“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Ahad, Oktober 30, 2011

Hati-hati dapatkan susu derma

Susu yang diperah boleh bertahan hingga tiga bulan jika disimpan di tempat sejuk beku dan dua minggu jika disimpan di peti ais biasa.


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Entry ini adalah sambungan entry Kongsi susu ibu yang disiarkan dalam BHarian 25/10/2011.

Penubuhan Bank Susu lancarkan proses pendermaan

Pensyarah Perubatan Fakulti Perubatan Kesihatan dan Pertahanan, Universiti Pertahanan Kebangsaan Malaysia, Dr Adlina Sulaiman tidak menggalakkan ibu bapa mendapatkan susu ibu daripada orang tidak dikenali khususnya menerusi urusan di internet atau laman sosial.

Antara sebabnya ialah ibu bapa bayi mungkin tidak mengenali secara rapat mengenai latar belakang penderma. Begitu juga dengan tahap kebersihan ketika proses susu diperah serta teknik penyimpanannya betul atau sebaliknya.

“Sewajarnya pemilik susu itu dikenali rapat oleh ibu bapa bayi yang menerima susu berkenaan kerana apabila cukup tempoh penyusuan itu, akan wujudnya ibu susuan yang mempunyai pertalian istimewa dengan bayi itu hingga mensabitkan soal aurat dan sebagainya. Islam sudah menjelaskan mengenai susu ibu, oleh itu, saya fikir tidak seharusnya timbul orang Islam yang terdesak mendapatkan susu menerusi internet atau orang tidak dikenali,” katanya.

Konsep ibu susuan seharusnya dilakukan menerusi payudara tetapi dalam keadaan tertentu, termasuk bayi pramatang yang tidak membolehkan ia menyusu, ia perlu dilakukan menerusi tiub akibat kelahiran pramatang atau kembar sehingga susu ibunya belum memadai untuk keperluan bayi. Tekanan ibu yang melahirkan juga boleh menyebabkan susu tidak keluar. Terdapat juga keadaan ibu yang menderita penyakit yang mengharuskan mengambil ubat tertenut dan membahayakan kesihatan bayi, misalnya kemoterapi, ibu menderita penyakit menular seperti Hepatitis atau HIV Aids dan mungkin ibu mengalami masalah kesihatan serius, yang menyebabkan susu sama sekali tidak dapat keluar.

Mengenai lambakan susu yang dihasilkan oleh seseorang ibu hingga boleh disumbangkan kepada bayi lain, jelas Dr Adlina, kapasiti susu boleh dikeluarkan menampung keperluan enam orang bayi pada satu masa dan sekiranya susu berkenaan banyak, memungkinkan ibu itu perlu menyimpannya. Tetapi cara penyimpanan perlu dilakukan dengan bersih kerana susu yang diperah boleh bertahan hingga tiga bulan dan dua minggu jika disimpan di peti air biasa.

Dr Adlina tidak menolak kemungkinan urusan mendapatkan susu ibu boleh dilakukan di internet sama ada mendapatkan daripada penderma atau dibeli.

“Tetapi jangan biarkan ketaksuban itu mengundang padah seperti tertipu dengan susu yang didakwa susu ibu, sedangkan sebaliknya,” katanya.

Pengurus Projek, Program Pembimbing Ibu Menyusu Malaysia (MBFPC), Nor Kamariah Mohamad Alwi, menyokong usaha yang dijalankan HM4HB kerana ia membantu meluaskan sokongan dalam kes tertentu yang memerlukan, namun mahu beberapa garis panduan diperkenalkan supaya pihak penderma dan penerima tidak terdedah kepada risiko jangkitan atau konflik hukum-hakam berkaitan ibu susuan.

“Setahu saya, kumpulan ini sudah menerima pandangan daripada beberapa penasihat agama dan kesihatan berkaitan perkara ini. Cuma mungkin maklumat itu perlu didokumenkan secara terperinci untuk makluman orang ramai,” ujarnya, yang pernah bekerjasama dengan rangkaian berkenaan bagi membantu ibu yang mahukan susu penderma.

Berkongsi cerita, beliau yang juga perunding laktasi, Nurturing Concept, berkata dia memperkenalkan pasangan positif HIV kepada rangkaian itu bagi membolehkan pasangan berkenaan mendapatkan bantuan susu penderma untuk bayi mereka.

“Dasar di negara ini, ibu yang menghidap HIV, tidak dibenarkan menyusui anak mereka. Saya memperkenalkan pasangan ini kepada HM4HB dan amat terharu dengan kepantasan mereka menghulurkan bantuan. Syukur, anak itu dapat juga menikmati khasiat susu ibu, walaupun bukan daripada ibunya sendiri,” katanya.

Nor Kamariah turut berpendapat, menderma susu kepada lebih daripada seorang bayi lain tidak menimbulkan masalah jika penderma mampu melakukannya. Namun, dari konteks Islam, mengetahui maklumat penderma dan penerima penting supaya masing-masing tahu dengan siapa mereka bersaudara susuan, kelak tidak timbul isu kekeliruan dari segi mahram.

“Amalan ibu susuan sudah berlaku sejak zaman Rom lagi dan ia satu pilihan teratas berbanding susu buatan. Cuma dari segi implikasi terhadap institusi kekeluargaan, jika ibu daripada ibu lain hanya semata-mata tidak mahu menyusu sendiri, ibu terbabit dan bayi berkemungkinan besar tidak memperoleh manfaat sebenar penyusuan ibu. Ini kerana dalam pelaksanaan penyusuan ibu, ada pelbagai kesan positif sama ada perbuatan, amalan dan proses penyusuan itu berbanding jika hanya melihat dari segi kandungan susu ibu itu saja,” katanya.

Nor Kamariah turut menyarankan penderma susu supaya menjalani pemeriksaan kesihatan dan memastikan diri mereka bukan penyumbang kepada penyakit berjangkit terlebih dulu. Mengenai lambakan susu ibu sehingga berkebihan daripada jumlah diperlukan, katanya, lambakan susu perahan boleh terjadi disebabkan pelbagai faktor. Antaranya ialah berlaku satu fenomena, yang mana ibu seakan-akan berlumba untuk melihat siapa dapat mengumpul paling banyak susu, sedangkan bayi mereka tidak memerlukan bekalan sebanyak itu. Selain itu, katanya, ada ibu yang benar-benar mempunyai lebihan susu yang banyak menyebabkan mereka terpaksa memerah susu walaupun bayi mereka sudah kenyang.

“Ada juga ibu yang tidak memahami kaedah mengawal stimulasi penghasilan susu dan menyebabkan mereka mengumpul susu lebih banyak daripada keperluan bayi mereka. Walau apa pun keadaan dinyatakan, jika keadaan ini disalurkan kepada sesuatu yang dapat dimanfaatkan seperti menderma susu itu kepada yang memerlukan, ia boleh membawa kebaikan daripada menimbulkan keburukan,” katanya.

Nor Kamariah turut berpendapat, penubuhan bank susu membolehkan keluarga yang memerlukan susu badan emmperoleh bantuan secara lebih mudah.

“Kewujudan bank susu juga menggambarkan institusi yang lebih teratur dan proses lebih mantap serta berkesan boleh dilaksanakan. Saya menyeru kepada kerajaan untuk mempertimbangkan penubuhan Bank Susu secara rasmi dan dihubungkan terus dengan kemudahan kesihatan sedia ada seperti hospital dan klinik kesihatan di seluruh Malaysia. Perlaksanaannya perlu dipantau dari segi kawalan penyakit, aspek keagamaan dan pentadbirannya,” katanya.

Menurut Nurnahdatul Salwa Muhamad Zaki, 33, ibu kepada seorang cahaya mata yang masih menyusu badan berkata, “Secara peribadi, saya berpendapat penawaran susu badan menerusi internet kurang sesuai kerana latar belakang penderma, termasuk kesihatan dan akhlaknya tidak diketahui secara jelas. Tambahan pula, kalau masalah ‘kering susu’ hendak dijadikan alasan, masih ada ikhtiar untuk menambahkan jumlah susu ibu, termasuk pengambilan pil penggalak susu, bukan dengan mudah memperolehnya menerusi internet. Kalau ingin menyusukan anak sehingga dua tahun, wanita ada pilihan untuk bercuti. Saya sememangnya berusaha memberikan susu badan sepenuhnya kepada anak saya. Kalau tidak cukup, saya lebih rela mendapatkan daripada saudara-mara terdekat berbanding orang yang tidak dikenali.”

Pendaftaran global bukan jaminan

Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (PPM), Datuk Abdul Rahman Othman, menasihati mana-mana rangkaian kumpulan, pertubuhan, persatuan atau organisasi yang membabitkan kepentingan orang ramai, mendaftar bagi memberitahu dan mengesahkan kewujudannya di negara ini.

Abdul Rahman berkata, pendaftaran boleh dibuat sama ada sebagai syarikat yang didaftarkan melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau pun persatuan di bawah PPM.

Mengulas mengenai kewujudan rangkaian perkongsian susu Human Milk For Human Baby (Malaysia) yang tidak didaftarkan dalam PPM, beliau menyarankan pendaftaran dibuat kerana ia membabitkan orang ramai.

“Mengikut undang-undang, jika membabitkan lebih daripada tujuh orang ahli, wajib didaftarkan tanpa mengambil kira ia beroperasi menerusi internet atau memiliki premis perniagaan, secara sukarela, kebajikan dan tidak berasaskan mendapat sebarang keuntungan. Begitu juga bagi yang beroperasi melalui laman sosial, perlu mendaftar selagi ia membabitkan orang ramai. Hari ini, kita tidak nafikan perhubungan teknologi semakin popular, tetapi pendermaan susu menerusi internet boleh dianggap isu besar kerana ia membabitkan keselamatan dan kesejahteraan hidup masyarakat,” katanya.

Tegasnya konsep sukarela atau kebajikan tidak menjadi persoalan tetapi apa yang boleh menimbulkan masalah membabitkan kepentingan oerng ramai dan jika berlaku apa-apa yang tidak diingini, siapa yang akan bertanggungjawab. Jika pendaftaran tidak dibuat, pihak terbabit perlu memastikan tiga isu utama tidak tergugat iaitu keselamatan, kententeraman awam dan moral.

Namun, dalam pendermaan susu kepada orang ramai, antara persoalan yang boleh timbul ialah keselamatan dan kesihatan, termasuk jangkitan penyakit dan sebagainya. Walaupun mungkin pendaftaran di peringkat global sudah dibuat, apabila rangkaian diwujudkan dan beroperasi di negara ini, pendaftaran tetap satu keperluan yang perlu dipatuhi. Pihak berkenaan sewajarnya perlu mendapatkan masihat, kebenaran atau lampu hijau untuk beroperasi.




Sumber : BHarian 27/10/2011

Capaian entry berkaitan :
* Kongsi susu ibu
* Makruh minum susu daripada wanita bukan Islam
* Pelik dan menarik mengenai susu ibu
* Penyusuan Susu Ibu dari Pandangan Islam
* Tawar susu ibu di internet

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails