“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Sabtu, Jun 28, 2008

Fahami epilepsi


Pesakit yang diserang epilepsi selalunya tidak sedarkan diri.– Gambar hiasan


MENYEBUT tentang epilepsi, tentu ramai yang tidak mengenali penyakit ini. Epilepsi adalah panggilan nama bagi pelepasan (cetusan elektrik) jirim kelabu yang berlaku sekali sekala, secara tiba-tiba, cepat dan keluar dengan banyak.

Penyakit epilepsi ini (atau lebih dikenali sebagai sawan di kalangan orang ramai), sering kali dikaitkan dengan penyakit buatan walaupun secara saintifiknya, ia merupakan penyakit yang berbahaya jika tiada pendedahan awal.

Kerana kurang kefahaman dan kesedaran, sebahagian besar masyarakat menganggap epilepsi berpunca daripada gangguan kuasa ghaib.

Lebih membimbangkan, ramai yang beranggap penghidap penyakit ini ‘gila’ atau terencat akal, ataupun ia akan mengakibatkan masalah mental.

Menurut Profesor dan Pakar Perunding Kanan Neurologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Raymond Azman Ali, penyakit ini perlu pengawalan mulai peringkat awal lagi.

“Penyakit epilepsi bukan satu petanda buruk dan memalukan dalam hidup pesakit. Bukan penyakit berjangkit dan tiada masalah mental.

“Kebanyakan pesakit mempunyai tahap kecerdasan otak yang normal mahupun melebihi purata normal.

“Malah, ramai yang menempah kejayaan walaupun menghidap penyakit ini,” jelasnya.

Beliau tidak menafikan, penghidap epilepsi boleh bekerja seperti individu normal lain. Syaratnya, selagi mereka tidak mengendalikan senjata berbahaya atau mengendalikan mesin atau jentera berat.

Begitu juga dengan aktiviti sukan. Ramai yang berpendapat pesakit epilepsi tidak boleh menyertai aktiviti lasak. Ada juga pesakit yang tidak faham berhubung istilah yang digunakan ketika memohon lesen memandu.

Sesetengah pesakit mendakwa, mereka menghidap epilepsi, bukan sawan seperti yang tertera dalam borang. Lebih malang lagi, ramai berpendapat penghidap epilepsi tidak mempunyai masa depan yang baik. Alasan mereka, tiada siapa yang ingin berkahwin dengan penghidap epilepsi.

Kebimbangan paling ketara ialah kemungkinan mereka akan melahirkan anak-anak yang cacat. Sebetulnya, epilepsi boleh dihidapi oleh sesiapa saja. Ini termasuklah mereka yang bijak pandai dan golongan profesional seperti doktor, jurutera, peguam dan sebagainya.

Menurutnya, epilepsi berpunca daripada gangguan dalam bahagian otak yang boleh berulang dalam bentuk serangan sawan, menyebabkan penderitaan serius. Ia merupakan gangguan sistem urat saraf (neurologikal) tidak menentu yang serius yang paling kerap ditemui.

Adalah dianggarkan, sekurang-kurangnya 100 juta orang akan melalui pengalaman epilepsi sekali dalam seumur hidup mereka manakala kira-kira dua juta kes baru dilaporkan setiap tahun.

“Sawan disebabkan oleh pelepasan elektrik dari otak yang berlebihan dalam sekumpulan sel otak secara mengejut, selalunya dalam jangka yang amat pendek. Sewaktu sawan, neuron di dalam bahagian otak (topi sel-sel saraf menghasilkan pelepasan elektrik) boleh melepaskan sebanyak 500 kali sesaat, yang mana mengganggu aktiviti-aktiviti normal saraf, kelenjar dan otot,” ujar beliau.

Dr. Raymond Azman berkata, lain-lain bahagian otak juga boleh terpengaruh dan bentuk gangguan epilepsi akan berbeza, bergantung pada sel otak yang khususnya terlibat.

Secara mudahnya, epilepsi adalah satu gangguan di mana aliran isyarat elektrik di dalam otak menjadi celaru.

Ia kadangkalanya diumpamakan seperti berlaku ribut elektrik di dalam otak. Pelepasan elektrik dari otak yang berlebihan, pada zahirnya, adalah serangan sawan.

Ia dapat dilihat dalam bentuk sentakan (jerky), menggigil dan terkejang-kejang, bunyi kuat seperti berdengkur atau rebah ke tanah, atau gabungan ketiga-tiganya.

Dalam realitinya, serangan sawan boleh terjadi dalam sebarang bentuk perlakuan atau pergerakan yang tidak disedari atau tidak normal.

Perlu rawatan segera

“Seelok-eloknya, jika seseorang itu diserang penyakit ini dan mengalami gejala kecil berulang-ulang, seharusnya segera ke hospital.

“Misalnya, seseorang yang tiba-tiba berkelakuan pelik seperti berlari tanpa pakaian, kita tidak perlu menganggap dia gila.

“Apa yang perlu dilakukan, bawa dia ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” jelasnya.

Tambah Dr. Raymond Azman, antara gejala yang mungkin dialami pesakit ialah berkelakuan pelik seperti menjerit-jerit tanpa sebab dan termenung.

Kelakuan ini mungkin tidak disedari pesakit dan keluarganya tetapi jika ia berlaku, tidak perlu menganggap dia gila.

Menurut Dr. Raymond Azman, oleh kerana pesakit selalunya tidak sedarkan diri, keterangan ahli keluarga atau saksi yang berada di tempat kejadian sangat mustahak bagi mengenal pasti jenis penyakit.

“Tanda-tanda paling ketara bagi membezakan epilepsi dengan yang lain adalah, apabila sawan berulang, ada waktu bebas di antara kedua-duanya, pesakit normal dan sifat serangannya serupa.

“Setiap kali selepas serangan, pesakit berasa bingung, termenung dan sakit kepala,” katanya.

Doktor akan menentukan jenis rawatan yang bersesuaian sama ada selepas temu janji pertama jika semua maklumat yang diperlukan diperoleh, ataupun setelah ujian lebih lanjut dilakukan.

Ujian yang dimaksudkan antara lainnya sama ada EEG, rakaman video-EEG, skan CT dan MRI.

Pesakit biasanya diberikan ubat-ubatan antiepileptik (AEDs) yang mempunyai satu atau lebih bahan kimia yang dipanggil antikonvulsi.

“Setiap pesakit yang menggunakan antikonvulsi akan mengalami reaksi yang berbeza-beza.

“Misalnya sesetengah pesakit mungkin mendapat kesan sampingan dan pesakit lain tidak atau pesakit dapat mengawal sawan sebaik ubat diambil manakala pesakit lain memerlukan masa yang lebih panjang,” katanya.

Terdapat juga pesakit yang tidak dapat mengawal langsung sawannya walaupun mengambil perubatan antikonvulsi.

Dr. Raymond berkata, apabila sawan pesakit adalah disebabkan oleh ketumbuhan, kecacatan salur darah, parut atau keadaan- keadaan lain, rawatan pembedahan boleh dilakukan.

“Jika puncanya berjaya dibedah keluar, kebiasaannya sawan pesakit turut terhenti.

“Pembedahan juga disyorkan untuk mengeluarkan bahagian otak di mana sawan berpunca,” katanya.

Namun, sebelum pembedahan dilakukan seseorang itu perlu memenuhi syarat-syarat yang membolehkan dia dirawat.

“Paling utama, pesakit perlu ada matlamat hidup yang jelas selepas dibedah. Kebanyakan pesakit melalui kehidupan yang berbeza sebelum dan selepas pembedahan.

“Sebelum dibedah, kebanyakan pesakit dijaga dan dimanja oleh keluarga tetapi selepas mereka dirawat, keluarga mengharapkan mereka boleh berdikari.

“Jika pesakit tidak mempunyai matlamat selepas dibedah, maka doktor disarankan jangan meneruskan kaedah rawatan tersebut,” jelasnya.

Tambah beliau, pembedahan hanya akan dilakukan sekiranya pesakit mempunyai parut atau ketumbuhan di otak di samping pemakanan ubat yang teratur.

Walaupun epilepsi mempunyai rawatan, wanita yang mengandung juga perlu memakan ubat.

“Secara amnya, pesakit wanita tidak digalak mengandung. Selain ubat-ubatan yang mungkin memberi kesan kepada bayi, ia juga boleh memberi risiko kepada diri sendiri,” jelasnya.

Antara ubat yang disyorkan dan kurang kesan sampingan ialah levetiracetam, topiramate dan lamotrigine.

Dalam konteks ini, masyarakat perlu mengetahui gejala dan punca epilepsi untuk mengawal ia menjadi lebih teruk.

Mengesan lebih awal sejak kanak-kanak adalah lebih baik dan berjumpa doktor pakar tentang penyakit ini perlu untuk kehidupan lebih sejahtera.

Dengan kemajuan terkini dalam bidang perubatan dan teknologi sekarang, epilepsi dan serangan sawan bukan lagi halangan untuk menjalani kehidupan yang aktif dan sempurna. Rawatan bagi epilepsi bukan sahaja untuk menyembuhkan semua serangan sawan, tetapi juga untuk menguruskan kehidupan keseluruhan pesakit.

Oleh itu, rawatan yang berkesan untuk epilepsi bermula dengan diagnosis yang betul tentang jenis serangan sawan yang dialami pesakit, kerana setiap jenisnya memerlukan rawatan yang khusus untuk diubati dengan berkesan.

Sumber: UtusanOnLine 22/06/2008

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails