“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Jumaat, Jun 27, 2008

Kisah si Iblis Menggoda Manusia - Part 1

Iblis Memperdaya Siti Hawa

esungguhnya Iblis berusaha untuk bersemayam dalam setiap hati manusia, mengikuti gerak-gerinya dengan harapan akan dapat menghancurkan dan memusnahkan kehidupan seseorang. Dalam sebuah cerita disebutkan bahawa pada suatu hari Nabi Adam as keluar rumah untuk mencari nafkah, maka datanglah Iblis bersama anaknya yang bernama Khannas menemui Hawa. “Aku ingin menumpangkan anak ku di sini, kerana ada satu keperluan yang penting, aku harus pergi sendiri,” kata Iblis. Kemudian Hawa menerima anak Iblis tersebut.

Ketika Nabi Adam pulang, dia bertanya; “Anak siapakah ini?” Hawa menjawab; “Iblis menumpangkannya kepada ku.” Adam menjadi marah, lalu Khannas dibunuhnya dan dipotong-potongnya. Kemudian setiap potongan badan Khannas disangkutnya di atas dahan-dahan pohon kayu. Setelah itu Adam pergi lagi.

Tidak lama kemudian Iblis datang dan menanyakan tentang anaknya. Hawa menceritakan kepada Iblis tentang apa yang telah terjadi. Lalu Iblis memanggil nama anaknya maka kepingan-kepingan tubuh Khannas bersatu lagi, kemudian menyambut kedatangan ayahnya Iblis.

Pada kesempatan yang lain ketika Iblis ingin pergi kerana keperluannya, ia menumpangkan anaknya lagi kepada Hawa. Hawa menolak untuk menerima anaknya itu. Tapi dasar iblis pandai merayu, sekali lagi Hawa menerima anak Iblis tersebut. Ketika Nabi Adam pulang dari mencari nafkah didapatinya anak Iblis itu masih ada lagi, Adam menjadi marah sebenar-benar marah. Dibunuh anak itu, mayatnya dibakar, abunya dibuang ke sungai-sungai dan ke merata tempat.

Ketika Adam telah pergi Iblis datang lagi menanyakan tentang anaknya. Kemudian ia memanggil nama anaknya, dan seluruh abu tadi bersatu kembali dan anak itu hidup lagi. Kemudian menumpangkan anaknya itu kepada Hawa lagi. “Kali ini pastilah Adam akan membunuh ku”, kata Hawa. Namun Iblis yang pandai merayu itu dapat melemahkan hati Hawa sehingga menerima kembali anak tersebut. Kemudian Adam pulang, kemarahannya sudah tidak tertahan, lalu anak Iblis itu disembelihnya dan dimasaknya. Kemudian sebahagian dimakannya dan sebahagian lagi diberikannya kepada Hawa.

Ketika Iblis datang Hawa menceritakan apa yang telah terjadi. “Inilah yang ku inginkan’, kata Iblis. “Aku ingin bersemayam di dada Adam, dan kini hasrat itu telah terkabul.”

Sejak saat itu Iblis selalu berada dalam diri manusia. Iblis termasuk makhluk yang tabah dalam menggoda manusia. Ia berusaha berbagai upaya untuk memperdayakan manusia, dan bahkan ia bermohon kepada Allah agar hidup sampai hari kiamat untuk melakukan hasratnya itu.

Namun tidak semua orang terpedaya dengan bisikan dan rayuan Iblis ini. Orang-orang yang beriman dan beramal soleh selalu menjaga dirinya dari mengikut jejak langkah Iblis. Contohnya Nabi Ayub yang merupakan lambang “kesabaran,” sebab beliau tetap sabar dalam menerima cubaan.

Sumber: DarulNuman, Pengarang: Muhammad Isa Selamat
Dipetik Dari Buku: 1001 Memori - Himpunan Kisah Jin, Iblis & Syaitan (Siri 1)

Butiran selanjutnya ...

Jangan pandang remeh persoalan dosa


Assalamualaikum warahmatullah,

Rasulullah SAW bersabda, “Apabila Allah mahukan kebaikan terhadap seseorang hamba-Nya, Dia terus mempercepatkan balasan kesalahannya di dunia ini lagi, dan sebaliknya apabila Allah mahukan keburukan terhadap seseorang hamba-Nya, Dia tidak membalas perbuatannya yang berdosa di dunia sehingga Dia membalaskannya nanti pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Tabrani)

Sebahagian dari tanda kesayangan Allah kepada hamba-Nya ialah Dia mempercepatkan balasan-Nya di dunia agar manusia itu insaf dan dapat memperbetulkan kesalahannya serta kembali ke jalan yang benar. Sebaliknya tanda bagi orang yang dibenci oleh Allah, akan dibiarkan mereka bergelumang dengan dosa dan maksiat. Mereka akan terus lalai dan lupa kerana asyik dengan urusan di dunia ini.

Adalah lebih baik jika kita menerima hukuman di atas kesalahan kita di dunia ini lagi, agar kita insaf dan berkesempatan bertaubat kerana balasan di akhirat adalah lebih dahsyat serta tidak ada ruang lagi untuk bertaubat. Kita juga perlu tahu tentang persoalan dosa, tidak kiralah sama ada ianya yang kecil mahupun yang besar. Dosa tetap dosa dan ia memang berkaitan secara langsung dengan hukuman yang bakali kita hadapi sekiranya kita tidak sempat untuk bertaubat terutamanya semasa masih hidup lagi.

Dosa besar

Kebanyakan orang memandang ringan tentang persoalan dosa kecil. Ini anggapan yang salah. Kalau dibiarkan, lama kelamaan akan berubah menjadi dosa besar pula.

1. Ini kerana dosa kecil itu dikerjakan terus-menerus atau dikekalkan sahaja mengerjakannya tanpa ada hentinya. Oleh itu ada yang menyatakan, “Bukan dosa kecil lagi jika kekal mengerjakannya dan bukan dosa besar lagi jika dimohonkan keampunannya.”

“Seperti halnya titisan air yang berulang kali jatuh di atas batu, lama kelamaan tentulah berbekas juga. Tetapi tidak akan berbekas jika batu itu dituangi air berapa pun banyaknya dengan sekali tuang!”

2. Sebab adanya anggapan kecil pada dosa yang dilakukannya. Dosa itu jika oleh yang melakukannya dianggap besar, maka disisi Allah dianggap kecil, dan jika oleh yang mengerjakannya dipandang kecil, maka di sisi Allah dipandang besar. Sebabnya ialah kerana anggapan besar itu timbul dari hati yang sebenarnya tidak suka melakukannya atau ingin menjauhinya. Kalau akhirnya dosa itu dikerjakan juga, hal ini disebabkan kerana hebatnya godaan dan sebagainya. Ketidaksukaan melakukan inilah yang menyebabkan dosa yang dikerjakan sangat sedikit meninggalkan bekas dalam hatinya. Sebaliknya jika dosa itu dianggap kecil oleh yang melakukannya, tidak lain sebabnya ialah kerana hatinya amat condong melakukannya.

3. Kerana dosa kecil itu dilakukan dengan senang hati dan merasa nikmatnya. Sebabnya kerana dosa yang dikerjakan denga gembira dan nikmat, ia akan berbekas sangat mendalam dalam batin, bahkan juga akan menimbulkan kehitaman yang amat sangat dalam kalbu. Tidak ada rasa penyesalan dan selalu ingin mengulanginya kembali. Perasaan berbahagia di dalam dosa, adalah satu hal yang sangat buruk.

4. Dosa kecil itu dilakukan dengan perasaan aman dari balasan Allah. Sebetulnya perbuatan apa pun, besar atau kecil tidak mungkin terlepas dari pengawasan Allah. Allah amat teliti dalam mengawasi segala sesuatu. Hanya orang yang bodoh lagi sesat yang merasa dirinya aman dari pengawasan Allah. Kalaupun (nampaknya) aman dari balasan Allah, barangkali kerana Allah memang menangguhkan balasan itu sebagai kemurkaan-Nya, agar banyak lagi dosa yang dikerjakan. Perasaan aman dari pengawasan atau balasan Allah, menyebabkan seseorang itu berterusan berkecimpung dalam dosa dan noda dan makin berani melakukannya.

5. Kerana dosa kecil itu diberitahukan atau diperlihatkan kepada orang lain. Ada kalanya dosa itu dilakukan dengan tidak diketahui orang lain, tetapi kemudian diberitahukan kepada orang lain. Dan ada kalanya pula, waktu melakukannya memang di hadapan orang lain. Orang yang demikian telah melakukan dua macam pelanggaran. Sepatutnya dosa yang dikerjakan menjadi rahsia dirinya sendiri, sebab hanya dia sendiri yang mengetahuinya. Jadi pelanggarannya yang pertama, kerana ia melakukan kemaksiatan itu dan pelanggaran yang kedua kerana cara ia melakukan dosanya itu dapat menggerakkan keinginan buruk orang lain untuk menirunya. Cara begitu, satu kemaksiatan mengandungi dua macam pelanggaran sekali gus. Itulah sebabnya dosa kecil berkembang menjadi dosa yang lebih besar.

6. Kerana dosa kecil itu dilakukan oleh orang alim yang mempunyai banyak pengikut. Orang yang alim mempunya pengaruh besar kepada para pengikutnya. Kerana itu dosa yang dikerjakannya kemungkinan besar akan diikuti pula oleh para pengikutnya. Inilah yang menyebabkan dosa kecil tadi berubah menjadi dosa besar. Dalam sebuah hadis disebutkan; “Siapa menciptakan sunnah yang buruk, dia menanggung dosa atas perbuatannya itu dan juga dosa orang lain yang meniru melakukannya tanpa dikurangi dosa orang lain itu sedikitpun.”

Sebaliknya, jika orang alim itu berbuat kebaikan, maka berlipat ganda pulalah kebaikan yang dibuat olehnya jika ramai orang mengikut dan melanjutkan amal baiknya itu.

Manusia bergantung kepada rahmat Allah, bahkan dengan rahmat-Nyalah manusia akan memperolehi kejayaan di dunia dan di akhirat. Bagi orang bukan Islam, mereka hanya memburu kejayaan dunia dan mereka hanya mendapat rahmat umum atau zahir, sedangkan umat Islam diajak memperoleh rahmat dunia dan akhirat. Dengan rahmat Allah sahaja, kita akan beroleh kejayaan dunia dan akhirat.

Fikir-fikirkanlah.




Sumber: Mohd Huzairi Zainuddin, Perunding Motivasi

Butiran selanjutnya ...

Khamis, Jun 26, 2008

Rahsia Tauge

Menu TAUGE untuk hidangan makan tengah hari mahupun makan malam sering kali dipandang sebelah mata oleh kebanyakan kita. Tauge dilihat sebagai hidangan yang langsung tidak menyelerakan.

Tapi tahukah anda, tauge yang kerap kali menjadi pilihan terakhir untuk dijadikan sayur ini sebenarnya mempunyai banyak khasiat. Tauge dikatakan mampu menyumbang kepada kesuburan lelaki dan wanita. Pengambilan tauge oleh kaum lelaki mampu membuatkan sperma yang dihasilkan oleh golongan ini makin baik. Begitu juga wanita, ia cukup berkesan membantu kesuburan telur yang dihasilkan.

Bagaimanapun, khasiat tauge tidak sekadar penyumbang kesuburan, ia juga terbukti melalui kajian mengandungi bahan yang dapat melumpuhkan bibit kanser, usus besar, pankreas dan juga penyakit leukimia.

Mengikut kajian yang dijalankan tauge sama ada dari jenis kacang hijau, alfalfa dan sebagainya mengandungi banyak unsur fitokimia ya berkhasiat. Salah satunya ialah kanavanin (canavanine), sejenis asid yang amino. Kanavanin, dikatakan mampu melumpuhkan bibit kanser leukimia, usus besar dan pankreas.

Selain itu, tauge juga mempunyai estrogen semulajadi berfungsi sama dengan estrogen sintesis. Estrogen dalam tauge dapat meningkatkan kepadatan dan susunan tulang, serta mencegah kerapuhan tulang (osteoporosis)

Pengambilan tauge oleh wanita secara kerap dapat membantu mereka menghindar mereka dari kanser payudara, gangguan menjelang menstruasi,simptom pra-menopaus, dan gangguan akibat menopaus.

Sewaktu kacang-kacang dicambahkan untuk dijadikan tauge secara umum kadar saponinya meningkat sehingga 450 peratus. Mereka yang berisiko penyakit strok dan serangan jantung, gara-gara kadar lemak darah yang tinggi dianjurkan lebih banyak mengambil tauge dalam menu harian mereka. Saponi dalam tauge, menghalau "lemak jahat" LDL, tanpa mengganggu kandungan lemak baik HDL.

Selain sarat DNA, tauge padat dengan antioksida kuat yang menghalang tubuh dari radikal bebas perosak sel DNA. Pelindungan ini menguatkan kesimpulan tauge merupakan sayuran yang membuat anda menjadi lebih muda.

Satu lagi khasiat tauge yang tidak kurang hebat adalah membantu membuang kotoran dalam usus besar kerana mengandungi banyak serat dan air. Inilah yang menjadi tunjang utama tauge dalam memerangi sel kanser.

Apabila kotoran segera meniggalkan usus besar, tiada lagi zat-zat racun dalam kotoran yang yang dapat diserap tubuh. Ia akan mencegah pengumpulan bahan beracun yang dapat merangsang berseminya benih kanser. Selepas membaca kebaikan sayur tauge janganlah ragu-ragu lagi untuk mengambilnya.

Jadi apalagi, mari kita ramai-ramai makan tauge hari-hari.

Bagi yang sedang berusaha mendapatkan anak, boleh cuba petua di bawah:
  1. Ambil segenggam kacang hijau. Rendam dalam 2 hari, hingga tumbuh 'ekor' anak tauge kira-kira dua kali panjang kepala tauge. Air rendaman mestilah sama aras dengan kacang hijau yang direndam.
  2. Tutup bekas rendaman, kalau nak senang boleh guna tupperware/periuk.
  3. Bila kacang hijau sudah bertukar menjadi tauge, cuci dan buang kulit kacang hijau tersebut.
  4. Rebus tauge engan dua gelas air kira-kira 15 minit dengan api sederhana, tinggalkan air rebusan sehingga lebih-kurang segelas. Bila agak suam, tapis air rebusan dan bolehlah dimimum.
  5. Amalkan meminum air rebusan tauge tiap-tiap pagi, bermula dari hari pertama period sehingga waktu subur.
  6. Jika diamalkan selalu, insya Allah, adalah rezeki nanti!
Selamat mencuba!

Butiran selanjutnya ...

Susu formula ciptaan tempatan

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Sumber: UtusanOnLine




AMALAN minum susu di kalangan rakyat Malaysia masih berada di tahap rendah, ertinya tidak semua isi rumah mengamalkan pengambilan susu, terutama apabila anak-anak mencecah usia 10 tahun ke atas. Kebanyakan ibu bapa juga memandang kepentingan susu sebagai satu perkara mudah, bertambahnya umur anak menjadikan ibu bapa lega kerana tidak perlu memperuntukkan sejumlah wang yang banyak untuk membeli susu mereka lagi.

Jikalau kita semua sedar betapa banyaknya manfaat dan khasiat pengambilan susu untuk tubuh dan minda, pasti kita semua tidak akan berkira lagi untuk menyediakan sekurang-kurangnya satu tin susu di rumah.

Rasullullah SAW pernah bersabda, “Minumlah susu, kerana ia menghapuskan rasa panas dalam hati seperti mana jejari menghapus peluh di dahi. Susu boleh menguatkan belakang, meningkatkan minda, mencerdaskan akal, mengelokkan penglihatan dan menjauhkan lupa”.

Masyarakat Arab menjadikan amalan meminum susu segar dari bayi hingga dewasa kerana mereka tahu khasiatnya yang begitu tinggi.

Dengan slogan ‘susu untuk generasi akan datang’, memberi inspirasi kepada seorang usahawan, Ishak Husin untuk menghasilkan susu formula pertama keluaran tempatan.

“Setelah 50 tahun negara kita merdeka, tidakkah kita terfikir inilah masanya untuk kita menghasilkan susu buatan Malaysia,” jelasnya ketika ditemui di pejabatnya yang terletak di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, baru-baru ini.

Mementingkan elemen kesihatan menyeluruh, termasuk perkembangan fizikal, mental dan sahsiah, Ishak mengadunkan kecanggihan teknologi Perancis dalam penghasilan susu Biomil keluaran syarikatnya.

“Bila sebut tentang susu, kita sedia maklum ia memberi banyak khasiat terutama dari aspek tumbesaran tubuh dan minda, tapi pernahkah kita terfikir untuk mendapatkan susu yang turut memberi manfaat dari segi sahsiah diri anak-anak, sebab itulah saya mencampurkan ramuan seperti Habbatus Sauda dan Schuessler Biochemical Tissue Salts (garam tisu Biokimia Schuessler)

Ia telah diperkenalkan pada tahun 1873 oleh Dr. Wilhelm Helmut Schuessler, seorang berbangsa Jerman. Penemuan garam tisu ini terbukti berkesan dan selamat sama ada dalam bentuk pemakanan kesihatan mahupun perubatan.

“Kajian-kajian yang dijalankan oleh Schuessler mendapati bahawa kelicinan fungsi tubuh bergantung kepada adanya zat-zat kimia dalam juzuk-juzuk yang seimbang. Analisis yang dijalankan ke atas darah dan tisu-tisu lain dalam tubuh menunjukkan adanya 12 garam mineral utama yang terdapat di dalam tubuh. Apabila kandungan zat-zat tersebut tidak seimbang ataupun berkurangan, maka fungsi tubuh menjadi terganggu,” tambah Ishak yang turut mempunyai kilang memproses susu di Bukit Raja, Klang.

Menurut Ishak, walaupun kandungan garam tisu ini sebenarnya mengandungi 12 unsur, namun dalam Biomil hanya tiga yang digunakan iaitu, kalsium fosfat, magnesium fosfat dan kalium fosfat, kerana ini yang diperlukan untuk tujuan yang disebutkan di atas.

Antara kebaikan garam tisu Schuessler dalam Biomil ialah ia dapat mempertingkatkan kecergasan dan kecerdasan. Selain itu ia juga mampu mencegah gangguan kesihatan, demam, selesema, batuk dan ruam. Menyihatkan rambut dan kulit, menguatkan tulang dan gigi dan juga membuang bahan toksin dalam badan.

Kebaikan lain ialah membaiki penghadaman, pencernaan dan perkumuhan, mengurangkan ragam tangis dan memudahkan penjagaan. Ia juga memberi kesan kepada kesuburan, pertumbuhan dan pengembangan fizikal, emosi dan mental.

“Walaupun ini produk tempatan, tetapi kami mengambil bahan mentah susu dari negara pengeluar susu utama dunia, New Zealand. Satu lagi keistimewaan Biomil ialah mengandungi Electromagnetic molecular signaling (EMS), kedua-dua nilai tambah ini tidak pernah dimasuk ke dalam susu yang pernah dihasilkan dalam pasaran sebelum ini,” jelasnya.

Menerangkan tentang konsep EMS, ia bersifat gelombang dan ditukar dalam bentuk frekuensi yang telah terbukti melalui beberapa ujian makmal bahawa sel juga bertindakbalas dan berinteraksi apabila menerima semboyan molekular daripada frekuensi yang tidak bersifat fizikal malah lebih daripada bentuk gelombang elektromagnetik. Untuk Biomil, Ishak telah mengekstrak khasiat air zam-zam, ubat cacing, probiotik dan Habbatus Sauda, yang telah ‘disalin’ gelombangnya dan dilalukan kepada susu Biomil. Kajian dan mesin untuk tujuan ini telah dibuat di Perancis.

“Kita mesti mempunyai identiti tersendiri, kalau tidak, orang akan kata, kita beli susu dari New Zealand dan membuat pembungkusan semula, padahal ia tidak begitu,” tambah Ishak.

Biotral Sdn. Bhd. syarikat yang mengeluarkan Biomil berhasrat untuk menjadi peneraju kepada produk susu tepung untuk kanak-kanak dan seisi keluarga.

“Misi kami adalah untuk membekal produk yang berkualiti tinggi serta menyediakan khidmat langganan yang terbaik. Biotral Sdn. Bhd. juga menjanjikan pengeluaran produk dengan ramuan yang berkualiti tinggi.

Proses pengeluarannya dilakukan melalui amalan kebersihan yang tinggi. Produk ini mendapat pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta memenuhi tahap kelayakan sijil Analisis Bahaya dan Titik Pengendalian Kritikal (HACCP) dan ISO 9001:2000,” jelas Ishak yang juga berkelulusan dalam bidang homeopati.

Jenama Biomil sebenarnya sudah berada dalam pasaran sejak dua tahun lalu, namun pada April tahun ini penjenamaan semula dibuat dengan pembiayaan dari Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) yang nampak potensi besar dalam pemasaran susu ini.

“Kita telah mencuba produk ini dalam tempoh dua tahun kepada sekumpulan kanak-kanak, akhlak mereka nampaknya Alhamdulillah,” katanya yang kini sedang memasarkan produknya ke pasar raya di seluruh Malaysia.

Butiran selanjutnya ...

Elak anak lemas tidur

Selimut dan bantal yang banyak boleh menyebabkan bayi sesak nafas dan mati lemas ketika tidur.


POSISI tidur yang betul memberi kesan yang baik pada pembesaran si kecil. - Gambar hiasan.

MEMILIKI cahaya mata antara pengalaman dan saat manis yang dinanti-nantikan oleh setiap pasangan suami isteri. Jika sebelum ini hidup berdua, tetapi kini kehadiran anak memberi sinar baru dan pelengkap bagi sebuah keluarga.

Seperti yang kita sedia maklum bayi yang baru lahir rutin harian mereka hanya tidur dan melelapkan mata. Selepas berusia tiga bulan ke atas, barulah kita berkesempatan bermain dan bermesra dengan si kecil.

Namun begitu, tahukah anda bahawa posisi tidur bayi juga memainkan peranan penting dalam tumbesaran mereka? Jika ibu bapa mengambil sikap sambil lewa dan tidak peka dengan keadaan tidur si bayi, ia boleh menyebabkan kecederaan dan kematian bayi.

Justeru, bagi mengatasi masalah ini Konsultan Pediatrik Paru-paru, Dr. Norrashidah Abd Wahab, memberikan beberapa tip dan nasihat mengenai posisi tidur bayi yang betul.

Bagi anda yang baru pertama kali bergelar ibu bapa, barangkali tip ini boleh dijadikan panduan.

Menurut Norrashidah yang bertugas di Hospital Serdang, Selangor, bagi bayi normal, mereka boleh tidur dalam apa jua posisi. Tapi, posisi tidur terlentang dan meniarap lebih digalakkan. Namun begitu katanya, biasanya pihak hospital kerap menidurkan bayi dalam keadaan mengiring yang diletakkan bantal di bahagian belakang bayi.

Tambah Norrashidah lagi, posisi tidur terlentang lebih memudahkan ibu bapa atau penjaga melihat pernafasan bayi dan pada masa yang sama mengelakkan muka bayi terbenam ke dalam tilam yang boleh menyebabkan sesak nafas.

Dalam posisi ini disarankan meletakkan bantal di kepala bayi supaya kedudukan kepala sedikit tinggi daripada perut. Ia juga bertujuan mengelakkan bayi termuntah.

"Bagaimanapun, budaya masyarakat Amerika Syarikat (AS) pula, mereka lebih gemar menidurkan bayi dalam keadaan terlangkup (posisi meniarap tetapi bahagian punggung ditinggikan) berbanding terlentang. Mereka berpendapat posisi tidur terlentang menyebabkan bayi sesak nafas dan kurang bijak.

"Namun begitu, sebuah kajian yang dijalankan mendapati posisi tidur bayi secara terlentang tidak mendatangkan sebarang simptom atau penyakit, terutamanya Sindrom Kematian Bayi Secara Mengejut (SIDS)," katanya.


DR. Norrashidah memberitahu bayi normal dan tidak normal mempunyai posisi tidur yang berbeza.

Menjelas lanjut terdapat juga segelintir ibu bapa yang menidurkan anak-anak dalam keadaan meniarap. Tiada salahnya tetapi ibu bapa perlu memastikan tilam yang digunakan tidak lembut. Dan, letakkan bantal nipis di bawah perut bayi supaya mereka berasa selesa.

Jika ibu bapa mendapati bayi mereka boleh mengalihkan muka mereka ke sisi sewaktu tidur meniarap maka, mereka bebas tidur dalam keadaan begitu. Anda juga boleh memilih untuk menidurkan bayi secara mengiring dan yang paling penting letakkan sebiji bantal di bahagian belakang supaya bayi tidak terlentang secara mengejut.

Sementara itu, kepada ibu bapa yang memiliki bayi yang tidak normal seperti pra-matang atau sindrom down, mereka perlu menitikberatkan soal posisi tidur anak-anak. Dalam keadaan ini, posisi tidur terlentang tidak digalakkan buat bayi yang tidak normal.

Ini kerana ketika dilahirkan otot-otot mereka cukup lemah dan lembik. Disebabkan itu mereka tidak boleh tidur dalam posisi terlentang kerana mudah mengalami sesak nafas dan lidah serta rahang mereka akan terjatuh ke belakang.

Seperti yang diketahui, bayi yang baru lahir akan tidur antara 16 hingga 18 jam sehari. Mereka akan terjaga sekiranya hendak menyusu dan menukar lampin. Atas faktor tersebut, ibu bapa dinasihatkan supaya menukar posisi anak-anak setiap dua jam sekali kerana biasanya bayi yang baru lahir sukar untuk bergerak sendiri.

Ibu bapa juga disarankan supaya:

* Menggunakan tilam yang rata dan keras. Penggunaan tilam air, tilam angin, bantal yang lembut tidak elok untuk keselamatan bayi. Ini kerana apabila bayi menukar posisi tidur dalam keadaan meniarap, mukanya boleh terbenam ke dalam tilam atau bantal yang lembut itu. Kesannya, mereka akan mengalami sesak nafas.

* Sebelum tidur pastikan suhu badan bayi anda tidak terlalu panas. Gunakan selimut yang nipis atau pakaian bayi yang sesuai dengan suhu bilik tidurnya untuk mengurangkan penggunaan jumlah selimut yang banyak.

* Tidak menjadi masalah sekiranya bayi tidur di dalam bilik ibu bapa, tetapi elakkan berkongsi katil bersama ibu bapa. Menurut Norrashidah terdapat dua kes yang diterima mendapati bayi mati dek kerana terhimpit secara tidak sengaja di celah antara ibu dan bapanya.

Selain itu, lebih menyakitkan apabila tangan atau kaki si ayah atau ibu terletak di atas perut atau kepala si bayi, lalu menyebabkan bayi lemas.

Bagi mengatasi masalah ini, ibu bapa haruslah menidurkan bayi di dalam katil bayi yang berasingan.

Bukan itu sahaja, pastikan persekitaran tempat tidur bayi tidak dipenuhi dengan selimut tebal, anak patung atau bantal yang terlalu banyak. Ini kerana ia boleh menyebabkan bayi lemas dan sesak nafas apabila bertukar posisi tidur. Cukup dengan sebiji bantal dan sehelai selimut yang menutupi dari paras dada ke bahagian kaki.



Oleh IZYAN LIYANA MOHD DARIF (izyanliyana.mdarif@kosmo.com.my)
Sumber: Kosmo!

Butiran selanjutnya ...

Ambil iktibar zaman jahiliah

GEJALA sosial bukan fenomena baru, malah berlaku sejak zaman Jahiliah, iaitu sebelum keputeraan Rasulullah s.a.w, sehingga apabila meningkat usianya baginda menyaksikan sendiri kerosakan dilakukan kaum Arab.

Jika mutakhir ini Amerika kuasa besar, ketika itu Rom dan Parsi yang berkuasa dengan empayar tamadun begitu tinggi. Dua kuasa ini bapa penjajah, sentiasa mencengkam negara dan bangsa yang lemah. Bangsa Parsi dan Rom ketika itu mempunyai pentadbiran yang bersistem, malah bala tentera yang besar lagi kuat dan menempa kemajuan dalam pelbagai bidang, terutama pada struktur bangunan, sedangkan kaum Arab sebaliknya.

Kehidupan orang Arab ketika itu primitif, tetapi daripada aspek lain mereka cemerlang misalnya dalam bidang kesenian - sering mengadakan pertandingan sayembara sastera manakala hasil karya digantung di Kaabah. Selain itu, diadakan Pesta Ukaz, yang turut diwarnakan dengan pelbagai acara seperti pertandingan ratu cantik, angkat berat, tari menari dan lawan pedang.

Masyarakat Arab ketika itu putus hubungan dengan Tuhan dan langsung tidak mengenali pencipta. Mereka sekadar mengaku Tuhan wujud, tetapi tidak mengimani kekuasaan Tuhan dalam kehidupan mereka. Jiwa mereka kosong. Apabila berhadapan dengan masalah hidup, ramai yang cepat kecewa, putus asa dan membunuh diri, akibat tidak tahan dengan masalah dihadapi. Pemujaan terhadap berhala begitu menebal. Di sekitar Kaabah ada kira-kira 360 berhala, malah ada yang membuat sendiri patung dan menyembah ‘tuhan’ buatan itu.

Saidina Umar ada bercerita selepas beliau menjadi Muslim: “Kadang-kadang ‘tuhan’ itu diperbuat daripada kuih.
‘Tuhan’ itu akan aku bawa ke mana-mana pada masa aman damai, pada masa perang, mengembara dan bermusafir. Apabila keletihan ia akan aku letakkan di depan dan aku puja tetapi jika lapar, aku makan, kemudian aku buat tuhan baru.”

Pada zaman Jahiliyah juga persengketaan lumrah. Mereka saling berdendam, malah disebabkan rasa tidak puas hati dan atas dasar menebus maruah, mereka memerangi satu puak atau kabilah lain, sehingga pertumpahan darah menjadi kebiasaan.

Golongan yang kuat menindas yang lemah, menyebabkan golongan lemah, miskin dan hidup merempat sentiasa menjadi mangsa, tanpa pembelaan. Perempuan misalnya tiada tempat di dalam masyarakat, hanya dijadikan pemuas nafsu lelaki terutama si kaya. Mereka akan mengambil secara paksa mana-mana wanita yang mereka berkenan tanpa peduli anak atau isteri orang. Tindakan ini juga menjadikan mana-mana keluarga yang ada anak perempuan hidup tertekan. Anak gadis akan diambil dan dirogol. Sudah tentu bagi ibu bapa yang memiliki anak perempuan berasa malu, hingga ada membunuh anak perempuan apabila dilahirkan.

Dalam bidang ekonomi, kaum Arab mengamalkan riba, supaya si kaya dapat menekan si miskin. Amalan riba menjadi budaya dalam sistem ekonomi ketika itu, mengakibatkan orang miskin terperangkap dalam hutang-piutang, sehingga apabila tidak terbayar kerana terlalu banyak wang faedahnya, orang miskin diambil menjadi hamba.

Kehidupan mereka bersifat individualistik. Susah dan senang ditanggung sendiri, tiada yang datang menghulurkan bantuan, sekiranya tiada kepentingan. Rompak, penipuan dan pelbagai bentuk kesalahan gara-gara bertuhankan nafsu menjadi-jadi pada zaman Jahiliyah sehingga masyarakat berada dalam keadaan tidak aman, malah yang lemah dalam dilanda ketakutan sepanjang masa.

Tetapi dengan pengutusan Rasulullah s.a.w, semua kebejatan penyakit sosial itu dapat dirawat, malah sistem nilai ma syarakat dapat diperbetulkan dalam tempoh singkat, jika dibandingkan dengan umat nabi lain, sehingga amalan yang buruk bertukar menjadi baik. Dari sebuah masyarakat yang suka hidup atas dasar kepentingan diri sendiri, hasad dengki dan bersengketa, bertukar kepada masyarakat yang bekerjasama, berkasih sayang dan saling hormat antara mereka..

Jika sebelum itu patung berhala dipuja, malah membuat sendiri patung pujaan terbabit, tetapi dengan kedatangan Rasulullah, mereka menjadi manusia yang mengenal Tuhan Yang Esa, malah menjadi hamba yang taat setia. Perubahan dalam segenap aspek baik dari sudut ideologi, amalan seharian, keperibadian dan sistem nilai menunjukkan kejayaan cukup cemerlang dalam perjuangan Rasulullah s.a.w.

Tetapi pada zaman orbit dunia berputar laju kini, gejala yang serupa makin bertapak, sedangkan dalam masa yang sama Islam semakin diterima ramai, seolah-olah contoh yang terkandung dalam lipatan sejarah dilupai dan tidak dijadikan pedoman.

Adakah kita sanggup kembali ke zaman jahiliah?

Fikir-fikirkanlah.

Butiran selanjutnya ...

Kenapa lelaki sampai hati?

Huk! huk! Poligami... poligami... poligami... Tak pasti kenapa isu poligami tak habis-habis dibicarakan. Naik muak tengok email, suratkhabar, tv dan segala mak nenek media, sibuk bercerita fasal poligami. Nasib cerita ni keluar selepas saya selesai makan tengahari... Kalau tak, hilang selera saya .. heh heh... :)

Bila sebut fasal poligami macam-macam reaksi timbul. Lelaki, mereka memang sangat-sangat berminat dengan topik ini. Ramai yang suka mendabik dada dengan hak istimewa yang Allah kurniakan kepada kaum Adam. Hairan juga, media pun berminat sungguh jadikan isu ini sebagai paparan hangat . Seolah-olah poligami ini satu perkara wajib pula dalam Islam. Padahal, bagi seorang lelaki Muslim (yang soleh) itu sendiri, sebagai suami, dia wajib menunaikan tanggungjawab kepada isteri dan sebagai seorang ayah wajib pula menunaikan tanggungjawap kepada anak-anaknya. Tanggungjawapnya yang wajib itu tersangatlah banyak dan sesungguhnya amat berat sekali. Tidak dinafikan ada tokoh agama (ramai pulak tu) yang tidak sanggup berpoligami kerana bimbang tidak mampu menanggung beban tanggungjawap dan kelak diheret pula oleh tanggungan-tanggungan mereka di akhirat nanti. Kalau difikirkan, kita nak tanggung diri kita sendiripun dah tak mampu.

Wanita ke 2, 3 dan 4 yang dikahwini itu pula, kebanyakkannya yang muda-muda belaka, selalunya lebih muda daripada isteri yang pertama. Boleh dikatakan jika tidak memilih berpoligami pun masih ada peluang kahwin dengan lelaki bujang lain. Kalau diikutkan sunnah Rasulullah SAW, baginda mengahwini wanita yang kematian suami, yang dah berumur, yang punya ramai anak/tanggungan, dengan lain perkataan wanita-wanita yang sememangnya perlukan perlindungan atau bantuan. Malangnya, ramai yang sengaja tutup mata dan tidak ramai yang mahu ambil tahu sejarah poligami, mengapa ia dibenarkan dan adakah ia mengikut sunnah Rasulullah...

Pada dasarnya, semua wanita berkahwin kerana ingin mencari kebahagiaan, perlindungan, bimbingan, kasih sayang daripada lelaki yang bergelar suami. Jika suami bertanggungjawab, beragama, bertimbangrasa, bermuafakat dan sanggup berlaku adil, rasanya masih ada wanita yang mahu menerima konsep dimadukan. Tetapi, bukan sedikit yang terjadi, lelaki berpoligami kerana tuntutan nafsu, kononnya jika tak kahwin akan berlaku maksiat, nak selamatkan wanita. Adakah anda benar-benar penyelamat? Atau sekadar menjadi penyumbang pelbagai masalah? Jika anda sibuk terhegeh-hegeh memimpin tangan wanita yang bukan muhrim anda menyeberang sempadan semata-mata untuk berpoligami, memang terang lagi nyata dah tak payah suluh dah, tujuan dia berpoligami adalah semata-mata kerana NAFSU. Kalau niat itupun sudah salah, bagaimana nak hidup dengan aman?

Wahai kaum wanita, berhati-hatilah, nasib anda tidak sebaik kaum lelaki. Ada papatah mengatakan "wanita akan bahagia jika perkahwinannya bahagia, tapi bagi lelaki pula, mereka masih boleh bahagia walaupun perkahwinan tidak bahagia atau isteri mereka merana." Tak perlu panik jika masih belum berkahwin, jangan pula nanti menyesal kerana perkahwinan anda mendatangkan masalah kerana anda tidak banyak jalan untuk selesaikan masalah jika sudah bergelar isteri.

Jika yang ada pun masih tertangguh-tangguh ditunaikan hak-hak mereka, jika masih ada yang 'play truant', janganlah hendaknya anda bermimpi untuk menambah cawangan. Alangkah bagusnya jika kaum Adam tumpukan lebih perhatian pada apa yang dalam genggaman, peliharalah ahli keluargamu daripada api neraka, sudahkah penuh dada dengan ilmu? Jangan sampai yang digenggam terlepas, yang dikendong berciciran, nanti anda juga yang gigit jari...

Harapan saya, kaum lelaki yang berhasrat untuk berpoligami atau yang sedang berpoligami, mampu mengubah statistik keruntuhan rumahtangga akibat poligami yang ada kini. Buktikan, kalau tak dapat ribuan pun, ratusan kes rumahtangga poligami yang bahagia, insyaAllah mata dan minda kaum wanita akan lebih terbuka.

Below, saya perdengarkan kata Dr HMTuah, pakar motivasi yang terkenal seantero negeri.




Terdapat banyak faktor yang menyebabkan seseorang lelaki memilih jalan untuk berpoligami. Kebanyakan faktor, jika disenaraikan, memang nampaknya kesalahan seperti terletak kepada isteri. Jangan risau para isteri di luar sana, mari kita renung-renungkan artikel ini pula.

Kebanyakkan lelaki mudah terangsang apabila melihat wanita cantik. Tak percaya? Cuba tanya suami masing-masing, dan minta suami menjawap sejujurnya. Dah dapat jawapannya nanti, janganlah kita melenting pula, ya! Tak salah berasa terangsang sebab itulah lelaki. Kalau lelaki sudah tidak terangsang melihat wanita cantik, ada harapan dia terpaksa menukar jantina dalam waktu terdekat. Itu tentu masalah besar bagi anda, para isteri...

Masalahnya, lelaki yang sudah bergelar suami dan ayah turut gagal mengawal rangsangan-rangsangan seperti ini, lantas mengambil keputusan untuk beristeri dua. Beristeri dua itu tidak salah, asalkan benar mengikut kehendak agama. Malah, tiga mahupun empat, selagi dalam ruang lingkup yang dibenarkan, bukanlah satu kesalahan.

Yang salah, berbuat sesuatu tanpa ilmu... dalam aspek sembahyang misalnya, hanya dikira ibadah apabila dilakukan dengan ilmu, bukan ikut-ikutan. Begitu juga poligami, jika hendak dilihat sebagai ibadah, perlu dilakukan dengan penuh berilmu. Tanpa ilmu, bukan sahaja kehidupan akan menjadi sengsara, malah mungkin juga mempalitkan dosa.

Sayangnya lelaki, apabila ‘kegatalannya’ memuncak, selalu terlupa akan hal ini. Dia merasakan dia berhak berbuat begitu kerana agama membenarkan, lantas dia pun berbuatlah, sedangkan ilmu untuk terjun ke alam baru itu belum dikuasai sepenuhnya.

Dalam hendak berpoligami, bukan hanya utuh fizikal dan mental diambil kira, tetapi juga utuh kewangan, utuh ilmu pengurusan, psikologi, pendidikan dan yang terpenting sekali utuh fahaman agamanya. Malah, orang yang hendak beristeri lebih ini perlu utuh kaedah-kaedah merawat cinta kasihnya.

Saya ada beberapa orang kawan yang beristeri dua. Bersembang dengan mereka seronok juga, sebab banyak yang kita tidak tahu tentang alam poligami akan kita ketahui. Dan selalunya keluhan lebih banyak keluar daripada gurau senda dan tertawa.

“Entahlah... macam mana aku boleh buat keputusan macam ni,” keluh seorang teman saya itu.

“Mulanya macam mana?” tanya saya.

“Mula-mula main-main aje. Lama-lama naik syok. Bila syok, terpaksalah bernikah sebab nak ikut cara yang halal.”

“Masa tu tak terfikir ke beban yang terpaksa ditanggung?”

“Terfikir juga, tapi kita ni kan lelaki. Dibolehkan berkahwin sampai empat. ”

“Betul, tapi cukup ke syarat-syaratnya? Tahu ke risikonya?”

“Tahu tu tahu, tapi kadang-kadang buat tak tahu,” jawap teman saya tu. Wajahnya murung, kasihan dia. Dia bukan tidak bahagia dengan isteri kedua, tetapi masalahnya isteri pertama merujuk dan membawa diri serta anak-anak balik ke kampung.

Walaupun kita tidak menafikan kemelut ini kerana kadang-kadang berpunca daripada isteri tidak solehah, rasanya keadaan suami yang tidak soleh juga tidak kurang banyaknya. Walaupun ramai juga wanita yang curang, tetapi yang setia tentu lebih ramai.

Maka, mari kita simpulkan kemelut yang menguasai lelaki ini kepada tiga aspek;

  1. Merangsang-rangsang diri sendiri untuk bercinta dan dicintai semula, atau
  2. Dia sudah semulajadi begitu, bermakna sejak dulu memang pantang melihat wanita, dan
  3. Pengetahuannya terhadap agama dan ilmu-ilmu merawat hati mungkin cetek

Pesanan terakhir saya buat lelaki; hendak berbuat sesuatu, buatlah tapi pastikan mengikut saluran yang betul serta dada anda telah diisi dengan ilmu secukupnya, supaya nanti tiadalah mudah orang memperlekeh-lekehkan tindakan anda itu sebab kesakitan yang paling nyata bagi seorang lelaki apabila dipertikaikan wanita tentang kemampuannya.

Adakah anda benar-benar mampu?

Sumber: Dr. HM Tuah

Butiran selanjutnya ...

Menu Makanan Bayi

Resipi ini saya copy dari pamphlet Jabatan Kesihatan Negeri Perak.


Utk bayi 6 bulan ke atas:
Bubur Nasi bersama Tauhu & Sayur Campur
2 hidangan

Bahan-bahan:
6g @ 2 sudu makan tauhu, dicincang halus
10g @ 2 sudu makan sayur campur, dicincang halus
40g @ 4 sudu makan beras
750ml @ 3 cawan air stok ikan bilis atau ayam
18g @ 2 sudu makan ikan bilis goreng, ditumbuk halus

Cara memasak:
1. Beras direbus bersama air stok sehingga menjadi bubur
2. Masukkan sayur campur, kecilkan api dan tunggu hingga 2 minit
3. Tambahkan tauhu ke dalam bubur dan padamkan api
4. Taburkan serbuk ikan bilis sebelum dihidang

Bubur Oat Bersama Buah-buahan
2 hidangan

Bahan-bahan:
30g @3 sudu makan oatmeal segera
250ml @ 1 cawan perahan susu ibu/bancuhan susu tepung
30g @ 3 sudu makan buah-buahan segar (pisang, epal, mango atau betik yg telah dilenyek)
200ml @ 3/4 cawan air panas

Cara Memasak:
1. Tuangkan 3/4 cawan air panas ke dlm mangkuk berisi oat. Tunggu sehingga oat menjadi lembut dan pekat
2. Tambahkan susu perahan / bancuhan
3. Hidangkan bersama buahan yg dilenyek

Untuk bayi 8 bulan ke atas:
Puding Roti Epal
2 hidangan

Bahan-bahan:
150g @ 1 biji epal merah sederhana besar
22g @ 1 keping roti putih, dipotong kecil
125ml @ 1/2 cawan perahan susu ibu / bancuhan susu tepung

Cara memasak:
1. Potong epal kepada 4 bhgian. Buang bhgian tengah, kukus selama 10-12 minit hingga lembut dan angkat.
2. Buang kulit dan kisar epal hingga halus
3. Lenyekkan roti ke dlm susu dan hidangkan bersama puri epal

KoayTeow Bersama Racikan Ayam dan Tomato
2 hidangan

Bahan-bahan:
60g @ 6 sudu makan koayteow lembut, dibasuh dan dipotong kecil
24g @ 2 sudu makan daging ayam diracik halus
10g @ 1 sudu makan tomato tanpa kulit dan biji dipotong kecil
20g @ 4 sudu kecil bunga kobis dipotong kecil
750ml @ 3 cawan air stok ayam

Cara memasak:
1. Didihkan air stok. Masukkan tomato, bunga kobis dan ayam.
2. Setelah empuk, masukkan koayteow dan biarkan mendidih
3. Apabila telah sejuk bolehlah dihidang

Untuk bayi 10 bulan ke atas:
Makaroni Ikan
2 hidangan

Bahan-bahan:
24g @ 2 sudu makan isi ikan yg dicincang halus
20g @ 2 sudu makan makaroni
6g @ 2 sudu makan sayur bayam/sawi dicincang halus
750ml @ 3 cawan air stok ikan bilis

Cara memasak:
1. Rebus makaroni hingga lembut. Tapis dan biarkan sejuk
2. Potong makaroni menjadi kecil dan masukkan ke dalam mangkuk
3. Masak sayur bayam/sawi sehingga lembut bersama air stok
4. Tambah isi ikan yg dicincang halus ke dalam sup dan masak selama 1 minit
5. Hidangkan sup bersama makaroni

Selamat mencuba!

Sent to IBUgroup on Wed Nov 8, 2006 12:14 pm

Butiran selanjutnya ...

Suami pilih ibu atau bayi?

Seorang lelaki berjalan mundar-mandir di lorong hospital, gelisah akan keadaan isterinya yang akan melahirkan anak sulung mereka. Setelah beberapa jam ia menunggu, tak jua terdengar tangisan bayi. Tiba-tiba, seorang doktor berjalan tergopoh-gopoh keluar dari ruang persalinan menuju kearahnya.


"Bagaimana keadaannya doktor?" tanyanya penuh harap.


"Maaf encik, kami sudah berusaha, keadaannya amat kritikal. “Si ibu sudah tak sedarkan diri!" jawab doktor itu.

"Jadi bagaimana doktor...?"


"Kami tak mungkin dan berupaya untuk menyelamatkan keduanya, tapi masih ada harapan. Kami hanya punya satu pilihan, menyelamatkan si ibu atau menyelamatkan si bayi!"


Lelaki tersebut kebingungan, dan tak dapat berkata-kata.......

"Maaf encik, setiap saat amat berharga, tolong cepat untuk membuat pilihan!" desak doktor itu.

Akhirnya, dengan berat hati lelaki itupun berkata dengan nada sayu, "Doktor, saya sangat bingung.... Saya serahkan sepenuhnya kepada doktor. Tolong lakukan yang terbaik!" pintanya.


Doktor pun bergegas kembali ke ruang persalinan. Nampaknya dia sudah berpengalaman menangani masalah darurat atau kritikal seperti ini. Dan dia tahu apa yang harus dilakukannya.

Ini adalah salah satu contoh, bagaimana keyakinan beragama boleh mempengaruhi keputusan di saat genting. Bagi seorang doktor beragama kristian/katolik, ia akan berusaha menyelamatkan si anak, dan mengorbankan si ibu. Bagi doktor muslim, ia akan berusaha menyelamatkan si ibu dan mengorbankan si bayi.

Memang benar, dua-duanya adalah pilihan yang sukar, tapi itulah jalan terakhir dan muktamat. Mengapa ia boleh berlaku seperti demikian? Dalam ajaran Kristian, setiap manusia yang lahir sudah membawa dosa, doktrin ini dikenal dengan "dosa waris" atau "dosa asal". Manusia yang lahir sudah menanggung dosa Nabi Adam dan Hawa. Untuk menebusnya ia harus mengikuti seorang penyelamat yakni penebus dosa (Ketua Paderi atau Pope).

Doktor Kristian itu akan berjuang sedaya upaya untuk menyelamatkan si anak, agar dia dapat lahir dengan sihat dan selamat walaupun sebaliknya terpaksa mengorbankan si ibu. Doktor berharap, setelah anak itu lahir ia akan mendapat kesempatan untuk dibaptiskan, untuk tujuan menebus dosanya. Jika si anak meninggal sebelum dibaptiskan, anak itu akan masuk neraka. Sebab, dosanya belum sempat ditebus.


Dalam ajaran Islam, setiap manusia lahir dalam keadaan fitrah/suci. Doktor muslim akan berjuang menyelamatkan si ibu, kerana dia tidak bimbang yang bayi akan masuk neraka. Memang benar, jika si ibu meninggal akibat bersalin akan mendapat syahid kecil, tetapi dengan menyelamatkan si ibu, insya Allah setelah sihat kembali akan dikurniakan kekuatan untuk mengandung lagi dan mudah-mudahan mendapatkan ganti yang lebih baik, yang lebih soleh. Sedangkan anak yang tak sempat terselamatkan, biarlah ia kembali kepada Allah dalam keadaan suci. Mungkin lebih baik sekiranya bayi itu tidak dilahirkan di dunia yang penuh tipu daya ini agar hidupnya kelak tidak menjadi orang yang tersesat.


Demikianlah, dalam keadaan serba salah lelaki itu tak sempat untuk memastikan agama doktor tadi. Dan ia sudah berserah sepenuhnya kepada doktor itu. Di dunia ini ada banyak agama dan kepercayaan. Pemahaman kita terhadap ajaran agama yang kita anuti, akan menentukan jalan hidup kita.

Itu sebabnya amat penting bagi kita orang Islam menentukan yang bakal menerima kelahiran anak kita adalah seorang doktor muslim. Sejak bangun tidur, kita sudah dihadapkan kepada pilihan.

1. Meneruskan tidur, atau bangun solat subuh?

2. Untuk lunch dahulu, atau solat zohor dahulu?

3. Setelah habis kerja, adakah terus pulang ke rumah, atau singgah ke gerai kopi/disco dahulu?

4. Ikut terlibat melakukan pecah amanah, atau dimusuhi rakan sekerja?

5. Menyegerakan berkahwin, atau menundanya dulu?

6. Hidup mulia di sisi Allah, atau mulia dalam pandangan manusia?

7. ….. Dan banyak lagi.....

Kita akan sering dihadapkan pada pilihan-pilihan yang lebih sukar, dan melibatkan akibat atau natijah yang sangat ditakuti. Kesimpulannya perbanyakkanlah muhasabah diri dan tambahkan ilmu dengan majlis2 ILMU.

Mudah2an selamat kita semua di dunia & di akhirat.


Sent to IbuGroup on Wed Jul 19, 2006 3:10 pm

Butiran selanjutnya ...

Cekur - Ulam selepas bersalin






SATU lagi herba yang sama pentingnya dengan halia dan lain-lain rempah ratus ialah cekur. Ia ditanam di kebanyakan rumah di kampung-kampung tradisi, sama ada untuk kegunaan perubatan atau masakan.

Pokok cekur mempunyai daun yang sederhana lebar, tebal dan berwarna hijau sementara bahagian bawah daunnya berwarna hijau muda.

Nama saintifiknya ialah Kaemferia galanga daripada keluarga Zingiberaceae. Bunganya berwarna ungu dan tumbuh di celah-celah pucuk sementara akarnya mengeluarkan umbisi seperti kunyit. Pokok ini membiak melalui umbisinya. Tradisi penanamannya juga dibuat melalui umbisi dan anak cekur yang masih kecil. Isi cekur berwarna putih dan baunya maung serta pahit. Namun begitu, ia sering dijadikan ulam oleh kaum wanita, terutamanya selepas bersalin.

Selain dimakan begitu saja, amalan merebus pokok dan akarnya juga dilakukan di mana air rebusan ini diminum oleh penggemar herba tradisi ini. Khasiatnya dikatakan boleh mengembalikan tenaga terutama bagi wanita-wanita selepas bersalin dan mereka yang merasa kurang bermaya. Kepada mereka yang mengamalkannya secara berterusan, ulam ini dikatakan boleh mengekalkan keremajaan. Satu lagi khasiatnya ialah ia boleh mencegah keguguran bagi wanita-wanita yang bermasalah. Ia juga boleh menghilangkan gatal tekak dengan mengunyah umbisinya.

Terdapat sejenis lagi cekur yang amat berkhasiat dalam tradisi perubatan Melayu. Cekur ini disebut sebagai cekur merah. Daunnya berwarna perang dan mengeluarkan bunga berwarna merah jambu, tetapi ada juga spesies yang mengeluarkan bunga berwarna ungu.

Untuk mengenal pasti jenisnya, gosokkan umbisi pokok ini pada empulur pisang. Jika benar ia dari spesies yang dimaksudkan, ia akan meninggalkan kesan kemerah-merahan pada batang pisang berkenaan.



Sumber: Kosmo!

Butiran selanjutnya ...

Rumusan cegah sembelit

Jenis, jumlah makanan dan cara sistem penghadaman memproses makanan memainkan peranan penting.


TERDAPAT rumusan susu bagi memastikan kanak-kanak mendapat jumlah serat makanan yang diperlukan. - Gambar hiasan


Makanan adalah sumber tenaga kita, membekalkan pelbagai nutrien yang diperlukan oleh sel badan kita untuk berfungsi dengan sempurna.

Tetapi sebelum itu, makanan perlu dipecahkan menjadi lebih kecil untuk membolehkan badan kita menyerap dan menggunakan nutrien yang dibekalkan itu.

Jenis dan jumlah makanan yang dimakan oleh si manja dan bagaimana sistem penghadaman memproses makanan memainkan peranan penting dalam menjaga kesihatan perut.

Mengamalkan diet yang sihat adalah salah satu cara terbaik untuk menghindari masalah penghadaman dalam kalangan kanak-kanak.

Pakar Pediatrik dari Hospital Pakar Ampang Puteri, Dr. Christopher Lim Lean Chai, sentiasa menekankan kepentingan penjagaan sistem penghadaman sebagai langkah utama untuk memastikan kesihatan perut dan menjamin tumbesaran si manja.

Sistem penghadaman

Cuba gambarkan visual sistem penghadaman sebagai satu saluran atau tiub sepanjang 25 hingga 35 kaki yang berjela dari mulut ke dubur. Sistem penghadaman manusia yang juga dirujuk sebagai gastrousus atau perut, bertanggungjawab untuk memproses makanan dan bendalir yang kita makan dan minum setiap hari.

Proses utama melibatkan menelan, menghadam, menyerap dan membuang sisa. Biasanya, makanan melalui seluruh saluran penghadaman dalam masa 1 hingga 2 hari.

Justeru, sekiranya sistem penghadaman si manja tidak berfungsi dengan baik, kesihatannya akan terjejas kerana pergerakan usus yang tidak baik akan menyebabkan si kecil berasa tidak selesa dan membuatkan dia khuatir untuk ke tandas.

Si kecil juga mula menangguhkan pemergian ke tandas selama yang boleh.

Sembelit adalah salah satu masalah penghadaman yang biasa dialami oleh kanak-kanak kecil, dengan kadar yang dilaporkan antara 0.3 peratus hingga 28 peratus.

Apakah sembelit?

Si kecil dikatakan mengalami sembelit bila najisnya keras atau dia tidak ke tandas secara tetap. Dalam erti kata yang lebih mudah, sembelit boleh ditakrifkan sebagai kesukaran membuang air besar, dengan najis berketul-ketul seperti batu atau keras selama sekurang-kurangnya dua minggu; atau najis keras dua kali atau kurang daripada dua kali dalam seminggu.

Sembelit berlaku apabila pengecutan otot kolon menjadi perlahan atau lembap, menyebabkan najis melalui kolon secara terlalu perlahan, atau apabila kolon menyerap terlalu banyak air. Akibatnya, najis menjadi terlalu kering dan keras.

Punca

Banyak faktor boleh menyebabkan sembelit. Jika si kecil melawan gesaan untuk membuang air besar disebabkan dia tidak suka menggunakan tandas sekolah, kemungkinan besar najisnya akan menjadi besar dan keras.

Penyahidratan, yang selalunya disebabkan ciri-birit atau penyakit lain, juga boleh mengeraskan najis. Diet juga faktor yang menyebabkan sembelit. Sebagai contoh, makanan tinggi lemak, rendah serat (termasuk banyak makanan snek dan pastri), akan menjadikan sembelit lebih serius.

Pencegahan dan penawar

Banyak yang anda boleh lakukan untuk membantu si kecil mengelakkan sembelit. Biasakan si kecil ke tandas setiap hari dan galakkan aktiviti fizikal dan pengambilan makanan yang sihat. Semua ini penting untuk memastikan kesejahteraan dan kesihatan sistem penghadaman anak kecil anda.

Selain itu, pantau pergerakan usus si kecil dengan memastikan saiz dan konsistensi najisnya.

Peranan serat

Punca utama sembelit ialah kurang serat dalam diet kanak-kanak. Kanak-kanak yang mengambil lebih banyak makanan berserat kurang mengalami masalah sembelit. Serat menyerap air dan mengembang dalam usus. Dengan demikian, membantu melembut dan menyenangkan najis keluar daripada badan adalah penting. Tabiat makan banyak buah-buahan tidak dikupas seperti epal dan pir, bijirin penuh dan sayuran, membantu menambah kandungan serat dalam diet.

Adakah susu mengandungi serat?

Susu segar yang tidak diperkuatkan tidak mengandungi serat. Bagaimanapun, sesetengah rumusan susu mengandungi serat dalam bentuk oligosakarida. Hasil kajian dan penyelidikan secara meluas membuktikan bahawa Frukto-oligosakarida rantaian panjang (lc-FOS) mampu membantu memperbaiki kesihatan perut.

Bagaimana lc-FOS membantu mencegah sembelit?

lc-FOS tidak dihadam dan bergerak dalam keadaan utuh melalui perut dan usus kecil. Penapaian lc-FOS oleh bakteria baik dalam usus besar membantu menambah biojisim najis, membentuk gumpalan yang meningkatkan pergerakan usus.

Lc-FOS untuk kesihatan perut

Bagi kanak-kanak kecil yang mengalami sembelit atau kurang mengambil makanan berserat, terdapat rumusan susu untuk memastikan kanak-kanak dari usia 1 tahun hingga 10 tahun mendapat jumlah serat makanan yang diperlukan daripada minuman susu. Ia membantu melembutkan najis dan menyenangkan pembuangannya dari badan sekali gus memastikan kesihatan sistem penghadaman.



Sumber: Kosmo!

Butiran selanjutnya ...

Dadah: Jangan mudah terpedaya

Dadah bukan sahaja menghancurkan hidup 200 juta penagihnya di seluruh dunia, malah hampir memusnahkan masa depan segelintir wanita Malaysia yang terperangkap dengan sindiket dadah antarabangsa.





Biarpun semakin hampir 51 tahun Malaysia mengecap nikmat kemerdekaan, isu dadah masih melanda masyarakatnya. Justeru, usaha untuk memeranginya terus dituntut walaupun ia kini merupakan masalah global.

Menyedari hal itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar menyeru supaya semua ahli masyarakat bangkit menentang dadah dengan memastikan keluarga dan persekitaran mereka bebas daripada najis itu.

Syed Hamid sangat khuatir dengan penularan gejala ini kerana ia berupaya memusnahkan apa yang kita ada pada hari ini termasuk anak-anak, keluarga, jiran dan masyarakat.


DEMONSTRASI hukuman ke atas pengedar dadah yang ditunjukkan kepada orang ramai diharap dapat membangkitkan kesedaran terhadap keburukan dadah. - Gambar hiasan


Sejajar dengan itu, sambutan Hari Antidadah Antarabangsa (HADA) pada hari ini dianggap penting bagi mengingatkan masyarakat tentang bahaya masalah ini dan usaha yang dapat dilakukan.

Tema HADA peringkat antarabangsa tahun ini ialah Drug Control melalui slogan Do Drugs Control Your Life, Your Life, Your Community. No Place For Drugs.

Manakala slogan Hari Antidadah Antarabangsa yang akan disambut di Felda Bukit Easter, Kota Tinggi, Johor pada Sabtu ini ialah Dadah Pemusnah... Musnahkan Dadah. Syed Hamid turut menegaskan bahawa masalah dadah begitu serius dan tidak boleh ditangani di peringkat dalaman sahaja.

"Ia perlu ditangani secara bilateral dan multilateral. Oleh itu, sambutan Hari Dadah Antarabangsa ini adalah satu terjemahan bahawa usaha untuk membanteras dadah mesti dilakukan di peringkat rantau dan antarabangsa," tegasnya.




Menyentuh isu penahanan rakyat Malaysia terutamanya wanita yang didakwa menyeludup dadah di luar negara, Syed Hamid berkata: "Kes ini tidak akan berakhir selagi ada rakyat kita yang mudah terpedaya dengan janji-janji manis mereka yang tidak bertanggungjawab.

"Bagi yang ingin ke luar negara, periksa dengan teliti beg yang dibawa dan jangan mudah percaya kebaikan dan kemesraan orang yang baru dikenali."

Jelasnya lagi, pelbagai taktik digunakan penjenayah terbabit termasuk berkahwin dengan rakyat tempatan.

"Ada yang berkahwin dengan wanita di negara ini dan menggunakan saudara-mara termasuk wanita itu sendiri untuk mengedar dadah.

"Mereka ini licik dalam 'permainan' yang direka sehingga boleh menggunakan rakyat negara ini tanpa disedari mangsa. Seharusnya kita lebih berhati-hati," katanya.


WANITA mempunyai peranan tersendiri dalam memerangi dadah. - Gambar hiasan


Justeru itu, Syed Hamid melahirkan hasrat agar semua ahli masyarakat memerangi dadah secara kolektif dan semua pihak sama ada swasta, kelab-kelab belia atau individu, hadir menyambut HADA di Kota Tinggi nanti.

Peranan wanita perangi dadah

BAGI mencapai sasaran matlamat bebas dadah pada tahun 2015 ini, peranan wanita sangat penting dalam menggerakkan usaha mengatasi masalah dadah.




Sehubungan itu, peranan mereka perlu diperluaskan dalam semua program dan aktiviti yang berkaitan dengan pencegahan dan rawatan pemulihan dadah di negara ini.

Dalam masalah penagihan dadah, peranan wanita boleh dikembangkan meliputi banyak aspek yang merangkumi bimbingan dan kaunseling, ekonomi, kerjaya, kerohanian, integrasi masyarakat, pendidikan dan pencegahan.

Seperti yang diketahui, penagihan dadah membawa bencana kepada diri sendiri, menjejaskan keharmonian keluarga, merosakkan nilai tradisional masyarakat dan mendedahkan negara kepada aktiviti pengedaran dan penjualan dadah secara berleluasa.

Penagihan dadah secara berleluasa dalam negara boleh menjejaskan kedudukan sosio-ekonomi masyarakat dan mengancam keselamatan negara.

Ini kerana negara akan mengalami kerugian daya pengeluaran daripada sumber tenaga manusia yang besar jika terlibat dengan dadah.

Sehubungan itu, masalah penagihan dadah harus ditangani secara bersepadu dan melibatkan semua lapisan masyarakat terutamanya wanita.

Penglibatan golongan ini akan memberi kesan yang sangat signifikan dalam usaha membanteras masalah dadah terutamanya di peringkat pencegahan awalan.

Antara faktor yang menyumbang kepada masalah penagihan dadah berpunca daripada tekanan emosi akibat kegagalan institusi kekeluargaan seperti perceraian.

Ini menyebabkan anak-anak kurang perhatian, kasih sayang dan pendidikan termasuklah hal agama.

Di samping itu, pembesaran anak-anak yang tidak dipantau oleh ibu bapa menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan budaya yang tidak sihat dan terlibat dengan masalah sosial seperti merokok, minum arak, perhubungan tanpa batasan, merempit dan bohsia.

Gejala sosial ini boleh dicegah di peringkat awal di mana wanita berperanan memberi tunjuk ajar, bimbingan dan pendidikan yang berterusan serta secara berhemah.

Berdasarkan statistik laporan penagihan dadah Sistem Maklumat Dadah Kebangsaan (NADI) bagi Januari hingga Mac tahun ini, menunjukkan golongan belia berumur antara 19 hingga 39 tahun merupakan majoriti penagih dadah iaitu seramai 2,627 orang.

Rekod yang dikeluarkan oleh sistem NADI menunjukkan seramai 1,319 orang mengaku mengambil dadah disebabkan pengaruh kawan dan seramai 599 orang kerana mahu keseronokan.

Di samping itu, penagih dadah juga memerlukan ahli keluarga untuk pulih dan mengikuti program memulih secara berterusan.

Oleh itu, peranan ibu, isteri, anak perempuan, saudara mara dan masyarakat adalah perlu bagi menguatkan motivasi dan komitmen mereka.

Butiran selanjutnya ...

Rabu, Jun 25, 2008

Resepi tambah berahi


Salam sejahtera,

AMARAN! Bacaan ini khas untuk mereka yang sudah ada sijil nikah sahaja. Kepada mereka yang masih tidak ada pasangan atas sebab musabab tersendiri, jangan nak menggatalkan mata membaca artikel ini. Cari pasangan cepat-cepat, habaq mak-ayah dan tok khadi, nikah. Lepas itu boleh mai sini balik baca artikel 18SX no... Adalah menjadi tanggungjawab kalian menanggung apa-apa risiko meraban atau raban teben jika masih berdegil untuk menghabiskan artikel ini.

Gelojak nafsu seks ada pasang surut. Ada ketikanya nafsu berahi menyala-nyala tapi sampai satu ketika ia hilang tanpa diketahui sebabnya. Namun sudah lumrah, tak ramai yang mahu tampil mendapatkan rawatan pakar apabila berhadapan dengan masalah ini. Pada mereka, keadaan akan kembali normal seiring dengan masa.

Tetapi bagaimana pula jika hasrat seksual terus hambar dalam tempoh yang lama? Hendak bertemu pakar terasa malu tapi pasangan sudah mula merungut dengan sikap dingin seks anda.

Bagi anda yang menghadapi masalah yang sama dan masih gusar ataupun diselubungi perasaan malu untuk mendapatkan rawatan, apa kata cuba dahulu dengan cara semulajadi.

Berikut adalah resepinya:


1. PERCAYA diri

Tidak ada yang dapat menurunkan hasrat seksual seseorang selain rasa rendah diri. Manjakan diri ketika anda berasa tidak yakin ataupun sisihkan waktu untuk bersantai atau melakukan aktiviti yang dapat menbuatkan anda terasa lebih baik.

2. URUTAN

Teknik urutan dapat dilakukan untuk meningkatkan rangsangan seksual terutama jika anda sedang tertekan, rungsing atau marah. Sediakan bilik dengan suasana yang romantik, muzik yang lembut dan mulakan mengurut pasangan. Setelah siap, mintalah pasangan mengurut anda pula. Sila rujuk teknik 'cakar harimau', petua orang dulu-dulu.

3. MAKAN dengan betul

Jika tubuh lemah akibat tahap kesihatan yang buruk, tidak mustahil hubungan seksual juga akan terkena tempiasnya. Bukan saja mungkin menghadapi masalah yang berkaitan dengan organ seksual anda.

Bagi mengelakkan masalah ini dari berlaku, amalkan pemakanan yang sihat. Makanlah lima sehingga sembilan jenis buah-buahan dan sayuran sehari untuk menjaga kesihatan. Vitamin dan antioksida yang terkandung dalam makanan akan membantu menjaga aliran darah pada organ seksual dan mencegah penyakit kronik tertentu.

4. KURANGKAN berat badan

Memiliki berat badan yang berlebihan mampu mempengaruhi kualiti kehidupan intim. Obesiti dapat menimbulkan penyakit pembuluh darah yang mengurangi aliran darah ke organ genital. Akibatnya zakar 'tenggelam' dan ereksi sukar terjadi.

5. SENAMAN

Senaman teratur akan membantu meningkatkan aliran darah ke organ seksual. Selain itu, ia juga dapat membantu anda berasa yakin pada diri sendiri. Sesuatu yang dapat meningkatkan keyakinan diri akan meningkatkan nafsu seks.

6. BERHENTi merokok

Jika anda memang seorang perokok tegar, fikirkanlah akan kemungkinan anda menghadapi masalah seks. Memang telah lama dikenal pasti bahawa rokok memiliki pengaruh yang buruk terhadap aliran darah ke organ seksual. Ia mampu menyebabkan penyempitan pembuluh darah di bahagian sulit. Di samping itu, merokok juga melemahkan stamina baik untuk melakukan kegiatan harian mahupun aktiviti seks.

7. GiNKO biloba

Herba yang memiliki khasiat penyembuhan ini berasal dari daun-daun tumbuhan ginko biloba. Ia dikatakan dapat memperbaiki aliran darah ke otak dan organ seksual. Ginko biloba juga diyakini memiliki kesan meningkatkan hasrat, kesenangan seksual dan orgasma.

8. YOHiMBiNE

Ia mungkin agak asing bagi masyarakat kita, namun Yohimbine telah lama digunakan di Afrika sebagai ubat perangsang nafsu berahi dan sering disebut Viagra semulajadi. Yohimbine diyakini dapat memperbaiki impotens pada lelaki walaupun percubaan secara klinikal belum lagi terbukti.


Butiran selanjutnya ...

Himpun Sembahyang dan Seksa Neraka

Salam,

Keratan email yang saya terima dari grup. Sebagai peringatan kepada diri sendiri yang hidup menumpang di buka bumi Allah.

Bagus untuk renungan kita bersama.


Hukum menghimpun dua waktu sembahyang

Dalam kesibukan kadangkala ada antara kita yang lalai atau sengaja menggabungkan waktu sembahyang zuhur dengan asar (sembahyang di akhir waktu zuhur dan diikuti sembahyang asar sebaik sahaja masuk waktunya).

Renungkan hadis Rasulullah SAW di bawah yang menghalang perbuatan tersebut.

Saad bin Abi Waqas bertanya Rasulullah SAW mengenai orang yang melalaikan sembahyangnya. Maka jawab baginda, “Iaitu mengakhirkan waktu sembahyangnya dari waktu asalnya hingga sampai waktu sembahyang lain. Mereka telah mensia-siakan dan melewatkan waktu sembahyangnya, maka mereka diancam dengan neraka wail.”

Ibn Abbas dan Said bin Al-Musaiyib turut mentafsirkan hadis di atas, “Iaitu orang yang melengah-lengahkan sembahyang mereka sehingga sampai kepada waktu sembahyang lain, maka bagi pelakunya jika mereka tidak bertaubat Allah menjanjikan mereka neraka jahanam tempat kembalinya.”

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang mengumpulkan dua sembahyang tanpa ada halangan, maka sesungguhnya dia telah memasuki pintu besar dari pintu dosa-dosa besar.” (Riwayat Al-Hakim)


Seksa Neraka Bukan Kepalang

Mereka yang meninggalkan sembahyang akan menerima seksa di dunia dan di alam kubur tidak terlepas daripada tiga seksaan. Tiga jenis seksa di dalam kubur ialah:-

1. Kubur akan menghimpit-himpit serapat yang mungkin sehingga berselisih tulang-tulang dada.

2. Dinyalakan api di dalam kuburnya dan api itu akan membelit dan membakar tubuhnya siang dan malam tiada henti-henti.

3. Akan muncul seekor ular yang bernama "Sujaul Aqra" dan ular itu berkata:

“Allah menyuruh aku membelasah engkau kerana engkau mensia- siakan sembahyang Subuh…..”

Ia dipukul dari waktu Subuh hingga naik matahari, kemudian dipukul dan dihentak hingga terjunam ke perut bumi kerana meninggalkan sembahyang Zuhur. Kemudian dipukul lagi kerana meninggalkan sembahyang Asar, begitulah seterusnya dari Asar ke Maghrib, dari Maghrib ke waktu Isyak dan seterusnya hingga ke waktu Subuh semula. Demikianlah berterusan seksaan oleh Sajaul Aqra hinggalah hari Kiamat.

Cuai Solat Lima Waktu

Di dalam neraka Jahanam terdapat wadi (lembah) yang di dalamnya adalah ular-ular bersaiz sebesar tengkuk unta dan panjangnya sebulan perjalanan. Kerjanya tiada lain selain mengigit orang- orang yang tidak menunaikan sembahyang semasa hidup mereka. Bisa ular itu pula menggelegak di dalam badan mereka selama 70 tahun sehingga luruh seluruh daging badan mereka. Kemudian tubuh mereka kembali pulih lalu digigit lagi dan begitulah seterusnya.

Peminum Arak

Mereka yang minum arak, akan digantung botol arak itu di tengkuk dan di tangan mereka.
Kemudian mereka disula dengan api neraka. Terdengarlah suara yang menyeru, “Inilah si polan anak si polan!” Tatkala semua manusia dibangkitkan dari kubur, mereka keluar dari kubur dengan bau mulut yang teramat busuk (bau arak), hingga terganggu manusia yang berhimpun di Padang Mahsyar. Peluh yang keluar dari tubuh turut berbau busuk. Kemudian mereka dibelenggu dan dirantai serta dicampakkan terus ke Neraka Jahanam. Di dalam neraka, dituangkan air yang sangat panas ke dalam mulut mereka sehingga putus tali perut, kemudian perut itu jatuh pula ke atas kaki. Mereka kemudiannya dimasukkan ke dalam peti besar dari api selama seribu tahun lamanya. Kemudian dikeluarkan dan dimasukkan ke dalam penjara di neraka di mana ular-ular dan kala yang bisa sentiasa menggigit badan mereka. Di kepala mereka diletakkan mahkota dari api neraka manakala rantai-rantai di tengkuk mereka.

Mengkhianati Harta

Mereka yang mengkianati harta orang lain, harta itu akan dijadikan benda yang berat, yang dicampakkan di laut dalam neraka. Mereka dipaksa terjun ke dalamnya untuk mengambil benda tersebut. Apabila mereka timbul, malaikat akan menekan kepala mereka supaya men-yelam semula serta dipukul kepala mereka itu dengan besi hingga hancur berkecai. Begitulah diulang-ulang selama mereka di laut itu.

Azab Bagi Yang Kedekut (Bakhil)

Mereka yang tamak dan bersifat kedekut hartanya daripada disedekahkan atau dikorbankan untuk kebaikan, harta itu akan dijadikan ular besar yang berbisa, yang bakal menggigit dan mematuknya setiap masa.

Saksi Bohong

Orang-orang yang suka membuat saksi bohong, lidah mereka akan digantung pada alang-alang besi yang panas dan badan mereka pula dipukul dengan kuatnya oleh 70 ribu malaikat dengan besi merah menyala hingga hancur luluh daging dan tulang mereka. Kemudian pulih semula dan dipukul lagi. Begitulah seterusnya selama-lamanya seksaan bagi mereka.

Mengumpat

Mereka yang suka mengumpat, bibir dan lidah mereka akan digunting hingga putus hingga menyembur darah keluar dengan rasa kesakitan yang amat sangat. Kemudian bibir dan lidah itu akan pulih semula. Bila pulih digunting lagi, kemudian pulih dan digunting lagi. Begitulah seterusnya selama-lamanya seksaan bagi mereka.

Gambaran Neraka

Di dalam setiap tingkat neraka ada banyak sungai, bukit dan pokok kayu. Setiap pokok mempunyai 70 ribu cabang, setiap cabang ada 70 ribu ular dan kala berbisa. Di dalam buah yang terdapat pada pokok itu ada 70 ribu ulat yang panjangnya seperti anak panah yang tajam-tajam. Ahli-ahli neraka dipaksa memakan buah-buah kayu tersebut.

Sungai-sungai yang memenuhi neraka pula dalamnya kira-kira 70 tahun perjalanan, setiap sungai mempunyai 70 ribu cabang dan 70 ribu lubang. Setiap lubang dipenuhi 70 ribu ekor ular dan kala, yang mana setiap ekor kala itu mengandungi 70 ribu jenis racun berbisa.

Begitulah gambaran seksaan di dalam api neraka bagi mereka yang ingkar. Renungilah, betapa seksaan yang disediakan itu bukan kepalang sakit, pedih dan derita yang tiada hujungnya. Untuk mereka yang mahu mengambil iktibar daripadanya, ia sudah cukup menggerunkan dan sudah tentu kita manusia yang kerdil ini tidak mampu menghadapinya.

Untuk itu sepatutnya ia akan menyedarkan kita daripada terus alpa dengan dosa-dosa. Dosa itu bermakna kemurkaan Allah dan murka Allah balasannya adalah seksa di neraka kelak. Selagi hayat masih dibadan, sebelum tiba masanya kita dijemput Allah, perbanyakkanlah taubat untuk dosa-dosa yang kita lakukan, memperbanyakkan amal ibadah sebanyak-banyaknya dan banyak mengingati Allah. Semoga mati kita di dalam rahmat dan kasih sayang Allah swt, dan diampunkan dosa kita.

Jangan berputus asa dengan rahmat Allah SWT. Walau sebanyak mana dosa yang kita lakukan, kalau bertaubat dengan bersungguh-sungguh insya Allah akan diampunkan Allah, kerana Allah itu Maha Pengampun. Namun kalau dosa itu ada kaitan dengan manusia seperti menganiaya seseorang, mengumpat, menceroboh harta dan sebagainya, perlu meminta maaf daripada orang berkenaan di samping memohon keampunan Allah SWT.

Mudah-mudahan demi untuk menghindarkan diri dari seksa Allah itu akan mendorong kita bersungguh-sungguh membuat kebaikan dan menjauhi kemungkaran, malah berusaha mencegahnya.

Wallahu'alam.

Butiran selanjutnya ...

Disleksia: Bukan lembap atau malas

Selama enam tahun, Hainan Hamzah bergelut dengan masalah pembelajaran dan tingkah laku yang membimbangkan kedua-dua ibu bapanya. Tetapi, kini tidak lagi.


MESKIPUN lemah menulis dan membaca, Hainan begitu kreatif membina model daripada Lego.


"TAK pernah timbul soal malu dan rendah diri apabila anak saya mengalami masalah ini. Tetapi, saya rasa kecewa sekiranya dia tidak mengerti apa-apa.

"Bayangkan perasaan saya tatkala melihat kanak-kanak lain sudah mampu menguasai subjek yang dipelajari di tadika. Mereka boleh mengira, mengeja dan membaca dengan lancar, tapi anak saya sebaliknya," jelas Faezah Salleh mengenai perihal putera sulungnya, Hainan Hamzah yang sukar membaca, menulis dan mengeja seperti rakan sebayanya.

Dari segi fizikal dan pandangan 'mata kasar' mungkin Hainan, 12, tiada bezanya dengan kanak-kanak lain. Namun secara tersirat, murid Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sri Petaling, Selangor ini terpaksa bergelut selama enam tahun untuk keluar daripada masalah yang dialaminya.

"Saya terkejut melihat rekod prestasinya. Meskipun sudah dua tahun menimba ilmu di Tadika Qdees, Hainan tidak menampakkan sebarang kemajuan. Bahkan tenaga pengajar semakin gusar kerana dia masih tidak tahu membaca, mengira dan menulis.

"Setiap kali guru mengajar, dia enggan berada di tempatnya untuk menyalin atau cuba memahami subjek yang diajar. Sebaliknya, dia buat bising, menyakat dan suka menolak pelajar lain," tambah Faezah.


FAEZAH SALLEH sering menghadapi masalah sejak anaknya mengalami masalah disleksia.


Menurutnya, kelakuan Hainan itu menyebabkannya beberapa kali dipanggil pengetua tadika bagi mengatasi dan membincangkan masalah Hainan.

Sejak meneliti buku laporan dan buku latihan Hainan di tadika, hati Faezah berbisik menyatakan anaknya bukan seorang individu yang lembap atau malas belajar, tetapi menghadapi masalah lain.

Banyak faktor yang menunjukkan Hainan berhadapan dengan kemelut pembelajaran. Daripada pengamatannya, Faezah mendapati Hainan sukar menyalin huruf-huruf yang tertera di papan hitam.

Pelbagai persoalan bermain di benak fikiran Faezah. Bolehkah masalah anaknya diatasi? Mengapa dia tidak boleh membaca atau menulis?

Jika menulis sekali pun, tahap tulisannya memang sukar untuk dibaca dan dimengerti. Ini kerana perkataan yang ditulis langsung tidak mempunyai ruang di antara satu perkataan dengan satu perkataan lain atau tertinggal satu huruf. Sebagai contoh (sayaqergikesekolah = saya pergi ke sekolah).

Pada masa yang sama, Hainan juga keliru membezakan antara huruf B dan D; P dan Q; N dan U atau M dan W. Dia juga menulis sesuatu perkataan secara terbalik (anagram), seperti - qergi untuk pergi.

Bukan itu sahaja, setiap kali pulang dari sekolah, buku sekolahnya pasti terdapat tanda soal yang besar yang ditulis oleh gurunya.

Tambahnya: "Jika saya sendiri tidak memahami tulisannya, tidak mustahil gurunya turut mengalami masalah yang sama. Hainan bukan sekadar bermasalah untuk menulis malah bertutur dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris pun sukar."




Sambil menunjukkan contoh tulisan anaknya, Faezah menjelaskan Hainan juga bermasalah berkaitan masa. Sukar baginya untuk menentukan waktu, mengingati hari dalam seminggu, bulan, tarikh lahirnya dan detik bagi sesebuah peristiwa.

Sebelum menjalani diagnosis, Hainan atau lebih mesra membahasakan dirinya abang selalu memberitahu mamanya: "Mama, semalam abang terjatuh atau mama, semalam abang bermain bola atau mama, semalam cerita kartun tu best sangat!.

Anak sulung daripada dua adik-beradik ini akan menceritakan setiap kejadian yang berlaku semalam sedangkan peristiwa itu berlaku pada minggu atau bulan lepas.

Selain itu, sekiranya Faezah memberi dua atau tiga arahan dalam satu masa, sukar untuk Hainan mengikut arahan itu. Apa yang pasti, dia pasti tercicir salah satu arahan.

Tambah Faezah lagi, anaknya yang gemar bermain permainan playstation, turut menghadapi masalah dalam subjek Matematik.

Dia begitu lemah untuk mengingati turutan nombor, apatah lagi untuk menyelesaikan masalah subjek tersebut (melibatkan proses menolak, darab dan tambah).

"Terlalu banyak masalah 'mengganggu' Hainan sehingga dia kerap menangis kerana enggan masuk ke kelas formal (bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Matematik). Ini kerana dia berasa bosan dan penat apabila mengetahui dirinya sukar untuk menerima pelajaran yang diajar guru.

"Oleh kerana sukar menulis atau membaca di dalam kelas, dia lebih cenderung membuat bising dan mengacau murid lain. Dia juga tidak boleh fokus dalam melakukan sesuatu perkara. Tempoh paling lama untuk dia bertahan hanya lima minit sahaja," ujar Faezah ketika ditemui Kosmo! di kediamannya di Sri Petaling, Selangor baru-baru ini.

Oleh kerana kasihan melihat Hainan, Faezah membawa anaknya berjumpa Pakar Psikologi, Pusat Psikologi Malaysia Taman Desa, Kuala Lumpur, Dr.Erward Chan, untuk merungkai segala permasalahan yang dihadapi ini.


KANAK-KANAK disleksia perlu mendapat pendidikan dan pendedahan yang lebih berbanding kanak-kanak normal.


Pertemuan tersebut berhadapan masalah kerana anaknya sukar memahami dan gagal bertutur dengan betul dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Namun Dr. Erward enggan mengalah lalu menjalani ujian minda ke atas Hainan. Hasil pemeriksaannya, beliau mendapati IQ Hainan normal, cuma menghadapi masalah bertutur, penulisan dan pendengaran. Mengapa? Akhirnya segala persoalan terjawab apabila Dr. Edward memberitahu Hainan mengalami kondisi kesukaran pembelajaran atau disleksia.

Sementara itu, Hainan berkata: "Sejak belajar di Persatuan Disleksia Malaysia, Titiwangsa Kuala Lumpur, saya sudah boleh membaca, mengira dan bertutur dengan betul. Jika sebelum ini, saya kurang memahami apa yang diperkatakan oleh mama, tetapi hari ini saya boleh bergurau senda.

"Paling menggembirakan, saya sudah bersedia untuk menghadapi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bakal tiba. Dahulu, tulisan saya teruk, buruk dan susah cikgu nak baca. Selepas ke kelas persatuan, tulisan saya cantik sedikit (tergelak)," ujarnya yang juga mendapatkan guru persendirian di rumah ketika berusia tujuh tahun.

Selepas lapan bulan belajar, Hainan menunjukkan peningkatan apabila memperoleh markah penuh bagi subjek bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Matematik ketika berada di Tahun Satu. Kemajuan peperiksaan ini menambahkan semangatnya untuk terus berusaha dan belajar.

Walaupun kanak-kanak disleksia mengalami kesukaran membaca dan menulis, tetapi mereka memiliki kecerdasan, kepintaran dan berbakat dalam bidang kreatif, kesenian serta cekap membuat mainan binaan. Seperti Hainan, dia mahir membina bangunan, robot atau bentuk yang disusun menggunakan blok-blok Lego.

"Kebanyakan ibu bapa berpendapat, sekiranya anak-anak menghadapi masalah ini, mereka dianggap malas dan bodoh. Saranan saya, tangkis tanggapan negatif itu," nasihat Faezah yang masih menghantar Hainan ke kelas disleksia setiap hari Sabtu.

Kelainan pada struktur otak

APA itu disleksia? “Disleksia bukan penyakit kronik yang boleh membawa maut. Ia merupakan proses pembelajaran yang terganggu. Bagi golongan normal, mereka menerima proses membaca, mengira dan mengeja dalam jangka masa cepat, tetapi kumpulan disleksia sebaliknya.

“Ini kerana otak mereka tidak memproses dan menerima maklumat seperti kanak-kanak normal. Sistem impuls otak yang bergerak ke kiri dan ke kanan tidak sama. Dan, mereka juga tidak mempunyai bahagian otak yang dominan,” jelas Pensyarah Kanan Psikologi Pendidikan Universiti Putra Malaysia, Dr. Samsilah Roslan.


DR. SAMSILAH ROSLAN


Disleksia disebabkan oleh kelainan di dalam struktur dan fungsi otak, malah ia boleh diwarisi dari ahli keluarga. Namun begitu, kajian masih tidak dapat memastikan punca sebenar yang menyebabkan kondisi ini.

Statistik menunjukkan lebih 500,000 kanak-kanak Malaysia menghadapi cabaran hidup disleksia. Pecahan peratusan sebanyak 10 peratus hingga 15 peratus mendapati kanak-kanak mengalami masalah disleksia pada tahap ringan manakala empat peratus di tahap yang teruk.

Walaupun dislesksia merupakan masalah yang dihadapi sepanjang hayat, kanak-kanak yang mengalaminya masih dapat diatasi dengan dorongan, sokongan dan bantuan yang sewajarnya.




“Sekiranya mendapati anak-anak mengalami masalah dislesksia, segeralah dibawa berjumpa pakar atau guru pendidikan khas. Ini kerana jika tidak dibendung pada tahap awal masalah ini akan melarat sehingga dewasa.

“Kesannya, kanak-kanak menerima sumber maklumat yang terhad, keyakinan diri semakin menurun kerana rasa malu dan bodoh, tidak bijak dalam pelajaran dan sukar untuk menjadi individu yang profesional,” ujar Dr. Samsilah yang memberitahu kanak-kanak disleksia tidak boleh berasa cemas dan takut.

Sumber: Kosmo! 25/06/2008

Butiran selanjutnya ...
Related Posts with Thumbnails