“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Selasa, Oktober 28, 2008

Wali bayar nafkah suami ingkar

SETIAP pasangan yang berumah tangga berharap akan dapat menikmati kebahagiaan serta mengekalkan kerukunan hidup sehingga ke akhir hayat. Bagaimanapun, bukan semua yang diimpikan dalam hidup menjadi kenyataan. Bak kata pepatah, “Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.”

Adakalanya, krisis yang berlaku menyebabkan rumah tangga yang dibina atas dasar cinta tidak mampu lagi dipertahankan.

Yang menyedihkan, apabila berlaku perceraian, anak-anak menjadi mangsa. Lebih-lebih lagi jika isteri tadi tidak bekerja.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto MOHD. NOOR AMIN menemu bual Pensyarah Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Datin Noor Aziah Mohd. Awal bagi mengupas isu ini.

MEGA: Isu nafkah anak adalah polemik dalam kes pasangan yang bercerai. Apakah hak isteri dan anak dalam undang-undang?

NOOR AZIAH: Bagi wanita Islam, hak mereka terhadap nafkah dikawal oleh Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam di negeri masing-masing. Bagi negeri Selangor enakmen itu ialah Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Selangor) 2003 yang telah berkuat kuasa pada bulan September 2004.

Nafkah bermakna mengeluarkan belanja dan menurut istilah syarak ia bererti sesuatu yang dikeluarkan oleh seseorang untuk keperluan dirinya atau keluarganya dan lainnya, yang merupakan makanan, minuman, pakaian dan sebagainya.

Ada beberapa sebab dalam Islam yang menyebabkan nafkah itu wajib iaitu:

a. perkahwinan yang sah;

b. kerabat;

c. milik.

Dari segi perkahwinan yang sah, hadis Nabi SAW ada menyebut: Dari Jabir r.a. dalam hadis menyebutkan soal perempuan, baginda bersabda: Dan hak bagi mereka, kewajipan atasmu memberi makan mereka dan pakaian mereka menurut yang bersesuaiannya. (Hadis Riwayat Muslim)

Dari Aisyah r.a., ia berkata, tentang seorang perempuan yang tidak pernah diberikan nafkah oleh suaminya. Rasulullah SAW telah bersabda: Ambillah olehmu dari hartanya yang sesuai, iaitu sekadar mencukupi untuk belanjamu dan mencukupi pula untuk anak-anaknya. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari segi kerabat pula, ibu bapa mempunyai hak menerima nafkah daripada anaknya di bawah alasan kekerabatan. Hadis Nabi SAW menyatakan: Dari Abu Hurairah r.a., ia berkata: "Pernah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW lalu ia berkata: Ya Rasulullah, siapakah manusia yang lebih berhak menerima kebaikan sebagai sahabatku? Rasulullah SAW menjawab: "Ibumu". Ia berkata: "Kemudian siapa?" Nabi menjawab: "Ibumu". Kemudian siapa? Kata Nabi: "Ibumu". Ia berkata lagi, "Kemudian itu siapa?" Nabi menjawab, "Bapa engkau."

Nafkah wajib atas alasan pemilikan. Ini disokong oleh hadis Nabi SAW: Dari Abu Hurairah r.a. ia berkata: Bersabda Rasulullah SAW: Wang yang engkau belanjakan di jalan Allah dan wang yang engkau belanjakan untuk memerdekakan seorang hamba dan wang yang engkau sedekahkan kepada fakir miskin, serta wang yang engkau belanjakan untuk keperluan keluarga engkau, maka yang lebih besar pahalanya ialah wang yang engkau belanjakan untuk keluarga engkau. (Hadis Riwayat Muslim).

Apakah kadar nafkah ke atas isteri?

NOOR AZIAH: Berdasarkan hadis-hadis di atas jelaslah memberi nafkah itu wajib namun ia mengikut kemampuan orang yang memberi dan keperluan orang yang menerima.

Hak wanita terutama nafkah isteri diperuntukkan dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam setiap negeri. Di bawah Enakmen 2003 bagi negeri Selangor, nafkah diletakkan di Bahagian VI.

Menurut enakmen ini, mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya, tertakluk kepada hukum syarak.

Seorang isteri bukan saja berhak kepada nafkah semasa dia masih berkahwin dengan suaminya tetapi selepas dia diceraikan. Ini diperuntukkan oleh Seksyen 66 di mana hak seorang isteri yang telah diceraikan untuk menerima nafkah dari suaminya yang dahulu di bawah suatu perintah mahkamah akan tamat dengan tempoh idahnya atau jika dia, iaitu isteri menjadi nusyuz. Jika pasangan telah membuat perjanjian mengenai nafkah, hak tersebut akan tamat jika isteri berkahwin semula.

Bagi anak-anak yang beragama Islam, mereka berhak mendapat nafkah dari bapa mereka berlandaskan firman Allah SWT yang bermaksud: Hendaklah memberi nafkah orang yang empunya kelapangan dari kalangannya (orang yang kaya sesuai menurut kekayaannya). Dan sesiapa yang ditentukan rezekinya di atasnya, maka hendaklah ia memberikan nafkah menurut yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memberati sesuatu diri melainkan menurut apa yang diberikan kepadanya. (at-Thalaq: 7)

Hak mendapat nafkah dalam Islam bergantung kepada kesahihan hubungan antara anak dengan bapa, iaitu bukti keibubapaan atau yang disebut sebagai parentage. Ini kerana hak-hak lain seperti hak nafkah, susuan, hadanah dan warisan timbul daripada pembuktian keibubapaan ini.

Pembuktian keibubapaan dilakukan melalui bapa dan ibu sebenar anak dan mestilah mereka ini telah melalui satu akad nikah yang sah di antara mereka.

Islam juga menggariskan penanggungan nafkah itu berasaskan konsep yang anak itu telah dikandung lebih dari enam bulan dari tarikh akad nikah ibu bapa anak itu.

Firman Allah yang bermaksud: Para ibu hendaklah menyusukan anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada ibu dengan cara yang makruf.. (al-Baqarah: 233)

Berlandaskan nas-nas di atas, bapa wajib menanggung nafkah anak dari sejak dalam kandungan lagi. Ini berlandaskan firman Allah SWT yang bermaksud: Berilah perempuan- perempuan yang telah diceraikan itu tempat kediaman, kira-kira setanding dengan tempat yang telah kamu diami menurut kesanggupanmu. Dan janganlah kamu susahkan mereka dengan sengaja hendak menyempitkan mereka. Dan apabila mereka sedang hamil maka berilah mereka nafkah hingga mereka melahirkan anak... (at-Thalaq: 6)"

Nafkah anak termasuk penyusuannya semasa ia masih kecil. Ini berasaskan ayat 233 dari surah al-Baqarah. Nafkah dalam hal penyusuan termasuk membeli susu formula atau mencarikan ibu susu dan membayar upah penyusuan kepada orang lain atau kepada isteri yang telah diceraikan jika dia yang menyusukan anak.

Apabila ibu bapa atau bapa mati, tugas siapakah memberi nafkah kepada anak-anak berkenaan?

NOOR AZIAH: Dalam situasi di mana ibu bapanya telah meninggal dunia semasa ia masih kecil atau ibu bapanya tiada, maka tanggungjawab penyusuan anak hendaklah diambil alih oleh para warisnya sama ada abang atau datuk (sebelah bapa).

Apa yang dimaksudkan di sini ialah wajib menanggung segala perbelanjaan keperluan penyusuan seperti mencari ibu susu dan membayar upah penyusuan.

Kerap berlaku suami ingkar terhadap perintah mahkamah mengenai nafkah anak-anak. Apakah peruntukan yang ada untuk mengatasi hal ini?

NOOR AZIAH: Kita ada undang-undang untuk menguatkuasakan perintah nafkah iaitu Akta Perempuan Bersuami dan Anak-anak (Menguatkuasakan Nafkah) 1968, Akta 356 dan Akta Perintah Nafkah (Kemudahan Bagi Penguatkuasaan) 1949, (Akta 34). Akta ini terpakai kepada orang Islam.

Kedua-dua akta ini digubal kerana walaupun telah mendapat perintah nafkah suami didapati masih enggan membayar nafkah. Untuk mengambil tindakan di bawah peruntukan Seksyen 4 Akta 263 akan mengambil masa, maka dengan itu isteri boleh, semasa membuat permohonan memohon untuk perintah potongan gaji dibuat.

Di bawah Akta 356 ini, suami mestilah seorang yang bekerja dan mempunyai 'pendapatan' dan dia juga mesti ada 'majikan' di mana perintah tersebut boleh dibuat terhadapnya.

Bagi isteri yang suaminya tidak mempunyai majikan, akta ini memperuntukkan bahawa nafkah boleh dibayar melalui mahkamah. Sesiapa yang melanggar perintah di bawah Seksyen 4 akan didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara maksimum satu tahun.

Bagi mereka yang melanggar peruntukan Seksyen 13 mereka boleh dipenjara selama sebulan bagi setiap bulan yang mereka tidak membayar nafkah.

Akta 34 adalah untuk menguatkuasakan nafkah di negara lain yang mempunyai perjanjian dengan Malaysia. Ini sangat berguna bagi pasangan yang berkahwin dengan rakyat asing yang kemudiannya melarikan diri ke negara asalnya untuk tidak membayar nafkah.

Namun keberkesanannya bergantung kepada berapa banyak negara yang bersetuju untuk menandatangani persetujuan bersama ini. Buat masa ini negara yang boleh dikuatkuasakan suatu perintah nafkah yang telah diperintahkan di mahkamah di Malaysia adalah: England, Wales, Ireland Utara, Brunei, Australia, Sri Lanka, Hong Kong, India, New Zealand, Pakistan, Singapura dan Afrika Selatan.

Mahkamah juga ada kuasa menyita dan melelong harta jika suami tidak mampu membayar nafkah tetapi ada harta yang boleh dijual. Mahkamah ada kuasa mengeluarkan waran tangkap terhadap suami yang enggan hadir prosiding di mahkamah.

Sebenarnya perundangan ada tetapi pelaksanaannya yang lembap.

Sumber: UtusanOnLine 28/10/2008

Butiran selanjutnya ...

Ulama terkenal Mesir sokong isteri balas pukulan suami



KAHERAH - Ulama Sunah paling berpengaruh, Sheikh Abdel Hamid al-Atrash mengeluarkan fatwa memperakui hak wanita melawan balik sekiranya suami bertindak ganas terhadap dirinya, lapor akhbar Mesir, Al-Masry al-Youm semalam.

Deklarasi Sheikh Abdel Hamid yang mengetuai jawatankuasa fatwa Universiti Al-Azhar itu dilakukan selepas keputusan serupa diumumkan oleh pemimpin agama Arab Saudi dan Turki.

"Seorang isteri berhak untuk memukul suaminya bagi mempertahankan diri," kata Sheikh Abdel Hamid.

"Setiap individu berhak untuk mempertahankan diri sama ada lelaki atau wanita kerana semua manusia adalah sama di sisi Tuhan," tambahnya.

Beberapa hari lepas, seorang ulama Arab Saudi, Sheikh Abdel Mohsen al-Abyakan menyatakan bahawa seorang isteri boleh menggunakan kekerasan seperti dilakukan suaminya sama ada lelaki itu menggunakan tali pinggang atau kabel, lapor akhbar berkenaan.

Seorang ulama Turki, Sheikh Fathallah Julun pula memutuskan lebih jauh apabila menyatakan seorang wanita sepatutnya membalas keganasan itu dengan balasan berganda.

"Seorang isteri sepatutnya membalas dengan dua pukulan bagi setiap pukulan yang diterima," akhbar berkenaan memetik beliau sebagai berkata. - AFP

Sumber : Kosmo! 28/10/2008


Butiran selanjutnya ...

Isnin, Oktober 27, 2008

PenaMufti: Jangan bohong guna nama Rasulullah!

BERBOHONG adalah satu kesalahan. Berbohong menggunakan nama agama adalah kesalahan yang lebih besar. Saya hairan mendengar sesetengah penceramah agama yang menyatakan haram berbohong, tetapi semasa ceramahnya, dia juga melakukan dosa pembohongan yang paling besar. Apa tidaknya, dia berbohong dengan menyatakan Rasulullah SAW bersabda sesuatu hadis sedang hadis tersebut adalah palsu pada nilaian ilmu hadis. Bohong jenis ini jauh lebih besar dosanya dari bohong saudagar atau ahli politik. Bohong saudagar dan ahli politik merosakkan harta orang, tetapi bohong pembaca hadis palsu merosakkan agama. Sebab itu Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang mutawatir: "Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka."

Hadis palsu adalah hadis yang direka atau diada-adakan, sedangkan ia tidak berasal daripada Rasulullah SAW. Banyak hadis rekaan ini dibaca oleh para penceramah yang jahil. Sehingga saya selalu menegur seorang ‘ustazah tv’ yang sering membaca hadis-hadis jenis ini untuk hidangan penonton. Mungkin ada pembaca hadis palsu merasakan mereka tidak bersalah, sebab mereka hanya memetik daripada buku-buku mereka baca yang memuatkan hadis-hadis palsu. Maka mereka merasakan mereka hanya menyebarkan, maka tidak patut dipersalahkan. Mereka lupa penyebar hadis palsu sama ada menerusi ucapan atau tulisan, dia dalam masa yang sama sebenarnya menipu orang lain apabila menyandar sesuatu perkara kepada Nabi SAW tanpa bukti yang sah. Pendengar akan terpedaya lalu mengamalkan perkara yang dianggapnya daripada Nabi SAW, sedang ia bukan seperti yang disangkakan. Al-Imam Ibn Hibban (w. 354H) dalam kitab sahihnya meletakkan satu pasal yang beliau namakan: Pasal menyebut ketetapan memasuki neraka untuk sesiapa yang menyandarkan sesuatu kepada al-Mustafa (Nabi Muhammad) SAW, sedangkan dia tidak tahu mengenai kesahihannya (Ibn Hibban, Sahih Ibn Hibban, 1/210). Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah: Tidak halal meriwayatkan hadis palsu dalam apa perkara sekali pun, melainkan bersama keterangan tentang kepalsuannya. Ini sama ada berkaitan halal dan haram, atau fadail (kelebihan-kelebihan amalan), atau al-tarhib (menakutkan orang ramai terhadap maksiat) dan al-targhib (menggalakkan ibadah), atau kisah, atau sejarah atau selainnya. Sesiapa yang meriwayatkan tanpa keterangan bererti telah melakukan dosa yang besar dan termasuk dalam senarai pendusta. Ini berasaskan apa yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim dalam mukadimah sahihnya bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang menyebut hadis daripadaku sedangkan dia menyangka ia dusta, maka dia termasuk salah seorang pendusta". Ramai ulama hadis telah menghukum dengan ta‘zir (denda) dan takdib (hukuman membetulkan akhlak) ke atas sesiapa yang meriwayatkan hadis palsu tanpa diterangkan kepalsuannya. Kata Abu ‘Abbas al-Sarraj: Aku melihat diberikan kepada Muhammad bin Isma‘il al-Bukhari surat Ibn Karram yang bertanyakan beberapa hadis, antaranya: hadis daripada al-Zuhri, daripada Salim, daripada ayahnya - disandarkan kepada Rasulullah (Iman itu tidak bertambah dan tidak berkurang). Maka al-Imam al-Bukhari menulis di atas surat tersebut: Sesiapa yang menyebut hadis ini maka wajib dipukul dengan keras dan dipenjara dalam tempoh yang lama. Bahkan di kalangan ulama ada yang menghalalkan darahnya. Maka, ketika disebutkan hadis (palsu) Suwaid al-Anbari: Sesiapa yang jatuh cinta, lalu dia menahan diri dan menyembunyikannya, kemudian mati, maka dia mati syahid), lalu Yahya bin Ma‘in berkata: “Darah orang ini halal”. Ketika ditanya Ibn Hajar al-Haithami mengenai seorang khatib yang menaiki mimbar setiap Jumaat dan meriwayatkan hadis-hadis tanpa diterangkan sumber dan kedudukannya, maka jawabnya: “Hadis-hadis yang dia sebut tanpa menerangkan perawi dan siapa yang menyebutnya, harus dengan syarat dia seorang yang mempunyai ilmu dalam hadis, atau dia memetik daripada kitab yang penulisnya ahli hadis. Adapun jika dia hanya bergantung kepada kitab atau ucapan yang penulisnya bukan ahli hadis, maka tidak halal (berbuat demikian). Sesiapa yang melakukannya dita‘zirkan dengan keras. Inilah keadaan kebanyakkan khatib. Mereka semata-mata hanya melihat khutbah yang mengandungi hadis-hadis, lalu mereka hafal. Mereka berkhutbah menggunakan hadis-hadis tersebut tanpa mengetahui asal-usulnya. Maka wajib ke atas pemerintah di setiap negeri menghalang para khatib dari berbuat demikian”. (Abu Syahbah, al- Wasit fi ‘Ulum wa al-Mustalah al-Hadis, m.s. 321-322).

Mengapa bohong menggunakan nama Nabi SAW amat dilarang sekalipun dengan niat yang baik? Ada beberapa sebab yang dapat saya simpulkan. Antaranya, jika pendustaan menggunakan nama orang biasa diharamkan, apatah lagi menggunakan nama seorang rasul. Pendusta hadis palsu menyamakan rekaannya dengan wahyu, atau nilai kerasulan yang ada pada diri Nabi Muhammad SAW. Pendustaan jenis ini juga menghilang kehebatan dan keaslian agama. Agama yang hilang keasliannya, tiada nilainya lagi. Ia menyebabkan Islam yang bersumberkan wahyu sama seperti agama rekaan yang bersumberkan pemikiran dan khayalan manusia. Ditambah lagi, pendustaan ini bererti penipuan terhadap pencinta Islam yang mungkin tertipu lalu mempercayai pendustaan itu. Mereka akan mengamalkan pendustaan itu dengan keyakinan ia tuntutan agama, padahal ia kepalsuan. Sedangkan mereka inginkan keaslian. Bahkan, pendustaan itu bererti pengkhianatan terhadap syariat yang diturunkan. Jika pendustaan itu mempunyai unsur-unsur jahat, maka ia jenayah yang menyebabkan manusia hilang keyakinan terhadap agama. Atau menyebabkan manusia mengamalkan agama dalam bentuk yang salah. Jika pendustaan itu menokok tambah unsur-unsur yang dianggap baik, pendustaan seakan menganggap agama yang diturunkan Allah belum lengkap, justeru memerlukan nas-nas tambahan dan rekaan.

Menghina

Dalam sejarah, bukan sedikit kesan buruk hadis palsu yang dipalitkan kepada Islam yang suci ini. Contohnya, hadis rekaan: “Ayam jantan putih adalah kawanku, ia juga kawan kepada kawan ku. Musuh ayam jantan putih adalah musuhku dan musuh kepada musuhku”.

Hadis palsu ini kelihatan sangat lekeh dan menghina Rasulullah. Tidak mungkin keluar dari mulut seorang nabi perkara yang sebegini. Mungkin ia direka oleh penggemar ayam jantan putih. Sebenarnya, semua hadis yang berkaitan dengan kelebihan ayam jantan putih adalah tidak benar sama sekali. (lihat: al-Jarahi, Kasyf al-Khafa, 2/422). Malangnya, dalam masyarakat kita ada kesan hadis palsu ini. Sesetengah kepercayaan dan bomoh mempercayai kelebihan ayam jantan putih untuk dibuat ubat dan seumpamanya.

Demikian juga pemalsuan hadis telah menjadikan ajaran al-Quran dan al-Sunnah seakan bertentangan antara satu sama lain. Padahal yang bertentangan itu hadis yang palsu. Contohnya, hadis palsu “anak zina tidak akan masuk syurga”. Dahulu, ramai yang menganggap keji dan tiada peluang untuk kebaikan. Akibat daripada hadis-hadis palsu seperti yang dibaca oleh sesetengah pihak. Sehingga ada yang menyebut hadis palsu lain: Anak zina tujuh keturunan tidak akan masuk syurga. Sedangkan Allah menyebut dalam Surah al-Isra ayat 15 yang bermaksud: Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk, maka sesungguhnya petunjuk yang didapatinya itu hanya untuk dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga, dan seseorang tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).

Jelas, mana mungkin anak zina dihukum disebabkan perbuatan kedua ibu bapanya?! Ini mencemarkan penegasan al-Quran tentang keadilan Allah yang tidak menghukum seseorang atas kesalahan orang lain. Juga ia menyebabkan si anak zina kecewa dengan Nabi SAW.

Demikian saya amat dukacita apabila diberitahu ada penceramah kursus perkahwinan membaca hadis palsu kononnya Rasulullah SAW bersabda: Apabila seseorang kamu menyetubuhi isteri atau jariahnya, maka jangan dia melihat pada kemaluan mereka kerana yang demikian itu menyebabkan buta.

Maka ‘demam’ pasangan yang ingin berkahwin mendengar hadis palsu ini. Sementara yang dah lama melihat kemaluan isterinya kehairanan kerana dia masih belum buta. Lalu mungkin disangkakan Nabi SAW memberitahu sesuatu yang tidak benar. Sebenarnya, pereka hadis palsu itu yang berbohong dan ustaz pembaca hadis palsu tersebut menyebar kebohongan. Sedangkan Allah berfirman dalam Surah al- Mukminun ayat 1-6: (maksudnya) Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); Dan mereka yang menjaga kemaluan mereka, kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela.

Kebatilan

Mengulas hadis tadi, kata tokoh ilmuwan hadis, al-Syeikh Muhammad Nasir al-Din al-Albani r.h: Penilaian yang betul akan menunjukkan kebatilan hadis ini. Ini kerana dari segi persetubuhan, pengharaman melihat faraj isteri bererti pengharaman kepada wasail (faktor-faktor ke arah persetubuhan). Jika Allah menghalalkan suami menyetubuhi isterinya, apakah logik untuk dia dilarang melihat kemaluan isterinya. Demi sesungguhnya tidak! Ini dibuktikan dengan apa yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah, katanya: Aku dan Rasulullah pernah mandi bersama dari satu bekas air. Maka dia mendahuluiku sehingga aku kata: tinggalkan untukku! tinggalkan untukku!) Riwayat al-Bukhari, Muslim dan selain mereka. Jelas daripada hadis ini harus melihat kemaluan isteri. Ini dikuatkan oleh riwayat Ibn Hibban melalui Sulaiman bin Musa yang apabila ditanya mengenai suami yang melihat kemaluan isterinya, dia menjawab: “Aku pernah bertanya hal ini kepada ‘Ata. Kata ‘Ata: Aku pernah bertanya ‘Aisyah, lalu ‘Aisyah pun meriwayatkan hadis di atas” (Al-Albani, Silsilat al-Ahadis al- Da‘ifat wa al-Maudu‘at,, 1/353).

Contoh lain kepalsuan yang menyanggahi prinsip-prinsip Islam; hadis-hadis yang menyatakan orang yang bernama Muhammad atau Ahmad tidak akan masuk neraka. Ini bercanggah dengan prinsip Islam bahawa syurga dan neraka dinilai melalui amalan soleh. Ahli syurga adalah golongan yang beriman dan soleh. Sementara dimasukkan ke dalam neraka ahli maksiat walau apa nama dan panggilannya. Kata Ibn Qayyim al-Jauziyyah: “Ini bercanggahan dengan apa yang diketahui dari agama Nabi SAW iaitu; bahawa neraka tidak dapat dielakkan darinya dengan nama dan gelaran. Sebaliknya, yang menyelamatkan dari neraka ialah iman dan amalan soleh”. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al- Munif fi al-Sahih wa al-Da‘if, m.s. 57). Namun, ada mempercayai bahawa nama yang baik sahaja boleh masuk syurga. Saya pernah mendengar penceramah agama yang menyatakan siapa nama ‘Ghazali’ mudah masuk syurga sebab sama dengan nama ulama. Inilah satu daripada salah faham terhadap agama.

Hari palsu juga mewujudkan khurafat yang pelbagai. Dulu ada orang Melayu yang menganggap Hari Rabu akhir bulan adalah hari mudah ditimpa nahas. Ini semua disebabkan hadis palsu yang menyebut hari Rabu terakhir bagi setiap bulan adalah hari nahas yang berterusan. Ini adalah hadis palsu. (Lihat: al-Albani, Silsilat al-Ahadis al- Da‘ifat wa al-Maudu‘at, 4/88.) Menjadikan sesiapa yang percayanya ketakutan tanpa sebab dan memandulkan urusan kehidupan. Bahkan isi kepalsuan ini menyanggahi realiti yang kita saksikan. Betapa banyak hari Rabu akhir bulan datang dan pergi sedangkan kedatangan musibah tidak pernah memilih hari. Ia adalah ketentuan Allah SWT semata. Malang sekali apabila ada penceramah motivasi yang membaca hadis ini sebagai tips-tips penting dalam mengatur hidup, kononnya elakkan hari Rabu terakhir dalam bulan Islam bimbang nanti ditimpa nahas.

Hadis-hadis palsu telah merosakkan imej Islam. Namun ramai yang belajar agama tidak mempelajari ilmu hadis atau merujuk kepada ulama hadis telah tersasul dengan membaca hadis-hadis palsu ini. Sehingga dalam laman web pihak yang berlogokan kemajuan Islam pun dimasukkan hadis palsu. Agama menjadi keliru disebabkan hadis-hadis yang seperti ini. Maka kita sepatutnya selalu mengingati amaran Nabi SAW kepada para sahabah baginda: Pada akhir zaman akan ada para dajjal lagi pendusta. Mereka membawa kepada kamu hadis-hadis yang tidak pernah kamu dan bapa-bapa kamu mendengarnya. Kamu hendaklah berhati-hati dengan mereka agar mereka tidak menyesatkan kamu dan memfitnah kamu (menipu kamu sehingga yang batil disangkakan benar). (Riwayat Muslim).

Sumber: UtusanMalaysia 26/10/2008

Butiran selanjutnya ...

Sabtu, Oktober 25, 2008

Permulaan Yang Baik Bukan Suatu Jaminan

Salamun'alaik Warahmatullahi Ta'ala Wabarakatuh...


Kita biasa mendengar atau membaca hadis dalam hal memilih isteri, Rasulullah SAW memberikan panduan seperti sabdanya yang bermaksud, “Perempuan dikahwini kerana empat sebab, kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Pilihlah perempuan yang beragama, nescaya kamu akan diberkati.” (riwayat Bukhari dan Muslim).

Juga terdapat dalam sebuah lain, Raulullah SAW telah bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang mengahwini seorang perempuan kerana kemuliaannya, Allah akan menambahkan kepadanya penghinaan, sesiapa yang mengahwininya kerana harta, Allah tidak akan menambahkan kepadanya kecuali kesusahan dan kefakiran. Sesiapa yang mengahwininya kerana keturunan, Allah tidak akan menambahkan kepadanya kecuali kerendahan (kejatuhan). Dan sesiapa yang mengahwini perempuan itu bagi menghadkan pandangannya dan bagi melindungi diri daripada perbuatan maksiat atau kerana silaturrahim (eratkan hubungan persaudaraan), nescaya Allah akan memberkati dirinya dan akan memberkati isterinya.” (riwayat Tabrani).

Daripada dua hadis di atas, adalah penting kita memilih pasangan yang beragama, ia panduan yang amat baik sebagai permulaan hidup berumahtangga. Selalunya, pasangan yang beragama/beramal soleh itu pada fikiran kita, akan mengikut lunas-lunas Islam yakni taat pada perintah Allah dan Rasul-Nya. Tetapi, adakah yang beragama itu akan memberi jaminan masa depan yang baik? Hari ini saya ingin berkongsi satu artikel yang cukup menarik, yang saya petik dari SAiFULiSLAM. Mudah-mudahan ada manafaatnya.

Jika yang disuruh pilih, ukurannya adalah harta, maka harta itu mudah dikira. Jika yang disuruh pilih, hitungannya adalah rupa, maka rupa tidak luput dinilai mata. Andai yang disuruh pilih, ketentuannya adalah keturunan, maka keturunan itu sudah jelas di ketentuan. Akhirnya yang disuruh pilih itu, adalah pada yang beragama. Sedangkan agama itu sulit sekali mahu diukur. Kata Peter F. Drucker, “sesuatu yang tidak boleh diukur, sulit sekali untuk mengurusnya”.

Justeru bagaimanakah yang dikatakan seseorang itu beragama? Adakah pada pakaiannya, solatnya, ilmunya, bakatnya, usrahnya, atau apa? Amat payah, pilihan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW itu ialah pada sesuatu yang amat abstrak. Namun akhirnya dalam sulit itu, segala puji bagi Allah kerana melorongkan ramai anak muda hari ini agar memilih yang sulit itu. Hatta yang tidak pernah kisah dengan tuntutan-tuntutan agama pun, masih mahu satu-satunya hari permulaan perkahwinan mereka, disimpan aurat agar berkat. Mahu pernikahan itu sandarannya adalah agama.

“Seorang pembaca bertanya, apakah setelah membaca buku AKU TERIMA NIKAHNYA, dan memulakan perkahwinan dengan baik, maka baiklah perkahwinan itu?”, tanya Encik Rushi, pegawai pemasaran Galeri Ilmu tatkala kami berbual selepas sesi tandatangan saya di Pesta Buku Selangor 2008 tempoh hari.

“Agaknya apa komen ustaz?”, tanya beliau kepada saya. Senyap seketika...

IA HANYA PERMULAAN

“Permulaan yang baik, bukanlah suatu jaminan. Ia hanya suatu permulaan”, saya bersuara.

“Setelah rumahtangga dibina di atas dasar agama pun, tiada jaminan jugakah ustaz?”, tanyanya lagi.

Saya ingin menjawab TIDAK. Bahawa dengan memilih calon pasangan hidup yang beragama itu adalah jaminan kepada ketenangan dan kebahagiaan. Kerana memilih itu sendiri sudah dalam seribu kepayahan. Tetapi realiti tidak mengizinkannya.

Entah mengapa, semenjak terbitnya buku AKU TERIMA NIKAHNYA, isu-isu berkaitan dengan rumahtangga muncul seperti subjek utama penulisan dan fikiran saya pula. Selain yang selaras dengan isi buku, banyak juga yang kontras menjelma. Perelokkan rumahtangga dengan agama, mesej awal saya. Kini saya dibentangkan dengan bab kedua, iaitu permulaan yang bersandarkan agama, belum cukup untuk menjamin bahagia!

Banyak benar perkara yang berlaku, dan menyaksikan perkara-perkara yang banyak itu, sungguh mendebarkan. Dan lantaran itu coretan ini saya nukilkan dengan mata yang basah tatkala mengenangkan kenalan dan taulan yang rumahtangganya dilambung ombak, biar pun zaman pernikahan dan awal rumahtangga mereka, kami bersama meliku dakwah!

SEPI

Ada kalanya, dalam kesibukan masing-masing kita dengan mudah menyebut, “no news is a good news“. Kalau kemalangan, atau sakit, atau mati, adalah berita yang kedengaran. Tapi kalau tiada sebarang khabar berita, tentu sahaja semuanya seperti biasa. Hakikatnya tidak… bahkan saya jadi paranoid pula apabila ada kenalan yang tiba-tiba senyap. Menyepikan diri. Lama tidak kedengaran sebarang berita, tiba-tiba apa yang sampai ke telinga tidak enak pula.

Masalah rumahtangga…

Sakit membisingkan persekitaran. Kemalangan mencetuskan kegemparan. Kematian pasti mengucar kacirkan keadaan. Tetapi jika ada teman yang berdepan dengan konflik rumahtangga, ia musibah yang mengundang diam. Menghasilkan sepi… dan kehilangan teman seperti ini sungguh misteri.

Berwaspadalah dengan teman yang sepi, menghilangkan diri, di dalam sunyi.

Suatu ketika, saya telah nukilkan kerisauan saya terhadap fenomena konflik rumahtangga di kalangan aktivis agama. Ia menjadi taboo yang sulit untuk diperkatakan secara terbuka. Sulit kerana sukar dunia mahu menerima hakikat bahawa perkahwinan yang dibina jauh dari dosa, bermula dengan segala keelokan di jalan dakwah, boleh goyah dan sebahagiannya runtuh tidak bertangguh.

Di manakah silapnya?

SYARIATULLAH DAN SUNNATULLAH

Silap pertama, adalah pada ketidak-imbangan tunduk dan patuhnya aktivis dakwah kepada definisi dirinya sebagai Muslim. Patuhnya kepada Allah ditafsirkan sebagai kepatuhan diri kepada Syariatullah, tetapi tanpa sedar aspek Sunnatullah diabaikan. Jika pasangan yang bercintan-cintun memulakan perkahwinannya dengan memencilkan tuntutan Syariatullah, pasangan aktivis dakwah pula memulakan perkahwinan mereka dengan mengabaikan tuntutan Sunnatullah.

Mungkin kerana dakwah itu memerlukan kepada karisma, mujahadah, keseriusan dan tumpuan, maka cuaca rumahtangga da’ie hanya mementingkan kualiti Syariatullah. Tentu sahaja aspek ini penting kerana setiap dosa mengundang resah. Lebih banyak Syariatullah dilanggar, lebih banyaklah asbab keresahan dalam kehidupan. Tetapi golongan ini lupa kepada Sunnatullah. Bahawa dirinya yang da’ie, ustaz, ilmuan dan pejuang itu, tetap seorang lelaki.

Manakala sang isteri, biar sehebat mana pun dia di dalam penilaian beragama dan berjuang untuk agama, dia masih seorang perempuan dan akan terus menjadi seorang perempuan.

Maka sebuah rumahtangga Bait Muslim itu, tetap merupakan perkahwinan di antara seorang lelaki yang lelaki, serta perempuan yang perempuan. Antara lelaki dan perempuan, cara komunikasi, cara berfikir, cara bersikap.... nyata amat berbeza. Maka Sunnatullah jualah yang menjadi ketetapan Allah untuk keelokan hubungan antara lelaki dan perempuan.

Tatkala rumahtangga ramai anak muda hari ini dibina dengan membelakangkan Syariatullah, soal dosa dan pahala, pada masa yang sama ramai jugalah insan yang sedar Islam, membina komuniti dengan membelakangkan Sunnatullah. Dua-duanya silap dan cacat di sisi Dia. Dua-duanya bisa dilambung gelombang ribut bencana dalam sebuah rumahtangga. Ketundukannya tidak menghasilkan kesejahteraan seperti yang didefinasikan oleh Islam, lantaran ketundukannya itu hanya pada separuh Islam.

Jika perkahwinan cara yang biasa-biasa itu datang dengan CINTA TANPA TANGGUNGJAWAB, kisah rumahtangga Islamik ini pula berdepan dengan TANGGUNGJAWAB TANPA CINTA!

BUKAN JAMINAN

Namun apa yang mahu saya kongsikan di sini ialah soal salah faham kita dalam melihat maksud sabda Nabi SAW, “pilihlah wanita yang memiliki agama, nescaya kamu beruntung” [Sahih al-Bukhari dan Muslim].

Setelah memilih wanita yang beragama, atau lelaki yang beragama juga, apakah bermakna rumahtangga kita sudah beroleh plan ‘takaful’ perlindungan dari musibah, pergaduhan dan penceraian? Tidak perlu diselak lembaran nas, kerana jawapannya ada pada rumahtangga kita dan rakan di sekeliling kita. Sesungguhnya permulaan yang baik, hanyalah suatu permulaan yang baik. Ia tidak mampu mengawal agar seluruh perjalanan rumahtangga itu kekal baik, melainkan usaha menjaga, memantau, dan membangunkan rumahtangga yang baik… kekal berterusan.

Inilah yang sering gagal diberikan perhatian.

“Saya telah menghadiahkan anak saya sebaik-baik hadiah buat mereka, iaitu dengan saya mengahwini seorang perempuan sebaik ‘dia’,” seorang pemuda bermadah pujangga.

Baik semasa berkahwin, bukan jaminan untuk terus baik di sepanjang perkahwinan.

KEADAAN HATI

Bagaimana mungkin kita boleh terlepas pandang, bahawa sang suami mahu pun isteri, ditentukan buruk baiknya oleh kuasa HATI. Dan tidakkah hati itu berbolak balik, berbelah bagi sifatnya? Maka fitrah manusia itu sendiri, sentiasa terdedah kepada berubahnya diri apabila berubah hati.

Ya Muqallib al-Quloob, tsabbit qalbi ‘ala tho’atik, wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati ini, tetapkanlah hati ini di dalam ketaatan kepada-Mu.

Oleh kerana HATI itu juga berkait dengan intepretasi emosi, maka ia menambahkan lagi kebarangkalian tibanya badai dan taufan. Keadaan ini memerlukan seorang suami dan seorang isteri untuk saling bermuhasabah, membuat peniaian diri dari semasa ke semasa. Kebaikan yang dibebankan untuk menjadi jaminan kebahagian sebuah rumahtangga, kebaikan itu boleh pudar ditelan masa dan rasa.

Ditelan kehidupan yang sibuk…

Ditelan rasa jemu…

Rumahtangga dipertahankan, tetapi tanpa keghairahan dan kehangatan perasaan…

BERMUHASABAH

Mudah cerita, anggap sahaja semua orang kita ini fitrahnya tidak boleh membuka mulut bercakap tentang rumahtangga apabila berdepan dengan pasangan masing-masing. Kita bangsa yang bukan adatnya biasa menyebut I love you! Kita bangsa yang bijak memendam rasa. Segalanya dipendam dan diperam hingga menjadi dendam. Susah benar untuk berkomunikasi, meluahkan isi hati dan kepala, membincangkan masalah dan meneroka penyelesaian. Itulah kita.

Tetapi jika kita sama-sama sedar bahawa pasangan masing-masing susah untuk berbincang, maka jadikanlah perbincangan itu sebagai suatu peningkatan yang mahu dicapai sejajar dengan rumahtangga yang menuju usia matang. Berjuanglah memperbaiki diri agar akhirnya terhasil upaya berbincang, kerana itulah SATU-SATUnya pelampung keselamatan di bahtera taufan kehidupan berumahtangga. Usahakan perbincangan. Jadikan ia suatu cita-cita. Cairkan kebekuan dan kebisuan suami, didiklah isteri agar amuk dan rajuknya boleh diheret ke sebuah perbincangan.

MARAH VS BENCI

“Soalnya bagaimana, ustaz?”, tanya seorang teman.

“Pisahkan antara MARAH dan BENCI,” itu yang terdaya saya katakan.

Ya, jangan disembunyikan kemarahan. Suami berhak untuk marah kepada isteri. Isteri juga jangan simpan dan pendam marahnya terhadap suami. Meluahkan kemarahan dengan sebuah pertengkaran adalah jauh lebih sihat dari memendam lagi berdendam. Tetapi dalam pertengkaran itu, janganlah luahan kemarahan bertukar menjadi kebencian. Janganlah dibenci isteri yang sedang mengamuk, atau suami yang sedang membatu.

“Bagaimana mahu dibezakan di antara MARAH dan BENCI?” soal sahabat saya ini lagi.

Syukur juga sesekali mendapat regu berbual tentang hal-hal sebegini.

“Marah itu adalah luahan rasa tidak puas hati dengan mengharapkan perubahan. Manakala benci pula adalah luahan rasa tidak puas hati tanpa mengharapkan perubahan. Putus asa dengan pasangan!” saya menyambung bicara.

Sungguh tipis beza di antara MARAH dan BENCI. Namun untuk dibezakan antara keduanya, kembalilah kita kepada menyoal diri. Apakah yang dituntut semasa pertengkaran berlaku? Apakah luahan rasa tidak puas hati yang tidak tentu hala atau suatu proses yang meletakkan perubahan sebagai hasil yang diharapkan.

TANDA PUTUS ASA

Hilang harapan yang menjadikan pertengkaran itu suatu kebencian dan bukan lagi kemarahan, ada tanda-tandanya.

“Emm, tak apalah. Dah awak cakap macam tu, saya terima sahajalah!”, kata si isteri semasa membalas cakap suami.

“Kalau tak kerana anak-anak, tak tahulah apa yang saya akan buat. Sebab kesiankan mereka sahajalah saya bertahan seperti ini,” balas si suami.

Kedua-dua ayat ini adalah ayat putus asa. Ayat yang sudah tidak terkandung di dalamnya sebarang harapan. Persamaan di antara kedua-dua ayat ini ialah suami dan isteri memberhentikan proses berbincang sebelum sampai kepada penyelesaian. Membiarkan krisis antara mereka terbantut dan menjadi sampah yang disapu ke bawah karpet!

Sesungguhnya tatkala seorang suami dan isteri tiba kepada perbalahan yang kritikal seperti ini, ingatlah suatu perkara… tanyalah dengan jujur dan ikhlas ke dalam diri masing-masing APAKAH TIADA LAGI CINTA? Kenangkan kembali saat-saat cincin disarung ke jari, tatkala bibir suami mengucup dahi isteri… apakah semua itu sudah tiada makna? Saat melafazkan “AKU TERIMA NIKAHNYA”, rasakan kembali perasaan hati tatkala menyebut nama wanita yang melengkapkan ayat itu…

Moga pertengkaran hanya sebuah kemarahan, dan bukan kebencian.

BERASA CUKUP

Tatkala seorang suami berasa bahawa dirinya sudah melakukan yang terbaik, jangan sekali-kali usahanya dihentikan setakat ini. Usaha itu harus berterusan, bukan sahaja untuk melangsaikan tanggungjawab yang terpikul di bahu sendiri, malah untuk berdepan dengan dugaan kufr al-’asheer, yang diisyaratkan oleh Nabi SAW di dalam Sahih al-Bukhari, hadith ke-29:

“Diperlihatkan kepadaku Neraka, sesungguhnya kebanyakan penghuninya adalah wanita, mereka itu mengkufuri”. Lalu Baginda SAW ditanya: apakah mereka itu mengkufuri Allah? Rasulullah SAW menjawab, “mereka itu mengkufuri suami (atau nikmat-nikmat berumahtangga), dan mereka mengkufuri Ihsan. Tatkala kamu melakukan yang terbaik kepada salah seorang daripada mereka sepanjang tahun, tetapi kemudiannya dia melihat sesuatu yang tidak kena padamu, nescaya dia akan berkata (kepada suaminya): aku tidak nampak satu apa pun kebaikan padamu!”

Biar sebaik mana pun usaha suami, ada pula kecenderungan isteri untuk menafikannya. Ia disebut sebagai kufr al-’asheer!

Bukanlah soal jantina mana yang ramai di Neraka itu yang harus dipersoalkan. Tetapi apa yang lebih digusarkan adalah sebab yang menghantar kita ke Neraka itu sendiri. Baginda SAW mengungkapkannya sebagai ulasan terhadap kecenderungan ramai wanita yang mengkufuri suaminya.

Mengkufuri suami?

Ya, iaitulah penafian yang dibuat oleh seorang isteri terhadap usaha sang suami.Usaha yang diistilahkan sebagai Ihsan… iaitu usaha terbaik seorang suami. Pelbagai usaha, dilakukan oleh seorang suami untuk memperbaiki kelemahan dirinya sebagai suami dan ayah. Tetapi dek kerana satu perkara yang tidak kena, Rasulullah SAW menyebut bahawa mudah sangat untuk seorang perempuan berkata kepada suaminya, “aku tidak nampak satu apa pun kebaikan padamu!”

Teladannya, wahai suami, sentiasalah berlaku Ihsan, memberikan yang terbaik, dan terus bertanding dengan diri sendiri untuk mengatasi terbaik yang telah dilakukan sebelum ini. Namun bersabarlah andai isteri terlupa menghargainya. Jangan dibiarkan isteri berada dalam keburukan dengan membiarkan dirinya tenggelam dalam prasangka itu, kerana ia menjadi asbab seorang isteri terhumban ke neraka. Sebaliknya tenangkanlah dia, pegang tangannya, dan ajaklah dia kepada sifat syukur. Bagaimana mungkin seorang suami boleh bersabar dengan isteri yang melupakan kebaikannya?

Sifirnya mudah, buatnya payah… renungilah firman Allah:

“Dan sedikit sahaja dari kalangan hamba-Ku yang bersyukur”

(Surah Saba 34 ayat 13)

Benar sekali, setelah begitu banyak kebaikan yang Allah curahkan kepada manusia, sedikit sahaja yang mahu berterima kasih kepada-Nya. Maka bagaimana pula kita, hamba Allah yang kerdil ini, boleh tidak lena malam hanya kerana jasanya tidak dikenang seseorang. Ingatkanlah kembali diri dan isteri, bahawa kita ini hamba-Nya.

KELEBIHAN SEBUAH PERMULAAN

“Habis, kalau kahwin dengan orang beragama pun banyak ragamnya, apa faedah berkahwin kerana nilai agama?” perbualan kami menjadi semakin rancak.

Soalan ini penting. Jika tidak dijawab dengan baik, akan hilang kesediaan orang untuk bersusah payah memilih pasangan hidup atas faktor agama. Namun bagi saya, sebuah rumahtangga yang bermula dengan baik, tetap ada kelebihannya. Tatkala segala badai dan pancaroba melanda, andai rumahtangga yang dahulunya dibina atas semangat dakwah, kini tersasar akibat kecuaian dan tekanan persekitaran dan masa, rumah tangga ini mudah mencari jalan pulang. Setelah mereka pernah sama-sama bahagia di awal jalan yang bersih dan indah dalam kehidupan beragama, pasti sejauh mana sekali pun rumahtangga itu tersasar, ia tetap jelas mencari JALAN PULANG.

Malah, ia menjadi sinar harapan. Bahawa suami dan isteri pernah soleh dan pernah solehah. Potensi itu ada, rujukannya masih segar di minda dan jiwa. Mudah-mudahan luput keraguan dari suami terhadap isteri, dari isteri terhadap suami… bahawa kedua-duanya berpotensi untuk KEMBALI. Pulang ke asal yang baik itu.

Permulaan yang baik itulah juga rujukan Syariatullah dan Sunnatullah. Sebagaimana rumahtangga di hari-hari pertama terhias dengan segala nikmat solat berjemaah bersama, mengaji al-Quran bersama, makan bersama dan pergi ke majlis ilmu bersama, kembalikanlah rumahtangga yang goyah itu kepada apa yang kita sendiri pernah rasai.

Begitu juga kerana nilai kasih sayang, seorang suami dan seorang isteri bisa membuka auratnya untuk ditatap pasangan yang baru dihalalkan, hidupkanlah kembali nilai kasih sayang yang sama untuk masing-masing membuka kelemahan dan keaiban diri, mengiktiraf kekurangan di depan pasangan yang sudah lama dinikahi…

Demi sebuah keredhaan Allah.

RUMAHTANGGA MEDAN BERJUANG

Terimalah rumahtangga sebagai sebuah medan perjuangan. Penyertaan kita ke dalamnya dengan segala kelengkapan, bukanlah jaminan kepada kemenangan. Kita tidak tahu apakah bentuk musuh yang bakal menyerang, tidak pasti bagaimanakah peritnya pertempuran yang bakal melanda. Namun sekurang-kurangnya dengan persediaan yang baik di sebuah permulaan, doa kita kepada-Nya tidak palsu kerana ia dilafaz selepas USAHA.

Sesungguhnya permulaan yang baik, bukanlah suatu jaminan. Ia hanya sebuah permulaan.…

Sumber: ABU SAIF @ SAiFULiSLAM

Ayat pilihan saya untuk hari ini:

سُوۡرَةُ آل عِمرَان

رَبَّنَا لَا تُزِغۡ قُلُوبَنَا بَعۡدَ إِذۡ هَدَيۡتَنَا وَهَبۡ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحۡمَةً‌ۚ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡوَهَّابُ

"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya."

(Surah Ali’ Imran 3 ayat 8)

Butiran selanjutnya ...

Jumaat, Oktober 24, 2008

Tanggungjawap suami dalam nafkah harta

Isteri merupakan amanah Allah yang dipertanggungjawabkan ke atas suami untuk memeliharanya. Lazim kejadiannya memang berasal dari kejadian yang lemah atas sifat perempuannya maka sudah semestinyalah suami menjaga isterinya dengan sebaik-baik jagaan. Seorang suami mestilah tahu hak-hak yang dimiliki oleh seorang isteri dan melaksanakannya dengan sebaik mungkin. Suami dituntut berakhlak baik terhadap isteri bukan hanya bermaksud tidak menyakiti dan menganiaya mereka tetapi juga menanggung segala kesusahan dan bersabar, mengikut contoh-contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Ketika Haji Widak, Rasulullah SAW telah berpesan yang antara lain bermaksud, “Bertakwalah (takutlah) kepada Allah dalam urusanmu dengan wanita (isterimu). Mereka berada dalam peliharaanmu kerana kamu telah mengambil (kahwin) mereka sebagai amanah dari Allah dan mereka dihalalkan untuk kamu dengan nama Allah.” (Riwayat Ibn Majah - Walaupun hadis ini sahih, tetapi, amat jarang kita mendengar hadis ini dikupas oleh penceramah agama).

“…dan bagi para wanita (isteri) mempunyai hak (ke atas suami) yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang makruf, akan tetapi para suami mempunyai satu tingkatan (darjat) kelebihan daripada isterinya dan Allah Maha Perkasa lagi Maha bijiksana.” (Surah Al-Baqarah 2:228)

“Kaum lelaki adalah pemimpin (pelindung dan pembela) bagi kaum wanita oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita). Dan berdasarkan apa-apa yang mereka nafkahkan dengan harta mereka.” (Surah An-Nisaa 4:34)

Pemberian nafkah adalah wajib semenjak mula berlakunya akad nikah, meskipun isterinya itu seorang yang kaya raya. Hak isteri itu tidak berubah dan kewajipan itu tetap ke atas suami. Takrif nafkah, ia adalah suatu bahagian daripada hartanya yang dibelanjakan kepada orang-orang yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Manakala yang dikatakan harta itu pula mestilah dari sumber yang halal, ia bukan hak anak yatim atau bukan hak orang lain yang disimpan kepada kita serta ia bukan dari usaha curi, rasuah, riba dan sebagainya. Jadi, harta yang dijadikan nafkah untuk perbelanjaan isteri-isteri dan anak-anak, ia mestilah harta yang diperolehi dari jalan yang halal. Harta yang haram, ia tidak boleh dijadikan nafkah.

Dalam sebuah hadisnya yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi, Rasulullah SAW memberi peringatan kepada umat Islam dengan sabdanya yang bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh daripada harta (makanan) yang haram, maka api nerakalah yang layak baginya.” Melalui hadisnya ini, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa orang yang memakan benda-benda yang haram (tidak halal) akan diseksa dalam api neraka. Kerana itu, kita dilarang keras memakan benda-benda yang haram sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Tujuannya bukan sekadar memastikan diri terselamat daripada seksaan api neraka di akhirat nanti, akan tetapi pada masa yang sama memastikan segala yang kita makan itu adalah bersih dan halal agar diri, keluarga dan zuriat keturunan kita sihat dan selamat.

Adapun nafkah, ia terbahagi kepada 3 bahagian atau nafkah kepada 3 bahagian iaitu:
  1. yang pertama ialah kepada isteri,
  2. yang kedua kepada anak
  3. dan yang ketiga kepada usul.
Nafkah kepada isteri, mestilah isteri yang sah atau isteri dalam ‘Iddah raj’i atau ‘Iddah yang boleh dirujuk kembali, ertinya ialah ‘Iddah dari talak satu atau dari talak dua. Tetapi ‘Iddah talak tiga tidak berhak diberi nafkah kerana ia adalah talak yang tidak boleh dirujuk kembali.

Nafkah yang diberi kepada anak, mestilah bagi anak yang sah. Anak yang di luar nikah atau anak zina, tidak wajib diberi nafkah. Takrif wajib nafkah kepada anak juga ialah anak yang bukan akil baligh. Tetapi bagi anak yang sudah akil baligh, tidak wajib lagi bagi ayah untuk memberi nafkah kecuali anak itu tidak boleh mencari nafkahnya sendiri. Katalah seorang anak itu akil baligh ketika umurnya 15 tahun sedangkan masa itu dia masih belajar di sekolah. Ertinya, anak itu belum berupaya lagi mencari rezeki. Makna, ayahnya wajib memberi nafkah kepada anaknya.

Nafkah usul, ialah nafkah keturunan. Umpamanya, anak memberi nafkah kepada ayahnya. Syaratnya mestilah ibu bapa itu tadi adalah terlalu susah hingga tidak mampu menyara hidupnya. Seorang ayah yang sudah tidak mampu mencari nafkahnya sendiri, adalah berkewajipan bagi anak-anaknya memberi ibu bapa nafkah. Ertinya, seorang anak yang memberi belanja hidup kepada orang tuanya, bukan dibuat suka-suka hati. Ia adalah satu tangggungjawab yang wajib.

Seorang suami perlulah mengetahui syarat-syarat yang wajib dan berhak diberi nafkah kepada isteri, bukan ikut bagi sesuka hati sahaja.
  1. Syarat pertama ialah isteri yang taat kepada suami. Taat dalam ertikata menyerah diri bulat-bulat kepada suami sama ada jiwa raganya, tenaga dan akal fikirannya. Begitu juga, menyerah diri kepada suami bererti menyerah zahir dan batinnya pada suami. Isteri yang demikian saja yang wajib diberi nafkah. Isteri yang tidak taat 100% kepada suami atau sentiasa berbalah dengan suami, tidak wajib diberi nafkah.
  2. Syarat yang kedua ialah isteri yang tidak keluar rumah kecuali dengan izin suami. Seorang isteri itu memang dilarang oleh syariat, keluar rumah tanpa izin dari suami. Namun itu pun, hari ini begitu ramai sekali para isteri yang tidak sedar perintah ini. Mereka bebas keluar rumah sesuaka hati padahal yang dia lakukan itu adalah satu dosa. Cuma para isteri hari ini merasakan apa yang dia lakukan itu tidak apa-apa. Malah, ada setengahnya sampai berani membentak suami, kalau dia ditanya tentang pemergiannya itu. Isteri yang keluar tanpa keizinan suami, bererti dia tidak taat dan melanggar syariat. Ketaatan pada suami bererti taat di dalam agama. Apa saja yang dilarang dan diharamkan oleh Allah dan Rasul dalam rumahtangga dan di dalam perhubungan suami isteri, isteri hendaklah taat.
Gugur nafkah bagi isteri-isteri yang tidak taat. Cuma gugur nafkah seorang isteri yang tidak taat itu, sabitnya adalah dengan syarat-syarat yang tertentu. Ertinya, ada beberapa syarat yang mensabitkan gugurnya nafkah isteri apabila dia berlaku tidak taat.

Adapun suami-suami yang wajib memberi nafkah kepada isteri terdiri dari tiga golongan. Pertama, suami yang kaya, kedua ialah suami yang pertengahan dan yang ketiga ialah suami yang miskin atau papa. Ketiga-tiga golongan ini ada peringkat nafkah masing-masing terhadap isteri. Seorang suami yang kaya lain ukuran nafkahnya dan suami yang sederhana kekayaannya, lain ukuran nafkahnya, seorang suami yang miskin papa, lain pula ukuran nafkahnya.

Kewajipan nafkah bagi suami yang kaya menurut yang diterangkan dalam pengertian syariat ialah, memiliki harta yang boleh dibelanjakan sehingga umur yang ghalib atau lazimnya dia boleh hidup dan kalau sekiranya dia mati, masih ada baki harta itu. Itulah yang dikatakan kaya. Umur yang ghalib seorang itu boleh hidup, ia adalah ukuran biasa yang umum berlaku dikalangan satu-satu masyarakat itu. Biasanya bagi orang-orang melayu, disekitar 55 membawa kepada 65 tahun. Itulah sekitar umur yang ghalib seseorang itu boleh hidup. Walau bagaimanapun, itu adalah ukuran mengikut akal kita. Tetapi di sisi syariat, tidak ada siapa yang boleh mengetahui kecuali Allah SWT. Bagi orang kaya, ada kaedah-kaedah nafkah yang mesti diberikannya kepada isterinya. Pertamanya, suami mesti menyediakan sebuah rumah untuk anak isterinya, sama seperti rumahnya semasa dia berada bersama ibu bapanya dahulu. Ertinya, nafkah orang kaya terhadap isterinya adalah berat. kalau suami tidak menyediakannya, belumlah selesai tanggungjawab nafkahnya terhadap isterinya.

Kemudian, makan dan minum yang mesti disediakan untuk isterinya pula, mestilah jenis makan dan minum yang pernah dia terima semasa dia hidup bersama dengan ibu bapanya dahulu. Katalah semasa dia hidup bersama ibu dan bapanya dahulu, dia makan nasi yang berasnya bernilai beras terbaik. Maka, suami mestilah menyediakan makan untuk isterinya dengan beras yang terbaik juga. Begitu juga dengan lauk pauknya yang mana kalau sekiranya semasa berada bersama ayah dan ibunya dahulu dia makan lauk yang baik-baik, maka suami mestilah memberi isterinya lauk pauk yang baik-baik juga, seperti daging, ayam dan sebagainya.

Seterusnya dalam lain-lain peralatan rumah serta dapur, semuanya mesti disediakan mengikut keadaan yang baik-baik seperti dapur gas, alat-alat perabut dan lain-lainnya, mesti juga dari barang yang baik-baik.

Sekiranya, dahulunya dia biasa dibantu oleh orang-orang gaji, maka hendaklah suami mengadakan orang gaji untuk isterinya. Dan begitulah seterusnya dalam hal-hal yang lain di dalam rumahtangga suami itu, setiap apa yang pernah ada padanya dahulu, mestilah disediakan untuk isterinya.

Tentulah berat tanggungjawab bagi seorang suami yang kaya apabila diukur dan ditinjau di sudut fekah. Apabila kita tinjau di sudut tasauf iaitu di sudut hendak mendapatkan kewarakan dalam beramal ibadah, perkara-perkara yang demikian bergantung kepada keredhaan isteri. Seandainya isteri redha, tidak mahu segala kesenangan dan kenikmatan duania kerana takut akan hisabnya terlalu berat di akhirat nanti, isteri boleh menolak semua itu dan memilih kehidupan zuhud. Tetapi harus pula seorang suami itu ingat, suami tidak boleh memaksa isterinya zuhud. Tanggungjawabnya ialah untuk menyediakan tempat tinggal, makan minum dan pakaian untuk isterinya. Ini adalah tuntutan wajib ke atasnya.

Daripada pengertian tentang memberi nafkah kepada isteri bagi suami-suami yang termasuk dalam golongan kaya, dapatlah dijadikan ukuran tentang bagaimana pula tanggungjawab suami-suami yang termasuk dalam golongan pertengahan dan golongan miskin. Perlulah diingat bahawa dalam persoalan memberi nafkah kepada isteri ini, Rasulullah SAW pernah bersabda: “Takutlah kamu kepada Allah dalam urusan perempuan, sesungguhnya kamu mengambil mereka dengan amanah Allah dan telah dihalalkan bagi kamu kemaluan mereka dengan kalimat Allah dan diwajibkan atas kamu memberi nafkah dan pakaian kepada mereka dengan cara yang sebaik-baiknya.”

Allah telah berfirman yang maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mempusakai wanita dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka karena hendak mengambil kembali sebagian dari apa yang telah kamu berikan kepadanya, terkecuali bila mereka melakukan pekerjaan keji yang nyata. Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) karena mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” (Surah An-Nisaa 4:19)

Daripada pertanyaan-pertanyaan di atas jelaslah kepada kita ukuran pemberian nafkah bagi seorang suami itu terhadap isterinya. Kalau suami-suami yang termasuk dalam katagori yang kaya tadi, telah digariskan kaedah-kaedah nafkah yang wajib diberikannya kepada isterinya, maka bagi suami-suami yang pertengahan dan miskin, bolehlah kita gariskan tentang banyak mana nafkah yang wajib suami berikan kepada isterinya. Iaitu berdasarkan daripada hadis Rasulullah SAW dan dari pertanyaan Allah di atas, suami-suami wajib memberi nafkah kepada isteri-isterinya mengikut kemampuannya serta menurut keadaan dan tempat. Begitulah tuntutan nafkah zahir kepada para isteri yang wajib bagi suami-suami melaksanakannya.

Seandainya para isteri bagi suami yang miskin atau pertengahan kaya meminta lebih dari yang mampu disediakan oleh suami, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada seorang isteri yang tidak bersyukur kepada suaminya.”

Mengenai nafkah dua orang suami isteri yang sama-sama bekerja sama ada sama-sama menjadi guru, sama-sama bekerja di pejabat atau sama-sama menoreh getah dan sebagainya. Sebenarnya persoalan ini adalah amat berat kerana ia melibatkan harta pusaka yang tidak dapat ditentukan siapa punyanya. Seandainya, dalam soal kedua-dua mencari nafkah ini ditakdirkan suami meninggal atau ditakdirkan isteri meninggal, bagaimana pula kedudukan harta yang ditinggalkan.

Dalam hal ini, jika meninggallah salah seorang di antara keduanya, harta yang tinggal tidak boleh dipusakakan kerana harta yang tinggal itu tidak tentu siapa yang punya. Harta itu sudah bercampur aduk antara nafkah isteri dengan nafkah suami. Syariat hanya menganggap hasil pencarian suami sahaja yang dijadikan harta pusaka untuk anak isteri tetapi isteri tidak boleh mencari nafkah untuk menjadikannya harta. Setiap wanita hanya boleh memiliki harta melalui peninggalan ayah ibu atau pun adik beradik atau penginggalan suami.

Sekiranya seorang itu bekarja serta berusaha dan berikhtiar untuk menambahkan pendapatan keluarga, satu perjanjian antara isteri dan suami mesti ada untuk mengikrarkan harta sama sepencarian itu. Di antara ikrar-ikrar yang boleh dibuat ialah seperti misalnya, suami mengatakan kepada isteri bahawa seluruh harta yang mereka cari bersama itu adalah hak suami, walaupun bahagian isteri yang mencari ada di dalamnya. Tetapi suami boleh mengikrarkan semuanya harta dia. Sekiranya suami meninggal, seluruh yang ada pada harta itu, adalah menjadi harta pusaka yang boleh dibahagi-bahagiakan. Begitu juga, suami boleh mengikrarkan kepada isteri tentang harta yang sama-sama dicari itu dengan mengatakan bahawa semuanya adalah hak isterinya. Sekiranya suami meninggal, seluruh harta yang tinggal itu adalah hak isterinya.

Boleh juga, di antara suami isteri yang sama-sama mencari nafkah mengasingkan harta masing-masing. Misalnya, kalau isteri membeli pinggan mangkuk hasil pencariannya, isteri boleh menyatakan kepada suaminya bahawa pinggan mangkuk itu adalah hartanya. Dalam soal ini mesti ada perjanjian bertulis, kerana ia tidak akan menjadi perbalahan apabila meninggal salah seorang antara kedua nanti. Dan yang selebih baiknya ialah dengan memanggil ahli-ahli keluarga waris untuk menjadi saksi. Ini adalah amat mustahak sekali kerana ia melibatkan soal paraid atau pembahagian harta.

Soal suami isteri yang sama-sama bekerja mencari nafkah sudah menjadi perkara biasa hari ini. Kalau sama-sama tidak jelas tentang harta dan faraid harta, takut-takut nanti seluruh isi keluarga memakan harta yang haram. Sedangkan isteri yang pergi bekerja itu pun, isteri mesti hati-hati sungguh kerana takut-takut isteri membawa balik harta yang haram. Hal ini mudah sangat berlaku. Andainya isteri pergi bekerja itu tanpa lafaz izin dari suami atau tidak menutup aurat, bermakna isteri keluar rumah secara haram. Jadi, suami kenalah melafaskan izin setiap hari kepada isteri serta mensyaratkan kepada isteri setiap kali pergi bekerja dengan menutup aurat. kemudian harta yang jadi sama-sama sepencarian itu pula hendaklah dinyatakan, apakah boleh ia dimakan bersama. Kalau tidak, takut-takut nanti suami memakan harta haram.

Dipetik dari: laman FauzyNM yang telah dikemas-kini di beberapa perenggan.

Soalan:
Apa hukumnya suami memakan hasil/harta isteri?

Yusuf Qardawi menulis :
Lebih dari itu Islam telah melarang pemanfaatan orang-orang kuat atas orang yang lemah, seperti orang-orang yang memakan harta anak yatim, para suami memakan harta isteri, pemerintah makan harta rakyatnya dan para juragan yang memakan hak-hak buruhnya, atau para tuan tanah yang memakan keringat para petani.

Sumber:
media.isnet.org-PekerjaanKotor.html

Butiran selanjutnya ...

Andropaus punca perceraian

Salamun'alaik Warahmatullahi Ta'ala Wabarakatuh...

Meriahnya grup SiM membincangkan tips di usia 40 yang dikirim Pak Kadri. Alhamdulillah, saya dahpun masukkan entry tersebut di Apa yang anda perlu tahu di usia 40?. Orang lelaki jangan seronok sangat (bertepuk tangan macam Pak Kaduk menang sorak... hu... hu...) dengan tips Pak Kadri, cuba-cubalah buat check up kalau-kalau anda ada tanda-tanda andropaus (bunyi macam ikan paus je, ek!) seperti yang ada dalam artikel di bawah.

Ramai lelaki 'menopaus' pada usia muda tak dapat penuhi keperluan isteri

HIDUP bermula pada usia 40 tahun mungkin bukan kata-kata yang tepat bagi menggambarkan kehebatan seorang lelaki. Walaupun pada usia itu lelaki dianggap berada pada puncak kehidupannya sama ada dari segi ekonomi dan sosial, hakikatnya ia adalah garis yang menandakan bermulanya 'kelesuan' fizikal mereka.

Sama seperti menopaus, lelaki pada usia ini (40 tahun ke atas) turut tidak terlepas mengalami susut hormon kelelakiannya. Dikenali sebagai andropaus, golongan ini mengalami perubahan secara beransur-ansur seperti penurunan nafsu syahwat, tahap kekurangan tenaga fizikal, saiz otot berkurangan, masalah penumpuan perhatian, tertekan dan mudah lupa.

Mereka yang mengalami lebih daripada tiga tanda seperti di atas, berkemungkinan mengalami andropaus akibat penghasilan hormon testosteron yang rendah. Tanda lain seperti sukar untuk tidur, sakit pada bahagian pinggul dan belakang secara berterusan, berat badan naik mendadak, keguguran rambut, cepat marah, sedih atau mengalami masalah ketika buang air kecil.

Pakar Kesihatan Awam, Dr Abu Bakar Mohamad, berkata andropaus adalah proses fisiologi normal yang berlaku kepada semua lelaki akibat kekurangan hormon testosteron atau androgen iaitu hormon untuk lelaki, malah kehilangan hormon sebenarnya berlaku pada usia lebih muda berbanding apa yang disangkakan iaitu usia 40 ke atas.

Hormon testosteron dihasilkan apabila bayi lelaki mencapai usia 12 minggu. Apabila akil baligh, mereka mula tumbuh misai, janggut dan kelihatan kuat sebagai lelaki. Namun, sebenarnya hormon menurun sekurang-kurangnya 10 peratus setiap tahun apabila lelaki mencecah usia 30 tahun ke atas. Bagi sesetengah orang proses kehilangan hormon berlaku lebih cepat akibat penyakit yang dihadapi, tekanan dan ubat-ubatan yang dimakan. Itulah sebabnya mereka kehilangan hormon lebih awal.

Katanya kehilangan hormon pada usia muda iaitu 35 hingga 40 tahun lazimnya tidak selaras dengan keperluan sosial kebanyakan lelaki yang semakin meningkat. Misalnya walaupun lelaki berkeinginan seks, tetapi tidak berupaya memenuhi keperluan berkenaan. Ini menjadi punca mengapa berlaku perceraian yang tinggi kalangan pasangan muda hari ini.

Masalahnya wanita berusia 35 hingga 40 tahun mempunyai keinginan batin yang tinggi sedangkan lelaki pada usia begini sudah mengalami kesusutan hormon seperti keletihan dan tertekan. Itulah sebabnya lelaki pada usia ini terutama yang mencecah 50 tahun, lebih kerap keluar rumah bagi mengelak daripada isterinya. Justeru, lelaki memilih untuk menghabiskan masa dengan keluar bersama teman atau mempunyai hobi sendiri seperti memancing, lebih suka menonton televisyen dan sebagainya.

Akibat sering keletihan dan tidak bermaya, kebanyakan lelaki cuba mendapatkan rawatan sendiri dengan memakan pelbagai jenis ubat menguatkan tenaga dan batin. Malangnya ramai yang tidak mendapatkan nasihat daripada doktor sebelum mencuba rawatan ini. Hakikatnya, masalah sebenar adalah berpunca daripada penyusutan hormon lelaki tadi atau andropaus.

Ramai yang mengeluh apabila mengalami tanda andropaus dan hasilnya mereka makan pelbagai ubat untuk memulihkan masalah seperti sakit pinggang, cepat letih dan paling banyak adalah ubat menguatkan tenaga batin. Mereka sebenarnya memerlukan tambahan hormon bagi kekal sihat seperti sebelumnya. Bagaimanapun, setakat ini belum ada ubat yang boleh merawat kekurangan hormon berbanding ubat mengembalikan tenaga mereka. Ubat-ubat berkenaan hanya merawat secara sementara masalah yang dialami sedangkan bukan punca sebenarnya.

Bagaimanapun, ada pelbagai punca lain yang menyebabkan masalah kesihatan lelaki khususnya tenaga batin. Penyakit seperti kencing manis atau diabetis dan ubat anti kolesterol lazimnya menyebabkan penurunan keinginan melakukan hubungan intim. Lelaki dinasihatkan menjaga kesihatan diri bagi memperlahankan kemerosotan hormon lebih awal iaitu dengan menjalani gaya hidup sihat. Amalkan tidur yang cukup, diet seimbang, senaman sekurang-kurangnya 30 minit antara 3 hingga 4 kali seminggu. Paling baik elakkan daripada merokok dan minum minuman beralkohol.


¤¤¤¤¤ U T A M A K A N K E S i H A T A N ¤¤¤¤¤


Dr Abu ditemui pada sidang akhbar bagi memperkenalkan produk makanan tambahan, Opti-X khusus untuk lelaki yang mengalami tanda andropaus yang dianjurkan NatStar (M) Sdn Bhd. NatStar adalah syarikat jualan langsung makanan tambahan dan kesihatan untuk lelaki dan wanita. Opti-X dirumus menggunakan campuran 11 herba pati tradisional Cina yang bermanfaat untuk sistem organ iaitu jantung, paru-paru, ginjal, hati dan sistem limfa. Herba berkenaan digunakan oleh seorang Maharaja China yang terkenal kerana umurnya yang panjang dan sihat. Opti-X yang diperbuat daripada herba semula jadi diuji selamat oleh kajian sitotoksik.

Opti-x adalah makanan tambahan semula jadi 100 peratus yang diperbuat daripada herba terbaik. Ia bukan ubat farmaseutikal dan tidak mempunyai bahan kimia sintetik yang biasa terdapat dalam ubat preskripsi. Ia tidak memberikan kesan sampingan seperti sakit kepala, pening atau penurunan tekanan darah mahupun muka menjadi merah. Selain mengekalkan kesihatan, NatStar juga bermatlamat mengajar pengguna cara holistik untuk menjaga kesihatan. Ini boleh dilakukan melalui corak dan gaya hidup lebih positif.

Ia adalah satu-satunya produk di Malaysia yang boleh mengatasi masalah andropaus dan mengembalikan kesihatan lelaki. Produk yang ada kebanyakannya menumpukan kepada masalah Erektil Disfungsi (ED). Kebanyakan orang tidak tahu apa itu andropaus termasuk mereka yang berpendidikan tinggi.

Opti-X boleh didapati pada harga RM180 (ahli) dan RM240 (bukan ahli). Ia boleh didapati daripada 25,000 wakil jualan NatStar di seluruh negara.

Sumber: BHarianOnLine 23/10/2008

Butiran selanjutnya ...

Budaya berbasikal di Jepun

Oleh Hidayah Mohammad (hidayah@bharian.com.my)



BANYAK tempat khas disediakan di Kobe bagi memudahkan penunggang meletak basikal.

Lebih separuh penduduk guna kenderaan paling jimat atasi sesak, pencemaran

SEBELUM menjejakkan kaki ke Jepun, penulis pernah mendengar orang bercerita mengenai budaya berbasikal di kalangan masyarakat di sana. Sebaik saja sampai di bandar Kobe iaitu lokasi pertama menjejakkan kaki di Jepun, penulis dapat menyaksikan sendiri banyak basikal di sana sini berbanding kenderaan lain. Berbasikal adalah kaedah pengangkutan utama masyarakat Jepun baik ke pejabat, sekolah, universiti, pasar, pusat beli belah, perpustakaan atau ke mana saja. Menariknya, basikal bukan saja digunakan anak muda tetapi bagi warga tua sejak 90 tahun lalu.

Bagaimanapun, pasti ada rasa pelik ataupun menganggap ia kerja ‘gila’ jika ada masyarakat kita mengayuh basikal ke tempat kerja dengan memakai pakaian pejabat. Mana tidaknya, tahap kehidupan rakyat negara kini semakin meningkat, malah kebanyakannya berkereta.

Menariknya, sepanjang lima hari berada di Jepun ketika bulan puasa lalu, penulis teruja melihat pelbagai ragam dan gaya masyarakat Jepun menunggang basikal. Ada yang lengkap berpakaian pejabat dan bertali leher, berfesyen ranggi dan gaya ringkas kasual mengayuh selamba menuju ke destinasi masing-masing.

Penulis dibawa melancong ke beberapa tempat menarik ketika wakil media lain menikmati sajian makan tengah hari. Sempat juga berbual bersama pemandu pelancong, Yumi Masaki mengenai gaya hidup berbasikal masyarakat di sana. Yumi yang bertugas sebagai pemandu pelancong sejak lebih 10 tahun lalu berkata, lebih 60 peratus daripada 127 juta penduduk Jepun memilih menggunakan basikal. Malah, dalam satu isi rumah mereka sekurang-kurangnya memiliki dua hingga empat basikal.




MAsyARAKAT di Jepun sentiasa sibuk dan bergerak pantas.

Penulis juga berkesempatan menjejakkan kaki ke bandar Kyoto yang terkenal dengan kawasan pendidikan kerana ia mempunyai sebanyak 36 universiti di bandar berkenaan. Dari jumlah itu, seramai 80 peratus pelajarnya menunggang basikal ke universiti. Hakikatnya tidak dinafikan, menaiki kereta perjalanan lebih selesa tetapi jika ruang tempat letak kereta terhad dan mahal, lebih baik mengayuh basikal! Lebih memeranjatkan apabila diberitahu sewa tempat meletak kereta di kawasan rumah juga terlalu mahal iaitu antara 10,000 yen hingga 30,000 yen iaitu antara RM300 hingga RM900 sebulan.

Bayaran tempat letak kereta yang mahal itu secara tidak langsung turut menggalakkan masyarakatnya menggunakan perkhidmatan tren. Namun basikal tetap pilihan utama. Jika ada yang naik basikal tetapi mahu ke bandar, mereka akan meletakkan basikal ruang tempat letak basikal khas berhampiran. Untungnya, kadar bayaran tempat letak basikal jauh lebih murah iaitu antara 100 hingga 150 yen (antara RM3) sehari.

Masyarakat Jepun tidak sukakan kesesakan. Dengan menaiki basikal ia sekali gus dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di samping mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Bandar besar seperti di Kyoto, Kobe dan Tokyo juga banyak laluan jalan sehala dan lorong kecil. Dengan mengayuh basikal ternyata lebih mudah. Selain itu, harga barang keperluan harian di Jepun terutama petrol yang semakin mahal mengikut pasaran global, ia secara tidak langsung membantu meringankan beban masyarakatnya.

Yumi berkata, bagi masyarakat Jepun, berbasikal adalah aktiviti terbaik membantu meningkatkan tahap kesihatan badan. Mengayuh basikal menggunakan banyak pergerakan kaki dan otot badan. Oleh itu, tidak mustahil ia sebagai senaman sihat yang membantu menguatkan kaki dan otot masyarakatnya.

Ketika kecil, basikal bagaikan ‘kenderaan’ pertama sebelum mula pandai membawa kenderaan lain. Seperti penulis, kenderaan kecil itu ditinggalkan selepas mula meninggalkan alam persekolahan. Tidak salah mengayuh basikal di negara ini, tetapi oleh kerana faktor cuaca panas dan lembap membataskan masyarakat negara ini menggunakannya sebagai pengangkutan utama.

Namun, jika diamati kembali, berbasikal memberi banyak kebaikan kepada individu dari segi kesihatan, ekonomi (berjimat cermat) dan kurangnya pencemaran alam. Ketika kita hangat dengan masalah kenaikan harga minyak baru-baru ini, ramai juga rakan penulis ingin menaiki basikal ke tempat kerja.

Sumber: BHarianOnLine 22/10/2008

Butiran selanjutnya ...

Dilema Isteri Bekerja dan Keputusan Majlis Fiqh Sedunia

Dilema isteri berkerja

Saya percaya, ramai di kalangan isteri yang bekerja mempunyai pelbagai dilema antaranya tidak cukup waktu untuk menguruskan diri sendiri, suami dan anak-anak, seolah-olah 24 jam sehari tidak cukup untuk isteri merangkap ibu melakukan segala beban kerja. Di bandar-bandar besar, kebanyakan isteri didorong untuk keluar rumah kerana bekerja, atas alasan tekanan keperluan kehidupan.

Satu perkara yang lumrah pada hari ini untuk dikatakan bahawa pendapatan yang hanya datang dari pihak suami kurang mencukupi bagi sesebuah keluarga menjalani kehidupan mereka. Apatah lagi dalam keadaan taraf kehidupan pada hari ini yang semakin tinggi. Oleh sebab itu, isteri secara sukarela mengambil keputusan untuk keluar rumah bekerja bagi mendapatkan pendapatan lebih bagi keluarganya sebagai memastikan keluarganya berada dalam keadaan yang selesa.

Apabila isteri-isteri ini sudah berada di luar rumah, maka mereka terpaksa memendekkan masa dalam mengurus hal-hal rumah tangga. Sesetengah mereka tidak menghadapi masalah kerana ahli-ahli keluarga yang lain, terutamanya pihak suami memahami keadaan mereka. Walaupun demikian, sesetengah mereka yang lain merasa agak tertekan kerana keluarga masih menuntut perhatian secara sepenuhnya apabila wanita ini pulang dari tempat kerja.

Masalah ini bukan sahaja dialami oleh mereka yang berpendidikan sederhana tetapi turut dialami oleh mereka dari golongan professional seperti doktor, peguam, arkitek dan sebagainya. Sesetengah kaum suami tidak menyedari dan tidak cuba memahami tekanan yang dialami oleh isteri mereka kerana menganggap bahawa kerja-kerja di rumah mudah untuk dilaksanakan dan ia adalah suatu fitrah untuk dilaksanakan oleh kaum isteri. Apabila keadaan ini berlaku maka berlakulah suatu dilema dalam diri isteri berkenaan.

Dilema yang dialami merupakan suatu rasa keliru dan bersalah berhubung peranan mereka sebagai seorang isteri (dan juga ibu) dengan tuntutan naluri sendiri untuk bekerja. Rata-rata golongan wanita yang berpendidikan amat memahami tentang konsep kedudukan wanita dari segi syariahnya dan cuba untuk menyempurnakan tanggung jawab tersebut secara sempurna.

Akan tetapi, keadaan mereka yang bekerja sudah tentu menghalang pelaksanaan ini dibuat secara sempurna dan tekanan menjadi lebih berat apabila pihak suami mempertikaikan kegagalan mereka melaksanakannya dengan sempurna (disebabkan keizinan yang diberikan oleh suami kepada isterinya adalah keizinan separuh hati).

Tuntutan tanpa toleransi dari pihak suami terutamanya seolah-olahnya menjadi syarat yang menderakan bagi mendapatkan keizinan dari suami untuk memiliki kerjaya. Hal ehwal rumahtangga masih sepenuhnya berada di atas bahunya. Sekalipun kewujudan pembantu rumah sewajarnya dapat mengurangkan beban kerja yang ada, tetapi sesetengah suami tetap mahukan urusan-urusan tertentu dilakukan oleh pihak isteri kerana tidak berpuas hati dengan hasil kerja pembantu rumah.

Keletihan isteri tidak diambil kira dan menganggap bahawa, oleh sebab suami merupakan ketua rumahtangga dan isteri berkewajipan mentaatinya, maka dia mempunyai hak untuk mempertikaikan kepatuhan dan ketaatan isteri terhadapnya. Bagi wanita yang berhadapan dengan situasi ini, mereka akan menganggap bahawa mereka tidak dilayan dengan adil dan pihak suami sebenarnya telah memanipulasi kuasa kepimpinannya di dalam keluarga.

Sekiranya keadaan ini dibiarkan saya percaya tekanan yang dialami akan menjadikan keadaan rumahtangga yang kurang sihat selain berlakunya ketidak-stabilan dalam rumah tangga. Hasil penyelidikan yang dibuat oleh majalah-majalah yang berkonsepkan feminisme menunjukkan bahawa perkara ini bukanlah isu yang remeh-temeh malah perlu diberi perhatian yang sewajarnya.

Keadaan yang kurang menyihatkan ini perlu ditangani agar tidak menyebabkan kerapuhan institusi kekeluargaan dan merantaikan masalah-masalah sosial yang lebih buruk. Di dalam hal ini, sudah pasti kaum wanita yang menghadapinya inginkan penyelesaian yang diredhai oleh Allah SWT, tidak merasa bersalah untuk memberi penumpuan kepada kerjaya dan masih merupakan seorang isteri atau ibu yang taat dengan perintah Allah.

Dapat kita perhatikan di sini bahawa masalah yang dihadapi oleh isteri dalam dilema ini sebenarnya ialah penerimaan hakikat oleh pihak suami dalam kesediaan mereka untuk bertoleransi dengan keadaan tersebut.

Dalam surah An-Nisaa ayat ke 34, Allah telah berfirman, “Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita yang saleh, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh kerana Allah telah memelihara (mereka). Wanita-wanita yang kamu khawatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka, dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka menaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.”

Ayat ini mengupas tentang kepimpinan seseorang lelaki dan kuasa autokrasinya, yang antara natijahnya memerintahkan ketundukan dan ketaatan pihak wanita atau isteri terhadapnya. Kepimpinan ini adalah disebabkan beberapa kelebihan yang dianugerahkan oleh Allah kepada golongan ini berbanding wanita. Dan kelebihan ini sebenarnya disertai dengan pelaksanaan tanggung jawab yang besar.

Apabila seorang lelaki menjadi ketua rumahtangga, dia bertanggungjawab untuk mencari pendapatan demi memberi perlindungan dan makan pakai kepada ahli keluarganya. Selain itu, dia juga perlu menyediakan kemudahan pendidikan kepada anak-anak, juga sumber bagi setiap ahli keluarganya melakukan aktiviti-aktiviti sosial. Dan yang paling utama ialah memastikan akidah setiap ahli keluarganya tidak terpesong.

Tanggung jawab ini selaras dengan firman Allah SWT [002:233] yang bermaksud, “Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang ma'ruf.” (Surah Al-Baqarah ayat 233)

Di dalam Islam, perbincangan yang berkaitan dengan rumahtangga lazimnya menjadikan kedua-dua dalil yang dinyatakan sebelum ini sebagai asas dan prinsip yang menjadi pegangan dalam berumahtangga. Walau bagaimanapun, konsep “lelaki adalah pemimpin atau ketua bagi wanita” sebenarnya perlu sama-sama diseimbangkan dengan ketentuan-ketentuan yang lain dalam ajaran Islam. Dan dalam konteks ini keseimbangan dan kesaksamaan perlu diwujudkan dalam menyediakan penyelesaian berhubung pengurusan rumah tangga disebabkan isteri sama-sama keluar bekerja. Iaitu suatu penyelesaian yang bersifat fleksibel dan tidak mengetepikan kepentingan dan kebajikan kaum wanita.

Jika isteri bekerja dengan tujuan membantu ekonomi keluarga dan pada masa yang sama, suami juga bekerja, sudah tentu ia adalah harus selagi menjaga tatasusila Islam semasa di tempat kerja dan juga mampu melaksanakan kewajibannya sebagai ibu dan isteri. Jika terdapat mana-mana suami yang membuat syarat yang isteri terpaksa bekerja kerana suami tidak mampu menampung perbelanjaan rumah jika cuma suami seorang saja menjana pendapatan, maka hendaklah:-

  1. kedua-dua suami-isteri mempunyai 'planning' sebaiknya. Suami kena plan bagi tempoh beberapa tahun awal selepas kahwin disebabkan kos hidup yang tinggi bagi pasangan berkahwin, dan pasangan masih muda.
  2. bertujuan membantu suami atau keluarga di kampung yang benar-benar terdesak.
  3. berbentuk 'temporary', sementara tiada anak sebagai persiapan ekonomi untuk beranak-pinak dalam keadaan yang lebih selesa.
  4. memberikan isteri pengalaman kerja di peringkat awal agar jika sesuatu berlaku kepada suami, isteri sudah berpengalaman, boleh dan mampu berdikari dengan lebih berkesan.
  5. menamatkan perjanjian kerja dengan majikan atau kerajaan akibat perjanjian biasiswa dahulu.

Adapun, menjadikannya syarat seperti 'syarat yang paling utama' serta mengharapkan isteri untuk terus membantu selama-lamanya, ini sedikit sebanyak mendedahkan kelemahan sang suami. Pasti ramai suami dan sebahagian isteri yang tidak berpuas hati dengan kenyataan seperti ini, terpulang. Cuma fikir semula sebelum bantah secara total.

Apapun hakikat dan realiti di hadapan anda, menyuruh atau mengharap isteri bekerja dan pada masa yang sama mengharap isteri:
  1. didik anak dengan hebat dan berkesan
  2. layan suami dengan baik,
  3. senyum melebar setiap kali bertemu suami yang 'penat' bila balik,
  4. tempat suami mengadu masalah dan dapatkan sokongan,
  5. memberikan buah fikiran yang baik kepada suami yang buntu di tempat kerja
  6. untuk in-charge untuk menjaga berak kencing anak,
  7. basuh baju,
  8. gosok baju,
  9. sidai, angkat dan lipat baju,
  10. urut badan suami,
  11. masak sedap-sedap,
  12. basuh pinggan-mangkuk,
  13. sapu dan buang sampah,
  14. kemas rumah,
  15. cuci tandas,
  16. tangani karenah anak dengan baik,
  17. ajar anak mengaji,
  18. tidak membebel,
  19. tidak mahu dengar anak menangis dan harap isteri berperanan,
  20. tidak muncung dan lain-lain

Menuntut perkara di atas dan pada masa yang sama menyuruh isteri kerja adalah bertentangan dengan fitrah yang ditentukan oleh Allah kepada wanita. Adalah tidak adil sama sekali bagi seorang suami 'demand' hal sedemikian untuk disempurnakan oleh isteri dalam masa yang sama diharapkan income isteri untuk pembiayaan rumah dan kereta dan barang dapur.

Jika suami ingin isteri membantu ekonomi (yang sepatutnya tanggungjawab utama sang suami), maka sebahagian senarai kerja di atas patut diambil-alih oleh suami sebagai timbal balik kepada jasa isteri itu. Jika tidak mahu, mereka perlu mengambil pembantu rumah yang boleh diharap 'cover' sebahagian kerja-kerja teknikal tadi. Sila rujuk entry Nafkah isteri - Kewajipan Suami Menyediakan Pembantu.

Kesimpulannya, suami perlu berilmu cara mengawal rumah tangga dan anak-anak akibat isteri bekerja. Sebarang kekurangan dalam rumahtangga akibat kedua-duanya bekerja adalah di bawah tanggungjawab suami. Jangan salahkan isteri yang bekerja sebagai gagal melaksanakan tanggungjawab di rumah, kerana suami yang 'beri' dan 'minta' isterinya bekerja from the very beginning atas sebab-sebab yang disebutkan di atas.

Justeru, suami kena kontrol jenis kerja isteri, tempoh masa, suasana sekeliling isteri, jika kecemasan bagaimana, keletihan isteri yang bekerja ini setakat mana, apakah perkara yang terpaksa dikorbankan disebabkan kerja isteri dan lain-lain. Tatkala itu, suami perlu cari apakah jalan penyelesaiannya terbaik. Secara ringkasannya, suami must be a good planner, manager and he is just like a CEO.

Buat para suami, cuba lihat sedalam-dalamnya, patutkah isteri bekerja untuk membantu anda meneguhkan ekonomi? Apakah tanda aras keteguhan ekonomi? Dan sampai bila mampu tercapai? Jangan biarkan kebahagiaan rumahtangga tergadai dan bercerai-berai kerana terlalu asyik mengejar duniawi.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Tidak boleh taat kepada seseorang dalam melakukan maksiat kepada Allah. Sesungguhnya ketaatan itu dalam melakukan kebaikan." (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Menurut Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz dalam artikel Wanita wajib taat suami selagi tak langgar syarak dalam BH 5 Mac 08, seorang isteri perlu taat kepada suami kerana wujudnya ikatan pernikahan. Walau bagaimanapun tanggungjawab itu bukanlah mutlak tanpa batas sempadan. Antara syarat yang mewajibkan isteri mentaati suami ialah suami juga perlu menjalankan sepenuhnya tanggungjawabnya terhadap isteri. Segala hak dan tanggungjawab saling bertimbal balik. Hak isteri adalah tanggungjawab suami. Sementara hak suami pula adalah tanggungjawab isteri. Antara lain yang mewajibkan isteri mentaati suami adalah arahan yang diberi suami tidak bertentangan dengan Islam. Jika arahan suami bertentangan dengan ajaran Islam, arahan itu bukan saja tidak wajib dipatuhi, malahan suami patut diperbetulkan dengan cara bijaksana.

Fikir-fikirkanlah!

Panduan buat suami isteri bekerja - Keputusan majlis Fiqh Sedunia

Sebagai panduan buat suami isteri bekerja, disertakan keputusan majlis Fiqh Sedunia tentang perkara berkaitan. Keputusan Majlis Fiqh Sedunia dalam persidangan yang ke-16 bertempat di Dubai pada 9-14 April 2005 telah membuat ketetapan seperti berikut :-

1. Pemisahan tanggungan harta di antara suami isteri

Isteri mempunyai kelayakan sepenuhnya dan hak harta yang tersendiri. Menurut hukum Syariah, isteri mempunyai hak penuh terhadap (harta) yang diusahakan, sama ada untuk menggunakannya, memiliki sesuatu, membelanjakannya sementara suami tidak punyai sebarang berkuasa ke atas harta isterinya itu. Isteri juga tidak perlu mendapat izin suami dalam pemilikan hartanya itu dan cara beliau membelanjakannya.

2. Nafkah perkahwinan

Seorang isteri berhak menerima nafkah yang telah ditetapkan mengikut kemampuan suami bersesuaian dengan uruf yang benar juga kebiasaan masyarakat setempat yang diterima syara'. Kewajipan memberi nafkah ini tidak gugur kecuali jika berlaku nusyuz (di pihak isteri).

3. Isteri keluar bekerja

* Tanggungjawab asas bagi seorang isteri ialah mengurus keluarga, mendidik anak-anak dan memberi sepenuh perhatian terhadap generasi masa depan itu. Walaubagaimanapun, di ketika perlu, isteri berhak untuk bekerja dalam bidang yang bersesuaian dengan tabiat dan kemahirannya menurut uruf yang diiktiraf syara' dengan syarat hendaklah dia beriltizam (menjaga) hukum-hukum agama.

* Kewajipan suami memberi nafkah kepada isteri yang berkerja tidak gugur menurut Islam, selagi mana tidak berlaku ketika keluarnya isteri tersebut untuk bekerja menyebabkan berlakunya isteri 'nusyuz', tatkala itu gugur kewajipan suami memberi nafkah kepada isterinya yang nusyuz.

4. Isteri turut serta membiayai perbelanjaan keluarga

* Menurut pandangan Islam, dari awal mula lagi, isteri tidak wajib berkongsi peranan membiayai nafkah (perbelanjaan) yang diwajibkan ke atas suami. Suami juga tidak harus mewajibkan isteri membantunya (dengan bekerja).

* Kerelaan seorang isteri untuk turut berperanan membantu perbelanjaan keluarga merupakan suatu perkara dibenarkan menurut pandangan syara' demi menjayakan makna bantu-membantu dan bertolak-ansur di antara suami isteri.

* Diharuskan untuk membuat persefahaman dan persepakatan di antara suami isteri akan cara pengurusan pendapatan mereka termasuk pendapatan yang diperolehi oleh isteri.

* Jika keluarnya isteri bekerja memerlukan kos tambahan, maka isteri menanggung sendiri kos tersebut ( seperti pengangkutan dan lain-lain)

5. Kerja Sebagai Syarat

* Seorang isteri dibenarkan untuk meletakkan syarat pada akad perkahwinannya bahawa ia hendaklah dibenarkan bekerja, apabila suami redha dengan syarat itu, ia menjadi kemestian baginya untuk membenarkan (setelah kahwin). Syarat itu hendaklah dinyatakan secara jelas ketika akad.

* Suami pula harus meminta isteri meninggalkan kerjayanya walaupun sebelum ini ia membenarkannya, iaitu sekiranya meninggalkan pekerjaan itu dibuat atas tujuan kepentingan keluarga dan anak-anak.

* Tidak harus, pada pandangan syara' bagi seorang suami untuk menjadikan keizinannya kepada isteri untuk bekerja dengan syarat isteri hendaklah membantu perbelanjaan keluarga yang diwajibkan ke atas suami; tidak harus juga suami mensyaratkan isteri memberi sebahagian daripada pendapatannya kepada suami.

* Suami tidak boleh memaksa isteri untuk keluar bekerja.

6. Perkongsian isteri dalam pemilikan harta

Apabila isteri benar-benar turut menyumbang harta dan pendapatannya bagi mendapatkan dan memilki rumah, aset tetap atau sebarang projek perniagaan, ketika itu isteri mempunyai hak perkongsian pemilikan terhadap rumah atau projek tersebut mengikut kadar harta yang disumbangkannya.

7. Penyalahgunaan hak dalam bidang pekerjaan

* Sebuah perkahwinan itu mempunyai beberapa kewajiban bersama yang patut ditanggung oleh pasangan suami isteri dan ia ditentukan oleh Syariah Islam dengan jelas. Justeru hendaklah perhubungan antara suami isteri dibina adalah landasan keadilan, tolak ansur dan saling menyayangi. Sebarang tindakan yang melangkaui batasan berkenaan adalah haram pada kacamata syara'.

* Seorang suami tidak harus menyalahgunakan haknya sebagai suami untuk menghalang isteri bekerja atau memintanya meninggalkan kerjayanya sekiranya ia hanya bertujuan untuk memudaratkannya (isteri) atau diyakini tindakan itu hanya akan menyebabkan keburukan melebihi kepentingan yang diperolehi.

* Demikian juga halnya ke atas isteri (tidak harus menyalahgunakan keizinan dan hak yang diberikan), iaitu jika ia berterusan dengan kerjayanya hingga menyebabkan mudarat kepada suami dan keluarga atau melebihi maslahat yang diharapkan.

Kesimpulan UZAR

* Fitrah wanita menuntut perhatian utama mereka untuk suami, anak dan keluarga. Dan silibus kejayaan mereka adalah dalam bidang ini.

* Wanita dibenarkan bekerja jika keperluan yang disebutkan di atas benar-benar berlaku.

* Walaupun wanita dibenarkan bekerja, ia tidak bererti suami boleh duduk berehat jaga anak di rumah. Sepatutnya suami perlu meningkatkan kualiti diri untuk lebih maju ke hadapan sehingga boleh menanggung keluarga tanpa bantuan isteri.

* Suami isteri bekerja adalah diterima dalam Islam selagi mereka tahu dan bijak merancang pendidikan dan penjagaan anak-anak dan tidak digalakkan isteri berterusan bekerja tanpa sebab-sebab yang mendesak. Sekadar disandarkan oleh perasaan untuk lebih bermewah dan mudah membeli belah (sehingga menggadaikan masa depan anak dan keluarga) dengan menggunakan duit sendiri adalah tidak diterima oleh Islam.

* Menurut Syeikh Prof Dr Md 'Uqlah, tugas asasi wanita adalah amat besar iaitu sebagai penentu dan pencipta kerjaya seluruh manusia (menurut asbab kepada hukum alam).

Komen UZAR : ini kerana mereka diberikan kedudukan oleh Islam untuk mencorak segala pemimpin lelaki masa akan datang iaitu dari kecil hingga besar. Malangnya mereka tidak menganggap besar dan mulianya tugasan itu sehingga mereka mencari kerjaya di luar rumah yang menghasilkan sedikit gaji yang dicintainya. Justeru, kembalilah sebagai pencipta kejayaan lelaki dan wanita dari rumah. Ia adalah silibus kejayaan wanita dalam Islam.

Komen BawangGoreng : SERUAN kepada semua kaum wanita : Ketahui hak anda, dapatkan BUKU: Buatmu Wanita di pasaran. JANGAN benarkan diri anda teraniaya dan JANGAN biarkan pemimpin anda bergelumang dengan dosa.

Firman Allah SWT [066:6] yang bermaksud, "Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan." (Surah at-Tahriim, ayat 6)

Artikel diolah-semula dari sumber: UZAR, IKIM dan UZAR

Butiran selanjutnya ...
Related Posts with Thumbnails