Assalamualaikum warahmatullah,
Pernahkah terjadi, ketika mahu ke surau atau masjid untuk bersolat, terdetik di hati, alahkah bagusnya jika ada orang lain melihat kita? Atau ketika mahu memasukkan duit ke tabung masjid atau ketika menghulurkan sedekah kepada pengemis di jalanan, tiba-tiba terasa dalam diri agar orang lain melihat perbuatan yang dilakukan?
Astagfirullah... semoga tidak terdetik lintasan syaitan sebegini di hati kita, kerana jika inilah yang berlaku, kita sepatutnya sangat risau kerana semua ibadah yang dilakukan tidak diterima Allah SWT. Mengapa ibadah ini tidak diterima-Nya? Ini adalah kerana timbul penyakit riak atau takbur yang sangat dibenci Allah SWT.
Ya, sebagaimana diketahui, penyakit riak atau berbuat sesuatu kerana mengharapkan agar dilihat dan dipuji manusia, bukan mengharapkan keredaan Allah adalah penyakit berbahaya yang boleh menimpa sesiapa saja, sama ada di kalangan ulama mahupun orang awam. Riak adalah syirik kecil, tapi termasuk antara dosa besar. Seseorang yang melakukan kebaikan diiringi perasaan riak, maka amalan itu gugur dan tiada pahala, bahkan akan mendapat dosa akibat perbuatan riak itu.
Apakah penyakit riak?
Maha Besar dan Maha Berkuasanya Allah dapat kita lihat dengan kejadian manusia yang pelbagai rupa dan kelakuan. Walaupun rambut sama hitam, tapi warna kulit, bahasa, tingkah laku dan agama tidak sama antara seorang dengan seorang. Begitu juga kalau kita lihat dalam kehidupan manusia di bumi ini. Ada yang miskin ada yang kaya. Ada yang baik hati, ikhlas, jujur, amanah dan terdapat juga mereka yang busuk hati, sombong, dengki, kedekut dan riak.
Apa saja sifat yang boleh mendatangkan keburukan, kebinasaan atau kecelakaan dalam hidup seseorang, ia boleh dianggap sebagai penyakit. Perbuatan riak dianggap satu daripada penyakit rohani dan Islam memandangnya sebagai wabak yang mengancam kemurnian akidah orang Islam. Di kalangan orang Islam riak masih wujud dalam kehidupan hari ini walaupun sifat dan perbuatan itu dibenci Allah SWT. Ulama Islam berpendapat riak adalah sifat yang tidak baik diamalkan oleh orang Islam. Dalam Islam, riak adalah sifat yang cukup keji kerana ia boleh membinasakan segala kebaikan yang pernah dilakukan selama ini dan merosakkan pahala amal soleh seseorang. Sifat riak sebenarnya boleh dihindari dengan memperkuat atau mempertingkatkan iman dan hati sentiasa takut akan azab dan seksa Allah di akhirat nanti.
Menurut Imam Al-Ghazali, riak adalah mencari kedudukan pada hati manusia dengan memperlihatkan kepada mereka hal-hal kebajikan. Sementara Imam Habib Abdullah Haddad pula berpendapat riak ialah menuntut kedudukan atau meminta dihormati daripada orang ramai dengan amalan yang ditujukan untuk akhirat. Dalam al-Quran Allah berfirman yang bermaksud: “Maka celakalah (azab) bagi orang yang sembahyang, yang mereka itu lalai daripada sembahyangnya lagi mereka itu riak.” (Surah Al-Maun ayat 4-6).
Dalam surah al-Baqarah ayat 264 Allah berfirman maksudnya: “Hai orang- orang yang beriman janganlah kamu batalkan sedekahmu dengan mencerca dan menyakiti seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riak kepada manusia.” Secara mudah kita simpulkan bahawa riak adalah perbuatan yang semata-mata untuk mengharapkan sanjungan, pujian atau penghormatan daripada orang lain. Hal ini amat bertentangan dengan kehendak Islam yang sentiasa menyeru umatnya agar beramal atau melakukan perkara kebaikan dengan hati penuh keikhlasan dan mengharapkan keredaan Allah.
Sekiranya penyakit riak ini dibiarkan terus bersarang dalam hati seseorang, lama-kelamaan ia boleh membinasakan orang yang mengamalkannya. Mungkin kebinasaan itu tidak dapat dilihat dengan nyata ketika berada di dunia ini, tapi nantikanlah balasannya di kampung akhirat kelak.
Kemurnian akidah, keluhuran akhlak dan kesempurnaan amal umat Islam akan tercemar dan rosak jika tidak dilandasi keimanan dan keikhlasan hati serta mengharapkan keredaan Allah. Justeru, dalam Islam setiap amal kebajikan yang disertai dengan riak adalah tergolong dalam perbuatan syirik kecil yang boleh merosakkan amal kebajikan, melunturkan kemurnian akhlak dan akan mendapat kerugian hidup di dunia dan akhirat.
Tidak dinafikan, memang ada di kalangan umat Islam yang melakukan sesuatu amalan kebajikan atau mengerjakan ibadah hanya untuk mengaburi mata orang ramai. Mereka melakukan amalan kebajikan atau ibadah untuk menunjukkan yang kononnya mereka baik, pemurah, warak atau rajin beribadah. Mereka lakukan kerana didorong hawa nafsu yang sentiasa berusaha memesongkan mereka yang lemah imannya. Hal ini diperingatkan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan janganlah kamu turuti hawa nafsu, nanti ia menyesatkan kamu daripada (agama) Allah. (Surah Sad ayat 26).
Dalam surah Muhammad ayat 16, Allah berfirman yang bermaksud: “Mereka itu telah dicap (ditutup) Allah mata hatinya dan mereka mengikut hawa nafsunya.” Adalah sangat jelas umat Islam yang melakukan perbuatan riak akan mendapat balasan buruk daripada Allah. Sementara Rasulullah sendiri sentiasa mengingatkan umatnya supaya menjauhi diri daripada perbuatan riak melalui beberapa hadisnya. Antaranya, Rasulullah bersabda: “Awaslah kamu jangan mencampuradukkan antara taat pada Allah dengan keinginan dipuji orang (riak), nescaya gugur amalanmu.” (Hadis riwayat Ad-Dailami).
Dalam hadis lain Rasulullah bersabda: “Suatu yang paling aku khuatirkan kamu ialah syirik kecil, lalu ditanya oleh sahabat, apakah syirik kecil itu ya Rasulullah? Kemudian baginda bersabda, itulah riak.” (Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi).
Hindari penyakit riak
Untuk menjauhkan diri atau membersihkan hati daripada perbuatan riak, umat Islam hendaklah mengamalkan sifat muraqabah. Muraqabah dapat memperlihatkan dan menghayati kepentingan dan hak Allah dengan memperhitungkan diri sendiri, berapa banyak kebaikan dan dosa yang telah dilakukan sebagai perbandingan supaya terus berhati-hati dalam setiap perbuatan dan apa jua tindakan yang akan dilakukan.
Lawan riak adalah ikhlas. Betapa berat dan sukarnya ikhlas ini sehingga seorang ulama pernah berkata: “Aku tidak pernah susah payah melebihi kemampuanku untuk sentiasa ikhlas.” Walaupun demikian, bukanlah bererti ikhlas itu tidak boleh dicapai. Ia boleh dicapai oleh mana-mana orang Islam yang mahu bersungguh-sungguh untuk mengikhlaskan niatnya. Dalam hal ini, ada beberapa perkara perlu diperhatikan agar dapat meraih keikhlasan berkenaan;
Pertama – memahami dan sentiasa berusaha mengingati kedudukan ikhlas bagi sahnya sesuatu amal. Tanpa keikhlasan, kebaikan yang diusahakan menjadi sia-sia. Perkara ini hendaklah diperhatikan ketika, sedang, bahkan sesudah melakukan kebaikan, lebih-lebih lagi berkaitan ibadat khusus seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya.
Kedua – berusaha untuk sentiasa memahami serta mengingati besar dan bahayanya dosa riak. Riak juga sangat hampir dengan bangga pada diri sendiri (ujub) serta sombong dan kesombongan itu sangat dekat dengan kekufuran. Lihatlah iblis yang enggan sujud hormat kepada Nabi Adam, akhirnya kufur dan dimurkai Allah SWT. Dalam hadis sahih riwayat Muslim bahawa Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): “Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya ada rasa sombong walaupun sebesar zarah.”
Ketiga – bergaul dengan rakan yang soleh. Suasana dan kumpulan rakan yang baik akan mendorong seseorang melakukan kebaikan dan malu melakukan keburukan, kemungkaran serta maksiat. Selain itu, dia juga dapat belajar mengenai makna keikhlasan.
Keempat – keikhlasan itu hendaklah dilatih dan dibiasakan sebagaimana pepatah ‘alah bisa tegal biasa.’ Orang yang ikhlas dalam beramal, meskipun dalam keadaan sukar akan mendapat ketenteraman dan ketenangan hati. Mungkin dia tidak memperoleh tepuk tangan dan kekaguman orang lain, mungkin juga orang lain akan mencemuh dan meremehkan dirinya, namun kelazatan iman dan keikhlasan membuatkan hatinya tenteram sehingga iman makin kukuh dan yakin kepada Allah Rabbulalamin.
Kelima – bertaubat adalah jalan terbaik bagi mereka yang melakukan dosa atau yang terlanjur perbuatannya. Taubat dan istighfar amat dituntut ke atas setiap orang yang beriman. Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang-orang yang melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun atas dosa mereka. Dan tiada siapa yang mengampuni dosa melainkan Allah dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya sedang mereka mengetahui.” (Surah Ali Imran ayat 135).
Dalam surah lain Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.” (Surah Al-Baqarah ayat 222).
Semoga Allah SWT menjauhkan kita daripada syirik, kufur, sombong dan riak dalam segala macam bentuk. Semoga Allah SWT mengurniakan kita keikhlasan baik dalam bentuk lisan serta perbuatan.
Amiin.
Rujukan : Ustaz Zahazan di BHarian 23/10/2011 dan HMetro.
“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”
“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”
Isnin, Oktober 24, 2011
Bersungguh mencari keikhlasan mampu kikis perasaan riak
Susunan :
Bawang Goreng
pada
10/24/2011 10:15:00 PG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...