Oleh ABD AL-RAZZAQ A.MUTHALIB
a) Hadis tentang kelebihan menghidupkan malam Nisfu Syaaban
Tidak terdapat hadis sahih yang menyebut bahawa Nabi s.a.w. menghidupkan malam Nisfu Syaaban ini dengan amalan-amalan khusus seperti sembahyang sunat khas atau doa-doa tertentu. Malah semua hadis tersebut adalah lemah dan palsu. Di antaranya :
Hadis yang diriwayatkan daripada Ali r.a.: Apabila tiba malam Nisfu Syaaban, maka bangunlah kamu (menghidupkannya dengan ibadah) pada waktu malam dan berpuasalah kamu pada siangnya, kerana sesungguhnya Allah s.w.t. akan turun ke langit dunia pada hari ini bermula dari terbenamnya matahari dan berfirman: Adakah sesiapa yang memohon ampun daripada-Ku akan Ku ampunkannya. Adakah sesiapa yang memohon rezeki daripada-Ku, akan Ku kurniakan rezeki kepadanya. Adakah sesiapa yang sakit yang meminta penyembuhan, akan Ku sembuhkannya. Adakah sesiapa yang yang meminta daripada-Ku akan Ku berikan kepadanya, dan adakah begini, adakah begitu dan berlakulah hal ini sehingga terbitnya fajar.
Hadis ini adalah maudhu', diriwayatkan oleh Ibn Majah dan al-Baihaqi di dalam Syu'ab al-Iman. Rujuk Dhaifah al-Jami' dan Silsilah al-Dhaifah oleh al-Albani, Dhaif Ibn Majah.
Diriwayatkan daripada Ibn Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa membaca seribu kali surah al-Ikhlas dalam seratus rakaat solat pada malam Nisfu Syaaban, ia tidak keluar dari dunia (mati) sehinggalah Allah mengutuskan dalam tidurnya seratus malaikat; tiga puluh daripada mereka mengkhabarkan syurga baginya, tiga puluh lagi menyelamatkannya dari neraka, tiga puluh yang lain mengawalnya daripada melakukan kesalahan dan sepuluh lagi akan mencegah orang yang memusuhinya.
Hadis ini menurut Ibn al-Jauzi adalah Maudhu'. (Rujuk Ibn al-Jauzi, al-Maudhu'at, Dar al-Fikr, cet. 1983, 2/128). Imam al-Daruqutni pula meriwayatkan hadis ini daripada Muhamad bin Abdun bin Amir al-Samarqandi dan dia mengatakan bahawa Muhamad adalah seorang pendusta dan pembuat hadis. Pendapat ini juga sama seperti yang disebut oleh Imam al-Zahabi bahawa Muhamad bin Abdun terkenal sebagai pembuat hadis.
Diriwayatkan daripada Ja'far bin Muhammad daripada ayahnya berkata: `'Sesiapa yang membaca pada malam Nisfu Syaaban seribu kali surah al-Ikhlas dalam sepuluh rakaat, maka ia tidak akan mati sehingga Allah mengutuskan kepadanya seratus malaikat; tiga puluh menyampaikan khabar gembira syurga kepadanya, tiga puluh menyelamatkannya dari neraka, tiga puluh akan mengawalnya daripada berbuat salah dan sepuluh akan menulis mengenai musuh-musuhnya.'' Ibn al-Jauzi turut menghukum hadis ini dengan maudhu'.
Kebanyakan hadis yang menyebut tentang amalan-amalan yang khusus seperti solat, doa dan sebagainya adalah tidak sahih. Justeru, tidak ada amalan-amalan atau ibadah khusus yang disunatkan untuk dilakukan pada malam Nisfu Syaaban seperti solat tertentu yang dinamakan solat al-Alfiyah atau membaca sesuatu surah (seperti surah Yaasin) supaya dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, ditetapkan iman atau sebagainya. Jika amalan ini thabit, pasti Rasulullah s.a.w. akan mengajarkannya kepada para sahabat dan generasi selepas itu akan menyampaikannya kepada kita.
Al-Hafiz al-Iraqi berkata: `'Hadis tentang solat pada malam Nisfu Syaaban adalah maudhu', direka cipta dan disandarkan kepada Rasulullah s.a.w.'' Hal ini juga disebut oleh al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya, al-Majmu': ``Solat yang dikenali sebagai solat al-Raghaib iaitu solat sebanyak dua belas rakaat antara Maghrib dan Isyak pada malam Jumaat pertama bulan rejab dan solat sunat pada malam Nisfu Syaaban sebanyak seratus rakaat adalah dua jenis sembahyang yang bidaah (ditokok tambah dalam agama).''' (Rujuk: Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida', cetakan ke-3, Uni.Islam Madinah, hal. 14).
Syiekh Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz berkata: `'Dan di antara perkara-perkara ibadah yang direka cipta oleh manusia ialah merayakan malam Nisfu Syaaban dan berpuasa sunat khusus pada siangnya, dan tidaklah ada sebarang dalil yang mengharuskan perkara ini. Riwayat yang menyatakan tentang kelebihan amalan ini adalah dhaif dan tidak boleh berhujah dengannya. Ada pun riwayat yang menyebut tentang kelebihan solat yang khas, semuanya adalah maudhu' seperti yang telah dijelaskan oleh kebanyakan ahli ilmu.'' (Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida', hal. 11).
Ulama kontemporari masa kini, Syeikh Dr. Yusof al-Qardhawi juga menyatakan di dalam fatwanya: `'Tentang malam Nisfu Syaaban, tidak terdapat hadis-hadis yang sampai ke martabat sahih yang menyebut tentangnya, kecuali ia berada di martabat hasan di sisi sebahagian ulama, dan terdapat juga sebahagian ulama yang menolaknya dan mengatakan bahawa tidak terdapat sebarang hadis sahih tentang malam Nisfu Syaaban, sekiranya kita berpegang bahawa hadis tersebut berada di martabat hasan, maka apa yang disebut di dalam hadis tersebut ialah Nabi s.a.w. hanya berdoa dan beristighfar pada malam ini, tidak disebut sebarang doa yang khusus sempena malam ini, dan doa yang dibaca oleh sebahagian manusia di sesetengah negara, dicetak dan diedarkannya adalah doa yang tidak ada asal sumbernya (daripada hadis sahih) dan ia adalah salah.''
Beliau menambah lagi: `'Terdapat juga di sesetengah negara yang mereka berkumpul selepas solat Maghrib di masjid-masjid dan membaca surah Yaasin, kemudian solat dua rakaat dengan niat supaya dipanjangkan umur, dan dua rakaat lagi supaya tidak bergantung dengan manusia, kemudian membaca doa yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari kalangan salaf, dan ia adalah doa yang bercanggah dengan nas-nas yang sahih, juga bersalahan dari segi maknanya''. (Al-Qardhawi, Fatawa al-Muasarah (Kuwait: Dar al-Qalam, cet.5, 1990), 2/379-383)
Para ulama muktabar lain seperti Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah, Imam al-Suyuti, Abu Bakr al-Turtusyi, al-Maqdisi, Ibn Rejab dan lain-lain lagi juga menafikan wujudnya amalan ibadah yang khas pada malam Nisfu Syaaban ini. Namun, ini bukanlah bererti malam tersebut tidak mempunyai kelebihannya, bahkan terdapat hadis-hadis thabit yang menyebut akan fadilat dan kelebihannya, tetapi tidak dinyatakan tentang amalan ibadah khas yang perlu dilakukan. Maka sebarang ibadah yang dilakukan pada malam tersebut tidak boleh disandarkan dengan mana-mana hadis atau pun menganggapnya mempunyai kelebihan yang khas dan tidak juga dilakukan secara berjemaah. Hal ini telah disebut al-Imam al-Suyuti: `'Dan pada malam Nisfu Syaaban itu padanya kelebihan, dan menghidupkannya dengan ibadah adalah digalakkan, tetapi hendaklah dilakukan secara bersendirian bukan dalam bentuk berjemaah.'' (Rujuk: al-Suyuti, al-amru bi al-ittiba' wa al-nahyu an al-ibtida' (Beirut: Dar al-kutub al-Ilmiyah, cet. 1, 1998), hal 61)
b) Hadis tentang kelebihan puasa yang khas pada hari Nisfu Syaaban.
Berhubung dengan amalan puasa yang khas pada Nisfu Syaaban, tidak terdapat hadis sahih yang menjelaskan perkara ini, malah ia adalah hadis yang lemah. Tetapi jika seseorang itu berpuasa berdasarkan amalan Nabi s.a.w. yang memperbanyakkan puasanya pada bulan ini dan termasuk di dalamnya hari Nisfu Syaaban, maka ini adalah suatu amalan yang baik dan digalakkan. Begitu juga jika seseorang itu mengamalkan puasa sunat Hari Putih dan termasuk di dalamnya hari yang ke -15 pada bulan ini atau puasa sunat yang dilakukan pada hari Isnin dan Khamis. Jika puasa ini dilakukan pada Nisfu Syaaban sahaja dengan menganggap ia adalah sunah, maka inilah yang dilarang. Menurut Dr Yusof al-Qardhawi: `'Di dalam kaedah syarak, tidak dibolehkan untuk menentukan sesuatu hari khusus untuk berpuasa atau sesuatu malam yang tertentu untuk dihidupkan dengan ibadah tanpa bersandarkan kepada nas syarak kerana sesungguhnya urusan ibadah ini bukanlah urusan yang sesiapa pun berhak menentukannya, tetapi ia adalah hak Allah semata-mata'.(Rujuk: Al-Qaradhawi, Fatawa al-Muasarah, 2/343)
c) Hadis tentang amalan akan diangkat pada malam Nisfu Syaaban.
Sumber: Utusan Malaysia
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...