“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Jumaat, Jun 27, 2008

Q&A: Rujuk setelah talak raj’ie - tidak perlu persetujuan isteri

SOALAN:
Saya telah bercerai setahun yang lalu tetapi masih belum mendaftarkan penceraian tersebut. Dalam tempoh idah saya dan bekas suami pernah ‘tidur bersama’ beberapa kali.

Dalam tempoh idah juga bekas suami pernah berkata bahawa “saya milik beliau dan jom kita rujuk balik”, tetapi pada masa itu saya tidak mahu rujuk. Selepas habis tempoh idah hingga sekarang pun kami tidak lagi memfailkan penceraian. Adakah kami masih suami isteri?

JAWAPAN:
SEPERTI mana kuasa talak diberikan kepada si suami begitu jugalah kuasa rujuk diberikan kepada mereka. Para ulama sependapat bahawa suami yang melakukan rujuk mempunyai keahlian untuk berkahwin, tidak termasuk mereka yang gila atau mabuk.

Ini kerana hukum rujuk ialah hukum perkahwinan dan wali berhak merujuk seseorang isteri bagi pihak suami yang gila atau seumpamanya, rujuk demi menjaga kepentingan mereka yang di bawah jagaannya.

Rujuk dari segi bahasa bererti kembali. Dari segi syarak pula ialah mengembalikan isteri kepada nikah dalam waktu idah yang bukan talak bain.

Rujuk adalah hak yang diberi oleh Islam kepada bekas suami untuk melanjutkan ikatan perkahwinannya dengan bekas isteri yang diceraikannya sebelum habis waktu idah isteri.

Antara dalil keharusan rujuk, firman Allah SWT yang bermaksud: Maka apabila mereka telah mendekati akhir idah, rujuklah mereka dengan cara yang makruf (baik) atau ceraikan mereka dengan cara yang makruf (baik). (at-Talaq :2)

Rukun rujuk ada tiga perkara:

1. Sighah iaitu lafaz yang menunjukkan kembali kepada isteri sama ada secara sarih (terang) mahupun kinayah (kiasan).

2. Mutarji’ iaitu suami yang ingin merujuk isteri yang diceraikannya dengan talak bain.

3. Isteri iaitu perempuan yang telah dinikahi dengan nikah yang sah.

Syarat-syaratnya:

1. Suami:

a) Hendaklah seorang yang berakal.

b) Baligh.

c) Dengan kehendak dan kerelaan sendiri bukan paksaan daripada sesiapa.

d) Tidak murtad.

2. Isteri:

a) Hendaklah yang sudah dicampuri.

b) Mestilah yang diceraikan dengan talak raj’ie. Bukan dengan perceraian secara fasakh, khuluk dan juga talak tiga.

c) Hendaklah ditentukan orangnya jika suami berkahwin lebih daripada satu dan telah menceraikan beberapa orang isterinya.

3. Hendaklah tidak dihadkan kepada sesuatu masa dan waktu. Tidak sah rujuk dalam masa yang tertentu sahaja.

4. Tidak bergantung kepada sesuatu syarat. Rujuk disyariatkan adalah bertujuan untuk membolehkan suami isteri yang telah bercerai dengan talak raj’ie meneruskan kembali ikatan perkahwinan mereka yang telah terputus dengan syarat isteri masih lagi dalam idah. Tetapi perlu diingat bahawa rujuk hendaklah dengan tujuan berdamai bukan kerana ingin menyakiti, menganiaya isteri dan sebagainya.

Terdapat beberapa keadaan yang diharamkan untuk berkahwin tetapi dihalalkan untuk rujuk:

1. Semasa berihram, sama ada suami ataupun isteri. Diharamkan melakukan akad semasa berihram, tetapi dihalalkan melakukan rujuk. Ini kerana rujuk ialah mengembalikan ikatan perkahwinan yang sedia ada.

2. Seseorang hamba, tidak perlu mendapat keizinan tuannya untuk merujuk isterinya kerana keizinan diperoleh untuk berkahwin. Ini bererti keizinan yang sama untuk merujuk juga telah diperoleh kerana isteri dalam idah masih lagi hukum isterinya.

3. Suami dalam keadaan sakit tenat diharuskan merujuk isterinya, sedangkan dilarang melakukan akad dalam keadaan demikian kerana perkahwinan menyebabkan pesaka. Jika berlaku kematian, walaupun dalam idah, mereka berhak mendapatkan pesaka.

4. Suami yang bodoh diharuskan merujuk isterinya, sedangkan dilarang melakukan akad perkahwinan, begitu juga seseorang boros.

Ulama fikah telah meletakkan syarat kepada isteri yang hendak dirujuk.

1. Isteri yang berada dalam idah raj’ie dan pernah melakukan persetubuhan yang sebenar pada perkahwinan yang sah sebelum bercerai.

2. Mengikut satu riwayat dalam mazhab al-Syafieyyah, sekiranya isteri tidak disetubuhi selepas akad yang sah maka suami tidak boleh merujuknya. Manakala dengan terhasilnya persetubuhan selepas akad yang sah sahaja boleh dirujuk oleh si suami.

Ulama juga mensyaratkan bahawa dalam rujuk:

1. Tidak disyaratkan mendapat persetujuan isteri atau walinya atau tuan bagi seseorang hamba untuk merujuk. Bahkan ada pendapat yang mengatakan tidak perlu memberitahu isteri yang dirujuk.

2. Tidak perlukan saksi ketika melakukan rujuk isterinya. Melainkan jika perlu, tetapi ia tidak syarat.

3. Rujuk tidak boleh dilakukan dengan lafaz taklik, contohnya si suami ketika merujuk isterinya berkata: “Aku merujuk kamu jika kamu bersetuju....”.

4. Rujuk boleh dilakukan dalam apa bahasa sekalipun asalkan perkataan yang digunakan itu faham dan membawa maksud rujuk.

5. Suami yang bisu boleh merujuk isterinya dengan isyarat yang boleh difahami erti rujuk dan juga boleh dilakukan dengan tulisan.

Di dalam Enakmen undang-undang pentadbiran keluarga Islam 1985 12/1985, Bahagian Pembubaran perkahwinan. Dalam perkara yang ke “(9) Jika selepas talak raj’ie suami melafazkan rujuk tetapi isteri telah tidak bersetuju terhadap rujuk itu kerana sebab-sebab yang dibenarkan oleh hukum syarak, dia tidak boleh diperintah oleh mahkamah supaya hidup semula sebagai suami isteri, tetapi mahkamah hendaklah melantik suatu jawatankuasa pendamai sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 44 dan seksyen itu hendaklah dipakai sewajarnya”

Maksudnya, puan adalah isteri yang sah, kerana suami sudah merujuk dengan perbuatan iaitu dengan persetubuhan. Serta lafaz “saya milik beliau dan jom kita rujuk balik”. Itu sudah jelas suami rujuk.

Walaupun dalam rujuk, si suami tidak perlukan persetujuan isterinya, namun isteri mempunyai hak untuk tidak menerima sekiranya dia tidak berasa aman dengan kehidupan bersama suaminya ini jelas seperti mana tertera dalam Enakmen undang-undang pentadbiran keluarga Islam 1985 12/1985, Bahagian Pembubaran perkahwinan.

Cuma pastikan perceraian itu didaftar serta rujuk juga didaftar di Pejabat Agama Daerah untuk kesejahteraan bersama. Perbuatan tidak mendaftar adalah satu kesalahan. Nasihat saya dapatkan nasihat di Pejabat Agama berdekatan untuk tindakan selanjutnya.

Sumber: UtusanOnLine

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails