Sempena Hari Diabetes Sedunia 2007 pada 14 November
TANGGAL 20 Disember 2006, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah meluluskan Resolusi 61/225 yang mengenal pasti diabetes sebagai penyakit kronik berkos tinggi dengan komplikasi major yang bukan sahaja merisikokan keluarga bahkan juga negara dan dunia.
Bermula tahun ini, Resolusi 61/225 menandakan 14 November, Hari Diabetes Sedunia sebagai Hari PBB yang akan diraikan sebagai acara tahunan.
Ini merupakan kali pertama di mana penyakit tidak berjangkit telah diperakui sebagai ancaman kesihatan global yang sama seriusnya dengan wabak berjangkit seperti malaria, tuberkulosis dan HIV/AIDS.
Lebih 246 juta orang di seluruh dunia hidup dengan diabetes. Tanpa tindakan bersepadu menentangnya, angka ini akan terus meningkat mencecah 380 juta orang dalam satu keturunan.
*Hari lahir Frederick Banting
Tanggal 14 November dipilih kerana ia merupakan hari kelahiran Frederick Banting yang telah menemui insulin bersama-sama rakannya, Charles Best.
Hari Diabetes Sedunia pertama kali diperkenalkan oleh Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 1991 kerana bimbang dengan peningkatan insiden diabetes di seluruh dunia.
Sejak itu, acara tersebut kian meraih populariti dari tahun ke tahun. Setiap tahun, Hari Diabetes Sedunia tertumpu kepada tema berkaitan penyakit itu.
Topik-topik yang pernah diangkat sebagai tema pada tahun-tahun yang telah lepas termasuklah diabetes dan hak asasi manusia, diabetes dan gaya hidup dan kos diabetes.
Diabetes di kalangan kanak-kanak dan remaja dipilih sebagai tema bagi tahun 2007 dan 2008 yang antara lain bermatlamat meningkatkan kesedaran mengenai tanda-tanda amaran diabetes (pengesanan awal), menggalakkan inisiatif mengurangkan ketoasidosis diabetik (DKA) dan mempromosi gaya hidup sihat bagi membanteras diabetes jenis 2 di kalangan kanak-kanak.
*Apa itu diabetes?
Diabetes adalah satu keadaan di mana paras gula dalam darah adalah tinggi. Ini disebabkan oleh berlakunya kekurangan insulin atau fungsi terjejas atau kedua-duanya sekali.
Insulin merupakan sejenis hormon yang dihasilkan oleh pankreas bagi mengawal paras glukosa dalam darah.
Pada keadaan normal, makanan yang dimakan akan ditukar ke dalam bentuk gula iaitu glukosa. Gula ini akan diserapkan ke dalam darah. Insulin akan membantu menggunakan glukosa ini sebagai sumber tenaga.
Apabila berlaku kekurangan insulin atau fungsi insulin terjejas, paras gula dalam darah akan meningkat. Keadaan ini dipanggil diabetes.
Terdapat dua jenis diabetes yang utama:
Diabetes jenis 1
Diabetes yang bergantung pada insulin. Selalunya ia terjadi di kalangan kanak-kanak atau remaja disebabkan oleh kekurangan insulin.
Ia hanya boleh dikawal dengan suntikan insulin, kawalan pemakanan dan senaman. Mempunyai sejarah keluarga yang menghidap diabetes.
Diabetes jenis 2
Diabetes yang tanpa bergantung pada insulin. Selalunya berlaku di kalangan orang dewasa (40 tahun ke atas) dan individu yang punyai berat badan berlebihan.
Ia berpunca daripada kekurangan insulin atau insulin yang dikeluarkan kurang berkesan.
Biasanya boleh dikawal hanya dengan kawalan pemakanan dan senaman atau gabungan pemakanan, senaman dan ubat. Mempunyai sejarah keluarga yang menghidap diabetes.
Lain-lain jenis diabetes
Jenis ketiga ini berlaku semasa sesetengah kes kehamilan. Terdapat juga jenis diabetes yang lebih jarang di mana sesetengah kanak-kanak yang menghidap kedua-dua jenis diabetes, 1 dan 2.
Fenomena ini dirujuk sebagai diabetes hibrid, campuran atau berganda. Ia dikaitkan dengan kadar obesiti yang semakin meningkat di kalangan kanak-kanak dan remaja.
Diabetes Permulaan Kematangan Belia (MODY) pula merupakan bentuk diabetes yang jarang terjadi di kalangan kanak-kanak, berpunca daripada satu gen yang terhasil daripada rembesan insulin rosak.
MODY mewakili sehingga lima peratus daripada kesemua kes diabetes kanak-kanak. Ia selalunya gagal dikesan.
Ketahui tanda-tanda amaran diabetes
* Kerap buang air kecil
* Dahaga melampau
* Sering lapar
* Hilang berat badan
* Terasa letih lesu
* Kurang minat dan tumpuan
* Penglihatan kabur
* Muntah dan sakit perut (sering disalah anggap dengan flu/demam selesema)
* Di kalangan kanak-kanak yang menghidap diabetes jenis 2, simptom-simptom ini hanyalah ringan atau langsung tidak kelihatan
Komplikasi diabetes
Paras glukosa darah yang tinggi yang tidak dirawat atau dikawal akan mengakibatkan gejala yang lebih buruk dan serius.
Mereka biasanya hilang deria rasa terutama di tangan dan kaki menyebabkan luka atau kecederaan yang berlaku tidak diketahui. Luka-luka ini lambat sembuh.
Paras glukosa yang berterusan tinggi memburuk lagi keadaan dengan merosakkan pembuluh-pembuluh darah dalam badan seterusnya merosakkan mata, buah pinggang dan saraf.
Komplikasi diabetes termasuklah gangren (tisu mati) cabuk, kudis yang menular yang menyebabkan kaki terpaksa dipotong serta kabur penglihatan membawa kepada buta.
Lain-lain; penyakit buah pinggang, serangan jantung, tekanan darah tinggi, angin ahmar, koma atau tidak sedar diri dan penyakit saraf.
Ketoasidosis diabetik
DKA berlaku bila mana tiada insulin atau kadar insulin adalah rendah dalam badan bagi membantu organ dan tisu menggunakan glukosa sebagai tenaga.
DKA menjadi punca kematian dan hilang upaya utama di kalangan kanak-kanak diabetes jenis 1. Jika tidak dirawat, kadar kematiannya mencapai 100 peratus.
Di antara 60 hingga 90 peratus daripada semua kematian berkaitan DKA adalah disebabkan oleh edema serebrak atau bengkak otak - komplikasi yang unik untuk kanak-kanak sahaja.
Diabetes kanak-kanak, remaja
Diabetes merupakan penyakit kronik yang paling kerap ditemui di kalangan kanak-kanak tanpa mengira usia, baik kanak-kanak yang sedang bertatih mahupun bayi.
Pun begitu, ia sering dikesan lewat apabila tahap glukosa darah mereka sudah terlalu tinggi dan berpotensi mengancam nyawa. Ada kalanya, ia dianggap sesuatu yang lain - flu misalnya.
Setiap tahun di seluruh dunia, adalah dianggarkan, 70,000 kanak-kanak bawah 15 tahun menghidap diabetes jenis 1, bersamaan hampir 200 orang sehari.
Daripada kira-kira 440,000 pesakit diabetes jenis 1 yang berusia 14 tahun ke bawah, lebih 25 peratus daripadanya tinggal di Asia Tenggara (termasuk Malaysia) manakala lebih 20 peratus lagi, di Eropah.
Sementara itu, insiden global diabetes jenis 2 diramalkan meningkat sehingga 50 peratus dalam tempoh 15 tahun akan datang.
Diabetes jenis ini yang dahulunya hanya dilihat sebagai penyakit eksklusif orang dewasa sahaja kini berkembang pada kadar yang mencemaskan di kalangan kanak-kanak dan remaja.
Unik bagi kanak-kanak
Diabetes mempunyai impak unik ke atas kanak-kanak dan keluarga. Kehidupan seharian tergendala dengan keperluan untuk memantau tahap gula darah, mengambil ubat dan menyeimbangkan kesan aktiviti dengan makanan.
Menguruskan diabetes turut memberikan tekanan psikologikal kepada mereka terutamanya apabila pengurusan dan rawatan penyakit bersifat intensif iaitu, mengekalkan kadar gula darah senormal yang boleh, secara berterusan.
Masalah harga diri rendah, kemurungan dan gangguan makan mungkin sesuatu yang bukan luar biasa bagi remaja diabetes.
Kanak-kanak diabetes juga berisiko tinggi untuk menghadapi komplikasi pada usia muda.
Lebih 50 peratus daripada mereka mula menunjukkan tanda-tanda komplikasi selepas 12 tahun diagnosis, itu pun menggunakan rawatan moden.
Bukan lagi penyakit eksklusif orang dewasa
Diabetes jenis 2 pada asalnya dipertimbangkan sebagai masalah eksklusif orang dewasa khususnya mereka yang berusia 40 tahun ke atas.
Bagaimanapun, setelah semakin ramai kanak-kanak yang mengalami berat badan berlebihan, ditambah dengan tidak aktif bergerak, diagnosis diabetes jenis 2 di kalangan golongan tersebut semakin meningkat.
Sebahagian peningkatannya yang pantas dipercayai disumbangkan oleh perubahan dalam pemakanan - makanan diproses tinggi lemak dan berserat rendah. Dalam masa yang sama, ahli keluarga gemar makan di luar.
Majoriti kanak-kanak (kira-kira 85 peratus) dengan diabetes jenis 2 mempunyai berat badan berlebihan atau obes semasa disahkan menghidap penyakit itu.
Lain-lain faktor risiko utama diabetes jenis 2 termasuklah sejarah keluarga dengan penyakit sama, etnik, tekanan darah tinggi, gangguan lipid (lemak), kurang kegiatan fizikal, berat badan semasa lahir yang tinggi atau rendah.
Pengurusan dan rawatan
Kanak-kanak dan remaja diabetes berdepan dengan keadaan itu seumur hidup mereka. Berbanding pengurusan diabetes orang dewasa, diabetes golongan lebih muda ini hadir bersama cabaran-cabarannya yang tersendiri.
Ini termasuklah memastikan pembabitan seluruh keluarga khususnya apabila kanak- kanak terlalu kecil untuk memahami atau menguruskan penyakit di samping menganjurkan penjagaan bagi pesakit di luar persekitaran rumah contohnya ketika mereka berada di sekolah.
Matlamat pesakit kanak-kanak ini adalah untuk mengawal dan mengurus keadaan mereka secara berkesan dalam usaha untuk mengurangkan risiko komplikasi diabetes dan dalam masa yang sama mengekalkan perkembangan dan pertumbuhan fizikal serta psikologi yang normal.
Ini bermakna, tahap glukos darah perlu berada dalam sasaran seperti yang telah disarankan bagi mengelakkan hipoglisemia (gula darah rendah) dan hiperglisemia (gula darah tinggi).
Kanak-kanak diabetes jenis 1 mesti mengambil insulin sama ada menerusi suntikan sebanyak dua atau tiga kali sehari ataupun diberikan melalui pam di bawah kulit. Bagi diabetes jenis 2 pula boleh mengambil ubat makan atau insulin atau kedua-duanya sekali.
Diet sihat, senaman dan pemantauan tahap gula darah secara teratur adalah penting bagi pesakit. Tiada satu pelan pengurusan diabetes yang sesuai untuk semua kanak-kanak. Pendidikan adalah kunci bagi mengurangkan komplikasi dan menyelamatkan nyawa.
Pencegahan
Buat masa ini, diabetes jenis 1 tidak boleh dicegah manakala diabetes jenis 2 boleh elakkan dalam kebanyakan kes dengan cara mengekalkan berat badan sihat dan aktif fizikal.
Kerajaan perlu mengenal pasti diabetes jenis 2 kanak-kanak sebagai isu kesihatan awam utama dan membangunkan program penjagaan dan pencegahan primer yang bersesuaian.
Ini termasuklah menjalankan kajian berasaskan populasi bagi mengetahui kadar kekerapannya yang sebenar dan mengatasi isu yang memberikan kesan terhadap berat badan semasa lahir.
Diabetes di sekolah
Secara puratanya, kanak-kanak menghabiskan masa tujuh jam di sekolah. Adalah penting untuk menyediakan pesakit dengan persekitaran yang membolehkan mereka menangani cabaran berkaitan diabetes yang timbul pada waktu persekolahan.
Rutin normal di sekolah seperti aktiviti kecergasan dan pemakanan boleh memberikan kesan terhadap tahap glukosa darah murid-murid atau pelajar.
Bagi mengekalkan kadar ini dalam julat sasaran sewaktu melakukan senaman, mereka perlu melakukan beberapa penyesuaian terhadap pengambilan insulin dan diet.
Kanak-kanak diabetes di sekolah sepatutnya bebas mengakses yang mereka perlukan untuk mengurus diabetes - peralatan menguji glukosa darah, sistem penyampaian insulin, snek dan karbohidrat yang pantas bertindak.
Adalah penting bagi keluarga, penyedia kesihatan dan pasukan penjagaan diabetes untuk bekerjasama mewujudkan pelan pengurusan diabetes yang diguna pakai di sekolah.
Antara elemen-elemen yang perlu dimasukkan dalam pelan tersebut termasuklah gejala dan rawatan untuk gula darah tinggi dan rendah, rutin pemantauan insulin, diet, senaman dan nombor untuk dihubungi sekiranya berlaku kecemasan.
BHOnLine - Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...