Alat dalam rahim, pil dan suntikan hormon antara pilihan bagi wanita
SOALAN:
Doktor, saya berusia awal 40an dan sudah mempunyai enam anak. Ketika hamil anak keenam, doktor menasihati saya tidak lagi hamil kerana keadaan kesihatan saya yang tidak stabil setiap kali hamil disebabkan masalah kencing manis atau diabetes.
Saya diberi banyak pilihan supaya tidak hamil, termasuk mengikat salur peranakan. Saya ingin memilih kaedah ini tetapi ingin tahu adakah kaedah pencegah kehamilan yang lebih baik dan halal dari segi Islam?
Puan Zai
JAWAPAN:
Puan Zai, mengikut fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan, adalah haram hukumnya jika pemandulan (seperti mengikat salur peranakan) dilakukan sekiranya ia bertujuan menghalang puan daripada hamil lagi, kecuali atas sebab tertentu yang boleh memudaratkan puan.
Interpretasi ‘mudarat’ itu pula amat luas, selain dari segi perubatan, ia boleh merangkumi soal sosial, ekonomi dan juga psikologi. Dari segi perubatan, pelbagai masalah perubatan yang dikaitkan dengan wanita beranak ramai dan berusia lanjut ketika mengandung.
Wanita yang beranak ramai, berisiko mengalami tumpah darah ketika bersalin disebabkan rahim yang tidak mahu mengecut. Tumpah darah juga boleh membawa kepada kematian. Mereka juga berisiko mengalami embolisma selepas bersalin yang membawa kepada kematian. Selain itu, mereka berisiko tinggi mengalami uri di bawah, kedudukan anak melintang dan keguguran.
Wanita yang mengandung pada usia lanjut, risiko perubatan biasa seperti darah tinggi dan kencing manis adalah ketara. Usia juga dikaitkan dengan risiko anak mengalami Sindrom Down. Kebarangkalian mendapat anak Sindrom Down melonjak pada umur 40 tahun ke atas. Anak-anak Sindrom Down akan memberi tekanan kepada ibu bapa untuk menjaganya sampai usia tua.
Mudarat dari segi sosial dan ekonomi bererti masalah yang dikaitkan dengan anak yang tidak dapat didikan dan persekolahan yang sempurna kerana kesempitan wang. Anak-anak akan menjadi satu bebanan sosial kemudian seperti ketagihan dadah, menyamun dan lain-lain lagi. Ini berpunca kurang keprihatinan ibu bapa kerana mempunyai anak yang ramai dan hidup dalam kesempitan.
Daripada apa yang saya faham, puan mempunyai masalah diabetes ketika mengandung. Ini memang benar. Setiap kali puan mengandung, diabetes puan akan semakin teruk. Anak dalam kandungan mempunyai risiko kecacatan anggota badan dan makrosomia iaitu anak puan terlalu besar dan jika kelahiran biasa berlaku, anak puan boleh mengalami kecederaan urat saraf dan tulang.
Adakah puan mempunyai pilihan lain, selain mengikat tiub peranakan? Masih banyak cara lain yang puan boleh pertimbangkan termasuk:
1) Alat Dalam Rahim (ADR) seperti Cu 250,Cu 380 dan Mirena.
ADR mempunyai kelebihan yang mana ia bertahan selama tiga tahun bagi Cu 250 dan lima tahun bagi Cu 380 dan Mirena. Saya berpendapat ini adalah pilihan terbaik untuk puan kerana puan tidak perlu ‘terlupa” kerana ia sentiasa ada dan bersedia. ADR amat efektif mencegah kehamilan.
2. Tanam Implanon di bawah lengan.
Implanon ini hormon progestogen seperti bentuk batang mancis api. Hormon ini ditanam di bawah kulit di pangkal lengan kiri. Implanon boleh mencegah kehamilan seperti pilihan mengikat tiub peranakan. Ia mampu bertahan selama lima tahun. Kesan sampingan Implanon ialah kitaran haid yang tidak normal.
3. Suntikan hormon pada pinggul setiap tiga bulan. Ini juga boleh mengganggu kelancaran haid.
4. Pil cegah kehamilan.
Cara ini memerlukan disiplin diri 200 peratus bukannya 100 peratus! Pil ini perlu diambil setiap hari, pada waktu sama dan tidak boleh terlupa selalu. Saya rasa dengan bilangan anak enam orang, puan mungkin susah untuk mendisiplinkan diri mengikut peraturan pengambilannya.
Sumber : BHarian 2009/05/03
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...