“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Rabu, Mei 02, 2012

Kibir pencetus penyakit hati, rosakkan hubungan sesama insan


KIBIR mengikut istilah Melayunya ialah sombong atau angkuh, manakala dalam bahasa moden disebut ego. Dalam syariat Islam kibir diertikan sebagai membesarkan diri kerana merasakan diri lebih dan istimewa berbanding dengan orang lain.

Al-Hafiz Ibnu Rajab Al-Hambali berkata, orang yang sombong adalah orang yang memandang dirinya sempurna segala-galanya, dia memandang orang lain rendah, meremehkannya dan menganggap orang lain itu tidak layak mengerjakan suatu urusan, dia juga sombong menerima kebenaran daripada orang lain.

Sifat kibir mengheret seseorang itu untuk membesarkan diri kerana hati merasakan diri mempunyai kelebihan, keistimewaan dan kehebatan berbanding orang lain. Ia adalah sifat batin yang paling keji. Bahkan sindrom ini amat tercela dan jika dibiarkan boleh memudaratkan manusia. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong.” (Surah An Nahl, ayat 23) 

Manusia dilarang bersikap sombong kerana kita adalah makhluk yang lemah. Layakkah makhluk yang lemah bermegah-megah dan sombong di hadapan penguasa langit dan bumi? Namun, ada yang lupa hakikat dan sukar menerima kebenaran dengan memandang dirinya sempurna segala-galanya. Orang yang memiliki sifat ini amat kasihkan kemegahan, kebesaran dan pangkat. Sifat ini boleh mengakibatkan pekerjaan itu tidak ikhlas dan menganiaya dirinya sendiri. Membiarkan individu berperangai buruk ini amat berbahaya disisi agama.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidaklah serigala yang buas itu jika dilepaskan di kandang kambing lebih berbahaya daripada seorang yang cintakan pangkat, harta dan kemegahan pada keadaan agama seorang Muslim.” (Hadis riwayat At-Tirmizi dan An-Nasa’ie) 

Fitrah semula jadi manusia tidak suka kepada orang yang bersifat sombong ini. Hati yang membenci kesombongan ini kerana meleraikan kasih sayang dan jalinan ukhuwah berpunca daripada sifat merendah-rendahkan orang lain.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan merendahkan manusia.” (Hadis riwayat Muslim) 

Mengenali orang yang bersifat sombong ini amat mudah. Individu yang dilanda penyakit hati ini enggan menerima pandangan orang lain, sekalipun betul. Sifat menyombong diri jika dibiarkan boleh memakan diri sendiri. Soal dosa dan pahala tidak diendahkan langsung demi kepentingan diri. Mereka melupakan segala pengajaran daripada sifat angkuh dan sombong diceritakan dalam al-Quran yang sepatutnya menjadi pengajaran.

Kesalahan pertama yang dilakukan makhluk Allah terhadap Allah ialah sifat sombong. Iblis enggan sujud kepada Nabi Adam sewaktu Allah memerintahkannya. Iblis merasakan dia lebih mulia daripada Nabi Adam kerana dijadikan daripada api sedangkan Nabi Adam daripada tanah. Disebabkan kesombongan itu, Allah mengeluarkan iblis dari syurga. Episod dendam iblis kepada Nabi Adam dan anak cucu cicitnya tidak pernah terpadam.

Penyakit sombong melahirkan sakit lain seperti pemarah, pendendam dan hasad dengki. Akibatnya tercetus kerosakan dalam kehidupan masyarakat seperti hilang kasih sayang, pecahnya ikatan perpaduan, hina-menghina dan kata-mengata.

Sifat sombong perlu dijauhi supaya hati tidak dijangkiti penyakit lain yang hanya membawa diri kita kepada kerosakan. Bersihkan jiwa dengan menanamkan rasa kasih sayang, sentiasa bersyukur kepada Allah dan mengingati tujuan manusia dihidupkan untuk beribadat kepada Allah dan mencapai kejayaan di dunia serta akhirat.
 






Sumber : BHarian 01/05/2012

1 ulasan:

  1. TQVM for d ilmu... Nauzubillah, minta dijauhkan segala yang negatif..

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails