“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Jumaat, November 07, 2008

Apabila lelaki curang

Oleh Noor Hasliza Husi

ALAM rumah tangga tidak selalunya indah. Ramai yang kecundang apabila bahtera yang dilayari bertahun-tahun, akhirnya berderai diserang badai ganas. Apabila keharmonian rumah tangga sudah dihanyut ombak, ia turut menjejaskan isi dalam rumah berkenaan termasuk si suami atau isteri, anak-anak dan ahli keluarga lain. Seandainya insan yang menimbulkan permasalahan itu ialah suami selepas kemunculan insan ketiga misalnya, maka anak-anak dan isteri akan menanggung deritanya.

Benarkah semuanya berpunca daripada kehadiran cinta lain, sehinggakan si suami sanggup berlaku curang terhadap insan bernama isteri? Walaupun suatu pernikahan tidak membatasi keinginan lelaki untuk jatuh cinta lagi, tetapi sikap curang, bukannya hal baru dalam sejarah kehidupan manusia. Tidak dinafikan, godaan untuk berlaku curang akan datang sepintas lalu dek tekanan perasaan yang menghantui diri kaum Adam mahupun Hawa. Perilaku ini berlaku mungkin secara tidak sengaja atau disengajakan.

Adakalanya, ketidakjujuran terjadi ketika si dia dipertemukan dengan seseorang yang mempunyai latar belakang yang sama. Contohnya, si jejaka membantu si gadis menyelesaikan urusan kerjanya di pejabat. Ketika itu, mereka mula berkomunikasi melalui e-mel, telefon dan berjumpa sehingga lewat malam. Akhirnya, hubungan menjadi semakin intim.

TEKNOLOGI baru hari ini adalah antara sebab yang memudahkan lagi perlakuan curang.


Masalahnya, si jejaka sudahpun mempunyai isteri dan cahaya mata. Walaupun mereka dilihat terlalu rapat, tetapi mereka tidak melakukan hubungan intim dan masih memelihara batasan yang perlu dijaga.

Persoalannya, apakah hubungan mereka dikategorikan sebagai curang?

Menurut pakar motivasi, Dr. HM Tuah Iskandar, selama hubungan itu masih terbatas pada hal-hal di pejabat meskipun hingga larut malam, syaratnya mestilah mempunyai orang lain di tempat itu.

"Biarpun nampak intim, tidaklah dikatakan sebagai curang. Kita kena akui hakikat pekerjaan, di mana komunikasi sangat perlu, bahkan mustahil dapat dielakkan. Setiap sektor pekerjaan pasti ada dua gender iaitu lelaki dan wanita. Mereka saling berhubung untuk menyelesaikan satu-satu tugas yang diamanahkan. Sesekali bergurau senda atau usik-mengusik, itu adalah suasana biasa di tempat kerja dewasa ini. Yang jadi salah hingga boleh diistilahkan sebagai curang apabila sering mencari peluang untuk berdua-duaan, sama ada makan bersama sehingga berpeluang meluahkan perasaan atau memberikan kasih sayang," katanya.

Mungkin hubungan yang dijalinkan mereka itu adalah terhad kepada batasan persahabatan?

"Persahabatan? Tiada istilah persahabatan antara lelaki dengan wanita yang bukan muhrim. Persahabatan hanya terjadi antara sesama jantina. Berlainan jantina biasanya akan berakhir sebagai hubungan intim. Maka itu, antara lelaki dengan wanita, cukup sekadar kenalan ataupun kawan dan bukannya sahabat. Memang semua hubungan intim bermula dari sekadar ingin dekat. Tetapi harus ingat, 'persahabatan' antara dua gender berbeza tidak selamanya kekal sebagai persahabatan biasa. Selalunya akan jadi perhubungan hati dan inilah bahayanya. Apabila semakin rapat masing- masing semakin galak bercerita pelbagai perkara termasuk yang menjadi rahsia tanpa rasa malu. Simpati pun datang, akhirnya membibitkan perasaan kasihan, seterusnya sayang, akhirnya cinta," jelasnya lagi.

KEBANYAKAN kes curang biasanya berlaku di antara kenalan pejabat atau kekasih lama.

Sebab itulah kata Tuah, beliau tidak menggalak sama sekali seorang wanita berstatus isteri menceritakan masalah peribadinya kepada seorang lelaki atau sebaliknya, sebab pasti mereka akhirnya akan terkandas. Carilah orang yang betul untuk meluah masalah misalnya ustaz, ibu bapa, ketua jabatan, kaunselor mahupun pakar motivasi.

Adakah cerai jalan terbaik lelaki curang? Katanya, setiap manusia ada kekurangan dan kelemahannya. Curang dalam perkahwinan adalah salah satu kelemahan dan kekurangan itu.

"Selagi ia tidak maksimum seperti berzina hingga melahirkan anak luar nikah, mengekalkan perkahwinan adalah lebih baik daripada berpisah meskipun ada sedikit kemelut dan masalah hati. Membina kembali hubungan hati yang telah rosak sama susahnya dengan proses untuk memisahkan antara dua hati yang dulunya pernah bertaut. Proses perceraian pun bukan mudah untuk dilalui, bukankah lebih baik saling bermaaf-maafan terutama demi anak-anak yang telah dilahirkan," tegas Tuah.

ADAKAH perceraian jalan terakhir apabila pasangan berlaku curang?


Memetik pendapat daripada seorang konsultan psikologi, Maria Theresia Widyastuti menerusi laman webnya, cinta baru biasanya muncul lagi dalam kehidupan pasangan yang sudah rumah tangga selepas usia perkahwinan mencecah lima tahun ke atas. Tetapi kemungkinan ia juga boleh berlaku pada awal perkahwinan, misalnya tiga tahun, sekiranya komitmen pernikahannya tidak kuat.

Apa pun keputusan yang diambil ketika hadirnya orang kedua, semuanya itu bergantung terhadap diri si pelaku itu sendiri. Di sini tiada kata-kata yang baik mahupun buruk, tetapi siapapun pilihannya, pasti akan mengundang risiko. Sebelum memutuskan langkah terbaik yang perlu diambil, sebaiknya kamu dan pasangan mengkaji kembali tujuan hidup yang dibina selama ini.

Sekiranya keutuhan rumah tangga itu menjadi kelebihannya, kembali ke pasangan dan perbaiki hubungan dengan mencipta komunikasi yang baik. Mereka seharusnya benar-benar ikhlas mencipta kembali kehidupan perkahwinan mereka. Kalau pilihan kamu menjurus ke arah kehidupan kedua, pernikahan dan hubungan kamu dengan masyarakat perlu diperhatikan dari segi norma sosial. Biasanya pandangan orang masih negatif dan ini akan mengganggu pergaulan sosial kamu itu. Tetapi, walau apa pun pilihan kamu, semua keputusan berada di tanganmu sendiri, dan semuanya mempunyai cabaran dan dugaan yang tersendiri.

Sumber: Kosmo!

Butiran selanjutnya ...

Khamis, November 06, 2008

Bahaya pendarahan ketika hamil

Keguguran mungkin berlaku jika tiada rawatan segera

SEBARANG perubahan pada kehamilan seperti pendarahan perlu dirujuk kepada doktor, sama ada sedikit atau sebaliknya, kerana ia mengundang bahaya kepada kandungan serta ibu. Apa yang membimbangkan ia mungkin petanda kepada penyakit lain yang lebih serius.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Ani Amelia Zainuddin, berkata jika seseorang wanita itu hamil, sepatutnya si ibu tidak mengalami sebarang pendarahan langsung sewaktu kehamilannya. Bagaimanapun pendarahan ada juga berlaku di kalangan wanita tetapi peratusannya terlalu kecil, dengan kira-kira 20 hingga 30 peratus wanita akan mengalami pendarahan sewaktu tempoh kehamilannya. Bagaimanapun, sebarang pendarahan yang berlaku melalui faraj sama ada sedikit; bertompok-tompok saja ataupun lebat sehingga perlukan pemakaian pad, adalah abnormal dan disarankan supaya segera berjumpa doktor.

Pendarahan pada awal kehamilan, iaitu pada trimester pertama iaitu tiga bulan pertama, sama ada sedikit atau banyak, adalah tidak normal dan wanita yang mengalaminya disarankan berjumpa doktor dengan segera. Ia boleh berlaku akibat beberapa sebab termasuk ‘implantasi embryo’, keguguran, hamil luar rahim, hamil molar dan sebagainya. Implantasi embryo atau pelekatan janin boleh mengakibatkan pendarahan. Pada peringkat awal mengandung iaitu lebih kurang seminggu selepas konsepsi berlaku, iaitu tiga minggu selepas hari pertama haid terakhir. Pelekatan janin pada dinding rahim menyebabkan dinding rahim mengalami pendarahan yang sedikit dan selalunya tidak merbahaya dan tidak perlu rawatan, cuma perlu teruskan pengambilan asid folik.

Paling kerap pendarahan dikaitkan dengan keguguran. Jika wanita itu mengalami pendarahan yang sedikit iaitu bertompok-tompok sahaja - ini boleh disebabkan oleh ancaman keguguran (threatened abortion). Doktor demikian akan memeriksa wanita ini dan mendapati pintu rahimnya (serviks) tutup dan kandungan janinnya masih hidup. Doktor akan menasihati wanita ini untuk berehat dan mungkin memberikannya hormon dalam bentuk ubat untuk menguatkan rahimnya. Wanita ini perlu teruskan pengambilan ubat asid folik. Wanita ini dinasihati untuk mengelakkan dari hubungan kelamin dan membuat kerja atau aktiviti berat. Risiko wanita yang mengalami ancaman keguguran untuk mengugurkan kandungannya lebih kurang 50 peratus. Maksudnya, wanita ini samada boleh teruskan kehamilannya seperti biasa dan melahirkan anak yang sihat ataupun akan gugur juga. Keguguran akan berlaku jika beliau mengalami pendarahan yang semakin banyak, mengeluarkan tisu ataupun darah beku dari farajnya dan merasai kekejangan (cramps) di bahagian pelvis.

Wanita ini perlu berjumpa doktor dengan segera untuk diperiksa dan menerima rawatan. Jika kegugurannya tidak lengkap, si ibu perlu menjalani prosedur pembedahan untuk membersihkan yang tertentu. Jika wanita ini mempunyai kumpulan darah jenis Rhesus negatif, si ibu perlu suntikan anti-D (Rhogam) selepas kegugurannya.

Missed abortion pula adalah keadaan di mana janin tidak terbentuk ataupun janin sudah tidak hidup lagi dan wanita itu belum lagi mengugurkannya, oleh itu wanita itu hanya mengalami pendarahan yang sedikit saja. Ultrasound scan selepas pemeriksaan boleh membuat diagnosea ini. Selalunya doktor akan mengulangi ultrasound scan dalam masa 1-2 minggu untuk mengenalpasti keadaan ini memang sudah berlalu. Rawatan membabitkan kemasukan ubat ke dalam faraj untuk menyebabkan dilasi serviks diikuti dengan D&C. Kadangkala pengambilan ubat sudah memadai untuk melengkapkan penguguran. Bagaimanapun selain keguguran pendarahan juga boleh disebabkan banyak perkara termasuk janin dan sejarah kesihatan wanita itu sendiri.

Dua sebab utama pendarahan berlaku pada peringkat pertengahan atau lewat kehamilan iaitu selepas 24 minggu pula, disebabkan Abrupsi plasenta (placental abruptio) dan Plasenta previa major (major placenta praevia). Abrupsi plasenta adalah keadaan kecemasan ini berlaku apabila uri terpisah atau tercabut daripada pelekatannya di dinding rahim wanita sebelum berlakunya kelahiran bayi. Plasenta (uri) adalah organ yang memberi bekalan oksigen dan nutrien kepada bayi. Oleh itu, abrupsi plasenta boleh menyebabkan bayi lemas akibat ketiadaan bekalan oksigennya apabila uri terpisah. Wanita itu akan mengalami kesakitan di bahagian abdomennya dan pendarahan melalui farajnya. Keadaan ini membahayakan nyawa ibu dan anak. Keadaan ini ada kaitan dengan masalah yang dihadapi oleh ibu sewaktu kehamilannya seperti tekanan darah tinggi, anaemia (kekurangan darah), kurang pengambilan asid folik, merokok dan trauma. Untuk menyelamatkan ibu dan anak jika pendarahan yang berlaku banyak, pembedahan Caesarean section perlu dijalankan dengan segera dan mungkin juga perlukan kemasukan darah dan pengstabilan keadaan ibu sebelum pembedahan berlaku.

Plasenta previa major berlaku apabila kedudukan plasenta adalah di bahagian bawah rahim, di mana ia menutupi samada sebahagian ataupun keseluruhan pembukaan serviks. Disebabkan uri ini menghalang kepada bayi daripada memasuki pelvis ibunya, bayi ini hanya boleh dilahirkan melalui pembedahan caesarean section sahaja. Selalunya keadaan pendarahan berbeza, adakalanya sedikit, dan adakalanya banyak. Pendarahan pula boleh berlaku pada bila-bila masa dan lazimnya berulang selepas beberapa hari atau minggu. Disebabkan ini, wanita ini perlu dimasukkan ke hospital yang mempunyai tabung darah dan pakar obstetrik, anasesthetik dan pediatrik untuk mengawasi keadaan ibu dan anak. Jika kedua-dua ibu dan anak sihat, pembedahan Caesarean akan dijalankan pada minggu ke 38 kehamilan. Wanita yang berisiko mengalami plasenta praevia adalah wanita yang pernah mengalaminya dulu, wanita yang pernah melalui pembedahan pada rahimnya seperti D&C, Caesaean section dan pembuangan fibroid, mengandung anak kembar, wanita merokok, wanita yang berusia tinggi iaitu melebihi 35 tahun, pengambilan dadah dan sebab tidak di kenalpasti.

Justeru, wanita yang mengalami sebarang perubahan khususnya pendarahan perlu segera mendapatkan nasihat daripada doktor kerana pelbagai rawatan boleh diperoleh seperti menguatkan rahim, mendapat cuti rehat secukupnya dan sebagainya.

INFO

Pendarahan boleh menjadi petanda kepada masalah lain kepada kandungan antaranya:

  • Kehamilan luar rahim / ektopik - Ia adalah satu keadaan kecemasan di mana kehamilan berlaku di luar rahim, selalunya di dalam salah satu tiub Fallopia. Doktor boleh mengesan kandungan luar rahim ini dengan memeriksa wanita ini dengan ultrasound (kaedah menggunakan imbasan bunyi) dan memantau paras HCG di dalam darahnya. HCG adalah hormon yang dihasilkan sewaktu kehamilan. Wanita yang mengalami keadaan ini biasanya mengadu sakit di bahagian pinggang atau pelvis (kadangkala tidak merasa sakit pun) dan mengalami pendarahan sedikit. Apabila janin semakin membesar di dalam tiub fallopia yang tidak boleh mengembang, ini menyebabkan tiub itu pecah dan wanita itu mengalami pendarahan yang banyak di dalam pelvisnya sehingga boleh menyebabkan renjatan (shock). Wanita itu kelihatan pucat, pengsan dan jika tidak mendapat rawatan dengan segera, boleh menyebabkan kematiannya. Rawatan yang diperlukan adalah transfusi darah dan pembedahan untuk membuang tiub yang terbabit. Kadangkala pula pendarahan ini berlaku secara sedikit-sedikit dan tidak memerlukan kemasukan darah tetapi masih memerlukan pembedahan. Ada juga kes dimana wanita itu diberikan ubat kemoterapi untuk mematikan janinnya di dalam tiub fallopia dan tidak memerlukan pembedahan tetapi ini adalah untuk kes-kes tertentu saja. Risiko wanita untuk menghadapi kehamilan luar rahim ini termasuklah mereka yang pernah mengalaminya (boleh berulang) wanita yang mengalami penyakit keradangan pelvis (pelvic inflammatory disease-biasanya disebabkan jangkitan kuman didalam rahim, tiub fallopia dan serviks), yang mengalami penyakit endometriosis dan pernah melalui pembedahan pada tiub fallopia.

  • Kehamilan molar (anggur) - Keadaan ini juga dikenali sebagai penyakit trofoblastik ataupun hydatidiform mole. Ia berlaku di mana ketumbuhan kandungan adalah abnormal dan bertindak seolah barah di mana ia boleh merebak dan menembus rahim, merebak ke otak dan sebagainya. Wanita ini akan mengalami pendarahan ketul-ketul tisu yang seolah-olah kelihatan seperti anggur - ataupun vesicles. Wanita itu akan mengalami loya dan muntah yang lebih dari biasa dan kadangkala menyebabkan tekanan darah menjadi tinggi. Keadaan ini perlukan rawatan segera dimana pembersihan rahim secara sedutan akan dijalankan (suction curettage) dan paras HCG dalam darah wanita itu perlu diawasi dengan lawatan susulan. Jika paras hormon ini meninggi ataupun tidak turun, wanita itu akan dirawat dengan kemoterapi.

  • Ektropion serviks (cervical ectropion) - Perubahan berlaku pada permukaan serviks yang menyebabkan pendarahan daripadanya berlaku. Wanita ini akan mengalami pendarahan sedikit saja dan doktor boleh mengenalpasti keadaan ini dengan memeriksa bahagian ini pada wanita itu dengan menggunakan alat spekulum. Keadaan ini tidak merbahaya kepada wanita ataupun kehamilannya. Sebab-sebab lain mungkin jangkitan pada serviks - (cervicitis), pendarahan selepas persetubuhan, polyp, dan juga adakalanya sebab tidak diketahui.

  • Sumber: BHarianOnLine 06/11/2008

    Butiran selanjutnya ...

    Penyusuan Susu Ibu dari Pandangan Islam

    Apabila seorang bayi dilahirkan ke dunia ini, dia memerlukan ibunya. Bayi itu perlu diberi makanan yang diserap melalui darah ibunya semasa di dalam kandungan. Makanan ini telah ditukar dengan kehendak dan kuasa Allah kepada susu yang mengandungi semua kandungan penting dan perlu untuk tumbesaran bayi itu. Al-Quran ada menyebut tentang penyusuan ibu dan perhubungan antara bayi dan ibu susunya iaitu apabila ibunya tidak dapat menyusu dengan sebab-sebab tertentu maka ibu susu diupah untuk menyusuinya. Jika si ibu tidak dapat menyusukan anaknya sendiri, adalah menjadi tanggungjawap si bapa mencarikan ibu susu untuk anaknya.

    Ini jelas dinyatakan dalam Al-Quran dari firman Allah SWT yang bermaksud, “Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, yaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang makruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan karena anaknya dan juga seorang ayah karena anaknya, dan waris pun berkewajiban demikian. Apabila keduanya ingin menyapih (sebelum dua tahun) dengan kerelaan keduanya dan permusyawaratan, maka tidak ada dosa atas keduanya. Dan jika kamu ingin anakmu disusukan oleh orang lain, maka tidak ada dosa bagimu apabila kamu memberikan pembayaran menurut yang patut. Bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahwa Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Baqarah, ayat 233).

    “Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapaknya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapakmu, hanya kepada-Kulah kembalimu.” (Surah Luqman, ayat 14)

    “Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapaknya, ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula). Mengandungnya sampai menyapihnya adalah tiga puluh bulan, sehingga apabila dia telah dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun ia berdoa: "Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapakku dan supaya aku dapat berbuat amal yang saleh yang Engkau ridai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertobat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri.” (Surah Al-Ahqaaf, ayat 15)

    Dari ayat “Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, yaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan.”, kita dapati pendirian seperti berikut:

    1. 1. Adalah kewajipan ibu untuk menyusui bayinya dan menyempurnakan haknya untuk menikmati dan mendapat kebaikan susu ibu, jika dia mampu.
    2. Tempoh penyusuan susu ibu bagi mereka yang ingin memenuhinya ialah dua tahun. Ini jelas dinyatakan dalam Surah Al-Baqarah, ayat 233, seperti yang dinyatkan di atas.
    3. Bapa sepatutnya membantu ibu yang sedang menyusu dengan menyediakan keadaan yang ibu itu perlukan untuk menyusu. Ini menunjukkan yang Islam menganggap penyusuan susu ibu itu sebagai kewajipan utama yang ibu patut laksanakan. Disini, ibu tidak patut dibebani dengan kerja yang lain. Adalah jelas di sini bahawa al-Quran sudah menjelaskan hak ibu yang sedang menyusu.
    4. Jika bapa tiada atau sudah meninggal dunia, salah seorang ahli keluarga (wali/waris anak) harus mengambil-alih tanggunggjawab terhadap bayi dan ibu untuk meneruskan penyusuan.
    5. Menceraikan susu adalah dibenarkan sebelum tamat tempoh dua tahun dengan syarat. Keputusan ini dibuat setelah mendapat persetujuan kedu-dua ibu dan bapa, setelah mereka membincangkan kebaikan dan keburukan keputusan yang dibuat serta cara untuk memberi penjagaan yang rapi kepada anak.
    6. Ibu yang mampu dan boleh menyusui bayinya adalah di galakkan mengupah orang lain untuk menyusukan bayinya. Islam memerintahkan bapa untuk memberi upah kepada ibu yang menyusukan anaknya. Dengan cara ini, Islam memastikan anak itu mendapat segala keperluannya dalam tempoh penyusuan itu.
    Allah telah memenuhi segala keperluan bayi dan susu yang dihisap olehnya tiga hari pertama dalam kehidupan bayi. Buah dada ibunya akan menghasilkan sejenis cecair berwarna kekuningan iaitu kolestrum yang terdapat dalam kuantiti yang kecil. Cecair ini sudah cukup untuk memenuhi segala keperluan makanan bayi dalam hari-hari pertama kehidupannya. Tambahan pula ia membantu bayi untuk mula menerima dan mencernakan makanan yang dihisapnya. Dalam masa 24 jam buah dada ibu menghasilkan susu yang diperlukan untuk makanan bayi sehinggalah dia mencerai susu. Ibu yang enggan menyusui bayinya tanpa sebab yang munasabah telah mengabaikan satu tanggungjawab hakiki terhadap bayinya yang telah diamanahkan oleh Allah. Penyusuan susu ibu dapat menjalinkan perasaan keibuan dan memperkayakan sifat kasih sayang. Selain dari apa yang diperkatakan tadi, penyusuan susu ibu menggerakkan sistem penghadaman ibu untuk menghasilkan makanan untuk bayi, dengan itu juga mempertingkatkan kesihatan ibu tersebut. Penyusuan susu ibu juga boleh menolong mengembalikan ibu kepada keadaan asal (sebelum bersalin) dengan cepat dan mengurangkan risiko barah buah dada dan ovari.

    PESANAN UNTUK KAUM BAPA

    Ibu yang menyusu bayi sangat mengharapkan sokongan dan galakan anda. Sokonglah dia jika dia membuat keputusan untuk menyusu. Sebagai bapa, anda adalah orang yang paling penting dalam memberi sokongan dan bantuan kepada isteri. Menggalakkan isteri untuk menyusu sendiri adalah permulaan terbaik yang dapat anda berikan kepada bayi anda. Dorongan dan kesabaran anda akan mengeratkan lagi perhubungan kekeluargaan dan ini akan memberi didikan positif terhadap anak-anak anda secara tidak langsung. Di saat menimang cahaya mata baru inilah keadaan isteri anda cukup memerlukan anda. Sebagai ketua keluarga, anda perlu pastikan ahli-ahli keluarga yang lain turut memberi dorongan dan sokongan kepada isteri anda yang baru bersalin. Nenek, datuk dan ahli keluarga yang lain juga dapat membantu dengan cara begini:
    1. Belajar mengenai penyusuan ibu susu ibu dengan berbincang dengan ibubapa yang pernah melaluinya.
    2. Peringatkan ibu bahawa bulan pertama selepas kelahiran adalah masa untuk belajar mengenai penyusuan.
    3. Galakkan ibu untuk berehat. Ibu yang menyusu perlukan keseimbangan diantara aktiviti dan rehat.
    4. Cuba berikan bantuan dalam kerja-kerja seharian di rumah dan juga dalam penjagaan bayi.
    Lindungi ibu dari mereka yang tidak bersetuju dengan penyusuan ibu. Perkara yang biasa didengar dan membuatkan para ibu rasa serba salah dalam usaha menyusukan bayi mereka adalah seperti:
    1. Adakah anda pasti susu anda mencukupi?
    2. Kenapa bayi anda seringkali lapar?
    3. Mungkin anda perlu memberinya susu botol/susu berformula
    Berikan perhatian kepada anak-anak yang lain agar mereka tidak merasa tersisih. Cubalah mememahami tentang perubahan emosi yang dialami oleh wanita selepas kelahiran. Luahkan kata-kata perangsang untuk isteri seperti:
    1. "Saya rasa lega awak dapat menyusu anak kita."
    2. "Hari ini, biar saya saja yang masak."
    3. "Tak sangka awak ni seorang ibu yang baik."
    4. "Saya bangga bila tengok awak menyusu anak kita."
    5. "Pergi lah berehat. Biar saya saja yang mandikan anak kita."
    Bagi menjamin kejayaan menyusu:-
    1. Dapatkan seberapa banyak maklumat mengenai penyusuan susu ibu sebelum kelahiran bayi anda.
    2. Bincang dengan isteri mengenai perkara-perkara yang membolehkan anda membantunya. Cuba kurangkan beban kerja rumah, saling membantu dan saling memahami antara satu sama lain.
    BEBERAPA PANDUAN UNTUK BAPA

    Bayi yang menyusu susu ibu, biasanya kurang mengalami masalah seperti berikut:-
    1. Alahan
    2. sakit telinga (otitis media)
    3. kerap sakit teruk dan dimasukkan ke hospital
    4. cirit birit dan sembelit
    5. kerosakan gigi.
    Ini bererti anda:
    1. tidak perlu kerap berjumpa doktor
    2. menjimatkan wang perbelanjaan keluarga
    3. mempunyai masa yang terluang untuk diri sendiri dan keluarga
    4. adalah lebih mudah dan tenang untuk menjaga bayi yang sihat
    Penyusuan susu ibu adalah yang terbaik untuk anak anda kerana:
    1. Susu ibu mengandungi segala khasiat yang diperlukan oleh bayi (sila rujuk entry khasiat-susu-ibu)
    2. Susu ibu berubah mengikut umur dan keperluan bayi.
    3. Susu ibu lebih mudah dihadam.
    4. Najis bayi menyusu susu ibu lebih lembut dan kurang berbau.
    5. Susu ibu melindungi bayi daripada bakteria dan jangkitan lain.
    Sumber: http://www.susuanibu-pk.gov.my

    Butiran selanjutnya ...

    Rabu, November 05, 2008

    Statistik Perceraian dan Perkahwinan Pasangan Islam di Malaysia

    Assalamualaikum warahmatullah,

    Statistik perceraian yang diberikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sangat mengejutkan. Ini kerana ia makin meningkat berbanding tahun-tahun yang sebelumnya. Mengikut laporan ini jumlah perceraian pada tahun 2007 adalah 20,529 kes berbanding 131,086 perkahwinan. Bagi tempoh sehari pula, lebih daripada 56 perceraian dan 359 perkahwinan berlangsung.

    Di setiap negeri pula, dilaporkan perceraian paling tinggi didaftarkan oleh negeri Selangor dengan 3,722 kes diikuti Kelantan sebanyak (2,257), Kedah(2,188), Johor (1,931), Perak (1,551), Terengganu (1,537), Pahang(1,502), Kuala Lumpur (1,141), Sabah (924), Pulau Pinang (917), Sarawak (910), Negeri Sembilan (907), Melaka (758), Perlis (247) dan Labuan (37)

    Menurut laporan ini lagi, perkahwinan yang tertinggi pada tahun 2007 dicatatkan oleh negeri Kedah sebanyak 20,889 diikuti sekali lagi di tangga kedua, Kelantan 17,201, Selangor (14,817), Johor (13,241), Perak (11,446), Sabah (9,941), Pahang (9,519), Terengganu8,953), Sarawak (5,393), Negeri Sembilan (5,151), Pulau Pinang (4,458), Melaka (3,559), Kuala Lumpur (3,538), Perlis (2,484) dan Labuan (486). Sila rujuk JAKiM untuk jadual statistik yang tepat.

    Krisis Perceraian

    Dikatakan punca krisis rumahtangga ini adalah kerana, tidak serasi, kecurangan (suami/isteri bermain kayu tiga), poligami, karenah dan campur tangan keluarga yang keterlaluan, masalah kesihatan pasangan termasuk kesuburan, masalah hutang banyak, masalah ekonomi, pengangguran, peluang kerja terhad, komitmen kerja dan kerjaya yang terlalu tinggi, simptom cemburu buta - kurung pasangan, dan kurangnya didikan moral - penderaan dan pengabaian. Kebanyakan kes perceraian berlaku kerana pasangan suami isteri tidak begitu menghayati kehendak ajaran agama dalam melayari kehidupan berumah tangga termasuk menunaikan tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin. Sebaliknya, mereka didapati berkahwin hanya kerana dorongan nafsu semata-mata tanpa memikirkan tanggungjawab besar itu sebagai suami, isteri, bapa dan ibu bagi mewujudkan keluarga bahagia.

    Faktor-faktor Perceraian

    “Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri”. Sebenarnya ramai pasangan suami isteri tidak mencapai tujuan perkahwinan yang sebenarnya dalam erti kata tidak ada kebahagiaan rumah tangga. Pelbagai bentuk konflik dihadapi dalam ikatan perkahwinan mereka di mana konflik yang dilalui ini andainya tidak dapat diatasi pasti memaksa sesuatu pasangan terbabit mencari jalan muktamad iaitu bercerai yang memansuhkan ikatan perkahwinan.

    Berdasarkan aduan yang diterima oleh Unit Perunding dan Pembangunan Keluarga di beberapa Jabatan Agama Islam di negara ini, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya perceraian seperti:

    1. Salah seorang pasangan atau kedua-duanya meneruskan kebiasaan tingkah laku dan sikap yang tidak sesuai dengan alam perkahwinan. Bertindak bersendirian tanpa mengambil kira kesan kepada pasangan atau perkahwinan. Membiarkan pasangan membuat tindakan secara sendirian.
    2. Penguasaan kefahaman terhadap agama berhubung dengan kehidupan suami isteri kurang atau keluar daripada tuntutan Islam sebenar (kesan kepada nilai dan personaliti).
    3. Pengurusan ekonomi rumah tangga tidak diuruskan mengikut konsep kehidupan berumah tangga Islam iaitu berkongsi, bertolak ansur dan mengutamakan yang utama.
    4. Pengurusan cara hidup keluar dari kawalan sosial dan syariat Islam seperti minum arak, judi, menyalahgunakan dadah, berzina dan sebagainya.
    5. Pengurusan hubungan dan komunikasi dengan pasangan dan keluarga tidak lancar seperti mengutamakan diri atau keluarga sendiri lebih daripada pasangan atau keluarga pasangan. Tidak mengambil berat terhadap kesihatan, kebajikan pendidikan dan keperluan emosi ahli keluarga.
    6. Menghadapi masalah peribadi yang tidak dapat dikongsi bersama pasangan, mempunyai personaliti mendekat menjauh atau menjauh menjauh seperti pemarah (emosional), cemburu buta, mendera dan mementingkan perasaan sendiri.
    7. Salah seorang pasangan menghadapi masalah kesihatan seperti penyakit yang menghalang berlaku hubungan jenis dalam jangka masa yang terlalu lama, mempunyai nafsu seks yang terlalu tinggi atau lemah.
    8. Gagal mengimbangi tumpuan perhatian serta masa kepada pasangan dan rumah tangga, lebih mementingkan kerjaya atau lain-lain kegiatan luar rumah. Tidak dapat memahami budaya kerja pasangan.
    9. Pasangan tidak dapat mengawal pengaruh luaran daripada pergaulan (kawan-kawan), persekitaran dan keluarga dalam membentuk atau mencorak kehidupan suami isteri.
    Faktor ekonomi juga kini menjadi cabaran besar bagi sesetengah pasangan suami isteri yang mana kemampuan kewangan turut memainkan peranan penting dalam menentukan kestabilan rumah tangga. Suami bertanggungjawab memberikan nafkah kepada isteri manakala pasangannya juga wajar berbelanja berdasarkan kemampuan suami. Namun, disebabkan tuntutan ekonomi juga, ramai isteri terpaksa bekerja menyebabkan masa yang terluang untuk keluarga menjadi lebih terhad dan ini boleh mengundang ketidakstabilan rumah tangga yang boleh menjurus kepada perceraian. Adalah amat perlu ada tolak ansur dan persefahaman di kalangan suami isteri bagi menyeimbangkan komitmen antara keluarga dan kerjaya supaya keharmonian rumah tangga dapat dikekalkan. Walau bagaimanapun, faktor isteri bekerja tidak wajar dijadikan alasan oleh suami untuk tidak memberikan nafkah kepada pasangannya. Sungguhpun isteri bekerja, suami tetap bertanggungjawab memberikan nafkah kerana bukan tanggungjawab isteri untuk memberikan nafkah sebaliknya pemberian itu atas kerelaannya. Tindakan suami tidak memberikan nafkah kepada isteri sama seperti mengambil kesempatan terhadap pasangannya dan ini juga boleh mengundang perceraian kerana isteri menganggap suami tidak bertanggungjawab. Jika suami mempunyai pengetahuan agama dan memahami kehendak syarak yang mahu suami memberi nafkah maka tidak akan timbul kes-kes suami tidak bertanggungjawab. Justeru, suami perlu mempunyai perancangan kewangan keluarga bagi memastikan setiap perbelanjaan terkawal dan mencukupi tanpa berlaku pembaziran serta ketidakstabilan ekonomi.

    Bentuk-bentuk konflik

    Terdapat tiga bentuk konflik yang biasa dihadapi oleh pasangan iaitu:
    1. Nusyuz – dilakukan oleh salah seorang daripada pasangan. Dapat dikesan melalui komunikasi pasangan seperti muka kelihatan masam, wajah selamba atau tidak mahu bertentangan masa. Bercakap dengan kasar atau tidak mahu bertegur sapa, pura-pura tidak mendengar atau berkomunikasi melalui perantaraan. Tidak menghiraukan pasangan, mengelak istimta’ dan bersetubuh. Tidak berlaku adil dalam poligami sedangkan pasangan yang seorang lagi adalah orang yang berakhlak baik dalam pergaulan dengan pasangannya. Bersikap atau tingkahlaku yang membawa nusyuz kepada pasangannya.
    2. Syiqaq – Perselisihan faham suami isteri yang sudah sampai ke tahap saling cerca-mencerca serta pukul memukul.
    3. Dharar – Penganiayaan suami kepada isteri sedangkan isteri adalah wanita yang baik akhlaknya
    Cara menangani konflik rumah tangga
    1. Mengelak keadaan yang boleh menimbulkan konflik sebagai langkah
    2. mencegah berlakunya konflik.
    3. Mengadakan proses menyelesaikan masalah mengikut punca, bentuk dan tahap konflik yang dihadapi oleh pasangan.
    Menghindari konflik

    Walaupun perceraian adalah suatu perbuatan yang diharuskan oleh syarak, namun menghindarinya punca berlakunya perceraian (konflik) adalah langkah yang paling bijak antaranya ialah:
    1. Mengesan perubahan di peringkat awal dengan memerhatikan air muka, gerak geri dan percakapan.
    2. Elakkan dari bersangka buruk terhadap pasangan.
    3. Apabila menyedari terdapat isu-isu atau masalah yang berpotensi untuk mengeruhkan hubungan suami isteri segera tanganinya tanpa menyimpan sehingga menjadi banyak masalah dan melewat-lewatkan tindakan sehingga keadaan menjadi bertambah parah.
    4. Apabila menyedari kelemahan atau kesilapan pasangan, bantu pasangan untuk membuat perubahan atau baiki kesilapan. Berikan motivasi.
    5. Apabila berhadapan dengan sesuatu isu atau masalah, pasangan perlu menyatakan pendapat secara terbuka, tidak mengkritik pasangan atau menyerang pasangan. Buatlah perbincangan dengan sikap tolak ansur.
    6. Dalam pergaulan, pasangan hendaklah menyelaraskan kehendaknya yang inginkan rumah tangga bahagia dan harmoni serta bertimbang rasa dan bersikap terbuka, sedia menerima pandangan pasangan terhadap dirinya. Tidak cepat melenting dan sentiasa meminta maaf bila menyedari kesalahan sendiri. Tunjukkan kasih mesra yang ikhlas dengan mencari kekuatan dalam hubungan suami isteri.
    7. Tidak mendapatkan nasihat atau panduan daripada mereka yang tidak mempunyai kepakaran atau tidak menyukai diri suami atau isteri.
    8. Amalkan teknik komunikasi berkesan dalam pergaulan suami
    Mengapakan masih ramai manusia yang mahu dan perlu menjadi rapat kepada seseorang, berkahwin tetapi berakhir dengan perceraian? Adakah perceraian berlaku kerana dikuasai oleh kemarahan dan kekecewaan? Bukan sedikit yang berusaha agar perkahwinannya mempunyai ikatan yang kuat dan berpanjangan berdasarkan kepada emosi atau cinta semata-mata. Dalam kebanyakan perhubungan, pengharapan kepada cinta atau penerimaan kasih yang berterusan akan mengutuhkan perhubungan, selagi mereka mencapai tahap pengharapan tertentu. Jika perasaannya hangat, sepasang suami-isteri itu boleh menikmati keberadaan satu sama lain disisinya, tidak mempedulikan hal-hal yang merunsingkan atau memalukan pasangannya, berkomunikasi secukupnya dan tetap akan meluahkan perasaan sayang.

    Tetapi apabila perasaan menjadi sejuk, satu atau kedua-duanya mereka merasa tidak ada ruang atau kemampuan untuk mengasihi seseorang yang tidak lagi sempurna di mata mereka. Sekiranya keperluan tidak dipenuhi, atau ada perkara yang menyebabkan hati terluka yang membawa kepada mempertahankan diri, atau kekurangan komunikasi positif yang meningkatkan salah faham diserta dengan konflik yang mengapi-apikan kemarahan, kesedihan dan kepahitan. Jika pasangan tidak dapat mencapai perdamaian dan perbincangan tidak dapat memecahkan keadaan yang semakin meruncing, besar kemungkinan kemampuan untuk mengasihi satu sama lain akan menjadi luntur.

    Situasi yang tidak sihat dalam sesuatu perhubungan boleh dielakkan sekiranya wujud kesedaran tentang tanggungjawap masing-masing. Lelaki dan wanita seharusnya saling lengkap-melengkapi. Tidak ada manusia yang sempurna kecuali Nabi Allah yang maksum. Soal rezeki, jodoh, ajal dan yang seumpamanya di tangan yang maha Esa, seperti yang tertulis di dalam al Quran, “Allah tidak akan mengubah nasib sesebuah kaum, melainkan kaum itu mengubahnya sendiri.”



    لَهُ ۥ مُعَقِّبَـٰتٌ۬ مِّنۢ بَيۡنِ يَدَيۡهِ وَمِنۡ خَلۡفِهِۦ يَحۡفَظُونَهُ ۥ مِنۡ أَمۡرِ ٱللَّهِ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِہِمۡ‌ۗ وَإِذَآ أَرَادَ ٱللَّهُ بِقَوۡمٍ۬ سُوٓءً۬ا فَلَا مَرَدَّ لَهُ ۥ‌ۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَالٍ


    “Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan (bala bencana) terhadap sesuatu kaum (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tak ada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya; dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.” (Surah Ar-Ra’d, ayat 11)

    
    ذَٲلِكَ بِأَنَّ ٱللَّهَ لَمۡ يَكُ مُغَيِّرً۬ا نِّعۡمَةً أَنۡعَمَهَا عَلَىٰ قَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِہِمۡ‌ۙ وَأَنَّ ٱللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ۬

    “Yang demikian (siksaan) itu adalah kerana sesungguhnya Allah sekali-kali tidak akan merubah sesuatu nikmat yang telah dianugerahkan-Nya kepada sesuatu kaum, hingga kaum itu merubah apa yang ada pada diri mereka sendiri, dan sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Anfaal, ayat 53)

    Sehubungan itu, kita tidak boleh dengan mudah-mudah berserah segalanya pada takdir tanpa ingin berusaha. Kebanyakan kes perceraian berlaku kerana pasangan belum cukup persiapan dan bersedia dalam menghayati alam rumah tangga. Berkahwin tanpa arah tuju dengan niat semata-mata kerana nafsu saja tidak akan membawa keharmonian dalam membina masjid.

    Perkahwinan boleh diibaratkan seperti membina rakit. Kita memerlukan skill untuk membina sebuah rakit. Kita perlu tahu berapa batang kayu/buluh yang diperlukan untuk sebuah rakit yang 'just nice' untuk dibina. Asas susunan rakit amat penting untuk mempastikan kedudukan dram berada di tempat yang betul. Cara mengikat kayu/buluh juga ada tekniknya yang tersendiri, begitu juga ikatan untuk rakit dengan dram. Jika ikatan rakit tidak kukuh, maka sukarlah ia untuk bertahan lama, apatah lagi laut tidak selalunya tenang, ada kalanya boleh dilanda ombak, mungkin juga dilanda tsunami. Tindakan yang tergesa-gesa atau sambil lewa dalam penyediaan rakit akan mengundang pelbagai risiko, seperti karam di tengah laut.

    Begitulah juga dengan perkahwinan yang dibawa dengan persediaan dan persiapan dari sudut agama, mental, fizikal dan pelbagai sudut lain.

    Tepuk dada, tanyalah iman.


    Butiran selanjutnya ...

    Selasa, November 04, 2008

    Galakan buat amal kebajikan

    Firman Allah SWT:

    وَأَقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُواْ ٱلزَّڪَوٰةَ‌ۚ وَمَا تُقَدِّمُواْ لِأَنفُسِكُم مِّنۡ خَيۡرٍ۬ تَجِدُوهُ عِندَ ٱللَّهِ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٌ۬

    Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat; dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahala di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan.
    (Surah Al-Baqarah, ayat 110)

    Huraian:

    Amal kebajikan yang dilakukan oleh manusia adalah hasil dari Iman kepada Allah SWT. Kemuncak keimanan ialah amalan atau kewajipan mendirikan solat dan mengeluarkan zakat. Solat merupakan kemuncak ibadah seorang hamba kepada Allah SWT. Solat melahirkan kekuatan jiwa muslim. Solat juga merupakan kekuatan dan benteng yang mampu mencegah seseorang muslim dari melakukan perbuatan keji dan mungkar. Solat yang cukup syarat akan mampu melahirkan akhlak yang mulia serta memberi ketenangan jiwa. Kewajipan mengeluarkan zakat pula boleh membantu memantapkan ekonomi umat Islam di samping membersih dan memberi keberkatan dalam pemilikan harta dan kebajikan kaum fakir miskin. Amal soleh tersebut bukanlah sesuatu yang sia-sia disisi Allah. Bahkan Allah membalas setiap perbuatan baik yang dilakukan oleh hambanya dengan ganjaran setimpal. Sesungguhnya Allah itu Maha Melihat perlakuan hambanya yang dilakukan seikhlas jiwa.

    Kesimpulan

    Lakukanlah ibadah hanya kerana Allah SWT semata-mata. Setiap amal yang dilakukan dengan ikhlas dan mengharapkan reda Allah dilihat oleh Allah dengan Rahmat-Nya. Allah SWT menjanjikan ganjaran setiap amalan yang dilakukan oleh hambanya.

    Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

    Sumber: UtusanOnLine 04/11/2008

    Butiran selanjutnya ...

    Khasiat Susu Ibu

    Asli atau tiruan? Lazimnya kebanyakan orang tanpa ragu-ragu akan memilih yang asli. Namun begitu, masih ramai ibu bapa yang merelakan susu formula iaitu barang tiruan menjadi makanan pertama anak mereka. Mengapa susu formula atau susu tiruan ini dikecualikan sedangkan masyarakat sedar walau sebaik manapun sesuatu barang tiruan, ia tidak akan sebaik barangan asli?

    Polisi Kebangsaan Penyusuan Susu Ibu menggalakkan semua ibu menyusukan anaknya dengan susu ibu sahaja selama enam bulan atau dikenali sebagai penyusuan eksklusif dan meneruskannya sehingga dua tahun. Makanan tambahan pula hanya dimulakan semasa anak berumur enam bulan. Kebanyakan ibu hanya mampu menyusukan anak mereka sehingga dua bulan atau sepanjang tempoh berpantang dan apabila mereka kembali bekerja, ramai yang mengambil jalan mudah dengan memberikan susu formula. Ada juga segelintir wanita yang baru bersalin langsung tidak memberikan susu ibu kepada bayi mereka sejak dilahirkan walaupun menyedari susu ibu adalah makanan terbaik bagi bayi.

    Menurut perangkaan 88.6 peratus ibu-ibu di Malaysia pernah menyusukan anak. Ini bermakna 11.4 peratus ibu tidak pernah menyusukan anak mereka! aripada 88.6 peratus ibu yang pernah memberikan susu, hanya 29 peratus yang mampu menyusukan bayi mereka secara eksklusif dan hanya 11.7 peratus yang menyambung penyusuan sehingga bayi berusia dua tahun.

    KEBAIKAN SUSU IBU

    Susu ibu mengandungi zat dan vitamin yang mencukupi dan berubah mengikut umur dan keperluan bayi. Ia mudah dihadam dan digunakan oleh bayi dengan berkesan serta melindungi bayi dari penyakit, mengandungi antibodi, faktor tumbesaran, enzim dan tiada pencemaran. Contohnya bagi bayi yang dilahirkan pra-matang, susu ibu yang dihasilkan sesuai untuk perkembangan bayi tersebut. Ia kurang laktosa, lebih protein, Laktoferrin dan Imunoglobulin untuk mencegah alahan dan jangkitan.

    Susu awal ibu atau dikenali sebagai kolostrum yang berwarna kekuningan pula adalah makanan pertama yang sempurna bagi bayi dan mengandungi pelbagai kebaikan. Antaranya ialah mengeluarkan mekonium (najis bayi di awal kelahiran), mencegah penyakit kuning (jaundis), melindungi bayi dari jangkitan dan alahan (susu ibu kaya dengan antibodi dan sel darah putih), mencegah jangkitan dan penyakit mata (kaya dengan vitamin A dan E), mengandungi faktor pertumbuhan bagi kematangan usus sekaligus mencegah alahan dan bertindak sebagai imunisasi pertama untuk menentang bakteria dan virus. Jika bayi diberikan makanan lain sebelum dia diberikan kolostrum, makanan tersebut boleh merosakkan ususnya dan menyebabkan alahan.

    Selain itu susu ibu juga melindungi bayi daripada kolik, lelah, penyakit kulit, hidung dan alahan kepada makanan, mengurangkan penyakit seperti batuk, jangkitan telinga, bronkitis, pneumonia, meningitis, dan cirit-birit. Ia juga mengurangkan risiko penyakit jantung, kencing manis, kanser dan obesiti kanak-kanak di kemudian hari. Selain itu susu ibu turut mengurangkan risiko sindrom kematian bayi, mengurangkan masalah karies gigi, penglihatan, pertuturan dan menguatkan pertumbuhan rahang.

    FAEDAH TERSEMBUNYI

    Terdapat banyak faedah lain yang diperolehi oleh bayi, ibu, keluarga mahupun masyarakat. Mungkin kebaikan-kebaikan ini nampak remeh tetapi ia sebenarnya memberikan kesan kepada kehidupan kita seharian. Kajian menunjukkan IQ bayi yang menyusu susu ibu adalah 5.2 mata lebih tinggi daripada yang tidak menyusu ibu. Bayi yang menyusu ibu akan jarang dijangkiti penyakit, membolehkan ibu bapa bekerja dengan senang hati tanpa perlu mengambil cuti untuk menjaga anak yang tidak sihat, selain meningkatkan produktiviti. Menyusukan bayi juga turut memberikan faedah kepada ibu tersebut dengan merendahkan risiko terhadap barah payudara dan ovari, mengelakkan pendarahan selepas bersalin, menjarakkan kelahiran kerana penyusuan merupakan cara perancang keluarga semulajadi, mempercepatkan proses pengurangan berat badan dan mengempiskan perut.

    Penyusuan susu ibu juga akan menjimatkan wang kerana tidak perlu menyediakan barang keperluan untuk penyusuan, tidak perlu membeli susu formula dan mengurangkan perbelanjaan untuk rawatan perubatan kerana bayi yang menyusu ibu jarang sakit. Katakan anda memilih untuk membeli pam pemerah susu yang mahal, kos pembelian itu masih murah dibandingkan dengan kos untuk susu formula yang perlu dibeli setiap bulan. Pam yang menggunakan bateri walaupun berharga lebih kurang RM200, boleh digunakan sehingga dua atau tiga tahun. Jika susu formula, setin berharga lebih kurang RM40. Berapa jumlahnya sebulan? Berapa yang boleh dijimatkan dalam setahun? Selain itu, penyusuan susu ibu juga membantu mengeratkan kasih sayang antara anak dan ibu, lebih masa terluang bersama keluarga, dan menyumbang kepada objektif negara dalam perancangan keluarga.

    KEKURANGAN SUSU FORMULA

    Antara kekurangan ketara susu formula ialah khasiatnya tidak akan sama dengan khasiat susu ibu walaupun pelbagai zat tambahan dimasukkan seperti Omega3, Docosahexanoic (DHA), Arachidonic acid (AA), dan vitamin B12. Masih tidak ada kajian yang boleh menentukan kadar sebenar sesuatu zat yang diperlukan oleh bayi. Berbeza dengan susu ibu, kandungan zatnya akan berubah mengikut keperluan. Zat-zat tambahan dalam susu formula juga membawa kesan sampingan lain seperti protein, walaupun ia telah diubah tetapi masih sukar dihadam manakala zat besi pula sukar untuk diserap.

    Bayi yang diberikan susu formula juga terdedah kepada pencemaran bakteria apabila air bancuhan, peralatan botol dan puting tidak dibersihkan dengan sempurna. Bakteria membiak dengan cepat terutamanya jika susu dibiarkan dalam cuaca panas. Walaupun belum berbau masam atau basi, ia masih boleh membahayakan bayi. Bayi juga tidak mendapat perlindungan daripada pelbagai penyakit kerana susu formula tidak mengandungi antibodi menyebabkan bayi yang diberi susu formula lebih kerap mendapat jangkitan penyakit seperti cirit-birit, demam, selesema, batuk dan alahan walaupun susunya dibuat secara bersih.

    Terdapat juga risiko kekurangan zat makanan jika susu dibancuh terlalu cair ataupun jika dibancuh terlalu pekat, ia boleh mengakibatkan sembelit atau kerosakan pada organ tertentu. Sebab itu kita melihat ramai bayi yang mengalami kegemukan, mereka mendapat lebih zat daripada sepatutnya. Berbeza dengan susu ibu, susu formula juga tidak mengandungi enzim. Ini melambatkan penghadaman dan menyukarkan tenaga dibekalkan kepada bayi.

    BAHAYA AIR

    Selain susu formula, kebanyakan ibu bapa juga cenderung untuk memberikan air kepada bayi mereka dengan alasan mengelakkan bayi daripada haus, badan panas, sembelit atau untuk mencuci mulut bayi. Alasan-alasan tersebut adalah tidak berasas kerana susu ibu mengandungi 88 peratus air dan bayi yang hanya diberikan susu ibu dijamin akan mendapat cukup air.

    Amalan memberikan air kepada bayi sebenarnya boleh mendedahkan bayi kepada pelbagai risiko termasuk merencatkan tumbesaran dan akal, mengancam nyawa serta mengakibatkan sawan tarik. Perut bayi yang baru lahir hanya memerlukan empat sudu kecil kolosterum (2ml) dan jumlah ini akan meningkat kepada 40 sudu (200ml) hanya setelah bayi menjangkau umur setahun. Oleh itu tumbesaran bayi yang diberikan air akan terencat kerana perutnya yang kecil itu sepatutnya diisi dengan susu ibu yang kaya dengan pelbagai khasiat untuk membantu tumbesarannya. Air juga boleh menjadi pembawa kuman kerana pencemaran boleh berlaku di pelbagai peringkat sama ada sumber air atau bekas yang tidak bersih. Ini akan mendedahkan bayi kepada cirit-birit. Air juga akan menghakis salutan pelindung penyakit yang dihasilkan oleh susu ibu dan ini akan mendedahkan bayi kepada pelbagai jangkitan.

    Bagi bayi yang mengidap jaundis, air yang terlalu banyak boleh merencatkan akal manakala bagi yang berumur di bawah lima minggu, air yang terlalu banyak akan mencairkan garam di dalam darah yang mengakibatkan suhu badan yang rendah, kembung atau sawan tarik.

    Sumber: Bernama

    Butiran selanjutnya ...

    Isnin, November 03, 2008

    Amalan penenang jiwa

    Setiap kesusahan yang ditimpakan ke atas manusia bukan ujian semata-mata tetapi juga untuk mendekatkan kita dengan-Nya.

    BERSIHKAN diri dan jiwa dengan ayat-ayat suci al-Quran.


    DALAM kehidupan seharian, kita tidak boleh lari daripada menghadapi masalah. Kebiasaannya timbul akibat daripada pelbagai punca sama ada kerana diri sendiri atau orang lain.

    Allah menegaskan dalam firmannya yang bermaksud: 'Allah meringankan bagi mu peraturan-peraturan agama dan manusia itu dijadikan bersifat lemah' (Surah al-Nisa':8). Perlakuan manusia yang menghadapi masalah berkaitan dengan pelbagai tindakan seperti kurangnya rasa sabar dalam diri, sentiasa gopoh gapah, suka bantah-membantah serta menyalahkan satu sama lain, rasa putus asa, tidak wujud rasa syukur, manusia mudah lupa dan sebagainya.

    Beberapa kaedah penyucian jiwa kita perlu lakukan di mana sebahagiannya memang telah menjadi amalan sebahagian umat Islam saban hari. Antara amalannya seperti:

    1. Solat wajib dan solat sunat (solat Tahajud, solat Taubat, solat Hajat, solat Tasbih atau solat Awwabin).
    2. Puasa wajib dan puasa sunat.
    3. Mengeluarkan zakat (fitrah dan harta benda).
    4. Menunaikan haji.
    5. Membaca al-Quran (Jika tidak memahami, baca maknanya).
    6. Berzikir dalam bentuk perkataan dan hati.
    7. Bertafakur.
    8. Sentiasa mengingati mati dan hari akhirat.
    9. Muhasabah diri.
    10. Jihad, selalu amalkan perkara baik amar makruf dan jauhi kerja buruk nahi mungkar.
    11. Tawaduk' dan sifat qanaah (berpada-pada).
    12. Ketahui dan sedari cara menghalang godaan syaitan dalam jiwa.
    13. Ketahui cara menghindar penyakit hati.

    Sebagai contoh, dengan melakukan solat-solat sunat, hikmahnya adalah boleh membimbing untuk pembentukan kecemerlangan diri atau insan kamil, dapat membina personaliti dan tingkah laku mulia.

    AMALAN berzikir mendekatkan diri kepada Allah.

    Boleh mendekatkan diri dan menjalin hubungan dengan Allah. Membersihkan diri dari sifat keji dan buruk. Praktik yang baik untuk pengurusan masa. Melatih diri untuk berakhlak atau berdisiplin dan bermoral dan melatih diri untuk memberi tumpuan kepada sesuatu perkara.

    Dengan menjalani ibadah puasa, hikmahnya adalah seperti:

    1. Menjadi benteng kepada godaan syaitan atau iblis dan perisai terhadap kejahatan.
    2. Latihan untuk mendisiplinkan diri.
    3. Memupuk sikap sabar.
    4. Mewujudkan rasa insaf.
    5. Menimbulkan kekuatan untuk menundukkan nafsu.

    Dengan berzikir, berdoa dan beristighfar, hikmahnya adalah untuk membersihkan diri daripada dosa dan maksiat, untuk mendapat keampunan Allah, untuk mendapat ketenangan batin, keikhlasan hati, meningkatkan kecintaan kepada Allah dan berupaya melindungi diri daripada melakukan dosa.

    Malah, Allah telah menegaskan hikmah berdoa dan berzikir dalam firmannya yang membawa maksud, '...dan Tuhan kamu berfirman, 'berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu' (Surah al-Mukmin : 60) dan 'Maka berzikirlah (ingatlah) kepada-Ku, nescaya Aku akan mengingati kamu sekalian' (Surah al-Baqarah: 168)

    Dengan bertafakur, hikmahnya adalah seperti:

    1. Penyuluh untuk mengenal diri dan pencipta.
    2. Mendorong penjelajahan fikiran.
    3. Pemusatan tumpuan untuk meneliti tahap personaliti dan tingkah laku.
    4. Mendorong untuk celik akal.
    5. Mewujudkan kesedaran kendiri.
    6. Berupaya membuahkan sikap amanah dan jujur.

    Firman Allah yang bermaksud, 'Mereka yang mengingati Allah baik di waktu berdiri, duduk dan berbaring dan mereka berfikir tentang kejadian langit dan bumi seraya berkata, wahai Tuhan kami, tiadalah Engkau menjadikan ini dengan sia-sia.' (Surah ali-Imran : 191)

    Sebenarnya kehidupan ini kita tidak boleh lari dari menghampiri diri dan sentiasa mendapat bantuan dan perlindungan Allah. Dalam mengharungi kehidupan kita perlulah menghadapi pelbagai cabaran dan menghadapi kegagalan dan rasa putus asa dengan penuh kesedaran.

    Sumber: Kosmo!

    Butiran selanjutnya ...

    Cinta pudar, salah siapa?

    Tatkala matahari menyerlahkan sinarnya, tiba-tiba mendung berarak kelabu. Suami yang dikasihi tiba-tiba beralih perhatian kepada si dia. Kasih beralih arah selalunya disebabkan oleh keadaan rumah tangga yang hambar. Hubungan yang kian longgar membuat suami beralih arah kepada orang ketiga yang dirasainya lebih menyenangkan. Sebelum anda mencari salah siapa, renungkanlah 12 cara mengembalikan keharmonian rumah tangga di bawah. Jika semua perkara itu sudah anda lakukan dan perkahwinan anda masih tidak bersinar, mungkin anda perlu ambil langkah drastik kerana memang sudah tidak ada jodoh!

    Perkahwinan kerana Iman - Renungi kembali mengapa anda berkahwin. Jika perkahwinan anda dahulu disebabkan oleh nafsu dan cinta, tentunya sukar mempertahankan keharmonian rumah tangga. Hal ini kerana cinta dan nafsu boleh berkurangan & lupus. Sekiranya perkahwinan yang anda lakukan itu di atas dasar iman, sudah pasti anda dan pasangan sedaya upaya menerangi rumah tangga dengan cahaya keimanan. Semakin kuat iman anda semakin erat hubungan anda suami isteri. Perkahwinan di atas dasar keimanan menjadikan anda dan pasangan bertanggungjawab sepenuhnya pada tugas-tugas yang diberikan dan disarankan oleh agama. Bagi pasangan yang berkahwin kerana nafsu dan cinta, ubah persepsi itu sekarang.

    Belajar Ilmu Perkahwinan - Berjaya mendapat sijil Kursus Perkahwinan bukanlah tanda yang anda kini sudah mampu menjadi suami dan isteri yang baik. Banyak lagi perkara yang perlu anda tahu tentang ilmu perkahwinan. Misalnya belajar dari orang yang lebih tua dan berpengalaman. Ketahui hukum-hukum syarak perkahwinan. Ikut petua-petua rumah tangga yang boleh diperoleh dari orang terdahulu.

    Niat - Simpan niat berkahwin hingga ke hujung hayat. Bukan hingga ke anak cucu sahaja! Mohon pada Allah agar keharmonian rumah tangga anda kini berada dalam keadaan yang dirahmati.

    Campur tangan orang luar - Jika anda mempunyai masalah rumah tangga, jangan biarkan orang luar campur tangan. Tidak kira samada ahli keluarga, kawan-kawan atau sesiapa sahaja. Masalah keluarga biar anda dan pasangan yang selesaikan. Hal ini kerana tidak semestinya orang luar boleh menyelamatkan keadaan. Malah keadaan lebih merbahaya jika orang luar itu menyokong satu pihak sahaja. Berjumpalah dengan kaunselor keluarga jika masalah yang anda berdua hadapi tidak mampu diselesaikan bersama dan memerlukan orang ketiga. Kaunselor adalah orang yang paling sesuai kerana mereka mempunyai etika yang tidak bias kepada sesiapa.

    Keterampilan - Jangan salah anggap selepas menjadi suami atau isteri, kebersihan dan keterampilan diri tidak perlu dijaga. Sebaiknya apabila kita bergelar isteri atau suami, penampilan perlu lebih baik terutama apabila di hadapan pasangan. Jangan pula bila keluar anda bergaya, di rumah pakai apa yang ada!! Jaga keterampilan anda supaya sejuk mata pasangan memandang.

    Belajar tolong menolong - Jika dahulu, kebanyakan isteri tidak bekerja. Tugas sebagai surirumah memerlukan isteri membuat kerja rumah sendirian. Namun, atas desakan ekonomi pada masa kini menyebabkan isteri terpaksa turut serta mencari nafkah. Oleh kerana kerja isteri semakin bertambah, suami perlu menolong isteri melakukan kerja-kerja ringan di rumah. Misalnya membasuh baju, menyidai dan melipat. Atau tugas paling mudah suami boleh lakukan adalah menjaga anak semasa isteri sedang membuat kerja rumah. Sekiranya suami dan isteri mampu, upahlah pembantu. Pembantu rumah boleh menolong isteri menyelesaikan tugas-tugas di rumah tanpa rasa tertekan. Kurang stress akan mengurangkan ketegangan hubungan suami isteri.

    Intim - Jangan jadikan anak sebagai penghalang hubungan suami isteri. Sebaiknya, anak adalah penyambung kepada ikatan keintiman anda berdua. Pasangan yang kurang intim selalunya kurang memberi perhatian kepada pasangan. Kajian mendapati 60% pasangan yang bercerai adalah disebabkan masalah keintiman atau seks.

    Jaga Kesihatan - Kebanyakan masalah rumah tangga berpunca daripada masalah kesihatan. Kesihatan di sini bukan tertumpu kepada kesihatan fizikal sahaja tetapi lebih daripada itu seperti kesihatan mental dan emosi. Misalnya, masalah stress perlu ditangani segera. Elakkan dari dijangkiti penyakit yang membahayakan kesihatan khususnya yang berkaitan dengan seks. Banyak pasangan yang ingin bercerai disebabkan oleh masalah kesihtan, jadi jangan anggap masalah ini ringan.

    Kurangkan Syak - Jangan terlalu cemburu atau berprasangka pada pasangan. Cemburu, syak dan berprasangka hanyalah mainan minda yang mungkin tidak sama dengan realiti. Perasaan ini selalunya menjadi punca kepada pergaduhan, murung dan hilangnya kosentrasi terhadap tanggungjawab sebagai suami maupun isteri.

    Berpandangan Jauh - Ingat, perjalanan hidup anda jauh lagi. Pasangan bukanlah rakan anda untuk satu ketika sahaja tetapi teman yang akan duduk di sebelah anda dari hari anda bernikah sehingga ke hujung nyawa. Jika anda berpandangan sebegini, maka anda tidak mudah melakukan perkara-perkara yang menyakitkan hati pasangan.

    Cari Persamaan - Cari persamaan anda dan pasangan kerana persamaan ini dpat membantu anda dan pasangan terus mencintai antara satu sama lain. Begitu juga persamaan tingkah laku ketika bercinta dan selepas bergelar suami isteri. Jika sebelum berkahwin boleh bersuap-suapan ketika makan, mengapa kini tidak lagi? Jika dahulu suami akan memimpin tangan isteri semasa melintas jalan, kenapa kini berjalan jarak sebatu antara satu sama lain? Ingat kembali detik indah ketika bercinta dan wujudkan kembali detik itu walaupun sudah menjadi pasangan yang sah dan sudah beranak-pinak.

    Bersyukur dan terima seadanya - Tidak bersyukur dengan apa yang ada pada pasangan adalah tanda-tanda mulanya rumah tangga bermasalah. Sana tak cukup... sini salah... situ kurang... dan sebagainya. Bahkan, jerawat tumbuh di atas hidung pasangan pun menjadi masalah besar. Mengapa perlu merungut? Sebaliknya, berterima kasih kerana anda dijodohkan dengannya kerana setiap pasangan itu mempunyai keserasian. Apa yang perlu anda lakukan adalah mencari di mana keserasian itu bersembunyi.

    Sumber: email (snitt73)

    Butiran selanjutnya ...

    Ahad, November 02, 2008

    Pendarahan semasa hamil/mengandung

    BANYAK punca pendarahan semasa mengandung. Kalau diikutkan kedudukan anatomi, pendarahan mungkin dari luaran faraj iaitu pada vulva, faraj, pangkal rahim dan mungkin juga dari komplikasi mengandung.

    Kadangkala, pendarahan berlaku dari buasir yang terjadi ketika mengandung. Pendarahan yang sedikit lazimnya akan berhenti dengan sendiri.

    Ada jenis pendarahan, bergantung kepada puncanya, boleh memudaratkan kandungan. Namun, tidak kira jumlah pendarahan, puan patut bergegas berjumpa dengan doktor untuk penelitian segera.

    Artikel ini akan menfokuskan pada penyebab pendarahan, tanda-tanda masalah yang mengiringi dan juga apa-apa yang patut puan lakukan.

    Pendarahan peringkat awal kandungan

    Pendarahan yang dimaksudkan ini berlaku pada dan sebelum kandungan berusia 12 minggu. Pendarahan juga boleh berlaku pada pangkal rahim selepas hubungan kelamin.

    Jangkitan pada pangkal rahim juga boleh berdarah. Sekiranya puan mengandung dan berdarah melalui faraj, doktor mungkin akan melakukan pemeriksaan menggunakan alat spekulum untuk meneliti bahagian-bahagian dalaman yang boleh berdarah dan selepas itu, mungkin pemeriksaan dilakukan untuk memastikan yang pangkal rahim tidak terbuka.

    Ada juga doktor yang memeriksa pangkal rahim dengan menggunakan kaedah ultrasound.

    Puan perlu maklumkan kepada doktor mengenai kesakitan dan juga jumlah darah yang turun, di samping apa-apa yang puan lakukan sebelum berlakunya pendarahan.

    Sekiranya pendarahan berlaku dan puan memang disahkan mengandung, perhatian lebih perlu diberikan kerana puan berisiko tinggi untuk mengalami kelahiran pramatang, kemungkinan anak yang kecil dari biasa dan juga mungkin keguguran.

    Di sesetengah hospital termaju, ukuran darah ‘human chorionic gonadotropin’ dijalankan untuk mengetahui status tumbesaran janin. Penting sekali semasa pendarahan, faktor rhesus darah puan bukannya negatif.

    Jika rhesus negatif, bermakna tindak balas telah berlaku dan puan perlu dirawat supaya komplikasi tidak berlaku terhadap kandungan pada masa hadapan.

    Keguguran

    Pendarahan tidak semestinya diikuti dengan keguguran. Walaubagaimanapun, doktor akan melakukan pemeriksaan ultrasound untuk penentuan kesihatan janin.

    Keguguran lazimnya berlaku sebelum 13 minggu kandungan. Antara tanda-tanda awal kemungkinan keguguran akan berlaku termasuk:

    * Pendarahan melalui faraj

    * Kekejangan yang dirasakan di bahagian bawah berhampiran dengan kawasan pundi kencing, lazimnya, kekejangan ini dirasai lebih sakit dari senggugut.

    * Keluarnya tisu-tisu ataupun ketulan darah melalui faraj.

    Kadangkala, kandungan mungkin masih awal dan puan mengalami keguguran dan tisu yang keluar dihantar ke makmal untuk pengesahan tisu janin.

    Di sini kehadiran vili korionik akan diperhatikan. Pemeriksaan ultrasound juga dilakukan supaya tidak berlakunya ketinggalan tisu di dalam rahim.

    Sekiranya puan disahkan mengandung melalui ujian air kencing, maklumkan kepada doktor untuk mengemaskinikan rekod kesihatan puan.

    Kebanyakan keguguran tidak dapat dibantu dan dielakkan. Namun, tiada bukti saintifik meyakinkan yang hubungan kelamin dan juga bersenam menyebabkan keguguran.

    Pekerjaan dan ketegangan akibat kerja juga tidak menyebabkan keguguran. Sekali keguguran tidak semestinya kandungan berikutnya akan berakhir sama dengan pengalaman pertama.

    Keguguran juga tidak mencerminkan yang kesihatan puan tergugat. Cuma sekiranya keguguran berlaku dua kali berturut-turut, doktor mungkin akan mencadangkan ujian-ujian serta pemeriksaan kesihatan lanjut supaya keguguran kali ketiga (berturutan) tidak berlaku.

    Mengandung di luar rahim

    Kebarangkalian mengandung di luar rahim adalah kecil berbanding dengan keguguran. Mengandung di luar rahim merupakan satu kegawatan perubatan disebabkan pendarahan dalaman yang berlaku dan boleh mengakibatkan kesakitan, kelesuan serta kematian.

    Itulah sebabnya penting sekali sekiranya puan melakukan hubungan kelamin, dan tidak pula mempraktiskan kontraseptif, menjalani ujian air kencing mengandung apabila darah bulanan tidak datang mengikut sepatutnya.

    Puan berisiko tinggi untuk mengandung di luar rahim sekiranya:

    * Puan pernah dirawat untuk jangkitan di kawasan pinggul.

    * Pernah mengalami mengandung di luar rahim.

    * Pernah menjalani pembedahan tiub falopian.

    Pendarahan penghujung tempoh mengandung

    Penyebab pendarahan pada trimester terakhir mengandung berbeza dengan tempoh awal mengandung.

    Pendarahan yang sedikit mungkin disebabkan oleh keradangan pangkal rahim dan juga mungkin oleh ketumbuhan kecil pada pangkal rahim. Lazimnya pendarahan yang banyak ada kaitan dengan uri.

    Dua keadaan di mana uri berdarah adalah apabila uri terpisah dari dinding rahim dipanggil placental abruption dan uri yang berada di bawah, iaitu di bahagian segmen bawah rahim dan dipanggil placenta praevia.

    Kesakitan dan juga kontraksi pramatang boleh membawa kepada pendarahan. Pendarahan yang berlaku pada tempoh terakhir kehamilan ini memudaratkan kesihatan janin dan mungkin kelahiran awal disyorkan.

    Placental abruption

    Uri secara amnya melekat di dinding rahim, sebagaimana stem ditampal di dinding belon. Uri mungkin terpisah dari dinding rahim pada waktunya atau sebelum sakit bersalin.

    Terpisahnya uri menyebabkan kesakitan dan rahim terus berkontraksi tanpa rehat diantaranya, menyebabkan rahim dirasai seperti dinding batu.

    Pendarahan mungkin tersembunyi di belakang uri, keluar mencurah, atau mungkin juga kombinasi kedua-duanya.

    Nyawa janin tergugat apabila uri tercabut kerana janin akan mengalami kekurangan bekalan oksigen dan kemungkinan kematian berlaku sekiranya tidak dilahirkan dengan segera.

    Kejadian uri tercabut biasanya berlaku pada 12 minggu terakhir kandungan. Mereka yang berisiko tinggi adalah:

    * Mereka yang sudah mempunyai anak.

    * Berumur melebihi 35 tahun.

    * Pernah mengalami kejadian uri tercabut pada kandungan sebelum ini.

    * Darah tinggi.

    * Trauma pada abdomen, seperti jatuh, ditumbuk, ditendang, mengurut perut oleh mereka yang bukan terlatih.

    * Ibu-ibu yang merokok.

    * Ibu-ibu yang menyalahgunakan dadah terutamanya dadah jenis kokain.

    Placenta praevia

    Uri yang kedudukannya pada segmen bawahan rahim, kehadiran uri di bawah menghalang mekanisme pergerakan janin untuk proses kelahiran.

    Lazimnya pendarahan akibat uri yang kedudukannya di bawah tidak menyakitkan. Ibu-ibu yang berisiko tinggi termasuklah:

    * Mereka yang pernah mengandung dan melahirkan anak.

    * Pernah menjalani kelahiran secara pembedahan caesarean.

    * Sejarah pembedahan pada rahim.

    * Pada kandungan sekarang, kandungannya kembar ataupun lebih dari dua.

    Seperti juga uri yang terlucut, pendarahan uri yang kedudukannya di bawah juga satu keadaan kecemasan obstetrik dan janin perlu dilahirkan segera.

    Tanda-tanda akan bersalin

    Pada tempoh terakhir mengandung, puan akan mengalami kontraksi dan lama kelamaan akan diikuti dengan kesakitan yang berlaku selepas setiap kontraksi.

    Pangkal rahim akan terbuka, dan darah serta mukus yang seolah- olah sebagai baji di pangkal rahim terkeluar melalui faraj.

    Ini petanda yang puan sedang mengalami proses untuk bersalin. Kehadiran darah serta mukus ini dipanggil sebagai ‘tanda-tanda’.

    Kejadian ini dikira normal sekiranya ia berlaku dalam masa tiga minggu sebelum tarikh kelahiran yang diramalkan.

    Sekiranya ‘tanda-tanda’ ini berlaku sebelum tempoh tiga minggu tersebut, puan mungkin mengalami kontraksi pra matang.

    Dalam kedua-dua keadaan tersebut, puan harus bergegas berjumpa doktor untuk mendapat pemeriksaan lanjutan. Tanda-tanda yang memungkinkan kelahiran pra matang adalah seperti:

    * Discaj dari faraj makin banyak.

    * Perubahan sifat discaj tersebut dari berair ke bermukus dan kemudiannya berdarah.

    * Rasa penekanan yang bertambah pada tulang pinggul dan juga pada bahagian bawah abdomen.

    * Sakit belakang menjadi-jadi.

    * Kekejangan otot-otot abdomen, mungkin juga dengan kekerapan membuang air besar.

    * Bertambahnya frekuensi kontraksi rahim serta intensitinya, lazimnya makin kerap dalam tiga kontraksi setiap 15 minit dan meningkat.

    Pendarahan melalui faraj jangan dipandang ringan, lebih-lebih lagi sekiranya pendarahan ini berlaku pada penghujung tempoh kandungan.

    Mungkin puan terpaksa dimasukkan ke wad perbidanan, darah diambil secara berkala untuk pemeriksaan hemoglobin, pemeriksaan ultrasound, kemungkinan terpaksa menjalani pemindahan darah, pemeriksaan degupan jantung janin dan sebagainya, bergantung kepada situasi semasa puan, kandungan serta keselamatan janin.

    Sumber: UtusanOnLine 02/11/2008

    Butiran selanjutnya ...

    Bergegar arasy kerana talak?

    Salamun'alaik Warahmatullahi Ta'ala Wabarakatuh...

    Segala puji-pujian kehadrat Allah subhanahu wata'ala, kepada-Nya kita menyembah. Salam serta selawat ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda yang berjuang menegakkan Islam di muka bumi ini.

    Alhamdulillah, saya bersyukur kehadrat Allah, kerana isu yang ingin diketengahkan ini, siap juga akhirnya. Terima kasih saya ucapkan kepada ahli-ahli al-Falaah yang sudi membincangkan kemusykilan saya kemukakan.

    Kita sering mendengar/membaca atau orang dok sebut, "ingatlah, bergegar arasy Allah sekiranya kamu minta apa yang hanya dimiliki para suami...(minta berpisahlah)…". Saya pernah minta dalil/hadisnya dan diberitahu sebegini, "Berkahwinlah dan jangan bercerai kerana sesungguhnya arasy bergegar kerana talak." (riwayat `Amr bin Jumai'in). Walau bagaimanapun, setelah menyemak di beberapa sumber, dari Fikrah, hadis ini disebut oleh Ibn `Adiy (365H) dalam al-Kamil fi Dhu'afa' al-Rijal (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1997) ketika membicarakan biografi `Amr bin Jumai'in (jld 6, ms 196, perawi no: 1279), tentang `Amr bin Jumai'in, berkata Yahya binMa'in: Dia pendusta yang merbahaya. Berkata al-Nasai: Martuk. Imaam Al MAnawi dalam Faidh al qadiir #3289 mengatakan bahawa Ibn Al JAwziyy menyebut bahawa sanadnya maudhuu'. As Sakhaawi dalam Al MAqaasid al hasanah #31 mengatakan dha'eef, Al Albaani dalam silsilah menyebut munkar. Menurut sumber yang lain pula (msm-net), arasy bergegar itu hadis matruk (ditinggalkan) atau maudhu'.

    Hadis bergegarnya arasy lantaran berlakunya talak dicipta utk menimbulkan kegerunan pada pasangan supaya seboleh-bolehnya elakkan cerai. Ini suatu perkara biasa dalam ulum hadis, bukan dalam isu talak saja bahkan dalam semua isu targheeb wa tarheeb, akan ada hadis-hadis lemah dan palsu untuk menguatkan targheeb dan tarheeb ini supaya umat Islam menjadi cinta pada kebaikan dan membenci kejahatan dan dosa. Motif hadis ini ialah supaya pasangan mengelakkan talak, maka direkanya hadis tambahan. Allah SWT paling murka pada talak tidak cukup gerun, maka direkanya hadis, gegaran arasy.

    Dari sumber, BHarian20081102, ditegaskan isteri tidak dibenarkan memohon cerai tanpa alasan yang dibenarkan syarak seperti diriwayatkan daripada Aisyah R.A "Wanita yang meminta talak daripada suaminya tanpa sebab yang sepatutnya, haram ke atasnya bau syurga." (kitab Nil Al-Awtar) kerana sesungguhnya hadis Rasulullah SAW juga menyatakan mengenai persoalan talak yang bermaksud "Perkara halal yang paling dibenci Allah ialah talak." (kitab Mughni Muhtaj). Benarkah ayat, “Talak itu salah satu perkara halal yg paling dimurkai/dibenci Allah.” ini? Adakah Allah buat satu hukum (talak itu halal) tapi Dia tak suka/benci? Hemmm… agak pelik bunyinya... Teringat saya satu kisah di mana Rasulullah SAW pernah menceraikan isterinya, Hafsah binti Umar bin Khathab, rujuk hafsah-binti-umar. Jika benar Allah murka/benci akan talak, mengikut logik akal adalah sangat-sangat mustahil Rasulullah sengaja melakukan perkara yang mengundang kemurkaan Allah.

    Selalu juga perkataan “bergegar arasy” disebut-sebut oleh ustaz/ustazah dalam ceramah-ceramah, jadi tak hairanlah orang-orang yang mendengarnya akan menyampaikan kepada orang lain pula. Sejauh manakah benarnya arasy bergegar jika isteri minta cerai/talak dengan suami? Adakah isteri tiada kuasa langsung untuk menentukan hala tuju hidupnya, sekiranya sudah tidak boleh hidup bersama suami? Jika benar bergegar arasy kerana talak, mengapa Nabi membenarkan khulu''?

    Dari sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Dari Ibnu Abbas RA bahawa isteri Thabit bin Qais telah datang berjumpa Rasulullah SAW lantas berkata "wahai Rasulullah, saya hendak meminta cerai dari suami saya dan tidak ada cacian terhadapnya tentang perangainya dan keagamaannya tetapi saya bencikan sifat kekufuran yang ada padanya sedangkan saya seorang Islam." Maka sabda Rasulullah SAW, "Adakah engkau bersedia mengembalikan kebunnya yang telah diberikan kepada kamu sebagai mas kahwin? Jawabnya: Ya saya bersedia. Lalu baginda menyuruh Thabit bin Qais menerima kembali kebunnya dan menceraikan isterinya. Maka Thabit menerima perintah baginda dan diceraikan isterinya." (Bukhari dan an-Nasa'i). Inilah khulu’ yang pertama berlaku dalam Islam. Boleh ikuti entry di Isteri-ada-hak-ceraikan-suami.

    Saya bukanlah pengkaji hadis, tetapi saya tidak mahu kita semua terkeliru dengan hadis-hadis palsu yang banyak diguna-pakai oleh orang-orang kita. Agaknya memang orang melayu suka sangat membongkar hadis terpencil, atas alasan apa, tak tahulah. Mungkin untuk menakut-nakutkan orang atau mahu menyukakan sesuatu perkara yang orang lain tak berapa suka. Agaknya sebab itulah ramai sangat isteri rela dianiaya oleh suami durjana. Tak mengapa diri teraniaya tanpa nafkah, tak kisah habis badan lebam biru birat sana sini kena pukul suami tapi nak juga terikat dengan suami yang itu. Semuanya atas alasan takut “bergegar arasy”. Yang mereka-cipta hadis pun satu hal dan yang menyebarkannya tanpa membuat apa-apa penyelidikan pun satu hal juga! Astagfirullah hal aziim... Apa hukumnya kita sebarkan hadis palsu? Rujuk sini, Jangan-bohong-guna-nama-rasulullah!. Boleh juga rujuk di Bolehkah-beramal-dengan-hadis-dhaif.

    Kesimpulannya, hadis bergegar arasy ini direka-cipta untuk menakutkan wanita, hadis payung emas direka-cipta untuk memaksa wanita (yang tak berapa ada ilmu) untuk tunduk pada kehendak suami yang mahu berpoligami. Teringat saya kata-kata ustaz yang beri ceramah ketika menghadiri kursus kahwin dulu, kata ustaz "takpe benarkan suami kahwin lagi satu, nanti kamu dapat payung emas." Kami yang mendengar, melopong aje, dalam hati saya bagus juga dapat payung emas, di dunia ni dah memang tentu tak merasalah!.... Ada juga hadis (lebih kurang bermaksud) 'wanita tak ada zuriat/tak beranak macam tikar buruk” direka-cipta oleh orang-orang syiah untuk menghalalkan nikah muta'ah (atau kahwin banyak-banyak, tapi tak perlu bertanggungjawap). Ini semua hadis-hadis palsu yang terpencil tetapi menjadi populis, mungkin kerana terlalu ramai lelaki yang 'kurang' iman dan terlebih nafsu!

    Wallahu'alam.



    Dalam sepotong-dua ayat dan sepotong hadis ada menerangkannya:

    "Wahai orang-orang Yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum Dengan perkara Yang tidak diingini - Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa Yang kamu telah lakukan.."
    (Surah Al-Hujurat, ayat 6)

    "Sesungguhnya yang mengada-adakan kebohongan itu hanyalah orang-orang yang tidak beriman dengan ayat-ayat Allah dan merekalah pembohong-pembohong."
    (Surah An-Nahl, ayat 105)

    "Barangsiapa mengatakan dariku apa yang aku tidak katakan, maka hendaklah Ia bersedia mengambil tempatnya dari Neraka."
    (Hadis riwayat Az-Zahabi dalam Al-Kabair.)

    Butiran selanjutnya ...
    Related Posts with Thumbnails