“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Rabu, November 11, 2009

Jimak berapa lama boleh ditinggalkan?


Pada suatu ketika dahulu, tatkala Umar ibn al-Khattab meronda di Kota Madinah, beliau melalui perkarangan sebuah rumah seorang wanita yang ketika itu penghuni rumah tersebut sedang bersenandung seorang diri di malam sejuk yang mencengkam itu, katanya :

“Aduhai….! Alangkah panjangnya malam ini…!
Betapa gelap dan pekat suasana sekeliling, dan
Betapa lamanya aku dalam penantian, tiada teman untuk bergurau-senda,
Demi Allah…! Sekiranya bukan kerana ketakutanku,
Kepada Allah yang maha Esa lagi Maha Melihat,
Nescaya akan bergoncang ranjangku ini, dan segala isinya…!
Tapi, oh Tuhanku…! Malu mencegah diriku, untuk melakukannya.
Demi kemuliaan suamiku…! Tidak patut aku merendahkan,
Apa yang pernah dikenderainya.”

Keesokkan harinya, Umar ibn al-Khattab menyuruh seseorang bertanya kepada perempuan tersebut tentang masalah yang sedang dideritainya, sehingga membuat dia meratap sendu di keheningan malam tersebut.

Kemudian pesuruh itu memberitahu Umar ibn al-Khattab, bahawa suami perempuan itu sedang berjuang ke jalan Allah. Kemudian Umar ibn al-Khattab mengutuskan seorang utusan menemui suami perempuan tersebut untuk mengatakan bahawa suaminya akan segera berada di sampingnya.

Sesuai dengan janjinya, Umar ibn al-Khattab mengutuskan seorang utusan menemui suami perempuan tersebut di medan jihad dan menyuruhnya pulang atas perintah Umar ibn al-Khattab. Maka dengan itu pejuang itupun pulang menemui isterinya. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang kemampuan seorang perempuan menahan rindu terhadap suaminya, Umar ibn al-Khattab bertanya kepada puterinya, Hafsah (isteri Rasulullah SAW) dan berkata, “Wahai puteriku! Berapa lamakah seorang perempuan itu dapat bersabar menahan kerinduan terhadap ketiadaan suaminya?”

“Subhanallah! Orang seperti ayah mahu menanyakan aku soalan ini?” jawab Hafsah.

“Jika bukan kerana hendak memberi peringatan kepada kaum Muslimin, aku tidak akan bertanyakan hal seperti itu kepada kamu!” balas Umar.

“Lima bulan….atau enam bulan…! Jawab Hafsah pendek.

Berdasarkan jawapan yang diberikan Hafsah itu, maka Umar ibn al-Khattab menetapkan waktu bagi kaum Muslimin berada di medan jihad hanya selama enam bulan sahaja. Sebulan dalam berjalanan pergi, empat bulan di medan jihad dan sebulan untuk perjalanan balik.

Begitulah kisah yang menjelaskan selama mana seseorang isteri itu mampu bertahan menahan rindu dendam dan belai kasih daripada si suami.

Hari ini ramai pasangan yang tinggal berjauhan demi tuntutan tugas. Mereka duduk berasingan. Ini dipanggil pasangan jarak jauh, seorang di utara dan seorang di selatan. Justeru itu baik di pihak suami mahupun isteri, mereka harus saling mengetahui kehendak dan tahap kemampuan pasangan masing-masing di dalam menahan diri dari terus ditinggal kesepian. Ini bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini termasuk melakukan perkara yang dilaknati Allah SWT.

Jika anda sudah lama meninggalkan pasangan masing-masing ataupun sudah terlalu lama tidak melakukan hubungan seksual, bertindaklah sekarang dan carilah masa yang sesuai agar anda dapat bersama.

Jangan tolak keinginan suami

Islam turut memperingatkan kepada para isteri yang menolak keinginan seksual suaminya, bahawa perbuatan itu akan membawa akibat yang buruk yang akhirnya membawa kepada keretakan dalam rumahtangga.

Mungkin anda tidak menyedari secara perlahan-lahan rentetan penolakan si isteri, si suami akan menyangka bahawa penolakan itu menandakan isterinya sudah tidak mencintainya lagi. Selain daripada itu, tindakan penolakan isteri akan mendorong suaminya ke dalam pelukan atau rangkulan perempuan lain, dengan cara yang tidak dibenarkan oleh syarak.

Atas dasar ini dan beberapa aspek lain, dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Apabila seorang suami memanggil isterinya ke hamparannya (tempat tidur), tetapi tidak diendahkan oleh isterinya, lalu malam itu suaminya marah kepadanya maka isteri itu mendapat kutukan malaikat sehingga Subuh.” (Hadis riwayat Muslim)

Hakikatnya memang benar bahawa wanita itu bukan simbol seks dan tempat pemuas nafsu si suami hingga di Barat, wujud undang-undang yang disebut marital rape (suami merogol isteri). Namun dari satu sudut lelaki memang perlu bertolak ansur. Jika isteri penat, datang haid, baru bersalin dan sebab-sebab lain yang dibenarkan oleh Islam, memanglah tidak patut bagi si suami memaksa isteri melayan kehendaknya. Tetapi jika tidak ada sebarang sebab untuk menolak, jika diminta oleh suami maka si isteri wajib memenuhinya. Permasalahan ada ‘mood’ atau tidak, ia perlu dirujuk pada yang pakar bagaimana mahu mewujudkan mood tersebut tetapi janganlah sampai melanggar batas-batas syarak.

Kepuasan bersama

Sebagaimana pentingnya suami memenuhi keperluan material isterinya, sudah menjadi tanggungjawabnya melayani keperluan batin isteri. Kebiasaannya wanita memiliki sifat pemalu terutamanya untuk berbincang tentang kehendak seksualnya. Namun, sebenarnya mereka juga berkehendakkan kepada nikmat kepuasan ketika melakukan persetubuhan (berjimak) sebagaimana suami.

Rasulullah SAW menegaskan tentang hal ini melalui hadis daripada Anas bin Malik r.a., baginda SAW telah bersabda yang bermaksud, “Jika seseorang antara kamu melakukan hubungan kelamin dengan isterinya, dia hendaklah bersungguh-sungguh. Apabila dia hendak menyelesaikan hajatnya itu (mencapai kepuasan) sedangkan isterinya belum sampai klimaksnya, maka janganlah dia tergesa-gesa (untuk menamatkan persetubuhan tersebut) sehingga hajat isterinya diselesaikan pula.” (Hadis riwayat al-Suyuthi di dalam Jami’ al-Saghir, hadis no: 549 dan al-Hafiz al-Haithami di dalam Majma’ al-Zawaid, hadis no: 7566)

Untuk ini para suami yang terlalu cepat mengalami ejakulasi, hendaklah mendahului hubungan seksual dengan cumbuan bagi merangsang ghairah seksual isterinya. Agar isterinya juga berjaya menikmati kepuasan seksual tersebut dengan sempurna. Adalah penting bagi suami untuk mengetahui daerah-daerah sensitif atau yang mudah terangsang di tubuh isterinya.

Bagi sebahagian suami, ada yang segera meninggalkan isterinya setelah dia memperoleh kepuasan seksual dan tidak berusaha untuk melayani isterinya sehingga isterinya juga mencapai klimaks. Ini sebenarnya adalah satu kesalahan yang rumit jika ditinjau dari aspek agama, kesihatan, ilmu jiwa mahupun seksologi. Sebagai suami, tabiat tersebut akan memberi akibat buruk kepada kejiwaan dan kesihatan jasmani isterinya. Hal ini amat penting kerana suami tidak perihatin terhadap permasalahan ini atau jika tindakan ini dilakukan secara berulang-ulang, maka tidak hairanlah nantinya akan menimbulkan kesan negatif seperti isteri membenci suaminya, melalaikan perintahnya ataupun menolak apabila diajak untuk berjimak dan sekiranya bersetuju pun ia tidak dilakukan dengan sepenuh kerelaan hati. Mungkin ada yang merasakan ini suatu perkara yang terlalu remeh untuk diperbincangkan.

Oleh itu, para suami hendaklah menjaga perasaan isteri ketika berjimak dan melakukannya dengan niat agar kedua-dua belah pihak mencapai kenikmatan. Janganlah para suami hanya memikirkan kepuasan diri sendiri tanpa memastikan isteri mereka juga sudah mencapai klimaks.

Kelebihan berjimak

Dalam Islam berjimak adalah termasuk perkara yang boleh mendatangkan pahala. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Dan pada hubungan kelamin kamu semua (bersama isteri) merupakan sedekah. Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah! Apakah jika seseorang kami mendatangi isterinya (untuk berjimak) maka dia mendapat pahala? Rasulullah menjawab: Bagaimana pendapat kamu semua jika dia menyalurkan syahwatnya ke jalan yang haram, (sudah tentu) dia akan mendapat dosa kerananya. Demikian juga jika dia menyalurkan di jalan yang halal, pasti dia mendapat pahala.” (Sahih Muslim)

Jika kedua-dua pasangan suami isteri sudah mencapai klimaks, barulah mereka mencapai kepuasan dan kenikmatan yang tidak terhingga, ini akan menguatkan kasih sayang suami isteri disamping meningkatkan kesihatan, jasmani dan mental. Tenaga yang digunakan untuk melakukan jimak ini sama dengan kalori yang terbakar setelah lari dikejar harimau sejauh 400 meter. Wanita yang tidak mencapai kepuasan melakukan seks boleh mengalami sakit seperti sakit datang haid.

Pasangan kurang keinginan seks apabila stress, penat atau sedih, tidak cukup tidur, pelbagai penyakit, usia meningkat yang menyebabkan kekurangan hormon testosteron dan masalah hubungan suami isteri. Masalah ini boleh menyebabkan tekanan mental dan gangguan emosi.

Oleh itu, pastikan para suami dan isteri berkomunikasi sesama sendiri untuk sama-sama mendapat kenikmatan dari hubungan kelamin tersebut.




Sumber : NUR

Butiran selanjutnya ...

Tips menguruskan rumahtangga tanpa pembantu rumah


Berikut dikongsikan beberapa tips untuk menguruskan rumahtangga tanpa pembantu rumah :

  1. Paling utama bangun pagi kerana ketika inilah boleh menguruskan segala keperluan anak-anak, buat sarapan dan menyapu sampah.
  2. Pastikan keadaan rumah tersusun sebelum keluar bekerja.
  3. Lagi bagus aturkan tugasan bersama suami, tugasan berat seperti mencuci tandas, menyapu sawang dan vakum biarlah suami yang buat sementara memasak, mengemas rumah dan membasuh pinggan di buat oleh isteri.
  4. Didik anak-anak tidak kira lelaki atau perempuan untuk kemaskan katil sendiri, basuh pinggan selepas makan dan kemas mainan selepas sepahkannya.
  5. Jika terpaksa kerja lebih masa, beritahu pusat asuhan kanak-kanak terlebih dahulu untuk mempastikan anak-anak diberi makanan sebelum tidur.
  6. Atur badjet sebaik mungkin sebab anda sebenarnya lebih bernasib baik kerana kadang-kadang kos menggunakan khidmat pembantu rumah sebenarnya lebih tinggi kerana mereka berada di rumah seharian dan menggunakan kos elektrik, air dan sebagainya.
Sesiapa ada tips yang menarik, boleh kongsikan bersama.

Butiran selanjutnya ...

Ahad, November 08, 2009

Ulul Albab: Mukjizat al-Quran boleh dirasai semua

Oleh Abdurrahman Haqqi


KANDUNGAN kitab suci al-Quran terpelihara daripada sebarang perubahan.

Banyak kajian serta cubaan mengelirukan kebenaran kitab suci tetapi temui kegagalan

JIKA kita ingin mengetahui dan rasai kehebatan satu-satu mukjizat seperti yang pernah berlaku ke atas umat sebelum kita, kemudian kita mengisytiharkan keimanan serta-merta dan memeliharanya, sila perhatikan al-Quran al-Karim.

Al-Quran ialah mukjizat kekal sebagai bukti kebenaran bahawa Muhammad adalah Rasulullah SAW. Pengekalan mukjizat al-Quran akan tetap dirasai oleh seluruh manusia hingga ke akhir zaman. Ini berbeza dengan mukjizat seketika yang hanya dirasai oleh umat sebelum kita, bahkan mukjizat yang dirasai oleh sahabat nabi, selain al-Quran.

Sebagai contoh, Nabi Nuh AS dengan mukjizat taufan dan air bah yang hanya berlaku untuk dirasai umatnya saja. Nabi Saleh AS dengan mukjizat unta hanya berlaku untuk dirasai umatnya saja. Nabi Musa AS dengan mukjizat membelah air laut dan hanya berlaku untuk dirasai umatnya saja. Nabi Isa AS dengan mukjizat boleh menghidupkan yang mati atas izin Allah dan hanya berlaku untuk dirasai umatnya saja.

Tetapi Nabi Muhammad SAW dengan mukjizat al-Quran berlaku untuk dan dirasai seluruh umat manusia ketika dan sesudah Baginda tidak kira masa dan tempat sampai hari kiamat dan ia akan kekal dipelihara seperti ditetapkan al-Quran yang bermaksud: "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya" (Surah al-Hijr: 9), Dengan jaminan Allah ini, terpeliharalah kitab suci al-Quran daripada sebarang perubahan, dan bersinarlah cahayanya ke seluruh dunia.

Al-Quran itu sendiri boleh menjadi sebab kepada seseorang untuk memeluk agama Islam sama ada menerusi isi, bahasa, bacaan, lagu, suara, hiasan, nilai ekonomi bahkan tulisan atau kaligrafinya. Begitu pula ia menakutkan dan menggerunkan musuhnya menerusi isi, bahasa, bacaan, lagu, suara, hiasan, nilai ekonomi bahkan tulisan atau kaligrafinya. Ramai orang memeluk al-Quran dengan karakter al-Quran dan tidak sedikit pula yang memusuhinya bahkan menyeru untuk berperang melawannya seperti disebutkan al-Quran sendiri dengan ayatnya yang bermaksud: "Dan orang yang kafir berkata: "Janganlah kamu mendengar al-Quran ini dan tentanglah ia (dengan nyanyian dan jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya)" (Surah Fussilat: 26)

Antara orang yang pernah menentang al-Quran ialah seorang profesor Matematik dan logik di Universiti Toronto, Kanada bernama Gary Miller. Pada 1977, beliau membuat keputusan untuk mengkaji al-Quran dengan tujuan mencari kesilapan dan kesalahan ilmiah dan sejarah yang ada di dalamnya.

Dia berharap dengan kajian itu boleh membantu rakannya, pendakwah Kristian untuk mengelirukan umat Islam dan mengajak mereka keluar daripada agama Islam dan memeluk Kristian. Pihak gereja dan yang berkepentingan menyokong tujuan 'mulia' ini dan memberikan apa jua keperluan kewangan dan moral bagi menjayakannya.

Apa yang diinginkan manusia lain dengan apa yang diinginkan oleh Allah dan yang pasti akan berlaku ialah apa yang diinginkan Allah, maka takdir yang baik menyebelahi Prof Miller dan kemudian membawanya untuk memeluk Islam setahun kemudian iaitu pada 1978 selepas menamatkan kajiannya. Kajiannya ini kemudian dibukukan dan diterjemahkan ke dalam bahasa Arab dengan tajuk al-Quran al-Muzhil (al-Quran Yang Mempesona) atau tajuk asalnya The Amazing al-Quran. Beliau menukar namanya menjadi Abdul Ahad Omar kemudian bekerja sebagai pensyarah di University of Petroleum and Mines, Dhahran, Saudi Arabia hingga ke hari ini masih menjadi pendakwah antarabangsa dan banyak menulis mengenai Islam.

Perkara pertama yang menarik perhatian Prof Miller ialah cabaran al-Quran yang mendakwa bahawa di dalamnya tidak ada kesalahan atau kesilapan apa pun juga. Beliau berkata: "Tidak ada seorang penulis pun di dunia ini yang memiliki keberanian kemudian dia menulis buku dan mendakwa bahawa bukunya itu tidak ada sebarang kesalahan mahupun kesilapan kecuali al-Quran, bahkan ia mencabar seandainya anda mencari-cari kesalahan itu anda pasti tidak akan menemukannya."

Beliau juga mengungkapkan kepesonaannya terhadap al-Quran dengan mengambil contoh bahawa dalam al-Quran ada satu surah yang diberi nama Surah Mariam yang mana di dalamnya ada diberitakan mengenai kemuliaan beliau yang tidak dijumpai di mana-mana kitab suci lainnya. Kita tidak menemukan surah yang dijoloki nama orang kesayangan Nabi SAW seperti Aisyah dan Fatimah. Malah nama baginda pun tidak banyak disebut al-Quran iaitu hanya lima kali jika dibandingkan dengan nama Nabi Isa as yang disebut sebanyak 25 kali.

Penentang kebenaran al-Quran mendakwa bahawa syaitanlah yang mengajarkan al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW tetapi bagaimana di dalam al-Quran ada ayat yang maksudnya: "Oleh itu, apabila engkau membaca al-Quran, maka hendaklah engkau (terlebih dulu) memohon perlindungan kepada Allah daripada hasutan syaitan yang kena rejam." (Surah al-Nahl: 98)

Dr Miller berkata: "Seandainya aku berada dalam keadaan Rasulullah bersama Abu Bakar di gua di mana seandainya seorang daripada pengepungnya melihat ke bawah pasti mereka akan ternampak, maka jawapan ketakutan Abu Bakar akan dijawab secara semula jadi dengan ucapan 'mari kita cari jalan belakang' atau 'diam, jangan berkata-kata'. Akan tetapi Rasulullah SAW menjawab dengan tenang: "Janganlah engkau risau sesungguhnya Allah bersama kita." Adakah jawapan ini boleh dikeluarkan oleh seorang penipu atau jawapan seorang nabi yang percaya seratus peratus kepada pertolongan Allah?

Surah al-Masad (Tali Yang Dipintal) iaitu surah nombor urut 111 dalam al-Quran diturunkan 10 tahun sebelum matinya Abu Lahab. Ini bermakna bahawa di hadapan Abu Lahab ada sebanyak 365 x 10 = 3,650 peluang untuk membuktikan bahawa al-Quran adalah satu khayalan dan pembohongan. Selama itulah ada cabaran tetapi Abu Lahab tetap dalam kekufuran dan kekafirannya dan tidak tergerak hatinya untuk masuk Islam walaupun secara pura-pura. Surah ini sampai hari ini masih dibaca, bagaimana Rasulullah SAW yakin atas kebenaran yang dibawanya selama 10 tahun dan Abu Lahab sememangnya tidak akan memeluk Islam. Keyakinan ini membuktikan bahawa al-Quran memang wahyu Allah yang mengetahui segala sesuatu dan ia diturunkan kepada nabi terakhir yang diutus untuk umat manusia, Muhammad SAW.

Prof Abdul Ahad juga merujuk kepada New Catholic Encyclopaedia dalam topik 'al-Quran' dikatakan bahawa walaupun banyak kajian dan percubaan untuk mengelirukan kebenaran al-Quran tetapi pada akhirnya: "Selama berabad-abad muncul banyak teori mengenai sumber al-Quran tetapi tidak satu pun daripada teori itu boleh diguna pakai oleh seorang yang berakal." Beliau menambah ada gereja yang pada mulanya teruja untuk mengadaptasi teori berkenaan tetapi pada akhirnya mereka semua menolaknya dan malangnya mereka tidak berani untuk mengakui kebenaran teori umat Islam. Apa pendapat anda? Adakah anda masih meragui kebenaran al-Quran yang mempesonakan? Terima kasih Profesor Abdul Ahad.

Sumber : Bharian.com.my 2009/11/08

Butiran selanjutnya ...

Jumaat, November 06, 2009

Q&A : Perbezaan furu’ bukan pemecah belah

Oleh Zamanuddin Jusoh

SOALAN :

SAYA mempunyai keluarga yang berfahaman salafi dan ada yang berfahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berwirid selepas solat, membaca qunut pada solat Subuh, bertahlil untuk arwah, talkin selepas disemadikan jenazah dan lain-lain lagi. Masing-masing mengamalkan fahaman tersendiri tanpa berlaku sebarang pergaduhan.

Contohnya apabila berlaku kematian, selepas jenazah disemadikan, ada yang menunggu untuk bertalkin dan ada yang terus meninggalkan kawasan perkuburan tanpa membaca apa-apa. Semuanya berlaku dalam keadaan yang baik tanpa sebarang kekecohan. Apa pandangan ustaz dalam hal ini ?

Anak Muda, Arau, Perlis



JAWAPAN :

Itulah yang sepatutnya berlaku kerana perbezaan dalam perkara furu’ (cabang) ini tidak harus mencetuskan sebarang permusuhan antara kaum Muslimin. Masing-masing hendaklah menghormati pandangan saudaranya kerana mereka mempunyai hujah dan alasan tersendiri dalam mengamalkan perkara furu’ ini selagi ia tidak bercanggah dengan landasan Islam yang sebenar.

Antara perkara furu’ yang disebutkan ulama ialah membaca al-Quran dengan nyaring di dalam masjid; melepaskan tangan ketika solat dan membaca wirid beramai-ramai selepas solat; membaca al-Quran untuk si mati, berzikir ketika mengiringi jenazah; mengangkat kedua-dua tangan ketika berdoa selepas solat, penggunaan tasbih dalam berzikir, bertawasul, selawat ke atas Nabi SAW selepas solat fardu, zikir Asma’ul Husna selepas solat; mengucapkan kalimah `Saidina` kepada Nabi SAW ketika azan, iqamah dan ketika membaca tasyahhud (tahayat) dalam sembahyang, dan kenduri arwah untuk si mati danperayaan Maulidur Rasul.

Pernah Imam Syafie ketika solat Subuh berhampiran makam Imam Malik tidak membaca qunut sedangkan ia sunat dibaca mengikut mazhabnya. Apabila ditanya beliau menjawab,“Aku tidak membaca kerana menghormati pandangan Malik yang tidak mensunatkan bacaan qunut.”

Imam Syafie pernah menyebut, “Jika disebut mengenai ulama, maka Imam Malik bintangnya”. “ Akan aku jadikan kitab Muwatta karangan Imam Malik itu sebagai hujah antara aku dengan Allah SWT”. Walaupun demikian, dalam beberapa masalah hukum beliau tidak sependapat dengan Imam Malik.

Imam Abu Hanifah pernah berkata: “Pendapat aku benar, tapi mungkin juga salah dan pendapat kau salah tapi mungkin juga betul. Jika prinsip ini diguna pakai, maka tiada sebarang masalah dalam menangani isu ini. Di sinilah rasionalnya kata-kata yang berbunyi, ‘Khilaf’ atau perbezaan pendapat antara umat Islam itu boleh membawa rahmat`.

Sejak akhir-akhir ini kita dapati seakan-akan ada gerakan untuk memecahbelahkan perpaduan umat Islam sehingga membangkitkan semula isu yang sudah diselesaikan oleh ulama terdahulu. Malah ada yang menyesatkan orang lain bila mana amalan yang sekian lama sebati diamalkan sebahagian masyarakat Islam dikatakan bidaah dan sesat sehingga menyebabkan pelakunya akan dihumban ke dalam neraka.

Persoalannya, apakah benar kenyataan yang menyebut semua perkara baru tidak dilakukan Rasulullah SAW ketika hayatnya sebagai bidaah dan sesat ?

Seperti diketahui umum bahawa amalan yang diamalkan sekian lama di negara ini adalah warisan daripada ulama terdahulu. Kitab yang dikarang Tuan Guru Haji Hashim Muhamad Su’ady Maakhiz Al-Sibyan Ila Tariqah Al-Jinan yang disemak dan diiktiraf oleh Syeikh Abdullah Fahim dan kitab Majmu’ah Musamma Bit Tuhfah Al-Watan Wal Ikhwan karangan Tuan Guru Syeikh Ahmad Sa’ed Al-Linggi merumuskan bahawa semua amalan ini, dibolehkan.

Malah Mufti Mesir, Fadilatus Syeh ‘Ali Jum’ah di dalam kitabnya Al-Albayan Lima Yusghil Azhan juga bersetuju dengan amalan sedemikian dan menyatakan bahawa ia tidak membawa kepada kesesatan.

Penulis ialah Eksekutif Unit Agama NSTP, boleh dihubungi melalui e-mel: zaman@nstp.com.my

Sumber : Bharian 2009/11/06

Butiran selanjutnya ...

Khamis, November 05, 2009

Benarkah lelaki Melayu ‘layu’?


Assalamualaikum Warahmatullahi Ta’ala Wabarakatuh...

Segala puji-pujian ke hadrat Allah subhanahu wata’ala, kepada-Nya kita menyembah. Salam serta selawat ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda yang berjuang menegakkan Islam di muka bumi ini.

Entry ini saya masukkan selepas saya membacanya artikel bertajuk Lelaki Melayu 'Layu'? di egrup yang saya sertai dan bila saya cari penulis asal, saya dapati artikel dipetik dari blog MazidulAkmal.... promote sikit blog abang Mazidul, hero SlimRiver... :)

Secara peribadi, saya sangat setuju, lelaki Melayu banyak kekurangannya. Antara yang boleh disenaraikan di sini :

  1. kurang bertanggungjawab (tidak memenuhi nafkah zahir dan batin)
  2. kurang pengetahuan ilmu dunia dan akhirat (adeh… macamana nak jadi pemimpin nih?!)
  3. kurang romatik atau gentleman
  4. tidak bersifat penyayang
  5. tidak sabar
  6. kurang pandai melayan/mengambil hati/memujuk pasangan
  7. berlagak pandai (walhal bodoh dan sombong pulak tu)
  8. lebih pandai mengambil kesempatan (take things for granted)
  9. amat sukar meluahkan perasaan kasih (especially pada isteri, tetapi tidak pada temanita/matair)
  10. kurang berpegang teguh pada kata-katanya (cakap tak serupa bikin)
  11. lebih suka mungkir janji (ciri-ciri munafik ni weh!)
  12. gemar berbohong/ngelat/tipu (ciri-ciri munafik juga)
  13. kurang memberi sokongan pada pasangan
  14. kurang pendengaran/pemahaman (masuk telinga kiri keluar telinga kanan)
  15. kurang prihatin
  16. lebih cemburu
  17. lebih EGO
  18. panas baran atau tidak mampu menahan marah
  19. cepat kalut
  20. cerewet
  21. tidak jujur
  22. berat ‘pungkok’ a.k.a. takut reput tulang
  23. tidak mempunyai matlamat/fokus hidup
  24. lebih suka membuang masa melepak
  25. lebih suka buang duit beli rokok, aksesori kereta/motor dan lain-lain
  26. tidak kreatif atau bermasalah dalam komunikasi seperti suka berahsia, sukar berkongsi masalah atau sukar dibawa berbincang
  27. tidak tahu menabung atau tiada perancangan kewangan yang kukuh (parah nih!)

Waaahhh… jika lihat senarai, banyak betul kekurangan lelaki Melayu ini, ya! Maka, memang wajarlah kenyataan lelaki Melayu ini, ‘layu’. Hik.. hik.. No hard feeling kepada pembaca lelaki, khususnya lelaki Melayu. Bukan saya yang memulakan subjek ini. Jika ada dalam senarai di atas yang terkena batang hidung sendiri, ambil iktibar dan betulkan sikap kalian. Benar hakikat bahawa tiada manusia yang sempurna, tetapi ini tidak bermakna kalian mempunyai tiket untuk terus kekal dalam ketidak-sempurnaan. Ambillah peluang perbetulkan diri, jadikan ia pemangkin bagi kalian mencari titik kesempurnaan semaksimum mungkin. Usahakanlah menaikkan saham lelaki Melayu. Bukankah lelaki Melayu pantang dicabar? Anggaplah check list di atas satu cabaran untuk kalian meng‘up-grade’kan kualiti diri dan berubah menjadi seorang individu yang lebih dihormati.

Nampak sangat seolah-olah saya ni berat sebelah, tapi jangan salah faham. Sebenarnya, setiap individu ditetapkan oleh kebiasaan mereka yang unik dan tidak boleh dipencilkan secara khusus atau dipisah-pisahkan mengikut bangsa atau kewarga-negaraan. Jika sudah perangai seperti syaitan, tidak kira Melayu atau apa bangsa pun, macam itulah perangainya. Jika kita terlalu fokus pada senarai yang negatif tentang lelaki Melayu, tentu kita boleh pandang sebelah mata atau buat-buat tak nampak senarai yang positif tentang mereka pula. Tak bolehlah begitu, kan? Memang tidak kurang hebatnya kaum lelaki berbangsa Melayu, dan kehebatannya terpulang kepada individu yang benar-benar mahu memahami dan mencari kehebatan lelaki Melayu.

Saya amat bersimpati terhadap sebilangan wanita yang memandang rendah terhadap kaum lelaki Melayu sehingga memilih lelaki berbangsa asing sebagai pasangan hidup. Malah, ada yang mencebik, “Aaah, lelaki Melayu, apa yang ada pada mereka?” Amat menyedihkan, apabila wanita Melayu itu akhirnya hampa dengan lelaki asing yang disangkakan lebih baik daripada lelaki Melayu. Namun, amatlah tidak adil jika kita membuat kesimpulan hanya wanita-wanita ini perlu disalahkan kerana tersalah buat pilihan, tetapi kaum lelaki umumnya, tidak kira apa bangsanya, sepatutnya turut dipersalahkan. Masih ramai yang mengahwini lelaki asing dan hidup bahagia, tidak kurang juga yang bernikah dengan lelaki Melayu menemui neraka dunia.

Mengapa masyarakat, khususnya Melayu begitu mudah menunding jari ke arah kaum wanita sahaja apabila terdapat permasalahan dalam rumahtangga? Jika pasangan lelaki tidak melaksanakan tanggungjawab, gagal pula melindungi keluarga dan tidak dapat memberikan kebahagiaan, selalunya si isteri juga yang dipersalahkan kerana dikatakan “dia sendiri yang telah membuat pilihan itu”. Bukankah ini satu sikap negatif dan tidak akan mengubah atau membaiki keadaan sesiapa pun?

Seharusnya, lelaki Melayu (dalam perlembagaan negara, Melayu itu Islam) sebagai ketua keluarga yang mempunyai kedudukan lebih mulia dan tinggi daripada wanita, sepatutnya kaum lelaki lebih peka dalam hal-hal yang membimbing isteri (dan anak-anak) ke arah kebahagiaan. Ini amat jelas dalam firman Allah SWT yang bermaksud, “Kaum laki-laki itu adalah pemimpin (pelindung) bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka.” (Surah an-Nisaa’, ayat 34). Perhatikan perkataan yang sengaja saya ‘bold’kan.

Persoalan penting yang patut difokuskan dalam artikel asal ialah, apakah ciri-ciri yang ada pada lelaki Melayu yang seharusnya dijadikan idaman setiap wanita Melayu? Saya percaya, setiap lelaki mengimpikan untuk menjadi suami idaman bagi seorang isteri. Namun, untuk menjadi suami idaman bukanlah semudah yang disangkakan. Seorang suami perlu memenuhi beberapa kriteria untuk melayakkan dia menyandang status suami idaman. Senarai di bawah bukan khusus untuk suami sahaja, malah isteri juga boleh cuba terapkan dalam kehidupan seharian. Boleh juga dibuat panduan untuk mengingatkan pasangan yang tidak berkesempatan membaca entry ini.

Berikut disenaraikan beberapa langkah yang boleh dijadikan panduan. :
  1. Patuhi semua hak Allah SWT, berusahalah mentaati segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.
  2. Bersyukur terhadap segala nikmat kurniaan Allah.
  3. Melakukan solat berjemaah di masjid/surau atau bersama keluarga.
  4. Bersedekah kepada fakir miskin, anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan.
  5. Menepati setiap janji yang dibuat.
  6. Berusaha menambah ilmu yang ada dan mewujudkan suasana belajar di dalam rumah.
  7. Sentiasa memainkan peranan sebagai suami – ketua keluarga, sahabat, penasihat, kekasih, pendengar, pendidik.
  8. Memanggil isteri dengan panggilan manja yang disukainya.
  9. Memberi hadiah pada hari-hari istimewa buat isteri.
  10. Memahami karenah isteri dan banyak bersabar.
  11. Memahami kehendak dan pengharapan isteri tanpa perlu disebut-sebut oleh isteri (lu pikirlah sendiri...)
  12. Bergurau senda dengan isteri.
  13. Sentiasa berhubung dengan isteri tanpa mengira tempat dan masa.
  14. Mendidik isteri secara berhikmah dan penuh kasih sayang.
  15. Memaafkan isteri dan orang lain setiap malam sebelum tidur.
  16. Mendoakan isteri setiap masa.
  17. Melakukan kerja-kerja rumahtangga bagi membantu meringankan beban isteri, tetapi tidak menjadi suami yang di‘queen-controlled’.
  18. Memandang isteri dengan lemah lembut, senyuman dan kata-kata yang manis.
  19. Sentiasa mengamalkan makan bersama isteri apabila ada kesempatan.
  20. Melakukan riadah bersama isteri dan sekali-sekala mandi bersama.
  21. Sentiasa memberi kata-kata positif sebagai perangsang kepada isteri
  22. Menjauhi perbuatan bertegang leher dengan isteri, sebaliknya mengalahlah bagi perkara yang harus.
  23. Menjadikan al-Quransebagai teman dan mengajak isteri untuk bersama-sama membaca dan menghayati isi kandungan al-Quran
  24. Segala masalah yang brelaku dalam rumahtangga diselesaikan secara bersama.
  25. Mengadu kepada Allah dalam menghadapi masalah, ketakutan dan kesakitan.
  26. Sentiasa mengamalkan solat sunat Dhuha.
  27. Menjauhi perasaan buruk sangka terhadap isteri kerana sangkaan itu satu doa.
  28. Bersangka baik dengan semua ketentuan Tuhan.
  29. Bergaul dengan orang yang baik-baik dan berilmu.
  30. Sentiasa melakukan taubat, istighfar, bersedekah, meminta maaf dan memaafkan orang lain.
  31. Mengawal diri daripada melakukan sebarang dosa. Dosa kecil yang diulang-ulang (berterusan melakukannya) akan manjadi dosa besar. Segera bertaubat apabila melakukan dosa.
  32. Tidak membenarkan kemungkaran berlaku dalam rumahtangga.

Malangnya, hari ini kita dapat lihat, kebanyakkan lelaki Melayu muslim menganggap posisi mereka sebagai satu tuntutan hak, bersikap terlalu ego dan pantang pula ditegur. Lelaki Melayu muslim hendaklah lebih peka dengan sunnah junjungan kita, Rasulullah SAW yang amat lemah-lembut dan lebih romantis. Sebaliknya lelaki asing lebih mendahului dan menerapkan sifat lemah lembut dan romantis Rasulullah SAW dalam melayan pasangan mereka dan inilah yang menarik perhatian wanita Melayu mendampingi mereka. Jika lelaki Melayu muslim benar-benar beriman dan mahu mengikut jejak Rasulullah, sudah pasti wanita Melayu tergila-gilakan lelaki Melayu juga dan sudah tentulah rumahtangga aman bahagia, dapat mengecap kebahagiaan dunia dan akhirat, insya Allah!

Renung-renungkan!

Capaian entry berkaitan :
  1. Jadilah suami idaman
  2. Suami mithali idaman isteri
  3. Wahai suami layanilah isterimu dengan baik
  4. Lelaki berdiam diri tanda protes


--
~ 睡眠不足のママ ~
http://bawangorengnet.blogspot.com
Everyone thinks of changing the world, but no one thinks of changing himself. – Leo Tolstoy

Butiran selanjutnya ...

Rabu, November 04, 2009

Tajdid Iman: Hasad dengki tak lemahkan peranan ulama

Oleh Dr Juanda Jaya


AL-QURAN dan sunnah tetap menjadi panduan umat Islam walaupun berlainan mazhab. - Gambar hiasan

Umat perlu mantapkan akidah, bukan bersengketa soal fiqh atau ekstrem mazhab

"SEMUA permusuhan boleh diharapkan perdamaian kecuali permusuhan akibat hasad dan dengki." (Diwan Al-Imam Al-Syafie: 49)

Ungkapan, al-Imam al-Syafie jelas menggambarkan sifat semua manusia. Ia akan menjadi amat hodoh apabila menimpa mereka yang mendakwa diri alim dalam beragama. Ungkapan ini muncul daripada pengalaman Imam al-Syafie yang pernah menjadi mangsa permainan kejahilan pentadbir dan politikus yang jahat dan suka menyalahgunakan kuasa.

Akibatnya beliau disisih, dihalang daripada mengajar dan berceramah, hatta dalam rumahnya sendiri. Lebih sedih untuk tujuan mengaibkan kemuliaan imam yang digelar nasirus sunnah (pembela sunnah Nabi SAW) ini, beliau digari, dirantai dan diseret dari Yaman menuju ke Baghdad akibat dituduh perkara yang tidak pernah dilakukannya.

Semuanya hasil kelemahan dan kebodohan pemerintah yang hanya mendengar nasihat orang bodoh dan jahil tetapi berlagak serta berlakon umpama orang alim dalam disiplin agama. Tidak kira Muslim yang jahil atau alim, dari kalangan orang biasa atau ulama, sesungguhnya sifat hasad merosakkan akal dan jiwa, agama dan urusan dunia mereka. Disebabkan hasad, seseorang tidak boleh mengawal dirinya membenci, memusuhi dan mencuba menjatuhkan saudaranya sehingga lupa bahawa pernah turun ayat al-Quran yang mengingatkan supaya menghapuskan sifat dengki dari hati mereka.

Firman Allah bermaksud: "Dan orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa; Ya Rabb kami, beri ampunlah kami dan saudara kami yang sudah beriman lebih dulu daripada kami dan janganlah Engkau membiarkan rasa dengki dalam hati kami terhadap orang yang beriman; Ya Rabb kami, Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hasyr: 10).

Hasad dengki di kalangan ulama memang wujud, bahkan penyakit hati inilah yang paling besar bahayanya, mengotori kesucian ilmu dan agama, menebarkan kebusukan dan kejahatan yang ditunggangi oleh nafsu iblis. Setiap manusia ada syaitannya, tak kira nabi dan rasul, inikan lagi manusia biasa yang digelar ulama. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiada seorang pun daripada kamu melainkan ia diiringi temannya daripada jin (syaitan) dan temannya daripada malaikat. Sahabat bertanya: Dan padamu juga, wahai Rasulullah? Sabda Baginda: Padaku juga, tetapi Allah Azza Wa Jalla membantuku terhadapnya sehingga dia tiada menyuruhku kecuali kebenaran saja." (Hadis Muslim)

Persaingan antara ulama untuk mendapat perhatian, kedudukan tinggi, kemuliaan dan kehormatan yang dijulang pengikut yang ramai menunjukkan ulama tetap manusia biasa. Siapa yang tak teringin dunia, kuasa dan nikmat yang berkekalan, bukankah ini tabiat semula jadi penciptaan manusia? Mengapa golongan kononnya berilmu ini terbabit juga dengan penyakit hati yang Rasulullah SAW sifatkan seperti pisau pencukur?

Puncanya kerana ilmu yang dituntut belum sempurna dan hakikatnya ia tidak akan sempurna sampai bila-bila kecuali ilmu itu diwarnai dengan iman dan akhlak hasil pengalaman terhadap sedikit titisan ilmu anugerah Allah SWT. Ilmu Allah SWT begitu luas dan tiada siapa mampu mencapai kesempurnaannya.

Jadi, sesiapa ulama yang menyangka dirinya lebih berilmu daripada saudaranya, sesungguhnya ia tertipu oleh ilmu sendiri. Bukankah guru kita sering mengingatkan dengan ajaran imam yang kita agungkan, al-Imam al-Syafie bahawa: "Kataku mungkin salah dan kata penentangku mungkin benar." Juga panduan dalam menilai yang benar, al-Syafie mengajarkan: "Jika (dalil penentang itu adalah) hadis yang sahih, maka itulah mazhab aku."

Perbezaan pandangan seharusnya tidak memicu permusuhan dan dendam pada mereka yang bergelar pewaris Nabi. Sifat tawaduk jelas terakam dalam keperibadian empat imam mazhab yang masih kekal hingga kini. Maka jangan sesiapa cuba mengeksploitasikan hal ini. Imam Abu Hanifah berkata: "Inilah pendapat Abu Hanifah dan inilah sebaik-baik pendapat yang kami capai dan orang yang mendatangkan yang lebih baik daripadanya, itulah yang lebih benar."

Imam Malik berkata: "Saya ialah manusia biasa, boleh benar boleh juga salah, maka perhatikanlah pendapat saya ini. Apa yang bersesuaian dengan al-Quran dan sunnah ambillah dan yang tidak sesuai tinggalkanlah."

Imam Ahmad Hanbal berkata kepada Abu Daud: "Janganlah engkau bertaklid kepadaku, jangan bertaklid kepada Malik, jangan bertaklid kepada al-Thauri dan al-Auza'i, ambillah pendapat dari tempat mereka mengambil (iaitu al-Quran dan al-Sunnah)." (Ilmu Perbandingan mazhab, Prof Dr Hasbi Ash-Shiddiqie)

Imam Al-Syafi'ie pula mengatakan: "Jika kamu dapati apa yang ada dalam kitabku menyanggah sunnah Rasulullah SAW, maka berpeganglah dengan sunnah dan tinggalkanlah pendapatku." (Syiar Alam Al-Nubala' al-Zahabi Jilid 10, halaman 34).

Malang sekali, pengikut yang mengaku pembela mazhab mereka saling bertikam, bersaing dan berdendam layaknya seorang jahil. Di kalangan orang awam lagi teruk keadaannya akibat momokan Wahabi. Padahal fahaman ini tidaklah sebagaimana tuduhan jahat yang dilemparkan orang jahil yang mengaku membela fahaman tertentu.

Fitnah yang ditujukan kepada ulama yang tidak sehaluan, amat mengecewakan kerana ia dicetuskan oleh sesama orang alim yang dikawal oleh emosi dan nafsu untuk mempertahankan habuan dunia.

Mengapa wajib mengamalkan mazhab tertentu, padahal zaman Rasulullah SAW tiada sebarang mazhab melainkan al-Quran dan Sunnah yang menjadi pegangan?

Lagi pula disebabkan kerana bergaduh pasal fiqh yang amat remeh, maka hadis yang sahih daripada al-Bukhari dan Muslim ditolak akibat ia tidak mengikuti selera arus perdana. Akhirnya bab akidah yang menjadi teras keimanan diremehkan, muncul ajaran sesat yang semakin hangat kebelakangan ini sehingga penguat kuasa agama kecut perut untuk ambil tindakan dan ia tak mampu ditangani dengan baik.

Penjahat sebenar dibiarkan bebas, tetapi ulama yang amanah dengan ilmunya dicemburui, disekat, difitnah bahkan kalau boleh dipenjarakan, sedangkan pintu dialog dan berbahas secara akademik dan profesional boleh dilakukan. Bukankah sejarah pernah mencatatkan dialog antara Tok Kenali dengan penentangnya pernah berlaku di pekarangan Istana Kelantan suatu ketika dulu, bahkan perkarangan Istana Selangor di tapak Kolej Islam Klang sekarang turut pernah memperlihatkan golongan ulil amri dan sultan berbahas secara akademik dan jujur dilakukan antara ulama yang berbeza pendapat diadakan bagi menjaga kesucian agama ini.

Belum lagi masalah umat yang semakin kompleks dengan isu maksiat remaja, keganasan rumah tangga, kes kekeluargaan syariah yang lambat, amalan rasuah hingga sikap dan akhlak umat Islam di jalan raya pun sampai kini belum dapat diatasi dengan berkesan, walaupun pelbagai usaha dilakukan. Malangnya jika orang yang berkhidmat untuk agama terheret dengan sifat saling mendengki bagaimanakah masa depan umat ini?

Jelas, kita perlukan pimpinan yang jiwanya besar dan jujur dalam menjalankan amanah untuk dirinya. Api hasad dengki itu merebak dengan pantas. Ia membawa kerugian amat besar kepada umat Islam. Kemajuan umat yang bergantung dengan toleransi akan terbantut dengan sikap hasad dan prejudis yang semakin menjadi-jadi. Betapa pentingnya memiliki sifat ketakutan kepada Allah SWT. Sifat khasyah (takut) kepada Allah SWT sudah dirakamkan dalam al-Quran yang bermaksud: "Sesungguhnya mereka yang amat sangat takutnya kepada Allah di kalangan hamba-hamba-Nya adalah ulama."

Ini adalah pengiktirafan daripada Allah kepada ulama sebenar. Setiap pandangan, perbuatan dan pemikiran mereka dikawal dengan ketakutan dan ketundukannya hanya kepada Allah SWT, bukan takutkan kerusi dan gaji bulanannya. Maka dia tiada niat sedikitpun untuk menjatuhkan sesiapa demi meninggikan diri dan pandangan dirinya semata-mata. Inilah yang al-Imam al-Syafie fahamkan daripada al-Quran dan al-sunnah.

Penulis ialah Mufti Perlis

Sumber : BHarian 2009/11/03

Butiran selanjutnya ...

Q&A : Hukum tahan buang air kecil/besar ketika solat

SOALAN :

APAKAH hukum menahan buang air kecil ketika solat?

Zakaria,
Negeri Sembilan.


JAWAPAN :

Menahan air kecil antara perbuatan menahan hadas termasuk membuang air besar atau kentut. Hukum menahan hadas adalah makruh. Perkara ini boleh terjadi apabila seseorang masih mempunyai waktu untuk keluar solat bagi memenuhi keperluan itu.

Sabda Nabi SAW bermaksud: "Janganlah seseorang mengerjakan solat apabila makanan sudah dihidangkan dan apabila mendesak keinginan buang air besar atau kecil." (Riwayat Ahmad, Muslim dan Abu Daud)

Hukum makruh ini berubah kepada harus jika waktu solat terlalu sempit kerana dia terlambat. Ia harus menahan hadas itu dan terus bersolat. Jika menahan hadas boleh mengakibatkan bahaya seperti penyakit, wajib baginya memberhentikan solat.

Menurut kitab Busyral Karim Bi Syarhi Masa'ilit Ta'lim: "Makruh solat dalam keadaan menahan air kencing atau membuang air besar atau menahan angin. Disunatkan agar melapangkan diri sebelum solat , walaupun khuatir terluput daripada solat berjemaah. Ini bagi yang mendapati ada keluasan waktu.

"Jika tidak wajib baginya menyempurnakan solat kerana kehormatan waktu kecuali jika bimbang ditimpa mudarat, haram baginya meneruskan solat."

Sumber : BHarian 2009/11/01

Butiran selanjutnya ...

Q&A : Kaki terdedah batal sembahyang

SOALAN :

APAKAH hukum wanita yang bersolat sedangkan tapak kakinya kelihatan.

Pelajar Universiti,
Labuan.

JAWAPAN :

Aurat seseorang perempuan dalam solat dan di luar solat adalah seluruh anggotanya melainkan wajah dan tapak tangan. Tapak kaki wanita juga aurat. Cuma waktu berdiri dianggap tertutup kerana melekat di lantai ataupun tempat solat, di mana dia berdiri.

Apabila sujud, tapak kaki yang terdedah itu menyebabkan solat terbatal. Dalam kitab Hasyiatul Bajuri, menjelaskan: “Selain muka dan dua tapak tangannya, ertinya rambut dan kedua-dua tapak kaki. Memadailah menutupnya dengan bumi ketika ia berdiri.”

Jika nyata daripadanya sesuatu daripada tapak kaki ketika sujud atau nyata tumit ketika rukuk atau sujud, batal solat.

Butiran selanjutnya ...

Q&A : Buka ruang berbincang sebelum izin nikah

Oleh Ustaz Zahazan Mohamed

SOALAN:

SAYA jatuh cinta dengan seorang pemuda. Selepas menjalin hubungan dengan beliau dan mengikat janji setia untuk berkahwin, tiba-tiba keluarga memaksa saya berkahwin dengan lelaki lain. Apakah berdosan perbuatan melanggar janji dengan pemuda itu.

Gadis bimbang,
Hulu Langat.


JAWAPAN:

Perkahwinan seperti disyariatkan Islam ialah akad yang wajib disempurnakan dengan keredaan pihak terbabit. Gadis perlu bersetuju, demikian juga walinya meredai dan juga perbincangan dengan ibu dan adik beradiknya selepas sempurna diselidik latar belakangnya.

Rasulullah SAW menganjurkan beberapa petunjuk agar wanita tidak dipaksa dalam pemilihan jodoh walaupun masih berstatus gadis. Nabi SAW dalam dua hadis berbeza meminta wali bertanya anak perempuan mengenai bakal suaminya dan izin gadis itu biasanya terletak pada diamnya kerana malu. (Riwayat al-Daruqutni).

Demikian pula dalam hadis yang berasingan Nabi SAW pernah membatalkan perkahwinan wanita dengan lelaki yang tidak disukainya.

Pada kesempatan lain, Baginda ditanya seorang wanita mengenai perintah ayahnya untuk mengahwini seseorang yang tidak disenanginya, lalu Nabi SAW menyuruh menerima kehendak ayahnya. Wanita itu masih bertegas meminta campur tangan Baginda supaya memberitahu si ayah dia tidak menyenangi lelaki itu.

Nabi SAW masih menyatakan "terimalah ketetapan ayahandamu!" Demikianlah secara berulang-ulang Nabi menasihatinya, namun dia tetap berkeras. Akhirnya Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya engkau berhak menolak."

Apabila Nabi SAW memerintahkan ayahnya memberikan kebebasan wanita ini untuk menuruti pilihannya, wanita itu berkata yang bermaksud: "Saya menerima kehendak ayah, cuma ingin beliau memahami mereka tiada kuasa terhadap urusan perkahwinan anak perempuan mereka."

Kesimpulannya, anak perempuan yang ingin dikahwinkan wajar diajak bermesyuarat, dihargai pandangannya dan diminta keredaannya. Bapa juga perlu memahami kehendak hati anak sama menerusi tanda jelas atau tersembunyi. Wali pula perlu reda dan memberikan kebenaran. Dalam hadis sahih Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Siapa pun di kalangan wanita yang bernikah tanpa izin walinya, maka nikahnya adalah batal, batal, batal!" (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan al-Tirmizi).

Justeru, Muslimat tidak dibenar berkahwin tanpa izin wali. Hikmah hukum ini ialah untuk menjaga kepentingan wanita daripada dipermainkan kerana tanpa pengawalan ini dibimbangi ramai gadis menjadi mangsa penganiayaan lelaki yang tidak bertanggungjawab. Mereka mungkin ditipu lantas diperalat golongan yang ingin mengambil kesempatan.

Oleh kerana itu, Islam meletakkan syarat ketat untuk melindungi wanita iaitu dengan memberikan hak kepada wali untuk mengahwinkannya selepas berunding dengan empunya badan.

Seterusnya, melengkapkan kedua-dua komponen di atas, Nabi SAW menambah satu lagi perkara yang penting sebelum mendirikan rumah tangga iaitu rundingan dengan ibu wanita yang bakal dikahwinkan. Ini sesuai dengan maksud hadis: "Ajaklah ibu berunding mengenai anak perempuan mereka." (Hadis riwayat Ahmad, Ab Razzak, Abu Daud dan al-Baihaqi). Kepentingan merujuk pendapat bonda disebabkan mereka lebih memahami hati anak perempuan yang biasanya tidak difahami si ayah.

Apabila semua pihak sepakat sama ada ayah, ibu, bakal isteri dan calon suami, perkahwinan ini akan mencapai kebahagiaan dan ketenangan seperti difirmankan Allah SWT dalam surah al-Rum ayat ke-21 yang bermaksud: "Dan antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir."

Selepas memahami penjelasan di atas, saya yakin saudari dapat memahami tindakan mengikat janji dengan pemuda pertama tanpa keredaan ayah yang menjadi wali adalah menyalahi syariat.

Nabi SAW pernah bersabda bermaksud: "Setiap orang Islam mesti mematuhi janji selain janji yang membabitkan pengharaman yang halal ataupun sebaliknya." (Riwayat al-Daruqutni)

Oleh kerana perjanjian saudari dengan pemuda itu sesuatu mungkar yang diharamkan syarak, saudari tidak perlu bimbang kerana mengabaikannya. Wali perlu menjaga hak terhadap anak gadis selagi ia dalam ruang lingkup yang dibenarkan syarak maka bapa wajar membuka ruang perbincangan tanpa bertindak secara diktator terhadap kepentingan puteri mereka.

Selain itu, dapatkan nasihat dan idea ibu dan serta adik-beradik, terutama yang terkenal dengan kebaikan dan salih semoga keluarga yang diasaskan itu berkekalan dalam kebahagiaan dan ketaatan kepada-Nya. Wallahu a'lam.

Sumber : BHarian 2009/11/01

Butiran selanjutnya ...

Ahad, November 01, 2009

Kisah Fatimah r.a.


Gembira hatinya, gembiralah Rasulullah SAW. Tertitis air matanya, berdukalah baginda. Dialah satu-satunya puteri yang paling dikasihi oleh junjungan Rasul selepas kewafatan isterinya yang paling dicintai, Khadijah r.a. Itulah Fatimah r.a., wanita terkemuka di dunia dan penghuni syurga di akhirat.

Bersuamikan Saidina Ali bukanlah satu kebanggaan yang menjanjikan kekayaan harta. Ini adalah kerana Saidina Ali yang merupakan salah seorang daripada empat sahabat yang sangat rapat dengan Rasulullah SAW, merupakan kalangan sahabat yang sangat miskin berbanding dengan yang lain.

Namun jauh di sanubari Rasulullah SAW tersimpan perasaan kasih dan sayang yang sangat mendalam terhadapnya. Rasulullah SAW pernah bersabda kepada Saidina Ali, “Fatimah lebih kucintai daripada engkau, namun dalam pandanganku engkau lebih mulia daripada dia.” (Riwayat Abu Hurairah)

Wanita pilihan untuk lelaki pilihan. Fatimah mewarisi akhlak ibunya Khadijah. Tidak pernah membebani dan menyakiti suami dengan kata- kata atau sikap. Sentiasa senyum menyambut kepulangan suami hingga hilang separuh masalah suaminya. Dengan mas kahwin hanya 400 dirham hasil jualan baju perang kepada Saidina Usman Ibnu Affan itulah dia memulakan penghidupan dengan wanita yang sangat dimuliakan Allah di dunia dan di akhirat.

Bukan Saidina Ali tidak mahu menyediakan seorang pembantu untuk isterinya tetapi sememangnya beliau tidak mampu berbuat demikian. Meskipun beliau cukup tahu isterinya saban hari bertungkus-lumus menguruskan anak-anak, memasak, membasuh dan menggiling tepung dan yang lebih memenatkan lagi bila terpaksa menggandar air berbatu-batu jauhnya sehingga kelihatan tanda di bahu kiri dan kanannya.

Suami mana yang tidak sayangkan isteri. Ada ketikanya bila Saidina Ali berada di rumah, beliau akan turut sama menyinsing lengan membantu Fatimah menggiling tepung di dapur. “Terima kasih suamiku,” bisik Fatimah pada suaminya. Usaha sekecil itu, di celah-celah kesibukan sudah cukup berkesan dalam membelai perasaan seorang isteri.

Suatu hari, Rasulullah SAW masuk ke rumah anaknya. Didapati puterinya yang berpakaian kasar itu sedang mengisar biji-biji gandum dalam linangan air mata. Fatimah segera mengesat air matanya tatkala menyedari kehadiran ayahanda kesayangannya itu. Lalu ditanya oleh baginda, “Wahai buah hatiku, apakah yang engkau tangiskan itu? Semoga Allah menggembirakanmu.”

Dalam nada sayu Fatimah berkata, “Wahai ayahanda, sesungguhnya anakmu ini terlalu penat kerana terpaksa mengisar gandum dan menguruskan segala urusan rumah seorang diri. Wahai ayahanda, kiranya tidak keberatan bolehkah ayahanda meminta suamiku menyediakan seorang pembantu untukku?”

Baginda tersenyum seraya bangun mendapatkan kisaran tepung itu. Dengan lafaz ‘bismillah’, Baginda meletakkan segenggam gandum ke dalam kisaran itu. Dengan izin Allah, maka berpusinglah kisaran itu dengan sendirinya. Hati Fatimah sangat terhibur dan merasa sangat gembira dengan hadiah istimewa dari ayahandanya itu. Habis semua gandumnya dikisar dan batu kisar itu tidak akan berhenti selagi tidak ada arahan untuk berhenti, sehinggalah Rasulullah SAW menghentikannya.

Berkata Rasulullah SAW dengan kata-kata yang masyhur, “Wahai Fatimah, Gunung Uhud pernah ditawarkan kepadaku untuk menjadi emas, namun ayahanda memilih untuk keluarga kita kesenangan di akhirat.”

Jelas, Baginda Rasul mahu mendidik puterinya bahawa kesusahan bukanlah penghalang untuk menjadi solehah. Ayahanda yang penyayang terus merenung puterinya dengan pandangan kasih sayang, “Puteriku, mahukah engkau ku ajarkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kau pinta itu?”

“Tentu sekali ya Rasulullah,” jawab Fatimah kegirangan.

Rasulullah SAW bersabda, “Jibril telah mengajarku beberapa kalimah. Setiap kali selesai sembahyang, hendaklah membaca ‘Subhanallah’ sepuluh kali, ‘Alhamdulillah’ sepuluh kali dan ‘Allahu Akbar’ sepuluh kali. Kemudian ketika hendak tidur baca ‘Subhanallah’, ‘Alhamdulillah’ dan ‘Allahu Akbar’ ini sebanyak tiga puluh tiga kali.” (Hadis riwayat Muslim)

Ternyata amalan itu telah memberi kesan kepada Fatimah. Semua kerja rumah dapat dilaksanakan dengan mudah dan sempurna meskipun tanpa pembantu rumah. Itulah hadiah istimewa dari Allah buat hamba-hamba yang hatinya sentiasa mengingati-Nya

Buat renungan semua: Orang yang berfikiran besar banyak memperkatakan ilmu, orang yang berfikiran sederhana banyak memperkatakan peristiwa, orang yang berfikiran rendah banyak memperkatakan manusia, orang yang berfikiran cetek banyak memperkatakan diri mereka.

Nabi SAW bersabda, ada 4 perkara yang dipandang baik, tetapi 4 lagi dipandang lebih baik :

  1. Sifat malu dari lelaki adalah baik, tetapi dari perempuan adalah lebih baik,
  2. Adil dari setiap orang adalah baik, tetapi dari pemimpin adalah lebih baik,
  3. Bertaubat dari orang tua adalah baik, tetapi dari orang muda adalah lebih baik,
  4. Derma dan sedekah dari orang kaya adalah baik, tetapi dari orang fakir adalah lebih baik.

Sumber: UstazAzhar

Butiran selanjutnya ...

Sabtu, Oktober 31, 2009

Kekenduran Rahim (Prolapse)

Prolapse rahim adalah satu keadaan di mana rahim jatuh ke bawah dan kadang-kala terkeluar dari saluran faraj. Keadaan ini biasanya disebabkan oleh ligamen dan otot yang biasanya memegang rahim pada kedudukkan asal menjadi lemah akibat dari kehamilan dan kelahiran. Justeru itu rahim seakan-akan melorot ke bawah melalui saluran faraj.

Keadaan ini merangkumi beberapa peringkat, di peringkat awal ia hanya jatuh sedikit daripada kedudukan biasa, peringkat kedua di mana pintu rahim jatuh sampai ke permukaan faraj dan peringkat ketiga yang sangat teruk ialah apabila keseluruhan rahim terkeluar daripada saluran dan permukaan faraj (satu keadaan yang biasa digelar ‘tombong’.

Di antara kesan-kesan kekenduran faraj dan otot rahim adalah seperti berikut :

1. Gangguan perkencingan.

Ramai wanita yang mengalami masalah kekenduran rahim atau prolapse akan menghadapi masalah perkencingan seperti kerap kencing, sukar hendak mula kencing tetapi apa yang ketara sekali sukar untuk mengawal kencing khususnya apabila ia batuk, bersin ataupun apa-apa perbuatan yang menyebabkan tekanan dalam perut meningkat seperti ketawa berdekah-dekah, semput dan ketika hendak berdiri daripada sujud ketika sembahyang, maka air kencing akan keluar dengan sendiri tanpa boleh dikawal. Keadaan ini digelar dengan nama Stress Incontincence dan sangat menyusahkan dan mengganggu tugas harian seseorang wanita khususnya dalam menjalankan amal ibadah seperti sembahyang kerana ia mudah batal daripada wuduk.

2. Gangguan hubungan kelamin

Oleh sebab berlakunya kelonggaran pada faraj khususnya pada otot yang memegang faraj yang biasa digelar dengan nama Pelvic Floor Muscle, maka kekuatannya untuk mencekam atau mengemut dalam proses hubungan seksual mungkin terganggu sedikit. Ini boleh mengurangkan kepuasan dan kenikmatan seks khususnya pada pihak suami. Ramai wanita serta suami mengadu tentang kekurangan nikmat atau kepuasan seks selepas kelahiran bayi dan perkara ini memang berpunca daripada berbagai faktor tetapi di antaranya ialah kekenduran atau kelemahan otot di sekeliling faraj.

3. Ketidak-selesaan dan sakit pinggang

Gangguan lain yang boleh timbul akibat daripada prolapse rahim ialah rasa tidak selesa kerana sesuatu benda iaitu rahim terkeluar daripada farajnya. Ini berlaku ketika ia berdiri atau banyak berjalan. Oleh sebab rahim jatuh ia menarik otot dan sering-kali urat di bahagian pinggang juga agak tertarik menyebabkan ramai di antara mereka yang mengadu sakit pinggang.

4. Gangguan kesihatan

Dalam kes prolapse yang teruk atau peringkat ketiga di mana keseluruhan rahim terkeluar, seringkali pintu rahim tergesel pada seluar dalam menyebabkan luka atau erosion. Luka ini seringkali dijangkiti kuman menyebabkan keputihan atau pengeluaran lendir yang banyak. Dalam jangka panjang ada juga kes di mana berlaku ketumbuhan akibat daripada pergeresan yang berpanjangan. Malah ada setengah kanser pangkal rahim timbul daripadanya.
Apakah punca-punca kejadian prolapse?

Terdapat beberapa faktor yang mungkin menyebabkan terjadinya prolapse. Di antaranya adalah seperti berikut:

1. Faktor keturunan/baka

Setengah wanita akan mengalami masalah ini jika ada di kalangan saudara-mara mereka khususnya ibu, ibu-saudara atau nenek mengalami masalah yang sama. Bagaimana penyakit ini diturunkan tidaklah diketahui, mungkin baka menentukan kelemahan atau kekuatan tisu, otot dan ligamen pada peranakan. Kekenduran atau kelemahan otot dan tisu ini boleh juga dipengaruhi oleh tahap pemakanan dan tahap kesihatan kita yang agak rendah berbanding dengan mereka yang sihat dan makanannya seimbang dan mencukupi dari segi semua zat seperti protin dan vitamin.

2. Exercise

Proses kehamilan dan kelahiran memang melemahkan dan melonggarkan tisu-tisu dalam badan khususnya tisu ligamen dan otot yang memegang faraj dan rahim. Ini satu perkara yang tidak dapat dielakkan tetapi pemulihan boleh dicapai walaupun tidak seratus-peratus jika seseorang wanita itu mengamalkan gerak tubuh atau exercise untuk menguatkan otot-otot di sekeliling faraj dan lantai punggung. Amalan exercise waktu hamil dan selepas kelahiran adalah sangat penting untuk mencegah prolapse. Oleh itu kelalaian atau tidak melakukan exercise ini adalah satu daripada faktor yang boleh menyebabkan kekenduran atau prolapse rahim.

3. Kehamilan dan Kelahiran

Kehamilan dan kelahiran memanglah satu proses yang menyebabkan berlakunya kekenduran atau kelemahan pada semua tisu di sekeliling peranakan khususnya otot lantai punggung yang biasanya memegang faraj dan mendokong rahim. Kelahiran normal atau secara forceps atau vacuum memang dianggap satu kecerderaan yang merosakkan ligamen-ligamen dan otot di sekeliling faraj. Sering-kali mereka yang melahirkan di rumah mengalami kekoyakan tetapi tidak dijahit dan ini salah satu faktor yang menimbulkan kelemahan atau kekenduran otot peranakan. Kelahiran yang memakan masa yang lama atau prolonged labour, kelahiran yang sukar yang memerlukan ibu meneran dengan kuat dan begitu lama, kelahiran yang memerlukan kegunaan alat seperti vacuum atau forceps adalah faktor-faktor yang mungkin menyumbangkan kepada berlakunya prolapse di kemudian hari. Lagi punca prolapse :

  • kerap bersalin dan melahirkan (bersalin terlalu rapat, rahim tak cukup rehat), sebab itulah ibu disarankan menjarakkan anak (berehat) sekurang-kurang selama 2 tahun
  • salah teknik meneran semasa proses melahirkan
  • penjagaan dalam pantang yang dibuat ala kadar

4. Menopaus

Keadaan menopaus atau kekurangan hormon sama ada yang berlaku secara natural iaitu ketika umur 50 tahun ke atas, ataupun ekoran daripada pembedahan oleh sebab-sebab penyakit yang mana ovari dibuang boleh menyebabkan keadaan kekurangan hormon dan seterusnya menimbulkan kelemahan pada otot dan ligamen peranakan. Proses atrophy atau kekecutan pada tisu, ligamen dan otot dalam jangka panjang akan menyebabkan prolapse. Nyata sekali prolapse yang teruk sering berlaku pada wanita-wanita yang berumur 60 ke atas akibat daripada ketandusan hormon ekoran daripada menopaus. Kegunaan hormon sebagai rawatan menopaus nyata dapat mengurangkan berlakunya prolapse.

5. Tumbuhan dalam rahim

Pada wanita yang mengalami tumbuhan seperti fibroid yang tidak menimbulkan masalah lain seperti pendarahan atau kesakitan dan jika berlaku dalam umur empat puluhan ke atas ataupun selepas putus haid apabila otot dan ligamen rahim telah lemah, mempunyai risiko berlakunya prolapse kerana tumbuhan fibroid yang kecil juga merupakan satu tekanan kepada rahim untuk jatuh ke bawah. Tetapi fibroid ini biasanya yang berukuran besarnya adalah sederhana dan tidak melebihi saiz bola golf.


Rawatan dan Pencegahan

Langkah yang terbaik bagi wanita ialah mencegah setelah mengetahui punca atau faktor-faktor yang mungkin menyebabkannya. Di antara langkah-langkah tersebut ialah :

1. Jaga kesihatan dan kawal berat badan

Kegemukan adalah salah satu faktor yang bukan sahaja yang menjadi satu gangguan terhadap kecantikan seseorang wanita, malah ia mempunyai banyak kesan-kesan yang buruk terhadap wanita seperti menyebabkan masalah prolapse di kemudian hari. Oleh itu eloklah jaga berat badan dengan mengawal makanan dan membuat exercise.

2. Amalan exercise

Amalan untuk menguatkan otot perut dan lantai punggung ketika hamil dan selepas bersalin belum menjadi satu amalan harian di kalangan wanita-wanita Malaysia. Tetapi tabiat ini sering dilakukan oleh wanita wanita Barat khususnya mereka yang terpelajar. Banyak video- video yang memberi panduan tentang kaedah exercise ini dapat di pasaran. Panduan untuk melakukan exercise atau gerak tubuh khas untuk otot lantai punggung juga boleh dipelajari pakar physiotherapist atau juru-pulih anggota di hospital atau di klinik swasta.

Ini sangat penting kerana jika ia dilakukan pada waktu hamil dan selepas bersalin, pemulihan pada bentuk badan status tubuh badan yang asal seperti sebelum hamil akan dapat dicapai dan ia boleh mencegah masalah kegemukan, kekenduran otot perut dan lain lain gangguan yang dikaitkan dengan prolapse rahim. Gerak tubuh ini boleh dilakukan sejurus selepas bersalin, tidak perlu menunggu selepas pantang. Malah dalam pantang adalah waktu yang tepat untuk mencapai pemulihan yang terbaik dengan menentukan makanan yang seimbang, yang berkhasiat, melakukan penyusuan bayi serta melakukan exercise yang tertentu.

3. Exercise kemut atau ‘grip’

Exercise untuk mengemut atau grip adalah bertujuan untuk menguatkan otot lantai punggung, otot sekeliling faraj, otot-otot yang mengawal perkencingan. Cara melakukannya ialah kita bayangkan seperti melakukan persetubuhan dan ketika itu kita menggemut atau mencengkam alat zakar suami. Jika ini dilakukan berulang-ulang kali untuk beberapa saat, misalnya dua-tiga minit sekali dalam waktu pantang dan seterusnya menjadi satu tabiat dalam kehidupan seharian. Insya-Allah otot di sekeliling faraj akan menjadi lebih kuat seperti sedia-kala.

4. Alat PSX

Terdapat satu alat yang digelar dengan nama PSX, (lihat dalam gambar ini dibawah) yang bertujuan untuk membantu wanita melakukan exercise ini. Pada asasnya alat ini mengandungi bahagian yang berbentuk seperti zakar yang dimasukkan ke dalam faraj ketika sebelum melakukan exercise dan eloknya ia disarungkan dengan kondom ataupun jika tidak berkongsi dengan orang-orang lain tidaklah perlu menyarongkan dengan kondom tetapi perlu menggunakan pelincir seperti KY Jelly untuk memasukkan ke dalam saluran faraj.

alat PSX

Seterusnya ia juga mempunyai satu alat meter bagi mengukur kekuatan kemutannya. Setelah memasukkan alat tersebut dalam faraj, kemutan dilakukan dan ia boleh melihat kekuatan kemutan tersebut daripada meter. Kemutan dilakukan berulang-ulang dan dari ukuran tekanan pada meter alat tersebut, seseorang wanita akan dapat menilai kekuatan otot faraj. Jika amalan ini dilakukan selalu, insya-Allah kekuatan otot faraj dan lantai punggung akan pulih seperti sedia-kala dan seterusnya dapat mengelakkan dari pembedahan.

5. Pembedahan

Berbagai jenis pembedahan yang boleh dilakukan bagi mengatasi masalah kekenduran faraj dan prolapse. Di antaranya ialah pembedahan untuk membuang rahim serta membetulkan saluran faraj atau vaginal repair (Vaginal Hysterectomy and Repair). Pembedahan ini dilakukan dalam kes-kes yang teruk ‘prolapse’nya dan di kalangan wanita yang telah meningkat umur.

Tetapi bagi mereka yang lebih muda dan masih bercadang untuk meneruskan zuriatnya, kekenduran faraj boleh diatasi dengan pembedahan hanya untuk menguatkan atau membetulkan saluran faraj (vaginal repair). Ini pun hanya dilakukan jika lain-lain usaha seperti exercise atau ‘physiotherapy’ dan penggunaan alat PSX telah gagal mengatasi masalahnya.

Pembedahan juga kadang-kala dilakukan ke atas wanita yang tidak dapat mengawal kencing. Biasanya ini dilakukan bersama dengan vaginal repair, tetapi kadang-kala jika ini gagal dan masalah ‘stress incontinence’ atau kencing yang tidak terkawal masih berlaku, pembedahan melalui perut atau di bahagian ari-ari mungkin perlu dilakukan untuk menjahit otot di permukaan pundi kencing.

Pembedahan adalah satu jalan terakhir jika usaha-usaha lain yang dilakukan menerusi exercise, kegunaan alat PSX atau kaedah rangsangan elektrik pada otot dan lantai punggung telah dibuktikan gagal.

6. Kegunaan Pessary

Bagi wanita yang berumur dan mengalami masalah prolapse yang teruk dan tidak sesuai menjalani pembedahan khususnya tidak sesuai menerima bius, maka cara yang lain ialah untuk menggunakan satu alat yang dimasukkan ke dalam faraj. Alat ini digelar dengan nama ‘Ring pessary’. Alat ini boleh mencegah rahim daripada jatuh ke bawah. Wanita yang menggunakan pessary perlu menjaga kebersihan faraj untuk mencegah jangkitan kuman, biasanya pemeriksaan perlu dilakukan antara tiga hingga enam bulan sekali.

7. Mengamalkan petua, jamu dan urut tradisional

Rahim terkeluar atau tombong boleh dirawat dengan mengamalkan petua, jamu dan urut tradisional. Sila dapatkan khidmat nasihat daripada bidan tradisional.

Butiran selanjutnya ...

Jumaat, Oktober 30, 2009

Intiplah jiwa pasangan


Assalamualaikum warahmatullah,

Benarkah jiwa lelaki sukar difahami? Lelaki pula berkata jiwa wanita yang payah dimengertikan! Sebenarnya jiwa manusia tidak kira lelaki atau perempuan mempunyai keunikan tersendiri. Sesiapa yang suka mengkaji dan menilai dirinya maka dia akan menemui jalan untuk menguasai dirinya itu dan mengawalnya ke arah yang diredai Allah SWT.

Selain disuruh mengenal kelemahan dan kekuatan diri sendiri, kita juga dianjurkan untuk membantu pasangan untuk berbuat yang sama supaya keimanan rumahtangga dapat dikecap bersama. Tak hairan jika ada isteri yang cuba menyelongkar rahsia suami, fail-fail cinta semasa bujangnya dan sejarah hidupnya daripada mertua. Tetapi ramai yang mengambil pendekatan ‘past is past, life must go on’. Jangan usik yang lama, sekarang tiba masa lebaran baru dibuka. OK, tetapi sejarah mesti diambil kira juga, untuk mengenal pasti keburukan tidak berulang lagi dan tetap komited dengan harapan yang dibina bersama. Jadi, bagaimanakah kita mengenal diri secara lebih dalam dan juga intip jiwa suami untuk kebahagiaan rumahtangga? Lima petua mengenal jiwa anda dan pasangan telah diajarkan oleh al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 30-39 yang berkisar kisah hidup manusia lelaki dan wanita pertama. Lelaki dan wanita ini tidak akan berubah.

1. Jiwa yang unik

Suami dan isteri merupakan makhluk ciptaan Allah SWT yang unik, mereka bukan malaikat dan bukan juga haiwan. Jadi tidak mungkin suami dan isteri memiliki sifat seperti malaikat yang suci daripada dosa dan mereka sepatutnya tidak berperangai seperti binatang yang hanya mengutamakan kepuasan nafsu semata.

Mereka adalah manusia yang dimuliakan berbanding makhluk lain kerana karakter unik yang dibekalkan Allah sehingga malaikat dan iblis pun diperintah untuk sujud tanda penghormatan. Karakter pemimpin mesti dijiwai dalam diri suami dan isteri sesuai dengan matlamat penciptaan manusia sebagai khalifah Allah di bumi. Jika anda berdiri sebagai seorang pemimpin, sudahkah anda tunaikan segala tanggungjawab sebagai suami dan isteri?

2. Jiwa yang berilmu

Ketinggian ilmu melahirkan karakter bersih. Suami yang suka mengkaji al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW dan mengamalkan apa yang dipelajari tidak akan melakukan kezaliman kepada anak dan isteri. Begitu juga isteri, fahamilah suami dengan ilmu, bukan emosi.

Agama hendaklah menjadi sandaran dalam berkasih sayang. Jika suami boleh merancang percutian keluarga sekali setiap tahun, maka bolehkah mereka merancang mengkhatamkan al-Quran dan tafsirnya sekali setahun bersama anak-anak? Ilmu mampu menghidupkan jiwa, melahirkan peribadi yang bersih dan menumbuhkan kasih sayang.

3. Jiwa rindu hidayah

Suami dan isteri memiliki jiwa yang rindukan hidayah Allah. Mereka berasa tidak tenang, sedih, dukacita, dihimpit masalah jika kehilangan hidayah. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud, “Maka barang siapa yang mengikuti petunjuk-Ku, nescaya tidak ada kekhuatiran atas mereka, dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” (Surah al-Baqarah, ayat 30)

Jiwa suami akan tenang jika isteri menjaga agamanya, begitu juga sebaliknya. Jika anda dan suami menghadapi konflik, sebenarnya punca utama adalah jiwa yang kering dari hidayah Allah SWT. Di manakah hidayah?

Hidayah perlu dicari di dalam majlis-majlis ilmu, ketika bersama para ulama yang boleh membimbing dan mengasuh jiwa. Ketika membaca al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW serta memfokuskan hati kepada-Nya, ketika solat dengan kenikmatan khusyuk, ketika bergaul dengan orang-orang soleh dan ketika rela mengorbankan apa saja kerana mengharapkah redha Allah SWT. Apakah hidayah boleh bertambah dan berkurang? Ya, jangan biarkan hidayah itu hilang kerana maksiat dan kelalaian anda.

4. Jiwa diliputi nafsu

Kekuatan manusia terletak pada ilmu dan hidayah yang dimiliki sedangkan kelemahan yang paling besar adalah mereka dapat dikalahkan oleh hawa nafsu. Allah Taala berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh manusia berbuat kejahatan.” (Surah Yusuf, ayat 53)

Jika suami rasa tergoda dengan wanita lain, ingatlah itu angkara hawa nafsu, kalau isteri suka sangat berleter, marah-marah, merajuk tak mahu dipujuk, ingatlah itu angkara hawa nafsu. Apabila ibu bapa membiarkan anak tanpa jagaan dan didikan disebabkan tamak harta, ingatlah, itu juga angkara hawa nafsu. Jika hawa nafsu dapat dipatahkan, maka Bahagialah keluarga yang dibina.

5. Jiwa suka bertaubat

Tiada manusia yang sempurna, mereka semua pernah berdosa. Hanya manusia yang cepat bertaubat yang paling baik di sisi Allah. Taubat seakan-akan khabar gembira yang disampaikan kepada Allah SWT, ia tentang kembalinya seorang hamba, pulang setelah lama tersesat dan dia akan disambut dengan tangan terbuka dan dakapan hangat mengalu-alukan kedatangannya.

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah gembira menerima taubat hamba-Nya melebihi kegembiraan seseorang yang menemukan kembali untanya yang hilang di padang pasir yang luas.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Seandainya dosa itu dapat dihidu, nescaya manusia akan lari disebabkan terlalu buruknya bau dosa tersebut, tetapi Allah SWT Maha Pengampun, ditutupi segala aurat kita dan diberi peluang untuk kita bertaubat. Bahkan Dia melafazkan kata cinta kepada hamba-hamba yang suka bertaubat dalam firman-Nya yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaubat dan suka membersihkan diri.” (Surah al-Baqarah, ayat 222)

Ajaklah pasangan anda bermuhasabah dan kemudian bertaubat atas segala kejahatan diri. Fahamilah jiwa pasangan anda, kelemahan dan kekuatannya supaya tercapai matlamat kehidupan anda yang sebenar iaitu mencapai kebahagiaan di sisinya, di dunia dan di akhirat dengan redha Allah SWT.

Renung-renungkan!




Sumber : Dr Juanda Jaya

Butiran selanjutnya ...

Hak Muslim: Mahu halang bekas suami jual rumah dibeli ketika bersama

Soalan:

SUAMI menceraikan saya yang kini bersama-sama empat anak tanpa sebarang nafkah sejak enam bulan lalu. Buat masa ini saya dan anak terpaksa menyewa di rumah flat, sedangkan suami saya mempunyai dua rumah yang dibeli ketika tempoh perkahwinan kami. Demi menjaga hak saya dan anak-anak, saya memohon kepada mahkamah syariah tuntutan harta sepencarian terhadap kedua-dua rumah itu. Saya mendapat maklumat bahawa bekas suami saya akan menjual salah sebuah rumah itu dan akan berkahwin baru. Saya amat risau jika sekiranya rumah itu terjual dan jatuh ke tangan isteri baru bekas suami saya sebelum kes saya selesai. Apa yang perlu saya lakukan?

Rokiah Dali
Segambut, Kuala Lumpur


Jawapan:

Pertamanya saya amat bersimpati dengan apa yang menimpa puan dan anak-anak. Saya juga bangga kerana puan tahu apa hak puan dan anak selepas diceraikan.

Bagi melindungi hak dan kepentingan puan terhadap kedua-dua rumah itu, cara terbaik untuk puan menghalang bekas suami puan daripada menjual atau memindahkan rumah itu kepada orang lain adalah membuat permohonan kaveat persendirian di pejabat tanah yang berkaitan mengikut Seksyen 324(1) Kanun Tanah Negara (KTN).

Kaveat persendirian adalah hak untuk menghalang sebarang urus niaga dan juga bukan urus niaga terhadap sesuatu hartanah oleh mana-mana individu yang mempunyai kepentingan berdaftar terhadap hartanah itu. Ini jelas diperuntukkan Seksyen 323 KTN.

Untuk tujuan permohonan kaveat ini puan perlu mengisi borang 19B yang boleh diambil di pejabat tanah berkaitan berdasarkan kepada nombor hak milik yang tertera pada geran tanah itu. Selanjutnya borang 19B, itu hendaklah dilampirkan bersama-sama akuan bersumpah puan bersama-sama dengan alasan mengapa kaveat persendirian didaftarkan. Akuan bersumpah itu hendaklah ditandatangani dan diikrarkan di hadapan pesuruhjaya sumpah atau pentadbir tanah.

Seterusnya puan boleh nyatakan bahawa kaveat ini didaftarkan bagi tujuan tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Tinggi Syariah sebagai alasan bagi permohonan itu.

Adalah diingatkan bahawa bayaran pendaftaran bagi permohonan kaveat berbeza dari negeri dengan satu negeri yang lain. Kaveat persendirian ini hanya boleh berkuat kuasa selama tempoh enam tahun saja. Sekiranya tempoh itu tamat maka puan dikehendaki membuat permohonan baru di pejabat tanah berkenaan pada setiap enam tahun sekali tanpa apa-apa had melainkan bekas suami puan mempunyai perintah mahkamah agar kaveat itu dikeluarkan atau dibatalkan.

Kesan daripada pendaftaran kaveat persendirian ini, bekas suami puan tidak dapat menjual rumah berkenaan kerana urus niaganya dihalang oleh kaveat itu. Pada kebiasaannya sebelum mana-mana perjanjian jual beli dibuat, satu carian hak milik akan dibuat di mana-mana pejabat tanah berkaitan bagi memastikan status tanah itu. Hasil daripada carian itu, pembeli akan memaklumkan kepada suami puan bahawa urus niaga jual beli terhalang dan tidak dapat dibuat disebabkan kaveat itu .

Oleh itu hak puan terpelihara sehingga mahkamah syariah membuat keputusan sewajarnya. Saya menasihatkan puan agar melantik mana-mana peguam yang berpengalaman dan bertauliah dalam membuat permohonan kaveat, bagi melicinkan perjalanan kes puan. Saya harap jawapan saya ini boleh membantu puan dalam menyelesaikan permasalahan berkenaan.

Jawapan ini disediakan oleh Exco Penerbitan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Yusmawati Abllah

Sumber : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Agama/20091028235002/Article/

Butiran selanjutnya ...

Awas puting bayi!

PENGGUNAAN puting bayi perlu dielakkan sejak peringkat awal lagi.

ADAKAH anak anda menggunakan puting bayi? Jika ya, anda mungkin perlu menghadapi kenyataan yang pahit hasil penemuan terkini bidang perubatan.

Kanak-kanak yang menggunakan puting bayi sebenarnya berisiko tiga kali ganda menghadapi kesukaran bercakap ketika usia mereka menjelang dewasa kelak. Kajian saintis mendapati kanak-kanak prasekolah yang menggunakan puting bayi sekurang-kurangnya selama tiga tahun lebih cenderung mempunyai kesukaran membuat ucapan berbanding kanak-kanak yang langsung tidak menggunakan alat tersebut.

Penyelidikan tersebut turut membuktikan kanak-kanak yang menghisap jari juga menghadapi risiko lambat bercakap.

Kajian yang dijalankan sebelum ini oleh The American and Chilean adalah bagi mengetahui hubung kait antara tabiat suka menghisap ibu jari, penyusuan ibu dan penggunaan puting bayi bagi menenangkan bayi terhadap 128 orang kanak-kanak yang berumur antara tiga hingga lima tahun. Mereka juga menggunakan ujian linguistik bagi mengenal pasti tahap normal perkembangan kebolehan bertutur dalam kalangan kanak-kanak tersebut terutama yang melibatkan sebutan dan bunyi huruf.

Menurut ketua penyelidik dari Universiti Washington, Dr. Clarita Barbosa, kanak-kanak yang menghisap jari, ibu jari atau puting bayi untuk tempoh sekurang-kurangnya selama tiga tahun akan mengalami gangguan dari segi perkembangan bahasa dan pertuturan sehingga tiga kali ganda.

BOTOL susu juga berupaya mengganggu perkembangan kanak-kanak.

Berbanding kanak-kanak yang diberi susu ibu sehingga mencecah usia sembilan bulan dan langsung tidak menggunakan botol susu, risiko terhadap mereka amat rendah.

"Hasil ujian ini menjelaskan bahawa lebih lama penggunaan puting bayi, kesukaran untuk bertutur akan semakin meningkat," jelas Barbosa.

Tambahnya, walaupun keputusan ini memerlukan bukti yang lebih mendalam terutama melibatkan jangka masa penyusuan ibu, orang ramai harus melihatnya sebagai langkah berjaga-jaga.

Perdebatan mengenai penggunaan puting bayi tersebut telah lama merunsingkan ibu bapa kerana sesetengah kanak-kanak amat selesa menggunakan puting tersebut bagi menenangkannya.

Doktor gigi bagaimanapun berkata, penggunaan puting bayi pada keadaan tertentu berupaya mengubah pembentukan gigi apabila digunakan terlalu lama.

Kajian itu dilakukan oleh sebuah pasukan dari de Rehabilitacion Club De Leones Cruz del Sur dan Universiti Washington. Ia diterbitkan dalam jurnal BMC Paediatrics.

AMALAN menggunakan puting bayi boleh mengakibatkan gejala kerosakan gigi pada kanak-kanak. - Gambar hiasan

Penggunaan secara berlebihan

Penggunaan puting bayi secara berlebihan, secara salah atau terlalu lama sehingga melangkaui zaman persekolahan boleh membawa kepada masalah mulut dan gigi.

Gejala-gejalanya ialah:

  • Gigi beralih posisi - Gigi tertolak ke depan menyebabkan gigi bawah dan atas bahagian depan tidak bertemu dengan baik.
  • Kerosakan gigi (bahagian depan) - Berlaku jika puting bayi dicelup ke dalam bahan manis sebelum dihisap.
  • Bernafas melalui mulut - Anak anda mungkin akan lebih cenderung untuk bernafas melalui mulut berbanding hidung. Keadaan ini boleh menyebabkan anak mengalami masalah air liur meleleh berpanjangan.
  • Masalah pertuturan dan bahasa - Anak anda mungkin tidak dapat menggunakan sepenuhnya pergerakan lidah yang diperlukan untuk menghasilkan semua sebutan dan peluang mereka mungkin lebih tipis untuk menggunakan bunyi bagi tujuan berkomunikasi.
  • Menggalakkan anak berhenti menggunakannya - Kebanyakan kanak-kanak berhenti menghisap puting bayi, jari atau ibu jari pada umur antara dua dan empat tahun. Bagaimanapun, menghisapnya terlalu lama melebihi enam atau tujuh tahun (ketika gigi kekal sedang tumbuh) boleh mengakibatkan masalah gigi dan mulut.
Sumber : kosmo!

Butiran selanjutnya ...

Lelaki berdiam diri tanda protes

Oleh Nor Affizar Ibrahim


Pasangan perlu tahu apa masalah belenggu suami termasuk
mungkin bosan dengan kerenah isteri


SEORANG wanita yang secara kebetulan bertemu dengan teman lama dan mengetahui rakannya itu sepejabat dengan suami secara spontan bertanya, bagaimanakah sikap suaminya ketika di tempat kerja.

Kata wanita itu, di rumah suaminya seorang yang agak pendiam dan sukar diajak berbual. Malah, sepatah ditanya maka sepatah yang lazimnya akan dijawab oleh suami. Wanita itu mengeluh lagi, katanya, keadaan itu membuatkannya berasa bosan dan ada kala tertekan dengan sikap suami.

Peliknya ketika bercinta dulu, suami rancak bercakap dan pelbagai topik dibangkitkan hinggakan kadangkala dirinya sendiri tidak berpeluang bercakap.

Bagaimanapun, wanita itu mengakui suaminya seorang lelaki yang baik, dan tidak pernah mengabaikan keperluan rumah tangga termasuk tanggung jawab terhadap anak. Cuma yang tidak menyenangkan hati, suami terlalu pendiam dan lebih suka membuat hal sendiri seperti membaca surat khabar, lebih gemar tidur walaupun waktu siang hari atau rajin membasuh kereta selepas berkahwin.

Mendengar segala luahan itu, teman lamanya agak sedikit terkejut. Setahunya, di pejabat suami kepada rakannya itu tidak berhenti bercakap dan ada saja topik yang hendak dibincangkan. Kadangkala, bergurau dan mengusik rakan lain serta rajin juga bergosip sesama teman. Kenapa pula jadi begitu?

Kaunselor berdaftar Universiti Malaya, Hushim Salleh, berkata senario suami menjadi pendiam dalam rumah tangga dan berubah watak apabila berada di luar memang banyak berlaku. Malah, sepanjang mengendalikan kaunseling perkahwinan, masalah seumpama itu adalah antara isu atau konflik rumah tangga yang kerap diluahkan oleh isteri.

Beliau berkata, ada isteri yang mengadu mereka putus asa dan membiarkan suami dengan sikap pendiam asalkan rumah tangga bahagia. Namun, ada juga wanita yang terus bersabar dan terpaksa memendam perasaan serta terus berada dalam keadaan tertekan.

“Berdasarkan kajian kes banyak faktor yang menyebabkan suami menjadi pendiam ketika di rumah dan antaranya ialah tidak wujud lagi hubungan mesra antara pasangan berkenaan seperti mana mereka bercinta dulu. Faktor lain ialah timbul kebosanan suami terhadap kerenah isteri yang selalu mengongkong, banyak bertanya dan asyik membebel atau bercakap tidak berhenti-henti tanpa mengira tempat dan keadaan. Untuk ‘melarikan diri’ daripada semua itu dan tidak mahu menimbulkan konflik serta keadaan haru biru, lelaki memberontak atau protes secara diam dengan mengambil sikap mendiamkan diri,” katanya.

Beliau berkata, sikap seperti itu sebenarnya tidak baik untuk hubungan antara suami isteri. Sikap dan tindakan suami itu akan lebih menyakitkan hati isteri yang tidak faham serta tidak tahu apa-apa dipendamkan oleh pasangannya.

Bagaimanapun, Hushim, berkata tidak semua lelaki bersikap seperti itu sebaliknya, ada yang boleh bersoal jawab dan tidak kisah jika pasangannya bertanya apa saja dilakukannya serta mengetahui segala tindak tanduknya. Begitu pun, beliau berkata, lazimnya antara lelaki dan wanita, pihak isteri sememangnya paling banyak mengajukan pertanyaan. Wanita menganggap dengan bertanya dan bersoal jawab ia sebagai suatu cara untuk mencari jalan penyelesaian. Malah, ada isteri begitu agresif bertanya itu dan ini sehingga terkeluar kata-kata yang tidak elok didengar.

“Selain kedua-dua faktor itu, suami bertukar menjadi pendiam mungkin juga disebabkan ada orang ketiga dalam rumah tangga. Suami bukan takut dengan isteri tetapi mengambil jalan selesa dengan hanya berdiam diri dan membiarkan isteri saja bercakap atau bertanya.”

“Suami seperti itu bijak bermain psikologi dan dia tahu, apabila tiba masa isteri akhirnya akan berhenti bertanya apabila soalan diajukan tidak dijawab. Selain itu, ada suami yang bimbang jika dia menjawab maka akan lebih banyak lagi pembohongan yang dibuatnya kepada isteri,” katanya.

Hushim berkata, memang ada suami yang hanya bersikap pendiam di rumah atau bersama pasangan, tetapi tidak bersikap seperti itu ketika berada bersama rakan atau di luar rumah seperti di tempat kerja. Suami yang bersikap sedemikian boleh dianggap berada dalam dua dunia berbeza atau bertopeng apabila berada dalam situasi berbeza. Antara alasan diberikan, tiada cerita yang boleh dikongsi bersama atau topik menarik yang perlu dibincangkan dengan isteri. Ada juga yang selamba berkata, ketika bercinta dulu, sudah banyak perkara dibincangkan bersama sehingga tiada ‘modal’ lagi untuk dijadikan bahan perbualan.

“Kata-kata seperti itu silap sama sekali. Selepas berkahwin sepatutnya, lebih banyak yang perlu diperbincangkan dan dirunding bersama kerana tanggungjawab semakin bertambah. Ini termasuklah, cara menguruskan kewangan atau hal pelajaran anak. Berbanding ketika bercinta, isu yang dibincangkan tentulah lebih banyak mengenai soal kasih sayang, kesetiaan dan perasaan cinta,” katanya.

Beliau berkata, selain berbincang mengenai isu kekeluargaan dan tanggung jawab, suami isteri juga boleh berkongsi cerita atau meluahkan perasaan masing-masing mengenai hal di luar seperti masalah di tempat kerja atau tekanan dihadapi. Sebagai contoh, apabila suami bercakap mengenai sesuatu hal seperti masalah di pejabat, isteri sepatutnya cuba menyesuaikan topik itu dan perlu memberi sokongan kepada pasangan. Sebagai wanita, tidak rugi jika sekali-sekala mengalah dan mendengar apa yang dicakapkan suami daripada anda bercakap hal lain. Pada masa sama, isteri perlu menjadi pendengar yang baik kepada suami dan cuba elakkan banyak menyampuk supaya suami tidak berasa bosan.

Hakikatnya, kata Hushim, sindrom suami menjadi pendiam di rumah tidak boleh dibiarkan berlanjutan kerana konflik seperti itu bukan saja membuatkan rumah tangga menjadi hambar, tetapi turut menyebabkan sehingga berlaku perceraian.

“Lelaki perlu bersikap terbuka dan membuka ruang untuk berkomunikasi selalu dengan isteri. Sikap suami yang terus membisu boleh memberikan tekanan kepada isteri. Malah, konflik yang timbul boleh memberi kesan kepada anak. Paling dikhuatirkan, isteri yang dalam keadaan tertekan akan bertindak melampaui batas sehingga bersikap ‘pindah gantian’ kepada anak dan melakukan perkara negatif seperti yang berlaku dalam beberapa tragedi sedih antara ibu dan anak sebelum ini,” katanya.

Butiran selanjutnya ...
Related Posts with Thumbnails