“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Selasa, Julai 01, 2014

Jangan mencela makanan



Assalamualaikum, 

Alhamdulillah, bertemu kita lagi dalam entry kali ini di bulan Ramadhan yang mulia. Syukur masih ada kelapangan untuk saya nukilkan sedikit pengalaman untuk tatapan dan pengajaran yang dapat kita ambil, insyaAllah.

Makanan adalah suatu nikmat yang sangat penting bagi manusia, kerana manusia perlukan makanan untuk hidup. Makanan itu pula ada kalanya disukai, sedap dan menyelerakan dan ada kalanya pula sebaliknya. Apabila dihidangkan dengan makanan yang tidak disukai, tidak sedap dan tidak menyelerakan, ada kalanya seseorang itu tidak dapat menahan diri daripada mencela makanan tersebut.

Sesuai dengan tajuk entry, saya nak cerita sikit al-kisah yang berlaku sewaktu iftar Ramadhan kedua (semalam). Gambar di atas adalah makanan yang dihidangkan oleh caterer yang dilantik oleh Masjid XXXX berdekatan kediaman saya. Saya rahsiakanlah, sebab tak mahulah dikatakan mengumpat pula nanti. Ikut menu yang disediakan, dalam pinggan ada nasi putih, sayur campur, ikan keli goreng + sambal, sambal belacan + timun, dalam pinggan asing pula ada gulai lemak daging salai + belimbing buluh + ubi kentang. Pencuci pulut pula pudding cendol dan air laici. Waaaah…. Sedap,kan? Jangan ada yang meleleh air liur baca entry saya sudahlah, ya… hehe...


Saya duduk semeja dengan anak-anak, kebetulan sewaktu hampir-hampir berbuka, seorang hamba Allah bersama anak kecilnya menyelit masuk duduk bersama meja sehidangan. Masuk sahaja waktu berbuka, kami pun mulalah mengisi perut. Agaknya disebabkan lapar seharian berpuasa, saya sangat consentrate makan, tanpa sempat menoleh ke kiri dan kanan lagi. Tiba-tiba hamba Allah yang duduk semeja membuka mulut, “Isy… apasal nasi ni mentah.” Sayapun kuis-kuis sedikit nasi yang di dalam pinggan. Dalam hati, “Hemmm…. Sedikit keras, ada juga yang tak cukup kembang. Tak apalah, rezeki depan mata, perut tengah lapar…”. Hamba Allah ini terus menegur, “Nasi tak mentah ke? Elok je makan…”, saya jawab sambil senyum, “Mentah sikit, tapi boleh makan.” Saya memang tak cerewet sangat soal makan, lebih-lebih lagi bila makanan tersebut diberi percuma.

“Ish… akak tak lalu makan nasi mentah macam ni. Ini salah sukat air, masak tak betul memanglah mentah….” rungut hamba Allah ini lagi. Saya cuma senyum aje.

“Kalau budak akak yang masak nasi ni memang kenalah… Akak memang jaga bab-bab macam ni sebab akakpun buat catering juga…” 

Hemmm… tak terkata apa, entahlah… bukan saya tak mahu layan celoteh hamba Allah ini, tapi terasa rugi kalau tak ‘khusyuk dan tawadduk’ menikmati makanan yang ada… heh heh heh… Saya ingatkan hamba Allah ini akan ‘senyap’ sebab saya tak layan dia merungut, tapi rupa-rupanya ada lagi rungut-sambungannya.

“Nampak selera betul makan ya, ambik la lauk akak ni (ikan keli). Akak tak makan ikan-ikan macam ni. Tak lalu tekak. Lauk semalam sedap, hari ni tak berapa sedap. Nasi pulak mentah…” Saya senyum aje, entahlah… Rasanya memang eloklah saya diam, sebab teringat satu hadis nabi berkenaan larangan mencela makanan. Saya beritahu hamba Allah ni, “tak apalah kak, lauk anak ni pun (sambil tunjuk lauk anak yang duduk sebelah) tak habis lagi, nanti kalau nak saya ambil.” Saya sambung habiskan makanan yang ada, licin pinggan tinggal tulang tengah di badan ikan keli saja… he he… Dalam pada itu, hamba Allah ini terus-menerus merungut akan ‘ketidak-sempurnaan’ juadah yang dihidangkan. Astagfirullah, nak saja saya ‘ceramah’ sikit pada hamba Allah ini, tapi entah mengapa tiada kekuatan untuk menegurnya. 

Saya kongsikan kisah ini agar kita dapat iktibar daripada apa yang berlaku. Memang ada hadis yang melarang kita mencela makanan. Saya godek-godek EnGoogle dan ambil dari JAKIM : Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, “Rasulullah SAW tidak pernah mencaci sesuatu makanan. Jika baginda suka makanan tersebut ia memakannya dan jika Baginda tidak menyukainya maka Baginda tinggalkannya.” (HR Muslim) 

MasyaAllah, begitu tinggi pekerti Rasulullah s.a.w., tidak mencela makanan kerana setiap rezeki yang dikurniakan Allah semuanya baik kerana dengan rezeki tersebut juga dapat memberi beberapa faedah dan manfaat kepada hambanya, sesuai dengan tempat dan keadaan di mana berada. Janganlah kita mencela atau mencaci makanan yang kita diperolehinya. Imam al-Ghazali Rahimahullah berkata dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin bahawa seharusnya seorang muslim itu redha dengan rezeki dan makanan yang ada. Apabila sesuatu makanan yang dihidangkan itu tidak disukai, tidak sedap atau tidak menyelerakan, maka janganlah makanan itu dicela, cukuplah sekadar diam ataupun tidak memakannya, itulah yang lebih aula...

Dalam satu riwayat lain yang diriwayatkan oleh Muslim, Abu Hurairah r.a. berkata, maksudnya, “Aku tidak pernah sekali-kali melihat Rasulullah s.a.w. mencela makanan. Sesungguhnya apabila Baginda menyukainya, Baginda memakannya dan apabila Baginda tidak menyukainya Baginda diam.” (HR Muslim)


Berdasarkan hadis di atas, para ulama mengambil kesimpulan bahawa makruh mencela makanan yang halal dimakan. Adapun makanan yang haram pula maka bolehlah dicela dan melarang orang lain memakannya. Imam an-Nawawi r.a. berpendapat bahawa antara adab makan yang penting untuk dijaga ialah tidak mencela sesuatu makanan yang dirasakan tidak sedap atau tidak menepati cita rasa; umpamanya mengatakannya masin, masam, kurang garam, cair, tidak cukup masak dan sebagainya.

Sebahagian ulama mengharuskan mencela makanan jika ianya bertujuan untuk mengkritik cara masakannya, bukannya bertujuan untuk mencela makanan tersebut. Bagaimanapun, menurut Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalaani Rahimahullah, larangan mencela makanan tersebut adalah umum kerana mencela masakan seseorang boleh melukakan hati orang yang memasaknya. Akan tetapi jika ianya bertujuan untuk kebaikan masa hadapan, iaitu supaya masakan tersebut dapat diperbaiki maka tidaklah menjadi kesalahan menurut sebahagian ulama.


Jika dihidangkan sesuatu makanan sedangkan makanan tersebut tidak disukai ataupun tidak pandai memakannya, maka diperbolehkan menolak dengan mengatakan: “Saya tidak menyukai makanan ini” atau “Saya tidak biasa atau tidak pandai memakannya” atau dengan apa jua ungkapan yang seumpamanya.

Rasulullah s.a.w. pernah dihidangkan dengan daging dhab bakar lalu Baginda tidak mahu memakannya. Khalid bin al-Walid r.a. lalu bertanya kepada Baginda, maksudnya, “Adakah dhab itu haram wahai Rasulullah!?” Rasulullah s.a.w. pun menjawab, maksudnya: “Tidak, akan tetapi binatang itu tidak ada di bumi (lingkungan) kaumku, sehingga aku tidak menyukainya.” (HR al-Bukhari dan Muslim). 

Dalam sebuah riwayat yang lain pula diceritakan bahawa Baginda menjawab maksudnya: “Makanlah kamu, sesungguhnya ianya adalah halal. Akan tetapi ianya bukanlah daripada makananku (yang biasa aku makan).” (HR Muslim)

Nah kawan-kawan, makanan adalah nikmat kurniaan Allah SWT yang patut dihargai dan disyukuri dan jangan sekali-kali ianya dicela. Jika makanan yang dihidangkan kepada kita itu kita sukai, maka makan dan pujilah makanan itu selayaknya, sebaliknya jika makanan itu tidak kita sukai, maka diam adalah lebih baik atau boleh saja makanan itu ditinggalkan. 

Ingat, jangan mencela makanan, ya!

XOXO...


NB: Sebahagian info dipetik dari JAKIM dan Mufti BN

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails