“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Ahad, Mei 25, 2008

Islam itu matlamat, bukan alat

Oleh Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

E-mel: moasriza@yahoo.com

Berpegang kepada Islam bermaksud beriman atau yakin sepenuhnya dengan segala inti kandungan ajaran agama yang agung tersebut. Pegangan terhadap ajaran Islam ini hendaklah berteraskan keimanan kepada Allah S.W.T bahawa Dia telah memerintahkan kita untuk tunduk kepada-Nya menerusi kepatuhan kepada titah perintah-Nya dalam al-Quran dan sunah.

Kita tidak menonjolkan pegangan kita kepada Islam ini kerana hendak menjaga hati rakyat, atau keyakinan pengundi atau “apa orang kata” atau untuk meraih dan mengaut untung sesuatu habuan atau perniagaan. Kita tidak boleh berkempen kepada Islam supaya dapat mengukuhkan politik kita, atau melariskan jualan kita, atau “menghalalkan” kesalahan kita. Berpegang dengan Islam sebagai agama yang diimani amatlah berbeza dengan berpegang dengan Islam sebagai alat mengaut atau meraih keuntungan tertentu. Pegangan Islam sebagai al-Din adalah jalan hidup para rasul dan pengikut mereka. Firman Allah: Katakanlah (Wahai Muhammad): “Sesungguhnya Aku telah diberikan petunjuk hidayah oleh Tuhanku ke jalan yang lurus, (kepada) agama yang tetap teguh, iaitu agama Nabi Ibrahim yang tulus, dan dia bukanlah daripada orang-orang yang musyrik. Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan Yang mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya, dan yang demikian itulah aku diperintahkan, dan aku adalah orang yang awal bersegera menyerah diri kepada Allah.. Katakanlah: Patutkah Aku mencari Tuhan selain Allah, padahal Dialah Tuhan bagi tiap-tiap sesuatu? dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh seseorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain; kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu ia menerangkan kepada kamu akan apa Yang kamu berselisihan padanya.(Surah al-Am‘am: 161-164). Jelas dari ayat ini, Islam adalah matlamat, bukannya alat. Islam itu dipegang atas kesedaran dan keyakinan bahawa itulah tuntutan dan itulah yang akan dipertanggungjawabkan oleh Allah pada hari akhirat kelak.

Demikian sepatutnya kita dalam berpegang dengan ajaran Islam ini. Walaupun setiap kita ada kelemahan dan kesilapan dalam hidup ini. Kita mungkin gagal untuk mengamalkan ajaran Islam secara menyeluruh, tetapi kita tidak boleh jadikannya alat meraih keuntungan. Kita mungkin ada dosa, tetapi kita tidak boleh menghalalkan dosa kerana kita telah melakukannya. Maka, ketika kita berpegang atau beramal dengan mana-mana perkara dalam ajaran Islam hendak pegangan dan amalan itu dibina di atas keimanan yang membawa keikhlasan hanya kerana Allah. Di situlah datangnya rahmat dan keberkatan. Bukan kerana sebarang kepentingan yang mengatasi asas tersebut. Jika tidak agama ini menjadi mainan kelompok yang sentiasa mencari untung dan kesempatan.

Keajaiban

Jika agama hanya alat, maka kita lihat bagaimana pelbagai ubatan yang dijual pada hari ini yang menggunakan nama agama. Sehingga kononnya ada air ajaib yang dihasil dari tulisan al-Quran atas piring atau pinggan yang jika diminum memperoleh pelbagai keajaiban yang jika para sahabat Nabi s.a.w masih hidup pun akan terkejut mendengarnya. Mereka pun tidak pernah mendapat jampi daripada Nabi s.a.w yang seistimewa itu. Begitulah juga apabila al-Quran dijadikan alat bukan matlamat, maka kita dapati seseorang yang sepanjang hidupnya tidak pernah mempedulikan ajaran kitab agung itu, tiba-tiba apabila meninggal diupah orang untuk dibaca al-Quran di tepi mayatnya. Adakah al-Quran memberikan manfaatkan kepadanya, padahal selama ini dia langsung tidak pernah menghiraukan ajaran dan titah Allah dalamnya? Apakah jika mayatnya mendengar alunan al-Quran yang menyuruh dia bersolat, berpuasa, berzakat, menunaikan haji, amanah, adil, juga larangan berjudi, riba, arak, rasuah, khianat dan sebagainya, dia dapat bangun dari kematian yang telah datang kepadanya untuk melaksanakan semua arahan dan titah perintah itu? Sedangkan Nabi Muhammad s.a.w menyebut: “Al-Quran itu boleh menjadi hujah untuk membela kamu, atau untuk menentang kamu” (Riwayat Muslim). Namun, oleh kerana ada pihak yang membuat bisnes dengan “melelong pahala”, maka al- Quran menjadi alat untuk mengaut keuntungan, bukan pegangan kehidupan. Maka muncullah dalam masyarakat kita pembekal pahala yang boleh diupah dengan beberapa ribu ringgit yang menggunakan bacaan al- Quran untuk pembikinan pahala. Lalu pahala pun boleh diniaga dan akhirat pun boleh dibeli. Justeru itu Nabi s.a.w. pernah memberi ingatan: “Bacalah al-Quran dan mintalah daripada Allah (pahala), kerana selepas kamu akan ada kaum yang membaca al-Quran dan meminta (upah) daripada manusia” (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Begitulah juga dalam pungutan zakat. Kempen ke arah zakat begitu hebat lebih daripada kempen kepada solat. Padahal solat adalah rukun kedua Islam selepas syahadah. Namun zakat adalah fulus, maka berbagai ayat al-Quran tentang dosa tidak membayar zakat pun dikeluarkan. Baguslah. Memang pun kewajipan zakat amat besar. Namun tujuan zakat bukanlah untuk mengutip harta orang berada, tetapi untuk memastikan tiada jurang kekayaan yang menakutkan dalam masyarakat, untuk membersihkan jiwa, menghapuskan permusuhan antara yang miskin dan yang kaya, untuk memastikan prinsip bantu membantu dalam kebaikan dan taqwa ditunaikan dalam masyarakat. Maka sepatutnya, bukan dosa tidak membayar zakat sahaja yang patut dikhutbahkan kepada masyarakat, tetapi dosa tidak mengagihkan zakat dengan cara yang betul juga patut diingatkan kepada pihak yang menguruskan. Jangan sampai zakat puluhan atau ratusan juta terkumpul, tiba-tiba cerita si miskin yang menderita masih banyak dan yang menguruskan zakat tidak pula sampai-sampai ke rumah mereka. Bayangkanlah jika ratusan juta itu diagih secara tepat, apakah masih patut ada muslim yang merempat, tidak bersekolah dan tidak bertukar pakaian? Patutkah ada mualaf yang masih hidup dalam kehinaan? Patutkah badan-badan dakwah masih meminta sedekah? Padahal, yang menguruskan nampaknya sudah ada yang bertukar dan bertambah kereta. Apakah patut hanya dosa tidak bayar zakat sahaja yang ditonjolkan, sedangkan kita melupakan, atau kurang mengingatkan tentang dosa salah guna kuasa, rasuah, kronisme yang membelasah harta negara untuk kaum keluarga? Padahal kesemuanya dosa dan kesemuanya mengundang ketidakadilan kitaran ekonomi dalam negara. Namun, jika agama hanyalah alat, maka kita hanya ingatkan rakyat apa yang boleh untuk dikaut untung lalu kita tinggalkan apa yang kita rasa tidak untung.

Dalam politik, agama selalu menjadi mangsa. Pelbagai nas dibaca menjelang pilihan raya. Ada yang ikhlas, ada yang salah guna. Dahulu ada sahabat saya yang sering membaca firman Allah: (maksudnya) “Sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka merekalah orang- orang yang kafir” (Surah al-Maidah, ayat 44) dan firman Allah: (maksudnya) “Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman, dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah dia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apa pun” (Surah Ali ‘Imran ayat 28). Lalu berbagai orang yang dilebel kafirkan olehnya. Saya pernah meminta agar dia meluaskan pengetahuannya mengenai ayat- ayat tersebut supaya dia tidak terlalu jumud dan sempit dalam tafsirannya. Tujuannya agar tidak mengkafirkan orang lain dengan begitu mudah. Dia bantah saya, hampir saya pun dikafirkannya. Namun hari ini, apabila apabila partinya berkongsi kuasa dengan bukan Islam, nadanya sudah berbeza. Saya berkata kepadanya: “Apa jadi dengan nas- nas yang dulu?” Katanya: “Syeikh, kita jangan sempit sangat, mesti tengok pelbagai perkara, bukan semua kita boleh buat”. Saya dengan sinis bertanya: “Tak jadi kafir ke kalau macam tu?” Jawab dia: “Kena tengok keadaan la”. Saya diam. Ya, mungkin kafir dulu itu, kafir politik. Namun, begitulah nasib nas-nas al-Quran apabila ia dibaca untuk sesuatu kepentingan.

Agama dalam negara ini pun dalam banyak keadaan menghadapi nasib yang sama. Kadang-kala sebutan agama itu hanya sekadar penghias majlis, bukan prinsip yang dipegang. Macamlah mereka yang memulakan majlis dengan bacaan doa rasmi itu dan ini, namun perjalanan majlis tidak pula berteraskan prinsip agama. Islam tidak menyuruh majlis mesti dimulakan dengan “doa rasmi”, tetapi menyuruh agar perjalanan sesuatu program berteraskan ajarannya. Berteraskan ajaran Islam bukanlah bererti kena ada ceramah agama, atau penonjolan kempen agama. Cukuplah sekurang-kurangnya tidak melakukan apa yang menyanggahi agama ini.

Pendirian

Maka pendirian pemimpin-pemimpin dalam negara ini pun ada yang bagaikan “sumpah-sumpah” yang boleh merubah warna kulit berdasarkan keperluan majlis. Ada yang bercakap tentang rakyat jangan membazir, tetapi jika dilihat dalam majlis yang lain dia mengepalai pembaziran. Ada yang bercakap jangan rasuah dan amanah terhadap harta negara, tetapi dalam majlis yang lain merekalah juga yang menganugerahkan projek-projek kepada “anak-pinak” dan “rakan-taulan” dengan cara yang dipertikaikan. Ada yang merasmikan musabaqah bacaan al-Quran dan orang yang sama juga akan menolak prinsip-prinsip al-Quran di majlis yang lain. Maka tidak hairanlah jika kita melihat wajah yang amat berbeza antara bidang pendidikan, industri hiburan, perindustrian dan pelbagai lagi. Sekejap macam nak ikut Islam, sekejap macam tidak mahu ikut langsung dan pelbagai lagi.

Hari ini beras dan barangan mula naik. Nanti akan kedengaranlah forum-forum perdana, atau ustaz-ustaz di televisyen berceramah; “jangan membazir”, jimat cermat, belanja berhemat dan pelbagai lagi. Seakan agama ini hanya diperlukan ketika susah semata, tetapi ditinggalkan ketika senang. Atau seakan agama ini untuk makcik-makcik di kampung sedangkan yang di atas tiada kena mengena. Negara ini cukup kaya, jika diuruskan dengan penuh amanah sejak dulu, semua rakyat akan menikmati kekayaannya. Khalifah Umar bin Abdul Aziz memerintah hanya 30 bulan, tetapi kesemua rakyat merasa tidak layak menerima zakat di bawah pemerintahannya. Kewajipan adil dalam pengagihan kekayaan itu yang wajib diforumkan di televisyen dan radio dahulu, kemudian barulah disuruh rakyat berjimat cermat. Memang selama ini pun, mereka yang kekurangan itu telah pun berjimat cermat. Janganlah agama hanya alat untuk kepentingan tertentu, bukan dijadikan prinsip yang memandu perjalanan negara.

Allah menyebut tentang sikap manusia dalam al-Quran, firman-Nya: (maksudnya) Dialah Yang menjalankan kamu di darat dan di laut (dengan diberi kemudahan menggunakan pelbagai jenis kenderaan); sehingga apabila kamu berada dalam bahtera, dan bahtera itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya dengan tiupan angin yang baik, dan mereka pun bersukacita dengannya; tiba-tiba datanglah kepadanya angin ribut yang kencang, dan mereka pula didatangi ombak menimpa dari segala penjuru, serta mereka percaya bahawa mereka diliputi oleh bahaya; pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadanya semata-mata (sambil merayu dengan berkata): “Demi sesungguhnya! jika Engkau (Ya Allah) selamatkan kami dari bahaya ini, Kami menjadi orang-orang yang bersyukur. Kemudian bila sahaja Allah selamatkan mereka, mereka dengan serta-merta merebakkan perbuatan derhaka di bumi dengan tidak ada sebarang alasan yang benar. Wahai manusia! Sesungguhnya perbuatan derhaka kamu itu hanyalah bala bencana terhadap diri kamu sendiri. (dengan itu kamu hanya dapat merasai) kesenangan hidup di dunia ; kemudian kepada Kamilah tempat kembalinya kamu, maka Kami akan memberitahu apa Yang kamu telah lakukan. (Surah Yunus ayat 22-23)

Bertindak untuk kepentingan tanpa prinsip itu macamlah cerita Panglima Muda di Negera Entah Berentah yang menghunuskan keris menunjukkan keperwiraan. Namun, apabila dia merasakan pengundi negaranya ada yang tidak bersetuju, maka dia memohon ampun dan maaf hanya kerana keris yang dihunuskan ke langit, belum pun ditikam ke perut. Maka dia yang ingin mendapat sanjungan Hang Berani telah bertukar menjadi Hang Takut. Namun, saya rasa kesalahan panglima Negara Entah Berentah memperalatkan keris itu tidaklah seburuk tindakan memperalatkan nas-nas agama.

Layari http://drmaza.com/

Butiran selanjutnya ...

Jumaat, Mei 23, 2008

Teladan: Kemesraan Rumahtangga Rasulullah SAW


Assalamualaikum warahmatullah,

Ketika kita menempuh bahtera rumah tangga, ketika kita sedang menjalankan perintah Allah dan Rasul-Nya, kita dianjurkan untuk melihat kembali kecintaan kita kepada keluarga Nabi. Dalam memperkuat kecintaan kita kepada keluarga Nabi di dalam mengayuh bahtera keluarga, kita diwajibkan meneladani perilaku kehidupan keluarga Rasulullah, baik perilaku terhadap isteri mahupun anak.

Dalam menggauli dan memperlakukan isteri-isteri Baginda, Rasulullah SAW senantiasa menghormati dan menjaga perasaan isteri-isterinya melebihi suami-suami yang lainnya. Satu saat ketika Rasulullah hendak melaksanakan solat malam, beliau dekati isterinya Aisyah sampai Aisyah berkata: Di tengah malam beliau mendekatiku dan ketika kulitnya bersentuhan dengan kulitku beliau berbisik, “Wahai Aisyah, izinkan aku untuk beribadah kepada Tuhanku.”

Kita bayangkan betapa besar penghormatan Rasulullah kepada isterinya sampai ketika beliau hendak melakukan solat malam, beliau terlebih dahulu meminta izin kepada isterinya pada tengah malam, di saat isterinya memerlukannya. Pada izin Rasulullah itulah tergambar kecintaan dan penghormatan terhadap isterinya.

Nabi adalah sosok yang sangat sabar dalam memperlakukan isterinya. Hal ini terlihat ketika suatu hari ada salah seorang isterinya datang dengan membawa makanan untuk dikirim kepada Rasulullah yang sedang tinggal di rumah Aisyah. Aisyah dengan sengaja menjatuhkan kiriman makanan itu hingga piringnya pecah dan makanannya jatuh berderai. Rasulullah hanya mengatakan, “Wahai Aisyah, kifaratnya adalah mengganti makanan itu dengan makanan yang sama.”

Rasulullah mengecam suami-suami yang suka memukuli isteri-isterinya sampai Rasulullah berkata, “Aku hairan melihat suami-suami yang menyeksa isterinya padahal dia lebih patut disiksa oleh Allah SWT.”

Nabi pun mengecam suami-suami yang menghinakan isteri-isterinya, tidak menghargainya, tidak mengajaknya bicara, dan tidak mempertimbangkan isterinya dalam mengambil keputusan. Nabi bersabda, “Tidak akan pernah memuliakan isteri kecuali lelaki yang mulia dan tidak akan pernah menghinakan isteri kecuali lelaki yang hina.” Kerana itu marilah kita berusaha menjadi suami yang mulia yang menempatkan isteri pada tempat yang mulia.

Kemesraan pasangan adalah penting untuk mengekalkan keharmonian rumahtangga dan Rasulullah SAW telah mencontohkan kemesraan tersebut dengan isteri-isteri baginda.

Tidur dalam satu selimut bersama isteri

Dari Atha’ bin Yasar: “Sesungguhnya Rasulullah SAW dan Aisyah r.a. biasa mandi bersama dalam satu bejana. Ketika baginda sedang berada dalam satu selimut dengan Aisyah, tiba-tiba Aisyah bangkit. Baginda kemudian bertanya, “Mengapa engkau bangkit?” Jawab Aisyah, “kerana saya haid, wahai Rasulullah.” Sabda Rasulullah, “Kalau begitu, pergilah, lalu berkainlah dan dekatlah kembali padaku.” Aku pun masuk, lalu berselimut bersama beliau.” (Hadis Riwayat Sa’id bin Manshur)

Memberi wangi-wangian pada aurat

Aisyah berkata, “sesungguhnya Nabi SAW apabila meminyaki badannya, baginda akan memulai daripada auratnya menggunakan nurah (sejenis serbuk pewangi) dan isteri baginda meminyaki bahagian lain tubuh Rasulullah SAW. (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Meminta isteri meminyaki badan

Dari Aisyah r.a., beliau berkata, “Saya meminyaki badan Rasulullah SAW pada hari Raya 'Aidil Adha' setelah beliau melakukan jumrah aqabah.” (Hadis Riwayat Ibnu 'Asakir)

Mandi bersama isteri

Dari Aisyah r.a. beliau berkata, “Aku biasa mandi bersama Nabi SAW menggunakan satu bejana. Kami biasa bersama-sama memasukkan tangan kami (ke dalam bejana tersebut).” (Hadis riwayat Abdurrazaq dan Ibnu Abu Syaibah)

Disikatkan oleh isteri

Dari Aisyah r.a., beliau berkata, “Saya biasa menyikat rambut Rasulullah SAW, ketika itu saya sedang haid.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Minum bergantian pada tempat yang sama

Daripada Aisyah r.a., dia berkata: “Saya biasa minum dari cawan yang sama walaupun ketika haid. Nabi mengambil cawan tersebut dan meletakkan mulutnya di tempat saya meletakkan mulut, lalu Baginda minum, kemudian saya mengambil cawan tersebut dan lalu menghirup isinya, kemudian Baginda mengambilnya dari saya, lalu Baginda meletakkan mulutnya pada tempat saya letakkan mulut saya, lalu Baginda pun menghirupnya.” (Hadis Riwayat Abdurrazaq dan Said bin Manshur)

Membelai isteri

“Adalah Rasulullah SAW tidaklah setiap hari melainkan beliau mesti mengelilingi kami semua (isterinya) seorang demi seorang. Baginda menghampiri dan membelai kami tetapi tidak bersama sehingga Baginda singgah ke tempat isteri yang menjadi giliran Baginda, lalu Baginda bermalam ditempatnya.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Mencium isteri

Dari Aisyah r.a, “Bahawa Rasulullah SAW biasa mencium isterinya setelah mengambil wuduk, kemudian Baginda bersembahyang dan tidak mengulangi wuduknya.” (Hadis Riwayat Abdurrazaq)

Dari Hafshah, puteri Umar r.a., “Sesungguhnya Rasulullah SAW biasa mencium isterinya sekalipun sedang berpuasa.” (Hadis Riwayat Ahmad).

Berbaring di pangkuan isteri

Dari Aisyah r.a., “Nabi SAW biasa meletakkan kepalanya di pangkuanku walaupun aku sedang haid, kemudian beliau membaca Al-Quran.” (Hadis Riwayat Abdurrazaq)

Memanggil dengan panggilan mesra

Rasulullah SAW biasa memanggil Aisyah dengan beberapa nama panggilan yang disukainya seperti Aisy dan Humairah (pipi merah delima).

Menyejukkan kemarahan isteri dengan mesra

Nabi SAW biasa memicit hidung Aisyah jika dia marah dan Baginda berkata, “Wahai Uwaisy, bacalah doa: Wahai Tuhanku, Tuhan Muhammad, ampunilah dosa-dosaku, hilangkanlah kekerasan hatiku dan lindungilah diriku dari fitnah yang menyesatkan.” (Hadis Riwayat Ibnu Sunni)

Membersihkan titisan darah haid isteri

Dari Aisyah r.a., dia berkata, “Aku pernah tidur bersama Rasulullah SAW di atas satu tikar ketika aku sedang haid. Apabila darahku menitis di atas tikar itu, Baginda mencucinya pada bahagian yang terkena titisan darah dan baginda tidak berpindah dari tempat itu, kemudian beliau sembahyang di tempat itu pula, lalu Baginda berbaring kembali di sisiku. Apabila darahku menitis lagi di atas tikar itu, Baginda mencuci pada bahagian yang terkena titisan darah itu saja dan tidak berpindah dari tempat itu, kemudian baginda pun sembahyang di atas tikar itu.” (Hadis Riwayat Nasai)

Memberikan hadiah

Dari Ummu Kaltsum binti Abu Salamsh, ia berkata, “Ketika Nabi SAW menikah dengan Ummu Salamah, Baginda bersabda kepadanya, ‘Sesungguhnya aku pernah hendak memberi hadiah kepada Raja Najasyi sebuah pakaian berenda dan beberapa botol minyak kasturi, namun aku mengetahui ternyata Raja Najasyi telah meninggal dunia dan aku mengagak hadiah itu akan dikembalikan. Jika hadiah itu memang dikembalikan kepadaku, aku akan memberikannya kepadamu.” Dia (Ummu Kaltsum) berkata, “Ternyata keadaan Raja Najasyi seperti yg disabdakan Rasulullah SAW dan hadiah tersebut dikembalikan kepada Baginda, lalu Baginda memberikannya kepada masing-masing isterinya satu botol minyak kasturi, sedang sisa minyak kasturi dan pakaian tersebut Baginda berikan kepada Ummu Salamah.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Segera menemui isteri apabila tergoda

Dari Jabir, sesungguhnya Nabi SAW pernah melihat wanita, lalu Baginda masuk ke tempat kediaman Zainab, untuk melepaskan keinginan Baginda kepadanya, lalu keluar dan bersabda, “Wanita kalau menghadap, ia menghadap dalam rupa syaitan. Apabila seseorang di antara kamu melihat wanita yang menarik, hendaklah ia mendatangi isterinya kerana pada diri isterinya ada hal yg sama dengan yang ada pada wanita itu.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Begitu indahnya kemesraan Rasulullah SAW kepada para isteri Baginda, memberikan gambaran betapa Islam sangat mementingkan sikap kerana sikap dan perbuatan baik cara yang paling efektif menyatakan rasa cinta, kasih dan sayang antara suami dan isteri. Inilah teladan yg perlu dicontohi.

Gentleman dalam layani isteri

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari bahawa ketika Rasulullah SAW kembali dari peperangan Khaibar, baginda menikahi Shafiyyah binti Huyaiy r.a. Baginda SAW mengulurkan tirai di dekat unta yang akan ditunggangi untuk melindungi Shafiyyah r.a. dari pandangan orang. Kemudian baginda duduk bertumpu pada lutut di sisi unta tersebut, baginda persilakan Shafiyyah r.a. untuk naik ke atas unta dengan bertumpu pada lutut baginda.

Berkhidmat pada isteri

Salah satu ibadah yang paling besar di dalam Islam adalah berkhidmat kepada isteri. Rasulullah bersabda, “Duduknya seorang lelaki dengan isterinya kemudian membahagiakan isterinya, pahalanya sama dengan orang yang itikaf di masjidku.”

Kita dapat saksikan para jemaah haji ketika tinggal selama seminggu di sana mereka berusaha melakukan itikaf dengan sebaik-baiknya di masjid Nabawi. Kita akan memperoleh pahala yang sama seperti itikafnya para jamaah haji kalau kita duduk bersama isteri dan berusaha membahagiakan, memberikan ketenteraman dan keselesaan kepadanya.

Begitu pula bagi para isteri. Mereka haruslah menjadi seorang isteri seperti Khadijah Al-Kubra. Khadijah adalah sosok isteri yang sangat dicintai oleh suaminya. Selama Rasulullah menikah dengannya, Rasulullah tidak pernah memikirkan the other women beside her, wanita lain di samping Khadijah. Rasulullah hidup dalam suasana yang penuh dengan kecintaan dan kasih sayang.

Cinta kasih Nabi terhadap Khadijah tergambar dalam riwayat berikut ini:

Setelah Khadijah meninggal dunia, Rasulullah SAW menikah dengan Aisyah. Suatu hari Rasulullah sedang berada di depan rumah. Tiba-tiba Rasulullah meninggalkan Aisyah menuju kepada seorang perempuan. Rasulullah memanggilnya dan menyuruh perempuan itu duduk di hadapan-nya kemudian mengajaknya berbicara.

Aisyah bertanya, “Siapakah perempuan tua ini?” Rasulullah menjawab, “Inilah sahabat Khadijah dulu.” Lalu Aisyah berkata, “Engkau sebut-sebut juga Khadijah padahal Allah telah menggantikannya dengan isteri yang lebih baik.”

Ketika itu marahlah Nabi sampai bergoncang rambut di atas kepalanya. Lalu beliau berkata, “Demi Allah, tidak ada yang dapat menggantikan Khadijah. Dialah yang memberikan kepadaku kebahagiaan ketika orang menghinaku. Dialah yang menghiburku dalam penderitaan ketika semua orang membenciku. Dialah yang memberikan seluruh hartanya kepadaku ketika semua orang menahan pemberiannya. Dan dialah yang menganugerahkan kepadaku anak ketika isteri-isteri yang lain tidak memberikannya.” Mendengar itu Aisyah tidak dapat memberikan jawapan. Hadis ini diriwayatkan dalam Shahih Bukhari dan Muslim.

Dalam ucapan Rasulullah SAW itu, selain terkandung kecintaan Rasul terhadap Khadijah, juga terkandung kebaktian Khadijah terhadap suaminya. Khadijahlah yang menghibur suaminya ketika dalam perjuangan dilanda berbagai penderitaan. Khadijahlah yang mengorbankan seluruh hartanya ketika suaminya memerlukan. Khadijahlah yang mendampingi suaminya dalam suka dan duka. Sehingga Rasul berkata, “Tidak ada seorang pun yang dapat menggantikan Khadijah.”

Kepada para isteri, jadilah seperti Khadijah yang setiap saat rela mengorbankan apapun demi kebahagiaan suami. Yang di saat-saat suami ditimpa duka dan kesusahan siap berdiri di sampingnya, memberikan hiburan dan kebahagiaan kepadanya dengan seluruh jiwa dan raga.

Kebaktian kepada suami di dalam Islam dianggap ibadah yang utama. Sampai Rasulullah SAW bersabda, “Kalau seorang perempuan memberikan setitis minum kepada suaminya atau memindahkan barang dari rumahnya ke tempat yang lain untuk membahagiakan suaminya, maka pahalanya sama dengan melakukan ibadah satu tahun.”

Oleh sebab itu, hormatilah suami. Berikan kepadanya penghormatan yang sepenuhnya dan berikanlah kecintaan yang sepenuhnya. Insya Allah, Tuhan akan berkati keluarga yang seperti demikian.



Sumber: internet

Butiran selanjutnya ...

Hadis: Menjadi Tanggungan

Kategori : AKIDAH Akhlak

Tajuk : Menjadi Tanggungan

Hadith :

Dari Abu Hurairah r.a, dari Nabi SAW sabdanya yang bermaksud: “Orang-orang yang berusaha mencari nafkah untuk perempuan-perempuan yang tidak (belum) bersuami dan untuk orang-orang miskin, sama dengan orang-orang yang berjuang fi sabilillah.” - Muslim

Huraian/Pengajaran Hadith:


Sudah sepatutnya bahawa ketidakmampuan satu-satu pihak akan menjadi tanggungan kepada pihak yang mempunyai kemampuan. Begitulah sebagaimana yang dimaksudkan di dalam hadis di atas. Namun begitu manusia seboleh-bolehnya diwajibkan berusaha agar tidak menyusahkan sesiapa selagimana mereka masih boleh menggunakan kudrat sendiri untuk menyara diri. Bagi wanita contohnya mereka adalah kaum yang menjadi tanggungan kepada bapa ataupun suami sekiranya mereka di bawah tanggunjawab pihak yang berkenaan. Begitu juga orang yang miskin adalah menjadi tugas pihak yang berkuasa dan masyarakat sekeliling untuk prihatin di atas keperluan golongan ini. Dalam hal ini Islam sebenarnya amat menitikberatkan kebajikan setiap golongan. Tidak ada sesiapa pun terkecuali dan yang boleh bersikap lepas tangan. Jika orang yang bertanggungjawab tidak melaksanakan tanggungjawabnya maka Islam menyeru agar ada insan-insan lain yang peka memberikan bantuan. Ganjaran dijanjikan sebagaimana orang yang berjihad fi sabilillah.

Butiran selanjutnya ...

Tazkirah: Lelaki Soleh

Lelaki soleh dapat didefinisikan sebagai seorang lelaki muslim yang beriman (mukmin), bersih dari segi zahir dan batinnya, mengambil makanan yang bersih dan halal (bukan dari sumber yang haram) serta sentiasa berusaha menjauhkan dirinya dari perkara perkara yang akan mendorong ke arah maksiat dan menariknya ke jurang NERAKA yang amat dalam.

Lelaki soleh juga ialah seorang lelaki yang sentiasa taat kepada Allah SWT dan RasulNya walau di mana sahaja mereka berada dan pada bila-bila masa sahaja. Kesolehan dan keimanan seseorang tidak dapat dilihat dan diukur dari segi lahiriah semata-mata kerana ianya adalah berkait rapat dengan masalah AKIDAH dan KEYAKINAN, kepada siapa dia menyerah keyakinan dan ketaatan dan sebaliknya. TAUHID merupakan dasar tertinggi dalam kehidupan yang harus sentiasa dipelihara kerana apabila tauhid tidak betul dan sempurna, maka seluruh amalan yang dilakukan adalah sia-sia sahaja. Apabila telah jelas kepada siapa kita memberikan perwalian dan terhadap pihak mana kita menolak kepimpinan, barulah Tauhid akan menjadi kenyataan dan berdiri dengan tegaknya dalam jiwa seseorang.

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa kesolehan seseorang lelaki itu tidak dapat dinilai dari segi lahiriah semata-mata. Ianya adalah lebih jauh dan mendalam dari itu senua. Antara hal-hal yang harus dilihat dan dikaji pada setiap individu muslim ialah perkara-perkara yang bersangkutan dengan keyakinan, tujuan dan pandangan hidup serta cita-cita dan jalan hidup seseorang itu.

Kriteria-kriteria lelaki soleh yang dimaksudkan oleh Al-Quran dan Al-Hadis.....

1. Sentiasa taat kepada Allah SWT dan Rasullulah s.a.w.

2. Jihad Fisabilillah adalah matlamat dan program hudupnya.

3. Mati syahid adalah cita-cita hidup yang tertinggi.

4. Sabar dalam menghadapi ujian dan cabaran dari Allah SWT

5. Ikhlas dalam beramal.

6. Kampung akhirat menjadi tujuan utama hidupnya.

7. Sangat takut kepada ujian Allah SWT dan ancamannya.

8. Selalu memohon ampun atas segala dosa-dosanya.

9. Zuhud dengan dunia tetapi tidak meninggalkannya.

10. Solat malam menjadi kebiasaannya.

11. Tawakal penuh kepada Allah SWT dan tidak mengeluh kecuali kepada Allah SWT

12. Selalu berinfaq samada dalam keadaan lapang mahupun sempit.

13. Menerapkan nilai kasih sayang sesama mukmin dan ukhwah diantara mereka.

14. Sangat kuat amar maaruf dan nahi munkarnya.

15. Sangat kuat memegang amanah, janji dan kerahsiaan.

16. Pemaaf dan lapang dada dalam menghadapi ‘kebuduhan’ manusia, sentiasa saling koreksi sesama ikhwan dan tawadhu penuh kepada Allah SWT

17. Kasih sayang dan penuh pengertian kepada keluarga.

Selain daripada ciri-ciri di atas, orang-orang yang soleh juga merupakan insan-insan yang senantiasa mendapat ujian dan cubaan daripada Allah SWT setelah para nabi-nabi dan orang orang yang mulia. Mereka menghadapi segala ujian tersebut dengan hati yang tabah dan tetap teguh dalam keimanan serta pendirian. Mereka tidak mudah menyerah kalah dari keganasan dan tekanan musuh.

Tugas-tugas dan kewajipan Lelaki Soleh

1. Mencari nafkah (belanja hidup)

2. Berjihad Fisabilillah

3. Melindungi dan membela kaum yang lemah dan tertindas

4. Memimpin, mendidik dan berlaku adil terhadap isteri

MENCARI NAFKAH

Tugas mencari nafkah diberatkan kepada kaum lelaki kerana kelebihan dalam penciptaannya yang berupa kekuatan fizikal dan akal fikirannya. Oleh itu Lelaki mampu untuk bekerja keras untuk mencari nafkah, memberi perlindungan dan pertahanan maruah kehidupannya terutama kepada keluarga, agama, bangsa dan agamanya. Inilah sebabnya lelaki diangkat menjadi pemimpin bagi kaum wanita. Oleh itu, seorang lelaki muslim, lelaki dan suami yang soleh, tidak akan melalaikan tugas ini. Ia wajib bekerja menurut apa sahaja kemampuannya. Dalam melaksanakan tugas ini, dia haruslah MEMBETULKAN NIATnya iaitu ikhlas untuk mencari keredhaan Allah SWT. Dia tidak akan merasa MALU untuk melakukannya sebaliknya gembira dan berbangga terhadap pekerjaannya lebih lebih lagi perkara yang halal.

Lelaki soleh tidak akan lupa untuk mengingati hari akhirat tetapi menjadikannya sebagai tujuan yang utama. Dia bekerja di dunia untuk mencari keuntungan di akhirat, bukannya mengejar keduniaan semata-mata. Dengan cara ini, usahanya akan sentiasa berhasil dan berjaya didunia dan akhirat. Seperti kata ulama Salaf yang bermaksud; Wahai anak Adam! Juallah duniamu dengan akhirat, maka engkau akan UNTUNG semuanya, tetapi jangan engkau jual akhirat dengan dunia, maka engkau akan RUGI semuanya.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang memberi nafkah kepada isterinya, anaknya dan ahli keluarganya, maka ia (iaitu nafkah) yang diberikan adalah sedekah.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah). Pemberian nafkah oleh suami terhadap keluarga merupakan satu amanah yang mesti ditunaikan di mana nafkah tersebut merangkumi perbelanjaan makan minum, tempat tinggal, keselamatan dan perlindungan.

“Bagi orang-orang yang telah mengerjakan kewajipan agamanya dengan baik, kemudian terasa penat dan letih pada malamnya, sehingga tidak dapat mengerjakan amalan-amalan sunnah, maka Allah dan RasulNya memberikan jaminan dengan ampunan sepanjang malam yang dilaluinya dengan tidur yang nyenyak.”

Inilah antara ganjaran yang akan dikurniakan kepada lelaki soleh yang mencari nafkah dengan bersungguh-sungguh. Terdapat dua cara orang berusaha mencari nafkah seperti yang dianjurkan oleh ISLAM.

Pertama: Hendaklah ia tidak melalaikan tugasnya terhadap Allah SWT dan janganlah ia meninggalkan nilai-nilai yang LUHUR.

Kedua: Hendaklah dilakukan dengan cara yang halal, bersih dan tidak membawa apa apa kemudaratan kepada orang lain dan tidak pula bertentangan dengan peraturan-peraturan umum.

Antara cara-cara pencarian harta yang diharamkan oleh Islam ialah:

1. Riba,

2. Penimbunan barang-barang yang menjadi hajat orang ramai,

3. Perjudian dan perdagangan minuman keras,

4. Berlaku penipuan dalam penimbangan dan penukaran barang,

5. Mencuri

6. Memakan harta orang lain dengan cara yang bathil seperti yang diterangkan dalam surah An Nisa 4, ayat 29.

BERJIHAD FISABILILLAH

Jihad merupakan amal yang paling utama dan puncak ketinggian Islam. Tidak ada satu pun amalan soleh yang dapat menandingi Jihad. Orang soleh tidak sedikit pun merasa gentar dan takut apabila berjuang menegakkan agama Allah sebaliknya sentiasa tersenyum bangga menjadi seorang Pegawai Allah dengan gelaran paling indah iaitu MUJAHIDIN. Inilah yang dimaksudkan dengan lelaki soleh, yang mana pekerjaan utamanya membunuh atau terbunuh. Jika tidak terbunuh, maka ia mesti membunuh. Tidak terdapat alternatif lain kecuali satu antara dua 'YUQTAL AU YAGHLIB' yakni TERBUNUH atau MENANG.

MELINDUNGI DAN MEMBELA KAUM YANG LEMAH DAN TERTINDAS

Sememangnya sejak akhir-akhir ini golongan kafir senantiasa mencari peluang untuk menindas dan menakhluki negara-negara serta umat- umat Islam. Orang orang yang soleh haruslah peka dan bersedia untuk bertindak balas supaya umat-umat Islam tidak akan ditindas dengan sewenang-wenangnya oleh golongan tersebut.

Saad bin Abi Waqas r.a menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: “Nafkah (infak) yang kamu berikan semata-mata kerana Allah nescaya diberi pahala oleh Allah SWT, bahkan apa yang kamu berikan untuk makanan isteri kamu (perbelajaan rumahtangga) akan diberi pahala juga oleh Allah SWT.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Perkahwinan dalam Islam bukan sekadar untuk memenuhi tuntutan biologi terhadap satu sama lain, malah satu daripada tanda kekuasaan dan kebesaran Allah Yang Maha Esa (ar-Rum, ayat 21). Iaitu kekuasaan-Nya menyatukan dua makhluk yang berlainan jantina serta mempertautkan hati kedua-duanya dengan ikatan kasih mesra. Maka, suami yang soleh ialah suami yang menyayangi serta melindungi isterinya dari perkara berbahaya atau memudaratkannya.

Suami ialah ketua keluarga yang bertanggungjawab memastikan isterinya memperoleh keperluan hidup seperti tempat tinggal, makanan dan pakaian yang secukupnya. Suami juga hendaklah membimbingnya agar selamat daripada api neraka. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kaum lelaki itu ialah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh sebab Allah melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain, dan juga kerana orang lelaki telah memberi nafkah daripada harta mereka...” (an-Nisa: 34)

"Wahai lelaki soleh...! Tugas dan tanggungjawabmu bukanlah ringan, bayangkan langit dan gunung tidak mampu membawanya. Kamu sajalah yang akan tampil dan mampu menyelesaikan persoalan besar ini. Orang orang yang lemah dan sedang tertindas sentiasa menanti kehadiranmu. Mereka berdoa agar kamu segera tiba untuk menjadi pembela dan penolong bagi mereka."

Inilah laungan yang senantiasa terdengar daripada golongan golongan yang tertindas dan mengharapkan bantuan. Oleh itu lelaki yang soleh haruslah memainkan peranannya sebagai pembela agama sama ada secara langsung ataupun tidak langsung demi untuk mengekalkan kedaulatan agama Islam.

MEMIMPIN DAN MENDIDIK ISTERI

1. Mengajar dan membimbing dengan cara yang baik sehingga isteri isteri yang tidak solehah menyedari akan kesilapannya dan menukar cara hidupnya menjadi isteri solehah.

2. Menangani isteri yang bodoh dan keras kepala dengan bijaksana sehingga dia menyedari hakikat yang sebenarnya dan bersedia mengubahnya.

Demikianlah cara-cara yang telah digariskan oleh Islam untuk mengatasi masalah ketidak-sesuaian suami isteri dalam kehidupan rumah tangga. Apabila menghadapi sebarang kesulitan, lelaki soleh tidak akan cepat melatah dan bertindak menurut nafsu dan perasaan semata-mata tanpa mengambil kira perasaan orang lain. Lelaki soleh akan bertindak dengan cara yang lebih effisien dan bijaksana dan senantiasa memohon petunjuk dari Allah S.W.T. Dengan ini kebahagiaan rumahtangga akan dapat dikekalkan buat selama lamanya. Suami yang soleh akan sentiasa berlaku baik terhadap isteri. Suami yang soleh akan sentiasa maenjaga kebajikan keluarganya terutama isterinya. Ia senantiasa menjaga hati dan perasaan pasangannya dan sentiasa menggembirakan isterinya. Mereka juga akan bertanggungjawab dalam menguruskan urusan rumahtangga dan bekerjasama dengan isterinya.

Sabda Rasulullah s.a.w. : “Orang yang terbaik diantara kamu adalah orang yang terbaik terhadap isterinya, dan aku adalah orang yang terbaik di antara kamu terhadap isteriku.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Tauladan Rasulullah s.a.w. dalam kehidupan berkeluarga.

1. Keadaan baginda sebagai suami dan ayah

2. Kebiasaan baginda di tengah kehidupan berkeluarga

3. Cinta kasih baginda terhadap isteri dan anak.

Sumber: SIM

Butiran selanjutnya ...

Khamis, Mei 22, 2008

Menangani isteri ‘kaki shopping’

Wanita memang sangat sinonim dengan aktiviti membeli belah. Pantang tertera papan tanda jualan murah di pusat membeli belah, pasti ada yang akan terdorong ke sana walaupun saat hujung bulan atau belum gaji, yang pasti akan sampai juga mereka ke sana.

Mengapa wanita suka membeli belah? Jawapannya cukup mudah, ia satu aktiviti yang cukup menyenangkan lagi menggembirakan kaum hawa. Ibaratnya segala masalah yang berkumpul di minda boleh hilang apabila membeli belah. Pasti ramai yang menyetujui kenyataan ini. Tetapi itu secara luarannya sahaja. Hakikat sebenarnya tidak demikian. Aktiviti membeli belah akan memberikan kesusahan jika dilakukan secara berlebihan. Sungguhpun ada wanita atau isteri mendakwa ia takkan jadi masalah sekiranya apa yang dibeli menggunakan wang sendiri, namun sikap ini sebenarnya tetap tidak disenangi oleh pasangannya.

Boros, walaupun menggunakan duit sendiri pasti akan memakan diri. Bagi kaki shopping, tidak cukup dengan wang tunai, mereka mungkin menggunakan kad kredit. Sekiranya terlebih guna, anda sendiri boleh dapat mengagak bahananya. Dalam hal ini, suami juga secara tak langsung akan turut menerima tempias. Bila isteri terlebih belanja, sudah tentu suami pula terpaksa menampung hutangnya.

Konflik rumahtangga juga bakal muncul jika perkara ini tidak ditangani. Selain itu, gara-gara ‘shopping’ tanpa tujuan, kewangan keluarga boleh berantakan. Mana tidaknya, ada yang sanggup menggunakan wang dapur ataupun wang persekolahan anak-anak untuk memenuhi keperluan membeli belahnya. Jika ada kalangan anda sudah berada di tahap ini, maka anda boleh disifatkan sebagai ‘gila shopping’.

Tahap pengendalian diri jadi punca

Bagi suami yang memiliki pasangan yang suka membeli belah, anda mungkin harus memahami bahawa sikap ini takkan muncul tanpa sebab. Ada tiga punca ia berlaku iaitu pengaruh persekitaran, dorongan kewangan dan juga tahap pengendalian diri yang rendah. Semua faktor ini tidak berdiri sendiri, semua berkait satu sama lain.

Kebiasaannya cara seseorang itu membeklanjakan wang mereka bermula dari keluarga dan orang sekeliling mereka. Rasa ingin berbelanja secara berlebihan itu akan muncul dari perasaan iri hati apabila melihat teman-temannya sudah emmiliki barang tertentu, sedangkan dia pula tidak memilikinya.

Punca lainya adalah kerana takut dikatakan ketinggalan zaman. Kebanyakkan wanita tidak mahu dicap sedemikian, mereka mahu menjadi sebahagian daripada trend yang sedang digemari oleh kaum wanita lain. Ini juga perkara yang menyebabkan mereka ingin selalu tampil berbeza dari persekitarannya hingga terbabit dalam tingkah laku boros membeli belah.

Dalam hal kewangan pula, hobi membeli belah ini tidak akan menjadi sekiranya tidak seimbang dengan peruntukan kesangan yang ada. Mana mungkin memeruskan aktiviti membeli belah jika modalnya tiada. Tapi jika peruntukan wangnya ada dan banyak pula. Tidak mustahil makin menjadi-jadilah sikap borosnya.

Tambah kronik sekiranya pasangan memang menyediakan banyak dana untuk berbelanja, seseorang itu bebas menggunakannya. tidak mustahil sikap ini akan tambah menggila dengan keadaan ini. Sebanyak manapun wang yang diberikan boleh dihabiskan dalam masa yang singkat.

Bagi aspek pengendalian diri pula, ia sangat bergantung kepada kemampuan setiap individu. Tahap perndidikan biasanya menjadi dasar bagi seseorang untuk berfikir sebelum membeli barang. Semakin tinggi pendidikan seseorang, semakin berfungsilah tahap pengendalian dirinya. Ketika ini dia akan memutuskan sama ada perlu membeli atau tidak.

Akan tetapi lain pula halnya dengan wanita yang bekerja. Perilaku ‘kaki shopping’ ini memiliki faktor pendorong lain, iaitu pendapatan. Secara psikologinya wanita suka berbelanja, tambah lagi jika mempunyai pendapatan sendiri. Mereka beranggapan bahawa dengan pendapatan yang diperolehi, mereka bebas membeli apapun yang diingini terutama untuk meningkatkan harga diri di kalangan teman sekerjanya. Tambah lagi jika seseorang wanita itu memiliki jawatan yang tinggi, pergaulan akan mula berubah dan mereka akan berusaha membeli barang-barang yang sesuai dengan teman pergaulannya.

Izin dari suami

Biarpun sikap suka membeli belah ini sukar dihilangkan, namun ia masih boleh dikurangkan. Perilaku ‘berbelanja secara bijak’ yang ditanamkan oleh ibubapa tatkala usia masih remaja mampu melenyapkan sikap ini secara perlahan-lahan.

Sikap ibubapa yang memanjakan anak dengan membiarkan mereka membeli apa yang disukai tanpa mengira batasan harga ibarat mendidik sikap boros atau ‘kaki shopping’ di kalangan anak mereka.

Peranan suami atau pasangan juga sangat penting untuk mengawal rasa ingin membeli ini. Oleh itu bagi lelaki yang memiliki isteri ‘kaki shopping’, mereka haruslah mencari cara menanagani sikap tersebut. Antara yang boleh dilakukan adalah dengan mebuat kesepakatan. Pastikan isteri meminta keizinan daripada suami untuk membeli apa yang diigini terutama jika harganya agak mahal. Dengan cara itu, suami dapat mengawal apa yang dibeli oleh isteri dan apa barang yang sudah dimilikinya. Meskipun ini hanya sebagai pemberitahuan saja, tetapi izin suami ini sangat berkesan dalam menangani sifat suka membeli belah sang isteri.

Butiran selanjutnya ...

Kehamilan perlu dirancang

Meskipun kaedah mencegah kehamilan hanya digunakan untuk menggelakkan kehamilan berlaku iaitu mencegah persenyawaan sperma dalam ovum, tetapi masih ramai yang sangsi.


PERANCANGAN keluarga menjamin kesihatan dan keharmonian keluarga.

MENYULAM cinta dan seterusnya mengambil keputusan mendirikan rumah tangga antara situasi lazim dilalui oleh setiap pasangan yang bercinta. Lebih indah lagi bahtera perkahwinan apabila diserikan dengan kehadiran cahaya mata.

Tapi, bagaimana pula di kalangan mereka yang masih belum bersedia?

Inilah antara kebimbangan yang sentiasa menjadi tanda tanya. Tanpa persediaan dari segi mental dan fizikal, ia bukan sahaja mengganggu fikiran ibu bapa malah turut menjejaskan kesihatan anak-anak.

Justeru, bagi merungkai dan menyelesaikan masalah yang berlaku, ibu bapa seharusnya membuat perancangan. Bagaimana dengan merancang keluarga? Masih terdapat ramai pasangan yang beragama Islam yang keliru dan was-was tentang undang-undang Islam berkaitan perancangan keluarga.

Mereka merasakan amalan tersebut bertentangan dengan agama. Sehubungan itu, mereka hanya berserah kepada takdir tanpa memikirkan risiko kepada kesihatan ibu dan ekonomi keluarga.

Jika diperhatikan ramai di kalangan pasangan yang kurang berkemampuan memiliki anak yang ramai.

"Tidak dinafikan setiap anak yang lahir di dunia memiliki keistimewaan dan memberi rezeki. Namun, bagaimana pula dengan nasib mereka sekiranya tidak mendapat mendapat keperluan yang sepatutnya?

"Hati saya cukup tersentuh dan kecewa melihat keluarga miskin yang memiliki anak yang ramai. Dek kerana wang yang tidak mencukup, anak-anak bukan sahaja tidak ke sekolah, malah terpaksa menahan lapar dan bekerja pada usia yang muda," luah pengacara TV dan juruhebah radio Hot fm, Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid, 25, yang mengimpikan lima orang anak.

Aleya yang mendirikan rumah tangga pada tahun lepas berpendapat, merancang keluarga amat penting terutamanya bagi pasangan yang sedang mengukuhkan ekonomi keluarga.

Dia dan suaminya yang turut merancang keluarga sedang gigih bekerja dan belajar untuk menjadi ibu bapa yang baik.

Lantas bagi menangkis tanggapan negatif dan bertujuan meningkatkan kesedaran perancangan keluarga menerusi kaedah pencegahan kehamilan yang tidak bertentangan dalam ajaran Islam, Bayer Schering Pharma Malaysia dan dua orang pakar merungkai masalah tersebut.


ISLAM tidak menegah amalan merancang keluarga kerana ia mempunyai keperluan tersendiri.


Menurut Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj amalan perancangan keluarga tidak pernah ditentang oleh agama Islam. Tidak pernah tercatat dalam al-Quran yang mengharamkan merancang keluarga.

Berdasarkan statistik yang diberikan secara purata sejak tahun 1997 hingga 2000, 55 peratus kematian wanita hamil di Malaysia kerana tidak pernah mengamalkan perancangan keluarga. Pecahan statistik itu ialah 59.5 peratus (1997), 65.4 peratus (1998), 64.9 peratus (1999) dan 58.9 peratus (2000).

Bukan itu sahaja, bayi yang dilahirkan juga berisiko mati sekiranya kakak atau abang berusia 18 bulan lebih muda, berbanding yang berusia dua tahun.

"Perancangan keluarga seharusnya dilakukan supaya menjarakkan usia anak daripada anak yang lain, menjaga kesihatan dan keselamatan ibu dan merancang kelahiran apabila pasangan sudah cukup bersedia (kewangan, fizikal dan mental).

"Tidak dinafikan ramai yang beranggapan bahawa amalan ini seperti membunuh zuriat. Ini tidak betul kerana kaedah mencegah kehamilan hanya digunakan untuk menggelakkan kehamilan berlaku, iaitu mencegah persenyawaan sperma dalam ovum," ujar Harlina lagi.

Harlina menyatakan, Islam membenarkan penggunaan kaedah mencegah kehamilan yang boleh diterbalikkan seperti pil oral kontraseptif, Sistem Intra-Uterin (IUS) dan kondom.

Ini kerana kaedah yang dinyatakan tidak memusnahkan sama sekali keupayaan untuk hamil dan melahirkan. Di samping itu, beberapa kaedah kontraseptif yang terdiri daripada pil oral pula boleh memberikan manfaat kesihatan tambahan kepada wanita dalam mengurangkan risiko kanser endometrium dan ovari.

Beliau juga menasihatkan setiap pasangan supaya mendapatkan nasihat dan panduan. Sebaik-baiknya, pergi berjumpa doktor berdua berbanding si isteri atau suami pergi bersendirian.


MERANCANG keluarga untuk menjarakkan usia anak adalah diharuskan.


Sementara itu, Ahli Perundangan Syariah, Pengarah Eksekutif Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Kewangan (ISRA), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Mohammad Akram Laldin menjelaskan, matlamat perancangan keluarga adalah untuk memastikan setiap kehamilan dirancang dan dikehendaki.

"Institusi keluarga adalah unit sosial yang penting dalam masyarakat. Sungguhpun Islam menggalakkan lelaki dan wanita berkahwin dengan tujuan mendapatkan zuriat, tetapi kualiti hidup perlu dititikberatkan.

"Perancangan keluarga boleh diamalkan dengan persetujuan suami dan isteri," tegas Akram bahawa merancang keluarga sebahagian agenda pembangunan keluarga untuk menjarakkan usia anak atas alasan kesihatan, pendidikan dan kesejahteraan keluarga.

Butiran selanjutnya ...

Rabu, Mei 21, 2008

Tajdid Iman: Kejar kuantiti, kurang ilmu punca amalan tak berkat

APAKAH yang akan berlaku pada diri kita jika setiap hari tidak pernah ditimpa kesusahan? Wang yang banyak boleh membeli apa saja dimahukan, anak dan cucu hadir di sisi mengisi kekosongan hati dengan telatah mendamaikan jiwa, rumah besar dan aman daripada sebarang kejahatan, tubuh badan sentiasa cergas dan sihat, populariti disegani dan kedudukan tinggi di mata masyarakat. Semua serba sempurna tiada kecacatan dan kekurangan dirasai. Adakah keadaan sebegini baik untuk iman kita?

Keadaan terlalu selesa sebenarnya boleh membahayakan iman dan menjejaskan ingatan kita kepada keperluan bergantung pada kuasa Allah SWT. Mungkin jika harta sudah banyak terkumpul seseorang mudah lupa bagaimana menadah tangan dan melafazkan doa: “Ya Allah SWT hindarkanlah aku daripada muflis di dunia dan di akhirat.”

Jika hidup sentiasa sihat dan cergas, mungkin manusia suka melayan hawa nafsunya, memuaskan segala keinginan hati, suka bermalas-malasan, lupa menuntut ilmu dan menunda amal kerana ia tidak rasa dekat dengan penyakit dan ajalnya. Dan jika kesenangan saja yang dirasa mungkin apabila sedikit ujian datang kita akan mengeluh, membenci dan marah dengan ketentuan Allah SWT.

Sama halnya dengan kemiskinan, sakit dan ujian kehidupan yang bermacam boleh menjadi perangsang meningkatkan iman atau pun sebaliknya mendekatkan kita kepada kekufuran.

Pernahkah hati kita berbisik, jika ujian kemewahan pun kita tidak kuasa menghadapinya apatah lagi jika kemiskinan yang ditakdirkan untuk kita, apakah akan terjadi dengan iman kita? Jika sihat masih suka mengeluh dan membenci peristiwa dijalani hari ini, bagaimana jika sakit tenat menunggu ajal?

Setiap mukmin mesti membuat persediaan rapi bagi menjaga imannya daripada hasutan syaitan dan penyelewengan hawa nafsunya sendiri. Kadang-kadang kita mencuba beberapa formula untuk menghidupkan iman tetapi kelalaian akan datang berulang. Mengapakah formula yang diamalkan itu tidak menjadi?

Antara kesilapan orang mukmin ketika berusaha meneguhkan imannya ialah:

  • Beramal berdasarkan kuantiti bukan kualiti. Jika sembahyang sunat sampai berbelas-belas rakaat tetapi sembahyang wajib belum lagi sempurna syarat, rukun dan khusyuknya. Ada pula setiap tahun pergi ke Mekkah dan menghitung pahalanya lalu dia merasa cukup pahalanya itu untuk setahun hadapan, akhirnya dia pun tinggalkan amal semasa di tanah air. Paling teruk, buat dosa dan maksiat tanpa takut kerana berasa sudah aman dengan pahala yang diperoleh di Mekkah.

    Sungguh pemikiran yang pelik akibat kejahilan dan dangkalnya ilmu. Apakah dia tahu Tuhan sudah menerima pahala haji dan umrahnya itu? Jika niatnya saja tidak lurus daripada semula, mana mungkin amal diterima. Semua amalan yang rosak niatnya maka rosak pula segala-galanya.

    Contoh yang menunjukkan kita lebih suka kuantiti daripada kualiti amal ialah membaca al-Quran untuk mendapat pahala banyak, maka dibacalah beberapa juzuk walaupun tanpa pemahaman dan kehadiran hati. Tidak kita nafi mengenai pahala yang datang beratus ribu jika satu huruf digandakan sepuluh pahala, tetapi sampai bila kita boleh bertahan jika hati tidak rasa seronok dan mungkin jemu kerana keletihan membaca. Seandainya seseorang boleh membaca al-Quran dengan lidah dan hatinya kemudian akal fikirannya membentuk realiti mengenai ayat yang dibaca, tentu lebih seronok dan khusyuk menyelami pemikiran al-Quran.

    Bacaan kita akan menghidupkan iman di jiwa walaupun hanya satu ayat yang diiringi dengan tadabbur. Bukankah Rasulullah SAW sering mengulang ayat yang mengesankan hati baginda SAW? Urusan pahala berada pada kuasa Allah SWT, diterima atau ditolak pun kita tidak akan sampai kepada ilmu Allah Yang Maha Tinggi.

    Paling penting ialah apa-apa amal soleh walaupun sedikit yang termampu hendaklah membekas ke dalam hati, menguatkan iman dan membentuk keperibadian hamba yang diredai Allah. Yang sedikit tetapi berterusan boleh menghidupkan jiwa adalah lebih baik daripada amal banyak disertai sikap ujub, takbur, riak dan meletihkan jiwa yang sememangnya tidak kuasa hidup seperti malaikat.

    Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bacalah al-Quran selama perhatian hatimu menuju kepadanya, apabila kamu bimbang maka berhentilah.” (Hadis riwayat Muslim)

  • Kesilapan kedua ketika mahu memperbaiki iman ialah beramal tetapi meninggalkan usaha menuntut ilmu. Komitmen kita melakukan solat, puasa, zakat dan sedekah, pergi melaksanakan umrah dan haji serta amalan sunat lainnya tidak akan bertahan lama tanpa asas ilmu yang kukuh. Ramai orang yang melakukan sembahyang hanya sekadar ikutan, begitu pula puasa dan hajinya dilakukan tanpa ilmu.

    Mengapa ayat pertama diturunkan berbunyi: “Iqra’, Bacalah! Bukannya solatlah, sedekahlah, buatlah haji dan sebagainya. Kepentingan ilmu lebih diutamakan untuk menguatkan amal seseorang. Orang yang menuntut ilmu akan bertambah yakin setelah mempelajari dalil dan hujah al-Quran mengenai sesuatu amalan yang dilakukan kerana mentaati Allah SWT. Ilmu juga menunjukkan jalan yang dilalui para Nabi dan Rasul menuju keredaan Allah SWT.

    Ilmulah membezakan manakah amal yang salah dan mana yang sahih di sisi Allah SWT. Ahli ilmu lebih tinggi kedudukannya daripada orang yang beribadah tetapi meninggalkan ilmu seperti mana sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Kelebihan orang yang berilmu (alim) dengan yang beribadah (abid) seperti kelebihanku ke atas orang yang paling rendah di antara kamu.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmizi)

    Betapa ramai orang disesatkan dalam akidah dan ibadahnya kerana tiada ilmu. Penyelewengan yang ketara ialah apabila kumpulan dan aliran yang mengada-adakan ciptaan dan rekaan sesuatu cara ibadat dengan mengikuti hawa nafsu tanpa sandaran ilmu bersumber daripada al-Quran dan hadis.

    Rasulullah SAW pernah memberi peringatan mengenai hal ini dengan sabda Baginda yang bermaksud: “Allah tidak menghapuskan ilmu dengan cara mencabutnya daripada dada manusia. Tetapi dengan jalan mewafatkan para ulama. Apabila tidak ada lagi para ulama, maka manusia mengangkat orang jahil menjadi pemimpin mereka. Lalu mereka bertanya kepada para pemimpin yang jahil itu. Dia memberi fatwa tanpa ilmu dan menyesatkan orang ramai, maka sesatlah mereka semuanya.” (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim dan al-Tirmizi)

    Umat Islam seharusnya menjadikan ulama sebagai sumber menghidupkan iman mereka, tetapi ramai yang memerlukan ulama hanya untuk menolong menguruskan mayat, membaca tahlil dan talkin.

    Mereka hanya ingat kepada ulama jika ditimpa ujian dan musibah untuk sekadar meminta doa supaya lancar perniagaan diusahakan. Ulama diperlukan untuk majlis kahwin, orang mati dan majlis kenduri.

    Mengapa tidak datang kepada ulama untuk meminta seteguk ilmu daripada mata air yang diwarisi daripada Rasulullah SAW supaya teguh iman kita dan lahir jiwa yang kuat mengharungi cabaran dunia dalam segala bidang kehidupan.

    Apabila ilmu agama dipisahkan daripada realiti kehidupan yang dihadapi setiap hari, maka akan lahir generasi paginya beriman tetapi pada sebelah petang hilang segala iman di dadanya. Mereka ingat kepada Allah saat di masjid saja, di luar daripada itu mereka rela ditipu oleh dunia.

  • Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui juanda@kutpm.edu.my

    Sumber: BHarian 12/05/08

    Butiran selanjutnya ...

    Mandi Wajib Ekspress

    Forwarded by someone in Taman2Syurga

    mohd firdaus
    Date: 2008/5/20
    Subject: MANDI WAJIB EXPRESS

    1. Tentu anda rasa pelik bila saya menulis tajuk ini. Mungkin ada yang rasa, penulis ini ada gila-gila bahasa, atau nak menarik perhatian orang, atau saja saja buang masa, atau apa-apalah.


    2. Kalau anda mengambil masa dalam 10 minit untuk mandi wajib, maka anda perlu berhenti disini dan tidak perlu membaca dgn lebih lanjut.
    Tetapi kalau anda mandi wajib dan mengambil masa melebihi 20 minit, maka anda digalakan membaca seterusnya. Jika anda hidup 10-20 tahun lagi, anda akan dapat menjimatkan antara 200-400 jam, jika anda mengikut cara mandi wajib yg berstruktur dibawah nanti.

    3. Menjadi kewajipan semua umat Islam yg baligh untuk mengetahui bagaimana mahu menunaikan mandi wajib. Saya diberitahu oleh anak saya bahawa untuk subject PAFA darjah 6, telah ada cara mandi wajib yg berstruktur diajarkan. Tetapi kalau ingatan saya betul, pada zaman saya bab mandi wajib ini tidak diajarkan cara yg berstruktur. Yang diajarkan ialah niat kemudian meratakan air seluruh badan.

    4. Oleh kerana cara kita mandi wajib yg mengambil masa terlalu lama, ada diantara kita merasakan mandi wajib adalah satu beban. Mungkin ada yg berkata ”malas betullah nak mandi wajib” bila mengenangkan cerewetnya dan lamanya nak mandi wajib.

    5. Tulisan ini saya tujukan kepada lelaki dan perempuan yg mengambil masa melebihi 20 minit untuk menunaikan kewajipan mandi wajib. Kalau perempuan paling tidak sekali sebulan anda akan mandi wajib. Lelaki dan perempuan yang telah berkawin, paling tidak 2 atau 3 kali seminggu mandi wajib.

    6. Jika anda dapat menjimatkan 10 minit dengan mandi wajib dari 20 minit menjadi 10minit, anda akan dapat jimat 200 hingga 400 jam utk masa 10-20 tahun. 200 jam adalah sama dengan 20 hari kerja dan 400 jam adalah sama dengan 40 hari kerja. Bayangkan anda dapat bercuti 20 hari terus menerus...uhhh indahnya... Sembahyang subuh anda juga akan dapat dilakukan dengan segera.

    7. (Izinkan saya menambah rempah sedikit.) Jika anda lelaki dan kalau kurang mandi wajib dari jumlah 2-3 kali seminggu itu, wellll anda kena check libido anda. Kemungkinan anda merokok banyak sangat, terlalu gemuk, stress hidup atau stress kerja keterlaluan, atau perjalanan darah anta sudah kurang baik atau ada perkara perkara katil yg telah menjadi terlalu routine.
    Kalau anda lelaki dan tidak faham ini “ sex is like a heating a pizza, you must preheat the oven 20-30minutes, before putting a pizza in the oven”, kemungkinan anda telah menzalimi pasangan anda. Kalau anda perempuan dan pasangan anda jenis ‘cecah cecah terus celup’, then anda perlu berbincang segera sebelum timbul perasaan anda seolah tidak dihargai dan seolah rasa tidak dibelai mesra. Buat segera sebelum rumahtangga anda terasa kering ‘dry’.

    8. Berbalik dgn cara mandi wajib express itu tadi, ianya menjadi express jika anda mengikut cara yg Rasullullah tunjukan. Tetapi anda perlu memahami bahawa anda hanya perlu sapu air pada anggota badan anda dan bukannya perlu ’gosok’ pada setiap anggota badan anda. Isu kurang yakin ialah isu ilmu. Jika air telah lalu dan anda sapu tangan anda di anggota itu, atau anda ambil air dan sapu dianggota itu, maka anda telah pun menunaikan kewajipan membasuh anggota tersebut. Bila anda gosok dan kurang yakin, itulah yg akan mengambil masa melebihi 20 minit.

    9. Begini cara Rasulullah buat dgn cara berstruktur:-

    a. Mula dgn mencuci kedua tangan tiga kali
    b. Kemudian basuh kemaluan depan dan belakang
    c. Ambil wudhu dgn sempurna seperti wudhu biasa (termasuk berkumur dan masuk air dlm hidung) . Anda boleh tangguh basuh kedua kaki sampai selesai mandi.
    d. Siram air 3 kali keatas kepala sambil berniat mandi wajib. Gosok rambut untuk memastikan air sampai ke kulit kepala.
    e. Siram air keseluruh badan dengan memulakan sebelah kanan kemudian kiri. Sapu bahagian dalam dua telinga, hidung, pusat, turun ke kanan peha, betis, tumit kaki, celah jari kaki, kemudian kiri peha, betis, tumit kaki, celah jari kaki.
    f. Tutup mandi wajib anda membasuh kedua kaki ie menyempurnakan wudhu tadi.
    g. Sempurnalah mandi wajib express anda.

    10. Anda perlu practice dan target. Pada peringkat awal, cuba kurangkan masa dari 20 menjadi 15. Kemudian dari 15 menjadi 10. Bukankah setiap minit itu berharga.

    Rujukan Fikih Sunnah:
    Hadis dari Aisyah r.a ”Bahwa Nabi saw bila mandi disebabkan janabat, mulai dengan mencuci kedua tangan, lalu menuangkan air dgn kanan ketangan kirinya dan mencuci kemaluannya, kemudian berwudhu seperti halnya ketika hendak shalat, lalu diambil air dan dimasukkan jari jari kedalam urat rambut hingga dirasanya air telah membasahi kulit, disauknya dua telapak tangan lagi dan disapukannya ke kepalanya sebanyak tiga kali kemudian dituangkan keseluruh tubuhnya ” (Bukhari & Muslim).

    Anda mendapat dua perkara, satu menunaikan kewajipan, kedua mengikut Sunnah.

    Semoga anda berjaya menjimatkan 20 jam untuk 2008.

    Selamat Mencuba.

    Butiran selanjutnya ...

    Selasa, Mei 20, 2008

    Al-Fatihah for Atuk T'ganu

    This is Muhammad Ilham Darwish (1 yr old) with his atuk "t'ganu kite". Pix was taken in March, when atuk's visit to my MIL house in KJ. I never knew that this will be the first and last time for Ilham to spend his time together with atuk.

    My FIL was admitted to KTH and passed away last Saturday, 17/05/2008 (12 Jamadilawal 1429) at 8:30pm, due to asthma and HBP.

    Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah s.w.t. selalu hendaknya.

    Al-fatihah.

    Butiran selanjutnya ...

    Ujian kesuburan kesan lelaki mandul

    sperma bertarung mensenyawakan telur dan jika ia lemah atau tiada langsung menandakan kilang benih lelaki tidak berfungsi dan memerlukan rawatan susulan.


    PENGHUJUNG Mac ini, genap usia perkahwinan Marzuki, 29 dan Zalia, 32, lima tahun. Berbanding teman-teman lain yang seangkatan menaiki jenjang pelamin, kebanyakannya sudah mempunyai dua orang cahaya mata dan paling tidak pun seorang.

    Berbeza pula pasangan ini sehingga ke hari ini ke mana-mana mereka masih berdua. Sebagai isteri, ramai yang menunding jari kepada Zalia yang dikatakan mandul dan menjadi punca kenapa sehingga ke hari ini mereka masih tidak dikurniakan cahayamata.

    Bukan tidak berusaha malah bermacam-macam langkah diambil Zalia, baik cara moden dengan berjumpa doktor, tidak kurang cara tradisional.

    Salah seorang doktor yang ditemui pasangan ini pernah menasihatkan agar Marzuki turut sama menjalani ujian kesuburan bagi mengenalpasti punca kepada masalah tersebut. Namun, ia kurang dipersetujui Marzuki kerana berpandangan adalah mustahil lelaki sepertinya yang aktif bersukan, tidak merokok dan mengamalkan gaya hidup sihat mengalami masalah kesuburan.

    Membincangkan situasi tersebut, Pakar Sakit Tuan, Dr. Mohd. Ismail Tambi, tidak menafikan kira-kira 60 peratus daripada kes pasangan yang mengalami masalah ini melibatkan faktor lelaki. Katanya, sebanyak 40 peratus daripada keseluruhan masalah kesuburan berpunca daripada lelaki, manakala 20 peratus lagi gabungan faktor lelaki dan wanita.

    ‘‘Oleh kerana itu apabila satu-satu pasangan itu mengalami masalah untuk mendapatkan anak, suami juga perlu menjalani pemeriksaan dan bukannya si isteri sahaja,’’ ujarnya ketika ditemui baru-baru ini. Merujuk kepada kes pasangan Marzuki dan Zalia, beliau tidak menafikan ego dalam diri Marzuki sering menghalangnya daripada menjalani ujian kesuburan. Ismail tidak menafikan kebanyakan lelaki menganggap asalkan mereka dapat melakukan hubungan seksual, itu memadai untuk membuktikan bahawa mereka tiada masalah berkaitan kesuburan.

    ‘‘Mereka berpendapat selagi berlaku seks penetratif tiada masalah kemandulan sebaliknya jika berlaku ia berpunca daripada wanita. Anggapan ini salah sama sekali kerana lelaki juga berhadapan dengan masalah tersebut,’’ tegasnya.

    Menurut beliau sekalipun organ seksual seseorang lelaki itu berfungsi, tidak semestinya individu itu mampu menghamilkan seorang wanita. Ujian air mani merupakan satu-satunya penentuan kesuburan lelaki. Ini kerana jika seseorang itu tidak menjalani ujian berkenaan, sehingga bila-bila pun mereka tidak akan tahu tahap kesuburan mereka atau siapa yang menjadi punca sebenarnya.

    Menerangkan lebih lanjut mengenai ujian air mani seperti yang disarankan, beliau berkata, ia bertujuan untuk mengenalpasti kemampuan menghasilkan sperma dan tahap kesuburan sama ada sperma cukup bilangan atau aktif. Menurutnya, jika bilangan sperma atau keaktifannya kurang, ujian air mani perlu diulangi sekali lagi untuk pengesahan kedudukannya.

    Jika sah ada masalah, ujian susulan perlu dilakukan untuk mengenalpasti sebab masalah itu berlaku supaya rawatan sewajar dapat dilakukan. Proses pemulihan masalah sperma mengambil masa agak lama iaitu sekurang-kurangnya tiga hingga sembilan bulan sebelum menampakkan hasil.

    Dalam ujian kesuburan ini, jika yang pertama menunjukkan tiada sperma langsung, ujian ulangan perlu dilakukan dalam tempoh terdekat untuk kepastian. Jika tiga kali ujian dilakukan dan hasilnya tetap sama, ia boleh disahkan. Jika tiada sperma, ia memberi tanda kilang benih seseorang lelaki itu tidak berfungsi atau salur benih terkandas.

    Beliau berkata, pemeriksaan anggota sulit lelaki merupakan kebiasaan yang dilakukan oleh doktor untuk mengenal pasti keadaan kedua-dua buah zakar dan untuk mengesan gejala kesihatan lain seperti ketumbuhan atau pembuluh darah yang berpintal seperti varikosel.

    Saiz buah zakar jika kurang daripada 10 mililiter mengikut pengukur buah zakar yang dikenali sebagai orchidometer, ia merupakan petanda kilang benih rosak dan kemungkinan lelaki itu tidak dapat menghasilkan benih. Dalam masa sama pesakit juga perlu melakukan ujian susulan, termasuk ujian darah untuk menyukat tahap hormon kesuburan sama ada ia kurang pada hadnya.

    ‘‘Jika ada keraguan, sedikit tisu daripada kedua-dua buah zakar akan diambil untuk mengesan kedudukan kilang sperma untuk memastikan sama ada kilang itu berfungsi atau sebaliknya. Ia dikenali sebagai biopsi buah zakar dan ia bukan rawatan,’’ ujarnya.

    Beliau berkata, walaupun ketika dilahirkan seorang lelaki itu memiliki tahap kesihatan seksual yang normal, pendedahan kepada faktor persekitaran yang tidak sihat ketika mereka membesar akhirnya boleh menyebabkan mereka mandul.

    Merujuk kepada pengalaman mengendalikan kes berkaitan sakit tuan, secara peribadi Ismail tidak menafikan golongan lelaki hari ini semakin peka mengenai kesuburan berbanding sepuluh tahun lalu.

    Kini rawatan masalah kesuburan lelaki begitu dilihat memberangsangkan dengan adanya pelbagai ubat dan rawatan.

    ‘‘Apa yang penting ialah menjalani pemeriksaan dan rawatan. Jika jalan untuk mendapat zuriat buntu, mereka tidak perlu berputus asa kerana boleh mengambil anak angkat atau menggunakan kaedah persenyawaan bayi tabung uji atau Intracytoplasmic Sperm Injection (ICSI),’’ ujarnya.

    Terangnya, kaedah ICSI tidak saja memberi peluang kepada pasangan untuk memperoleh anak malah juga anak kembar. Kaedah ini dimulai dengan isteri diberi ubat tertentu bagi menggalakkan penghasilan telur (ovum), seterusnya telur itu akan disedut keluar. Pada masa sama, sperma turut disedut keluar daripada testis suami.

    Kemudian sperma suami akan dicucuk ke dalam ovum isteri dan selepas dibiarkan selama sehari, ia akan mula membentuk beberapa embrio.

    ‘‘Kita akan memilih sekitar tiga embrio untuk disuntik ke dalam rahim isteri bagi memberikannya lebih peratusan untuk hamil jika dua lagi embrio yang dipilih tidak hidup. Akan tetapi jika semua embrio membesar dengan baik, kemungkinan untuk isteri mengandung anak kembar adalah tinggi,’’ ujarnya.

    Beliau juga tidak menafikan isu ini antara punca tercetusnya perbalahan di antara suami isteri yang pada hakikatnya perlu diselesaikan hanya dengan cara berunding kerana ia terlalu sensitif.
    Pasangan yang berhadapan dengan masalah seumpamanya dinasihatkan agar mendapatkan rawatan dan kaunseling daripada pakar perubatan.

    Sumber: Utusan 18/05/2008

    Butiran selanjutnya ...

    Undang-undang tidak jelas 'aniaya' wanita

    Oleh Halina Mohd Noor
    Sumber: BH 20/05/2008


    MENARIK: Noor Aziah (tengah) berbincang dengan peserta yang hadir pada Wacana Hadhari: Pembelaan Wanita Melalui Undang-Undang di UKM, baru-baru ini.

    Kajian dibuat pensyarah UKM dapati ramai dakwa dipenjara akibat jenayah dilakukan suami

    JIKA diteliti dan diamati, undang-undang sedia ada di negara ini belum dapat membela hak wanita sepenuhnya. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan sesetengah undang-undang yang ada hanya 'menjerat' wanita, manakala sesetengahnya lagi bagaikan tidak pernah wujud akibat kurang kesedaran di kalangan pihak yang melaksanakannya.

    Antara yang paling ketara misalnya undang-undang membabitkan kes dadah yang terlalu 'straight forward' (lurus) sehingga tanpa disedari menganiaya wanita tidak bersalah. Berdasarkan satu kajian dijalankan di Penjara Wanita Kajang oleh Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datin Noor Aziah Mohd Awal, kebanyakan penghuni penjara berkenaan dihukum penjara akibat jenayah yang dilakukan suami yang menjual dadah.


    "Ramai wanita di penjara ini tidak tahu aktiviti suami sehingga menyebabkan mereka turut didakwa kerana memiliki dadah yang ditemui di rumah mereka. Undang-undang ini sangat lurus sehingga wanita yang tidak bersalah dipenjarakan. Akibatnya, anak-anak turut menjadi mangsa dan terpaksa dihantar ke rumah kebajikan," katanya.

    Noor Aziah berkata demikian ketika ditemui selepas membentangkan kertas kerja bertajuk, Pembelaan Wanita Melalui Undang-Undang di Malaysia pada Wacana Hadhari di UKM baru-baru ini. Wacana berkenaan bermatlamat menyingkap perkembangan hak wanita dari zaman penjajahan sehingga kini dan menganalisa sama ada hak wanita di Malaysia benar-benar terbela melalui undang-undang sedia ada.

    Noor Aziah yang juga Pengetua Kolej Dato Onn, UKM, berkata amat menyedihkan apabila undang-undang yang siap digubal hanya sekadar dibuat sebagai 'kertas pembungkus kacang putih' dan diperap sehingga dilupakan kewujudannya. Ironi sekali apabila timbul sesuatu perkara berkaitan dengannya, undang-udang yang sama digubal semula.

    "Sesetengah undang-undang sudah lama wujud, tetapi malangnya tiada pelaksanaan ke atasnya. Misalnya, perintah ke atas ibu bapa yang cuai terhadap keselamatan anak masing-masing sudah lama wujud, tetapi oleh kerana ia tidak pernah dilaksanakan, undang-undang ini terbiar. Baru-baru ini, kita lihat ramai yang sibuk mahu memasukkan perintah yang sama dalam Akta Kanak-Kanak 2001 sedangkan ia sudah lama ada," katanya.

    Justeru, katanya, amat penting sebarang perubahan atau penggubalan undang-undang di war-warkan bagi membolehkan kewujudan sesuatu undang-undang disedari dan diketahui umum terutama di kalangan mereka yang menguatkuasakan undang-undang berkenaan seperti pihak polis atau mereka di jabatan agama.

    "Rujukan secara bersilang perlu ada di antara mahkamah sivil, syariah dan mereka yang menguatkuasakannya. Pihak polis juga perlu diberikan kursus bagi membolehkan mereka menyedari mengenai sesuatu undang-undang. Misalnya bagi kes suami gagal membayar nafkah, walaupun waran tangkap dikeluarkan terhadap suami, polis enggan melaksanakannya dengan alasan ia bukan bidang tugas mereka," katanya.

    Secara keseluruhan, pembelaan ke atas wanita seakan tiada penghujungnya akibat keliru terhadap undang-undang sedia ada dan tiada keupayaan untuk melaksanakannya secara tersusun.

    "Sesuatu undang-undang perlu diletakkan di bawah akta yang betul bagi mengelakkan kekeliruan. Misalnya, undang-undang berkaitan rogol dalam rumah tangga, sudah diluluskan di bawah undang-undang sivil, tetapi ramai yang tidak memahaminya. Ia sebaiknya diletakkan di bawah Akta Keganasan Rumahtangga kerana membabitkan keganasan suami terhadap isteri.

    "Sekarang ini terdapat aliran suami yang meliwat isteri. Perbuatan ini tentunya menakutkan dan boleh mencederakan isteri. Itulah sebabnya ia boleh didakwa kerana berlaku keganasan. Undang-undang ini bukan diwujudkan secara membuta tuli, tetapi perlu ada bukti. Masalahnya, wanita tidak berani bercakap hal seksual kecuali ketika meminta fasakh," katanya.

    Selain keliru, masih ada undang-undang yang belum digubal membabitkan beberapa isu yang dikenal pasti mampu membela nasib wanita. Antara yang masih dipersoalkan, mengapa hingga kini masih tiada undang-undang berkaitan gangguan seksual? Apa yang ada hari ini cuma Kod Etika Gangguan Seksual yang sehingga kini belum terbukti mampu membela mangsa gangguan seksual.

    Tanpa undang-undang gangguan seksual, wanita ibarat berlindung di bawah payung bocor. Mangsa biasanya tertekan, malu akibat tohmahan yang dilemparkan dan akhirnya terpaksa berhenti kerja.

    Lebih menyedihkan terdapat undang-undang yang berat sebelah dan menzalimi wanita seperti kes membabitkan wanita hamil luar nikah, hanya wanita dihukum sedangkan lelaki terlepas. Anak yang tidak sah taraf juga dibebankan kepada wanita semata-mata sedangkan bapa biologi patut memikul tanggungjawab sama.

    Jika sebelum ini Mahkamah Syariah dikritik hebat kerana dianggap tidak membela hak wanita, namun sehingga kini ia sudah menunjukkan peningkatan. Malah, kajian pada 2001 mendapati kes perceraian dapat diselesaikan secepat mungkin.

    Bagaimanapun, ini bukan bermakna ia bebas daripada kelemahan. Perintah mahkamah syariah yang masih dipandang rendah serta diabaikan seperti waran tangkap ke atas suami yang gagal membayar nafkah gagal dilaksanakan kerana ia lebih banyak bergantung kepada pegawai polis.

    "Masalah potongan gaji gagal menyelesaikan kes tuntutan nafkah. Sewajarnya satu unit nafkah ditubuhkan seperti dilakukan di New Zealand. Majlis agama dan Baitulmal boleh bekerjasama dengan membayar nafkah kepada anak berkenaan dan ia terhutang kepada bekas suami.

    "Satu lagi hak yang tidak diketahui wanita ialah apabila bekas suami gagal membayar nafkah anak, wanita boleh menuntut nafkah berkenaan daripada keluarga sebelah suami seperti bapa mentua mahupun saudara lelaki sebelah suami. Peruntukan ini ada, tetapi kita tidak menggunakannya. Tambahan pula wanita malu hendak meminta-minta.

    "Bagaimanapun wanita harus ingat, hak penjagaan anak yang diterima mereka adalah bersifat sementara saja sedangkan hak sebenarnya adalah kepada wali termasuk saudara lelaki sebelah suami. Wanita perlu tahu punca tanggungjawab itu," katanya.

    Noor Aziah turut menyentuh mengenai undang-undang keluarga bukan Islam yang dianggap masih belum selesai sehingga kini seperti akta memperbaharui undang-undang (perkahwinan dan perceraian), khususnya perenggan S 51 iaitu apabila salah satu pihak kepada perkahwinan bukan Islam memeluk Islam. Ia membabitkan hak pemeliharaan anak daripada perkahwinan bukan Islam, nafkah isteri bukan Islam apabila suami memeluk Islam dan pembahagian harta.

    "Berkenaan perenggan S 51, perlu diwujudkan satu perbincangan dengan pelbagai agama dan kaum di negara ini. Pada masa ini, pihak bukan Islam boleh buat tuntutan perceraian di mahkamah dalam tempoh tiga bulan selepas pasangan memeluk Islam. Mengapa kena tunggu tiga bulan kerana yang bukan Islam, misalnya isteri tidak ada tempoh edah seperti wanita Islam? Mengenai hak penjagaan anak, ibu berhak memelihara anak walaupun dia bukan Islam," katanya.

    Katanya, masalah utama lelaki yang masuk Islam sering membawa sekali anak memeluk Islam. Isu pusaka juga belum selesai kerana si suami ada dua perkahwinan iaitu Islam dan bukan Islam. Pasangan yang bukan Islam perlu membuktikan kedudukan mereka sebagai isteri atau suami bagi menuntut harta.

    "Bagi mengatasi masalah ini, tiada salahnya kesyumulan undang-undang syariah dipanjangkan kepada bukan Islam bagi memastikan nasib wanita bukan Islam terus terbela. Ini kerana undang-undang sivil tidak mampu memberikan keadilan kepada wanita bukan Islam.

    "Undang-undang Islam untuk orang bukan Islam bukan sesuatu yang mustahil. Ini terbukti apabila wanita bukan Islam terpaksa mengemukakan bukti untuk menuntut harta suami yang peluk Islam, sedangkan dalam Islam, wanita berhak mendapat sepertiga daripada harta suami selepas diceraikan," katanya.

    Wanita Malaysia tidak kira apa saja agama mereka perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan mengenai undang-undang yang boleh membela nasib mereka. Kelebihan ini memberikan wanita 'senjata' untuk mengatasi masalah mahupun penganiayaan yang berlaku ke atas diri mereka sama ada di tempat kerja dan rumah. Pelaksanaan undang-undang perlu dipertingkatkan kerana tanpanya, undang-undang umpama ular tanpa bisa.

    INFO: Undang-undang yang dianggap kontroversi?

    • Perkosaan dalam perkahwinan.
    • Gangguan seksual.
    • Akta memperbaharui undang-undang perkahwinan & perceraian.
    • Kegagalan membayar nafkah kepada isteri dan anak oleh suami.
    • Seksyen 51-Bila salah satu pihak kepada perkahwinan bukan Islam memeluk Islam.
      • Hak pemeliharaan anak dari perkahwinan bukan Islam bila salah satu pihak memeluk Islam.
      • Hak nafkah isteri bukan Islam apabila suami memeluk Islam.
      • Hak menukar agama anak jika salah satu pihak kepada perkahwinan bukan Islam memeluk Islam.
      • Hak harta perkahwinan dari perkahwinan bukan Islam apabila salah satu pihak memeluk Islam.
      • Kesukaran memohon cerai.

    Butiran selanjutnya ...
    Related Posts with Thumbnails