am@hmetro.com.my
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Amir Abd Hamid
Isteri yang sering kesunyian itu sanggup membayar upah hingga puluhan ribu ringgit semata-mata mahu membuktikan perilaku sumbang atau hubungan sulit suami yang selama ini sukar dibuktikan.
Apa yang menakjubkan, penyiasat persendirian yang dilengkapi pelbagai peralatan canggih seperti pengesan peribadi, kamera, video pengintip, alat perakam suara mini dan perakam video pin tali leher berjaya membongkar rahsia yang dianggap hampir mustahil didedahkan itu.
Mereka turut menggunakan taktik menyamar pekerja syarikat telekomunikasi, penghantar pos kurier, pekerja pembersihan atau kakitangan pembasmi serangga perosak untuk menyusup ke dalam premis tertentu bagi mendapatkan bukti.
Penyiasat persendirian yang juga Pengurus Delta Force Security Services and Consultancy Sdn Bhd, Kapten (B) Amerruddin Nordin, berkata keupayaan menyelesaikan kes sulit dan peribadi membuatkan masyarakat kini semakin yakin terhadap fungsi penyiasat persendirian.
Menurutnya, sebagai penyiasat persendirian selama 17 tahun, skop tugasnya bukan saja merangkumi penipuan perniagaan, mencari individu hilang, mendapatkan bukti salah laku dan memberi perlindungan kepada individu tertentu, malah mengesan kecurangan suami golongan VIP.
Beliau yang mendapat lesen khas daripada Kementerian Dalam Negeri, berkata kebiasaannya golongan isteri VIP mengesyaki suami masing-masing menjalin hubungan sulit dengan wanita lain atau memiliki perempuan simpanan, namun si suami licik menyorokkan bukti.
“Saya didatangi ramai isteri Tan Sri, Datin, artis dan ahli perniagaan untuk mendapatkan perkhidmatan. Biasanya perbincangan diadakan terlebih dulu secara sulit bagi memudahkan kami mendapatkan butir terperinci ‘sasaran’ dan kehendak pelanggan. Selepas segalanya lengkap, penyiasat yang dipilih akan memulakan siasatan bagi mengumpul bukti dikehendaki. Setakat ini kami mempunyai
Beliau yang pernah bertugas sebagai perisik Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) mendakwa berupaya menyelesaikan kes dalam tempoh antara tiga hari hingga dua minggu, bergantung pada tahap kesukaran dan keaktifan sasaran.
“Kami pernah diupah menyiasat seorang VIP berstatus Tan Sri yang disyaki mempunyai hubungan sulit dengan seorang personaliti terkenal. Kami mengekori VIP berkenaan setiap hari dari awal pagi ketika dia keluar rumah untuk bermain golf di sebuah kelab terkemuka. Selesai bermain golf sekitar jam 10 pagi, VIP berkenaan didapati pergi ke sebuah kondominium mewah di Bukit Bandaraya, Bangsar,” katanya.
Hasil siasatan mendapati kondominium itu didiami seorang personaliti jelita yang kerap muncul di televisyen untuk pelbagai rancangan.
“Kami terpaksa bersabar beberapa hari sebelum mengekori pasangan ‘kekasih’ itu ke sebuah hotel lima bintang di Jalan Sultan Ismail. Aksi pasangan itu akhirnya dirakam sebelum salinan rakaman itu dipindahkan ke dalam cakera padat (CD) dan diserahkan kepada isterinya sebagai bukti,” katanya.
Ditanya sama ada siasatannya mampu menghancurkan rumah tangga pelanggan, Amerruddin berkata, bukti yang diperoleh digunakan hanya untuk membuat suami mengaku kesalahannya.
“Malah, kepakaran kami turut pernah digunakan pelanggan untuk menyelesaikan kes perbicaraan mahkamah syariah berikutan kekurangan bukti kecurangan dilakukan pasangan,” katanya.
Terbaru, beliau menyelesaikan kes seorang VIP yang mempunyai hubungan sulit dengan seorang gadis kedi di sebuah kelab golf yang kerap berakhir di bilik hotel.
“Kes begini mungkin nampak mudah, namun untuk menjejaki sasaran memerlukan kesabaran dan kebijaksanaan. Penggunaan pelbagai peralatan mampu memudahkan tugas intipan,” katanya yang pernah dibayar mencari anak gadis dilarikan teman lelaki dan menyiasat aktiviti sulit anak.
Biasanya, kata Amerruddin, ibu bapa yang bekerja menghubungi agensinya bagi mengawasi aktiviti anak mereka setiap sehari.
Seorang lagi penyiasat persendirian terkenal, Raj, 55, mengakui kerap dibayar melakukan siasatan berhubung kes rumah tangga membabitkan golongan kenamaan. Antara yang terbaru membabitkan seorang Datuk berumur 63 tahun yang terjerat apabila beliau bersama seorang wanita berumur 30 tahun di pangsapuri mewah pinggir ibu
“Saya diupah ribuan ringgit. Sebaik pasti Datuk itu berada bersama pasangan di pangsapuri itu, saya terus menghubungi isterinya yang beberapa jam kemudian datang ke situ,” katanya.
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...