“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Rabu, Mac 31, 2010

12,300 bekas suami ingkar bayar nafkah

Ramai wanita tak maklum kepada mahkamah

PUTRAJAYA: Lebih 12,300 bekas suami dikesan masih berdegil dan enggan membayar nafkah kepada bekas isteri dan anak masing-masing walaupun mereka sudah diperintah berbuat demikian oleh mahkamah syariah di seluruh negara, mulai tahun ini.

Ketua Pengarah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Tan Sri Ibrahim Lembut, berkata pihaknya sukar melaksanakan perintah itu kerana ramai wanita terbabit tidak memaklumkan mahkamah syariah mengenai keengganan bekas suami untuk membayar nafkah.

“Walaupun mahkamah mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman penjara selama sebulan, jika bekas suami gagal membayar nafkah selama sebulan, tindakan itu tidak boleh diambil jika bekas isteri tidak melaporkannya kepada mahkamah.

“Mungkin ramai suami yang tidak tahu kita boleh sita harta mereka untuk membayar tunggakan nafkah berkenaan.”
~ Ibrahim Lembut, Ketua Pengarah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia

“Masalah inilah yang menyebabkan hanya segelintir bekas suami yang membayar nafkah kepada bekas isteri dan anak masing-masing walaupun lebih 14,000 kes difailkan di mahkamah syariah dari 2002 hingga 2009 berkaitan tuntutan nafkah,” katanya selepas menghadiri sesi dialog dengan lebih 25 persatuan ibu tunggal dari seluruh negara di sini, semalam.

Ibrahim berkata, masalah berkenaan menyebabkan orang ramai mempersoalkan keberkesanan perintah mahkamah syariah kerana ia tidak boleh dilaksanakan terhadap bekas suami.

Justeru, Ibrahim berharap bekas isteri yang tidak menerima bayaran nafkah daripada bekas suami mereka segera menghubungi mahkamah syariah yang mengeluarkan perintah terbabit untuk tindakan lanjut. Pihaknya juga sudah melantik pegawai Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di setiap negeri untuk mengenal pasti dan mendakwa bekas suami yang gagal membayar nafkah kepada bekas isteri mereka.

“Mereka (bekas suami) perlu beri sebab kenapa mereka tidak boleh dipenjarakan. Cakap di luar tidak guna, dia kena beri keterangan di mahkamah syariah mengapa tidak boleh bayar sedangkan sebenarnya mereka mampu berbuat demikian kerana memiliki beberapa rumah dan kereta. Mungkin ramai bekas suami yang tidak tahu kita boleh sita harta mereka untuk membayar tunggakan nafkah berkenaan. Justeru, saya yakin jika mereka sedar mengenai perkara ini maka tiada lagi bekas suami yang sengaja mahu melambatkan pembayaran nafkah kepada bekas isteri mereka,” katanya.

Ibrahim berkata, pihaknya sudah menubuhkan dana khas dengan peruntukan RM15 juta bagi memastikan kebajikan wanita Islam di negara ini tidak diabaikan walaupun selepas bercerai.

Sumber : BHarian 20/03/2010


Butiran selanjutnya ...

Kobis Brussel

Kobis brussel


Hari ini saya kongsikan sejenis sayur yang ‘comel’. Saya tidak berapa menggemari sayuran ini kerana teksturnya sedikit keras daripada kobis biasa, Sedap digoreng dengan cendawan tiram dan disiram dengan sos tiram.

Tidak ada sesiapapun tahu dari mana asalnya kobis brussel. Walaupun ada yang mengatakan sayuran ini dinamakan sempena dengan nama ibu negara Belgium kerana di sanalah dikatakan sayuran ini pertama kali ditanam. Kobis brussel juga adalah antara beberapa sayuran yang dikatakan berasal dari utara Eropah. Sayur ini pertama kali diperkenalkan di Perancis dan England pada kurun ke 19. Sehingga kini, sayuran ini masih berterusan menjadi sayuran popular negara tersebut.

Kobis brussel kelihatan seperti kobis mini. Rasanya hampir sama seperti rasa kobis tetapi agak keras dari segi teksturnya. Kobis brussel dan kobis adalah ahli keluarga sayuran cruciferous. Sayuran dalam keluarga ini mengandungi kandungan antioksidan vitamin C dan betakarotena (vitamin A), serta sebatian nitrogen yang dikenali sebagai indole yang dikatakan mampu mengurangkan risiko beberapa kanser tertentu. Kehadiran beta-karotena dan vitamin A dalam kobis brussel juga dikatakan mampu mencegah jangkitan penyakit. Kekebalan tubuh dapat diperbaiki dengan pencegahan jangkitan. Apabila jangkitan tidak mudah menyerang, sekali gus ini mampu membuatkan kulit menjadi lembut.


Pokok kobis brussel

Sayuran ini juga adalah sumber terbaik protein sayuran kerana 31% jumlah kalorinya datang daripada protein. Selain itu, kobis brussel juga kaya dengan folacin, kalium dan kalsium. Dikatakan kobis brussel mengandungi 3 hingga 5 gram serat dalam satu cawan dan 25 kalori untuk setengah cawan setelah dimasak.



Kobis brussel bersama tangkai

Dikatakan khasiat fito tumbuhan yang dijumpai dalam kobis brussel meningkatkan aktiviti semulajadi pertahanan tubuh bagi melindungi penyakit, termasuklah barah. Saintis dikatakan telah menjumpai sulforaphanem iaitu salah satu daripada khasiat fito glukosinolat yang kuat dalam kobis brussel dan sayuran dari keluarga yang sama. Khasiat fito ini dikatakan mampu merangsang enzim detoksifikasi tubuh dengan cara mengubah jumlah gen sekaligus membantu membersihkan bahan karsinogenik dengan lebih cepat. Amalan mengambil sayuran seperti kobis brussel dikatakan mampu mengurangkan risiko barah terutamanya barah paru-paru, kolon, payudara, ovari dan hempedu.


Kobis brussel ~ closed up

Kawal tahap glukos dalam darah

Kobis brussel dikatakan amat baik untuk wanita hamil. Dikatakan secawan kobis brussel membekalkan kira-kira 93.6 miligram asid folik. Dengan memakan sayuran yang kaya dengan asid folik, dikatakan mampu mengelakkan kecacatan bayi yang dikandung. Bukan itu sahaja khasiat kobis brussel, dikatakan nilai khasiat kobis brussel boleh bertahan walaupun setelah sayur direbus jika dibandingkan dengan sayuran lain yang mudah hilang nilai pemakanannya setelah direbus.

Kaedah yang paling umum untuk memasak kobis brussel ialah dengan merebus, mengukus dan memanggang. Apapun kaedah memasak yang dipilih, terlebih masak (overcooked) perlu dielakkan. Terlebih masak kobis brussel akan menyebabkan ia mengeluarkan glucosinolate sinigrin, sejenis bahan kimia yang mempunyai bau belerang. Bau ini menyebabkan alasan ramai orang tidak menyukai kobis brussel. Umumnya, merebus atau mengukus selama 6~7 minit sudah cukup untuk memasak kobis brussel secara menyeluruh, tanpa terlebih masak dan melepaskan sinigrin. Selain direbus, dikukus dan dipanggang, kobis brussel juga mempunyai nilai pemakanan yang maksimum jika dimakan mentah ataupun dijadikan sebagai salah satu hidangan salad.

Bagi anda yang tidak mahu memakan kobis brussel secara mentah, bolehlah meminum kobis brussel yang telah dijadikan minuman jus. Bukan setakat berkhasiat, tetapi jus yang dihasilkan daripada kobis brussel yang dihancurkan dikatakan boleh diminum oleh pesakit diabetes bagi membantu mereka mengawal tahap glukos dalam darah.


Khasiat pemakanan

Pengambilan berpada-pada

Walaupun kobis brussel baik untuk kesihatan, namun pengambilannya perlulah berpada-pada. Ini adalah kerana kobis brussel juga mengandungi goitrin, thiocynate dan isothiocyanate. Bahan kimia yang dikenali dengan nama goitrogen ini boleh menguasai pembentukan hormon tiroid dan menyebabkan tiroid untuk membesar dan cuba untuk dihasilkan dengan lebih banyak. Goitrogen tidak berbahaya bagi mereka yang memakan dengan jumlah yang sederhana sayuran jenis cruciferous tetapi ia akan memberi masalah terhadap mereka yang mengalami masalah tiroid atau mengambil ubatan tiroid.

Oleh itu, pengambilan kobis brussel oleh pesakit ini perlulah mendapat nasihat daripada pengamal perubatan terlebih dahulu bagi mengelakkan kemudharatan di kemudian hari.


Butiran selanjutnya ...

Selasa, Mac 30, 2010

Sidang kemuncak mi segera di KL


KUALA LUMPUR 29 Mac - Persatuan Mi Segera Dunia (WINA) buat pertama kalinya menganjurkan Sidang Kemuncak WINA di Kuala Lumpur pada bulan hadapan. Nestle Malaysia akan menjadi penganjur sidang tersebut yang bertemakan 'Makanan Dunia: Berusaha Menjayakannya', sidang kemuncak itu akan diadakan bermula 20 April hingga 21 April, 2010 di Hotel Mandarin Oriental.

Lebih 120 delegasi negara anggota WINA akan berhimpun di Kuala Lumpur untuk membincang kesemua aspek yang meliputi ekonomi, alam sekitar, pemakanan, teknikal dan kesan sosial hasil revolusi yang dicetuskan mee segera.

Lebih menarik lagi, sidang kemuncak kali ini diadakan pada tarikh ulang tahun kelahiran yang ke-100 pengasas mee segera dan WINA, iaitu mendiang Momofuku Ando yang turut menubuhkan syarikat gergasi mee segera Jepun, Nissin Foods Holdings Co. Ltd.

Timbalan Ketua Eksekutif WINA, Norio Sakurai berkata, objektif WINA adalah memperkasakan industri serta meningkatkan tahap pemakanan masyarakat dunia dengan memperbaiki kualiti mee segera selain meningkatkan jumlah pengambilan makanan ini.

Sumber : Utusan 30/03/2010


Butiran selanjutnya ...

Isnin, Mac 29, 2010

Perkahwinan, tujuan dan falsafahnya

Di mana rahsia kebahagiaan suami isteri?

Assalamualaikum warahmatullah

Sebelum saya menghurai tajuk ini, saya awali tulisan ini dengan beberapa pertanyaan lebih dahulu. Dari pertanyaan-pertanyaan itulah setiap orang yang membaca tulisan saya ini akan dapat memberi jawapan masing-masing dan dari jawapan masing-masing itulah bertitik tolak rahsia yang sebenarnya kebahagiaan suami isteri atau berlaku sebaliknya, baik bagi yang sudah berkeluarga, yang belum atau pun yang bakal berkeluarga, insya-Allah.

Di antara pertanyaan-pertanyaan yang saya ajukan adalah seperti berikut:

  1. Mengapa saudara-saudari menikah atau ingin menikah? Apa tujuan saudara-saudari menikah?
  2. Lelaki atau perempuan bagaimana yang telah dipilih atau akan dipilih untuk menjadi suami atau isteri? Adakah:
  • kerana kecantikannya atau rupanya. Kalau lelaki, kerana tampan atau gagahnya?
  • kerana kekayaannya?
  • kerana keturunannya?
  • kerana agama dan akhlaknya?
Mengapa menikah?

Ramai di kalangan umat Islam terutama di akhir zaman, di zaman moden dan sains teknologi canggih ini akan memberi jawapan bahawa mereka menikah kerana ingin bersenang-senang dan memuaskan nafsu. Kalau tidak menikah kita akan terasa sepi.

Baiklah, kalau kerana itulah setiap lelaki dan perempuan itu menikah ertinya kita akan atau telah menempuh jalan yang salah, jalan yang menjatuhkan taraf kita sebagai manusia, jalan yang mana di awal niat menikah lagi kita telah membuka pintu kehancuran rumahtangga baik kita sedar atau tidak.

Kenapa dan mengapa?

Pertama: Kita telah setarafkan diri kita sebagai haiwan. Haiwan berhubungan kelamin tidak ada tujuan lain selain kerana melepaskan nafsunya semata-mata. Tidak ada tujuan-tujuan selain seks itu saja.

Kedua: Kalau menikah dengan tujuan nafsu semata-mata, ini amat berbahaya kerana sekiranya kemahuan kita sudah tidak ada lagi dengan isteri kita atau suami kita disebabkan kita sakit, atau isteri kita sakit, atau setelah isteri sudah tua, atau setelah kecantikannya sudah pudar, di waktu itu keinginannya sudah tidak ada lagi untuk perhubungan kelamin, mungkin kita ceraikan dia atau isteri minta cerai.

Kalaupun tidak bercerai kerana memandang anak-anak sudah ada dan tidak mahu berpisah dengan anak-anak, di waktu itu kemesraan sudah tidak ada lagi. Hubungan suami isteri sudah tentu renggang. Masing-masing mudah buat onar, mudah tersinggung, mudah benci, mudah marah-marah, maka terjadilah krisis rumahtangga tidak habisnya. Kemudian hal ini akan memberi pengaruh terhadap psikologi anak-anak. Oleh kerana itu menikah dengan tujuan hiburan seks semata-mata tidak akan dapat membangun keluarga yang bahagia lebih-lebih lagi masyarakat yang bahagia.

Perempuan atau lelaki seperti apakah pilihan kita?

Dalam memilih jodoh baik lelaki atau perempuan, terjadiah pemilihan itu dari berbagai-bagai sudut dan aspek:

1. Pilih kerana kecantikan

Ada orang memilih kerana kecantikan, itu kalau lelaki. Kalau perempuan kerana kegagahan dan tampannya seorang lelaki. Kalau itulah yang menjadi target, hal ini amat berbahaya. Bahayanya itu kalau tidak terjadi dalam jangka pendek mungkin akan terjadi dalam jangka panjang. Kerana kalau seorang perempuan itu sudah tidak cantik lagi dan suami sudah tidak tampan, mungkin kerana selalu sakit, atau kerana kerja berat, sudah menghilangkan kecantikan atau ketampanannya, atau setelah berumur sudah tentu hilang kecantikan. Pada waktu sudah hilang kecantikan, daya tarik sudah tidak ada untuk hubungan suami isteri sebab berahi sudah lemah. Lebih lagi di luar rumah seperti di tempat kerja, pergaulan laki-laki perempuan pun bebas, rangsangan kepada perempuan atau lelaki lain lebih daripada isteri atau suami sendiri, sehingga di waktu itu mudah saja bertengkar atau bercerai.

Kalau tidak bercerai pun oleh
kerana anak sudah banyak kerana tidak mahu berpisah dengan anak-anak, namun hubungan suami isteri sudah tidak indah lagi. Kerenggangan dan marah-marah pun mudah berlaku. Singgung menyinggung pun terjadi. Mudah saja benci membenci. Kalau begitu di manalah indahnya berkeluarga di waktu itu dan ini juga sangat memberi tekanan psikologi kepada anak-anak. Anak-anak akan menjadi korban, mungkin mereka akan menjadi liar, jauh dengan orang tua, benci tinggal di rumah, suka mencari hiburan di luar rumah, maka mudahlah terjebak dan terlibat dengan narkoba, rokok, minuman keras, bohsia, bohjan, melepak, mungkin terlibat dengan zina dan berbagai kriminalitas kerana berasal daripada rumahtangga yang tidak bahagia dan tidak harmoni.

2. Pilih kerana kekayaan

Ada orang memilih jodoh baik lelaki atau perempuan
kerana kekayaannya. Dia mungkin kaya kerana gajinya besar, kerana dia dari keturunan orang kaya atau sebab-sebab lain. Ini juga amat berbahaya.

a. Mana tahu dengan takdir Allah Taala, si isteri atau suami itu dipecat. Boleh jadi kekayaan yang ada itu habis atau dia jatuh miskin
kerana berbagai-bagai sebab yang dapat saja terjadi. Di waktu itu sudah tentu akan terjadi kerenggangan di antara suami isteri. Mulailah tidak senang satu sama lain, benci-membenci pun dapat terjadi. Masam-masam muka pun terjadi. Pertengkaran dan krisis rumahtangga pun terjadi. Pintu perceraian pun terbuka.

Kalau tidak bercerai pun hal ini dilakukan
kerana tidak mahu berpisah dengan anak-anak atau kerana hendak menjaga status diri. Tapi apalah ertinya lagi rumahtangga yang sentiasa bergolak dan bergelora macam air laut yang sentiasa bergelombang. Yang akan lemas adalah anak-anak yang tidak berdosa, anak-anak juga akan mengalami seperti yang sudah kita ceritakan di atas.

Biasanya seorang lelaki menikah dengan perempuan kerana kekayaannya, si isteri tidak begitu hormat dengan suaminya. Ini kerana dia merasakan bahawa dialah yang menanggung suaminya. Atau kalau dia tidak menanggung pun, dia merasakan dapat berdikari tanpa pemberian suami. Ada suami atau tiada suamikah, dia sanggup hidup sendiri kerana memiliki kekayaan.

Dengan sebab itu lama-kelamaan taat dan setianya kepada suami itu akan berkurang. Bahkan kalau suami itu bersandar hidup dengan isteri, isteri biasanya memperbudak suaminya sesuka hati. Di arah ke sana, arah ke sini, suruh itu, suruh ini, dia akan kontrol suami sesuka hati (queen control). Akhirnya wibawa suami tergugat, kuasa suami sudah tiada lagi, bahkan takut kepada bini atau bapak mertua atau ibu mertua.

Biasa orang kaya, selalunya isteri itu dibacking oleh ibu dan ayahnya. Ada kalanya isteri berani bersuara tinggi dan mengherdik suaminya. Apakah suami boleh tahan selama-lamanya hidup begini? Apakah suami sanggup dayus sepanjang masa? Apa suami boleh merasa bahagia dengan hidup begini? Kalau pun tidak bercerai, saya rasa hidup berkeluarga begini sudah tentu tidak ada makna apa-apa. Tidak ada kemerdekaan. Sedangkan rasa kemerdekaan itu satu nikmat dan menjadi cita-cita hidup setiap orang.

3. Pilih kerana keturunan

Ada orang menikah
kerana keturunan seperti keturunan orang-orang yang bangsawan, umpamanya keturunan raja, keturunan Datuk-Datuk atau keturunan orang-orang besar. Kalaulah pernikahan itu atas dasar itu saja yang tidak ada bersangkutan dengan agamanya, ini amat berbahaya lebih-lebih lagi kalau keturunan bangsawan itu adalah isteri. Di waktu-waktu berselisih faham dia akan menyebut-nyebut keturunannya dan dia akan menghina keturunan suami. Atau biasa orang berketurunan bangsawan itu kalau tidak ada agama, dia sombong dengan suami, atau keluarganya memandang rendah terhadap suami hingga suami akan terasa terhina atau merasa rendah. Di sini dapat mencacatkan kebahagiaan dan keharmonian suami di dalam rumahtangga.

4. Pilih kerana agamanya

Menikah
kerana agamanya. Seorang menikah baik lelaki atau perempuan kerana agamanya, itulah yang tepat. Itulah yang dituntut oleh syariat Islam. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Dinikahi perempuan itu kerana empat perkara: kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan kerana agamanya. Tetapi ambillah perempuan yang beragama uapa beruntung hidupmu." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hal ini adalah dipuji oleh Allah dan Rasul
kerana menikah di atas dasar agama itu, baik dia cantik atau tidak, kaya atau miskin, bangsawan atau orang biasa, masing-masing tetap merendah hati, berakhlak mulia, suami kasih dengan isteri, isteri menghormati suami, suami memberi tanggungjawab terhadap isteri, isteri juga memberi tanggungjawab kepada suami. Akan berlaku tenggang rasa, isteri mengutamakan suami, suami bertimbang rasa dengan isteri, ada kerjasama, masing-masing berlomba-lomba hendak layan-melayan satu sama lain, maaf-bermaafan, isteri memandang hormat dengan suaminya, suami senantiasa belas kasihan dengan isteri, kedua-dua keluarga dihormati.

Allah Taala sentiasa dibesarkan melalui ibadah yang berbagai jenisnya. Perjalanan hidup Rasul dijadikan tradisi kehidupan mereka. Allah, Rasul, Syurga, Neraka, dosa, pahala, menjadi bahan percakapan. Walaupun berusaha mencari kekayaan dunia namun ia dipandang kecil, bukan menjadi tujuan, bukan menjadi bahan perbincangan. Akhirnya dunia selamat, akhirat selamat. Wujudlah kebahagiaan dan keharmonian di dalam rumahtangga.

Oleh sebab itulah daripada empat pilihan itu, iaitu kecantikan, harta, keturunan dan agama, pilihlah
kerana agamanya. Hal ini sangat menyelamatkan dunia dan akhirat kita. Tapi kalau mampu memperoleh keempat-empat sekaligus maka bertambah cantik dan indahnya kehidupan berumahtangga itu. Kehidupan ini bertambah ceria dan berseri namun susah hendak dicari.

Mengapa kita menikah?

Bagi umat Islam yang faham Islam, yang beramal dengan agamanya, menghayati dan mencintai agamanya, yang ada cita-cita hendak membangun agamanya secara syumul (menyeluruh) atau global, kemudian diperjuangkannya, pernikahan atau mendirikan rumahtangga mempunyai erti yang besar.
Ini
kerana dari peribadi muslim dan keluarga muslim itulah titik tolak atau starting point untuk memancarkan Islam ke masyarakat, ke negara dan seluruh alam sejagat.

Dari sinilah kalau pilihan suami isteri itu tepat mengikuti ajaran Islam, kemudian hiduplah dua sejoli atau mempelai itu secara aturan Islam, setelah itu kalau Allah Taala takdirkan mereka mendapat cahaya mata atau anak-anak yang banyak dari dua insan yang berpadu kasih, yang mempunyai cita-cita Islam yang mendalam itu, maka sudah tentulah anak-anak itu dididik secara kehidupan yang dikehendaki oleh Islam. Maka insya-Allah akan lahirlah satu keluarga yang hidup secara Islam yang menjadi contoh teladan. Kalau suami isteri yang lain pula mendirikan rumahtangga mempunyai cita-cita yang sama, gabungan keluarga-keluarga yang menghayati Islam itu menjadi masyarakat yang menghayati Islam lebih besar lagi. Selepas itu sudah tentu mudah saja untuk menegakkan Islam dalam negara dan seterusnya Islam sejagat.

Tidaklah seperti apa yang terjadi hari ini di seluruh dunia. Bagi pejuang-pejuang Islam, amat sulit sekali untuk memperjuangkan Islam di peringkat negara, kerana individunya belum siap. Keluarga Islam belum siap. Masyarakat lebih-lebih lagilah belum siap. Oleh kerana itu, sudah tentu amat susah sekali untuk diajak menegakkan Islam di peringkat negara.

Mengapa terjadi demikian?

Kesilapan itu bermula dari individu dan dari dua suami isteri yang menikah. Islam itu tidak dijadikan tujuan mereka mendirikan rumahtangga. Mereka tidak ada cita-cita Islam.

Menikah itu sekadar hendak melepaskan dorongan naluri, keinginan alami atau dorongan biologi. Tidak ada pun dikaitkan dengan cita-cita Islam itu. Maka dari itu apakah tujuan penikahan itu? Apakah sekadar melepaskan nafsu?

Tujuan pernikahan yang sebenarnya

Tujuan pernikahan menurut Islam yang sebenarnya adalah seperti berikut:

  1. Allah Taala telah mentakdirkan bahawa lelaki ada nafsu kepada perempuan. Perempuan juga ada nafsu dengan lelaki. Hakikat ini tidak dapat ditolak. Kita tidak dapat lari daripada dorongan alamiah itu. Oleh kerana itu untuk menyelamatkan keadaan maka tujuan kita menikah agar jangan sampai kita melakukan zina yang terkutuk. Mestilah kita menikah agar ia tersalur secara yang halal yang memang dibenarkan oleh Allah Taala yang Maha Pengasih.
  2. Daripada hubungan suami isteri itu, adalah sebagai sebab pertemuan benih kedua jenis manusia yang akan melahirkan zuriat (keturunan), anak-anak, cucu-cucu yang ingin sangat kita jaga, asuh, didik, diberi iman dan ilmu, agar menjadi hamba-hamba Allah yang berakhlak dan bertaqwa. Yang akan menyambung perjuangan Islam kita agar perjuangan Islam kita bersambung selepas kita mati. Memang setiap umat Islam yang belum rosak jiwanya sangat menginginkan generasi penerusnya.
  3. Kalau begitu tujuan kita menikah, kita inginkan anak yang akan kita didik menjadi seorang Islam yang sejati dan anak itu adalah merupakan aset kepada kita. Anak itu sendiri pula boleh menjadi harta dan tenaga kepada Islam.
  4. Dengan pernikahan itu, jika tujuan kita mendapat anak berhasil, dan berhasil pula dididik dengan Islam dan menjadi seorang muslim yang berguna, kemudian dia akan melahirkan cucu yang juga berjaya dididik secara Islam dengan sebaik-baiknya, berapa banyak pahala yang kita dapat sambung-menyambung. Itu adalah merupakan aset simpanan kita di Akhirat kelak. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Apabila meninggalnya anak Adam maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara yaitu doa anak yang soleh, sedekah jariah dan ilmu yang bermanfaat." (Hadis riwayat Muslim)
  5. Alangkah indahnya kalau Islam yang maha indah itu dapat menjadi budaya hidup sebagaimana yang pernah mengisi ruangan dunia ini di masa yang silam, selama tiga abad dari sejak Rasulullah SAW. Sekarang keadaan itu tinggal nostalgia saja. Yang tinggal pada hari ini hanya akidah dan ibadah. Itu pun tidak semua umat Islam mengerjakannya. Kita sangat ingin keindahan Islam itu dapat diwujudkan. Di dalam suasana keluarga pun jadilah, kerana hari ini, hendak buat lebih dari itu memang amat sulit sekali. Lantaran itulah pernikahan itu amat perlu sekali kerana hendak melahirkan masyarakat Islam kecil. Moga-moga dari situ akan muncul masyarakat Islam yang lebih besar.
  6. Seorang muslim bukan saja diperintah untuk mencari keredhaan Allah Taala tetapi diperintah juga untuk menghiburkan hati kekasih Allah Taala yaitu Rasulullah SAW, yang mana Rasulullah SAW sangat berbangga dengan ramainya pengikut atau umatnya di Akhirat kelak. Maka sebab itulah Rasulullah SAW menyuruh umatnya menikah,seperti dalam sabda baginda yang bermaksud, "Bernikahlah kamu supaya kamu berketurunan dan supaya kamu menjadi banyak, kerana sesungguhnya aku akan berbangga dengan umatku yang ramai di hari Kiamat." (Hadis riwayat Al Baihaqi) Setiap umat Islam hendaknya apa yang menjadi kesukaan Rasul-Nya itulah juga kesukaan mereka.
  7. Kalaulah Rasulullah SAW berbangga dan bergembira dengan banyaknya umat, maka kita sepatutnya juga berbangga dengan ramainya umat Islam di dunia ini. Maka untuk memperbanyakkannya, lantaran itulah kita menikah. Jadi kita menikah itu ada bermotifkan untuk menambah jumlah umat Islam. Ada cita-cita Islam sejagat. Kita menikah itu ada cita-cita besar, bukan sekadar sebatas hendak melepaskan nafsu seks seperti cita-cita kebanyakan manusia.
  8. Menikah itu jangan sampai putus zuriat kerana kita berbangga dapat menyambung zuriat yang menerima Islam sebagai agamanya dan dengan keturunan itulah orang kenal siapa asal-usul kita atau mereka.
  9. Tujuan-tujuan lain sebagai maksud tambahan daripada pernikahan bahawa setiap lelaki dan perempuan yang menjadi pasangan suami isteri hendaklah meniatkan satu sama lain hendak memberi hiburan kepada seorang hamba Allah Taala yang inginkan hiburan, kerana niat menghiburkan orang mukmin itu mendapat pahala.

Begitulah sebahagian daripada tujuan-tujuan dan maksud-maksud daripada pernikahan di dalam Islam. Pernikahan dalam Islam ini mempunyai cita-cita yang murni. Melahirkan cita-cita Islam, ingin mewujudkan satu rangkaian dan elemen-elemen amalan serta suasana Islam.

Jika hal ini dapat digabungkan dengan rangkaian-rangkaian dan elemen-elemen golongan yang mempunyai cita-cita dan tujuan yang sama seperti yang Islam kehendaki, lama-kelamaan gabungan ini akan menjadi satu masyarakat Islam yang lebih besar lagi, yang syiarnya akan dapat dilihat di mana-mana saja di muka bumi Tuhan ini. Dunia ini akan menjadi amat meriah, ceria, gembira dan bahagia. Barulah kita dapat meyakinkan orang lain kerana keindahan Islam itu begitu nampak.


Sumber : KawanSejati

Butiran selanjutnya ...

Kerap kentut


PAKAR Perubatan Greek, Hippocrates pernah menyifatkan kentut adalah proses penting untuk kesihatan. Justeru, jangan malu kerana kentut. Setiap orang kentut. Tanpa kentut, anda sebenarnya mungkin berhadapan dengan masalah kesihatan.

Bagaimanapun, kentut yang berbau dan ‘dilepaskan’ dengan bunyi yang kuat memang memalukan. Bau dan daya kekuatan kentut dilepaskan bergantung pada makanan yang kita ambil,berapa lama kentut itu ‘disimpan’ dan daya kepantasannya dikeluarkan dari anus.

Dalam definisi perubatan, kentut adalah sebahagian daripada lebihan gas dalam perut atau usus. Ada kala lebihan gas ini menyebabkan anda berasa tidak selesa seperti perut kembung, sendawa atau kentut. Kebanyakan orang melepaskan gas berlebihan ini 14 kali sehari [NB : Lepas ni kena buat catatan, lihat betul atau sebaliknya], tidak kiralah sama ada sebagai kentut atau sendawa. Kentut tidak membahayakan nyawa, mungkin ia hanya akan membuatkan anda malu jika ‘terlepaskannya’ di khalayak ramai dan berbau kurang menyenangkan. Bagaimanapun, jika anda kerap kentut ada kalanya ia mungkin penanda masalah kesihatan yang lain. Justeru, anda memerlukan rawatan perubatan.

Umumnya, komponen utama dalam kentut adalah lima gas yang tidak berbau :

  1. nitrogen,
  2. hidrogen,
  3. karbon dioksida,
  4. gas metana dan
  5. oksigen.

Bau busuk kentut adalah disebabkan disebabkan kompaun berunsurkan sulfur yang dihasilkan bakteria tertentu dalam kolon. Bagaimanapun, bakteria ini tidak ditemui pada setiap orang.

Jumlah gas yang dilepaskan pula bergantung pada berapa banyak bakteria yang hidup dalam kolon dan makanan yang tidak dihadam oleh saluran gastro usus sebelum ia sampai ke kolon.
Dianggarkan antara 30 ke 150 gram makanan tidak dicerna sampai ke kolon dalam bentuk karbohidrat setiap hari. Jumlah ini bergantung pada diet anda dan bagaimana saluran gastro usus anda berfungsi.

Tubuh tidak mencerna atau menyerap sesetengah jenis karbohidrat seperti gula atau serat dalam usus kecil kerana kekurangan enzim di kawasan itu. Makanan yang tidak dicernakan ini melalui usus kecil ke usus besar dan di situ bakteria tidak berbahaya memecahkan makanan, menghasilkan hidrogen, karbon dioksida dan di kalangan sesetengah orang, metana. Kesemua gas ini keluar melalui rektum menjadi kentut.

Gas berlebihan dalam saluran pencernaan (esofagus, perut, usus kecil dan kolon) datang daripada dua sumber;
  1. Udara yang anda telan (menerusi tabiat mengunyah gula-gula getah atau merokok)
  2. Peningkatan penghasilan gas daripada makanan tidak hadam yang dipecahkan oleh bakteria dalam usus

Gas kentut kebiasaannya terdiri daripada 60% nitrogen, 30% karbon dioksida dan 10% campuran gas metana dan hidrogen. Bagaimana pun, komposisi gas yang keluar dari badan anda bergantung kepada beberapa faktor seperti makanan, udara yang disedut, jenis bakteria dalam usus dan tempoh masa anda menahan kentut.

Sesuatu yang anda perlu tahu, makanan yang menghasilkan gas tidak sama bagi setiap orang. Sementara, bakteria umum yang ditemui dalam kolon boleh memusnahkan hidrogen yang dihasilkan oleh bakteria lain. Keseimbangan dua jenis bakteria ini menjelaskan mengapa sesetengah makanan menjadi ‘berangin’ kepada sesetengah orang. Namun, kebanyakan makanan yang mengandungi karbohidrat menyebabkan gas. Makanan lemak dan protein menghasilkan sedikit gas. Selain itu, kekurangan laktosa juga boleh menyebabkan seseorang itu kerap kentut.

INFO Makanan penyebab kentut :
  • Kacang
  • Sayur-sayuran seperti brokoli, kubis, tauge, asparagus.
  • Buah-buahan seperti pear, apple dan peaches.
  • Minuman bergas dan ada kalanya jus buah-buahan
  • Produk tenusu seperti keju, ais krim, bijirin.




Sumber : BHarian 28/03/2010

Butiran selanjutnya ...

Menu diets seks

Tubuh sihat, prestasi mantap

Apa yang anda makan bukan saja mempengaruhi keadaan kesihatan tubuh badan tapi juga sebenarnya memberi kesan terhadap prestasi seks. Oleh itu anda seharusnya punya pengetahuan tentang pemilihan sumber makanan yang betul agar kesihatan terjamin dan juga kehidupan seks kekal mantap.

Pakar kesihatan sendiri mengatakan bahawa salah satu perkara terbaik yang boleh dilakukan dalam memastikan kehidupan seks sihat adalah mengambil menu diet yang seimbang dengan baik. Kali ini kita lihat menu diet seks yang boleh anda amalkan. Diet ini tidak hanya akan meningkatkan tenaga batin tapi juga akan meningkatkan kesihatan secara keseluruhan. Jadi tidak rugi jika anda mengamalkannya.

1. Sarapan yang seimbang

Anda harus menyertakan protein dan serat dalam menu sarapan anda. Cara mudah adalah dengan mengambil buah-buahan ataupun menambah sayuran dalam sarapan anda. Kedua zat ini memerlukan waktu lebih lama untuk dicerna, ini bermakna anda akan memiliki tenaga stabil sepanjang pagi, yang akhirnya akan menghalang anda mengambil makanan antara waktu makan. Lebih banyak tenaga bererti anda masih punya tenaga lebih semasa pulang dari bekerja dan dapat menikmati waktu bersama pasangan.

2. Minum banyak air

Minum banyak air membantu tubuh kekal segar baik dari segi fizikal mahupun mental sepanjang hari bahkan sepanjang malam. Pakar menganjurkan untuk minum dua gelas air selepas bangun tidur di pagi hari, kerana inilah waktu paling dehidrasi sepanjang hari. Sebaiknya anda tetap menjaga kadar kalori dalam minuman dan mengambil makanan yang mengandung kadar air tinggi sepanjang hari.

3. Pilih sayuran dengan minyak zaitun dan kacang

Lemak diperlukan untuk menghasilkan hormon seks testosterone dan estrogen. Namun jika anda memilih menu dengan kadar lemak yang sangat rendah, maka anda tidak punya cukup kadar hormon ini. Pastikan juga anda mengambil lemak tak tepu sihat yang banyak didapati dalam minyak zaitun, ikan berlemak, dan walnut. Anda juga perlu melengkapi menu dengan beberapa lemak yang tinggi omega-3 asid lemak, seperti lemak ikan dan kacang. Omega-3 dapat membangkitkan semangat anda. Menurut tinjauan yang diterbitkan dalam French Journal Biomedicine & Pharmacotherapy, omega-3 juga dapat membantu meredakan simptom pramenstruasi dan menopaus.

4. Makan ayam, ikan dan protein

Sekiranya anda tidak mengambil cukup protein dalam diet tahap dopamine neurotransmitter
dalam otak juga akan terjejas. Dopamin juga membantu masalah disfungsi ereksi pada lelaki. Seorang wanita aktif sekurang-kurangnya harus memiliki 0.5 gram protein per berat badan setiap hari.

5. Nikmati segelas anggur semasa makan malam

Koktel atau segelas anggur pada malam hari mampu memperbaiki mood anda untuk bersantai dan kemudian melakukan seks.

6. Pilih coklat di malam hari

Coklat juga sebahagian daripada menu aprosidiak yang mampu meningkatkan ghairah seks. Ia memang tidak disangkal lagi. Kajian mendapati coklat ini juga mampu menghadirkan rasa bahagia. Satu kajian di Jerman dalam jurnal Appetite, sekelompok wanita diberi sebiji epal dan kelompok yang lain diberi sepotong coklat. Para pengkaji mendapati bahawa kumpulan wanita yang memakan coklat mempunyai mood gembira berbanding mereka yang makan epal dan rasa bahagia itu mampu bertahan sekitar 90 minit. Oleh itu simpanlah sepotong coklat terbaik di dalam kamar anda, mana tahu anda memerlukannya di malam hari.

Selamat mencuba!




Sumber : MW#1363 [1~7 January 2010]

Butiran selanjutnya ...

Ahad, Mac 28, 2010

Kaunselor Anda : Terlajak kasih

Pemuda baru sedar lebih menyintai X daripada sepupunya



SOALAN:


SAYA berkawan baik dengan gadis X sejak kecil lagi. Kami kawan sepermainan dan saya menganggapnya sama seperti kawan lelaki lain. Apabila dewasa, saya jatuh cinta dengan sepupu X. Kami bercinta tetapi malangnya, saya tidak bahagia seperti berkawan dengan X. Saya keliru, mungkinkah saya sebenarnya menyintai X selama ini tetapi tidak menyedarinya. Berterus terang pula hanya menjadikan kekasih saya kecewa sedangkan menyimpan rasa pula jadikan menyebabkan saya merana.

Lelaki Keliru.

JAWAPAN:

WAHAI Lelaki Keliru yang dikasihi, keadaan anda benar-benar ibarat kata pepatah ‘ditelan mati emak, di luah mati bapa’ tapi itulah yang harus anda hadapi kerana anda tidak pasti apa yang anda cari selama ini. Inilah padahnya apabila sudah terlajak kasih.

Lebih malang lagi, anda tidak memahami diri sendiri sehinggakan, anda berasakan boleh memilih siapa saja yang anda mahukan, mengikut mata dan selera dengan membelakangkan kata hati. Anda melihat wanita tidak ubah seperti ikan di pasar. Suka pilih-pilih tetapi apabila salah pilih, anda kalut. Sebab itu anda dihukum Allah SWT dengan rasa gelisah dan hilang keyakinan diri dan hilang tumpuan.

Keadaan ini bertambah buruk bila anda berasakan anda paling berhak memilih tanpa memikirkan perasaan orang yang akan anda pilih. Namun begitu anda masih mampu memperbaiki diri dan keputusan anda andainya anda mahu berlaku jujur dengan diri sendiri dan dengan kekasih anda juga dengan wanita X. Sebagai orang yang sedang membuat pilihan, maka nyatakan apa yang terbuku di hati dengan penuh sedar dan insaf kepada kekasih anda sekarang bahawa anda tidak mendapat kedamaian dalam hubungan bersamanya kerana diganggu kenangan manis bersama X. Dan perasaan itu sebenarnya sangat mendalam dan anda tidak dapat melupakan dia.

Bagi Umi, mengakulah kesilapan yang anda lakukan kepada sepupu X yang dipilih sebagai kekasih selama ini. Ini sangat penting, kerana anda belum bernikah. Jika anda tidak mampu berterus terang sekarang kepada kekasih anda sekarang, berkemungkinan anda tidak dapat memanjangkan usia perkahwinan di masa akan datang. Kasih tidak dapat dipaksa dan kita tidak mampu membohongi hati. Jika kekasih dapat menerima keadaan ini walau betapa pun lukanya, ini sudah sangat baik kerana dia mengetahui perasaan anda sebenar sekarang dan sebelum melintasi gerbang perkahwinan.

Lebih penting, dia masih anak dara dan bukan bergelar janda pada usia muda apabila anda bertindak menukar fikiran. Bermohon kepada Allah SWT agar X mampu memahami perasaan yang sedang anda alami sekarang. Jika nasib baik menyebelahi anda, anda boleh memohon bantuan kekasih anda untuk menyampaikan hasrat hati anda kepada X. Andai kata diterima maka Alhamdullillah...tapi jika sebaliknya berlaku, bersabar dan mohon bantuan Allah SWT sebanyak-banyaknya. Tapi jika anda mampu dan berpeluang menyatakan sendiri isi hati dan menerangkan apa yang anda alami selama ini adalah paling baik, mungkin melalui e-mel atau sistem pesanan ringkas tanpa orang tengah.

Namun segala keputusan adalah terserah kepada Allah SWT kerana manusia hanya mampu berusaha, tapi hasilnya di tangan-Nya. Tetapi risiko yang perlu anda hadapi ialah anda bersedia menghadapi kemungkinan hilang kekasih sekarang atau hilang kedua-duanya sekali. Doa Umi agar anda lebih bertanggung jawab terhadap diri anda. Jika terlaksana apa ‘pucuk dicita ulam mendatang’ hargailah dengan penuh keinsafan dan kesyukuran kepada Allah SWT sebanyak-banyaknya.

Namun jika sebaliknya, sabarlah meneruskan kehidupan. Bangunkan keyakinan bahawa Allah SWT tidak mengubah nasib sesuatu kaum selagi, kaum itu tidak mengubahnya. Allah SWT tetap bersamamu dalam keadaan apa sekali pun Mohon petunjuk dan kekuatan daripada-Nya kerana hanya Dia mengetahui siapakah jodoh kita.

Info

Bagi pembaca yang ingin berkongsi masalah dan pendapat dengan Dr Rubiah K Hamzah, anda boleh menghantar soalan anda ke alamat Ruangan Kaunselor Anda, Berita Minggu, 31, Balai Berita, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau e-mel bminggu@bharian.com.my

Sumber : Bersama Dr Rubiah K Hamzah [bminggu@bharian.com.my] di BHarian 28/03/2010

Butiran selanjutnya ...

Q&A : tulang binatang yang diakikahkan




SOALAN :


Adakah wajib tulang binatang yang diakikahkan ditanam semuanya atau terserah kepada yang berakikah atau ada di antara tulang-tulang yang boleh tidak ditanam?
JAWAPAN :

Tiada tuntutan terhadap tulang-tulang itu bahawa ia 'wajib' ditanam daripada nas syarie. Malahan ibadah akikah itu sendiri hukumnya sunat muakkad.

Cuma terdapat beberapa hadis melarang memecahkan tulang haiwan sembelihan aqiqah. Sunnah mengajar kita memotongnya mengikut sendi-sendi haiwan tersebut seperti hadis daripada Saidatina 'Aisyah r. a. yang bermaksud: "Yang paling afdal bagi anak lelaki (diakikahkan dengan) dua ekor kambing biri-biri yang setara keadaannya dan bagi anak perempuan (diakikahkan dengan) seekor kambing biri-biri. Dipotong pada sendi-sendi anggota (haiwan tersebut) dan jangan dipecah-pecahkan tulangnya."

Hatta ketika makan seperti satu hadis diriwayatkan oleh Abu Daud, iaitu ketika Fatimah binti Muhammad r.a. mengadakan akikah anaknya, maka Rasulullah bersabda: "Makan dan jamulah seleramu tetapi janganlah kamu memecahkan tulangnya."

Sumber : Utusan 26/03/2010


Butiran selanjutnya ...

Q&A : Menyusu anak lebih 2 tahun

SOALAN :

APAKAH hukum menyusukan anak lebih daripada dua tahun, apakah ada dalil atau hadis yang mengatakan bahawa tidak boleh menyusukan anak melebihi dua tahun?

Adakah menyusukan anak lebih daripada 2 tahun mendatangkan penyakit bagi anak yang disusukan itu kerana susu itu akan bertukar menjadi darah setelah anak lebih dari dua tahun?

JAWAPAN :

Menyusukan anak lebih daripada dua tahun adalah harus terutamanya untuk maslahat si anak. Tiada nas atau hukum fikah mengharamkannya.

Cuma sesetengah ulama berpendapat ia akan melemahkan bayi kerana setiap yang disyorkan oleh Allah seperti tempoh menyusu dua tahun itu pasti ada hikmahnya kerana Allah Maha Tahu sebagai Pencipta manusia.

Penyusuan badan adalah hak anak dalam Islam, sudah tentulah ia yang terbaik dan ini telah terbukti benar melalui kajian saintifik kini. Tiada pula sumber ditemui mengatakan ia bertukar menjadi darah selepas dua tahun.

Jiran saya seorang jururawat menyusukan anaknya sehingga tiga setengah tahun. Dia berbuat demikian setelah bertanyakan doktor yang membenarkannya berbuat demikian selama anak itu masih ingin menyusu tetapi bukan sebagai makanan utama selepas dua tahun.

Namun kebanyakan ulama berpendapat patut dihentikan selepas dua setengah tahun kerana susu itu tidak lagi berfungsi sebagai pembekal nutrien untuk membesar kepada bayi.

Juga untuk memberi peluang kepada ibu mengandung lagi kerana penyusuan badan biasanya membantut proses mengandung secara alami.

Sumber : Utusan 26/03/2010


Butiran selanjutnya ...

Seksanya mayat bayi ini

Bahagian sebelah tangan mayat bayi lelaki (dalam bulatan) yang ditemui berhampiran sebuah kilang simen di Jalan Padang Tembak, Kampung Melayu Subang, semalam.

KUALA LUMPUR 26 Mac - Belum pun cukup seminggu kes seorang bayi perempuan ditemui di tempat pembuangan sampah di Ipoh, Perak, negara sekali lagi digemparkan dengan penemuan mayat seorang bayi lelaki dalam keadaan yang tragis hari ini.

Jika bayi perempuan yang ditemui itu selamat dan diberikan nama Mahsya Kurnea, nasib yang dilalui bayi lelaki ini tidak sama. [NB : Menurut berita terkini, Mahsya dipercayai dilahirkan oleh seorang wanita Indonesia, bapanya bangsa Cina]

Sebaik sahaja dilahirkan, bayi yang masih bertali pusat itu diisi dalam plastik lalu dibuang di tepi jalan berhampiran sebuah kilang simen di Jalan Padang Tembak, Kampung Melayu Subang. Sebelah tangan bayi malang yang telah bercerai dari badan itu kemudiannya digonggong oleh salah seekor daripada sekumpulan anjing yang menyelongkar bungkusan plastik itu. Sukar untuk digambarkan betapa seksanya mayat bayi tidak berdosa itu diperlakukan.

Mujurlah ada seorang insan yang prihatin, kebetulan melalui jalan tempat kejadian kira-kira pukul 4 petang, ternampak kejadian menyayat hati itu. Lelaki itu pada mulanya ternampak seekor anjing sedang menggonggong sesuatu berhampiran sebuah kilang simen. Setelah dihampiri, alangkah terkejutnya dia apabila mendapati apa yang digonggong oleh anjing itu adalah tangan kecil bayi. Dia juga berasa pelik apabila ternampak sekumpulan anjing sedang mengerumuni satu bungkusan plastik.

Lelaki itu kemudian menghalau anjing-anjing tersebut dan apa yang menimbulkan kebimbangan dalam hatinya terjawab - bungkusan plastik itu berisi mayat seorang bayi. Dia kemudiannya segera memaklumkan penemuan itu kepada polis yang bingkas datang ke lokasi mayat bayi tersebut ditemui.

Sabtu lalu, Mahsya Kurnea ditemui dalam kawasan semak berhampiran tempat pembuangan sampah di Jalan Medan Ipoh Satu di Ipoh.

Malah, tidak tahan dengan isu pembuangan bayi ini - Utusan Malaysia menganjurkan kempen 'Kami Prihatin' bagi membangkitkan kesedaran masyarakat terhadap gejala tidak berperikemanusiaan ini. Melalui program amal itu, barisan artis terkenal tanah air akan bergabung merakamkan sebuah lagu khas 'Harapan Tanpa Suara'.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, bayi malang itu dibuang sebaik sahaja dilahirkan kerana masih terdapat tali pusat. Beliau mengesahkan hanya tangan bayi itu yang terputus manakala anggota lain masih lengkap.

"Terdapat kecederaan pada anggota badan bayi berkenaan dipercayai akibat gigitan anjing liar. Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Masih terlalu awal, katanya, untuk mengenal pasti bila bayi itu dilahirkan tetapi polis tidak menolak kemungkinan ia dibuang pagi ini. Sehubungan itu, Arjunaidi meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran.

Sumber : Utusan 27/03/2010


Butiran selanjutnya ...

Hindari hal syubahah elak terjerumus perkara haram

Persoalan Agama: Bersama Ustaz Zahazan Mohamed

SOALAN :

KITA sekali lagi berdepan masalah halal sesebuah restoran seperti yang berlaku baru-baru ini. Akibatnya, saya sering berasa ragu-ragu atau was-was mengenai makanan dan kebersihan restoran. Ada rakan mengaitkan masalah ini sebagai syubahah. Bolehkan ustaz jelaskan mengenai syubahah ini.

Mohd Ali
Tanjung Malim, Perak


JAWAPAN :

DALAM Kitab Riadus Solihiin, Imam an-Nawawi ada meletakkan suatu bab yang bertajuk warak dan meninggalkan syubahah. Antara hadis yang terkandung dalam bab ini ialah hadis riwayat Bukhari dan Muslim, daripada an-Nu’man bin Basyir r.a., beliau berkata: “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya yang halal itu sudah jelas dan yang haram juga sudah jelas, sedangkan di antara halal dan haram itu ada hal syubahah (samar-samar dan meragukan) yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Barang siapa yang berhati-hati daripada hal yang syubahah itu, maka terjagalah agama dan kehormatannya. “Dan barang siapa terjerumus ke dalam hal-hal syubahah, maka bererti ia terjerumus ke dalam hal yang haram. Ingatlah di dalam tubuh ada segumpal daging, bila segumpal daging itu baik, maka baiklah seluruh tubuh. Dan bila segumpal daging itu rosak, maka rosaklah seluruh tubuh. Gumpalan daging itu adalah hati.” (HR Bukhari dan Muslim)

Hadis berkenaan jelas melarang kita mendekati perkara syubahah seperti daripada al-Hasan bin Ali, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Tinggalkan apa yang kamu ragui dan kerjakan apa yang tidak kamu ragui.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Orang yang dapat menahan dirinya daripada mengambil benda syubahah disebut sebagai warak.

Sumber : BHarian 28/03/2010

Butiran selanjutnya ...

Q&A : Perlu sujud sahwi jika lupa lakukan tahiyyat awal

Persoalan Agama: Bersama Ustaz Zahazan Mohamed

SOALAN :

ADA rakan saya yang menunaikan solat Zuhur dan Asar tetapi dia meninggalkan tahiyyat awal iaitu terus bangun selepas rakaat kedua. Saya menegurnya mengenai perkara ini dan dia menjawab bahawa tahiyyat awal itu adalah sunat. Apakah pandangan ustaz mengenai perkara ini, adakah ia benar.

AHA
Kulim, Kedah


JAWAPAN :

DI SINI saya ingin memetik buku Indahnya Hidup Bersyariat ditulis oleh Datuk Ismail Kamus yang seharusnya ada di setiap rumah orang Islam sebagai panduan mudah dalam melaksanakan ibadat.Di dalam solat, ada dua jenis sunat iaitu pertama, sunat Hai’ah dan kedua, sunat Ab’adh.
Sunat Ab’adh adalah sunat yang dikuatkan, yang seandainya terlupa mengerjakannya maka disunatkan sujud sahwi. Ia mengandungi tujuh perkara iaitu tahiyyat awal, selawat dalam tahiyyat awal, duduk tahiyyat, doa qunut dalam solat Subuh, selawat dalam qunut, berdiri ketika qunut, selawat ke atas keluarga Nabi ketika tahiyyat akhir.

Justeru, tahiyyat awal yang saudara maksudkan itu jika ditinggalkan tidaklah membawa kepada batal solat tetapi perlu melakukan sujud sahwi menurut mazhab Syafie.

Manakala sunat Hai’ah pula sunat yang apabila ditinggalkan, tidak perlu melakukan sujud sahwi. Ada 14 perkara, antaranya mengangkat tangan ketika takbir, membaca doa iftitah, membaca A’uzubillah (Taawuz), membaca ‘Amin’ selepas al-Fatihah dan sebagainya.

Dalam kitab Bulughul Maram oleh Ibn Hajar al-Asqalani meletakkan satu bab Sujud Sahwi dan memetik hadis, daripada Abdullah bin Buhainah, bahawasanya Nabi SAW pernah bersolat Zuhur berserta mereka, lalu Baginda berdiri sesudah dua rakaat yang pertama, (iaitu Baginda tidak duduk tahiyyat awal), maka orang pun berdiri bersertanya, hingga apabila selesai solat dan orang-orang tunggu untuk salam. Baginda bertakbir sambil duduk dan Baginda sujud dua kali sebelum Baginda memberi salam.”

Wallahualam.

Sumber : BHarian 28/03/2010

Butiran selanjutnya ...

Khasiat DHA susu ibu

Paras DHA lebih tinggi dalam susu ibu dengan fungsi kognitif yang lebih menyerlah ketika umur bayi itu masih mentah.

Wanita selalunya mengambil berat soal pemakanan mereka semasa hamil. Asid folik dan kalsium mungkin nutrisi pertama yang terbayang dalam fikiran mereka, namun terdapat satu lagi nutrisi yang sama pentingnya tetapi sering diabai iaitu asid docosahexaenoic atau DHA.

DHA, sejenis asid lemak omega-3 poli tak tepu yang berantai panjang, dijumpai dalam setiap sel dalam badan. DHA adalah penting untuk perkembangan dan kefungsian otak, mata dan sistem saraf pusat. Semasa mengandung, janin yang sedang membesar bergantung kepada ibunya untuk mendapat DHA yang diperlukan. Ini kerana DHA diperolehi daripada makanan yang dimakan, maka kandungan DHA dalam diet seseorang ibu menentukan sebanyak mana DHA yang dapat disalurkan kepada janin. Malangnya, ramai ibu mengandung gagal mendapatkan jumlah DHA yang disyor. Di samping itu, DHA tidak terdapat dalam kebanyakan vitamin pra lahir.

DHA dalam susu ibu mampu meningkatkan Keupayaan Fungsi Kognitif Bayi

Kajian yang dilakukan di Universiti Texas Tech menunjukkan wujud perkaitan antara jumlah DHA yang didapati dalam susu ibu dan fungsi kognitif bayi. Pada dasarnya, lebih banyak DHA yang ada pada seseorang ibu, maka lebih pintar bayi yang akan dilahirkan. Bayi memerlukan DHA untuk perkembangan otak dan mata yang optimum dan mereka memperolehi DHA ini daripada susu ibunya.

Kajian terbaru ini diterbitkan dalam majalah Journal of Paediatrics Psychiatry menunjukkan wujud perkaitan positif antara paras DHA dalam susu ibu dan fungsi tingkah laku neuro seseorang bayi yang baru lahir. Penemuan ini menyokong banyak kajian klinikal menunjukkan DHA memainkan peranan penting dalam perkembangan mental dan visual seseorang bayi. Kini DHA menjadi bahan tambahan kepada lebih 75 peratus susu formula bayi di Amerika Syarikat.

"Kajian ini adalah penting kerana ia memperkaitkan paras DHA yang lebih tinggi dalam susu ibu dengan fungsi kognitif yang lebih menyerlah ketika umur bayi itu masih mentah," ujar penyelidik kajian tersebut, Connye Kuratko, PhD. Beliau merupakan seorang pakar diet berdaftar, sebelum ini bertugas di Universiti Texas Tech, kini bekerja dengan Martek Biosciences.

DHA Dari Sumber-Sumber Diet

Menurut Dr. Barbara Levine, profesor madya nutrisi dalam perubatan di Kolej Weill Medical, Universiti Cornell, sumber DHA yang paling tulen ialah bukan daripada ikan itu sendiri, tetapi apa yang dimakan oleh ikan itu iaitu tumbuhan laut yang dikenali sebagai 'alga.' Oleh itu, mengambil suplemen DHA yang diperbuat daripada alga laut merupakan cara paling selamat bagi ibu mengandung untuk meningkatkan simpanan asid lemak mereka.

Kajian menunjukkan mengambil suplemen DHA semasa menyusu akan meningkatkan paras DHA dengan berkesan dalam susu ibu dan juga dalam darah bayi. Satu kajian yang diterbitkan dalam majalah American Journal of Clinical Nutrition keluaran Julai baru-baru ini, menunjukkan bayi yang dilahirkan oleh ibu yang mengambil suplemen DHA semasa empat bulan menyusu susu ibu, boleh mencapai kepintaran psychomotor (seperti penyelarasan dan menyusun atur) seawal umur 2 setengah tahun.

Nasihat memakan ikan dan amaran pemakanan daripada badan-badan pakar di USA

American Heart Association, United States Food and Drug Administration (FDA) dan Environmental Protection Agency (EPA), telah mengeluarkan nasihat tentang pemakanan ikan. Amaran ini dikeluarkan sebagai tindakbalas terhadap penemuan sesetengah jenis ikan mengandungi methylmercury, iaitu sejenis pencemar yang sekiranya berada pada paras yang tinggi boleh membahayakan sistem urat saraf janin, bayi yang baru lahir, malah kanak-kanak yang baru bertatih. Ini boleh membawa kepada kesan negatif terhadap jangka masa penumpuan, penguasaan pertuturan, keupayaan penglihatan dan mengesan ruang, daya ingatan dan penyelarasan. Adalah dianggarkan hampir 60,000 kanak-kanak setiap tahun dilahirkan dengan risiko masalah neurologi yang disebabkan oleh pendedahan kepada methylmercury semasa di dalam rahim ibu.

Untuk mengurangkan risiko pendedahan kepada raksa berbahaya ini, FDA mengesyorkan ibu mengandung dan menyusu dan juga anak-anak yang masih kecil supaya memakan tidak lebih daripada 12 auns ikan yang dimasak setiap minggu serta memilih pelbagai jenis ikan daripada memakan satu jenis sahaja. Elakkan daripada memakan ikan besar seperti ikan yu, todak, ikan tile dan tenggiri raja yang semuanya mengandungi methylmercury pada paras yang paling tinggi.

DHA daripada susu ibu berbanding DHA daripada minyak ikan

Minyak ikan diperolehi daripada tisu ikan yang berminyak dan mengandungi kedua-dua DHA dan EPA (asid eicosapentaenoic). Tetapi, suplemen minyak ikan biasa mengandungi EPA dengan jumlah yang agak tinggi dan sebaliknya mengandungi DHA sekadar sederhana sahaja. Pada orang dewasa, DHA dan EPA dapat dihadamkan serta diserapkan. Tetapi, pada bayi dan janin, EPA mungkin bersaing dengan DHA untuk merebut tempat dalam membran sel saraf, ini mungkin membahayakan otak yang sedang berkembang, dan mungkin menjejaskan perkembangan mata dan sistem saraf. Dalam susu ibu, jumlah DHA adalah empat kali lebih tinggi berbanding jumlah EPA -Alam semulajadi adalah yang terbaik!

Penyulingan molekular

Sesetengah pengilang mengeluarkan minyak ikan melalui proses 'penyulingan molekular' untuk menghapuskan methylmercury dan toksin lain yang wujud dalam ikan. Bagaimanapun, proses ini tidak mungkin dapat menghapuskan 100 peratus methylmercury kerana dengan kaedah yang digunakan sekarang ini, pasti masih lagi meninggalkan sedikit kesan toksin - mungkin pada paras yang tidak boleh dikesan. Ini banyak bergantung kepada kesensitifan dan kecanggihan alat ujian yang digunakan.

DHA daripada sumber tumbuhan (Alga) - Pilihan yang lebih selamat

Suplemen DHA yang diperbuat daripada alga menyediakan pilihan yang lebih selamat untuk ibu mengandung dan menyusu, yang ingin memperolehi manfaat DHA untuk bayi mereka tanpa berasa bimbang tentang toksin methylmercury ataupun kandungan EPA yang tinggi.

Martek Biosciences USA, merupakan satu-satunya syarikat di dunia yang berjaya mengeluarkan DHA daripada jenis alga yang telah dipatenkan dan ditanam secara besaran dalam tangki penapaian yang ditempatkan jauh dari laut dan menggunakan air bertapis - semuanya ini dikawal ketat di bawah syarat perkilangan GMP.

Alga yang ditanam jauh dari laut bermakna alga ini tidak terdedah kepada pencemar dari lautan. DHA daripada sumber alga juga adalah bebas daripada lain-lain asid lemak politaktepu yang berantai panjang seperti EPA, yang wujud secara semula jadi dalam minyak ikan.

Inilah sebabnya mengapa DHA yang dikeluarkan oleh Martek didapati dalam lebih 99 peratus susu formula bayi yang diperkayakan dengan DHA di Amerika Syarikat.

Dosej yang disyorkan

Para pakar dari National Institute of Health dan International Society for the Study of Fatty Acids and Lipids (NIH/ASSFAL) mengesyorkan pengambilan sebanyak 300mg DHA setiap hari bagi ibu mengandung dan menyusu. Terdapat banyak formula susu untuk pra lahir dan bayi yang mengandungi DHA, tetapi parasnya selalunya rendah. Suplemen tambahan masih lagi diperlukan dan disyorkan.

Di samping itu, sesetengah kajian menyarankan paras DHA yang mencukupi dalam diet seorang ibu yang baru melahirkan anak, mungkin memainkan peranan dalam membantu mewujudkan keafiatan dan kesejahteraan emosi ibu tersebut selepas melahirkan anak.

DHA bersalut enteric

Suplemen DHA yang diperbuat daripada kapsul sayuran bersalut enteric melindungi kapsul itu daripada tindakan asid dalam perut, oleh itu memastikan kapsul akan hancur di dalam usus, bukan perut. Penyerapan DHA adalah lebih baik apabila ia diserap dalam usus. Lagipun, tidak akan berlaku rasa pahit-pahit apabila bersendawa. Ini merupakan perkara penting bagi ibu mengandung kerana beliau mungkin berasa terlalu sensitif terhadap bau tertentu.

Membeli suplemen

Untuk memilih suplemen DHA yang bermutu bagi ibu mengandung dan menyusu, pastikan sumbernya adalah daripada sayuran (alga) kerana ia tidak mengandungi sebarang toksin mahupun EPA, yang selalunya dijumpai dalam kebanyakan suplemen yang sumbernya daripada ikan.

Sumber : Utusan 21/02/2010


Butiran selanjutnya ...

Sabtu, Mac 27, 2010

Bercintalah kerana Allah


Assalamualaikum warahmatullah,

Entry ini saya masukkan susulan daripada entry Bergaul baik dengan isteri adalah WAJIB. Jika anda teliti entry sebelum ini, tentu anda perasan, pasangan suami isteri yang disebutkan dalam kes tersebut menghadapi masalah 'communication breakdown'. Semua orang sedia maklum, jika cinta sudah tiada, buat apa tunggu dan menanggung sengsara. Minta suami menceraikan, dia tidak mahu, terpaksalah ke mahkamah menuntut fasakh. Biasalah bila kes naik mahkamah, hal-hal 'dalam kain' juga turut keluar. Inilah akibat cinta yang hilang nikmatnya kerana tidak bersandarkan cinta kepada Allah. Satu lagi kes yang elok dijadikan teladan buat kita semua.

Agama Islam adalah agama percintaan dan kasih sayang. Firman Allah di dalam surah Ar-Rum ayat 21, “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.”

Apabila dua insan bercinta, ada yang sayang menyayang kerana “cinta berahi” yang wujud di antara mereka. Cinta berahi yang sampai ke jinjang pelamin akan terselamat dari gangguan syaitan. Cinta berahi yang tercemar dengan hasutan syaitan akan berakhir dengan keterlanjuran.

Di dalam keadaan lain, ada yang sayang-menyayang kerana Allah. Bercinta sesama makhluk kerana Allah adalah lebih selamat. Ia tidak melukakan hati, tidak meresahkan jiwa, tidak merosakkan akhlak, tidak perlu risau tentang “frust”, tidak perlu melayan perasaan cemburu. Menurut Rasulullah, menyayangi seseorang kerana Allah dapat mendatangkan kemanisan iman. (al-Hadis sahih Bukhari). Namun, tidak ramai yang mengetahui caranya.

Menurut Imam Ghazali di dalam Ihya Ulumuddin, kecintaan seseorang yang hakiki kepada insan lain kerana Allah bukanlah bermaksud mencintai insan itu kerana dzatnya (sifatnya), sebaliknya adalah kerana insan itu dapat mendekatkan diri sendiri dengan akhirat.

Menurut beliau lagi, bahawa seorang lelaki mengahwini seorang wanita soleh supaya terpelihara dari gangguan syaitan, supaya terjaga agamanya, supaya memperolehi anak-anak yang soleh dari wanita itu dan seterusnya anak-anak itu mendoakan untuknya. Lalu apabila lelaki berkenaan mencintai wanita itu kerana semua sebab-sebab di atas, maka dia adalah tergolong sebagai salah seorang pencinta kerana Allah. Perkara ini dinukilankan oleh Al-Ghazali lebih kurang 1000 tahun yang lalu.

Selepas ini, apabila anda mencari cinta, carilah cinta yang wujud kerana Allah. Apabila anda menemui cinta, tanya diri sendiri kenapa anda mencintainya? Apakah kaitan cinta itu dengan akhirat anda?

Komunikasi dan intimasi sangat berkait rapat dengan cinta,sama ada cinta kerana nafsu, mahupun cinta kerana Allah. Sebab inilah, saya jalankan satu survey @ poll, dengan SOALAN :

Dalam perhubungan suami dan isteri, antara komunikasi dan intimasi, yang mana satukah paling diutamakan? Sila pilih jawapan mengikut jantina anda.


A. Anda lelaki - komunikasi diutamakan
B. Anda lelaki - intimasi diutamakan

C. Anda wanita - komunikasi diutamakan

D. Anda wanita - intimasi diutamakan


Saya berharap pengunjung setiap blog dapat meluangkan sedetik masa untuk turut serta dalam poll ini. Insya Allah saya akan usahakan sebuah lagi entry berkaitan 'komunikasi dan intimasi' selepas poll ditutup secara rasmi pada 31/12/2010. Adeehhh... laaamaaaanya... Erk, kalau saya rasa dalam masa 2-3 bulan sudah mendapat maklumbalas poll yang mencukupi, saya akan usahakan entry ini secepat mungkin. Selamat membuat pilihan.

Izinkan saya memetik kata-kata pemangkin minda saya, ust Pahrol Mohd Juoi di Genta-Rasa dalam entry BERHALA BATU VS BERHALA NAFSU :

Bila manusia tidak kenal Allah, manusia tidak akan mencintai-Nya. Bila manusia tidak kenal Allah, manusia tidak akan takut kepada-Nya. Sedangkan cinta dan takut kepada Allah itu sumbu dan mber kebaikan dalam hidup di dunia ini. Tanpa cinta Allah, manusia tidak akan dapat mengasihi sesama manusia. Tanpa takut kepada Allah, manusia tidak akan dapat dikawal kejahatan dan kelicikan tipu dayanya.

Orang yang mencintai Allah akan lunak, mesra dan sayang kepada sesama manusia. Kerana apa? Kerana Allah menyuruhnya berbuat begitu. Iman kepada Allah adalah asas dan teras untuk berkasih-sayang. Justeru, Rasulullah saw mengingatkan, tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri. Iman dan kasih sayang itu bagai irama dan lagu – keduanya tidak dapat dipisahkan. Teguh iman, kukuh persaudaraan.

Tidak ada kebaikan kepada Allah melainkan melalui kebaikan sesama manusia. Memberi salam kepada orang lain mengundang kesejahteraan daripada Allah. Menziarahi saudara kita akan dilimpahi kasih-sayang Allah. Membantu menyelesaikan masalah seseorang, Allah janjikan untuk menyelesaikan masalah kita. Tidak ada dikotomi antara hubungan Allah dengan hubungan sesama manusia. Keduanya saling berkaitan dan berdekatan antara satu sama lain.

Kata-katanya di atas begitu menusuk ke hati saya. Dalam entry beliau BUKAN CINTA BIASA… ini pula :

Kadar perceraian melonjak semakin tinggi. Janji hidup bersama, mati berdua hanya jadi mainan kata sewaktu bercinta. Tetapi sebaik musim bulan madu berlalu, cinta semakin hari semakin terhakis. Dan akhirnya usahkan untuk mati bersama, hidup berdua pun sudah tidak mampu lagi. Suami jemu dengan kerenah isteri. Isteri bosan dengan tingkah laku suami… tak berubah-rubah, macam-macam tu juga. Akhirnya, perceraian pun tidak dapat dielakkan lagi.

Mengapa ini berlaku? Jawabnya, kerana dalam hati suami dan isteri itu tidak ada lagi prinsip “kerana Allah”. Rasa syak wasangka, marah melulu, kecewa, jemu, jeran dan terancam mula bersarang dalam jiwa apabila “bukan kerana Allah” menjadi begitu dominan dalam sanubari suami dan isteri masa kini. Semakin lama berumah tangga semakin ketara segala kelemahan dan kesalahan.

Pada mulanya dicuba-cuba juga bersabar. Ah, demi cinta ku pada nya, begitu pujuk-pujuk hati. Hari demi hari, bulan demi bulan, tahun demi tahun, segala-galanya masih “gitu-gitu” juga. Bila suami sampai di muka pintu (pulang daripada bekerja), muka isteri mencuka, keluhan atau leteran pun bermula, tidak ada lagi salam berkucup tangan, tidak ada lagi wangian dan haruman, tidak ada jawapan salam yang sopan…

Dulu pernah suami menegur bersulam kata dengan kiasan dan perlambangan. Namun isteri buat tidak tahu kerana di hatinya juga ada “dendam”. Ah, kau sahaja yang ingin aku berubah, kau pula bagaimana? Aku jemu melihat kau umpama raja dalam rumah tangga yang menyuruh aku membuat segala-galanya. Sejak bangun tidur aku bagaikan hamba sahaya yang asyik membersihkan, memasak, mengasuh, mengemas dan seribu satu kerja lagi, gerutu hati isteri.

Kau tidak pernah berubah wahai suami. Pakaian bersepah. Tingkah laku mu jauh daripada yang ku kenal dahulu. Pantang ditegur, ego mu meledak. Kau semakin bungkam dan bisu ketika aku ingin meluahkan dan menceritakan segala-galanya. Dan perlukah aku meluahkannya lagi, setelah berkali-kali kau seakan tuli untuk mendengarnya!

Jiwa yang kecil akan membesarkan masalah yang remeh apatah lagi masalah yang memang besar. Bila di hati tidak ada lagi “kerana Allah”, rumah tangga akan semakin goyah. Di dalam hati sudah timbul bibit-bibit ingin berpisah… Berpisah secara rasmi dengan jatuhnya talak bersendikan syarak atau berpisah secara sepi, dengan putusnya ikatan cinta tanpa kemesraan dan keharmonian hati.

Jasad rapat, tetapi hati kian jauh terpisah. Sesetengah pasangan nekad terus mengambil keputusan untuk berpisah. Jika begini apa gunanya ditunggu lagi, kita bercerai! Dan sesetengah pasangan pula tetap di situ mempertahankan cinta yang bagaikan hidup segan mati tak mahu – “better bend than break” (biar sekah asalkan tak patah). Golongan ini sabar mengharungi perkahwinan yang tidak bahagia.

Mereka yang memilih bercerai, inginkan bahagia di tempat, di suasana atau dengan keadaan yang lain (dan mungkin juga dengan orang yang lain?). Tidak ada gunanya mempertahankan perkahwinan yang tidak bahagia… cari sahaja bahagia di tempat yang lain. Mereka yang bertahan pula mungkin merasakan, jika pasangan ku ini pun tidak memberikan aku bahagia, sedangkan aku yang mencari dan dicarinya dulu, mana ada jaminan aku bahagia dengan orang atau di tempat yang lain? Biarlah, aku bertahan sahaja…

Siapa antara kedua golongan ini yang lebih bernasib baik? Yang bercerai untuk mencari bahagia atau yang bersabar dengan perkahwinan yang tidak bahagia? Subhanallah, hasil kajian menunjukkan setelah bertahun-tahun berlalu mereka yang bersabar dengan perkahwinan yang tidak bahagia akhirnya lebih bahagia daripada mereka yang mengambil keputusan untuk bercerai!

Itulah berkat sabar. Kerana kesabaran itu lebih dekat dengan iman. Bukankah kesabaran itu separuh daripada iman. Dan dalam iman itulah tersemat roh kalimah “kerana Allah”. Sesungguhnya, Allah bersama dengan orang yang sabar. Bukankah dalam hidup ini, mereka yang berjaya mengharunginya bukan orang yang bijak, cantik dan ternama… tetapi oleh orang yang sabar.

Justeru, walau seteruk mana kerenah pasangan kita, belajarlah menerima dia seadanya. Bersabarlah dengan sikapnya kerana dia pun hakikatnya sedang belajar bersabar dengan kerenah kita. Jangan marah jika dia tidak berubah mengikut apa yang kita kehendaki kerana kita juga hakikatnya tidak berubah mengikut apa yang kita sendiri kehendaki.

Kita tidaklah setabah Siti Hajar dan pasangan kita pun tidak sebaik Ibrahim… namun setidak-tidaknya kita mengakui dan sentiasa mencuba untuk bersabar dengan peneguhan kata “kerana Allah”. Ingatlah, ragam, karenah dan tabiat pasangan kita bukan semuanya untuk diselesaikan. Seperti juga masalah-masalah hidup yang lain ada yang dapat diselesaikan dan ada yang tidak.

Bagaimana menghadapi masalah yang tidak dapat diselesaikan? Ya, ada masalah yang kita “kena hidup dengannya.” Selama-lamanya. Ia memang tidak dapat dan tidak perlu diselesaikan… Mengapa? Allah takdirkan begitu sebagai saluran kita merintih, merayu dan bergantung kepada-Nya.

Oh, rupa-rupanya Allah pasangkan kita dengan pasangan kita untuk kita saling merintih kepada Allah dalam menghadapi kerenah masing-masing. Allah menguji kita melalui dia, Allah menguji dia melalui kita.

Inilah yang kita belajar daripada cinta dan sabar dalam rumahtangga Nabi Ibrahim dan isterinya Siti Hajar. Sesungguhnya, cinta mereka itu bukan cinta biasa!

Renung-renungkan!




Sumber : Webblog.myjodoh.net dan Genta-Rasa.

Butiran selanjutnya ...

Bergaul baik dengan isteri adalah WAJIB


Assalamualaikum warahmatullah,

Sebelum saya kupas isu bertajuk di atas, izinkan saya memetik al-kisah di bawah.

Suami mahu seks ketika isteri bisul di punggung

KANGAR: “Dia hanya pentingkan kepuasan seks semata-mata. Dia tetap mahu saya layan (nafsu) dia walaupun tahu ketika itu saya sakit sebab naik bisul di punggung,” kata Siti Rosmala Mohamad, 38, isteri kepada bekas Ketua Dewan Ulama Pas Perlis, Abdul Rashid Rahman, 60.

Kenyataan itu dimaklumkan Siti Rosmala, yang juga seorang ustazah di sebuah sekolah menengah di Kodiang, Kedah ketika memberi keterangan sewaktu prosiding tuntutan fasakh di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Kangar, Mohd Zaidi Abdullah, di sini, semalam.

Tuntutan fasakh itu difailkan Siti Rosmala di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, melalui peguamnya, Shazril Khairy Mustafa, pada 15 Februari 2008, manakala Abdul Rashid selaku defendan diwakili peguam, Zulmi Sabri. Siti Rosmala memaklumkan mahkamah bahawa suaminya itu hanya mementingkan kepuasan seks semata-mata, tanpa mengambil kira sama ada dirinya berada dalam keadaan sihat ataupun tidak.

Beliau berkata, pernah suatu ketika dia diminta melayani batin suaminya itu, sedangkan sebelum itu mereka sudah hampir seminggu tidak bercakap kerana bergaduh, apatah lagi sebelum itu dia dimarah dan dipukul suami.

“Malah, suami saya itu juga tergamak meminta saya melayani nafsu seksnya antara tempoh 30 Disember 2007 hingga 4 April 2008 lalu, sedangkan ketika itu kami sudah tidak bertegur kerana ‘perang besar.’ Paling teruk, selepas selesai persetubuhan, suaminya itu terus mengarahkan supaya keluar dari bilik untuk tidur bersama anak,” katanya.

Sementara itu, Siti Rosmala berkata, demi memenuhi nafsu batinnya itu, suaminya tergamak mengheretnya dari ruang tamu ke bilik, walaupun ketika itu mereka tidak lagi bertegur sapa. Paling menyeksakan katanya, suaminya juga mahukan seks sedangkan menyedari ketika itu dia terlalu sakit kerana dinaiki bisul pada punggung.

Hakim kemudian menetapkan 27 Mei nanti untuk sambung bicara.



Demikianlah petikan berita agak memalukan, memang pelik tetapi benar, yang saya C&P dari BHarian 25/03/2010. Membaca berita ini yang disebarkan di egrup RG09 yang saya sertai, macam-macam komen mengenainya yang saya baca dan hampir kebanyakannya mengutuk tindakan ustazah itu menceritakan perihal ‘dalam kain’ yang sepatutnya menjadi rahsia rumahtangga. Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa dalam hal ini, kerana jika kes sudah naik ke mahkamah, memanglah semuanya disoal dan sudah pastilah diceritakan kepada yang Arif, termasuklah kisah ‘dalam kain’. Jadi sebelum naik-turun mahkamah dan mengaibkan pasangan masing-masing, jagalah ikatan perkahwinan agar tetap kukuh sepanjang hayat.

Saya tertarik dengan satu komen yang menangkap mata saya, kiriman Azman Ahmad [kmspenang@gmail.com], katanya “SI SUAMI TAK ADA HIKMAH DAN BENGONG TAHAP KAMBING…” ... Muahahaha… Sungguh, saya tergelak seorang diri… bukan kerana suami dalam kisah itu disamakan dengan haiwan, tetapi saya teringat haiwan kambing ini, memang benar agak ‘bengong’ kerana makan apa saja (termasuk kertas) dan saya pernah jadi penghalau kambing kerana mereka suka sangat ‘mengerjakan’ pokok bunga kertas di halaman rumah mak saya. Saya fikir, pengomen di atas maksudkan ‘ihsan’, bukan ‘hikmah’, sebab perkataan ihsan adalah lebih tepat.

Suami patut ada IHSAN dan EMPATI terhadap isteri, sebab itulah Allah SWT perintah suami agar bergaul dengan isteri dengan cara yang baik, seperti dalam firman Allah SWT di dalam al-Quran, yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mempusakai wanita dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka karena hendak mengambil kembali sebagian dari apa yang telah kamu berikan kepadanya, terkecuali bila mereka melakukan pekerjaan keji yang nyata. Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) karena mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” (Surah an-Nisaa’ ayat 19)

Bergaul baik dengan isteri adalah WAJIB. Ini perintah Allah tau, bukan saya suka-suka mereka-cipta perintah ini. Malangnya, berapa ramai yang ikut perintah Allah yang ini? Akibat mengabaikan perintah Allah yang ini, natijahnya amat teruk sekali. Bila suami tidak ikut perintah Allah dan Rasul-Nya, maka, tidak hairanlah isteri tidak taat kepada suami. Iyalah, jika suami ikut perintah Allah dan Rasul-Nya, secara automatiknya tentu dia juga menjaga hak-hak isterinya. Bila dia menjaga hak-hak isterinya, agak MUSTAHIL isterinya tidak taat kepadanya dan agak MUSTAHIL pula isteri tidak hormat kepada suaminya. Selalunya orang perempuan ini amat tinggi dengan tahap ketaatan dan kesetiaan mereka. Belas ihsan dan empati mereka lebih tinggi (dibanding lelaki), tetapi jika masih ada isteri yang tidak taat walaupun suaminya memenuhi tanggungjawap, adalah silap ‘wayarnya’ di mana-mana. Hik.... hik...

Dalam ayat al-Quran yang dipetik di atas, Ibn Kathir berpendapat bahawa ayat ini, … dan hendaklah kamu bergaul baik dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang baik…” bermaksud : para suami hendaklah memperelokkan bicara mereka bersama isteri, hendaklah memperelokkan tingkah laku kepada mereka serta menjaga penampilan yang baik mengikut kemampuan kamu seperti mana yang kamu harapkan daripada mereka iaitu isteri-isteri kamu, maka hendaklah kamu melakukan yang baik-baik itu terhadap mereka seperti yang kamu mahukan daripada mereka. (Ibn Kathir, jld:1, hlm: 466)

Maka jelas lagi terang bahawa hukum bergaul baik dengan isteri adalah WAJIB. Bagi suami yang gagal menggauli isterinya dengan baik sedangkan dia taat kepada suaminya adalah berdosa. Rasulullah SAW juga menganjurkan agar setiap suami menggauli isteri dengan cara yang baik/maaruf. Ini jelas dapat dilihat dalam hadis baginda yang bermaksud, “Lelaki yang paling sempurna imannya ialah lelaki yang paling sempurna akhlaknya, dan sebaik-baik kamu (baik akhlak) ialah mereka yang baik dengan isteri-isterinya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Dalam hadis yang lain pula disabda baginda yang bermaksud, “Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya, dan aku adalah sebaik-baik lelaki kepada isteriku.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Disebabkan ramai yang menyebut isteri dalam kisah di atas wajib memenuhi tuntutan batin suami, walaupun dia ‘dilanda’ bisul di punggung, elok juga saya komen sedikit tentang ini.

Menyentuh mengenai ketaatan kepada suami, masih ramai yang keliru dan tidak tahu bahawasanya ketaatan isteri ada batasnya. Soalan yang sering diajukan ialah sejauh manakah kita perlu taat kepada kehendak suami di dalam hubungan di tempat tidur? Sebabnya, para suami menggunakan alasan hadis Rasulullah, sekiranya suami meminta maka isteri perlu menunaikan kehendak suami walau berada di atas bonggol unta. [NB : Saya masih belum jumpa hadis yang dimaksudkan, siapa perawinya, siapa yang meriwayatkannya, terus-terang saya masih tidak menjumpainya.]

Hakikatnya, hadis tersebut adalah sebagai menunjukkan betapa beratnya kewajipan isteri di dalam memenuhi kehendak batin suami kerana hanya isteri sebagai jalan melepaskan nafsu lelaki yang satu itu. Tetapi, bukan bererti kewajipan tersebut adalah muktamad, tidak ada campur tolak darab bahagi. Sebenarnya kewajipan suami isteri di dalam rumahtangga termasuklah hubungan suami isteri lebih kepada berbentuk TOLAK ANSUR.

Matlamat perkahwinan adalah untuk kebahagiaan kedua-dua pihak. Sekiranya hanya satu pihak merasa bahagia sedang satu pihak lagi tertekan menderita, tidak ada gunanya perkahwinan yang dianjurkan oleh Islam. Sama juga di dalam hubungan suami isteri. Ianya untuk kepuasan KEDUA-DUA pihak. Sekiranya si isteri melakukan di dalam keadaan TERPAKSA, lantas di mana nikmatnya yang Allah janjikan untuk pasangan suami isteri tersebut? Bila dilakukan dalam keadaan terpaksa, bolehkah hatinya ikhlas melayan suami? Sedangkan semua maklum, setiap amalan adalah sia-sia jika tiada keikhlasan. Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah tidak menerima amal kecuali dilakukan dengan ikhlas dan mengharap ridha-Nya.” (Hadis riwayat Muslim)

Sebab itulah, suami perlu lebih bertolak ansur dan cuba memahami keadaan isteri. Fikirkan, dalam kehidupan seharian, Islam mempertanggungjawabkan segala urusan perbelanjaan rumahtangga kepada suami tetapi ada rukhsahnya, isteri boleh membantu. Samalah juga dengan tanggungjawab isteri, suami perlu bertolak ansur, membantu urusan isteri dan memahami kepenatan isteri. Ramai yang menganggap, seks adalah memenuhi kehendak nafsu suami dan bukan kehendak kedua-dua pihak, suami dan isteri. Isteri pula perlu bijak memberikan keutamaan. Jangan sampai diri tidak mempunyai hak yang dipenuhi oleh suami.

Apa yang saya ingin ulas dalam kes yang sungguh memalukan ini, suami WAJIB perbaiki dahulu perhubungan tegang akibat pergaduhan, bukannya membentak menuntut mengadakan hubungan suami-isteri dengan mengheret isterinya ke tempat tidur dan setelah selesai melepaskan hajatnya, dihalau pula isterinya itu keluar, seolah-olah dia telah selesai melakukannya dengan seorang pelacur saja lagaknya! Agak-agaknya, masalah communication breakdown suami-isteri boleh selesaikah dengan cara ini? Manalah isteri itu tidak marah dan rasa seolah-olah diperlakukan seperti hamba seks suami?

Saya juga ada membaca, suami ini juga memukul isterinya. Perlu kita lihat pada contoh Rasulullah SAW. Kajian riwayat hadis menunjukkan Rasulullah SAW tidak pernah memukul isteri-isterinya malahan ada sebuah hadis baginda yang berbunyi begini, “Aku tidak tahan melihat lelaki yang mudah memukul isterinya.” Tidakkah malu orang yang memukul isterinya seperti memukul budak, dipukul pada siang hari dan digaulinya pada malam hari?

Baginda Rasulullah SAW sangat marah tatkala melihat seorang suami memukul isterinya. Rasulullah menegur,
Mengapa engkau memukul isterimu? Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar, Isteriku sangat keras kepala. Sudah diberi nasihat dia tetap degil, jadi aku pukul dia. Aku tidak bertanya alasanmu, sahut Rasulullah SAW. Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?Saya ulang semula, Rasulullah SAW bersabda, “Yang terbaik di antara kalian adalah yang bersikap paling baik terhadap isterinya.

Ulama Arab Saudi, Sheikh Ibn Uthaymin ada berkata: "Adalah tanggungjawab pada isteri untuk memenuhi kehendak suami jika beliau memanggilnya ke tempat tidur." Bagaimanapun, menurutnya, jika isteri mengalami kesakitan dari sudut psikologi dan tidak boleh memberikan tindak balas secara aktif terhadap panggilan itu atau mengalami kesakitan fizikal, suami tidak dibenarkan memanggilnya. Oleh itu, katanya, suami sepatutnya menahan diri atau melayani pasangan dalam cara yang tidak mencederakannya.

Aduhai suami, akal anugerah Allah SWT itu kamu letakkan di kepala yang lagi satu itu, kah? Memang sesuai sangatlah seperti komen saudara di atas yang mengatakan 'suami bengong tahap kambing' ... isteri tak mahu, dirodok-rodok juga! [NB : Maaf, kasar sikit bunyinya...]. Jika di negara Barat, suami itu boleh dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan merogol pula! Nasib baiklah kamu beragama Islam, yang tiada istilah 'merogol' isteri!

Awas ya, suami begini. Fikir-fikirkanlah alasan yang agak-agak logik yang bakal kamu kemukakan kepada Allah Taala ketika ditanya akan perlakuan kamu di Yaumil Mahsyar nanti!




Capaian entry berkaitan :

  1. Q&A : Wajib bergaul baik dengan isteri
  2. Prinsip keadilan penentu kebahagiaan rumah tangga
  3. Islam garis langkah terbaik selesai konflik perkahwinan
  4. Istilah nusyuz bukan hanya untuk isteri
  5. Q&A : Suami juga boleh nusyuz
  6. Wahai suami, layanilah isterimu dengan baik
  7. Kenapa pukul? Kenapa aniaya?
  8. Kekerasan bunuh hubungan suami isteri
  9. Tanggungjawab suami lindungi isteri, bukan menganiaya
  10. Menjaga Rahsia Rumah Tangga

Butiran selanjutnya ...
Related Posts with Thumbnails