para nabi atas titah perintah daripada Allah SWT yang lebih berhak ke atas kita para makhluk-Nya.

Al-Quran merakamkan kisah Nabi Ibrahim a.s. dengan ayahandanya di dalam surah al-Mumtahanah ayat 1-9 yang bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (SAW) dan juga mengeluarkan kamu (dari Tanah Suci Mekah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalan-Ku dan untuk mencari keredaan-Ku. (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah ia dari jalan yang betul. [1] Jika mereka dapat menguasai kamu, nescaya mereka menjadi musuh yang membahayakan kamu, dan mereka akan membebaskan tangan mereka dan lidah mereka terhadap kamu dengan kejahatan, serta mereka suka kalaulah kamu juga menjadi kafir (seperti mereka). [2] Kaum kerabat kamu dan anak-anak kamu (yang tidak menurut kamu beriman) tidak sekali-kali akan mendatangkan sebarang faedah kepada kamu pada hari kiamat; Allah akan memisahkan di antara kamu semua (pada hari itu). Dan (ingatlah), Allah Maha Melihat segala yang kamu kerjakan. [3] Sesungguhnya adalah bagi kamu pada perwatakan Nabi Ibrahim (a.s) dan pengikut-pengikutnya - contoh ikutan yang baik, semasa mereka berkata kepada kaumnya (yang kufur ingkar): "Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah yang lain dari Allah; kami kufur ingkarkan (segala penyembahan) kamu dan (dengan ini) nyatalah perasaan permusuhan dan kebencian di antara kami dengan kamu selama-lamanya, sehingga kamu menyembah Allah semata-mata", tetapi janganlah dicontohi perkataan Nabi Ibrahim kepada bapanya (katanya): "Aku akan memohon kepada Tuhanku mengampun dosamu, dan aku tidak berkuasa menahan (azab seksa) dari Allah sedikit juapun daripada menimpamu". (Berdoalah wahai orang-orang yang beriman sebagaimana Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya berdoa ketika mereka memusuhi kaumnya yang kafir, dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Kepada Engkaulah sahaja kami berserah diri, dan kepada Engkaulah kami rujuk bertaubat, serta kepada Engkaulah jua tempat kembali! [4] Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan pendirian dan keyakinan kami terpesong kerana penindasan orang-orang kafir, dan ampunkanlah dosa kami wahai Tuhan kami; sesungguhnya Engkaulah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana". [5] Demi sesungguhnya! Adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan (balasan baik) hari akhirat. Dan sesiapa yang berpaling daripada mencontohi mereka, (maka padahnya akan menimpa dirinya sendiri), kerana sesungguhnya Allah Dialah Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji. [6] Semoga Allah akan mengadakan perasaan kasih sayang antara kamu dengan orang-orang yang kamu musuhi dari kerabat kamu itu (dengan jalan menjadikan mereka insaf dan memeluk Islam). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa (atas tiap-tiap sesuatu), dan Allah Maha pengampun, lagi Maha Mengasihani. [7] Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. [8] Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. [9]

Satu lagi kisah yang hampir sama diriwayatkan oleh Muslim (No. 976) dalam satu hadis dari Abu Hurairah Abu Hurairah berkata: Rasulullah SAW bersabda: Aku telah meminta izin Tuhanku agar aku boleh meminta ampun untuk ibuku tetapi Dia tidak mengizinkan untukku. Aku juga telah meminta izin-Nya agar aku dapat menziarahi kuburnya lalu Dia mengizinkannya untukku.

Malahan al-Quran juga merakamkan larangan mendoakan orang kafir ini dalam surah al-Taubah, ayat 113-114: Tidaklah dibenarkan bagi nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka. [113] Dan bukanlah istighfar Nabi Ibrahim bagi bapanya (dibuat) melainkan kerana adanya janji yang dijanjikan kepadanya; dan apabila ternyata kepada Nabi Ibrahim bahawa bapanya musuh bagi Allah, ia pun berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu lembut hati lagi penyabar. [114]

Status 'orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka' dalam ayat di atas tidak mengecualikan hatta bapa Rasulullah SAW sendiri di mana dalam satu hadis riwayat Muslim (No. 203) yang sanadnya daripada Anas r.a. bahawa seorang lelaki bertanya: Wahai Rasulullah, di manakah ayahku?" Nabi menjawab: "Di dalam neraka". Apabila lelaki itu berpusing untuk pergi, baginda memanggilnya lalu berkata: "Sesungguhnya ayahku dan ayahmu di dalam neraka.

Menurut al-Imam al-Nawawi r.a.: "Berdasarkan hadis ini, sesiapa yang mati dalam keadaan kafir maka dia akan berada di dalam neraka dan dia tidak akan dapat disyafaatkan oleh hubungan kekeluargaan ahli keluarganya yang terdekat."

Kesimpulannya, tidak dibenarkan orang Islam untuk mendoakan kepada orang kafir keampunan atau rahmat atau berusaha menyedekahkan pahala dalam apa jua bentuk untuk bekalan Akhirat mereka.

Doa yang dibenarkan ialah semoga Allah memberi hidayah kepada mereka semasa mereka masih hidup.

Wallah u'alam.

Sumber : Utusan 16/04/2010


Butiran selanjutnya ...

Jumaat, Mei 07, 2010

Q&A : Tanggungjawab suami uruskan rumah


SOALAN :


Saya membaca sebuah buku berjudul Fatwa-Fatwa Mufti Kerajaan Johor karangan Datuk Syed Alawi Tahir al-Haddad, cetakan ketiga, tahun 1981, halaman 184-185. Buku ini menyatakan tidak wajib atas isteri menjalankan kerja-kerja seperti membersih rumah, mencuci pakaian, mengasuh anak-anak dan menyediakan makanan.

Jika isteri melakukan semua itu, ia berhak menuntut gantian dengan harga sebagai upah. Kewajipan isteri, menurutnya, hanya taat dan menyerah diri kepada suami bagi memuaskan kehendaknya serta tinggal dalam rumah dan tidak boleh keluar tanpa izin.

Pada pendapat saya suami isteri perlu tolong-menolong dalam segala hal termasuk kerja-kerja rumah lebih-lebih lagi jika isteri juga berkerja untuk membantu meringankan beban suami.

Soalan saya, benarkah pendapat ini? Setahu saya apa yang disebutkan itu bertentangan dengan amalan dalam masyarakat Melayu hari ini. Saya harap tuan jelaskan kewajipan sebenar suami, isteri sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran dan hadis.

Norimah norimahrazak@petronas.com.my

JAWAPAN :

Pendapat tersebut memang betul dan sesiapa sahaja boleh mengamalkan jika berkemampuan.

Sumber : JAKiM

Capaian entry berkaitan :

  1. Suami dengar nasihat isteri
  2. Awas, suami perdaya isteri!
  3. Nasib isteri tak pegang duit
  4. Memperkasakan pelajar lelaki
  5. Jadilah suami idaman
  6. Benarkah Tugas Istri Itu Mengurus Rumahtangga?
  7. Nafkah isteri - Kewajipan Suami Menyediakan Pembantu
  8. Batas-batas taat seorang isteri kepada suami
  9. Ramai suami tak berilmu?

Butiran selanjutnya ...

Kenali pasangan menerusi makanan

Keperibadian dan watak pasangan anda boleh dilihat menerusi makanan yang diambilnya.


Assalamualaikum warahmatullah,

Alhamdulillah kita bertemu lagi di pagi Jumaat yang ceria ini. Hari ini saya kongsikan tips-tips mengenali pasangan anda menerusi makanan yang diambilnya.

MEMANG terdapat banyak cara untuk menilai keperibadian pasangan. Ia boleh dilakukan menerusi penelitian dan pemerhatian. Proses tersebut pula bukanlah mudah. Justeru sifat pasangan anda semasa tempoh bercinta atau berbulan madu tidak boleh dijadikan ukuran untuk menilai keperibadiannya yang sebenar.

Tapi salah satu cara untuk anda mengenali keperibadian pasangan ialah dengan memerhati apa yang menjadi makanan kegemarannya. Ia mudah dan boleh memberi banyak gambaran jelas tentang sifat sebenar pasangan anda itu.

Berdasarkan kaji selidik yang dilakukan seorang penyelidik di Barat, Baxters, terhadap rakyat Inggeris dan Scotland mendapati bahawa kebanyakan lelaki atau wanita yang gemar memakan sayuran jenis wortel atau sayuran jenis umbi akar atau bulb seperti bawang, kentang, karot, lobak putih (radish), umumnya memiliki sifat pengasih dan berfikiran luas. Tapi sayangnya juga, orang yang suka memakan sayuran jenis ini, juga memiliki sikap ekstrovert (peramah) dan agak bersifat bossy (suka mengarah).

Bila pasangan anda seorang yang amat suka makan ayam goreng, ayam kuah opor dan berbagai masakan dari ayam, maka dia adalah jenis orang yang selalu bersikap realistik. Dia juga seorang yang berfikiran logik dan boleh mempertimbangkan sesuatu perkara dengan rasional. Pasangan jenis ini amat jarang melibatkan perasaan dalam menilai sesuatu perkara.

Jika pasangan anda jenis yang setia pada ubat-ubatan seperti multi vitamin, jamu dan sebagainya, maka anda janganlah merasakan dia seorang yang begitu cerewet. Ini kerana, menurut kajian yang telah dijalankan oleh Baxters, golongan seperti ini sebenarnya mempunyai tahap kesetiaan yang tinggi. Buktinya, sebanyak 92% orang Inggeris dan Scotland yang memang mendisiplinkan diri dengan pengambilan vitamin tambahan juga adalah seorang yang terbukti setia pada pasangannya.

Apabila pasangan anda gemar makan makanan dari jenis mee sama ada mee segera atau yang telah dibuat kuah seperti mee sup, dia sebenarnya berkecenderungan memiliki personaliti berdikari. [NB : Tips menarik nih!] Mengikut kajian Baxters lagi, golongan yang banyak mengambil makanan jenis mee terutama mee segera ialah golongan mahasiswa. Golongan ini memang biasanya boleh hidup dengan sendiri tanpa bergantung pada orang lain.

Lain pula halnya dengan golongan yang suka makan minestrone, sejenis sup yang disertai mi yang diperbuat daripada gandum yang dipotong kecil, golongan ini kata Baxters amat suka kepada kesempurnaan (perfectionist).

Adakah pasangan anda suka makan buah tomato? Anda bertuah kerana pasangan anda itu sebenarnya mempunyai sifat berani dan bersemangat tinggi. Tapi ada juga yang berpendapat bahawa mereka yang gemar makan sup tomato pula adalah dari jenis yang mudah tergoda dengan rayuan.

Apa lagi cuba perhatikan pasangan anda, apakah makanan kegemarannya?




Artikel asal dipetik dari sumber : Noor FazRina KamaL di Utusan 04/05/2010

Butiran selanjutnya ...

Hati yang sejahtera - Part 3


Assalamualaikum warahmatullah,

Semua orang inginkan kejayaan, tetapi tidak ramai yang tahu jalan untuk mencapainya dan bagi mereka yang tahu, tidak ramai pula yang sanggup membayar harganya. Usaha untuk berjaya akan tersasar jika konsep kejayaan yang difahami itu sendiri tidak tepat.

Ada yang menganggap kejayaan bergantung kepada nasib, atau kepada peluang, kepada kuat bekerja, kepada perhubungan (cable), kepada pengiktirafan dan pelbagai lagi.

Kejayaan itu sebenarnya bukan suatu destinasi atau kedudukan yang diidamkan. Kejayaan adalah peningkatan kualiti hidup setiap hari secara istiqamah dalam semua aspek kehidupan. Peningkatan kualiti hidup hanya boleh berlaku apabila seseorang itu berupaya membangunkan dirinya dalam semua aspek secara istiqamah pada setiap hari.

Usaha membangunkan diri secara istiqamah hanya boleh berlaku apabila seseorang itu mampu membuat pilihan yang baik dan tepat setiap hari dan mampu melaksanakan setiap keputusannya sehingga mencapai apa yang diinginkan. Mengikut kajian, seseorang manusia purata membuat 200 hingga 300 keputusan setiap hari.

Apakah faktor yang menentukan sama ada keputusan yang dibuat itu tepat atau tidak? Kalau pun tepat, tepat mengikut kehendak siapa? Untuk membolehkan seseorang membuat keputusan yang tepat, perlu diselaraskan terlebih dahulu keinginannya dengan kehendak Penciptanya yang bersifat Maha Mengetahui terhadap keperluan diri manusia.

Hidup untuk beribadah

Allah SWT telah berfirman yang bermaksud, “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah (beribadah) kepada-Ku.” (Surah adz-Dzaariyaat [051] ayat 56)

Tujuan manusia itu diciptakan hanya sanya, semata-mata untuk beribadah kepada Allah SWT, tiada tujuan yang lain. Ulama membahagikan ibadah kepada tiga bentuk iaitu :

  1. Ibadah asas, yakni kepercayaan kepada enam rukun iman dan penghayatan kepada lima rukun Islam
  2. Ibadah sunat, iaitu segala amalan sunat dan
  3. Ibadah umum, iaitu semua aktiviti selain daripada ibadah asas dan sunat

Ketiga-tiga bentuk ibadah ini mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia. Dalam erti kata lain, keputusan tepat yang perlu dibuat oleh seseorang adalah menentukan setiap pilihan selaras dengan tujuan dia diciptakan. Jika manusia memilih untuk tidak berfungsi mengikut tujuan dia diciptakan, maka dia telah merosakkan dirinya secara tidak sedar.

Biasanya manusia bertindak bukan atas dorongan apa yang difikirkan baik, benar dan betul, tetapi mereka bertindak atas dorongan apa yang diinginkan, apa yang tersentuh di hatinya; apa yang dirasa baik, benar dan betul pada pandangannya. Hati manusia ditempa oleh apa yang lazim difikirkan, apa yang lazim diucapkan, dilihat, didengar, dialami dan apa yang biasa dilakukan. Kalau input yang masuk itu baik, maka baiklah keinginan hatinya, sebaliknya kalau yang masuk itu tidak baik, tidak tepat, maka tidak baik dan tidak tepat pula keinginan hatinya; justeru mendorong kepada tindakan yang salah.

Rasulullah SAW bersabda, “Dalam diri anak Adam itu ada seketul daging. Bila baik daging itu, baiklah seluruh jasad. Bila rosak dan busuk daging itu jahatlah seluruh jasad. Ketahuilah, itulah hati.” (Hadis riwayat Muslim)

Hati yang sejahtera

Dalam kehidupan di dunia ini, Allah SWT yang bersifat Maha Bijaksana telah mensyaratkan supaya manusia berusaha untuk memiliki hati yang sejahtera, untuk layak diterima sebagai hamba-Nya di akhirat kelak.

Para hukama ada menyebut : “Hendaklah anda membenarkan ucapan dengan amalan. Membenarkan amalan dengan niat dan ikhlas. Membenarkan niat dan ikhlas dengan membersihkan batin dan meluruskan hati, kerana hati itu adalah asal dan punca segala perkara.”

Memiliki hati yang sejahtera sepatutnya menjadi agenda utama setiap Muslim. Lantaran iatu mengetahui dan memahami gambaran hati yang selamat sejahtera itu merupakan suatu perkara yang sangat kritikal. Ulama telah mejelaskan hati yang sejahtera adalah hati yang bebas daripada syirik dalam apa jua bentuk. Hati yang tunduk dan patuh kepada Allah SWT, yang berakhlak sesama manusia, hati yang dapat memberi respons positif terhadap semua perkara, walaupun negatif.

Hati yang begini, adalah hati yang kenal mana yang baik, yang kurang baik; mana yang tepat, yang kurang tepat. Hati yang begini mampu membuat pilihan yang tepat dalam kehidupannya dan mampu pula untuk menggerakkan dirinya untuk mengambil tindakan terhadap keputusan yang telah dibuat.

Sebaik-baik manusia

Peningkatan diri seseorang bermula daripada keupayaan membuat pilihan yang baik dan tepat pada setiap hari. Daripada keputusan yang baik dan tepat dan keupayaan melaksanakan keputusan itu untuk membolehkan dia memiliki tabiat yang baik pula.

Apabila seseorang dapat memiliki tabiat yang lebih baik, ini bererti dia berjaya memiliki akhlak yang lebih baik. Orang yang berjaya memiliki akhlak yang lebih baik, bererti telah berjaya menjadikan dirinya lebih berharga. Seseorang yang berupaya menjadikan dirinya lebih berharga, menjadikan dia memberi dan menyumbang kebaikan dengan lebih banyak. Lebih banyak seseorang itu dapat memberi dan menyumbang kebaikan kepada manusia lain, lebih berjayalah kehidupannya di dunia ini dan berjaya pula di akhirat, insya Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sebaik-baik manusia, manusia yang paling banyak dapat memberi manafaat kepada orang lain.”




Sumber : Hj Ahmad Salim Omar (Solusi Kompilasi)

Capaian entry berkaitan :
  1. Hati yang sejahtera - Part 1
  2. Hati yang sejahtera - Part 2

Butiran selanjutnya ...

Khamis, Mei 06, 2010

Lagi isteri dicederakan suami akibat minta cerai



KUALA LUMPUR 5 Mei - Jika di Melaka, semalam, seorang anggota tentera cuba menoreh kemaluan isterinya dengan pisau, kejadian hampir sama berlaku lagi di Bukit Beruntung dekat sini.

Kali ini, seorang isteri cedera parah selepas ditendang dengan kasut but dan dipukul dengan topi keledar oleh suaminya, hanya kerana wanita itu menulis surat untuk meminta diceraikan. Insiden keganasan rumahtangga tersebut dilaporkan berlaku pada Sabtu lalu selepas suspek mengesyaki isterinya menjalin hubungan dengan lelaki lain.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Yahya Affandi ketika mengesahkan perkara itu berkata, suspek, seorang peniaga pasar malam berusia 51 tahun, 'naik angin' apabila menerima surat daripada isterinya yang minta diceraikan. Menurutnya, suspek percaya isterinya berusia 33 tahun yang bekerja sebagai pembantu di sebuah pasar raya di Bukit Beruntung berbuat demikian kerana mempunyai teman lelaki.

"Akibat cemburu, suspek hilang pertimbangan dan bertindak memukul dan menendang isterinya dengan kasut but dan topi keledar. Ekoran itu, wanita malang tersebut terpaksa dirawat di Hospital Sungai Buloh akibat lebam di beberapa anggota badan selain patah kaki," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Polis yang menerima laporan mengenai kejadian itu kemudian menahan suspek di rumahnya pada hari sama. Suspek kemudian ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. Tambahnya, suspek akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bahru esok.

Menurutnya, pasangan suami isteri itu mempunyai tiga anak perempuan berusia antara 6 dan 11 tahun. Kejadian terbabit merupakan kes keganasan rumahtangga ketiga dilaporkan berlaku di negara ini dalam tempoh empat hari.

Sumber : Utusan 06/05/2010



Semalam di Taman Bertam Perdana, Melaka, seorang jururawat, Hashimah Nong, 40, dimasukkan ke Hospital Melaka selepas kemaluannya cuba ditoreh oleh suaminya, seorang anggota tentera berusia 40-an. Suspek dikatakan berkelakuan kejam gara-gara mendengar 'bisikan suara halus' di dalam rumahnya yang mengatakan isterinya itu mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain. Rujuk [Suami cuba toreh kemaluan isteri].

Terdahulu di Kuala Lipis, Pahang, kelmarin, seorang isteri, Rosmawati Abdul Rahman, 39, menemui ajal akibat kepalanya dihentak, selain perut, dada dan paha dipijak oleh suaminya yang tiba-tiba naik angin. Kejadian kira-kira pukul 5 petang itu berlaku selepas anak pasangan terbabit mengadu kepada suspek berusia 46 tahun bahawa ibunya bercakap dengan seorang lelaki menerusi telefon di rumah mereka di Ladang Selborne, Kampung Padang Tengku, Kuala Lipis. [Bunuh isteri: Lelaki serah diri kepada polis]


Butiran selanjutnya ...

Sepuluh kes penderaan suami terhadap isteri setiap hari di Perak



IPOH 5 Mei - Sekurang-kurangnya 10 kes membabitkan penderaan suami terhadap isteri berlaku di Perak setiap hari.

Presiden Persatuan Wanita Perak Untuk Wanita (Pww), Dr. Sharifah Halimah Jaafar yang mendedahkan mengenai perkara tersebut berkata, daripada statistik itu, hanya empat atau lima kes dilaporkan kepada pihak polis. Beliau mendakwa, perkara tersebut berlaku kerana sikap segelintir pihak termasuk polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang lepas tangan dalam menangani isu keganasan terhadap wanita.

"Setiap hari Pww menerima antara empat hingga lima panggilan mengenai masalah keganasan rumahtangga. Kalau yang tidak dilaporkan, angkanya mencapai 10 kes dalam sehari. Perkara ini telah kita perjuangkan selama 25 tahun, tetapi tetap juga berlaku. Ini adalah satu penindasan dan golongan wanita pula takut untuk membuat laporan kerana bimbang tidak mendapat pembelaan," katanya.

Tegas Sharifah Halimah, birokrasi dan kaunter khidmat pelanggan menjadi masalah utama kepada wanita mangsa dera menyebabkan laporan mereka diabaikan. Tegas beliau, perkara tersebut berlaku kerana masalah keganasan rumah tangga dilihat bukan satu isu yang perlu dipeduli dan dititikberatkan.

"Kebanyakan wanita yang terlibat dalam masalah keganasan rumahtangga iaitu didera suami sukar untuk mendapatkan perlindungan walaupun telah membuat laporan polis. Ini kerana ramai menganggap keganasan terhadap wanita adalah isu peribadi dan tidak boleh ada campur tangan. Bila buat laporan, mereka disuruh balik rumah dan berbincang kerana anggota keselamatan lebih menumpukan kes-kes seperti rompak dan rogol. Seolah-olah kes ini tidak serius," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di sini hari ini. Tegas Sharifah Halimah, walaupun Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 wujud untuk membantu golongan wanita yang teraniaya, kes-kes keganasan rumah tangga terus meningkat.

Ditanya alternatif untuk membantu golongan wanita daripada menjadi mangsa dera ujar Sharifah Halimah, Pww dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Wanita UMNO Perak akan mengadakan 'Kempen Lelaki Menentang Keganasan' Ogos ini.

Pada masa sama katanya, Pww akan menjalankan kempen pendidikan bagi memberi kesedaran kepada golongan wanita mengenai hak mereka. Tujuan utama katanya, adalah supaya wanita yang menjadi mangsa dera tahu hak mereka dan tidak takut untuk tampil mendapatkan pembelaan.

Ujarnya, mereka yang ingin mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan boleh menghubungi Pww di talian 05-5469715 atau e-mel ke perakwomenforwomen@gmail.com.

Sumber : Utusan 06/05/2010


Butiran selanjutnya ...

Fatimah al-Khattab adik yang berani


FATIMAH binti al-Khattab ialah adik Umar al-Khattab. Beliau antara wanita yang terawal memeluk Islam. Semasa Fatimah memeluk Islam, Umar al-Khattab masih menganut agama nenek moyangnya. Umar juga merupakan salah seorang yang begitu membenci hingga sanggup menyiksa orang Islam termasuk adiknya sendiri, Fatimah.

Pada suatu hari, Umar dengan marah keluar ingin membunuh Nabi Muhammad. Di tangannya ada sebilah pedang yang tajam. Sedang asyik Umar berjalan, tiba-tiba dia ditegur oleh seorang lelaki yang bernama Nu'aim bin Abdullah an-Nahham.

Nu'iam bertanya, "Wahai Umar, awak hendak ke mana?"

Umar menjawab dengan suara yang lantang, "Saya ingin membunuh Nabi Muhammad."

"Awak tidak akan selamat dan dapat hidup dengan aman sekiranya awak membunuh Nabi Muhammad," balas Nu'aim pula.

Umar terus berjalan pantas. Lalu Nu'aim berkata lagi, "Tahukah awak, adik dan ipar awak sudah memeluk agama Islam?"

Umar terkejut mendengar berita itu lalu menggenggam erat pedang di tangannya. Dia semakin marah lalu pergi ke rumah adiknya. Di rumah itu kelihatan ada iparnya iaitu Khabab bin al-Art dan suami Fatimah iaitu Saib bin Zaid. Khabab sedang membaca surah Thaha kepada Fatimah dan suaminya.

"Buka pintu ini cepat," sergah Umar dari luar rumah Fatimah.

Fatimah, Saib dan Khabab terkejut lalu menyembunyikan ayat al-Quran tersebut. Kemudian Khabab lari ke belakang rumah dan bersembunyi di situ.

"Ada apa awak ke mari?" Tanya Fatimah kepada Umar.

Pintu rumah dibuka. Umar pun masuk ke rumah adiknya.

"Tadi saya dengar ada suara lelaki di sini. Suara itu membacakan sesuatu yang belum pernah saya dengar. Suara apakah itu?" Tanya Umar dengan nada tinggi.

Fatimah dan suaminya berpandangan sesama sendiri. Kemudian Fatimah berkata: "Apa yang awak dengar tadi hanya perbualan kosong sahaja. Kami berbual-bual perkara biasa. Tidak ada apa-apa yang perlu awak tahu."

Umar semakin marah lalu berkata: "Sekarang ini awak sudah pandai menjawab."

Saib cuba mengawal keadaan lalu berkata: "Wahai Umar, saya ingin memberitahu awak bahawa agama yang awak anuti itu adalah tidak benar."

Umar naik berang dan berkata: "Berani awak cakap begitu.."

Umar melompat dan menampar muka Saib. Saib jatuh ke lantai rumah lalu Umar datang memijak badan Saib.

"Sudah, sudah. Berhenti bergaduh," kata Fatimah cuba menahan Umar dari terus menyiksa suaminya.

"Adik tidak kenang budi," Umar berkata lalu menampar kuat ke muka Fatimah.

Tiba-tiba darah mengalir banyak daripada muka Fatimah.

"Apa yang saya lakukan. Wajah Fatimah luka parah. Mengapa dengan saya ini? Sanggup mencederakan adik saya sendiri..." kata Umar menyesal dengan perbuatannya itu.

Fatimah segera mengambil kain untuk mengelap darah yang terus keluar dari mukanya itu. Umar menyesal di atas perbuatannya.

"Maafkan saya Fatimah. Saya tidak dapat kawal perasaan sebentar tadi," kata Umar kepada adiknya.

Kemudian Umar meminta adiknya lembaran ayat al-Quran yang mereka baca tadi. Fatimah menyuruh abangnya membersihkan diri terlebih dahulu sebelum memegang ayat al-Quran itu. Selepas itu Umar pun membaca surah Thaha.

Umar terpegun dengan keindahan ayat dari surah Thaha itu.

"Saya ingin berjumpa dengan Nabi Muhammad," kata Umar kepada adik dan iparnya.

Pada masa itu Khabab yang sudah lama bersembunyi di belakang rumah muncul. Khabab pun berkata kepada Umar: "Syukur. Ini berkat doa Nabi Muhammad. Nabi Muhammad sekarang berada di Darul Arqam di Shafa."

Umar bergegas menemui Nabi Muhammad. Sampai sahaja di hadapan Nabi Muhammad, Umar pun memeluk Islam dengan mengucap dua kalimah syahadah.

"Terima kasih ya Allah. Akhirnya Umar mendapat cahaya Islam," ujar Fatimah selepas abangnya itu memeluk Islam.

Umar akhirnya menjadi khalifah Islam yang kedua selepas khalifah Abu Bakar as-Siddiq meninggal dunia.

Sumber : Utusan 06/05/2010


Butiran selanjutnya ...

Ummu Rauman bidadari syurga

Bidadari syurga? ~ Gambar hiasan


NAMA sebenar Ummu Rauman ialah Zainab binti Amir bin Uwaimir. Dia berkahwin dengan Abdullah bin al-Haris al-Uzdzi. Suaminya merupakan kawan baik dengan Abu Bakar as-Siddiq. Sifat-sifat baik yang ada pada Abu Bakar terpancar pada sikap dan tingkah laku suami Ummu Rauman.

Ummu Rauman dan suaminya tinggal di kota Makkah. Mereka mendapat seorang anak yang diberi nama ath-Thufail. Selepas beberapa lama tinggal di Mekah, suaminya meninggal dunia.

Kematian Abdullah sangat menyedihkan Ummu Rauman. Bagi Ummu Rauman, kematian suaminya adalah satu ujian baginya. Selepas beberapa lama kemudian, kesedihan Ummu Rauman terubat apabila dia dilamar oleh Abu Bakar as-Siddiq.

"Beruntung benar Ummu Rauman. Dia dilamar oleh Abu Bakar. Abu Bakar seorang lelaki yang baik. Dia sering membantu orang yang susah, menghormati tetamu, suka menyambung tali silaturrahim dan suka menegakkan kebenaran," kata seorang perempuan.

Perkahwinan Ummu Rauman melahirkan dua orang anak yang bernama Abdurrahman dan Aisyah. Ummu Rauman seorang wanita yang baik budi pekertinya.

Nabi Muhammad menghormati keluarga Ummu Rauman dan Abu Bakar sehingga beliau mengambil keputusan untuk melamar anak perempuan mereka iaitu Aisyah binti Abu Bakar.

Nabi Muhammad mengutuskan Khaulah binti Hakim pergi melamar Aisyah. Khaulah berkata kepada Ummu Rauman, "Wahai Ummu Rauman, Nabi Muhammad ingin melamar Aisyah."

"Benarkah?" tanya Ummu Rauman tidak percaya.

Khaulah tersenyum sambil berkata: "Ya. Nabi Muhammad telah menyebut nama Aisyah sebagai calon isterinya. Selepas kematian Siti Khadijah, Nabi Muhammad sering bersedih. Lamaran terhadap Aisyah merupakan satu keputusan yang telah dibuatnya."

"Saya perlu sampaikan berita ini kepada Abu Bakar terlebih dahulu," kata Ummu Rauman seperti tidak sabar-sabar menanti kepulangan suaminya.

Berjaya melamar Aisyah

Apabila Abu Bakar pulang ke rumah, Ummu Rauman pun menceritakan kisah yang berlaku tadi. Abu Bakar mendengar berita lamaran Nabi Muhammad dengan perasaan serba salah.

Abu Bakar pun berkata kepada isterinya: "Aisyah telah dilamar oleh Muth'im bin Adiy untuk anak lelakinya. Saya tidak boleh mungkir janji."

Ummu Rauman terdiam seketika. Dia juga memikirkan bahawa janji yang telah dibuat oleh suaminya patut ditunaikan.

Sebentar kemudian Abu Bakar berkata lagi: "Jika begitu saya perlu berjumpa dengan Muth'im terlebih dahulu. Saya perlu dapatkan keputusan sama ada mereka benar-benar inginkan Aisyah menjadi menantu mereka."

"Saya berpendapat cara itu adalah yang terbaik buat kita," kata Ummu Rauman pula.

Abu Bakar pergi berjumpa Muth'im. Isteri Muth'im turut berada di rumahnya. Abu Bakar pun bertanya: "Jadikah awak mengambil Aisyah sebagai menantu awak?"

Muth'im mendengar pertanyaan Abu Bakar lalu bertanya kepada isterinya: "Awak setujukah untuk menikahkan anak kita dengan Aisyah?"

Isteri Muth'im pun memberitahu Abu Bakar: "Sekiranya anak saya berkahwin dengan Aisyah sudah tentu anak saya akan masuk Islam."

Muth'im dan keluarganya belum memeluk agama Islam. Perkara itu membimbangkan Muth'im dan isterinya.

"Beginilah Abu Bakar, saya dan isteri sudah sepakat tidak jadi menikahkan anak kami dengan puteri awak. Maafkan kami," jelas Muth'im kepada Abu Bakar.

"Jika itu keputusan awak, saya menerimanya dengan hati yang terbuka," balas Abu Bakar pula.

Abu Bakar pulang ke rumah. Di rumahnya, Ummu Rauman sedang menanti kepulangan suaminya itu.

"Bagaimana? Jadikah mereka mengambil Aisyah sebagai menantu," tanya Ummu Rauman tidak sabar-sabar menantikan jawapan dari suaminya.

Abu Bakar menjawab dengan tenang: "Mereka tidak sanggup mengahwinkan anak lelaki mereka dengan Aisyah kerana mereka tidak mahu anaknya memeluk agama Islam."

"Syukur, dapatlah Aisyah berkahwin dengan Nabi Muhammad," bisik Ummu Rauman sendirian.

Nabi Muhammad berjaya melamar Aisyah. Pada tahun 2 Hijrah Nabi Muhammad berkahwin dengan Siti Aisyah. Perkahwinan mereka disambut dengan gembira.

Ummu Rauman seorang ibu yang baik. Dia banyak membantu Nabi Muhammad dalam usaha menyebarkan agama Islam. Nabi Muhammad sangat menghormati ibu mertuanya.

Ummu Rauman meninggal dunia pada tahun 6 Hijrah. Semasa Ummu Rauman meninggal dunia, Nabi Muhammad berdoa supaya Allah mengampuni segala dosa Ummu Rauman.

Nabi Muhammad juga pernah berkata: "Sesiapa yang ingin melihat wanita bidadari dari syurga, maka lihat Ummu Rauman."

Sumber : Utusan




Capaian entry berkaitan :
  1. Safiyah membunuh musuh Islam
  2. Maryam wanita mulia dan suci
  3. Asma' melindungi bapanya
  4. Zinirah diseksa tuannya
  5. Ghaziyah menahan dahaga
  6. Asiah menyelamatkan Nabi Musa
  7. Siti Hajar menemui telaga Zamzam
  8. Ummu Salamah yang pintar
  9. Ummu Haram menyeberang lautan
  10. Ummu Hakim mohon pengampunan nabi
  11. Ummu Sulaim menanti keislaman Abu Talhah
  12. Ummu Sulaim Binti Malhan
  13. Pemilik mahar paling indah
  14. Zainab Al Ghazali Al Zubaili
  15. Ummu Qais melawat nabi

Butiran selanjutnya ...

Rabu, Mei 05, 2010

Suami cuba toreh kemaluan isteri



MELAKA 4 Mei - Kurang 24 jam kejadian seorang suami membunuh isterinya di Kuala Lipis, Pahang, kelmarin kerana cemburu, seorang lagi wanita menjadi mangsa kekejaman suaminya di Taman Bertam Perdana di sini.

Namun kali ini, suspek berusia 40-an yang juga seorang anggota tentera cuba bertindak menoreh kemaluan isterinya dengan sebilah pisau. Semuanya gara-gara suspek mendengar 'bisikan suara halus' di dalam rumahnya yang mengatakan isterinya itu mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10 pagi semalam, ketika mangsa berusia 30-an berada di dapur rumahnya. Menurut beliau, ketika kejadian, anak bongsu pasangan itu yang berusia empat tahun berada di ruang tamu manakala tiga lagi anak mereka ke sekolah.

"Suspek tiba-tiba menerpa isterinya yang bekerja sebagai jururawat dari belakang lalu menoreh kemaluan mangsa. Mangsa yang rebah di lantai dan berlumuran darah, mujurlah sempat menghubungi ambulans," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini. Tambahnya, semasa ambulans dan polis tiba, suspek yang dalam keadaan tenang menunjukkan tempat dia mencampakkan pisau digunakan untuk menyerang isterinya.

Mohd. Adnan berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Melaka dan keadaannya dilaporkan stabil. Suami mangsa katanya, kini di tahan di Wad Psikiatri hospital sama untuk mendapatkan rawatan. Siasatan awal mendapati suspek bertindak demikian kerana kononnya terdengar suara halus mengatakan isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

"Suspek mendakwa sebelum kejadian, dia terlihat jin-jin berterbangan dalam rumah sambil berbisik tentang perbuatan terkutuk isterinya," katanya. Beliau berkata, hasil maklumat awal, mangsa memberitahu suaminya menunjukkan perubahan sikap dengan suka berdiam diri sejak seminggu lalu.

Tambahnya, mangsa turut mendakwa suaminya pernah mencekik wanita itu di dalam bilik sambil menyoal sama ada dia mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain, pada 27 April lalu.

"Mangsa yang tidak mengaku kemudian dilepaskan tanpa dicederakan. Kes itu disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan," katanya.



Kelmarin, seorang isteri, Rosmawati Abdul Rahman, 39, menemui ajal akibat kepalanya dihentak, selain perut, dada dan paha dipijak oleh suaminya yang tiba-tiba naik angin. Rujuk Bunuh isteri: Lelaki serah diri kepada polis.

Kejadian kira-kira pukul 5 petang itu berlaku selepas anak pasangan terbabit mengadu kepada suspek yang berusia 46 tahun bahawa ibunya bercakap dengan seorang lelaki menerusi telefon di rumah mereka di Ladang Selborne, Kampung Padang Tengku, Kuala Lipis, Pahang.

Sumber : Utusan 05/05/2010


Butiran selanjutnya ...
Related Posts with Thumbnails