oleh Abu Najwa
|
Rahsia Perjalanan Haji:
Haji adalah satu perjalanan kerohanian oleh seseorang hamba menuju Tuhannya yang mengandungi seribu satu kerahsiaannya. Perjalanan ini amatlah berlainan berbanding seseorang itu mengembara ke destinasi pelancongan atau sebagainya.
Perjalanan mengerjakan haji ini adalah rentetan perjalanan Rasulullah SAW sendiri semasa hajjatul wada'. Kisah hajjatul wada' ini amatlah masyhur sebagaimana Hadis yang diriwayatkan oleh Jabir r.a.
Definisi Haji:
Haji ialah mengunjungi Baitullah al-Haram di Mekah pada bulan-bulan haji untuk mengerjakan ibadat-ibadat tertentu menurut syarat-syaratnya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan serulah kepada manusia dengan (kewajipan) mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang sama dengan berjalan kaki atau berkenderaan dari segenap ceruk rantau yang jauh lagi dalam. (al-Haj: 87)
Menurut Sheikh Daud Al-fatani di dalam kitabnya menerangkan tentang huraian ayat di atas. Menurut kaedah lughah ayat di atas meletakkan mubtadak muakhar dan khabar muqaddam. Manakala khitab ditujukan secara am iaitu al-Nas iaitu "wahai sekelian manusia" tanpa pengkhususan. Mubtadak muakhar iaitu kewajipan mengerjakan haji diletakkan di belakang menunjukkan kewajipan itu tidak semestinya disegerakan. Ia memberi isyarat supaya manusia menyempurnakan urusan yang bersesuaian dengan fitrah mereka. Dan amalan ini bertepatan dengan sunah Nabi Muhammad SAW apabila baginda mengerjakan haji di akhir hayatnya dan haji ini masyhur dengan panggilan hajatul wada'.
Apa yang dapat disimpulkan di sini ialah kefarduan haji adalah sesuatu kewajipan yang mesti ditunaikan tetapi kewajipan ini tidak semestinya ditunaikan dengan segera kecuali setelah cukup syarat istitoaahnya ataupun kemampuannya.
Hikmah falsafah haji dan kerahsiaannya:
Terdapat banyak hikmah dan faedah disyariatkan haji.
Allah SWT berfirman yang maksudnya: Supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari tersebut kerana pengurniaan-Nya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban) dan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin. (al-Haj: 28)
Ibn abbas r.a menyatakan maksud faedah dalam ayat berkenaan ialah faedah di dunia dan faedah di akhirat.
Faedah-faedah disyariatkan haji
Membenarkan syariat Islam yang dibawa oleh Nabi-Nabi yang terdahulu.
Haji telah disyariatkan semasa zaman Nabi Ibrahim a.s. dan haji merupakan antara ibadat yang terawal yang telah disyariatkan oleh Allah SWT kepada umat manusia. Nabi Ibrahim telah memansuhkan amalan menyembah berhala pada zamannya dengan menggantikan dengan amalan Haji itu sendiri.
Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail sendiri membangunkan kembali baitullah sehinggakan Makam Ibrahim iaitu tempat Ibrahim mendirikan Kaabah disyariatkan untuk solat di belakangnya.
Pada masa ini juga ibadat korban dimasyhurkan sehinggakan Nabi Ismail digantikan dengan binatang korban. Gantian ternakan korban ini diberitakan adalah dari korban anak Nabi Adam a.s.
Perkara ini telah membenarkan syariat korban itu sendiri dan Rasulullah juga berpesan bagi mereka yang membawa hadyu (binatang ternak untuk korban) hendaklah melakukan korban ini semasa menunaikan haji iaitu semasa di Mina.
Mengingati kembali wasiat yang ditinggalkan Nabi Muhammad SAW
Di dalam wasiat hajatul wada', Rasulullah SAW berpesan bahawa manusia itu datang dari keturunan yang satu dan menyembah tuhan yang satu iaitu Allah. Di dalam wasiat itu, Rasulullah bersaksikan ribuan manusia bahawa syariat Islam telah disampaikan oleh baginda.
Rasulullah berpesan bahawa baginda telah meninggalkan wasiat atau tanda ingatan kepada umatnya yang tercinta bahawa kita tidak akan sesat selama-lamanya selagi kita berpegang dengan ajaran al-Quran dan al-hadis.
Lalu Allah SWT telah menyempurnakan agama Islam ini dengan firmannya: Hari ini telah ku sempurnakan agama kamu, dan aku telah kurniaan nikmatku, dan aku reda agama Islam itu agama kamu.
Agama Islam merupakan agama yang lengkap kerana syariatnya bertepatan dengan fitrah manusia. Manusia beroleh berbagai nikmat di antaranya ketenangan atau sakinah. Dan Allah SWT reda kepada hambanya akan agama Islam ini berbanding agama yang lain pada waktu itu seperti Yahudi, Kristian, majusi dan selainnya.
Umat Islam adalah bersaudara
Di antara hikmah disyariatkan haji adalah untuk menyatupadukan umat Islam dari pelbagai latar belakang dan berbagai kaum untuk saling kenal mengenal. Perkara ini telah dinyatakan oleh Allah SWT secara jelas di dalam al-Quran.
Manusia dijadikan dari kalangan lelaki dan wanita, dari pelbagai kabilah dan kaum supaya saling kenal mengenal antara satu sama lain.
Maka pekerjaan haji ini menjadi akademi realiti menyatupadukan umat Islam yang bersaudara sebagaimana digambarkan dalam banyak ayat al-Quran dan al-hadis.
Mengingati Kisah Adam a.s.
Nabi Adam adalah manusia seawal-awal penciptaan yang telah diturunkan oleh Allah SWT untuk menjadi khalifah di atas muka bumi. Setelah Nabi Adam a.s. diturunkan ke bumi baginda rasa menyesal di atas kesalahannya melanggar perintah Allah. Rahmat Allah amatlah besar kurnia-Nya telah menemukan Adam bersama isteri tercinta di Arafah.
Kisah ini banyak memberi iktibar kepada umat Islam bahawa mereka ditegah melanggar hukum Islam. Sebagai manusia mereka akan merasa menyesal setelah melakukan kesalahan. Namun begitu Allah SWT Maha Pengampun lagi Maha Penyayang lebih-lebih lagi nabi kita memohon ampun lebih 70 kali sehari.
Rehlah Rohaniah
Di antara falsafah haji yang utama ialah haji merupakan rehlah rohaniah atau perjalanan suci berbanding perjalanan yang lain. Perjalanan ini amat penting dan amat lain dari perjalanan yang bersejarah seperti The Silk Road atau perjalanan Ibn Batutah yang terpatri dalam lipatan sejarah. Ia juga bukan perjalanan seperti melancong ke tempat-tempat yang menarik tetapi perjalanan ini mempunyai pelbagai hikmah dan faedah yang boleh diambil.
Di antara kelainan ialah para jemaah haji adalah tetamu Allah, duyufurrahman. Tetamu ini mendapat jaminan Allah dan di antara keistimewaannya ialah orang yang menunaikan haji cukup dengan rukun dan tertibnya kerana Allah dijamin terhindar dari kepapaan. Jemaah haji yang pulang dari Makkah kebiasaannya dimuliakan oleh penduduk kariah masing-masing sebagai kemuliaan dari Allah SWT melalui mata manusia.
Selain itu, banyak kelainan yang dapat dilihat semasa menunaikan fardu haji di Mekah. Perasaan hiba dan kesyahduan selalu menyelubungi naluri dan jiwa insan yang bernama adam dan hawa. Mereka saling kuat berazam menunaikan ibadat, berjemaah di Masjidil Haram dan Masjid al-Nabawi lantaran panggilan tuhan yang menusuk ke sudut ulu hati hasil laungan azan.
Perasaan rindu ini adalah hasil doa Nabi Ibrahim a.s. ketika meninggalkan Hajar dan anaknya Ismail atas perintah Allah. "Wahai tuhanku, aku tinggalkan zuriatku di lembah yang gersang di sisi rumahmu (baitikal haram) untuk didirikan solat di atasnya. Oleh itu Ya Allah, jadikanlah hati manusia rindu kepadanya moga-moga mereka selalu kembali kepadanya (Mekah)".
Inilah rahsia yang amat besar pengertiannya di mana manusia dapat melihat dan merasakan kebesaran Allah di sana. Allah telah bersumpah dengan negeri ini seperti di dalam firman-Nya: Demi negeri yang amat aman (Mekah). (at-Tiin: 3). Ia menunjukkan bahawa negeri ini dipelihara oleh Allah sejak dahulu lagi sehingga hari kiamat.
Lihatlah dengan mata hatimu wahai makhluk yang bergelar insan, nescaya kamu akan mendapat ketenangan dalam perjalananmu menemui tuhan di alam yang kekal abadi.
Sumber: UtusanOnLine 17/10/2008
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...