“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Sabtu, April 14, 2012

Celik fardu ain sokong tugas ibu






Assalamualaikum dan salam sejahtera,



Pengetahuan ilmu fardu ain merupakan kewajipan ke atas setiap mukallaf termasuklah golongan wanita. Lebih-lebih lagi yang bergelar ibu. Ibu-ibu perlu melengkapkan dirinya dengan ilmu-ilmu fardu ain agar kehidupan seharian diri dan keluarganya diredhai Allah S.W.T. Imam al-Ghazali dalam kitab masyhurnya Ihya’ Ulumuddin mentakrifkan ilmu fardu ain sebagai ilmu tentang cara amal perbuatan yang wajib. Orang yang mengetahui ilmu yang wajib dan waktu wajibnya, bererti dia sudah mengetahui ilmu fardu ain.


Perlu diambil perhatian bahawa sesetengah amalan fardu ain itu berbeza perlaksanaannya antara lelaki dan wanita. Contohnya sebahagian cara solat lelaki tidak sama dengan cara solat wanita seperti kedudukan tangan sewaktu sujud di mana tangan wanita mestilah dirapatkan ke badan. Begitu juga dengan penutupan aurat di mana aurat wanita adalah seluruh anggota badannya kecuali muka dan tapak tangan, sedangkan aurat lelaki di antara pusat dan lutut.


Perbezaan-perbezaan ini menuntut wanita mencari ilmu pengetahuan fardu ain secara lebih mendalam bagi memastikan amalan yang dikerjakan itu sah dan diterima Allah S.W.T.


Pentingnya fardu ain bagi wanita


Terdapat beberapa sebab mengapa ilmu fardu ain amat penting dalam kehidupan wanita terutama yang bergelar ibu.


Antaranya:


1. Tidak dibelenggu kejahilan


Wanita hari ini perlu keluar dari belenggu kejahilan lantaran status orang yang jahil begitu hina di sisi Allah SWT. Firman-Nya bermaksud: “Adakah sama antara orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?” (Surah az-Zumar: 9)


Orang yang jahil tidak berpeluang merasai kebahagiaan sebenar di dalam hidupnya. Bagaimana mungkin baginya menghargai nikmat Allah SWT sedangkan dia tidak tahu apa itu nikmat. Bagaimana pula dia ingin menjadi hamba Allah  SWT yang taat dan mengajak anak-anaknya taat kepada Allah sedangkan dia tidak tahu apa itu ibadah.


Orang jahil tidak akan mendapat hidayah Allah  SWT sama ada untuk melakukan perkara-perkara yang disyariatkan atau perkara-perkara yang berhubung secara langsung dengan kehidupan. Ibnu Qayyim memberi peringatan tentang bahayanya sifat jahil, “Kecacatan dalam hati adalah berpunca daripada hati yang dipenuhi kejahilan dan kezaliman.”


2. Prasyarat amal kebajikan diterima Allah


Wanita hari ini perlu sedar kewajipan mempelajari ilmu fardu ain supaya setiap amalan kebajikan diterima Allah SWT. Alangkah ruginya seorang wanita yang mengerjakan solat sedangkan auratnya tidak sempurna ditutup yang membawa kepada tidak sahnya solat. Bayangkanlah jika setiap amalan yang dilakukan, tanpa ilmu dan tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan syariat tentulah amalan itu sia-sia.Sekiranya amalannya tidak diterima Allah SWT, maka:


a) Jiwanya sentiasa resah gelisah
Keresahan hati ini berpunca dari hubungan yang jauh dari keredhaan Allah  SWT. Orang yang ditimpa keresahan sering merasakan jiwanya kekosongan, cemas tak tentu pasal, murung tanpa sebab, sedih dan perasaan yang tidak menentu yang akhirnya bukan sahaja mendatangkan kemudaratan kepada tubuh badan tetapi turut menjejaskan kesihatan mental. Kehidupan sehariannya tidak berjalan lancar serta boleh menimbulkan masalah kepada keluarga, rakan sekerja dan masyarakat di sekelilingnya.


b) Hatinya menjadi keras dan mati
Individu yang amalannya tidak diterima Allah SWT akan menjadi keras dan mati hatinya malah berani melakukan dosa. Mereka tidak dapat melihat dosa yang dilakukan sebagai satu kesalahan. Oleh itu mereka tidak bertaubat dan kesan tidak bertaubat, sudah pasti Allah SWT akan menutup pintu hatinya. Menurut hadis, bila seorang Mukmin itu melakukan satu dosa maka satu titik hitam akan mengotori hatinya tetapi jika dia bertaubat dan memohon keampunan Allah, hatinya akan menjadi bersih. Sekiranya dia menambah dosa maka hatinya terus bertambah hitam sehingga diselubungi kegelapan.


3. Memudahkan tugas membimbing anak


Ibu wajib mengetahui tentang solat, haid, nifas, membaca al-Quran dan sebagainya supaya dapat membimbing anak-anak menjadi insan soleh atau solehah. Sebagai contoh jika anak-anak perempuan didatangi haid, ibu perlu menerangkan tentang larangan-larangan sewaktu haid seperti dilarang membaca, menyentuh dan memegang al-Quran, berpuasa, solat dan sebagainya.


Ibu-ibu juga wajib menjelaskan kepada anak-anak perempuan mereka kewajipan mandi hadas selepas suci daripada haid. Sekiranya ibu-ibu sendiri tidak mengetahui perkara fardu ain begini, bagaimana dia ingin mengajarkan anaknya? Bahkan ada ibu-ibu yang tidak tahu haram berpuasa sewaktu kedatangan haid.


4. Tahu membezakan halal haram


Wanita yang mempunyai pengetahuan ilmu fardu ain yang sempurna tahu membezakan antara perkara yang halal dan haram. Kejahilan tentang perkara halal dan haram akan menyebabkan individu itu lebih kurang sama sahaja dengan orang-orang yang tidak beriman.


Dalam Islam, peraturan halal dan haram diterangkan dengan begitu jelas sekali. Dijelaskan dalam sebuah hadis bahawa yang halal dan haram itu nyata, dan di antara kedua-duanya ada perkara yang kesamaran (syubhat), yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang. Sesiapa yang memelihara dirinya daripada segala yang samar, sesungguhnya ia memelihara agama dan kehormatannya dan sesiapa yang jatuh ke dalam perkara samar, jatuhlah ia ke dalam yang haram.


Dalam kehidupan seharian seorang wanita tidak kira sama ada sebagai remaja, dewasa, ibu, mak cik, nenek dan sebagainya, selagi dia seorang Muslimah, dia tidak akan terlepas daripada peraturan halal dan haram yang ditetapkan oleh Allah  SWT. Sebagai contoh, seorang wanita perlu tahu perkara-perkara berkaitan nikah. Siapakah walinya? Siapakah lelaki-lelaki yang haram dikahwininya? Apakah tanggungjawabnya setelah bergelar isteri dan ibu?


Banyak lagi persoalan yang memerlukan jawapan dan jawapan-jawapan tersebut hanya diperolehi menerusi proses belajar dan mencari ilmu pengetahuan berkaitan fardu ain dan fardu kifayah.


5. Untuk mendapat redha Allah


Keredhaan Allah SWT hanya akan diperolehi oleh orang-orang yang beriman dan bertakwa. Firman Allah: “Wahai orang-orang yang beriman jika kamu bertakwa kepada Allah  SWT  nescaya Dia mengadakan bagi kamu petunjuk yang membezakan antara yang benar dengan yang salah dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan Allah SWT sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.” (Surah al-Anfal: 29)


Bertakwa bermaksud menjunjung segala perintah dan menjauhi segala larangan Allah  SWT. Hakikat taqwa pada pancaindera ialah meninggalkan segala maksiat manakala taqwa pada hati ialah dengan mengikhlaskan hati di dalam beramal.


Seseorang yang jahil tentang ilmu fardu ain tentulah tidak tahu cara-cara ingin menjunjung perintah Allah  SWT ataupun menjauhi segala larangan-Nya. Malah dia juga tidak tahu yang manakah perintah dan yang mana pula larangan Allah. Lebih merbahaya lagi jika perintah Allah itu disangkanya larangan dan larangan itu disangkanya pula perintah Allah. Individu begini terlalu merbahaya kepada agama Islam itu sendiri malah ditakuti kesesatannya itu turut menyesat dan mengelirukan orang lain. Jika dia seorang ibu, dia mungkin menyesat dan mengelirukan anak-anaknya.


Oleh itu bagi para Muslimah yang sudah atau bakal bergelar ibu, tuntutan melengkapkan diri dengan ilmu fardu ain jangan diperkecilkan. Tidak akan sempurna tanggungjawab sebagai ibu tanpa asas ilmu fardu ain yang mantap. Kalaupun dapat membina kehidupan yang nampak bahagia di dunia, ibu ini tidak ada suluhan ilmu untuk menyelamatkan anak-anaknya dari api neraka dan menempah kehidupan bahagia di akhirat.


Sumber : Salasiah Hanin Hamjah Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, UKM di GaleriIlmu

1 ulasan:

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails