“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Isnin, November 26, 2007

Sirkumsisi cegah penyakit


SEBATANG pokok pisang, kain putih sepanjang lima hasta, seekor ayam jantan, buyung air dan sirih pinang pada cuti penggal persekolahan hujung tahun.

Mungkin anda belum menangkap apa maksudnya. Tetapi kalau disebut tok mudim? Ia boleh bikin kanak-kanak kecut perut mendengarnya.

Tidak kurang juga yang teruja dan tidak sabar-sabar lagi hendak mengalami satu pengalaman yang menjadi tanda alam kedewasaan mereka.

Satu ketika dahulu, berkhatan atau bersunat diiringi dengan majlis kenduri-kendara yang meriah sekampung.

Dalam pakaian yang dihias cantik, kanak-kanak lelaki Melayu Islam yang berusia lingkungan 10 ke 12 tahun akan diarak keliling desa persis pengantin sahaja lagaknya.

Mereka siap didudukkan atas pelamin dan tetamu diberikan bunga telur. Budak yang akan disunatkan itu kemudiannya disembur dengan air.

Selesai memotong ‘anu’, tukang sunat akan mengambil ayam jantan dan disuakan kepada alat kelamin kanak-kanak itu. Kononnya, jika tengkok ayam kembang itu menandakan budak itu garang dan akan beristeri ramai.

Namun kini, kebanyakan masyarakat Melayu lebih gemar menghantar anak-anak mereka bersunat di hospital mahupun klinik yang dikatakan lebih selamat kerana dilakukan oleh doktor yang berkemahiran, selain cepat sembuh.

Malah, ia turut meraih minat keturunan lain untuk melakukan prosedur yang banyak dikaji oleh para saintis dunia kerana manfaatnya yang turut dikaitkan dengan pengurangan risiko jangkitan HIV/AIDS.

Topik berkhatan kebiasaannya jarang dibincangkan dalam masyarakat umum dari sudut saintifik memandangkan ia adalah satu amalan yang sebati dengan sesuatu masyarakat terutama sekali atas dasar agama ataupun adat resam.

Untuk artikel ini, perbincangan berkhatan merujuk kepada berkhatan ke atas kaum lelaki sahaja. Topik berkhatan di kalangan kaum wanita adalah satu topik dan isu yang amat berlainan sekali.

Dalam sejarah peradaban manusia, bukti pertama khatan atau istilah perubatannya disebut sebagai sirkumsisi, didapati pada lukisan dinding Mesir purba yang melewati 5,000 tahun usianya.

‘‘Berkhatan adalah satu prosedur pembedahan yang melibatkan pembuangan sebahagian atau keseluruhan selaput kulit yang menutupi zakar (kulup/kulit khatan).

‘‘Ia merupakan salah satu cara membersihkan alat sulit yang menjadi tempat pembiakan kuman-kuman yang boleh memudaratkan,’’ kata Pakar Perunding Bedah Am, ColumbiaAsia Medical Centre, Seremban, Negeri Sembilan, Dr. Abd. Hamid Mat Sain.

Menurutnya, tanpa khatan, bahagian di bawah kulit yang menutupi kepala zakar akan menjadi tempat takungan berjenis-jenis kuman dan ini meningkatkan risiko mendapat pelbagai jangkitan penyakit.

Kadangkala keadaan ini akan mengeluarkan bau busuk yang tidak menyenangkan.

Ujar beliau lagi, lebih kurang satu per lima lelaki di seluruh dunia telah menjalankan khatan, kebanyakannya atas sebab keagamaan dan adat resam yang kebiasaannya dilakukan sejurus selepas kelahiran ataupun di sekitar umur akil baligh.

Walaupun kadangkala bersunat ke atas orang dewasa dilakukan atas sebab-sebab keagamaan, kebiasaannya ia dilakukan bagi tujuan kesihatan.

‘‘Buat masa ini, lebih kurang 80 peratus lelaki di Amerika Syarikat telah pun berkhatan kebanyakannya atas alasan selain dari keagamaan.

‘‘Peratus berkhatan di kalangan bayi yang baru lahir menurun dari 90 peratus di tahun-tahun 1950-an ke sekitar 60 peratus sahaja masa kini,’’ ujar beliau.

Sementara itu, di Korea, lebih dari 90 peratus kaum lelaki telah pun berkhatan, kebiasaannya dilakukan sewaktu umur belasan tahun dan 20-an.

Khatan di kalangan masyarakat Arab berbeza dengan masyarakat di Malaysia kerana kebanyakan masyarakat padang pasir itu memilih untuk mengkhatankan anak mereka ketika baru lahir atau ketika mencapai usia tujuh tahun.

Sebab-sebab berkhatan tergolong kepada tiga kumpulan:

1. Atas sebab kesihatan

2. Untuk mengelakkan sesuatu penyakit

3. Atas dasar agama

Berkhatan atas sebab kesihatan

1. Kulit zakar yang tidak dapat ditarik ke belakang

Boleh dikatakan semua bayi yang baru lahir mempunyai kulit zakar yang meliputi kepala zakar dan ia tidak dapat ditarik ke belakang.

‘‘Ibu bapa tidak seharusnya cuba menarik kulit ini untuk mencuci kepala zakar sebelum kulitnya benar-benar lembut dan boleh ditarik ke belakang dengan mudah.

‘‘Tarikan kulit yang belum bersedia dengan kuat boleh menyebabkan kecederaan kepada zakar itu sendiri,’’ kata Dr. Abd. Hamid.

Tambahnya, lebih kurang 50 peratus kanak-kanak yang berumur 1 tahun akan mengalami ada kulit zakar yang tidak dapat ditarik ke belakang ini.

Sementara itu, 30 peratus kanak-kanak berusia 2 tahun, kanak-kanak 4 tahun (10 peratus) dan kanak-kanak 10 tahun (lebih kurang 5 peratus) mengalami masalah yang sama.

Ada peratusan kecil orang dewasa yang mempunyai kulit zakar yang tidak dapat ditarik ke belakang dan mereka ini mempunyai risiko untuk menghidap fimosis.

Pada umumnya, kulit zakar yang tidak dapat ditarik ke belakang bukanlah satu penyebab kesihatan atau perubatan untuk berkhatan.

2. Fimosis

Dr. Abd. Hamid berkata, penyakit ini melibatkan pembukaan (mulut) kulit yang melitupi kepala zakar, mengecut dan menyebabkan kulit zakar tidak dapat ditarik ke belakang.

‘‘Jika kulit itu normal dan ketidakbolehan kulit ditarik ke belakang tidak mengganggu proses membuang air kecil, hubungan kelamin ataupun tidak menyebabkan jangkitan kuman yang berulang, maka keadaan ini tidak memerlukan berkhatan.

‘‘Kadangkala, di tepi kulit yang melitupi kepala zakar (kulit khatan) ada kesan parut yang putih dan keras rasanya dan tidak akan berlipat jika kulit zakar ditarik ke belakang.

‘‘Perubahan pada tepi kulit yang disebut di atas diberi nama Balanitis Xerotica Obliterans, yang boleh bertukar menjadi kanser jika tidak dibedah. Berkhatan amatlah perlu dalam keadaan ini,’’ jelasnya.

Antara 1 hingga 1.5 peratus kanak-kanak lelaki akan menghidap keadaan ini sampai umur 17 tahun. Gejala-gejala atau tanda-tanda yang akan dihadapi adalah seperti berikut;

* Gangguan atau pendarahan dari tepi kulup

* Pedih atau sakit sewaktu membuang air kecil (disuria)

* Air kencing tersumbat (akut atau kronik)

3. Balanopostitis akut

Keadaan ini melibatkan keradangan pada kulup di mana ia akan menjadi merah, bengkak dan bernanah dari celah kulit khatan dan kepala zakar/glan.

Kadangkala keseluruhan zakar akan menjadi bengkak dan radang. Antara 3 hingga 10 peratus kanak-kanak lelaki akan menghidapi penyakit ini.

Balanopostitis boleh menjadi petanda awal kepada mereka yang menghidap penyakit diabetes.

Jika tidak terdapat penyakit sistemik di sebalik balanopostitis, penjagaan kebersihan kepada zakar, ubat-ubatan penahan sakit, mungkin juga antibiotik dan mengelak dari menarik kulit zakar ke belakang sudah mencukupi untuk merawat penyakit ini dalam kebanyakan kes yang akan pulih tanpa apa-apa intervensi yang lain.

Bersunat akan dilakukan di dalam kes-kes yang berulang dan susah untuk pulih dengan tatacara yang disebutkan di atas.

4. Parafimosis

Keadaan ini terjadi apabila kulup ditarik ke belakang dengan kuat sekali dan melepasi sempadan glan dan batang zakar (korona) tanpa dapat ditarik balik ke hadapan semula.

‘‘Kulit khatan yang tersangkut itu akan menjadi jerat di sekeliling batang zakar dan menyebabkan kesakitan yang amat sangat.

‘‘Keadaan ini kadangkala dapat dirawat dengan memicit glan supaya ia mengecil dan menyelinap ke belakang melepasi jerat yang terbentuk oleh kulit khatan.

‘‘Jika ini tidak berjaya tanpa bius kerana kesakitan, maka rawatan pemulihan parafimosis sebegini harus dilakukan dengan pembiusan umum,’’ kata Dr. Abd. Hamid. Khatan amat jarang diperlukan untuk merawat parafimosis.

MENGELAK dari dijangkiti penyakit-penyakit tertentu adalah sebab kedua diberikan untuk berkhatan walaupun buat masa ini, bukti saintifik berkaitan dengannya tidak begitu kukuh.

Amalan berkhatan adalah lebih dipengaruhi oleh adat resam sesuatu masyarakat walaupun masyarakat Barat amat susah untuk menerima kenyataan ini.

1. Kanser zakar

Kanser zakar adalah satu penyakit yang amat jarang berlaku. Pada awal kurun yang lalu, ia langsung tidak pernah dijumpai di kalangan orang-orang lelaki yang sudah berkhatan.

Sungguhpun begitu, kata Dr. Abd. Hamid, terdapat bukti yang menyatakan bahawa berkhatan hanya dapat mengelakkan dari kanser zakar jika ia dilakukan semasa peringkat kanak-kanak, tidak jika dilakukan semasa dewasa.

‘‘Penjagaan kebersihan diri yang rendah, merokok dan pendedahan kepada Virus Ketuat yang bernama Human Papilloma Virus (HPV) meninggikan risiko terjadi kanser zakar sama seperti tidak berkhatan.

‘‘Bagi mereka yang sudah berkhatan, risiko untuk dijangkiti Virus HPV pada zakar adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan mereka yang tidak berkhatan.

‘‘Ini menjadikan risiko mendapat kanser zakar bagi lelaki yang berkhatan dan lelaki yang tidak berkhatan lebih kurang sama sahaja,’’ jelas beliau.

Kesimpulannya, berkhatan yang rutin tidak dapat dilakukan atas alasan mengelak dari penyakit kanser zakar.

2. Penyakit yang ditularkan melalui hubungan seks/penyakit kelamin (STDs)

Dr. Abd. Hamid memberitahu: ‘‘Penyakit kelamin yang menyebabkan ulser pada organ-organ kelamin seperti sifilis, syankroid dan herpes simpleks kerap terjadi pada lelaki yang tidak berkhatan.”

Walau bagaimanapun, uretritis atau keradangan pada saluran air kencing yang melalui batang zakar (penis) yang disebabkan oleh kuman-kuman gonorea dan bukan gonorea adalah lebih kerap terjadi pada orang-orang berkhatan jika dibandingkan dengan lelaki-lelaki yang tidak berkhatan.

Begitulah juga dengan ketuat zakar. Risiko jangkitan kulat oleh kuman kandida pula adalah sama bagi kedua-dua kumpulan lelaki ini.

Tetapi, lelaki yang berkhatan adalah lebih mudah untuk mendapat gejala dari jangkitan ini dan mereka lebih berisiko menjangkiti pasangan kelamin mereka.

Terdapat tatacara dan teknik-teknik lain yang lebih efektif dari berkhatan di dalam mengurangkan risiko jangkitan STDs seperti penggunaan kondom dan amalan seks yang selamat.

Kesimpulannya, bersunat tidak dapat dijadikan satu cara yang kukuh untuk mengelakkan lelaki dari dijangkiti STDs.

3. Jangkitan Human immunodeficiency virus (HIV)

Terdapat pandangan yang bercanggah di dalam isu berkhatan mengelakkan jangkitan HIV.

Di dalam artikel British Journal of Urology baru-baru ini, para penyelidik telah membuat kesimpulan bahawa tidak terdapat hubungkait di antara tidak berkhatan dengan risiko jangkitan HIV.

Walau bagaimanapun, terdapat satu artikel di dalam British Medical Journal yang membuat kesimpulan sebaliknya.

Berkhatan mungkin sesuai sebagai pembedahan rutin untuk mengelak jangkitan HIV di kalangan masyarakat yang mempunyai insiden HIV yang tinggi seperti di Sub-Saharan Afrika.

Dalil saintifik masa kini tidak mencukupi untuk mengesyorkan berkhatan secara rutin sebagai tindakan pencegahan jangkitan HIV di United Kingdom atau negara-negara yang mempunyai insiden jangkitan HIV yang rendah di dalam masyarakat.

4. Kanser serviks/pangkal rahim

Satu kajian telah dibuat di sekitar tahun 1947 yang mendapati wanita-wanita Yahudi jarang menghidap penyakit kanser pangkal rahim.

Para penyelidik itu telah mendapati pasangan lelaki kepada wanita-wanita ini telah pun berkhatan. Kajian selanjutnya dalam masa 50 tahun kemudian telah mendapati pelbagai jawapan yang berbeza-beza.

Para pengkaji telah dengan ghairahnya memberi pendapat yang bercanggah di antara satu sama lain tentang kebaikan dan keburukan berkhatan di dalam mencegah penyakit kanser pangkal rahim.

Kesimpulannya, sehingga kini tidak terdapat fakta yang kukuh untuk mencadangkan berkhatan sebagai metod untuk mencegah penyakit ini.

5. Jangkitan air kencing-urin (UTI)

Semenjak tahun 1987, beberapa kajian telah mengesyorkan bahawa bayi lelaki yang tidak berkhatan mempunyai risiko 10 kali ganda untuk menghidapi UTI.

Satu dalam 100 bayi yang tidak berkhatan akan diserang UTI berbanding dengan 1 dalam 1,000 bayi yang telah berkhatan.

Penyakit UTI bukanlah satu penyakit yang kritikal yang akan menyebabkan risiko kesihatan yang tinggi kepada pesakit.

Oleh itu, amatlah tidak wajar untuk melakukan pembedahan ke atas 100 bayi untuk mengurangkan seorang bayi dari dihinggapi UTI.

Berkhatan sebagai tanda keagamaan

BERKHATAN kanak-kanak lelaki adalah satu sifat utama kedua-dua agama Islam dan Yahudi. Ia satu budaya yang amat penting di kalangan masyarakat Afrika dan Barat.

Di kalangan sesetengah masyarakat, sikap yang negatif terhadap berkhatan boleh menimbulkan perkelahian yang hebat di kalangan keluarga dan masyarakat.

Di masa lampau, banyak peperangan telah berlaku dan ramai telah terkorban demi memastikan kelangsungan budaya berkhatan.

Judaisme

Berkhatan di atas dasar keagamaan ini yang dilakukan secara tradisi dilakukan oleh mohel pada hari kelapan selepas kelahiran kecuali jika ada keadaan bahaya kepada kesihatan bayi.

Di dalam keadaan ini, berkhatan akan dilakukan kemudian hari setelah bayi pulih dari keadaan kesihatan yang menidakkan berkhatan.

Di United Kingdom, seseorang mohel harus menjalani latihan dengan membantu lebih kurang 50 kes-kes berkhatan, lulus dalam ujian praktikal dan juga peperiksaan teori sewaktu dalam program latihan, sebelum boleh ditauliah melakukan khatan secara individu.

Islam

Berkhatan tidak disebut secara spesifik di dalam al-Quranul Karim tetapi ia mempunyai status Sunah Nabi.

Hanya mazhab Syafii yang menganggap hukum berkhatan adalah wajib bagi seseorang yang bergelar Muslim sedangkan mazhab-mazhab Hanafi, Maliki, Hambali, Zaidi dan Ja‘afari semuanya menganggap ia hanya disunatkan.

Amat sedikit sekali penganut-penganut agama lain melakukan berkhatan atas dasar agama.

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails