“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Selasa, Disember 30, 2008

Doa memohon kesabaran dan mati dalam iman




وَمَا تَنقِمُ مِنَّآ إِلَّآ أَنۡ ءَامَنَّا بِـَٔايَـٰتِ رَبِّنَا لَمَّا جَآءَتۡنَا‌ۚ رَبَّنَآ أَفۡرِغۡ عَلَيۡنَا صَبۡرً۬ا وَتَوَفَّنَا مُسۡلِمِينَ

Dan kamu tidak menyalahkan kami, melainkan kerana kami telah beriman kepada ayat-ayat Tuhan kami ketika ayat-ayat itu datang kepada kami. (Mereka berdoa): "Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami dan wafatkanlah (matikanlah) kami dalam keadaan berserah diri (berserah sepenuh hati kepada-Mu)."

(Surah Al-A'raaf, ayat 126)

NB: Teks asal dari artikel menyebut ayat 89, bila disemak, terjemahan sepatutnya untuk ayat 126.

Keterangan Ayat

Allah SWT menggunakan perkataan 'limpah' laksana air. Sabar berperanan seperti air yang menjadi agen pembersihan dan ketenangan. Seperti mana air membersihkan kekotoran, demikian juga sabar membersihkan dosa. (Tafsir al-Baidhawi, tafsir ayat 126, surah al-A'raf)

Menurut hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Tabari dalam tafsirnya, ayat ini menceritakan tentang tabahnya iman ahli sihir terhadap Allah sesudah meyakini perutusan Nabi Musa. Walaupun mereka takut kepada Firaun yang berkuasa menzalimi mereka tetapi mereka memilih mati syahid demi mempertahankan akidah mereka.

Ahli-ahli sihir yang rancak mempamerkan tipu daya mereka pada sebelah pagi bertukar menjadi mujahid di jalan Allah SWT pada sebelah petangnya. (Jami' al-Bayan li al-Tabari, tafsir ayat 126, surah al-A'raaf)

Khasiat dan Kaifiat Beramal

Oleh itu, kita wajar mencontohi iman dan keyakinan golongan mukmin seperti ini. Walaupun kita beriman, kadangkala iman boleh tergugat apabila berhadapan dengan tipu daya dunia. Maka awasilah iman dengan cara beramal dengan ayat ini supaya mampu menikmati iman 'ahli-ahli sihir' yang dipilih Allah SWT menjadi para 'syuhada.'

Sumber: UtusanOnLine 29/12/2008

Butiran selanjutnya ...

SELAMAT MAAL HiJRAH 1430


Salam,

Rasa-rasanya masih belum terlambat untuk saya ucapkan Selamat Tahun Baru Maal Hijrah 1430. Semoga tahun ini kita semua diberi kerahmatan kesihatan, keberkahan rezeki dan dipanjangkan usia untuk terus beramal
kepada Allah SWT.



Awal Muharam sesuai bermuhasabah
Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Perancangan teliti mampu tingkat amalan, hadapi cabaran hidup

KETIBAAN Awal Muharam mengingatkan kepada peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah yang berlaku 14 abad lalu. Peristiwa hijrah itu menjadi titik tolak permulaan yang mengangkat Islam sebagai agama diredai Allah.

Sementara kita mengakhiri tahun 1429 hijrah ini dan menghadapi kedatangan tahun 1430 hijrah, sudah tentu wajar bagi setiap Muslim mengimbas kembali masa setahun yang sudah berlalu itu untuk menilai bagaimana ia dihabiskan. Ia tentu banyak meninggalkan seribu satu kenangan, sama ada yang manis atau pahit. Mungkin dalam setahun itu, kita banyak memperoleh kebaikan dan keuntungan, mungkin juga pada masa sama kita juga melakukan keburukan serta mengalami kerugian, dari segi keduniaan mahupun akhirat.

Saidina Umar al-Khattab pernah berkata, "Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab oleh Allah di akhirat kelak." Ungkapan itu memberi peringatan betapa perlunya muhasabah diri dan bagaimana ia berupaya bertindak sebagai persiapan yang akan menentukan kejayaan di samping mengelakkan daripada penyesalan yang tiada penghujungnya. Muhasabah diri bukan saja boleh membantu merancang masa depan lebih baik, malah ia akan menginsafkan kita betapa pentingnya perancangan rapi.

Firman Allah bermaksud: "Wahai orang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya) dan hendaklah setiap diri melihat dan memerhatikan apa yang dia sudah sediakan (dari amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan); bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuannya akan segala yang kamu kerjakan." (Surah al-Hasyr, ayat 18)

Perlu diinsafi bahawa setiap Muslim tidak dapat mengetahui dengan pasti apakah corak masa depan bakal dilaluinya, apakah ia suatu detik gemilang dan kejayaan ataupun hanya satu detik pahit penuh kegagalan serta kedukaan.

Apakah setiap Muslim akan terus beristiqamah dengan sinaran hidayah Allah atau tersungkur jatuh dalam kancah maksiat serta permainan tipu helah syaitan yang menyesatkan? Dalam hal ini, apa pasti setiap Muslim hanya boleh merancang dan berusaha pelbagai persiapan teliti demi memastikan dia mampu terus bersedia menghadapi masa depan dengan pelbagai cabaran. Hasilnya, dunia kini seolah-olah menjadi medan pertarungan sengit bagi menentukan seseorang atau umat itu berjaya atau kecundang. Ada umat yang muncul dan berjaya dan ada pula tenggelam serta hancur. Ada manusia berjaya menjadi pemimpin dan apa yang sanggup menjadi pak turut.

Walau apa pun natijah yang bakal diraih, masa depan itu tetap juga akan dihadapi. Oleh demikian, setiap Muslim seharusnya berbekalkan semangat juang tanpa mengenal penat lelah atau erti mengalah ketika menyelusuri titian hidup ini.

Inilah lumrah kehidupan ditentukan Allah sebagai medan perjuangan antara yang hak dengan batil, benar dengan palsu. Ada kalanya pihak yang benar dapat mengatasi yang salah, ada kalanya yang salah mengalahkan yang benar. Perlu ditegaskan jika pihak yang kalah itu menang, ia sama sekali tidak bererti kejahatan itu berada di pihak benar, tetapi dalam banyak keadaan ia adalah kerana pihak jahat itu mempunyai kepemimpinan dan sistem teratur yang membolehkannya meraih kemenangan.

Ada ketikanya pihak baik akan kecundang dalam perjuangannya kerana dalam banyak keadaan ia tidak diatur dan dirancang dengan baik serta tidak mendapat kepemimpinan baik ketika menjayakan misi itu.

Allah berfirman bermaksud: "Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa kemenangan atau kekalahan), Kami gilirkan ia antara sesama manusia (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah mengenai orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian antara kamu orang yang mati syahid. Dan (ingatlah) Allah tidak suka kepada orang yang zalim." (Surah ali-Imran, ayat 140)

Satu perkara perlu disedari setiap Muslim ialah setahun yang berlalu bererti setahun pula umurnya bertambah. Semakin bertambah bilangan tahun berlalu, semakin sedikit pula sisa-sisa hidupnya yang masih tertinggal. Apabila umur seseorang Muslim tamat, maka ajal maut pun akan menjemputnya. Pada ketika itu, tidak ada lagi peluang ke sekian kalinya untuk Muslim mengumpul bekalan akan dibawa menghadap Allah kelak.

Oleh itu, setiap Muslim wajib menginsafi diri ketika menjalani kehidupan dunia yang sementara ini dan janganlah membazirkan waktu berharga dengan sia-sia. Ingatlah, sehari yang terbuang bermakna kita membuang masa, umur serta peluang berharga. Sikap membuang masa seharian dengan berfoya, melepak dan berseronok tanpa mendatangkan hasil yang bermanfaat bererti suatu penderhakaan terhadap nikmat masa yang dikurniakan Allah. Malah, masa sahajalah aset sangat bernilai yang tersedia pada setiap manusia dalam hidup ini.

Saidina Ali Abi Talib pernah berkata: "Sesiapa yang menghabiskan masa hariannya tanpa ada hak yang dilaksanakannya, tanpa ada kewajipan ditunaikan, tanpa ada kemuliaan dibinanya, tanpa kepujian yang diperoleh, tanpa ada kebajikan dilakukannya, tanpa ada ilmu dipetiknya, maka sesungguhnya dia sudah menderhakai masa hariannya itu." Wajarlah setiap Muslim merenung dan bermuhasabah secara mendalam. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Maka sediakanlah bekal di dunia sebelum belayar ke alam akhirat yang abadi supaya setiap daripada kita tidak menyesal pada kemudian hari nanti.

Sumber: BHarianOnLine 20081226


Butiran selanjutnya ...

Sabtu, Disember 27, 2008

Masalah pendengaran

Assalamualaikum wbt,

Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun; dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur. (Surah An-Nahl, ayat 78)

Dah dua minggu saya menghadapi masalah pendengaran di telinga sebelah kiri saya. Saya kurang pasti punca masalah yang saya hadapi, tapi saya perasan telinga berdesing dan 'blocked' seolah-olah saya berada di tempat tinggi atau sedang duduk dalam kapal terbang yang mahu 'take off' ... Sepanjang masa, cuma doa nabi Yunus (semasa terperangkap dalam ikan paus) saja yang saya baca, semoga Allah mengurangkan perasaan takut kehilangan pendengaran buat selama-lamanya.

Insan biasa seperti saya amat mudah lupa (lalai) dengan nikmat/kurniaan Allah SWT. Bila nikmat/kurniaan Allah ditarik balik, cepat saja kita teringat kepada-Nya, betapa selama ini saya amat lalai mensyukuri nikmat-Nya... Astaghfirullah...

Alhamdulillah, setelah dirawat oleh Dr Razak, pakar ENT di DEMC, pendengaran saya semakin pulih. Saya agak terkejut kerana ada 'bendasing' sepanjang ± 2 cm dan berdiameter sebesar-besar lubang telinga boleh 'duduk' melekat dan menutupi 98% bahagian gegendang telinga (ear drum) selama dua minggu!

Kali ini saya nak kongsikan sedikit ilmu sains sukatan sekolah rendah (?) yang sudah agak lama kita tinggalkan.

Sumber: AudioLab

Masalah pendengaran dan telinga anda.

Masalah pendengaran bukanlah suatu masalah yang jarang-jarang berlaku di dalam masyarakat kita. Malah dalam dunia ini, masalah pendengaran dihadapi oleh setiap peringkat umur, sama ada peringkat bayi, remaja, dewasa mahupun warga tua. Untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai masalah pendengaran yang anda hadapi, adalah penting untuk mengenali telinga anda terlebih dahulu.

Struktur telinga anda.

Secara fizikal, telinga boleh dibahagikan kepada tiga iaitu telinga luar, telinga tengah dan telinga dalam (Gambarajah 1). Telinga luar terdiri daripada cuping telinga dan salur telinga anda. Manakala telinga tengah merangkumi gegendang telinga, tulang osikel (incus, stapes dan maleus) , ruang telinga tengah serta tiub Eustachian (yang menyambungkan bahagian telinga tengah ke tekak) .

Telinga dalam pula terdiri daripada koklea, salur separuh bulat dan saraf auditori iaitu saraf pendengaran yang menghantar maklumat pendengaran dari koklea ke otak untuk ditafsirkan. Di otak pula, terdapat pusat pendengaran yang akan memproses maklumat yang sampai dan maklumat-maklumat ini akan ditafsirkan sebagai pendengaran. Disebabkan hal inilah, kita dapat menikmati sensasi pendengaran.

Untuk mendengar, kesemua bahagian telinga yang telah dinyatakan tadi haruslah boleh berfungsi secara normal tanpa sebarang jangkitan atau abnormaliti. Sebarang gangguan di mana-mana bahagian akan menyebabkan individu berkenaan menghadapi masalah pendengaran dan kesan masalah ini bergantung kepada tahap keterukan masing-masing.

Gambarajah 1

Jenis Masalah Pendengaran.

Adalah penting untuk anda mengetahui jenis masalah pendengaran yang anda hadapi kerana ia akan membantu anda dan menyelesaikan masalah tersebut. Terdapat masalah pendengaran yang boleh dirawat dan tidak boleh dirawat. Jika anda menghadapi masalah pendengaran yang tidak boleh dirawat, pemakaian alat bantu dengar adalah perlu.

Terdapat tiga (3) jenis masalah pendengaran iaitu masalah konduktif, sensorineural dan campuran. Masalah pendengaran konduktif berlaku apabila terdapat masalah atau jangkitan pada telinga luar dan telinga tengah. Contoh masalah dan jangkitan yang boleh menyebabkan masalah pendengaran konduktif ialah ketiadaan lubang telinga (atresia), cuping telinga kecil atau tiada cuping telinga (mikrotia / anotia), sumbatan tahi telinga di salur telinga, jangkitan kuman pada salur telinga atau telinga tengah dan gegendang telinga bocor/pecah.

Masalah pendengaran sensorineural pula berlaku apabila terdapat masalah atau jangkitan pada telinga dalam, tempat di mana koklea dan saraf pendengaran berada. Masalah ini tidak dapat dilihat secara fizikal (tiada rembesan nanah atau kecacatan fizikal) tetapi hanya dapat dikenalpasti melalui pemeriksaan pendengaran secara menyeluruh. Masalah ini tidak dapat dirawat, tidak seperti masalah pendengaran konduktif yang boleh dirawat secara pengambilan ubat atau pembedahan.

Masalah pendengaran campuran pula berlaku apabila terdapat kehadiran kedua-dua masalah pendengaran serentak iaitu masalah pendengaran konduktif dan sensorineural hadir bersama. Contohnya, seseorang yang mempunyai masalah pendengaran sensorineural juga mempunyai mampatan tahi telinga dikategorikan sebagai mempunyai masalah pendengaran campuran. Apa jua masalah yang berlaku di telinga luar/tengah beserta masalah di telinga dalam disebut sebagai masalah pendengaran campuran.

Berhati-hati jika anda mengalami tanda-tanda berikut !
Segeralah berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan pendengaran anda.

  • Meminta percakapan diulang berkali-kali
  • Bercakap dengan nada suara yang lebih kuat daripada biasa
  • Tidak memahami arahan yang diberikan atau silap memahami arahan.
  • Sukar memahami perbualan di tempat bising
  • Terpaksa memalingkan kepala ke arah sumber bunyi dalam usaha untuk memahami apa yang didengari
  • Sukar memahami perbualan telefon
  • Toleransi terhadap bunyi bising berkurang
  • Suka memencilkan diri dari bergaul dan berbual
  • Terdedah kepada bunyi yang sangat kuat
  • Terlibat dalam kemalangan yang melibatkan kecederaan di bahagian kepala dan leher.
  • Terdapat ahli keluarga yang juga mempunyai masalah pendengaran
  • Pengambilan ubat ototoksik (anti-histamin, anti-diuretik dll)
  • Menghidap penyakit sistemik (kencing manis, hiperkolesterol, buah pinggang dll)

Perhatikan anak-anak anda. Jika mereka mempunyai salah satu ciri-ciri seperti di bawah, bawalah mereka menemui doktor untuk pemeriksaan pendengaran!

  • Tidak bertindak balas terhadap bunyi
  • Tidak bertindak balas terhadap panggilan nama sendiri
  • Tidak memahami / silap memahami arahan
  • Kelihatan tidak memberikan tumpuan/ sentiasa mengelamun
  • Kelihatan nakal, tidak mempedulikan orang lain / sangat pasif, menyendiri
  • Lebih banyak menunggu dan melihat apa yang dilakukan oleh orang lain dahulu sebelum melakukan sebarang tugas
  • Akan membaca bibir, melihat isyarat visual, ekspresi muka dan gerak tangan daripada mendengar
  • Lewat bertutur
  • Lebih banyak menunjuk dengan jari dari bercakap
  • Menonjolkan sikap yang ganjil ketika berinteraksi dengan kawan-kawan
  • Menghidap demam kuning yang teruk sehingga memerlukan penukaran darah selepas dilahirkan
  • Telinga sering berair atau bernanah
  • Dilahirkan sangat kecil (berat badan kurang 1.5kg)
  • Tidak menangis sebaik sahaja dilahirkan
  • Ibu mendapat jangkitan seperti rubella, siphlis, herpes, cytomegalo virus dll jangkitan kuman semasa mengandung
  • Ibu terdedah kepada radiasi (X-ray ,MRI dll) semasa mengandung
  • Ibu mengambil ubat ototoksik semasa mengandung (anti-histamin, anti-diuretik dll)
  • Ibu mengambil dadah atau menghisap rokok semasa mengandung
Langkah awal perlulah diambil dalam mengatasi masalah pendengaran terutama di kalangan kanak-kanak. Ia boleh mendatangkan kesan buruk terhadap perkembangan bahasa dan pertuturan kanak-kanak tersebut. Ini seterusnya akan merencat perkembangan sosial, komunikasi, psikologi dan vokasional individu berkenaan. Masalah pendengaran perlu dikesan sejak kecil (umur kurang daripada 3 bulan) agar pemasangan alat bantu dengar yang bersesuaian serta program rawatan seterusnya dapat dilakukan. Ini adalah bertujuan untuk mengurangkan kesan masalah pendengaran yang dihadapi oleh kanak-kanak berkenaan.

Butiran selanjutnya ...

Rabu, Disember 24, 2008

Benarkah perempuan lebih ramai daripada lelaki?

Assalamualaikum warahmatullah,

Baru-baru ini, di group yang saya sertai, email yang diterima berbunyi begini, “Bukan nak menggatal. Tapi statistik terkini yang saya dengar masa hadiri satu seminar minggu lepas mengatakan nisbah bilangan lelaki dan perempuan di Lembah Klang sahaja buat masa ini adalah 1:12. Ada pula soalan-soalan nakal yang tanya macam mana yang lagi lapan? Dijawablah, yang lapan itu kita doalah banyak-banyak. Yang penting, empat tu kena diselamatkan dahulu. Terfikir jugak aku masa tu, kesian pulak kaum wanita ni. Tapi terus teranglah, tak pernah terfikir aku nak menambah lagi...”

Terkejut saya dengar nisbah lelaki dan perempuan = 1:12! Rasa-rasanya baru 2-3 bulan sudah saya baca buku Dr HM Tuah yang saya baca (tak ingat tajuk), lelaki sebenarnya lebih ramai daripada perempuan. Nisbahnya saya tak ingat, tak mahu agak-agak sebab tak mahu memberikan data yang salah. Saya telahpun merujuk di beberapa web, untuk mengetahui statistik yang sebenarnya. Dakwaan Dr HM Tuah memang BENAR sekali, lelaki sebenarnya lebih ramai daripada perempuan!

Saya agak hairan, mengapa ada saja yang suka memberi angka yang mengelirukan seperti ini. Kita sepatutnya bercakap berdasarkan fakta, bukannya AUTA semata-mata. Apakah tujuan orang-orang ini mengeluarkan fakta yang tidak tepat? Untuk mengelirukan pendengar? Saja suka-suka? Cuma mereka saja yang tahu.

Seperti biasa, cepat sungguh lelaki melatah bila mendengar perempuan lebih ramai daripada kaumnya. Siap ada yang pasang angan-angan 'shopping' calon isteri lagi, rambang mata dibuatnya! Iyalah, kalau dah lebihnya 12, kuota pun dah terlebih jugalah...


Benar, jika kita perhatikan, ke mana saja kita pergi kita akan melihat perempuan lebih ramai daripada lelaki.

Cuba lihat di pejabat wanita lebih ramai, di sekolah guru wanita lebih ramai, di IPT juga bilangan pelajar perempuan lebih ramai daripada lelaki, di stesen bas, stesen keretapi/komuter/LRT dan tempat-tempat awam yang lain-lain.

Not to mention di shopping kompleks atau di pasar, kita dapat melihat lebih ramai perempuan daripada lelaki. Agaknya, sebab itulah orang membuat andaian, perempuan lebih ramai daripada lelaki.

MALANG sungguh, wahai kaum Adam, andaian ini tidak tepat sama sekali! Sila rujuk web[EPU-JPM] di [Penduduk mengikut jantina, etnik dan umur bagi 2000]. Sila rujuk juga web Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam statistiknya Penduduk Berumur 15 Tahun dan ke atas yang Belum Pernah Berkahwin mengikut Negeri dan Jantina, 2000 untuk maklumat tepat.

Daripada statistik yang diberi, kita dapat melihat, di negeri Selangor saja, lelaki : perempuan = 126 : 100! Ini bermakna, ada lebihan 26 lelaki bagi setiap 100 orang perempuan. Jadi, siapa yang kata perempuan lebih daripada lelaki?

Mengikut perangkaan Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) tahun 2007 pula, menunjukkan kaum lelaki lebih ramai daripada perempuan iaitu m
engikut perangkaan terkini, bilangan lelaki negara ini berjumlah 13.3 juta orang manakala perempuan pula 12.8 juta orang. Ertinya, lelaki melebihi 500,000 berbanding wanita.

Jika benar lelaki lebih setengah juta daripada perempuan, mengapa sana sini kelihatan perempuan lebih ramai? Ada sesuatu yang menarik perlu diberi perhatian di sini. Setelah dicongak-congak, dicampur dan ditolak, kita bolehlah membuat rumusan mengapa perempuan nampak lebih ramai daripada lelaki.

Pertama: Mungkin ramai lelaki menyertai kerjaya beruniform, seperti tentera dan polis. Pasukan ini mempunyai lebih kurang 100,000 anggota dan sebahagian besarnya lelaki. Bidang ini memerlukan bertugas di perbatasan dan tempat-tempat tertentu menyebabkan kuranglah kita nampak kaum lelaki.

Kedua:
Kita lihat pula di pusat-pusat serenti kebanyakannya lelaki, yang dikesan oleh Agensi Dadah Kebangsaan yang berjumlah lebih kurang 250,000 orang dan sebahagian besar semuanya lelaki.


Ketiga: Yang maut di jalan-jalan raya, yang tertonggeng dalam parit, yang tergantung kakinya di hospital semuanya lelaki yang terlibat dalam aktiviti Mat Rempit. Jadi kuranglah lelaki yang kita dapat lihat di kawasan awam. Jangan marah, tak percaya cuba-cubalah melawat ke hospital-hospital berdekatan kawasan anda.

Keempat: Ada juga yang bekerja di luar negara dan ada juga yang berkahwin dengan mek-mek saleh dan terus menetap di sana dan muncul bila ada musim perayaan saja.

Kelima: Dan ada tidak pulang setelah tamat belajar kerana mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik atau mungkin tidak mahu menjelaskan hutang MARA atau ada juga yang lari keluar negara kerana tidak mahu dikerjakan oleh ALONG dan sebagainya.

Pendek kata kalau dikumpulkan semuanya, beratus ribu lelaki yang wujud tetapi tidak kelihatan dalam pandangan umum. Sebab itulah perempuan nampak lebih menyerlah di mana-mana sahaja kita pergi.

Kesimpulannya, statistik lelaki : perempuan = 1 : 12 adalah tidak tepat sama sekali. TETAPI, sekiranya statistik yang diberi oleh kawan kita tadi bertukar kepada lelaki berkualiti : perempuan berkualiti, ini mungkin benar.... Kekekekekeke.... Adakah kamu semua setuju dengan saya?

Aduhai kaum Adam, bangunlah! Tinggikanlah martabat kaummu, jangan dibiarkan kaum Hawa meninggalkanmu dengan seribu satu langkah yang lebih baik daripada kamu yang diciptakan Allah SWT untuk memimpin kaum Hawa.

Ingat, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara!


Butiran selanjutnya ...

Ahad, Disember 21, 2008

Ngah Ibrahim pejuang pemikir Melayu

Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my

Ngah Ibrahim

PENJAJAH Inggeris cuba mengaitkan Ngah Ibrahim Long Jaafar (1836-1895) dengan kematian JWW Birch tetapi tiada bukti kukuh menyebabkan mereka menggunakan muslihat dan menahan pejuang kemerdekaan terawal, intelektual, pemikir dan berwawasan jauh dalam membangunkan ekonomi bangsa Melayu itu di Singapura.

Ngah Ibrahim akhirnya dijatuhkan hukuman dibuang ke Pulau Seychelles dan dipindahkan ke Sarawak sebelum kembali ke Singapura dan meninggal dunia pada 4 Februari 1895. Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Al Junid, Singapura sebelum dibawa pulang ke halamannya pada 2006.

Perbincangan mengenai Ngah Ibrahim sebagai seorang daripada pahlawan serta jutawan Melayu terkenal pada abad ke-19 di Tanah Melayu tidak perlu dipertikaikan.

Dia orang yang bertanggungjawab membina Kota Ngah Ibrahim, yang kini berusia 150 tahun yang dijadikan pusat pentadbiran bersilih ganti diletakkan di bawah pemerintahan British, Jepun hinggalah akhirnya diserahkan kepada Jabatan Muzium dan Antikuiti pada 1985 untuk dijadikan Kompleks Sejarah Matang.

Kawasan kota itu dibina menggunakan batu bata yang dicampur simen lama dikenali Lime Motar dan mempunyai menara kawalan utara dan selatan, pelabuhan Melawati, kubur, tugu peringatan kemasukan tentera Jepun.

Bahkan, tembok yang runtuh akibat rempuhan pesawat Jepun yang terhempas di situ ketika Perang Dunia Kedua dikekalkan sebagai bahan sejarah. Pada tembok itu terdapat satu lubang kecil pada jarak setiap lima kaki dipercayai bagi tujuan pertahanan.

Kota Ngah Ibrahim yang dijadikan Kompleks Sejarah Matang.

Ini kerana, Ngah Ibrahim pernah melantik Kapten Speedy mengetuai pasukan polis mengawal kubu berkenaan terdiri daripada orang Melayu dan tentera Gurkha.

Di satu sudut berhampiran menara selatan, terdapat satu perigi lama yang digali semula oleh arkeologi dan hasilnya membuktikan seni bina yang menarik. Susunan bata diletak dengan tiga corak iaitu melintang, menegak dan bentuk V atau tulang belut.

Airnya masih banyak dan jernih, tetapi pengunjung tidak dibenarkan memijak batu bata di situ bagi mengelakkan runtuhan.

Ahmad Sazali berkata, kubu itu pada asalnya terletak berhampiran sungai tetapi kini sungai itu menjadi sempit dan langsung tidak digunakan.

Lakaran Kota Ngah Ibrahim di era kegemilangan pemerintahan yang turut menempatkan pelabuhan.

“Ngah Ibrahim mempunyai empat kapal iaitu dua kapal layar dinamakan Bahtera Bayu dan Indera Bayu yang prestasinya lebih hebat daripada Kapal Pluto yang menjadi lokasi Perjanjian Pangkor pada 1874 serta serta dua kapal stim,” katanya.

Di dalam kompleks dua tingkat itu juga mengandungi pelbagai artifak sejarah termasuk tinggalan aktiviti perlombongan, sistem pemerintahan, mahkamah, senjata dan agak menarik ialah replika Si Larut, iaitu gajah milik Long Jaafar yang dikatakan menemui bijih timah ketika berkubang di Larut.

Kota Ngah Ibrahim jadi kompleks sejarah

KOMPLEKS sejarah Matang, Perak yang terletak di Matang (dulu dikenali sebagai Permatang) di Mukim Bukit Gantang, Perak dibina oleh Ngah Ibrahim yang bergelar Orang Kaya Menteri Paduka Tuan.

Beliau adalah anak kepada Che Long Jaafar, iaitu orang Melayu pertama yang membuka perusahaan lombong bijih timah di Larut, Matang dan Selama pada 1840.

Kompleks ini adalah sebuah bangunan yang dijadikan rumah, kota dan pusat pentadbiran Larut dan ditempatkan di kawasan seluas 0.8094 hektar. Bangunan ini dibina hanya menggunakan bahan daripada batu bata saja.

Selepas Ngah Ibrahim meninggal dunia di Singapura pada 4 Februari 1895, kota ini diletakkan di bawah pengawasan Inggeris sehinggalah ia dijadikan Maktab Perguruan Melayu Matang pada 1913 hingga 1922.

Selepas itu, ia dijadikan sebagai Sekolah Melayu pada 1923 hingga 1941. Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu (1942 hingga 1945), ia berperanan sebagai markas tentera Jepun. Apabila Jepun menyerah kalah dan berakhirnya Perang Dunia Kedua pada 1946, rumah itu dijadikan semula sebagai Sekolah Melayu (1946 hingga 1983).

Kota ini dijadikan Kompleks Sejarah Matang hingga sekarang mulai 1985 selepas ia diserahkan kepada Jabatan Muzium dan Antikuiti.

Koleksi dan galeri:

  • Terdiri daripada semua jenis artifak berkaitan kronologi penubuhan kompleks.

    Pameran tetap:

  • Kronologi penubuhan bangunan

  • Penggunaan bangunan bermula keluarga Che Long Jaafar, Ngah Ibrahim, pemerintahan Inggeris, Pendudukan Jepun, Maktab Latihan Perguruan Melayu Matang dan Sekolah Melayu

    Hari dan masa lawatan:

  • Setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 5 petang (kecuali Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha)

    Bayaran:

  • Percuma

    Tempat menarik berhampiran:

  • Hutan Paya Bakau Matang

  • Mahkamah Pertama Perak

  • Makam Dato; Sagor

  • Masjid Tengku Menteri

    Lokasi:

  • Terletak di Matang, Mukim Bukit Gantang, daerah Taiping, Perak

  • Kira-kira 30 minit perjalanan dari Bandar Taiping

  • Kira-kira 8 kilometer dari Bandar Taiping.

    Biodata Ngah Ibrahim:

  • Dilahirkan pada 1836 di Bukit Gantang, Perak dan kawasan kelahirannya adalah daerah pemerintahan bapanya, Long Jaafar pada zaman kegemilangannya sehingga pembinaan Kota Long Jaafar.

  • Ngah Ibrahim adalah anak hasil perkahwinan Long Jaafar Datuk Paduka Setia Long Abdul Latif dengan Cik Ngah Pura Datuk Panglima Bukit Gantang Seri Amar Diraja Alang Alaiddin.

  • Long Jaafar adalah pengusaha bijih timah terkenal bermula pada 1840. Beliau juga pengusaha ladang tebu di Kerian dan Bagan Tiang serta pengusaha ladang kopi di Assam Kumbang, Taiping.
  • Sumber: BHarianOnLine 2008/12/21

    Butiran selanjutnya ...

    Sabtu, Disember 20, 2008

    Surah Al-Asr –Mengelakkan Diri Menjadi Rugi

    Sumber: JAKiM

    Oleh : Mohsen Amdan


    Kebanyakan kita sudah tentu pernah menghadiri pelbagai seminar, kursus, ceramah atau bengkel. Sesungguhnya suatu hal yang menarik yang dapat diperhatikan pada setiap program tersebut ialah apabila sesi itu dikendalikan sama ada oleh penganjur, pengerusi, ataupun penceramah yang muslim maka sepertinya suatu kewajipan bahawa mereka akan memulakan sesi itu dengan bacaan Ummul Kitab dan mengakhiri sesi tersebut dengan Surah Al-Asr.


    Secara umumnya, ramai yang tahu mengapa harus dimulakan dengan Ummul Kitab dan sekiranya ditanya, ramai yang akan menyatakan yang Al-Fatihah itu maksudnya buka, maka molek sekiranya sesuatu yang baik itu (majlis ilmu yang dihadiri) dimulakan dengan Al-Fatihah. Maka, sekiranya dilanjutkan soalan mengapa pula harus ditamatkan dengan Surah Al-Asr? Barangkali jawapan yang biasa didengari ialah surah itu mengingatkan kita terhadap kepentingan masa. Ada juga yang menyatakan yang kita perlu menyampaikan ilmu yang telah dipelajari dalam majlis itu.


    Pernahkah anda terfikir untuk bertanya kepada penceramah tersebut, mengapa harus dibacakan Surah Al Asr? Tidakkah boleh ditutupkan majlis ilmu itu tadi dengan surah lazim yang lain? Meneliti maksud surah Al-Asr yang bermaksud, “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.” (Al-Asr : 1 – 3).Sekiranya diperhatikan, terjemahan surah di atas memberi penekanan terhadap beberapa perkara iaitu:

    1. Allah SWT bersumpah dengan masa
    2. Allah SWT menyatakan sesungguhnya manusia itu berada dalam keadaan rugi. Sebagai perbandingan, Allah SWT meletakkan keadaan negatif (rugi) kepada manusia dengan bersumpahkan masa.
    3. Allah SWT memberi pengecualian rugi kepada golongan yang berikut:
    • Orang yang beriman
    • Orang yang beramal soleh
    • Orang yang berpesan-pesan
    • Orang yang sabar


    Dalam konteks ini, dapat kita perhatikan bahawa ciri-ciri orang yang tidak rugi yang disenaraikan di atas sebenarnya berada dalam satu tertib yang mana dengan hanya mengikuti tertib tersebut dapat mengelakkan sesorang daripada menjadi rugi. Dan yang menariknya, penekanan rugi di sini bukan hanya merujuk kepada tauhid terhadap Allah semata-mata malah mencakupi apa sahaja perlakuan manusia. Ini bermaksud, bagi mereka yang tidak beriman kepada Allah juga harus memahami proses ini berlaku bagi mengelakkan mereka termasuk dalam kategori rugi.

    Tertib golongan yang terkecuali daripada kerugian:

    1. Orang yang beriman

    Iman atau bahasa mudahnya bermaksud percaya. Seseorang itu dikatakan beriman apabila dia mempercayai apa yang disampaikan kepadanya. Dalam konteks perilaku manusia, adalah lebih mudah bagi seseorang melakukan sesuatu yang dipercayainya, contohnya mempercayai bahawa memakan ubat yang dibekalkan oleh doktor adalah usaha dalam menyembuhkan penyakit. Dalam hal mempercayai sesuatu ini biasanya manusia lebih mudah jatuh percaya apabila melihat bukti dengan matanya sendiri. Sebagai contoh, adalah sukar mempercayai keberkesanan ubat kurus yang dijual oleh seseorang yang gemuk orangnya, kecuali orang itu menjadi kurus terlebih dahulu. Maka sekiranya anda membeli ubat itu semata-mata ingin menjaga hati si penjual yang berbadan gemuk tadi, bukankah satu kerugian kepada anda?

    2. Orang yang beramal soleh

    Amal atau melakukan sesuatu bermaksud anda melakukan sesuatu sama ada atas keinginan sendiri atau dorongan sesuatu. Dalam hal ini, adalah satu kerugian buat anda sekiranya anda percayakan kepada sesuatu yang mendatangkan kebaikan tetapi anda tidak melaksanakannya. Sebagai contoh, anda tahu bahawa solat adalah wajib dan sesiapa yang meninggalkannya akan berdosa. Tetapi di sebalik kepercayaan anda kepada perkara fardhu itu, anda tidak pun mengamalkannya. Begitu juga dengan pelbagai perkara lain yang anda pelajari dalam hidup seperti penggunaan tali pinggang keledar. Anda percaya bahawa penggunaannya mampu menyelamatkan nyawa. Tetapi, jika anda tidak menggunakannya walaupun anda percaya kesan penggunaannya, maka anda akan menjadi orang yang rugi terutamanya apabila kemalangan berlaku dan anda mendapat musibah kerana tidak mengenakan tali pinggang keledar.

    3. Orang yang berpesan-pesan

    Berpesan-pesan di sini boleh difahami dalam bentuk menyampaikan perkara yang dipercayai dan diamalkan seperti di atas. Ini bermaksud proses komunikasi dan penyebaran maklumat terhadap kebaikan ini perlu dilakukan. Sekiranya tidak, kita akan menjadi orang yang rugi. Memetik contoh terdahulu, pemakaian tali pinggang keledar. Sebagai orang yang mempercayai dan menggunakan tali pinggang keledar, adalah penting untuk anda sentiasa mengingatkan atau berpesan kepada mereka yang menaiki kereta anda untuk turut sama menggunakan tali pinggang. Adalah rugi sekiranya hanya anda yang menggunakannya kerana andainya kemalangan berlaku, hanya anda seorang yang terselamat. Begitu juga dengan aspek ibadah, seandainya anda rajin ke masjid tetapi tidak mengajak orang lain turut sama ke masjid, maka anda akan menjadi orang yang rugi kerana anda juga boleh mendapat pahala kerana menggalakkan orang ke masjid dan menyeru orang lain berbuat kebaikan.

    4. Orang yang sabar

    Dalam tertib ini, sabar berada di bahagian terakhir proses kerana hanya selepas anda beriman, beramal dan menyebarkan sesuatu, barulah anda bersabar. Mengapa keadaan ini berlaku? Hal ini demikian kerana manusia tidak mudah menerima perubahan. Perubahan menuntut pengorbanan masa, wang dan usaha yang kuat. Atas dasar ini, kita diminta bersabar atas usaha yang dilaksanakan untuk melihat hasilnya. Bayangkan senario ini; anda percaya bahawa solat berjemaah itu bagus, anda mengamalkannya dengan ke masjid dan anda menyebarkan dengan mengajak anak-anak anda ke masjid. Anda telah pun melengkapkan ketiga-tiga tertib di atas. Namun anak anda menolak dan tidak mahu mengikut anda ke masjid. Anda menjadi berang dan marah. Ini boleh mengakibatkan anak-anak menjadi takut, kecewa dan sebagainya yang mengakibatkan mereka semakin menjauhi anda dan menyukarkan anda mendidik mereka. Bukankah ini satu kerugian? Sebaliknya apabila anak-anak menolak, anda menasihati dengan lembut, menunjukkan teladan yang baik maka ini lebih dekat dengan hati mereka dan mampu mempengaruhi mereka.

    Benar, ia mungkin tidak semudah yang disangka namun disinilah cantiknya Islam yang menekankan konsep doa dan tawakkal setelah berusaha bersungguh-sungguh dalam usaha kita mengajak manusia ke arah kebaikan. Siapa tahu Allah SWT menggerakkan hati mereka setelah melihat ketulusan dan keikhlasan hati anda.

    Sesungguhnya merupakan satu kerugian bagi seseorang yang melakukan sesuatu perkara sehingga selesai tanpa dia percaya bahawa apa yang dikerjakan itu memberi manfaat kepadanya. Adalah sia-sia kepada mereka yang percaya tentang kepentingan sesuatu tetapi tidak melaksanakannya. Juga rugi bagi seseorang andainya satu perkara yang baik, diyakininya, diamalkan tetapi tidak disampaikan kepada orang lain. Begitu juga buat mereka yang percaya, mengamalkannya, menyampaikan kepada orang lain namun tidak pula bersabar dengan keputusan atau maklum balas daripada orang tersebut.

    Berbalik kepada pembacaan surah Al-Asr pada penghujung majlis ilmu, ia memberi isyarat kepada anda bahawa adalah penting kepada anda untuk mempercayai apa yang disampaikan, bertekad untuk mengamalkannya serta menyampaikan ilmu itu kepada sesiapa yang tidak berada di majlis yang sama. Kemudian anda perlu bersabar dengan respon yang bakal diterima kerana tidak semua orang suka menerima apa yang disampaikan oleh anda.

    Begitulah proses peningkatan kebolehan manusia boleh berlaku. Setiap perkara yang dikerjakan harus mengikuti tertib di atas bagi membolehkan mereka menguasai sesuatu kemahiran dan ilmu. Ini bermaksud, apabila selesainya majlis ilmu tersebut, anda mula memikul satu tanggungjawab. Bukan lagi pulang dengan tidak perlu memikirkan apa-apa.

    Setiap individu mempunyai kapasiti untuk berubah dan melakukan peningkatan. Walaubagaimanapun segala perubahan adalah dalam bentuk proses dan sememangnya sesuatu proses menuntut pengorbanan masa. Oleh itu Allah SWT telah bersumpah dengan masa kerana masa terlalu penting buat semua makhluk. Hanya mereka yang bijak mengurus dan mentadbir masa serta memahami proses peningkatan dari satu tahap ke tahap yang lain akan berjaya.

    Butiran selanjutnya ...

    Jumaat, Disember 19, 2008

    Q&A: Taati suami selagi tidak menyuruh kepada mungkar

    SOALAN:

    TOLONG berikan penjelasan berdasarkan nas al-Quran atau hadis berhubung "Ketaatan seseorang isteri kepada suami lebih dituntut" berbanding dengan "Ketaatan isteri kepada ibu bapanya?"

    JAWAPAN:

    Apabila seorang wanita dinikahi maka keutamaan baginya ialah mentaati suaminya tanpa berbelah bagi selagi mana suaminya tidak menyuruhnya melakukan kemungkaran terhadap Allah SWT.

    Mentaati suami perlu diutamakan tanpa menafikan kewajipan mentaati kedua-dua ibu bapa. Tidak kira ibu bapa itu daripada pihak suami mahupun daripada pihak isteri.

    Berkahwin bukan sekadar mengikat tali hubungan antara seorang lelaki dan perempuan malah perkahwinan itu ialah jambatan bagi membina persaudaraan antara keluarga lelaki dan perempuan.

    Sebenarnya tidak timbul soalan siapa yang perlu diutamakan jika kedua-dua belah pihak memahami bahawa keluarga isteri adalah keluarga suami juga, dan keluarga suami adalah keluarga isteri.

    Ketaatan seorang isteri kepada suaminya adalah perintah Allah SWT. Dalam hadis Baginda Rasulullah SAW ada menegaskan yang bermaksud: "Sekiranya aku boleh (diberi kuasa untuk menyuruh makhluk sujud kepada makhluk yang lain) menyuruh seorang itu sujud kepada seorang yang lain pastinya aku menyuruh si isteri sujud kepada suaminya." (riwayat al-Baihaqi, Sunan al-Kubra, jld:7, hlm:291, Abu Daud, Sunan Abi Daud, jld:2, hlm:605, al-Tarmidzi, Sunan al-Tarmidzi, jld:4, hlm:323).

    Dalam hadis ini Baginda Rasulullah SAW memperlihatkan akan kedudukan suami yang sepatutnya dihormati, sekali gus tidak ingkar kepada perintahnya. Dalam maksudnya yang lain menggambarkan bahawa suami mesti dimuliakan, dan kemuliaan itu bukan kerana Islam ingin memberi darjat yang berbeza antara lelaki dan wanita tetapi adalah untuk melihat kepada pengorbanan dan kesanggupan dia menjadi suami dan menjaga kehormatan isterinya.

    Namun dari segi peruntukan dalam feqh Prof Dr. Mahmud Ali al-Syarthawiy di dalam kitab Syrah Qanun al-Ahwal al-Syaksiyyah menegaskan harus si isteri ziarah ibu bapanya walaupun tidak mendapat izin suami seminggu sekali, sekiranya kedua ibu bapanya sakit harus baginya menziarahi mereka setiap hari kalau dia mahu.

    Harus juga bagi si isteri menziarahi sanak saudaranya dalam sebulan sekali, namun ditegaskan oleh para ulama itu sekiranya suasana aman, sekiranya suasana tidak aman maka tidak harus bagi si isteri keluar tanpa izin suaminya, yang demikian ialah demi menjaga keselamatannya (hlm:162).

    Di dalam al-Quran Allah SWT menyuruh kita berulangkali supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. Arahan cukup jelas selepas mentaati Allah tiada ketaatan yang lebih tinggi melainkan mentaati kedua-dua orang tua.

    Firman Allah SWT berkenaan berbuat baik kepada kedua ibu bapa yang bermaksud, "Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ah", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." (Surah al-Isra', ayat 23-24).

    Baginda Rasulullah SAW telah banyak berpesan agar setiap anak melakukan kebaikan terhadap kedua ibu bapanya di antara hadis Baginda daripada Anas bin Malik yang bermaksud: Sesungguhnya Nabi SAW apabila menaiki mimbar berkata: Amin, Amin, Amin," lalu ditanyakan kepada Baginda atas perkara apa tuan ungkapkan amin? Baginda menjawab: Telah datang kepadaku Jibril lalu berkata: " Wahai Muhammad kecelakaanlah bagi seseorang itu apabila disebut namamu yang mendengar tidak berselawat ke atas engkau, katakanlah wahai Muhammad Amin, maka aku pun kata Amin, kemudian Jibril berkata lagi, kecelakaanlah seseorang itu yang memasuki bulan Ramadan tetapi pertemuannya tidak mendapat keampunan, katakanlah Amin, aku pun kata Amin, kemudian Jibril berkata: Kecelakaanlah bagi seseorang itu dia bertemu dengan kedua orang tuanya, tetapi pertemuannya dengan kedua orang tuanya tidak melayakkan dia memasuki syurga. (Ibnu Kathir, Tafsir al-Quran al-'Azim, jld:3, hlm: 50 ).

    Di samping banyak lagi hadis-hadis Rasulullah SAW yang menyuruh kita berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Keingkaran seseorang dalam mentaati ibu bapa boleh membawa kemurkaan Allah SWT. Tidak kurang banyak riwayat yang mengisahkan balasan ke atas golongan yang menerima balasan segera dan tunai daripada Allah SWT.

    Sumber: UtusanOnLine 19/12/2008

    Butiran selanjutnya ...

    Syaitan musuh utama umat Islam


    Salamun'alaik Warahmatullahi Ta'ala Wabarakatuh....

    Salam serta selawat ke atas Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, ahli keluarga baginda serta salam kepada para sahabat yang berjuang menegakkan Islam di muka bumi ini.

    IBLIS dan syaitan adalah musuh nyata manusia. Kewujudannya diberitahu kepada kita oleh Allah melaui Rasul-Nya. Kedua-duanya termasuk kaum jin yang dijadikan daripada api sangat panas dan tergolong dalam spesies makhluk ghaib, iaitu tidak kelihatan dengan mata kasar manusia biasa, kecuali apabila ia menjelma dalam bentuk tertentu. Syaitan dan iblis mempunyai empayar kerajaan yang besar, malah ada pihak mendakwa nisbah seorang manusia 99 jin, manakala satu jin 99 malaikat, menunjukkan banyaknya makhluk terbabit yang mempunyai tugas masing-masing.

    Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!” (Surah Yasin, ayat 60)

    Hakikat syaitan sebagai musuh manusia diulangi oleh Allah SWT beberapa kali di dalam Al-Qur’an. Antara peringatan Allah SWT kita tentang musuh yang nyata ini ialah, “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam dengan selengkapnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” (Surah Al-Baqarah, ayat 208)

    Permusuhan syaitan kepada kita, manusia, bukanlah sesuatu yang berlaku secara sekali sekala tetapi ia adalah sesuatu yang berterusan. Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya syaitan hadir di sisi seseorang kalian pada setiap sesuatu yang kalian lakukan." Daripada Anas r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya syaitan berjalan dalam tubuh manusia melalui aliran darah." (Hadis sahih riwayat Muslim)

    Maka permusuhan syaitan ditujukan kepada kita dalam semua suasana dan perbuatan seperti tidur, mandi, makan, perbualan, pemandangan, pendengaran, pekerjaan, gerak hati, pemikiran, wudhu’, solat, puasa, haji dan pelbagai lagi.

    Pengodaan syaitan juga berterusan, selagi nyawa manusia itu dikandung badan. Ini jelas diceritakan dalam hadis berikut. D
    ari Aisyah r.a. isteri Rasulullah SAW dia menceritakan bahawa pada suatu malam Rasulullah SAW pergi dari rumahnya (dari rumah Aisyah). Kata Aisyah, "Kerana itu aku cemburu kepada baginda. Setelah baginda kembali dia memerhatikan tingkah laku ku lalu baginda bertanya, "Mengapa engkau hai Aisyah, cemburukah?" Jawabku, "Bagaimanakah wanita seperti aku tidak akan cemburu terhadap lelaki seperti kamu?" Tanya baginda, "Apakah syaitanmu telah datang pula menggodamu?" Jawab Aisyah, "Ya Rasulullah, apakah aku bersama syaitan?" Jawab baginda , "Ya!" Tanyaku, "Apakah setiap orang begitu?" Jawab, "Ya! Tetapi aku dilindungi Tuhanku sehingga aku selamat." (Hadis sahih riwayat Muslim)

    Antara tugas-tugas syaitan:

    1. Menghasut manusia untuk melakukan kejahatan. Sebab itu Allah mengingati manusia supaya berwaspada dengan hasutan terbabit. Bagi orang yang memiliki pemikiran yang cemerlang, syaitan menghiasi mereka dengan teori-teori yang canggih. Orang-orang seperti ini banyak kita temui sekarang ini dimana mereka bercakap dengan nada Islam tetapi dengan isi kandungan yang menafikan ketuhanan (ateis), kemusyrikan dan kekufuran.

    "Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara yang keji, dan menyuruh kamu berkata dusta terhadap Allah, apa yang kamu tidak ketahui." (Surah Al-Baqarah, ayat 168-169)

    2. Menakut-nakutkan manusia. Syaitan juga bekerja menakutkan dan membimbangkan manusia, terutama berdepan persoalan rezeki, dengan hidup miskin dan susah. Bagi orang yang memiliki pemikiran yang sederhana, syaitan menakut-nakutkan mereka agar tidak berganjak dari pandangan agama yang dipegang sejak turun temurun. Maka sumber agama berubah dari al-Qur’an dan al-Sunnah kepada yang lazim dan tradisi. Apabila ditegur atau dipaparkan sesuatu yang baru, mereka menolak dengan alasan-alasan yang tidak ilmiah.

    "Syaitan itu menjanjikan kamu dengan kemiskinan dan kepapaan, dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji; sedangkan Allah menjanjikan kamu keampunan daripada-Nya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi Maha Mengetahui." (Surah Al-Baqarah, ayat 268)

    3. Menyesatkan manusia. Bagi orang yang berpendidikan tinggi, syaitan menakut-nakutkan mereka agar tidak mendalami ilmu-ilmu agama. Ini juga amat lazim berlaku sekarang ini di mana ramai umat Islam yang telah mencapai tahap pendidikan yang amat tinggi tetapi dalam bab agama ilmu mereka masih sekadar apa yang dipelajari di bangku sekolah. Dalam kerjaya, mereka berpegang teguh kepada disiplin dalil dan hujah (proof and argument) akan tetapi disiplin yang sama tidak mereka terapkan dalam agama.

    "Tidakkah engkau melihat orang yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya ingkar kepada taghut itu. Dan syaitan hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya." (Surah An-Nisaa', ayat 60)

    4. Disebabkan tidak senang dengan ketenangan manusia, syaitan mengada-adakan pelbagai onar, termasuk membisikkan sesuatu ke telinga dan hati manusia. Bagi orang yang berpendidikan rendah, syaitan membangkitkan teori-teori kosong kepada mereka agar kelihatan bijak. Maka lahirlah dari mereka pelbagai “petua ini dan amalan itu” yang tidak berasal dari Allah dan Rasul-Nya, tetapi berasal dari syaitan dan kuncu-kuncunya. Semua petua dan amalan tersebut diikuti secara membuta oleh orang-orang yang berpendidikan tinggi kerana syaitan telah menakutkan mereka daripada mengkaji dalil dan mencari hujah.

    "Dari kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tenggelam. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. Dari kalangan jin dan manusia." (Surah An-Nas, ayat 4-6)

    5. Menimbulkan permusuhan sesama manusia. Cara syaitan ialah menimbulkan syak wasangka, hasad dengki dan kebencian.

    "Sesungguhnya syaitan itu berkehendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan arak dan judi..." (Surah Al-Maidah, ayat 91)

    6. Melalaikan dan menghalang manusia daripada mengingati Allah. Bagi orang yang rajin beribadah, syaitan menipunya dengan suruhan beribadah sahaja sehingga dia melalaikan tugas di pejabat. Bagi orang yang rajin di pejabat, syaitan menipunya dengan suruhan kerja sahaja sehingga dia melalaikan agamanya. Bentuk pertama dan kedua ini amat ketara berlaku pada masa kini sehingga sukar hendak ditemui seorang yang profesional dari sudut kerjaya dan agama.

    "...dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat. Oleh itu, mahukah kamu berhenti?" (Surah Al-Maidah, ayat 91)

    7. Mencari calon penghuni neraka. Syaitan sentiasa mendendami manusia. Setiap saat memerangi manusia dengan membisikkan hasutan, godaan dan tipu dayanya. Manusia yang mengerjakan ibadat kepada Allah paling dimusuhinya. Seberapa daya, dicubanya menahan manusia daripada mendekati Allah. Allah berfirman, mafhumnya,

    "Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagimu, maka jadikanlah dia musuh; sebenarnya dia hanya menyeru golongannya supaya menjadi penduduk Neraka." (Surah Fathir, ayat 6)

    8. Berusaha merayu manusia supaya mencintai dan memujanya. Bagi orang yang memiliki semangat tinggi memperjuangkan Islam, syaitan memberi janji kosong kepada mereka bahawa dengan melakukan sekian-sekian cara dan manhaj, perjuangan mereka akan memperoleh kejayaan. Padahal sama-sama diketahui bahawa tidak ada kejayaan dalam perjuangan melainkan dengan mengikuti cara dan manhaj Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

    "Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata bagimu!" (Surah Yasin, ayat 60)

    Memerangi tipu daya syaitan

    Menurut Yahya ibni Mu'adz al-Razi, "Syaitan itu tidak bekerja, sedangkan kamu sibuk dengan pekerjaan dan pelbagai urusan. Syaitan sentiasa melihat kamu, sedangkan kamu tidak dapat melihatnya. Kamu selalu saja lalai dan melupakan jerat yang dipasangnya, tetapi ia tidak melupakan kamu."

    Para ulama mencadangkan pelbagai langkah untuk memerangi syaitan. Menurut Imam al-Ghazali, kita hendaklah sentiasa memohon perlindungan daripada Allah SWT. Sekurang-kurangnya, dengan mengucapkan A'uzu billahi min al- syaithan il-rajim. Jika serangan syaitan datang juga bertalu-talu dengan hebatnya, kita mestilah bersabar dan menyedari, bahawa Allah Taala hendak menguji keteguhan sabar kita, hendak melihat ketulenan jihad kita. Ketahuilah, perang dengan syaitan itu lebih hebat daripada perang sabil. Ada tiga cara yang dicadangkan untuk memerangi atau menghadapi serangannya syaitan:

    1. Mempelajari tektik tipu daya syaitan atau strategi serangannya.
    2. Tidak memberi perhatian atau layanan kepada hasutan syaitan. Anggapkan hasutan dan seruan syaitan itu seperti salakan anjing. Anjing kian garang dan galak menyalak apabila ia diberi perhatian atau respons. Sebaliknya, ia akan lebih cepat memberhentikan salakan, apabila kita tidak mengiraukannya.
    3. Lidah dan hati senantiasa menyebut Allah (zikrullah).

    Untuk mempelajari tektik tipu daya syaitan (cara yang pertama), kita hendaklah memahami dan mengenalpasti perbezaan antara was was, ilham, bisikan hati (rohani), dan seruan nafsu daripada tabi'i kejadian kita manusia. Was-was merupakan anak panah yang dilepaskan oleh syaitan ke hati manusia lalu bersarang di hati (mafhum daripada firman Allah Taala - surah "an-Nas"). Was-was juga mampu menguasai bisikan hati nurani atau lintasan fikiran manusia (Khatir atau khawatir). Bisikan hati nurani juga boleh dipengaruhi oleh ilham. Ilham ialah lintasan fikiran yang lebih khusus, iaitu menyeru ke arah kebaikan, datangnya daripada Allah melalui malaikat. Manakala was-was ialah bisikan hati yang menyeru kepada kejahatan, datangnya daripada syaitan.

    Terdapat riwayat dalam Hadis, mafhumnya, “Apabila dilahirkan anak Adam ke dunia, lalu disertakan bersama-nya oleh Allah Taala malaikat dan syaitan. Malaikat berdiri di telinga kanan anak Adam itu dan syaitan berdiri di telinga kirinya.” Seruan syaitan (was-was) itu penuh dengan tipu daya. Kadang-kadang menyeru kepada kebaikan sebagai umpan untuk memerangkap manusia. Sebagai contoh, syaitan akan cuba mempengaruhi manusia supaya mengerjakan ibadat yang sunat dan meninggalkan kerja ibadat yang wajib. Kadang-kadang diserunya manusia berbuat kebajikan yang afdal dan juga yang wajib, tetapi dengan cara yang halus dihelanya manusia ke lembah dosa besar iaitu dengan menyemaikan bibit riak, ujub, takabur dan sebagainya.

    Setengah ulama’ membahagikan lintasan fikiran manusia itu kepada empat: Pertama, suara hati yang kadang-kadang seruannya baik dan kadang-kadang jahat untuk menguji keimanan dan kesabaran. Kedua, ilham yang menyeru kepada kebaikan semata-mata. Ketiga, waswas atau seruan syaitan kepada kejahatan, penelewengan dan kesesatan semata-mata. Keempat, hawa nafsu daripada tabi'i manusia yang menyeru kepada kejahatan (nafsu ammarah). Tabi'i kejadian manusia itu cenderung kepada syahwat dan keinginan kepada kelazatan dan keseronokan tanpa mempertimbangkannya sama ada baik atau jahat. Inilah hawa nafsu yang mengheret manusia kepada kesirnaan. Kadang-kadang seruan tabi'i menyeru kepada kebajikan dengan tujuan bekerjasama dengan syaitan untuk memperdayakan manusia.

    Menurut Imam al-Ghazali, bahawa lintasan was was itu datangnya daripada syaitan yang menyeru mansia kepada kejahatan. Tetapi ilham turun daripada Allah Taala atau daripada malaikat (dengan izin Allah) yang menyeru manusia kepada kebaikan dan kebajikan. Untuk mengenal pastinya, ilham boleh ditilik dalam tiga keadaan (wajah):
    1. Jika datangnya daripada Allah Taala, keadaannya tegas, keras dan kuat, merupakan perintah, petunjuk, galakan, keinsafan, amaran dan sebagainya; manakala ilham daripada malaikat adalah keadaannya timbul tenggelam dan lebih merupakan nasihat dan rangsangan kepada kebajikan.
    2. Ilham daripada Allah diringi oleh jihad dan taat daripada manusia yang terlibat. Jika jihad mandahului ilham, maka ilham itu ghalibnya datang daripada malaikat.
    3. Ilham daripada Allah adalah berkaitan dengan usul agama (ushul ul-din) dan amalan batin, manakala ilham daripada malaikat berkaitan dengan furu' atau hukum syara' dan amalan zahir.

    Sudah sampai masanya, dalam hati setiap muslim dan muslimat, hendaklah bersemangat untuk menjadikan syaitan sebagai musuh kita, agar tidak terjerumus dan terseret dalam pujuk-rayuan dan tipu-helahnya. Dan dengan kurnia Allah SWT, kita boleh terhindar dari pujuk-rayuan dan tipu-helah syaitan la’natullah, sebagaimana yang difirmankan-Nya, yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Barang siapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan yang mungkar. Sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, niscaya tidak seorangpun dari kamu bersih (dari perbuatan-perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah An-Nuur, ayat 21)

    Dan di ayat yang lain, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud, “Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, iaitu Al Kitab (Al Qur'an) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-‘Ankabuut, ayat 45)

    Allah amat menyintakan dan menyayangi hamba-hamba-Nya. Dia telah memberi peringatan demi peringatan dan kita diberikan petunjuk untuk mengharungi dunia ini. Diutuskan-Nya Rasul untuk dijadikan contoh teladan yang terbaik untuk kita. Dikurniakan-Nya nikmat yang tidak dapat kita hitung banyaknya.

    Ingatlah, sejengkal kita dekat kepada Allah.. Allah dekat sehasta dengan kita.. sehasta kita datang padaNya.. Dia datang sedepa kepada kita.. kita datang padaNya dengan berjalan.. Dia datang kepada kita dengan berlari, subhanallah.... Sayangnya Allah kepada kita! Namun pernahkah kita terfikir semua ini? Mengapakah diberikan segala kenikmatan kepada kita sedangkan Dia boleh menghancurkan semuanya sekelip mata? Sayangnya Allah kepada kita, diberikan segala macam panduan untuk kita jadi insan yang berjaya. Tetapi, adakah kita memanfaatkan kurniaan Allah SWT? Adakah kita berterima kasih kepada pencipta kita? Adakah semakin dekat kita kepada-Nya?

    Renung-renungkanlah firman Allah ini... “Dan (ingatlah) tatkala Tuhanmu memaklumkan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

    dan janganlah kita bersahabat dengan syaitan... “…. Barangsiapa yang menjadikan syaitan itu sebagai temannya, maka (ketahuilah) dia (syaitan itu) adalah teman yang seburuk-buruknya (sangat jahat).” (Surah An-Nisaa’, ayat 38)

    Dan di antara isi kandungan penting yang dipetik dari khutbah terakhir Rasulullah s.a.w. yang disampaikan pada 9 Zulhijjah tahun 10 Hijrah di lembah Uranah, Gunung Arafah... “Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutnya dalam perkara-perkara kecil.”

    Semoga memberi manafaat dan dapat dijadikan peringatan kita sentiasa.

    Butiran selanjutnya ...

    Khamis, Disember 18, 2008

    10 cadangan praktikal untuk bapa

    Bapa juga perlu terbabit secara langsung dalam penjagaan bayi seperti menukar lampin dan memberi susu. - Gambar hiasan


    SEBAHAGIAN besar daripada kita mungkin biasa dengan senario di mana anak-anak lebih rapat dan mesra dengan ibu mereka berbanding bapa.

    Keadaan ini berlaku kerana terdapat segelintir daripada kita yang memandang ringan terhadap tugas dan tanggung jawab seorang lelaki terhadap bayinya.

    Sedangkan, peranan seorang bapa dalam kehidupan anak sebenarnya sama besar dengan peranan seorang ibu.

    Untuk mengelak perkara itu berlaku, ibu bapa mungkin boleh mengambil panduan 10 cadangan di bawah untuk memudahkan dialog antara bapa dengan anaknya.

    1. Ibu perlu memberi bapa ruang interaksi dengan bayi sejak peringkat awal kelahiran lagi. Bapa boleh turut sama dalam penjagaan bayi seperti menukar lampin, memandikan bayi, membawanya bersiar-siar, memberinya minum susu dan sebagainya. Segala perbuatan itu harus diiringi kata-kata lembut dan senyuman kepada bayi.

    2. Permainan penting dalam interaksi bapa dengan anak yang sedang membesar. Tidak seperti ibu, bapa lebih terdorong mengadakan permainan bertenaga dan sukar dijangka yang menyeronokkan anak-anak. Ibu pula tidak seharusnya menghalang permainan seumpama itu hanya kerana kaedahnya sedikit berbeza dengan lazimnya.

    3. Berkomunikasi dengan anak di tempat-tempat awam seperti zoo atau taman riadah.

    4. Bapa yang sering berkomunikasi dengan anak-anak kecil akan menjadi figura penting dalam dunia anaknya. Pada mulanya, kelakuan bapa akan menjadi model kepada anak untuk membentuk tingkah lakunya sendiri kelak. Lebihkan dialog dan interaksi untuk pembangunan mental anak yang sihat.

    5. Golongan dewasa yang menjaga anak kecil perlu menjaga tingkah laku sendiri. Kadangkala ibu bapa berpendapat bahawa sebarang kawalan terhadap perbuatan anak-anak akan membantutkan kreativiti dan kebergantungan terhadap diri sendiri.

    Sebahagian lagi yakin bahawa anak kecil perlu menjaga kelakuannya dalam setiap perkara seperti orang dewasa sehingga mengawal dan mengehadkan tingkah laku mereka.

    Arahan ibu bapa tidak seharusnya melangkaui logik akal sebaliknya perlu menumpukan pada keselamatan, kebergantungan diri dan aktiviti kreatif.

    6. Adalah penting untuk menunjukkan anak-anak mengenai tuntutan munasabah agar mereka faham apa yang diharapkan daripada mereka dan cuba tekankan berulang kali.

    7. Elak menggunakan kekerasan atau ugutan tanpa justifikasi terhadap perilaku anak-anak. Ia dikhuatiri akan membentuk sikap ganas dalam diri anak dari segi perwatakan, berniat jahat, kejam dan degil.

    8. Kutukan, kecaman dan larangan perlu digunakan dengan berhati-hati. Celaan terhadap aspek personaliti anak langsung tidak boleh diterima sebaliknya tujukan kepada perbuatan yang dilakukannya.

    Contohnya, jangan berkata 'kamu jahat' sebaliknya katakan 'perbuatan itu jahat'. Selepas menjelaskan bahawa perbuatan tersebut dilarang, adalah penting untuk menunjukkan anak contoh yang positif.

    9. Puji kejayaan anak. Jika sesuatu itu mustahil untuk anak, bantu dia menangani kesukaran, beri sokongan dan biarkan dia merasai kejayaan sendiri. Tidak perlu memuji anak untuk kegagalan mereka kerana ia boleh mewujudkan perasaan rendah diri. Harapan terhadap pencapaian anak perlu sesuai dengan keputusan yang dicapainya.

    10. Paling penting sekali, sayangi anak sebaik-baiknya dan jangan biarkan dia lupa mengenai kasih sayang itu.

    Sumber: UtusanOnLine 18/12/2008

    Butiran selanjutnya ...

    Rabu, Disember 17, 2008

    Doa pelembut hati


    Assalamualaikum warahmatullah,

    Hari ini saya kongsikan ayat-ayat suci Al-Quran yang boleh dijadikan doa untuk melembutkan hati orang di sekeliling kita, seperti suami/isteri/anak-anak dan lain-lain.


    قُلۡ إِن كُنتُمۡ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِى يُحۡبِبۡكُمُ ٱللَّهُ وَيَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡ‌ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ۬

    Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
    (Surah Ali-'Imran, ayat 31)


    يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱصۡبِرُواْ وَصَابِرُواْ وَرَابِطُواْ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ

    Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung.
    (Surah Ali-'Imran, ayat 200)

    Setelah baca, hembuskan di tengkuk suami/isteri atau di ubun-ubun anak ketika mereka sedang lena. Amalkan juga ayat-ayat ini ketika menyediakan makanan/minuman atau bila-bila masa kita teringat.

    Insya Allah, dengan izin-Nya jua, kita akan mendapat pasangan/anak-anak yang lembut dan mendengar kata.

    Selamat beramal!

    Butiran selanjutnya ...

    Hak Muslim: Isteri patut mohon perintah tegahan jika sering dipukul

    Soalan:

    SAYA sering bergaduh dengan suami disebabkan suami terlalu kasar dan tidak mahu bertolak ansur. Sepanjang lapan tahun berkahwin, saya selalu dipukul dan dimaki hamun jika bergaduh. Kami tidak mempunyai anak kerana jarang mengadakan hubungan kelamin. Bagaimana dapat saya menasihat suami dan membuat dia sedar akan kesalahannya. Buat masa ini saya tidak mahu berpisah walaupun terseksa bersamanya. Saya tidak sanggup menghadapi masyarakat dan keluarga jika diceraikan. Saya berharap suami akan berubah satu hari nanti?

    YANG MENGHARAP
    Pulau Pinang


    Jawapan:

    Perselisihan faham adalah lumrah dalam rumah tangga. Walaupun demikian, jika perselisihan faham itu membawa kepada pergaduhan lebih besar seperti maki hamun dan memukul tanpa sebab yang munasabah, maka ia bukan lagi perkara biasa. Antara tujuan perkahwinan dalam Islam ialah berkasih sayang dan memenuhi naluri semula jadi manusia. Oleh itu, Islam menggariskan peranan, tanggungjawab dan hak suami isteri dalam perkahwinan.

    Peranan, tanggungjawab dan hak itu mesti dipikul secara bersama dan tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain. Jika tujuan rumah tangga tidak dapat dicapai dan mungkin menimbulkan mudarat sama ada kepada isteri atau suami, pihak itu boleh memohon membubarkan perkahwinan berdasarkan alasan dan cara dibenarkan hukum syarak ialah talak perkara halal yang paling dibenci Allah. Oleh kerana puan dan suami sering bergaduh, selalu dimaki hamun dan dipukul tentu sebarang inisiatif puan untuk menasihati suami secara sendiri akan berakhir dengan pergaduhan juga. Lebih baik puan meminta bantuan pihak ketiga bagi membantu menyelesaikan masalah rumah tangga.

    Antaranya kenalan rapat suami, keluarga, pakar kaunseling ataupun sesiapa saja yang dihormati suami. Bagaimanapun, puan perlu berhati-hati memilih perantara supaya tidak diperbesar dan menimbulkan kekecohan lain pula. Perantara mesti orang yang boleh dipercayai dan tidak menghebohkan perkara itu kepada orang lain. Perantara juga perlu tahu peranannya dan boleh memberi nasihat kepada suami secara berkesan. Cari perantara yang difikirkan sesuai bagi membantu menyelamatkan rumah tangga.

    Puan juga perlu tahu punca suami panas baran. Adakah ia sifat semula jadi, masalah kewangan, tekanan di tempat kerja, masalah keluarga atau perkara lain. Jika puan dapat mencari puncanya mungkin cara untuk menangani masalah suami akan menjadi lebih mudah.

    Umpamanya masalah kewangan yang menyebabkan suami menjadi tidak tentu hala dan naik angin, puan mungkin boleh menolong suami meringankan masalah kewangan. Jika sifat semula jadi suami, mungkin ini mengambil sedikit masa bagi suami berubah dan elok puan dan suami mendapatkan khidmat pakar kaunseling yang boleh membantu membuka mindanya supaya berubah.

    Jika faktor tiada anak pula menjadi isu, puan dan suami boleh membuat pemeriksaan perubatan dan mendapatkan rawatan ke arah itu. Kini banyak kaedah perubatan yang membolehkan perempuan hamil. Namun, puan perlu berhati-hati supaya kaedah yang dibuat tidak tergelincir daripada hukum syarak.

    Selepas berusaha, berserah kepada Allah bagi menentukan hasil usaha itu. Berdoalah kepada-Nya bagi membuka ruang di hati suami dan menanam benih kesedaran di jiwanya untuk berubah.

    Bertawakal kepada-Nya kerana ini ujian yang ditentukan-Nya kepada puan. Allah tidak akan menguji hamba-Nya melainkan apa yang mampu dihadapi mereka. Disamping itu, puan perlu mengetahui hak di sisi undang-undang syariah supaya kebajikan dan keselamatan puan terpelihara.

    Jika khuatir keselamatan akan terancam, puan boleh memohon kepada Mahkamah Syariah perintah menghalang suami daripada mengganggu dan memukul puan. Bagi memudahkan mahkamah membuat pertimbangan memberikan perintah tegahan itu dokumen seperti laporan perubatan, laporan polis dan dokumen lain berkaitan insiden pukul itu perlu dikemukakan kepada mahkamah untuk pertimbangan.

    Oleh itu, puan dinasihatkan mengumpul dokumen berkenaan bagi digunakan jika perlu untuk memohon perintah tegahan di mahkamah nanti. Puan juga berhak memohon di Mahkamah Syariah untuk perintah pembubaran perkahwinan secara fasakh atau taklik jika terbukti suami memukul dan mencederakan puan.

    Puan perlu bijak membuat keputusan sama ada untuk terus hidup dengan suami atau mengakhiri perkahwinan.

    Jika matlamat perkahwinan tidak dapat dicapai selepas segala usaha dilakukan dan keselamatan terancam, mungkin jalan terbaik ialah berpisah.

    Namun, berusaha sedaya upaya untuk mencari jalan terbaik menjernihkan suasana dan kembali kepada syariat yang ditentukan. Insya Allah hidup kita akan diberkati Allah.

    Jawapan disediakan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Zainul Rijal Abu Bakar

    Sumber: BHarianOnLine 2008/12/17

    Butiran selanjutnya ...

    Selasa, Disember 16, 2008

    Mata dan bahaya pandang-memandang


    Assalamualaikum Warahmatullahi Ta'ala Wabarakatuh....

    Salam serta selawat ke atas Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, ahli keluarga baginda serta salam kepada para sahabat yang berjuang menegakkan Islam di muka bumi ini.

    Sesungguhnya Allah SWT telah menjadikan manusia ini sebaik-baik kejadian. Ini jelas dinyatakan Allah dengan Firman Nya yang bermaksud, “Dan Kami jadikan manusia itu sebaik-baik kejadian.” (Surah At-Tiin, ayat 4)

    Manusia adalah sebaik-baik kejadian kerana Allah SWT mengurniakan akal kepadanya. Dengan akal manusia dapat membezakan antara yang baik dengan yang buruk, yang betul dengan yang salah atau antara yang hak dengan yang batil. Akal yang dianugerahkan ini juga sepatutnya dipandu dan digunakan untuk memikirkan tentang nikmat-nikmat dan rahmat-rahmat Allah SWT yang dikurniakan kepada kita agar kita bersyukur dan bertaqwa kepada-Nya. Apabila kita merenung sejenak terhadap nikmat-nikmat dan rahmat-rahmat yang dikurniakan Allah SWT kepada kita, kita akan dapati ianya tidak terhitung dan tidak ternilai banyaknya. Salah satu daripada nikmat kurniaan Allah SWT ialah nikmat mata.

    Dari kerana mata, yang mempunyai kuasa…
    Ohh… aku tergoda… Aku tergoda terkecewa...
    Dari kerana mata... yang mempunyai kuasa…
    Ohh… aku tergoda… Aku tergoda terkecewa...
    Dari kerana mata...

    Dari mata terbitnya asmara
    Senyumanmu ramah menikam jiwa
    Renungan mesra menjelma segera
    Aku tertawan memendam rasa

    Ohh… aku tergoda… Aku tergoda terkecewa...
    Dari kerana mata... yang mempunyai kuasa…

    Ohh… aku tergoda… Aku tergoda terkecewa...
    Dari kerana mata...

    Setiap waktu kucinta sayang
    Sinar wajahmu selalu terbayang
    Aku memujamu rayu seorang
    Lepaskan aku dari impian

    Dari kerana mata, yang mempunyai kuasa…
    Ohh… aku tergoda… Aku tergoda terkecewa...
    Dari kerana mata... yang mempunyai kuasa…
    Ohh… aku tergoda… Aku tergoda terkecewa...
    Dari kerana mata...

    Inilah antara bait-bait lagu klasik dendangan R. Azmi ini yang mengisahkan kekecewaan akibat panahan mata yang menggoda. Mata adalah salah satu daripada pancaindera kurniaan Allah SWT kepada setiap orang manusia. Ia merupakan satu dari-pada anggota badan yang penting yang dapat membantu manusia untuk mengharungi liku-liku hidupnya seharian. Manusia yang mempunyai mata tetapi tidak dapat menggunakannya untuk melihat dianggap sebagai orang buta. Mata dianggap penting bagi setiap orang manusia kerana tanpa mata atau orang yang buta mata akan mengalami kesulitan untuk berhubung dan berjalan dari satu tempat ke satu tempat.

    Orang yang buta mata akan sentiasa berada dalam kegelapan. Hidupnya tidak ada perbezaan antara siang dan malam atau antara cerah dan gelap. Orang yang buta mata terpaksa menggunakan pembantu untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat. Pembantu ini boleh jadi manusia lain yang dapat melihat dan sudi untuk mengatur langkah-langkahnya bersama-sama si buta tadi untuk memandu langkah dan arah perjalanannya.

    Jika kita sedar akan hakikat betapa pentingnya mata, maka orang yang mempunyai mata yang sempurna (tidak buta) hendaklah berasa berterima kasih dan bersyukur ke hadrat Allah Yang Maha Kuasa kerana memberi kesempurnaan mata kepadanya. Selain dari itu, ia tidak seharusnya pula mengejek-ejek dan menghina-hina kawannya yang tidak bernasib baik, buta mata. Sebagai menyatakan rasa terima kasih dan bersyukur terhadap kemurahan Allah SWT mengurniakan mata untuk kita melihat, maka setiap manusia tidak sepatutnya menggunakan matanya untuk melihat perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Hindari dan jauhilah daripada melakukan maksiat mata yang begitu mudah sekali berlakunya.

    Pandai-pandailah kita menggunakan nikmat mata yang dikurniakan Allah kepada kita itu untuk melihat kelebihan-kelebihan ciptaan Allah di langit dan di bumi. Dengan berbuat demikian kita akan merasa kagum dan sedar tentang betapa agung dan berkuasanya Allah menciptakan alam ini. Kesedaran ini pula boleh menambah teguh dan menambah kuatkan lagi keimanan kita terhadap Allah SWT. Kita akan menjadi manusia yang bertambah yakin dan kenal terhadap Allah yang menjadikan kita dan dengan itu akan bertambah pula ketaatan dan kebaktian kita kepada-Nya.

    Manusia yang menggunakan matanya untuk melihat perkara-perkara yang baik dan tidak ditegah oleh Allah SWT dikira manusia yang tahu mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah dan orang seperti ini dianggap sebagai orang yang taat dan bertaqwa kepada Allah. Sebaliknya seseorang itu dikira menderhakai dan tidak bersyukur kepada Allah apabila ia tidak mengawal dan membebaskan matanya untuk melihat segala apa yang diharamkan Allah. Melakukan maksiat mata adalah satu daripada amalan munkar yang dimurkai Allah.

    Melihat wanita-wanita asing atau perempuan yang bukan muhrim baginya atau melihat gambar-gambar yang boleh membangkitkan nafsu berahi adalah di antara perbuatan yang dapat dianggap sebagai menyalahgunakan kurniaan mata. Perbuatan seperti ini memang tidak dibolehkan oleh Islam dan hukumnya adalah haram di sisi Allah SWT.

    Dalam hal ini Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan (menundukkan) pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.” Firman Allah lagi, “Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan (menundukkan) pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya….” (Surah An-Nur, ayat 30-31)

    Dalam ayat di atas, ada dua peringatan yang ingin dikhabarkan oleh Allah iaitu hendaklah mereka menahan pandangan dan memelihara kemaluan dalam hal yang ditegah oleh Allah. Ini bermakna kita hendaklah sentiasa mengawasi pergerakan mata kita agar ianya tidak terjerumus ke lembah penglihatan yang diharamkan dan tidak diredhai oleh Allah SWT.

    Dari Jarir bin Abdullah r.a. berkata, “Saya pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang pandangan yang tidak sengaja. Lalu beliau memerintahkan agar aku mengalihkan pandanganku.” (Hadis riwayat Muslim, Abu Daud, dan Tirmidzi)

    Dari Ibnu Abbas r.a., dari Nabi SAW sabdanya, “Penyakit yang timbul dari pengaruh jahat pandangan mata memang ada. Seandainya ada yang dapat mendahului qadar, tentulah itu pengaruh pandangan mata kerana itu apabila kamu disuruh mencuci mata maka cucilah!” (Hadis riwayat Muslim)

    Dalam hal yang sama Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud, “Pandangan (mata) itu adalah satu anak panah yang beracun daripada panah-panah iblis. Oleh kerana itu barangsiapa meninggalkannya, lantaran takut kepada Allah, maka Allah akan memberi balasan iman kepadanya, maka ia akan memperoleh kemanisan iman dalam hatinya.” (Hadis riwayat Ahmad)

    Tersebut dalam sya’ir:

    Segala sesuatu yang baru terjadi
    Permulaannya dari pandangan
    Nyala api yang besar
    Permulaannya dari pelatuk yang kecil
    Orang yang mempermainkan mata
    Sangat dikhawatirkan akibatnya
    Berapa banyak pandangan
    Yang masuk dan bekerja dalam hati
    Bagaikan anak panah yang dilepas busur dan tali
    Orang yang memperhatikan
    Perkara yang membahayakan
    Akan menyenangkan orang yang mempunyai kekhawatiran
    Tetapi kalau akhirnya mencelakakan
    Itu tidak membahayakan

    Nabi Isa a.s. bersabda: “IYYAAKUM WANNADZARA FA INNAHAA TUZRI’U FILQOLBI SYAHWATAN WAKAFAA BIHAA FITNATAN” yang bermaksud, "Takutlah kamu sekalian pada pandangan (peliharalah dirimu dari memperhatikan) kerana sesungguhnya ia (memperhatikan itu) dapat menumbuhkan syahwat di dalam hati dan dapat menimbulkan fitnah (godaan) kerana pandangan itu." Seorang bertanya kepada Nabi Isa a.s, "Apa permulaan yang menyebabkan orang berzina?" Beliau bersabda, “Iaitu akibat memperhatikan perempuan dan memperhatikan dirinya.”

    Sa’ad bin Jubair mengatakan hanyalah fitnah yang menimpa Nabi Daud a.s. adalah disebabkan pandangan beliau. Nabi Daud bersabda kepada putera beliau Nabi Sulaiman a.s., "Hai anakku! Berjalanlah di belakang harimau dan ular-ular besar yang berwama hitam dan janganlah kamu berjalan di belakang seorang perempuan." Difahamkan, apabila seorang perempuan menghadap ke muka maka syaitan akan duduk di bahagian kepalanya. Lalu syaitan memperindah diri perempuan itu yang diperuntukkan bagi orang yang memperhatikannya. Kalau seorang perempuan berpaling menghadap ke belakang maka Iblis duduk di pungungnya. Lalu syaitan memperindah perempuan itu yang diperuntukkan bagi orang yang memperhatikannya.

    Ummu Salamah r.a. mengatakan bahawa Ibnu Ummi Maktum meminta izin kepada Rasulullah SAW. Saat itu aku dan Maimunah r.a. duduk bersama, maka Rasulullah bersabda: “Bertakbirlah kalian.” Kami menjawap, “Bukankah dia orang buta yang tidak dapat memandang kami?” Rasulullah bersabda, ”Apa kalian tidak dapat melihatnya juga?” Rasulullah SAW juga mengingatkan: “LA’ANALLAAHUNNAADZIRA WALMANDZUURA ILAIHI”, yang bermaksud, “Allah melaknat orang yang dipandang dan orang yang dipandangi (membalas pandangan).” Bagi perempuan yang beriman pada Allah, tidak dibenarkan memperlihatkan diri pada setiap orang asing, kerana yang tidak terikat oleh pernikahan atau muhrim kerana nasab atau sesusuan. Demikian pula orang lelaki tidak dibenarkan memperhatikan kaum wanita, sebaliknya kaum wanita balas memperhatikan pandangannya. Sebagaimana kaum lelaki menundukkan pandangannya kepada kaum wanita, maka menjadi kewajiban pula kaum wanita menundukkan pandangan mata terhadap kaum lelaki.

    Pendapat itu sebagaimana ditekankan oleh Ibnu Hajar dalam kitab Az Zawajir. Tidak pula diperbolehkan lelaki bermusafahah (bersalaman) dengan perempuan yang bukan muhrim. Larangan ini berlaku juga pada perbuatan saling memberikan. Sebab itu perkara yang diharamkan memandangnya diharamkan pula memegangnya. Mengingat dengan cara memegangnya itu ia dapat merasakan kelazatan. Hal ini didasarkan pada dalil bahawa, kalau orang berpuasa lalu berpegangan dengan lawan jenisnya yang menyebabkan inzal (keluar mani), maka puasanya batal. Tetapi kalau keluarnya mani disebabkan oleh pandangan, puasanya tidak batal.

    Diriwayatkan oleh Thabrani di dalam kitab Al Kabir dari mu’qal bin Yasar bahawa, salah seorang diantaramu yang dilukai kepalanya oleh jarum, itu lebih baik daripada memegang perempuan yang tidak dihalalkan untuknya. Rasulullah SAW memperingatkan, “ITTAQUU FITNATADDUN-YAA WAFITNA-TANNISAA FA-INNA AWWALA FITNATI BANII ISRA-IILA KAATAT MINQIBA-LINNISAA”, yang bermaksud, “Takutlah kalian terhadap fitnah dunia dan fitnah kaum wanita. Sebab permulaan fitnah yang menimpa Bani Isra-il itu adalah kaum wanita.” Rasulullah SAW juga bersabda, “WAMAA TARAKTU BA’DII FITNATAN ADHARRU ‘ALARRIJAALI MINANNISAA” (al-hadis) yang bermaksud, “Dan setelah masaku tidak ada fitnah yang lebih membahayakan terhadap kaum lelaki ke timbang fitnah akibat perempuan.”

    Al-Lahazhat (Pandangan Pertama)

    Rasulullah juga pernah berpesan kepada Saidina Ali r.a., “Wahai Ali, janganlah kamu ikuti pandangan (pertama) itu dengan pandangan (berikutnya). Pandangan (pertama) itu boleh buat kamu, tapi tidak dengan pandangan selanjutnya. Kerana pandangan pertama untukmu (dimaafkan) dan pandangan kedua tidak untukmu (tidak dimaafkan).” (Hadis riwayat Abu Daud).

    Berdasarkan hadis di atas, dapat difahami bahawa apabila kita terpandang kepada perkara yang haram, maka dilarang mengulangi pandangan itu. Kita harus mengawasi pandangan mata kita, jangan sampai pandangannya yang pertama mengikuti pandangan yang berikutnya. Rasulullah SAW mengingatkan kita, hanya pandangan yang pertama saja yang dibolehkan, pandangan yang kedua (yang berikutnya) adalah dilarang.

    Mengapa pandangan yang berikutnya dilarang?

    Pandangan yang kedua tidak dibolehkan kerana hasil besar kemungkinan dari pandangan itu akan timbul pula pelbagai tafsiran terhadap benda yang dipandang itu. Mata yang terpelihara ialah apabila memandang kepada jenis lain ia tidak mengamati kecantikannya dan tidak lama menoleh kepadanya serta tidak meletakkan pandangannya kepada yang dilihatnya itu. Pandangan yang kedua dan seterusnya boleh dipanggil provokator atau utusan syahwat. Menjaga pandangan merupakan perkara asas dalam usaha menjaga kemaluan. Barangsiapa yang melepaskan pandangannya tanpa kendali, nescaya dia akan menjerumuskan dirinya sendiri pada jurang kebinasaan.

    Dalam Musnad Imam Ahmad, diriwayatkan dari Rasulullah SAW, “Pandangan itu adalah panah beracun dari panah-panah iblis. Maka barangsiapa yang memalingkan pandangannya dari kecantikan seorang wanita, ikhlas kerana Allah, maka Allah akan memberikan di hatinya kelazatan sampai pada hari Kiamat.”

    Dalam hadis lain, diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Janganlah kalian duduk-duduk di (tepi-tepi) jalan. Kami bertanya: Wahai Rasulullah SAW, kami tidak dapat meninggalkannya kerana kami sudah biasa begitu! Rasulullah SAW bersabda: Jika kamu merasakan tidak boleh meninggalkannya, maka berilah hak jalan. Mereka bertanya: Wahai Rasulullah SAW, apakah itu hak jalan? Rasulullah SAW berkata: Memalingkan (menundukkan) pandangan (dari hal yang dilarang Allah), menyingkirkan gangguan (jangan mengganggu), menjawab salam dan berbuatlah kebaikan dan jauhkan daripada kemungkaran.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

    Hadis di atas menjelaskan bahawa menundukkan pandangan itu adalah hak jalan yang perlu dipatuhi oleh umat Islam. Sekiranya seseorang itu duduk di tepi jalan, terlalu banyak pandangan yang terlarang ke atas mereka. Oleh itu, menundukkan pandangan boleh mengelak daripada mendapat dosa.

    Di Antara Bahaya Pandangan

    Pandangan adalah asal muasal seluruh musibah yang menimpa manusia. Sebab, pandangan itu akan melahirkan lintasan dalam benak, kemudian lintasan itu akan melahirkan pikiran, dan pikiran itulah yang melahirkan syahwat, dan dari syahwat itu timbullah keinginan. Kemudian keinginan ini menjadi kuat dan berubah menjadi niat yang bulat. Akhirnya, apa yang tadinya hanya melintas dalam fikiran menjadi kenyataan dan itu pasti akan terjadi selama tidak ada yang menghalanginya. Oleh kerananya, dikatakan oleh sebagian ahli hikmah, bahawa: “Bersabar dalam menahan pandangan mata (bebannya) adalah lebih ringan dibanding harus menanggung beban penderitaan yang ditimbulkannya.”

    Seorang penyair mengatakan, setiap kejadian musibah (praktik zina) itu bermula dari pandangan, seperti kobaran api berasal dari percikan api yang kecil. Betapa banyak pandangan yang berhasil menembus ke dalam hati pemiliknya, seperti tembusnya anak panah yang dilepaskan dari busur dan talinya. Seorang hamba, selama dia masih mempunyai kelopak mata yang dia gunakan untuk memandang orang lain, maka dia berada pada posisi yang membahayakan. Dia memandang hal-hal yang menyenangkan matanya tapi membahayakan jiwanya, maka janganlah kamu sambut kesenangan yang akan membawa malapetaka.

    Rasulullah menganggap bahawa seseorang itu telah melakukan zina mata apabila ia mengamati sesuatu kecantikan dengan penuh bernafsu dan liar khususnya pandangan terhadap benda yang ditegah oleh Islam. Pandangan yang seperti ini bukan sahaja membahayakan kemurnian budi, bahkan akan merosakkan kestabilan berfikir dan ketenteraman hati.

    Dari Abu Hurairah r.a., dari Rasulullah SAW sabdanya, "Nasib anak Adam mengenai zina telah ditetapkan. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Dua mata, zinanya memandang. Dua telinga, zinanya mendengar. Lidah, zinanya berkata. Tangan, zinanya memukul. Kaki, zinanya melangkah. Hati, zinanya ingin dan rindu, sedang faraj (kemaluan) hanya mengikuti atau tidak mengikuti." (Hadis sahih riwayat Muslim, no 2282)

    Hikmah Menahan Pandangan

    Bagi sesiapa yang memelihara pandangannya, maka Allah akan membalasnya dengan kemanisan dalam amal ibadat mereka. Hal ini dijelaskan dalam sebuah hadis daripada Abu Umamah, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tidaklah seseorang Muslim melihat kecantikan seorang wanita, kemudian dia menundukkan pandangannya, melainkan Allah akan menggantikannya dengan kemanisan dalam beribadah.” (Hadis riwayat Imam Ahmad).

    Hal yang sama juga dinyatakan oleh Abdullah b Mas'ud, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya pandangan itu adalah salah satu daripada panah Iblis yang beracun. Barang sesiapa meninggalkannya kerana takut kepada-Ku, nescaya Aku akan menggantikannya dengan manisnya keimanan yang dapat dia rasakan di dalam hatinya.” (Hadis riwayat at-Tabrani).

    Allah memerintahkan hamba-Nya memelihara pandangan daripada perkara yang haram kerana dengan pandangan manusia akan terjerumus kepada kemaksiatan kemaluan. Bermula dengan pandang memandang yang dilarang itu, seseorang itu pula mahu berbicara atau mendengar suara seseorang. Apabila suka menyukai di antara dua insan, tidak mustahil mereka akan bertemu dan melakukan maksiat yang akhirnya terjebak kepada perzinaan. Keadaan ini dijelaskan dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Setiap anak Adam ditulis baginya bahagian daripada zina. Ia pasti melakukannya tanpa boleh menghindari, zina mata adalah memandang, zina lisan adalah berbicara, zina telinga adalah mendengar, zina tangan adalah menggunakannya, zina kaki adalah melangkah, jiwa berharap dan berhasrat, kemaluanlah yang membenar atau mendustakannya.” (Hadis riwayat Muslim dan Bukhari).

    Oleh itu, setiap Muslim hendaklah memelihara anggotanya supaya jangan sampai terdedah kepada kemaksiatan yang boleh mengheret kepada perzinaan. Mereka yang berjaya memelihara setiap anggota daripada melakukan kemaksiatan kepada Allah dan mengarahkannya kepada perkara yang disuruh oleh Allah adalah orang yang bertakwa kepada-Nya. Imam al-Ghazali menegaskan orang bertakwa itu ialah mereka yang melaksanakan kebaikan dan menjauhkan kemungkaran anggota tubuh badan.

    Justeru, umat Islam perlu menggunakan anggota mereka sebaik mungkin sebagai menunjukkan tanda kesyukuran kepada Allah di atas anugerah yang tidak ternilai itu. Bagi mereka yang diberikan sifat yang sempurna oleh Allah, perlu membuat perbandingan dengan mereka yang kurang bernasib baik. Ia untuk menilai pemberian Allah ke atas mereka dengan melihat orang yang bisu, pekak, buta dan seumpama yang tidak diberi oleh Allah kesempurnaan pancaindera berbanding dirinya. Dengan itu mereka dapat menjaga serta menggunakan anugerah anggota dan pancaindera itu sebaik mungkin.

    Mereka yang menjaga dan menggunakan anggota dan pancaindera dengan baik, Rasulullah SAW menjamin tempatnya di syurga. Rasulullah SAW bersabda: “Barang sesiapa menjamin bagiku di antara dua janggutnya (mulutnya) dan dua kakinya (kemaluan), nescaya aku menjamin untuknya syurga.” (Hadis riwayat Muslim dan Bukhari)

    Imam Ibnul Qayyim al-Jauziyyah telah menyatakan beberapa faedah menundukkan pandangan dalam kitabnya Raudhatul Muhibbin wa Nuzhatul Mustaqim, di antaranya:

    1. Menundukkan pandangan bererti menunaikan perintah Allah SWT. Tiada orang yang bahagia di akhirat nanti melainkan orang yang menunaikan perintah-Nya.
    2. Menundukkan pandangan akan menguatkan hati dan membahagiakannya. Jika dibiarkan pandangan meliar akan menyebabkan lemah hatinya dan menjadi gelisah.
    3. Menundukkan pandangan membuatkan hati selalu mesra dengan Allah SWT. Jika dibiarkan pandangan meliar akan memporak-porandakan hati dan fikiran.
    4. Menundukkan pandangan akan mencerdaskan minda dengan luar biasa sebagai mana ulama-ulama muktabar seperti Imam Syafie, Imam Ghazali, Imam Nawawi dan lainnya.
    5. Menundukkan pandangan akan menguatkan ketabahan, berani, mempunyai pandangan yang jauh serta hujahnya kuat dan bernas.
    6. Menundukkan pandangan akan membebaskan hati dari tawanan syahwat.
    7. Menundukkan pandangan akan membentengi seseorang dari bisikan dan tipu daya syaitan.
    8. Menundukkan pandangan akan menyucikan hati dari kebanyakan maksiat.
    9. Menundukkan pandangan akan merupakan mahar/mas kahwin untuk bidadari.
    10. Menundukkan pandangan akan mempercepatkan seseorang menguasai ilmu yang dipelajari.

    Adalah tidak digalakkan seseorang itu berjalan dengan matanya meliar. Lelaki dan perempuan yang menundukkan pandangan nampak bersopan dan beradab dari segi moralnya. Itulah akhlak yang sangat-sangat dituntut dalam setiap muslimin dan muslimat.


    Kuasai Nafsu Dengan Iman dan Akalmu

    Terdapat hadis yang mengingatkan melayani syahwat mata kepada yang haram sahaja akan menghancurkan kelazatan dan kemanisan iman.

    ما من مسلم ينظر إلى محاسن امرأة ثم يغض بصره إلا أخلف الله له عبادة يجد حلاوتها

    Ertinya: "Tiada seorang Muslim pun yang melihat kepada kecantikan wanita (aurat) kemudian ia mengalih pandangan matanya kecuali Allah SWT akan memberikan kepadanya kemanisan dalam ibadahnya." (Riwayat Ahmad & At-Tabrani)

    Juga disebut dalam sebuah athar :

    النظر سهم مسموم من سهام إبليس

    Ertinya: "Pandangan mata adalah panah beracun dari panahan Iblis." ( Mirqatul Mafatih, 1/255; Ruhul Ma'ani, 22/7)

    Malah ia juga bakal merosakkan hati :-

    كل عين باكيه يوم القيامه الا عينان عين غضت عن محارم الله

    Ertinya: "Setiap mata akan menangis di hari kiamat kecuali mata yang dilindungi (berpaling) dari perkara yang diharamkan Allah SWT." ( at-taysir bi Syarhi al-Jami' as-Soghir, 2/216 : Hadis Hasan)

    Memandangkan betapa pentingnya mata kepada setiap insan maka setiap orang yang mempunyai mata yang sempurna – tidak buta dan tidak rabun, hendaklah menggunakan nikmat mata yang dikurniakan Allah itu dengan sebaik-baiknya. Gunakanlah mata untuk melihat kecantikan alam ciptaan Allah SWT ini mengikut lunas-lunas yang telah ditetapkan oleh syariat Islam. Elakkan diri dari melihat perkara-perkara yang ditegah oleh syariat. Sesungguhnya Allah amat mengetahui akan setiap sesuatu yang kita kerjakan. Oleh itu berikhlaslah kepada diri sendiri dalam menggunakan nikmat mata yang dikurniakan Allah SWT kepada kita. Mudah-mudahan dengan berbuat demikian kita akan diberkati dan dirahmati-Nya baik di dunia mahupun di akhirat kelak.

    Renung-renungkan dan selamat beramal!

    Sumber: Media Itsar, Kronik.org dan tambahan sendiri.

    Butiran selanjutnya ...
    Related Posts with Thumbnails