Selimut dan bantal yang banyak boleh menyebabkan bayi sesak nafas dan mati lemas ketika tidur.
MEMILIKI cahaya mata antara pengalaman dan saat manis yang dinanti-nantikan oleh setiap pasangan suami isteri. Jika sebelum ini hidup berdua, tetapi kini kehadiran anak memberi sinar baru dan pelengkap bagi sebuah keluarga.
Seperti yang kita sedia maklum bayi yang baru lahir rutin harian mereka hanya tidur dan melelapkan mata. Selepas berusia tiga bulan ke atas, barulah kita berkesempatan bermain dan bermesra dengan si kecil.
Namun begitu, tahukah anda bahawa posisi tidur bayi juga memainkan peranan penting dalam tumbesaran mereka? Jika ibu bapa mengambil sikap sambil lewa dan tidak peka dengan keadaan tidur si bayi, ia boleh menyebabkan kecederaan dan kematian bayi.
Justeru, bagi mengatasi masalah ini Konsultan Pediatrik Paru-paru, Dr. Norrashidah Abd Wahab, memberikan beberapa tip dan nasihat mengenai posisi tidur bayi yang betul.
Bagi anda yang baru pertama kali bergelar ibu bapa, barangkali tip ini boleh dijadikan panduan.
Menurut Norrashidah yang bertugas di Hospital Serdang, Selangor, bagi bayi normal, mereka boleh tidur dalam apa jua posisi. Tapi, posisi tidur terlentang dan meniarap lebih digalakkan. Namun begitu katanya, biasanya pihak hospital kerap menidurkan bayi dalam keadaan mengiring yang diletakkan bantal di bahagian belakang bayi.
Tambah Norrashidah lagi, posisi tidur terlentang lebih memudahkan ibu bapa atau penjaga melihat pernafasan bayi dan pada masa yang sama mengelakkan muka bayi terbenam ke dalam tilam yang boleh menyebabkan sesak nafas.
Dalam posisi ini disarankan meletakkan bantal di kepala bayi supaya kedudukan kepala sedikit tinggi daripada perut. Ia juga bertujuan mengelakkan bayi termuntah.
"Bagaimanapun, budaya masyarakat Amerika Syarikat (AS) pula, mereka lebih gemar menidurkan bayi dalam keadaan terlangkup (posisi meniarap tetapi bahagian punggung ditinggikan) berbanding terlentang. Mereka berpendapat posisi tidur terlentang menyebabkan bayi sesak nafas dan kurang bijak.
"Namun begitu, sebuah kajian yang dijalankan mendapati posisi tidur bayi secara terlentang tidak mendatangkan sebarang simptom atau penyakit, terutamanya Sindrom Kematian Bayi Secara Mengejut (SIDS)," katanya.
Menjelas lanjut terdapat juga segelintir ibu bapa yang menidurkan anak-anak dalam keadaan meniarap. Tiada salahnya tetapi ibu bapa perlu memastikan tilam yang digunakan tidak lembut. Dan, letakkan bantal nipis di bawah perut bayi supaya mereka berasa selesa.
Jika ibu bapa mendapati bayi mereka boleh mengalihkan muka mereka ke sisi sewaktu tidur meniarap maka, mereka bebas tidur dalam keadaan begitu. Anda juga boleh memilih untuk menidurkan bayi secara mengiring dan yang paling penting letakkan sebiji bantal di bahagian belakang supaya bayi tidak terlentang secara mengejut.
Sementara itu, kepada ibu bapa yang memiliki bayi yang tidak normal seperti pra-matang atau sindrom down, mereka perlu menitikberatkan soal posisi tidur anak-anak. Dalam keadaan ini, posisi tidur terlentang tidak digalakkan buat bayi yang tidak normal.
Ini kerana ketika dilahirkan otot-otot mereka cukup lemah dan lembik. Disebabkan itu mereka tidak boleh tidur dalam posisi terlentang kerana mudah mengalami sesak nafas dan lidah serta rahang mereka akan terjatuh ke belakang.
Seperti yang diketahui, bayi yang baru lahir akan tidur antara 16 hingga 18 jam sehari. Mereka akan terjaga sekiranya hendak menyusu dan menukar lampin. Atas faktor tersebut, ibu bapa dinasihatkan supaya menukar posisi anak-anak setiap dua jam sekali kerana biasanya bayi yang baru lahir sukar untuk bergerak sendiri.
Ibu bapa juga disarankan supaya:
* Menggunakan tilam yang rata dan keras. Penggunaan tilam air, tilam angin, bantal yang lembut tidak elok untuk keselamatan bayi. Ini kerana apabila bayi menukar posisi tidur dalam keadaan meniarap, mukanya boleh terbenam ke dalam tilam atau bantal yang lembut itu. Kesannya, mereka akan mengalami sesak nafas.
* Sebelum tidur pastikan suhu badan bayi anda tidak terlalu panas. Gunakan selimut yang nipis atau pakaian bayi yang sesuai dengan suhu bilik tidurnya untuk mengurangkan penggunaan jumlah selimut yang banyak.
* Tidak menjadi masalah sekiranya bayi tidur di dalam bilik ibu bapa, tetapi elakkan berkongsi katil bersama ibu bapa. Menurut Norrashidah terdapat dua kes yang diterima mendapati bayi mati dek kerana terhimpit secara tidak sengaja di celah antara ibu dan bapanya.
Selain itu, lebih menyakitkan apabila tangan atau kaki si ayah atau ibu terletak di atas perut atau kepala si bayi, lalu menyebabkan bayi lemas.
Bagi mengatasi masalah ini, ibu bapa haruslah menidurkan bayi di dalam katil bayi yang berasingan.
Bukan itu sahaja, pastikan persekitaran tempat tidur bayi tidak dipenuhi dengan selimut tebal, anak patung atau bantal yang terlalu banyak. Ini kerana ia boleh menyebabkan bayi lemas dan sesak nafas apabila bertukar posisi tidur. Cukup dengan sebiji bantal dan sehelai selimut yang menutupi dari paras dada ke bahagian kaki.
Oleh IZYAN LIYANA MOHD DARIF (izyanliyana.mdarif@kosmo.com.my)
Sumber: Kosmo!
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...