“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Sabtu, Januari 30, 2010

Lelaki makin ganas?

Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my

ANGGOTA polis mengumpul bukti sesuatu kejadian jenayah untuk mendapatkan punca tragedi berlaku.

Faktor mental, hormon androgen, persekitaran jadi punca lelaki cenderung bertindak fizikal


LIMA hari menjengah tahun baru, negara digemparkan dengan berita kematian ngeri membabitkan empat sekeluarga di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, Negeri Sembilan. Kes pembunuhan yang cukup tragis itu menyaksikan seorang daripada anggota keluarga terbabit dipancung kepala hingga putus, dua mangsa dipotong di pergelangan tangan manakala seorang lagi mati dalam keadaan pisau terpacak di dada.

Siasatan polis membawa kepada penahanan seorang lelaki yang juga anggota keluarga si mati bagi membantu pihak berkuasa merungkai misteri pembunuhan empat sekeluarga itu.

Dalam kes berlainan, seorang suami didakwa bersekongkol dengan tiga lelaki lain untuk membunuh seorang konduktor bas dengan menjerut mangsa hingga mati sebelum menimbus mayatnya di sebuah taman perumahan di ibu negara. Bukan setakat jerut, amarah si suami bersama tiga lelaki lain turut mengakibatkan mangsa dipukul dengan objek keras hingga mengalami kecederaan di kepala.

Dalam kes berasingan pula, dilaporkan perbuatan isteri menyemak khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima suaminya mengakibatkan beliau diseret beberapa meter dari kereta yang dinaiki hingga mengalami kecederaan dan gegaran otak.


Dr Azhar Zain

Melihat rentetan kes serius membabitkan pelaku lelaki sejak awal tahun ini, timbul persoalan apakah lelaki sekarang makin ganas dan rakus hingga tergamak melakukan tindakan fizikal melampaui batas?

Lebih membimbangkan, makin banyak kes serangan fizikal termasuk yang mendatangkan kematian dilaporkan membabitkan mangsa dari kalangan anggota keluarga sendiri. Perkembangan ini pasti membuka perdebatan pengkaji sosial berhubung faktor yang mendorong pelaku bertindak ganas terhadap anggota keluarga sendiri atau individu yang mempunyai hubungan rapat dengan pelaku.

Faktor keganasan domestik iaitu serangan terhadap anggota keluarga terdekat meletakkan institusi kekeluargaan di ambang kerapuhan. Ini kerana perilaku seperti keganasan yang membawa kepada kematian seolah-olah tidak mengenal sesiapa termasuk anggota keluarga atau insan tersayang.

Selain itu, apakah faktor tekanan hidup yang menjejaskan mental pelaku dikhuatiri menjadi punca lelaki melakukan jenayah?

Aktivis dan Penganalisis Jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, jumlah kes serangan fizikal yang membabitkan mangsa dari kalangan anggota keluarga seperti yang dilaporkan akhir-akhir ini, membimbangkan.

“Dari aspek serangan, jelas menunjukkan pelaku tidak kisah siapa termasuk ahli keluarga sendiri ketika menyerang. Sama ada bertujuan mendatangkan kesakitan melalui serangan atau dengan niat membunuh sebagai hukuman untuk di mati. Ada pelbagai teori yang dikaitkan mengenai punca serangan. Ada teori mengatakan motif serangan disebabkan faktor pengaruh dadah, alkohol dan kurang siuman semata-mata untuk melepaskan diri daripada kesalahan. Inilah yang diperdebatkan penganalisis jenayah dan pakar perubatan di mana wujud perbezaan pendapat dalam soal hukuman ke atas pesalah,” katanya.

Kata Kamal Affandi, seseorang yang memperlakukan jenayah bunuh misalnya tidak seharusnya mudah diperakui sebagai mengalami sakit mental. Sebaliknya, perlu diselidik segenap aspek termasuk penggunaan senjata jika ada dan bentuk serangan. Beliau berkata, adalah mustahil pesakit mental mampu mengatur siri serangan termasuk menggunakan senjata seperti pisau yang jelas dilakukan dengan niat untuk mencederakan mangsa.

“Lebih-lebih lagi, spot atau tempat sasaran serangan seperti muka, tangan dan dada sebagai contoh, dilihat sebagai tempat strategik menyerang mangsa. Jika seseorang dikatakan kurang siuman, mengapa dia tidak menyerang dengan tangan sendiri sebaliknya menggunakan senjata?” katanya.

Mengulas lanjut bentuk serangan dari aspek tikaman, Kamal Affandi berkata, berdasarkan kebiasaan, mangsa sering dibunuh dengan tikaman secara berulang seperti lima, tujuh hinggalah 13 tikaman. Soalnya, mengapa perlu tujuh atau 13 tikaman sedangkan satu tikaman mungkin boleh membunuh mangsa?

“Jika dilihat, ada pelaku sengaja menikam mangsa bertubi-tubi walaupun mangsa sudah mati pada detik itu,” kata Kamal Affandi.

Ditanya punca penjenayah melakukan serangan bertubi-tubi, beliau berkata, ia mungkin didorong faktor kebencian dan kemarahan yang dipendam sekian lama hingga berlaku konflik lalu tercetusnya serangan keganasan. Perlakuan serangan sepatutnya dapat dikawal dengan mengkaji perilaku seseorang yang difikirkan berpotensi menyerang.

“Mereka ini seharusnya diberi bimbingan kaunseling lebih awal untuk mengawal perasaan marah dan baran. Pada satu tahap, mereka juga boleh mengatur janji temu bersama pakar psikologi dan psikiatri,” katanya.

Mengenai tempat aduan rujukan kes keganasan, Kamal Affandi berkata masyarakat boleh segera merujuk hospital terdekat selain menghubungi talian 15999 untuk mendapatkan kaunseling dan cadangan langkah susulan.

Fahami psikologi perilaku di luar kawalan

BANYAK faktor mendorong lelaki mengambil tindakan nekad mengganas termasuk memperlakukan perkara di luar kawalan seperti memukul, mencederakan dan mengakibatkan kematian.

Mengulas perilaku lelaki yang bertindak ganas dari sudut psikologi, Profesor Psikiatrik Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Azhar Zain, berkata lelaki yang memiliki lebih banyak hormon androgen berbanding wanita terdedah kepada perilaku pemarah. Hormon androgen yang menjadi sifat semula jadi sekunder yang merangsang kelelakian seseorang antara lain mengakibatkan lelaki lebih mudah marah hingga pada tahap mampu bertindak ganas jika tidak dikawal.

“Dari sudut biologi, lelaki mudah terangsang untuk berasa cepat marah atas sebab hormon androgen yang tinggi berbanding wanita. Andai perilaku diri yang sukar bertolak ansur dan mudah marah, keadaannya bertambah parah. Selain faktor hormon, pembangunan persekitaran yang membentuk perilaku seseorang juga menjadi faktor yang boleh merangsang lelaki menjadi ganas seperti pengalaman ketika kecil, didikan ibu bapa serta terdedah dengan persekitaran yang tidak baik,” katanya.

Ditanya punca lelaki bertindak ganas, Dr Azhar berkata, kesempatan yang ada pada detik itu memungkinkan lelaki bertindak sedemikian hingga mencetuskan keganasan di luar kawalan. Ditambah lagi dengan faktor lain seperti sejarah kelakuan ganas serta berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol juga mendorong lelaki menjadi ganas.

Namun, perilaku lelaki yang bertindak ganas ini sebenarnya boleh dikawal jika mendapat kerjasama mereka sendiri. Tidak kira, diri sendiri yang mencuba untuk mengawal kemarahan atau mendapatkan rawatan secara profesional. Ini termasuk pengambilan ubat-ubatan, rawatan psikologi dan teknik untuk mengawal kemarahan yang prosesnya mengambil masa.

Dr Azhar berkata, faktor personaliti, keturunan, tekanan perasaan dan gangguan mental secara susulan memungkinkan seseorang lelaki mengambil jalan mudah untuk mengekspresi kemarahan diri. Sebagai contoh, seorang lelaki yang menghadapi masalah kewangan, pada masa yang sama berkonflik dengan isteri di rumah. Tiba pula di pejabat dia dimarahi pengurus. Tidak mustahil punca kemarahan yang bertimpa-timpa itu boleh tercetus apabila berlaku konflik dengan rakan sepejabat.

Ditanya insan terbaik yang boleh membantu lelaki yang dalam keadaan amarah, Dr Azhar berkata, orang yang paling dekat dan dipercayai sesuai memberi nasihat dan kaunseling untuk membina semula motivasi dan sikap positif lelaki ganas.

“Saya tidak pernah berpeluang berdepan dengan lelaki yang memiliki kesalahan serius. Sebaliknya, kes yang dirujuk rata-rata lelaki yang mencederakan orang, bergaduh dan membakar rumah pada lingkungan usia 20 tahun hingga 30 tahun,” katanya.

INFO: Lapan implikasi amarah...
  • Dipulau masyarakat
  • Punca pergaduhan
  • Mendatangkan konflik perceraian
  • Terdedah serangan penyakit kronik seperti darah tinggi dan sakit jantung
  • Murung dan tekanan perasaan
  • Hilang pekerjaan
  • Melakukan kesalahan penderaan.

TIP: Redakan kemarahan

1. Ikuti latihan dan kegiatan sukan

Kajian menunjukkan individu yang menumpukan kegiatan luar mempunyai tekanan darah yang sempurna dan kurang berisiko mendapat sakit jantung.

2. Ubah diet pemakanan

Ramai pakar pemakanan berpendapat, menambah berat badan menokok beban yang lebih pada sistem biologi badan dan saraf minda. Merubah gizi yang lebih menyihatkan membantu anda lebih cergas, lebih bertenaga dan lebih berkeyakinan.

3. Minuman secawan kopi

Kafein adalah bahan perangsang yang dianggap berbahaya pada kesihatan. Ia boleh menyebabkan seseorang terangsang dan jika berlebihan menimbulkan keresahan, mengganggu ketenangan minda dan mempercepatkan degupan jantung.

4. Berhenti merokok

Individu yang berhenti merokok mendapati fungsi paru-paru menjadi lebih baik pada masa beberapa hari saja. Anda dapat berasakan pernafasan lebih licin dan selesa kerana udara meresap ke saluran darah lebih berkesan.

5. Berfikiran positif

Belajar menyampaikan kemarahan secara positif dan terhormat; elak daripada memekik atau bertindak garang. Kemarahan yang dilihat secara positif boleh menjadikan tekanan bertukar kepada kekuatan.

Sumber : BHarian 2010/01/30



Butiran selanjutnya ...

Jumaat, Januari 29, 2010

Munjiyat (part of Manzil)

Assalamualaikum,

Tahun lepas, saya dikirimkan sebuah buku MANZiL Resam Uthmani oleh UmmuWaheedah, rakan blogger al-Falaah, yang menurutnya bagus dijadikan amalan sehari-hari. Saya masih belum berkesempatan untuk memasukkan keseluruhan Manzil, cuma berkesempatan menyertakan 'Munjiyat' yang terdapat dalam buku Manzil.

Tujuh ayat al-Quran yang dinamakan sebagai 'Munjiyat' telah dibuktikan dari pengalaman Ibnu Sirin r.a. Saya tertarik dengannya kerana ia dikatakan ayat-ayat penyelamat dari berbagai kesusahan dan kesulitan. Ayat-ayat yang dimaksudkan ini adalah :

  1. Surah at-Taubah, ayat 51
  2. Surah Yunus, ayat 107
  3. Surah Hud, ayat 6
  4. Surah Hud, ayat 56
  5. Surah al-Ankabut, ayat 60
  6. Surah Fatir, ayat 2
  7. Surah az-Zumar, ayat 38

Berikut disertakan ayat-ayat ini dalam bahasa al-Quran dan juga terjemahan ayat untuk memantapkan lagi pemahaman kita. Sila klik pada potongan ayat untuk view yang lebih jelas dan besssaaaar punya... :)


Surah at-Taubah, ayat 51
Qul lan yuseebanaa illa ma kataba Allahu lana huwa mawlana wa 'aala Allahi
falyatawakkali almuminuun


Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal. (Surah at-Taubah, ayat 51)


Surah Yunus, ayat 107
Wain yamsaska Allahu bidurrin fala kashifa lahu illa huwa wain yuridka bikhayrin fala radda lifadlihi yuseebu bihi man yashao min 'aibadihi wahuwa alghafooru alrraheemu

Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia dan jika Dia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendaki-Nya dari hamba-hamba-Nya dan Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. (Surah Yunus, ayat 107)


Surah Hud, ayat 6
Wama min dabbatin fee alardi illa 'aala Allahi
rizquha waya
'aalamu mustaqarraha wamustawda 'aa ha kullun fee kitabin mubeenin

Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat dia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Luh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan). (Surah Hud, ayat 6)


Surah Hud, ayat 56
Innee tawakkaltu 'aala Allahi rabbee warabbikum ma min dabbatin illa huwa akhithun binasiyatiha inna
rabbee 'aala siratin mustaqeemin


Kerana sesungguhnya aku telah berserah diri kepada Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu! Tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di muka bumi melainkan Allah jualah yang menguasainya. Sesungguhnya Tuhanku tetap di atas jalan yang lurus. (Surah Hud, ayat 56)


Surah al-Ankabut, ayat 60
Wakaayyin min dabbatin la tahmilu rizqaha Allahu yarzuquha waiyyakum wahuwa alssamee 'ul 'aaleemu

Dan (ingatlah) berapa banyak binatang yang tidak membawa rezekinya bersama, Allah jualah yang memberi rezeki kepadanya dan kepada kamu dan Dialah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Ankabut, ayat 60)


Surah Fatir, ayat 2
Ma yaftahi Allahu lilnnasi min rahmatin fala mumsika laha wama yumsik fala
mursila lahu min ba 'aadihi wahuwa al 'aazeezu alhakeemu

Apa jua jenis rahmat yang dibukakan oleh Allah kepada manusia, maka tidak ada sesuatupun yang dapat menahannya dan apa jua yang ditahan oleh Allah maka tidak ada sesuatupun yang dapat melepaskannya sesudah itu dan (ingatlah) Dialah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah Fatir, ayat 2)


Surah az-Zumar, ayat 38
Walain saaltahum man khalaqa alssamawati waalarda layaqoolunna Allahu qul afaraaytum
ma tad 'uuuna min dooni Allahi in aradaniya Allahu bidurrin hal hunna kashifatu durrihi aw
aradanee birahmatin hal hunna mumsikatu rahmatihi qul hasbiya Allahu 'aalayhi yatawakkalu almutawakkiloona

Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: Siapakah yang mencipta langit dan bumi? Sudah tentu mereka akan menjawab: Allah. Katakanlah (kepada mereka): Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? Jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahaya-Nya itu atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmat-Nya itu? Katakanlah lagi: Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepada-Nyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri. (Surah az-Zumar, ayat 38)

Bacalah pagi dan petang. Insya Allah anda akan mendapat pertolongan Allah apabila menghadapi sebarang kesulitan atau masalah.

Sila panjangkan kepada rakan-rakan lain. Semoga bermanafaat...




Sumber : Buku Manzil Resam Uthmani oleh Sheikhul Hadith Maulana Muhammad Zakaria

Butiran selanjutnya ...

Kematian itu pasti


Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

TIAP-TIAP yang bernyawa akan merasai mati. - Gambar hiasan


AL-MARAGHI berkata: Setelah Allah SWT menghiburkan nabi-Nya sebagaimana yang terdapat dalam ayat yang lalu memuatkan pendustaan kaumnya terhadapnya. Sebahagian daripada rasul sebelummu telah didustakan oleh kaumnya sebagaimana engkau sekarang didustakan.

Para rasul dahulu menghadapi penderitaan daripada kaumnya sebagaimana yang engkau hadapi sekarang. Bahkan (penderitaan mereka dahulu) lebih berat. Sebahagian daripada mereka ada yang dibunuh seperti yang terjadi kepada Nabi Yahya a.s dan Nabi Zakaria a.s.

Sebab nuzul ayat ke-185

Ibnu Abbas berkata: Tatkala turunnya ayat daripada surah Sajadah ayat 11 yang bermaksud: Katakanlah yang mematikan kamu ialah malaikat maut yang diwakilkan denganmu, lantas mereka bertanya: Hai Rasulullah, sesungguhnya ayat ini diturunkan terhadap anak Adam, bagaimana berkenaan dengan kematian jin, burung dan binatang? Lantas turunnya ayat ini.

Iktibar dan fiqh ayat ke-185

Ibnu Kathir berkata: Allah SWT menceritakan secara umum yang meliputi semua makhluk-Nya bahawa setiap yang bernyawa pasti akan merasa kematian. Yang tidak mati hanyalah Allah sahaja. Antara yang mati ialah jin, manusia, malaikat dan lain-lain. Ayat ini dengan jelas merupakan takziah kepada semua manusia. Tidak ada yang kekal di atas muka bumi kecuali pasti menerima kematian.

Ibnu Jauzi berkata: Ayat ini memberi berita gembira kepada yang melakukan kebaikan dan memeberi ancaman yang melakukan kejahatan. Ayat ini juga memberitahu hakikat kehidupan penuh dengan tipu daya dan diberi panjang angan-angan tentang kehidupan yang kekal, sedangkan ia boleh berlaku kematian pada bila-bila masa.

Al-Qurtubi berkata: Apabila Allah menceritakan berkenaan orang bakhil dan kufur, lantas Allah perintahkan kepada orang yang beriman supaya bersabar di atas ujian yang dihadapi oleh mereka.

Al-Maraghi berkata: Setiap yang berjiwa akan mengalami saat perpisahan dengan jasad (badan). Ini menunjukkan jiwa tidak akan mati sekalipun badannya mati. Ini disebabkan yang mampu merasakan sesuatu adalah sesuatu yang wujud (ada), sedangkan yang mati tidak akan mampu berasa sesuatu.

Hamka berkata: menurut ahli-ahli tafsir terutamanya ditegaskan oleh Ibnu Jarir bahawasanya ayat ini yang menyatakan bahawa tiap-tiap nyawa pasti merasakan mati, adalah lanjutan tasliyah ubat penawar hati Nabi dalam kesibukan perjuangan yang kadang-kadang menghadapi tentangan, dan dia pun menjadi ubat penawar bagi sekalian orang yang menegakkan iman.

Al-Sonhadji berkata: Setiap yang bernyawa pasti akan merasai detik kematian dan bertemu ajal. Sebenarnya nyawa itu tidaklah sekali-kali mati dengan sebab matinya tubuh badan atau jasad. Hanya yang hidup sahaja yang menikmati kehidupan akan tetapi kematian pasti akan menjemput bagi setiap makhluk yang bernyawa.

Iktibar dan fiqh ayat ke-186

Ibnu Kathir berkata: Orang beriman pasti diuji sama ada tentang hartanya, jiwanya, anaknya, dan keluarganya. Ujian tersebut berdasarkan kadar keimanannya. Jika imannya kuat maka ujiannya bertambah, sebaliknya jika lemah maka ujiannya perlahan.

Al-Qurtubi berkata: ayat ini ditujukan kepada nabi dan umatnya. Maknanya kamu pasti akan diuji pada harta kamu dengan musibah dan lain-lain taklif syarak. Begitu juga jiwa dan kematian, sakit dan kehilangan orang yang dikasihi.

Al-Maraghi berkata: Ujian terhadap harta adakalanya dalam bentuk galakan, kebajikan yang dapat mengangkat martabat umat Islam dan menghancurkan musuh, menolak bala, membasmi wabak penyakit dan lain-lain. Ujian terhadap diri (jiwa) dalam bentuk pengerahan tenaga adalah untuk berjihad pada jalan Allah SWT, kematian ahli keluarga, teman yang dicintai dan berjuang membela kebenaran.

Hamka berkata: Dalam kehidupan, dugaan pasti datang. Segala kesulitan pasti akan dapat diatasi. Orang bersenjata kita pun bersenjata. Orang menyerang kita menangkis dan sesekali kita pun menyerang. Tetapi pertahanan batin tidak lain ialah sabar dan takwa.

Al-Sonhadji berkata: Satu peringatan untuk memberi kesedaran kepada orang mukmin supaya tidak terkejut sampai hilang kewarasan dan terperanjat bilamana ujian Allah SWT datang menimpa ke atas harta mereka atau diri mereka.

Semoga kita sentiasa reda dengan ujian Allah dan bersyukur di atas segala nikmatnya. Mudah-mudahan nikmat tersebut akan bertambah dan berkekalan. Amin.

Sumber : http://www.utusan 29/01/2010

Butiran selanjutnya ...

Khamis, Januari 28, 2010

Ibu murung lahir bayi saiz kecil



Ibu hamil harus sentiasa bersifat positif bagi mengelak dilanda kemurungan yang boleh menjejaskan bayi dalam kandungan.

KEBELAKANGAN ini masalah kesihatan mental semakin menjadi perbincangan di kalangan masyarakat berikutan beberapa peristiwa hitam termasuk cubaan bunuh diri, pembunuhan di kalangan ahli keluarga dan sebagainya yang dikaitkan dengan masalah tersebut sebagai puncanya.

Keadaan ini cukup untuk membuktikan bahawa semakin ramai menghadapi masalah kesihatan mental sama ada secara sedar mahupun tidak. Berbanding kaum Adam, golongan wanita dikatakan paling banyak menghadapi masalah ini.

Salah satu aspek yang jarang disentuh apabila membicarakan isu ini ialah perkaitan antara kesihatan mental dengan ibu-ibu mengandung.

Satu kajian terbaru yang diterbitkan di dalam Jurnal Paediatrik dan Perinatal Epidemiologi di Amerika Syarikat menunjukkan, kerisauan dan kemurungan (antara simptom gangguan kesihatan mental) yang dialami ibu mengandung memberi kesan kepada saiz bayi dan juga sistem penghadaman bayi tersebut. Lebih teruk kesan kebimbangan atau kemurungan tersebut maka lebih serius jugalah kesan yang akan dialami oleh bayi dalam kandungan mereka.

Penemuan tersebut telah dibuktikan menerusi kajian oleh sekumpulan penyelidik iaitu Shahla M. Hosseini, Minhnoi W. Biglan, Cynthia Larkby, Maria M. Brooks, Michael B. Gorin dan Nancy L. Day. Mereka adalah para penyelidik yang telah mengkaji tentang kaitan antara simptom-simptom kerisauan yang dialami wanita mengandung.

Kajian mereka tertumpu kepada wanita yang berpendapatan rendah yang mana separuh daripadanya berketurunan Afrika-Amerika, manakala selebihnya adalah wanita berketurunan kaukasia. Kumpulan tersebut memang dikenali berisiko tinggi sebagai peminum arak dan ketagihan rokok.

Kajian itu menunjukkan, ibu yang dilanda kebimbangan dan kemurungan akan melahirkan bayi bersaiz kecil. Kajian tersebut turut mengenalpasti kebimbangan yang melanda ibu pada bulan ketiga kehamilan memendekkan tempoh matang saluran penghadaman.

Manakala wanita yang dilanda kebimbangan ketika kehamilan di bulan pertama cenderung melahirkan bayi yang kurang berat dan saiz yang lebih pendek dari yang sepatutnya. Wanita yang menghadapi tekanan dan kebimbangan ketika mengandung juga akan berhadapan dengan masalah ketika mahu bersalin.

Jadi, ibu yang sedang merancang untuk mengandung atau sedang mengandung, jangan terbawa-bawa dengan perasaan bimbang. Ia hanya akan memberi kemudaratan jangka panjang kepada anak anda apabila mereka lahir. Sebaiknya, jika mengalami tekanan ketika hamil rujuk masalah anda kepada pakar perubatan, kaunselor atau boleh juga luahkan kepada rakan-rakan yang anda percayai.

Ingat, kesihatan bayi anda bermula dari dalam kandungan. Sekiranya bayi lahir dalam keadaan tidak sihat adakah anda mampu berhadapan dengan situasi tersebut?

Peganglah pepatah yang penuh makna ini, mencegah itu lebih baik dari mengubati.




Sumber : Utusan 28/01/2010

Butiran selanjutnya ...

Rabu, Januari 27, 2010

Ilmu lentokkan suami



Assalamualaikum warahmatullah,

Laaaamaaaa saya tak masukkan entry dari Dr Juanda. Kali ini saya kongsikan resipi yang agak menarik untuk peminatnya. Semoga kita mendapat walau sekelumit manafaat daripadanya. Selamat membaca...

Suami anda bermasalah? Anda tidak bahagia dalam perkahwinan? Tetapi, anda masih mencintainya dan mahu dia berubah, tentu sudah banyak pengorbanan yang digadaikan untuk menyelamatkan perkahwinan anda. Tahniah! Kerana anda berani menghadapi tatangan percintaan.

Walaupun kering sudah air mata dan remuk redam hati menjadi saksi perjalanan sehari-hari bagai hidup dalam neraka bersamanya. Anda percaya manusia akan mengalami proses perubahan dalam hidupnya, jadi anda masih menunggu dan memberi peluang kepada suami untuk menjadi lelaki yang baik dan bertanggungjawap.

Pelbagai masalah rumahtangga yang dialami wanita, sebenarnya hal ini telah berlaku dari zaman berzaman lagi. Di dalam kehidupan Rasulullah SAW, baginda pernah menyaksikan terdapat juga segelintir suami-suami yang suka mendera isterinya, memiliki sifat kedekut dan menganggap wanita itu makhluk yang diciptakan semata-mata sebagai pemuas nafsu bahagia kaum lelaki tanpa memiliki hak dan maruah yang perlu dijunjung tinggi.

Setelah Islam hadir dalam kehidupan, kaum perempuan yang dahulunya tertindas kini terbuka rantai-rantai besi yang membelenggu jiwanya dan akhirnya membawa harapan baru dalam kehidupan mereka sehingga kini.

Perjuangan Islam dalam membela kaum wanita tercermin dalam sabda-sabda baginda SAW yang agung seperti yang bermaksud, “Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik budi pekertinya. Orang yang paling baik di antara kalian ialah yang paling baik kepada isterinya.” (Hadis riwayat Imam Tirmizi)

Sabda baginda SAW yang lain yang bermaksud, “Janganlah seorang lelaki memarahi isterinya apabila dia tidak suka terhadap salah satu perangainya, kerana masih ada perangai lain yang ia senangi dari dirinya.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Sabda baginda SAW lagi dalam Hajjatul Wada’ yang bermaksud, “Ingatlah, berilah nasihat yang baik kepada isteri-isteri kalian, sesungguhnya mereka memerlukan perlindunganmu, sedikit pun kalian tidak boleh berbuat kejam terhadap mereka, kecuali mereka telah nyata melakukan kemaksiatan. (Jika demikian) janganlah kamu menemani mereka di tempat tidur dan pukullah mereka dengan pukulan yang tidak melukai. Bila mereka telah taat, janganlah kalian melakukan kekerasan terhadap mereka. Ingatlah, sesungguhnya kalian memiliki hak ke atas isteri dan isteri-isteri mempunyai hak ke atas kalian.” (Hadis riwayat Imam Tirmizi)

NB: Lihatlah keindahan akhlak Rasulullah SAW dalam membela hak-hak wanita yang dilakarkan melalui hadis-hadisnya. Mengapa orang zaman sekarang mudah saja menganiaya seorang wanita yang bergelar isteri? Apakah salah jika seseorang itu membela kaum wanita? Ada pula yang tergamak menuduh saya 'sesat' kerana begitu mempertahankan hak-hak wanita! Terima kasih. Saya doakan semoga mereka yang menuduh itu diberi hidayah oleh Allah SWT dan sempat bertaubat atas dosa-dosa mereka.

Cara mempengaruhi jiwa suami

Di manakah ajaran Islam yang kononnya menindas perempuan? Tetapi mengapa masih ada di kalangan suami-suami yang MENGAKU Muslim tidak segan-segan mendera isteri jika sedikit sahaja kekurangan berada di pihak isteri? Memukul setengah mati, enggan memberi nafkah dan hak-hak isteri kononnya mahu mengajar isteri. Ada sesetengah isteri yang bekerja pula terpaksa menanggung suami yang suka berfoya-foya.

Anak-anak menjadi mangsa akhirnya terlibat dengan kejahatan moral terbiar tanpa didikan ibu bapanya. Kepada mereka yang menghadapi masalah sebegini dengan suami, marilah bermuhasabah diri demi mencari jalan penyelesaian dari kemelut yang melanda rumahtangga anda.

Bagaimanakah cara mempergaruhi jiwa suami supaya dia mahu bertaubat?

1. Fokus pada diri anda dulu, sebelum memperbaiki suami

Ingatlah Allah! Jangan lalai dengan kehidupan duniawi. Punca ketenangan hati manusia ialah apabila dia boleh melupakan dunia yang menyibukkan hatinya. Dunia telah membuat kita lemas dalam gelombang ujian, hati menjadi sibuk menghadapi perasaan-perasaan yang hadir. Takut, gelisah, cemburu, dendam, marah, ego, sedih, gembira, rindu dan merana. Semua itu menyebabkan kita lupa kepada kuasa Allah yang menciptakannya.

Allah Taala berfirman dalam surah al-Munafiqun, ayat 9~11 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingati Allah. Barang siapa yang berbuat demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. Dan belanjakanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu lalu ia berkata: “Ya Tuhanku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian) ku sampai waktu yang dekat, sehingga aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang soleh?” Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila telah datang waktu kematiannya dan Allah Maha mendalam pengetahuan-Nya atas apa yang kamu kerjakan.”

Untuk memperbaiki diri mulakanlah memperbaiki hubungan anda dengan Allah SWT. Kemudian ingatlah sentiasa akan kegelapan kubur dan saat-saat reputnya tubuh badan kita. Bukankah saat itu sudah tiada gunanya lagi harta, suami dan anak melainkan bekalan yang telah dikumpulkan semasa hidup di dunia?

Ramai yang kecewa dengan suami dan putus asa menghadapi karenah anak. Mengapa bersedih? Bukankah mereka tidak boleh menemani di dalam kubur dan menjadi pembela di mahkamah Allah nanti? Tugas anda sekarang, hanyalah berusaha mendampingi mereka dengan keimanan supaya usaha anda itu membuahkan pahala di akhirat nanti.

2. Cukuplah dengan teladan yang baik

Jangan cuba menasihatinya secara langsung. Suami yang menggila biasanya tidak mampu membezakan kejahatan dan kebaikan. Dia telah mengalami kemabukan yang menggelapkan sudut pandang hatinya terhadap keimanan. Saat sebegini, tidak mungkin anda mampu memberi nasihat yang tidak akan menyinggung perasaan ‘kelelakiannya’. Menjadi isteri yang sabar akan memantulkan cahaya ke hati suami sehingga ia mengerti makna kelembutan.

Suami hanya mahukan ketenangan jika bersama anda, jadi jangan memancing kemarahannya. Suatu masa dia boleh menjadi orang yang amat membenci anda tetapi pada masa yang lain lentoklah juga bila anda tahu rahsia kelemahannya. Biasanya dengan seks, layanan perut seperti makan, minum, pakaian dan masa rehatnya. Benda-benda ini amat asas tetapi besar pengaruhnya dalam ikatan jiwanya.

3. Jangan ambil hati

Caranya dengan menyibukkan hati anda dengan benda-benda yang positif. Jadikan hati anda kalis makian dan cercanya. Ingat kebaikannya yang lain dan jasa-jasanya kepada anda dan keluarga.

4. Doa sebagai senjata

Yakinlah kepada Allah dan pohon keampunan dan hidayah-Nya untuk suami, kerana yang berkuasa merubah suami anda hanyalah Allah SWT. Dia menggenggam jiwa hamba-hamba-Nya dan Maha Menentukan nasib kehidupan setiap insan.

Renung-renungkan...



Butiran selanjutnya ...

Mulberry buah pelbagai guna

Pokok Mulberry

Assalamualaikum warahmatullah,

Pada suatu ketika, saya pernah dikirimkan tunas pokok Mulberry oleh sseorang rakan blogger, UMMU WAHEEDAH, malangnya tunas itu hidupnya tidak menjadi. Sudah lama diwar-warkan khasiat daun teh Mulberry tapi tiada kesempatan untuk membuat research, jadi entry ini telah 'pending' sekian lama. Alhamdulillah, hari ini saya berpeluang kongsikan sedikit maklumat tentang pokok Mulberry ini. Sedikit search telah dibuat dan khasiat pokok Mulberry ini telah saya kumpulkan. Jangan lupa mencuba teh daun Mulberry ya! Boleh order di sini --> Teh Daun Mulberry.

Mulberry merupakan tumbuhan asli di bahagian tengah dan timur China. Dikenali dengan nama botaninya, Morus Alba, pokok mulberi yang ditanam di negara China adalah Mulberry putih. Pokok mulberi lain yang menghasilkan buah berwarna hitam dan merah pula banyak ditanam di negara-negara beriklim tropika dan sub-tropika.

Salah satu kegunaan bahagian pokok Mulberry, terutama daunnya adalah sebagai makanan utama ulat sutera. Maka disebabkan itulah jika di Malayasia, daun pokok Mulberry dikenali sebagai daun ulat sutera atau besaram.




Buah Mulberry (closed up)

Buah Mulberry mengandungi asid sitrik, gula dan vitamin C. Daun Mulberry pula mengandungi adenin, amilas, asid suksinik, karotena dan kolin. Biji Mulberry mengandungi ureas. Manakala kulit akar pokok mulberi mengandungi beta-amirin, minyak meruap, resinotanol dan sitosterol.

Bagi masyarakat di negara China, selain buahnya boleh dimakan segar atau dibuat jem, terdapat juga kegunaan lain. Secara tradisionalnya, buah Mulberry telah digunakan sebagai agen ubatan bagi memberi khasiat kepada yin dan darah, memberi kebaikan kepada buah pinggang dan merawat masalah lemah, keletihan, anemia dan masalah rambut beruban.

Kuatkan sistem cerna dan serapan

Buah Mulberry turut digunakan untuk merawat masalah ketidak-bolehan mengawal keluarnya air kencing, pening dan masalah sembelit warga tua. Disebabkan banyak khasiatnya, maka jus Mulberry telah dihasilkan secara komersial sebagai makanan kesihatan dan amat popular di China, Jepun dan Korea. Bukan itu sahaja, buah yang telah dikeringkan juga boleh dijadikan sebagai pengganti raisin.

Buah Mulberry juga dikatakan mampu memberi khasiat dan merangsang penghasilan cecair badan. Mereka yang mengalami masalah kekurangan cecair, mulut mereka anak kering dan lidah terasa panas. Elok juka mereka makan buah ini bagi memberi khasiat dan menambahkan cecair badan. Mereka yang mengalami masalah mata kering akibat keletihan mata dan akibat bekerja boleh juga mengambil jus mulberi bagi menambahkan cecair badan dan menguatkan penglihatan.




Buah Mulberry lagi

Buah Mulberry juga mengandungi unsur-unsur khasiat seperti mineral dan vitamin. Dikatakan dengan memakan buah Mulberry, mampu membantu menyembuhkan penyakit kronik pada saluran pencernaan, merangsang rembesan cecair gastrik, menguatkan kebolehan bagi mencerna dan menyerap, memperbaiki selera makan dan membuang kembung perut dan sembelit. Wanita yang mengalami simptom-simptom seperti anemia, kepucatan, rasa pening, sukar untuk tidur dan jantung berdebar-debar dengan kerap terutamanya selepas melahirkan bayi, bolehlah mengambil jus mulberi dengan kerap bagi mengurangkan simptom-simptom tersebut.

Ubat kebas tangan dan kaki

Daun Mulberry pula dikatakan boleh direbus dan digunakan sebagai ubat mencuci mata yang merah dan bengkak. Daun yang telah kering pula dikatakan boleh dicampur dengan air mendidih atau direbus. Air ini dikatakan boleh diminum untuk tujuan membersihkan tubuh badan, merangsang peluh, ubat batuk, demam panas dan selsema.




Daun Mulberry

Daun yang telah dipanaskan pula dikatakan boleh disapu minyak dan dijadikan sebagai ubat tampal pada luka yang parah. Bagi mereka yang mengalami masalah gigitan atau sengatan serangga, daun yang telah ditumbuk lumat boleh dijadikan sebagai unat tampal pada bekas gigitan atau sengatan serangga tersebut. Jika mengalami masalah tangan atau kaki yang kebas, bolehlah mengambil getah daripada daun atau ranting mulberi, kemudiannya gosokkan pada bahagian yang kebas.

Akar pokok Mulberry boleh direbus dan dijadikan sebagai air minum bagi merawat asma, batuk, busung, melawaskan pembuangan air kecil dan radang. Air rebusan kulit pokok mulberi pula dikatakan boleh diminum untuk merawat sistem pernafasan, asma, batuk, bronchitis, busung, menyingkirkan kahak dan hingus, tekanan darah tinggi, kebas tangan atau kaki. Ranting kering pokok mulberi pula dikatakan boleh direbus dan dijadikan sebagai air minum bagi merawat demam panas dan mengatasi rasa sakit.

Walaupun terdapat pelbagai khasiat dan kebaikan Mulberry, perlulah mendapatkan nasihat daripada pengamal perubatan bagi mengelakkan kemudaratan di kemudian hari kelak.

Capaian entry berkaitan :

  1. Teh Daun Mulberry

Capaian entry berkaitan di rakan blogger :

  1. http://bertanamlah.blogspot.com/2009/04/mulberi-ipoh.html




Penafian – Maklumat ini adalah untuk perkongsian ilmu sahaja dan bermaksud untuk pengetahuan am, artikel ini tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan. Anda disarankan mendapatkan nasihat doktor sebelum mengambil sebarang persediaan herba.

Butiran selanjutnya ...

Selasa, Januari 26, 2010

Ada apa dengan telur?


Assalamualaikum warahmatullah,

Bismillah... Hari ini topik sedikit 'lari' daripada biasa. Saya ingin kongsikan di sini kisah telur. Pagi tadi saya bersarapan nasi lemak bersama sebiji telur goreng. Walaupun set nasi lemak saya disertakan dengan telur rebus yang dipotong ½, kebiasaannya saya akan order sebiji telur goreng untuk melengkapkan menu nasi lemak saya. Sedap!

Telur ayam adalah makanan asli yang ideal dan diterima sebagai diet manusia di seluruh dunia. Sejak turun-temurun lagi, telur ayam menjadi makanan dan ubat bagi berbilang bangsa di negara kita ini. Telur disediakan untuk hidangan dalam berbagai gaya – separuh masak, tiga suku masak, rebus, goreng, sambal, kari dan sebagainya. Semuanya sedap belaka. Di Malaysia, telur ayam merupakan 28.8% daripada jumlah sumbangan pengeluaran ternakan. Penggunaan (consumption) telur per kapita bagi tahun 1985 ialah 222 biji telur ayam dan 7.5 biji telur itik.

Banyak pula penawar atau ubat tradisional bagi berbagai penyakit yang menggunakan telur ayam. Telur ayam kampung amat tinggi permintaannya kerana ia mengandungi vitamin dan galian yang mencukupi hasil dari pemakanan yang asli dan organik, iaitu bebas dari bahan kimia. Sebiji telur ayam mengandungi lebih kurang 10% cangkerang, 30% kuning telur dan 60% albumen (mengikut berat). Kandungan kimia telur ayam, telur itik dan telur puyuh tidak terlalu berbeza di antara satu dengan lain, kecuali kandungn kolestrol telur itik adalah tinggi sedikit iaitu lebih kurang 16.20 mg bagi setiap gram kuning telur. Kandungan telur kaya dengan protein, vitamin dan lemak yang mudah dihadam. Telur juga merupakan punca mineral perlu dan mengandungi kalori yang rendah. Nilai pemakanan telur tidak bergantung kepada warna cangkerangnya.

Pernahkah kita terfikir, bagaimana sebiji telur ayam yang kecil itu mampu menghasilkan seekor anak ayam yang sempurna? Anak ayam ini semasa di dalam kulit telurnya tidak mendapat makanan dari luar. Sebaliknya ia memperolehi bahan-bahan makanan yang seimbang dan mencukupi hanya dari dalamnya sahaja. Ini bermakna, bahan-bahan yang terkandung di dalam sebiji telur ayam itu sudah cukup lengkap untuk membentuk seekor anak ayam yang sihat.

Apakah yang terkandung di dalam sebiji telur ayam ini sehingga mampu membekalkan bahan-bahan yang diperlukan untuk hidup di dalam kulitnya selama lebih kurang 21 hari? Secara zahirnya, telur terbahagi kepada dua bahagian, iaitu bahagian putih (albumin) dan kuning (egg yolk).

Bahagian putih ini mengandungi protein-albumin dan tidak mengandungi vitamin larut lemak. Apa yang agak unik ialah ia mengandungi sejenis lagi protein yang dipanggil ‘avidin’, iaitu sejenis bahan antibiotic semulajadi yang amat berguna untuk melawan jangkitan mikro organisma yang dapat merosakkan telur itu. Antibiotik ini wujud bersama-sama dengan biotin dan akan musnah apabila dimasak. Kadar lemak dan kalori dalam telur adalah rendah tetapi ia kaya dengan sumber protein dan vitamin A.

Bahagian kuning telur merupakan makanan yang mengandungi zat yang berbagai dan seimbang. Selain kolesterol, ia mengandungi banyak zat-zat makanan yang penting. Di antaranya ialah 67 mg sulfur atau 8% daripada keperluan kita seharian. Jumlah ini bukan mudah untuk kita perolehi dalam lain-lain makanan.

Sebiji telur juga mengandungi :

  • 0.7 mg zink
  • 1.2 mg besi
  • 5.5 mg magnesium
  • 16 mg inositol
  • 27 mg kalsium
  • 76 mg potassium
  • 253 mg choline
  • 100 mg fosforus
  • 590 unit vitamin A

Selain daripada yang disebutkan di atas, telur juga mengandungi :
  • lecithin,
  • tryptophan,
  • pyridoxine (B6),
  • biotin,
  • asid folik,
  • riboflavin (B2),
  • thiamin (B1),
  • asid pantotenik (B5),
  • selenium,
  • asid amino,
  • methionin
  • cystin.

Khasiat mencukupi

Telur ayam adalah satu-satunya makanan semulajadi yang sangat berkhasiat dan juga antara sumber protein yang paling baik di muka bumi. Dalam tiga daripada empat kaedah saintifik yang lazim diguna untuk mengukur kualiti protein, telur memperoleh skor yang jauh lebih tinggi daripada sumber-sumber protein lain seperti susu, daging lembu, whey dan soya.
Sebab inilah, telur boleh dianggap sebagai makanan yang ideal untuk setiap orang. Sumber-sumber proteinnya mencukupi dan nisbah sumber-sumber galiannya juga telah cukup sempurna untuk tumbesaran.

Kita sering mendengar tentang hubungan kolesterol jahat dengan telur. Adalah diakui bahawa kandungan kolesterol di dalam sebiji telur sangat tinggi, iaitu 275 mg. Tubuh badan kita memerlukan kira-kira 800 mg kolesterol sehari. Kebanyakan orang takut memakan telur kerana kolesetrol tetapi sebenarnya choline dan phosphytidylcholine dalam kuning telur membantu mengelak longgokan kolesterol dan lemak dalam hati dan pembuluh darah. Choline juga membentuk metabolite dipanggil betaine yang berfungsi mengurangkan homocystin, salah faktor penyebab serangan sakit jantung.

Seseorang yang tidak memakan telur atau daging mungkin akan mengambil kira-kira 200 mg kolesterol sehari. Jika dia mengambil susu skim dan Margerin sayuran, jumlah pengambilan kolesterolnya rendah, iaitu antara 100-150 mg sehari. Jumlah kandungan kolesterol dalam telur belum dapat dibuktikan lagi mudaratnya. Tambahan pula, badan manusia akan membina kolesterol ini lebih kurang 1-2 mg sehari (kira-kira 4-8 biji telur). Semestinya, kolesterol (jika tidak diambil berlebihan) bukanlah bahan yang perlu ditakuti, tetapi sebagai sumber yang perlu untuk pertumbuhan badan dan membantu mengukuhkan lagi sistem ketahanan badan.

Makan telur semata-mata tidak akan menyebabkan kita sakit jantung tetapi kemungkinan besarnya adalah disebabkan oleh diet yang tidak seimbang atau tidak ketentuan kandungan dan masanya. Menurut Harvard Medical School Guide to Healthy Eating tidak pernah ada penyelidikan yang menunjukkan bahawa orang memakan telur dengan banyak mendapat lebih banyak serangan sakit jantung daripada orang yang memakan sedikit telur.

Zat-zat makanan seperti vitamin C, niasin, magnesium, zink, kromium, lecithin dan beberapa faktor lain seperti karbohidrat serta senaman yang kerap boleh mengekalkan tahap kolesterol pada kadar yang seimbang dengan menggunakan badan dan mengelakkan daripada penyakit atherosclerosis, di mana pembuluh darah tersumbat dan menimbulkan berbagai kesulitan.

Tahap kolesterol dalam darah menjadi tinggi mungkin disebabkan oleh diet yang kebanyakkannya terdiri dari makanan ringan yang telah diproses (refined junk food). Dari beberapa kes klinikal, didapati pesakit-pesakit ‘rheumatoid arthritis’ memerlukan dua biji telur sehari dan kebiasanya, pesakit-pesakit ini tidak suka makan telur. Mereka yang menghidap ‘hypoglecemia’ pula memerlukan lebih banyak telur sebagai pengalas perut.

Choline di dalam kuning telur juga diperlukan untuk membentuk ‘neurotransmitter’ Acettylcholine yang sangat mustahak untuk daya ingatan (memory) dan pemikiran (thought) dan melindungi kita daripada nyanyuk termasuk penyakit Alzheimer. Jadi, telur, seperti ikan adalah makanan otak! Oleh kerana phosphatidylcholine bahan asas membran sel dan kebanyakan metabolisma dalam hati berlaku di membran sel, ianya membantu melindungi hati daripada pelbagai jenis toksin.

Menurut pengarang buku Eye Care Naturally, Dr. Michael Geiger dari New York, Lutein yang terdapat dalam bahagian dalaman mata (retina) khususnya “macula” melindungi mata daripada kesan buruk high energy blue wavelengths dalam matahari dan lampu rumah. Kandungan sulfur yang tinggi dalam kuning telur juga menyebabkan orang nampak anggun kerana rambut dan kuku mereka yang sihat dan cantik.

Satu kajian yang dimuatkan dalam Jurnal Cancer Epidemilogy Biomarkers and Prevention keluaran Januari 2005 tentang kanser payu dara di kalangan orang perempuan Cina yang berhijrah dari Cina ke Hong Kong dan seterusnya di Amerika Syarikat mendapati :
  • Mereka yang memakan banyak sayur dan buah-buahan kurang mendapat kanser payu dara – tiada kejutan tentang fakta ini.
  • Mereka yang memakan banyak telur ayam juga kurang kemungkinan mendapat kanser payu dara. Yang memakan enam biji telur seminggu dibanding dengan mereka yang memakan dua biji telur seminggu didapati merendahkan risiko kanser sebanyak 44%!

Tenaga tambahan

Bagi pesakit yang mempunyai tahap kolesterol yang tinggi, terlebih dahulu harus diuji untuk mengetahui kandungan zink di dalam badan, lebihan kuprum dan spectrum lipid dalam darahnya. Pesakit ini adalah dinasihatkan supaya mengambil diet makanan yang bersesuaian. Orang yang tidak makan telur juga mungkin masih menghadapi masalah kolesterol kerana kolesterol masih boleh terbina dalam arterinya.

Oleh itu, makanlah sebiji atau dua biji telur sehari, sebagai sumber makanan yang seimbang dan murah, kecuali mereka yang menghadapi penyakit jantung yang berisiko tinggi. Selangkan 2-3 hari mengikut Menu Pusingan. Bagi mereka yang hanya makan sayur (vegetarian), telur merupakan sumber bagi vitamin B12 yang hanya boleh didapati daripada haiwan sahaja.

Bayi yang berumur 6 bulan juga boleh memperoleh dos zat besi dan sulfur daripada telur. Bayi memerlukan bahan-bahan ini kerana kandungan pada susu adalah sedikit. Walau bagaimanapun, terdapat bayi yang kurang 12 bulan mengalami alahan telur. Ibu-ibu boleh berikan sedikit telur sahaja kepada bayi untuk melihat sama ada bayi mempunyai alahan atau tidak. Sekiranya bayi/anak anda ada alahan telur:-
  • Elakkan memakan telur dan makanan yang mengandungi telur (walaupun kandungan telur adalah sedikit tetapi boleh menyebabkan reaksi yang teruk)
  • Baca dengan teliti label makanan dan elakkan yang ada telur
  • Rancang langkah kecemasan sekiranya mengalami reaksi alahan
  • Bawa bersama ubat ‘EpiPen’ ke mana-mana, jika ada
  • Pakaikan gelang yang ada ‘medi alert’ di pergelangan tangan anak
  • Beritahu penjaga atau guru mengenai keadaan kesihatan anak
  • Minta nasihat doctor mengenai reaksi alahan apabila menerima imunisasi MMR (Mumps, Measles, Rubella).

Telur tidak boleh disimpan lama atau disimpan di tempat yang panas kerana sulfur yang terkandung di dalamnya akan menjadi rosak dan akhirnya busuk. Kita memerlukan sulfur dan bahan-bahan lain seperti selenium untuk membina kulit, rambut, kuku dan juga membina asid-asid amino dalam sel-sel otak dan untuk membina unsur-unsur garam sulfuric dalam sendi-sendi tulang.

Telur boleh dimakan semasa sarapan pagi dalam bentuk separa masak. Jika direbus keras, lechitin akan rosak. Menggoreng telur pula akan meningkatkan kalorinya dan merosakkan lecithin. Walau bagaimanapun, memakan telur masih merupakan satu cara yang baik dan murah untuk kita mendapatkan tenaga tambahan dan keupayaan berfikir. Demikianlah dalil-dalil yang menunjukkan tentang kebaikan telur. Ia merupakan anugerah Allah yang istimewa kepada manusia.

Renung-renungkan.





Sumber : Kompilasi Dato’ Dr Noor Laily Dato’ Abu Bakar (NURY), AngkasaCoop, MARDI dan tambahan sendiri.

Butiran selanjutnya ...

Isnin, Januari 25, 2010

Ingatan bagi pelupa: Fadilat baca 10 ayat surah al-Baqarah

Assalamualaikum warahmatullah,

Saya baru saja selesai mentelaah buku yang bertajuk "Zikir & Doa - Penangkal Gangguan Jin & Syaitan" oleh Jamaluddin Ibrahim Mydin (Penerbit al-Hidayah Publication) dan terserempak pula dengan doa yang sama yang dipetik dari BHarian 2010/01/25.


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

الٓمٓ (١) ذَٲلِكَ ٱلۡڪِتَـٰبُ لَا رَيۡبَ‌ۛ فِيهِ‌ۛ هُدً۬ى لِّلۡمُتَّقِينَ (٢) ٱلَّذِينَ يُؤۡمِنُونَ بِٱلۡغَيۡبِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقۡنَـٰهُمۡ يُنفِقُونَ (٣) وَٱلَّذِينَ يُؤۡمِنُونَ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ وَمَآ أُنزِلَ مِن قَبۡلِكَ وَبِٱلۡأَخِرَةِ هُمۡ يُوقِنُونَ (٤) أُوْلَـٰٓٮِٕكَ عَلَىٰ هُدً۬ى مِّن رَّبِّهِمۡ‌ۖ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ (٥) إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ سَوَآءٌ عَلَيۡهِمۡ ءَأَنذَرۡتَهُمۡ أَمۡ لَمۡ تُنذِرۡهُمۡ لَا يُؤۡمِنُونَ (٦) خَتَمَ ٱللَّهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمۡ وَعَلَىٰ سَمۡعِهِمۡ‌ۖ وَعَلَىٰٓ أَبۡصَـٰرِهِمۡ غِشَـٰوَةٌ۬‌ۖ وَلَهُمۡ عَذَابٌ عَظِيمٌ۬ (٧) وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَقُولُ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَبِٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ وَمَا هُم بِمُؤۡمِنِينَ (٨) يُخَـٰدِعُونَ ٱللَّهَ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَمَا يَخۡدَعُونَ إِلَّآ أَنفُسَهُمۡ وَمَا يَشۡعُرُونَ (٩) فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌ۬ فَزَادَهُمُ ٱللَّهُ مَرَضً۬ا‌ۖ وَلَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمُۢ بِمَا كَانُواْ يَكۡذِبُونَ (١٠)


DIRIWAYATKAN daripada Ibn Mas’ud r.a, katanya: “Sesiapa membaca 10 ayat daripada surah al-Baqarah ketika awal waktu siang, syaitan tidak akan menghampirinya hingga ke petang. Jika ia membacanya pada waktu petang, syaitan tidak mendekatinya hingga ke pagi. Ia juga tidak akan melihat sesuatu yang ia benci pada keluarga dan harta bendanya,” (Riwayat al-Darimi, al-Bhaihaqi di dalam kisah Syu’ab al-Iman).


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

الٓمٓ (١) ذَٲلِكَ ٱلۡڪِتَـٰبُ لَا رَيۡبَ‌ۛ فِيهِ‌ۛ هُدً۬ى لِّلۡمُتَّقِينَ (٢) ٱلَّذِينَ يُؤۡمِنُونَ بِٱلۡغَيۡبِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقۡنَـٰهُمۡ يُنفِقُونَ (٣) وَٱلَّذِينَ يُؤۡمِنُونَ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ وَمَآ أُنزِلَ مِن قَبۡلِكَ وَبِٱلۡأَخِرَةِ هُمۡ يُوقِنُونَ (٤)

(Surah al-Baqarah, ayat 1~4)


ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡحَىُّ ٱلۡقَيُّومُ‌ۚ لَا تَأۡخُذُهُ ۥ سِنَةٌ۬ وَلَا نَوۡمٌ۬‌ۚ لَّهُ ۥ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَمَا فِى ٱلۡأَرۡضِ‌ۗ مَن ذَا ٱلَّذِى يَشۡفَعُ عِندَهُ ۥۤ إِلَّا بِإِذۡنِهِۦ‌ۚ يَعۡلَمُ مَا بَيۡنَ أَيۡدِيهِمۡ وَمَا خَلۡفَهُمۡ‌ۖ وَلَا يُحِيطُونَ بِشَىۡءٍ۬ مِّنۡ عِلۡمِهِۦۤ إِلَّا بِمَا شَآءَ‌ۚ وَسِعَ كُرۡسِيُّهُ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضَ‌ۖ وَلَا يَـُٔودُهُ ۥ حِفۡظُهُمَا‌ۚ وَهُوَ ٱلۡعَلِىُّ ٱلۡعَظِيمُ 

(Surah al-Baqarah ayat 255 - Ayat Kursi)


لَآ إِكۡرَاهَ فِى ٱلدِّينِ‌ۖ قَد تَّبَيَّنَ ٱلرُّشۡدُ مِنَ ٱلۡغَىِّ‌ۚ فَمَن يَكۡفُرۡ بِٱلطَّـٰغُوتِ وَيُؤۡمِنۢ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱسۡتَمۡسَكَ بِٱلۡعُرۡوَةِ ٱلۡوُثۡقَىٰ لَا ٱنفِصَامَ لَهَا‌ۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ (٢٥٦) ٱللَّهُ وَلِىُّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ يُخۡرِجُهُم مِّنَ ٱلظُّلُمَـٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ‌ۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُوٓاْ أَوۡلِيَآؤُهُمُ ٱلطَّـٰغُوتُ يُخۡرِجُونَهُم مِّنَ ٱلنُّورِ إِلَى ٱلظُّلُمَـٰتِ‌ۗ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ أَصۡحَـٰبُ ٱلنَّارِ‌ۖ هُمۡ فِيہَا خَـٰلِدُونَ (٢٥٧

(Surah al-Baqarah ayat 256~257)


لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَا‌ۚ لَهَا مَا كَسَبَتۡ وَعَلَيۡہَا مَا ٱكۡتَسَبَتۡ‌ۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذۡنَآ إِن نَّسِينَآ أَوۡ أَخۡطَأۡنَا‌ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحۡمِلۡ عَلَيۡنَآ إِصۡرً۬ا كَمَا حَمَلۡتَهُ ۥ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِنَا‌ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلۡنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِۦ‌ۖ وَٱعۡفُ عَنَّا وَٱغۡفِرۡ لَنَا وَٱرۡحَمۡنَآ‌ۚ أَنتَ مَوۡلَٮٰنَا فَٱنصُرۡنَا عَلَى ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡڪَـٰفِرِينَ (٢٨٦

(Surah al-Baqarah ayat 286)


Ibn Mas’ud r a, meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesiapa membaca 10 ayat: Empat daripada awal surah al-Baqarah, ayat al-Kursi, dua ayat selepasnya dan ayat penutup surah al-Baqarah, nescaya syaitan tidak akan memasuki rumah itu hingga pagi,” (Riwayat al-Tabrani dalam al-Kabir dan riwayat al-Hakim, kata hadis dinilai Sahih).

Semoga bermanafaat.




Capaian entry berkaitan :
  1. Ayat Kursi hindari perbuatan pukau dan sihir
  2. Kelebihan surah-surah dalam al-Quran

Butiran selanjutnya ...

Avent ISIS Manual Breast Pump Spareparts

Assalamualaikum,

Anda pengguna Avent ISIS Manual Breast Pump? Entry ini hampir tiada kaitan dengan apa yang saya selalu masukkan di LAMAN-SERi. Tetapi ia bagus untuk rujukan ibu yang menyusukan bayi dan pengguna Avent Breast Pump. Saya jumpa entry ini di MegaHasz, setelah 'JENUH' search sumber untuk mendapatkan sparepart breast pump ini. Aktiviti 'mengepam' khas untuk si comel saya tergendala akibat kerosakan teruk yang dialami oleh 'star valve' terakhir saya, jadi saya harap perkongsian maklumat ini dapat membantu ibu-ibu yang mengalami masalah yang sama dengan saya.


Avent ISIS Manual Breast Pump


Avent ISIS Manual Breast Pump - Out and About Set



Spareparts Avent ISIS Manual Breast Pump


Ada masalah dengan sparepart ini ---> White Star Valve?

Avent breast pump sparepart White Star Valve


Bila dah pakai, lama-lama biasanya White Star Valve ini akan mengembang. Hari-hari cuci, rendam air panas dan aktiviti mensteril, maka satu ketika nanti akan tiba 'ajalnya', maka rosaklah ia. Dalam Avent ISIS Out and About Set, ada disertakan sparepart ini, bersama dengan lagi satu sparepart yang diberi nama Silicone Diaphragm (with stem). Pakai lagi dan lama-lama masalah yang sama akan jadi. Mesti geramkan? Tengah syok mengepam terpaksa berhenti untuk betulkan. Boleh mengganggu proses mengepam dan mood saja.

Satu cara anda boleh buat, tukarkan star valve ini dengan sparepart yang lain, iaitu dengan menggunakan 'pump valve'.

pump valve


pump valve (closed up)


Jangan risau, pump valve ini muat dengan Avent ISIS Manual Breast Pump. Kalau dah pasang beginilah rupanya.


pandangan dari atas


pandangan dari bawah


pandangan dari tepi


Avent Breast Pump Valve saya masih lagi mencarinya, online kiosk memang banyak, tapi sparepart kecik gitu mahal weh... Nak ke Kinderjk di Plaza Damas Damansara Height malaslah pulak, harganya tentu lebih kurang harga online... Kirim saja pada adik yang akan ke LHR, hujung bulan ini. Kalau beli di LHR, harganya lebih murah.

Semoga entry ini dapat membantu ibu-ibu yang juga bermasalah seperti saya. Selamat mencuba!


Butiran selanjutnya ...

Memastikan perintah nafkah dilaksana

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

Badan Sokongan Keluarga bukan agensi kebajikan bantu wanita bercerai

"SAYA dalam proses nak bercerai. Boleh tak saya dapat duit daripada RM15 juta itu? Sikit pun tak apa. Jika saya dijamin boleh dapat duit itu, saya pasti akan bercerai."

Itu antara pertanyaan daripada pemanggil yang menelefon Badan Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) berhubung dana RM15 juta yang disalurkan kerajaan kepada BSK, baru-baru ini.

Pertanyaan itu satu daripada puluhan atau mungkin ratusan, jika dijumlah kesemua panggilan diterima BSK di setiap negeri sejak pengumuman dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, mengenai keputusan Kabinet meluluskan peruntukan RM15 juta kepada BSK.

Timbalan Pengarah BSK, Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata perasaan teruja terhadap dana RM15 juta yang bakal disalurkan kepada BSK menyebabkan timbul salah faham seolah-olah BSK adalah badan kebajikan membantu wanita yang bercerai.

Katanya, tanggapan masyarakat yang menyangka BSK adalah badan kebajikan perlu diperbetulkan kerana matlamat utama penubuhan BSK adalah untuk memastikan perintah dikeluarkan Mahkamah Syariah dilaksanakan dengan berkesan.

"Perlu ditekankan BSK bukan badan kebajikan dan masyarakat tidak boleh fikir hendak dapatkan duit daripada badan ini. Tugas BSK ialah sebagai penguatkuasa pelaksanaan perintah mahkamah yang tidak dipatuhi terutama membabitkan nafkah anak selepas perceraian pasangan. Kebanyakan perintah pemberian nafkah dikeluarkan Mahkamah Syariah tidak dipatuhi menyebabkan anak dan bekas isteri terumbang ambing untuk meneruskan kehidupan. Oleh itu, BSK akan memastikan bapa dan bekas suami melaksanakan perintah itu," katanya.

Beliau berkata, BSK ditubuhkan hasil mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Ke-46 yang dipengerusikan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, melihat kelemahan penguatkuasaan pelaksanaan perintah dikeluarkan Mahkamah Syariah khususnya nafkah anak.

Justeru, JKSM diarah menubuhkan satu bahagian baru bertanggungjawab memastikan perintah dikeluarkan mahkamah dilaksanakan dan pada 20 Oktober 2008, BSK ditubuhkan secara rasmi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pada mulanya, BSK mendapat dana sebanyak RM500,000 hasil sumbangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebelum Kabinet meluluskan peruntukan RM15 juta bagi membantu isteri serta anak yang tidak mendapat nafkah.

Mohd Na'im berkata, berbeza dengan agensi kebajikan lain yang memberi bantuan hangus, apa yang diberikan BSK kepada pihak sepatutnya menerima bayaran nafkah (anak) akan dibayar semula oleh pihak berhutang (bapa).

Oleh itu katanya, apa yang diberikan BSK kepada bekas isteri dan anak adalah bayaran pendahuluan bagi melaksanakan perintah nafkah yang dikeluarkan terhadap bapa untuk memastikan anak dapat meneruskan kehidupan dengan sempurna.

"Jadi perlu jelas di sini, bayaran dibuat BSK kepada bekas isteri dan anak adalah bayaran pendahuluan atau dalam bahasa mudah ialah pinjaman kerana kita tidak mahu kehidupan anak terjejas disebabkan sikap tidak bertanggungjawab bapa mengingkari perintah mahkamah. Apabila kita dapat menguatkuasakan perintah membayar nafkah itu nanti, bapa yang berhutang perlu membayar balik wang yang diberikan BSK. Diharap, masyarakat tidak keliru kerana dana BSK tidak sama dengan dana agensi kebajikan lain," katanya.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata sebelum ini apabila berlaku ketidakpatuhan kepada perintah nafkah yang dikeluarkan Mahkamah Syariah oleh bekas suami, tidak ada agensi atau badan yang boleh membantu bekas isteri.

Pemahaman bekas isteri bahawa tugas itu akan dilakukan mahkamah menyebabkan penantian mereka ibarat menunggu buah yang tidak gugur. Sebenarnya menjadi tanggungjawab isteri untuk memaklumkan mahkamah jika suami mengingkari perintah mahkamah.

Kini, dengan ada BSK yang khusus melihat kepada isu perintah bayaran nafkah dikeluarkan mahkamah, bekas isteri boleh membuat aduan dan BSK akan memastikan perintah itu dilaksanakan pihak sepatutnya.

BSK mempunyai tiga seksyen yang berkait antara satu sama lain dan bekerja beriringan iaitu Seksyen Khidmat Nasihat, Seksyen Penguatkuasaan dan Pelaksanaan Perintah serta Seksyen Dana yang menyalurkan bayaran kepada penerima nafkah.

Mohd Na'im berkata, apabila menerima aduan daripada ibu yang mendapat perintah mahkamah mengenai ketidakpatuhan bekas suami melaksanakan perintah itu, BSK akan memanggil bekas suami untuk datang ke mahkamah bagi sesi khidmat nasihat.

Katanya, melalui sesi khidmat nasihat itu BSK akan menasihatkan bapa mengenai tanggungjawab bukan saja daripada sudut perundangan malah juga hukum syarak selain menyiasat sebab musabab kenapa bapa enggan melaksanakan perintah itu.

"Sebolehnya kita harap masalah nafkah ini dapat diselesaikan melalui khidmat nasihat. Sebab itu kita bukan saja terangkan aspek perundangan, kita beri kefahaman bahawa tidak kira apa yang berlaku bapa wajib memberi nafkah kepada anak. Apabila kita minta dia bayar dan dia setuju bayar, Alhamdulillah. Tetapi jika selepas sesi khidmat nasihat, bapa tadi enggan juga melaksanakan perintah mahkamah, BSK dengan kuasa diberi oleh mahkamah boleh mengambil tindakan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah," katanya.

Antara tindakan boleh diambil oleh seksyen penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah ialah mendapatkan perintah mahkamah bagi menahan, merampas dan menjual harta penghutang untuk membayar tunggakan.

Pindaan Undang-udang Keluarga Islam juga bakal memudahkan tugas pelaksanaan apabila diwujudkan akta bagi bapa yang tidak mampu memberi nafkah, tugas itu dipertanggungjawabkan kepada datuk atau adik beradik sebelah bapa.

Mengenai bapa dan bekas suami yang gagal dikesan atau halimunan, Mohd Na'im berkata BSK menjalinkan kerjasama dengan agensi lain seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara bagi menjejaki pihak berhutang.

"BSK akan terus mencari dan menyiasat tetapi jika pihak berhutang itu gagal juga ditemui, itu di luar kuasa kita. Bagaimanapun, BSK akan membantu mahkamah memastikan perintah nafkah yang dikeluarkan dilaksanakan," katanya.

Sumber : BHarianOnLine 2010/01/18

Capaian entri berkaitan :

  1. Nafkah sementara lindungi keluarga teraniaya
  2. Bantuan Ibu Tunggal dan Anak Tinggal (Alimony Aid)
  3. Kabinet lulus RM15 juta bantu isteri terabai
  4. RM15mil allocation for Muslim women who don’t get support
  5. Alimony aid for Muslim women caught in divorce wrangles
  6. It will be a great help, says struggling single mother

Butiran selanjutnya ...

Ahad, Januari 24, 2010

CERPEN : Pak Kaduk

Oleh Nassury Ibrahim


"EH, bukankah itu Pak Kaduk," kata Haji Hassan apabila melihat visual berita di skrin televisyen. Lantas, dia memanggil isteri bagi mengecam dan memastikannya.

"Yelah, bang. Pak Kaduk."

"Apa yang dia buat tu?"

Setelah tiga hari bersembunyi daripada buruan polis kerana mencopek kupu-kupu malam dan merasai diri tidak selamat lagi kerana wajahnya tersiar dalam visual televisyen, Pak Kaduk bercadang melarikan diri dan menyusup masuk ke Malaysia. Dia memberi alasan kepada isterinya mahu mencari kerja kerana ramai yang pulang dari Malaysia jadi jutawan.

"Aku juga mahu jadi jutawan, bu," Isterinya tidak berkata apa-apa.

Hasil bantuan seorang Tekong Malam, dengan bayaran Rp2 juta, Pak Kaduk berjaya menjejakkan kaki di tanah emas Malaysia. Melalui petunjuk seorang teman, dia menemui Bung Karim di Chow Kit dan 'melaporkan' tujuan kedatangannya. Bung Karim menasihati agar dia tidak terlalu mempercayai seseorang dan berhati-hati ketika berada di tempat awam.

"Di sini," Bung Karim menunjukkan jari telunjuknya ke bawah. "Pak Kaduk dianggap pendatang haram."

"Apa itu, Bung?"

"Pendatang tanpa izin."

"Oooo... Aku ke mari mahu cari kerja, Bung. Mahu kerja," bersungguh-sungguh dia menyakinkan tujuan kedatangannya.

"Ah, itu gampang saja!" Bung Karim membetulkan sila. "Di sini kita tidak usah cari kerja. Di sini kita bikin kerja," nasihat Bung Karim, pemegang kad pengenalan merah.

"Kerjanya apa, Bung?"

"Apa-apa saja, asal lumayan."

Maka dijelaskan oleh Bung Karim akan kerja yang sesuai dan hasilnya lumayan. Kata Bung Karim, Pak Kaduk patut jadi dukun.

"Masakan!" Terkejut Pak Kaduk mendengarnya.

"Jadi dukun tak perlu modal besar, Pak. Asal saja pandai bercakap dan diyakini. Pak Kaduk akan dapat wang lumayan dan bisa hidup senang,"

"Aku tidak tahu ilmu pedukunan. Masakan aku bisa jadi dukun! Ah! Main-main aje Bung Karim. Aku berkata benar," jelas rasa kecewa di mukanya.

"Betul, Pak, betul. Kerja ini tak perlu modal besar. Untungnya lumayan."

Bung Karim memujuk agar Pak Kaduk sanggup menjadi dukun merawat tenaga dalam lelaki. Bung Karim memberi beberapa tip untuk berjaya, termasuk berjanji menyediakan modal awal, tempat tinggal dan peralatan niaga.

"Sebagai balasnya, bapak mesti bayar tiga kali ganda daripada modal aku beri," sambil mengangkat tiga batang jarinya. "Kalau bersetuju, aku akan bantu perniagaan bapak."

Setelah berfikir sejenak, Pak Kaduk pun menyatakan persetujuannya. Maka Bung Karim menelefon rakan-rakan agar menghantar segera segala jenis kayu-kayuan: Tongkat Ali, Perdu Bumi, Bakawali, Jarum Emas, rempah-ratus, halia, kunyit dan segala macam. Bahan-bahan itu dimesin dan dimasak bersama-sama minyak nyor. Sisa kayu-kayuan itu dibuat majun.

Berbekalkan minyak nyor dan majun itulah, Pak Kaduk keluar ke Chow Kit menjual impian. Minyak dan majun itu dipamer bersama-sama gambar ghairah wanita dari majalah Playboy dan gambar lelaki kecewa patah berjuang.

"Bapak-bapak jangan jadi seperti lelaki ini," demikian kata Pak Kaduk setiap kali memulakan perniagaan. Kata-kata itu seperti magnet, cepat menarik para lelaki yang lalu-lalang. "Kalah sebelum berjuang," sambil menunjukkan gambar lelaki berkenaan. Para pengunjung mula mengerumuni.

"Kesian wanita ini," sambil menunjukkan gambar wanita ghairah. "Kecewa kerana hajat tidak kesampaian. Mahukah isteri bapak-bapak jadi seperti wanita ini?" Pak Kaduk menatap wajah para lelaki di hadapannya. Semua diam, menanti kata-kata Pak Kaduk seterusnya.

"Kalau begini, isteri bapak akan cari lelaki lain," jarinya menunjuk ke langit. "Tiada guna wang berjuta kalau ini (menunjukkan aksi dengan jari) tidak bisa berfungsi. Mahukah?" Sekali lagi Pak Kaduk memerhati wajah para pengunjung di hadapan. Pak Kaduk rasa makin bersemangat.

"Mahukah digelar lelaki dayus, kalah sebelum berjuang dan isteri dikebas orang?" Pak Kaduk menatap satu demi satu wajah di hadapannya.


Biodata: NASSURY IBRAHIM - NAMA pena bagi Maniyamin Ibrahim yang dilahirkan di Pasir Puteh, Kelantan. Lulusan Diploma Falsafah Sains Islam dan Sarjana Pengajian Melayu ini menulis dalam genre puisi, esei, berita dan kritikan sastera. Karyanya mendapat tempat dalam majalah, akhbar dan buku dalam mahupun luar negara. Kini berkhidmat sebagai Pensyarah Jabatan Pengajian Melayu, Institut Perguruan Tuanku Bainun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Sumber : BHarian 2009/10/31

Butiran selanjutnya ...
Related Posts with Thumbnails