Assalamualaikum warahmatullah,
Semenjak akhir-akhir ini saya sering ‘terserempak’ membaca dalam akhbar atau terdengar berita di televisyen yang melaporkan keganasan rumahtangga yang dilakukan oleh suami, dengan memukul atau menderakan isterinya. Kebiasaannya, menurut berita yang dilaporkan, suami bertindak memukul isterinya itu seolah-olah dia seperti hilang akal, marah atau berangnya seperti gajah naik minyak lagaknya.
Memang, kes pukul isteri atau keganasan rumahtangga ini bukan berlaku dalam masyarakat kita sahaja. Ia bagaikan sudah menjadi fenomena biasa dalam hampir semua masyarakat, baik orang Barat mahupun orang Timur, baik yang Muslim mahupun yang bukan Muslim. Cuma, di kalangan orang-orang Islam, ada yang tersalah anggap KONONNYA agama membenarkan suami memukul isteri. Ada yang menjadikan ini alasan untuk menghalalkan perbuatan ganas mereka ke atas isteri. Sungguh sadis!
Saya tidak nafikan, memang ada sesetengah suami yang berperangai seperti binatang, kerana memukul isteri kerana perbuatan atau kesalahan yang kecil. Ada juga yang bertindak memukul isteri kerana tidak dapat mengawal sikap panas baran, yang mungkin juga tidak berpunca daripada isteri. Apa-apapun, disebabkan ‘marah’ itu mesti dilepaskan, isteri yang malang pun menjadi mangsa!
Berikut disenaraikan kes-kes keganasan rumahtangga yang sempat disiarkan di LamanSeri :
- Suami pukul isteri lambat masak mi
- Lagi isteri dicederakan suami akibat minta cerai
- Suami tikam isteri selepas bertengkar minta cerai
- Cemburu seorang lelaki
- Bila lelaki cemburu buta dan buta hati....
- Suami cuba toreh kemaluan isteri
- Bunuh isteri: Lelaki serah diri kepada polis
- Ikat, kurung isteri tiga malam kerana cemburu
- Ibu hamil kena tetak mahu lupakan insiden
- Tolak seks, isteri melecur kena simbah cuka getah
- Apabila lelaki guna 'kuasa'
- Suami ugut bunuh isteri tak lamar bakal madu
- Penagih dadah hantuk isteri ke dinding
Suami Isteri Harus Sabar
Menurut artikel ‘Halal dan Haram dalam Islam’ tulisan Syekh Muhammad Yusuf Qardhawi [sumber : media.isnet.org], seorang suami harus berlaku sabar terhadap isterinya jika ada sesuatu pelayanan isteri yang kurang menyenangkan, sedang dia telah mengetahui kelemahan isterinya sebagai seorang perempuan di mana dia sebagai manusia biasa juga tidak luput dari kekurangan. Sedang di balik kesalahan dan kekurangan itu, isteri juga mempunyai kebaikan-kebaikan dan kelebihan-kelebihan.
Di dalam salah satu hadisnya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Seorang mukmin (suami) tidak boleh membenci seorang mukminah (isteri), jika dia tidak menyukai lantaran sesuatu perangainya, maka dia akan senang pada perangainya yang lain.” (Hadis riwayat Muslim)
Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan pergaulilah isterimu dengan cara yang baik maka jika kamu tidak menyukainya barangkali sesuatu yang kamu tidak sukainya itu justeru Allah akan menjadikan padanya kebaikan yang sangat banyak.” (Surah an-Nisaa, 19)
Sebagaimana suami disuruh sabar terhadap sesuatu yang tidak disukainya dari isterinya, maka begitu juga seorang isteri diperintah supaya memberi kesenangan kepada suaminya semampu mungkin, dan jangan sampai seorang isteri tidur malam sedang suaminya dalam keadaan marah.
Dalam hadis Nabi dikatakan, “Ada tiga orang yang sembahyangnya itu tidak dapat melebihi kepalanya walaupun hanya sejengkal, iaitu:
1) Seorang laki-laki yang menjadi imam pada suatu kaum sedang kaum itu tidak suka,
2) Seorang perempuan yang tidur malam sedang suaminya murka kepadanya.
3) Dua saudara yang saling bermusuhan.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)
Ketika Nusyuz dan Bersengketa
Kerana seorang lelaki adalah kepala rumahtangga sebagai konsekuensi yang diperolehnya kerana dialah pembinanya, mempersediakannya, meletakkan rumahtangga ini dalam kehidupan, membayar mahar dan memberi nafkah, maka seorang isteri tidak diperkenankan menentang suami dan lari dari kekuasaan suami. Hal mana akan merosak persekutuan dan akan menggoncangkan bahtera rumahtangga, bahkan mungkin akan menenggelamkannya selama rumahtangga itu tidak ada pengemudinya.
Dan kalau seorang suami menjumpai isterinya ada tanda-tanda nusyuz (derhaka) dan menentangnya; maka dia harus berusaha mengadakan islah dengan sekuat tenaga, diawali dengan kata-kata yang baik, nasihat yang mengesan dan bimbingan yang bijaksana. Kalau cara ini tidak lagi berguna, maka boleh dia tinggalkan dalam tempat tidur sebagai suatu usaha agar instink kewanitaannya itu dapat diajak berbicara. Kiranya dengan demikian dia akan radar dan kejernihan akan kembali. Kalau ini dan itu tidak lagi berguna, maka dicuba untuk disedarkan dengan tangan, tetapi harus dijauhi pukulan yang berbahaya dan muka. Ini suatu ubat mujarab untuk sementara perempuan dalam beberapa hal pada saat-saat tertentu.
Maksud memukul di sini tidak bererti harus dengan cambuk atau kayu, tetapi apa yang dimaksud memukul di sini ialah salah satu macam dari apa yang dikatakan Nabi kepada seorang khadamnya yang tidak menyenangkan pekerjaannya. Nabi mengatakan sebagai berikut, “Andaikata tidak ada qishash (pembalasan) kelak di hari kiamat, niscaya akan kusakiti kamu dengan kayu ini.” (Riwayat Ibnu Saad dalam Thabaqat)
Tetapi Nabi sendiri tidak menyukai lelaki yang suka memukul isterinya. Baginda SAW bersabda sebagai berikut, “Mengapa salah seorang di antara kamu suka memukul isterinya seperti memukul seorang hamba, padahal barangkali dia akan menyetubuhinya di hari lain?!” (Riwayat Anmad, dan dalam Bukhari ada yang mirip dengan itu)
Terhadap orang yang suka memukul isterinya ini, Rasulullah SAW mengatakan, “Kamu tidak jumpai mereka itu sebagai orang yang baik di antara kamu.” (Hadis ini dalam Fathul Bari dihubungkan kepada Ahmad, Abu Daud dan Nasa'i dan disahkan oleh Ibnu Hibban dan Hakim dari jalan Ayyas bin Abdillah bin Abi Dzubab)
Ibnu Hajar berkata: “Dalam sabda Nabi yang mengatakan: orang-orang baik di antara kamu tidak akan memukul ini menunjukkan, bahawa secara garis besar memukul itu dibenarkan, dengan motif demi mendidik jika suami melihat ada sesuatu yang tidak disukai yang seharusnya isteri harus taat. Tetapi jika dirasa cukup dengan ancaman adalah lebih baik.”
Apapun yang mungkin dapat sampai kepada tujuan asal iaitu mendidik, tidak boleh beralih kepada suatu perbuatan, yang berulang-ulang pula. Sebab terjadinya suatu tindakan, boleh menyebabkan kebencian yang justeru bertentangan dengan prinsip bergaul yang baik yang selalu dituntut dalam kehidupan berumahtangga. Kecuali dalam hal yang bersangkutan dengan kemaksiatan kepada Allah.
Imam Nasa'i meriwayatkan dalam bab ini dari Aisyah r.a. sebagai berikut, “Rasulullah SAW tidak pernah memukul isteri maupun khadamnya sama sekali; dan baginda sama sekali tidak pernah memukul dengan tangannya sendiri, melainkan dalam peperangan (sabilillah) atau kerana larangan-larangan Allah dilanggar, maka baginda menghukum kerana Allah.”
Kalau semua ini tidak lagi berguna dan sangat dikhuatirkan akan meluasnya persengketaan antara suami-isteri, maka waktu itu masyarakat Islam dan para cerdik-pandai harus ikut campur untuk mengislahkan, iaitu dengan mengutus seorang hakim dari keluarga lelaki (suami) dan seorang hakim dari keluarga perempuan (isteri) yang baik dan mempunyai kemampuan. Diharapkan dengan niat yang baik demi meluruskan ketidak teraturan dan memperbaiki yang rosak itu, semoga Allah memberikan taufik kepada kedua suami-isteri.
Daraba = pukul? Apa kata Islam dalam perkara ini?
Satu pertanyaan yang mungkin bermain di fikiran kita... “Adakah agama Islam membenarkan suami memukul isteri?” Saya semak laman soal jawab agama kendalian MUiS, menurut laman web itu, katanya : seorang suami dibenarkan membuat tindakan disiplin yang ringan (bukan pukul = bantai = tibai) ke atas isterinya untuk memperbetul kesalahannya.
Saya juga pernah membaca dalam entry Kenapa pukul? Kenapa aniaya?, perkataan ‘daraba’ mungkin tidak bermaksud ‘pukul’ kerana di tempat lain (ayat al-Quran) ia tidak ditafsir sebagai ‘pukul’. Saya tidak tahu, saya kurang arif. Bukan bidang saya dalam tafsir al-Quran. Guru bahasa Arab atau yang berkenaan dalam tafsir al-Quran kena ambil bahagian dalam hal ini.
Menurut UW di al-Falaah :
Ayat al-Quran bukan sembarangan orang boleh tafsir. Ustaz saya cuma ajar terjemah, nahu saraf dan lain-lain. Ustaz sendiri tak berani tafsir sebab bebannya nanti di akhirat tidak tertanggung. Walau apa pun yang kita hendak lakukan dengan al-Quran, baca ayat 1~10 dari surah al-Baqarah. Faham betul-betul... al-Quran tak pernah salah. Ianya kitab yang tidak ada keraguan padanya. Petunjuk bagi orang yang muttakin (bertaqwa). Siapa orang yang muttakin? Ayat 3~4 menerangkan siapa orang bertaqwa. Baca di sini. Jadi kalau kita baca surah dari al-Quran kepada kaki botol, kaki perempuan, kaki judi dan lain-lain lagi, bolehkah al-Quran ini menjadi petunjuk kepada mereka?
Di zaman Rasulullah SAW, wahyu sentiasa turun. Bagi orang beriman, bila turun ayat atau wahyu, merka berkata ‘samiqna wa atoqna’ yang bermaksud, “Kami dengar dan kami taat.” Sebaliknya, orang munafiq pula berkata, ‘samiqna wa asoina’ yang bermaksud “Kami dengar dan kami engkar.” Zaman ini, kita berpandukan riwayat, sejarah sebab turun ayat (asbab an nuzul) untuk menentukan hukum. Malah ramai yang mengambil sesetengah ayat sahaja dan meninggalkan sesetengah yang lain, BUKAN untuk bertaqwa tetapi untuk berkuasa atas kepentingan sendiri. Itulah masalah yang perlu dirungkai.
Walau bagaimanapun, saya suka kongsikan tahu tentang ini kerana hal ini ada dikupas oleh Dr Suriya Osman di Nursyifa.
Petikan sebahagian petikan artikel :
Ayat 34 dari surah an-Nisaa SERING dijadikan HUJAH bagi mereka yang mempertahankan hak lelaki Muslim memukul isteri [NB: tidak kiralah bagi mereka yang beriman mahupun tidak beriman]. Ayat ini telah diterjemahkan begini, “Lelaki adalah pelindung kepada wanita (qawamuna sebab Allah melebihkan setengah mereka dari yang lain dan kerana mereka memberi belanja dari hartanya). Wanita yang baik (qanitat) menjaga dengan baik kehormatannya. Perempuan yang kamu khuatirkan nusyuz maka nasihatkanlah mereka dan pisahkan dari tempat tidur dan pukullah (daraba). Kemudan jika mereka mentaatimu, janganlah kamu mencari jalan untuk menyusahkan mereka.”
Dari ayat ini ramai penafsir mempunyai dua fakta:
1. Suami berhak memberi perintah kepada isteri dan menuntut isteri mengikut perintahnya.
2. Jika isteri tidak patuh, maka suami berhak memaksanya patuh dengan memukulnya.
Jika dilihat pada seluruh ayat yang sebenarnya bermula dengan menyebutkan bahawa lelaki yang bergelar rajul adalah pelindung wanita disebabkan rajul mempunyai kelebihan di atas wanita disebabkan lelaki rajul membelanjakan dari pendapatannya untuk wanita. Ini bererti bukan sebarang lelaki yang mempunyai kelebihan di atas wanita tetapi lelaki yang mempunyai sedikit kelebihan adalah lelaki yang memberi nafkah kepada wanita (isterinya). [NB : Suami yang culas berikan hak isteri maksudnya yang tidak bertanggungjawab dalam nafkah zahir dan batin, BUKAN seorang rajul. Jika suami BUKAN seorang rajul, suami TIADA hak memukul isteri!]
Ayat ini seterusnya membicarakan tentang kehormatan wanita dan kesimpulan perkataan nusyuz adalah bererti wanita yang tidak menjaga kehormatan dirinya dan BUKAN wanita yang tidak dengar kata sebagaimana difaham umum.
Mengikut Dr Nasaruddin Umar, istilah rajul tidak boleh disamakan dengan gender lelaki. Rajul adalah peranan sosial seorang lelaki yang telah mencapai kelebihan dengan menunjukkan ciri-ciri tanggungjawab yang dikaitkan dengan istilah rajul. Ini bererti kanak-kanak lelaki tidak boleh digelar rajul. Begitu juga lelaki yang tidak mempunyai ciri-ciri rajul bukanlah rajul.
Mengikut penafsir mutakkhir, di antaranya, Dr Nasarudin Umar, perkataan ‘daraba’ yang telah ditafsirkan sebagai ‘pukul’ mempunyai lebih dari satu erti. Di antaranya mendidik, memelihara, mencangkul, memberi contoh dan lain-lain. Dr Nasarudin bertanya, mengapa pula harus perkataan ini ditafsirkan dengan ‘memukul’ sedangkan pada lain tempat di dalam al-Quran ia membawa maksud ‘memberi contoh’?
Pemahaman ayat ini secara literal tanpa merujuk kepada amalan Rasulullah SAW dan juga tanpa mentelitikan ayat-ayat lain di dalam al-Quran adalah tidak mengikut lunas-lunas penafsiran. Lebih banyak ayat Quran menyebutkan tentang rahmat, kasih sayang, kesetaraan dan persefahaman di antara pasangan suami isteri.
~ Tamat petikan artikel ~
Apakah yang dimaksudkan dengan ‘pukul’?
Saya masih ingat ketika menghadiri kursus kahwin sekitar tahun 2003. Menurut ustaz yang memberi ceramah, suami boleh memukul isteri yang nusyuz. Walau bagaimanapun, ustaz ada beritahu pukulan yang dibenarkan, TIDAK BOLEH boleh menyakitkan isteri dan ‘alat’ yang dijadikan ‘senjata’ untuk memukul BUKANLAH tangan, tetapi hujung kain yang diikat/simpul. Jika inilah cara ‘pukul’ yang dibenarkan pada pendapat saya yang daif ini, istilah ‘pukul’ mungkin tidak tepat.
Saya cuba juga belek-belek buku ‘Panduan Perkahwinan’ yang dibeli semasa kursus, bab ‘pukul’ tidak ditulis secara lebih mendalam, cuma dikatakan suami dibolehkan memukul isteri yang nusyuz. Hemm... Saya masih belum putus asa dan mencari maksud ‘pukul’ yang dibolehkan dan berikut hasilnya.
Terdapat beberapa hadis yang boleh kita gunakan bagi meneliti maksud ‘pukul’. Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, at-Tirmidzi, Abu Daud, Nasar dan Ibn Majah, ‘pukul’ yang terdapat di dalam ayat tersebut adalah ‘pukul’ yang tidak boleh meninggalkan kesan (ghayr mubarrih). Tabari dan Razi pula meriwayatkan bahawa pukulan tersebut hanyalah satu ‘aksi simbolik’ dan hanya dilakukan dengan berus gigi atau sapu tangan. Imam Shafie juga berpendapat bahawa aksi memukul haruslah dijauhkan sama sekali.
Walau bagaimanapun, tiada satupun riwayat atau ayat al-Quran yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW pernah memukul isteri-isterinya. Malah terdapat banyak riwayat yang menceritakan keprihatinan Baginda dalam perhubungan suami isteri dan sifat kasih sayang Baginda.
Teladan daripada junjungan besar Rasulullah SAW
Kita boleh belajar daripada teladan rumahtangga Rasulullah SAW. Antaranya :
- Nabi pernah jatuh tersungkur, ditolak isterinya. Isteri itu kemudiannya dimarahi ibunya (mertua Nabi), dengan dijawab Nabi, “Biarlah, dia akan berbuat lebih daripada itu.” Nabi tidak pula bertindak memukul isteri yang menolak Baginda hingga tersungkur.
- Isteri Nabi pernah tepis pinggan madu yang menghantar makanan kepada Nabi, tapi Nabi tidak rotan tangan isteri yang menolak pinggan. Dendanya cuma menggantikan pinggan yang pecah.
- Isteri-isteri Nabi pernah bertengkar (gaduh), berbalas-balas kata hingga keluar perkataan kotor, tapi Nabi tidak pula menampar muka isteri. Tidak pula Nabi tempelak isterinya sambil berkata, “Tak soleh guna perkataan kotor.”
- Nabi pulang lewat dan pintu rumah berkunci dan Nabi tidur di luar rumah. Tidak pula Nabi menghempas-hempas pintu atau mengejutkan isteri supaya buka pintu.
- Suatu hari Nabi tanya isteri, ada apa-apakah untuk dimakan pada hari itu, tetapi isterinya menjawab tiada apa-apa (untuk dimakan), lalu Nabi beritahu isteri yang baginda akan berpuasa saja. Tak adalah pula Nabi mengamuk-amuk marahkan isteri macam kes suami pukul isteri lambat masak mi maggi....
- Rasulullah SAW sangat marah tatkala melihat seorang suami sedang memukul isterinya. Rasulullah menegur, “Mengapa engkau memukul isterimu?” Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar, “Isteriku sangat keras kepala! Sudah diberi nasihat dia tetap degil juga, jadi aku pukullah dia.” “Aku tidak bertanyakan alasanmu,” sahut Nabi SAW. “Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?”
Pokoknya, sepanjang pengetahuan saya, Rasulullah SAW tidak pernah memukul isteri-isteri Baginda. Tiada satupun riwayat atau ayat al-Quran yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW pernah memukul isteri-isterinya. Malah terdapat banyak riwayat yang menceritakan keprihatinan Baginda dalam perhubungan suami isteri dan sifat kasih sayang Baginda.
Sejarah suami memukul isteri
Diceritakan dalam al-Quran, Nabi Ayub pernah Allah SWT telah berfirman yang bermaksud, “Dan (Kami perintahkan lagi kepadanya): Ambillah dengan tanganmu seikat jerami kemudian pukullah (isterimu) dengannya dan janganlah engkau merosakkan sumpahmu itu. Sesungguhnya Kami mendapati Nabi Ayub itu seorang yang sabar; dia adalah sebaik-baik hamba; sesungguhnya dia sentiasa rujuk kembali (kepada Kami dengan ibadatnya).” (Surah Shaad, 44)
Daripada ayat di atas, dapatlah kita ketahui bahawa Nabi Ayub pernah ‘memukul’ isterinya. Itupun kerana dia telah bersumpah atas nama Allah. Daripada ayat ini juga, dapatlah juga kita ketahui bahawa Nabi Ayub pernah ‘memukul’ isterinya dengan ‘batang jerami’. Itulah satu-satunya ayat yang membenarkan lelaki memukul isterinya, sebuah kisah, dan yang paling penting pukulannya menggunakan ‘batang jerami’ sahaja, bukan tangan, kaki, kayu dan lain-lain lagi.
Dalam satu buku kisah Nabi yang saya baca (terbitan al-Hidayah), ayat di atas menterjemahkannya sebagai ‘segenggam rumput’ atau ‘seikat rumput’ dan bukan ‘batang jerami’. Apa-apapun, kedua-dua ‘senjata’ ini tidak mungkin menyakitkan yang kena pukul, apatah lagi memudaratkan atau mencederakannya. Cuba kita ambil batang jerami atau segenggam/ikat rumput dan pukul diri kita sendiri. Agak-agak kita, apa rasanya?
Kebanyakan suami hari ini, memukul isteri mengikut seruling syaitan, sesedap tangan, sesedap kaki. Adakah mereka mengikut garis panduan bagaimana hendak ‘memukul’ isteri? Itupun kalau perkataan ‘daraba’ = ‘pukul’. Kalau tafsirnya lain? Nasiblah tangan dan kaki itu kena soal di akhirat nanti.
Sebelum pukul, adakah suami menilaikan diri sendiri sama ada dia layak memukul isteri? Sebelum pukul, sudahkah beri isteri nasihat? Adakah suami beri ‘hukuman’ memulau (pisah) tempat tidur? [NB : Hah.. bab pisah tempat tidur ini tak mahu pula. Siap simbah isteri dengan asid lagi sebab isteri tak mahu satu tempat tidur dengan suami.]
Bila kita sebut ‘pukul’, bermakna kena hayun tangan, sedangkan mungkin ‘pukul’ yang dibenarkan hanya dengan pergelangan tangan. Para ulama berpendapat terdapat beberapa syarat ketika mempraktikkan kaedah memukul bagi tujuan mendidik isteri. Bagi suami yang ingin mengajar isterinya, pukulan yang dibolehkan hanya sekadar mengangkat tangan tanpa membuka ketiak dan dilarang sama sekali menampar muka isteri. Pukulan hanya dibolehkan pada bahagian yang terlindung bagi menjaga air muka isteri malahan harga diri suami. Hem... bukan pukul sampai biru situ lebam sana birat sini, ya....
Sesuai dengan rutin kehidupan berumahtangga, selisih faham dan tersilap adalah perkara yang biasa berlaku. Bererti, suami tidak berhak menampar isteri. Suami tidak berhak menumbuk. Suami tidak berhak memukul isteri menggunakan apa juga benda yang boleh mendatangkan kesan sakit yang melampau.
Daripada Abdullah bin Zam’ah berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Jangan memukul salah seorang kamu akan isteri kamu seperti memukul seorang hamba abdi kemudian menjimaknya (i.e. menyetubuhinya) pula pada akhir hari (i.e. malam hari).” (Hadis riwayat Bukhari dalam bab Kitan Nikah)
Dalam hadis yang lain pula, Rasulullah SAW menyebut yang bermaksud, “Tergamakkah seseorang kamu memukul isteri sepertimana memukul seorang hamba abdi, kemudian dia memeluknya pula, tidakkah dia (suami) merasa malu?” (Hadis riwayat Ibnu Saad)
Panduan dalam hadis ini adalah suatu larangan dan satu sindiran yang halus kepada suami yang memukul isterinya. Adalah memalukan suami kalau memukul isterinya kerana sesuatu pada siang harinya dengan pukulan yang berat, dan kemudian ketika tiba malam hari, dia bercengkerama dan bercumbu-cumbuan dengan isterinya untuk menyetubuhinya pula!
Dilarang memukul pada muka (wajah)
Pergaulan Rasulullah SAW dengan isterinya disulami dengan keadilan, makruf dan taqwa, sejajar dengan firman Allah Taala yang bermaksud, “Dan mereka itu (para wanita) mempunyai hak seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang patut.” (Surah al-Baqarah ayat 228) dan “Dan bergaullah dengan mereka menurut cara yang patut.” (Surah an-Nisaa’ ayat 19). Sesungguhnya ia adalah keadilan dalam hak dan kewajipan. “Kamu memberi makan kepadanya apa yang kamu makan, memberi pakaian kepadanya sama seperti apa yang kamu pakai, jangan kamu memukul mukanya dan jangan menghinanya, jangan kamu berpisah dengannya kecuali dalam rumahnya sahaja.”
Suami diberi laluan untuk ‘memukul’ isterinya kerana suatu salah laku, tetapi memukul untuk mengajar bukan untuk mencederakan atau memudharatkannya, iaitu dengan meninggalkan bekas pada tubuhnya atau mencacatkan tubuh badannya. Selain itu, suami ditegah memukul isterinya pada bahagian mukanya. Ini berdasarkan satu hadis daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Apabila salah seorang di antara kamu bertengkar dengan saudaranya maka hendaklah dia menghindari dari memukul di bahagian muka.” (Sahih Muslim No 4723)
Pukulan yang tidak wajar
Memukul untuk mengajar atau menghukum lain dari memukul untuk membalas dendam atau ketika marah. Seelok-eloknya memukul atau menghukum JANGANLAH ketika marah. Namun, berapa ramaikah yang mengambil inisiatif mengawal emosi ketika membuat ‘pukulan’?
Daripada Abi Bakrah r.a. katanya : “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Janganlah kamu memutuskan hukuman di antara dua orang dalam keadaan marah.” (Sahih Muslim hadis no. 3241)
Kalau betul pun isteri itu ‘layak’ dipukul, apa kesalahannya? Sebab tegur suami balik jauh-jauh pagi buta? Sebab isteri tegur suami supaya jangan minum arak? Sebab isteri tegur suami jangan pergi dangdut? Sebab isteri tegur suami jangan berjudi? Sebab isteri tegur suami jangan langgan pelacur? Adakah itu satu kesalahan yang melayakkan isteri dipukul?
Di dalam ayat yang disebut di atas tadi (Surah an-Nisaa' 34), jelas mengatakan ‘pukullah’, JIKA isteri tersebut nusyuz sahaja. Nusyuz bermaksud engkar suruhan suami dan dengan syarat suruhan atau perintah suami tidak melanggar hukum syarak. Ini bermakna, suami tidak berhak memukul isteri yang menasihatinya suaminya ke arah kebaikan. Suami tidak berhak memukul isterinya yang menuntut haknya sebagai isteri dan hak anak-anak.
Pukulan yang bagaimanakah dibenarkan syarak? Tampar? Tempeleng? Tumbuk? Terajang? Sepak? Ganyang? Tibai? Bantai? Hempuk ke dinding atau lantai? Simbah asid? Tetak jari? Bukan sedikit kes keganasan rumahtangga sehingga kes isteri keguguran pun ada! Jangan begitu... Disebabkan terlalu ramai suami yang zalim dan sewenang-wenangnya bertindak melampaui batas, maka sebab itulah ada pula Akta Keganasan Rumahtangga...
Nabi pun tak pukul isteri. Yang Nabi buat, deme tak nak ikut. Yang nabi tak buat, itulah yang berlumba-lumba deme buat!
Kesimpulan
Islam mengajar kepada umatnya agar berlemah lembut dan bertimbang rasa di dalam segala hal, terutama sekali di dalam perkara-perkara berhubung dengan rumahtangga (isteri dan anak-anak).
Walaupun Islam membenarkan suami ‘memukul’ isteri, tindakan ini masih tertakluk kepada syarat-syarat yang ketat dan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Secara psikologi, tindakan suami memukul isteri akan meninggalkan kesan luka yang mendalam kepada jiwa isteri [NB : tanpa mengira sama ada pukulan itu ringan atau berat]. Pukulan yang dibenarkan pula hanya harus digunakan di dalam situasi yang keterlaluan dan jika si suami pasti bahawa tindakan tersebut akan memperbaiki keadaan. Jika terdapat kekhuatiran bahawa tindakan tersebut akan memburukkan lagi keadaan atau menyebabkan huru-hara ke atas keluarga, maka tindakan itu harus dijauhi.
Suami wajib menasihati isteri. Sekiranya perkara ini gagal, maka orang tengah harus dilantik untuk cuba membaiki keadaan. Sebaiknya, mereka lantik orang tengah untuk mendamaikan mereka. Islam tidak membenarkan kekerasan dan tidak membiarkannya berlaku. Orang tengah yang dilantik haruslah dipersetujui antara suami isteri dan tidak berat sebelah. Perkara ini juga adalah arahan surah an-Nisaa ayat 35 dan 128.
Sekiranya keharmonian rumahtangga masih belum diperoleh maka suami bolehlah mengasingkan dirinya dari tempat tidur. Perkara ini juga merupakan masa bagi pasangan untuk ‘menyejukkan’ keadaan dan diri masing-masing. Apabila proses yang tersebut telah dituruti oleh suami maka selalunya adalah tidak perlu bagi suami untuk memukul isteri. Ini adalah kerana suami tidak lagi dikuasai dengan perasaan marah dan boleh mengawal dirinya untuk berfikiran rasional.
Dalam entry Kenapa pukul? Kenapa aniaya?, ada yang meninggalkan komen :
Tahukah anda mengapa keganasan dalam rumah tangga harus dihentikan? Selain ianya bertentangan dengan Hak Asasi Manusia, yang paling mengerikan adalah akibat atau dampaknya bagi anak-anak yang dibesarkan dalam lingkungan rumahtangga yang penuh keganasan atau bagi generasi mendatang. Seorang anak perempuan yang dibesarkan dalam lingkup rumah tangga seperti itu atau ia sering melihat ibunya dianiaya atau dipukul, mempunyai potensi 3 kali lebih besar untuk menjadi korban keganasan rumah tangga pada masa dewasanya kelak di banding anak yang dibesarkan dalam lingkungan yang aman. Sedangkan anak lelaki yang dibesarkan dalam lingkup rumahtangga yang penuh dengan keganasan atau sering melihat ayahnya memukul atau menganiaya keluarganya, berpotensi 7 kali lebih besar untuk menjadi pelaku keganasan pada masa dewasanya kelak dibandingkan dengan anak-anak lain yang dibesarkan dalam keluarga yang aman.
Ternyata, anak-anak yang dibesarkan dalam suasana bapa yang suka memukul dan mendera ibu akan meninggalkan kesan terhadap tumbesaran mereka. Ini telahpun dikupas dalam entry Ibu didera beri kesan pada anak dan Rawat segera tekanan perasaan ketika hamil.
Jadi, kalau ada lelaki yang menganggap boleh memukul sesuka hati isterinya sampai luka parah, lebih baik kita jangan berdiam diri. Kita semak balik entry Ulama terkenal Mesir sokong isteri balas pukulan suami. Menurut fatwa yang dikeluarkan ini, katanya, “fatwa memperakui hak wanita melawan balik sekiranya suami bertindak ganas terhadap dirinya”.
Hemmm… cuma, saya tidak tahu bagaimana seorang wanita dapat melawan atau membalas semula pukulan suaminya yang ganas, kecuali mungkin si isteri berbadan lebih tegap atau mempunyai kemahiran seni mempertahan diri. Apa jadinya kalau si isteri balas pukulan si suami lalu mereka saling bertinju atau bergusti? Apakah akan selesai masalah? Mungkinkah si isteri akan jadi lebih teruk lagi dipukul?
Sebagai wanita, si isteri mungkin tidak kuat untuk membalas pukulan sang suami ‘samseng’. Tetapi, banyak tindakan lain yang boleh diambil sebagai isteri yang dianiaya atau dizalimi. Ini termasuk segera membuat laporan kepada pihak polis dan ambil Perintah Perlindungan Mahkamah supaya si suami tidak boleh mendekati isterinya, apalagi memukul atau menderanya. Juga boleh merujuk ke One Stop Crisis Center - OSCC, dan dapatkan bantuan dengan segera.
Pokoknya, kalau anda isteri malang yang dipukul bantai suami, janganlah tunggu lama-lama. Jangan juga tunggu sampai badan anda dibungkus kain kafan! Bertindaklah! Tiada orang yang berhak memukul anda sesuka hati, walau mereka bergelar suami.
Mungkin ada isteri yang takut untuk keluar menuntut keadilan, atas alasan-alasan yang cuma mereka sendiri sahaja yang tahu. Jika masih boleh bersabar, bersabarlah. Mudah-mudahan adalah ganjaran untuk isteri-isteri begini di akhirat kelak. Ya, kita perlu bersyukur, kita ada kampung akhirat. Sesiapa yang tidak diadili di dunia, tunggulah masanya keadilan itu akan dilaksanakan di akhirat. Insya Allah, Allah akan bantu hamba-Nya yang sentiasa mohon pertolongan-Nya.
Rujukan artikel :
- Media.isnet.org - Yusof Qardhawi
- Nursyifa
- ResipiHidup-Antara-pukul-mengajar-dan-lepas-geram
- al-Fikrah.net
- Ceramah DrMAZA Bab Larangan Pukul Isteri-Anak Tanpa Sebab Syarie
- Teladan: Kemesraan Rumahtangga Rasulullah SAW
- Hak Muslim: Isteri didera keluar rumah bukan kes nusyuz
- Jenayah seksual wajar dibendung elak maruah Islam tercemar
- Keganasan Wanita dan Rumahtangga
- Undang-undang tidak jelas 'aniaya' wanita
- Dera isteri
- Liberalisme vs Islam dan hak wanita
- Bersatu perangi keganasan terhadap wanita
- Suami dengar nasihat isteri
- Bergaul baik dengan isteri adalah WAJIB
- ISU: Keganasan emosi, penderaan buat wanita
- Tanggungjawab suami lindungi isteri, bukan menganiaya
- Hapuskan keganasan terhadap wanita
- Kenapa pukul? Kenapa aniaya?
- One Stop Crisis Center - OSCC
kenapa di dalam rumhtangga aku selalu ada kesialan di hari jumat.....
BalasPadamkenapa ckp camtu.. x baik lar..
PadamKenapa wanita selalu menjadi mangsa?
BalasPadamDiperlakukan seperti binatang.
Saya salah seorang mangsa.Suami saya kaki pukul.Tapi saya tak berani nak mengadu kerana saya masih sayangkan rumahtangga saya.
Atas sebab-sebab kecil saya selalu ditindas.Pendek kata...biarlah dia menang,sebab kalau saya melawan pun tak berguna...yang dapat cuma kesakitan tak kira dari segi luaran atau dalam.
dalam 10 tahun ini,apa yang saya dapat buat cuma berdiam.Saya ada mengadu pada mak mertua tentang anak dia.Saya bersyukur kerana dapat mak mertua yang memahami.Tapi dia juga tidak dapat berbuat apa-apa kerana takut saya dipukul.Suami saya orangnya tidak boleh terima nasihat.
Minta pandangan: Bila berlaku pertengkaran, dan kemudian suami telah memukul isteri secara bersungguh-sungguh sehingga cedera. 1) Adakah jatuh derhaka isteri terpaksa keluar dari rumah 2) Tepuk tangan sebelah, tidak akan berbunyi. Bermakna di dalam pertengkaran kedua-dua pihak menanggung salah. Maka setelah isteri dipukul secara bersungguh-sungguh sehingga cedera, adakah isteri perlu mencari suami dahulu untuk meminta maaf (kerana dia ialah SUAMI), atau sewajarnya suami mencari isteri yang dipukul itu, dan sama-sama berdamai. Harap dapat beri pandangan. Wassalam
BalasPadam