“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Isnin, November 19, 2007

Katakan "Aku Cinta Padamu"


Cinta adalah permainan hati dan wujud di dalam hati. Oleh itu, bagi menzahirkan kasih sayang dan cinta, ia mesti dilafazkan melalui kata-kata, perbuatan dan kelakuan. Asas kepada penzahiran ini adalah hadis Nabi s.a.w. yang menyuruh kit memberitahu seseorang apabila kita mengasihinya. Sabda Nabi s.a.w. bermaksud: “Apabila seseorang itu kasih akan saudaranya maka beritahulah dia bahawa dia kasihkannya.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Oleh itu kasih mempunyai pelbagai bentuk; kasih kerana Allah dan agama, kasih kerana kebaikan seseorang serta akhlaknya dan sebagainya.

Dalam aspek rumahtangga, wujud kasih sayang dan cinta antara suami isteri. Ia perlu dizahirkan. Biasanya isteri lebih banyak dan pandai menzahirkannya. Suami pula biasanya kurang romantik dan kurang menzahirkannya. Walau bagaimanapun setiap pasangan harus memulakannya. Jangan hanya harap pasangan anda menzahirkannya sedangkan anda hanya diam membatu diri. Pepatah menyebut “THE MORE YOU GIVE THE MORE YOU GET”

LANGKAH MENZAHIRKAN CINTA

  1. Panggilan suami isteri. Gunakan panggilan yang baik. Isteri memanggil suami dengan perkataan ‘abang, honey, darling, sayang,’ Suami pula memanggil isteri dengan panggilan ‘honey, darling, sayang,’ atau nama manja. Nabi s.a.w. memanggil A’ishah dengan ‘Humairaa’ yang boleh diertikan ‘si merah jambu’. Elakkan panggilan ‘ayahnya, bapanya, abahnya, papa, daddy’ dan seumpamanya. Elakkan ‘maknya, mama’ dan sebagainya. Ini berlaku selepas pasangan mendapat anak. Panggilan ini kadang-kadang bukan sahaja digunakan di hadapan anak bahkan semasa pasangan berdua sahaja. Jangan jadikan panggilan ‘darling’ dan ‘sayang’ di awal perkahwinan, tetapi di akhir perkahwinan ’pinggan dibaling senduk melayang’.
  2. Bantu-membantu. Realiti kehidupan hari ini kedua-dua suami isteri bekerja. Waktu pejabat adalah dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Isteri akan bekerja semula sebagai surirumah seperti memasak, membasuh baju, mengemas rumah dan mengurus anak. Alangkah baiknya jika suami turut membantu kerja-kerja tersebut. Apabila ditanya tentang kerja Nabi s.a.w. di rumah, A’ishah berkata: “Adalah Nabi berkhidmat untuk isterinya (membantu isterinya dalam kerja-kerja rumah). Apabila terdengar azan, baginda keluar”. (Riwayat Bukhari)
  3. Saling berkomunikasi dan berhubung. Komunikasi amat penting. Berbual dan bertanya khabar adalah satu bentuk komunikasi. Penggunaan SMS dan sebagainya amat baik. Hantarlah mesej tertentu seperti jenaka, teka-teki, cerita seks yang nakal dan sebgainya. Hubungan tanpa komunikasi adalah hubungan yang hambar. Lebih banyak kita berkomunikasi lebih banyak kita memahami. Tetapi waspada...jangan terlebih berkomunikasi hingga bertukar menjadi benci.
  4. Hadiah. Hadiahkanlah sesuatu kepada pasangan anda sempena hari keramaian seperti hari ibu, hari pekerja, hari raya atau hari minggu. Hadiah akan mewujudkan kasih sayang. Berilah hadiah nescaya kamu pasti akan kasih-mengasihi. Hadiah tidak semestinya mahal. Yang penting keikhlasan dan penghargaan. Membeli bunga yang berharga RM3 pun sudah memadai.
  5. Membuat kejutan. Contohnya suami mengajak isteri makan di tempat tertentu atau sebaliknya pada waktu yang sesuai seperti hari minggu.
  6. Menjaga lidah agar tidak bercakap perkara yang tidak sesuai. Mulut murai, mulut ‘laser’ dan mulut celupar adalah perkara yang mesti dielakkan. Ada kemungkinan kata-kata akan menikam pasangan anda dan menyedihkannya. Disebut dalam hadis bahawa Nabi Muhammad s.a.w. tidak pernah bercakap perkara keji.
  7. Memberi galakan terhadap minat pasangan atau hobinya. Salah satu kaedah memberi galakan ialah menyediakan ruang untuk pasangan melakukan aktivitinya, membeli barang kegemarannya atau melibatkan diri dengan hobi tersebut. A’ishah, isteri Nabi Muhammad s.a.w. ingin melihat orang Habsyah bermain. Nabi s.a.w. bersama A’ishah dan menemaninya hingga A’ishah berasa jemu. A’ishah berkata yang bermaksud: “Aku melihat Nabi s.a.w. melindungi aku dengan kain selendangnya, sedangkan aku ketika itu sedang melihat orang Habsyah bermain di masjid hinggalah aku berasa jemu...” (Riwayat Bukhari). Jangan larang pasangan anda melakukan aktiviti kesukaannya. Ada kemungkinan pasangan anda akan menghabiskan masa yang terlalu lama hingga mengabaikan tanggungjawab atau menghabiskan wang yang banyak dengan aktivitinya. Anda boleh berbincang dengan baik bagi mengatasi tabiat buruk itu.
  8. Ucapan tanda penghargaan. Jangan lupa mengucapkan terima kasih, ucapan tahniah, ucapan takziah dan sebagainya.
  9. Menghargai pemberian pasangan. Jangan dilihat pada kualiti atau harga pemberian itu, tetapi pandanglah pada hati yang ikhlas yang menghadiahkan benda tersebut. Yang lebih penting adalah yang tersirat, bukan yang tersurat. Jaga pemberian tersebut dengan baik. Jika tiada hadiah berbentuk material, ucapan sudah memadai......

Sumber: CAKAR HARIMAU Tips Kebahagiaan Rumahtangga oleh Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood


Butiran selanjutnya ...

Jumaat, November 16, 2007

Kikis Tabiat Menjerit


Dina anak sulung saya akan menyambut ulangtahun yang ke 3 pada 25 November ini. Memang budak tengah nak membesar, banyaklah benda yg hendak dicuba, melompat sana melompat sini, usik itu ini, tak terlarang dibuatnya. Paling saya tak suka bila Dina berebut barang dengan Dania.

Puas sudah saya cuba menjadi mama yg baik utk Dina dan adik-adik. Tapi selalunya terbabas juga menjerit bila Dina tak mendengar kata. Memang mencabar betul bab-bab melayan karenah anak2.

Ada ketika, saya tanya Dina, "Kakak ni tak ada telinga ke? Mama cakap banyak kali, kakak tak nak ikut, buat-buat tak dengar je." Dan dengan muka selamba & tak bersalah, Dina jawap (sambil pegang telinga dia), "Taklah.. kakak ada telinga, ni telinga kakak." Hampeh....

Dari artikel "Mengelakkan anak dari menderhaka kepada ibubapa", saya paling ingat item no. 17. ... "Terimalah yang kadangkala anda bukanlah ibubapa yang sempurna. Ini akan mengurangkan stress menjadi ibu bapa." Yelah, nobody's perfect. Saya cuba juga control kemarahan, tapi kekadang terbabas juga. Hari ni terjumpa tips utk mengawal kemarahan.

¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤

Kikis Tabiat Menjerit
Oleh Dr Goh Chee Leong, Pakar Psikologi Pembangunan/Kognitif

Ya, anak anda kadang-kala menyusahkan, tetapi menjerit pada mereka boleh menyebabkan kemarahan, menghancurkan harga diri dan menjadikan mereka ‘si penjerit’ juga. Disini diterangkan bagaimana anda boleh mengikis tabiat ini.

Anda pening kepala dan anak anda berlari ke sana sini, menjerit sekuat hati. Anda menyuruh mereka supaya senyap sebanyak dua kali; mereka masih tidak menghiraukan anda. Jadi, anda menjerit pada mereka untuk, “Duduk dan senyaplah!!!”

Jika anda pernah menjerit pada anak anda, sudah pasti anda tahu sekarang ia tidak berguna lagi. Menjerit tidak akan memperbaiki keadaan; ia hanyalah suara yang kuat. Anak anda mungkin sudah kebal dengan jeritan anda – semakin kuat anda menjerit, mereka semakin tidak menghiraukan anda. Anda hilang suara, tekanan darah anda semakin meningkat dan rumah anda pasti menjadi tempat yang tidak aman lagi.

KEBURUKAN MENJERIT

Menjerit akan membuatkan anak anda berasa diri mereka tidak baik. Apabila anda menjerit, anda mungkin menghamburkan perkataan yang menyakitkan hati dan memberi kesan kepada harga diri anak anda. Menjerit membawa kesan yang buruk kepada kanak-kanak yang sensitif dan ini menyebabkan mereka menjadi rimas dan meragam.

BAGAIMANA CARA BERHENTI MENJERIT

• Apakah pencetus kemarahan anda?
Apakah yang menyebabkan anda menjerit? Adakah anak anda yang degil, kecuaiannya atau kerana dia tidak menghiraukan anda? Kadangkala, anda akan marah dengan setiap perkara yang tidak melibatkan anak anda. Misalnya, adakah anda tertekan selepas bekerja dengan teruk di tempat kerja atau selepas bercakap panjang lebar dengan ibu mertua anda? Ketahui pencetus kemarahan dan waktu tertekan anda untuk membantu menangani kemarahan anda dengan lebih baik.

• Berlalu dari situasi
Berehat seketika sekiranya anda berasa ingin menjerit kepada anda anak. Beri masa untuk anda bertenang dan berfikir: apakah yang anda mahu anak anda pelajari? Kemarahan akan menyebabkan anda menghukum anak anda mengikut perasaan dan bukan kerana apa yang telah dilakukannya. Ingatlah bahawa hukuman bukanlah untuk melepaskan kemarahan anda, tetapi tentang tingkah laku yang boleh diterima dan tidak diterima.

• Bercakap dengan tenang
Kembali semula kepada anak anda selepas anda bertenang. Bersikap tegas dan positif. Terangkan kepadanya sebab-sebab kelakuannya tidak diterima dan cara-cara memperbaikinya. Jelaskan dengan terperinci apa yang anda ingin anak anda lakukan. Jika dia sudah cukup besar, galakkan anak anda untuk memikirkan bagaimana dia boleh membetulkan keadaan.

PENJERIT KECIL

Ini adalah fakta: anak anda meniru apa yang anda buat. Jika anda menjerit kepada anak anda secara berterusan, dia akan membesar dengan kepercayaan jeritan adalah satu cara komunikasi yang diterima. Apabila anak anda sudah cukup besar, dia pasti akan menjerit kepada anda pula. Jadi kikis tabiat ini sekarang. Tetapi juga bukan semua jeritan itu tidak baik – jika berlaku kecemasan, respon yang terbaik adalah dengan menjerit!

Butiran selanjutnya ...

Nisfu Syaaban - Hentikan Penyebaran Hadis Palsu

Oleh ABD AL-RAZZAQ A.MUTHALIB

ADALAH sesuatu yang tidak dapat dinafikan bahawa bulan Syaaban mempunyai kelebihannya tersendiri. Namun, menggalakkan orang ramai beribadah pada bulan ini dengan disebarkan hadis-hadis palsu adalah dilarang sama sekali. Kebanyakan hadis yang disebarkan adalah mengenai malam Nisfu Syaaban serta solat dan doa yang khusus pada malam ini. Begitu juga dengan puasa sunat khusus pada hari Nisfu Syaaban.

a) Hadis tentang kelebihan menghidupkan malam Nisfu Syaaban
Tidak terdapat hadis sahih yang menyebut bahawa Nabi s.a.w. menghidupkan malam Nisfu Syaaban ini dengan amalan-amalan khusus seperti sembahyang sunat khas atau doa-doa tertentu. Malah semua hadis tersebut adalah lemah dan palsu. Di antaranya :

Hadis yang diriwayatkan daripada Ali r.a.: Apabila tiba malam Nisfu Syaaban, maka bangunlah kamu (menghidupkannya dengan ibadah) pada waktu malam dan berpuasalah kamu pada siangnya, kerana sesungguhnya Allah s.w.t. akan turun ke langit dunia pada hari ini bermula dari terbenamnya matahari dan berfirman: Adakah sesiapa yang memohon ampun daripada-Ku akan Ku ampunkannya. Adakah sesiapa yang memohon rezeki daripada-Ku, akan Ku kurniakan rezeki kepadanya. Adakah sesiapa yang sakit yang meminta penyembuhan, akan Ku sembuhkannya. Adakah sesiapa yang yang meminta daripada-Ku akan Ku berikan kepadanya, dan adakah begini, adakah begitu dan berlakulah hal ini sehingga terbitnya fajar.

Hadis ini adalah maudhu', diriwayatkan oleh Ibn Majah dan al-Baihaqi di dalam Syu'ab al-Iman. Rujuk Dhaifah al-Jami' dan Silsilah al-Dhaifah oleh al-Albani, Dhaif Ibn Majah.

Diriwayatkan daripada Ibn Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa membaca seribu kali surah al-Ikhlas dalam seratus rakaat solat pada malam Nisfu Syaaban, ia tidak keluar dari dunia (mati) sehinggalah Allah mengutuskan dalam tidurnya seratus malaikat; tiga puluh daripada mereka mengkhabarkan syurga baginya, tiga puluh lagi menyelamatkannya dari neraka, tiga puluh yang lain mengawalnya daripada melakukan kesalahan dan sepuluh lagi akan mencegah orang yang memusuhinya.

Hadis ini menurut Ibn al-Jauzi adalah Maudhu'. (Rujuk Ibn al-Jauzi, al-Maudhu'at, Dar al-Fikr, cet. 1983, 2/128). Imam al-Daruqutni pula meriwayatkan hadis ini daripada Muhamad bin Abdun bin Amir al-Samarqandi dan dia mengatakan bahawa Muhamad adalah seorang pendusta dan pembuat hadis. Pendapat ini juga sama seperti yang disebut oleh Imam al-Zahabi bahawa Muhamad bin Abdun terkenal sebagai pembuat hadis.

Diriwayatkan daripada Ja'far bin Muhammad daripada ayahnya berkata: `'Sesiapa yang membaca pada malam Nisfu Syaaban seribu kali surah al-Ikhlas dalam sepuluh rakaat, maka ia tidak akan mati sehingga Allah mengutuskan kepadanya seratus malaikat; tiga puluh menyampaikan khabar gembira syurga kepadanya, tiga puluh menyelamatkannya dari neraka, tiga puluh akan mengawalnya daripada berbuat salah dan sepuluh akan menulis mengenai musuh-musuhnya.'' Ibn al-Jauzi turut menghukum hadis ini dengan maudhu'.

Kebanyakan hadis yang menyebut tentang amalan-amalan yang khusus seperti solat, doa dan sebagainya adalah tidak sahih. Justeru, tidak ada amalan-amalan atau ibadah khusus yang disunatkan untuk dilakukan pada malam Nisfu Syaaban seperti solat tertentu yang dinamakan solat al-Alfiyah atau membaca sesuatu surah (seperti surah Yaasin) supaya dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, ditetapkan iman atau sebagainya. Jika amalan ini thabit, pasti Rasulullah s.a.w. akan mengajarkannya kepada para sahabat dan generasi selepas itu akan menyampaikannya kepada kita.

Al-Hafiz al-Iraqi berkata: `'Hadis tentang solat pada malam Nisfu Syaaban adalah maudhu', direka cipta dan disandarkan kepada Rasulullah s.a.w.'' Hal ini juga disebut oleh al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya, al-Majmu': ``Solat yang dikenali sebagai solat al-Raghaib iaitu solat sebanyak dua belas rakaat antara Maghrib dan Isyak pada malam Jumaat pertama bulan rejab dan solat sunat pada malam Nisfu Syaaban sebanyak seratus rakaat adalah dua jenis sembahyang yang bidaah (ditokok tambah dalam agama).''' (Rujuk: Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida', cetakan ke-3, Uni.Islam Madinah, hal. 14).

Syiekh Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz berkata: `'Dan di antara perkara-perkara ibadah yang direka cipta oleh manusia ialah merayakan malam Nisfu Syaaban dan berpuasa sunat khusus pada siangnya, dan tidaklah ada sebarang dalil yang mengharuskan perkara ini. Riwayat yang menyatakan tentang kelebihan amalan ini adalah dhaif dan tidak boleh berhujah dengannya. Ada pun riwayat yang menyebut tentang kelebihan solat yang khas, semuanya adalah maudhu' seperti yang telah dijelaskan oleh kebanyakan ahli ilmu.'' (Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida', hal. 11).

Ulama kontemporari masa kini, Syeikh Dr. Yusof al-Qardhawi juga menyatakan di dalam fatwanya: `'Tentang malam Nisfu Syaaban, tidak terdapat hadis-hadis yang sampai ke martabat sahih yang menyebut tentangnya, kecuali ia berada di martabat hasan di sisi sebahagian ulama, dan terdapat juga sebahagian ulama yang menolaknya dan mengatakan bahawa tidak terdapat sebarang hadis sahih tentang malam Nisfu Syaaban, sekiranya kita berpegang bahawa hadis tersebut berada di martabat hasan, maka apa yang disebut di dalam hadis tersebut ialah Nabi s.a.w. hanya berdoa dan beristighfar pada malam ini, tidak disebut sebarang doa yang khusus sempena malam ini, dan doa yang dibaca oleh sebahagian manusia di sesetengah negara, dicetak dan diedarkannya adalah doa yang tidak ada asal sumbernya (daripada hadis sahih) dan ia adalah salah.''

Beliau menambah lagi: `'Terdapat juga di sesetengah negara yang mereka berkumpul selepas solat Maghrib di masjid-masjid dan membaca surah Yaasin, kemudian solat dua rakaat dengan niat supaya dipanjangkan umur, dan dua rakaat lagi supaya tidak bergantung dengan manusia, kemudian membaca doa yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari kalangan salaf, dan ia adalah doa yang bercanggah dengan nas-nas yang sahih, juga bersalahan dari segi maknanya''. (Al-Qardhawi, Fatawa al-Muasarah (Kuwait: Dar al-Qalam, cet.5, 1990), 2/379-383)

Para ulama muktabar lain seperti Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah, Imam al-Suyuti, Abu Bakr al-Turtusyi, al-Maqdisi, Ibn Rejab dan lain-lain lagi juga menafikan wujudnya amalan ibadah yang khas pada malam Nisfu Syaaban ini. Namun, ini bukanlah bererti malam tersebut tidak mempunyai kelebihannya, bahkan terdapat hadis-hadis thabit yang menyebut akan fadilat dan kelebihannya, tetapi tidak dinyatakan tentang amalan ibadah khas yang perlu dilakukan. Maka sebarang ibadah yang dilakukan pada malam tersebut tidak boleh disandarkan dengan mana-mana hadis atau pun menganggapnya mempunyai kelebihan yang khas dan tidak juga dilakukan secara berjemaah. Hal ini telah disebut al-Imam al-Suyuti: `'Dan pada malam Nisfu Syaaban itu padanya kelebihan, dan menghidupkannya dengan ibadah adalah digalakkan, tetapi hendaklah dilakukan secara bersendirian bukan dalam bentuk berjemaah.'' (Rujuk: al-Suyuti, al-amru bi al-ittiba' wa al-nahyu an al-ibtida' (Beirut: Dar al-kutub al-Ilmiyah, cet. 1, 1998), hal 61)

b) Hadis tentang kelebihan puasa yang khas pada hari Nisfu Syaaban.
Berhubung dengan amalan puasa yang khas pada Nisfu Syaaban, tidak terdapat hadis sahih yang menjelaskan perkara ini, malah ia adalah hadis yang lemah. Tetapi jika seseorang itu berpuasa berdasarkan amalan Nabi s.a.w. yang memperbanyakkan puasanya pada bulan ini dan termasuk di dalamnya hari Nisfu Syaaban, maka ini adalah suatu amalan yang baik dan digalakkan. Begitu juga jika seseorang itu mengamalkan puasa sunat Hari Putih dan termasuk di dalamnya hari yang ke -15 pada bulan ini atau puasa sunat yang dilakukan pada hari Isnin dan Khamis. Jika puasa ini dilakukan pada Nisfu Syaaban sahaja dengan menganggap ia adalah sunah, maka inilah yang dilarang. Menurut Dr Yusof al-Qardhawi: `'Di dalam kaedah syarak, tidak dibolehkan untuk menentukan sesuatu hari khusus untuk berpuasa atau sesuatu malam yang tertentu untuk dihidupkan dengan ibadah tanpa bersandarkan kepada nas syarak kerana sesungguhnya urusan ibadah ini bukanlah urusan yang sesiapa pun berhak menentukannya, tetapi ia adalah hak Allah semata-mata'.(Rujuk: Al-Qaradhawi, Fatawa al-Muasarah, 2/343)

c) Hadis tentang amalan akan diangkat pada malam Nisfu Syaaban.

Terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa segala amalan manusia akan diangkat pada malam Nisfu Syaaban. Justeru, kebanyakan umat Islam akan menghidupkan malam ini dengan membaca surah-surah tertentu dengan niat supaya dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan ditetapkan iman. Pendapat ini adalah tidak tepat dan tidak terdapat hadis-hadis sahih yang menjelaskannya.

Demikianlah beberapa perkara yang sering dibincangkan di dalam bulan Syaaban ini. Semoga melalui beberapa hadis yang dibawa ini serta pendapat para ulama, jelaslah kepada kita tentang kedudukan hadis-hadis tersebut di sisi ulama hadis. Ketahuilah sesungguhnya segala perkara yang melibatkan soal pahala, keberkatan, fadilat dan kelebihan adalah hak milik kekal Allah s.w.t. Tidak ada seorang makhluk pun yang boleh mendakwa dan menjanjikan sebarang fadilat atau keberkatan tertentu dengan mereka-cipta amalan-amalan yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat. Marilah sekali lagi kita menyemak dan memastikan segala amalan ibadah yang kita lakukan ini bertepatan dengan sunah Rasulullah s.a.w. untuk melayakkan amalan tersebut diterima di samping diiringi dengan keikhlasan kepada Allah s.w.t. Ayuhlah kita bersama-sama membenteras kegiatan penyebaran hadis-hadis palsu dan dusta di kalangan masyarakat kita. Semoga kita semua akan mendapat pertolongan dan diberikan kekuatan oleh Allah s.w.t.

Sumber: Utusan Malaysia

Butiran selanjutnya ...

Khamis, November 15, 2007

Anggur di Malaysia?

Masa tgh cari bahan, terbaca pulak alkisah anggur ditanam di sini (Msia la)... Waaa... tak sangka... dulu masa pi rumah Wani di Saitama ada gak tgk pokok anggur org tanam kat depan rumah. Kalau di Oita, jenuh melantak anggur bila musim panas hampir berakhir. Kat sana kita panggil anggur 'budo-' (ぶどう) .... Quite funny though... silap dengar macam 'bodoh' pulak.... Sedapnya 'kyoho'!!!


¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤

Tauke anggur

Oleh NORAINON OTHMAN
norainon@hmetro.com.my



“POKOK sekarang tengah ‘togel’. Saya buang daun untuk menggalakkan ia berbunga dan berbuah,” kata pemilik nurseri, Khairil Izwan Ahmad Arshad, 30, ketika ditanya mengenai tanaman anggur yang diusahakannya.

Penjelasannya membuatkan penulis sedikit terkilan. Ini kerana ketika Ramadan lalu, penulis menghubunginya untuk meminta panduan mengenai tanaman anggur berikutan pokok anggur penulis belum berbuah biarpun ditanam sejak lebih dua tahun lalu.


Ketika menghubunginya kali pertama, penulis hanya memperkenalkan diri sebagai peminat tanaman anggur dan meminati pertanian, bukan wartawan.

Mencari info mengenai anggur di Malaysia di Internet sebelum ini, penulis tertarik dengan jaminan Khairil di http:www.agribazaar.com.my/mykhairil iaitu laman web Jabatan Pertanian untuk petani menjual produk pertanian mereka terus kepada pembeli.

Khairil memberi jaminan, anggur yang dibekalkan di nurserinya berbuah manis dan ada pelbagai jenis daripada yang berwarna hijau, kuning, merah dan hitam.

Menurutnya, sejak mengusahakan projek tanaman anggur dua tahun lalu, sudah tiga kali dia menuai hasil iaitu tahun lalu, Mac dan Julai lalu.

Ketika mengunjungi nurseri Khairil, Ai Green Enterprise di Taman Cheras Jaya, Cheras, baru-baru ini, benarlah katanya yang pokok berkenaan sedang togel. Pada batang pokok tumbuh pucuk baru berwarna coklat disertai sulur paut.

Pokok berkenaan dibiarkan menjalar pada penyokong setinggi kira-kira dua meter manakala di sudut lain, didirikan para pokok memanjat.

Di baris lain pula ada pokok yang berdaun. Malah, penulis bernasib baik kerana ada pokok yang berbuah walaupun tidak melalui proses penggalakan buah.

“Tengoklah ni. Kita tak suruh dia berbuah pun, dia mahu buah juga,” katanya sambil menunjukkan gugusan anggur serta pokok yang berbunga dan berbuah kecil.

Menurutnya, untuk menggalakkan anggur berbuah, semua daun perlu dibuang untuk membolehkan tunas baru muncul. Proses itu mengambil masa 110 hari sebelum buah dapat dituai. Cara konvensional iaitu memicit digunakan untuk mengetahui sama ada anggur berkenaan sudah boleh dipetik atau sebaliknya.

Khairil bercadang melakukan proses penggalakan anggur berbuah secara berperingkat kerana cara itu membolehkan nurserinya mempunyai anggur yang berbuah sepanjang tahun.

“Sebelum ini, saya membuang daun di semua pokok anggur dan ia berbuah serentak. Apabila habis musim menuai hasil, yang tinggal pokok anggur yang tidak berdaun dan tiada peluang untuk menunjukkan buah anggur kepada pelanggan yang datang,” katanya sebelum memberi gambar yang dirakamnya ketika memetik anggur, Julai lalu.

Anggur yang melalui proses penggalakan berbuah di nurseri anak muda itu dijangka dapat dipetik pada Disember ini atau awal tahun depan.

Di negara ini, penanaman anggur bukan lagi sesuatu yang asing kerana ia semakin banyak ditanam penduduk di taman perumahan. Mungkin ia boleh tumbuh dengan baik dan merimbun serta mencantikkan halaman rumah, namun bukan mudah untuk ‘memujuknya’ berbuah berikutan kurangnya pengetahuan mengenai penjagaan tanaman Mediterannean ini. Jika mampu berbuah pun, mungkin anggur berkenaan masam.

Untuk berkongsi pengetahuan, Nurseri Ai Green Enterprise menawarkan khidmat membekal benih pokok anggur, menjual, latihan dan khidmat nasihat anggur selain membekalkan baja organik, rawatan tanah dan kawalan serangga perosak organik.

Menurut Khairil, benih pokok anggur di Ai Green Enterprise diperoleh daripada projek tanaman anggur di Timah Tasoh, Perlis. Khairil memiliki lapan jenis anggur seperti Isabella, IAC 971, White Malaga, Black Musket, Cardinal, Probolingo, Kyoho dan Black Opol.

Anggur Isabella terbahagi kepada dua iaitu Isabella yang mempunyai rasa masam manis dan Isabella Madu yang berwarna merah kehitaman dengan rasa manis melekit, manakala IAC 971 (jenis biasa) dan IAC Perdana yang tiada biji.

White Malaga berwarna hijau dan manis, Black Musket berwarna hitam dan Cardinal berbau wangi. Probolingo berasal dari Indonesia, manakala Kyoho dari Jepun. Black Opol berwarna hitam, besar dan manis.

Pokok anggur boleh ditanam sama ada dalam pasu atau tanah. Difahamkan, ada beribu jenis anggur di dunia dan di Malaysia, ada antara tujuh hingga lapan jenis anggur yang hidup liar di hutan tetapi rasanya masam.

Khairil menanam kira-kira 100 pokok anggur dewasa di nurserinya. Anggur jenis IAC 971 dan Isabella mengambil masa tujuh bulan untuk matang dan berbuah, manakala jenis lain sehingga 18 bulan.

Anggur sesuai ditanam di tanah yang mempunyai saliran baik dan tidak boleh ditanam dalam air bergenang kerana akar akan reput dan mati. Komposisi tanah perlu seimbang supaya kadar serapan air tidak terlalu peroi seperti tanah berpasir saja.

Kandungan seimbang antara pasir dan tanah biasa adalah yang terbaik dengan percampuran 2:1:1. Oleh itu pasir juga diperlukan untuk tanaman anggur.

Kadar keasaman (Ph) tanah tanah yang terbaik adalah dalam nilai 6.0 — 7.0 kerana dalam lingkungan ini buah anggur menjadi manis. Untuk menstabilkan keasaman tanah, kapur pertanian digunakan.

Kelebihan Malaysia yang bermusim panas sepanjang tahun membolehkan pengeluaran buah anggur berbanding negara Eropah dua kali ganda banyaknya. Pokok anggur perlu disiram dua kali sekali pada musim panas dan cahaya matahari membantu menghasilkan buah yang manis, cantik dan besar.

Anak benih anggur Ai Green Enterprise dijual di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak serta Brunei. Jualan dibuat menerusi Internet di Agribazaar. Anggur hijau biasanya berbuah lebat dan manis, manakala anggur hitam atau merah ada gugusan kecil serta masam manis.

“Untuk pembeli di luar Lembah Klang, jika mereka ingin memesan anak benih, saya akan menjual keratan batang. Batang pokok akan dipotong pada waktu petang. Selepas membasahkan keratan batang itu, pesanan akan dihantar melalui pos.

“Pelanggan akan diberi panduan menanam dalam beg politena. Ada pembeli dari luar Lembah Klang mengambil kesempatan datang ke nurseri ini jika mereka menghadiri program atau majlis tertentu di sini.

“Ada pihak membeli anak benih dalam beg politena secara pukal untuk membuka ladang anggur. Kami akan memberi khidmat nasihat mengenai penanaman anggur supaya dapat menghasilkan buah.

“Jika pelanggan datang, saya akan bertanya sama ada dia tanam untuk mencantikkan rumah atau inginkan buah. Biasanya mereka mahukan kedua-duanya. Jadi, saya akan beri anak benih anggur hijau yang rasanya manis dan anggur hitam yang masam manis. Apabila berbuah, gugusan anggur berwarna warni akan mencantikkan suasana,” katanya.

Khairil yang mempunyai kerjaya tetap menjadikan nurseri sebagai kerja sambilan yang dijalankan pada hujung minggu. Apapun, dia berpuas hati aktiviti itu mampu mendatangkan pendapatan yang bagus. Selain anggur, Khairil mengusahakan tanaman cili besar dan cili padi serta tebu yang dijual kepada peniaga makanan.

Khairil turut menanam pokok mulberi yang berwarna merah kehitaman yang mempunyai rasa manis.

Dia berharap organisasi berkaitan dapat membuat kajian mengenai tanaman anggur serta menghasilkan baka yang tahan lasak. Antara penyakit yang mudah menyerang tanaman itu ialah anthracnose, karat pokok dan downy mildew.

Sumber: HMetro

Butiran selanjutnya ...

Kahwin kerana Allah


Kasih pudar tanpa agama

ALAM perkahwinan adalah fitrah semula jadi manusia, menjadi impian semua orang. Melaluinya akan terbentuk institusi keluarga dan melahirkan zuriat yang dapat meneruskan keturunan manusia.

Dalam Islam perkahwinan satu tuntutan yang perlu dipenuhi.

Sebelum ke gerbang perkahwinan, aspek pemilihan jodoh perlu diberi perhatian kerana kesilapan membuat pilihan mengakibatkan masalah kemudian hari.

Senario masa kini mendapati kebanyakan anak muda lebih gemar memilih faktor keluarga, harta benda, kecantikan dan pangkat untuk mengikat tali percintaan dan membina gerbang perkahwinan.

Secara fizikal, kriteria pemilihan jodoh tiada cacat celanya, tetapi apabila ia dijadikan keutamaan sehingga agama diketepikan, maka ia satu kesilapan besar kerana boleh menyebabkan kemanisan alam perkahwinan menjadi pudar dan akhirnya berlaku perpisahan.

Pakar motivasi, Ahmad Shukri Yusof, berkata kesilapan besar bagi pasangan yang ingin berkahwin tidak meletakkan agama sebagai keutamaan dalam membuat pilihan jodoh mereka.

Menurutnya, kesilapan itu juga mengakibatkan hubungan suami isteri tidak bertahan lama, malah berlaku pelbagai kejadian tidak diingini.

“Kriteria Nabi Muhammad s.a.w sebut walaupun sudah lama, ia masih relevan. Agama perlu menjadi asas memilih jodoh supaya perkahwinan dan kebahgiaan yang dibina bertahan hingga ke penghujung nyawa.

“Jika betul-betul berasaskan kriteria yang disebut nabi, tiada timbul pelbagai perasaan dalam alam rumah tangga, seperti ragu-ragu atau takut tidak berasas,” katanya.

Islam menggariskan beberapa panduan kepada umatnya memilih jodoh, seperti mengutamakan lelaki atau wanita beragama dan berakhlak, sebagaimana sabda nabi bermaksud:

“Apabila datang kepada kamu seorang yang kamu puas hati dari sudut agama dan akhlaknya, maka kamu kahwinkan anak kamu dengannya segera. Jika kamu tidak berbuat demikian, nescaya timbul fitnah di muka bumi ini dan kerosakan yang akan ditempuhnya nanti.” (Riwayat Abu Hurairah)

Umat Islam juga perlu mengelak memilih jodoh dari kalangan lelaki atau wanita fasik.

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang mengahwinkan anak perempuannya dengan lelaki fasik maka sebenarnya dia telah memutuskan silaturahim dengan anaknya.”

Selain itu, kita dianjurkan memilih jodoh dari kalangan yang sihat, bebas dari penyakit yang dibimbangi mengganggu tugas sebagai suami atau isteri.

Pasangan itu pula biarlah sepadan bagi mengelak keaiban pada beberapa perkara tertentu dan untuk mencapai persamaan dalam bidang sosial, sekali gus menjamin kesejahteraan hidup suami isteri, tanpa ada yang berkecil hati atau rendah diri.

Walaupun aspek itu bukannya syarat sah perkahwinan dan tidak dipersoalkan ketika majlis ijab dan kabul, namun ia mempunyai pengaruh besar terhadap hubungan suami isteri.

Ahmad Shukri turut mengingatkan anak muda supaya tidak mudah terpedaya dengan istilah cinta, seperti cinta pandang pertama kerana ia tidak boleh dijadikan asas dalam memilih jodoh.

“Cinta hanya sementara, malah cinta itu buta. Jika cinta tidak berteraskan anjuran agama, ia boleh pudar sedangkan mahligai yang mahu dibina seboleh-bolehnya berpanjangan,” katanya.

Beliau berkata, golongan muda perlu menilai dan memahami perkara ini supaya cinta yang selalunya bersemi sebelum perkahwinan tidak menjerat diri pada kemudian hari.

“Tidak sukar memilih pasangan mengikut garis panduan terbabit.

“Pelbagai cara boleh dilakukan untuk menentukan calon pasangan anda beragama dan berakhlak seperti bertanya orang lain termasuk saudara, kawan, malah melihat tindak tanduknya.

“Ini bukan bermakna Islam menolak calon berharta, berkedudukan dan cantik malah ciri ini juga penting kerana sudah menjadi sifat semulajadi manusia suka kepada kecantikan.

“Cuma, apa yang penting dahulukan agama. Jika sudah beragama, cantik dan kaya raya, itu tentu pilihan yang baik,” katanya.

Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my


Butiran selanjutnya ...

Usah ungkit kisah silam


Assalamualaikum warahmatullah,

DALAM mengemudi rumah tangga ke arah kebahagiaan hakiki, peranan penting suami dan isteri dalam mewujudkan kasih sayang serta keharmonian seharusnya menjadi keutamaan. Bukan semua rumahtangga yang didirikan tidak pernah ‘bergegar’.

Kebanyakan mereka yang bahagia mungkin pernah melalui suka duka dalam rumahtangga bahkan pernah melalui saat yang teramat sukar. Namun, kebijaksanaan menanganinya menjadikan ia bagaikan syurga buat suami dan isteri serta tempat anak-anak berlindung yang mendamaikan.

Oleh itu, berazamlah menjadi pasangan terbaik untuk pasangan anda. Jika anda mampu melakukannya, sudah pasti kebahagiaan menjadi ganjaran yang tidak ternilai harganya.

1 - Jadi pasangan realistik bukan hipokrit

Terimalah kenyataan mengenai diri anda dan pasangan seadanya. Jangan hidup dalam kepura-puraan, hiduplah dalam dunia realistik. Jangan mengharap pasangan anda terlalu sempurna dan jangan sesekali menyamakan pasangan anda dengan orang lain semata-mata untuk mengambil hatinya.

2 - Berterus terang dengan pasangan

Awas! Jangan suka menilai atau membuat tanggapan sendiri mengenai diri dan perasaan pasangan anda. Sebaik-baiknya cuba selami hati dan perasaan pasangan anda.

Amalkan sikap berterus-terang antara satu sama lain dan jangan suka memendam perasaan. Sebaliknya, anda perlu menunjukkan perasaan sebenar anda untuk kebahagiaan bersama.

3 - Lakukan segala-galanya bersama

Menjalani kehidupan bersama pasangan pastinya lebih bermakna jika anda berdua sering menghabiskan masa gembira dan duka bersama-sama. Oleh itu bermula hari ini, cuba ubah kebiasaan hidup anda.

Pastikan anda melakukan segala aktiviti bersama pasangan untuk mengeratkan kemesraan dan menambahkan lagi kefahaman antara satu sama lain. Jika pasangan anda gemar menonton teater, jangan biarkan si dia pergi bersendirian.

Jika si dia gemar membeli-belah, jangan biarkan si dia menghabiskan masa gembiranya bersama teman-teman atau anak-anak. Sertai pasangan anda dan cuba cintai aktiviti kegemarannya atau setidak-tidaknya cuba tunjukkan sokongan anda yang tidak berbelah bahagi.

4 - Faham memahami dan bertolak ansur

Sikap faham memahami dan bertolak-ansur amat penting dalam sesebuah ikatan suami isteri. Tanpa dua ciri penting ini, sudah pasti ikatan suami isteri mudah goyah kerana hubungan antara suami isteri sentiasa dibelenggu kemarahan, rasa tidak puas hati dan dendam yang tidak sudah.

Terimalah kelemahan dan kekurangan pasangan anda. Jangan terlalu mementingkan diri sendiri sebaliknya fikirkan juga kepentingan dan kebahagiaan pasangan anda. Jika pasangan anda bahagia sudah pasti anda juga turut menerima tempias kebahagiaannya.

5 - Tunjukkan cinta buat si dia

Belikan minyak wangi, jam tangan, bunga atau coklat untuk si dia. Atau sesekali masak hidangan istimewa buat pasangan anda untuk menunjukkan cinta dan kasih sayang mendalam anda terhadapnya.

Anda tidak perlu menunggu hari tertentu seperti hari lahir atau ulang tahun perkahwinan untuk melakukan kejutan buat pasangan anda kerana dengan cara sebegini pasangan anda pasti akan merasa terharu dan disayangi.

6 - Hormat antara satu sama lain

Berhenti daripada tabiat menyindir pasangan anda. Usah memperkecilkan gaya rambut isteri anda semata-mata untuk menyakitkan hati dan perasaannya atau hanya bermaksud untuk mengusiknya.

Sebelum berkata sesuatu, tanya diri sendiri sama ada pasangan anda dapat menerima kata-kata anda dengan hati terbuka atau sebaliknya. Belajarlah menghormati pasangan anda dengan menerima segala kelemahan dan kekurangannya serta tidak menjadikannya satu bahan jenaka mahupun sindiran.

7 - Lupakan peristiwa lalu

Jangan suka mengungkit masa silam pasangan anda. Jangan sesekali bercerita keseronokan kisah cinta anda dengan bekas kekasih lama. Sikap anda hanya akan mengguris perasaan pasangan dan ia boleh menyebabkan kekeliruan.

Mungkin pasangan anda beranggapan anda masih menjalinkan hubungan dengan bekas kekasih atau lebih teruk si dia menganggap anda cuba untuk menyambung kembali hubungan yang terputus.

8 - Buang sikap cemburu

Cemburu memang perlu dalam sesebuah perhubungan, tetapi jika keterlaluan ia akan menyusahkan pasangan dan akan menghancurkan sesebuah rumah tangga.

Kalau anda sering menyelongkar barang milik pasangan, mencuri baca diari atau pesanan ringkas telefon bimbit pasangan, anda perlu hentikan segera tabiat buruk ini. Ingatlah sikap cemburu buta boleh meracuni kebahagiaan rumah tangga anda berdua. Beri kepercayaan penuh kepada pasangan anda dan sentiasa berfikiran positif.

9 - Tunjukkan komitmen anda pada pasangan

Pastikan pasangan anda menjadi keutamaan dalam hidup anda. Jangan sesekali mengecewakan pasangan anda dalam apa jua situasi. Cuba tunjukkan komitmen anda terhadap pasangan dan pastikan sentiasa berada di sisinya di saat si dia berada di dalam kesusahan mahupun kesenangan.

10 - Jujur

Kejujuran mampu mewujudkan keharmonian dalam sesebuah rumah tangga. Bercakap benar lebih baik daripada membohongi perasaan pasangan anda semata-mata untuk menyedapkan hatinya.

Jika anda membohongi pasangan anda, keseronokan yang dirasainya hanyalah sementara sebaliknya apabila tembelang anda pecah, pasangan anda akan menderita seumur hidupnya. Anda perlu jujur pada diri anda terlebih dulu dan seterusnya anda juga perlu jujur terhadap pasangan anda.



Sumber: HMetro

Butiran selanjutnya ...

Rabu, November 14, 2007

Kesihatan - Elak rahim jatuh

RAHIM yang jatuh dikeluarkan dari faraj melalui pembedahan histerektomi.

JATUH organ peranakan (JOP) adalah satu perkara yang biasa berlaku di kalangan kaum wanita. Dianggarkan, hampir separuh daripada mereka yang pernah melahirkan anak akan mengalaminya di kemudian hari.

Namun begitu ramai yang enggan berjumpa doktor atas alasan malu, ditambah dengan keadaan JOP itu sendiri yang tidak mengganggu kehidupan hariannya.

Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Kampung Baru Medical Centre (KBMC), Kuala Lumpur, Dr. Rosilawati Abd. Ghani berkata, JOP berlaku dalam keadaan di mana ligamen dan otot-otot di pelvis (pinggul) menjadi lemah atau rosak dan tidak boleh lagi menampung organ pada bahagian itu.

‘‘Apabila ini berlaku, rahim akan jatuh keluar faraj, pundi kencing akan menonjol ke dinding faraj dan usus besar menonjol arah belakang faraj.

“Walaupun tidak sampai mengancam nyawa tetapi ia mendatangkan ketidakselesaan dan penderitaan emosi. Kadang- kadang seseorang itu boleh mendapat lebih dari sejenis JOP,’’ katanya.

Jenis-jenis JOP

Bahagian atas/bumbung faraj

Sekiranya bahagian atas yang terlibat, maka rahim akan jatuh ke bahagian faraj (uterine prolapsed).

* Gred 1: Rahim terturun sedikit. Kebanyakan wanita mungkin tidak menyedarinya. Selalunya keadaan ini hanya diketahui apabila pemeriksaan dijalankan oleh doktor atas tujuan lain seperti pap smear

* Gred 2: Rahim jatuh lebih jauh ke bawah dan pangkal rahim boleh dilihat di muka pintu faraj

* Gred 3: Hampir keseluruhan rahim jatuh terkeluar dari faraj.

Bahagian hadapan

Pundi air kencing jatuh ke dalam faraj (sistosele). Ia akan menolak dinding faraj ke hadapan yang menonjol seperti satu benjolan.

Kebiasaannya pundi dan salur kencing akan jatuh sekali (Cystourethrocele) dan paling biasa terjadi di kalangan wanita.

Bahagian belakang faraj

“Sebahagian dari usus kecil yang mengisi ruang antara rahim dan faraj boleh jatuh di kawasan antara faraj dan bahagian akhir usus besar (rektum). Keadaan ini dipanggil enterosele.

“Jika rektum pula yang jatuh, ia akan membentuk satu benjolan di belakang faraj berhampiran dengan dubur. Ini dipanggil rektosele,’’ terang Dr. Rosilawati.

Kemungkinan besar, kedua-dua keadaan ini boleh berlaku serentak dan harus diperiksa secara menyeluruh. Ini amat penting kerana jika tidak didiagnosis, boleh meningkatkan kesengsaraan pesakit lebih-lebih lagi selepas pembedahan.

Menurutnya, ada lagi satu keadaan dipanggil vault prolapse yang berlaku selepas pembedahan histerektomi atas apa jua masalah.

“Ini mungkin mengambil masa untuk berlaku setelah sokongan oleh otot-otot keliling dan bekas jahitan pada faraj menjadi lemah lalu jatuh ke bawah.

“Ia terjadi pada 15 peratus wanita yang menjalani pembedahan histerektomi disebabkan oleh JOP dan hanya satu peratus atas alasan lain seperti fibroid,’’ ujar beliau.

Punca-punca JOP

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan otot dan ligamen pelvis menjadi lemah, antaranya kehamilan dan bersalin; usia dan menopaus; obesiti; ketumbuhan seperti fibroid yang besar dan; batuk atau sembelit kronik.

Lain-lain termasuklah mengangkat bebanan yang berat; keturunan seperti Sindrom Marfan dan etnik; menjalani pembedahan pelvis seperti histerektomi, pembetulan pundi kencing dan; kerosakan atau kecederaan pada saraf tunjang.

Simptom dan diagnosis

Wanita yang mengalami masalah JOP yang sedikit, kata Dr. Rosilawati, ada kalanya tidak berasa sebarang simptom atau ketidakselesaan.

“Sekiranya pundi kencing yang jatuh, ia mungkin mengakibatkan wanita sukar mengawal kencing, kerap kencing atau kencing tidak puas.

“Apabila usus kecil atau besar yang jatuh, ia mungkin mengakibatkan sembelit, rasa tidak puas buang air besar sehingga kadangkala terpaksa memasukkan jari untuk mengeluarkan najis.’’

Jatuh organ rahim pula menyebabkan wanita berasa ada benda berat di celah alat sulitnya. Dalam keadaan yang teruk di mana rahim jatuh keseluruhannya, boleh menyebabkan luka, berdarah dan jangkitan kuman.

Pencegahan

* Elakkan berdiri terlalu lama. Ambil masa untuk duduk seketika dan melunjurkan kaki ke atas bangku. Ini selalu berlaku pada jururawat, guru, doktor dan juga mereka yang selalu ke kawasan kerja seperti jurutera

* Melakukan senaman pelvik adalah amat penting walaupun di zaman bujang lagi. Ia menguatkan otot-otot dalaman, membantu mempercepatkan proses pemulihan pascasurgeri, mendapatkan semula rasa mengawal kencing dan mengurangkan sakit belakang

* Amalkan pemakanan yang betul bagi mengelakkan sembelit kronik. Banyakkan makan sayur-sayuran, buah- buahan dan bijirin/bran. Elakkan dari meneran di bilik air lebih 15 minit. Puas atau tidak, sila keluar dari bilik air

* Memakai girdle/sut pelangsingan badan yang sesuai boleh membantu tetapi bukan korset yang amat ketat

* Jangan merokok dan jauhkan diri daripada perokok bagi menghindari batuk yang kronik

* Elakkan mengandung yang kerap dan rapat. Cubalah kaedah-kaedah perancang keluarga yang mempunyai peratus kejayaan tinggi.

Rawatan

Dr. Rosilawati berkata, sekiranya JOP masih di peringkat awal, pesakit akan dirujuk kepada pakar fisioterapi untuk mengajar teknik senaman pelvik.

‘‘Selain itu, pesari faraj iaitu alat berupa gelang/donut yang terdapat dalam beberapa saiz boleh digunakan untuk mengekang rahim dari jatuh.

“Ia boleh digunakan oleh wanita dari segala peringkat usia reproduktif atau yang menopaus, yang tidak boleh atau tidak memilih cara pembedahan,’’ jelasnya.

Mengulas lanjut, ini mungkin disebabkan wanita itu muda dan masih mahu mengandung dan melahirkan anak atau wanita berusia yang tidak sihat untuk menjalani pembedahan.

Cuma, ia perlu diganti setiap tiga atau empat bulan dan pesakit hendaklah berjumpa pakar sakit puan untuk memasang dan menukarnya.

Secara amnya, setiap rawatan individu adalah bergantung kepada pelbagai sebab seperti usia, simptom, jenis JOP, perancangan reproduktif dan seksual, tahap kesihatan serta kesannya terhadap kehidupan wanita itu.

Rawatan pembedahan

Merupakan pilihan terakhir setelah segalanya dilakukan. Anterior repair-colporrhaphy adalah pembedahan yang dilakukan dari bahagian hadapan faraj tanpa melibatkan insisi/belah di bahagian abdomen/perut.

Dr. Rosilawati memberitahu: “Ia digunakan untuk membetulkan pundi kencing yang sudah jatuh. Selalunya bius sepenuhnya atau bius separuh digunakan.

“Komplikasi yang mungkin berlaku (tetapi jarang) adalah sakit ketika melakukan hubungan kelamin, pundi kencing yang terlalu sensitif ataupun sukar membuang air kecil.’’

Begitu juga dengan posterior repair yang melibatkan pembedahan dari belakang faraj dengan komplikasi yang lebih kurang sama dengan anterior repair. Selain itu, terdapat teknik baru menggunakan pita khas tetapi agak mahal.

“Rawatan pembedahan untuk rahim yang jatuh adalah dengan cara mengeluarkan rahim dari faraj dipanggil histerektomi faraj.

“Selalu juga, ketiga-tiga prosedur tersebut dilakukan serentak kerana JOP melibatkan bahagian hadapan, belakang dan rahim sekali gus,’’ katanya sambil menambah, salah satu komplikasi yang boleh berlaku adalah vault prolapse yang mana pembedahan untuk mengatasi masalah ini lebih merumitkan.

Pascapembedahan

Kebiasaannya, mereka yang pernah mengalami pembedahan melalui faraj akan melalui prosedur pembedahan yang singkat, kurang memerlukan ubat tahan sakit, mengalami pemulihan cepat dan memulakan hidup seperti biasa.

Walaupun begitu, histerektomi mengambil masa tiga bulan untuk pulih sepenuhnya. “Hubungan seks boleh dimulakan kembali enam minggu lepas pembedahan. Usah risau, ia tidak akan mengganggu kehidupan seks normal.

“Yang penting, janganlah malu untuk berjumpa doktor dan menceritakan tentang segala masalah alat sulit yang dihidapi,’’ pesan Dr. Rosilawati. Lakukan pemeriksaan tahunan dan pap smear sebagaimana jadual yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan.

Kesimpulannya, rawatan dalam bentuk pembedahan atau bukan banyak bergantung kepada wanita itu sendiri, keseriusan masalahnya serta aspirasi masa depan reproduktif dan seksualnya.

Sumber: UtusanOnLine - 14/01/2007


Butiran selanjutnya ...

Sunnah-sunnah yang berkaitan dengan keluar masuk rumah

Oleh Syaikh Khalid al Husainan

Imam An-Nawawy berkata : Sangat dianjurkan untuk mengucapkan bismillah dan memperbanyakkan dzikir kepada Allah dan kemudian memberi salam.

(1) Dzikir kepada Allah.
Dzikir kepada Allah ketika masuk rumah berdasarkan hadits Rasulullah Shallallahu `alaihi wa sallam.

"Ertinya : Apabila seorang memasuki rumahnya kemudian dzikir kepada Allah ketika akan masuk dan ketika akan makan, maka syaitan berkata : "Aku tidak akan bermalam di tempat kalian dan tidak akan makan malam"~HR. Muslim no. 2018.

(2) Mengucapkan Doa Masuk Rumah.
Berdasarkan hadits Nabi Shallallahu `alaihi wa sallam.

اللهم إني أسألك خير المولج وخير المخرج بسم الله ولجنا وبسم الله خرجنا وعلى الله ربنا توكلنا

"Allahumma innii as-aluka khairan al-mawlaji wa khaira al-makhraji bismillah wa lajna wa bismillahi kharajnaa wa `alaa rabbinaa tawakkalnaa"

"Ertinya : Ya, Allah sesungguhnya aku memohon kepada Mu kebaikan ketika masuk dan kebaikan ketika keluar. Dengan menyebut nama Allah kami masuk dan kami keluar. Dan hanya kepada Rabb kami, kami bertawakal"

Kemudian dia memberi salam kepada keluarganya (di rumah)"~ HR Abu Dawud.(1)

Sehingga kita merasa hanya bertawakal kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala ketika masuk dan keluar rumah. Dengan demikian, terjadilah hubungan yang terus menerus antara hamba dengan Allah.

(3) Bersiwak (Menggosok gigi)

"Ertinya : Rasulullah Shallallahu `alaihi wa sallam apabila masuk ke rumahnya beliau memulai dengan bersiwak (menggosok gigi)"~HR. Muslim no. 253.

(4) Mengucapkan Salam
Berdasarkan firman Allah Ta'ala.

"Ertinya : Maka apabila kamu memasuki (suatu rumah dari) rumah-rumah (ini) hendaklah kamu memberi salam kepada dirimu sendiri, salam yang ditetapkan dari sisi Allah, yang diberi berkat lagi baik. ~An-Nuur: 61.

Maka jika seseorang hendak memasuki rumahnya setiap kali selesai mengerjakan shalat fardhu di masjid kemudian menjalankan sunnah-sunnah tersebut maka jumlah keseluruhan sunnah tersebut dalam sehari semalam berjumlah 20 sunnah.

Sedangkan ketika keluar dari rumah maka merupakan sunnah untuk mengucapkan :

بسم الله توكلت على الله لا حول ولاقوة إلا بالله

"Bismillahi tawakkaltu `alallah, la haula wa la quwwata illa billah."

Ertinya : "Dengan menyebut nama Allah, aku bertawakkal kepada Allah, tiada daya dan kekuatan kecuali dengan (pertolongan) Allah"

Dikatakan ketika itu : Engkau telah dicukupi, dipelihara, diberi petunjuk dan kemudian syaitanpun menjauhimu~HR. Abu Dawud no. 5095, At-Tirmidzi no. 3426.

Seorang muslim dalam kehidupan sehariannya berulang kali keluar dari rumahnya, seperti keluar untuk sholat di masjid, keluar untuk kerja, memenuhi keperluan rumah tangga. Maka setiap kali keluar rumah hendaklah mengikuti sunnah ini maka akan mendapatkan kebaikan yang sangat agung dan pahala yang besar.

Faedah Mengikuti Sunnah Tersebut Ketika Keluar Dari Rumah :

(1) Seorang hamba akan mendapatkan perlindungan daripada apa-apa yang membuat cemas/khuatir dari urusan dunia dan akhiratnya.

(2) Seorang hamba akan mendapatkan perlindungan dari setiap kejahatan dan apa-apa yang dibenci baik berasal dari jin maupun manusia

(3) Seorang hamba akan mendapatkan hidayah. Dan hidayah itu lawan dari kesesatan.

Maka semoga Allah memberikan petunjuk kepadamu di seluruh aktivitimu baik yang sifatnya keagamaan maupun keduniawian.

(Disalin dari kitab Aktsaru Min Alfi Sunnatin Fil Yaum Wal Lailah, edisi Indonesia Lebih Dari 1000 Amalan Sunnah Dalam Sehari Semalam, Penulis Khalid Al-Husainan, Penerjemah Zaki Rachmawan)
_________
Foote Note
(1) HR Abu Daud no, 5096. Hadits ini Dhaif. Al-Hafidz Al-Mundziri berkata : "Di dalam sanadnya terdapat Muhammad bin Ismail bin Iyasy, terdapat perbincangan tentang dia dan ayahnya. –ed
http://soaljawab.wordpress.com/2007/05/22/sunnah-sunnah-yang-berkaitan-dengan-keluar-masuk-rumah/

Butiran selanjutnya ...

Selasa, November 13, 2007

Doa pelembut hati mampu tangani anak nakal


Bagaimana nak menangani anak yang nakal? Dalam menyelesai atau meringankan bebanan masalah, perkara paling utama ialah meminta pertolongan daripada Allah. Tenangkan fikiran, lapangkan dada dan tarik nafas perlahan-lahan.

Kita juga perlu ada satu mindset untuk berubah. Tentu jika tiada apa yang berubah dalam tindakan menanganinya, keadaan tidak akan berubah dan masalah akan bertambah lagi. Pasti perlu ada perubahan selepas berbincang dengan suami.

Ketiga, perlu ada perbincangan dua hala dalam suasana bertenang dan bersifat objektif serta mempunyai matlamat untuk mencapai satu keadaan 'menang-menang'.

Perbincangan semata-mata untuk mencari penyelesaian tanpa membabitkan emosi dan kepentingan diri.

Begitu juga penelitian ke mana wang yang ada dibelanjakan dengan terperinci. Dengan ini mungkin akan lebih jelas apa akan berlaku jika puan berhenti kerja buat seketika sehingga masalah perangai anak sulung dapat ditangani dengan baik dan perubahan positif berhasil.

Jika memutuskan masih perlu bekerja, maka mungkin puan perlu dapatkan cara lain seperti balik kerja lebih awal untuk memberikan 'masa kualiti' yang lebih kepada anak.

Dalam pada itu pengurusan masa yang efektif ketika di pejabat perlu diperhalusi kerana kerja di pejabat tidak akan pernah habis!

Keenam, puan dan suami perlu berperanan dalam mengubahkan perangainya. Anak ini perlu didisiplinkan.

Untuk mendisiplinkannya puan perlu memberitahu kepadanya, perbuatan dan perangai bagaimana yang tidak boleh diterima dan apa denda jika dia lakukannya.

Berpakatlah dengan suami untuk bertindak sama, jangan puan buat lain, suami pula bertindak cara lain. Nanti anak puan akan keliru.

Cuba mendisiplinkan anak dengan tegas, konsisten dan lembut serta penuh dengan sifat rahmah. Perlu banyak bersabar.

Jangan lupa berdoa dan munajat untuk anak dalam solat. Doanya: "Rabbana hab lana min azwajina wa zurriyatina qurrata a'ayun, wajaalna lill mutaqiina imama." Maksudnya: "Ya Tuhan kami berikanlah kepada kami pasangan dan anak-anak (zuriat) yang menjadi penyejuk mata dan jadikanlah kami pemimpin kepada orang yang bertakwa."

Sebenarnya untuk menangani masalah ini, puan dan suami perlu lakukan transformasi dalam mindset dan tindakan.

Jika semua usaha ini tidak berhasil, puan perlu membawa anak ini berjumpa pakar untuk merawatnya.

Pelbagai rawatan boleh dipilih sama ada dari pakar psikologi kanak-kanak, kaedah rawatan energy healing, homeopati, perubahan cara pemakanan dan mengamalkan banyak doa pelembut hati.

Jangan tawakal dengan usaha fizikal dan mental saja, usaha spiritual juga perlu. Tawakal semestinya kepada kekuasaan Allah dengan memohon pertolongan daripadanya sepanjang masa.

DOA DISIPLINKAN ANAK
''Rabbana hab lana min azwajina wa zurriyatina qurrata a'ayun, wajaalna lill mutaqiina imama"

Maksudnya: "Ya Tuhan kami berikanlah kepada kami pasangan dan anak-anak (zuriat) yang menjadi penyejuk mata dan jadikanlah kami pemimpin kepada orang yang bertakwa"



Butiran selanjutnya ...

Adakah Cadar Anak Anda Basah Lagi?


Oleh Prof Madya Dr Kanahes Yoganathan, Pakar Perunding Pediatrik

Kencing malam boleh menjadi sesuatu yang mengecewakan dan memalukan. Ikut langkah-langkah ini untuk membantu memastikan cadar anak anda kering setiap pagi.

Kanak-kanak tidak akan kencing malam dengan sengaja, atau disebabkan mereka berasa sakit hati atau sekadar untuk menyusahkan ibu bapa mereka. Perkembangan setiap kanak-kanak adalah berbeza, begitu juga dengan kebolehan mengawal sistem perkumuhan mereka. Kencing malam adalah perkara biasa di kalangan kanak-kanak yang berumur lima tahun ke bawah.

Jika kencing malam masih lagi berlaku selepas usia ini, keadaan ini mungkin disebabkan oleh beberapa perkara; anak tidur dengan nyenyak, anak anda mungkin tidak bangun atas rangsangan pundi kencing yang sudah penuh; anak anda mungkin mempunyai kapasiti pundi kencing yang kecil; atau anak anda mungkin menghasilkan air kencing yang banyak pada waktu malam. Dalam kebanyakan kes, tiada penyebab yang jelas mengapa berlakunya kencing malam. Kebanyakan kanak-kanak akan meninggalkan tabiat kencing malam apabila mereka membesar; oleh itu janganlah anda bimbang. Sebaliknya, ambil langkah-langkah berikut:

Jangan menghukum, mencemuh atau mengusik kerana ini boleh menjejaskan mental kanak-kanak bagi jangka masa yang panjang dan berkekalan.

Tetapkan matlamat yang betul.
Latih anak anda supaya ia bangun ke bilik air waktu malam. Mendukung anak anda ke tandas walaupun anak anda dalam keadaan separuh terjaga hanya akan memburukkan masalah ini (begitu juga dengan
menggunakan lampin secara berterusan). Permudahkan anak anda. Pastikan lokasi bilik mandi anak anda dekat dan mudah dituju.
Lampu malam
juga dapat membantu.

Tidak memberi air secara berlebihan. Minum dengan banyak pada waktu siang akan melatih pundi kencing menahan air kencing dalam jumlah yang banyak.
Bagaimanapun, kawal jumlah air yang anak anda minum selepas makan malam. Elakkan minuman yang berkafein (cth: teh, kopi, kola dan coklat) kerana makanan ini merangsang pengeluaran air kencing.

Elakkan sembelit kerana ia mengurangkan jumlah air kencing yang mampu ditampung dengan selesa oleh pundi kencing. Beri anak anda sayur-sayuran, buah-buahan, bijirin-bijirin dan cecair dengan banyak, dan galakkannya bersenam.

Galakkan anak anda memikul tanggungjawab sebanyak mungkin (cth: Menukar cadarnya sendiri apabila dia cukup besar untuk melakukannya). Ingatkan anak anda untuk membuang air kecil sebelum tidur. Notis bertulis juga dapat membantu.

Simpan rekod basah dan kering.
Pada setiap malam, rekodkan sama ada dia kencing malam atau tidak untuk mengukur kemajuan anak anda. Beri ganjaran untuk malammalam yang 'kering' dengan pujian atau upah.

Bersabar, penyayang & beri galakan.
Untuk mendapat malammalam yang kering akan mengambil masa.

BILAKAH IA MENJADI MASALAH SEBENAR?

Pada tahun 2001, satu kajian yang dikendalikan di atas kanak-kanak sekolah rendah di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya telah mendapati bahawa sembilan peratus daripada kanak-kanak berumur 7 tahun dan dua peratus daripada kanakkanak berumur 12 tahun masih kencing pada waktu malam. Kanak-kanak yang lebih tua dan kencing lebih daripada tiga malam dalam seminggu berkemungkinan sukar untuk mengatasi tabiat ini.

Jika kencing malam berlarutan sehingga berumur lebih dari tujuh tahun atau jika ia memberi tekanan kepada anak atau keluarga, dapatkan bantuan profesional. Sejumlah kecil kanak-kanak yang mengalami kencing malam mungkin disebabkan oleh jangkitan salur kencing, menghidap diabetes, kecacatan neurologi atau mengalami kerencatan perkembangan.

Butiran selanjutnya ...

Selamat Tinggal Lampin

Oleh Dr Yong Junina Fadzil, Pakar Perunding Pediatrik

Bagaimana dan bila masanya untuk melatih anak menggunakan tandas.

Tidak perlu dipersoalkan lagi bahawa bayi sememangnya comel, daripada pipi mereka yang montel hingga ke jari-jarinya yang kecil. Apabila anda melihat tumbesaran yang pantas pada bayi anda yang berumur tiga bulan, anda mungkin teringin agar ianya kekal lebih lama sedikit sebagai bayi-tetapi hanya jika anda tidak perlu menukar lampinnya buat masa yang lebih lama lagi! Ini adalah satusatunya perkara yang ibu bapa sebulat suara ingin mengatasi dengan lebih awal lagi, supaya bebas daripada kotoran najis bayi dan kebosanan kerana kerap menukar lampin. Ini tidak termasuk kos lampin pakai buang yang semakin meningkat.

Bila masanya untuk mula melatih anak anda menggunakan tandas

Tidak ada umur yang tertentu untuk melatih anak menggunakan tandas. Sesetengah budaya memulakannya pada peringkat umur yang sangat awal, terdapat juga yang bermula seawal-awal beberapa minggu selepas lahir. Untuk kebanyakan orang, terutamanya di Barat, melatih anak menggunakan tandas biasanya bermula apabila anak itu menunjukkan tanda-tanda bahawa dia sudah bersedia. Ini mungkin pada bila-bila masa di antara 18 bulan dan tiga tahun.

Bagaimana saya tahu bahawa anak saya sudah bersedia untuk dilatih tandas?

Anda boleh mula melatih anak anda menggunakan tandas sebaik sahaja dia mampu duduk di atas bekas. Ini boleh dilakukan pada waktu mandi. Jika dia sudah bersedia, dia akan ingin duduk di atas tandas sehinggalah dia dapat mengeluarkan air kencing; sebaliknya, dia mungkin juga akan duduk beberapa saat sahaja, ataupun tidak ingin duduk langsung. Sekiranya dia tidak menunjukkan minat untuk duduk diatas tandas, usahlah memaksa; sebaliknya cuba sekali lagi pada hari lain.

Tanda-tanda sudah bersedia termasuk:

  • Kebolehan untuk memberitahu bahawa dia telah mengotorkan lampinnya. Secara umum, kanakkanak belajar untuk membuang air besar di dalam tandas sebelum membuang air kecil. Lagi memudahkan ialah jika mereka adalah jenis yang tidak tahan dengan bau busuk dan najis di dalam lampin mereka.
  • Perubahan raut muka, terutamanya sebelum buang air besar. Ini membolehkan anda melatih dia duduk di tandas dengan lebih awal lagi.
  • Kebolehan untuk mengekalkan lampin kering selama beberapa jam. Ini menunjukkan pundi kencing dapat dikawal dengan lebih baik dan membolehkan anda mengaturkan masa untuk membawanya ke tandas.
  • Kebolehan untuk memberitahu keinginannya secara bercakap atau menunjuk dengan jari.

Peralatan untuk melatih anak menggunakan tandas Jika dibandingkan dengan perkakas yang anda perlukan untuk menukar lampin, barang keperluan untuk melatih anak anda menggunakan tandas adalah ringkas:

  • Tandas mudahalih plastik yang ringan dan boleh dibasuh. Pastikan tiada bahan tajam, contohnya bekas mengacu di tepi bingkai yang boleh mencederakan bayi.
  • Kertas tandas dan tuala kertas
  • Alas tilam yang boleh menyerap
  • Air
  • Kesabaran


Bahagian 1: Ini Adalah Tandas

Sebelum mengajar anak anda bagaimana dan bila masanya untuk menggunakan tandas, terlebih dahulu anda perlu memperkenalkannya kepada anak anda. Biasakan anak anda dengan tandas dengan meletakkannya di bilik air dan membenarkannya duduk diatas tandas itu beberapa kali sehari.
Biarkan dia duduk di atasnya dengan memakai lampin dan seluar supaya dia berasa selesa dengan keadaan tersebut.

Bahagian 2: Apakah Fungsi Tandas

Beritahu anak anda kegunaan tandas dan berikan dia galakan untuk menggunakannya. Perhatikan tandatanda yang menunjukkan bahawa dia ingin buang air, kerana kemungkinan dia tidak sedar lagi bahawa sepatutnya menggunakan tandas. Lebihkan perhatian terutamanya selepas makan, minum dan tidur. Setiap kali dia menggunakan tandas, bantulah dia untuk duduk dengan betul supaya zakar atau kemaluannya masuk ke dalam dan tidak tersasar.

Bahagian 3: Tidak Mengapa Jika Membuat Kesilapan

Janganlah marah atau berleter jika dia terkencing atau terbuang air besar merata-rata. Dia tidak lakukan kerana ingkar, dia hanya tidak faham dengan konsep baru itu. Bersihkan secepat mungkin, dan nasihatinya dengan lembut supaya menggunakan tandas pada masa yang akan datang. Bersabar dan ulanginya sebanyak yang mungkin sehingga dia ingat. Jika anda tidak ingin dia mengotori seluarnya pada peringkat ini, tetapi tidak juga mahu dia bergantung pada lampin, maka belilah seluar pakai buang yang boleh menyerap (seperti lampin pakai buang yang mempunyai cerut di bahagian pinggang) atau biar sahaja dia tidak pakai apaapa. Pilihan pertama lebih sesuai sekiranya anda menjemput tetamu kerumah!

Bahagian 4: 'Sekarang' Tidak Bermaksud 'Sekarang Juga'

Jika dia duduk di atas tandas dengan senang hati, tetapi lantas bangun tanpa membuat apa-apa, galakkan dia untuk duduk dengan lebih lama lagi. Lima minit sepatutnya mencukupi bagi anda mengagak sama ada dia melengahlengah atau sememangnya dia tidak terasa hendak buang air. Sekiranya dia hendak bangun dan bermain, berikan dia alat mainan atau berbual-bual dengannya supaya dia tidak berasa bosan. Jika selepas beberapa minit tiada apa-apa berlaku, biarkan dia bangun dari situ dan pastikan dalam masa setengah jam kemudian sama ada dia perlu menggunakan tandas atau tidak.

Bahagian 5: Apabila Dia Melakukannya Dengan Betul

Anda pasti gembira apabila anak anda berjaya menggunakan tandas dengan betul. Tunjukkan kegembiraan anda kepada anak anda dengan kata-kata pujian dan ciuman. Biarkan dia menyambung apa yang dia sedang bermain sebelum menggunakan tandas selepas anda menyucinya. Kegembiraan anda akan mendorongnya untuk terus menggunakan tandas dengan betul.

Perkara-perkara Yang Tidak Harus

Harus Anda Katakan

"Kamu ni, asyik-asyik kotorkan lantai. Berapa kali mak nak cakap..."

Dia tidak melakukan kesilapan dengan sengaja, namun begitu ini akan berlaku juga. Daripada mengherdiknya, anda buat gaya bersahaja.

"Kalau tak kencing atas permaidani mak tu, memang tak sah, kan?"


Kanak-kanak tidak faham sindiran. Sekiranya ada alas lantai atau permukaan yang anda ingin lindungi, maka alaskan dengan plastik yang besar sebelum anak anda bermain di atasnya.

"Jijik!"

Semakin anda tunjukkan kejijikan najis di dalam tandas, selagi itu dia tertarik dan berminat untuk memeriksanya.

"Jaga-jaga, nanti jatuh!"

Jangan takutkan dia semasa menggunakan tandas. Walaupun tidak seharusnya dijadikan satu rekreasi, anda juga tidak perlu menakutkan dia.

"Adik tak sempat pergi tandas, ye? Tak apa, lain kali kita cuba lagi."

Tunjukkan kepadanya ia bukannya masalah besar, dan berikan keyakinan anda kepadanya dengan kata-kata "lain kali".

"Jom main diatas tikar merah."

Gunakan alas plastik bagi menandakan ruang tempat dia boleh bermain pada hari-hari dia tidak berlampin. Beritahu dia ini adalah permaidani terbang, padang pasir, kapal angkasa atau apa-apa nama yang menarik, dan katakan kepadanya mengapa dia perlu bermain dikawasan yang ditetapkan.

"Dah tak ada!"

Anda tidak perlu berteriak tentang bahan buangan tubuh sendiri; anda pam sahaja
ke lubang tandas. Maka buatlah yang serupa dengan najis anak anda. Ajarkan dia bagaimana hendak mengepam dan biarkan dia melakukannya sendiri. Kebanyakan kanak-kanak suka aktiviti mengepam, dari itu jadikan ia sebagai suatu insentif menggunakan tandas dengan betul.

"Tunjuk kat Mama macam mana adik bawa kereta?"

Memberi watak untuk dilakonkan boleh menjadi keseronokan pada anak semasa berada di tandas. Walaubagaimanapun, janganlah sehingga ini menjadi acara kemuncak harian. Tentukan yang dia dilayan sepanjang hari supaya dia tidak hanya menunggu masa untuk ke tandas.

Jika ia Tidak Menjadi

Anda mungkin dapati anak anda tidak sempat duduk tandas, atau lupa sama sekali kegunaannya. Dalam kes seperti ini, lebih baik anda pakaikan semula lampin untuk seminggu dua sebelum mencubanya sekali lagi.

Kekal kering Pada Waktu Malam

Apabila anak anda berjaya menggunakan tandas pada siang hari, dan tidak membasahi lampinnya pada waktu malam selama tujuh malam berturut-turut, anda boleh cuba menanggalkan lampin pada malam hari. Sesetengah orang menganjurkan anak mereka untuk tidur dengan tidak memakai apa-apa di bahagian bawah pada tahap ini, supaya dia akan sedar jika dia perlu ke tandas untuk membuang air kecil. Jika anda kurang selesa dengan cara ini tetapi inginkan anak tidur tanpa lampin, anda boleh memberinya seluar pakai buang. Ia merupakan kombinasi di antara seluar dalam dan lampin. Ini akan memberi mereka perasaan bagaikan memakai seluar dalam seperti orang dewasa, dan keselamatan seperti lampin.

Akhir sekali, elakkan daripada membanding anak anda dengan anak-anak yang lain, terutamanya di hadapan mereka. Kanak-kanak berkembang pada tahap yang berbeza-beza; berkat kesabaran dan galakkan, anak anda juga akan berjaya menikmati hidup tanpa lampin.


Butiran selanjutnya ...

Penawar Kepenatan

Bagi mengatasi kepenatan melaksanakan tugas-tugas seharian sama ada di rumah mahupun di tempat kerja, bolehlah jadikan petua yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. kepada puteri kesayangannya Saidatina Fatimah sebagai penawarnya.

Suatu hari Saidatina Fatimah mengadu kepada suaminya Saidina Ali bin Abu Talib tentang kesakitan pada tangannya kerana keletihan menggiling
gandum untuk membuat roti. Saidina Ali berkata : "Bapa kamu telah datang membawa balik tawanan perang. Berjumpalah dia dan mintalah seorang khadam untuk membantu mu."

Saidatina Fatimah pergi bertemu bapanya dan menyatakan hasrat untuk mendapatkan seorang khadam bagi membantu tugas hariannya di rumah.
Bagaimanapun Rasulullah s.a.w. tidak mampu memenuhi permintaan anak kesayangannya itu. Lalu Baginda s.a.w. pergi menemui puterinya serta menantu itu.

Baginda s.a.w. berkata:
"Apa kamu berdua mahu aku ajarkan perkara yang lebih baik daripada apa yang kamu minta daripadaku? Apabila kamu berdua berbaring untuk tidur, bertasbihlah (Subhanallah) 33 kali, bertahmid (Alhamdulillah) 33 kali dan bertakbir (Allahuakbar) 33 kali. Ia adalah lebih baik untuk kamu berdua daripada seorang khadam."

Inilah penawar ringkas yang Nabi s.a.w. ajarkan kepada anak dan menantunya bagi meringankan keletihan dan kesusahan hidup mereka berdua.


Saidina Ali terus mengulang-ulang kalimah-kalimah Rasulullah.s. a.w. ini. Katanya "Demi Allah aku tidak pernah meninggalkannya semenjak ia diajarkan kepadaku."

Sayugia dicadangkan kepada ibu-ibu, suami-suami atau sesiapa sahaja yang merasai kepenatan setelah melakukan tugas-tugas harian supaya
mengamalkan membaca 'Subhanallah' (33 kali), 'Alhamdulillah' (33 kali) dan 'Allahuakbar' (33 kali) pada setiap malam iaitu sebelum melelapkan mata.

Lakukanlah dengan penuh ikhlas dan istiqamah (berterusan) , Insya-Allah petunjuk Nabawi ini mampu menyelesaikan bebanan-bebanan hidup
seharian kita. Akan terserlah ceria di wajah pada keesokan hari dengan senyuman.

"Sebarkanlah ajaranku walau satu ayat pun." (Sabda Rasulullah SAW)

"Nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar."



Butiran selanjutnya ...

Isnin, November 12, 2007

Gula - racun yang paling manis

GULA putih tulen, manis dan sedap rasanya tetapi tidak berguna dari segi nutrisi. Gula pada waktu pagi, gula pada waktu petang, dan gula lagi pada waktu makan malam.

Sebagai sejenis kimia, gula merupakan racun bagi badan dan menjadi punca di sebalik pelbagai penyakit. Kita telah ketagih oleh rasanya yang manis dan sudah tidak berupaya lagi untuk menjauhinya.

Mengapakah gula begitu membinasakan kepada kesihatan kita?

Gula ialah kimia tulen dan dalam menjalani pemprosesan, semua nutrisi makanan semula jadi yang asalnya terkandung di dalam tumbuhan itu sendiri telah dikeluarkan. Gula bukan lagi merupakan jisim semula jadi kerana ia dikeluarkan melalui proses industri (kebanyakannya daripada pokok tebu atau ubi bit) dengan melakukan penapisan sehingga menjadi sukrosa yang tulen.Semua vitamin, mineral, protein, enzim-enzim dan nutrient-nutrien bermanfaat yang lain dikeluarkan daripadanya.

Apa yang tinggal lagi ia lebih kelihatan seperti sejenis dadah daripada makanan; iaitu jisim yang begitu pekat dan bukan lagi semula jadi yang tidak mudah dicernakan oleh badan manusia. Lebih-lebih lagi dengan pengambilan dalam jumlah yang begitu banyak mengikut gaya hidup masa ini.

Nota: Gula (glukosa) di dalam badan kita juga boleh tercipta daripada hasil penghadaman dan pencernaan makanan-makanan yang berkanji seperti kek, roti, nasi, ubi kentang dan mi.

Pradiabetes

Mereka yang menghidap pradiabetes mempunyai paras gula darah yang lebih tinggi daripada normal tetapi tidak cukup tinggi untuk didiagnosis sebagai pesakit diabetes sepenuhnya.

Mereka yang menghidap pradiabetes mempunyai paras glukosa semasa berpuasa yang terjejas (6.1 hingga kurang daripada 7 mmol/l).

Paras ini mengisyaratkan bahawa terdapat risiko tinggi untuk menghidapi diabetes jenis 2 dalam jangka masa 10 tahun akan datang.

Anda dapat mengurangkan dengan ketaranya risiko untuk menghidapi mana-mana komplikasi ini sekiranya anda mengawal paras glukosa darah dan tekanan darah anda, serta diiringi dengan tabiat pemakanan yang sihat, dan melakukan kegiatan-kegiatan fizikal dengan kerap.

Makanlah makanan-makanan yang menyihatkan

Kunci bagi diet yang sihat ialah memakan banyak buah-buahan segar yang kaya dengan serat dan sayur-sayuran setiap hari.

Makanlah pelbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran. Lebih banyak makanan pelbagai warna dalam pinggan anda maka lebih baik untuk anda.

Kurangkan nasi dan makanlah nasi beras perang daripada nasi beras putih pada bila- bila masa yang boleh. Pilih roti bijirin penuh daripada roti putih.

Apabila anda berasa ragu, ingat bahawa warna perang adalah yang terbaik manakala yang putih itu tidak begitu baik sama ada ia gandum, roti, ataupun roti gulung dan jenis-jenis makanan lain yang dibakar.

Senaman secara kerap

Kajian Program Pencegahan Diabetes yang telah disiapkan baru-baru ini oleh Persatuan Diabetes Amerika (ADA) secara muktamad telah menunjukkan bahawa mereka yang mempunyai pradiabetes boleh mencegah perkembangan diabetes jenis 2 dengan meningkatkan tahap kegiatan fizikal mereka.

Bahkan mereka mungkin dapat mengembalikan paras glukosa darah mereka ke julat yang normal semula.

Suplemen nutrisi yang bermanfaat untuk penghidap pradiabetes dan diabetes

Formula multivitamin dan mineral yang berpotensi tinggi merupakan suatu keperluan mutlak bagi mereka yang mempunyai paras gula darah yang tinggi termasuk para pesakit diabetes, demi memenuhi keperluan mereka yang kian meningkat terhadap beberapa jenis nutrien.

Dengan membekalkan nutrien-nutrien penting kepada penghidap diabetes dan pradiabetes telah terbukti dapat memperbaiki pengawalan gula mereka serta mencegah atau mengurangkan perkembangan komplikasi-komplikasi utama diabetes.

Contoh-contoh khusus nutrien-nutrien penting yang diperlukan oleh pesakit diabetes dengan jumlah yang lebih banyak daripada yang boleh didapati dalam formula multivitamin dan mineral biasa ialah vitamin B1, B6, B12, Biotin, Niacinamide, vitamin C, Vitamin E, Mangan, Vanadil Sulfat, Zink, Kromium dan Selenium.

Pesakit diabetes juga memerlukan lebih banyak Asid Alfa Lipoik (ALA) iaitu sejenis antioksida yang telah digunakan sejak lebih 30 tahun di Jerman untuk membasmi kerosakan saraf termasuk retinopati (kerosakan retina) pada mereka yang menghidapi diabetes (jenis 1 dan 2).

ALA juga membantu memperbaiki penggunaan glukosa oleh otot, suatu kegiatan yang penting bagi pesakit diabetes.

Adalah digalakkan mereka yang menghidapi pradiabetes dan diabetes supaya mengambil tambahan ALA (400-600 mg/setiap hari).

Sumber: UtusanOnLine


Butiran selanjutnya ...
Related Posts with Thumbnails