SAMUEL (bukan nama sebenar) pernah menjadi contoh orang yang sihat dan dicemburui oleh rakan-rakan sebaya. Dia bersenam setiap hari, makan secara sihat, mengambil alkohol secara sederhana dan tidak pernah merokok. Tetapi, tugasnya sebagai seorang pengarah urusan yang sibuk penuh dengan ketegangan menyebabkan dia tidak dapat tidur malam. Tambahan pula, kedua-dua ibu bapa Samuel menderita serangan jantung sebelum mereka mencecah usia 55.
Ketika berlari di atas mesin penginjak pada suatu hari, Samuel, yang pada masa itu berusia 49 tahun, berasa sakit yang mencucuk di tengah dadanya dan mula berpeluh dengan cepat. Dia menjerit meminta bantuan dan dikejarkan ke hospital. Ya, dia telah mengalami serangan jantung, namun mujurlah, serangan itu dianggap ringan dan selepas pemulihan beberapa bulan, dia kembali seperti biasa. Terkejut dengan kejadian itu, Samuel mula belajar mengurangkan ketegangan dan memperlahankan rentak kerjanya.
Jika anda mengalami mana-mana daripada simptom ini–rasa sakit, sesak dada atau tekanan dalam dada, nafas singkat, sakit di rahang, leher, lengan, bahu atau belakang, rasa mual, berpeluh sejuk atau rasa pening dan pitam–ini adalah tanda-tanda amaran serangan jantung akan tiba.
Serangan jantung berlaku apabila saluran yang membekalkan darah ke otot jantung tersumbat, membawa kepada kematian sel otot jantung.
Penyakit kardiovaskular adalah pembunuh nombor satu di kalangan lelaki dan wanita Malaysia.
Wabak penyakit kardiovaskular global meragut 17 juta nyawa atau kira-kira satu pertiga daripada kematian di serata dunia pada setiap tahun.
Bukan semua orang bernasib baik seperti Samuel dan walaupun sesetengah faktor adalah di luar kawalan kita contohnya jantina, keturunan dan ras, terdapat banyak langkah yang boleh diambil untuk mendapatkan jantung yang sihat.
Di antara faktor risiko yang boleh dikawal termasuk kolesterol darah yang tinggi, merokok, tekanan darah tinggi, ketiadaan aktiviti fizikal dan obesiti.
Merokok adalah salah satu punca utama serangan jantung yang meletakkan tekanan tambahan ke atas jantung kerana ia menyebabkan saluran darah menekan ke bawah atau mencerut.
Jika saluran darah menjadi sempit dan rosak kerana penyakit jantung, merokok memburukkan lagi masalah itu.
Tekanan darah 140/90 atau ke atas adalah dianggap tinggi dan memaksa jantung bekerja lebih kuat. Jika tidak dikawal, ia meningkatkan risiko serangan jantung, angin ahmar atau masalah buah pinggang.
Turunkan angka itu dengan bersenam, mengurangkan berat badan, mengurangkan pengambilan garam atau mengambil ubat.
Aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 30 minit pada kebanyakan hari dapat memperbaiki paras kolesterol darah, tekanan darah dan gula darah (yang mana adalah kebimbangan utama bagi penghidap diabetes).
Kandungan gula yang tinggi dalam darah boleh mempercepatkan timbunan lemak dalam arteri koronari.
Lemak tubuh yang berlebihan adalah dikaitkan dengan tekanan darah tinggi, diabetes dan awal penyakit jantung, oleh itu kawal apa yang anda masukkan ke perut.
Bentuk tubuh dan ukuran pinggang anda juga adalah petunjuk risiko penyakit jantung. Jika ukuran pinggang anda adalah 94sm (37in) dan ke atas untuk lelaki atau 80sm (32in) dan ke atas untuk wanita, anda memang berisiko.
Jika ukuran pinggang anda ialah 102sm (40in) dan ke atas untuk lelaki atau 88sm (35in) dan ke atas untuk wanita, anda mempunyai risiko yang lebih tinggi. Oleh itu, jaga pinggang anda!
Jika anda seorang pesakit jantung, jangan risau. Anda juga boleh mempunyai hidup yang berkualiti dengan syarat anda mengubah gaya hidup dan mengambil langkah berjaga-jaga.
Menurut Persatuan Jantung Amerika, aktiviti seperti berjalan, berjoging dan berenang membantu mengekalkan kecergasan sistem kardiovaskular dan hampir semua orang boleh melakukannya.
Tetapi, sesetengah orang dengan kecacatan jantung perlu membataskan aktiviti mereka.
Selalunya ini bererti melepaskan sukan yang kompetitif serta senaman tertentu termasuk senaman isometrik, angkat berat, memanjat tali, duduk tegak, tarik paras dagu dan tekan tubi.
Sukan berintensiti rendah seperti golf dan aktiviti seperti menari, berenang santai, berbasikal dan berjalan langkah panjang tidak banyak membawa penekanan ke atas jantung.
Beban kerja jantung anda boleh ditingkatkan dalam dua cara: dengan meningkatkan jumlah darah yang dipamkan oleh jantung, dan mengepam pada tekanan darah yang lebih tinggi.
Aktiviti fizikal membuatkan jantung anda bekerja lebih kuat tetapi jumlah kerja tambahan yang diperlukan untuk jantung adalah berbeza daripada satu individu kepada individu yang lain.
Petua untuk jantung yang lebih muda dan sihat:
* Berhenti merokok. Cuba sahaja belum cukup tetapi terus berhenti
* Jaga diet anda. Makan dan hiduplah secara sihat
* Bersenam. Bergerak sekurang-kurangnya 30 minit sehari, empat kali seminggu
* Kenali isyarat ketegangan dan belajar cara mengurangkannya
* Kekalkan motivasi dan bersikap positif
* Lakukan saringan perubatan dan ujian ketegangan tahunan.
Jika tidak ada sejarah penyakit jantung, diabetes, hipertensi atau obesiti dalam keluarga, lakukan saringan perubatan dan ujian ketegangan tahunan menjelang usia 35 (lelaki) dan 40 (wanita).
Artikel Oleh: DR. YEE KOK MENG - Dr. Yee Kok Meng merupakan pakar perunding kardiologi.
Sumber: UtusanOnLine 7 Jan 2007
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...