“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Sabtu, Februari 28, 2009

Ibadat solat tetap wajib ke atas pesakit

Oleh: SITI AINIZA KAMSARI

SUSAHLAH! Tidak mengapa di rumah boleh qada! Surau jauh! Tak bawa telekong. Dah lama tidak sembahyang. Tidak tahu caranya dan tidak selesa hendak solat. Semua ini adalah antara alasan yang ditemui menerusi satu kajian yang mendapati hanya 20 peratus daripada pesakit muslim yang berada di wad-wad hospital bersolat.

Kajian oleh Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM) ini mendapati angka itu sebenarnya meningkat berbanding 15 peratus pada tahun lalu.

Fenomena ini tidak menghairankan kerana ada pihak hospital mendakwa Tuhan lebih mengetahui mengenai hamba-Nya yang sedang sakit. Lantas ini dijadikan alasan mereka.

Namun satu perkara yang jelas, kata Presiden PPIM, Profesor Dr. Abdul Latiff Mohamed, semua tanggapan dan alasan itu adalah tidak benar. Katanya, selagi seorang itu beragama Islam, waima dalam keadaan sedar dan waras, maka tuntutan melakukan solat terhadap mereka adalah wajib.

“Malah jika dalam keadaan sakit, bermakna hubungan orang muslim perlu lebih didekatkan dengan Allah melalui solat.

“Jika mereka percaya kuasa penyembuhan juga ada pada Allah, maka wajiblah mereka bersolat dan beribadat terhadap-nya. Walaupun setelah melakukan pelbagai usaha rawatan, kita tetap berserah dan bertawakal kepada Allah.

“Semoga dengan solat dan doa munajat pesakit itu, mereka diizinkan Allah untuk tabah menghadapi sakit dan akan sembuh,” katanya sewaktu ditemui di Pusat Rawatan Islam An Nur, Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini.

Dr. Abdul Latiff berkata, perkataan uzur tidak boleh sewenang-wenangnya dijadikan alasan untuk pesakit tidak melakukan ibadat.

“Bersolat itu adalah satu kaffarah ke atas dosa dan maksiat yang pernah dilakukan selama ini,” katanya.

Rasulullah SAW pernah bersabda: Tidaklah seorang muslim ditimpa atau keletihan atau kerisauan atau kedukacitaan atau permasalahan walaupun berupa duri (yang mengenai) melainkan ini merupakan penebus kepada dosanya. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Mungkin timbul persoalan bagaimana pesakit yang dalam pelbagai keadaan rawatan dapat mengambil wuduk dan melakukan ibadat.

Ini termasuklah kes anggota wuduknya seperti tangan atau kaki dalam keadaan berbalut, luka yang tidak boleh terkena air, pesakit sentiasa dalam keadaan berhadas, pesakit yang dalam keadaan terbaring, sehinggalah kepada ibu yang hampir-hampir hendak bersalin.

Dalam hal ini, kata Dr. Abdul Latiff, pelaksanaan syariat itu terbahagi kepada dua jenis. Pertama, azimah yang merupakan hukum yang menyeluruh untuk semua mukalaf dan untuk semua keadaan tanpa kecuali.

“Hukum yang kedua ialah rukhsah, satu keringanan yang disyariatkan kerana keuzuran melampau termasuk sakit dan sedang menjalani rawatan dan pemulihan,” katanya.

Firman Allah dalam surah Al Haj, ayat 78 bermaksud: Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.

Rukhsah membolehkan pesakit yang anggota wuduknya berbalut atau bertampal plaster, terutama muka, tangan dan kaki, hanya perlu menyapukan air ke atas balutan itu.

*Berwuduk

Cara ini mencontohi kisah yang diriwayatkan daripada Saidina Ali bin Abi Talib: “Salah satu sendiku patah. Aku bertanya Nabi Muhammad mengenai cara berwuduk. Baginda menyuruhku menyapu air ke atas pembalut di bahagian yang patah itu. (Riwayat Ibnu Majah dan Al Dar Qutni)

“Ada juga disebutkan selain menyapu air di bahagian yang berbalut itu, pesakit juga perlu bertayamum,” kata Dr. Abdul Latiff.

Namun ada pendapat lain mendakwa tidak wajib seseorang pesakit itu bertayamum sekiranya dia membasuh anggotanya yang sihat dan menyapu balutan itu dengan air.

Menurut Dr. Abdul Latiff, jika anggota wuduk pesakit luka, mengalami penyakit kulit dan sebagainya yang menyebabkan mereka tidak boleh terkena air, pesakit perlu bertayamum.

Pesakit yang tidak boleh menggunakan mana-mana cara sama ada menyapu air atau bertayamum kerana boleh memudaratkan pesakit (seperti terbakar seluruh badan), mereka hendaklah melakukan solat dalam keadaan tidak bersuci (berhadas).

Bagi pesakit yang sentiasa dalam keadaan berhadas, iaitu memakai colostomy bag (beg menampung najis) atau continous bladder drainage (salur tiub kencing), mereka juga tidak terkecuali daripada mengerjakan ibadat.

“Sebelum berwuduk seperti biasa, mereka perlu terlebih dahulu menanggal atau membuka salur atau beg plastik yang berisi najis itu dan digantikan dengan yang baru atau dibersihkan beg tersebut. Kemudian dibersihkan juga bahagian tempat keluar najis itu,” katanya.

Jelas beliau, jika najis keluar semasa pesakit melakukan solat, pesakit boleh meneruskan solat tersebut.

“Najis yang keluar itu dimaafkan kerana kesukaran dan darurat,” katanya.

Selain soal wuduk, beberapa perkara lain juga perlu disesuaikan sebelum pesakit dapat mengerjakan solat mereka. Ini termasuklah soal aurat yang perlu dijaga selagi terdaya.

“Pakailah pakaian yang memadai asalkan ia boleh menutup aurat. Jika tidak mampu mintalah pertolongan orang lain untuk menutupnya,” katanya. Begitu juga mengenai arah kiblat, pesakit perlu berusaha untuk mencari arah itu.

“Tetapi jika tidak boleh mengubah kedudukan seperti solat atas katil wad, terpaksa berbaring dan sebagainya maka menghadaplah ke arah mana yang termampu,” katanya.

Yang pasti, walaupun terpaksa menanggung kesakitan atau menjalani rawatan intensif, selagi pesakit dalam keadaan waras dan sedar mereka masih wajib mengerjakan ibadat solat.

“Namun dalam beberapa aspek diringankan perkara seperti menyapu air, bertayamum dan seterusnya pesakit boleh melakukan solat mengikut keadaan yang terdaya.

“Ini termasuklah sama ada secara duduk, baring, mengiring dan melalui kerdipan mata,” kata Dr. Abdul Latiff.

Beliau tidak menafikan bagi menjayakan ibadat, seseorang pesakit itu perlu dibantu.

“Kita tidak bermaksud untuk menambah tugas jururawat tetapi jika pesakit perlukan bantuan wajiblah mana-mana pihak membantu mereka termasuk mengingatkan waktu solat.

“Bagi jururawat wanita, mereka boleh memakai sarung tangan bagi mengelakkan batal air sembahyang semasa mengendalikan pesakit lelaki,” katanya.

Dr. Abdul Latiff berharap lebih banyak hospital dapat menyediakan pegawai-pegawai agama dan buku-buku panduan mengerjakan solat bagi membolehkan pesakit muslim melaksanakan ibadat itu.

Sumber : Utusan 28/08/2006

Butiran selanjutnya ...

Jumaat, Februari 20, 2009

Ikhlaskah kita?

Oleh Imam Khalid di Soleh.Net

Ikhlas adalah paling tinggi selepas iman. Ia adalah rahsia Tuhan hinggakan para malaikat pun tidak tahu dan yang empunya diri pun tidak dapat mengesannya. Ia adalah penentu samada amalan diterima atau ditolak.

Ada para sahabat apabila mendengar tentang ikhlas menangis mereka. Mereka merasa tidak selamat, rasanya tidak mungkin dapat perolehinya yang begitu tinggi nilainya kerana susahnya mendapat sifat ikhlas.

Islam tidak membenarkan seseorang mengaku ikhlas.

Siapa yang mengaku ikhlas walaudpun sebelum ini ikhlas, automatik, ikhlasnya terbatal.

Contoh-contoh bagaimana yang dikatakan mengaku ikhlas: Membantu seseorang sambil berkata,

“Ambillah, saya ikhlas…”

Menolong seseorang tapi pertolongannya ditolak.

“Saya tolong awak ini ikhlas, tapi sedih, awak menolak..”

Dalam menulis surat kita selalu mengakhiri dengan tandatangan,

“Yang ikhlas.”

“Yang Benar.”

Dalam Islam, mengaku baik adalah salah. Siapa yang mengaku ikhlas, siang-siang lagi terbatal. Tiada siapa yang mengetahui siapa yang ikhlas sekalipun yang empunya diri. Tiada siapa yang berhak mengaku ikhlas, Cuma berusaha moga-moga jadi ikhlas dan moga-moga diterima Allah.

Erti Ikhlas
Murni, bersih, jenis dia sahaja, tidak bercampur jenis-jenis yang lain. Tidak dinodai seperti air yang tidak bercampur dengan sabun, tepung, sebab apabila sudah bercampur dengan benda lain, sudah tidak khalis lagi (tidak pure).

Begitulah dalam beramal, solat, zakat, baca Quran,mengajar, berdakwah, menolong, motivasi, forum, ceramah, belajar, semata-mata kerana Allah:

  1. kerana suruhan-Nya
  2. kerana keredhaan-Nya
  3. kerana arahan-Nya
  4. kerana mentaati-Nya
  5. kerana patuh pada-Nya

Jadi perkara di atas adalah dari sebab atau kerana-Nya yang satu, tujuan satu, dan didorong oleh yang satu iaitu Allah. Abdikan diri kerana Allah, tidak dicampur atau bercampur selain Allah - itulah ikhlas - dorongannya satu. Apa yang nak berlaku atau nak jadi atau tidak jadi, tidak timbul sama sekali sebab niat semata-mata kerana Allah.

Sekiranya niat, dorongannya telah tercampur atau terselit niat-niat yang lain dari Allah seperti kerana riak, megah, glamor, pangkat, orang minta, takut orang tidak suka, mental exercise, boring tinggal di rumah, undi, uji kemampuan, hendak berlawan, hendakkan piala, hadiah, kerana kawan - maka ia tidak khalis atau ikhlas telah ternoda. Dengan itu boleh jatuh syirik khafi.

Di akhirat nanti Allah menyuruh dia meminta pada orang yang dia niat kerananya. Allah tidak balas kebaikan itu kerana ia mempunyai “kerana-kerana” yang selain dari “kerana Allah”.

Untuk ikhlas, sebenarnya amat susah sekali terutama yang ada kaitan kepentingan umum atau orang ramai yakni yang terdedah kepada pandangan umum seperti berdakwah, mengajar, gotong-royong, baca Al-Quran di depan orang, forum, upacara memberi hadiah - lebih-lebih lagi orang yang tidak memikirkan hati lalu hati dibiar dan terbiar. Jarang diambil kira, selalunya ramai yang terjebak.

Khususul Nafs - kepentingan diri seperti ingin popular, disedari atau tidak kerana kurang menyuluh hati. Awal-awal lagi nawaitu (niat) telah rosak seperti membuat rumah di atas lumpur.

Ada tiga jenis kerosakan yang berlaku pada 3 jenis kedudukan:

  1. awal
  2. pertengahan
  3. akhir

Kerosakan awal contohnya seperti berdakwah. Sebelum memberi ceramah, hati kecilnya berkata:

“Inilah masanya nak jadi popular”

“Aku akan jadi terkenal…”

“Dengan ceramah ini dapatlah duit poket.”

Ada juga yang berniat untuk menghentam seseorang atau golongan tertentu sebelum berceramah, akibatnya rosaklah ikhlasnya ibarat orang yang melukis di atas air.

Kerosakan pertengahan pula contohnya niat untuk berceramah sudah baik tetapi sewaktu berceramah, ada pendengar yang angguk-angguk atau ada yang menangis kerana mendengar ceramah yang memberi kesan itu hingga hati kecil kita berkata:

“Hebat juga aku hingga ada orang boleh terima ceramah ini dan ada pula yang menangis.”

Kerosakan akhir pula contohnya niat dan sewaktu berceramah tidak ada apa-apa yang rosak, berjalan dengan baik tetapi sewaktu balik dari berceramah ada kawan yang datang bersama di dalam kereta berkata:

“Hebat betul ceramah ustaz tadi hingga ada yang menangis.”

Waktu itu maka datanglah rasa ujub hingga lupa ia semua itu datang dari Allah jua. Sepatutnya ia merasa malu kerana ini semua bukan dari dirinya tetapi hakikatnya dari Allah. Orang begitu ibarat membangunkan rumah tiba-tiba siap sahaja rumah itu terus runtuh.

Orang ramai yang mendengar ceramah tersebut juga tidak berubah sebab hati sudah cacat. Mereka memuji kita, tetapi tetap tidak berubah sebab dari rasa riak. Sifat taqwa sudah ternafi. Oleh itu buatlah kerja-kerja dengan penuh tawadhuk, takut dan cemas samada diterima amalan kita atau ditolak.

Ingatlah:

“Sesungguhnya Allah tidak melihat amalan lahir kamu, tapi amalan hati kamu.”

Apabila kita melakukan sesuatu niat kerana Allah semata-mata, tetapi ada orang mengkritik kita, kita melenting, hati tidak senang dengan orang itu, bermakna kita masih mempunyai niat lain selain dari Allah.

Dalam menghadapi keadaan dimana susahnya untuk mendapat ikhlas ini, kita berdoalah pada Allah dengan doa yang berikut:

Wahai Tuhan, rasanya kami belum berbuat apa-apa sebelum ini. Kalaupun ada berbuat sudah tentu ada kepentingan diri. Kalaulah bukan pimpinan dan bantuan-Mu Tuhan, rasanya sebarang amalan kami mungkin tertolak semuanya. Berilah selalu hidayah dan taufiq-Mu, ya Allah agar segala lahir dan batin menuju keredhaan-Mu, ya Allah.

Ikhlas umpama semut hitam berada di atas batu hitam di malam yang gelap. tiada siapa pun yang tahu tentang ikhlas kecuali Allah. Ikhlas adalah rahsia di dalam rahsia Allah.

Wallahu a’lam.

Butiran selanjutnya ...

Khamis, Februari 19, 2009

PERAK THE MOViE

Salam,

Berikut diturunkan fakta-fakta menarik tentang negeri PERAK DarulRidzuan yang saya terima dari grup email. NEGERI PERAK SEMEMANGNYA BEST SEJAK DARI DULU LAGI. Semuanya yang berkait-mengait di Perak.

1. JWW Birch mati di Perak (pasal kurang ajar dengan Melayu dan Sultan)

2. Lombong bijih timah bermula di Perak, Long Jaafar Melayu pertama sebagai pelombong.

3. Raya Aidil Fitri awal satu hari pun di Perak 1982.

4. Pak Man Telo pun bermula di Perak ..Pakar Kewangan Automatik..

5. Kereta Api pun bermula di Perak (Port Weld)

6. Orang Pra Sejarah pun jumpa di Perak (USM research team)

7. MCKK pun bermula di Perak

8. Sekolah asrama paling banyak pun kat Perak as 1987 (Bro RAR's statistik)

9. Orang awam curi senjata askar 2000 kat Bukit Sauk pun di Perak

10. Komunis bermula atau paling ramai pun di Grik Perak.

11. Apa-apa sambutan pun Jublee Perak.

12. Bertanding sukan pun pakai emas, PERAK, gangsa atau kalah teruk

13. Yang halau Pengarah Ketua Agama (2008) pun di Perak (Nizar "halau")

14. Sekarang ni dua exco legal dan tak legal pun di Perak

15. Drama RTM paling popular pun Tok Perak 1980-an dulu

16. Zaman JWW Birch Melayu Perak lah yang pertama kena buang negeri..

17. James Bond girl Malaysia pun from Ipoh Perak (Dato Michelle Yeoh)

18. Sultan Azlan Shah adalah sultan yang terhebat dalam perundangan Perak jugek..

19. Kartunis Melayu hebat ke seluruh dunia with Kampung Boy, LAT from Perak..

20. Filem "Ana and The King" pun buat di Perak..

21. Maktab Perguruan Sultan Idris pertama pun di Perak

22. Asrama ISA pun di Perak (Kamunting)

23. Kacang tanah mengelembu pun dari Perak

24. Penduduk paling ramai kat Malaysia pun kat Perak, sebab terpaksa tinggal di Lumut, Dinding & Parit.

25. Elizabeth Wong pun from Ipoh, Perak!

26. Jins berasal dari Perak - Dato Jins Samsudin.

27. Menara condong pun di Perak - Teluk Anson.

28. Kellie Castle pun di Perak.

29. Di USA ada Roger Rabbit - di Perak ada Batak Rabbit.

30. Seluruh Malaysia guna Kilogram ...tapi di Perak masih guna Kati (Kuala Kangsar)

31. Paling banyak kaki pukul di Perak (Kampong Balun Slim River)

32. Bukan sahaja orang ada kampong - Gajah pun ada kampong di Perak (Kampong Gajah)

33. Hospital paling bahagia pun di Perak (Tg Rambutan)

34. Pengkalan TUDM yang terbesar di Perak

35. Ibu negeri (Malaysia) yang pertama adalah di Perak (Taiping)

Siapa-siapa nak sambung, sila-silakan... :)

Butiran selanjutnya ...

Hak Muslim: Boleh tuntut separuh mahar jika bercerai sebelum bercampur

Soalan :

SAYA bercerai dengan isteri bulan lalu selepas dia memohon perceraian. Ketika berkahwin, saya mengeluarkan perbelanjaan RM20,000 untuk mas kahwin dan hantaran, malangnya rumah tangga kami hanya bertahan enam bulan. Saya amat terkilan dan kecewa dengan apa yang berlaku. Persoalannya, bolehkah mas kahwin dan hantaran saya itu dituntut semula?

Ahmad Adham, Padang Lalang


JAWAPAN :

MAHAR ialah mas kahwin wajib diberi oleh suami kepada isterinya dengan sebab terjalinnya akad nikah yang sah. Mahar ini disebut sebagai mahar musamma iaitu mahar yang disebut jumlahnya dalam akad nikah atau yang tidak disebut ketika akad tetapi ditentukan jumlahnya selepas akad nikah.

Mahar yang tidak disebutkan dalam akad nikah maka suami perlu membayar mahar mithil dengan melihat kepada jumlah mahar yang biasa dibayar kepada kaum kerabat sebelah pihak isteri.

Mahar ini wajib dibayar oleh suami kepada isterinya sama ada secara tunai atau hutang. Bagaimanapun, ia sebenarnya belum menjadi hak milik isteri secara mutlak, walaupun ia dibayar suami kerana ia tertakluk sama ada isteri disetubuhi atau belum.

Jika sudah disetubuhi, barulah ia menjadi milik mutlak isteri. Tetapi jika isteri diceraikan sebelum disetubuhi, maka gugur hak isteri terhadap mahar itu, sama ada gugur separuh mahar atau keseluruhan mahar.

Separuh Mahar: Hak isteri terhadap mahar akan gugur separuh jika mahar itu mahar musamma. Firman Allah bermaksud: "Jika kamu menceraikan isterimu sebelum kamu bercampur (bersetubuh) dengan mereka, padahal sesungguhnya kamu telah menentukan maharnya, maka bayarlah seperdua daripada mahar yang telah kamu tentukan itu, kecuali jika isteri-isterimu itu memaafkan (menghalalkan) atau dimaafkan (dihalalkan) oleh orang yang memegang ikatan nikah (sama ada wali isteri yang belum baligh atau suami sendiri), dan pemaafan kamu itu lebih dekat kepada takwa.

Dan janganlah kamu melupakan keutamaan di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Melihat segala apa yang kamu lakukan."- Surah al-Baqarah ayat 237

Dalam ayat ini dapat difahamkan jika suami belum membayar mahar kepada isterinya yang diceraikan sebelum disetubuhi, maka ia wajib membayar separuh saja mahar kepada isterinya. Jika isteri menghalalkannya, maka suami tidak perlu membayar suatu mahar.

Maka jika semua mahar sudah dijelaskan suami, maka isteri perlu memulangkan semula separuh mahar kepada suaminya, melainkan jika suami menghalalkannya.

Sesetengah mahar patut dipulangkan jika perceraian berlaku sebelum persetubuhan dan berpunca daripada pihak suami seperti suami sukarela menceraikan isterinya; suami murtad; suami melakukan li'an terhadap isterinya; suami melakukan ila' terhadap isterinya ; atau ibu suami menyusukan isteri suami yang masih bayi, maka isteri itu bertukar menjadi mahram suami (saudara susuan).

Dalam keadaan itu, sekiranya mahar sudah dibayar semuanya kepada isteri, maka suami berhak mendapatkan semula separuh mahar daripada isterinya.

Keseluruhan mahar: Kewajipan suami membayar mahar mithil boleh gugur jika berlaku perceraian sebelum isteri disetubuhi. Sekiranya jumlah mahar tidak ditentukan dan belum dibayar, maka suami tidak perlu membayar mahar kepada isterinya jika perceraian berlaku sebelum isteri disetubuhi, sama ada perceraian atas kehendak suami, kehendak isteri atau atas perintah mahkamah.

Suami hanya wajib membayar mut'ah kepada isteri yang diceraikan itu sebagai ganti mahar. Tetapi jika mahar mithil dibayar kepada isteri, maka suami hanya berhak mendapat setengah saja kadarnya, kerana ia termasuk dalam kategori mahar musamma.

Suami juga tidak perlu membayar mahar musamma kepada isteri serta berhak mendapatkan semula keseluruhan mahar yang dibayar jika perceraian berlaku sebelum persetubuhan itu berpunca daripada pihak isteri seperti cerai fasakh kerana aib isteri atau isteri murtad.

Firman Allah bermaksud: "Tidak ada kewajipan membayar (mahar) atas kamu, jika kamu menceraikan isterimu sebelum kamu bercampur dengan mereka dan sebelum kamu menentukan maharnya. Dan hendaklah kamu berikan suatu mut'ah (pemberian sagu hati) kepada mereka." � (Surah al-Baqarah ayat 236).

Dalam Seksyen 59 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 memperuntukkan: � "Tiada apa-apa juga yang terkandung dalam Enakmen ini boleh menyentuh apa-apa hak yang mungkin ada pada seseorang isteri di bawah hukum syarak terhadap mas kahwinnya dan pemberian kepadanya atau apa-apa bahagian daripadanya apabila perkahwinannya dibubarkan.

Jawapan disediakan oleh Tuan Musa Awang, Setiausaha Agung PGSM. Sila layari http://www.peguamsyarie.org.

Sumber : BHarian 2009/02/19

Butiran selanjutnya ...

Puting kosong punca gigi jongang

MEMBERI puting kosong merupakan jalan mudah yang diambil oleh kebanyakan ibu bapa atau penjaga untuk mendiamkan bayi yang menangis.


MASYA, lima tahun, telah bersekolah tadika. Balik sahaja dari tadika tanpa membuka baju, terus menghisap puting kosong. Bukan setakat itu, setiap kali untuk ke mana-mana kecuali sekolah, tergantung puting itu di dadanya. Takut hilang, nanti tercari-cari.

Pengalaman ini turut berlaku kepada anak penulis. Putingnya cukup unik. Bukan semua kedai ada menjualnya. Warnanya jernih, apabila hilang, jenuh mencari.

Untuk menyenangkan, digantung dengan tali khas yang berwarna terang. Tetapi yang menyusahkan apabila puting itu berlubang, hampir semua kedai dicari. Kini, penulis telah boleh menarik nafas lega, apabila akhirnya pengalaman mencari-cari puting yang hilang, meredakan kegelisahan dan tangisan anak ketika ketiadaan objek itu telah berakhir.

Bahkan, rata-rata ibu bapa agak risau bilakah anaknya yang telah berusia empat tahun ke atas untuk berhenti daripada menghisap puting kosong, pacifier atau soother. Kelihatan tidak manis apabila anak yang telah besar masih menghisap puting ke mana-mana mereka pergi dan ia pula 'terhias cantik' di leher. Lebih buruk lagi susunan gusi atas akan lari dan menyebabkan pertumbuhan gigi menjadi tidak sekata. Pertumbuhan gigi ini ada yang terlalu ke depan sehingga menjadi jongang.

Pensyarah dan Pakar Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja, Fakulti Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Wan Salwina Wan Ismail berkata, puting kosong merupakan transitional object yang boleh menenangkan anak yang sedang menangis. Ia ibarat 'pengganti' ibu yang sentiasa memberi perlindungan kepadanya apabila dia memerlukan sesuatu. Dengan adanya puting kosong ini, anak akan berhenti menangis dengan segera kerana ia adalah reaksi semula jadi ketika diberi susu botol. Dengan menghisapnya, bayi akan merasa lebih selamat dan terlindung serta lebih selesa walaupun ketika berjauhan dengan ibu atau penjaganya. Bagaimanapun, adalah dinasihatkan tidak menjadikanya satu kebiasaan apabila bayi sudah semakin besar. Jangka masa tidak boleh ditentukan, seboleh-bolehnya harus diberhentikan secepat mungkin.

Menurut Dr. Wan Salwina, tidak dinafikan apabila sudah dimulakan dengan menggunakan puting kosong, kebiasaan itu agak sukar untuk ditinggalkan. Pasti anak akan menangis malah tidak boleh tidur atau tercari-cari puting kosong sehingga ibu tidak sampai hati, lalu memberinya kembali. Walaupun agak memedihkan, ibu harus cuba menghentikannya secara beransur-ansur dan membantu anak melupakan puting kosong.

Terdapat beberapa pendapat, tabiat menghisap puting kosong yang terlalu lama berkemungkinan mengganggu pertumbuhan gigi dan memberikan penampilan yang kurang menarik. Gusi atas akan lari dan pertumbuhan gigi menjadi tidak sekata sehingga menjadi jongang. Ia akan berkekalan sehingga dewasa dan boleh menyebabkan rasa rendah diri dan lebih teruk akan menyusahkan untuk mengunyah makanan. Bahkan, apabila mereka dewasa, terpaksa pula berjumpa dengan pakar gigi untuk membetulkan susunan gigi menggunakan alat braces atau yang terlalu teruk terpaksa menjalani pembedahan rahang.

Sekiranya anak mempunyai masalah lelangit terbelah, dengan menggunakan puting kosong ini akan menyebabkan jurang antara lelangit yang terbelah menjadi lebih luas dan menyukarkan proses pembedahan. Oleh itu adalah dinasihatkan, kepada anak yang mempunyai masalah ini mesti menghindari penggunaan puting kosong.

Begitupun, ada juga kajian menunjukkan bahawa Sindrom Kematian Bayi Mengejut (SIDS) dapat dielak apabila bayi diberi puting kosong. Ini kerana bayi yang tidur dengan puting kosong tidak dapat tidur terlalu lena kerana dihalang oleh refleks menghisap susu itu tadi. Ini menghalang daripada bayi berhenti bernafas seperti yang berlaku pada penghidap SIDS.

Ada juga pakar berpendapat, adalah lebih baik apabila bayi menghisap puting kosong daripada ibu jari mereka sendiri kerana perlakuan menghisap ibu jari lebih susah dihentikan daripada puting kosong.

Sumber : Utusan

Butiran selanjutnya ...

Rabu, Februari 18, 2009

Hikmah memberi hadiah

Salam,

Entry yang ini saya nukilkan kerana ada sesetengahnya di antara kita (especially orang lelaki la...) berkira sangat nak beri hadiah kepada isteri (tapi tak pula berkira kalau beri hadiah kepada kekasih, eh? Iya ke?)

Jangan salah faham, saya mengulas secara 'general', sebab agak kerap saya dengar atau baca di sana-sini, komen tentang suami yang bukan saja tidak ambil pusing malah meremeh-temehkan soal pemberian hadiah kepada isteri. Bagi saya senang aje, ada duit sendiri, belilah hadiah untuk diri sendiri, lagi puas hati sebab titik peluh sendiri.... Sebelum entri ini, saya fikir menerima hadiah tidaklah sepenting mana, “Alaaa... orang perempuan emo lebih, tak dapat hadiah dari suami, muncung boleh panjang sedepa!” Rupa-rupanya tanggapan saya salah sama sekali.

Hadiah diambil dari kata bahasa Arab, dan definisinya, pemberian seseorang yang sah memberi pada masa hidupnya, secara kontan tanpa ada syarat dan balasan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, Berhadiah-hadiahlah antara kamu kerana dengan itu dapat menambahkan kasih sayang antara kamu. (Riwayat Tabrani)

Amalan memberi hadiah menjadi sunnah hidup dan terjadi di mana-mana sejak zaman dahulu hingga sekarang. Kita maksudkan hadiah di sini termasuklah sedekah, pemberian ‘athiyyah dan seumpamanya. Tapi suami zaman sekarang tak macam Nabi. Ada yang kedekut pulus, tak pandai nak ambil hati isteri tapi mengharapkan servis dari isteri nak yang top-ngetop meletop. Kalau tidak diminta hantaran masa kahwin dulu, agaknya tak merasalah si isteri mendapat hadiah... Sedih betul...

Sebenarnya, amalan memberi hadiah memberi sumbangan yang positif dalam hubungan di antara individu dan individu seterusnya antara masyarakat di mana ia merupakan salah satu cara untuk mengeratkan silaturahim, bahkan ianya dapat meringankan beban mana-mana individu dan anggota masyarakat yang berhajat dan memerlukan bantuan. Dengan demikian hubungan dan jurang di antara orang yang berada dan orang yang tidak berada dapat dirapatkan. Banyak lagi kelebihan-kelebihan dan fadilat yang tersirat daripada tujuan pemberian itu.


Mungkin ada yang perasan, saya letakkan satu hadis yang cukup sinonim dengan 'amalan memberi hadiah' di bawah 'signatory' akaun gmail saya. Hadisnya berbunyi, daripada Salman bin 'Amir r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sedekah kepada golongan miskin, ganjarannya hanyalah sekadar pahala sedekah; sedangkan sedekah kepada mereka yang mempunyai hubungan silaturrahim terdapat dua ganjaran, iaitu pahala sedekah dan pahala menjalin hubungan silaturrahim.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Rasulullah SAW sangat menggalakkan sikap suka memberi, samada atas nama sedekah, hadiah, hibah atau sebarang bantuan dan pertolongan. Hal ini disebutkan dalam sabda baginda yang bermaksud, “Nabi SAW suatu hari keluar untuk mengerjakan sembahyang hari raya, lalu baginda bersembahyang dua rakaat. Dan baginda tidak pernah melakukan sembahyang (hari raya) sebelum ia diperintahkan dan sekalipun selepasnya. Kemudian baginda dan bersamanya Bilal pergi ke tempat sekumpulan perempuan dan menyuruh mereka agar bersedekah, maka (atas perintah itu) seorang perempuan menanggalkan gelang dan kalungnya untuk disedekahkan.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Sabda baginda lagi ketika di atas mimbar yang bermaksudnya: “Dan baginda menyebutkan tentang sedekah, menjaga kehormatan diri, dan tentang meminta-minta. Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. Maka tangan di atas itu adalah yang memberikan nafkah sedang tangan yang di bawah adalah yang meminta.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Perbezaan Di antara Sedekah, Hadiah Pemberian dan ‘Athiyyah

Pemberian itu merangkumi sedekah, hadiah dan ‘athiyyah yang mempunyai definisi atau maksud yang hampir sama, cuma yang membezakannya ialah tujuan si pemberi ketika menyampaikan pemberiannya itu. Jika pemberian itu dimaksudkan sebagai satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, maka ia adalah sedekah, jika ia dimaksudkan sebagai satu penghargaan, tanda kasih sayang atau pujian, maka ia disebut sebagai hadiah dan jika sebaliknya maka ia hanyalah satu pemberian biasa. (Al-Mausu‘ah Al-Fiqhiyah: 26/324)

Sementara yang dikatakan sebagai ‘athiyyah itu ada dua macam iaitu pemberian seseorang yang dalam keadaan maradh al-maut atau sakit yang membawa kematian disebut sebagai wasiat, dan ‘athiyyah ketika masih hidup sama ada bentuk wakaf, hibah atau hadiah. (Al-Tahzib: 4/509)

Di dalam istilah syara’ pula, pemberian itu bolehlah diertikan sebagai suatu perjanjian (aqad) yang memberikan kuasa pemilikan kepada seorang lain tanpa mengharapkan sebarang gantian atau pertukaran (‘iwadh), pada ketika orang yang memberi itu masih hidup.

Hukum Memberi Hadiah

Menurut Ijmak ulama hukum segala jenis pemberian itu adalah sunat kerana pemberian itu suatu kebajikan, ketaatan, belas kasihan dan ia memberikan pengaruh yang positif di masyarakat; baik bagi yang memberi mahupun yang menerima. Di samping itu ia juga dapat menzahirkan sikap kasih sayang, mengeratkan hubungan persahabatan dan mengukuhkan tali persaudaraan sesama manusia. Hal ini ada dijelaskan dalam Al-Qur‘an, (Mughni Al-Muhtaj: 2/537) sebagaimana firman Allah yang bermaksud, “Hendaklah kamu bertolong-tolong untuk membuat kebajikan dan bertaqwa.” (Surah Al-Maidah, ayat 2)

Bagi yang memberi, itu sebagai cara melepaskan diri dari sifat bakhil, saranan untuk saling menghormati dan sebagainya. Sedangkan kepada yang diberi, sebagai salah satu bentuk memberi kelapangan terhadapnya, hilangnya kecemburuan dan kecurigaan, bahkan mendatangkan rasa cinta dan persatuan dengan sesama... TAPI hati-hati, hadiah tak boleh disamakan dengan suapan (rasuah)!

Galakkan Sikap Suka Memberi

Galakkan suka memberi itu juga ada disebutkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis-hadis baginda supaya umatnya sentiasa berkasih sayang sesama mereka. Hal ini digambarkan oleh gaginda dalam sabdanya yang bermaksud, “Bersalam-salamlah kamu nescaya ia akan menghilangkan perasaan dengki (iri hati), dan beri-memberilah antara kamu, nescaya kamu akan saling cinta mencintai antara sesama kamu dan ia akan menghilangkan permusuhan.” (Hadis riwayat Malik)

Sikap saling memberi juga melahirkan kasih sayang sekalipun pemberian itu kecil, kerana pemberian yang kecil atau sedikit bukanlah suatu kehinaan di sisi Allah, bahkan ia akan tetap mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda daripada-Nya. Perkara yang penting bahawa pemberian itu hendaklah dilakukan dengan ikhlas kerana ikhlas itu roh pemberian. Pemberian yang tidak ikhlas dalam makna berpura-pura atau riya’ adalah tidak berguna. Perkara pemberian walau kecil itu disebut melalui sabda baginda yang bermaksudnya: “Janganlah engkau menghina seorang jiran yang menghadiahkan kepada jirannya walaupun hanya dengan kuku kambing.” (Hadis riwayat Muslim)

Kalau dianjurkan untuk dijadikan amalan masyarakat, kenapa tidak dimulakan dalam masyarakat yang lebih kecil, contohnya, mulakan di kalangan keluarga sendiri. Rasulullah SAW amat menggalakkan amalan memberi hadiah dalam rumahtangga kerana dengan cara ini, kasih akan bertambah kerana hadiah merupakan tanda kasih atau simbol kepada kasih sayang suami terhadap isteri. Seorang suami tidak perlu menunggu isterinya memberi hadiah, sebaliknya suami hendaklah melakukan amalan ini terlebih dahulu. Ini sesuai dengan jiwa wanita yang sukakan sesuatu yang halus dan menggembirakan emosinya.

Sketsa Rumahtangga Rasulullah

Daripada Ummu Kaltsum binti Abu Salamah, beliau berkata: “Ketika Nabi bernikah dengan Ummu Salamah, baginda bersabda kepadanya, 'Sesungguhnya aku pernah hendak memberi hadiah kepada Raja Najasyi sebuah pakaian berenda dan beberapa botol minyak kasturi, namun aku mengetahui ternyata Raja Najasyi meninggal dunia dan aku mengira hadiah itu akan dikembalikan. Jika hadiah itu memang dikembalikan kepadaku, aku akan memberikannya kepadamu. Beliau (Ummu Kultsum) berkata: Ternyata keadaan Raja Najasyi seperti yang disabdakan Rasulullah dan hadiah itu dikembalikan kepada baginda, lalu baginda memberikan kepada masing-masing isterinya satu botol minyak kasturi, sedang sisa minyak kasturi dan pakaian itu beliau berikan kepada Ummu Salamah. (Hadis riwayat Ahmad)

Rasulullah juga suka memberi hadiah kepada isteri-isteri baginda. Apabila pulang dari mana-mana perjalanan, baginda sering membawa pulang hadiah untuk isteri-isteri baginda. Pernah suatu ketika, baginda terlupa membawa pulang hadiah, baginda berpatah semula ke pekan lalu membelikan ahdiah untuk isteri baginda.

Diriwayatkan oleh Aisyah r.a., “Pada suatu ketika Rasulullah menghadiahkan aku sebuah gelang yang amat cantik buatannya. Kemudiah aku bertanya kepada baginda, “Ya Rasulullah, siapakah di antara kami (isteri) yang paling kamu sayang?” Jawab Rasulullah, “Siapa yang ada gelang di lengannya.” Keesokkan harinya aku dapati kesemua isteri baginda memiliki gelang yang sama.”

Kepentingan memberi hadiah

  1. Simbol kasih suami terhadap isteri
  2. Menggembirakan hati isteri
  3. Mencetuskan rasa hormat dan taat dalam hati isteri terhadap suami
  4. Mewariskan rasa cinta dan menghilangkan kekotoran hati. Sabda Nabi, "Hendaklah kalian saling memberi hadiah kerana hadiah itu dapat menwariskan rasa cinta dan membersihkan berbagai kekotoran hati/jiwa."
  5. Mendatangkan rasa saling cinta-mencintai, menyatukan hati dan memunculkan kasih sayang.

Imam Tabrani meriwayatkan daripada Aisyah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Biasakanlah kamu saling memberi hadiah, nescaya kamu akan saling mencintai.” Juga diriwayatkan oleh Bukhari dalam Adabul Mufrad, no. 594. Ibnu Hajar berkata, “Sanadnya shahih.”

Melakukan kebaikan kepada isteri adalah sebahagian tanda Muslim sejati. Suami baik sedar bahawa dirinya menanggung amanah besar dalam soal menjaga kepentingan isteri.

Sabda Rasulullah saw bermaksud: “Orang yang baik di antara kamu ialah orang paling berlaku baik terhadap isterinya dan akulah orang paling baik terhadap isteri daripada kamu.” (Hadis Riwayat at-Tarmizi).

Hadis lain Riwayat at-Tarmizi bermaksud: “Mukmin yang paling sempurna imannya ialah mukmin yang paling baik akhlaknya dan paling lemah lembut terhadap isterinya.”


Nah... Masih berkira-kira hadiahkan sesuatu kepada isteri?

Bagi isteri yang suaminya tak romantik atau berkira sangat nak beri hadiah, tak perlulah terasa hati. Terimalah suami seadanya dan redhalah dengan ketentuan Allah yang suami itu tidaklah sesempurna Rasulullah. Bukan senang untuk merubah manusia, tetapi kita boleh merubah diri sendiri. Untuk menggembirakan hati sendiri, isteri bolehlah berjimat-cermat atau simpan sedikit demi sedikit untuk mendapatkan sendiri hadiah idaman hati. Bukankah ini lebih memberikan kepuasan?

Renung-renungkan!

Butiran selanjutnya ...

Selasa, Februari 17, 2009

Buang bayi luar nikah bukan penyelesai masalah

Sumber : BHarian 2009/02/17

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

Iman, akhlak perlu ditekankan dalam pendidikan agar gejala sosial diatasi secara tuntas

MUTAKHIR ini, kita sering didedahkan dengan tragedi pembuangan bayi di tempat pembuangan sampah, semak dan kaki lima bangunan serta sesetengahnya ditemui mati. Bayi tidak berdosa itu dibungkus dengan plastik atau kain lalu dibuang tanpa ada sedikit pun rasa belas ihsan dan sifat kemanusiaan.

Pembuangan bayi itu dipercayai dilakukan insan yang tidak bertanggungjawab antaranya mungkin hasil hubungan luar nikah. Al-Quran dan Sunnah sering memperingatkan nilai hidup setiap makhluk. Kita dilarang mencabut nyawa janin termasuk haiwan kecuali atas ketentuan dibenarkan Allah. Tanpa rasa belas kasihan ibu atau pasangan terbabit sanggup membuang bayi yang dikandung.

Manusia semakin hilang pertimbangan dan tidak lagi menggunakan kewarasan ketika bertindak. Mereka sanggup berbuat apa saja asalkan kenikmatan hasil hubungan haram dapat dirasai secara berulang kali.

Allah berfirman dalam surah asy-Syura ayat 49-50 bermaksud: "Dia memberikan anak perempuan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada sesiapa yang Dia kehendaki atau menganugerahkan kedua-dua lelaki dan perempuan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dia juga menjadikan mandul kepada sesiapa yang dikehendaki. Sesungguhnya Dialah yang maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa."

Anak anugerah Allah yang tidak ternilai kepada pasangan harus lahir daripada ikatan perkahwinan kerana secara fitrah manusia berhajat kepada kurniaan itu. Justeru, manusia mempunyai tanggungjawab besar untuk menjaga amanah Allah ini mencakupi segala keperluan fizikal, mental dan material.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Hak anak ke atas ayahnya ialah memberinya nama yang baik, mengajarnya menulis, mengahwinkannya apabila cukup umur dan mengajarnya al-Quran." (riwayat al-Hakim dan ad-Dailamy).

Realitinya isu pembuangan dan pembunuhan bayi mengingatkan kita pada zaman jahiliah apabila membunuh bayi perempuan yang dianggap memalukan keluarga. Di manakah perikemanusiaan dan harga diri atau maruah masyarakat jika bayi tidak berdosa yang sepatutnya dibelai dengan kasih sayang dibuang begitu saja. Sedangkan haiwan sayangkan anak, inikan pula manusia yang perlu bertanggungjawab untuk memelihara zuriatnya.

Rasulullah bersabda maksudnya: "Setiap suami adalah pemimpin keluarganya. Ia akan diminta bertanggungjawab dan setiap isteri adalah pemimpin atas penghuni rumah bagi anak dan suaminya dia juga akan diminta untuk bertanggungjawab." (riwayat Bukhari).

Statistik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mendapati 65 kes buang bayi dicatat pada 2000 dan meningkat kepada 83 kes, tahun lalu. Selangor mencatatkan angka tertinggi iaitu 22 kes (2000) dan 24 kes (2006). Daripada jumlah 83 kes itu, 79 membabitkan kes pembuangan bayi yang baru dilahirkan dan empat kes pembuangan janin. Hakikatnya, pembuangan dan pembunuhan anak pada masa jahiliah moden ini bukan kerana takut miskin tetapi perbuatan keji untuk menutup malu selepas melakukan zina.

Pasangan yang dikaitkan dengan isu pembuangan bayi ini ialah mereka yang tertekan dengan keterlanjuran sehingga melahirkan bayi di luar nikah. Kegawatan sosial adalah permasalahan bersama dan memerlukan penyelesaian bersepadu, kolektif dan terancang. Strategi menanganinya memerlukan pendekatan proaktif termasuk pendekatan aspek keagamaan adalah tunjang kerohanian bagi individu Kefahaman yang tinggi dalam pegangan agama dan nilai kerohanian adalah asas pembentukan sahsiah manusia.

Agama memainkan peranan penting untuk memandu ke arah tingkah laku sesuai dengan pertimbangan dan rasional rutin hidup seharian.

Menurut Prof Dr Sidek Baba, pendidikan iman dan akhlak pada prinsipnya berasaskan dua faktor yang saling berhubung iaitu qudwah atau teladan dan pengaruh persekitaran kerana antara naluri dan kecenderungan utama anak dalam proses pembelajaran ialah keinginan untuk meniru, mencontohi dan meneladani. Justeru, setiap anak memerlukan contoh teladan, mentor dan qudwah supaya kebaikan dan kehebatan contoh berkaitan dapat diikuti dan dihayati dalam kehidupannya.

Ibu bapa adalah model terawal dan utama dalam pembentukan iman dan akhlak anak. Bagi membolehkan ibu bapa mendidik dengan sempurna, mereka perlu berupaya serta menjadi qudwah terbaik. Mereka harus bijak mengawasi persekitaran kekeluargaan dan agar lahirnya situasi yang sihat dan cemerlang ke arah membentuk keluarga harmoni.

Seluruh lapisan masyarakat harus bersatu padu dan mengaplikasikan pelbagai pendekatan dalam menyelesai masalah gejala sosial ini. Setiap individu termasuk ibu bapa perlu peka dan memainkan peranan, khususnya dalam memastikan anak tidak terjebak dengan gejala sosial yang merosakkan masa depan mereka. Cabaran menangani gejala sosial terutama membabitkan kes pembuangan bayi harus diberi perhatian serius. Tindakan segera perlu diambil supaya terus merebak menjadi penyakit sosial sukar diubati.

Jika pada zaman jahiliah mereka membunuh antara lain kerana khuatir anak diperkosa atau berzina, maka pada masa jahiliah moden anak dibunuh kerana ibunya sendiri diperkosa atau berzina.

Kepada dua golongan wanita ini, kembalilah kepada fitrah hidup manusia yang sebenar. Jika terlanjur membuat dosa sehingga hamil tanpa ikatan perkahwinan menambahkan bilangan dosa dengan menyeksa mental dan fizikal kepada bayi yang dilahirkan dengan membuangnya bagaikan sampah-sarap. Sepatutnya sebagai warga yang hidup di dalam negara berdaulat dan pada era pasca-merdeka amat tidak wajar sama sekali ada yang terbabit dalam kes seperti ini.

KOMEN saya : Jangan menyalahkan satu pihak (wanita) saja, sepatutnya pihak lelaki juga patut diambil tindakan tegas. Bersedap-sedap bersama, bila susah mahu lepas tangan begitu saja!

Tempohari, di TV9 rancangan semanis kurma, ada kisah 'ditebuk tupai'. Mereka panggil seorang remaja yg bernaung di Raudatus Sakinah (pusat perlindungan dan bimbingan remaja terlanjur) untuk cerita kisah dia yang di'tebuk tupai'. Pelik ya, yang kena tebuk saja yang nampak salah dan digembar-gemburkan kepada awam, si tupai durjana tidak dipanggil pula! Si tupai durjana itu tak ada pula rumah bimbingan untuk mereka, alangkah tak adilnya manusia ni...

Saya ingat kalau saya ada 'kabel besar', mahu saja saya cadangkan buat satu pusat pemulihan akhlak untuk tupai-tupai di Malaysia nih. Yang nampak buruk, si yang kena tebuk. Tiap kali keluar kisah bayi-bayi, janin-janin yang tak bersalah bersepah di tong sampah, parit, longkang etc, orang ramai akan mengutuk si yang kena tebuk itu juga. Si tupai durjana boleh bermegah dan bermaharaja-lela tebuk sana tebuk sini lagi dan lagi dan lagi... TERUK sungguh!!!

Butiran selanjutnya ...

Tajdid Iman: Manusia ghurur ditipu keegoan diri sendiri

Oleh Juanda Jaya
juanda72@hotmail.com

Kesombongan dorong seseorang bertindak ikut nafsu, tak hirau perasaan orang lain

KECELARUAN belantara dunia menyesatkan ramai manusia. Potensi akal dan hati kurniaan Allah SWT serta turunnya syariat dibawa Rasul, bagi sebahagian manusia masih belum cukup mengalahkan kebuasan hawa nafsu diri mereka. Ditambah lagi dengan peranan hebat syaitan laknatullah yang tidak akan berganjak seinci dari lubuk hati manusia yang alpa. Hanya satu yang dapat melindungi manusia daripada kejahatan syaitan dan hawa nafsu, iaitu perlindungan Allah.

Ramai orang beriman, apabila lemah imannya diserang pula dengan penyakit rasa hebat diri sehingga dia melupakan campur tangan Allah dalam melindung dirinya daripada kesilapan. Lalu, mula meremehkan orang lain dan semakin gelap matanya melihat hatinya sendiri, dia tidak nampak sebarang noktah hitam pun dalam hatinya.


Terlalu suci dia melihat diri sendiri dan betapa hinanya orang lain pada pandangannya. Penyakit sebegini dinamakan sebagai ghurur iaitu terpesona atau takjub dengan diri hingga pada tahap menghina dan memandang rendah apa saja daripada orang lain.

Tidak sedikit pun tergerak hati mahu memandang daripada sudut pandangan orang lain dan merasai perasaan pihak berlawanan dengan dirinya. Ditutup pula pintu perbincangan, muzakarah dan musyawarah demi mendapat persefahaman baik.

Apabila semangat keegoan, asabiyah dan ghurur merasuk dalam hati seseorang, dia akan berfikir dan bertindak mengikut hawa nafsu. Agama tidak lagi dijadikan rujukan, bahkan tiada sesuatu pun yang dapat menghalang daripada menzalimi orang lain. Kerana mereka yang berpenyakit ghurur ini menganggap apa saja mereka lakukan adalah benar dan tidak sedikit pun perbuatan mereka itu menyalahi agama dan syariat.

Al-Quran menceritakan perangai manusia tertipu dengan kehebatan dirinya sendiri seperti firman Allah bermaksud: "Katakanlah, mahukah Kami beritahukan kepadamu mengenai orang yang paling merugi perbuatannya? Iaitu orang yang sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat sebaik-baiknya." (Surah al-Kahfi ayat 103-104).

Jika penyakit ghurur ini berjangkit kepada pemimpin, dia akan bertindak secara autoritarian, zalim dan kuku besi ke atas orang dipimpinnya. Jika rakyat menghidap penyakit ghurur tentu akan terheret ke dalam gerakan pemberontakan, penderhakaan dan fitnah yang akan membawa huru-hara dalam masyarakat.

Akhlak Islam sejati yang menggesa ke arah ukhuwah dan persefahaman dengan semangat musyawarah iaitu perundingan secara telus dan adil terus diketepi. Akhirnya umat Islam terus menerus dilanda konflik sesama sendiri.

Antara punca seorang mukmin diserang penyakit ghurur ialah:

  • Mengabaikan muhasabah diri

    Setiap insan mengalami perubahan dalam kehidupannya, dulu dia pernah lalai kepada Allah, kemudian bertaubat kembali ke jalan-Nya dan tidak mustahil dia akan mengulangi lagi kejahatan yang ditinggalkannya itu. Tidak ada insan yang maksum kecuali Nabi, maka sebagai insan biasa, dia perlu sentiasa menilai dirinya. Bayangkanlah jika setiap manusia memandang baik apa saja yang dilakukannya tanpa melihat perspektif orang lain, sudah tentu kezaliman yang akan berkuasa.

    Sedangkan orang beriman sentiasa menganggap dirinya sebagai orang yang bersalah, banyak kelemahan dan takut tertipu dengan kelebihan Allah kurniakan kepadanya. Seperti mana orang takut ketika Allah menganugerahkan kebesaran dan kekayaan kepadanya, dia takut keselesaan diberikan di dunia ini akan menghalangnya merasai keselesaan di akhirat nanti.

    Hatinya terlalu sensitif menghayati firman Allah yang bermaksud: "Barang siapa menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka di dunia itu tidak akan dirugikan. Itulah orang tidak memperoleh di akhirat, kecuali neraka dan lenyap di akhirat itu apa yang mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang mereka kerjakan. (Surah Hud ayat 15-16)

    Orang beriman menimbang segala sesuatu dengan neraca al-Quran dan al-Sunnah Rasululah SAW. Apa-apa saja tindakan yang dilakukannya sentiasa dirujuk kepada dua kekuatan ini. Kejahilan menguasai petunjuk al-Quran dan al-Sunnah menyebabkan manusia menghalalkan dirinya untuk memutar belit ayat Allah dan Sunnah Rasul-Nya. Mereka mahu mempergunakan Islam untuk mendapatkan habuan. Sebagai mana firman-Nya yang bermaksud: "Dan apabila mereka dipanggil kepada Allah dan Rasul-Nya, supaya Rasul menghukum (mengadili) di antara mereka, tiba-tiba sebahagian mereka menolak untuk datang. Tetapi jika keputusan itu untuk memberi hak (kemaslahatan) mereka, mereka datang kepada Rasul dengan patuh." (Surah al-Nur ayat 48-49).

    Apabila pendedahan ilmu amat kurang dan mereka hanya hidup di dalam suasana dan lingkungan sama tanpa pendedahan terhadap dunia luar bersebrangan fahaman dengan mereka menyebabkan mereka terus menerus berada dalam laluan sama. Kesilapan berulang berlaku kerana tidak mahu mengakui aib diri dan menolak pandangan orang lain. Semua yang dilakukannya seolah-olah nampak betul belaka, seolah-olah sesuai dengan al-Quran dan al-Sunnah tetapi pada hakikatnya dia tertipu kerana kesilapannya memahami ayat-ayat Allah, bahkan sebenarnya dia memperguna al-Quran dan al-Sunnah untuk menuruti nafsunya. Muhasabah mesti dilakukan dengan sandaran ilmu dan bimbingan orang lebih alim lagi warak terhadap dunia.

    Sesiapa mengabaikan muhasabah diri, maka dia seolah-olah tidak takut dengan hari penghisaban Allah. Berat timbangan amalnya sekali-kali tidak merunsingkan fikirannya. Sebagai mana disebutkan dalam firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya mereka tidak berharap (takut) kepada hisab. Dan mereka mendustakan ayat-ayat kami dengan sesungguh- sungguhnya. Dan segala sesuatu kami catat dalam suatu kitab. Kerana itu rasakan dan Kami sekali-kali tidak akan menambah kepada kamu selain daripada azab." (Surah Al-Naba ayat 27-30)

  • Sikap melampau melaksana ajaran Islam

    Sikap melampau ini sebenarnya bukan ajaran Islam. Islam bersifat wasatiyah yang berpaksikan keadilan dalam memberi hak kemanusiaan sesuai dengan fitrahnya sebagai manusia yang banyak kelemahan. Di dalam mensyariatkan jihad, ada peruntukan damai dan perundingan, dalam qisas ada diyat yang boleh dibayar jika ahli warisnya bersetuju, dalam perkahwinan ada perceraian jika tidak dapat menyelamatkan iman kedua-dua pasangan.

    Dalam jual beli dibolehkan berhutang atas dasar kejujuran. Islam menolak fahaman sufi melampau yang menolak perkahwinan, berlapar sepanjang masa sehingga meninggalkan kerja membina umat, bahkan ada pula orang Islam yang seolah-olah mengharamkan perceraian, mengkelaskan wanita di bawah lelaki padahal Islam nyata mengakui wanita sebagai saudara kandung lelaki, ada mengharamkan makanan dan minuman halal, dalam beribadah pula dicipta cara baru tidak pernah diamalkan Rasulullah, sahabat serta tabi' tabiin.

    Muncul fahaman direka-reka, padahal syariat dibawa Baginda sudah sempurna. Apabila seseorang melampau dalam melaksanakan ajaran Islam sehingga terkeluar dari ajaran sebenar berteraskan al-Quran dan al-Sunnah, boleh jadi sikap melampaunya ini menyebabkan dia membenci orang lain yang tidak sefahaman dan bersikap fanatik buta tanpa ilmu.

  • Tunduk kepada dunia.

    Disebabkan terlalu bercita-cita menggenggam dunia, seseorang terpaksa melakukan penyelewengan dan kezaliman terhadap orang lain. Semua orang sedaya upaya mahu memanfaatkan segala untuk kepentingan diri dan keluarga.

    Pencinta dunia ini seolah-olah lupa, hakikat kesenangan itu baginya hanyalah satu permulaan dari episod azab yang akan dilaluinya sepanjang masa hingga berhadapan dengan Allah.

    Imam Ahmad meriwayatkan suatu hadis yang bermaksud: "Apabila kamu melihat Alah SWT memberikan harta benda yang disenangi oleh seorang penderhaka maka ketahuilah oleh itu adalah istidraj."

    Beliau kemudian membaca firman Allah dalam surah al-An'am ayat: 44 bermaksud; "Maka tatkala mereka melupakan apa yang diberikan kepada mereka, Kami pun kemudian membukakan pintu kesenangan untuk mereka, sehingga apabila mereka bergembira dengan apa diberikan kepada mereka, Kami seksa mereka dengan tidak disangka-sangka, maka ketika itu mereka terdiam berputus asa."

    Semua bentuk kejahatan dan dosa yang dilakukan manusia berpunca daripada perhiasan dan kesenangan dunia haram lagi melampau. Dunia menipu itu akan semakin ganas memporak-porandakan iman di jiwa insan jika ia tidak dikawal oleh iman.

    Padahal Rasulullah sudah berwasiat bermaksud: "Kesenangan dunia jika dibandingkan dengan kesenangan akhirat tiada lain kecuali bagaikan seseorang yang memasukkan jari-jemariya ke dalam lautan, kemudian lihatlah berapa banyak ia dapat mengambil air?"(Hadis riwayat Imam Ahmad dan al-Tirmizi).

    Tiga punca manusia terpesona dengan diri sendiri dan cenderung menghina orang lain sememangnya mesti dihayati setiap saat dalam kehidupan orang beriman, supaya mereka dapat menjaga diri dari penyelewengan yang tidak dijangkakan pada zaman fitnah ini.

    Penulis ialah Mufti Perlis
  • Sumber : BHarian 2009/02/17

    Butiran selanjutnya ...

    Isnin, Februari 16, 2009

    Berusaha, bersyukur perlu seiring


    BERNIAGA antara usaha mendapatkan rezeki secara halal yang dituntut dalam Islam.

    Tuhan tidak pernah memutuskan rezeki kepada hamba rajin

    REZEKI Allah ada di mana-mana di atas muka bumi ini asal kita rajin berusaha mencarinya. Pepatah yang mengatakan 'rezeki secupak tak akan jadi segantang' sudah tidak dapat dipegang lagi kebenarannya di zaman sekarang. Jika kita bersungguh-sungguh berusaha mencarinya, dengan melakukan kerja yang boleh mendatangkan hasil atau upah, nescaya kita akan mendapat pendapatan lumayan. Dan tidak mustahil dari masa ke semasa hasil pendapatan itu akan bertambah dengan syarat rajin berusaha.

    Rezeki adalah nikmat Allah untuk hamba-Nya. Bagi umat Islam, kunci mendapatkan rezeki ialah dengan selalu bersyukur kepada Allah, sama ada melalui ucapan mahu pun perbuatan. Kedua-duanya harus berjalan beriringan tanpa henti. Bersyukur adalah sifat orang bertakwa. Nikmat Allah terlalu banyak dan tidak terhitung. Bersyukur atas nikmat rezeki yang Allah berikan menunjukkan kita ingat kepada-Nya. Sesiapa yang ingat akan Allah apabila diberi nikmat, nescaya Allah akan ingat dia dengan menambahkan lagi rezeki kepadanya. Hal ini dinyatakan oleh Allah dalam firman yang bermaksud: "Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memaklumkan sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." (Surah Ibrahim, ayat 7)

    Sementara Rasulullah SAW pula bersabda yang bermaksud: "Dunia ini ibarat makhluk yang dilaknat kecuali yang ada di dalamnya sentiasa ingat kepada Allah." (Hadis riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majah)

    Apabila kita ingat Allah kita akan sentiasa terdorong untuk melakukan ibadah dan sekali gus menjauhkan diri daripada perkara yang dilarang-Nya. Mencari rezeki halal untuk menyara keluarga juga adalah ibadah cukup mulia. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiada yang lebih baik bagi orang yang memakan makanan, melebihi kebaikan orang yang makan makanan daripada hasil kerja tangannya sendiri. Sesungguhnya Nabi Daud makan daripada hasil kerja tangannya sendiri." (Hadis riwayat Bukhari)

    Suasana kehidupan yang serba canggih, mudah dan pantas seperti hari ini, kita sentiasa terdedah dengan perkara yang boleh membuatkan kita mendapat rezeki secara tidak sah (haram) atau menyalahi undang-undang. Banyak umat Islam terjebak dan tewas dalam hal ini. Semua berpunca kerana nipisnya iman dan takwa yang berfungsi membentuk hala tuju rezeki bagaimana ingin dicari, sama ada secara bekerja kuat (rezeki halal) atau dapatkannya secara cepat dan mudah (haram). Semuanya itu adalah sebahagian ujian Allah kepada hamba-Nya.

    Firman Allah yang bermaksud: "Ada pun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia berkata: Tuhanku telah memuliakanku. Ada pun apabila Tuhannya mengujinya lalu membataskan rezekinya, maka dia berkata: Tuhanku menghinaku." (Surah al-Fajr, ayat 15-16)

    Allah berfirman lagi yang bermaksud: "Barang siapa yang bertakwa kepada Allah nescaya akan dibukakan jalan keluar baginya (daripada sebarang masalah) dan akan dikurniakan rezeki daripada sumber yang tidak diduga." (Surah at-Talaaq, ayat 2-3)

    Setelah berusaha bersungguh-sungguh mencari rezeki halal, selebihnya umat Islam hendaklah bertawakal kepada Allah kerana rezeki berada dalam kekuasaan-Nya. Allah yang menentukan rezeki seseorang itu. Ibnu Qayyim mengatakan tawakal adalah setengah keimanan. Sementara setengah keimanan yang lain adalah inabah (perwakilan). Sesungguhnya agama adalah pertolongan dan ibadah, tawakal adalah pertolongan, dan inabah adalah ibadah.

    Sementara bagi Syeikh Sulaiman bin Abdullah bin Muhammad bin Abdul Wahab pula berpendapat bahawa suatu asas pokok yang sama berada pada setiap amal pekerjaan mahu pun ibadah, iaitu tawakal kepada Allah, pembenaran untuk mendapatkan perlindungan-Nya, dan ketergantungan hati kepada-Nya. Firman Allah yang bermaksud: "...Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakal, jika kamu benar-benar orang yang beriman." (Surah al-Maidah, ayat 23)

    Selain itu, di kalangan ulama berpendapat bahawa antara faktor yang menyebabkan rezeki sentiasa bertambah adalah berdoa. Berdoa dan berusaha. Berdoa semata-mata tanpa ada usaha tidak memberi makna. Rasulullah SAW juga berdoa kepada Allah supaya dijauhkan daripada fakir (miskin) dan kekurangan rezeki.

    Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah berdoa: "Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada keadaan fakir, kekurangan harta dan keadaan hina. Dan kepada-Mu pula aku berlindung supaya aku tak diperkenankan berbuat zalim, dan berlindung daripada orang yang hendak menzalimiku." (Hadis riwayat Abu Daud dan Hakim)

    Sesungguhnya Allah tidak pernah memutuskan rezeki-Nya kepada hamba-Nya yang berusaha dan bekerja kuat mencarinya. Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang akan menambah rezeki hamba-Nya yang diberi rezeki tidak lupa mengucapkan syukur kepada-Nya dan membelanjakan rezeki itu ke jalan bermanfaat. Mereka yang diberi-Nya rezeki berlebihan hendaklah membelanjakannya di jalan Allah seperti bersedekah untuk membina surau atau masjid, membantu sekolah agama yang daif atau membantu rumah anak yatim.

    Firman Allah yang bermaksud: "...Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya, dan Dialah pemberi rezeki yang sebaik-baiknya." (Surah Saba, ayat 39)

    Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak ada hari di waktu pagi bagi seorang hamba kecuali kedua malaikat akan turun kepadanya, kemudian salah satu malaikat itu berkata, Ya Allah, kurniakan orang yang gemar bersedekah dengan balasan kebaikan yang setimpal. Sementara malaikat yang lain berkata, Ya Allah, berikan orang yang gemar menahan hartanya (kikir) dengan kehancuran." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

    Islam benci sikap meminta-minta

    RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: "Mereka yang mencari harta dunia (kekayaan) dengan jalan yang halal dan menahan dirinya daripada meminta-minta (tidak menjadi pengemis) dan berusaha mencari nafkah untuk keluarganya serta belas kasihan, kasih sayang terhadap jiran tetangganya, nescaya di hari kiamat kelak ia akan berjumpa dengan Allah dengan mukanya berseri-seri seperti bulan purnama pada waktu malam." (Hadis riwayat at-Tabrani)

    Sesungguhnya Allah kasih kepada orang yang berusaha atau bekerja mencari rezeki dengan titik peluh sendiri di mana dengan itu dia dapat memenuhi keperluan dan tanggungjawabnya terhadap diri, keluarga serta masyarakat.

    Malah kedudukannya adalah lebih baik daripada bersikap pemalas dan meminta-minta daripada orang lain. Allah menetapkan dalam sunnah kehidupan bahawa kejayaan itu adalah hasil daripada kerja tekun dan dedikasi. Inilah antara maksud jihad yang dituntut Islam.

    Kita perlu ingat hanya rezeki yang halal saja mesti dicari kerana di situlah letaknya keberkatan dan ganjaran daripada Allah kerana rezeki yang diambil daripada punca haram seperti rasuah lambat laun akan menimbulkan kecelakaan dan masalah dalam hidup bukan saja di dunia malah di akhirat juga.

    Rasulullah SAW bersabda lagi yang bermaksud: "Berilah (belanjalah) dan jangan kamu selalu menutupi kepunyaanmu, kerana dengan itu nanti Allah akan menutupi rezekimu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

    Allah mewujudkan sifat semula jadi dalam diri manusia iaitu sifat belas kasihan yang menggerakkan seseorang itu untuk bersedekah. Firman Allah yang bermaksud: "Bandingan (perbelanjaan/derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai: tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji benih. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah amat luas (rahmat) kurnian-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya." (Surah al-Baqarah, ayat 26)

    Syarat bersedekah adalah keikhlasan. Tidak kira wang ringgit atau sebagainya asalkan ia dapat memberi kesenangan terhadap orang memerlukannya kerana kesenangan diberi oleh Allah kepada hamba-Nya adalah satu perkongsian dan tanggungjawab terhadap sesama manusia di muka bumi ini. Sifat suka bersedekah lawannya adalah bakhil. Sifat bakhil dicetuskan Allah kepada hamba-Nya yang lupa akan kewajipannya dan sangat cinta kepada harta kekayaannya.

    Oleh itu demi mencari keredaan Allah kita hendaklah menggunakan waktu yang ada dengan beringat kepada yang susah dan memberi sedikit bantuan mengikut kemampuan.

    Sumber : BHarian 2009/02/16 dan BHarian 2009/02/16

    Butiran selanjutnya ...

    Lihat & Contohilah Pemerintahan Umar Al-Khattab r.a.

    Salam,

    Lanjutan entry Harapan rakyat - Pemerintah Wajib Berlaku Adil, saya kongsikan kisah pemimpin adil yang dipetik dari web UZAR - Lihat & Contohilah Pemerintahan Umar Al-Khattab r.a.. Semoga pemimpin-pemimpin celik mata dengan kisah yang disiarkan.

    Wahai Para Pemimpin : Lihat & Contohilah Pemerintahan

    Umar Al-Khattab r.a.

    Oleh Zaharuddin Abd Rahman [http://www.zaharuddin.net]

    Pemimpin adil lagi beriman amat dirindui.

    Kita kerap kali menyebut berkenaan kehebatan Khalifah Umar bin Abd Aziz dalam pentadbirannya sebagai pemerintah, sehinggakan masarakat bukan Islam turut mengetahui berkenaannya serba sedikit lalu menjadikannya role model dalam ucapan-ucapannya, saya berharap agar ia bukan hanya terhenti setakat di dalam ucapan sahaja dalam tindakannya. Tidak dinafikan usaha ke arah itu dapat dilihat sedikit demi sedikit, tahniah.

    Selain Umar Abd Aziz, kita juga adakalanya dapat membaca kehebatan pentadbiran Islam di bawah khalifah kedua Islam iaitu Umar Al-Khattab r.a. Dalam tulisan ringkas ini saya ingin berkongsi beberapa petikan kisah ketegasan Umar Al-Khattab semasa pemerintahannya termasuk semasa menerima laporan dari rakyat terhadap perilaku gabenor-gabenor yang dilantiknya; ia amat baik dijadikan panduan dan ingatan bagi para pimpinan pentadbiran korporat, kerajaan negeri dan pusat dan bagi mereka yang ingin mengambil pengajaran.

    KISAH 1 : KHALIFAH UMAR r.a. DAN SA'AD ABI WAQQAS r.a [1]

    Umar al-Khattab telah melantik Sa'ad Abi Waqqas r.a seorang sahabat besar Nabi s.a.w sebagai gabenor di Kufah, Iraq. Namun terdapat beberapa kumpulan munafiq yang amat benci kepada Sa'ad, lalu membuat aduan palsu kononnya Sa'ad r.a tidak adil dalam pembahagian dan tidak memimpin ketika peperangan. Sedangkan di ketika itu, kerajaan Islam sedang sibuk membuat persiapan untuk menuju ke Nahawand. Amat difahami kumpulan ini ingin mengganggu kelancaran perancngan kerajaan Islam.

    Walaupun aduan ini sememangnya telah diketahui palsu oleh Umar Al-Khattab r.a tetapi beliau masih meraikannya secara SERTA MERTA dengan menghantar wakil penyiasat iaitu Muhammad Ibn Maslamah. Umar r.a seorang yang amat sensitif dan serius dengan segala laporan terhadap gabenor lantikannya. Tatkala proses siasatan terbuka dijalankan, semua wakil ketua yang berada di Kufah tidak tahu menahu berkenaan laporan ketidakladilan Sa'ad lalu semuanya mengkhabarkan kebaikan Sa'ad.

    Tiba-tiba muncul Usamah Bin Qatadah mendakwa Sa'ad tidak adil dan tidak memimpin perang. Sa'ad menafikan dengan sumpah serta mendoakan buta mata, kurang zuriat dan terdedah kepada fitnah dunia bagi sesiapa yang menipu dan melontarkan fitnah ke atasnya. Hasil doa individu soleh seperti Sa'ad, kesemua kumpulan yang meinpu ini mati . Usamah pula menjadi buta, kurang zuriat dan ditimpa nafsu syahwat yang luar biasa.

    Walaupun Sa'ad terbukti selepas itu tidak bersalah, demi mengelakkan perpecahan dan menjaga status Sa'ad bin Abi Qaqqas, Umar al-Khattab meminta Sa'ad untuk menamakan penggantinya, lalu dilantik ‘Abdullah bin Abdullah Bin ‘Utban yang merupakan timbalan kepada Sa'ad sebelum ini. Manakala Sa'ad di bawa ke Madinah bagi menyertai ahli Majlis Syura Khalifah di Madinah. [2]

    KISAH 2 : UMAR R.A DAN HARTA GABENOR DAN PEGAWAINYA

    Umar al-Khattab begitu tegas dan ketat dalam urusan kewangan negara, beliau juga amat ketat dalam meneliti pendapatan dan harta setiap gabenor dan pegawainya. Setiap pegawai yang dilantik akan diminta melakukan deklarasi harta, dan peningkatan hartanya akan disemak dengan begitu kerap. Jika peningkatan berlaku, Umar r.a akan mengambil separuh untuk baitul Mal dan dalam beberapa keadaan Umar r.a mengambil semuanya. [3] Selain itu, Umar r.a turt melakukan lawatan mengejut ke ruamh pegawainya bagi memastikan tiada pertambahan harta secara syubhah. [4]

    Berikut beberapa kisah prihatinnya Umar r.a r.a :-

    a- Gabenor kerajaan Islam di Mesir pada ketika itu adalah seorang sahabat bernama ‘Amr bin Al-‘As. Beliau dilaporkan membuat satu mimbar khas untuk dirinya di Mesir. Ini menyebabkan Umar al-Khattab menjadi marah lalu menghantar surat kepada ‘Amru yang menyebut

    "Aku mendengar kamu telah membina satu mimbar agar boleh meninggikan dirimu dari umat Islam, adakah tidak cukup kamu berdiri dan mereka berada di kakimu, aku ingin kamu segera meruntuhkan mimbarmu" [5]

    b- Dalam satu keadaan lain, Sa'ad juga dilaporkan membina pagar di sekitar rumahnya ( di ketika itu amat jangkal rumah mempunyai pagar kecuali terlalu kaya), sehingga orang ramai menggelarkannya "ISTANA SA'AD". Dinyatakan bahawa Sa'ad membina agar itu kerana rumahnya berhampiran degan pasar dan amat bising, lalu dibinanya agar dapat menghalang sedikit kebisingan. Apabila berita sampai kepada Umar al-Khattab, beliau melihat mudarat pagar itu lebih besar dari manfaatnya, lalu dengan segera menghantar Muhammad bin Maslamah untuk membakar pagar tersebut.[6]

    c- Umar r.a telah melantik Mujasha' bin Mas'od untuk beberapa tugasan, dan kemudiannya mendapat laporan isteri Mujasha' bernama al-Khudayra kerap membeli perabot baru dan hiasan dinding. Lalu Umar r.a menghantar surat kepada Mujasha' agar mengoyakkan semua hiasan dinding. Mujasha' menerima surat itu ketika bersama orang ramai, lalu dengan segera beliau mengarahkan isteri keluar lalu diminta orang ramai masuk ke rumah dan membantu mengoyak dan menurunkan semua hiasan dinding baru yang dibeli isterinya[7]. Sebenarnya, Umar r.a tahu ia dibeli dengan harta syubhah akibat jawatan Mujasha', kerana itu diarahkan sedemikian. Anda juga boleh melihat betapa kuatnya taat dan yakinnya para pegawai dengan keikhlasan dan kejujuran Umar r.a.

    d- Umar r.a pernah melawat pegawai-pegawainya di Syria, dan kemudian Yazid Bin Abi Sufyan menjemputnya datang ke rumah, ketika Umar r.a memasuki rumah lalu dilihatnya penuh dengan hiasan dinding bergantungan. Umar r.a mula mengambilnya sambil berkata

    "barang-barang ini boleh digunakan oleh rakyat jelata untuk melindungi diri mereka dari kesejukan dan panas" [8]

    e- Umar r.a juga pernah mengambil beberapa bahagian harta adik beradik gabenornya dan pegawainya apabila hasil penyelidikannya mendapati keraguan. Contohnya seperti beliau mengambil sebahgian dari harta Abu Bakrah. Namun Abu Bakrah cuba membantah dengan mengatakan

    "aku tidak pernah berkhidmat denganmu (sebagai pegawai kerajaan)"

    Umar r.a menjawab

    "Ya benar, tetapi adikmu berkhidmat sebagai penyelia Baitul Mal, dan dia telah memberikan beberapa pinjaman kepadamu agar kamu boleh berniaga dengannya" [9]

    Kesimpulannya, semua tindakan Umar r.a ini tidaklah diambil secara sembrono, kisah ini hanyalah ringkasan sahaja, dan tindakan beliau semua bagi mengelakkan jawatan di jadikan PELUANG UNTUK MERAUT KEKAYAAN.

    Ibn Taymiah mengulas beberapa tindakan Umar r.a tadi bagi membuang segala keraguan rakyat terhadap pendapatan para gabenor dan pegawainya, yang mungkin menjadi kebiasaan diberi hadiah oleh rakyat jelata disebabkan oleh jawatannya.[10]

    KISAH 3 : KHALIFAH UMAR r.a DAN DENDA ANAKNYA

    Abd Rahman bin Umar Al-Khattab, salah seorang anak Umar al-Khattab berada di Mesir dan dilaporkan telah melakukan kesalahan dengan meminum arak. Beliau kemudiannya meminta Amru bin Al-‘As untuk melaksanakan hukuman ke atasnya.

    Namun Amru al-‘as r.a merasa serba salah kerana ia adalah anak khlaifah lalu menjatuhkan hukuman secara sedikit berbeza iaitu mencukur kepalanya dan ia disebat secara tertutup di dalam rumahnya. Sepaptunya prosedur di ketika itu adalah hukuman minum arak mestilah dicukur dan disebat pada waktu yang sama di hadapan khalayak ramai.

    Peristiwa ini bocor kepada Umar r.a. lalu beliau menghantar surat yang antara lainnya menyebut:-

    "engkau telah menyebat dan mencukur Abd Rahman di dalam rumahmu dan KAMU TAHU IA BERTENTANGAN DENGAN APA YANG AKU HARAPKAN (hukuman seperti orang lain), ...Abd Rahman adalah salah seorang warga di bawah tanggungjawabku (DI AKHIRAT), dan kamu beralasan dengan mengatakannya adalah anak Khalifah sedangkan kamu tahu aku TIDAK SESEKALI BERKOMPROMI dengan sesiapapun dalam melaksanakan amanah terhadap Allah swt" [11]

    KISAH 4 : KHALIFAH UMAR r.a DAN KHALID IBN WALID r.a

    Khalid Ibn Waled, yang terkenal sebagai ‘pedang islam' dilucut jawatan sebanyak dua kali oleh Umar r.a al-Khattab, iaitu pada tahun 13 Hijrah sejurus selepas Umar r.a dilantik sebagai khalifah dan sekali lagi pada 17 Hijrah.[12] Namun kedua-dua peristiwa ini bukan kerana Khalid tidak baik dan bermasalah, Namun ia adalah dari sebab berikut [13] :-

    a- Menjaga keyakinan umat Islam terhadap Allah, ia jelas dari surat umum yang dihantar Umar r.a kepada umat Islam memberitahu agar mereka tidak terlalu ‘attached' dengan Khalid sehingga tersilap sangka kemenangan Islam disebabkan oleh kehandalan Khalid dan bukan kerana bantuan Allah swt.

    b- Pentadbiran ; iaitu dalam urusan dan keputusan pembahagian harta.

    c- Pentadbiran : Umar r.a inginkan keteletian dan laporan berterusan dari setiap pegawainya, namun Khalid inginkan pentabdiran yang bebeas dari penelitian sentiasa oleh Khalifah.

    Di waktu Khalid dipecat dari jawatannya sebagai gabenor di Syria, belia berkata :-

    "Amir al-Mukminin (Umar r.a) melantik aku sebagai gabenor dan setelah urusan menjadi licin dan lancer, beliau melucutkan jawatanku"

    Lalu seorang lelaki berkata : "Sabarlah wahai ketua, ia waktu untuk bermulanya fitnah"

    Kahlid membalas :

    "selagi anak Al-Khattab ini hidup, selagi itu TIADA RUANG FITNAH untuk berlaku" [14]

    Demikian hormat dan keyakinan Khalid terhadap Umar r.a walau dalam keadaan beliau dilucutkan jawatan, amat difahaminya tindakan Umar r.a adalah untuk mengelak fitnah, bukan mencipta fitnah.

    Di ketika Khalid r.a hampir wafat (beliau wafat pada 21 H), beliau berkata kepada Abu Darda r.a,

    "Wahai Abu Darda, bila Umar r.a al-Khattab r.a wafat kelak, kamu akan dapati sesuatu yang kamu benci berlaku"

    Dan berkata lagi sambil mengelap air matanya:

    "Aku memang merasa sedikit kecewa dengan beliau dalam sesetengah isu, tetapi setelah aku fikrikan kembali berkenaannya di ketika aku sakit ini, aku menyedari bahawa Umar r.a Al-Khattab r.a melakukannya dengan ikhlas dan hanya mengharapkan rahmat Allah dari setiap tindakannya"[15]

    Khalid juga melantik Umar r.a sebagai waasi (pengurus harta pusakanya), ketika Umar r.a al-Khattab menrima surat wasiat itu, beliau turut menangis.

    Cuba kita bayangkan ketegasan Umar al-Khattab r.a tersebut dan bagaimana tingginya taqwa beliau dan juga para sahabat yang bersamanya. Mengapa mereka tidak melenting akibat diambil sebahagian harta dan sebagainya?. Kerana Umar sendiri mengambil hartanya untuk umat Islam, dan beliau tidak makan daging sehingga semua orang miskin di bawah pentadbirannya makan terlebih dahulu.

    Cuba pula kita membandingkan kehidupan para pemimpin di sekeliling kita hari ini. Bagaimana mereka jika berada di bawah pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab r.a.. Sesungguhnya wahai Umar al-faruq kami merinduimu pemerintahanmu..

    Semoga ada manafaatnya.


    Nota kaki:

    [1] Tarikh at-Tabari, Imam At-Tabari, 5/103-105

    [2] Dawr al-Hijaz fi Hayat as-Siyasah, Dr Ahmad Ibrahim As-Syarif, hlm 257 ; At-Tarikh al-Islami, Al-Humaidi, 11/222

    [3] Futuh al-Buldan, hlm 220 dan 221 ; Al-Wilayah ‘ala al-Buldan, 2/131

    [4] Tarikh al-Madinah, 3/837

    [5] Futuh Misr wa akhbaruha, Ibn Abd Hakam, hlm 92

    [6] Futuh al-Buldan, hlm 77 ; Al-Idarah al-Islamiyah, Majdalawi, lm 216

    [7] Tarikh al-Madinah, 3/832

    [8] Al-Wilayah ‘ala al-Buldan, 2/128

    [9] Shahed al-Mihrab,

    [10] Al-fatawa, 28/157

    [11] Tarikh al-Madinah, Umar ibn Shabh An-Nameeri, 3/841

    [12] Tarikh at-Tabari, 5/41

    [13] Umar Ibn Khattab, His Life and Time, Dr Ali Md As-Sallabi, 2/111-114 ; Abatil yajib an tumha min at-Tarikh, Ibrahim Sha'oot, hlm 134

    [14] Al-Kamil fi At-tarikh, Ibn Athir, 2/156

    [15] Khalid ibn waled, Sadiq ‘Arjoun, hlm 349 ; Al-Khilafah wal Khulafa, hlm 198

    Butiran selanjutnya ...
    Related Posts with Thumbnails