Assalamualaikum warahmatullah,
HARI Jumaat mempunyai banyak keistimewaan yang seharusnya dimanfaatkan dengan melaksanakan amalan hasanah. Ibnu Katsir dalam kitabnya Tafsir Ibnu Katsir mengatakan Jumaat bermaksud berhimpun.
Pada hari Jumaat kaum muslimin dihimpunkan di masjid untuk mendengar khutbah dan mendirikan solat Jumaat dua rakaat.
Hari Jumaat cukup istimewa kerana Allah telah mengatakan tawaran hebat iaitu ganjaran pahala besar terhadap amal ibadah dan amalan hasanah yang dilakukan. Disebabkan besarnya pahala dijanjikan Allah, maka rugilah sesiapa yang mengabaikan kehadiran hari Jumaat tanpa amalan salih dan kebajikan.
Malah ada yang mengambil peluang berlumba motosikal selepas saja selesai menunaikan solat. Ini suatu gambaran negatif dan mempamerkan kurang hormat kepada hari Jumaat yang mulia itu. Ada juga yang sengaja mengambil peluang pada hari Jumaat melaksanakan aktiviti luar seperti berkelah hingga mengabaikan solat Jumaat.
Jumaat sebagai penghulu segala hari adalah hari pengampunan yang Allah berikan kepada hamba-Nya. Anas berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak meninggalkan seorangpun dalam kalangan orang Islam pada hari Jumaat, melainkan ia pasti diberi-Nya pengampunan.” (Hadis riwayat at-Tabrani)
Jadi, kita sewajarnya memanfaatkan hari Jumaat untuk memperbanyakkan bacaan istighfar memohon keampunan. Rasulullah SAW juga ada memberitahu bahawa pada hari Jumaat ada satu waktu yang begitu eksklusif untuk berdoa kerana amat mustajab.
Abu Hurairah mengatakan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Pada hari Jumaat itu ada satu saat yang mana sekiranya berkebetulan dalam solat seseorang hamba, lalu dia bermohon kepada Allah, pasti akan diberikan apa yang dimintanya sambil Rasulullah SAW mengisyaratkan dengan tangan Baginda bagi menggambarkan betapa sekejapnya saat itu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Kita seharusnya berusaha mencari waktu yang dikatakan mustajab berdoa pada hari Jumaat. Meskipun tidak dinyatakan waktu yang tepat, kita tidak wajar memandang remeh ruang dan peluang untuk berdoa.
Seperkara lagi pesanan Rasulullah SAW berkaitan keistimewaan hari Jumaat ialah tawaran Allah menggandakan pahala terhadap sesiapa saja yang melakukan amalan soleh, begitu juga perbuatan mungkar dan dosa, turut digandakan kiraan dosanya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya pada hari Jumaat seluruh makhluk termasuklah jin dan manusia akan berasa gementar, dan pada hari itu juga dilipat gandakan kebajikan dan kejahatan, dan hari yang mana akan berlakunya kiamat.” (Hadis riwayat Ibnu Abi Syaibah)
Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Akan dilipatgandakan pahala yang dilakukan pada hari Jumaat.” (Hadis riwayat at-Tabrani)
Antara amal ibadah yang sangat dianjurkan pada hari Jumaat ialah membanyakkan bacaan selawat dan menggandakan kerja kebajikan untuk manfaat masyarakat.
Biasanya pada hari Jumaat ada kalangan masyarakat kita mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan perkuburan. Ini satu kegiatan yang sangat bernilai tinggi dalam Islam kerana selain memelihara kebersihan tanah perkuburan, aktiviti itu mampu mengeratkan ukhuwah.
Sebagai menghormati hari Jumaat yang mulia, sewajarlah kita beramal sebaik yang terdaya untuk memperoleh ganjaran pahala di sisi Allah selain menjadikannya landasan membina masyarakat bersatu padu menerusi kerja kebajikan serta amalan hasanah.
Sumber : BHarian 26/04/2012
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...