“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Isnin, Oktober 31, 2011

Kes dera kanak-kanak wajar dijadikan iktibar



Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Kejadian kanak-kanak terbabit sebagai pelaku gejala sosial atau menjadi mangsa jenayah, bukan lagi sesuatu yang baru di negara ini. Kisah sedih dan tragik seperti ini boleh dikatakan menjadi santapan pembaca, penonton atau pendengar menerusi pelbagai saluran media hampir sepanjang masa.

Isu sosial seperti ini juga tidak terkecuali berlaku di Melaka, negeri yang pada 20 Oktober lalu menyambut ulang tahun pertama sebagai negeri maju. Setakat ini, ia tidaklah sampai pada tahap serius dan membimbangkan, malah sesetengahnya boleh dianggap terpencil.

Namun, dua kejadian yang berlaku baru-baru ini, seharusnya membuka mata kita semua, terutama di kalangan ibu bapa yang masih mempunyai anak kecil. Banyak iktibar boleh diambil dalam proses kita mendidik dan membesarkan generasi muda ini.

Kejadian pertama di Taman Seri Asahan, Jasin, awal bulan ini, membabitkan dua kanak-kanak berusia sembilan dan tujuh tahun. Mengikut laporan akhbar, kedua-dua kanak-kanak ini cedera teruk dirotan oleh bapa angkatnya hingga terpaksa menerima rawatan lanjut di hospital. [rujuk : Dua beradik berbirat tiru aksi lesbian]

Tentu sekali kita bertanya, kenapa begitu tergamak sekali bapa angkatnya berbuat demikian. Rupanya mengikut laporan itu lagi, dia bertindak begitu kerana dikatakan terlalu berang dengan perbuatan mereka yang terbabit meniru aksi seks ghairah pasangan lesbian. Selepas disiasat, perbuatan itu sudah banyak kali dilakukan hingga mendatangkan keseronokan kepada kedua-duanya, selain menganggap ia bukan satu kesalahan atau tidak wajar dilakukan pada tahap usia seperti itu.

Kanak-kanak yang masih sangat muda ini, apabila diselongkar silamnya mengaku mereka mendapat idea untuk melakukan perbuatan sumbang itu selepas menonton video lucah bersama sepupu, ketika tinggal di rumah nenek mereka di Sabak Bernam, Selangor.

Ibu mereka dikatakan juga pernah menyaksikan perbuatan itu dilakukan dan turut menegur. Malangnya, kedua-duanya seperti tidak serik hinggalah perbuatan itu diketahui bapa angkat mereka. Mengikut maklumat mutakhir diterima daripada penolong Pengarah Warga Tua dan Keluarga Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka, Zamzuri Mohamad, susulan kejadian itu, bapa angkat dan ibu kandung dua kanak-kanak terbabit kini menjalani proses kaunseling. Dua kanak-kanak terbabit pula yang dikatakan sudah sedar dengan kesilapan mereka, turut diawasi rapi oleh JKM bagi memastikan tidak mengulangi perbuatan itu. Kita berharap, kejadian seperti ini tidak berlaku lagi, baik di Melaka atau di Malaysia, apalagi seks sejenis adalah haram.

Dalam kejadian kedua pada 10 Oktober lalu pula, masyarakat di Melaka dikejutkan dengan kejadian seorng kanak-kanak berusia enam tahun dilaporkan mati di Hospital Alor Gajah, kurang sejam selepas menerima rawatan lanjut di situ akibat dipercayai menjadi mangsa penderaan.

Mengikut laporan akhbar, Mohd Firdaus Mat Dan, dimasukkan ke hospital berkenaan kira-kira jam 4.30 petang, dikatakan dalam keadaan ‘nyawa nyawa ikan’ dan bertubuh kurus, manakala hampir keseluruhan badannya lebam dan tapak kakinya pula melecur serta berlubang. Terdapat juga kesan kecederaan serius pada badan akibat dipercayai dicucuh dengan rokok.

Dilaporkan juga, kanak-kanak berkenaan dibawa ke hospital oleh bapa tirinya berusia 37 tahun itu dari kediaman mereka di kampong Padang Sebang, Alor Gajah selepas bimbang melihat keadaannya yang sangat lemah dan tenat. Sebelum dimasukkan ke hospital itu, ibu mangsa yang berusia 41 tahun, baru beberapa jam keluar dari hospital sama selepas berada di situ selama 10 hari kerana bersalin dan tidak mengetahui langsung mengenai kejadian berkenaan.

Ibunya yang ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Melaka, mengakui hatinya sangat luluh bila mengetahui nasib menimpa anak bongsunya itu. Susulan kejadian itu, polis kemudan menahan bapa tiri kanak-kanak malang itu bagi siasatan lanjut. [Rujuk : HMetro - Azab sebelum mati didera]

Hujung minggu lalu (21/10/2011), lelaki berkenaan didakwa di hadapan majestret Siti Suriatey Mohamed Yusoff. Dia dituduh menyebabkan kematian Muhammad Firdaus, di sebuah kebun kelapa sawit di kampung berkenaan pada kira-kira 3.30 petang, pada 10 Oktober lalu. Dia dituduh mengikut seksyen 302 kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. Kes ini yang mendapat perhatian ramai dijadualkan didengar semula pada 5 Disember ini.

Seperti juga kes pertama, kejadian kedua yang dipaparkan ini sedikit sebanyak meninggalkan banyak iktibar. Jadi terserah kepada kita semua untuk membuat penilaian sekaligus mencari yang terbaik bagi memastikan generasi muda negara terus mendapat perjatian sewajarnya.

Penulis, Amirullah Andi Nur (arullah@bharian.com.my), ialah Ketua Biro Berita Harian Melaka.




Sumber : BHarian 27/10/2011

Butiran selanjutnya ...

Akidah alat penyatuan ummah

PERPADUAN dan penyatuan ummah antara cara memperteguhkan akidah dan memelihara agama Islam.

Perpaduan sesama muslim tonjol keperkasaan Islam

APABILA HIMPUN menjadi medan menyatakan kesungguhan terhadap perang murtad, jelas ia adalah cara menyelamatkan umat Islam yang mungkin akan berpaling tadah daripada keesaan Allah SWT. Ia bukan satu-satunya usaha membendung gejala ini. Ia bukan juga menafikan kuasa Parlimen dan ahli penggubal untuk merealisasikan Rang Undang-Undang Murtad. Harus diingat, suara yang kuat tentunya mampu menyaingi bisikan lemah, begitu juga kesungguhan ditunjukkan mereka yang sanggup turun ke stadium memberi sokongan kepada usaha terbabit yang pasti lebih baik daripada memerhati dari jauh.

Doa supaya sesama muslim kembali hidup bersaudara bukan sekadar demi perpaduan dan kesejahteraan, tetapi bagi memperteguhkan akidah yang lemah dan meneguhkan agama nan satu. Islam adalah agama yang mementingkan keamanan dan sempurna sahsiah, tetapi ia bukan tuntutan ke atas seseorang individu saja, sebaliknya buat semua.

Hari ini pertelingkahan menjadi norma kehidupan lantaran manusia mula mengetepikan kasih sayang sesama insan. Mengejar impian fana, menggadai untung yang nyata, mempertaruhkan janji luar biasa lalu semangat persaudaraan digadai sebegitu saja adalah sikap tidak terjaga sedangkan Islam tidak hanya menganjurkan hubungan baik dengan Allah SWT semata-mata, tetapi juga sesama manusia dan makhluk Allah lainnya.

Islam menjamin asas persaudaraan dengan menyediakan hikmah pembinaan silaturahim bukan saja melalui hubungan kekeluargaan yang bermula dengan ikatan perkahwinan tetapi juga kasih sayang antara saudara seagama kerana ia memudahkan urusan dunia menuju ke akhirnya. Asas persaudaraan dalam Islam adalah ikatan akidah yang teguh kepada keesaan-Nya.

Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah antara kedua-dua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.” (Surah Al-Hujurat, ayat 10)

Hak terhadap agama perlu dipelihara seseorang muslim terhadap saudara seagamanya menunjukkan betapa Islam adalah agama lengkap dan sempurna. Bahkan hak sama dikanunkan manusia untuk dijadikan peraturan agar tiada sesiapa yang teraniaya. Umat Islam beriktiqad kepada Allah SWT tidak boleh menggantikan agamanya. Justeru, penganut agama lain tidak boleh sama sekali menyebarkan agama mereka kepada umat Islam.

Kita dapat membayangkan betapa kalutnya dunia Islam jika hak sebagai muslim tidak terbela, apatah lagi dunia hari ini tidak bersempadan, menjadikan fitnah dan buruk sangka mudah tersebar oleh sesiapa yang mengejar untung dunia. Ancaman demi ancaman ke atas umat Islam kian melampaui batas sebenarnya patut ditepis dengan menonjolkan kekuatan persaudaraan sesama kita supaya kuantiti dan kualiti yang ada menjadi nilai tambah terhadap keperkasaan agama Islam itu sendiri, bukannya dilemahkan dengan perbezaan yang tidak membawa kebaikan.

Justeru, sifat mazmumah yang membelenggu diri sehingga menolak usaha memerangi murtad boleh menjadi punca putusnya silaturahim sesama muslim sehingga menghalang musyawarah ke arah penyelesaian sedangkan itulah dianjurkan al-Quran dan sunnah. Bahkan umat Islam jauh terkebelakang berbanding bangsa lain yang mengejar peluang, bukan menjatuhkan sesama sendiri sehingga akhirnya tiada siapa yang menang malah diperolok dan dihina terang-terangan.

Strategi demi strategi mengakibatkan umat Islam terpedaya, keamanan lebur, bahkan kehidupan menjadi kacau bilau kerana propaganda halus. Lalu Islam yang sempurna dilihat orang lain sebagai agama menyebabkan umatnya bertelagah dan mencari identiti yang tidak tahu di mana letaknya.

Penganut agama lain pula menggeleng kepala, apatah lagi melihat kemunduran negara Islam di dunia yang sehingga ke hari ini masih dibelenggu kesusahan. Mereka pula menggembleng fikiran dan tenaga tanpa berkira waktunya untuk memastikan dunia mereka aman dan damai serta terpelihara.

Jika diselami aspek pembinaan masyarakat Islam, Rasulullah SAW bersungguh-sungguh menjalin hubungan sesama Islam tanpa mengira keturunan, warna kulit dan kedudukan. Sejarah juga membuktikan belum pernah berlaku penyatuan umat sehebat kejayaan dilakukan Rasulullah SAW sehingga berjaya membina ketamadunan ummah dalam tempoh singkat.

Hal ini dilihat daripada hadis Rasulullah SAW bermaksud: “Seorang mukmin terhadap seorang mukmin lain adalah seperti bangunan di mana sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.” (Hadis riwayat Muslim). Sungguh, akidah saja satu-satunya alat yang boleh mengikat kembali silaturahim umat Islam yang kian renggang.




Sumber : BHarian 27/10/2011

Butiran selanjutnya ...

Brokoli baka baru cegah sakit jantung



LONDON: Saintis Britain baru-baru ini mendapati benih baru brokoli yang ditanam khas mengandungi dua hingga tiga kali ganda jumlah normal glucoraphanin, zat yang dipercayai dapat membantu mencegah penyakit jantung.

Sayur-sayuran sebenarnya adalah kabinet perubatan. Apabila makan brokoli, kolesterol dalam saluran darah menurun, kata Richard Mithen, yang mengetuai pasukan saintis di Institut Penyelidikan Makanan di Norwich, England, yang menghasilkan brokoli baru itu.

Glucoraphanin berfungsi memecahkan lemak dalam tubuh, menghalang ia tersumbat dalam arteri dan cuma ditemui dalam brokoli dalam jumlah tertentu.

Bagi menghasilkan brokoli hebat, Mithen dan rakan sepasukannya mengacukkan brokoli tradisi Britain dengan jenis Sicilian yang liar dan pahit serta dos tinggi glucoraphanin. Selepas 14 tahun, hibrid yang diberi penambahan itu dihasilkan, yang diberi paten oleh pihak berkuasa Eropah. Ia juga tidak menggunakan pengubahsuaian genetik.



Satu pak Beneforte super brokoli di kedai Marks & Spencer kedai di London. Varieti baru ini mengandungi 2-3 kali ganda glucoraphanin daripada jumlah normal, nutrien yang dipercayai dapat membantu menghindari penyakit jantung.

Brokoli berkenaan dijual sebagai Beneforte di pasar terpilih di California dan Texas sejak tahun lalu, dan tiba di Britain bulan ini. Lewat musim luruh ini, brokoli itu akan dijual di seluruh Amerika Syarikat.

Sayur hebat itu sebahagian kecenderungan memuncak bagi pengeluar untuk menyuntik zat tambahan dalam makanan, daripada jus oren yang diperkaya dengan kalsium hingga bijiran diperkaya dan susu ditambah dengan omega 3. Tiada data mencukupi diperoleh untuk mengetahui jika ada yang mengalami lebihan dos glucoraphanin, tetapi vitamin D dan selenium dalam kuantiti amat tinggi boleh menjadi racun.

Mithen dan rakan sepasukannya mengendalikan ujian ke atas manusia membandingkan jantung peserta sihat yang memakan brokoli hebat itu dengan mereka yang makan brokoli biasa atau tidak memakan brokoli langsung. Mereka bercadang menyerahkan data kepada Agensi Keselamatan Makanan Eropah tahun depan.

Terdapat banyak bukti penting menunjukkan glucoraphanin dan bahan berkaitan sebagai ejen pencegah terbaik bagi serangan jantung dan bentuk barah tertentu. Jadi, ia sesuatu munasabah untuk dilakukan, kata profesor di Jabatan Zat Manusia di Universiti Copenhagen, Lars Ove Dragsted. - AP




Petikan : BHarian 30/10/2011

Baca lagi di : TheStar dan YourLife

Capaian entry berkaitan :
* SiHAT : Langsing dengan makanan berwarna

Butiran selanjutnya ...

Ahad, Oktober 30, 2011

Hati-hati dapatkan susu derma

Susu yang diperah boleh bertahan hingga tiga bulan jika disimpan di tempat sejuk beku dan dua minggu jika disimpan di peti ais biasa.


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Entry ini adalah sambungan entry Kongsi susu ibu yang disiarkan dalam BHarian 25/10/2011.

Penubuhan Bank Susu lancarkan proses pendermaan

Pensyarah Perubatan Fakulti Perubatan Kesihatan dan Pertahanan, Universiti Pertahanan Kebangsaan Malaysia, Dr Adlina Sulaiman tidak menggalakkan ibu bapa mendapatkan susu ibu daripada orang tidak dikenali khususnya menerusi urusan di internet atau laman sosial.

Antara sebabnya ialah ibu bapa bayi mungkin tidak mengenali secara rapat mengenai latar belakang penderma. Begitu juga dengan tahap kebersihan ketika proses susu diperah serta teknik penyimpanannya betul atau sebaliknya.

“Sewajarnya pemilik susu itu dikenali rapat oleh ibu bapa bayi yang menerima susu berkenaan kerana apabila cukup tempoh penyusuan itu, akan wujudnya ibu susuan yang mempunyai pertalian istimewa dengan bayi itu hingga mensabitkan soal aurat dan sebagainya. Islam sudah menjelaskan mengenai susu ibu, oleh itu, saya fikir tidak seharusnya timbul orang Islam yang terdesak mendapatkan susu menerusi internet atau orang tidak dikenali,” katanya.

Konsep ibu susuan seharusnya dilakukan menerusi payudara tetapi dalam keadaan tertentu, termasuk bayi pramatang yang tidak membolehkan ia menyusu, ia perlu dilakukan menerusi tiub akibat kelahiran pramatang atau kembar sehingga susu ibunya belum memadai untuk keperluan bayi. Tekanan ibu yang melahirkan juga boleh menyebabkan susu tidak keluar. Terdapat juga keadaan ibu yang menderita penyakit yang mengharuskan mengambil ubat tertenut dan membahayakan kesihatan bayi, misalnya kemoterapi, ibu menderita penyakit menular seperti Hepatitis atau HIV Aids dan mungkin ibu mengalami masalah kesihatan serius, yang menyebabkan susu sama sekali tidak dapat keluar.

Mengenai lambakan susu yang dihasilkan oleh seseorang ibu hingga boleh disumbangkan kepada bayi lain, jelas Dr Adlina, kapasiti susu boleh dikeluarkan menampung keperluan enam orang bayi pada satu masa dan sekiranya susu berkenaan banyak, memungkinkan ibu itu perlu menyimpannya. Tetapi cara penyimpanan perlu dilakukan dengan bersih kerana susu yang diperah boleh bertahan hingga tiga bulan dan dua minggu jika disimpan di peti air biasa.

Dr Adlina tidak menolak kemungkinan urusan mendapatkan susu ibu boleh dilakukan di internet sama ada mendapatkan daripada penderma atau dibeli.

“Tetapi jangan biarkan ketaksuban itu mengundang padah seperti tertipu dengan susu yang didakwa susu ibu, sedangkan sebaliknya,” katanya.

Pengurus Projek, Program Pembimbing Ibu Menyusu Malaysia (MBFPC), Nor Kamariah Mohamad Alwi, menyokong usaha yang dijalankan HM4HB kerana ia membantu meluaskan sokongan dalam kes tertentu yang memerlukan, namun mahu beberapa garis panduan diperkenalkan supaya pihak penderma dan penerima tidak terdedah kepada risiko jangkitan atau konflik hukum-hakam berkaitan ibu susuan.

“Setahu saya, kumpulan ini sudah menerima pandangan daripada beberapa penasihat agama dan kesihatan berkaitan perkara ini. Cuma mungkin maklumat itu perlu didokumenkan secara terperinci untuk makluman orang ramai,” ujarnya, yang pernah bekerjasama dengan rangkaian berkenaan bagi membantu ibu yang mahukan susu penderma.

Berkongsi cerita, beliau yang juga perunding laktasi, Nurturing Concept, berkata dia memperkenalkan pasangan positif HIV kepada rangkaian itu bagi membolehkan pasangan berkenaan mendapatkan bantuan susu penderma untuk bayi mereka.

“Dasar di negara ini, ibu yang menghidap HIV, tidak dibenarkan menyusui anak mereka. Saya memperkenalkan pasangan ini kepada HM4HB dan amat terharu dengan kepantasan mereka menghulurkan bantuan. Syukur, anak itu dapat juga menikmati khasiat susu ibu, walaupun bukan daripada ibunya sendiri,” katanya.

Nor Kamariah turut berpendapat, menderma susu kepada lebih daripada seorang bayi lain tidak menimbulkan masalah jika penderma mampu melakukannya. Namun, dari konteks Islam, mengetahui maklumat penderma dan penerima penting supaya masing-masing tahu dengan siapa mereka bersaudara susuan, kelak tidak timbul isu kekeliruan dari segi mahram.

“Amalan ibu susuan sudah berlaku sejak zaman Rom lagi dan ia satu pilihan teratas berbanding susu buatan. Cuma dari segi implikasi terhadap institusi kekeluargaan, jika ibu daripada ibu lain hanya semata-mata tidak mahu menyusu sendiri, ibu terbabit dan bayi berkemungkinan besar tidak memperoleh manfaat sebenar penyusuan ibu. Ini kerana dalam pelaksanaan penyusuan ibu, ada pelbagai kesan positif sama ada perbuatan, amalan dan proses penyusuan itu berbanding jika hanya melihat dari segi kandungan susu ibu itu saja,” katanya.

Nor Kamariah turut menyarankan penderma susu supaya menjalani pemeriksaan kesihatan dan memastikan diri mereka bukan penyumbang kepada penyakit berjangkit terlebih dulu. Mengenai lambakan susu ibu sehingga berkebihan daripada jumlah diperlukan, katanya, lambakan susu perahan boleh terjadi disebabkan pelbagai faktor. Antaranya ialah berlaku satu fenomena, yang mana ibu seakan-akan berlumba untuk melihat siapa dapat mengumpul paling banyak susu, sedangkan bayi mereka tidak memerlukan bekalan sebanyak itu. Selain itu, katanya, ada ibu yang benar-benar mempunyai lebihan susu yang banyak menyebabkan mereka terpaksa memerah susu walaupun bayi mereka sudah kenyang.

“Ada juga ibu yang tidak memahami kaedah mengawal stimulasi penghasilan susu dan menyebabkan mereka mengumpul susu lebih banyak daripada keperluan bayi mereka. Walau apa pun keadaan dinyatakan, jika keadaan ini disalurkan kepada sesuatu yang dapat dimanfaatkan seperti menderma susu itu kepada yang memerlukan, ia boleh membawa kebaikan daripada menimbulkan keburukan,” katanya.

Nor Kamariah turut berpendapat, penubuhan bank susu membolehkan keluarga yang memerlukan susu badan emmperoleh bantuan secara lebih mudah.

“Kewujudan bank susu juga menggambarkan institusi yang lebih teratur dan proses lebih mantap serta berkesan boleh dilaksanakan. Saya menyeru kepada kerajaan untuk mempertimbangkan penubuhan Bank Susu secara rasmi dan dihubungkan terus dengan kemudahan kesihatan sedia ada seperti hospital dan klinik kesihatan di seluruh Malaysia. Perlaksanaannya perlu dipantau dari segi kawalan penyakit, aspek keagamaan dan pentadbirannya,” katanya.

Menurut Nurnahdatul Salwa Muhamad Zaki, 33, ibu kepada seorang cahaya mata yang masih menyusu badan berkata, “Secara peribadi, saya berpendapat penawaran susu badan menerusi internet kurang sesuai kerana latar belakang penderma, termasuk kesihatan dan akhlaknya tidak diketahui secara jelas. Tambahan pula, kalau masalah ‘kering susu’ hendak dijadikan alasan, masih ada ikhtiar untuk menambahkan jumlah susu ibu, termasuk pengambilan pil penggalak susu, bukan dengan mudah memperolehnya menerusi internet. Kalau ingin menyusukan anak sehingga dua tahun, wanita ada pilihan untuk bercuti. Saya sememangnya berusaha memberikan susu badan sepenuhnya kepada anak saya. Kalau tidak cukup, saya lebih rela mendapatkan daripada saudara-mara terdekat berbanding orang yang tidak dikenali.”

Pendaftaran global bukan jaminan

Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (PPM), Datuk Abdul Rahman Othman, menasihati mana-mana rangkaian kumpulan, pertubuhan, persatuan atau organisasi yang membabitkan kepentingan orang ramai, mendaftar bagi memberitahu dan mengesahkan kewujudannya di negara ini.

Abdul Rahman berkata, pendaftaran boleh dibuat sama ada sebagai syarikat yang didaftarkan melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau pun persatuan di bawah PPM.

Mengulas mengenai kewujudan rangkaian perkongsian susu Human Milk For Human Baby (Malaysia) yang tidak didaftarkan dalam PPM, beliau menyarankan pendaftaran dibuat kerana ia membabitkan orang ramai.

“Mengikut undang-undang, jika membabitkan lebih daripada tujuh orang ahli, wajib didaftarkan tanpa mengambil kira ia beroperasi menerusi internet atau memiliki premis perniagaan, secara sukarela, kebajikan dan tidak berasaskan mendapat sebarang keuntungan. Begitu juga bagi yang beroperasi melalui laman sosial, perlu mendaftar selagi ia membabitkan orang ramai. Hari ini, kita tidak nafikan perhubungan teknologi semakin popular, tetapi pendermaan susu menerusi internet boleh dianggap isu besar kerana ia membabitkan keselamatan dan kesejahteraan hidup masyarakat,” katanya.

Tegasnya konsep sukarela atau kebajikan tidak menjadi persoalan tetapi apa yang boleh menimbulkan masalah membabitkan kepentingan oerng ramai dan jika berlaku apa-apa yang tidak diingini, siapa yang akan bertanggungjawab. Jika pendaftaran tidak dibuat, pihak terbabit perlu memastikan tiga isu utama tidak tergugat iaitu keselamatan, kententeraman awam dan moral.

Namun, dalam pendermaan susu kepada orang ramai, antara persoalan yang boleh timbul ialah keselamatan dan kesihatan, termasuk jangkitan penyakit dan sebagainya. Walaupun mungkin pendaftaran di peringkat global sudah dibuat, apabila rangkaian diwujudkan dan beroperasi di negara ini, pendaftaran tetap satu keperluan yang perlu dipatuhi. Pihak berkenaan sewajarnya perlu mendapatkan masihat, kebenaran atau lampu hijau untuk beroperasi.




Sumber : BHarian 27/10/2011

Capaian entry berkaitan :
* Kongsi susu ibu
* Makruh minum susu daripada wanita bukan Islam
* Pelik dan menarik mengenai susu ibu
* Penyusuan Susu Ibu dari Pandangan Islam
* Tawar susu ibu di internet

Butiran selanjutnya ...

Laporan khas: Ejen punca nikah Siam popular


Tawar pakej ikut kemampuan mudahkan pasangan kahwin di Songkhla

SONGKHLA (Thailand): Urusan pernikahan ‘mudah’ dikendalikan kumpulan ejen nikah di negara ini dikesan menjadi penyumbang peningkatan kes pernikahan membabitkan warga Malaysia di sekitar wilayah ini.

Difahamkan, ejen terbabit sama ada bergerak secara individu atau berkumpulan menyediakan pelbagai pakej tertentu mengikut kemampuan pelanggan, sekaligus membantu memudahkan urusan pasangan melangsungkan pernikahan di wilayah ini.

Daripada lima daerah di wilayah ini, Songkhla mencatat angka tertinggi dengan purata 200 kes pernikahan membabitkan rakyat Malaysia direkodkan setiap bulan.

Walaupun Majlis Agama Islam Songkhla menarik balik kebenaran melangsungkan pernikahan kepada 30 imam yang diberikan tauliah di sekitar wilayah ini sebelum ini, perangkaan terbabit bukan saja tetap mencatat angka sama, malah turut meningkat.

Ini secara tidak langsung membuktikan kumpulan ejen memainkan peranan penting dalam usaha meneruskan populariti Selatan Thailand, khusus Songkhla sebagai destinasi nikah Siam paling popular kepada rakyat Malaysia. Malah, arahan Majlis Agama Islam Songkhla yang menetapkan pernikahan membabitkan rakyat Malaysia hanya boleh dilangsungkan di pejabat Majlis Agama Islam ditetapkan, seolah-olah memberi ‘tauliah’ kepada operasi ejen terbabit terutama dalam meyakinkan pelanggan operasi mereka sah serta bebas daripada cengkaman sindiket nikah Siam palsu.

Sumber majlis itu ketika dihubungi mengesahkan wujudnya kumpulan tertentu dari Malaysia yang memainkan peranan sebagai ejen, membuka jalan kepada pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan di Selatan Thailand.

Katanya, ramai ejen dari Malaysia mencari makan melalui kegiatan itu, tetapi rekod menujukkan dianggar tidak kurang 20 ejen dikenal pasti aktif membantu rakyat Malaysia melangsungkan perkahwinan di sekitar wilayah ini, terutama di Majlis Agama Islam Songkhla sendiri.

“Ejen biasanya menetap di negeri bersempadan dengan Thailand, termasuk Kelantan, Kedah, Perlis, Perak serta Pulau Pinang. Malah, ada ejen turut mempunyai jaringan sehingga Kuala Lumpur. Kumpulan ejen ini tidak menjalin apa-apa perjanjian atau memorandum persefahaman (MoU) dengan Majlis Agama Islam Songkhla, apatah lagi diberi tauliah oleh majlis atau kedutaan Malaysia di sini bagi menguruskan pasangan Malaysia yang ingin berkahwin di negara ini,” katanya.

INFO

Perangkaan nikah Siam membabitkan rakyat Malaysia (2001-2010)

Tahun

Jumlah

2001

73

2002

67

2003

98

2004

55

2005

314

2006

845

2007

1,944

2008

2,342

2009

2,172

2010

3,260

JUMLAH

11,170

Data : Pejabat Konsul Besar Malaysia di Songkhla

http://laman-seri.blogspot.com



Bayar RM1,500 dapat kahwin secara sah

Kangar : Golongan yang sering menggunakan khidmat ejen nikah Siam majoritinya membabitkan pasangan yang ingin kahwin lari dengan pelbagai alas an tertentu, terutaama berkaitan isu wali.

Selain tidak mendapat restu ibu bapa, ada juga pasangan yang memilih untuk berkahwin bagi menutup malu terutama dalam kes membabitkan pasangan terlanjur, termasuk pasangan pelajar institusi pengajian tinggi.

Seorang pelanggan yang ingin dikenali dengan nama Miera, 34, dari utara Semenanjung mengaku poernah menggunakan khidmat ejen dari Perlis dua kali bagi melangsungkan pernikahan di Negara jiran. Katanya, kali pertama dia menggunakan khidmat ejen terbabit ketika melangsungkan perkahwinan pada 2004 di rumah seorang jurunkah di sekitar Klongget, di Selatan Thailand, dengan dikenakan bayaran sekitar RM1,000.

“Bagaimanapun, selepas empat tahun berkahwin saya dan suami tidak lagi tinggal sebumbung sebelum saya berpisah. Bagaimanapun, hasrat saya itu tidak mendapat persetujuan suami. Justeru, saya terus menghubungi ejen untuk membantu menguruskan permohonan fasakh di Selatan Thailand yang mana mampu diselesaikan dalam tempoh hanya beberapa jam saja. Sejurus itu, saya kemudian dikahwinkan pula dengan pilihan hati saya,” katanya.

Menceritakan mengenai pakej ditawarkan Miera berkata, dia hanya dikenakan caj RM1,500 oleh ejen terbabit yang hanya ingin dikenali dengan nama Die, termasuk RM500 yang perlu dijelaskan kepada jurunikah sebelum pernikahan dilangsungkan.

INFO – Prosedur nikah Siam

1. Dokumen perlu dibawa :
* Kad pengenalan
* Passport antarabangsa atau pas sempadan bagi penduduk Perlis, Perak, Kedah dan Kelantan
* Surat cerai atau surat kematian suami bagi perempaun (jika berkenaan)
* Kad/surat pengesahan mualaf (jika berkenaan)

2. Pakej ditawarkan ejen (RM1,250 – RM1,500).

3. Bertolak dari Bukit kayu Hitam ke Majlis Agama Islam Songkhla (MAIS) di Jalan Konghae, Hatyai (pengangkutan disediakan ejen).

4. Akad nikah dilangsungkan jurunikah MAIS (sebagai wali hakim) dan saksi daripada kalangan naib kadi MAIS.

5. Surat nikah dikeluarkan terus MAIS, diikuti surat pengesahan nikah ditujukan kepada Konsulat Malaysia di Songkhla, serta dokumen sokongan lain seperti salinan surat nikah.

6. Pasangan terus dibawa ke Konsulat Malaysia di Songkhla yang mana surat pengesahan nikah serta dokumen sokongan lain termasuk salinan kad pengenalan dan salinan passport/pas sempadan diserahkan kepada Konsulat Malaysia untuk diproses.

7. Selesai urusan di Konsulat, pasangan dan pengiring (jika ada) dibawa makan tengahari sebekum mendaftar masuk ke hotel.

8. Keesokkan hari, pasangan dijemput ejen sebelum dibawa ke Konsulat Malaysia di Songkhla bagi mengambil surat pengesahan nikah yang akan diserahkan kepada Pejabat Agama Islam di Malaysia.

9. Pasangan bertolak balik ke Bukit Kayu Hitam.

10. Sekembalinya ke Malaysia, pasangan perlu mendaftar perkahwinan di Jabatan Agama Islam berhampiran dan perlu menghadiri perbicaraan di mahkamah syariah dan mungkin didenda sebelum pendaftaran dibenarkan.




Sumber : BHarian 27/10/2011

Capaian entry berkaitan :
* Hitam putih nikah di Siam
* Nikah sindiket rosakkan nasab
* Kahwin lari boleh jejas institusi kekeluargaan Islam
* Kahwin lari guna sindiket tanpa daftar semula menyusahkan waris
* Pantau ejen tawar kahwin di luar negara
* Ejen nikah boleh didakwa bersubahat
* Laporan khas: 10 positif HIV setiap hari

Butiran selanjutnya ...

Misteri Etnik Part 5 : Orang Portugis Melaka kaya perayaan, budaya

pesta Intrudu

Pesta unik jadi tarikan utama pelancong

Masyarakat di negara ini memang cukup kaya dengan pelbagai jenis perayaan dan sambutan. Boleh dikatakan hampir semuanya mempunyai perayaan besar dan tidak kurang juga perayaan untuk memperingati satu tarikh istimewa. Begitu juga dengan orang Portugis yang meraikan lima perayaan penting setiap tahun dan disambut secara besar-besaran.

Sebagai penganut Kristian, mereka tentunya tidak terlepas daripada sambutan Krismas dan menjadikan perayaan di Kampung Portugis lebih unik serta meriah ialah kerana penempatan meraka yang strategik. Berada di tepi pantai, ditambah dengan medan selera terkenal, selain mempunyai pentas khas berdepan pintu masuk kampung membolehkan perayaan disambut meriah.

Justeru, tidak hairan jika setiap kali tiba musim perayaan, tidak kira perayaan keagamaan atau budaya, Kampung Portugis disambut sangat meriah. Pendek kata, jika mahukan kemeriahan sebenar berpesta ketika perayaan, kunjungilah kampung itu dan semuanya terhidang di sana. Dengan persembahan kebudayaan, joget lambak, perarakan dan pelbagai lagi disajikan di situ.

Perayaan pertama dalam kalender mereka ialah pesta Intrudu. Tidak ada tarikh tetap dalam kalender masihi untuk perayaan ini, tetapi dalam kalender Kristian, ia jatuh pada 40 hari sebelum Krismas atau pada Ahad sebelum ketibaan ‘Esh Wednesday’ (hari Rabu di mana penganut Roman Katolik diwajibkan ke gereja untuk meletakkan abu pada dahi).

“Esh Wednesday tidak tentu. Ia bergantung kepada kalender Roman Katolik. Ada ketikanya jatuh pada Februari. Kalender ini tidak sama dengan kalender masihi. Intrudu ialah pesta air. Ia disambut sebelum semua orang Roman katolik berpuasa selama 40 hari bermula pada Esh Wednesday.

Konsep berpuasa kami berbeza dengan orang Islam. Ia bergauntung pada kemampuan individu. Ada yang alim, berpuasa sepanjang hari, ada yang separuh hari. Boleh minum, cuma kurangkan makan. Cuma, diharamkan makan daging pada Jumaat sepanjang 40 hari itu.

Pada pesta Intrudu, permainan air dimulakan sejak pagi. Sebenarnya sambutan ini dulu tidak besar, hanya dibuat dalam rumah. Mereka main air dalam rumah sendiri. Namun, disebabkan di sini majoriti orang Portugis, jadi kami berasakan lebih baik buat di jalanan.



Perayaan pertama dalam kalendar masyarakat Portugis ialah pesta Intrudu iaitu pesta air yang disambut sebelum semua orang Roman Katolik berpuasa selama 40 hari

Apabila semua orang mula main air di jalanan, sesiapa saja yang masuk ke kampung kami akan disimbah air juga. Secara tidak langsung ia bertukar menjadi satu perayaan atau pesta pula. Tujuannya adalah untuk membersihkan diri. Ia juga sebagai peringatan bahawa inilah hari terakhir bersuka ria sebelum berpuasa. Sekurang-kurangnya apabila ia menjadi pesta tahunan, ia kekal menjadi warisan dan tidak dilupai generasi muda,” cerita Setiausaha Kampung Portugis, Michael Banerji, 63.

Semua perayaan yang disambut dalam Kampung Portugis adalah berkaitan agama. Boleh dikatakan mereka ialah penganut Kristian Roman Katolik yang kuat dalam beragama. Ia mungkin disebabkan kedudukan masyarakat mereka yang berkumpul dalam satu penempatan dan membolehkan aktiviti serta proses keagamaan digerakkan secara maksimum.

Jawatankuasa Kampung Portugis terpaksa membuat peraturan khusus bagi mengawal ‘kegilaan’ penduduk di situ setiap kali tiba pesta Intrudu. Dulu, mereka bermula seawal jam 12 malam dan berlarutan sehingga petang. Kini, ia hanya dibenarkan bermula selepas jam 9 pagi, namun peraturan itu tidak pula membataskan siapa yang bakal disimbah. Jika tidak mahu basah, jangan masuk ke kampung itu pada hari pesta Intrudu!

“Dulu lagi teruk. Bukan setakat simbah dengan air paip, tetapi dicampur tepung, buah gatal, arang dan pewarna. Kami terpaksa larang sebab tidak sesuai. Kini, yang popular ialah dicampur dengan air. Awal pagi, lori ais sudah sampai untuk jual air kepada orang kampung. Satu lori pun tak cukup!

Pelbagai kaedah digunakan. Ada guna pistol air, ada guna belon. Sejak malam, jawatankuasa sudah menyediakan tangki air untuk kemudahan orang kampung. Meriah! Sangat meriah! Pelancong pun ramai. Mereka sudah tahu mereka akan basah. Amaran, berhati-hati kerana mereka tidak kira siapa dan apa yang anda bawa. Kamera pun basah,” ceritanya.

Ada simbolik lain dalam pesta itu. Selepas puas membasahkan orang, sedikit wain dihulurkan sebagai tanda memohon maaf. Selalunya jawatankuasa menyediakan 24 botol wain. Penduduk sendiri pun sediakan wain sebagai tambahan.

San Juang atau pesta lampu pula diadakan pada setiap 23 Jun di mana semua masyarakat Portugis di situ memasang lampu dan lilin di dalam serta di luar rumah dalam jumlah yang banyak. Biasanya, ia dipasang ketika senja. Sama seperti Intrudu, permulaannya ia hanya dilakukan secara individu oleh tuan rumah itu sendiri.

Namun, apabika ia sudah menjadi satu tarikan kerana pada hari itu, suasana di Kampung Portugis berkerdipan cahaya lampu, ia terus diangkat menjadi perayaan rasmi di situ. Kini, selain pemasangan lampu dan lilin di rumah, jawatankuasa turut anjurkan persembahan kebudayaan di pentas, terbuka untuk tontonan sesiapa saja, terutama pelancong.

Malam itu menjadi pesta. Selain persembahan kebudayaan, turut dihidangkan makanan tradisi, iaitu kanji mungu (bubur kacang hijau) dan pakaian tradisi pada hari itu mestilah berwarna hijau. Ia melambangkan kesucian dn lebih kepada orang muda mudi. Petanda mereka masih bersih.

Malam itu, ramai orang datang. Penuh sesak kampung ini bersama kami meraikan hari kelahiran nabi kami, St John. Semua lebih 1,000 orang Portugis di luar Melaka turut dating ke sini untuk meraikan pesta ini. Tidak ada tempat lain di negara ini yang meraikan dua perayaan seperti ini di Kampung Portugis,” kata Ketua Kampung Portugis, Peter Gomez.


Kemuncak kepada perayaan San Juang ialah satu pesta paling unik, iaitu San Pedro pada 29 Jun, enam hari selepas San Juang. Ia adalah perayaan khas untuk nelayan sebagai memperingati St Peter, ketua pertama semua mahzab (Pope). Dia adalah seorang nelayan dan pesta itu adalah sebagai memperingati hari lahirnya.

Pada hari itu, semua nelayan menaikkan perahu mereka, bersihkan dan hias dengan cara paling kreatif. Ada peraduan untuk hiasan itu, malah jawatankuasa memberikan mereka duit sebagai ganti rugi kerana tidak ke laut pada hari itu. Ia nyata sudah dikomersialkan kerana mendapat sambutan pelancong.

Berbeza dengan dulu, kami hanya jemput paderi utnuk memberi restu kepada bot nelayan supaya meraka selamat pergi dan pulang. Namun, apabila semakin ramai gemar melihat upacara itu, kami menjadikannya satu pesta dan terbuka kepada orang luar untuk melihatnya.

Kemuncak perayaan San Juang ialah San Pedro yang disambut pada 29 Jun, ia adalah perayaan khas untuk nelayan memohon perlindungan

Tujuan perayaan ini memang sebenarnya untuk memohon perlindungan. Hanya nelayan terbabit. Ada 40 nelayan sepenuh masa dan 150 lagi separuh masa. Semua mereka ini akan menaikkan perahu mereka. Beberapa hari sebelum perayaan itu, ada pelbagai persembahan kebudayaan setiap malam dan kemuncaknya pada 29 Jun. memang seminggu itu cukup meriah,” kata Peter.

Pada malam 30 Ogos, sama seperti rakyat Malaysia lain, pastinya teruja membilang detik menyambut Hari Kemerdekaan. Mereka berkumpul beramai-ramai menyaksikan pelbagai persembahan pentas dan berjoget lambak tarian Portugis.

Semangat patriotik kuat dalam diri kami. Tepat jam 12 malam, bendera dinaikkan dan semua bangun menyanyikan Negaraku dan Tanggal 31. Semua penduduk di sini datang dan biasanya disertai pemimpin kawasan. Ia antara sambutan yang meriah di sini,” ceritanya lagi.

Kemuncak kepada perayaan dalam masyarakat Portugis tentulah Krismas, sama seperti penganut Kristian lain. Uniknya di Kampung Portugis, kemeriahannya sudah mula terasa sejak minggu pertama Disember, di mana semua rumah dihias dan dipasang lampu kelip-kelip.


Menambah tarikan, ada pertandingan untuk memotivasikan penduduk kampung menghiasi rumah. Namun, tanpa pertandingan itu pun, rumah mereka tetap dihias dengan hiasan mahal, ada yang kosnya mencecah sehingga puluhan ribu ringgit dan diimport dari luar negara.

Mahu rasa kemeriahan Krismas, cuba berkunjung ke Kampung Portugis sepanjang Disember. Setiap hari ada persembahan muzik di pentas da nada kumpulan mengelilingi kampong menyanyikan lagu Krismas. Bukan sehari, tetapi setiap hari sepanjang bulan!

Kemeriahan Krismas cukup dirasai di Kampung Portugis sepanjang Disember


Kampung Portugis jadi destinasi popular

Destinasi tarikan pelancong sarat dengan aktiviti kebudayaan dan kekal memelihara khazanah serta sejarah mereka. Itulah antara kekuatan utama masyarakat Portugis di Kampung Portugis dalam meneruskan kehidupan penduduk minority di Melaka, tetapi Berjaya membangunkan ekonomi walaupun bermula sekadar sebagai nelayan satu ketika dulu.

Elemen komersial yang diserapkan dalam pelbagai perayaan dan sambutan, selain keterbukaan mereka menerima kunjungan pelancong dan penganut agama lain untuk bersama merasai kemeriahan sambutan keagamaan mereka menjadikan kampong itu begitu dikenali dan sentiasa menerima kunjungan pelawat setiap masa.

Paling meriah, tentulah ketika pesta Intrudu (pesta air), walaupun ia menyebabkan sesiapa yang masuk ke kampung itu, melintasi pintu gerbangnya basah lencun, tetapi ia menyeronokkan. Tidak dapat digambarkan dengan tulisan bagaimana satu pesta agama berubah menjadi satu pesta bermain air yang sangat dinantikan ramai orang.

Difahamkan, pelbagai pesta yang dianjurkan di situ sentiasa menerima kunjungan sehingga lebih 50,000 orang, sekaligus melonjakkan ekonomi sebahagian penduduk di situ yang mengusahakan perniagaan restoran. Boleh dikatakan, semua perayaan di situ tidak pernah sunyi dengan junjungan dan pembabitan orang luar. Itulah kekuatan kampung Portugis.

Di situ, umpama gedung penyimpan khazanah budaya Portugis. Cukup sekadar mengunjungi kampung Portugis, keunikan masyarakat yang sudah bertapak di negara ini sejak 500 tahun dulu, ada di sana. Muzium Portugis yang ada di bangunan pertama kampung itu padat dengan pelbagai maklumat dan turut menerima kunjungan ramai orang yang mahu tahu mengenai sejarah serta budaya mereka.

Penyelia muzium, George Paul Overee, 79, antara orang yang cukup sarat dengan cerita sejarah orang Portugis selain mempunyai kumpulan kebudayaan sendiri yang boleh pada bila-bila masa mempersembahkan keunikan budaya mereka kepada pelancong. Begitulah kesungguhan masyarakat minoriti di Melaka ini mempertahankan tradisi serta budaya mereka.

Berbalik pada perayaan khusus masyarakat Portugis tadi, ia selain dapat menonjolkan budaya mereka kepada orang luar, ia turut menjadi landasan atau tapak terbaik menyatukan semua penduduk dalam satu majlis khusus yang penuh kegembiraan. Peter Gomez mengakui hubungan masyarakat dalam kampung itu tidak semuanya mesra, tetapi semua masalah atau selisih faham dapat dibuang jauh ketika bersama dalam perayaan.

Umpamanya mereka kerana lima perayaan itu disambut meriah, sekaligus memberi peluang secara maksimum untuk bersatu dalam sebuah masyarakat. Malah, lebih beruntung lagi kerana semakin lama, budaya dan penempatan mereka semakin dikenali.




Sumber : BHarian 14/10/2011

Capaian entry berkaitan :
* Misteri Etnik Part 1 : Warisan 500 tahun masyarakat Portugis terpelihara
* Misteri Etnik Part 2 : Perkahwinan campur sinonim masyarakat Portugis Melaka
* Misteri Etnik Part 3 : Laut ibarat nyawa masyarakat Portugis sejak dulu
* Misteri Etnik Part 4 : Portugis Melaka lebih asli
* Misteri Etnik Part 5 : Orang Portugis Melaka kaya perayaan, budaya
* Misteri Etnik Part 6 (Akhir) : Adat Portugis Melaka dipengaruhi Melayu

Butiran selanjutnya ...

Sabtu, Oktober 29, 2011

EKSKLUSIF: Kes tuntut fasakh meningkat


Tidak tahan didera mental, psikologi punca ramai isteri mahu bercerai

PUTRAJAYA : Penderaan mental dan psikologi oleh suami adalah antara faktor semakin ramai wanita Islam menuntut diceraikan kerana tidak mampu lagi bertahan dengan sikap suami mereka.

Aduan penderaan mental dan psikologi yang mereka alami termasuk suami mengabaikan nafkah batin, mencerca, maki hamun, kata-kata nista, panggilan kesat dan menghina isteri serta ahli keluarganya.

Dalam tempoh tiga tahun sejak 2008, bilangan yang menuntut fasakh mencecah sehingga 14,419 dengan bilangan mendaftar pada tahun lalu meningkat 36% berbanding dua tahun sebelum itu.

Presiden Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM), Dr mohd Na’im Mokhtar berkata, penderaan secara mental dan fizikal adalah aspek penganiayaan, selain masalah nafkah yang mencakupi 80% daripada alasan utama isteri memfailkan tuntutan fasakh untuk membubarkan perkahwinan. Beliau yang juga pengarah Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) berkata, undang-undang syariah membenarkan penderaan mental dan psikologi secara berterusan atau lazim, menjadi alasan untuk menuntut fasakh.

“Penderaan menerusi lisan secara lazim daripada suami seperti panggilan ‘perempuan sundal’ boleh memudaratkan mental dan psikologi isteri, sehingga mengakibatkan hilang keamanan, ketenangan serta ketenteraman yang menjadi matlamat utama kehidupan berumahtangga.”

“Namun masih ramai wanita tidak menyedari hak mereka berhubung perkara ini. Walaupun kes penderaan mental dan psikologi oleh suami banyak berlaku, ramai mangsa bersabar serta membiarkannya berlarutan untuk tempoh yang lama kerana sayang, memikirkan masa depan anak dan faktor lain seperti menjaga kedudukan dan air muka. Secara lazim, mereka hanya akan bertindak (menuntut fasakh) jika berlaku suatu peristiwa yang khusus, terutama apabila kepercayaan dikhianati oleh suami seperti berlaku curang atau poligami tanpa izin pengetahuan isteri. Malah, ada satu kes seorang nenek memfailkan tuntutan fasakh ketika berumur 65 tahun selepas lebih 40 tahun mengalami penderaan mental, psikologi dan fizikal daripada suaminya sepanjang tempoh perkahwinan mereka,” katanya.

Mohd Na’im berkata, secara keseluruhan ada kira-kira 15 16 alasan diperuntukkan dalam undang-undang syariah yang membolehkan isteri menuntut fasakh daripada suami, iaitu berkaitan kegagalan memenuhi tanggungjawab nafkah zahir dan batin, mati pucuk, tidak berlaku adil dalam poligami serta kaki perempuan.

Sila semak alasan membubarkan perkahwinan secara fasakh dalam entry 16 alasan fasakh. Bagaimanapun, bagi alasan penderaan mental dan psikologi, kes berkenaan sukar dibuktikan dan berikutan itu, Mahkamah Syariah akan dibantu dengan pandangan pakar psikologi, selain keterangan saksi.


STATISTIK

Kes Tuntutan Fasakh di Mahkamah Syariah 2008-2010

Negeri

2008

2009

2010

Daftar

Selesai

Baki

Daftar

Selesai

Baki

Daftar

Selesai

Baki

W.Persekutuan

256

261

4

299

284

15

296

238

58

Selangor

626

440

186

795

570

225

1,051

618

433

N.Sembilan

450

447

2

619

613

6

666

613

53

Melaka

100

99

1

147

142

5

191

162

29

P.Pinang

129

128

1

129

116

7

60

47

13

Perlis

220

213

7

214

189

24

227

183

44

Kedah

133

100

33

133

110

23

168

104

64

Perak

315

180

135

458

270

188

484

308

176

Kelantan

27

24

3

30

29

1

32

27

5

Terengganu

231

226

5

283

270

13

322

274

48

Pahang

86

79

7

199

123

16

268

176

92

Johor

477

451

26

534

477

57

662

531

131

Sabah

820

630

190

837

619

218

919

628

291

Sarawak

173

173

0

169

164

5

175

159

16

JUMLAH

4,052

3,451

600

4,846

3,976

803

5,521

4,068

1,453

http://laman-seri.blogspot.com


Ramai wanita Islam berani pertahan hak

Peningkatan kes tuntutan fasakh di seluruh negara menunjukkan semakin ramai wanita Islam yang celik undang-undang dan berani keluar daripada kepompong amalan tradisi ‘berendam air mata’ apabila menanggung seksa akibat penderaan suami.

Laman-Seri bersetuju dengan pandangan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim yang berkata, mereka kian memahami peruntukan sedia ada dalam undang-undang syariah di negara ini yang menggariskan pembelaan bagi golongan isteri teraniaya.

Oleh itu, golongan suami harus mengambil iktibar daripada kebangkitan iseri mempertahankan hak mereka. Golongan suami juga diingatkan supaya jangan bersikap atau bertindak sewenang-wenangnya terhadap pasangan hidup mereka, terutama melakukan penderaan mental dan psikologi. Berkenaan hal ini, Laman-Seri pernah highlight perkara ini dalam entry Bergaul baik dengan isteri adalah WAJIB.

“Dulu, kebanyakan isteri hanya duduk diam dan membiarkan diri menanggung seksa walaupun didera suami, terutama demi anak. Ini menyebabkan suami yang melakukan penderaan berani meneruskan perbuatan mereka itu kerana tiada sebarang tindakan diambil. Maka apabila golongan isteri yang teraniaya kini bangkit mempertahankan hak dengan menuntut fasakh supaya tidak berterusan menanggung penderaan suami, ia bukanlah suatu kesalahan dan mereka tidak harus dilemparkan persepsi negatif sebagai ‘perempuan jahat’ pula. Ini sekurang-kurangnya boleh memberi kesedaran kepada golongan suami supaya jangan bersikap sewenang-wenangnya mengabaikan, menyakiti atau menganiaya isteri, sebaliknya menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universtiti Malaya (UM), Prof Dr Suradi Salim berkata, masalah seumpama itu harus diteliti sebelum setiap pasangan mendirikan rumahtangga kerana ia memberi kesan jangka panjang terhadap keutuhan perkahwinan mereka. Menurut Prof Dr Suradi Salim, sikap mendera isteri secara mental serta psikologi sehingga membawa kepada perceraian tidak mungkin akan terjadi jika kedua-dua pihak ada persefahaman sebelum mengambil keputusan berkahwin, katanya.



Sumber : BHarian 28/10/2011

Capaian entery berkaitan :
* 16 alasan fasakh
* Bergaul baik dengan isteri adalah WAJIB
* Munakahat - Bab 9: Fasakh

Butiran selanjutnya ...
Related Posts with Thumbnails