“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Jumaat, Ogos 01, 2008

Tugas IMAM

Orang yang menjadi Imam mempunyai beberapa tugas sebelum solat, begitu pula dalam bacaannya dan pada rukun-rukunnya dan seterusnya sesudah memberi salam. Tidak boleh menjadi imam jika sekalian makmumnya membencinya atau tiada bersetuju dengannya. Jangan ke depan juga kalau di belakang ada orang yang lebih faqih' daripadanya, kecuali jika orang itu enggan ke depan, ketika itu bolehlah dia menjadi Imam. Dalam hal ini, makruh masing-masing tolak menolak untuk menjadi Imam.


Menjaga waktu-waktu solat dengan menunaikan tiap-tiap solat pada permulaan waktunya, agar diperolehi keredhaan Allah Ta'ala. Permulaan waktu itu diutamakan dari pengakhirannya samalah seperti mengutamakan kehidupan akhirat dan penghidupan dunia ini. Imam tiada harus melewatkan solat kerana mengganggu orang ramai datang, melainkan hendaklah ia melekaskannya agar memperoleh keutamaan permulaan waktu, kerana yang demikian itu adalah lebih afdal daripada ramainya orang yang berjemaah (tetapi lambat), dan daripada bacaan surah-surah yang panjang.


Pernah Rasulullah SAW terlambat daripada menunaikan solat fajar (subuh) dalam salah satu pelayarannya; iaitu kerana sebab taharah (pensucian) dan baginda tiada menunggu, malah disuruhnya Abdul Rahman bin Auf untuk menjadi Imam pada solat itu, kemudian baginda menjadi makmumnya, padahal Imam sudah masuk pada rakaat kedua, lalu baginda bangun mencukupkan satu rakaat lagi kerana terlambat itu. Para sahabat merasa kasihan kerana berlakunya hal itu, tetapi Rasulullah SAW pun bersabda: Kamu telah membuat yang betul. Begitulah hendaknya selalu kamu lakukan.


Sekali peristiwa, Rasulullah SAW sedang sibuk mendamaikan antara sesuatu kaum, sehingga terpaksa lambat untuk menunaikan solat zohor. Para sahabat telah menunjukkan Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a. untuk menjadi Imam. Kemudian Rasulullah pun tiba, sedangkan Abu Bakar di pertengahan solatnya, lalu baginda pun berdiri di sebelahnya.


Dalam menunaikan solat, Imam tidak perlu menunggu kedatangan muazzin, tetapi muazzin seharusnya menunggu kedatangan Imam, jika terlambat. Bila menjadi Imam, hendaklah ia berikhlas semata-mata terhadap Allah azzawajalla, sebagai seorang yang menunaikan amanat Allah dalam taharahnya dan semua syarat-syarat solatnya. Berikhlas, ertinya: jangan ia mengambil upah dari sebab menjadi Imam itu. Manakala pengertian amanat di sini, ialah pensucian kebatinan dari segala rupa kefasikkan dan ketakabburan ataupun tidak selalu melakukan dosa-dosa yang kecil. Orang yang menjadi Imam itu, hendaklah menjauhkan diri dari segala macam keaiban ini dengan penuh kesungguhan. Sebab tugas Imam itu seperti utusan atau penjamin bagi orang ramai, maka oleh itu hendaklah ia menjadi sebaik-baik manusia.


Syaikh Ibnu Taimiah r.a. berkata: Apa yang diterima dari Baitul-Mal itu bukanlah upah atau gaji, tetapi ia semacam rezeki untuk menolong mendirikan ketaatan. Begitu pula dengan harta yang diwakafkan ke atas pekerjaan-pekerjaan baik, atau harta yang diwaksiatkan atau dinazarkan untuk tujuan-tujuan kebajikan, bukanlah dikira upah atau gaji. Al-Haritsi pula berkata: orang yang menghukumkan terlarangnya mengambil upah atau jenis pekerjaan untuk kebajikan tiada melarang mengambil upah itu dari harta yang diwakafkan untuk tujuan ini.


Demikian pula dengan pensucian kelahiran, iaitu dari segala rupa hadas dan kotoran, sebab mengenai perkara ini tiada seorang yang lebih mengetahui, melainkan dirinya sendiri. Jika sekiranya ia teringat berlaku hadas sedangkan ia di pertengahan solat, ataupun terkentut dalam masa solat itu, maka hendaklah ia jangan merasa malu, bahkan hendaklah ia memegang tangan seorang yang berdekatan dengannya seraya mengisyaratkan untuk menggantikannya.


Sebelum mengangkat takbiratul-ihram, hendaklah ia memeriksa semua saf-saf supaya rata. Mula-mula ia menoleh ke kanan kemudian ke kiri, kalau ada saf yang jarang diperintah untuk dirapat dan diluruskannya.


Ada yang mengatakan meluruskan saf itu, hingga bahu dengan bahu beriringan dan buku lali bersentuhan. Hendaklah ia tidak bertakbir, melainkan sesudah selesai muazzin dari iqamah. Muazzin pula seharusnya melambatkan iqamah dari azan, sekadar masa orang ramai dapat menyediakan diri untuk bersolat.


Keutamaan saf pertama


Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda: "Kalaulah manusia itu tahu keutamaan azan dan saf pertama, tetapi mereka tidak boleh mendapatkannya melainkan dengan jalan diundi, nescaya mahulah mereka diundi. Dan kalaulah mereka tahu keutamaan segera pergi solat nescaya mereka akan berlumba-lumba ke sana dan kalaulah mereka tahu keutamaan solat 'Isya dan Subuh berjemaah, nescaya mereka akan mendatanginya sekalipun mereka akan merangkak." (Hadis Sahih Muslim) (Bab - Solat No Hadis - 390)


Dari Sa'id Al Khudri r.a katanya: "Rasulullah pernah memerhatikan para sahabatnya yang suka berada di saf belakang. Lalu baginda bersabda kepada mereka: "Majulah ke depan dan ikutilah aku supaya orang yang di belakangmu dapat pula mengikutmu. Memang ada saja orang-orang yang suka di belakang-belakang, sehingga Allah membelakangkan mereka benar-benar." (Hadis Sahih Muslim) (Bab - Solat No Hadis - 391)


Imam hendaklah menyaringkan suaranya ketika melafazkan takbiratul-ihram, dan seterusnya kepada semua takbir-takbir yang lain. Makmum pula jangan sampai menyaringkan suaranya lebih daripada kadar untuk mendengarkan dirinya saja, dan takbirnya hendaklah sesudah selesai takbir Imamnya, baru dia bertakbir pula.

Adapun tugas bacaan dalam solat ialah tiga macam:

Pertama: Membaca doa Iftitah dan ta'awwudz dengan sirr atau tiada menyaringkan suara, seperti seorang yang bersolat sendiri. Dan baca dengan jahar atau mengangkat suara pada Fatihah dan satu surah sesudahnya pada solat subuh dan dua rakaat yang pertama dari isya', dan maghrib; ini termasuk solat orang perseorangan juga. Membaca jahar perkataan Amiin pada solat-solat jahriah (yang dinyaringkan suara - iaitu subuh, maghrib dan ishak', dan Jumaat) bersama-sama makmum, dan bacaan makmum itu mestilah menyertai Amiin Imamnya serentak bukannya sesudah itu.

Kedua: Hendaklah Imam dalam berdirinya menjaga tiga pemberhentian (berdiam sebentar).

(1) Sesudah melafazkan takbiratul-ihram.

(2) Sesudah membaca Fatihah

(3) Sesudah membaca surah dan sebelum ruku'.

Berdiam itu sebentar saja sekadar untuk memisahkan antara takbiratul-ihram dengan bacaan Fatihah, sebab ada larangan untuk bercepat-cepat di situ. Jangan hendaknya orang yang menjadi makmum itu membaca apa-apa di belakang Imamnya selain dari Fatihah saja. Tetapi kiranya makmum tiada mendengar bacaan imamnya dalam solat-solat jahriah , kerana berada terlalu jauh daripadanya, ataupun kerana solat-solat itu sirriyah, (yang tidak dinyaringkan - iaitu pada zohor dan asar) maka bolehlah makmum membaca surah sendiri di dalam solat itu.

Ketiga: Meringankan solat itu adalah lebih baik, terutama sekali bila jamaah makmumnya ramai sekali, kerana Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,

“Apabila seseorang kamu bersolat dengan orang ramai, maka hendaklah meringankan solat , sebab di antara mereka itu ada yang lemah, ada yang tua dan ada yang mempunyai keperluan. Tetapi jika ia bersolat sendirian, bolehlah ia memanjangkannya menurut kehendaknya.”

Berkata Rasulullah SAW kepada Mu'as pula, “Bacalah surah-surah Sabbihisma rabikal a'laa, Wassamaa'i-Waththaariq atau Wasysyamsi-Wadhuhaaha.”

Adapun tugas-tugas rukun dalam solat ada tiga macam:

Pertama: Hendaklah ia meringankan ruku' dan sujud, jangan ia membaca lebih daripada tiga tasbih saja.

Kedua: Makmum jangan pula melumbai atau mendahului Imamnya dalam ruku' atau sujud, malah hendaklah ia menunggu dan tidak bersujud melainkan sesudah sampai dahi Imam ke tanah.

Begitulah ketika ruku', makmum tiada ruku' melainkan setelah Imam lurus di dalam ruku'nya.

Ketiga: Tidak menambah dalam doa tasyahhud lebih dari doa yang sudah ditentukan, sebab dikhuatirkan menjadi panjang. Dan janganlah ia menentukan doa itu bagi dirinya saja, bahkan digunakan shighatul jam'i (pengertian untuk ramai) supaya doa itu umum untuk ramai. Misalnya dia berkata; “Wahai Tuhan, ampunilah kami sekalian.”

Dan tugas mengakhiri solat ada tiga pula:

Pertama: Ketika memberi kedua-dua salam itu, hendaklah ia meniatkan memberi salam kepada semua orang yang berada di situ dan juga para Malaikat.

Kedua: Hendaklah ia menetap di tempatnya sesudah memberi salam, terutama sekali jika ada makmum-makmum wanita di belakangnya. Dia tiada bergerak dari tempatnya dulu, sehingga sekalian makmum-makmum wanita sudah beredar dari situ.

Ketiga: Jika dia duduk sesudah solat, hendaklah ia berhadapan dengan orang ramai.

Keutamaan Jumaat dan adabnya

Ketahuilah bahawa hari Jumaat itu adalah hari yang dibesarkan oleh Islam dan dikhususkan bagi umatnya, kaum Muslimin. Allah berfirman; “Apabila dipanggil untuk bersolat pada hari Jumaat, hendaklah berusaha berzikir kepada Allah dan tinggalkanlah berjual-beli.” (Surah al-Jumu'ah, ayat 9)

Allah telah melarang bekerja atau berusaha pada saat itu untuk kepentingan dunia, atau untuk sesuatu perkara yang boleh menyebabkan manusia terhindar dari melakukan solat Jumaat. Rasulullah SAW telah bersabda, “Sebaik-baik hari yang matahari terbit padanya ialah hari Jumaat.” Sabda baginda lagi; “Barangsiapa meninggalkan Jumaat tiga kali berturut-turut tanpa uzur (sebab), Allah akan menutup mata hatinya.”

Keuzuran Jumaat ialah seperti hujan lebat, terlalu lecak, kerana ketakutan, atau kerana sakit, atau menjaga orang yang sakit kiranya si sakit memerlukan penjagaan, dan usur-usur yang lain lagi.

Disunatkan mandi pada hari itu, walaupun sudah hampir waktu solat, supaya kebersihannya lebih dekat dengan waktu melakukan solat itu. Disunatkan juga mencukur kepala, memotong kuku memendekkan misai, memakai wangi-wangian dan mengenakan sebaik-baik pakaian. Disunatkan juga menyegerakan pemergian ke masjid jami'. Dalam perjalanannya ke sana, hendaklah ia dalam keadaan khusyu', merendah diri, menyegerakan kepergiannya bila sudah terdengar azan menyeru solat Jumaat. Bila dalam masjid, janganlah ia melangkah-melangkah kepala orang.

Tetapi jika saf awal masih ada yang kosong, tidak dipenuhi oleh orang-orang yang telah hadir, maka tiadalah dilarang baginya untuk melangkah menuju ke sana sebab mereka itu telah mencuaikan saf-saf mereka dan telah mengabaikan tempat-tempat yang diutamakan. Berkata al-Hassan al-Basri r.a., “Tiada mengapalah untuk melangkah orang-orang yang duduk di pintu-pintu masjid pada hari Jumaat, kerana yang demikian itu tiada haram.”

Apabila masuk masjid, hendaklah ia solat dua rakaat, walaupun ketika itu Imam sedang berkhutbah, janganlah hendaknya ia berjalan di celah-celah orang ramai, malah cukuplah ia duduk di tiang yang terdekat dengannya, ataupun di tembok di situ agar orang ramai tiada melalui di hadapannya ketika ia bersolat nanti, sebab yang demikian itu adalah amat dilarang. Kalau ada orang yang melalui di hadapannya, hendaklah ia menolaknya. Jika ia tiada mendapati tiang, maka hendaklah ia meletakkan di hadapannya sesuatu barang sejarak satu hasta untuk menjadikan tanda batasan baginya.

Mendapatkan saf awal itu adalah digalakkan sekali, atau duduk berdekatan dengan mimbar Khatib, supaya ia boleh mendengar ucapannya dengan jelas. Dimakruhkan pula bersolat di pasar, ataupun di bahagian luar dari masjid. Bila Khatib Jum'at keluar, hendaklah segera ia memberhentikan pembicaraan, dan terus menjawab azan tukang bang, kemudian mendengar pula khutbah seluruhnya dengan penuh perhatian.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW pernah bersabda, “Siapa yang berkata kepada temannya sedangkan Imam masih berkhutbah: Diamlah! Maka dia telah lalai, dan barangsiapa yang lalai pada waktu Imam sedang berkhutbah, maka tiada Jumaat baginya.”

Ini menunjukkan bahawa untuk mendiamkan orang yang berkata-kata ketika Imam sedang berkhutbah, haruslah dilakukan dengan isyarat atau dengan melemparkan batu, tidak boleh dengan ucapan.

Setelah selesai solat Jumaat, kembalilah ia kepada urusannya seraya mengingatkan Allah azzawajalla, memikirkan kebesaran-Nya. Mensyukuri-Nya atas taufiq-Nya, serta merasakan ketakutan kiranya ia telah melakukan sesuatu yang tiada layak.

Rasulullah SAW sendiri sering bersolat dua rakaat lagi dirumahnya sesudah solat Jumaat. Disunnatkan juga memperbanyak salawat ke atas Rasulullah SAW pada hari itu dan pada malamnya. Sayugialah ia memberikan sedekah pula kepada orang-orang yang berhajat, kecuali kepada orang yang meminta-minta dalam masjid pada masa Imam sedang membaca khuthabnya.

Berkata Ibnu Mas'ud: Apabila seseorang itu meminta-minta di dalam masjid, maka sepatutnyalah dia tiada diberi. Yakni, peminta-peminta sedekah di dalam masjid yang melangkah-langkah kepala orang ramai tidak sepatut diberi sedekah. Tetapi kiranya ia meminta dalam berdiri atau duduk di tempatnya, tampatnya, tanpa melangkah-langkah kepala orang ramai, maka bolehlah ia diberikan sedekah itu.

Setengah para Salaf pula tiada memandang wajar membeli air minum di dalam masjid dari tukang jual air untuk diminum, atau dibahagi-bahagikannya kepada orang ramai sebagai sedekah, agar tiada berlaku penjualan di dalam masjid, kerana jual-beli di dalam masjid itu adalah makruh hukumnya. Kata mereka, “Tiada mengapa kiranya dia membayar harganya di luar masjid untuk diminum, atau dibahagi-bahagikan kemudiannya di dalam masjid.”

Sebaik-baiknya juga, seseorang itu menambah amalan-amalan baik pada hari Jumaat, kerana Allah SWT jika mengasihi seseorang hamba didorongkannya untuk membuat amalan-amalan yang baik dalam waktu-waktu yang baik pula.

Sumber: http://www.waktusolat.net/

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails